Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Yamaha Ego Avantiz tiba dalam warna baru – RM5,998

    Yamaha Ego Avantiz tiba dalam warna baru – RM5,998

    Yamaha Ego Avantiz yang sudah berada dalam pasaran Malaysia hampir lapan tahun sekali lagi diberikan penampilan baru, dengan kini melibatkan tiga warna baru iaitu biru muda, biru gelap dan ungu. Harga cadangan yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor masih adalah sama, iaitu RM5,998 tidak termasuk insurans.

    Sejak dilancarkan pada tahun 2016 di pasaran kita, Avantiz tidak pernah diberikan sebarang peningkatan teknikal atau perubahan besar, dan hanya warnanya sahaja yang ditukar hampir setiap tahun.

    Ciri teknikal dan spesifikasi skuter ini tidak berubah dan ia masih dipacu oleh enjin BlueCore satu silinder 125 cc berpenyejukan udara, dengan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI), yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.6 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Transmisi yang digunakan adalah jenis automatik tali sawat V, dan ia menyediakan tangki bahan api berkapasiti 4.2 liter. Di bawah tempat duduk skuter ini, terdapat ruang simpanan 14 liter, dan bahagian hadapannya menggunakan lampu utama jenis LED yang lebih terang.

    Rim pada model ini adalah bersaiz 14 inci dan di hadapannya terdapat fork teleskopik, brek cakera dan tayar 70/90, manakala di belakang menggunakan satu penyerap hentak, brek jenis dram dan tayar 90/80. Berat keseluruhan adalah 96 kg.

     
     
  • Bilik Pameran ETCM Sandakan, Sabah dilancarkan – pusat 1S Nissan dengan konsep baharu NRC-NEXT

    Bilik Pameran ETCM Sandakan, Sabah dilancarkan  – pusat 1S Nissan dengan konsep baharu NRC-NEXT

    Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd (ETCM) telah pun memperkenalkan konsep NRC-NEXT di bilik pameran
    Nissan baharunya di Sandakan, Sabah. Menurut ETCM, Konsep Runcit Nissan (NRC) bertujuan bagi mengubah pengedar Nissan untuk perkhidmatan bertaraf dunia yang mencerminkan nilai jenama Nissan sepanjang perjalanan pelanggan, di mana setiap titk sentuh direkabentuk untuk menyampaikan keterujaan dan kepuasan kepada pelanggan.

    “Pelanggan kami ialah teras kepada semua yang kami lakukan. Dengan komitmen kami untuk terus menaik taraf dan meningkatkan bilik pameran, kami berjanji untuk menyediakan pelanggan dengan pengalaman yang luar biasa dari melayari, pembelian, dan pandu uji sehingga memiliki sepenuhnya melalui perkhidmatan selepas jualan oleh rakan kongsi sah Nissan.

    “Dengan usaha menaik taraf dan peningkatan yang berterusan, ETCM dengan bangganya merasmikan ETCM Sandakan di Sabah baru-baru ini. Dengan berpindah ke lokasi strategik baru dengan keterlihatan dan kemudahan pelanggan yang dipertingkatkan, bilik pameran Nissan 1S baharu ini bertujuan untuk memenuhi keperluan automotif komuniti Sandakan sambil mengekalkan standard kualiti dan perkhidmatan tertinggi yang sinonim dengan jenama Nissan,” kata Cheong Kim Seong selaku Ketua Jualan bagi Malaysia Timur.

    Bilik pameran ini mampu menempatkan tiga model baharu Nissan di ruang pameran, selain menyediakan
    ruang menunggu pelanggan yang selesa dengan sambungan Internet. Ia juga menawarkan menawarkan rangkaian kenderaan pandu uji. Untuk kemudahan pelanggan, pandu uji boleh juga diaturkan di rumah atau di pejabat pelanggan, hanya dengan membuat perjanjian dengan penasihat jualan yang mesra.

    ETCM Sandakan ini terletak di Lot 16, Taman Nasalim, Phase 7A, Jalan Lintas Utara, 90000, Sandakan, Sabah dan beroperasi dari Isnin hingga Sabtu dari jam 9 pagi hingga 7 malam, manakala Ahad dan cuti umum pula dibuka dari 10 pagi hingga 5 petang.

    Selain dari memberi tumpuan pada jualan, ETCM Sandakan juga memastikan keperluan pemilik Nissan sedia ada dipenuhi melalui perkhidmatan selepas jualannya. Pelanggan boleh terus menikmati perkhidmatan unggul yang disediakan oleh Pusat Servis Tan Chong Ekspres Auto Servis Sdn. Bhd. (TCEAS) yang sedia ada terletak lebih kurang 4 km dari bilik pameran di Batu 3, Jalan Utara, Kawasan Perindustrian Jalan Ming Huat, Sandakan.

    Menurut ETCM, selepas ini pihaknya akan terus menaik taraf bilik pameran di seluruh negara untuk memenuhi jangkaan pelanggan dan meningkatkan tahap kepuasan, ini untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam pengalaman pelanggan dalam sektor peruncitan automotif.

     
     
  • Chery Omoda 5 recall — 92% unit telah siap diperiksa

    Chery Omoda 5 <em>recall</em> — 92% unit telah siap diperiksa

    Sedikit kemaskini berkaitan kes masalah gandar belakang Chery Omoda 5 dan panggilan semula unit yang terlibat. Setakat ini, Chery Malaysia telah menyelesaikan pemeriksaan ke atas 92% kenderaan pemilik yang terkesan itu.

    “Chery Malaysia sangat mementingkan keselamatan pelanggan. Setakat 24 Mei 2024, kami telah selesai memeriksa sebanyak 92% kenderaan pelanggan yang terkesan dengan masalah tersebut, melalui temujanji berjadual yang telah mereka lakukan di pusat servis sah kami,” jelas syarikat itu melalui satu hantaran di media sosial.

