Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mengapa kita tak tunaikan janji untuk turunkan harga minyak? Ini jawapan saya…. – PMX Anwar Ibrahim

    Mengapa kita tak tunaikan janji untuk turunkan harga minyak? Ini jawapan saya…. – PMX Anwar Ibrahim

    Sejak terpilih menjadi Perdana Menteri ke-10 (PMX) pada akhir tahun lalu, sudah beberapa kali Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘mengulang cerita’ mengapa kerajaan kepimpinannya masih tidak boleh untuk menunaikan salah satu manifestonya sejak sekian lama iaitu menurunkan harga minyak khususnya petrol.

    Malahan desakan ramai ahli politik khususnya dari blok pembangkang dan juga rakyat Malaysia menuntut agar Anwar menunaikan janji tersebut. Bahkan rakyat Malaysia juga masih menantikan formula yang terbaik daripada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkenaan dengan perkara yang sama. Bukan setakat mahu harga kereta diturunkan, tetapi paling penting harga minyak petrol dan diesel di pasaran tempatan tidak membebankan rakyat khususnya golongan B40 dan M40.

    Baru-baru ini pula, bahagian penyelidikan Kenanga Investment Bank iaitu Kenanga Research berkata, kemungkinan besar subsidi bersasar bahan api hanya akan diberikan untuk golongan B40, ramai pula golongan M40 yang mengeluh (ini termasuklah kami).

    Mengapa kita tak tunaikan janji untuk turunkan harga minyak? Ini jawapan saya…. – PMX Anwar Ibrahim

    Tetapi andai ia dilaksanakan (subsidi bersasar hanya untuk golongan B40), pastinya ia akan menambahkan keresahan untuk golongan lain kerana secara automatik harga barangan keperluan semasa akan naik (sekarang pun dah naik…) dan secara tidak langsung menambahkan beban kewangan.

    Menyedari rungutan banyak pihak, PMX menerusi laman media sosialnya telah berkongsikan video berdurasi satu minit 15 saat ini. Ia dirakamkan sewaktu beliau menghadiri majlis ramah mesra Madani baru-baru ini.

    “Macam minyak sekarang, saya dicerca merata tempat. Hari ini naik, esok minyak turun…. Dengar jawapan saya, bila saya kata itu..2008. Masa itu berapa harga minyak Saudi..50 sen (seliter). Kita masa tu dalam RM1.80 (seliter), RM1.60 (seliter).

    “Berapa sekarang… Sekarang 2023. Sekarang harga minyak Arab saudi lebih tinggi dari Malaysia. Kita nak turun macam mana lagi. Kita dah subsidi begitu tinggi, (RM)30-40 bilion ringgit subsidi sekarang ini…,” katanya.

    Apa yang diperkatakan menerusi video ini adalah seiring dengan apa yang pernah diucapkan ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat pada 20 September lalu.

    Katanya, harga semasa petrol di Malaysia masih berada pada tahap rendah, iaitu RM2.05 seliter, berbanding Arab Saudi yang menetapkan pada kadar RM2.84 seliter. Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan tidak wajar jika cadangan diajukan beliau ketika 2018 itu, berterusan dimanipulasi, tanpa mengambil kira perkembangan semasa.

    “Kita kena ambil kira ini, kenaikan atau penurunan minyak. Itu maknanya, (harga) minyak kita masih rendah. Justeru, tidak tepatlah jika mahu terus menggunakan komen dan hujan dibuat bersama-sama ketika kita dalam Pakatan Rakyat, sebelum ini,” katanya ketika itu.

    Setakat ini, petrol RON 97 ditetapkan pada harga RM3.47 seliter selepas mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter pada 21 September lalu. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Untuk diesel Euro B10/B20, harganya pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

     
     
  • Suzuki Swift Concept 2024 didedah – rekaan seluruh bahagian dirombak, muka hadapan nampak pelik?

    Suzuki Swift Concept 2024 didedah – rekaan seluruh bahagian dirombak, muka hadapan nampak pelik?

    Suzuki telah mengumumkan barisan kenderaan yang akan mereka bawa ke Japan Mobility Show (sebelum ini dikenali sebagai Tokyo Motor Show) 2023 dan salah satu yang menarik perhatian adalah Swift Concept ini. Ia memberi pra tonton awal kepada model generasi keempat hatchback tersebut dan akan menggantikan model generasi ketiga yang sudah berada dalam pasaran sejak tahun 2016.

    Meskipun masih dipanggil sebagai sebuah kereta konsep, model yang ditunjukkan ini nampak seperti sudah sedia untuk pasaran dan dijangka akan dilancar pada tahun hadapan. Sekali pandang, anda akan terus nampak rekaan baru yang lebih radikal berbanding sebelum ini.

    Bentuk asas hatchback ini masih lagi sama, tetapi anda boleh melihat perincian baru seperti lekuk pada bahagian tepi badan serta pembuka pintu yang diletakkan kembali kepada tempat biasa berbanding tepi cermin pada model generasi ketiga.

    Suzuki Swift Concept 2024 didedah – rekaan seluruh bahagian dirombak, muka hadapan nampak pelik?

    Walaupun begitu, bahagian yang dijangka akan menimbulkan kontroversi adalah depan. Lekuk pada bahagian tepi tadi bersambung sehingga ke bonet yang bukan sahaja rata, tetapi mempunyai lengkuk sehingga ke tepi (clamshell type).

