Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Peugeot 408 e-THP baharu dipamer, harga belum diumum namun tempahan sudah mula dibuka

    Peugeot408Publika_Ext_-2

    Pengedar sah Peugeot di Malaysia, Nasim Sdn Bhd telah mempamerkan Peugoet 408 e-THP di Publika Shopping Gallery hari ini. Setakat ini 408 hanya dijual secara ekslusif untuk pasaran China, oleh itu ini merupakan penampilan pertama di dunia untuk 408 yang berlainan spesifikasi seperti yang ada di pasaran China. Harga belum lagi diumumkan tetapi ia sudah mula dibuka untuk tempahan.

    Sedan 408 adalah dibina berasaskan model hatchback 308, oleh itu, untuk model pasaran Malaysia yang diproduksi secara pemasangan tempatan (CKD) di kilang Naza Gurun, Kedah (sama seperti model 308), spesifikasi uniknya adalah dihasilkan melalui gabungan kerangka sedan 408 dan ciri-ciri serta teknologi yang ada pada model 308.

    Jika dilihat dari bahagian hadapan, imej 308 jelas mendominasi sedan 408 ini dengan lampu hadapan ‘bertaring’ LED penuh dan bampar hadapan yang diambil terus dari 308. Perbezaan antara kedua-dua buah model tersebut adalah pada rekaan gril hadapan, dimana gril bersalut krom dengan motif jaluran melintang menempatkan sekali logo singa Peugeot berbanding 308 di mana logo singa tersebut terletak pada bonet hadapan.

    Peugeot408Publika_Ext_-16

    Pada bahagian sisi menyaksikan 408 dilengkapi dengan roda aloi “Rubis” dengan motif corak turbin bersaiz 17-inci, sama seperti yang terdapat pada varian asas 308 THP Active, berbeza dengan 408 spesifikasi China yang dilengkapi dengan roda aloi pelbagai jejari. Bahagian belakang pula menampilkan rekaan yang seiras dengan 408 China, dilengkapi dengan lampu belakang LED berbentuk-C dan dua tip ekzos berbentuk-trapezoid.

    Perbezaan terbesar antara 408 spesifikasi China dan Malaysia dapat dilihat pada bahagian dalaman. Peugeot 408 pasaran Malaysia berkongsi rekaan papan pemuka dengan model 308 avant-garde, berbanding 408 China yang mempunyai rekaannya yang tersendiri. Sedan ini turut dilengkapi dengan paparan instrumen i-cockpit. Skrin paparan yang berukuran 9.7 inci diapit oleh dua liang penghawa dingin tengah. Berbanding 308, roda stereng 408 mempunyai diameter yang lebih kecil.

    Keseluruhan tempat duduk 408 dibalut dengan kulit berbanding varian tertinggi 308 THP menerima balutan Alcantara dibahagian tengah dan hanya balutan fabrik pada varian Active. Selain itu turut kelihatan, kereta ini dilengkapi dengan sistem kunci pintar beserta butang penghidup enjin dan juga sistem Smart Park Assist II.

    Peugeot408Publika_Int_-12

    Untuk ciri keselamatan, 408 dilengkapi dengan enam beg udara, Kawalan Kestabilan, Kawalan Cengkaman dan Sistem Informasi Titik Buta. Walau bagaimanapun, 408 tidak dilengkapi pakej Driver Assistance seperti 308 THP yang terdiri dari Kawalan Kelajuan Dinamik, Amaran Pelanggaran Kecemasan dan juga Brek Kecemasan Automatik.

    Peugeot 408 dikuasakan oleh enjin 1.6 liter Turbo High Pressure (THP) empat-silinder dengan sistem pancitan bahan api terus, yang mampu menjana 165 hp dan tork maksima 240 Nm, dipadankan bersama kotak gear automatik enam-kelajuan beserta teknologi Quikshift. Abjad “e” pada nama model ini (408 e-THP) merujuk kepada sistem start-stop automatik pada enjin yang buat pertama kalinya dilengkapi pada model Peugeot pasaran Malaysia.

     
     
  • MUV lancar identiti baharu jenamanya, menawarkan khidmat jualan dan lelongan kepada pengguna

    MUV rebrand launch

    Pusat penjualan kereta terpakai Kumpulan Tan Chong, MUV kini melancarkan identiti baharu jenama dan laman sesawangnya di ibu pejabat mereka yang terletak di Seri Kembangan hari ini. Membawa taglineDare to Move,” syarikat yang dijenamakan semula itu membuka servis jualan dan lelongan untuk pengguna, selepas hanya berurusan secara ekslusif dengan pengedar beberapa tahun sebelum ini.

    Dengan langkah baharu ini, MUV menjanjikan pengalaman baharu semasa proses perhubungan serta penyusunan semula pembelian dan penjualan kenderaan, dan juga memberikan kelebihan kepada penjual dan pembeli menerusi “informasi simetri, ketelusan dan keselesaan.”

    Servis syarikat tersebut boleh diakses menerusi aplikasi iOS dan juga Android untuk pengguna dari perniagaan-ke perniagaan dan juga laman sesawang untuk pengguna, perbadanan, dan juga pengedar. Papan pemuka untuk lama sesawang dan aplikasi berkenaan akan membekalkan pengguna dengan informasi penting pada kenderaan seperti laporan pemeriksaan, perbatuan, nilai dan juga penarafan. Aplikasi itu juga membolehkan pengedar untuk membida terus melalui telefon pintar mereka.

    Pengedar boleh menggunakan peralatan untuk melihat, menilai dan membida kenderaan pada masa sebenar, sementara kereta-kereta tersebut sedia untuk dilihat di tiga hab MUV Xchange yang terletak di ibu pejabat mereka di sini, Bayan Lepas di Pulau Pinang dan juga di Johor Jaya.

    Screen Shot 2016-04-13 at 2.30.43 PM

    Pengguna juga kini boleh menjual kenderaan mereka melalui dua cara. Jika penjual mahu menjual kereta mereka dengan segera, mereka boleh menggunakan kelebihan pada sistem “Quick Sell @ Garage” MUV untuk menjual terus kereta tersebut kepada pihak MUV secepatnya dengan mudah.