    Kemaskini terakhir sebelum ini dilakukan pada 17 Mei, yang mana Chery mengumumkan bahawa syarikat itu telah berjaya menghubungi semua 600 pelanggan yang terlibat dengan panggilan semula. Ketika itu, kadar penyelesaian pemeriksaan ialah 65%. Sebelum itu, Chery Malaysia telah juga berjaya menghubungi 60 pelanggan untuk menggantikan gandar belakang kenderaan mereka.

    Di Malaysia, keseluruhannya 60 unit Omoda 5 dikenal pasti menggunakan bahagian yang bermasalah tersebut, yang dikilangkan pada 15 Ogos 2023. Chery Malaysia kemudian memutuskan untuk melakukan panggilan semula untuk jumlah yang lebih besar, melibatkan unit dengan bahagian sama yang dikilangkan antara 14 dan 17 Ogos, menjadikan jumlah keseluruhannya 600 unit.

    Punca masalah sudah pun dikenal pasti: silap-kalibrasi kelengkapan kimpalan oleh sebuah vendor. “Menerusi siasatan komprehensif, vendor berkenaan melaporkan bahawa masalah tersebut disebabkan oleh naik taraf kemudahan yang mengakibatkan hujung pengimpal yang sudah haus bagi mesin kimpalan automatik terpaksa diganti dengan yang baru. Penggantian itu yang menyebabkan salah-kalibrasi kelengkapan tersebut,” jelas Naib Presiden Chery Auto Malaysia, Lee Wen Hsiang awal bulan ini.

    Chery juga telah mewujudkan sebuah laman web khusus untuk semua pelanggan memeriksa sama ada kenderaan mereka terlibat dengan panggilan semula ini atau tidak.

     
     
  • Malaysia berupaya jadi hab utama bagi bekalan cip kuasa untuk kenderaan elektrik – Anwar Ibrahim

    Malaysia berupaya jadi hab utama bagi bekalan cip kuasa untuk kenderaan elektrik – Anwar Ibrahim

    Malaysia berpotensi untuk menjadi hab utama bagi pembekalan cip kuasa untuk kenderaan elektrik (EV), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Di mana, katanya, cip kuasa itu merupakan komponen penting dalam proses peralihan tenaga serta teknologi penyahkarbonan.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada persidangan SEMICON Asia Tenggara 2024 yang berlangsung semalam.

    Katanya, EV misalnya mengandungi lebih daripada 3,000 cip yang juga dua hingga lima kali lebih banyak berbanding kenderaan dengan kapasiti enjin pembakaran dalaman, laporan Bernama.

    “Menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), kita sebenarnya telah mempunyai pengupaya dasar serta insentif yang tepat untuk syarikat yang mahu mengeluarkan cip itu di sini.

    Malaysia berupaya jadi hab utama bagi bekalan cip kuasa untuk kenderaan elektrik – Anwar Ibrahim

    “Kerajaan menyasarkan untuk mempunyai 40% campuran tenaga utama Malaysia daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2035. Inisiatif itu bertujuan mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 10 juta tan setahun, selain mencapai 100 peratus TBB menjelang 2050,” katanya.

    Selain itu, tambahnya, kerajaan turut menyokong usaha pihak berkaitan yang meneroka teknologi baharu seperti hidrogen hijau, teknologi nuklear dan penyimpanan tenaga berskala besar bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dan memenuhi matlamat Perjanjian Paris 2015.

    “Bermula September ini, Akses Pihak Ketiga akan dibenarkan dalam industri bekalan elektrik negara yang membolehkan pihak lain membekal tenaga menggunakan saluran penghantaran Tenaga Nasional Behad, sekali gus mencerminkan minat pelabur asing yang tinggi terhadap Malaysia,” jelasnya lagi.

     
     
  • Lancia Ypsilon HF – hot-hatch EV 240 hp untuk jalan raya, 1.2L turbo 212 hp untuk jentera rali kelas Rally4

    Lancia Ypsilon HF – <em>hot-hatch</em> EV 240 hp untuk jalan raya, 1.2L turbo 212 hp  untuk jentera rali kelas Rally4

    Lancia, jenama ikonik Itali yang kini berada di bawah kumpulan Stellantis ‘hidup semula’ selepas memperkenalkan model Ypsilon generasi baharu pada Februari lalu. Dan kini, Lancia mula kembali ke warisan sejarah sukan permotorannya – memperkenalkan hot-hatch Ypsilon HF dan juga jentera rali sebenar Ypsilon Rally4 HF!

    Menerusi pengenalan model ini, Lancia turut melancarkan kembali logo sayap perlumbaannya iaitu Lancia Corse HF. Dengan logo ‘gajah lompat’ bersama latar belakang tulisan HF (bermaksud High Fidelity) yang sama dengan versi klasik, ini bermakna Ypsilon HF ini merupakan model prestasi sebenar dari Lancia seperti Delta Integrale HF dahulu.

    Sama seperti versi standard Ypsilon yang didedahkan sebelum ini, Ypsilon HF masih lagi sebuah hatchback lima-pintu dengan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya (EV), diasaskan dari Common Modular Platform (CMP) yang sama seperti Peugeot 208.

    Lancia Ypsilon HF – <em>hot-hatch</em> EV 240 hp untuk jalan raya, 1.2L turbo 212 hp  untuk jentera rali kelas Rally4

    Namun berbeza dengan model standard yang dibekalkan dengan motor berkuasa 156 PS (115 kW) dan tork 260 Nm, Lancia Ypsilon HF ini pula menerima motor tunggal lebih bertenaga dengan kuasa 240 hp. Tiada perincian lain didedahkan oleh Lancia untuk hot-hatch ini, namun ia disahkan masih hanya memacu roda hadapan dan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat.