    Dengan rekaan bonet sebegitu, lampu utama (mempunyai pencahayaan DRL berbentuk J) diletakkan lebih rendah dan mengapit gril tengah yang lebih kecil. Selain lampu kabus yang berada di setiap penjuru, bampar baru ini juga melihatkan kemasan berwarna perak di bahagian bawahnya.

    Pergi ke belakang, lampu Swift konsep ini mendapat bentuk dan pencahayaan baru, dan menjadikan pintu butnya lebih berpetak. Bampar belakang juga mendapat kemasan berwarna hitam di bahagian bawah, yang turut meletakkan pemantul cahaya serta nombor plet di bahagian tengah.

    Suzuki Swift Concept 2024 didedah – rekaan seluruh bahagian dirombak, muka hadapan nampak pelik?

    Rekaan bahagian dalam turut dirombak, dengan menyaksikan skrin sesentuh untuk sistem infotainmen diletakkan paling atas. Corong pendingin hawa nampak lebih berpetak sementara kawalannya pula menggunakan butang bagi menggantikan tombol bulat sebelum ini. Panel meter di hadapan pemandu masih mempunyai tetapan analog bersama skrin digital kecil di bahagian tengah.

    Perincian untuk penggerak Swift baru ini masih lagi tidak didedahkan tetapi Suzuki memberi gambaran “enjin berkecekapan tinggi memberikan keseimbangan antara prestasi pemanduan dan kecekapan bahan api.” Syarikat pengeluar Jepun itu juga memberitahu Swift baru ini akan mendapat teknologi keselamatan canggih termasuk Dual Sensor Brake Support II (DSBS II atau Autonomous Emergency Braking), lampu tinggi adaptif dan sistem pemerhati pemandu.

     
     
  • Suspek kes pukul food rider di Klang diberkas polis

    Suspek kes pukul food rider di Klang diberkas polis

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong mengesahkan tiga suspek yang disyaki terbabit dalam kes pukul seorang penghantar makanan atau food rider di Jalan Langat-Klang telah pun diberkas.

    Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, tangkapan dilakukan oleh pasukan D7 daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada 6.30 petang semalam.

    “Polis menangkap tiga suspek warga tempatan yang berumur antara 28 hingga 39 tahun yang bekerja sebagai penarik kereta. Kesemua suspek didapati mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah. Ujian saringan awal air kencing terhadap semua suspek mendapati suspek utama yang berumur 39 tahun positif methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi tadi.

    Tambah beliau, permohonan tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dimohon di Mahkamah Majistret Klang. Malahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Klang Selatan turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Sejak semalam, video rakaman kes pukul ini telah viral di laman media sosial yang memaparkan seorang lelaki telah memukul dan merosakkan motosikal milik seorang warga tempatan berusia 21 tahun yang bekerja sebagai food rider gara-gara tidak puas hati selepas mangsa membunyikan hon pada keretanya.

    Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah jua… Harap-harap suspek berkenaan dijatuhkan hukuman yang setimpal dengan perbuatannya termasuk kes dadah!

     
     
  • Hyundai Santa Fe facelift bakal tiba di Malaysia – SUV tiga baris tempat duduk akan dipasang di Kulim

    Hyundai Santa Fe facelift bakal tiba di Malaysia – SUV tiga baris tempat duduk akan dipasang di Kulim

    Tidak lama lagi, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) akan melancarkan Santa Fe generasi keempat versi facelift di pasaran Malaysia. Ini dijadikan lebih jelas apabila mereka mengumumkan di laman LinkedIn bahawa Sime Darby Hyundai Integrated (SHDI) telah menandatangani sijil pengeluaran dengan Inokom untuk memulakan pengeluaran SUV tersebut.

    Santa Fe generasi keempat dilancarkan di negara kita buat pertama kali pada bulan Mei 2019 sebagai sebuah model pemasangan tempatan (CKD), dan beberapa bulan selepas itu, iaitu pada Jun 2020, keluar pula versi facelift di Korea. Semasa dijual, Santa Fe ditawarkan dalam versi petrol dan juga diesel.

    Buat masa ini, tiada Santa Fe dalam laman web HSDM, dan kali terakhir kami periksa, terdapat dua varian diesel, iaitu Executive SE 2WD yang berharga RM196,888 tidak termasuk insurans, dan Executive Plus SE 2WD pada RM215,888.

    Antara perubahan yang diberi pada model facelift termasuk lampu hadapan utama pada bampar yang kini bersepadu terus dengan gril utama, gril bawah yang lebih besar serta grafik LED lampu nyalaan siang pada sebelah atas kelihatan bersambung dengan jalur grafik LED yang menyala pada lampu utama di bawah, menyerlahkan bentuk seakan huruf T.

    Di bahagian belakang, Santa Fe facelift mendapat lampu dengan kluster yang nampak sama seperti sebelum ini, namun ia hadir dengan grafik LED yang juga membentuk huruf T seperti di hadapan, manakala bar krom yang merentangi pintu tailgate bagi menyambungkan kedua-dua lampu kini digantikan dengan reflektor berwarna merah.

    Meskipun ini cuma model facelift, Hyundai mengumumkan penggunaan platform serba baru, sekaligus membantu memberikan peningkatan dari segi prestasi, kawalan dan keselamatan, jauh lebih baik dari sebelum ini.

    Pada bahagian kabin, rekaan asas papan pemuka Santa Fe 2021 ini masih kelihatan sama seperti sebelumnya. Namun rombakan besar dibuat pada konsol terowong tengah di mana ia kini kelihatan lebih tinggi dan lebih landai, dan tombol gear tradisional juga tidak lagi digunakan sebaliknya digantikan dengan butang ‘shift-by-wire’.

