Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • PANDU UJI: Mitsubishi Outlander pamer imej lebih segar dan karakteristik pemanduan sederhana

    Outlander_Ext_03

    Sesuai dengan tagline yang diberikan oleh Mitsubishi Motors Malaysia. Outclass. Outsmart. Outshine. Umpama memberikan jaminan kepada bakal pemiliknya bahawa SUV ini adalah pilihan yang terbaik berbanding pesaingnya yang lain. Itulah janji manis yang tercetus dengan kehadiran Mitsubishi Outlander.

    SUV di bawah segmen-C ini telah pun dilancarkan secara rasminya di pasaran Malaysia. Walau pun SUV yang berada di bawah segmen yang sama mempunyai nama yang boleh dikatakan kuat termasuk Honda CR-V yang kredibilitinya tidak dapat disangkal, Nissan X-Trail nampak lebih mantap dengan keterampilan yang menyerlah selepas diberi suntikan lebih segar dan juga Mazda CX-5 yang mampu menarik perhatian ramai. Namun pasti ada kelainan yang boleh ditonjolkan oleh Outlander untuk menyaingi tiga model utama tersebut.

    Outlander kelihatan tampil dengan serba sempurna. Daripada pandangan fizikalnya, mengagumkan. Dengan 4,695 mm panjang, Outlander ini 55 mm lebih panjang berbanding X-Trail dan 105 mm lebih panjang dari C-RV, walau pun lebarnya 1,810 mm iaitu kurang 10 mm berbanding kedua-dua pesaing itu.

    Outlander_Ext_12

    Namun saiz jarak roda Outlander iaitu 2,670 mm terletak di tengah-tengah antara Honda (2,620 mm) dan Nissan (2,705 mm). Tetapi ruang dalaman CR-V lebih luas, jadi jarak roda hanya sebagai panduan dan penyusunan elemen dalaman turut diambil kira.

    Malah Mitsubishi turut mendakwa, Outlander memiliki kapasiti ruang kargo yang terbaik dalam kelasnya iaitu 1,608 liter selepas tempat duduk barisan kedua (60:40) dan barisan ketiga (50:50) dibaringkan sepenuhnya. Ia mampu memuatkan empat buah beg golf, tilam bujang atau beg-beg membeli-belah anda. Bagi T32 X-Trail yang juga SUV tujuh-tempat duduk, ia hanya memiliki 1,520 liter ruang kapasiti sekiranya semua tempat duduknya dibaringkan.

    Outlander hadir dengan satu varian enjin sahaja iaitu 2.4 liter empat-silinder MIVEC yang mampu memberikan persaingan pada CR-V (2.4L, 190 PS dan 222 Nm), X-Trail (2.5L, 171 PS dan 233 Nm) dan Mazda CX-5 (2.5L, 184 hp dan 250 Nm).

    Outlander_Ext_32

    Unit DOHC aspirasi-natural Mitsubishi ini mampu menghamburkan kuasa 167 PS pada 6,000 rpm dan tork 222 Nm pada 4,100 rpm. Ia juga dipadankan dengan kotak gear automatic INVECS-III CVT dengan pedal penukar gear di belakang stereng.

    Malah bagi pacuan yang lebih mantap dan lasak, Outlander turut didatangkan dengan system Multi-Select 4WD dengan tiga mod iaitu 4WD Eco (pacuan akan disalurkan menerusi gandar belakang apabila diperlukan), 4WD Auto (akan memisahkan tork ke dua-dua gandar, termasuk pacuan belakang) dan 4WD Lock untuk keadaan yang lebih mencabar.

    Bagi mod 4WD Eco, Mitsubishi Motors Malaysia telah melakukan ujian dalaman dan mendapati ia mampu mencatat penggunaan bahan api sekitar 12.8 km/l.

    Untuk pengetahuan anda, sebenarnya Outlander bukanlah model yang baharu. Masih ingatkan anda pada Mitsubishi Airtrek dan “Evo SUV” Airtrek Turbo yang pernah dibawa masuk oleh USF-Hicom suatu ketika dahulu?

    Ia adalah model JDM. Nama Outlander digunakan untuk kebanyakan pasaran ekport dan telah menggantikan model Airtrek apabila SUV generasi kedua itu diperkenalkan pada tahun 2005. Manakala Outlander generasi ketiga muncul pada tahun 2012 dan model yang kita terima ini adalah model facelift besar-besaran yang pernah dipertontonkan di New York Auto Show tahun lalu.

    Outlander_Ext_22

    Facelift atau menaik taraf ini dilakukan kepada Outlander secara besar-besaran, malah ia menggunakan imej terkini yang ditonjolkan oleh Mitsubishi iaitu “Dynamic Shield”, seperti mana yang ditampilkan pada model konsep XR-PHEV dan eX, juga Pajero Sport terbaharu.

    Imej yang lebih berkarakteristik ini ditonjolkan menerusi elemen krom yang ada pada bahagian badan Outlander. Termasuklah pada lampu utama yang bersambung pada lampu kabus. Malah bahagian sisi dan belakang Outlander juga dihiasi dengan bentangan krom yang menampakkan imej agak ‘sarat’ di situ.

    Walau bagaimana pun, bahagian belakang kelihatan tidak banyak perubahan, namun lampunya tidak bersambungan, sebaliknya ditampilkan bersama tiga bar LED yang membuatkannya kelihatan lebih bergaya. Malah ia kelihatan sedikit mirip dengan model Pajero Sport sedia ada. Ia juga menampil pintu tailgate yang berfungsi secara elektronik.

    Bagi warna badannya, ia ditawarkan dengan tiga pilihan iaitu putih, kelabu dan pastinya merah yang sungguh menawan kalbu. Tidak dinafikan, tidak semua SUV sesuai dengan warna merah (X-Trail pun ada pilihan warna ini), tetapi bagi Outlander, ia membangkitkan lebih rasa macho dan penuh maskulin. Apatah lagi digandingkan dengan rim aloi dua-tona bersaiz 18-inci.

    Malah ia turut menampilkan bumbung matahari yang menyerlahkan lagi sifat elegan SUV ini (walau pun ia bagai kurang berfungsi di Malaysia khususnya dalam cuaca yang panas terik pada waktu siang).

    Outlander_Int_23

    Namun imej luaran yang dipersembahkan oleh Outlander ini, tidak meresap jiwanya hingga ke bahagian kabin. Memasuki bahagian kabinnya, bentangan rekaannya biasa-biasa sahaja. Seakan kurang pembaharuan atau kelainan yang ditonjolkan. Malah masih menerapkan imej konvensional dan seakan tidak seiring sejalan dengan imej luarannya yang nampak cukup segak bergaya dan lebih moden.

    Papan pemulanya tampil dengan kekemasan kayuan gelap termasuk pada panel pintu depan dengan sentuhan tekstur plastik lembut. Tiada rasa premium pada bahagian tersebut.

    Ia tetap ditampilkan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh, dan butang kawalan penghawa dingin dua-zon diletakkan di bahagian tengah papan pemuka. Pada roda stereng juga terdapat butang kawalan sistem infotainmen, telefon dan kawalan kelajuan.

