Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • VIDEO: Tayar lori tercabut hentam Honda City; jururawat nyaris maut, pemandu lori sudah disaman

    VIDEO: Tayar lori tercabut hentam Honda City; jururawat nyaris maut, pemandu lori sudah disaman

    Semalam tular satu video berdurasi 38 saat, memaparkan seorang jururawat nyaris maut apabila kereta Honda City yang dipandunya merempuh satu tayar yang berguling dari arah hadapan yang tercabut dari sebuah lori yang datang dari laluan bertentangan.

    Menurut laporan Sinar Harian, kejadian itu berlaku di Jalan Bahau-Batu Kikir, Jempol Negeri Sembilan semalam. Akhbar itu turut menyatakan Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook mengesahkan kedua-dua pemandu kenderaan terlibat telah pun membuat laporan polis.

    “Kejadian itu tidak melibatkan kecederaan dan pemandu lori telah disaman di bawah Peraturan 94 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana komponen kenderaan tercabut,” kata Hoo.

    Dalam video tersebut dengan jelas memaparkan pemandu Honda City yang lengkap dengan pakaian seragam jururawat berkenaan dapat keluar sendiri selepas keretanya teruk dihentam tayar lori itu. Namun dia kelihatan trauma dengan apa yang berlaku.

     
     
  • Hari Pelanggan Puspakom 2203 di seluruh negara – pemeriksaan cermin gelap percuma, nasihat teknikal

    Hari Pelanggan Puspakom 2203 di seluruh negara – pemeriksaan cermin gelap percuma, nasihat teknikal

    Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) sedang menganjurkan Hari Bersama Pelanggan Go The Extra Mile (GEM) yang diadakan di beberapa pusat pemeriksaan Puspakom terpilih mulai hari ini, 5 September hingga 31 Oktober 2023.

    Di mana para pelanggan boleh mendapatkan pemeriksaan cermin gelap kenderaan secara percuma dan juga khidmat nasihat pemeriksaan kenderaan. Selain itu, banyak aktiviti menarik turut dianjurkan termasuk sesi dialog, taklimat integriti, lawatan lorong pemeriksaan dan tapak pameran. Aktiviti-aktiviti ini bertujuan untuk berkongsi ilmu tentang pemeriksaan kenderaan dan bagi meyakinkan orang ramai tentang ketelusan pemeriksaan di samping meningkatkan mutu perkhidmatan Puspakom.

    “Puspakom yang kini merupakan sebuah pusat sehenti untuk urusan berkaitan dengan kenderaan juga menawarkan perkhimatan pembaharuan insurans dan cukai jalan. Pelanggan yang hadir juga disarankan tidak melepaskan peluang untuk mendapat cabutan bertuah jika memperbaharui insurans di Puspakom,” kata Puspakom menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Hari Bersama Pelanggan Go The Extra Mile (GEM) diadakan di cawangan Puspakom di Johor, Melaka, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan mengikut tarikh seperti di dalam jadual di bawah.

    Hari Pelanggan Puspakom 2203 di seluruh negara – pemeriksaan cermin gelap percuma, nasihat teknikal

     
     
  • Rolls-Royce Spectre kini di Malaysia – RM2 juta tak termasuk cukai, EV pertama RR, 585 PS/900 Nm

    Rolls-Royce Spectre kini di Malaysia – RM2 juta tak termasuk cukai, EV pertama RR, 585 PS/900 Nm

    Selepas didedahkan buat pertama kali pada Oktober tahun lalu, model elektrik penuh (EV) pertama dari Rolls-Royce iaitu Rolls-Royce Spectre kini secara rasmi telah mendarat di Malaysia. Ia dijual disini pada harga asas RM2 juta, tidak termasuk cukai dan juga perincian opsyen lain.

    Spectre merupakan model EV dengan badan coupe dua-pintu dari jenama mewah British tersebut, namun ia bukanlah diasaskan dari platform khas yang dibangunkan untuk kenderaan elektrik. Sebaliknya model ini masih menggunakan platform alluminium sepenuhnya Architecture of Luxury yang sama seperti Cullinan dan Phantom generasi ke-lapan.

    Walau bagaimanapun, platform berkenaan telah menerima kejuruteraan semula sepenuhnya bagi disesuaikan dengan unit rangkaian kuasa elektrik, dan hasilnya kerangka Spectre ini adalah 30% lebih keras dari mana-mana model Rolls Royce sebelum ini.

    Antara sebab ketegaran tersebut terhasil kerana binaannya menggunakan aluminium terekstrud. Dan yang paling utama bateri untuk EV ini telah diintegrasikan terus pada struktur badan iaitu antara lantai dan saluran yang diwujudkan untuk sistem pendawaian serta laluan paip sistem pendingin hawa. Rekaan tersebut juga berkesan sebagai sebahagian dari penebat bunyi.

    Rolls-Royce Spectre kini di Malaysia – RM2 juta tak termasuk cukai, EV pertama RR, 585 PS/900 Nm

    Walaupun tiada lagi getaran mahupun bau dari enjin pembakaran dalaman yang perlu dilenyapkan kerana ia telah menggunakan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya, Spectre masih perlu dibina dengan teliti oleh pasukan jurutera Rolls Royce bagi memastikan ia masih menampilkan kualiti mewah yang sama seperti model-modelnya sebelum ini.