    Turut kelihatan disebelah butang gear tersebut adalah suis kawalan Terrain Mode, untuk pilihan mod pemanduan Eco, Sport, Comfort dan Smart, serta pilihan mod sistem pacuan semua roda HTRAC yang hadir dengan pilihan Sand, Snow dan Mud.

    Skrin sesentuh utama untuk sistem AVN (audio, video dan navigasi) kini menggunakan unit bersaiz 10.25-inci, yang telah lengkap dengan peta untuk sistem navigasi satelit dan boleh dioperasikan dengan arahan suara, serta memberikan paparan untuk kamera undur dan juga pelbagai fungsi terhubung lain. Panel instrumen menggunakan unit digital 12.3 inci.

    Santa Fe sebelum ini ditawarkan di Malaysia dengan enjin sama ada unit petrol empat silinder NA 2.4 liter atau diesel empat silinder 2.2 liter turbo. Versi petrol datang dengan transmisi automatik enam kelajuan seentara versi diesel mendapat transmisi automatik lapan kelajuan – pacuan sama ada dua roda atau empat roda bergantung kepada varian.

    Setakat ini masih belum diketahui sama ada tetapan sama akan digunakan kembali, atau ia mungkin datang dengan pilihan yang lebih mesra alam memandangkan platform baru ini boleh diletakkan dengan enjin hibrid dan plug-in hybrid. Untuk pengetahuan, Santa Fe juga sudah keluar dengan model generasi kelima, yang diperkenalkan kali pertama Julai lalu.

    GALERI: Hyundai Santa Fe facelift 2021

     
     
  • Proton X70 facelift 2024 dilihat sedang diuji – tampil gril songket baharu, muka Geely Boyue facelift 2022

    Proton X70 facelift 2024 dilihat sedang diuji – tampil gril songket baharu, muka Geely Boyue facelift 2022

    Sejak diperkenalkan kali pertama pada Disember 2018, SUV segmen-C Proton X70 telah diberikan beberapa peningkatan, dan kali terakhir kemaskininya adalah pada model MC2 2022 tahun lalu. Walau bagaimanapun, kemaskini-kemaskini berkenaan kebanyakkannya dari segi penawaran rangkaian kuasa, tetapi sebahagian besar rupanya masih tidak berubah.

    Nampaknya tak lama lagi X70 bakal menerima penyegaran rupa yang lebih serius – sebuah X70 dilihat sedang diuji oleh Proton di atas jalan raya awam menampilkan beberapa perubahan penggayaan, mungkin akan tampil sebagai model facelift tahun hadapan.

    Imej ini dirakam di Lebuhraya Kesas dan ia dimuatnaik di laman Proton X70 Owners Club Facebook Page, dan ada juga imej yang kami terima dari pembaca paultan.org Jeremy Joel. Seperti yang anda boleh lihat, tiada lagi gril hadapan dengan rekaan infinite weave sedia ada dan ia digantikan dengan gril bercorak pin krom.

    Proton X70 facelift 2024 dilihat sedang diuji – tampil gril songket baharu, muka Geely Boyue facelift 2022

    Elemen rekaan ini pertama kali ditampilkan pada SUV segmen-D Proton X90 yang dilancarkan Mei lalu. Menurut Proton, rekaan pin krom seperti pada model-model Mercedes-Benz tersebut sebenarnya diinspirasikan dari corak kain songket warisan melayu.

    Selain itu, ia juga menerima lampu hadapan yang lebih nipis dan bersegi, fender hadapan berbeza bagi disesuaikan dengan lampu baharu, bonet hadapan yang lebih berotot dan juga bampar dengan kemasan liang udara yang nampak lebih lebar – di mana kesemuanya nampak menyerupai kembarnya pada pasaran China iaitu Geely Boyue facelift 2022.

    Di belakang, ia masih menggunakan unit lampu kombinasi yang sama. Perubahan dijangka dibuat pada bampar menampilkan kemasan diffuser baharu kerana bahagian berkenaan telah ditutup sepenuhnya dengan pelekat penyamaran. Unit ujian prototaip yang dijumpai ini juga dilihat menggunakan unit rim yang sama seperti Boyue facelift 2022 di China.

    Penawaran unit rangkaian kuasa mungkin sama dengan versi MC2 2022 di mana varian Standard, Executive dan Premium 2WD dijana dengan enjin 1.5 liter tiga-silider turbo dengan suntikan bahan api terus berkuasa 177 PS/255 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan.

    Satu-satunya varian yang pacuan semua roda adalah varian 1.5 T-GDi Executive AWD, manakala varian tertinggi 1.8 Premium 2WD pula menerima enjin 1.8 liter turbo dengan suntikan bahan api terus berkuasa 184 PS/300 Nm, diganding dengan kotak gear DCT tujuh-kelajuan.

    GALERI: Geely Boyue facelift 2022

     
     
  • Kerajaan sasar jadikan pemilikan EV lebih mudah dicapai untuk B40, M40 melalui subsidi bersasar

    Kerajaan sasar jadikan pemilikan EV lebih mudah dicapai untuk B40, M40 melalui subsidi bersasar

    Menuju ke hadapan, kerajaan akan memastikan pemilikan kenderaan elektrik tersedia untuk semua tahap pendapatan. Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, ini akan dilakukan melalui subsidi bersasar serta bantuan kewangan.