    Bagi pengendalian yang lebih sporty, pedal penukar gear turut ditampilkan. Tiada sistem brek parkir elektronik ditampilkan pada model ini, Outlander masih lagi menggunakan tuil brek tangan konvensional.

    Malah tempat duduk balutan kulit rona hitam juga menjadi pilihan. Jika pasal tempat duduk ini, penulis memilih keselesaan yang ada pada X-Trail (untung kerana memiliki tempat duduk ‘zero gravity’). Tempat duduk Outlander sedikit keras dengan balutan kulit yang biasa-biasa sahaja. Malah jika melibatkan perjalanan jauh, keselesaannya sederhana sahaja.

    Manakala tempat duduk barisan ketiga bagi Outlander lebih luas berbanding yang ada pada X-Trail. Bagi penumpang kanak-kanak atau pun yang bersaiz kecil, bolehlah duduk di bahagian tersebut. Ruang kaki agak terhad dan ngam-ngam ho untuk yang bersaiz lebih kurang 150 cm (seperti penulis!).

    Namun ketiadaan corong penghawa dingin pada tempat duduk barisan kedua dan ketiga mungkin dianggap sebagai satu kelemahan Outlander. Jadi corong penghawa dingin yang ada pada kokpit harus dilaraskan elok-elok untuk penumpang di belakang terasa kedinginan penghawa dingin tersebut.

    Outlander juga dilengkapi dengan lapisan filem Konica Minolta (syarikat yang mengeluarkan kamera), pada cermin hadapan, belakang dan keempat-empat pintunya, malah ia juga mengikut kadar telus cahaya seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan ia adalah elemen standard untuk Outlander.

    20160329_0355

    Untuk aspek keselamatan, ia dilengkapi dengan semua ciri terkini termasuk tujuh-beg udara, Kawalan Stabiliti Aktif (ASC),Kawalan Aktif Mula Terjahan (ASTC) Bantuan Mula Mendaki (HSA), ABS berserta EBD dan Bantuan Brek (BA).

    SUV ini juga dilengkapi sistem kunci pintar yang membolehkan pengguna membuka kunci pintu dan menghidupkan enjin dengan butang penghidup tanpa mengeluarkan kunci dari poket.

    Bercerita mengenai pemanduan dan pengendaliannya, tidak sukar untuk mengendalikan Outlander ini. Walau pun ia kelihatan besar, namun pemanduannya masih mirip pada sedan. Walau bagaimana pun, lonjakan kuasanya agak ‘malu-malu’ apabila hendak SUV ini dipacu laju selepas bergerak perlahan. Lantas memerlukan kerahan tenaga dengan tekanan lebih pada pedal pendikit.

    Malah kuasa pendikitnya juga terasa lebih lancar dan proses transmisinya tidak disedari jika hendak dibandingkan dengan X-Trail 2.5 4WD. Bukan itu sahaja, bunyi enjinnya juga kurang membingit (enjin X-Trail 2.5L lebih bising berbanding model-model pesaingnya).

    20160329_0484

    Malah penguasaan penukaran gear lebih menyeronokkan jika memilih kawalan pedal penukar gear. Anjakan gearnya lebih optimum dalam membantu enjin meledakkan lagi kuasanya dengan lebih pantas.

    Walau pun kelihatan lasak, namun Outlander ini sebenarnya lebih cenderung pada kegunaan pengangkutan seisi keluarga. Maka ia tidak terdorong oleh pemanduan agresif. Penulis cuba memacunya selaju 180 km/j di lebuhraya, terasa kawalan roda sterengnya sedikit ‘terganggu’ ke kanan. Namun jika dalam kelajuan sederhana, tidak masalah dalam kawalannya.

    Bagi penulis yang mudah terkena ‘car sickness’ (melainkan duduk di tempat duduk pemandu), agak cuak juga jika duduk di barisan kedua atau ketiga. Tetapi penulis sengaja ingin mencuba. Mujur tidak terkena ‘penyakit’ itu walau pun rakan sepasukan, Danny Tan, memandu agak agresif sewaktu melalui kawasan kampung yang banyak jalan berliku dan selekoh. Penulis masih terasa selesa duduk di bahagian itu. Selalunya dalam keadaan sebegini, penulis cepat berasa ‘mabuk’ terutamanya jika menaiki SUV atau MPV. Tetapi bernasib baik kerana Outlander masih mampu memberikan keselesaan yang diharapkan.

    Outlander ini adalah model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun dan ia ditawarkan dengan harga atas jalan RM166,720 tanpa insurans (harga pengenalan untuk tempahan dan pendaftaran sebelum 31 Mei). Di mana harganya adalah pertengahan di antara X-Trail 2.5L (RM159,164) dan CR-V 2.4L (RM167,620) yang kedua-duanya adalah unit pemasangan tempatan (CKD).

    MMM turut menawarkan waranti pengilang selama lima tahun atau 100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu). Malah MMM turut mendakwa anggaran kos penyelenggaran Outlander untuk 100,000 km ialah lebih rendah berbanding X-Trail 2.5 iaitu hanya RM5,239 berbanding RM6,727.

    Jika dilihat dari segi tag harganya, pasti Outlander lebih murah berbanding CR-V 2.4L. Tetapi dari segi prestasi dan pengendalian yang lebih mantap, CR-V mendahului persaingnya. Namun imej yang ditampilkan pada X-Trail 2.5L lebih menarik perhatian dan ia lebih murah berbanding dua pesaingnya itu, namun ia mungkin kalah pada keselesaan pemanduan yang ditonjolkan oleh Outlander. Dan jika ditanya, mana satu menjadi pilihan penulis, CR-V adalah jawapannya walau pun kurang berkenan dengan imej luaran yang dipertaruhkan.

     
     
  • Kerajaan teruskan rancangan menutup jalan raya di Wilayah Persekutuan untuk Mat Moto berlumba

    2015-mat-rempit-5-e1444095620332a_BM

    Kerajaan akan meneruskan rancangan berkenaan cadangan menutup sebahagian jalan raya bagi membolehkan Mat Moto berlumba walaupun mendapat banyak tentangan dan kritikan berhubung perkara tersebut menurut laporan The Sun.

    Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata kementeriannnya sedang melihat semua kemungkinan untuk memastikan acara yang dirancang tersebut dapat diadakan dengan sebaiknya dan berjaya.

    “Kami turut mengumpulkan maklumat dari semua komen dan maklum balas orang ramai berkenaan acara ini untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini atau mendatangkan kerosakan terhadap mana-mana infrastruktur,” kata beliau kepada wartawan.

    PH01_110109_MAT_REMPIT

    Timbalan Menteri berkenaan turut menambah pihak berkuasa tempatan di bawah kementeriannya akan menjalankan kajian dan perbincangan untuk mengenal pasti lokasi dan masa terbaik untuk menjalankan acara tersebut.

    “Penutupan jalan berkenaan akan melibatkan Wilayah Persekutuan – Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan – tetapi masa dan lokasi akan ditentukan berdasarkan hasil kajian yang dibuat oleh pihak berkuasa tersebut,” jelas beliau.