    Mereka juga boleh meletakkan kereta mereka untuk dilelong pada Platform MUV Xchange bagi membolehkan pengedar melihat dan membida kereta tersebut menerusi pusat jualan yang terbuka, adil dan telus. MUV mendakwa ini membolehkan pembeli mendapatkan harga tertinggi untuk kenderaan mereka. Kedua-dua pilihan memerlukan pengguna melalui proses penilaian selama 30-minit untuk mendapatkan nilai jangkaan.

    “Industri kereta terpakai kini sudah cukup matang dari gangguan,” kata pengasas MUV Nicholas Tan. “jika anda lihat, berbilion telah dilaburkan dalam ruang kereta baharu tetapi hanya sedikit yang dilaburkan dalam ruang kenderaan terpakai. Kami mahu mewujudkan satu tahap di dalam lapangan ini, pusat jualan yang membawa teknologi informasi yang terbuka dengan ekosistem fizikal sebuah pusat jualan di seluruh negara.”

    Syarikat tersebut juga mendakwa sejak ditubuhkan pada Julai 2013, ia telah menjual kenderaan terpakai yang bernilai lebih dari RM260 juta dan menjalankan 50 lelongan untuk lebih dari 11,000 unit kenderaan dengan kadar hit 75%. Tiga hab syarikat tersebut mampu untuk menyimpan lebih dari 2,000 kenderaan dan menempatkan 350 orang pembeli.

     
     
  • Kerajaan Singapura umum undang-undang kawal selia untuk aplikasi servis perkongsian kenderaan

    Grab rebranding Singapore-22

    Ketika pemandu teksi di Malaysia sedang bergelut dengan masalah aplikasi perkongsian kenderaan seperti Uber dan GrabCar, kerajaan Singapura telah pun mengumumkan undang-undang untuk mengawal selia servis sedemikian yang akan dilaksanakan menjelang 2017 di republik tersebut, menurut Strait Times Singapura. Perlaksanaan tersebut akan dimulakan setelah pemerhatian selama enam bulan dijalankan oleh pihak kerajaannya.

    Servis perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grab di Singapura memerlukan pelanggan menggunakan perkhidmatan tersebut menggunakan aplikasi mudah alih, sementara untuk servis teksi memerlukan pelanggan membuat tempahan awal dan flag-down.

    Dibawah undang-undang baharu kelak, pemandu Grab dan Uber perlu memilik Lesen Vokasional Kereta Sewa Persendirian (PDVL). Untuk mendapatkan lesen PDVL, pemohon perlu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan pemeriksaan latar belakang. Mereka juga perlu memegang lesen kelas memandu 3/3A sekurang-kurangnya dua tahun.

    Tambahan lagi, mereka perlu untuk menghadiri kursus PDVL selama 10-jam dan lulus ujian-ujian yang diperlukan berkenaan keselamatan jalan raya dan penumpang. Semua pemegang PDVL perlu untuk melalui kursus penyegaran selama tiga jam setiap enam tahun, dan tertakluk di bawah sistem markah demerit.

    Grab rebranding Singapore-3

    Kereta yang digunakan untuk servis ini perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura. Pemandu perlu untuk mempamerkan lesen PDVL mereka dan pelekat pengesahan khas pada cermin hadapan kereta mereka.

    Langkah terbaharu itu diumumkan di Parlimen Singapura selasa lalu. Dengan perkembangan aplikasi seperti Uber dan GrabCar, beberapa undang-undang asas diperlukan untuk memastikan kepentingan penumpang terutamanya aspek keselamatan akan dijaga.

    “Hari ini, dianggarkan 8,000 ke 10,000 pemandu menyediakan servis chauffeured semasa waktu puncak. Ini akan menyediakan servis pengangkutan dari satu titik-ke satu-titik tambahan sebanyak lebih kurang satu pertiga semasa waktu tersebut,” kata Menteri Senior untuk Pengangkutan Negeri Ng Chee Meng.

    Kemaskini undang-undang untuk pemandu teksi sedia turut diumumkan, dan akan dilaksanakan bulan hadapan. Bagi sesiapa yang memohon untuk mengambil kursus Lesen Vokasional Pemandu Teksi (TDVL) hanya perlu mengambil kursus selama 25-jam, berbanding sebelum ini yang memerlukan 60-jam, di mana pembelajaran selebihnya diberikan secara e-pembelajaran.

    uberX-e1433841519766

    Kursus baharu tersebut lebih fokus kepada mengajar pemandu menggunakan GPS dan peralatan navigasi atas talian, berbanding hanya mengingati jalan dan mengatur perjalanan menggunakan daya ingatan. Sebagai insentif, pemandu teksi yang mempunyai rekod demerit akan ditolak markahnya setelah menghadiri kursus penyegaran.

    Bagi sesiapa yang memerlukan kursus tersebut, mereka akan dikehendaki untuk menghadiri program tiga- dan lima-jam yang dijalankan. Sekarang ini kursus tersebut dijalankan selama enam- hingga sembilan-jam, dan perlu dihadiri setiap enam tahun. Untuk pemandu teksi sedia ada yang ingin mengekalkan PDVL mereka, mereka hanya perlu menghadiri kursus selama dua-jam, tanpa dikenakan bayaran SGD$40 (RM115) untuk kos pemohonan.

    Setakat ini tiada lagi keputusan yang konkrit dibuat oleh kerajaan Malaysia berhubung isu yang sama. Mekanisma dari Kementerian Pegangkutan masih lagi dirangka untuk membolehkan kedua-dua servis tersebut beroperasi dalam masa yang sama.

     
     
  • Superbike Suzuki GSX-R akan dilengkapi turbo?

    Suzuki-turbo-bike-patent-drawings1-e1460519078685_BM

    Selepas kejayaan Kawasaki H2 dan H2R 2016 yang menampilkan teknologi enjin dengan induksi paksaan pada motosikal, Suzuki juga dikhabarkan mungkin akan menggunakan konsep yang sama untuk superbike GSX-R mereka seterusnya. Menurut laporan autoevolution, sebuah lukisan paten didedahkan menyaksikan sebuah motosikal sport dengan rekaan pada sistem kemasukan udara yang kelihatan bersedia bekerjasama dengan sistem induksi paksaan.