    “Memandang ke masa hadapan Bajet 2024 yang akan datang, fokus kami masih pada keterangkuman, meletakkannya selari dengan rangka kerja Ekonomi Madani. Kami meletakkan matlamat untuk menjadikan pemilikan EV lebih mudah diakses oleh semua, terutamanya B40 dan M40, melalui subsidi bersasar dan bantuan kewangan,” kata beliau semasa pelancaran ibu pejabat baru Tesla di Cyberjaya semalam.

    Tiada perincian lain yang diberitahu, atau bagaimana ia akan dilaksanakan, tetapi kalau kita lihat kepada realiti, ia tidak akan terjadi dalam masa terdekat. Untuk menjadikan EV lebih mudah diakses, ia akhirnya nanti memerlukan pemasangan tempatan dan penarikan semula sekatan yang ada sekarang. Jadi, jika ada yang menjangkakan EV mampu milik, tahun 2026 barulah ia akan menghala ke arah itu.

    Kerajaan sasar jadikan pemilikan EV lebih mudah dicapai untuk B40, M40 melalui subsidi bersasar

    Kenapa 2026? Sekarang ini kita mendapat pelepasan cukai import dan duti eksais untuk EV yang diimport sepenuhnya, sehingga 31 Disember 2025, tetapi harga jualannya mestilah tidak kurang daripada RM100,000. Ini dibuat bagi memberi ruang kepada pemain tempatan untuk bersedia dengan elektrifikasi.

    Selain daripada itu, Zafrul memberitahu bahawa pelaksanaan polisi dan inisiatif ini setakat ini memberikan impak yang positif kepada industri automotif tempatan, menggambarkan komitmen kerajaan untuk membangunkan satu ekosistem lengkap EV dalam negara.

    “Jumlah EV yang didaftar meningkat kepada lebih 3,40 unit pada tahun 2022 dan melebihi 7,500 unit pada September 2023, berbanding cuma sekitar 300 unit pada tahun sebelumnya. Sebagai tambahan, pelabutan dalam industri EV juga sudah mencecah RM26.2 bilion dari tahun 2018 hingga Mac tahun ini,” tambah Zafrul.

     
     
  • Kia Carnival 11-tempat duduk bakal ditawarkan sebagai model CKD, kata pengedar – jangkaan RM218k

    Kia Carnival 11-tempat duduk bakal ditawarkan sebagai model CKD, kata pengedar – jangkaan RM218k

    Setakat ini, untuk pasaran Malaysia, Kia Carnival ditawarkan dengan model pemasangan tempatan (CKD) bagi versi 7- dan 8-tempat duduk dan import sepenuhnya (CBU) pula untuk 11-tempat duduk. Bagi versi CBU, ia diperkenalkan di pasaran Malaysia pada Januari 2022, manakala untuk CKD pula dilancarkan pada Julai tahun yang sama.

    Walau bagaimana pun, kami menerima perkhabaran bahawa Kia Malaysia bakal memperkenalkan semula Carnival 11-tempat duduk tetapi dengan versi CKD tidak lama lagi, dan beberapa wakil pengedarnya telah mula menerima pra-tempahan. Menurut beberapa posting di laman media sosial, versi CKD bagi Carnival 11-tempat duduk ini dijangka ditawarkan dengan harga sekitar RM218,000.

    Buat masa ini, Carnival 11-tempat duduk versi CBU dijual pada harga atas jalan RM199,840.80 tanpa insurans, dan dengan harga jangkaan pada wakil pengedar ini, nampaknya ada kenaikan harga sebanyak RM18k. Walau bagaimana pun, harga jangkaan Carnival 11-tempat duduk CKD itu lebih rendah berbanding varian CKD yang lain, yang ditawarkan dari RM233,528,80 hingga RM261,228.80.

    Kia Carnival 11-tempat duduk bakal ditawarkan sebagai model CKD, kata pengedar – jangkaan RM218k

    Perbezaan harga antara versi CKD dan CBU adalah disebabkan perubahan spesifikasi, yang buat masa ini masih belum dipastikan, namun menurut wakil pengedar, cirinya masih akan lebih kurang sama. Alasan lain yang membabitkan perbezaan harga kerana kos bagi pemasangan tempatan agak tinggi, menurut wakil pengedar yang memaklumkannya kepada kami.

    Carnival 11-tempat duduk ini memiliki bentangan 2-3-3-3, dengan dua barisan tempat duduk kedua yang hanya dilengkapi dengan cagak tenmpat duduk kanak-kanak ISOFIX. Manakala tempat duduk kecil untuk barisan kedua- dan ketiga pula hanya untuk kegunaan sementara, tetapi masih dilengkapi tali pinggang keledar, boleh dilipatkan untuk memberikan akses laluan di bahagian tengah.

