Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Kami akan meniru Tesla Model 3 jika ia terbukti menguntungkan – CEO Fiat Chyrsler Automobile

    dev1olnibkvgnioymgi3-e1459485922738_BM

    Walaupun Tesla Model 3 menerima tempahan yang sangat memberangsangkan, CEO Fiat Chrysler Automobile (FCA) Sergio Marchionne bersifat skeptikal terhadap kebolehan model itu membuat keuntungan, lapor Automotive News. Bos FCA tersebut juga dilaporkan berkata, syarikatnya turut akan membina model yang sama dalam masa 12 bulan jika Tesla membuktikan kereta tersebut mampu menghasilkan keuntungan yang besar dan jangkaannya itu salah.

    “Saya tidak terperanjat dengan jumlah tempahan yang tinggi tetapi pembinaan dan penghantarannya juga haruslah menguntungkan,” kata Marchionne. “Jika (Tesla) dapat menunjukkan kepada saya yang kereta tersebut akan memberikan keuntungan pada harga sedemikian, saya akan meniru formula tersebut, kemudian menambah ciri-ciri rekaan Itali padanya dan membawanya ke pasaran dalam masa 12 bulan.”

    Tesla Model 3 merupakan kereta empat-pintu elektrik sepenuhnya yang dilancarkan awal April lalu pada harga USD$35,000 (RM138k). Ia merupakan Tesla yang paling mampu milik pernah dihasilkan dan dibuktikan diterima dengan sangat baik dalam pasaran melalui tempahan yang dilaporkan mencecah 115,000 unit dalam masa 24 jam setelah tempahannya dibuka.

    Ketika ditanya adakah FCA akan lewat menyertai pasaran tersebut, Marchionne berkata, “adalah lebih bagus lambat daripada tiada.” CEO FCA itu dikenali secara peribadi sebagai seorang yang tidak sukakan kenderaan elektrik. Walaupun syarikatnya menghasilkan dan menjual kereta elektrik sepenuhnya Fiat 500e, Marchionne dilaporkan mendedahkan kepada umum supaya tidak membelinya kerana setiap unit kereta tersebut menyebabkan kerugian kasar sekitar USD$14,000 (RM55k) pada syarikatnya.

     
     
  • Skuter Scomadi dari UK buka pusat 3S konsep di KL – tampil dengan Turismo Leggera TL125, dari RM9,069

    2016-Scomadi-Turismo-Leggera-TL125-WM-15_BM

    Skuter rekaan retro yang menampilkan kelahiran semula Lambretta – Scomadi Scooters dari UK membuka pusat 3S konsep mereka di Kuala Lumpur yang terletak di Setapak. Skuter yang dibangunkan Frank Sanderson dan Paul Melici, pakar skuter berprestasi tinggi sejak 30 tahun lalu ini mengembalikan semula era kegemilangan skuter Itali pada era 60’an.

    Dibawah pengurusan V Power Motor, pusat konsep ini menyediakan khidmat jualan, servis dan juga aksesori untuk barisan model Scomadi di Malaysia yang terdiri dari Turismo Leggera TL125 standard (RM9,095) dan SE (RM9,625). Kedua-dua buah model skuter berkenaan dikuasakan dengan enjin penyejukkan udara 125 cc satu-silinder dua injap.

    Scomadi Leggara menampilkan konfigurasi retro lengan-berayun dibawah badan belakang, dengan enjin berkuasa 9.39 hp pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 8.9 Nm pada takat 7,200 rpm, membawa badan dengan berat bersih 100 kg. Dari segi prestasi mungkin kedengaran agak kurang berkuasa, ini kerana Sanderson dan Melici membina Scomadi lebih mensasarkan kepada gaya hidup dan imej berbanding prestasi yang berlebihan.

    2016-Scomadi-Turismo-Leggera-TL125-WM-2_BM

    Walaupun begitu, Melici menyatakan ini bukan bermaksud Scomadi tidak boleh beraksi. Casis Scomadi telah dibina selama 10 hingga 15, sejak jenama tersebut ditubuhkan pada 2006.

    Fasiliti produksi baharu di Thailand dijangkakan akan beroperasi dalam masa 12 bulan akan datang, dan akan menghasilkan 400 hingga 500 unit skuter seminggu. Scomadi sedang dalam usaha menjadikan skuter mereka memenuhi undang-undang Euro4, dan skuter berprestasi tinggi 250 cc, transmisi enam-kelajuan manual twist-shift 2015 akan dipamerkan sekali lagi di Cologne, Jerman tahun ini.

    “Kami juga sedang membina skuter konsep 400 cc dan berharap ianya akan siap menjelang 2018,” kata Melici lagi. Sanderson menambah, “enjin 200 cc penyejukkan cecair juga sedang dalam pembinaan, dan dijangka akan bersedia untuk diuji sedikit masa lagi.” Sanderson dan Melici mempunyai sejarah yang lama dalam skuter berprestasi dan perlumbaan skuter selama beberapa dekad, dengan Sanderson terlibat secara langsung dalam pembinaan skuter berenjin RD350LC YPVS pada era 80’an.