    Pada sebelah luar, Ypsilon HF ini menampilkan rekaan bampar hadapan lebih garang dengan gril yang lebih besar. Lancia juga menyatakan model HF ini diberikan tetapan suspensi yang lebih rendah bersama jarak trek roda yang lebih lebar.

    Tidak lengkap kalau Lancia tidak kembali berlumba selepas hot-hatch ini diperkenalkan bukan? Oleh itu, Lancia Ypsilon HF ini turut dijelmakan sebagai kereta rali yang mematuhi undang-undang Rally4 FIA, dikenali sebagai Lancia Ypsilon Rally4 HF.

    Rally4 merupakan antara kelas paling asas yang diwujudkan oleh FIA, dan ia disertai oleh pemandu-pemandu muda sebelum mereka beralih ke kelas lebih tinggi seperti Rally3, Rally2 dan Rally1. Oleh itu, versi rali ini tidak akan dipacu oleh motor elektrik, sebaliknya digantikan dengan enjin pembakaran dalaman dengan sesaran 1.2 liter tiga-silinder turbo berkuasa 212 hp.

    Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear manual lima kelajuan lengkap dengan LSD, dan hanya memacu roda hadapan.

    Lancia Ypsilon HF ini akan mula dijual di Eropah bermula bulan Mei tahun hadapan. Menurut Lancia, barisan model HF turut akan berkembang selepas ini menerusi pengenalan Lancia Gamma HF, dan juga satu lagi nama konik yang ditunggu-tunggu iaitu Lancia Delta HF!

    GALERI: Lancia Ypsilon HF 2025

    GALERI: Lancia Ypsilon Rally4 HF

     
     
  • Peugeot 408 2024 di Malaysia — 300 tempahan sejak pelancaran, mula diserah kepada 10 pemilik terawal

    Peugeot 408 2024 di Malaysia — 300 tempahan sejak pelancaran, mula diserah kepada 10 pemilik terawal

    Peugeot Malaysia hari ini mengumumkan sudah mula menyerahkan kumpulan pertama bagi model Peugeot 408 kepada sembilan pemilik masing-masing, yang menjadi kelompok terawal menerima kereta tersebut di sini sejak membuat tempahan pada pertengahan April lalu.

    Sepanjang tempoh itu, sebanyak 300 tempahan telah diterima, dengan pecahan pemilihan varian seperti berikut — 60% pelanggan memilih varian GT, 22% yang lain memilih Premium dan baki 18% memilih varian Allure.

    Pengarah Urusan Stellantis Malaysia, Jamie Francis Morais berkata: “Hari ini menandakan titik permulaan kisah Peugeot 408 bersama pelanggan melalui serahan kelompok pertama yang dilakukan ini. Maklum balas yang diterima sangat positif, dan kami ingin mengekalkan momentum berkenaan untuk 408. Kami juga berbesar hati untuk meraikan 10 pemilik terawal dan mengalu-alukan mereka dan juga bakal pemilik 408 ke dalam keluarga Peugeot.”

    Untuk pasaran tempatan, Peugeot 408 yang dipasang secara CKD di sini dilancarkan pada 29 April yang lalu dan ditawarkan dalam tiga varian dengan harga jualan seperti berikut — Allure (RM146,055), Premium (RM166,055) dan juga GT (RM196,055). Semuanya merupakan harga atas jalan, belum termasuk insurans.

    Peugeot 408 2024 di Malaysia — 300 tempahan sejak pelancaran, mula diserah kepada 10 pemilik terawal

    Selain itu, Peugoet 408 2024 turut diserahkan kepada Duta Besar Perancis ke Malaysia, Axel Cruau yang akan digunakan sebagai kenderaan rasmi kedutaan tersebut.

    Peugeot 408 2024 menampilkan penggayaan yang unik dan tajam, dan yang pertama juga menggunakan logo baru Peugeot, serta menampilkan ruang dalaman Peugeot i-Cockpit dengan senibina kedudukan corong pendingin yang tinggi.

    Enjinnya pula memanfaatkan unit 1.6 liter turbocas PureTech yang menghasilkan 218 PS (215 hp atau 160 kW) pada 5,500 rpm dan tork 300 Nm pada 2,000 rpm. Kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik EAT8 lapan-kelajuan. Janaan kuasanya membolehkan 408 mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.8 saat.

     
     
  • Peugeot Landtrek SE dilancar di Malaysia – RM129k

    Peugeot Landtrek SE dilancar di Malaysia – RM129k

    Barisan Peugeot di Malaysia kini telah disertai Peugeot Landtrek Special Edition, seperti yang dipamerkan di Malaysia Autoshow 2024 baru-baru ini.

    Ditawarkan pada harga atas jalan RM129,124 tanpa insurans, Landtrek SE ini lebih RM5,000 berbanding varian 1.9D Allure, yang dijual pada harga RM124,124, meningkat dari RM120,072 ketika dilancarkan di sini, di mana sebelum ini jenama tersebut di bawah kendalian Bermaz.

    Penjana kuasa bagi Landtrek SE ini masih sama seperti varian Allure iaitu 1,910 cc empai-silinder sebaris turbodiesel dengan output 150 PS pada 4,000 rpm dan tork 350 Nm dari 1,800 rpm hingga 2,800 rpm, dipadankan bersama transmisi automatik enam-kelajuan dan pacuan empat-roda yang boleh ditukar dengan mod 2H, 4H dan 4L.