    Carnival 11-tempat duduk CBU buat masa ini diberikan enjin yang sama dengan versi CKD, dengan enjin Smartstream D2.2 empat-silinder turbodiesel yang mampu memberikan kuasa 202 PS (199 hp) dan tork 404 Nm. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Senarai kelengkapannya termasuklah roda aloi 18-inci, lampu utama dwi-LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan LED, lampu belakang dan lampu kabus belakang jenis mentol, bilah pengelap cermin, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, dwi-pintu gelangsar kuasa, penderia parkir hadapan dan belakang, paparan kluster instrumen TFT LCD 4.2-inci, kawalan suhu tiga-zon (dua di hadapan dan satu di belakang), pad pengecasan telefon tanpa wayar serta sistem infotainmen skrin sesentuh 12.3-inci dengan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Untuk bantuan pemandu dan keselamatam, MPV import sepenuhnya diberikan tujuh beg udara, AS, EBD, bantuan brek, ESC, kawalan cengkaman, kawalan brek pelbagai-pelanggaran, bantuan mula mendaki, penahan auto brek (bekerjasama dengan brek parkir elektronik), kepekaan penumpang belakang, bantuan keluar selamat, amaran pelanggaran titik buta dan pengelak pelanggaran trafik lintasan belakang. Sama seperti CKD 2.2D 8-tempat duduk Mid, 11-tempat duduk CBU ini juga tidak diberikan brek kecemasan sendiri.

    Carnival 11-tempat duduk CKD dikatakan bakal ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu Astra Blue, Jet Black, Snowflake White Pearl dan Meteor Grey. Tidak seperti versi CKD tujuh- dan lapan-tempat duduk yang mempunyai lima pilihan warna luaran termasuk Sonic Silver.

    GALERI: Kia Carnival 11-tempat duduk CBU 2022

     
     
  • RM52.772 juta saman tertunggak kenderaan perdagangan belum dilangsaikan sejak 2018 – JPJ

    RM52.772 juta saman tertunggak kenderaan perdagangan belum dilangsaikan sejak 2018 – JPJ

    Pengarah Penguatkuasa Kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),Datuk Lokman Jamaan mengesahkan sebanyak RM52.772 juta saman aktif tertunggak kenderaan perdagangan membabitkan pelbagai kesalahan dikesan masih belum dilunaskan pesalah dan syarikat kenderaan perdagangan sejak 2018.

    Katanya, jumlah itu melibatkan sebanyak 175, 909 saman masih aktif dan tertunggak membabitkan pemilik syarikat kenderaan perdagangan di seluruh negara. Di mana berdasarkan pecahan pungutan jumlah saman tertunggak itu, Selangor menjadi negeri yang tertinggi dengan merekodkan sejumlah 61,940 saman, laporan Harian Metro.

    “Negeri lain yang mencatatkan saman tertunggak kenderaan perdagangan ialah Pahang (16,372), Perak (13,790), Kedah (13,743), Pulau Pinang (7,828), Kuala Lumpur (9,825) dan Negeri Sembilan (10, 270).

    “Semua syarikat perdagangan dan pemandu yang memiliki saman aktif masih tertunggak itu diberikan tempoh membayar saman tetapi masih tidak mengambil serius dan gagal melaksanakan tanggungjawab itu. JPJ akan mengambil tindakan lebih tegas tanpa kompromi bagi mengingatkan mereka supaya tampil menguruskan tunggakan kepada JPJ dan mematuhi peraturan,” katanya.

    RM52.772 juta saman tertunggak kenderaan perdagangan belum dilangsaikan sejak 2018 – JPJ

    Lokman turut berkata, pihaknya akan melaksanakan Op Patuh Khas fasa kedua terhadap kenderaan perdagangan akan dilaksanakan selama sebulan sehingga akhir Oktober ini.

    “Operasi ini akan memfokuskan pematuhan undang-undang dan peraturan-peraturan keselamatan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Perlesenan Kenderaan Perdagangan.

    “JPJ tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan jalan raya dan pemeriksaan secara teliti akan dijalankan termasuk dari sudut teknikal, kompetensi pemandunya, perlindungan insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah supaya hanya pemandu dan kenderaan perdagangan yang selamat sahaja layak berada di jalan raya,”katanya.

    Pada akhir September lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menafikan bahawa JPJ tidak bertindak tegas terhadap pemandu lori dan treler yang melakukan kesalahan hingga sering menyebabkan kemalangan. Loke menegaskan bahawa JPJ telah bertindak cukup tegas bukan sahaja terhadap kenderaan berat dan lori yang membawa muatan secara berlebihan, malah kepada kenderaan lain.

    “Tidak benar bahawa JPJ tidak tegas atau bersikap tolak ansur terhadap pemandu lori dan treler. Tindakan penguatkuasaan tegas sentiasa diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan jalan raya. Malah, ada pihak yang membuat aduan bahawa kita mengambil tindakan yang terlalu ketat termasuk penyitaan, pembatalan lesen, lucuthak dan sebagainya,” kata Loke.

     
     
  • Lelaki pukul food rider di Klang sedang dijejaki polis

    Lelaki pukul food rider di Klang sedang dijejaki polis

    Seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kes pukul yang berlaku di tepi jalan di persimpangan lampu isyarat Jalan Langat-Klang sedang dijejaki pihak polis. Insiden yang dipercayai berlaku semalam melibatkan seorang penghantar makanan atau food rider berusia 21 tahun yang mendakwa telah ditahan oleh sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan khianat, laporan Harian Metro.

    Beliau turut berkata, pihaknya menerima laporan pada 12.44 tengah malam tadi yang mana pengadu yang juga food rider berkenaan mendakwa salah seorang lelaki terbabit telah bertindak memukul dan merosakkan motosikal miliknya.

    “Hasil siasatan mendapati pada hari kejadian sekitar 7.15 malam, mangsa yang menunggang motosikal membunyikan hon pada sebuah kereta kerana memandu secara berbahaya dan hampir melanggar mangsa.Pemandu kenderaan itu kemudian menghalang pergerakan mangsa di persimpangan lampu isyarat. Salah seorang daripada lelaki berkenaan kemudian menolak mangsa sehingga jatuh dari motosikal serta mencekik, menumbuk muka serta menendang perut dan kaki mangsa beberapa kali.