    Enjin dengan induksi paksaan bukan perkara baharu bagi Suzuki. Mereka sebelum ini telah pun membina model XN-85 untuk pasaran pada era 80’an dengan dilengkapi enjin GSX 673 cc empat silinder sebaris DOHC dengan bantuan pengecas turbo, menghasilkan kuasa sejumlah 85 hp – dimana angka tersebut diabadikan pada namanya.

    1983-Suzuki-XN-85-Turbo-e1460518210783_BM

    Berikutan standard emisi yang semakin meningkat di serata dunia, kebanyakkan pengeluar sedang giat membina enjin yang lebih berkuasa dan efisien dengan kapasiti lebih kecil. Trend ini sedang berleluasa pada industri pembuatan kereta kini, dan mula menular pada industri motosikal.

    Selain dari lukisan paten ini, tiada lagi maklumat ataupun pengumuman rasmi dari Suzuki berkenaan enjin dengan teknologi induksi paksaan untuk produksi motosikal jalanan. Khabar angin pada awal tahun ini juga menyaksikan gambar sebuah motosikal seperti Hayabusa dengan enjin 1,400 cc didesak dengan pengecas turbo, tetapi tiada lagi apa-apa berita kedengaran selepas itu.

     
     
  • Perodua sedan rendered dari Toyota Passo baharu

    Perodua-B-segment-sedan-Theo-Passo-render

    Semalam Toyota Passo 2016 telah dilancarkan. Dan pastinya ia memberikan ‘bayangan’ bagaimana rupa Perodua Myvi baharu kelak. Ini pula Theophilus Chin menghasilkan imej lakaran rendered untuk Myvi sedan pula.

    Umpama model standard kompak yang ditransformasikan daripada sudut fizikal, iaitu bahagian belakangnya dibentukkan semula termasuk menampilkan tingkap belakang yang kelihatan lebih curam. Malah ia juga meningkatkan kesan juntaian bagi memberikan imej sedan yang lebih ketara.

    carlineup_passo_grade_3_001_pc

    Bagi Toyota Passo 2016, ia dilengkapi dengan enjin 1.0 liter 1KR-FE tiga-silinder, yang mampu memberikan kuasa 69 PS pada 6,000 rpm dan 92 Nm pada 4,400 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi CVT, dengan pilihan pacuan roda hadapan dan semua-roda. Di bawah ujian JC08, Passo FWD mampu mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 28 km/L, semantara Passo AWD pula 24.4 km/L.

    Ia juga memiliki persamaan identiti dengan Daihatsu Boon baharu. Namun mungkin juga Myvi model masa sekarang dikatakan lebih mirip dengan Boon generasi-kedua.

    Jadi, jika Perodua ingin menghasilkan Myvi sedan, adakah ia akan mengadaptasi rekaan gaya yang ada pada Passo/Boon baharu ini, termasuklah daripada sudut peningkatan teknologinya?

    GALERI: Toyota Passo 2016

     
     
  • Suzuki mungkin boleh menjadi rakan R&D Proton

    Proton_Iriz_Review_-019

    Kerjasama Proton dan Suzuki buat masa sekarang hanya membabitkan proses ‘rebadging‘ model Suzuki kepada jenama Proton agar ia lebih berdaya saing dalam pasaran tempatan. Namun ia mungkin akan diteruskan ke peringkat yang lebih tinggi membabitkan kolobrasi dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), menurut The Sun.

    Menurut laporan itu juga, berdasarkan pemerhati dalam industri mengatakan pengeluar dari Jepun itu adalah wajar untuk Proton, berdasarkan kerjasama sedia ada yang sedang menimbangkan pemasangan dan pemasaran kereta segmen-A untuk pasaran Malaysia.

    Jun lalu, kedua-dua syarikat ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dan perjanjian lesen untuk membentuk kerjasama strategik jangka-masa panjang. Walaupun pada peringkat awal hanya membolehkan Proton menjual model rebadge Suzuki, ia juga membolehkan kedua-dua syarikat tersebut meneroka kemungkinan untuk bekerjasama membina model baharu.

    Kemungkinan ini adalah berikutan syarikat pengeluar kereta nasional berkenaan disahkan menerima pinjaman RM1.5 billion dari kerajaan. Kerajaan bersetuju memberikan pinjaman itu disertai dengan beberapa syarat, termasuk perlunya Proton untuk berkerjasa dengan pihak luar yang berkredibilti untuk meningkatkan kebolehan penyelidikan dan pembangunannya.

    CEO Institut Automotif Malaysia (MAI) Mohamad Madani Sahari berkata, kerjasama dari rakan luar sepatutnya bukan sahaja bekerjasama dengan Proton dalam proses R&D, ia juga perlu membantu Proton meluaskan pasarannya, terutamanya di peringkat luar negara.

    Proton-Suzuki-MOU_-010_BM

    “Perbincangan antara Proton dan Suzuki telah bermula dan perinciannya akan disimpulkan kemudian. Oleh itu, saya berpendapat kita patut memberikan kedua-dua belah pihak masa untuk membuat pertimbangan,” kata beliau dan menambah perbincangan untuk memperluaskan kerjasama tersebut perlu dibuat untuk menjadikan pelan perniagaan Proton lebih berdaya maju dan berdaya tahan.

    Madani juga turut berkata masa depan ekosistem Proton yang melibatkan ratusan vendor, pengedar dan industri sokongan perlu diselamatkan. “Lebih dari 60,000 orang yang secara langsung bergantung pada Proton dan lebih kurang 130,000 orang lagi yang terlibat secara tidak langsung. Ia terlalu besar untuk gagal.”

    Senada dengan kenyataan Madani, penganalisa penyelidikan Hong Leong Investment Bank, Daniel Wong berkata kerjasama tersebut hanya akan berjalan dengan berpihak kepada Proton. Menurut beliau, kerjasama teknologi seperti ini akan membuka peluang membina produk dan teknologi untuk pasaran yang spesifik.