    2016-Scomadi-Turismo-Leggera-TL125-WM-14_BM

    Direka oleh Sanderson dan Melici dan di buat di China dan Taiwan, Scomadi untuk pasaran Malaysia di pasang di kilang yang terletak di Tampoi, Johor. Jenama tersebut sedang dalam perancangan yang agresif untuk meluaskan pasaran mereka dengan memfokuskan pada pasaran terbesar skuter di dunia iaitu Asia Tenggara. Ini telah dibuktikan pada penerimaan Turismo Leggara TL125 dalam pasaran yang sangat memeranjatkan Sanderson dan Melici.

    Skuter mesra-lesen memandu di UK ini telah meraih popularitinya di sana, dengan lebih 1,000 unit dijual pada operasi enam bulan pertama mereka. Scomadi telah menjual antara 5,000 ke 6,000 unit skuter di seluruh dunia, dan menyaksikan 600 unit Turismo Leggera dijual di Malaysia sejak November 2015.

    Scomadi Turismo Leggera TL125 hadir dengan dua varian iaitu Standard dan SE. Varian Standard dijual pada harga RM9,095 termasuk GST dengan pilihan warna Magma Red, Onyx Black, Ocean Blue dan Ocean Blue/Magma Red. Varian SE pula dijual pada harga RM9,625 termasuk GST dengan pilihan warna Matte Grey dan Chorme edisi terhad.

     
     
  • Volkswagen sebar imej konsep SUV “teknologi tinggi”

    Volkswagen-high-tech-SUV-concept-Bejing-02

    Volkswagen dijadualkan akan mempertontonkan model konsep SUV “berteknologi tinggi” di Beijing Motor Show pada 25 April ini. Malah syarikat ini telah mula menyebarkan imej pengenalan model konsep SUV bersaiz besar ini dan ia digambarkan sebagai “salah satu SUV mewah yang paling berteknologi tinggi dalam dunia”.

    Menerusi imej yang disebarkan, terpapar jaluran LED merintangi bahagian gril. Di bawahnya terdapat satu lagi set LED, seakan sama dengan model konsep Volkswagen T-Cross Breeze, berbentuk-C. Kenderaan ini kelihatan memiliki lekuk garisan di kesemua sudut, dan membayangkan umpama sebuah SUV yang sporty. Pada bahagian belakangnya, lampu belakang terletak dalam bentuk OLED (Organic Light Emitting Diode)

    Tiada foto ruang dalaman yang disebarkan. Namun Volkswagen berkata model konsep SUV ini turut mengetengahkan Paparan Info Aktif yang digabungkan dengan sistem hiburan. Ia agak sama dengan kokpit maya digital 12.3-inci dalam Audi, malah turut dilengkapi dengan kluster instrumen sepenuhnya. Malah paparan ini juga telah disahkan bakal berada di dalam Volkswagen Golf facelift akan datang.

    Malah Volkswagen turut berkata ruangan dalaman konsep SUV ini menggunakan bentangan gaya ala-lounge dengan memfokuskan operasi elektronik. Malah ia turut mengesahkan bahawa SUV ini mungkin akan mengetengahkan teknologi pemanduan sendiri (autonomous).

    Sumber kuasa utama model konsep SUV ini juga membuatkan ia dijangka sebagai kenderaan plug-in hybrid. Walau pun spesifikasinya masih belum didedah sepenuhnya, namun SUV ini turut dikatakan mampu menghamburkan gabungan kuasa 376 hp dan tork 699 Nm. Malah ia juga dikatakan boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya enam saat dan mampu mencapai kuasa maksimum sehingga 223 km/j.

    Selain itu Volkswagen turut mendakwa SUV ini dijangka menggunakan bahan api sekitar 3.6 liter per 100 km dengan gabungan New European Driving Cycle (NEDC). Ia juga boleh dipacu dengan menggunakan kuasa elektrik sahaja. Malah syarikat ini turut mendakwa dengan cas penuh kuasa elektrik mampu memacu SUV ini sehingga 50 km.

     
     
  • Mazda sahkan kereta sport rotari siri RX generasi baharu tidak akan diperkenal dalam masa terdekat

    Mazda RX-Vision 19

    Mazda telah mendedahkan kereta konsep RX-Vision pada Tokyo Motor Show tahun lalu, dan ramai yang menjangkakan pengeluar yang terkenal dengan teknologi enjin rotari tersebut akan melancarkan versi produksi model tersebut tidak lama lagi. Tetapi,menurut laporan CarAdvice, generasi terbaharu kereta sport siri RX tersebut tidak akan dilancarkan buat dalam masa terdekat.

