Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ducati Multistrada V4 S Grand Tour 2024 diperkenal

    Ducati Multistrada V4 S Grand Tour 2024 diperkenal

    Ducati memperkenalkan sebuah model baru, yang mungkin boleh dikatakan sebagai Multistrada paling canggih dan mewah, iaitu Multistrada V4 S Grand Tour. Keistimewaannya bermula dengan warna eksklusif yang dipanggil sebagai Grand Tour, dan digunakan pada seluruh badan termasuk beg barangan tepi yang diberikan secara standard.

    Semua kelengkapan yang disediakan sebagai pilihan tambahan pada Multistrada V4 sebelum ini diberikan secara standard pada V4 S Grand Tour. Ia termasuk tongkat tengah, pemanas tangan, pemanas tempat duduk (termasuk penumpang), sistem tanpa kunci dan pelbagai lagi.

    Besi pemegang V4 S Grand Tour dikepit terus pada top yoke tanpa tapak tambahan bagi memberikan rasa yang lebih terus kepada penunggang, sementara tempat duduk penumpangnya adalah unit sama seperti yang digunakan pada Multistrada V4 Rally, yang lebih selesa.

    Ducati Multistrada V4 S Grand Tour 2024 diperkenal

    Di bahagian kokpit terdapat skrin TFT-LCD yang juga boleh disambung kepada telefon pintar dan memaparkan navigasi. Ciri elektronik lain yang disediakan adalah termasuk mod tunggangan, Traction Control, Wheelie Control, Cornering ABS dan Vehicle Hold Control. Dengan adanya radar di hadapan dan belakang, motosikal ini juga mempunyai fungsi Adaptive Cruise Control serta Blind Spot Warning.

    Suspensi elektronik semi aktif Skyhook pada model ini datang dengan empat mod, dan ia akan melaras ketinggian secara automatik untuk keadaan tunggangan yang berbeza. Ia juga dilengkapi fungsi Minimum Preload yang akan merendahkan motosikal apabila berhenti atau bergerak perlahan, dan Easy Lift yang dapat membantu mengurangkan beban penunggang apabila mengangkat motosikal ini daripada tongkat tepi.

    Masih lagi menggunakan enjin V4 Granturismo 1,158 cc sama seperti Multistrada V4 Pikes Peak dan Multistrada V4 Rally, Multistrada V4 S Grand Tour ini mampu menghasilkan kuasa 170 hp pada 10,500 rpm dan tork 125 Nm pada 8,750 rpm.

    Pengurusan haba enjin telah dipertingkat, dengan ia mendapat pelindung haba pada lengan ayun serta bahagian tepi subframe. Ia kemudiannya dibantu lagi oleh salur udara pada fairing berhampiran bahagian kaki, manakala tempat meletak telefon juga sekarang sudah mempunyai liang udara.

    Tinggi tempat duduk standard V4 S Grand Tour boleh dilaras antara 840 mm ke 860 mm, tetapi Ducati juga ada menjual pakej tempat duduk yang lebih rendah dan lebih tinggi, dengan ketinggian antara 790 mm hingga 875 mm. Tangki bahan api berkapasiti 22 liter.

     
     
  • BMW R1300 GS dalam teaser, didedah 28 September

    BMW R1300 GS dalam teaser, didedah 28 September

    BMW Motorrad sudah mula menyiarkan teaser untuk model pelbagai guna terbaru mereka iaitu R1300 GS di dalam media sosial. Model ini muncul hanya lima tahun selepas R1250 GS, dan akan menjadi penggantinya di dalam pasaran.

    Hanya satu gambar teaser disiar, menunjukkan motosikal itu meredah sungai kecil dan percikan air mengaburi bentuk sebenarnya. Apa yang boleh dilihat cuma perincian biasa seperti brek cakera berkembar serta penghadang angin yang rendah.

    Walaubagaimanapun, bayangan model baru ini menampakkan ia seakan lebih kurus, dan kita boleh menjangkakan penggunaan enjin boxer yang diberi peningkatan berbanding keadaan sekarang yang berkapasiti 1,254 cc dan mampu menghasilkan kuasa 136 hp/143 Nm.

    Semua laman media sosial BMW Motorrad menggunakan gambar yang sama, tetapi mempunyai keterangan yang berbeza. Di dalam Facebook, ia tertulis “sedia untuk menetapkan langkah dengan BMW #R1300GS serba baru?” manakala di dalam Instagram lebih ringkas dengan ayat “penantian hampir berakhir.”

    Tetapi, apa yang sama adalah tarikh ia diberitahu akan didedah secara rasmi, iaitu pada 28 September jam lima petang mengikut waktu Eropah Tengah (CEST). Ini bersamaan jam 11 malam waktu Kuala Lumpur.