    Jadi EV pertama dari Rolls Royce ini telah diuji secara ekstrem melibatkan pemanduan lebih dari 2.5 juta km dalam pelbagai situasi termasuk sejuk dan panas melampau bagi mengsimulasikan penggunaan selama 400 tahun.

    Coupe ini digerakkan oleh dua motor elektrik yang masing-masing diletakkan pada gandar hadapan dan belakang, sekaligus memberikan pacuan semua roda. Secara keseluruhan ia menghasilkan kuasa 585 PS (577 hp atau 430 kW) dan tork maksima 900 Nm.

    Walaupun Spectre ditimbang dengan berat hampir tiga tan iaitu 2,975 kg, kuasa yang dibekalkan cukup untuk membolehkan EV mewah ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.5 saat. Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri lithium-ion dengan kapasiti 102 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 520 km dalam kitaran WLTP dengan satu cas penuh.

    Rolls-Royce Spectre kini di Malaysia – RM2 juta tak termasuk cukai, EV pertama RR, 585 PS/900 Nm

    Rolls-Royce menawarkan pengecas rumah AC 22 kW yang membolehkan tahap cas 0-100% dipenuhkan dalam masa 5 jam 30 minit. Ia juga boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 195 kW yang membolehkan kadar cas 0-80% dicapai hanya dalam 34 minit. Manakala dengan pengecas DC 50 kW, kadar cas 0-80% dapat dipenuhkan dalam masa 95 minit.

    Kawalan bagi sistem unit rangkaian kuasa dan sistem elektrikal lain diuruskan oleh sistem pemproses ‘Decentralised Intelligence’ yang dibangunkan sendiri oleh Rolls Royce. Sistem berkenaan membenarkan pertukaran informasi secara bebas dan terus untuk lebih 1,000 fungsi dalam kereta ini.

    Menurut Rolls Royce lagi, setiap satu pemboleh ubah penghantar-penerima yang berjumlah 141,200 (tidak termasuk sub-pemboleh ubah) dalam sistem kawalan tersebut adalah dibina dengan tangan.

    Spectre menerima sistem suspensi satah yang dibangunkan dari Rolls-Royce Phantom terkini bagi memberikan rasa “karpet terbang” ikonik jenama mewah itu. Tetapan suspensi tersebut termasuk menggunakan sistem kamera yang mampu “membaca” keadaan jalan di hadapan, kemudian melaras pegas udara dan penyerap hentak bagi memastikan penumpang “dilindungi dari jalan yang tidak sempurna”.

    Rolls-Royce Spectre kini di Malaysia – RM2 juta tak termasuk cukai, EV pertama RR, 585 PS/900 Nm

    Sistem suspensi unik pada Spectre ini juga boleh memisahkan hubungan bar anti oleng ketika ia dipandu pada laluan lurus bagi memastikan pergerakan setiap roda adalah bebas, dan kemudian dihubungkan semula apabila ia dipandu pada laluan selekoh.

    Rekaan Spectre ini masih menampilkan rupa tipikal sebuah Rolls-Royce. Sekali tengok coupe ini menampilkan bentuk badan yang hampir sama seperti Rolls-Royce Wraith. Pada bahagian muka, ia menerima gril Pantheon paling besar pernah dipadankan pada sebuah Rolls Royce.

    Gril tersebut direka bagi memberikan kesan aerodinamik serta dilengkapi dengan penutup aktif. Sama seperti Ghost, gril pada Spectre ini juga diberikan nyalaan lembut dari 22 LED. Jalur LED pada bahagian ‘kening’ kereta ini merupakan lampu nyalaan siang, manakala lampu utama terletak di bawahnya. Seperti biasa, pada bahagian muncung Rolls-Royce ini turut disertakan dengan figura “Spirit of Ecstasy”.

    Namun khas untuk Spectre, Rolls-Royce menyatakan bahawa ditelah direka semula dan memakan masa 830 jam bagi memastikan ia lebih telus udara untuk tidak mengacau pekali geseran Spectre yang mencatatkan hanya 0.25, paling rendah berbanding model-model Rolls-Royce lain.

    Coupe ini menampilkan bumbung yang bersambung terus dengan but belakang bagi melengkapkan rupa sebagai sebuah fastback dengan lampu belakang direka ringkas. Manakala untuk pintu, ia dibuka terbalik iaitu dari hadapan. Spectre turut dipadankan dengan rim bersaiz 23-inci, paling besar pernah ditawarkan pada sebuah Rolls-Royce.

    Pada sebelah dalam, Spectre merupakan model pertama yang menggunakan paparan instrumen digital sepenuhnya. Manakala untuk lampu “kerlipan bintang” dalam kabin, ia bukan hanya diberikan pada pelapik bumbung, malah Spectre merupakan model pertama yang diberikan lampu tersebut pada panel pintu. Sebanyak 4,796 “bintang” yang menyala menggunakan gentian optik pada pintu sahaja.

    GALERI: Gambar rasmi Rolls-Royce Spectre

     
     
  • JPJ eBid: BRQ dan JWN bakal dibuka bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Selangor, BRQ, bakal dibuka bidaan mulai 6 September dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 10 September. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 11 September 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Johor pula, JWN, bidaannya akan dibuka pada 7 September. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 11 September. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 12 September 2023 ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • MINI Countryman John Cooper Works 2024 dapat enjin empat silinder 2.0L turbo, transmisi DCT, 300 PS

    MINI Countryman John Cooper Works 2024 dapat enjin empat silinder 2.0L turbo, transmisi DCT, 300 PS

    MINI Countryman generasi ketiga (U25) baru sahaja membuat penampilan pertama beberapa hari lepas, dan sekarang kita mendapat informasi berkenaan varian John Cooper Works yang dipacu oleh enjin pembakaran dalaman ini. Menurut laporan MotoringFile, laman web MINI di Jerman mendedahkan bahawa Countryman JCW ini akan mengekalkan enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo.