    “Selepas ini, sebagai pulangan setelah berkongsi kebolehan teknologinya bersama Proton, Suzuki boleh menggunakan platform Proton untuk mengembangkan pasarannya di dalam Asia Tenggara,” kata Wong.

    The Sun juga turut memberikan contoh kerjasama antara pihak Suzuki dan pengeluar automotif dari India iaitu Maruti, yang pada permulaannya wujud sebagai lesen dan perjanjian kerjasama pada tahun 1982. Seperti juga Proton, Maruti juga berhadapan dengan masalah persepsi daripada orang ramai, tetapi ia telah masuk ke pasaran yang lebih premium menerusi pengedar Nexa mereka, yang menjual model lebih mahal seperti Baleno dan S-Cross. Kini Suzuki memiliki 56% saham dalam Maruti Suzuki India.

    Proton Aria

    “Proton Aria,” hasil render Theopilius Chin, Suzuki Celerio yang di rebadge

    Berbeza dengan AmInvestment Bank yang berpandangan dari sudut yang berlawanan, keraguan ditimbulkan dengan mempersoal adakah pinjaman kerajaan tersebut mencukupi untuk Proton membendung kerugian mereka atas kemerosotan jualan yang sedang dihadapi. Institusi penyelidikan berkenaan keluar dengan kenyataan sedemikian kerana ketiadaan rancangan melibatkan kerjasama strategik ekuiti berinsentif dengan rakan kongsi luar yang akan menggunakan sepenuhnya kapasiti Proton.

    “Kilang Proton Shah Alam dan Tanjung Malim dilaporkan beroperasi menggunakan hanya 35% dari kadar penggunaannya. Jualan Proton jatuh 12% tahun demi tahun sehingga serendah hanya 102,175 unit tahun lalu, dan ini menyaksikan ia agak lemah untuk berhadapan dengan pesaingan sengit dari Perodua dan jenama asing.” kata penganalisa Thomas Soon.

    Prestasi kewangan syarikat tersebut juga terus tertekan dengan kadar keuntungan yang tipis dan komitmen kewangan yang perlu dipertimbangkan, termasuk bayaran pinjaman tahunan berjumlah RM268.5 juta yang berpunca dari penstrukturan semula tanggungan hutang dari subsidiarinya, Group Lotus.

    Sementara itu, penganalisis lain berkata pinjaman RM1.5 billion tersebut hanya cukup untuk Proton bertahan dalam tempoh dua hingga tiga tahun, dengan mengambil kira kerugian terkumpul lebih dari RM2.5 billion syarikat tersebut pada tahun 2015.

     
     
  • MoU HSR bagi KL-Singapura dijangka akan ditandatangani pertengahan 2016 ini – Najib

    hitachi-bullet-train

    Memorandum perjanjian sefahaman (MoU) antara Malaysia dan Singapura dijangka bakal ditandatangani pada pertengahan 2016 ini, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. MoU ini berkenaan dengan Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura, laporan The Sun Daily.

    “Kami menjangkakan MoU ini akan ditandatangani pertengahan tahun ini dengan Singapura,” ujar Najib dalam ucaptamanya di majlis Invest Malaysia 2016. Beliau turut berkata HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura ini adalah salah satu projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 dan tidak terjejas walau pun terdapat pengurangan dalam perbelanjaan kerajaan.

    “HSR, Lebuhraya Pan Borneo, MRT dan LRT, pembangunan Pengerang di Johor, masih berjalan. Kita memerlukannya. Walau pun ia bukanlah projek mega yang hebat, namun sangat diperlukan terutamanya pada masa hadapan,” jelasnya lagi.

    HSR-stations-proposed

    Projek HSR KL-Singapura yang menelan kos sejumlah RM70 bilion ini dijangka akan dilancarkan dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang. Secara asalnya, jajaran landasaran akan bermula di Bandar Malaysia, seterusnya di Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Nusajaya serta akan berakhir di Jurong East, Singapura.

    Menurut laporan The Star pula, bukan setakat China sahaja yang menunjukkan minat yang tinggi untuk melabur di dalam HSR, bahkan Jepun dan Korea Selatan turut dikatakan berminat dengan projek ini.

     
     
  • Tesla Model S tampil dengan imej dan elemen baharu

    2016-Tesla-Model-S-facelift-2

    Tesla telah pun memperkenalkan model baharu bagi Model S yang ditampilkan dengan imej yang lebih segar dan elemen baharu, termasuk pilihan tambahan bagi dalaman.

    Melihat pada imej baharu yang ditampilkan, Model S ini menggunakan konsep rekaan baharu, menampilkan kekemasan hadapan yang disemak semula termasuk dengan adanya gril yang tidak tulen.

    Walau bagaimana pun, rekaan bahagian hadapan telah menambah kadar efisien aerodinamik bagi Model S ini berbanding model sebelumnya. Elemen baharu yang ditampilkan pada paras rupanya termasuklah lampu utama LED adaptif baharu dengan lampu membelok dinamik LED dengan 14 tiga-posisi, chin spoiler hadapan, skirt sisi dan valensi belakang dengan warna yang sama dengan badan.

    2016-Tesla-Model-S-facelift-3

    Di bahagian dalamnya, Model S boleh ditempah dengan pilihan baharu. Ia menampilkan dua jenis kekemasan kayuan baharu iaitu Dark Ash dan Figured Ash, tempat duduk hadapan dengan pengaliran udara/haba panas, serta penapis udara HEPA. Ia boleh menyingkirkan sekurang-kurangnya 99.97% bahan-bahan pencemar udara dari dalam kabin. Malah ia juga didatangkan dengan “bioweapon defence mode,” seperti Model X.

    Bagi pakej Premium Upgrade, ia turut menampilkan kulit upholstery Nappa, Alcantara headliner, pencahayaan ambien LED dan penapis udara HEPA. Manakala pakej Subzero Weather pula menambah tempat duduk belakang dengan haba panas dan roda stereng haba panas.

    Elemen standard yang turut ditampilkan termasuklah sistem pemanduan semi-autonomi Autopilot, kemasukan tanpa kunci dan skrin sesentuh 17-inci bagi sistem hiburan, sistem navigasi, kamera undur, kawalan penghawa dingin dan lain-lain.