     
     
  • Baki plat M_M kini boleh dibeli di JPJ, RM310

    Baki plat M_M kini boleh dibeli di JPJ, RM310

    Siri nombor pendaftaran istimewa (NPI), M_M yang dibuka bidaan pada 31 Ogos lalu selama 5 hari mendapat sambutan yang cukup menggalakkan. Walau pun bidaannya menerusi JPJ eBid telah pun tamat, malah pembida yang berjaya membidanya telah pun dimaklumkan, namun masih ada lagi baki nombor pendaftaran M_M ini.

    Jadi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membuka peluang untuk orang ramai mendapatkan baki nombor pendaftaran M_M ini bermula 18 September lalu. Bayaran yang dikenakan hanya RM310 sahaja termasuk fi perkhidmatan.

    Jika berminat untuk mendapatkannya, anda boleh pergi ke bahagian Perlesenan Kenderaan Ibu Pejabat JPJ di Putrajaya atau mana berkunjung ke mana-mana cawangan JPJ Negeri. Menurut JPJ, permohonan juga boleh dibuat melalui wakil dan terhad untuk tiga permohonan sahaja.

    Anda hanya perlu membawa salinan kad pengenalan atau pendaftaran syarikat dan isi borang JPJ eBid yang boleh dimuat turun menerusi portal rasmi JPJ.

    Sebelum ini, JPJ mengumumkan siri M_M ini telah berjaya meraih kutipan sebanyak RM20,091,970. Berdasarkan rekod bidaan, M1M merupakan NPI yang menerima bidaan tertinggi iaitu mencecah RM622,000. Diikuti dengan M5M yang menerima bidaan bernilai RM500,000 dan M8M dengan harga RM450,000. Manakala M9M pula dibida dengan harga RM402,004, dan M6M pula bernilai RM350,000.

     
     
  • Lencongan jalan di Plaza Tol Kemuning di Lebuhraya KESAS pada 22 hingga 25 Sept, 11 malam-5 pagi

    Ini ada makluman buat pengguna Lebuhraya Shah Alam atau KESAS. Terdapat lencongan jalan akan dilaksanakan di laluan menghala ke lorong E18 dan E19 di Plaza Tol Kemuning (menghala ke Kuala Lumpur) pada setiap hari bermula esok, 22 September sehingga 25 September 2023.

    Ia bertujuan bagi kelancaran kerja-kerja membaik pulih permukaan jalan konkrit di laluan berkenaan yang akan dilaksanakan pada jam 11 malam hingga 5 pagi sepanjang tempoh berkenaan.

    “Trafik menghala ke arah lorong yang terlibat akan dilencongkan sementara sepanjang kerja-kerja baik pulih dilakukan. Walau bagaimana pun, kedua-dua lorong E18 dan E19 di Plaza Tol Kemuning (menghala ke Kuala Lumpur) masih lagi beroperasi seperti biasa.

    “Pandu berhati-hati dan ikut arahan papan tanda trafik sementara di lokasi. Sebarang kesulitan amat dikesali,” kata pengendali KESAS.

     
     
  • VIDEO: Keiichi Tsuchiya drift Hyundai Ioniq 5 N!

    VIDEO: Keiichi Tsuchiya drift Hyundai Ioniq 5 N!

    What you think, I’m gonna let you roll in a Hyundai?” Ini dialog yang diucapkan oleh watak dari Korea, Han (dilakonkan oleh Sung Kang) dalam filem Fast & Furious:Tokyo Drift ketika babak menyerahkan sebuah Mitsubishi Lancer Evolution IX kepada Sean Boswell (lakonan Lucas Black).

    Ia adalah filem yang muncul pada tahun 2006, dan ketika itu agak sukar untuk mengaitkan Hyundai dalam segmen prestasi, lebih-lebih lagi dunia tuner. Tapi selepas Hyundai berjaya dengan sayap perlumbaan dan prestasinya iaitu Hyundai N, jenama itu tidak lagi boleh dipandang enteng.

    Ketika memperkenalkan Hyundai Ioniq 5 N di Australia awal bulan ini, jenama dari Korea berkenaan tidak segan silu untuk menjemput ikon paling besar dalam dunia perlumbaan dan modifikasi JDM, ‘The Drift King’ Keiichi Tsuchiya! Dorikin dijemput untuk memandu SUV EV prestasi tersebut pada 1 dan 2 September di Litar Sydney Motorsport Park, sempena berlangsungnya perlumbaan World Time Attack Challenge (WTAC) 2023.

