Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Kahn Design akhiri produksi 68 tahun Land Rover Defender dengan edisi khas Kahn End Edition

    kahn-end-edition-LR-defender-2.2-TDCI-01_BM

    Kahn Design telah menghasilkan edisi penutup Land Rover Defender, yang telah dihentikan produksinya awal tahun ini selepas 68 tahun dalam pasaran. Edisi khas yang digelar The End Edition ini dihasilkan hanya 25 unit berasaskan model 2.2 TDCI XS 90 oleh divisi Chelsea Truck Company.

    Defender edisi terhad ini telah ‘disolek’ untuk penampilan terakhirnya. Pada bahagian luaran, ia dilengkapkan dengan kit badan yang lebih lebar pada bahagian fender hadapan dan panel badan belakang beserta liang udara bersepadu, dilekatkan menggunakan bol yang kelihatan. Dengan badan yang lebih lebar, ia turut dipadankan dengan roda Modial kemasan Volcanic Black berdiameter 20-inci dan dibalut dengan tayar bersaiz 275/55R20.

    Kenderaan 4×4 lagenda ini juga dilengkapi dengan mud-flap keras, jaring mesh pada liang hud, gril hadapan X-Lander dan juga bampar hadapan baharu dengan lampu bina-dalam serta pelindung takungan minyak. Bahagian mekanikalnya pula menyaksikan sistem suspensi Defender ini diinjak naik dan sistem ekzos asal digantikan dengan sistem ekzos twin cross-hair. Sistem pengurusan enjin juga dipertingkat menerusi penggunaan kotak komputer Kahn Power Upgrade bagi mendapatkan kuasa enjin yang lebih tinggi.

    Bahagian dalaman Kahn End Edition ini pula dilengkapi dengan tempat duduk GTB yang dibalut dengan kulit dan fabrik Harris Tweed pada bahagian hadapan dan belakang. Tema yang sama turut mendominasi kemasan pada glove box konsol tengah, papan pemuka, panel dan pemegang pintu, instrumen binnacle dan juga balutan bumbung. Kemasan pada bahagian dalaman ini dilengkapkan menerusi pemasangan jam Churchill, roda stereng balutan kulit Kahn, pemegang tuil gear billet dan juga pedal kaki aluminium.

    Versi edisi khas terakhir Land Rover Defender ini dijual pada harga £49,999 (RM277,000), hampir sekali ganda dari harga Defender Projet Kahn LR 110 XS versi hard top yang diperkenalkan akhir Disember lalu. Kereta ini juga turut disediakan dalam konfigurasi pemanduan sebelah kiri dan pemanduan sebelah kanan.

     
     
  • JPJ Selangor sita 164 kenderaan klon bernilai RM2.5j

    Clone-cars-03

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor berjaya mengesan dan menyita 164 buah kereta klon pelbagai model dengan nilai anggaran lebih RM2.5 juta sejak Januari lepas.

    Menurut Pengarah JPJ negeri terbabit Nazli Md Talib, Daripada jumlah itu, sebanyak 11 kes didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan, antaranya memiliki cukai jalan dan nombor plat palsu, laporan Bernama.

    Antara model kereta yang disita ialah kereta mewah jenis Mini Cooper, Lexus, BMW, Mercedes Benz dan termasuk juga Honda dan Toyota.

    Katanya lagi, individu yang gagal mendapat pinjaman bank akibat disenarai hitam merupakan antara pembeli kereta klon yang mampu membayar secara tunai memandangkan harga kereta pilihan mereka itu jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

    Selain itu, golongan pembeli kereta klon adalah berusia 30 tahun ke atas dan nama mereka disenarai hitam oleh pihak bank.

    Memandangkan kesukaran mendapatkan pinjaman, maka mereka sanggup berdepan dengan risiko tindakan undang-undang apabila kereta klon ditawarkan dengan harga serendah RM4,000 untuk model Toyota Vios, katanya.

    Nazli turut berkata, keghairahan orang ramai yang mahu memiliki kereta mewah dengan harga murah turut menjadi penyebab sindiket kenderaan klon masih bergiat aktif di negara ini.

    Katanya, kebanyakan pembeli sanggup menanggung risiko untuk membeli kereta mewah klon dari Singapura dan Thailand kerana beranggapan itu adalah peluang mereka untuk memiliki kenderaan tersebut.

    “Pembeli dalam kalangan penjawat awam dan golongan kurang berkemampuan mengakui sanggup membelinya sebab nak bergaya dan teringin memiliki kereta mewah walaupun mengetahui memiliki kenderaan itu adalah salah,” katanya.