    2016-Tesla-Model-S-facelift-6

    Bagi prestasinya, varian asas Model S 70 memiliki motor elektrik yang dipasang pada gandar belakang (315 hp/440 Nm) dan ia mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat dan kelajuan maksimum 97 km/j. Manakala bagi Model S 70D pula mempunyai tambahan motor elektrik bagi membuatnya menjadi kenderaan pacuan semua-roda. Setiap motor mampu memberikan kuasa 259 hp tetapi output bagi keseluruhan sistem mencecah 328 hp dan 525 Nm. Ia mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 5.2 saat.

    Bagi Model S 90D pula menggunakan penjana kuasa yang sama dengan Model S 70D, tetapi memiliki lebih output iaitu 417 hp dan 657 Nm, Pacuan dari 0-100 km/j hanya 4.2 saat.

    Manakala varian tertinggi iaitu Model S P90D ditampilkan dengan pelarasan pacuan semua-roda, dengan motor elektrik belakang mampu menjana kuasa 503 hp. Ia juga ditampilkan dengan mod Ludicrous Speed dan apabila diaktifkan, output sistem ini mampu mencecah 532 hp dan 967 Nm, dan 0-100 km/j boleh dicapai dalam 2.8 saat. Bagi mod “ordinary” yang lebih luar biasa, kuasanya mencecah 463 hp dan kurang 0.3 saat (0-100 km/j) dari mod Ludicrous Speed.

    GALERI: Tesla Model S 85 sedia ada di Malaysia

     
     
  • Daihatsu Boon 2016 diperkenal, Myvi selepas ini?

    07_01_04-e1460444609730_BM

    Setelah pengenalan Toyota Passo, kembarnya, Daihatsu Boon turut tampil untuk versi 2016 terbaharu. Hatchback lima-pintu segmen-B ini telah direka semula sepenuhnya pada bahagian luaran dan dalaman, serta ditambah dengan pelbagai ciri baharu.

    Seperti juga Passo, Boon baharu ini turut dibahagikan kepada dua model yang boleh disifatkan seperti watak iaitu model standard X dan juga model Cliq yang lebih bergaya. Model X standard menampilkan rekaan yang lebih berkotak berbanding Cliq, serta dilengkapi dengan lampu hadapan yang juga berbentuk petak (lampu LED dilengkapi untuk pakej varian G yang lebih tinggi), Lampu belakang LED berbentuk-C dan juga kemasan hitam pada tiang-C yang mengapit cermin belakang yang direka meliputi terus bahagian kedua sisi cermin.

    Seiras dengan Passo Moda, watak Boon Cliq dibezakan dengan lampu hadapan bi-LED berbentuk air mata, gril berbentuk trapezoid, lampu isyarat membelok yang dibina bersama cermin sisi dan jaring bermotif sarang lebah pada bampar hadapan dan belakang. Roda keluli 14-inci dengan penutup adalah standard untuk kedua-dua model, manakala untuk varian yang lebih tinggi, ia dilengkapi dengan roda aloi enam jejari.

    07_01_03-e1460446229621_BM

    Beralih kepada bahagian dalaman, Boon dipadankan dengan papan pemuka rekaan dua tingkat baharu. Unit pemain audio utama diapit oleh liang-liang udara bahagian tengah, manakala di bawahnya direka sebagai ruang storan konsol tengah. Bahagian paling bawah konsol tengah papan pemuka tadi pula menempatkan suis kawalan penghawa dingin serta tuil gear, tidak seperti sebelum ini yang menyaksikan tuil gear diletakkan pada kolum stereng seperti rekaan van era 80’an.

    Roda stereng tiga jejari rekaan baharu juga ditampilkan agar ia secocok dengan rekaan papan pemuka. Sistem kunci pintar dan pemanas tempat duduk (standard untuk model pacuan empat roda) disediakan sebagai pilihan opsyen kepada pembeli.

    Terdapat sedikit perbezaan pada papan pemuka X dan Cliq pada bahagian ruang storan di atas glovebox, di mana ruang tersebut dibiarkan terbuka untuk X manakala untuk Cliq, ia direka sebagai sebuah kotak berpenutup. Begitu juga dengan tema warna kabin, model X diberikan tema warna beige-hitam dan kemasan kayu yang nampak lebih lembut, sementara untuk Cliq ia diberi tema warna hitam dengan sulaman benang dan juga kemasan merah yang tampak lebih garang.

    Dengan posisi tuil gear yang masih tidak diletakkan diantara tempat duduk kiri dan kanan, bahagian hadapan Boon masih lagi dipadankan dengan tempat duduk jenis ‘bangku’ untuk memberikan suasana yang lebih santai.

    07_02_01_BM

    Untuk keselamatan, Boon dilengkapi dengan dua beg udara, sistem ABS serta EBD, Kawalan Stabiliti Elektronik (VSC) dan juga Kawalan Cengkaman. Untuk mereka yang tidak berkira dalam aspek keselamatan, beg udara tambahan untuk bahagian sisi dan langsir disediakan sebagai opsyen, menjadikan jumlah keseluruhan enam beg udara dilengkapkan pada kereta kecil ini.

    Turut disediakan sebagai pilihan opsyen untuk pertama kali ialah sistem bantuan pemanduan Smart Assist II, yang menggabungkan fungsi brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran pejalan kaki, amaran keluar laluan, false start suppression control yang menolong mencegah pelanggaran akibat tersalah menekan pedal, dan juga vehicle start notification yang memberitahu pemandu bahawa kenderaan hadapan sudah mula bergerak (contohnya selepas berhenti dari lampu isyarat).

    Boon dijana oleh enjin 1KR-FE “Topaz Neo” 1.0 liter DVVT tiga silinder, berkuasa 69 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 92 Nm pada takat 4,400 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear CVT automatik. Sistem start-stop automatik untuk enjin adalah disertakan sebagai ciri standard. Ini membolehkan Boon mencapai penggunaan bahan api 28 km untuk setiap liter petrol pada kitaran JC08 Jepun, manakala untuk varian 4WD ia memberikan penggunaan bahan api 24.4 km untuk setiap liter petrol. Tiada lagi varian yang dilengkapi dengan enjin empat-silinder 1.3 liter 1NR-FE berkuasa 95 PS/121 Nm pada generasi terbaharu Boon ini.