    “Ini merupakan kali pertama saya memandu EV yang boleh drift. Apa yang paling mengejutkan adalah ketangkasannya, yang tak disangka untuk sebuah kereta dengan berat 2,200 kg. Ketika memandunya, saya ingatkan ia hanya 1,800 ke 1,900 kg, Tapi bila saya kembali ke pit, saya terkejut diberitahu bahawa ia seberat 2,200 kg,” kata Tsuchiya selepas memandu Ioniq 5 N tersebut.

    Dalam video ini juga dapat dilihat bahawa Tsuchiya turut suka dengan pergerakan belakang yang diberikan pada Hyundai Ioniq 5 N.

    “Saya tak meletakkan harapan yang tinggi kerana (di Jepun) tak banyak kereta sport dari Korea setakat ini. Tapi bila saya pandu baru saya sedar ‘oh, diorang sekarang dah buat kereta yang seronok’. Ini yang mengubah pandangan saya terhadap Hyundai Motors,” katanya lagi.

    Hyundai Ioniq 5 N ini diasaskan dari crossover EV Ioniq 5 standard, diberikan prestasi dan juga rupa yang lebih agresif. Ia menampilkan badan 50 mm lebih lebar dan ia 20 mm lebih rendah yang terhasil kerana ia memerlukan tayar dan juga diffuser belakang yang lebih lebar untuk prestasi pemanduan yang lebih baik.

    VIDEO: Keiichi Tsuchiya drift Hyundai Ioniq 5 N!

    Kerangka Ioniq 5 N ini juga telah dipertingkat. Berbanding Ioniq 5 biasa, kerangka Ioniq 5 N ini menerima 42 titik kimpalan yang lebih banyak bersama bahan perekat badan 2.1 meter lebih panjang. Cagak-cagak motor elektrik dan bateri juga dipertkuatkan, manakala subframe belakang dan hadapan juga dipertingkat dengan ketegaran sisi lebih kuat.

    Untuk unit rangkaian kuasa, Ioniq 5 N yang masih diasaskan dari platform E-GMP ini menerima dua buah motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang – jadi Ioniq 5 N ini merupakan jentera produksi jalan raya pertama Hyundai N yang menampilkan sistem AWD, memberikan peluang bagi sayap perlumbaan itu memindahkan pengetahuan mereka dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang telah disertai sejak 2014 kepada model produksi yang dijual di bilik pameran.

    Kedua-dua motor berkenaan dipadankan pada gandar pacuan berintegrasi (IDA) yang diinspirasikan dari jentera WRC sebenar, bagi memastikan ia tahan asakan dari motor elektrik berkuasa tinggi. Motor yang memacu gandar hadapan menghasilkan kuasa 226 PS, manakala motor pada gandar belakang pula berkuasa 385 PS.

    Secara keseluruhan, ia menghasilkan kuasa gabung 609 PS, dan meningkat kepada 650 PS bersama tork maksima 770 Nm apabila mod N Grin Boost (NGB) diaktifkan. Ini membolehkan Ioniq 5 N tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat (3.5 saat jika NGB tidak digunakan), sebelum mencapai kelajuan maksima 260 km/j (Ioniq 5 biasa hanya mampu dipandu sehingga 185 km/j).

    Dengan pengetahuan yang dikutip dari Kejohanan Rali Dunia (WRC), Hyundai N turut memberikan fungsi N Drift Optimizer pada Ioniq 5 N. Menerusi fungsi ini, pemandu dapat melakukan aksi drift dengan lebih lama, malah turut boleh memulakan drift dengan teknik clutch kick seperti jentera enjin pembakaran dalaman pacuan roda belakang yang diberikan kotak gear manual menerusi fungsi Torque Kick Drift.

    Antara perincian menarik yang turut disertakan pada Ioniq 5 N ini termasuk sistem N Active Sound + dan juga N e-Shift, iaitu sistem yang akan memberikan bunyi seakan bunyi enjin sebenar dan rasa tukaran gear seperti kotak gear DCT.

    Bagi menghasilkan N Active Sound tersebut, Ioniq 5 N diberikan 10-pembesar suara (lapan dalam kabin dan dua lagi di luar) bagi memberikan tiga tema bunyi berbeza iaitu Ignition, Evolution dan Supersonic. Bagi bunyi Ignition, ia memberikan bunyi seakan enjin petrol 2.0 liter turbo pada model Hyundai N sebelum ini (i30 N, Kona N dan sebagainya), lengkap dengan dengan bunyi pop & bang.

