Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BMW Malaysia akan pasang 3 Series, 5 Series dan 7 Series untuk eksport ke Vietnam, Filipina mulai 2018

    BMW Malaysia telah mengumumkan bakal memasang kenderaan di sini untuk dieksport ke Vietnam dan Filipina, bermula tahun 2018. Produksi bagi unit pemasangan tempatan (CKD) itu melibatkan model 3 Series, 5 Series dan 7 Series, dengan spesifikasi pemanduan sebelah-kiri untuk kedua-dua pasaran berkenaan.

    Buat setakat ini model 7 Series hadir dalam bentuk CBU, dan berita yang BMW Malaysia bersedia memasangnya di sini, sekali gus memberikan peluang untuknya dijual dalam versi CKD bagi pasaran tempatan.

    Buat setakat ini tiada perincian lanjut mengenai pasaran eksport ini ketika ia diumumkan Isnin lalu sempena dengan pengumuman penerimaan insentif status EEV bagi model VMW 3 Series Gran Turismo, X3 dan 5 Series. Malah dalam majlis berkenaan turut mengumumkan program CKD yang bakal melibatkan BMW X1 dan X4, yang akan bermula pada pertengahan tahun ini.

    Untuk pengeluaran CKD termasuk bagi pasaran eksport, BMW Malaysia merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 2,000 hingga 3,000 unit menjelang 2018 daripada 8,000 unit sekarang ini. Produksi bagi pemasangan tempatan ini akan dilaksanakan di kilang pemasangan di Kulim Hi-Tech Park, Kedah.

    Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun, “Malaysia terus menjadi hab strategik untuk BMW Group di Asia Tenggara. Kami berasa gembira kerana dapat meningkatkan tahap kecekapan di sini untuk memasang dan mengeksport kenderaan-kenderaan premium ke pasaran membangun di rantau ini, sekali gus meningkatkan keupayaan kami di rantau ASEAN.”

     
     
  • AES/AWAS terbukti efektif, yuran penyedia servis masih lagi dibincangkan oleh LTAT dan kerajaan

    Perincian penalti sistem Kejara. Klik untuk besarkan

    Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) telah terbukti efektif dalam mengurangkan jumlah kemalangan maut sejak implementasi sistem tersebut dilakukan pada tahun 2012. Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, jumlah kemalangan maut telah berkurangan dengan ketara di 14 lokasi yang dipasangkan dengan kamera AES, lapor The Sun.

    “Pada 14 lokasi yang dipasangkan kamera AES, jumlah kemalangan maut telah berkurangan dari 19 kes kepada 12 kes dalam masa lapan bulan. Pengurangan sebanyak tujuh kes atau 36.84%. Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) juga menunjukkan kadar pemandu yang mematuhi had laju juga meningkat dari 63% kepada 91% selepas AES diimplementasikan,” kata beliau dalam Dewan Negara semalam.

    Menjawab kepada pertanyaan yang diajukan oleh Senator Datuk Ng Chiang Chin, Abdul Aziz berkata kerajaan akan terus mengembangkan penggunaan AES, dan akan dijenamakan semula sebagai AWAS, dan digabungkan dengan sistem demerit Kejara.

    aes-speeding-ticket-950x4711

    Abdul Aziz kemudiannya memberitahu wartawan di lobi Dewan Negara, kerajaan yakin AWAS akan memperbaiki tahap keselamatan jalan raya kerana kebolehannya untuk membuat penguatkuasaan selama 24-jam tanpa henti. Beliau juga menjelaskan pengguna jalan raya, termasuk penunggang motosikal, akan diberikan markah demerit berdasarkan tahap kesalahan yang mereka lakukan. Apabila markah mereka mencecah 20 markah, lesen mereka akan ditarik balik dan akan dibatalkan sepenuhnya jika markah terkumpul mencecah 40 markah.

    Sementara itu, yuran untuk penyedia servis untuk AWAS iaitu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) masih lagi dalam peringkat perbincangan. Abdul Aziz berkata perbincangan tersebut turut mengambil kira pengambilalihan oleh LTAT dan subsidiari sistem tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai AES.

    “Kesemua kos berkaitan pembangunan operasi sistem, dan infrastrukturnya, adalah dibiayai oleh LTAT. Perbincangan berkenaan yuran antara LTAT dan Kementerian Kewangan masih lagi berjalan sehingga kini, kementerian tersebut masih belum memberi tahu apa-apa berkenaannya lagi,” ujar beliau.

    Sistem AWAS sebelum ini diumumkan akan mula dilaksanakan pada Mei ini. Tetapi setelah beberapa perbincangan dilakukan kembali, pelaksanaannya ditangguhkan sehingga selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti.

     
     
  • Dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan (ELV) masih belum bersedia dilaksana kerana kurang fasiliti pemeriksaan kenderaan – Ahmad Maslan

    puspakom-macc 8

    Buat masa ini Dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan (End-of-Life-Vehicles) atau ELV belum bersedia untuk dilaksanakan di negara ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

    Menurutnya, ia adalah kerana kekurangan pusat pemeriksaan kenderaan. Setakat ini hanya terdapat 56 buah Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di seluruh negara dan jumlah itu amat sedikit jika dibandingkan dengan keperluan iaitu 450 Puspakom untuk memeriksa kenderaan jika ELV dilaksanakan, laporan Bernama.