     
     
  • Daya maju projek HSR KL-Singapura dipersoal

    Hitachi Super Express

    Walaupun draf penjajaran Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura sudah sampai ke peringkat akhir dan perjanjian persefahaman (MoU) projek ini bakal ditandatangani pertengahan tahun ini, persoalan ditimbulkan berkenaan kadar tambang yang dijangkakan serta daya maju projek berkenaan. Pada persidangan dewan undangan negeri Johor semalam, isu Jumlah Aliran Penumpang (PFV) projek tersebut dan harga tiket telah diketengahkan, lapor The Sun.

    Laporan sebelum ini ada menyatakan PFV untuk projek HSR ini adalah dijangka akan mencecah 18 juta penumpang setahun. ADUN Stulang dari DAP, Andrew Chen Kah Eng berkata, angka tersebut adalah sangat rendah dan mempersoalkan berapa kadar tiket yang akan dikenakan untuk setiap perjalanan dengan jumlah yang agak rendah sedemikian.

    Beliau memberikan contoh harga tiket untuk projek HSR di negara lain yang juga berjarak lebih kurang 300 km. Untuk laluan HSR dari Shanghai ke Nanjing yang mempunyai PFV tahunan lebih kurang 105 juta penumpang, tiketnya dijual pada harga RM150 setiap perjalanan. Untuk HSR laluan Taipei ke Tainan yang mempunyai PFV tahunan 50 juta penumpang pula tiketnya dijual pada harga RM180 untuk setiap perjalanan.

    MyHSR

    Chen berkata harga tiket untuk HSR KL-Singapura adalah parameter penting untuk menentukan kejayaannya. “Jika kita mengenakan bayaran terlalu rendah, pengendali projek ini akan menghadapi masalah. Jika kita mengenakan bayaran terlalu tinggi pula, kita akan menghadapi masalah penumpang,” kata beliau.

    Tahun lalu, tiket sehala antara KL dan Singapura dilaporkan akan berharga kurang dari RM200, dan tiket pergi-balik pula dijangka dibawah RM400, untuk menampung semua segmen pasaran, termasuk perniagaan dan percutian.

    “Kami meramalkan harga purata yang lebih rendah untuk menjadikan projek HSR ini boleh dilaksanakan. Walaupun pulangan pelaburannya akan mengambil masa yang lama, pengedali akan mempunyai beberapa pilihan untuk mendapatkan semula pulangan pelaburan mereka di dalam projek ini,” kata CEO MyHSR Mohd Nur Ismail Kamal. Struktur harga yang dicadangkan juga dijangkakan akan menyamai sistem pengangkutan udara, di mana kenaikan/penurunan harga tiket adalah berubah-ubah setiap hari berdasarkan permintaan.

    HSR-stations-proposed

    Malaysia akan memuktamadkan draf penjajaran projek ini tidak lama lagi, dan ini akan dilakukan sebelum MoU projek tersebut ditandatangani oleh pihak Malaysia dan Singapura pada selewat-lewatnya Julai tahun ini. Pusat transit yang dicadangkan di dalam draf penjajaran tersebut termasuklah Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.

    China, Jepun dan Korea utara dilihat sedang bersaing dalam mendapatkan hak untuk membina landasan sistem tersebut dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Apabila projek HSR ini siap kelak, ia dijangka dapat memendekkan masa perjalanan antara KL dan Singapura kepada hanya 90 minit, dengan kelajuan purata keretapi tersebut dianggarkan pada sekitar 350-450 km/j.

    Ia juga turut mempunyai hubungan terus antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Changi di Singapura dan juga Transit Landasan Pan ASEAN ke Bangkok yang telah dicadangkan.

     
     
  • Perodua sebarkan lakaran model semasa Myvi

    Screen Shot 2016-04-19 at 1.48.09 PM

    Okay, ini bukan imej lakaran untuk Perodua Myvi generasi akan datang. Tetapi ia adalah lakaran model semasa Myvi iaitu yang sedang berada di pasaran. Ia sengaja disebarkan oleh Perodua menerusi laman media sosial Facebook mereka.

    Bahagian hadapannya, memang banyak dipengaruhi oleh model asalnya. Malah lampu utama yang melunjur ke belakang dan juga permukaan bonet yang turut dipengaruhi model generasi pertama, walau pun masih menerapkan pelbagai elemen yang lebih moden.

    Selain itu, gerbang roda yang besar dan garisan sisi badan yang mendalam menyerlahkan lagi karakteristik Myvi generasi kedua. Malah gril lima-poin yang diubah ke dalam haksagon turut ditampilkan pada Myvi facelift.