    Kenyataan ini diberikan oleh Loga Bala setelah ditanya berkenaan cadangan yang dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor Februari lalu untuk menutup jalan tertentu di tengah Bandaraya Kuala Lumpur bagi membenarkan Mat Moto berlumba dalam usaha mengekang perlumbaan haram yang dilakukan dalam kawasan perumahan dan komersial.

    Tengku Adnan menyatakan usaha tersebut juga boleh mengekang masalah perjudian haram yang turut dijalankan semasa perlumbaan haram tersebut berlangsung dimana penganjur menyediakan habuan gadis sebagai ganjaran kepada pemenang. Cadangan berkenaan menerima kritikan hebat dari orang ramai setelah diumumkan dengan sebahagian besar daripada mereka menganggap kerajaan mahu menghalalkan aktiviti haram.

     
     
  • Penyambungan jajaran LRT laluan Kelana Jaya beroperasi 30 Jun ini seperti yang dijadualkan

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd. telah mengeluarkan satu kenyataan media berhubung dengan penyambungan Jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya akan beroperasi pada 30 Jun seperti dijadualkan.

    Prasarana berkata, projek itu kini berada di fasa akhir dengan tumpuan kepada ujian, kerja-kerja penyudahan dan pembersihan bagi memastikan semua sistem berjalan lancar, laporan Bernama.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Datuk Zohari Sulaiman, pihaknya telah menjalankan latihan simulasi Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) untuk menguji kesiapsiagaan pasukan operasi dan kesiapsiagaan sistem dan kemudahan.

    Katanya, semuanya berjalan dengan lancar termasuk latihan simulasi ERP yang diadakan di stesen Subang Alam sebagai sebahagian daripada aktiviti pra pelancaran.

    Beliau berkatra latihan simulasi itu membolehkan pihaknya mengkaji pelan kecemasan, program, dasar, peranan dan tanggungjawab serta menjadi latihan bagi kakitangan menguji keupayaan dan mengenal pasti kelemahan jika ada.

    Projek penyambungan LRT Laluan Kelana Jaya meliputi jarak 17.4 kilometer bermula dari stesen Kelana Jaya dan melalui dua belas stesen baharu termasuk Ara Damansara, Subang Jaya dan USJ sebelum berakhir di Putra Heights.

    Selain stesen Subang Alam dan stesen bersepadu Putra Heights, stesen lain ialah Lembah Subang, Ara Damansara, Glenmarie, Subang Jaya, SS 15, SS 18, USJ 7, Taipan, Wawasan, USJ 21 dan Alam Megah.

    Laluan baharu Kelana Jaya dihubungkan dengan rangkaian komuter KTM di stesen Subang Jaya dan Laluan Bas Rapid Transit Laluan Sunway di stesen USJ 7 bagi memastikan perjalanan lebih lancar.

    Melalui perluasan rangkaian ini, jajaran LRT Kelana Jaya akan meliputi perjalanan sejauh 46.4 kilometer melalui kawasan-kawasan yang padat dengan penduduk seperti Petaling Jaya, Bangsar, Taman Melati, Setiawangsa dan pusat perniagaan Kuala Lumpur.

     
     
  • VEP fasa dua bakal diperkenalkan di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand tidak lama lagi

    thailand-traffic

    Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad telah mengeluarkan kenyataan berhubung pelaksanaan sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) fasa dua bakal diperkenalkan di pintu sempadan Malaysia-Thailand dalam masa terdekat bagi mengatasi isu teksi haram Thailand.

    Ismail berkata JPJ akan menguatkuasakan sistem VEP itu di pintu sempadan Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan sebagai langkah proaktif penyelesaian jangka panjang, laporan Bernama.

    Manakala fasa kedua akan dilaksana selepas selesai fasa pertama dan fasa tiga akan dilaksanakan di pintu sempadan Malaysia di Sarawak dan Sabah yang bersempadan Brunei, Indonesia dan Filipina.

    Sebelum ini beliau pernah mengesahkan VEP di pintu masuk Singapura-Johor Baharu dijangka dilaksanakan Jun ini.

     
     
  • MITI dedah kesemua enam ahli jawatankuasa pemantauan Proton dari sektor awam dan swasta

    Proton COE press conference 1

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kerajaan Malaysia meluluskan permohonan pinjaman berjumlah RM1.5 billion kepada Proton dengan beberapa syarat, termasuk mewujudkan jawatankuasa untuk melihat semula pelan halatuju pembuat kereta nasional tersebut. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kini mendedahkan dengan lebih terperinci berkenaan jawatankuasa tersebut.

    Jawatankuasa berkenaan diketuai oleh CEO Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Datuk Idris Jala, yang akan bertanggungjawab untuk memantau implementasi Proton terhadap pelan pemulihan yang dirancang, dengan menjadikan syarikat tersebut lebih kompetitif, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed seperti yang dilaporkan The Star.

    Ia juga bertanggungjawab untuk memantau pelan strategik untuk Proton meningkatkan bahagian pasaranya untuk peringkat domestik, dan juga untuk menembusi pasaran antarabangsa. “Jawatakuasa ini juga akan mengenalpasti rakan kongsi strategik dari luar dalam masa terdekat untuk membantu Proton mencapai sasarannya bagi meningkatkan daya saing.

    Perdana-Brochure-4

    “Walau bagimanapun, jawatankuasa ini tidak terlibat dengan operasi seharian Proton yang mana untuk tanggungjawab tersebut adalah terletak sepenuhnya pada pengurusan dan ahli lembaga pengarah Proton,” kata Mustapa.

    Enam orang dilantik untuk menganggotai jawatankuasa ini, di mana tiga daripadanya adalah dari sektor swasta, dan selebihnya adalah dari sektor awam. Ahli dari sektor swasta adalah terdiri daripada Pengerusi Esekutif Symphony House Bhd dan CEO kumpulan Tan Sri Azman Yahya, Ketua Pengarah Esekutif Celcom-Axiata Berhad Datuk Sri Shazalli Ramly dan Ketua Khidmat Kewangan Komuniti Maybank Datuk Dato’ Hamirullah Borhan.

    Ahli dari sektor awam pula adalah terdiri daripada Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Nik Rahmat Nik Taib, Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Dr Yusof Ismail dan Timbalan Pengarah Kanan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Datuk Yogeesvran Kumaraguru.

     
     
  • Honda Civic 2016 dilancar di China, pasaran pertama di dunia tampil padanan enjin 1.5L Turbo dan 6MT

    Honda-Civic-220Turbo-China-5_BM

    Honda Civic generasi ke-10 secara rasminya telah dilancarkan di Shanghai Expo Centre, China untuk pasaran dalam republik tersebut. Diberi nama Civic 220Turbo, sejumlah empat varian ditawarkan untuk pembeli di China. Harga untuk kereta ini bermula pada 129,900 yuan hingga 169,900 yuan (RM77,580 hingga RM101,636)

    Civic generasi ke-sepuluh tersebut dilengkapi dengan lampu hadapan, lampu nyalaan siang dan lampu belakang sepenuhnya dengan teknologi LED. Bahagian dalaman pula lengkap dengan roda stereng pelbagai fungsi, tempat duduk sport dan paparan LCD pelbagai fungsi pintar. Unit pemain infotaimen utama juga dilengkapi dengan sokongan aplikasi Android Auto dan Apple CarPlay. Selain dari varian asas, varian lain dalam barisan model Civic dilengkapi dengan sistem Honda Connect sebagai ciri standard.