    “Saya telah terdorong dengan konsep tersebut tetapi masih membuat pertimbangan, kami telah menghasilkan konsep sedemikian, sebuah impian untuk membawanya ke pasaran pada masa hadapan tetapi untuk masa sekarang, tiada lagi rancangan yang spesifik untuk memproduksi kereta tersebut secara besar-besaran,” kata Yuji Nakemine, pengarah urusan esekutif senior Mazda Corporation.

    Beliau menambah, “Saya rasa unit R&D Mazda akan terus melihat, impian mereka sebagai jurutera. Apabila bercakap soal perniagaan saya rasa kami perlu mengkaji banyak elemen, termasuk kos kejuruteraan, peralatan, kami perlu bersikap realistik. Pada masa ini kami mempunyai MX-5 RF dan soft-top, kami tidak perlu seperti diganggu dengan pelbagai khabar angin, organisasi pemasaran kami perlu mengambil kesempatan dengan barisan produk sedia ada.”

    Mazda_RX-VISION_concept_13

    Walau bagaimanapun, Nakemine tidak menafikan terus kebarangkalian untuk model terbaharu siri RX (dikatakan akan digelar RX-9). Perlunya syarikat tersebut membuat keuntungan yang besar pada barisan model sedia ada, “kita boleh bercakap lagi berkenaan konsep baharu atau visi atau apapun,” kata beliau.

    Di Tokyo, Mazda sudahpun mendedahkan konsep RX-Vision tersebut dibina dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang (FR). Ia dijana dengan enjin rotari generasi terbaharu SkyActiv-R Mazda, yang telah dipatenkan di Amerika Syarikat baru-baru ini.

    Ramai yang membuat spekulasi model terbaharu kereta sport siri RX ini akan membuat kemunculan sulungnya diperingkat global pada tahun 2020, sempena merayakan ulang tahun ke-100 Mazda.

    GALERI: Mazda RX-Vision di Tokyo Motor Show 2015

     
     
  • LLM kemuka cadangan bayaran tol dengan kadar-fleksi – ikut waktu puncak dan bukan puncak

    LDP_Toll_EXTRA

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah mengemukakan cadangan kepada syarikat konsesi lebuhraya agar menetapkan kadar bayaran tol mengikut waktu puncak dan bukan puncak.

    Ketua Pengarah LLM Datuk Ismail Md Salleh berkata, walau bagaimana pun, ia adalah terpulang pada konsesi untuk membuat keputusan jika langkah ini diperlukan.

    “Ia dipanggil kadar-fleksi. Sebenarnya LLM telah memberikan fleksibiliti kepada pihak berkenaan bagaimana mereka boleh mengendalikan perkara sebegini.

    “Kami juga telah memberikan cadangan ini, serta banyak cadangan lain. Apa pun terpulang kepada mereka sama ada hendak melaksanakannya atau pun tidak,” ujar Ismail menerusi temubual eksklusif bersama The Sun Daily.

    Walau bagaimana pun, menurut Ismail lagi, perkara ini tidak perlu diiimplementasikan sekiranya pihak konsesi masih punya komitmen lain, termasuk pinjaman dengan bank.

    LLM turut berkata, kadar tol yang lebih murah pada waktu bukan puncak berbanding waktu puncak turut boleh memberikan peluang kepada para pengguna lebuhraya lebih merancang perjalanan mereka. Malah ia juga boleh mengurangkan kesesakan trafik terutamanya pada waktu pagi dan petang.

    Beliau turut menolak sebarang kemungkinan yang penunggang motosikal akan dikenakan bayaran tol.

     
     
  • 1,200 kamera AES akan ditambah di lokasi strategik

    AES_Camera

    Sebanyak 1,200 kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dipasang di lokasi strategik iaitu di kebanyakan lebuh raya dan jalan persekutuan di seluruh negara tidak lama lagi. Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalis Abu Bakar, perkara ini telah diluluskan oleh kerajaan.

    “Dengan adanya kamera AES di seluruh negara, siapa yang berani bawa laju, bawalah,” ujarnya menerusi laporan Berita Harian.

    Menurut Khalid dengan langkah itu, para pemandu di negara ini akan dapat dididik mematuhi undang-undang.

    Dalam pada itu, perkara ini turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Belian berkata, pelaksanaan sistem AES bukan satu tindakan menghukum sebaliknya ia merupakan langkah pencegahan memandangkan jumlah kemalangan termasuk kemalangan maut di negara ini amat membimbangkan, laporan Bernama.

    “Budaya dan sikap serta kaedah pemanduan perlu diubah kalau kita (pengguna) jalan raya tidak mahu dikenakan tindakan.

    “Saya tahu ia akan mengundang pelbagai persepsi, tapi pelaksanaan sistem ini telah lama ditangguhkan, jumlah denda juga dikurangkan daripada RM300 kepada RM150 walaupun ada yang anggap membebankan,” katanya.

    Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata pemasangan kamera AES akan dibuat oleh anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera yang dilantik, manakala Bahagian Trafik Polis Diraja Malaysia bertanggungjawab melaksanakan pemantauannya.

    Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kemalangan Jalan Raya berharap Kementerian Pengangkutan dapat memperhebat kempen bagi menjelaskan mengenai AES seterusnya mendidik orang ram

     
     
  • Fiat Mobi dilancar di Brazil, harga bermula RM35k

    Fiat Mobi-74

    Fiat Brazil telah melancarkan model segmen-A terbaharu mereka, Fiat Mobi – saingan terdekat untuk Renault Kwid. Ia ditawarkan dalam enam varian berbeza iaitu Easy, Easy On, Like, Like On, Way dan Way On. Harga bermula dari R$31,900 hingga R$43,800 (RM35k-RM49k).

    Dimensi Mobi diukur dengan 3,566 mm panjang, 1,633 mm lebar (3,596mm panjang dan 1,685 mm lebar untuk varian Way dan Way On) dan 1,490 mm hingga 1,550 mm tinggi – bergantung pada varian. Hatchback kompak ini menampilkan kapasiti kargo berkapasiti antara 213 hingga 235 liter bergantung kepada varian.

    Varian asas, Mobi Easy dilengkapi dengan bampar yang diwarnakan sama dengan warna badan, isyarat berhenti kecemasan, amaran penukaran laluan dan tempat duduk belakang yang boleh dilipat. Model Easy On pula dilengkapi dengan tambahan penghawa dingin, stereng kuasa, dan juga larasan ketinggian roda stereng. Varian ini dipadankan dengan roda besi 13-inci dan dibaluti tayar bersaiz 165/70R13.

    Untuk Mobi Like pula, ia ditambah dengan gril hadapan hitam berkilat, pembuka pintu dan cermin sisi yang diwarnakan dengan warna badan. Pada bahagian dalaman, ia dilengkapi dengan tingkap dan kunci berkuasa, komputer perjalanan, kunci dengan alat kawalan jauh, dan juga penggilap serta antikabut pada cermin belakang.

    Sementara itu untuk varian Like On, ia menerima lampu kabus, penderia parkir, cermin sisi larasan berkuasa dengan lampu isyarat membelok, roda stereng dengan butang kawalan, radio, sokongan pada kaki kiri pemandu dan juga pemegang cawan.

    Varian Way dan Way On pula, ia dilengkapkan dengan kemasan plastik hitam pada semua ruang roda dan juga satu set landasan bumbung. Selain dari varian Easy dan Easy On, kesemua varian dalam barisan model Mobi dilengkapi dengan roda bersaiz 14-inci dibaluti tayar 175/65R14.

    Mobi ditimbang dengan hanya berat bersih antara 907 kg hingga 966 kg bergantung kepada varian. Ia dijana oleh enjin bahan api-pelbagai yang membolehkan ia beroperasi menggunakan petrol atau ethanol. Enjin 1.0 liter empat silinder tersebut akan menghasilkan kuasa 73 hp dan tork 93 Nm jika menggunakan petrol, manakala jika diisi dengan ethanol pula ia akan menghasilkan kuasa 75 hp dan tork 97 Nm.

    Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi manual lima-kelajuan memacu roda hadapan. Mobi mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 14.3 saat dan mencapai kelajuan maksima 153 km/j.




     
     
  • Filem penapis haba keselamatan 3M Scotchshield Crystalline dilancar, harga bermula dari RM2.9k

    2016-3m-scotchshield-crystalline-official-001_BM

    3M telah memperkenalkan produk terbaharu mereka iaitu Filem Penapis Haba Keselamatan 3M Scotchshield Crystalline untuk pasaran Malaysia. Filem Penapis Haba untuk kenderaan terbaharu dari 3M ini dikatakan menawarkan tapisan haba yang lebih baik dan juga ciri keselamatan yang dipertingkatkan.

    “Dalam situasi statistik kereta yang dipecah masuk yang semakin membimbangkan sekarang, filem penapis haba untuk tingkap yang menampilkan ciri keselamatan adalah sangat penting. Sebagai respon untuk memenuhi keperluan tersebut, kami bangga untuk menyediakan rakyat Malaysia jalan penyelesaian dengan menyediakan filem yang boleh menapis haba dengan baik, malah boleh juga mencegah dari berlakunya jenayah pecah-dan-ragut secara efektif,” kata Ge Quee Ann, Pengarah Urusan Elektronik dan Tenaga 3M Malaysia.

    Terhad kepada 100 pelanggan terawal, 3M Malaysia menawarkan filem 3M Scotchshield Crystalline Security pada harga pengenalan istimewa, seperti yang disenaraikan di bawah (harga biasa dalam kurungan). Tawaran ini sah hanya untuk pelanggan yang melawati laman web 3M Malaysia dan mengisi borang atas talian terlebih dahulu.