    Enjin ini dikatakan menghasilkan kuasa 300 PS (296 hp atau 221 kW) dan tork 400 Nm, iaitu kurang berbanding Countryman JCW F60 sebelum ini yang menghasilkan 306 PS (302 hp atau 225 kW) dan 450 Nm. Kuasa Countryman JCW U25 ini sekarang adalah sama seperti X1 M35i xDrive U11, dan kedua-duanya mempunyai catatan sama untuk pecutan 0-100 km/j, iaitu 5.4 saat, dan laju maksimum 250 km/j.

    Pengurangan kuasa ini mungkin adalah akibat daripada peraturan emisi yang ketat di Eropah. Selain Eropah, Amerika Syarikat dan beberapa pasaran terpilih lain mendapat X1 M35i dengan kuasa 317 PS (312 hp atau 233 kW), dan Countryman JCW akan menyusul selepas itu.

    MINI Countryman John Cooper Works 2024 dapat enjin empat silinder 2.0L turbo, transmisi DCT, 300 PS

    Satu lagi perubahan yang dibuat pada Countryman JCW adalah penggunaan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan – sama seperti X1 M35i – menggantikan transmisi automatik torque converter lapan kelajuan. Laporan MotoringFile menunjukkan kadar tork transmisi DCT Getrag ini tidak setinggi yang mampu dihasilkan oleh transmisi automatik Aisin, dan ini mungkin adalah satu lagi sebab kuasanya menjadi kurang.

    Selain versi JCW, varian Countryman lain yang masih menggunakan enjin pembakaran dalaman adalah S All4 dan C, sementara yang meggunakan elektrik penuh pula adalah E dan SE. Countryman terbaru ini diperkenalkan sekali bersama MINI Cooper Electric generasi kelima serba baru.

     
     
  • Toyota Hilux GR Sport dapat penambahan kuasa – enjin 2.8L diesel turbo kini hasilkan 224 PS, 550 Nm

    Toyota Hilux GR Sport dapat penambahan kuasa – enjin 2.8L diesel turbo kini hasilkan 224 PS, 550 Nm

    Dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada Februari lalu, Toyota Hilux GR Sport kini diberikan peningkatan kuasa, sementara harganya masih kekal RM169,080 tidak termasuk insurans dan menjadi varian paling tinggi bagi trak pikap tersebut.

    Enjin diesel turbo 2.8 liter 1GD-FTV pada Hilux GR Sport ini telah ditala semula untuk menghasilkan kuasa sehingga 224 PS (221 hp) pada 3,000 rpm dan tork 550 Nm dari 1,600 hingga 2,800 rpm. Sebelum ini, kuasanya adalah sama dengan varian Rouge iaitu 204 PS (201 hp) pada 3,400 rpm dan tork 500 Nm dari 1,600 hingga 2,800 rpm.

    Melalui peningkatan ini, Hilux GR Sport pasaran Malaysia kini mempunyai kuasa yang sama seperti model pasaran Australia, tetapi masih belum mendapat kit badan agresif yang ditawarkan di sana. Bahagian lain seperti transmisi automatik enam kelajuan, sistem pacuan semua roda separa masa, limited-slip differential automatik, pengunci differential belakang serta Active Traction Control (A-TRC) masih dikekalkan.

    Varian lain Hilux turut tidak menunjukkan sebarang perubahan pada harga dan enjin, tetapi kesemuanya sekarang datang tag RFID secara standard. Senarai kelengkapan untuk barisan Hilux juga masih sama seperti sebelum ini.

    GALERI: Toyota Hilux GR Sport

     
     
  • Proton S50 sedan dilancarkan dua bulan lagi – CEO

    Proton S50 sedan dilancarkan dua bulan lagi – CEO

    Setelah beberapa kali unit prototaip sedan terbaharu Proton yang dijangka akan digelar sebagai S50 semakin kerap dilihat diuji di atas jalan raya, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Churong mendedahkan model tersebut akan diperkenalkan secara rasmi dalam tempoh dua bulan lagi, dijangka November ini.

    Perkara ini didedahkan menerusi ucapannya dalam majlis penyerahan kraf kebudayaan Malaysia kepada atlet Malaysia sempena dengan Hangzhou Asian Games Museum 2023 sebentar tadi. Walau bagaimana pun, Dr Li tidak mendedahkan sebarang perincian mengenai model tersebut.

    Proton S50 bukanlah model sedan segmen-B yang akan menggantikan Proton Persona sedia ada kerana ia merupakan model serba baharu dan tidak akan menggantikan mana-mana model yang sedang dijual di bilik pameran Proton buat masa sekarang.

    Oleh itu S50 ini dijangka akan menjadi sedan Proton untuk bersaing dalam kelas segmen-C di Malaysia bagi berhadapan dengan Honda Civic dan Toyota Corolla, kerana ia mempunyai enjin yang cukup berkuasa dan juga sistem ADAS yang cukup canggih setaraf dengan saingannya.