    Lelaki pukul food rider di Klang sedang dijejaki polis

    “Sebelum beredar, suspek turut menendang motosikal pengadu sehingga jatuh dan menyebabkan kerosakan pada ‘cover set’. Susulan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan sakit dan bengkak pada bibir, tulung rusuk dan kaki,” katanya sambil menambah usaha mengesan suspek giat dijalankan untuk membantu siasatan.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh hadir ke menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau hadir ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

    “Orang awam dinasihatkan agar mengamalkan sikap bertimbang rasa semasa memandu agar keselamatan pengguna jalan raya terjamin serta mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.

    Video yang sedang tular di laman Facebook Grabfood Rider Community Malaysia telah mendapat perhatian para netizen yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki yang memukul food rider tersebut. Masing-masing menggesa agar pihak polis segera memberkas dan mengenakan hukuman yang setimpal terhadap lelaki terbabit.

     
     
  • Tesla Model 3 ‘Highland’ bakal tiba di M’sia bulan ini, serahan dijangka hujung tahun 2023 — dari RM189k

    Tesla Model 3 ‘Highland’ bakal tiba di M’sia bulan ini, serahan dijangka hujung tahun 2023 — dari RM189k

    Ketika pelancaran Ibu Pejabat Tesla Malaysia di Cyberjaya hari ini, turut didedahkan bahawa unit terawal bagi Tesla Model 3 ‘Highland’ facelift akan tiba di Malaysia dalam bulan ini, dengan serahan kepada pelanggan akan dimulakan pada penghujung tahun 2023 nanti.

    Model 3 yang diperbaharui itu merupakan model kedua Tesla yang ditawarkan untuk pasaran tempatan selepas mula diumumkan bulan lalu, dan bakal didatangkan dalam dua versi. Pilihan paling asas untuk pasaran tempatan bermula dengan harga RM189,000, sementara versi Dual Motor All-Wheel Drive dijual dengan harga RM218,000. Spesifikasi untuk setiap satu adalah seperti berikut:

    Tesla Model 3 ‘Highland’ bakal tiba di M’sia bulan ini, serahan dijangka hujung tahun 2023 — dari RM189k

    Tesla Model 3 Rear-Wheel Drive

  • Pecutan 0-100 km/h: 6.1 saat
  • Laju maksimum: 201 km/h
  • Jarak (WLTP): 513 km
  • Tesla Model 3 Dual Motor All-Wheel Drive

  • Pecutan 0-100 km/h: 4.4 saat
  • Laju maksimum: 201 km/h
  • Jarak (WLTP): 629 km
  • Selepas memilih sistem janaan, terdapat beberapa lagi pilihan yang boleh ditambah untuk Model 3. Antaranya ialah:

    Warna luaran

  • Pearl White Multi-Coat: Termasuk
  • Solid Black: RM5,000
  • Deep Blue Metallic: RM5,000
  • Stealth Grey: RM7,500
  • Ultra Red: RM11,000
  • Rim

  • Rim 18-inci Photon: Termasuk
  • Rim 19-inci Nova: RM7,500
  • Warna dalaman

  • Hitam: Termasuk
  • Hitam dan putih: RM5,000
  • Sistem bantuan pemandu

  • Enhanced Autopilot (dikendalikan dengan Autopilot, Auto Lane Change): RM16,000
  • Kemampuan pemanduan sendiri sepenuhnya (terdiri daripada semua fungsi Basic Autopilot dan Enhanced Autopilot): RM32,000
  • Perlu dinyatakan, serahan kepada pelanggan bagi Model 3 akan dilakukan terlebih dahulu sebelum Model Y, walaupun Model Y yang diperkenalkan dahulu untuk pasaran Malaysia pada Julai lalu. Serahan untuk Model Y pula dijangka akan dilakukan pada awal tahun 2024.

     
     
  • Penutupan lorong tengah di KM27.5-KM26 Lebuhraya Kajang SILK arah Kajang, 4 Nov 2023-30 Jan 2024

    Penutupan lorong tengah di KM27.5-KM26 Lebuhraya Kajang SILK arah Kajang, 4 Nov 2023-30 Jan 2024

    PROLINTAS selaku pengendali Lebuhraya Kajang SILK telah mengumumkan, sebahagian lorong tengah dari KM27.5 hingga KM26 arah Kajang di lebuhraya berkeneaan akan ditutup mulai 4 November ini sehingga 30 Januari 2024.

    Menurut PROLINTAS, penutupan lorong berkenaan adalah bagi kelancaran pelaksanaan kerja-kerja melebarkan Lebuhraya Kajang SILK.

    “Kemungkinan pengguna akan mengalami sedikit kecelaruan dari segi penjajaran lorong laju di kawasan terbabit disebabkan kerja-kerja temporary roadline marking yang belum siap sepenuhnya. Kerja-kerja tersebut dijangka siap sepenuhnya pada 5 Oktober 2023.

    Penutupan lorong tengah di KM27.5-KM26 Lebuhraya Kajang SILK arah Kajang, 4 Nov 2023-30 Jan 2024

    Klik untuk besarkan

    “Kesesakan juga akan berlaku di pertembungan penutupan lorong tengah tersebut dengan lorong laluan kontra disebabkan hanya dua lorong sahaja yang dapat digunakan dari Lebuhraya SKVE ke arah Kajang semasa waktu puncak,” Kata Prolintas menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Justeru, tambahnya, pengawal trafik dan papan tanda amaran keselamatan akan diletakkan di kawasan yang terlibat bagi memastikan pergerakan kenderaan dan peralatan pembinaan terkawal.