    07_01_04-e1460444609730

    Daihatsu Boon 2016

    Rasa macam tak sabar hendak menantikan kehadiran Myvi baharu. Setelah model facelift dilancarkan pada awal tahun lalu, denngar cerita Myvi generasi baharu akan diperkenalkan dalam setahun akan datang, berdasarkan model generasi ketiga Daihatsu Boon dan Toyota Passo.

    Kebarangkalian ia akan menggunakan enjin NR baharu dari Toyota iaitu 1.3L dan 1.5L, seperti yang digunakan pada Toyota Avanza facelift, yang turut memperkenalkan teknologi Dual VVT-i. Malah ia juga mungkin dipadankan dengan transmisi manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan yang telah pun diaplikasikan sejak 11 tahun yang lalu.

    Malah Perodua juga mensasarkan untuk melengkapkan model ini dengan pelbagai teknologi terkini menjelang tahun 2020 (bukan dalam masa terdekat ini) termasuk mungkin dengan sistem bantuan pemanduan Smart Assist II yang digunakan dalam Daihatsu Move.

     
     
  • Empat langkah segera perbaiki keselamatan jalan raya – AWAS, Kejara, penilaian LPT 2, perlaksanaan IRAP

    liow tiong lai

    Dalam situasi dalam negara yang menyaksikan angka kemalangan jalan raya dan kehilangan nyawa yang semakin meningkat, kerajaan telah mengumumkan akan mengimplementasikan empat inisiatif segera untuk memperbaiki situasi. Menurut The Star, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kesemua langkah terbabit telah dibincangkan baru-baru ini di dalam mesyuarat Jawantankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya, dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

    “Beberapa kawasan utama telah dikenal pasti dengan langkah perlaksaannya akan dilakukan dalam masa terdekat,” kata beliau. “Langkah-langkah tersebut ialah implementasi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) dan Sistem Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA), penyeragaman berat maksima yang dibenarkan untuk kenderaan komersial, penilaian keselamatan jalan raya dan penyiasatan kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2 serta pelaksanaan Program Penilaian Jalan Antarabangsa (IRAP) di Malaysia.”

    Beliau juga menambah jawatankuasa tersebut dibuat berdasarkan semua inisiatif keselamatan jalan raya yang sedang berjalan sekarang dan dibentangkan bersama statistik semasa musim perayaan tahun lalu yang merekodkan sejumlah 489,606 kemalangan jalan raya dan 6,706 kematian yang direkodkan pada 2015.

    Karak-highway-01

    “Ini jelas menunjukkan peningkatan dari 2014 dan kerugian yang ditanggung untuk jumlah tersebut adalah melebihi RM8 billion,” Kata Liow. Beliau menambah jawatankuasa tersebut juga akan melihat semula Pelan Advokasi Jabatan Keselamatan Jalan Raya 2016 dan implementasi Pelaksanaan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014 – 2020.

    Liow said that he remains hopeful that the alarming statistics will be reduced with the government’s new initiatives, but said that none of this can be realised if drivers aren’t responsible and courteous on the road. “A dedicated Cabinet Task Force on Road Safety cannot achieve its goals if the rakyat and non-governmental organisations do not play their role in this matter,” he concluded.

    Liow berkata beliau masih lagi berharap statistik yang mengejutkan ini akan dikurangkan dengan langkah-langkah baharu yang diambil kerajaan, tetapi mengatakan semua ini tidak akan dapat direalisasikan jika pemandu tidak bertanggung jawab dan bersopan santun di atas jalan raya. “Jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk keselamatan jalan raya ini tidak akan mencapai sasarannya jika rakyat dan organisasi bukan kerajaan tidak memainkan peranan mereka dalam perkara ini,” simpul beliau.

     
     
  • Masih tiada respons dari syarikat konsesi berhubung kadar tol ikut waktu puncak dan bukan puncak – LLM

    LDP_Toll_EXTRA

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah mengemukakan cadangan kepada syarikat konsesi lebuhraya agar menetapkan kadar bayaran tol mengikut waktu puncak dan bukan puncak. Ia dipanggil ‘kadar-fleksi’, di mana kadar tol yang lebih murah pada waktu bukan puncak berbanding waktu puncak turut boleh memberikan peluang kepada para pengguna lebuhraya lebih merancang perjalanan mereka.

    Namun semalam LLM telah mengesahkan masih tiada syarikat konsesi lebuhraya yang belum memberikan respons terhadap cadangan tersebut, menurut laporan Bernama.