    Selain itu, S50 turut dijangka akan menampilkan unit rangkaian kuasa lebih baik iaitu enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh kelajuan seperti pada Proton X50, berbanding Emgrand di China yang hanya menerima enjin 1.5 liter NA dengan kotak gear CVT.

    Proton S50 sedan dilancarkan dua bulan lagi – CEO

    Ini kerana setakat ini Proton tidak membayangkan akan menggunakan enjin 1.5L NA dari Geely berkenaan untuk mana-mana model baharu, sebaliknya menyatakan enjin 1.5L Turbo yang kini sudahpun dipasang di Tanjung Malim akan menjadi enjin utama untuk model-model baharunya yang akan dilancarkan pada 2023 dan 2024.

    Enjin yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo serta dikenali dengan kod dalaman GEP3 tersebut akan menggantikan tugas enjin 1.6 liter Campro Turbo sebelum ini yang telahpun ditamatkan terus pembangunannya.

    Kami juga menjangkakan S50 turut akan menampilkan harga seperti Preve iaitu harga seperti segmen-B tetapi dengan ciri seperti segmen-C. Preve sebelum ini dijual pada harga bermula RM59,990 sehingga RM72,990 ketika ia dilancarkan pada 2012, manakala Proton Persona dijual pada harga bermula RM47,800 untuk varian 1.6L Standard CVT hingga RM58,300 untuk varian tertinggi 1.6L Premium CVT.

    Jadi kami jangkakan varian paling rendah untuk Proton S50 ini kelak mungkin boleh dijual bermula RM60k untuk varian paling asas. Apa pun kita tunggu sahaja pengumuman rasmi dari Proton.

     
     
  • Audi Malaysia perkenalkan aplikasi myAudiWorld

    Audi Malaysia perkenalkan aplikasi <em>myAudiWorld</em>

    Audi Malaysia kini memperkenalkan pelbagai kemudahan untuk pelanggan yang disertakan dalam satu aplikasi mudah alih, myAudiWorld. PHS Automotive Malaysia (PHSAM) telah memperkenalkan aplikasi tersebut bagi memperkayakan lagi pengalaman pemilikan yang memberi tumpuan terhada keperluan pelanggannya di sini.

    Semua boleh dilakukan melalui aplikasi ini, dari temujanji servis, makluman tawaran dan promosi terkini, hinggalah mencari pusat servis Audi terdekat. Pengarah Urusan PHSAM, Denyu Bostandzhiev memaklumkan yang pengenalan ini bermakna pemilik diberikan lebih kuasa dan kawalan terhadap pengalaman pemilikan mereka sendiri.

    “Aplikasi myAudiWorld mencerminkan komitmen Audi Malaysia untuk memberikan khidmat pelanggan yang terbaik dan mengukuhkan lagi kesungguhan jenama ini terhadap inovasi dan penyelesaian kepada pelanggan. Dengan ini, pelanggan kami mempunyai capaian yang mudah kepada pelbagai ciri dan servis, yang penting untuk membantu mereka menyelenggara Audi mereka dengan baik, hanya melalui telefon mereka,” jelasnya.

    Ciri yang ada di dalam myAudiWorld termasuklah untuk membuat temujanji servis, tawaran eksklusif (berdasarkan minat pemilik dan sejarah kenderaannya; tuntutan baucar melalui aplikasi), petunjuk kepada pengedar, lokasi pengecas EV, peringatan servis, bantuan kecemasan dan Berita/Kemaskini.

    Aplikasi myAudiWorld ini adalah untuk semua pelanggan Audi di Malaysia — unit baru, lama atau import persendirian — dan boleh dimuat turut di App Store, Google Play dan Huawei AppGallery.

     
     
  • Toyota Century SUV — bahagian depan pula ditunjuk

    Toyota Century SUV — bahagian depan pula ditunjuk

    Toyota telah mengeluarkan teaser awal untuk SUV terbarunya yang bakal dilancarkan secara rasmi esok, iaitu Toyota Century. Ini adalah susulan daripada iklan teaser pertama yang menunjukkan bahagian belakang model berkenaan ketika ia pertama kali diumumkan sebelum ini.

    Walaupun masih belum dapat dipastikan sama ada model SUV baru ini akan menggunakan nama Century, logo Rajawali emas yang kelihatan di depan seperti mengesahkan yang ia memang akan menggunakan nama tersebut. Toyota telah menjadikan model Crown sebagai salah satu nama modelnya, dan kemungkinan Century akan mengikut langkah yang sama.

    Logo berkenaan diletakkan di dalam gril petak dengan bingkai tebal serta perincian dalaman yang menampilkan corak khasnya. Gril tersebut juga agak ke depan, dan diapit oleh lampu utama LED dengan corak J khas di dalamnya, sama seperti yang pernah dilihat untuk bahagian belakangnya.

    Toyota Century SUV — bahagian depan pula ditunjuk

    Berdasarkan teaser terdahulu, SUV Century ini akan hadir dengan rekaan luaran badan berpetak yang mirip Rolls-Royce Cullinan. Juga masih belum diketahui platform apa yang akan digunakan oleh model ini, tetapi ada laporan yang mencadangkan ia mungkin memanfaatkan versi platform GA-K atau GA-L dari Toyota New Global Architecture (TNGA).

    Nama Century ketika ini digunakan untuk sebuah sedan — G60 generasi ketiga — yang diperkenalkan pada 2018 dan dikuasakan oleh enjin 2UR-FSE 5.0 liter V8 dengan output keseluruhan sistemnya ialah 431 PS (425 hp atau 317 kW).