    Dalam masa yang sama, pengguna dinasihatkan supaya mematuhi had kelajuan serta arahan petugas dan berhati-hati memandu di kawasan pembinaan.

     
     
  • Tesla buka pusat operasi di Cyberjaya — serahan dan servis kenderaan pelanggan; ada 8 Supercharger

    Tesla buka pusat operasi di Cyberjaya — serahan dan servis kenderaan pelanggan; ada 8 Supercharger

    Tesla Malaysia hari ini melancarkan pusat operasinya di Cyberjaya. Premis berkenaan akan bertindak sekali ibu pejabat, Experience Centre serta pusat servis untuk jenama itu di sini. Ini adalah sebahagian daripada rancangan pembangunan Tesla untuk Malaysia, yang turut melibatkan pemasangan rangkaian Supercharger, serta pembukaan lebih banyak Experience Centre oleh Tesla.

    Ibu Pejabat Tesla di Cyberjaya ini selesai dalam tempoh hanya dua bulan merupakan hab sentral bagi semua operasi korperat, pemasaran, latihan dan aktiviti sokongan pelanggan. Pusat servisnya juga lengkap dengan peralatan diagnostik dan dikendalikan oleh juruteknik terlatih, dan disokong juga oleh gudang alat ganti yang khusus.

    Ketika ini, Tesla Model Y dan Model 3 dibuka untuk tempahan pelanggan di sini, dengan serahan pertama bagi Model 3 dijangka berlaku hujung tahun ini. Harganya bermula dari RM189,000 bagi varian asas Rear-Wheel Drive. Sementara bagi serahan unit Model Y kepada pelanggan pula dijangka dilakukan awal tahun 2024; harga jualannya pula ialah dari RM199,000 bagi varian asas Rear-Wheel Drive.

    Serahan unit kepada pelanggan akan dilakukan di premis di Cyberjaya ini. Kemudahan ini juga dilengkapi dengan lapan stesen Supercharger dan 12 pengecas Wall Connector — bagaimanapun ini hanyalah untuk kegunaan dalaman sahaja buat masa sekarang. Tesla akan menentukan sama ada stesen pengecas tersebut akan dibuka kepada umum atau sebaliknya, kelak.

     
     
  • Brabus 1300R Masterpiece Edition diperkenal – hanya 50 unit, asas daripada KTM 1290 Super Duke R EVO

    Brabus 1300R Masterpiece Edition diperkenal – hanya 50 unit, asas daripada KTM 1290 Super Duke R EVO

    Kerjasama antara Brabus dengan KTM yang telah menghasilkan dua versi motosikal keluaran terhad, iaitu Brabus 1300R dan Brabus 1300R Edition 23 nampaknya diteruskan lagi dengan pengenalan 1300R Masterpiece Edition. Walaubagaimanapun, ia diberitahu akan menjadi tanda akhir bagi model siri produksi Brabus ini.

    Sementara versi sebelum ini dijual sebanyak 154 unit untuk Brabus 1300R dan 290 unit untuk Edition 23, Masterpiece Edition ini pula akan dikeluarkan sebanyak 25 unit bagi setiap warna iaitu Onyx Black dan Diamond White, berserta beberapa bahagian yang mendapat kemasan warna emas.

    Asasnya juga masih sama seperti dua motosikal Brabus yang diperkenalkan sebelum ini, iaitu daripada model KTM 1290 Super Duke R Evo yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 180 hp, tetapi diberikan perincian rekaan Brabus Signature. Pada bahagian hadapan ia bermula dengan lampu berbentuk bulat, dengan DRL serta tulisan Brabus di tengah.

    Motosikal ini menggunakan banyak bahagian yang dibuat daripada gentian karbon jenis terdedah, termasuk di sekeliling lampunya, fender hadapan, panel penyejuk brek, fairing tepi, penghadang lumpur belakang serta panel tempat duduk belakang.

    Kemudian, penampilannya dijadikan lebih eksklusif dengan kemasan warna emas termasuk pada rim Brabus Monoblock Z serta muncung dua ekzosnya. Di atas tangki bahan api terdapat lencana khas nombor keluaran motosikal manakala berhampiran tempat duduk belakang terdapat lencana Brabus Masterpiece. Harga jualan Brabus 1300R Masterpiece Edition adalah 41,930 Euro (RM208,455).

     
     
  • Hyundai Ioniq 6 Max RWD 2023 di Malaysia – galeri penuh; 225 hp/350 Nm, jarak EV 614 km, RM290k

    Hyundai Ioniq 6 Max RWD 2023 di Malaysia – galeri penuh; 225 hp/350 Nm, jarak EV 614 km, RM290k

    Hyundai Ioniq 6 telah pun dilancarkan di Malaysia pada Julai lalu, dengan Kereta Tahunan Dunia 2023 ini ditawarkan dengan dua varian untuk pasaran tempatan. Ioniq 6 Max RWD berharga RM289,888, dan Ioniq 6 Max AWD pula RM319,888, kedua-duanya harga atas jalan dan tanpa insurans.