    Walaupun mempunyai empat varian berbeza, kesemua varian tersebut hanya dikuasakan dengan pilihan enjin tunggal iaitu 1.5 liter VTEC turbo yang berkuasa 174 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 220 Nm bermula 1,700 rpm hingga 5,000 rpm dan mampu untuk memecut kereta ini dari 0-100 km/j dalam masa hanya 8.6 saat. Buat pertama kalinya, dua pilihan transmisi disediakan untuk enjin 1.5 liter VTEC Turbo tersebut iaitu kotak gear manual enam-kelajuan dan juga CVT automatik.

    Honda dijangka akan melancarkan model Civic 180Turbo pada suku keempat tahun ini. Varian yang lebih rendah tersebut akan dijana dengan enjin 1.0 liter tiga-silinder VTEC Turbo yang berkuasa 129 hp dan tork maksima 200 Nm.

    Untuk ciri keselamatan, kesemua varian Civic pasaran China ini dilengkapi dengan enam beg udara, ABS serta EBD, VSA dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) secara standard. Untuk varian tertinggi, ia dilengkapi dengan teknologi Honda Sensing yang menampilkan Kawalan Kelajuan Adaptif dengan low-speed follow (LSF), sistem brek pencegah pelanggaran, LaneWatch Honda, lane keeping assist, dan Road Departure Mitigation (RDM).

     
     
  • AES tidak dihentikan, tetapi ditambah baik -KP JPJ

    AES_Camera

    AES Tidak Dihentikan, Sebaliknya Dikaji Dan Ditambah Baik
    BUTTERWORTH, 14 April (Bernama) — Operasi sistem penguatkuasaan automatik (AES) tidak dihentikan seperti yang diviralkan dalam laman sosial, sebaliknya ia sedang dikaji dan ditambah baik bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

    Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad berkata hasil kajian dan penambahbaikan mengenai AES itu akan dibentang di Parlimen Mei ini sebelum sebarang keputusan mengenainya dibuat.

    “Kerajaan mahu memastikan AES dilaksanakan selari dengan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) dan kedua-duanya akan dibentang di Parlimen Mei ini.

    Ketika ini, 40 kamera AES yang ada terus berfungsi dan kerajaan tidak pernah menghentikan program AES sepeti yang diviralkan dalam laman sosial,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari JPJ Malaysia Peringkat Pulau Pinang di sini Khamis.

    Beliau turut menafikan sebanyak 39 kamera AES baharu telah mula dipasang di Pulau Pinang seperti yang turut diviralkan di laman sosial.

    “Maklumat-maklumat itu tidak tepat dan saya harap orang ramai tidak mempercayainya, sebaliknya tunggu kenyataan rasmi dari kerajaan atau JPJ,” katanya.

    Isu operasi AES dihentikan dan sebanyak 39 kamera baharu dipasang di Pulau Pinang menjadi viral di laman sosial terutama Facebook dan aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

    Ditanya sama ada kerajaan akan membatalkan saman AES terdahulu, Ismail berkata perkara itu juga akan dikaji dan kabinet yang akan menentukannya.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata pelaksanaan sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) fasa dua bakal diperkenalkan di pintu sempadan Malaysia-Thailand dalam masa terdekat bagi mengatasi isu teksi haram Thailand.

    Ismail berkata JPJ akan menguatkuasakan sistem VEP itu di pintu sempadan Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan sebagai langkah proaktif penyelesaian jangka panjang.

    VEP fasa pertama akan dilaksanakan di pintu sempadan Singapura-Johor Baharu mulai Jun ini manakala fasa kedua akan dilaksana selepas selesai fasa pertama dan fasa tiga akan dilaksanakan di pintu sempadan Malaysia di Sarawak dan Sabah yang bersempadan Brunei, Indonesia dan Filipina, katanya.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia kekal cemerlang bagi Q1 2016 – 2,658 unit terjual; C-Class Coupe “akan datang”

    Mercedes-Benz-Q1-2016-16_BM

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) terus mencatatkan rekod cemerlang, dengan prestasi jualan untuk suku pertama (Q1) tahun 2016, seperti yang diumumkan hari ini. Walau pun berhadapan dengan cabaran dalam industri automotif tempatan, namun MBM berjaya mencatat jualan sebanyak 2,658 unit iaitu meningkat 41% berbanding jangka masa yang sama pada tahun lalu dan ini merupakan prestasi Q1 terbaik yang pernah dicatatkan dalam sejarah syarikat ini di Malaysia.

    Ia mencatatkan sejumlah 772 unit lebih tinggi berbanding suku pertama tahun 2015 (1,886 unit), sekali gua membuatkan jenama ini berjaya menguasai perkongsian pasaran sebanyak 2.3%, meningkat sebanyak 0.5% berbanding tahun sebelumnya. Malah model sedan pemasangan tempatan turut menunjukkan peningkatan sebanyak 26% iaitu sebanyak 1,814 unit.

    Model yang paling mencatat jualan terulung sudah pasti C-Class, iaitu sebanyak 1,359 unit. Pastinya pengurangan harga dan peningkatan elemen yang diperkenalkan pada tahun lalu iaitu bagi C 180 Avantgarde, C 200 Avantgarde, C 200 Exclusive dan C 300 AMG Line.

    Mercedes-Benz-Q1-2016-8_BM

    Walau bagaimana pun, barisan model E-Class agak menyusut sebanyak 75% iaitu hanya 260 unit sahaja jualannya. MBM telah pun menghentikan jualan E 300 BlueTEC Hybrid awal tahun, begitu juga dengan E 200 dan E 250 Edition E kerana model W213 generasi akan datang, dijadualkan tiba pada suku ketiga tahun ini. Malah jualan bagi S-Class juga menyusut sebanyak 28% iaitu hanya 195 unit sahaja.

    Malah barisan kereta kompak Mercedes-Benz turut mencatatkan penjualan yang memberangsangkan dengan peningkatan sebanyak 59% iaitu sebanyak 664 unit. Di mana model A-Class telah didaftarkan sebanyak 300 unit pada Q1 2016, iaitu 38% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, didorong oleh barisan model facelift pada awal tahun ini.

    Sementara itu, barisan CLA pula mencatat jualan sebanyak 183 unit, dan 159 unit bagi GLA, meningkat sebanyak 77% berbanding suku yang sama pada 2015.

    Mercedes-Benz-Q1-2016-14_BM

    Bukan itu sahaja, barisan Dream Cars yang terdiri dari model AMG A 45, AMG C 63 S, AMG S 63 Coupé, AMG GT S, E-Class Coupé, CLS dan Maybach S-Class, turut mencatatkan jualan sebanyak 20 unit untuk suku pertama tahun ini. Sementara barisan SUV baharu Mercedes-Benz iaitu GLC, GLE dan GLE Coupe pula terjual sebanyak 170 unit.