    “Buat masa ini, terdapat hampir 24 juta kenderaan di negara ini, di mana 12 juta daripadanya merupakan kenderaan penumpang atau persendirian. Jika ELV mahu dilaksanakan, kita memerlukan 450 buah pusat pemeriksaan kenderaan, jauh daripada jumlah yang ada sekarang iaitu hanya 56 buah,” katanya dalam persidangan Dewan Negara hari ini.

    Beliau menjawab soalan Senator Azizah Harun yang mahu kementerian menyatakan status dasar ELV yang terkandung dalam Dasar Automatif Nasional (NAP) 2014, sama ada ia akan diteruskan atau di peringkat perancangan.

    kedai-potong

    Katanya lagi, NAP 2014 menekankan beberapa asas perlu diwujudkan terlebih dahulu sebelum dasar tersebut boleh dilaksanakan antaranya pelaksaanan aktiviti 4R (Reduce, Reuse, Recycle & Remanufacture).

    Bagaimanapun, katanya kajian secara mendalam sedang dijalankan terutama berkenaan kesan penggunaan kenderaan berusia, ke atas keselamatan jalan raya dan usaha-usaha pemuliharaan alam sekitar.

    “Selain itu kementerian juga memantau aktiviti mengawal selia kitar semula dan pengilangan semua industri automotif.

    “Melalui NAP 2014, telah diperkenalkan pemeriksaan secara sukarela untuk menjamin kenderaan sentiasa selamat digunakan,” katanya.

    Menurut beliau, Malaysia juga tidak akan melaksanakan Scrap Policy seperti di Singapura yang mana teksi berusia lapan tahun dan kenderaan persendirian berusia 10 tahun tidak lagi boleh digunakan.

     
     
  • Sistem bayaran tunai kepada pemandu untuk Uber dan Grab akan timbulkan masalah undang-undang

    Big-Blue-Taxi-02

    Sistem bayaran tunai kepada pemandu yang kini ditawarkan dalam servis Uber dan Grab, akan memberikan peluang kepada pengendali servis tersebut untuk menyalahkan pemandu jika ada apa-apa masalah berkenaan undang-undang ditimbulkan. Perkara ini dinyatakan oleh pemilik Big Blue Capital Sdn Bhd Datuk Shamsubahrin Ismail (gambar diatas) menurut laporan The Star, dan beliau menambah pemandu untuk perkhidmatan tersebut sepatutnya tidak terpedaya dengan sistem baharu itu.

    Shamsubahrin mendakwa dengan sistem bayaran baharu ini, Uber dan Grab tidak akan terlibat secara langsung dalam urusniaga ketika perkhidmatan itu berlangsung. Oleh itu, apabila ada pelanggan yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan tersebut dan ingin mengambil tindakan undang-undang, syarikat terbabit akan meletakkan kesalahan tersebut sepenuhnya kepada pemandu.

    “Mereka boleh berkata, kami tidak memungut sebarang bayaran. Kami hanya penyedia aplikasi, sesiapa sahaja yang mahu menggunakannya, gunalah. Uber dan GrabCar tidak mahu menanggung sebarang kesalahan dan tanggungjawab semasa beroperasi dan semua itu akan dipindahkan sepenuhnya kepada pemandu. Jadi selepas ini, pemandu yang akan didakwa di dalam mahkamah,” kata beliau.

    GrabCar-JB-April-7-01

    Sistem bayaran tunai ini juga akan mendedahkan isu undang-undang kepada pemandu berkaitan memungut wang daripada servis yang belum lagi mendapat lesen dari Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), dakwa Shamsubahrin.

    Sehingga kini, Uber menawarkan transaksi tunai kepada penumpang di Johor Bahru, dan tidak lama lagi di Kuala Lumpur. Ipoh dan Pulau Pinang juga dijangka akan mengikut langkah berkenaan, dimana buat masa ini, sistem tersebut masih lagi sedang diuji.

    Walau bagaimanapun, Grab sudah lama memperkenalkan sistem bayaran tunai untuk servis perkongsian kenderaan dalam talian ini. Syarikat berkenaan mengumumkan pada November tahun lalu mereka akan menerima bayaran dalam bentuk tanpa tunai dengan penggunaan kad kredit.

    uber-cash-payment

    “Saya bersimpati kepada pemandu. Mereka diperdaya oleh Uber kerana mereka yang akan menerima bayaran dari orang awam tanpa autoriti atau lesen yang disahkan. Ia sudah menjadi kes pengubahan wang haram dan Bank Negara boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” ujar beliau lagi dan turut menambah Bank Negara, SPAD dan Kementerian Pengangkutan perlu menghentikan operasi Uber dan Grab sehingga semua isu dapat diselesaikan.

    Usaha untuk membenarkan servis perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grab beropersi secara sah kini sudah mencapai tahap di mana Kementerian Pengangkutan mengumumkan pemandu yang terlibat dengan servis tersebut perlu untuk memiliki lesen voksional PSV. Di seberang tambak pula, pemandu Uber dan Grab Singapura juga perlu untuk memiliki Lesen Vokasional Pemandu Kereta Sewa Persendirian (PDVL) jika mahu terus untuk menjadi pemandu servis berkenaan.