     
     
  • Toyota perincikan sistem 48-volt mild hybrid enjin diesel untuk Hilux, Land Cruiser Prado dan Fortuner

    Toyota perincikan sistem 48-volt <em>mild hybrid</em> enjin diesel untuk Hilux, Land Cruiser Prado dan Fortuner

    Toyota telah mengeluarkan satu video baru untuk memperincikan sistem 48-volt mild hybrid yang akan digunakan untuk enjin turbodiesel keluaran syarikat itu, dengan Hilux dan Land Cruiser Prado dijangka menjadi model terawal ditawarkan dengan teknologi tersebut. Kemungkinannya Fortuner juga akan memanfaatkan sistem yang sama.

    Walaupun tidak ditampilkan secara jelas dalam video, Toyota pernah menyatakan yang enjin 1GD-FTV 2.8 liter empat-silinder sebaris dalam Land Cruiser Prado akan dilengkapi dengan sistem 48-volt mild hybrid untuk pasaran terpilih di Eropah Barat serta Australia. Enjin sama turut digunakan oleh Hilux dan Fortuner ketika ini, dengan Toyota mendakwa akan memberikan 10% lebih penjimatan dengan elektrifikasi tersebut.

    Sistem mild hybrid yang dibangunkan oleh Toyota adalah sama seperti pengeluar lain dan terdiri daripada tiga komponen utama, termasuk generator-motor elektrik pacuan tali sawat yang menggantikan altenator biasa, satu bateri 48-volt dan pengubah DC-DC.

    Pengeluar Jepun itu turut menunjukkan perbezaan antara sistem mild hybrid dengan Toyota Hybrid System II (THS II), dengan yang kedua ini menggunakan dua generator-motor dan sebuah peranti pengasingan kuasa. Tetapan untuk mild hybrid lebih kompak dan ringan, dan boleh dimuatkan ke dalam sistem janaan sedia ada.

    Generator-motor elektrik pacuan tali sawat mampu memberikan lebih tork berbanding penghidup pacuan gear konvensional, dengan Toyota mendakwa bahawa sistem mild hybrid membolehkan penghidup semula enjin yang lebih senyap dengan respon lancar dan gegaran yang minimum ketika menggunakan fungsi Start/Stop.

    Motor elektrik tersebut juga memberikan bantuan tork ketika diperlukan, sementara janaan semula tenaga ketika membrek membekalkan semula tenaga kepada bateri, yang boleh digunakan untuk dijadikan sumber kuasa bantuan untuk sistem stereng, pam dan kipas.

    Sistem mild hibrid tersebut juga dibangunkan dengan struktur yang membolehkan lintasan air, yang melibatkan pengukuhan komponen dan rekaan tataletak untuk kalis air. Ini termasuk menggunakan tali sawat yang lebih kukuh untuk meminimumkan kehilangan akibat geseran ketika tenggelam dalam air, serta kedudukan strategik komponen mild hybrid di dalam kabin. Toyota mendakwa kemampuan meredah air untuk kenderaan dengan sistem ini adalah sehingga 700 mm, yang sangat berguna untuk model seperti Hilux dan Land Cruiser Prado dan Fortuner.

     
     
  • Pelumba Drag motosikal pasukan ESR maut

    Selepas bertarung nyawa lebih 12 jam akibat kemalangan yang berlaku di litar drag Pekan Speedway di Pekan, Pahang, seorang pelumba drag motosikal dari pasukan ESR Motor Hattem Rashdi berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia.

    Difahamkan kejadian itu berlaku ketika Hattem mengambil ujian masa dalam siri perlumbaan Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 di litar tersebut. Menurut pemilik pasukan ESR Motor Adib Affandi Mohamad dalam laporan Harian Metro, beliau difahamkan jentera yang ditunggangi Allahyarham berhadapan masalah teknikal sebelum terbabas.

    Harian Metro turut melaporkan bahawa Hattem dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan memandangkan keadaannya makin tenat. Adib menjelaskan bahawa Hattem disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang semalam dan jenazahnya akan dibawa ke kampung halaman di Alor Janggus, Kedah untuk urusan pengebumian.

    Buat masa sekarang masih belum ada sebarang kenyataan rasmi dari penganjur berkenaan insiden ini. Kejadian seperti ini bukan kali pertama berlaku dalam kejohanan drag tempatan. Tahun lalu seorang pelumba kereta drag yang berasal dari Perak, Muhamad Hafez Jamal Jamaludin maut di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak setelah jentera Mitsubishi Lancer Evolution IX yang dipandunya terbabas ketika berlumba dalam siri perlumbaan Battle of The Kings (BOTK) 2022.

     
     
  • 294,197 kes kemalangan Jan-Jun 2023; K’jaan disyor beri perhatian serius isu keselamatan jalan raya

    294,197 kes kemalangan Jan-Jun 2023; K’jaan disyor beri perhatian serius isu keselamatan jalan raya

    Isu keselamatan jalan raya boleh dikatakan antara ‘masalah besar’ negara apabila saban tahun statistik kemalangan sering kali mencatatkan angka yang membimbangkan. Walau pun pelbagai kempen keselamatan jalan raya dilaksanakan oleh pelbagai pihak, namun isu ini seakan tidak berkurangan.