    “Pencapaian yang dianggap memberangsangkan ini, turut didorong oleh barisan SUV baharu, dan kami juga berjaya menarik pelanggan baharu, sekali gus mencatat jualan yang lebih meluas,” ujar Timbalan Presiden Pemasaran dan Jualan Mark Raine.

    “Kami berterima kasih pada rangkaian pengedar dan peminat setia kami kerana tidak putus-putus memberikan sokongan terhadap jenama Mercedes-Benz. Malah ia boleh dikatakan permulaan yang sangat bagus untuk tahun ini bagi MBM. Kami akan terus menawarkan yang terbaik terutamanya untuk kepuasan pada pelanggan. Dan akan terus memacu momentum ini, di samping kekal sebagai jenama premium dalam segmen automotif,” kata Presiden dan CEO Dr Claus Weidner pula.

    Mercedes-Benz-Q1-2016-15_BM

    Selain rekod jualan, MBM turut mendedahkan akan melancarkan sembilan model baharu pada tahu ini, termasuk tiga model serba baharu, tiga model peningkatan sepenuhnya, dua varian enjin baharu dan satu model facelift. Salah satu model yang disebut sebagai “akan datang” seperti yang ditunjukkan dalam pembentangan, nampak seperti model baharu C-Class Coupe, walau pun MBM tidak mendedahkannya.

    Dengan semua model yang disebutkan ini, kami turut menjangkakan kehadiran GLS tujuh-tempat duduk, GLC Coupe dan CLA facelift, mungkin akan mendarat ke negara kita. Apa pun, nantikan perkhabaran MBM yang seterusnya.

     
     
  • Perodua capai bahagian pasaran lebih tinggi dalam suasana jumlah keseluruhan industri yang lembab

    Aminar 2015 Review

    Perodua mengumumkan telah menguasai 36.7% dari keseluruhan jumlah dalam industri yang berjumlah 130,000 unit dalam suku pertama tahun ini dengan mendaftarkan hampir 47,200 unit kenderaan dan diterajui model paling laris jenama tersebut iaitu Perodua Axia.

    Walaupun jangkaan peratusan bahagian pasaran menunjukkan peningkatan, jualan pada pada suku pertama tahun ini menyaksikan penyusutan sebanyak 17.4% berbanding 57,200 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun lalu. Untuk perbandingan jualan antara bulan pula, Perodua menjual 17,300 unit kenderaan pada Mac 2016 berbanding 22,400 unit pada bulan yang sama tahun lalu, menyaksikan penyusutan sebanyak 22.8%.

    Menurut Presiden dan CEO Perodua Dr Aminar Rashid Salleh penyusutan ini adalah berikutan ramai pengguna yang membeli kereta sebelum bermulanya implimentasi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada Mac tahun lalu.

    “Berdasarkan penyeledikan dalaman kami, boleh kami simpulkan penyusutan dalam Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) adalah kerana keadaan ekonomi yang lembab, peningkatan pada harga kenderaan oleh sebahagian pemain dalam industri kerana kejatuhan nilai ringgit dan juga kesan sampingan dari GST,” tambah Aminar lagi.

    Perodua_Axia_Standard_vs_Advance_-001_BM

    Beliau juga menambah, angka-angka yang dikongsikan tersebut adalah berdasarkan penyelidikan dalaman dari Perodua dan juga bersandarkan angka-angka rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

    Untuk prestasi perniagaan servis selepas jualan Perodua pula, menyaksikan sejumlah 515,343 unit kenderaan telah dihantar ke pusat servis untuk suku pertama tahun ini, di mana jumlah tersebut dilihat meningkat 7% dari 481,627 unit yang dihantar ke pusat servis pada suku pertama 2015. Alat ganti (termasuk aksesori) juga meningkat sebanyak 4% kepada RM65 juta dalam suku pertama 2016 dari RM62.5 juta pada suku yang sama tahun lalu.

    Perodua turut memproduksi sejumlah 48,300 unit kenderaan untuk suku pertama tahun ini berbanding 60,100 unit kenderaan pada suku yang sama tahun 2015. Penyusutan jumlah produksi tersebut adalah kerana stok tahun lalu yang dibawa ke tahun ini dan juga kerana kelembapan ekonomi pada suku pertama 2016.

    Walau bagaimanapun, peningkatan dapat disaksikan pada jumlah eksport Perodua berikutan pelancaran model Myvi dan Alza di Brunei awal bulan ini.

    2016-perodua-export-to-brunei-alza-1

    Menurut CEO Perodua itu lagi, syarikatnya telah mengeksport sejumlah 1,600 kenderaan ke enam buah negara pada suku pertama tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 55.8% dari 1,030 unit kenderaan pada suku yang sama tahun lalu. Perodua juga mensasarkan perkembangan yang stabil pada capaian serantau dalam usaha mereka meningkatkan operasi syarikat untuk lebih kompetitif di peringkat global.

    “Berkenaan keuntungan kami pada suku pertama, impak kepada dollar Amerika, khususnya pada ringgit dan jumlah campuran jualan kami, terus memberikan cabaran yang besar untuk menepati sasaran kami.”

    “Ketika kami bangga kerana telah meningkatkan bahagian pasaran kami, nisbah yang besar pada jualan kami adalah dari varian model yang lebih rendah, hanya membolehkan kami mendapatkan keuntungan yang rendah, oleh itu ia telah memberi kesan kepada kami,” terang Aminar.

    Aminar juga menjelaskan, walaupun ada petunjuk pada peningkatan ekonomi dengan kenaikan harga minyak mentah dan juga nilai ringgit yang semakin kukuh berbanding matawang lain khususnya dollar Amerika, beliau berpendapat adalah terlalu awal utnuk bersikap optimistik.

    “Ini bermaksud, kami akan terus memantau situasi dan pada peringkat ini kami perlu berhati-hati untuk memastikan kami mencapai sasaran utama kami, khususnya sasaran jualan berjumlah 216,000 unit pada penghujung tahun ini,” kata Presiden Perodua itu.

    Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan pihak lain yang berkepentingan atas sokongan berterusan mereka dan berjanji untuk memperbaiki semua aspek agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik.

     
     
  • Subaru Forester facelift 2016 dilancar di M’sia – Harga dari RM145k, dua NA CKD dan satu Turbo CBU

    IMG_2267

    Setelah pelancarannya untuk peringkat rantau Asia Tenggara berlangsung bulan lalu di Bangkok International Motor Show 2016, hari ini Motor Image Malaysia secara rasminya melancarkan Subaru Forester facelift 2016.