    01_04_BM

    Seperti sebelum ini Passo-Boon-Myvi adalah tiga serangkai dari pengeluar ‘adik-beradik’ Toyota-Daihatsu-Perodua. Passo dan Boon telah dilancarkan, kemungkinan untuk Myvi baharu untuk dilancarkan juga dilihat agak besar. Juga seperti sebelum ini, rekaan Myvi pastinya akan diubah mengikut citarasa rakyat Malaysia terutamanya pada bahagian muka hadapan, belakang dan juga pada bahagian dalaman. Begitu juga pada aspek janakuasa, untuk memastikan Myvi kekal kompetitif dalam saingan kategorinya, mungkin enjin 1.3 liter dan 1.5 liter dari siri NR dengan teknologi dual VVT-i terbaharu akan dilengkapi pada Myvi dengan kotak gear empat-kelajuan automatik.

    Berikutan jangkaan ASEAN NCAP yang menyatakan Perodua akan melengkapkan kereta mereka dengan sistem AEB menjelang 2020, kemungkinan Myvi baharu akan dilengkapi dengan sistem Smart Assist II kelak adalah tinggi. Perodua juga dilihat sedang menguji sistem tersebut pada Daihatsu Move baru-baru ini. Berdasarkan trend sebelum ini, kita mungkin boleh menjangkakan Myvi baharu akan membuat kemunculan pertamanya selepas setahun Passo dan Boon dilancarkan.

     
     
  • Kutipan tol di LPT2 mulai 1 Mei ini tidak benar – Exco

    LPT2_PTBM

    Berita mengenai kutipan tol di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang akan bermula pada 1 Mei ini adalah tidak benar, dan hanya khabar angin sahaja, menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Rosli Othman.

    Katanya, buat masa ini Kerajaan masih belum memutuskan tarikh sebenar kutipan tol di lebuhraya berkenaan dan proses memuktamadkan perkara itu kini di peringkat akhir perbincangan, laporan Bernama.

    “Kerajaan pusat masih dalam perbincangan dengan syarikat konsesi Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sebelum memeterai perjanjian pengurusan lebuh raya sepanjang 184 kilometer itu.

    Bila ia sudah dimuktamadkan, Menteri Kerja Raya sendiri yang akan mengeluarkan kenyataannya. Buat masa sekarang, harap orang ramai tidak terpengaruh dengan khabar angin yang disebarkan melalui media sosial kerana maklumat itu tidak benar,” katanya.

    Mengenai kebimbangan yang disuarakan oleh orang ramai mengenai beberapa kelemahan yang masih terdapat di LPT2, Rosli yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Kemasik berkata perkara itu akan selesai apabila lebuh raya tersebut diuruskan PLUS.

    “Tidak perlu bimbang. Kita lihat lebuhraya yang diuruskan PLUS sangat berkualiti dengan standard yang tinggi. Itulah yang mereka akan lakukan untuk LPT2 ini sebaik sahaja perjanjian pengurusan dimeterai nanti.

    “Kerosakan jalan, pagar yang mudah dibolosi haiwan serta pelbagai aspek keselamatan yang lain akan menjadi keutamaan PLUS, akan ada satu senarai semak untuk perkara-perkara yang perlu dibaiki.

    “Sudah tentulah kemudahan-kemudahan lain juga akan menepati piawaian tinggi PLUS termasuk Hentian Rehat dan Rawat serta stesen minyak untuk keselesaan pengguna dilaksanakan syarikat konsesi itu nanti,” katanya.

     
     
  • Volkswagen Polo R WRC 2017 dibina lebih ringan dan berkuasa berdasarkan undang-undang baharu FIA

    PoloWRC_

    Volkswagen kini sedang membangunkan kereta rali Polo R WRC generasi terbaharu yang lebih berkuasa dan lebih ringan sejak musim panas 2015 berdasarkan undang-undang terbaharu yang di keluarkan oleh pihak FIA untuk Kejuaraan Rali Dunia (WRC) untuk musim 2017.

    “Undang-undang WRC untuk musim 2017 menampilkan banyak inovasi teknikal yang menakjubkan untuk Kejuaraan Rali Dunia,” kata Pengarah Volkswagen Motorsport Jost Capito. “Kereta Rali Dunia akan datang akan menggabungkan kesemua pengalaman yang diperolehi oleh pasukan beberapa tahun kebelakangan ini. Ia akan jauh lebih dinamik, pada masa yang sama lebih selamat. Seperti biasa, kami bekerja dengan cermat dan teliti ketika membangunkan Polo R WRC generasi seterusnya. Kunci kepada masa sekarang dan permulaan musim seterusnya adalah untuk mencapai prasyarat untuk membolehkan Polo R WRC berjaya seperti dua jentera sebelumnya,” jelas Capito.

    Berdasarkan undang-undang baharu penghad pengecas turbo berdiameter 33 mm dinaikkan kepada 36 mm tetapi kapasiti enjin maksimum kekal pada tahap 1.6 liter dan tekanan boost maksima juga ditetapkan kekal pada 2.5 bar, bagi membolehkan enjin jentera WRC menjana kuasa setaraf dengan jentera yang bertanding dalam Kejuaraan Touring Car Dunia (WTCC). Ini membolehkan enjin 1.6 liter Polo R WRC 2017 mengekstrak kuasa setinggi 380 hp atau 60 hp lebih berkuasa dari jentera sedia ada yang berkuasa 318 hp. Angka tersebut diberikan oleh pihak Volkswagen tanpa memperincikan tahap rpm dan juga bacaan tork maksima jentera terbabit.

    FIA juga mengumumkan berat keseluruhan jentera dikurangkan sebanyak 25 kg dan juga lebar keseluruhan ditambah sebanyak 50 mm. Ini bermaksud jentera baharu Volkswagen Polo R WRC ini dibina dengan berat 1,175 kg berbanding dari sebelum seberat 1,200 kg. Aspek aerodinamik dapat direka dengan lebih efisien menerusi rekaan spoiler dan diffuser belakang yang boleh dibina dengan lebih besar.