    Kebimbangan ini turut mendapat perhatian Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye bersama Ahli Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud. Kedua-dua pakar keselamatan jalan raya itu berpendapat sudah tiba masanya kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu keselamatan jalan raya di negara ini susulan jumlah nahas yang semakin meningkat saban hari, laporan Harian Metro.

    Di mana Lee dan Tengku Ahmad mengesyorkan kerajaan mengambil langkah drastik melalui MKJR bagi menghalang peningkatan yang berterusan dalam nahas jalan raya terutama sekali yang membabitkan kematian dan kecederaan parah.

    Ia berikutan angka statistik keselamatan jalan raya di seluruh negara yang menunjukkan peningkatan sebanyak 13.3% untuk tempoh Januari hingga Jun 2023 dengan jumlah kemalangan sebanyak 294,197 kes berbanding 283,065 kes iaitu tempoh yang sama tahun lalu. Manakala jumlah kematian membabitkan penunggang motosikal pula masih berada di tahap tertinggi iaitu 1,884 kematian untuk tempoh sama tahun ini.

    294,197 kes kemalangan Jan-Jun 2023; K’jaan disyor beri perhatian serius isu keselamatan jalan raya

    “Isu nahas jalan raya yang berlaku setiap hari nampaknya kurang menarik perhatian pihak kerajaan dalam mencari formula yang berkesan dan serius dalam mengurangkan jumlah nahas yang semakin meningkat saban hari.

    “Jadi, pihak kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Penaung MKJR dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke merangkap Pengerusi MKJR Malaysia perlu memberi perhatian serius mengenai isu keselamatan jalan raya di negara ini,” kata pakar ini.

    Tambahnya, di Malaysia, statistik kematian akibat nahas jalan raya berada di kadar lebih kurang 17 kematian setiap hari, yang mana lebih kurang 60% membabitkan penunggang motosikal. Menurut sumber daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula, kematian penduduk dunia berpunca daripada nahas jalan raya berada di tangga kelapan di dunia.

    Lee dan Tengku Ahmad turut berkata, MKJR adalah satu platform terbaik bagi semua pihak yang berkepentingan dalam isu keselamatan jalan raya bagi mencari formula serta usaha lebih berkesan bagi melaksanakan visi dan misi serta mencapai sasaran yang ditetapkan dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia Bagi Tahun 2022-2030.

    294,197 kes kemalangan Jan-Jun 2023; K’jaan disyor beri perhatian serius isu keselamatan jalan raya

    “Sasaran ditetapkan adalah pengurangan bilangan kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50% pada 2030 namun dikhuatiri tidak dapat dicapai jika tiada kerjasama yang serius dalam kalangan ahli MKJR di peringkat kebangsaan mahupun negeri. Lebih memalukan jika statistik nahas jalan raya menunjukkan peningkatan pula, bukannya berkurangan.

    “Ini secara tidak langsung akan memberi gambaran yang tidak baik di mata negara luar mengenai tahap serta kesungguhan pihak kerajaan dalam menangani isu kemanusiaan ini. Kami secara sebulat suara memohon campur tangan Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan untuk membantu dalam memastikan MKJR di semua peringkat kembali bergiat aktif sebagaimana matlamat asal penubuhan MKJR. Semua ahli MKJR diharap dapat bergabung tenaga dan idea dalam usaha untuk memastikan sasaran pelan keselamatan kali ini benar-benar tercapai,” katanya.

    Menurut Lee dan Tengku Ahmad lagi, nahas jalan raya yang meragut enam nyawa sekeluarga di Segamat, Johor baru-baru ini adalah antara nahas terburuk pada tahun ini dan secara tidak langsung menggambarkan situasi sebenar keselamatan jalan raya di negara kita pada masa sekarang.

    “Mengikut kajian pihak berkuasa, 80% punca nahas disebabkan oleh kecuaian manusia. Nahas yang membabitkan kenderaan berat juga semakin kerap berlaku dan perlukan perhatian serius juga oleh pihak berkuasa.

    294,197 kes kemalangan Jan-Jun 2023; K’jaan disyor beri perhatian serius isu keselamatan jalan raya

    “Langkah-langkah untuk meningkatkan lagi kualiti pengguna jalan raya melalui pendidikan dan latihan yang lebih berkesan penguatkuasaan undang-undang serta peraturan jalan raya amatlah perlu dalam usaha melahirkan masyarakat juga pengguna jalan raya yang lebih selamat.

    “Sebarang cadangan yang boleh menggugat tahap keselamatan jalan raya perlu dibuat kajian serta pertimbangan sewajarnya dengan mengambil kira pandangan ahli dalam MKJR serta pemegang taruh yang lain,” katanya.

    Sambungnya, MKJR juga perlu mengkaji serta membuat penilaian semula mengenai aktiviti dilakukan selama ini yang mungkin sebenarnya tidak memberi impak positif terhadap hasil yang ingin dicapai.

    “Akhir sekali, penyampaian maklumat dalam media massa juga sudah sangat jarang kelihatan oleh pihak berkuasa yang terbabit dalam hal keselamatan jalan raya. Diharapkan media massa dalam pelbagai platform dapat diberi galakan dan memainkan peranan sosial dalam menyebarkan mesej berkaitan keselamatan jalan raya,” katanya.

     
     
  • Volkswagen ID. GTI Concept – EV GTI pacuan roda depan generasi seterusnya, saiz seperti Polo

    Volkswagen ID. GTI Concept – EV GTI pacuan roda depan generasi seterusnya, saiz seperti Polo

    Seperti yang kita tahu, Volkswagen adalah antara jenama yang bercita-cita untuk beralih sepenuhnya kepada teknologi elektrik. Dalam peralihan tersebut nampaknya nama ‘GTI’ akan terus dibawa oleh jenama automotif Jerman ini, dihasilkan dalam versi unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya.