    Ketua Pengarah LLM Datuk Ismail Md Salleh berkata lembaga itu hanya mengemukakan cadangan itu kepada syarikat konsesi dan terpulang kepada mereka sama ada ingin melaksanakannya atau tidak.

    “Buat masa sekarang, pihak kami tidak mendapat apa-apa respons daripada syarikat konsesi,” katanya.

    Walau bagaimana pun, menurut Ismail lagi, perkara ini tidak perlu diiimplementasikan sekiranya pihak konsesi masih punya komitmen lain, termasuk pinjaman dengan bank.

     
     
  • Mitsubishi Malaysia umum jualan bulan Mac – peningkatan sebanyak 68% berbanding bulan lalu

    Outlander_Ext_04

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan angka jualan mereka untuk bulan Mac 2016, menyaksikan sebanyak 1,173 unit kenderaan berjaya dijual, peningkatan sebanyak 68% berbanding Februari 2016. Bulan lalu jenama tersebut menjual sejumlah 696 unit kenderaan.

    Dari jumlah keseluruhan, Mitsubishi Triton yang diimport sepenuhnya mendahului jumlah jualan dengan 716 unit terjual berbanding hanya 429 unit terjual pada Februari lalu, dan direkodkan sebagai trak pikap nombor dua paling laris dalam kelasnya untuk bulan Mac 2016.

    Manakala untuk SUV kompak Mitsubishi ASX CKD pula dijual sebanyak 207 unit, menyaksikan peningkatan sebanyak 22% dari 170 unit yang terjual pada bulan lalu. SUV Mitsubishi Outlander CBU yang baharu sahaja diperkenalkan juga menunjukkan prestasi yang agak memberangsangkan di mana pihak MMM sudahpun menerima tempahan sebanyak 300 unit, berbanding sasaran asal untuk menjual 100 unit model tersebut setiap bulan.

    Untuk pasaran Malaysia, MMM diwakili oleh 56 bilik pameran Mitsubishi (47 daripadanya adalah pusat 3S), dan 52 buah pusat servis. Untuk bahagian Nalaysia Timur pula, MMM diwakili oleh 13 bilik pameran di mana enam daripadanya terletak di Sarawak dan tujuh di Sabah.

     
     
  • SPYSHOT: Honda Civic 2016 dikesan diuji di Melaka

    Honda-Civic-spyshot

    Wah! Nampaknya Honda Civic 2016 semakin menghampiri detik untuk menggegar pasaran tempatan. Terbaru, pembaca Mohd Yaszli menghantar foto Civic 2016 yang dikesan sedang diuji di sekitar Ayer Keroh, Melaka, kurang 30 km dari kilang pemasangan Honda Malaysia di Pegoh. Mungkin sedang diuji di peringkat akhir kerana dengar cerita ia dijangka akan dilancarkan pada Jun ini.

    Menerusi foto ini, kelihatannya ia daripada varian tertinggi iaitu Turbo RS (seperti gelaran di Thailand), menampilkan rim aloi dua-tona bersaiz 17-inci, tetapi seakan tidak menerima sayap belakang seperti RS di Thailand.

    Berkaitan dengan spesifikasinya, dijangkakan kita akan menerima lampu utama LED sepenuhnya, butang kawalan penghidup enjin, Walk Away Auto Lock, paparan insutrumen LCD TFT, sistem hiburan skrin sesentuh tujuh-inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Siri Eyes Free serta pedal penukar gear.

    Honda-Civic-spyshot-2

    Bagi aspek keselamatannya, varian tertinggi akan menerima enam beg udara, manakala Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) dan Bantuan Mula Mendaki ditawarkan secara standard. Sama seperti Civic sedia ada, model baharu ini juga ditampilkan dengan paparan titik buta Honda LaneWatch, seperti yang ada pada Turbo RS di Thai.

    Untuk Malaysia, Civic 2016 dijangka datang dengan dua pilihan sama ada enjin 1.8 liter i-VTEC N/A empat-silinder (141 hp/174 Nm) atau 1.5 liter VTEC Turbo (173 hp/220 Nm). Kedua-dua enjin dipadankan dengan transmisi CVT yang menyinkirkan kotak gear automatik lima-kelajuan seperti mana model sedia ada.

    Harga yang bakal ditawarkan bagi model asas 1.8 liter dijangka di bawah RM120,000, manakala varian VTEC Turbo pula mungkin di bawah RM140,000.

    Civic 2016 telah pun dilancarkan di Thailand pada 11 Mac lalu. Manakala perkhabaran semalam pula mengatakan ia dikatakan akan dijual di Singapura dengan harga bermula RM318K untuk varian tunggal 1.6L SOHC i-VTEC.