    Casis untuk Landtrek SE ini juga seperti varian Allure, dengan tetapan double-wishbone untuk suspensi hadapan dan spring dedaun di belakang, serta sistem brek terdiri daripada jenis cakera di hadapan dan dram di belakang. Ia juga diberikan roda aloi dua-tona potongan-berlian 18-inci, dibaluti tayar
    265/60R18. Roda simpanannya juga diberikan unit saiz penuh.

    Kelengkapan luaran yang diberikan termasuklah lampu utama LED automatik dengan lampu nyalaan siang LED, dengan unit-mentol bagi lampu kabus hadapan, lampu belakang dan lampu kabus belakang. Turut diberikan bilah pengelap cermin hadapan dengan penderia hujan, indikator cermin sisi boleh lipat, rel bumbung, pemijak sisi dan dua penderia parkir di hadapan dan empat unit di belakang.

    Manakala perubahan lain dibuat untuk Landtrek SE berbanding varian Allure yang dilancarkan tahun lalu ialah tailgate dampers, dan cargo bed liner dengan perkataan Peugeot, berbanding ‘Kaicene’, di mana Landtrek dibangunkan dengan platform Changan Kaicene F70.

    Turut diberikan untuk Landtrek SE ialah sambungan gerbang roda hitam, dan pelekat hitam yang ditampal di sisi badan Lantrek SE yang membezakannya dari Allure, bezel hitam dan pemijak sisi tiub hitam.

    Di dalamnya, kelengkapan ketersambungan untuk landtrek LE termasuklah skrin infotainmen 10-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, bersama kamera 360-darjah bersama pandangan 3D untuk bantuan pergerakan.

    Manakala kit keselamatan untuk Landtrek SE merangkumi DSC, ASR, EBD, ESP, trailer swing control, bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, dan amaran ketibaan lorong, bersama enam beg udara dan cagak Isofix untuk kerusi keselamatan kanak-kanak.

    Di Malaysia, setiap pembelian Peugeot Landtrek didatangkan dengan waranti pengeluar tiga-tahun, 100,000 km dan ditawarkan dengan dua warna luaran iaitu Rockstone Grey, dan Ceramic White.

     
     
  • Skandal Daihatsu – JPJ sahkan kenderaan Perodua dan Toyota di Malaysia selamat selepas ujian semula

    Skandal Daihatsu – JPJ sahkan kenderaan Perodua dan Toyota di Malaysia selamat selepas ujian semula

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini telah menyiarkan ringkasan pelaporan yang mengesahkan bahawa semua kenderaan keluaran Perodua dan Toyota yang terlibat dalam skandal ujian keselamatan dilakukan oleh Daihatsu Motor Corporation (DMC) yang dikesan Di Jepun sebelum ini adalah selamat digunakan di atas jalan raya, selepas ujian semula yang telah dibuat.

    Dalam pelaporan tersebut, JPJ menyatakan kesemua ujian dengan maklumat yang tidak tepat dan tidak mematuhi porsedur ditetapkan dalam Peraturan Bangsa-bangsa Bersatu (UNR) dibuat oleh DMC sebelum ini telahpun diuji semula di empat lokasi.

    Lokasi-lokasi berkenaan adalah di Pusat R&D Perodua, Rawang pada 7 Februari 2024, Pusat ujian UTAC di Perancis pada 11 hingga 27 Februari 2024, Pusat teknologi Applus IDIADA di Sepanyol pada 28 Februari 2024 dan di Pusat Pengujian Horiba-MIRA, United Kingdom pada 25 hingga 29 Mac 2024.

    Skandal Daihatsu – JPJ sahkan kenderaan Perodua dan Toyota di Malaysia selamat selepas ujian semula

    Untuk Perodua, sebanyak enam model terjejas yang melanggar enam peraturan UNR, menyebabkan sebanyak 12 ujian perlu dibuat semula. Model-model yang terlibat adalah Perodua Axia generasi kedua, Bezza, Myvi generasi ketiga, Ativa, Aruz dan juga Alza generasi kedua.

    Bagi Axia, DMC sebelum ini tidak melakukan ujian beban mendatar pada selak pintu sebelah kiri, dan kereta yang diuji tidak disertakan dengan nombor pengenalan identiifikasi kenderaan (VIN) dalam ujian pelanggaran pejalan kaki. Pada Bezza pula, Daihatsu telah menambah berat pada pintu hadapan belah pemandu tanpa persetujuan servis teknikal bagi menghasilkan keputusan ujian pelanggaran hadapan yang lebih baik.

    Pada Myvi generasi ketiga pula, sebanyak tiga kesalahan dibuat semasa ujian iaitu ujian brek pada kelajuan tidak sampai 140 km/j, kerusi hadapan tidak dilaras mengrkut standard ujian (dilaras pada posisi paling belakang) dalam ujian kesan inersia dan berat bahan api 80g melebihi had 90% yang ditetapkan dalam ujian pelanggaran sisi.

    Untuk Ativa, Daihatsu menggunakan model Rocky dalam ujian pelanggaran pejalan kaki. Dan dalam ujian tersebut, kesalahan had laju telah dibuat iaitu 36 km/j untuk kesan hentakan kepala (sepatutnya 34.30-35.64 km/j) dan 41 km/j untuk kesan hentaman kaki (sepatutnya 39.24-40.68km/j).

    Pada Aruz pula, kesalahan dikesan ketika ujian impak dari barangan ruang kargo terhadap tempat duduk belakang, dimana ujian dibuat pada kelajuan 53.3 km/j, melebihi had ujian yang ditetapkan pada kelajuan 48 hingga 50 km/j. Dan akhir sekali untuk Alza, kesalahan dikesan pada ujian hentaman sisi dimana kenderaan yang diuji ditimbang pada 1,275.6 kg, kurang dari berat sebenar yang sepatutnya adalah 1,285 kg.