    Tiga varian ditawarkan dalam barisan model Forester facelift iaitu 2.0i dan 2.0i-P yang dibuat secara pemasangan tempatan (CKD) di kilang Tan Chong Segambut, manakala varian 2.0 XT yang lebih berkuasa diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

    Seperti yang diberitahu sehari selepas pelancarannya di Bangkok, model asas Forester 2.0i akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM144,948, diikuti dengan 2.0i-P pada RM154,488. Model CBU 2.0i-L sebelum ini dijual pada harga RM163,590 menyaksikan versi facelift terbaharu 2.0i dan 2.0i-P ini lebih murah sebanyak RM18,642 dan RM9,102. Manakala untuk varian XT pula ditawarkan dengan harga atas jalan tanpa insuran RM211,729, menyaksikan peningkatan harga sebanyak RM2,830. Tetapi untuk tempoh masa terhad, Motor Image menawarkan harga pengenalan istimewa iaitu RM139,800 untuk varian 2.0i dan RM151,800 untuk varian 2.0i-P

    Subaru_Forester_20i_Ext-20

    Pada bahagian hadapan, SUV ini tampil lebih segar dengan lampu hadapan LED penuh (varian asas 2.0i hanya dilengkapi lampu projektor biasa) yang menampilkan ciri Responsif Stereng dimana ia akan menyuluh mengikut arah putaran stereng. Turut berubah adalah rekaan pada gril hadapan baharu yang menempatkan logo Subaru pada bahagian tengah, bampar hadapan dan lampu kabus rekaan baharu, dan juga lampu nyalaan siang LED.

    Begitu juga pada bahagian belakang yang menyaksikan Forester menerima lampu belakang berbentuk-C baharu dan dipadankan dengan bampar belakang yang turut direka semula.

    Beralih ke bahagian sisi, varian 2.0i dan 2.0i dilengkapi roda aloi dengan motif bilah kemasan hitam kilat dan aloi digilap bersaiz 17-inci dibaluti tayar 225/60R17. Manakala untuk varian 2.0XT pula dilengkapi dengan roda aloi kemasan hitam kilat dan aloi digilap bersaiz 18-inci dibaluti tayar 225/55R18.

    Kesemua varian mempunyai lebar 1,795 mm dan tinggi 1,735 mm, tetapi mempunyai panjang yang berbeza, kerana perbezaan pada bahagian hadapan. Varian 2.0i yang mempunyai panjang keseluruhan 4,610 mm menerima bampar hadapan facelift seperti yang disaksikan di Tokyo, manakala untuk 2.0i-P dan XT, kedua-duanya mempunyai panjang keseluruhan 4,595 mm kerana berkongsi rekaan pada hadapan yang sama.

    Bahagian dalaman Forester masih lagi kelihatan seiras dengan model terdahulu. Kemasan dalaman menerima lebih banyak balutan kulit, plastik hitam berkilat dan juga panel krom pada bahagian seperti panel pintu, papan pemuka, liang penghawa dingin dan panel kawalan tengah. Balutan kulit adalah standard untuk semua varian. Kadar NVH juga telah dipertingkat selepas crossover ini dilengkapkan dengan material kedap bunyi tambahan dan tingkap yang lebih tebal.

    Paparan instrumen kini lebih segar dengan paparan grafik kini dipaparkan pada skrin TFT LCD berwarna. Pada papan pemuka juga telah dilengkapkan dengan paparan pelbagai info berwarna. Skrin sesentuh unit utama Kenwood DIN berkembar menggantikan unit audio sebelum ini, juga bertindak sebagai skrin kamera undur. Varian tertinggi 2.0XT turut dilengkapi dengan sistem audio premium Harman Kardon.

    Varian 2.0i dan 2.0i-P dijana oleh enjin FB20 bentangan boxer 2.0 liter DOHC tanpa sistem induksi paksaan berkuasa 150 PS pada takat 6,200 rpm dan 198 Nm pada takat 4,200 rpm. Enjin baharu dengan rekaan strok yang lebih panjang dan blok enjin yang lebih ringan membolehkan ia mencapai penggunaan petrol 7.9L untuk setiap 100 km.

    Subaru_Forester_20i_Int-14

    Untuk varian XT pula, ia dibekalkan dengan enjin boxer FA20 2.0 liter didesak dengan pengecas turbo dan sistem pancitan bahan api terus, membolehkan enjin tersebut menjana sejumlah 241 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 2,400 rpm hingga 3,600 rpm. Kedua-dua jenis enjin ini menyalurkan kuasa kesemua roda Forester melalui kotak gear Lineartronic CVT dan sistem pacuan semua roda Symmetrical All-Wheel Drive (S-AWD) Subaru.

    Sistem X-Mode Subaru dilengkapi pada kesemua tiga varian Forester. Sistem tersebut akan mengawal enjin, transmisi, sistem AWD, brek dan lain-lain sistem selepas pemandu menekan hanya satu butang yang diletakkan di depan tuil gear untuk membantu mengawal kenderaan ketika menempuh permukaan jalan yang sukar. Sistem tersebut berfungsi pada kelajuan bawah 40 km/j, dan disertakan dengan fungsi Kawalan Penurunan Bukit yang berfungsi sekali ketika X-Mode diaktifkan.

    Selain dari ciri X-Mode, sistem suspensi juga telah ditingkat taraf untuk meningkatkan lagi kebolehan pengendalian Forester ini. Cross member hadapan direka dengan lebih keras, spring dan penyerap hentak baharu juga di tala semula serta jajaran roda belakang telah ditukar untuk memastikan Forester memberikan pengendalian yang lebih hebat.

    Subaru_Forester_20i_Int-7

    Roda stereng rekaan baharu dilengkapi dengan butang mod respon pendikit yang boleh dipilih dalam mod Si atau Intelligent, juga dilengkapi dengan butang Kawalan Kelajuan (hanya untuk varian 2.0i-P dan XT) dan juga penukar gear. Tuil gear turut diberi penampilan baharu, begitu juga pedal kawalan aluminium.

    Ciri eksklusif lain yang disertakan pada 2.0i-P dan XT adalah tempat duduk hadapan pemandu penumpang larasan empat-hala berkuasa (dengan fungsi memori). Tugas untuk memasukkan barang pada bahagian pintu tailgate belakang juga semakin mudah kerana Forester kini dibekalkan dengan pintu tailgate berkuasa lengkap dengan fungsi memori. Kunci Forester juga boleh dibuka tanpa kunci menerusi sistem akses kod PIN, yang membolehkan pemilik mengakses kereta mereka dengan hanya memasukkan PIN rahsia.

    Untuk sistem keselamatan, Forester dilengkapi dengan tujuh beg udara (dua di hadapan, sisi dan langsir, lutut pemandu), Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Bantuan Mula Mendaki, kerangka diperkuat dengan bentuk-cincin, sistem ABS lengkap dengan EBD dan BA, Brake Overirde, dan sistem pedal keselamatan. Kesemua ciri keselamatan ini adalah standard untuk semua varian.

    Forester facelift 2016 datang dengan lima pilihan warna iaitu Pure White, Silver Metallic, Dark Grey Metallic, Sepia Bronze dan Obsidian Black Metallic. Setiap pembelian disertakan sekali dengan waranti lima tahun atau 100,000 km yang mana sampai dahulu, dan servis berkala percuma tiga tahun atau 60,000 km yang mana sampai dahulu.

    Menurut Glenn Tan, Pengarah Eksekutif Tan Chong International, Forester disasarkan akan dijual sebanyak 500 unit sebulan. Malah katanya, unit CKD yang dihasilkan di Malaysia, turut diimport ke Thailand. Ketika ditanya, adakah Forester 2.0 XT akan dipasang di negara ini, jawabnya, “Kos untuk pemasangan adalah sangat tinggi dan kami belum mempunyai perancangan ke arah itu buat setakat ini.”