    GALERI: Honda Civic 2016 di Bangkok Motor Show 2016

    Honda Civic Turbo RS 2016

    Honda Civic 1.8 E 2016

     
     
  • 1,236 km jalan raya di Sabah bakal dinaik taraf di bawah projek Lebuhraya Pan Borneo

    SabahRoad_2

    Dengan bermulanya projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah, sepanjang 1,236 km jalan raya di negeri terbabit akan dinaik taraf.

    Menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, projek menaik taraf jalan itu bakal memberi manfaat kepada penduduk di Sindumin, Sipitang, Beaufort, Membakut, Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Kudat, Tamparuli, Ranau, Telupid, Lahad Datu, Tawau, Kalabakan, Serudong, Sapulut,Nabawan, Keningau dan Kimanis, laporan Bernama.

    “Di bawah Program Pan Borneo Fasa 1, sepanjang 706km jalan berkembar dengan dua lorong sehala akan dibina dengan anggaran kos sejumlah RM12.86 bilion,” katanya semasa menjawab soalan Roland Chia Ming Shen (PKR-Inanam) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam.

    Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata antara jalan raya yang akan dibina dalam projek berkenaan ialah Jalan Sindumin-Kota Kinabalu, Jalan Kota Kinabalu-Tuaran, Jalan Tuaran-Kudat, Jalan Ranau-Telupid, Jalan Telupid-Lahad Datu dan Jalan Lahad Datu-Tawau.

     
     
  • Jualan kenderaan di Malaysia bagi Mac 2016 – meningkat 29% dari Feb, tetapi 28% lebih rendah berbanding bulan yang sama tahun 2015

    MAA-March-2016

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mendedahkan data bagi jualan dan produksi kenderaan di negara ini untuk bulan Mac 2016. Di mana Mac menyaksikan peningkatan selepas Februari mencatatkan sedikit kelembapan jualan.

    Sejumlah 48,800 kenderaan telah dijual pada bulan tersebut, menyaksikan peningkatan sebanyak 10,924 unit atau 29% lebih tinggi berbanding Februari 2016. Di mana kenderaan penumpang mencatat jualan sebanyak 43,247 unit (meningkat 9,121 unit), manakala kenderaan komersil pula sebanyak 5,553 unit (meningkat 1,803 unit).

    MAA berkata, ia didorong oleh tempoh waktu bekerja yang panjang dalam bulan tersebut dan syarikat kereta turut bergegas menghantar kenderaan yang ditempah penumpang sebelum tahun kewangan mereka berakhir pada 31 Mac 2016.

    Walau bagaimana pun, jumlah jualan pada Mac 2016 yang tercatat adalah 28% atau 18,587 unit lebih rendah berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. Manakala jualan dari tempoh Januari ke Mac 2016 juga lebih rendah sebanyak 131,267 (22%) atau 37,112 unit berbanding jangka masa yang sama pada tahun 2015.

    Jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi Mac 2015 agak tinggi kerana ia adalah sebelum pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), jadi ia membuatkan para pengguna membeli kenderaan mereka lebih awal.

    Bagi produksi pula, 47,810 unit kenderaan dihasilkan pada Mac 2016 iaitu 45,802 unit kenderaan penumpang dan 2,008 unit kenderaan komersil. Ia meningkat sebanyak 12,680 atau 36% berbanding Februari 2016.

    Berbanding dengan bulan yang sama pada tahun lalu, Mac 2016 menyaksikan pengurangan sebanyak 12,275 unit berbanding Mac 2015 (60,085 unit). Malah dari Januari 2016 hingga Mac 2016 berjumlah 129,591 unit, menurun sebanyak 34,106 unit berbanding jangka masa yang sama pada tahun lalu (163,697 unit).

    Bagi April 2016, MAA meramalkan jualan kenderaan akan lebih baik berbanding Mac 2016.

     
     
  • Honda Civic 2016 – hanya varian 1.6L SOHC i-VTEC untuk pasaran Singapura, harga bermula RM318k

    Civic_18E-2-1_BM

    Sementara kita di Malaysia menanti dengan penuh debaran hari pelancaran Honda Civic generasi ke-10, negara jiran seberang tambak – Singapura juga turut menunggu Civic 2016 untuk mendarat di sana. Kami menerima iklan dari pembaca Calvin Teoh yang memaparkan spesifikasi sedan tersebut untuk pasaran di republik itu, nampaknya mereka hanya menerima varian tunggal 1.6 liter VTEC yang dijual dengan harga SGD$109,999 (RM318k) dan tempahannya sudah mula dibuka.