    Untuk Toyota pula, satu-satunya model yang terjejas dalam skandal ini adalah Toyota Vios yang dibina oleh Daihatsu menggunakan platform DNGA. Kesalahan yang dikesan adalah pada ujian pelanggaran pejalan kaki, di mana ada tiga titik pengukuran pada penutup bonet hadapan diuji dengan kadar hentaman kepala yang melebihi had ditetapkan.

    Bagi ujian semula terhadap Vios ini, syarikat pensijilan dari Belgium iaitu VINCOTTE telah menjalankan penilaian dan pengujian semula dan MOW (MoT Belgium) telah meluluskan pembetulan dan mengeluarkan sijil Peraturan UN R127 yang baharu bertarikh 27 Februari 2024.

    Manakala pihak UMW Toyota sendiri juga telah menghantar surat notifikasi pemakluman tersebut bersama salinan pensijilan terkini yang bertarikh 29 Februari 2024, serta telah melantik Vehicle Certification Agency, United Kingdom (VCA) bagi pengujian semula di Pusat Pengujian Horiba-MIRA, Nuneaton, United Kingdom pada 25-29 Mac 2024.

    Menurut JPJ, tiada sebarang panggilan semula perlu dibuat oleh Perodua dan UMW Toyota di Malaysia bagi model-model yang terjejas dengan isu skandal ujian keselamatan Daihatsu tersebut. Ini kerana selepas semua ujian semula yang dilakukan, model-model itu telah mematuhi sepenuhnya ketetapan di bawah Peraturan UN yang berkenaan seperti dikehendaki oleh prosedur Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA).

     
     
  • JPJ buka penawaran baki siri nombor pendaftaran FFF mulai 1 Jun 2024 – hanya di kaunter JPJ sahaja

    JPJ buka penawaran baki siri nombor pendaftaran FFF mulai 1 Jun 2024 – hanya di kaunter JPJ sahaja

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan penawaran baki siri nombor pendaftaran istimewa siri FFF bakal dibuka mulai 1 Jun 2024. Di mana penjualan baki siri tersebut akan dilaksanakan di kaunter JPJ Ibu Pejabat Bahagian Pelesenan Kenderaan atau di semua Pejabat JPJ Negeri.

    Menurut JPJ, penawaran baki siri FFF ini adalah sehingga ia habis dijual, bermakna tiada tempoh tertentu bagi penjualan yang ditetapkan. Selagi masih ada baki nombor, maka ia akan terus dibuka untuk dijual.

    Walau bagaimana pun, terdapat syarat pembelian iaitu ditetapkan harga berjumlah RM510 termasuk fi perkhidmatan, hanya terhad kepada tiga permohonan sahaja, dan permohonan perlu disertakan dengan borang JPJeBid 02 serta MyKad, SSM atau pasport pemohon.

    Sebelum ini, JPJ telah membuka bidaan untuk siri FFF ini menerusi platform dalam talian JPJ eBid selama lima hari iaitu bermula 11 Mei 2024 sempena dengan ulangtahun agensi penguatkuasaan ini yang ke-78 yang disambut pada tarikh berkenaan.

     
     
  • Polis laksana Op Khas Trafik Samseng Jalanan di Plaza Tol Gombak – 28 saman trafik dikeluarkan

    Polis laksana Op Khas Trafik Samseng Jalanan di Plaza Tol Gombak – 28 saman trafik dikeluarkan

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah melaksanakan sekatan jalan raya besar-besaran pada Ahad lalu di Plaza Tol Gombak, Lebuhraya Karak, dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), laporan New Straits Times. Ini merupakan sebahagian daripada Operasi Khas Trafik Samseng Jalanan.

    Banyak kereta dan motosikal dilihat cuma untuk membuat pusingan-U dan dipandu melawan arus bagi mengelak sekatan jalan raya tersebut selepas mendapati pihak berkuasa telah menyekat sepenuhnya laluan terbabit. Rakaman video dari laman media sosial juga menunjukkan pegawai penguatkuasa telah menahan ramai pemandu dan memeriksa kenderaan di stesen BHPetrol arah timur sejurus selepas Plaza Tol Gombak, iaitu port popular untuk Genting touge-ers.

    Operasi yang bermula pada 7 pagi itu, menyaksikan sebanyak 28 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, laporan NST lagi. “Kesalahan tersebut termasuk tiga daripadanya memandu tanpa lesen, satu kes melibatkan lesen memandu tamat tempoh, tiga kes modifikasi ekzos, satu kes tidak mempamerkan pelekat L, 16 kes untuk nombor plat fancy atau kurang jelas dan selebihnya melibatkan pelbagai kesalahan lain,” kata Pemangku Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nasri Omar.

    Tambahnya lagi, dalam operasi berkenaan, sebanyak 80 kenderaan membabitkan 44 kereta dan 36 motosikal telah diperiksa. Malahan pihak JPJ turut mengeluarkan 18 notis saman termasuk 16 kenderaan diarah periksa.

    Jelas beliau, objektif operasi sebagai advokasi kepada pengguna jalan raya tentang keutamaan keselamatan semasa menggunakan lebuh raya. “Kita mahu memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang termasuk kenderaan yang digunakan mengikut spesifikasi yang betul berikutan banyak aduan awam diterima di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur,” katanya.

    Beliau turut berkata, tindakan penguatkuasaan diambil hanya kepada yang ingkar dan mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain seperti kenderaan diubah suai dan spesifikasi kenderaan tidak lengkap, laporan Sinar Harian pula.