     
     
  • Puspakom umum pengkhususan pemeriksaan di cawangan Taman Bukit Maluri dan Batu Caves

    puspakom-test

    Puspakom telah mengumumkan, mulai 23 Mei 2016, Pusat Pemeriksaan Puspakom Batu Caves akan dikhususkan untuk pemeriksaan Kenderaan Persendirian sahaja, manakala cawangan Taman Bukit Maluri hanya untuk pemeriksaan Teksi dan Kenderaan Perdagangan Ringan (BDM 5,999kg ke bawah).

    Menurut kenyataan yang dihantar oleh Puspakom, perubahan serta penambahbaikan ini bertujuan untuk melancarkan aliran trafik serta mempercepatkan operasi di pusat-pusat pemeriksaan tersebut. Aliran trafik yang lebih lancar akan dapat memberi keselesaan kepada para pelanggan khususnya pemilik kenderaan persendirian, pengusaha kereta terpakai, teksi, kenderaan perdagangan ringan dan komuniti sekeliling serta mengurangkan masa menunggu.

    Di samping itu, cawangan Batu Caves akan menambah dua lagi lorong pemeriksaan menjadikannya kepada lima lorong pemeriksaan untuk menampung keperluan pemeriksaan bagi kenderaan persendirian. Hasil daripada pengkhususan ini, kapasiti di cawangan tersebut akan meningkat sebanyak 67%.

    Manakala Pusat Pemeriksaan Puspakom Taman Bukit Maluri akan dibahagikan kepada dua bahagian yang mana setiap bahagian merangkumi empat lorong. Salah satu bahagian akan dikhususkan untuk pemeriksaan teksi manakala satu bahagian lagi akan dikhaskan untuk pemeriksaan kenderaan ringan.

    Ini bertujuan untuk mengurangkan kesesakan trafik yang berlaku semasa menuju ke laluan keluar masuk di cawangan tersebut, secara tidak langsung ianya akan meningkatkan lagi produktiviti dan mengurangkan masa menunggu untuk memaksimumkan kapasiti pemeriksaan.

    Walau bagaimanapun, cawangan-cawangan lain yang terletak di sekitar Lembah Klang seperti di Petaling Jaya, Pandan Mewah, Bangi, Banting, Cheras, Glenmarie, Padang Jawa, Shah Alam, Sungai Besar, Wangsa Maju dan juga Seremban masih menyediakan perkhidmatan pemeriksaan seperti sedia kala.

    Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail berkata, “Pelaksanaan pengkhususan di cawangan-cawangan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Puspakom untuk meningkatkan lagi tahap kualiti perkhidmatan kepada pelanggan. Pengkhususan ini akan dapat mengurangkan masa menunggu, menawarkan keadaan yang lebih selesa kepada pelanggan serta meningkatkan tahap kecekapan perkhidmatan Puspakom kepada pelanggan.”

    Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, para pelanggan boleh menghubungi talian bebas to 1-800-88-6927 atau emel [email protected] atau layari laman web www.puspakom.com.my.

     
     
  • Peugeot dedah rekabentuk luaran Peugeot 308 Sedan untuk pasaran China – bakal diperkenalkan tahun ini

    New-DONGFENG-PEUGEOT-308-Sedan-2_BM

    Jangan keliru, ini adalah Peugeot 308 sedan baharu dan bukan Peugeot 408. Peugeot masih belum mendedahkan spesifikasi sepenuhnya dan juga bahagian dalaman sedan segmen-C baharu ini, tetapi penampilan sulungnya akan dibuat pada separuh kedua tahun ini.

    Model ini dihasilkan Peugeot dengan kerjasama rakan kongsinya dari China, Dongfeng. Ia adalah sebahagian dari pelan pembangunan strategik lima tahun PSA Group yang digelar “China: Blue Upper”. Satu-satunya maklumat yang didedahkan oleh Peugeot berkenaan sedan ini adalah, ia dibina berasaskan platform EMP2 iaitu platform yang sama digunakan pada 308 hatchback.

    Sebelum ini model 308 sedan berada dalam bilik pameran bersama model 408 sedan di China. Oleh itu, 308 sedan menampilkan muka yang hampir seiras dengan model 308 hatchback. Berbeza dengan 408 sedan, ia diberikan rekaan muka yang lebih unik dan tersendiri dan sedikit panjang berbanding model 308 sedan terdahulu.

    New-DONGFENG-PEUGEOT-308-Sedan-4_BM

    Tetapi berbeza untuk model generasi baharu ini kerana 408 dan 308 hatchback adalah dibina dari asas dan rupa yang sama, konsep dari generasi sebelum ini nampaknya diterbalikkan dengan memberikan rupa yang unik dan tersendiri pada model 308 sedan. Dimensi 308 baharu ini belum lagi diumumkan, jadi tidak dapat dipastikan sama ada 408 sedan dan 308 sedan mempunyai saiz yang sama atau tidak.

    Peugeot 308 sedan menampilkan bampar hadapan yang lebih sporty dengan liang kemasukan udara yang lebih besar pada setiap sisi. Rekaan pada gril hadapan adalah hampir seiras dengan rekaan pada SUV 2008 facelift, manakala pada bahagian belakang ia dilengkapi lampu dengan rekaan baharu sepenuhnya menampilkan rekaan tiga ‘cakaran’ dan kedua-duanya dihubungkan dengan kemasan hitam merentasi penutup but belakang. Begitu juga bampar belakang yang diberikan rekaan baharu sepenuhnya, menempatkan plat nombor pendaftaran pada kedudukan lebih rendah bersama diffuser dan tip ekzos.