    • RM2,880 untuk kereta sedan standard (RM3,840)
    • RM2,995 untuk sedan besar (RM3,940)
    • RM3,168 untuk MPVs dan SUV mini (RM4,224)
    • RM3,456 untuk MPVs besar (RM4,608)

    2016-3m-scotchshield-crystalline-002_BM

    Harga yang disenaraikan adalah termasuk filem perlindungan untuk semua enam cermin tingkap pada kenderaan, dan memenuhi undang-undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Walau bagaimanapun, 3M Malaysia memberitahu mereka tidak menggalakkan produk Scotchshield untuk dipadankan pada cermin hadapan dan belakang kenderaan. Oleh itu, harga yang disenaraikan tersebut adalah termasuk filem Crystalline biasa untuk bahagian berkenaan.

    Filem keselamatan Scotchshield Crystalline dihasilkan daripada filem Crystalline 3M yang asli. Produk terbaharu ini hanya berketebalan 0.1 mm dan menampilkan teknologi filem Optikal pelbagai-lapis (MOF) 3M, menggabungkan lebih dari 200 lapisan dalam satu filem. Memandang rendah kekuatannya adalah satu kesilapan besar, kerana walaupun filem ini lebih nipis dari kertas nota, ia menawarkan kekuatan tegangan sehingga 25,000 psi, 97% penolakan radiasi inframerah (IRR) dan 60% penolakan tenaga solar keseluruhan (TSER).

    Kelebihan lain yang ada pada filem keselamatan Scotchfield Crystalline ini termasuk perlindungan 99.9% penolakan ultra-ungu (UVR) dan tahap faktor pancaran solar melebihi 1,000 – yang dikatakan boleh mengurangkan keretakan dan kelusuhan pada kemasan dalam kereta, upholstery dan juga karpet, serta melindungi penumpang daripada sinaran UV yang merbahaya.

    Filem ini adalah tidak diwarnakan, ini akan membolehkan anda mengekalkan penampilan asal kereta anda. Ia juga turut tidak bersifat seperti logam, bermaksud ia tidak akan menganggu perhubungan pada kelengkapan mudah alih anda.

    2016-3m-scotchshield-crystalline-official-008_BM

    3M menjelaskan filem Crystalline tidak menghalang isyarat inframerah pada alat Smart Tag anda. Walau bagaimanapun, syarikat tersebut menambah pihak yang memasangan filem ini akan menyediakan hasil kerja yang bersih pada bahagian tersebut. Tidak ada perincian bagaimana ia dilakukan didedahkan, tetapi kami faham ini adalah termasuk proses mengasingkan sebahagian filem tersebut untuk membenarkan laluan kepada isyarat Smart Tag.

    Filem keselamatan Scotchshield Crystalline kini boleh didapati di semua pusat filem penapis kenderaan 3M. Setiap pemasangan akan disertakan dengan e-waranti lima tahun yang melindungi penukaran 100% dan kos upah filem tersebut jika berlakunya kerosakan seperti berbuih, terkopek, atau melepuh tetapi ia tidak sah jika cermin tersebut pecah.

    Pelanggan yang memasang penapis filem pada kenderaan mereka dengan siri produk terpilih 3M antara 1 Mac hingga 31 Mei 2016 juga layak untuk menyertai peraduan Tint & Win yang dianjurkan oleh 3M. Pemenang bertuah akan menerima hadiah berupa iPhone 6s atau penapis air 3M AP DWS 1000. Untuk lebih maklumat berkenaan peraduan ini boleh diperolehi di laman sesawang rasmi 3M Malaysia.

     
     
  • VIDEO: Pengenalan unit demonstrasi Renault Espace dilengkapi dengan teknologi pemanduan automatik

    Renault baru-baru ini telah menunjukkan teknologi pemanduan automatik pada Renault Espace mereka kepada sekumpulan pembuat polisi di Eropah, termasuk 28 menteri pengangkutan dari Kesatuan Eropah (EU), di mana kesemua mereka berkumpul di Amsterdam untuk menandatangani Deklarasi Amsterdam yang mahukan kenderaan dengan teknologi pemanduan sendiri.

    Tiga unit demonstrasi Renault Espace Pemanduan Automatik didedahkan. Menurut Renault, unit-unit demonstrasi tersebut telah diuji berarus jam dalam trafik biasa seluruh Eropah. Ia menggunakan enam penderia berbeza termasuk penderia ultrasonic, kamera digital, radar sudut, pengimbas laser, kamera trifocal dan radar hadapan jarak-jauh untuk mengesan persekitaran kenderaan.

    “Projek kenderaan pemanduan automatik kami menyasarkan untuk membolehkan pelanggan menyerahkan sepenuhnya pemanduan kepada kenderaan, yang digelar ‘eyes-off‘ dan ‘hands-off‘. Untuk eyes-off, pemandu tidak perlu lagi untuk memastikan mata mereka memerhatikan jalan. Untuk hands-off pula pemandu tidak perlu lagi meletakkan tangan mereka pada roda stereng. Oleh itu, pemandu boleh melakukan perkara lain selain memandu,” jelas Eric Debernard, pengurus projek inovatif – pemanduan automatik.