     
     
  • Kerajaan sedang bincang kaedah pengumpulan dana berjumlah RM1.5 bilion untuk Proton – Mustapa

    tokpa-iriz-ev-1

    Susulan berita mengenai kerajaan telah meluluskan permohonan Proton untuk mendapatkan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion pada minggu lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Kementerian Kewangan sedang membincangkan kaedah pengumpulan dana tersebut.

    Katanya, setakat ini belum ada pendekatan muktamad bagi pengumpulan dana tersebut dan Kementerian Kewangan akan membuat pengumuman setelah kaedah berkenaan dikenal pasti, laporan Bernama.

    “Kementerian Kewangan telah berjumpa pihak pengurusan syarikat tersebut setelah pengumuman dibuat pada Jumaat lepas.

    “Secara amnya, mereka boleh terima syarat-syarat yang ditetapkan, dan kita tidak nampak ada masalah besar. Bagaimanapun, kerajaan akan mengeluarkan jadual pelan rasionalisasi tersebut kepada syarikat (Proton), satu dari sudut kerajaan manakala satu lagi dari sudut syarikat,” katanya.

    Mustapa berkata, jadual dari sudut syarikat menunjukkan Proton memerlukan bantuan dalam masa terdekat dan memandangkan ia merupakan satu industri yang penting kepada negara serta mempunyai persaingan hebat, kerajaan perlu bersikap realistik dan membantunya.

    “Bagaimanapun, semua perincian diserahkan kepada Proton. Kerajaan cuma memantau syarat yang telah ditetapkan Kementerian Kewangan, dan tidak masuk campur dari segi operasinya,” kata beliau.

    Ketika ditanya sama ada masalah Proton itu sama seperti yang dihadapi syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Bhd, Mustapa berkata ia merupakan dua masalah yang berbeza.

    Proton_Iriz_Drive_ 028

    “Proton tidak seperti MAS. Ia adalah syarikat persendirian namun oleh kerana ia mengeluarkan kereta nasional, dan kita juga melihat kepada kebajikan 60,000 pekerja serta vendor yang membekalkan komponen kereta tersebut kepada syarikat-syarikat lain.

    “Inilah rasional kenapa kita membuat keputusan berhubung pemberian pinjaman mudah kepada mereka. Kita berharap Proton akan mencatatkan prestasi lebih baik memandangkan ia adalah penting kepada 60,000 individu yang bekerja di sana,” katanya.

    Walau bagaimana pun, terdapat beberapa syarat dikenakan kepada Proton untuk memulihkan perniagaan, antaranya, syarikat itu perlu meyakinkan kerajaan mengenai model perniagaan baharunya supaya perniagaan berdaya maju dan berdaya saing,

    Selain itu, Proton perlu mewujudkan pelan penstrukturan semula syarikat itu serta menyediakan pelan strategik untuk memperluaskan pasaran di dalam dan luar negara.

    Ia juga perlu mendapatkan rakan kongsi asing terkemuka yang akan membantu dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menjadi syarikat yang berdaya maju serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.

     
     
  • GDL tidak dikeluarkan untuk warga asing – JPJ

    malaysian-driving-license-001

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mengeluarkan ‘Good Driving Licence’ (GDL) kepada warga asing di negara ini bagi menjalankan perniagaan menggunakan kenderaan mereka.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad, GDL hanya dikeluarkan kepada warganegara dan penduduk tetap di negera ini yang menggunakan kenderaan untuk berniaga manakala warga asing hanya akan diberikan Lesen Memandu Kompeten (CDL) untuk melayakkan mereka memandu, laporan Bernama.

    “Warga asing tidak boleh memiliki CDL. Sekiranya mereka ada, ia adalah palsu kerana JPJ tidak pernah meluluskan lesen berkenaan untuk warga asing di negara ini.

    “Mungkin sindiket yang menjual lesen ini kepada warga asing untuk mereka berniaga. Sindiket ini menipu warga asing kononnya mereka akan mendapat kelulusan JPJ dan menjual lesen tersebut antara RM300 hingga RM500,” katanya.

    Mengulas lanjut, Ismail berkata warga asing yang memiliki GDL akan disaman dan tindakan mahkamah akan diambil terhadap mereka.

    Beliau berkata kenderaan yang digunakan warga asing untuk tujuan perniagaan diklasifikasikan sebagai kenderaan perdagangan dan ia akan disita sekiranya mereka didapati memiliki GDL.

    Katanya institut memandu di negara ini tidak boleh meluluskan lesen GDL atau CDL kerana kuasa tersebut terletak di bawah bidang kuasa JPJ.

    “Terdapat salah faham tantang isu ini kerana meluluskan lesen CDL atau GDL adalah di bawah kuasa JPJ, tetapi lesen boleh dikeluarkan ejen yang dilantik JPJ seperti Pejabat Pos dan sebagainya,” katanya.

     
     
  • ETCM lancar bilik pameran Nissan terbesar di Temerloh, mampu pamer 9 buah kenderaan serentak

    Tan-Chong-Showroom-Multiway-Auto-Temerloh-01_BM

    Edaran Tan Chong Motors (ETCM) telah pun melancarkan secara rasmi bilik pameran mereka yang telah ditingkat taraf untuk kawasan pantai timur, yang dikendalikan oleh pengedar sah Multiway Auto. Ia disokong oleh pihak Tan Chong Ekpres Auto Servis (TCES), Temerloh, yang terletak 9 km atau lima minit masa pemanduan dari bilik pameran tersebut.

    Melibatkan pembangunan keseluruhan berkeluasan 8,000 kaki persegi, ia dibina dengan 1.5 tingkat. Bilik pameran yang ditingkat taraf itu membawa identiti Global Retail Visual baharu Nissan itu, mempunyai kapasiti untuk mempamerkan sembilan buah model Nissan dibantu oleh 10 orang konsultan jualan.

    Proses penyerahan kenderaan baharu kepada pelanggan juga kini dilakukan di dalam bilik yang berpenghawa dingin. Selain itu, pelanggan yang masuk ke bilik pameran akan disediakan dengan ruang legar yang lengkap dengan Wi-Fi dan juga sudut kanak-kanak.

    “Dengan pelaburan sebanyak RM1.5 juta, kami bangga boleh bekerjasama dengan pihak Tan Chong untuk mengembangkan perniagaan Nissan kami dalam kawasan ini,” kata Ong Kok Ming, pengarah urusan Multiway Auto. Pengedar bertauliah tersebut adalah salah sebuah pengedar bebas Nissan daripada jumlah keseluruhan 19 pengedar yang dilantik oleh Tan Chong dalam negara.

    Bilik pameran ini dibuka dari 8.30 pagi hingga 7 petang setiap isnin hingga sabtu, 8.30 pagi hingga 5 petang pada hari ahad dan 9 pagi hingga 5 petang pada cuti umum.

    Bersempena pelancaran tersebut juga, Multiway Auto akan mengadakan Karnival Pandu Uji Nissan untuk tiga minggu berturut-turut sepanjang bulan April, dari 8.30 pagi hingga 7 petang. Selain dari pandu uji, tawaran dan hadiah istimewa turut disediakan semasa berlangsungnya karnival tersebut. Pembeli baharu juga berpeluang untuk memenangi percutian yang ditanggung sepenuhnya untuk menyaksikan perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA di Itali, sebagai sebahagian kempen yang sedang dijalankan Nissan.