    Varian janakuasa dijangka akan diambil sepenuhnya dari model 308 hatchback pasaran China yang terdiri dari enjin turbo 1.2 liter tiga silinder THP dan juga enjin turbo 1.6 liter empat-silinder THP. Kedua-dua enjin ini akan dipadankan dengan transmisi yang boleh dipilih sama ada automatik atau manual.

     
     
  • Sistem VEP memudahkan pemantauan kenderaan luar

    johor causeway jam bernama pix

    Sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) yang akan dilaksanakan di negara ini mulai Jun 2016 mampu merekodkan kemasukan kenderaan asing, sekali gus memudahkan Kementerian Pengangkutan membuat pemantauan.

    Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad, pelaksanaan fasa pertama ini membabitkan sempadan Malaysia-Singapura pada Jun ini, diikuti fasa kedua sempadan Thailand serta dari Indonesia ke Sabah dan Sarawak, laporan Berita Harian.

    “Setiap kenderaan dari tiga negara bersempadan yang memasuki negara ini perlu mendaftar dengan JPJ dan hanya dibenarkan berada di jalan raya kita selama 90 hari sahaja. Jika mereka didapati melakukan kesalahan jalan raya, mereka wajib membayar denda (saman) sebelum dibenarkan keluar ke negara asal,” ujar Ismail.

    Katanya lagi, sebelum ini banyak kenderaan asing yang memasuki Malaysia melebihi tempoh yang ditetapkan selain turut melakukan kesalahan jalan raya.

     
     
  • Data jualan kenderaan di Malaysia untuk Mac 2016

    Malaysian-Car-Sales-Data-March-2016-01

    Selepas 2015 berakhir dengan pelbagai promosi jualan hebat yang turut menyumbang rekod memberangsangkan dalam Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) tahun lalu, namun dua bulan pertama bagi tahun 2016 menyaksikan industri jualan kenderaan agak meleset, sudah pasti didorong oleh faktor kelembapan ekonomi negara. Bukan itu sahaja, banyak jenama yang terpaksa menaikkan harga jualan disebabkan faktor pertukaran mata wang asing, antara penyebab jumlah jualan bagi dua bulan pertama 2016 tidak begitu memberansangkan.

    Biar pun ia bermula agak perlahan, namun untuk Mac 2016, peningkatan jualan dilihat lebih positif dengan sejumlah 10,924 unit atau 29% berbanding Februari. Kenderaan penumpang berjaya terjual sebanyak 42,247 unit (meningkat sebanyak 9,121 unit) secara keseluruhan. Persatuan Automtof Malaysia (MAA) berkata, peningkatan ini didorong oleh masa bekerja yang lebih panjang pada bulan Mac di samping kebanyakan syarikat kenderaan bergegas menghantar kenderaan yang ditempah kepada para pelanggan sebelum tahun kewangan berakhir pada 31 Mac.

    Namun rekod jualan bagi Mac untuk semua jenama menyusut sebanyak 28% atau 18,587 unit lebih rendah berbanding bulan yang sama pada tahun lalu. Dari Januari hingga Mac 2016, mencatatkan jualan sebanyak 22% atau 37,112 unit lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. Walau bagaimana pun, jumlah yang tinggi pada tahun lalu didorong oleh faktor pelanggan yang berpusu-pusu membeli kenderaan sebelum GST diimplementasikan.

    2015_Perodua_Myvi_facelift_vs_Proton_Iriz_-001_BM

    Menerusi carta di atas, kebanyakan jenama besar menyaksikan peningkatan jualan pada Mac, berbanding Februari, kecuali Proton dan Hyundai. Perodua masih menduduki carta di atas mendahului Honda, yang kini merupakan jenama bukan-nasional nombor satu. Honda telah merampas kedudukan Proton iaitu di tangga kedua pada Mac, tetapi jenama nasional itu mendahului rekod antara bulan Januari-Mac iaitu 19,225 unit berbanding Honda dengan 18,777 unit sahaja.

    Agak mengejutkan apabila Nissan mendahului Toyota dan berada di kedudukan keempat dengan jumlah yang agar besar iaitu 10,773 unit dan Toyota hanya 10,216 unit. Mungkin Toyota akan bangkit semula selepas ini dengan pelancaran model baharu Hilux, Fortuner dan Innova tidak lama lagi.

    Bagi jenama premium, sudah pasti Mercerdes-Benz mendahului rekod dan masih utuh di posisinya dengan pencapaian sebanyak 2,677 unit bagi Januari-Mac 2016, meninggalkan pencabar terdekatnya BMW dengan hanya 1,813 unit. Namun kedua-dua jenama mencatat jualan yang memberangsangkan pada suku pertama berbanding jenama Volkswagen (1,604) dan Hyundai (1,569). Manakala Kia (897) dan Peugeot (397) antara jenama besar yang mencatatkan jualan tidak melebihi 1,000 unit.

     
     
  • Model konsep Hyundai Verna – Accent generasi akan datang – dipamerkan di Beijing Auto Show 2016

    Hyundai-Verna-Concept-front-three-quarter-at-the-Auto-China-2016-Live_BM

    Hyundai telah mempertontonkan model konsep Hyundai Verna semasa berlangsungnya Beijing International Auto Exhibition 2016. Hyundai mengatakan model konsep tersebut adalah untuk memberi gambaran sebenar Hyundai Verna generasi akan datang. Verna adalah sedan segmen-B dan turut dikenali sebagai Hyundai Accent di pasaran-pasaran tertentu termasuk Malaysia. Model ini juga agak popular di pasaran Korea Selatan, China, Russia, India dan Amerika Utara.