     
     
  • Le Tour de Langkawi 2023 – beberapa laluan di Selangor bakal ditutup berperingkat pada 27 & 30 Sept

    Le Tour de Langkawi 2023 – beberapa laluan di Selangor bakal ditutup berperingkat pada 27 & 30 Sept

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor telah memaklumkan beberapa penutupan dan lencongan jalan secara berperingkat akan dilaksanakan sempena dengan acara berbasikal bertaraf dunia Le Tour de Langkawi 2023 yang akan bermula pada 23 September ini.

    Laluan di Selangor melibatkan dua peringkat perlumbaan iaitu peringkat ke-5 dan ke-8. Bagi peringkat perlumbaan yang ke 5 yang akan berlangsung pada 27 September ini, laluan Selangor melibatkan jarak sejauh 87.5 kilometer bermula di Behrang Station pada jam 10 pagi.

    Ia akan melalui Proton City, Kampung Kerliang, Kerling, Rasa, Kuala Kubu Bharu, Batang Kali, Serendah, Rawang bypass, Jalan Batu Caves (MRR2), Jalan Gombak Lama, dan tamat di Genting Sempah.

    Le Tour de Langkawi 2023 – beberapa laluan di Selangor bakal ditutup berperingkat pada 27 & 30 Sept

    Bagi peringkat ke-8 pada 30 September pula, lokasi pelepasan di Setia City Convention Centre (SCCC) menuju KLCC. Masa pelepasan bermula 12 tengahari melibatkan laluan dari SCCC, Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam, Jalan Bukit Cerakah, Meru, Kapar dan Jeram.

    Selain itu, ia juga melibatkan laluan di Sg Buloh, Assam Jawa, Kuala Selangor, Jalan Bukit Belimbing, Jalan Raja Musa, Jalan Rawang, Jalan Bukit Badong, Bestari Jaya, Kampung Sungai Perlong, Paya Jaras, Jalan Kuala Selangor, MRR2, dan Jalan Ampang.

    “Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan anda dan mematuhi arahan anggota polis yang bertugas,” kata JSPT Selangor.

     
     
  • Laluan terus Menara IQ TRX-Terowong Smart dibuka

    Laluan terus Menara IQ TRX-Terowong Smart dibuka

    Ini ada makluman penting untuk anda yang bekerja di Tun Razak Exchange (TRX) dan bagi yang menggunakan Terowong Smart. Pengendali Terowong Smart telah mengumumkan bahawa laluan terus dari TRX ke terowong terbabit kini telah dibuka untuk pengguna jalan raya.

    Secara spesifiknya, laluan terus TRX ke Terowong Smart ini adalah dari tempat letak kereta Menara IQ, dan laluan tersebut mula dibuka sejak 4 petang semalam (19 September). Bagi pengguna Terowong Smart yang datang dari Jalan Sultan Ismail dan menghala ke Seremban/Cheras dinasihati supaya lebih berhati-hati sewaktu melalui laluan terbabit.

    Ini merupakan laluan terus pertama di antara TRX dan Terowong Smart. “Akan ada beberapa lagi laluan terus yang bakal dibuka antara TRX dan Terowong Smart tidak lama lagi. Kami akan mengumumkannya kelak,” kata syarikat konsesi berkenaan.

     
     
  • Harga minyak 21-27 Sept – RON97 naik 10 sen seliter

    Harga minyak 21-27 Sept – RON97 naik 10 sen seliter

    Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel untuk minggu bertarikh 21 hingga 27 September 2023.

    Di mana harga petrol RON 97 mengalami kenaikan harga sebanyak 10 sen seliter, kini menjadi RM3.47 seliter berbanding RM3.37 seliter pada minggu sebelum ini.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata harga petrol tidak boleh diturunkan kepada RM1.50 seliter susulan perkembangan membabitkan kadar semasa minyak mentah dunia.

    Katanya, harga semasa petrol di Malaysia masih berada pada tahap rendah, iaitu RM2.05 seliter, berbanding Arab Saudi yang menetapkan pada kadar RM2.84 seliter. Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan tidak wajar jika cadangan diajukan beliau ketika 2018 itu, berterusan dimanipulasi, tanpa mengambil kira perkembangan semasa.

     
     
  • Jom servis kereta dari RM188 sahaja di Pusat Servis myTukar – harga termasuk minyak sintetik penuh!

    Jom servis kereta dari RM188 sahaja di Pusat Servis myTukar – harga termasuk minyak sintetik penuh!

    Adakah kereta anda perlu servis tukar minyak segera? Atau adakah anda akan melakukan perjalanan jauh, mungkin untuk balik kampung atau sekadar bercuti? Mengapa tidak cuba Pusat Servis myTukar untuk menukar minyak kereta anda? Pemeriksaan kesihatan asas kenderaan juga disertakan.