    “Dalam jangka masa pendek, Renault akan menawarkan kenderaan dengan mod pemanduan automatik pada lebuhraya dengan trafik yang sesak. Dalam jangka masa sederhana, kenderaan seperti ini akan boleh beroperasi pada kelajuan yang lebih tinggi dan mampu mengubah lorong secara automatik,” ujar pengulas pada video tersebut.

    Sementara itu, Renault mengumumkan mereka komited untuk memperkenalkan kenderaan pemanduan automatik versi mereka menjelang 2020. Jenama tersebut bercita-cita untuk menjadi pengeluar pertama yang membawa teknologi “eyes-off/hands-off” kepada kenderaan arus perdana dengan harga yang mampu-milik. Ini adalah sebahagian komitmen mereka untuk mengembangkan teknologi keselamatan.

     
     
  • Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dijangka siap 2019

    latar-highway

    Gambar hiasan

    Projek Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) yang sedang dibina di negeri Perak sejak 2014 lalu dijangka siap pada tahun 2019. Ia bakal menghubungkan kawasan seperti Hutan Melintang, Bagan Datoh, Teluk Intan, Lekir, Sitiawan, Parit dan Trong dilaksanakan melalui kerjasama pihak swasta iaitu syarikat West Coast Expressway Sdn Bhd dan Kerajaan Persekutuan.

    Jajaran lebuh raya itu juga bakal menyediakan 21 persimpangan yang menghubungkan bandar seperti Banting, Shah Alam dan Kuala Selangor di Selangor dengan Teluk Intan dan kawasan sekitarnya.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata projek ini akan merancakkan aktiviti ekonomi seperti Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta pelancongan, laporan Bernama.

    “Lebuh raya itu juga mampu berfungsi sebagai laluan alternatif kepada Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) seterusnya penduduk daerah Hilir Perak dapat mengelak kesesakan trafik semasa perayaan.

    “Selain itu, projek ini boleh meningkatkan peluang pekerjaan dalam kalangan penduduk setempat untuk pekerja mahir dan juga separa mahir sewaktu pembinaan lebuh raya dilaksanakan,” katanya semasa menjawab soalan lisan Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (BN-Changkat Jong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

     
     
  • GALERI: BMW M4 GTS serta M3 E30, E36, E46 dan E92

    BMW telah menyiarkan galeri mega BMW M4 GTS bersama galeri barisan lagenda-lagenda M3 – E30 M Sport Evolution, E36 M3 GT, E46 M3 CSL dan E92 M3 GTS.

    BMW M4 GTS telah diperkenalkan pada Ogos tahun lalu, sempena memperingati ulangtahun ke-30 M3 – model berprestasi tinggi yang diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1986. BMW hanya menghasilkan sejumlah 700 unit M4 GTS.

    Model ini dibina oleh pasukan teknikal bertaraf master divisi M BMW. GTS dikuasakan dengan enjin turbo 3.0 liter enam silinder dan dilengkapi dengan teknologi inovatif pancitan-air oleh BMW. Teknologi tersebut berupaya mengekstrak enjin standard M4 yang berkuasa 431 hp dan tork 550 Nm kepada 500 hp dan tork 600 Nm pada GTS.

    M4 GTS berupaya memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.8 saat dan mampu mencapai kelajuan maksima 305 km/j. Seperti lagenda M yang lain, kesemua kuasa dari enjin dihantar sepenuhnya ke tayar belakang menerusi kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan M DCT. Untuk mendemonstrasikan kebolehan M4 GTS ini, BMW telah menyiarkan video jentera ini mencatatkan masa tujuh minit 28 saat dilitar ‘The Green Hell‘ Nurburgring Nordschleife – lebih pantas dari Ferrari 458 Italia dan McLaren MP4-12C.

    Kepantasan M4 GTS ini bukan hanya bergantung pada kuasanya sahaja. Kereta ini adalah lebih ringan dari M4 standard. Di timbang dengan bacaan berat bersih hanya 1,510 kg, M4 GTS dilengkapi dengan pelbagai komponen yang dibina dari material ringan termasuk bonet, bumbung, penutup but, sayap belakang dan pelbagai lagi yang diperbuat dari plastik diperkuat gentian-karbon (CFRP).

    Setiap GTS juga dilengkapi dengan tempat duduk bucket gentian karbon, splitter hadapan dan sayap belakang yang boleh dilaras, suspensi dengan coilover M yang boleh dilaras tiga cara, brek karbon-seramik M dan muffler titanium. Jentera ini turut dipadankan dengan roda aloi ekslusif M jejari bintang 666 M Styling yang ringan berwarna Acid Orange dibaluti tayar Michelin Pilot Sport Cup 2.

    “Kami mengambil langkah yang radikal semasa menala BMW M4 GTS untuk menghasilkan jentera sport khas kegunaan litar yang mampu memberikan dinamik terbaik dan prestasi berinspirasi,” kata CEO BMW M GmbH Frank van Meel. “Ia membolehkan kami mendemonstrasikan apa yang mungkin hari ini dengan menggunakan kereta yang sah untuk kegunaan jalan raya. Pemilik boleh memandu BMW M4 GTS mereka ke litar seperti Spa-Francochamps, Nurburgring atau Laguna Seca dan mencatatkan masa sepusingan disana ketahap yang lebih tinggi bagi kereta yang sah untuk kegunaan jalan raya.”