    Untuk model konsep Verna ini, Hyundai menerapkan rekaan Fluidic Sculpture 2.0 terbaharu mereka. Bahagian muka kereta ini menampilkan gril heksagon yang besar dilengkapi dengan jaring mesh, lampu hadapan yang tirus dan juga bampar hadapan yang sangat agresif. Tetapi, tahap agresif rekaan ini mungkin akan dikurangkan ketika versi produksinya dilancarkan kelak, sama seperti model-model konsep lain.

    Hyundai-Verna-Concept-rear-at-the-Auto-China-2016-Live_BM

    Begitu juga pada bahagian belakang yang menampilkan lampu yang tirus dan garang serta dilengkapi dengan spoiler pada bahagian but. Apa yang menarik pada Verna ini adalah pada bahagian bumbung belakangnya yag direka agak curam, seperti sebuah coupe. Walaupun begitu, bukaan pada pintu belakang dan penutup but kargo adalah konvensional seperti sedan biasa.

    Spesifikasi unit janakuasa dan prestasi kereta ini belum lagi diumumkan. Tetapi menurut laporan IndianAutosBlog, versi produksi model ini akan dilancarkan di India tahun hadapan, sementara pelancarannya untuk pasaran Korea dijangka (sudah tentu) lebih awal, berkemungkinan akhir tahun ini.

    gambar langsung dari Beijing ihsan dari IndianAutosBlog

     
     
  • Haval H2 dijangka tembusi pasaran Malaysia Mei ini

    Haval-H2-1_BM

    Berita baik untuk mereka yang menantikan ketibaan Haval H2, Haval Malaysia telah mengesahkan SUV segmen-C tersebut bakal menembusi pasaran tempatan selewat-lewatnya pada hujung bulan hadapan. SUV keluaran syarikat dari China ini juga dijangka akan dijual pada harga dibawah RM100k.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, H2 untuk pasaran Malaysia akan dijual dalam varian tunggal 1.5T 2WD Dignity. Model tersebut juga sebelum ini pernah dipamerkan pada NST-MAI ASEAN Auto Show tahun lalu. H2 akan masuk ke pasaran Malaysia dan bakal bersaing dengan SUV segmen-C yang lain seperti Hyundai Tucson, Kia Sportage, Honda CR-V dan juga Mazda CX-5.

    H2 ini bakal dijana enjin petrol 1.5 liter turbo dual-VVT 4G15B yang mampu menghasilkan 147 hp pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 210 Nm bermula 2,200 hingga 4,500 rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik dan memacu sepenuhnya roda hadapan.

    Antara ciri yang bakal dilengkapi pada H2 ini agak menarik termasuk lampu hadapan halogen automatik dengan fungsi “follow-me-home” dipadankan bersama lampu nyalaan siang LED yang diletakkan pada bahagian apron hadapan dan pakej estetika termasuk roda aloi 18-inci bersama cat badan dengan dua tona.

    Pada bahagian dalaman, tempat duduk bahagian pemandu diberikan fungsi larasan enam-arah berkuasa bersama sokongan lumbar. Kesemua tempat duduk dan juga roda stereng menerima balutan kulit. Ciri mewah lain pada SUV ini termasuklah sistem kunci pintar, paparan pelbagai informasi TFT berwarna 3.5-inci, unit infotaimen dengan skrin sesentuh, penghawa dingin automatik dua zon dan juga kamera undur/sistem radar.

    Untuk bahagian keselamatan, Haval H2 menawarkan enam beg udara, (dua di hadapan, sisi, dan tirai), bersama kawalan stabiliti elektronik (ESC) serta sistem ABS bersama EBD dan bantuan brek. Sistem pemantauan tekanan angin tayar (TPMS) juga turut dilengkapi pada SUV ini.

     
     
  • Kemunculan sulung Nissan Tiida di Beijing Auto Show

    Nissan-Tiida-Beijing-2016-1-e1461636381909_BM

    Setelah imej teasernya tersiar minggu lalu, akhirnya Nissan Tiida hatchback secara rasminya dipertontonkan di Beijing Auto Show 2016. Model yang diasaskan dari model Pulsar di Eropah ini, diberikan penampilan baru untuk pasaran di China.

    Muka Tiida ini diberikan rupa diinspirasikan daripada Nissan Maxima, dengan gril hadapan kini diberikan elemen krom yang lebih tebal dan bampar hadapan juga direka semula. Bahagian gril hadapan dan apron pada bahagian bampar dibahagikan dengan kemasan berwarna hitam. Di kedua-dua belah sisi bampar tersebut juga ditempatkan lampu kabus yang ditutup dengan kemasan berombak.

    Bahagian belakang Tiida pula menampilkan perubahan yang agak minimal berbanding Pulsar. Lampu belakang masih lagi menggunakan unit lampu yang sama, cuma rekaan pada bampar belakang telah diolah semula. Bahagian dalam juga kekal sama seperti Pulsar, kecuali unit pemain utama sistem infotaimen untuk Tiida pasaran China ini dibekalkan dengan skrin sesentuh bersaiz tujuh-inci.