    Berikut adalah senarai harga untuk servis menukar minyak di Pusat Servis myTukar yang bermula dari harga RM188 sahaja. myTukar menggunakan minyak sintetik penuh MEGUIN dari Liqui Moly.

    Jom servis kereta dari RM188 sahaja di Pusat Servis myTukar – harga termasuk minyak sintetik penuh!

    Apa yang anda perlu lakukan adalah klik di sini dan isi borang, dan penasihat servis myTukar akan menghubungi anda untuk membuat temujanji.

    Selain dari menukar minyak, Pusat Servis myTukar juga menawarkan banyak servis lain seperti menukar tayar, penjajaran roda, servis brek, servis penghawa dingin dan banyak lagi.

    myTukar menyediakan bengkel yang lengkap sepenuhnya, dikendalikan oleh pasukan pengurusan berpengalaman dari rakan servis selepas jualan myTukar iaitu Jardine Cycle & Carriage.

    Jom servis kereta dari RM188 sahaja di Pusat Servis myTukar – harga termasuk minyak sintetik penuh!
    Jom servis kereta dari RM188 sahaja di Pusat Servis myTukar – harga termasuk minyak sintetik penuh!

    Terdapat sejumlah 7 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia. Selain dari pusat servis, terdapat juga dua pusat baik pulih di USJ dan Ulu Tiram yang boleh mengendalikan pembaikan kemalangan dan kerja badan.

    Berikut adalah senarai dengan pautan Google Maps untuk kemudahan anda.

    Pusat Servis myTukar – Puchong
    Google Maps

    Pusat Baik Pulih myTukar – USJ
    Google Maps

    Pusat Servis myTukar – Seremban
    Google Maps

    Pusat Servis myTukar – Penang
    Google Maps

    Pusat Baik Pulih myTukar – Ulu Tiram
    Google Maps

    Pusat Servis myTukar – Plentong
    Google Maps

    Pusat Servis myTukar – Skudai
    Google Maps

     

    Comments are Disabled | Leave a comment?

     
  • Volkswagen Tiguan generasi ketiga diperkenal – reka bentuk luar serba baru, kelengkapan lebih moden

    Volkswagen Tiguan generasi ketiga diperkenal – reka bentuk luar serba baru, kelengkapan lebih moden

    Volkswagen Tiguan 2024 akhirnya diperkenalkan secara rasmi. Menggunakan platform MQB evo, SUV generasi ketiga ini tiga sentimeter lebih panjang berbanding Tiguan sebelum ini, sementara tinggi, lebar dan jarak roda masih kekal sama. Ia akan mula dijual pada tahun hadapan.

    Rekaan luarnya adalah serba baru, dengan bucu-bucu yang lebih membulat. Antara tarikan di bahagian hadapan adalah lampu utama HD matrix LED IQ.Light baru serta jalur lampu panjang di tengah, sementara di belakang pula menggunakan motif lampu tiga bintik di setiap penjuru serta jalur yang bersambung di tengah.

    Masuk ke dalam, Tiguan baru ini mendapat tempat duduk ergoActive Plus baru, yang datang dengan pelarasan lumbar empat arah dan fungsi mengurut, serta Digital Cockpit yang berasaskan sistem infotainmen MIV4 dengan skrin digital 10.25 inci di hadapan pemandu dan skrin sesentuh 15 inci di bahagian tengah.

    Volkswagen Tiguan generasi ketiga diperkenal – reka bentuk luar serba baru, kelengkapan lebih moden

    Selain head-up display baru, terdapat juga Driving Experience Control pada konsol tengah, iaitu tombol yang mempunyai paparan OLED sendiri. Ia digunakan untuk mengawal mod pemanduan, tahap bunyi radio atau lampu suasana. Dengan alat bantuan suara IDA pelbagai fungsi kenderaan dan infotainmen boleh dikawal dengan arahan suara.

    Tombol gear yang dulunya terdapat di bahagian tengah ini sekarang dialih ke tepi stereng, sama seperti model Volkswagen ID dan Passat baru. Pemandu hanya perlu pusing suis ke D untuk pandu ke hadapan, dan R untuk undur, sementara brek parkir boleh diaktifkan dengan menekan bahagian tepinya.

    Tiguan baru ini akan ditawarkan dengan pelbagai enjin, termasuk diesel turbo TDI, petrol turbo TSI, hibrid ringkas eTSI dan plug-in hybrid (eHybrid). Volkswagen memberitahu, sistem plug-in hybrid baru mereka menawarkan jarak gerak elektrik sekitar 100 km, mempunyai pengecasan AC lebih pantas dan boleh dicas menggunakan sumber DC.