     
     
  • Toyota, Subaru dan Mazda setuju bina enjin bersama untuk sistem hibrid, guna bahan api neutral karbon

    Toyota, Subaru dan Mazda setuju bina enjin bersama untuk sistem hibrid, guna bahan api neutral karbon

    Subaru dan Mazda kini secara rasmi bersetuju untuk menyertai Toyota dalam menerokai pendekatan Multipathway, iaitu solusi bagi mencapai neutraliti karbon dengan pelbagai cara dan bukan hanya bergantung kepada teknologi kenderaan elektrik (EV). Dalam satu acara yang dikenali sebagai Multipathway Workshop yang berlangsung di Jepun hari ini, ketiga-tiga jenama tersebut mengumumkan bakal berkerjasama bagi membangunkan enjin-enjin generasi baharu untuk digandingkan dalam sistem hibrid elektrik, serta beroperasi menggunakan bahan api yang lebih mesra alam.

    “Subaru, Toyota, dan Mazda sentiasa dipandu oleh kefahaman yang mendalam terhadap gaya hidup lestari pelanggan-pelanggannya. Persefahaman ini telah membawa ketiga-tiga syarikat ini untuk membangunkan enjin-enjin signatur masing-masing yang bukan hanya mewakili setiap jenama malah turut untuk memenuhi keperluan dan keutamaan unik pelanggan-pelanggannya,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan ketiga-tiga jenama itu.

    Enjin-enjin signatur yang dimaksudkan adalah enjin Boxer dengan titik graviti rendah yang dibangunkan oleh Subaru, enjin Wankel Rotary yang kompak dibangunkan oleh Mazda, dan enjin empat silinder-sebaris berkuasa tinggi dihasilkan oleh Toyota.

    “Dalam mencapai penyahkarbonan, ketiga-tiga syarikat telah memfokuskan karbon sebagai musuh dan berusaha untuk mengembangkan lagi pilihan dengan menggunakan minat serta kegunaan. Pemikiran ini telah memacu usaha bagi memastikan masa hadapan rantaian bekalan dan pekerjaan berkaitan enjin selamat. Di bawah situasi yang melampau ketika berlumba, ketika-tiga syarikat telah berusaha untuk meluaskan pilihan unit rangkaian kuasa dan bahan api dengan bersaing menggunakan kenderaan yang dikuasakan hidrogen cecair dan bahan api neutral karbon.

    “Proses ini telah menjelaskan peranan yang akan dimainkan oleh enjin masa depan dalam mencapai neutraliti karbon. Dengan enjin generasi akan datang, ketiga-tiga syarikat akan berusaha untuk bukan sahaja meningkatkan prestasi enjin itu sendiri tetapi juga mengoptimumkan penyepaduannya dengan unit rangkaian kuasa elektrik, memanfaatkan kelebihan masing-masing,” kata kenyataan itu lagi.

    Ini bermaksud enjin-enjin yang bakal dibangunkan tersebut kelak turut akan direka kompak bagi memudahkan ia dipakejkan bersama unit rangkaian kuasa elektrik, membolehkan penutup ruang enjin turut dihasilkan lebih rendah bagi mendapatkan kesan aerodinamik lebih baik bagi mendapatkan kadar penggunaan bahan api lebih baik.

    Manakala untuk bahan api neutral karbon, pakatan ini akan bekerjasama dengan beberapa syarikat petroleum seperti Eneos, Idemitsu dan Mitsubishi Heavy Industries. Bukan itu sahaja enjin-enjin yang bakal dibangunkan tersebut turut akan dipastikan boleh beroperasi dengan bahan bakar sintetik, bahan bakar-bio dan juga hidrogen cecair, untuk tidak hanya mengharapkan bahan bakar neutral karbon.

    “Mencapai masyarakat neutral karbon adalah satu cabaran yang mesti digalas oleh semua industri dan masyarakat Jepun secara keseluruhan. Sambil kami terus memperhalusi teknologi elektrifikasi, kami juga akan meningkatkan enjin boxer kami dengan matlamat untuk menggunakan bahan api neutral karbon pada masa hadapan. Bergerak kehadapan, ketiga-tiga syarikat yang berkongsi aspirasi yang sama akan terus memajukan usaha mencapai kecemerlangan yang mampan dalam pembuatan kereta Jepun,” kata Atsushi Osaki, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Subaru Corporation.

    “Untuk menyediakan pelanggan kami dengan pelbagai pilihan untuk mencapai neutraliti karbon, adalah perlu untuk menyahut cabaran bagi mengevolusikan enjin selaras dengan persekitaran tenaga masa depan. Ketiga-tiga syarikat, yang berkongsi aspirasi yang sama, akan memperhalusi teknologi enjin melalui persaingan mesra,” kata Koji Sato, Presiden, Ahli Lembaga Pengarah dan CEO, Toyota Motor Corporation.

    “Kami akan terus menawarkan pelanggan kereta yang menarik dengan mengasah enjin pembakaran dalaman untuk era elektrifikasi dan memperluaskan kemungkinan pelbagai cara untuk mencapai neutraliti karbon. Memandangkan keserasian enjin rotary dengan elektrikfikasi dan bahan api neutral karbon, Mazda akan terus membangunkan teknologi melalui penciptaan bersama dan persaingan untuk memastikan ia dapat menyumbang secara meluas kepada masyarakat,” kata Masahiro Moro, Wakil Pengarah, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mazda Motor Corporation.

     
     
  • Kenderaan asing yang masuk ke Malaysia dari Singapura wajib ada VEP mulai 1 Oktober 2024

    Kenderaan asing yang masuk ke Malaysia dari Singapura wajib ada VEP mulai 1 Oktober 2024

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan bahawa mulai 1 Oktober 2024, semua semua kenderaan asing yang masuk ke negara ini dari Singapura perlu mendapatkan Permit Masuk Kenderaan (VEP).