    Max RWD motor-tunggal yang ditunjukkan menerusi foto galeri ini dilengkapi dengan motor yang dipasang pada gandar belakang, memiliki kuasa sebanyak 225 hp (228 PS, atau 168 kW) dan tork 350 Nm, sementara bagi Max AWD dwi-motor pula menampilkan motor pada setiap gandar, menawarkan 321 hp (325 PS, atau 239 kW) dan 605 Nm.

    Angka prestasi termasuk 0-100 km/j dalam 7.4 saat untuk Ioniq 6 Max RWD, sementara itu varian AWD lebih padu dengan catatan 5.1 saat, dengan kedua-dua varian mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 185 km/j.

    Kedua-dua versi Max RWD dan Max AWD menggunakan bateri polimer lithium-ion 77.4 kWh, yang mampu memberikan jarak gerak EV sehingga 614 km untuk Max RWD dan 519 km bagi Max AWD, kedua-duanya mengikut kitaran WLTP, dalam pengecasan tunggal.

    Seperti Ioniq 5, Ioniq 6 ini turut diasaskan dari platform E-GMP yang sama. Platform berkenaan menampilkan asas sistem elektrikal 800-voltan yang membolehkan ia menyokong pengecasan 350 kW bagi membolehkan bateri dipenuhkan dari 10 hingga 80% dalam masa hanya 18 minit, dan 73 minit jika menggunakan pengecas DC 50 kW. Manakala dengan pengecas AC 11 kW, bateri boleh dipenuhkan dari 0 hingga 100% dalam masa 7.1 jam.

    Hyundai Malaysia turut membawa masuk dua pilihan Ioniq yang lebih murah iaitu Lite RWD (RM219,888) dan Plus RWD (RM249,888). Kedua-dua varian ini menampilkan motor yang dipasang pada gandar belakang yang menawarkan 149 hp (151 PS, atau 111 kW) dan tork 350 Nm.

    Kedua-dua Lite dan Plus menampilkan bateri polimer lithium-ion 53 kWh, yang menawarkan jarak penuh EV hingga 429 km (mengikut kitaran WLTP) bagi pengecasan tunggal. Sama seperti varian Max,Lite dan Plus juga boleh mendapat status pengecasan dari 10% hingga 80% dalam masa 18 minit apabila dicas menggunakan pengecas DC berkapasiti 350 kW. Kapasiti bateri yang lebih kecil ini bermakna masa pengecasannya juga lebih pendek berbanding varian Max apabila ia menggunakan pengecas yang kurang padu, iaitu 10% hingga 80% mengambil masa 58 minit dengan pengecas DC 50 kW dan 0% hingga 100% dalam 5.5 jam jika menggunakan pengecas AC 11 kW.

    Ciri kelengkapan standard yang diberikan untuk barisan Ioniq 6 ini termasuk lampu utama dwi-LED dengan pencahayaan hadapan pintar dan lampu belakang kombinasi Parametric LED. Varian Lite RWDm Plus RWD dan Max RWD berkongsi roda yang sama, dengan unit Aero 18-inci dibaluti tayar 225/55, manakala Max AWD dengan roda Performance 20-inci bersama tayar 245/40.

    Di dalamnya, ciri yang ditampilkan termasuklah upholstery dalaman (kecuali Lite RWD yang menerima tempat duduk balutan fabrik), dua skrin 12.3-inci, ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay, pencahayaan ambien 64-warna, pengecas telefon tanpa wayaw dan tailgate kuasa/ Kesemua varian dari Plus RWD turut dilengkapi dengan sistem bunyi Bose bersama lapan pembesar suara.

    Lima warna luaran ditawarkan untuk barisan Ioniq ini iaitu Abyss Black Pearl, Nocturne Grey Matte, Biophilic Blue Pearl, Dive Blue Solid dan Gravity Gold Matte.

     
     
  • Triumph Tiger 900 GT Aragon Edition tiba di Malaysia

    Triumph Tiger 900 GT Aragon Edition tiba di Malaysia

    Julai lalu Triumph telah memperkenalkan Tiger 900 Aragon Edition, yang dibuat sebagai sambutan kepada kemenangan Ivan Cervantes dalam perlumbaan Baja Aragon, dan disediakan dalam dua versi, iaitu GT dan Rally. Sekarang, salah satu daripadanya, iaitu versi GT sudah tiba di Malaysia dengan harga jualan RM81,000.

    Sebenarnya, tiada perubahan teknikal pada motosikal edisi istimewa ini, tetapi ia datang dengan grafik khas, di mana bagi Tiger 900 GT Aragon Edition, ia menggunakan gabungan warna Diablo Red, Matt Phantom Black dan Crystal White, berserta tempat duduk dua tona.

    Kemudiannya, besi pelindung enjin diberikan standard pada model Aragon Edition, manakala suspensi terdiri daripada fork hadapan Marzocchi 45 mm dengan pelarasan RSU elektronik dan monoshock belakang Marzocchi dengan pelarasan lantunan dan pra beban elektronik.

    Menggunakan asas daripada Tiger 900 GT Pro, kelengkapan lain adalah sama sahaja termasuk padanan rim aluminium 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, brek Brembo Stylema empat piston di hadapan, tangki bahan api 20 liter serta panel meter TFT.

    Memacu motosikal ini adalah enjin tiga silinder DOHC 888 cc bersama kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan 93.9 hp pada 8,750 rpm dan tork 87 Nm pada 7,250 rpm. Ia juga turut dilengkapi dengan sistem kawalan cengkaman, Cornering ABS, serta lima mod tunggangan.

    GALERI: Triumph Tiger 900 GT Aragon Edition

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025