    Secara mekanikalnya, Tiguan akan ditawarkan dengan suspensi adaptif Dynamic Chassis Control (DCC), yang mempunyai versi Pro lebih tinggi, dengan penyerap dua injap ditawarkan sebagai pilihan tambahan. Vehicle Dynamics Manager – pertama kali dilihat pada Golf GTI – juga diberikan secara standard pada Tiguan, untuk mengawal fungsi seperti pengunci differential elektronik (XDS) serta DCC Pro.

    Sistem bantuan pemandu terdiri daripada Lane Change System, Autonomous Emergency Braking, Lane Keeping System, kamera pandang belakang serta paparan tanda jalan dinamik. Sebagai pilihan, pemilik boleh menambah sistem Park Assist Pro dengan fungsi letak kereta sendiri kawalan jarak jauh serta Trailer Assist.

     
     
  • Jenama motosikal nasional kedua, AFAZ akan guna komponen dari Suzuki, fokus kepada kualiti, inovasi

    Jenama motosikal nasional kedua, AFAZ akan guna komponen dari Suzuki, fokus kepada kualiti, inovasi

    Malaysia akan mempunyai jenama motosikal nasional kedua, dipanggil sebagai AFAZ yang akan memasuki pasaran tidak lama lagi. Minggu lalu, satu perjanjian usahasama teknikal antara pemilik AFAZ, iaitu KMSB Motors Sdn Bhd (KMSB) dan Suzuki Motor Corporation ditandangani sambil disaksikan oleh perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Melalui perjanjian ini, Suzuki bersetuju untuk membekalkan komponen penting untuk pembangunan motosikal AFAZ, sementara AFAZ sendiri akan terus memimpin inovasi dan reka bentuk dalam industri motosikal dengan kepakaran yang ada, dengan fokus yang jelas terhadap kualiti, prestasi dan inovasi.

    Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan oleh KMSB, AFAZ dikatakan berada dalam kedudukan yang baik untuk menarik perhatian bukan sahaja peminat motosikal tempatan, tetapi juga antarabangsa dengan menerapkan unsur estetika kontemporari dan moden dalam reka bentuk mereka.

    Dalam fasa awal ini, AFAZ masih belum memberitahu bila penggemar motosikal dapat menjangkakan ketibaan model pertama AFAZ ke dalam pasaran Malaysia, namun siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Suzuki ada menyatakan pembekalan barangan enjin dan badan motosikal untuk model dari 110 cc ke 150 cc kepada AFAZ akan bermula dari separuh tahun pertama 2024. Alat ganti itu pula akan datang daripada kilang Suzuki di Asia Tenggara.

     
     
  • Treler gagal elak penutupan jalan di Putrajaya rempuh 12 kenderaan, dua maut dan tujuh mangsa cedera

    Treler gagal elak penutupan jalan di Putrajaya rempuh 12 kenderaan, dua maut dan tujuh mangsa cedera

    Sebuah treler dipercayai mengalami kegagalan brek telah merempuh 12 kenderaan di KM5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong, berhampiran susur keluar Persiaran Timur, Putrajaya sebentar tadi. Kemalangan terbabit turut menyebabkan dua penunggang motosikal maut dan enam lagi mangsa mengalami kecederaan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, ketika kejadian anggota polis trafik sedang melakukan latihan kawalan sempena Le Tour de Langkawi (LTdL) dengan menghentikan lalu lintas, turut dirempuh namun anggota berkenaan sempat menyelamatkan diri.

    “Siasatan lanjut mendapati pemandu treler tiada rekod kesalahan trafik dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987. Pemandu ditahan untuk siasatan dan ujian air kencing,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

    Menerusi beberapa rakaman dashcam dari kenderaan pengguna di lokasi kejadian yang tular di laman media sosial, kelihatan treler terbabit dipandu agak laju dan berada di lorong tengah sebelum mengubah laluan ke lorong kiri dan gagal berhenti sebelum tersasar ke lorong kanan. Kemudian ia merempuh kenderaan di bahagian hadapan dan sebelahnya serta melanggar susur jalan dan masuk ke jalan bertentangan sebelum merempuh sebuah lori kecil.

     
     
  • Harga petrol tidak boleh diturunkan ke RM1.50 seliter kerana kadar semasa minyak mentah dunia – PMX

    Harga petrol tidak boleh diturunkan ke RM1.50 seliter kerana kadar semasa minyak mentah dunia – PMX

    Untuk yang sering komplen mahu pun mengeluh kerana harga petrol masih tidak boleh diturunkan biarpun sudah beberapa kali kerajaan bertukar kepimpinan, ini jawapan yang perlu anda tahu. Menurut Perdana Menteri ke-10 atau PMX, Datuk Seri Anwar Ibrahim, harga petrol tidak boleh diturunkan kepada RM1.50 seliter susulan perkembangan membabitkan kadar semasa minyak mentah dunia.