     
     
  • GALERI: Mercedes-Benz A250 Motorsport Edition

    MB_A250Sport_Ext-2

    Pastinya Mercedes-Benz A 250 Motorsport Edition, varian paling sporty dalam barisan A-Class W176 facelift standard cukup menambat perhatian. Model yang nampak seiras dengan AMG A 45 ini dilengkapi dengan ciri-ciri tambahan pada bahagian luaran dan dalaman serta serlahan warna “petrol green”, dengan harga lebih RM18,000 lebih mahal dari varian A 250 biasa, menjadikan harga atas jalan tanpa insurannya RM256,888.

    Motorsport Edition dapat dibezakan berbanding A 250 standard melalui spoiler belakang yang besar ala-A 45 AMG dan juga roda aloi pelbagai jejari 19-inci AMG. Rim aloi yang sama seperti rim yang terdapat pada A 45 AMG tersebut diwarnakan dengan warna hitam berkilat (berbanding hitam matte pada AMG) dan bersaiz lebih besar dari rim aloi lima jejari pada varian A 250 Sport standard.

    Serlahan warna “Petrol Green” meliputi bahagian spoiler hadapan, sekeliling keempat-empat roda aloi, spoiler belakang dan juga diffuser belakang. Tema tersebut turut dibawa kebahagian dalaman dengan jaluran hijau tadi merentasi tempat duduk yang turut dibalut kulit berwarna hitam/gentian mikro Dynamica, tali pinggang keledar. Jahitan benang pada pintu, tempat duduk, roda stereng dan papan pemuka yang dibaluti kulit (tidak terdapat pada A250 Sport biasa) juga mendapat warna tema hijau sama.

    Selain dari ciri-ciri tadi, ciri lain yang terdapat pada Motorsport Edition adalah sama seperti varian Sport, dilengkapi dengan lampu hadapan LED High Performance, gril hadapan berlian dengan pin krom dan juga kit badan AMG Line. Bahagian dalaman pula dilengkapi dengan paparan media dengan skrin lapan-inci, kamera undur dan juga sistem Active Park Assist.

    Begitu juga dengan unit penjana, Motorsport Edition masih lagi dikuasakan dengan enjin turbo 2.0 liter empat-silinder menjana 211 hp dan tork 350 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan 7G-DCT, dan mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.4 saat (sebelum ini 6.6 saat), dan mencapai kelajuan maksima 240 km/j. Suspensi sport talaan AMG juga disertakan.

    Model ini dijual dalam jumlah yang agak terhad oleh pihak Mercedes-Benz Malaysia (jumlahnya tidak dinyatakan). Jadi bagi mereka yang berhajat untuk memilik model ini, bertindak segera dan jangan berlengah. Empat warna disediakan yang terdiri daripada Cosmos Black seperti dalam gambar, Cirrus White, Polar Silver dan Mountain Grey.


     
     
  • Maxus G10 MPV dilancarkan di M’sia, varian Luxury 16″ dan Sport 18″, 2.0L TGI – Harga dari RM136k

    2016-Maxus-G10-1

    Pada Jun tahun lalu, Weststar telah membawa masuk model Maxus G10 iaitu MPV 10-tempat duduk ini ke Malaysia, namun ia mengambil masa yang agak lama untuk dilancarkan. Hari ini, ia telah dilancarkan oleh
    Dato’ Sri Mustapa Mohamed Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan diiringi Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim selaku Pengarah Urusan Weststar Group.

    Diperbuat di Shanghai, China, terdapat dua varian yang diperkenalkan iaitu Luxury 16″ dan Sport 18″. Tiada perbezaan bagi kedua-dua varian, hanyalah berbeza rim sahaja. G10 berukuran 5,168 mm panjang, 1,980 mm lebar, 1,928 mm tinggi dan 3,210mm jarak roda.

    MPV yang sesuai untuk kegunaan seisi keluarga ini dibawa masuk oleh Weststar Maxus Sdn Bhd, harga atas jalan (tanpa insurans) yang ditawarkan bermula pada RM135,825.50 untuk Luxury 16″ dan RM138,742.85 bagi varian Sport 18″. Ia turut didatangkan dengan waranti tiga tahun dan bonus tambahan untuk setahun servis percuma.

    MaxusG10_Ext_18

    Tidak mempertaruhkan imej yang sarat, tetapi ia hadir dengan gaya yang ringkas tetapi masih menampakkan ciri elegannya. Dengan menampilkan gril hadapan krom, lampu utama Xenon HID, lampu belakang LED, lampu kabus hadapan dan belakang, dua pintu gelongsor pada kedua-dua belah sisi dan rim aloi bersaiz 16-inci (18-inci bagi Sport 18″) yang dibaluti tayar 215/75 .

    Bagi elemen di dalamnya, ia menampilkan zon-berkembar kawalan suhu automatik, penghawa dingin belakang, kemasukan tanpa kunci bersama butang penghidup enjin, kawalan kelajuan auto, bumbung panoramik dan pemain DVD dengan paparan LCD bersaiz tujuh-inci serta sistem audio bersama enam pembesar suara. Selain itu, ia turut ditampilkan dengan tempat duduk balutan kulit, pengesan parkir, lampu kabus hadapan dan belakang, kamera undur.

    Tidak mengetepikan aspek keselamatan. G10 dilengkapi dengan dua beg udara, ABS dengan EBD, ESP, EBA, pengesan parkir, pengingatan pemasangan tali pinggang keledar untuk tempat duduk pemandu, sistem pemantauan tekanan tayar dan sistem Brake Override.

    G10 dijanakan oleh enjin 2.0 liter TGI pengecas turbo dengan kuasa 225 hp pad 5,500 rpm dan tork 345 Nm pada 4,000 rpm. Turut dipadankan dengan transmisi automatik ZF enam-kelajuan bersama mod manual. G10 mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 190 km/j.

    Ia turut ditawarkan dengan tiga warna pilihan menarik iaitu Champagne Gold, Blanc White dan Obsidian Black. Kehadiran G10 di Malaysia pastinya akan memberikan cabaran buat model pesaing terdekatnya iaitu Hyundai Grand Starex.

    Menurut Tan Sri Syed Azman, buat setakat ini, sebanyak 120 unit tempahan telah diterima dan mensasarkan jualan sebanyak 500 hingga 1,000 unit untuk tahun ini bergantung pada sambutan. “Kami merancang untuk memulakan operasi pemasangan G10 bagi unit pemasangan tempatan (CKD) seawal-awalnya September ini dan akan mengeksportnya ke pasaran ASEAN mulai tahun 2017 dengan Indonesia sebagai negara pertama.

    “Malah untuk unit CKD ini, kami akan menambah lebih banyak elemen berbanding apa yang ada pada model yang dilancarkan hari ini,” ujar Tan Sri Syed Azman.

    Weststar Maxus merupakan anak syarikat Weststar Group, kini memiliki 15 pengedar jualan dan 32 pusat servis di seluruh negara.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025