    Beberapa ciri dipaparkan pada brosur tersebut termasuk lampu nyalaan siang LED dengan lampu hadapan halogen, sistem kunci pintar beserta suis penghidup enjin, brek parkir elektronik dan juga butang mod ECON.

    Ciri-ciri untuk bahagian dalaman pula termasuk upholstery balutan kulit, penghawa dingin automatik dua zon dan juga liang penghawa dingin untuk bahagian belakang. Ia turut dilengkapi sistem infotaimen dengan paparan skrin sesentuh tujuh-inci, sambungan USB dan HDMI, dihubungkan kepada lapan-pembesar suara. Roda stereng tiga-jejari dengan kecondongan dan teleskopik yang boleh dilaras turut dilengkapi dengan butang kawalan sistem audio, kawalan kelajuan, suis telefon hands-free dan juga penukar gear.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan pemegang cawan untuk penumpang bahagian hadapan dan belakang, dan juga dua cermin muka berlampu di bahagian hadapan serta cermin pandang belakang dengan fungsi anti-silau automatik. Sementara itu, hanya tempat duduk pemandu boleh dilaraskan ketinggiannya secara manual, dan kedua-dua belah tingkap kuasa hadapan disertakan sekali dengan fungsi turun/naik automatik.

    Sedan ini turut dilengkapi dengan kamera undur beserta empat penderia. Untuk ciri keselamatan, Civic ini hanya dilengkapi dengan dua beg udara, ABS beserta sistem Bantuan Stabiliti Kenderaan (VSA) dan juga Bantuan Mula Mendaki.

    Seperti yang dinyatakan tadi, ia hanya dikuasakan dengan satu pilihan enjin iaitu enjin 1.6 liter SOHC i-VTEC yang menjana 125 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 152 Nm pada takat 4,300 rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear CVT automatik. Turut dipaparkan dalam brosur tersebut, Civic 2016 pasaran Singapura mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 11.6 saat dan boleh mencapai kelajuan maksima 200 km/h.

     
     
  • Brosur rasmi SUV Ford Everest 2016 dedah dua varian – 2.2L Trend 4×2 dan 3.2L Titanium 4×4

    Klik untuk besarkan

    Ford Everest generasi ketiga dijangka bakal dilancarkan di Malaysia pada tahun ini. Namun sebelum ia dilancarkan, kami telah menerima brosur rasmi SUV tujuh-tempat duduk ini, terima kasih pada pembaca paultan.org Joshua Ling Dee Sing.

    Mengikut brosur ini, ia menawarkan dua varian iaitu 2.2L Trend 4×2 dan 3.2L Titanium 4×4 (spesifikasi tertinggi), yang kedua-duanya dijanakan oleh unit turbodiesel. Model terdahulu menerima enjin 2.2 liter empat-silinder sebaris dengan kuasa 160 PS pada 3,200 rpm dan tork 385 Nm antara 1,600 hingga 2,500 rpm.

    Sementara itu, varian baharu dengan enjin 3.2 liter empat-silinder sebaris mampu menghamburkan kuasa sehingga 200 PS pada 3,000 rpm dan tork 470 Nm antara 1,750 hingga 2,500 rpm. Ia juga dipadankan dengan kotak gear automatik SelectShift enam-kelajuan, bagi kedua-dua varian.

    Bagi varian Trend, ia tidak didatangkan dengan Terrain Management System (TMS) dan locking rear differential. Walau bagaimana pun, kedua-dua elemen tersebut ada pada varian Titanium, sekali gus memberikan kawalan yang lebih padu ketika mengharungi laluan off-road. TMS juga memiliki empat mod berbeza iaitu Road, Sand, Snow dan Rock, yang dikawal dengan butang pilihan kawalan di sebelah tuil gear.

    Klik untuk besarkan

    Bagi imej luaran, Titanium tampil lebih banyak perbezaan berbanding Trend. Di mana model spesifikasi tertinggi Everest ini dipadankan dengan roda bersaiz 20-inci (Trend hanya 18-inci). Manakala mengenai pencahayaan, Titanium tampil dengan lampu utama projektor xenon bersama pelarasan auto dan lampu nyalaan siang LED. Manakala Trend hanya dengan unit projektor halogen. Lain-lain perbezaan termasuklah cermin sisi krom untuk Titanium (Trend dengan sama dengan warna badan) dan bilah pengilap cermin auto.

    Bagi bahagian kabin pula, Titanium menerima lebih banyak elemen menarik termasuk corong penghawa dingin bagi tempat duduk barisan kedua dan soket kuasa tiga-pin 230 V.