    GALERI: E30 BMW M3 Sport Evolution

    GALERI: E36 BMW M3 GT

    GALERI: E46 BMW M3 CSL

    GALERI: E92 BMW M3 GTS

     
     
  • Takata mungkin panggil balik lebih 85 juta beg udara di US jika didapati ia tidak selamat untuk digunakan

    airbag_BM

    Nampak gayanya mimpi ngeri yang melanda Takata Corp. belum berakhir. Baru-baru ini Pentadbiran Keselamatan Trafik Jalan Raya Negara Amerika Syarikat (NHTSA) mengesahkan sebanyak 85 juta pengepam beg udara yang ada pada kenderaan di negara tersebut mungkin akan ditarik balik jika ia didapati tidak selamat untuk digunakan.

    Menurut laporan Reuters, kerajaan USA telah meminta Takata untuk menggantikan kesemua pengepam tersebut, di mana jika beg udara terbabit meletup, ia dikhuatiri akan mengeluarkan kepingan besi tajam di dalamnya. Sekali gus membahayakan nyawa pemandu dan penumpang. Setakat ini, sebanyak 11 kes kemalangan yang menyebabkan kematian dilaporkan akibat pengepam buatan Takata ini, termasuk di Malaysia.

    NHTSA turut berkata, daripada jumlah itu beg udara yang bakal ditarik balik itu, ia melibatkan 43.4 juta pengepam beg udara bahagian penumpang, 26.9 juga pengepam beg udara sisi dan 14.5 juta pengepam beg udara sebelah pemandu. Jika panggilan semula itu diperlukan, ini bermakna sudah terdapat 28.8 juta pengepam beg udara bermasalah di US setakat ini. Ini tidak termasuk dengan panggilan semula yang dibuat di negara lain.

    Takata telah disaman sebanyak USD$200 juta (sekitar RM779 juta) oleh NHTSA di bawah Akta Keselamatan Kenderaan Bermotor. Dan pastinya kewangan syarikat terbabit bertambah meruncing jika ia melibatkan masalah yang sama di seluruh dunia, dengan jumlah saman dianggarkan bernilai sekitar USD$24 bilion (sekitar RM93 bilion).

     
     
  • Perodua Axia raih dua anugerah Frost & Sullivan 2016

    Perodua_Axia_Standard_vs_Advance_-001_BM

    “Anak bongsu” Perodua, Axia telah pun dinobatkan sebagai “Kereta Tahunan Bagi Nilai Wang (1.3L dan ke bawah)” dan “Kereta Tahunan 2016” yang diumumkan dalam majlis penyampaian Anugerah Pencapaian Tahunan Frost & Sullivan Malaysia yang berlangsung malam tadi.

    Anugerah “Kereta Tahunan Bagi Nilai Wang (1.3L dan ke bawah)” yang diperoleh Axia dinilai berdasarkan bahan api efisien yang ditawarkan, sekali gus memberikan penjimatan kos kepada pemiliknya.

    Manakala bagi “Kereta Tahunan 2016”, Axia yang mendahului model kenderaan penumpang berdasarkan peningkatan jumlah jualannya pada tahun 2014 dan 2015, serta penguasaannya dalam perkongsian pasaran di antara segmen dan memberikan impak yang besar dalam Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) untuk 2015.

    IMG_1624

    Menurut Presiden dan CEO Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh, “Kami sangat berbangga menerima dua anugerah ini dan terima kasih kepada Frost & Sulliven kerana menyediakan platform penilaian untuk kenderaan secara telus dan adil. Juga terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya para pelanggan kami kerana berterusan memberikan sokongan.”

    Anugerah ini disampaikan oleh Pengarah Urusan Frost & Sullivan Malaysia & Timbalan Presiden Kanan untuk Asia Pasifik, Hazmi Yusof.

    Axia merupakan kereta kompak EEV (kenderaan jimat tenaga) yang pertama dihasilkan oleh syarikat tersebut. Ia didatangkan dengan empat pilihan varian iaitu Standard E, Standard G, SE dan Advance. Sejak dilancarkan pada September 2014, Axia telah terjual sebanyak 154,103 unit.

     
     
  • GALERI: Mercedes-Maybach S500 di Malaysia

    Maybach_S500_Ext-2

    Tempoh hari kami telah menyiarkan gambar-gambar Mercedes-Benz A250 Motorsport Edition. Kali ini kami membawakan pula kepada anda Mercedes-Maybach S 500, model yang lebih mewah dari V222 S 400 h. Maybach adalah salah sebuah model yang tersenarai dalam barisan Mercedes-Benz Malaysia Dream Cars, yang disasarkan untuk pembeli elit di Malaysia.