    Tiida dijana oleh enjin petrol 1.6 liter empat-silinder berkuasa 126hp/154 Nm, dan dipadankan dengan kotak gear CVT automatik Xtronic. Ia juga dilengkapi dengan sistem Intelligent Start and Stop Nissan bagi membolehkan Tiida mencapai penggunaan bahan api yang lebih cekap. Untuk masa hadapan, Tiida dilaporkan akan dikuasakan dengan enjin turbo 1.2 liter empat silinder pada masa hadapan.

     
     
  • Perkhidmatan teksi tempatan bakal dilengkapi dengan pelbagai aplikasi menjelang akhir tahun ini

    Malaysia-Taxi-01

    Bagi membolehkan pengguna membuat pilihan perkhidmatan teksi yang disediakan, pelbagai aplikasi akan dipasang pada teksi tempatan menjelang akhir tahun ini.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, aplikasi tersebut adalah seperti yang disediakan oleh perkhidmatan Uber dan GrabCar, laporan Berita Harian.

    “Aplikasi terbabit akan mengumpulkan semua teksi tempatan bagi membolehkan pengguna membuat pilihan dan ia akan dipantau kerajaan bagi memastikan aktiviti berjalan mengikut undang-undang,” ujarnya.

    Katanya lagi, setakat ini beberapa pertemuan telah berlangsung dengan persatuan teksi bagi membincangkan penyediaan aplikasi yang akan dibantu oleh kerajaan.

    Aplikasi tersebut juga akan memaparkan kadar tambang yang diluluskan kerajaan sekali gus mengelakkan berlakunya monopoli, penipuan kadar tambang dan pilih kasih dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan.

     
     
  • Jaguar XF serba baharu dilancarkan – varian XF Prestige dan XF R-Sport, harga bermula RM450k

    IMG_3279

    Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd (JLRM) melancarkan model Jaguar XF serba baharu di Malaysia menyertai barisan kenderaan sedan Jaguar sedia ada di negara ini. Ia ditawarkan dengan dua varian iaitu XF Prestige dan XF R-Sport.

    Diposisikan di antara model Jaguar XE yang dilancarkan sebelum ini dan model paling canggih Jaguar, model XJ, XF serba baharu ini dibangun berdasarkan binaan kerangka aluminium-intensif yang lebih kukuh dan ringan. Ia turut tampil dengan rekaan yang dinamik dengan sentuhan reka bentuk ala coupe yang menggabungkan keseimbangan keseluruhan dan permukaan elegan.

    Malah ia juga mempunyai garis badan sempurna yang sentiasa menjadi signitur bagi barisan kenderaan Jaguar sebelumnya, dengan jarak antara roda yang lebih panjang, ruang dalaman kabin yang lebih luas serta kecekapan aerodinamik yang lebih baik.

    Bagi imej luarannya, ia ditampilkan dengan lampu utama Bi-Function Xenon bersama larasan automatik dengan lampu nyalaan siang LED J-Blade. Bahagian belakangnya pula, kedua-duanya ditampilkan dengan lampu belakang LED, bootlid larasan elektronik untuk membuka dan menutupnya, serta paip ekzos berkembar.

    Terdapat sedikit perbezaan, di mana Prestige didatangkan dengan kit badan standard, rim 15-jejari Lightweight dan kemasan plat besi khas Jaguar. Manakala XF R-Sport pula dilengkapi kit badan R-Sport bersama rim 10-jejari Helix 18-inci dan kemasan plat besi R-Sport.

    IMG_3292

    Kedua-dua varian ini dikuasakan oleh enjin 2.0 liter i4 pengecas turbo petrol dengan janaan kuasa maksimum 240 PS pada 5,500 rpm dan tork 340 Nm pada 1,750 hingga 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan sistem transmisi automatik elektronik lapan-kelajuan dengan Jaguar Sequential Shift™. Ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam hanya 7.0 saat dengan pecutan maksimum 248 km/j.

    Bagi pengendalian yang lebih dinamik, XF serba baharu ini ditampilkan dengan rekaan Double Wishbone aluminium pada sistem gantungan hadapan, yang disifatkan sebagai konfigurasi terbaik untuk bahagian hadapan kenderaan, dibangunkan untuk menyamai ketepatan kendalian serta maklum balas stereng yang terdapat pada model Jaguar F-Type.

    Bacaan kecekapan aerodinamiknya juga lebih baik iaitu dari Cd 0.29 bagi model sebelumnya kepada Cd 0.26 bagi model terbaharu ini.

    Ia turut menghadirkan sistem Integral Link pada sistem gantungan belakang serta dengan nisbah agihan 50:50, membolehkan ia memberikan pemanduan yang lebih berdinamik.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan Electric Power Assisted Steering (EPAS) yang menawarkan maklum balas stereng, kawalan serta bantuan kuasa yang sedia membantu pemandu dalam semua situasi, sama ada ketika dalam kelajuan tinggi mahupun ketika membelok perlahan.

    IMG_3296

    Bagi All Surface Progress Control (ASPC) pula, ia adalah sistem yang mengawal input brek dan pedal minyak untuk menentukan cengkaman terbaik, dalam apa juga permukaan jalan dan cuaca, tentunya dalam kelajuan rendah, memberikan keyakinan tambahan kepada pemandu dalam keadaan jalan licin.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan ciri-ciri teknologi termaju termasuk JaguarDrive Control, Electric Power Assisted Steering (EPAS), Torque Vectoring dan All Surface Progress Control (ASPC).