    Katanya, harga semasa petrol di Malaysia masih berada pada tahap rendah, iaitu RM2.05 seliter, berbanding Arab Saudi yang menetapkan pada kadar RM2.84 seliter. Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan tidak wajar jika cadangan diajukan beliau ketika 2018 itu, berterusan dimanipulasi, tanpa mengambil kira perkembangan semasa, laporan Berita Harian.

    “Masa itu (2018), berapa harga minyak di Arab Saudi, 50 sen per liter, manakala di Malaysia (RM2.21 seliter). Sekarang semasa saya jadi Perdana Menteri, berapa harga petrol? Minyak di Arab Saudi RM2.84 seliter, manakala di Malaysia RM2.05 seliter.

    “Kita kena ambil kira ini, kenaikan atau penurunan minyak. Itu maknanya, (harga) minyak kita masih rendah. Justeru, tidak tepatlah jika mahu terus menggunakan komen dan hujan dibuat bersama-sama ketika kita dalam Pakatan Rakyat, sebelum ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat semalam.

    Setakat ini, petrol RON 97 ditetapkan pada harga RM3.37 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Untuk diesel Euro B10/B20, harganya pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

     
     
  • JPJ siar siri 3 kempen panggil balik model kenderaan terlibat; Merc, Peugeot, Citroen, Nissan, Honda CBR

    JPJ siar siri 3 kempen panggil balik model kenderaan terlibat; Merc, Peugeot, Citroen, Nissan, Honda CBR

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyiarkan siri 2/2023 bagi kempen panggil balik (product recall) beberapa model kenderaan yang terlibat oleh syarikat pengeluar. Menurut JPJ, untuk siri kali ini, pihaknya menyenaraikan model kenderaan yang terlibat berdasarkan kepada rekod yang diterima. Sebelum ini, JPJ pernah membuat hebahan bagi siri 2/2023 pada Ogos lalu.

    “Panggilan balik kenderaan yang giat dilaksanakan oleh pihak pengeluar kenderaan merupakan suatu aktiviti bersasar dengan matlamat untuk memastikan kenderaan yang dihasilkan adalah memenuhi spesifikasi pengeluar dan juga bagi memelihara keselamatan pengguna daripada sebarang risiko kemalangan yang boleh dielakkan.

    “JPJ sebagai sebuah organisasi yang mengawalselia kenderaan juga membantu menyebarkan secara meluas aktiviti ini melalui hebahan di laman sosial supaya pengguna kenderaan yang terlibat memperolehi makluman lebih awal dan dapat bertindak dengan sewajarnya,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Pada siri kali ini, Nissan Leaf buatan tahunan 2019-2022 sebanyak 84 unit terlibat dengan kempen panggilan balik ini. Manakala model keluaran Mercedes-Benz yang terlibat ialah GLC 300 4Matic 2022-2023 (155 unit), EQS 450+ 2021-2023 (5 unit), EQS 500 4Matic 2007-2023 (167 unit), C 200, C 300, E 200, E 300, GLC 200, GLC 300 4Matic, GLC 300 e 4Matic, Maybach S 580 4Matic, S 580 3 2021-2023 yang keseluruhannya melibatkan 1,789 unit.

    Panggilan balik kali ini juga melibatkan Peugeot 208 dan 2008 2017-2020 (1,262 unit) dan Citroen C3, C4, DS3, DS4 dan DS5 2011-2019 (771 unit). Manakala untuk motosikal pula, Honda CBR600R3 2020-2021 (15 unit) turut dipanggil balik.

    Selain itu, ia turut melibatkan dua model kenderaan berat keluaran Man Truck & Bus (M) Sdn Bhd iaitu trak TGS 18.360 4×2 BL SA (3 unit) dan TGS 28.440 BL SA (19 unit), kedua-duanya buatan tahunan 2021-2023.

    “Bagi pemilik-pemilik kenderaan yang terlibat, anda akan dihubungi oleh pihak pengeluar kenderaan berkenaan sama ada melalui panggilan telefon, surat-menyurat, atau melalui komunikasi elektronik seperti e-mail dan sebagainya untuk menetapkan tarikh temujanji bagi proses penukaran komponen kenderaan yang terlibat.

    “Proses penukaran ini termasuk komponen yang ditukar adalah percuma dan ditanggung sepenuhnya oleh pihak pengeluar kenderaan tersebut. Justeru, anda sebagai pemilik kenderaan yang mungkin terlibat dalam kempen panggil balik ini diminta untuk memberikan kerjasama penuh dengan menghantar kenderaan anda ke pusat- pusat servis bertauliah yang telah ditetapkan bagi mendapatkan khidmat penukaran alat ganti yang tulen,” sambung JPJ lagi.