    Selain itu, ia turut menampilkan pencahayaan ambien, cermin pandang belakang electrochromic, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, paparan skrin sesentuh 8-inci, sistem hiburan SYNC 2 (dengan 10-pembesar suara), tempat duduk balutan kulit (8-cara larasan berkuasa untuk pemandu, 2-cara larasan berkuasa untuk penumpang hadapan) dan butang berkuasa untuk membaringkan tempat duduk barisan ketiga.

    Ford-Everest-2015-10

    Kesemua elemen tersebut tidak terdapat pada Trend. Ia hanya menampilkan skrin paparan berwarna 4.2-inci dan sistem multimedia standard (dengan lapan-pembesar suara), tempat duduk fabrik (4-cara larasan manual untuk pemandu, 2-cara larasan manual untuk tempat duduk penumpang hadapan) dan tempat duduk barisan ketiga yang boleh dibaringkan secara manual.

    Bagi aspek keselamatan, Titanium menerima tujuh beg udara (pemandu, tempat duduk penumpang hadapan, sisi, tirai, lutut), sementara Trend tidak disertakan beg udara sisi dan tirai. Namun elemen keselamatan standard bagi Everest termasuklah Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS, pengingat tali pinggang kaledar dan cagak Isofix, yang membuatkan ia menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP. Selain itu, bagi Titanium, ia turut menerima pengesan bantuan parkir hadapan dan belakang, kamera undur dan Ford MyKey.

    Walau bagaimana pun, kita tidak boleh mengandaikan apa yang ada dalam brosur ini mungkin semuanya kita akan terima, kena nantikan pengesahannya ketika pelancaran rasminya.

    GALERI: Ford Everest 2015 di Chiang Rai

     
     
  • Triumph Bonneville T120, T120 Black, Thruxton R 2016 dilancar di Malaysia – harga bermula RM79,900

    2016 Triumph T120 and T120 Black - 2

    Fastbikes, pengedar rasmi Triumph di Malaysia telah melancarkan Triumph Bonneville T120, T120 Black – kedua-duanya di jual dengan harga RM79,900 dan Thruxton R yang di jual pada harga RM91,900. Ketiga-tiga buah motosikal dengan gaya retro ini menampilkan enjin penyejukan cecair Triumph baharu, yang direka untuk memberikan lebih tork dan pada masa yang sama memenuhi standard emisi baharu yang lebih ketat.

    Enjin 1,200 cc baharu tersebut dibina dengan konfigurasi blok berkembar sebaris, penyejukkan cecair, aci-sesondol tunggal, lapan injap dengan aci engkol 270-darjah. Ia disuapkan dengan campuran bahan api dan udara menerusi sistem pancitan bahan api pelbagai titik berturutan (multi-point sequential).

    Enjin yang dipasang pada varian T120 menghasilkan 79 hp dan tork 105 Nm pada takat 3,100 rpm – 54% lebih tork daripada generasi T100 sebelum ini. Enjin yang dilengkapi pada Thruxton R pula mampu menjana 98 hp dan tork sejumlah 112 Nm pada takat 4,250 rpm – 62% lebih tork daripada versi Thruxton R tahun lalu.

    Bonneville 2016 menampilkan rekaan yang sangat retro, dengan beberapa bahagian yang boleh mengaitkannya terus dengan Bonneveille 1959 asal. Sistem pancitan bahan api elektronik motosikal ini dilengkapi unit throttle body yang direka menyerupai rekabentuk karburator Amal untuk menaikkan imej old-schoolnya.

    Kesemua varian dilengkapi dengan sistem pendikit tanpa kabel, ABS dan Kawalan Cengkaman. Untuk kedua-dua varian T120, ia dilengkapi dengan dua mod tunggangan iaitu ‘Road’ dan ‘Rain’, manakala untuk model Thruxton R, ia ditambah dengan mod ‘Sport’. Model Bonneville juga dilengkapi dengan sistem brek Nissin pada bahagian hadapan dan belakang, sementara Thruxton R pula dilengkapi dengan brek Brembo Monoblocs pada bahagian hadapan.

    Bonneville T120 menerapkan lebih kemasan saduran krom ala-British,berbeza dengan T120 Black yang menampilkan imej yang lebih garang menampilkan ekzos, enjin dan jejari roda yang diberikan warna hitam. Thruxton R pula direka untuk menyerlahkan rupa berkonsep cafe racer, dengan bar hendal yang lebih rendah serta tangki bahan api dan tali tangki direka dengan gaya Monza. Motosikal ini juga tampil dengan tempat duduk tunggal.