    Bagi aspek keselamatannya, ia dilengkapi dengan enam beg udara, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Dinamik, Kawalan Cengkaman, Kawalan Kelajuan dengan had kelajuan, Bantuan Mula Mendaki, Sistem Kunci Pintar Jaguar, kamera pandangan belakang dan Isofix. Namun ia turut ditawarkan dengan pilihan Bantuan Brek Kecemasan, Amaran Keluar Laluan dan Bantuan Parkir.

    Jaguar XF serba baharu memiliki panjang 4,954 mm, 2,960 mm jarak antara rodanya yang kini 51 mm lebih panjang berbanding versi terdahulu, manakala jarak roda depan ke bahagian hadapan kenderaan dikurangkan sebanyak 66 mm.

    Tempat duduk penumpang belakang pada model ini juga mendahului dalam kelasnya iaitu tambahan 15 mm ruang kaki, 24 mm lebih luas bagi ruang lutut serta 27 mm lebih luas bagi ruang kepala berbanding model terdahulu.

    IMG_3291

    Bagi ruang kabinnya, ia mengandingkan elemen mewah kontemporari dengan ketelitian kemasan, kualiti tinggi yang sudah dikenali yang melambangkan kemewahan kenderaan Jaguar serta dilengkapkan lagi dengan penawaran teknologi termaju. Ia turut dilengkapi dengan tempat duduk hadapan dengan larasan elektronik 10-cara (bersama memori larasan bagi tempat duduk pemandu) dan larasan sokongan belakang empat-cara.

    Malah turut menampilkan parkir brek elektronik, dua-zon penghawa dingin automatik dengan dua corong penghawa dingin untuk tempat duduk belakang bersama pengesan solar, pencahayaan dalaman mengikut ‘mood’ dan tempat duduk belakang yang boleh dilipat dengan nisbah 40:20:40.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan pedal penukar gear (aloi bagi R-Sport), skrin TFT 12.3-inci boleh alih pada kluster utamanya yang ditawarkan sebagai pilihan, begitu juga dengan sistem maklumat dan hiburan InControl Touch dengan skrin sesentuh lapan-inci, sistem bunyi Jaguar 80W, sambungan iPod dan Bluetooth serta paparan panel instrumen lima-inci dengan dail analog.

    Bagi Prestige, ia hanya dilengkapi dengan tempat duduk kulit Perforated Taurus dan roda stereng pelbagai-fungsi dengan balutan kulit Softgrain. Manakala R-Sport pula dipadankan dengan material kulit Sport Taurus bagi tempat duduk dan roda stereng R-Sport juga balutan kulit Softgrain.

    IMG_3298

    Bagi warna luarannya, ia ditawarkan dengan dua warna solid iaitu Polaris White dan Ebony Black. Malah turut menampilkan warna pilihan metalik termasuk Glacier White, Ultimate Black, Rhodium Silver, Ammonite Grey, Dark Sapphire, Italian Racing Red, Quartzite dan Odyssey Red.

    Untuk pasaran Malaysia, Jaguar XF serba baharu yang diimport sepenuhnya ini ditawarkan harga bermula dari RM450,000 bagi XF Prestige dan XF R-Sport pula dari RM460,000. Harga termasuk GST, tetapi tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans.

    Bagi pengalaman pemilikan premium, setiap model XF dilengkapi dengan Jaguar Care, program eksklusif yang merangkumi jaminan lima tahun, servis lima tahun dan bantuan jalanan selama tiga tahun.

    Menurut Pengarah Urusan JLRM, Datuk Aishah Ahmad, Jaguar XF Serba Baharu menjadi penawaran terkini yang paling menonjol bagi segmen kenderaan sedan perniagaan premium.

    “Jaguar XF Serba Baharu lebih jitu dalam pemanduan dengan penggunaan binaan aluminium-intensif yang lebih ringan dengan nisbah keseimbangan 50:50 yang menghampiri kesempurnaan. Ia sememangnya pengganti paling layak bagi model terdahulu, yang telah menerima pengiktirafan dan anugerah dan akan menjadi kesinambungan terhadap pencapaian berkenaan,” ujar beliau.

    Jaguar XF Prestige

    Jaguar XF R-Sport

     
     
  • DS 4S tampil rasmi di Beijing Auto Show 2016

    DS-4S-Beijing-2016-BM-1

    DS 4S telah pun melakukan penampilan perdana secara rasmi di China sempena dengan Beijing Auto Show 2016 yang sedang berlangsung. Eksklusif untuk pasaran China, DS 4S ini diproduksi di kilang Shenzhen milik Citroen di negara berkenaan dan ini merupakan model ke-empat yang menyertai barisan DS di sana selain DS 5, DS 5LS dan DS 6.

    Direka di Perancis, DS 4S ini tampil berbeza dengan DS4 dan DS4 Crossback yang terdapat di negara lain. Kelainan pada penampilannya jelas pada bahagian hadapan dengan lampu utama, bampar, lampu kabus dan jaluran LED baharu. Manakala lampu belakang pula lebih kurang dengan model DS3 dan juga memiliki bampar yang berlainan, disertakan dengan corong ekzos berkembar yang menyerlahkan imej sporty model ini.