     
     
  • Proton kaji kemungkinan pasang EV smart di Tanjung Malim, MoA baharu sudah pun ditandatangani

    Proton kaji kemungkinan pasang EV smart di Tanjung Malim, MoA baharu sudah pun ditandatangani

    Selepas menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan smart Automobile pada Ogos 2022, Proton dan smart Automobile kini menandatangi satu lagi MoA bagi melanjutkan kerjasama tersebut dengan kemungkinan jenama automotif nasional itu memasang model-model EV dari smart di fasilitinya di Tanjung Malim.

    MoA baharu ini ditandatangani semalam ketika berlangsungnya Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2023 di Nanning, China tepat 20 bulan selepas MoA pertama kedua-dua pihak dimeterai tahun lalu. Ia ditandatangani oleh naib CEO Proton Roslan Abdulah, bersama Mandy Zhang, Naib Presiden Jualan Global, Pemasaran dan Selepas Jualan, bagi pihak smart Automobile.

    Turut hadir di majlis itu ialah CEO Proton Dr Li Chunrong, Presiden Global smart Automobile Tong Xiangbei, CEO Pro-Net Zhang Qiang, dan Pengarah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Encik Unny Shankar sebagai wakil kementerian.

    “MoA baharu antara Proton dan smart Automobile membawa kerjasama kami ke tahap baharu kerana kini kami dalam perbincangan mengenai memasang model smart di Malaysia. Sebagai pengeluar automotif, Proton sentiasa berhasrat untuk meningkatkan penglibatan kami dengan smart, iaitu bukan sekadar pengedar untuk rantau ASEAN sahaja, kerana terdapat banyak kecekapan untuk dimanfaatkan kerana kedua-dua syarikat adalah ahli Kumpulan Geely,” kata Dr Li Chunrong.

    Proton kaji kemungkinan pasang EV smart di Tanjung Malim, MoA baharu sudah pun ditandatangani

    Perjanjian asal antara Proton dan smart Automobile menyaksikan Proton dilantik sebagai wakil jualan smart bukan sahaja di Malaysia, malah untuk rantau ASEAN. EV pertama yang dibangunkan bersama smart dan Geely iaitu smart #1 bakal dijual pada pasaran tempatan tidak lama lagi dan tempahannya juga telah dibuka semalam. Ia dijadualkan untuk mula dijual di Thailand pada separa kedua 2024.

    Proton telah mewujudkan anak syarikat baharunya iaitu Proton New Energy Technology (Pro-Net) bagi menguruskan jenama smart ini, dan telah menghantar kumpulan pekerjanya ke China untuk menjalani latihan sambil kerja khusus untuk industri EV untuk membina kumpulan bakat bagi pembangunan EV jenamanya sendiri untuk masa hadapan.

    Malah sebelum mula dijual pada pasaran tempatan, Proton turut menjalankan ujiannya sendiri terhadap smart #1 secara meluas di Malaysia untuk mendapatkan pengetahuan tentang prestasi EV tersebut apabila dipandu dalam iklim yang unik dan keadaan jalan raya di sini.

    Selain itu, jaringan stesen penegcas EV turut sedang diibangunkan oleh Proton di Malaysia. Untuk itu Pro-Net telah menandatangani MoU dengan Gentari iaitu cabang tenaga boleh diperbaharui Petronas, membina hubungan kerja dengan pemegang kepentingan ekosistem EV lain, melantik sepuluh pengedar smart serta memperkenalkan smart #1 kepada orang ramai dalam pelbagai acara.

    smart Malaysia juga telah melancarkan aplikasi pintar Hello smart pada 14 September lalu. Aplikasi ini bukan hanya dibuat untuk urusan jualan termasuk membuat tempahan smart #1 secara atas talian, malah ia turut menawarkan empat ciri lain
    yang didakwa pertama seumpamanya di Malaysia iaitu penyepaduan 70% peta pengecasan daripada pengendali pengecasan, mengenalpasti ketersediaan, tempahan dan pembayaran untuk pengecas EV dalam negara.

    “Proton komited untuk memperkenalkan lebih banyak Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) pada masa hadapan. Selepas pelancaran Proton X90, NEV pertama kami, kami teruja dengan peluang untuk mengetahui lebih lanjut tentang EV daripada kerjasama kami dengan smart. Melangkah ke hadapan, semua aktiviti pengeluaran kami akan tertumpu di Automotive High Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim, yang juga akan membantu dalam matlamat kami untuk menjadikan Malaysia hab EV serantau,” tambah Dr Li.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025