    Selain itu, penggunaan unit karbeda bahagian tengah elektronik untuk mengagihkan kuasa yang lebih tepat pada setiap roda turut akan memberikan pengendalian yang lebih jitu kepada Polo R WRC 2017.

    Pembinaan Polo R WRC kini dilaporkan berada pada ‘fasa terpenting’ selepas komponen-komponen utamanya diuji dengan cemerlang diatas kerangka sedia ada. Sejak kemunculan pertamanya di pentas WRC pada 2013, Polo R WRC menyapu bersih kesemua gelaran pada musim-musim berikutnya.

     
     
  • Chery dan JAC dedah imej teaser konsep Crossover dan SUV baharu menjelang Beijing Motor Show 2016

    Chery-FV2030-01_BM

    Kita di Malaysia mungkin mengenali Chery sebagai jenama dari China yang menampilkan MPV dan SUV dengan rekaan konvensional, JAC pula sebagai pengeluar kenderaan perdagangan seperti lori dan trak ringan. Tetapi di negara kelahiran mereka, Chery bakal menayangkan crossover konsep FV2030 dan JAC akan menayangkan konsep SUV SC5, di mana kedua-duanya akan bakal tampil dengan rekaan anggun dan agresif menjelang Beijing Motor Show yang akan berlangsung hujung bulan ini.

    Chery bakal tampil dengan Crossover empat pintu, yang direka seakan sebuah coupe. Konsep tersebut berkemungkinan adalah respon Chery terhadap konsep Nissan GripZ dan juga Toyota H-CR. Gril hadapan kereta ini menampilkan rekaan yang bersambung kebahagian bawah dan bampar dan turut menempatkan liang kemasukan yang besar di setiap sisi. Ia turut diapit dengan sepasang lampu hadapan yang direka dengan sangat tirus.

    Pada bahagian sisi, karekter pada bahagian muka turut dibawa menampilkan kemasan hitam pada ruang roda dan serlahan berwarna merah. Lampu belakang turut direka dengan bentuk yang sangat tirus, selari dengan rekaan pada bahagian hadapan. Imej awalan juga menyaksikan ia tidak mempunyai tingkap sisi dan garisan pintu. Sama ada jelmaan sebenarnya juga adalah seperti ini dengan teknologi baharu yang bakal ditampilkan oleh Chery atau sebaliknya, kita perlu tunggu sehingga ia membuat kemunculan nanti.

    Menurut Chery, ia adalah sebuah konsep elektrik yang dilengkapi dengan sistem pengecas semula tenaga yang dibina di dalam roda. Juga, Chery mengatakan ia turut dilengkapi dengan paparan holografik di dalam kabin, yang akan menayangkan imej 3D dan pelbagai informasi.

    Sementara itu, untuk konsep yang bakal ditampilkan oleh JAC, ia digelar SC5 dan versi produksi sebenarnya akan keluar pada tahun 2017. Ia adalah sebuah SUV bersaiz sederhana dan mempunyai rupa seakan Lexus. Gril SUV ini menampilkan rekaan spindel Lexus, sementara LED pada lampu hadapannya seperti disadur terus dari rekaan Lexus LC Coupe terbaharu.

    SC5 dipercayai akan dilengkapi dengan unit janakuasa hibrid. Tetapi, model produksinya dilaporkan akan dijana oleh enjin 1.5 liter turbo dan 2.0 liter NA dengan kuasa yang mencapai sehingga 200 hp. Dengan ini, lebih informasi berkaitan Chery FV2030 dan JAC SC5 dijangka dikeluarkan pada 25 April, sebelum kemunculan sulung mereka di Beijing Motor Show.

     
     
  • Ford uji teknologi pengesan LiDAR untuk bergerak dalam gelap; bersedia tambah kereta autonomi

    Ford telah menjalankan ujian teknologi pengesan LiDAR yang dipasang pada sebuah kenderaan ujian berautonomi Ford Fusion Hybrid dipandu pada waktu malam di laluan gurun yang sunyi tanpa lampunya dipasang.

    Ia dilakukan di Pusat Ujian Ford Arizona pada waktu malam yang gelap gelita itu sebenarnya membuktikan satu lagi langkah Ford dalam menghasilkan kenderaan berautonomi kepada pelanggan di seluruh dunia. Ini merupakan satu pembangunan yang penting kerana ia menunjukkan walaupun tanpa kamera yang bergantung kepada cahaya, teknologi LiDAR Ford – berfungsi dengan perisian pemandu maya kenderaan.

    Teknologi ini adalah cukup pintar untuk melalui jalan berbengkang-bengkok. Biarpun ideal untuk memiliki ketiga-tiga mode alat pengesan iaitu radar, kamera dan LiDAR yang sebenarnya mampu beroperasi sendiri di atas jalan raya yang gelap.

    Pihak Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya mendapati jumlah kematian penumpang kenderaan pada waktu malam adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding pada waktu siang.

    Screen Shot 2016-04-12 at 5.03.18 PM

    “Terima kasih kepada LiDAR, kereta ujian ini tidak bergantung kepada cahaya matahari mahupun kamera untuk mengesan garisan putih di atas jalan,” kata Ketua Teknikal Ford untuk Kenderaan Berautonomi, Jim McBride. “Malah, LiDAR membolehkan kenderaan berautonomi memandu dengan baik dalam keadaan gelap, sama seperti ia dipandu pada waktu siang.”

    Untuk bergerak dalam keadaan gelap, kereta berautonomi Ford menggunakan peta 3D beresolusi tinggi. Ia lengkap dengan maklumat tentang laluan, garis jalan, geografi, topografi serta penanda jalan seperti papan tanda, bangunan dan pokok.

    Kenderaan menggunakan denyutan LiDAR untuk bergerak di atas peta pada masa sebenar. Data tambahan daripada radar digabungkan dengan maklumat LiDAR untuk melengkapkan kemampuan pengesanan sepenuhnya kenderaan berautonomi ini.