    Ini dia, ID. GTI Concept, iaitu model konsep elektrik penuh (EV) yang menjadi pebiu kepada model hot-hatch produksi EV pacuan roda hadapan VW untuk masa hadapan. ID. GTI Concept ini diasaskan dari kereta konsep ID. 2all yang didedahkan Mac lalu, dan ia akan dibina berasaskan platform MEB Entry dengan saiz hanya sedikit lebih besar berbanding model produksi Polo GTI generasi sedia ada.

    Menurut VW, ID. GTI Concept ini menampilkan dimensi panjang 4,104 mm, lebar 1,840 mm, tinggi 1,499 mm dan jarak roda sejauh 2,600 mm. Sebagai perbandingan, dimensi untuk Polo GTI adalah 4,074 mm panjang, 1,751 mm lebar, 1,431 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,549 mm. Golf GTI pula adalah lebih besar dengan saiz 4,284 mm panjang, 1,739 mm lebar, 1,456 mm tinggi dan jarak roda 2,636 mm.

    Volkswagen ID. GTI Concept – EV GTI pacuan roda depan generasi seterusnya, saiz seperti Polo

    Buat masa sekarang Volkswagen belum mengumumkan angka kuasa sebenar bagi ID. GTI Concept ini, namun ada beberapa petunjuk untuk meramal julat kuasanya. Pertamanya, VW menyatakan bahawa “dunia elektrik ID. GTI Concpet dan Golf GTI berkuasa turbo bertemu apabila menyebut kuasa dialirkan ke gandar hadapan.”

    Manakala angka kuasa untuk versi asas ID. 2all sebelum ini sudah dinyatakan akan ditawar sehingga 226 PS (223 hp atau 166 kW). Model itu juga dinyatakan boleh bergerak sejah 450 km dalam kitaran WLTP untuk satu cas penuh.

    VW mengesahkan bahawa ID. GTI Concept ini turut akan dilengkapi dengan unit LSD elektronik pada gandar hadapan yang dikawal oleh Vehicle Dynamics Manager (VDM) walaupun ia dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya. VDM turut akan mengawal penghantaran kuasa motor elektrik.

    Selain itu pelbagai mod pemanduan turut berikan menerusi sistem GTI Experience Control yang baru dibangunkan, membolehkan pemandu melaras sistem pemanduan termasuk unit rangkaian kuasa, stereng, pengalaman bunyi serta memberikan rasa seakan tukaran gear dalam gaya model-model bersejarah GTI sebelum ini.

    Bagi rekaan, hot-hatch EV ini menampilkan pelbagai perincian ikonik dari model-model GTI terdahulu. Tiada liang sebenar pada gril hadapan kereta ini, dan ia diapit dengan lampu hadapan LED matriks IQ.Light. Jalur lampu pada bahagian atas gril juga masih kelihatan seperti masih bersambung dengan jalur LED pada kluster lampu utama. Emblem “GTI” turut diletakkan ditempat sepatutnya.

    Bampar ID. GTI Concept ini dihasilkan lebih agresif berbanding ID. 2all. Ia menampilkan struktur sarang lebah pada liang udara utama, diberikan splitter udara berwarna hitam, dua cagak tunda berwarna merah, dan juga jalur LED untuk lampu nyalaan siang yang diletakkan secara menegak pada kedua-dua sisi.

    Di belakang, ID.GTI Concept ini diberikan spoiler bersaiz besar serta diffuser yang sangat menyerlah pada bahagian bawah bampar. Lampu belakang direka merentangi sepenuhnya bahagian pintu tailgate dengan logo VW yang menyala ditengah serta grafik GTI di bawahnya.

    Volkswagen ID. GTI Concept – EV GTI pacuan roda depan generasi seterusnya, saiz seperti Polo

    Dua buah ID. GTI Concept didedahkan kali ini, satu dengan warna badan Diamond Silver Metallic dan sebuah lagi berwarna Mars Red – kedua-dua warna ini merupakan warna asal model generasi pertama Golf GTI. Ia juga tampil dengan rim gergasi 20-inci yang digelar sebagai rim aloi GTI Concept.

    Bahagian dalaman model konsep ini diberikan rekaan yang cukup ringkas, dengan pemandu diberikan skrin 10.9-inci GTI Digital Cockpit dan juga paparan head-up yang turut boleh memancarkan peta litar Nürburgring. Manakala pada bahagian tengah, ia diberikan skrin sesentuh untuk sistem infotaimen bersaiz 12.9-inci.

    Walaupun tampil dengan rekaan minimalis, ia masih diberikan suis-suis fizikal untuk kawalan bunyi audio dan juga sistem pendingin hawa. Juga dapat dilihat di bawah panel suis tersebut turut disertakan pad pengecas telefon pintar tanpa wayar.

    Model konsep ini diberikan roda stereng yang rata di atas dan bawah, namun ia masih mengekalkan perincian-perincian asal GTI seperti tanda pukul 12 berwarna merah dan juga tiga-jejari ‘spittoon’ seakan roda stereng asal Golf GTI generasi pertama.