    Ditawarkan dengan enam pilihan warna iaitu Dark Fire Red, Silver Grey, Pearl White, Hickory Brown, Black Perla dan Whisper. Manakala lima kekemasan juga ditawarkan iaitu Comfort, Fashion, Luxury, Luxury Technology dan Prestige.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, DS 4S turut menampilkan papan pemuka dengan hasil kraftangan yang mengambil masa selama lapan jam untuk disiapkan, dan ia turut memperagakan “hasil seni penuh kemewahan Parsi”. Bahagian belakang juga telah menampilkan rekaan yang membuatkan ia mampu memberikan ruang dalaman yang lebih luas. Malah ia juga melibatkan jarak roda yang lebih panjang dan larasan suspensi yang dipertingkatkan.

    Terdapat tiga enjin ditawarkan termasuk dua enjin 1.8 liter iaitu THP 160 dan THP 200, serta pilihan ketiga 1.2 liter pengecas turbo Puretech 130. Kesemua enjin turut dipadankan dengan kotak gear automatik EAT6.

     
     
  • Shell bina kereta konsep dengan penggunaan tenaga yang sangat efisien berdasarkan model T.25 GMD

    Shell-Concept-Car-01_BM

    Shell telah mendedahkan kereta konsep untuk kegunaan bandar yang jika diproduksi, ia akan menggunakan tenaga kurang dari 34% sepanjang kitaran hayatnya berbanding tenaga yang digunakan oleh kereta kegunaan bandar yang biasa digunakan di UK. Ia juga didakwa akan menggunakan hanya separuh tenaga yang diperlukan untuk membina dan menggerakkan kereta kecil untuk keluarga tipikal, dan 69% kurang dari SUV tipikal.

    Shell juga menyatakan kereta berbumbung tinggi dengan tiga tempat duduk ini membuktikan peningkatan kecekapan tenaga dapat dicapai menggunakan teknologi yang ada sekarang dengan menggabungkan proses kejuruteraan bersama reka bentuk badan, rekabentuk enjin dan pelincir enjin.

    Kereta konsep ini dibina berdasarkan rekaan kereta bandar T.25 yang dibina oleh Gordon Murray Design (GMD) pada tahun 2010 di mana ia direka bersama minyak pelincir prototaip Shell yang mampu untuk meningkatkan kecekapan tenaga. Kereta terbaharu ini dibina di atas platform iStream GMD, ditimbang mempunyai berat bersih hanya 550 kg.

    Badan kereta ini dibina dari bahan gentian karbon kitar semula dengan jumlah kos suku daripada pembinaan badan kereta logam konvensional dan hampir keseluruhan komponen kereta ini boleh dikitar semula. Murray yang sebelum ini terkenal sebagai pereka kereta Formula 1 dan juga pereka supercar yang pernah memegang rekod kereta produksi terpantas di dunia iaitu McLaren F1, menggunakan segala pengalamannya untuk membina sebuah kereta yang ringan tetapi mampu bertahan ketika terlibat di dalam kemalangan.

    Shell menyediakan kesemua bahan bendalir dan pelincir untuk kereta ini, termasuk pelincir enjin rekaan khas untuk meningkatkan tahap kecekapan tenaga keseluruhan kereta ini, secara prinsipalnya dengan mengurangkan geseran.

    Di samping itu, pakar pembina enjin dari Geo Technology, Osamu Goto mengoptimakan kecekapan enjin petrol tiga-silinder dengan mengolah semula rekaan kebanyakan komponen dalaman enjin tersebut yang terlibat dengan geseran. Pada bahagian sejuk kitaran NEDC, bendalir Shell mengurangkan emisi CO2 sehingga 7.1% dan pada kitaran gabungan pengurangan emisi tersebut mencapai bacaan 5.0%, berbanding bahan pelincir biasa – menunjukkan keberkesanan bahan pelinciran dan enjin yang dibina bersama tersebut.

    Penggunaan bahan api kereta ini dikira berdasarkan jarak ujian protokol gabungan penggunaan pada kelajuan purata yang stabil dan juga penggunaan dalam bandar. Hasil ujian turut menyatakan penggunaan purata 38 km untuk setiap satu liter petrol pada kelajuan 70 km/j dan menunjukkan kadar emisi 4.67 g untuk setiap kilometer pada kitaran NEDC atau peningkatan sebanyak 5% terhadap kecekapan bahan api berbanding bahan pelincir biasa. Shell juga mendakwa ia menghasilkan emisi CO2 lebih rendah berbanding kereta bandar berkuasa petrol biasa (28%) dan juga kereta hibrid (32%).

    Kereta ini juga dilengkapi dengan aplikasi Shell Drive yang diubahsuai menerusi telefon pintar. Aplikasi ini memberikan maklum balas terus kepada pemandu menerusi grafik pada skrin yang memberi penekanan penggunaan bahan api adalah berkadar terus dengan kaki kanan pemandu.

    “Kereta kami mungkin kecil, tetapi ia dipenuhi dengan potensi. Kami mahu membawa perbincangan bagaimana membina kereta yang lebih cekap tenaga dan kurang pembentukan karbon ke tahap yang lebih tinggi. Pada minggu dan bulan yang akan datang, kami mahu berkongsi hasil penyelidikan kami dari projek ini dengan pereka enjin, pengeluar kenderaan, ahli akademik, dan pakar-pakar yang lain dalam seluruh sektor automotif,” kata Dr. Andrew Hepher, Naib Presiden kumpulan penyelidikan pelinciran Shell.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025