    Untuk ujian di jalan gurun ini, pasukan Ford yang memakai gogal pandangan malam memantau Fusion dari dalam dan luar kenderaan. Gogal itu membolehkan LiDAR melaksanakan tugasnya dalam bentuk satu pancaran laser infra merah yang dipancarkan di sekeliling kereta apabila ia bergerak. Alat-alat pengesan LiDAR mengeluarkan 2.8 juta denyutan laser sesaat untuk mengimbas persekitarannya dengan tepat.

    Selepas lebih sedekad Ford menjalankan penyelidikan kenderaan berautonomi, syarikat kini komited untuk mencapai kemampuan pemanduan berautonomi sepenuhnya yang didefinisikan sebagai SAE International Level 4. Ia tidak memerlukan pemandu untuk memberi maklum balas atau mengawal kenderaan.

    Tahun ini, Ford akan menggandakan jumlah kenderaan autonominya menjadi 30 unit melibatkan sedan Fusion Hybrid untuk diuji di California, Arizona dan Michigan.

    Pembangunan ini merupakan elemen penting dalam Mobiliti Pintar Ford, pelan untuk membawa Ford ke tahap seterusnya dalam bidang ketersambungan, mobiliti, kenderaan berautonomi, pengalaman pemandu, data dan analisis.

     
     
  • Sekolah memandu akan menjalankan sepenuhnya ujian lesen memandu tanpa membabitkan pegawai JPJ

    1621930_729785283725324_4998449407029119539_n

    Tidak lama lagi, ujian lesen memandu bakal dilaksanakan oleh pihak sekolah memandu dan bukan lagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seperti sekarang, ujar timbalan menteri pengangkutan jalan Datuk Aziz Kaprawi kepada New Straits Times di dalam satu temubual. Perkara ini adalah dicadangkan oleh pihak Majlis Piawaian dan Pemodenan Industri Memandu Malaysia (Mapim).

    “Sekarang ini, kuasa (termasuk ujian lesen memandu) adalah terletak pada Jabatan Pengangkutan Jalan. Pada masa akan datang, sekolah memandu akan menjalankan ujian tersebut, bukan lagi JPJ,” kata Aziz. “Segala urusan berkaitan pemandu yang sedang belajar adalah terletak sepenuhnya di bawah institut memandu,” tambah timbalan menteri itu. Ia disasarkan untuk memperbaiki kualiti dan proses institut memandu.

    Aziz sedar yang semua institut memandu akan diselaraskan di bawah satu sistem atas talian untuk tujuan ini. Timbalan menteri berkenaan menyatakan beliau mensasarkan sistem atas talian tersebut akan sedia untuk digunakan oleh pihak institusi menjelang 2018. “Sistem baharu ini akan diimplimentasikan apabila syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan, termasuk sistem pemantauan suara, telah disediakan,” jelas Aziz.

    Malah beliau memberikan jaminan sistem tersebut akan mengurangkan potensi untuk berlakunya transaksi “di bawah meja” dan berlandaskan kepada keterbukaan dan juga ketelusan. “Ia perlu melalui proses pra-pendaftaran atas talian terlebih dahulu di mana semua kadar bayaran ditunjukkan sekali, oleh itu tiada ruang untuk memanipulasi kadar yuran, contohnya,” jelas beliau.

    malaysian-driving-license-001

    Sistem tersebut juga bakal menghapuskan terus kegiatan ejen dan runner. “Apabila transkasi dilakukan secara dalam talian dan terbuka, dengan mekanisma pemantauan di sebalik sistem ini, servis mereka tidak lagi diperlukan oleh sesiapa,” hurai Aziz.

    Tambahan pula, untuk meningkatkan kualiti, institusi memandu juga perlu mendapatkan pengiktirafan ISO 9000. “Mereka (sekolah memandu) perlu mencapai standard antarabangsa dan diiktiraf dengan pensijilan ISO 9000,” jelas timbalan menteri itu. Datuk Hanafi Mat Zin, Presiden Mapim, menyatakan setakat ini lebih dari 50 buah institut memandu telah mencapai standard ISO 9000, dan lebih banyak lagi akan menyusul.

    Hanafi turut berkata jawatankuasa khas akan diwujudkan untuk menilai pihak pengurusan, operasi, utiliti am, kualiti dan ICT institut memandu. “Sekolah memandu yang mematuhi ISO 9000 akan diberikan penarafan yang lebih tinggi sementara untuk mereka yang gagal untuk mematuhinya akan ketinggalan,” kata beliau.

    Beliau juga turut menjelaskan apabila perubahan ini dilaksanakan kelak, JPJ akan terus memantau institut-institut memandu ini bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi undang-undang, polisi, pengauditan dan juga kualiti.

     
     
  • VIDEO: Iklan ‘Be Dominant’ untuk pasaran Indonesia tampil imej elegen Honda Civic generasi ke-10

    Selepas secara rasminya dilancarkan untuk pasaran Indonesia minggu lalu di Indonesia International Motor Show (IIMS) 2016, iklan rasmi untuk Honda Civic 2016 juga turut disiarkan.

    Video yang bertajuk ‘Be Dominant. I am Civic’ yang berdurasi 60 saat tersebut dengan iringan muzik yang mendebarkan, turut memaparkan ciri-ciri yang terdapat pada sedan segmen-C ini termasuk lampu LED penuh, penghidup enjin kawalan jauh, paparan instrumen TFT LCD dan juga tarikan utama, enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang menjana 173 PS dan tork 220 Nm.

    Di Indonesia, Civic ditawarkan dengan hanya varian tunggal 1.5L turbo. Tidak seperti di Thailand dan Filipina, tiada varian asas 1.8 liter SOHC i-VTEC ditawarkan di Indonesia. Ia juga diberikan lencana “VTEC Turbo” berbanding model untuk pasaran Thailand yang diberi lencana “RS” untuk varian tertinggi. Ia juga dilengkapi dengan unit infotaimen berasaskan sistem Android dengan kebolehan Mirrorlink berbanding hanya versi tingkat taraf sistem Display Audio.

    Video ini juga membayangkan, tidak kira siapa pun anda, dari ahli sukan hinggalah ahli korporat, anda akan sentiasa sepadan dengan Civic generasi ke-10 ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025