    Jelasnya, peraturan ini akan digunakan untuk pintu masuk di kedua-dua kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak, Johor dan Kompleks CIQ di Bangunan Sultan Abu Bakar di Link Kedua Malaysia-Singapura. Tambahnya, langkah ini bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi sepenuhnya peraturan jalan raya di Malaysia, laporan Berita Harian.

    “Sejak April 2019, Kementerian Pengangkutan melaksanakan pendaftaran VEP bagi pemilik kenderaan warga asing yang melintasi Kompleks CIQ di Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor dan Kompleks CIQ di Bangunan Sultan Abu Bakar. Bagi memastikan pemilik kenderaan warga asing mematuhi sepenuhnya peraturan jalan raya di Malaysia, Kementerian Pengangkutan ingin memaklumkan bahawa peraturan VEP akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Oktober.

    Kenderaan asing yang masuk ke Malaysia dari Singapura wajib ada VEP mulai 1 Oktober 2024

    “Sesiapa yang memandu kenderaan asing tanpa VEP sebelum masuk atau semasa berada di Malaysia adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga hingga 6 bulan seperti termaktub dalam Seksyen 119 (2) Akta 333,” katanya pada sidang media hari ini.

    Menurut semakan di pautan JPJ VEP, kenderaan asing yang memasuki Malaysia menerusi Singapura perlu membeli VEP RFID yang bernilai RM10 untuk setiap kenderaan, di mana harga tersebut lebih murah berbanding yang dikenakan oleh pihak Singapura ke atas kenderaan Malaysia iaitu RM35. Selain itu, pelekat RFID tersebut juga boleh digunakan untuk membayar tol jika menggunakan lorong RFID dan Touch ‘n Go (TnG) eWallet. Malahan Caj Jalan Raya (Road Charge) juga akan dibayar menerusi RFID dan TnG eWallet iaitu RM20 bagi setiap kemasukan.

    Pada April 2023, kerajaan dilaporkan sedang membuat persediaan bagi melaksanakan caj VEP bagi kenderaan persendirian asing yang masuk ke negara ini. VEP sebelum ini dimulakan di sempadan Malaysia-Singapura akan dipanjangkan di sempadan Malaysia-Thailand sebelum dilaksanakan di sempadan Malaysia-Indonesia di Sabah dan Sarawak.

     
     
  • Chery Tiggo 8 Pro Max dapat lima-bintang ANCAP

    Chery Tiggo 8 Pro Max dapat lima-bintang ANCAP

    Chery Tiggo 8 Pro Max menjadi model terkini dari jenama China itu yang menerima penarafan penuh lima-bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP), dengan menyertai Tiggo 7 Pro (video ujian pelanggaran di bawah) dan Omoda 5 yang turut menerima lima-bintang bagi penilaian keselamatan.

    Di Malaysia, Chery Tiggo 8 Pro telah dilancarkan pada Julai 2023 bersama Omoda 5 sebagai sebahagian daripada usaha jenama tersebut untuk memasuki semula pasaran sini.

    Penarafan ANCAP untuk Tiggo 8 Pro Max adalah untuk semua variannya, di mana SUV tiga-barisan tempat duduk itu dinilai berdasarkan Tiggo 7 Pro, dengan unjian tambahan impak pejalan kaki, dan ANCAP turut memberikan informasi teknikal untuk menunjukkan keputusan ujian bagi Tiggo 7 Pro yang turut diaplikasikan untuk Tiggo 8 Pro Max, menurut agensi terbabit.

    Dalam penilaian ini, Tiggo 8 Pro Max mengutip mata sebanyak 88% untuk kategori perlindungan penumpang dewasa, 87% bagi kategori perlindungan penumpang kanak-kanak, 79% bagi kategori perlindungan pengguna jalan raya yang terdedah, dan 86% untuk kategori sistem bantuan keselamatan. Walau bagaimana pun, SUV ini tidak didatangkan dengan cagak penambat atas, dan oleh itu pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak di barisan ketiga adalah tidak disarankan.

    Chery Tiggo 8 Pro Max dapat lima-bintang ANCAP

    Laporan perlindungan penumpang dewasa untuk Tiggo 8 Pro Max bagi ujian pelanggaran offset hadapan memberikan sejumlah 5.49 mata daripada lapan mata, sementara ujian hadapan sepenuhnya mencatatkan 7.48 mata daripada lapan mata. Manakala 4.84 mata daripada enam mata diberikan untuk ujian oblique pole, dan perlindungan whiplash pula dengan 3.52 mata daripada empat mata. Sementara itu bagi ujian impak sisi dan impak sisi jauh pula masing-masing menerima mata penuh iaitu enam mata dan empat mata.

    Bagi ujian dinamik hadapan untuk perlindungan penumpang kanak-kanak, sebanyak 15.70 mata daripada 16 mata diberikan, dan ujian dinamik sisi dengan 7.62 mata daripada lapan mata. Sementara ciri keselamatan dalam keadaan pula dengan lapan daripada 13 mata.

    Dari segi perlindungan pengguna yang terdedah, SUV ini mendapat 12.72 mata daripada 18 bagi perlindungan kepala, 1.50 mata daripada 4.5 mata untuk perlindungan pelvis, 4.50 mata penuh untuk perlindungan femur, 8.48 mata daripada sembilan mata untuk perlindungan lutut dan tibia, 5.65 daripada tujuh mata untuk pejalan kaki AEB (depan), satu mata daripada dua untuk pejalan kaki AEB (di belakang), 7.91 mata daripada sembilan mata untuk AEB (penunggang basikal), 5.54 daripada enam mata untuk AEB (motosikal), dan 3.00 mata daripada tiga untuk sokongan lorong sistem (motosikal).