    Model X222 yang dipaparkan ini adalah model asas dari keseluruhan dua varian termasuk varian Maybach S 600. Walaupun hanya ‘model asas’ jika ditakrif pada sudut teknikal, model ini dijual pada harga RM1.35 juta.

    Dengan harga yang sekali ganda lebih mahal dari V222 S 400 h biasa, panjang keseluruhan kerangka kereta ini telah ‘ditarik’ lebih 207 mm, dimana 200 mm darinya adalah pada bahagian jarak antara roda. Hasilnya, dimensi Maybach diukur mempunyai panjang 5,453 mm, lebar 1,899 mm, dan tinggi 1,498 mm, dan jarak roda 3,365 mm. Berat bersih kereta ini melangkaui angka dua tan iaitu 2,220 kg.

    Maybach_S500_Ext-16

    Pada bahagian sisi, apa yang membezakan Maybach dengan S-Class standard adalah pintu belakang yang direka semula 66 mm lebih pendek. Ini bagi membolehkan penumpang belakang duduk disebalik tiang-C, memberikan suasana yang lebih privasi. Tingkap ‘quater window’ yang terdapat pada pintu juga telah dialihkan ke tiang-C tersebut.

    Ciri lain yang menarik pada Maybach ini adalah pada gril hadapan louvre berkembar (gril ini adalah khas untuk model V12 S 600 dan AMG S 65 pada S-Class standard), tiang-B krom sepenuhnya, lebih kemasan krom pada bampar hadapan dan belakang dan juga empat unit tip ekzos. Kereta ini dilengkapi dengan roda aloi gergasi 20-inci pelbagai-jejari sama seperti yang terdapat pada model S 400 h.

    Pada bahagian dalaman, Maybach S 500 menampilkan pakej yang sama seperti S 400 h, termasuk roda stereng dengan trim kayu, pakej Air Balance, pemanas dan pengudaraan pada tempat duduk, pakej Reclining Tempat Duduk Belakang, pakej Hiburan Tempat Duduk Belakang dan pakej Chaffeur yang membolehkan tempat duduk hadapan dilipat untuk lebih ruang kelegaan pada kaki.

    Apa yang berlainan adalah lencana-lencana Maybach yang diletakkan pada penutup pemegang cawan konsol tengah dan panel penghawa dingin belakang, logo Maybach yang disulam pada perehat tangan depan dan belakang dan juga jam IWC pada papan pemuka yang hanya terdapat pada model AMG. Kit tambahan termasuk pakej Exclusive yang ditambah upholstery kulit Nappa dan sistem audio Burmeister 3D 1,540-watt yang dihubungkan kepada 24 unit pembesar suara.

    Maybach S 500 masih mengekalkan konfigurasi tiga tempat duduk pada bahagian belakang seperti S 400 h, dan tidak dilengkapi dengan konfigurasi dua tempat duduk dengan konsol tengah penuh. Walau bagaimanapun, Maybach dibekalkan dengan tempat duduk belakang ottoman yang kedua-duanya boleh dibaringkan, berbanding sebelah sahaja yang dilengkapi pada S-Class standard.

    Sedan mewah ini dikuasakan dengan enjin 4.7 liter turbo berkembar V8 yang menjana 455 hp dan tork maksima 700 Nm. Tidak seperti S-Class standard, enjin Maybach ini dilengkapi dengan kotak gear baharu sembilan-kelajuan automatik 9G-Tronic, membolehkan gergasi seberat lebih dua tan ini memecut dari sifar ke 100 km/j dalam masa hanya lima saat dan mencapai kelajuan maksima yang dihadkan kepada 250 km/j.

     
     
  • JPJ sita 1,535 kenderaan klon dari Singapura

    Cloned-cars-1

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyita 1,535 kenderaan klon yang dibawa masuk dari Singapura. Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad, kenderaan terbabit tidak didaftarkan dan ramai rakyat Malaysia khususnya dari Johor telah menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan, laporan NST.

    “Kereta klon ini juga dilengkapi dengan pelekat cukai jalan palsu dan apabila pembeli mahu memperbaharuinya barulah mereka sedar kerana dokumen yang dimiliki tidak sah,” ujar Ismail.

    Ahli sindiket yang ditangkap akan didakwa di bawah Seksyen 135 (d) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai duti kastam atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya.

    Ketika ditanya berapakah jumlah sebenar sindiket yang berjaya diberkas buat setakat ini, Ismail menjawab angka sebenar masih belum dapat dipastikan.

    Namun beliau berkata, pelaksanaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) yang bakal dikuatkuasakan bagi kenderaan asing yang memasuki Sabah dan Sarawak melalui Indonesia atau pun Brunei tidak lama lagi juga dilihat mampu membanteras kemasukan kenderaan klon ke negara ini. Selain pelaksanaan VEP di pintu masuk Singapura-Johor Baharu dan Malaysia-Thailand tidak lama lagi juga mampu membanteras masalah yang sama.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025