    Thruxton R turut didatangkan standard dengan komponen sistem suspensi 43 mm boleh laras sepenuhnya dari Showa dengan sepit udang ‘big piston’ dihadapan dan unit suspensi penyerap hentak berkembar boleh laras sepenuhnya dari Ohlins di bahaggian belakang. Kombinasi ini membolehkan sistem suspensi Thruxton R boleh bergerak pada jarak 120 mm. Untuk model 120T, kesemua komponen suspensinya adalah dibekalkan oleh pihak Kayaba.

    Seperti yang disebutkan sebelum ini, Triumph Bonneville T120 dan T120 Black dijual pada harga bermula RM79,900, manakala untuk Thruxton R pula dijual pada harga RM91,900. T120 hadir dengan warna Jet Black, Cinder Red, Cranberry Red/Aluminium Silver dan kombinasi Jet Black/Pure White. Thruxton R pula boleh dipilih sama ada dengan warna Merah atau Perak.

    GALERI: 2016 Triumph Bonneville T120 dan T120 Black


    GALERI: 2016 Triumph Thruxton R

     
     
  • Johor giat menaik taraf sepanjang 851 km jalan kampung dan 96 km jalan baharu dibina sejak 2012

    Johor-road-Bernama

    Kerajaan negeri Johor telah melebarkan jalan kampung lebih dari 850 kilometer di negeri terbabit sejak tahun 2012 hingga tahun lalu, menurut laporan Bernama.

    Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Ir Hasni Mohamed dilaporkan berkata, sejumlah RM81.84 juta dibelanjakan untuk melebarkan jalan kampung sepanjang 851.36 kilometer bermula tahun 2012 hingga 2015. Tambah beliau lagi, dalam tempoh tersebut juga kerjaan negeri telah membina jalan kampung baharu sepanjang 96.39 kilometer.

    “Dalam tahun 2015 sahaja sepanjang 319.32 kilometer jalan dilebar kepada 4.5 meter daripada 3.5 meter,” katanya menjawab soalan lisan Ayub Jamil (BN-Rengit) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

    Hasni turut menambah kerajaan negeri melalui Infra Desa juga telah mengemukakan perancangan bagi tahun ini untuk melebarkan jalan sepanjang 268.66 kilometer dan menurap semula jalan sepanjang 89.3 kilometer.

     
     
  • Perodua Kenari generasi baharu – imej imaginasi berdasarkan Daihatsu Move Custom

    perodua-kenari-render-blue

    Awal bulan ini, Daihatsu Move Custom generasi ke-enam dikesan berada di atas jalan raya di Malaysia dengan memakai trade plate milik Perodua. Seakan memberikan bayangan bahawa ia merupakan pengganti untuk Kenari, yang menggunakan generasi pertama Move.

    Lantas, Pow Ying Hern iaitu pemenang Pertandingan reka Bentuk Proton 2014, pantas melakar imej imaginasi atau rendered untuk Kenari baharu, berdasarkan Move.

    Pemegang Ijazah Reka Bentuk Produk dari Universiti Teknologi Nanyang di Singapura dan pemegang Ijazah Sarjana dalam jurusan rekaan kereta dari Akademi Domus di Milan, Itali, telah memberikan kebenaran kepada kami untuk memaparkan hasil rendered ini. Dengan Kenari pelbagai pilihan warna, termasuk brosur rekaannya.

    Bagi pasaran domestik, Move Custom ini dijanakan oleh enjin 658 cc tiga-silinder bagi mengikut peraturan kei car. Ia mampu memberikan kuasa sehingga 52 PS pada 6,800 rpm dan tork 60 Nm pada 5,200 rpm, sementara versi pengecas turbo pada Custom RS boleh menghamburkan kuasa sehingga 64 PS pada 6,400 rpm dan tork 92 Nm pada 5,200 rpm. Semuanya dipadankan dengan transmisi CVT dan boleh didapati sama ada dengan pacuan dua- atau empat-roda.

    Walau bagaimana pun, jika ia Kenari generasi baharu ini bakal diperkenalkan, ia mungkin dilengkapi dengan enjin 1KR-DE2 yang sama seperti Axia iaitu 1.0 liter tiga-silinder dengan kuasa 66 PS pada 6,000 rpm dan tork 90 Nm pada 3,600 rpm. Transmisi juga sama seperti Axia iaitu manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan.

    Jadi apa pendapat anda mengenai Kenari generasi baharu mengikut acuan Daihatsu Move Custom ini? Kongsikan pendapat anda bersama kami.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025