    Untuk sistem bantuan keselamatan, Tiggo 8 Pro Max mendapat mata penuh untuk peringatan pemakaian tali pinggang keledar, 1.65 mata daripada dua mata untuk pemantauan pemandu, 2.45 mata daripada tiga mata untuk sistem bantuan kelajuan, 3.60 mata daripada empat mata untuk AEB/AES, 3.08 mata dari empat mata untuk simpang dan lintasan AEB/AES, 0.75 mata dari satu mata untuk AEB/AES dan tiga mata penuh untuk sistem sokongan lorong.

     
     
  • PDRM kutip RM1.3 juta hasil bayaran saman trafik dalam sambutan Minggu Perpaduan 2024 di JB

    PDRM kutip RM1.3 juta hasil bayaran saman trafik dalam sambutan Minggu Perpaduan 2024 di JB

    Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan bahawa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengutip sejumlah RM1,318,240.00 hasil bayaran saman trafik tertunggak sempena sambutan Minggu Perpaduan 2024 peringkat kebangsaan yang berlangsung dari 23 hingga 26 Mei lalu di Angsana Johor Bahru. Mengikut info grafik di atas, pada hari ketiga program terbabit, PDRM berjaya mengutip jumlah bayaran saman trafik yang tertinggi menerusi acara berkenaan.

    Kutipan bayaran saman trafik yang tinggi itu pastinya disumbangkan dengan diskaun sebanyak 50% yang ditawarkan oleh PDRM. “Diskaun saman PDRM sebanyak 50% mendapat sambutan hangat serta memudahkan orang awam untuk melakukan semakan dan pembayaran saman. Tahniah kepada PDRM atas inisiatif ini dan terima kasih kepada pengunjung yang telah melunaskan saman,” kata KDN menerusi Facebook rasminya.

    PDRM kutip RM1.3 juta hasil bayaran saman trafik dalam sambutan Minggu Perpaduan 2024 di JB

    Adakah ini bermakna KDN akan terus memberikan ‘lampu hijau’ kepada PDRM untuk memberikan diskaun saman trafik? Pada kami, mungkin ada kebarangkalian. Apatah lagi dengan kempen penawaran diskaun ini sering kali mendapat sambutan hangat dari orang ramai bagi melunaskan tunggakan saman trafik ini. Malahan, PDRM sendiri acapkali menawarkan diskaun ini menerusi pelbagai acara di seluruh negara.

    Berbeza dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di mana Kementerian Pengangkutan (MOT) menegaskan tiada polisi pemberian diskaun saman oleh JPJ. Perkara ini pernah disuarakan oleh Menteri MOT, Anthony Loke yang berkata saman adalah bertujuan untuk mendidik, dan memberikan diskaun juga adalah tidak adil bagi mereka yang membayarnya lebih awal.

    Loke menambah JPJ sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk keselamatan jalan raya, tidak akan berkompromi dalam isu ini, dan kabinet serta Ketua Setiausaha Serajaan Tan Sri Mohd Zuki Ali telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

     
     
  • BMW F900 GS dilancarkan di Malaysia – RM88,500

    BMW F900 GS dilancarkan di Malaysia – RM88,500

    Selain R1300 GS dan CE 02, BMW Motorrad juga melancarkan ‘adik’nya, iaitu F900 GS untuk pasaran Malaysia, dijual pada harga RM88,500. Ia ditawarkan dalam pilihan warna Sao Paulo Yellow dan Racing Blue Metallic.

    F900 GS ini masih menggunakan enjin dua silinder sama seperti F850 GS sebelum ini, tetapi kapasitinya telah ditingkatkan kepada 895 cc (sebelum ini 853 cc), sekaligus menjadikan kuasanya juga naik menjadi 105 hp pada 8,500 rpm dan tork 93 Nm pada 6,750 rpm.

    Enjin ini kemudiannya dipadankan bersama transmisi enam gear, dan ia diberikan terus bersama dengan Shift Assistant Pro, ataupun quickshifter. Dalam keadaan standard, F900 GS ini menyediakan dua mod tunggangan, iaitu Rain dan Road, sementara tiga lagi mod iaitu Dynamic, Enduro dan Enduro Pro disediakan secara pilihan dalam pakej Ride Modes Pro.

    BMW F900 GS dilancarkan di Malaysia – RM88,500

    Satu perubahan besar pada F900 GS adalah pengurangan berat sehingga 14 kg, yang dapat dicapai melalui penggunaan tangki bahagn api plastik serta bahagian belakang baru. Berat yang dicatat adalah 219 kg, dengan bahan api tersedia dalam tangki 14.5 liternya.

    Kelengkapan baru lain pada F900 GS adalah fork hadapan USD boleh laras sepenuhnya daripada Showa, yang menyediakan jarak gerak hadapan 230 mm, sementara monoshock dengan pelarasan pra beban dan lantunan di belakang menyediakan jarak gerak 215 mm.

    Melalui tetapan ini, F900 GS mencatat tinggi tempat duduk 875 mm. Jika ini tidak bersesuaian dengan penunggang, mereka boleh mendapatkan tempat duduk yang lebih rendah atau tinggi (805 mm-890 mm) yang disediakan sebagai pilihan.

    Sesuai dengan karekter yang lebih menghala kepada tunggangan offroad, F900 GS dipasang dengan rim spoked 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, sementara brek terdiri daripada cakera berkembar 305 mm dengan angkup dua piston di hadapan, dan cakera 265 mm tunggal dengan angkup satu piston di belakang.

    Kelengkapan standard lain yang disediakan pada F900 GS, adalah termasuk pelindung enjin, pemanas tangan, pelindung tangan, Dynamic Traction Control, BMW Motorrad ABS Pro, sistem kunci pintar, skrin TFT-LCD 6.5 inci yang boleh disambung kepada telefon, semua lampu jenis LED, rantai M-Endurance serta soket kuasa 12 volt dan USB.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025