    Tiada tombol gear konvensional pada kereta ini kerana EV sememangnya tiada kotak gear, dan pemandu boleh memilih untuk bergerak kehadapan atau ke belakang menerusi tuil pemilih yang diletakkan pada kolum stereng. Namun pada suis putar kawalan GTI Experience Control pada konsol tengah, VW masih memberikan elemen rekaan bola golf disekelilingnya persis tombol gear Golf GTI sebelum-sebelum ini.

    Kalau anda perasan, VW turut menampilkan grafik berbentuk hati pada tempat duduk ID. GTI Concept ini. Grafik yang digelar Jack-e berkenaan sebenarnya diambil dari paten fabrik Jacky pada tempat duduk VW Golf GTI Mk6. Perincian lain yang turut diberikan termasuk port USB-C 45 W, soket kuasa 230-volt.

    Sama seperti ID. 2all, ID. GTI Concept ini turut menampilkan ruang storan 50 liter yang tersorok di bawah tempat duduk belakang. Ia juga menyediakan ruang but belakang berkapasiti 490 liter (berbanding 305 liter pada Polo GTI) dan boleh meningkat kepada 1,330 liter (1,079 pada Polo GTI) sekiranya tempat duduk belakang dilipat.

     
     
  • Mercedes-Benz Concept CLA Class beri petunjuk awal kepada satu barisan keluarga model elektrik baru

    Mercedes-Benz Concept CLA Class beri petunjuk awal kepada satu barisan keluarga model elektrik baru

    Mercedes-Benz telah memperkenalkan model Concept CLA Class, yang dikatakan sebagai satu “petunjuk yang hampir kepada produksi” bukan hanya untuk satu model, tetapi satu keluarga model elektrik penuh kelas permulaan. Secara spesifiknya, model konsep ini akan berkembang menjadi empat model iaitu coupe empat pintu, shooting brake dan dua SUV – semua dibina atas platform Mercedes-Benz Modular Architecture (MMA).

    Selain nampak seperti sebuah CLA yang lebih licin dan moden, model konsep ini turut menerapkan rekaan yang menekankan motif logo bintang tiga bucu jenama itu, termasuk pada lampu hadapan, lampu belakang, gril, rim (21 inci) serta juga bumbung.

    Penggerak elektrik pada model ini diambil terus daripada Vision EQXX, dengan terdiri daripada sistem elektrikal 800 volt yang boleh menerima pengecasan sehingga DC 250 kW. Dengan kadar itu, pengecasan selama 15 minit boleh memberikan jarak gerak 400 km.

    Motor yang digunakan berkemampuan 175 kW (238 PS), dipadankan bersama transmisi dua kelajuan, dan pada Concept CLA Class ini ia menggunakan pacuan roda belakang. Walaubagaimanapun, platformnya boleh digunakan untuk pelbagai tetapan, dan penggerak masa hadapan juga boleh disediakan dengan pacuan semua roda.

    Selain daripada itu, model konsep ini juga menyediakan pengecasan dua hala, yang membolehkan ia menyimpan kuasa dan digunakan pada masa yang diperlukan, atau membekalkan elektrik kepada kenderaan atau perkakasan lain.

    Masuk ke dalam, Concept CLA Class mendapat MBUX Superscreen penuh di sepanjang papan pemukanya, dengan teknologi LED mini dan grafik 3D seperti Vision EQXX. Kesemua empat tempat duduk menggunakan bentuk bucket, dan dibalut dengan kulit Nappa warna putih – begitu juga dengan panel pintu.

     
     
  • Honda Forza 350 Dark Gravity masuk pasaran Thailand

    Honda Forza 350 Dark Gravity masuk pasaran Thailand

    Setelah hampir satu tahun Forza 350 berada dalam pasaran Thailand, Honda kini memperkenalkan satu versi istimewa untuk skuter itu, dipanggil sebagai Forza 350 Dark Gravity. Harga sebenar model ini tidak disiarkan, tetapi untuk Forza 350 biasa, ia dijual di negara itu pada harga bermula 179,000 baht (RM23,723).

    Keistimewaan Forza 350 Dark Gravity bermula dengan penampilan serba gelap, dan dihiasi dengan pelekat warna ungu pada badan, peletak kaki serta keliling rim. Lencana Forza di bahagian panel tepi, belakang skuter ini juga menggunakan warna ungu.

    Kelebihan yang paling menarik pada model ini sebenarnya adalah pada bahagian suspensi, di mana ia datang terus dengan penyerap hentak belakang boleh laras Hyperpro (pengeluar suspensi prestasi dari Belanda), yang dijangka dapat meningkatkan prestasi tunggangan.

    Honda Forza 350 Dark Gravity masuk pasaran Thailand

    Suspensi hadapan bagaimanapun tidak diusik, dan begitu juga dengan bahagian lain skuter ini. Ia masih mengikut spesifikasi model biasa, bermula dengan enjin yang terdiri daripada unit satu silinder empat injap 329 cc, mampu menghasilkan 28.8 hp pada 7,500 rpm dan 31.5 Nm tork pada 5,250 rpm.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada Forza 350 adalah termasuk penghadang angin yang boleh dilaras secara elektrik, sistem kawalan cengkaman Honda Selectable Torque Control (HSTC), ABS two channel, rim 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang, brek cakera tunggal 256 mm di hadapan dan 240 mm di belakang, sistem tanpa kunci, semua lampu LED serta tangki bahan api 11.7 liter.

    GALERI: Honda Forza 350 pasaran Thailand

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025