Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • EMOS rancang eksport motosikal Kawasaki dari Gurun, Kedah ke luar negara – Malaysia bakal jadi hab

    EMOS rancang eksport motosikal Kawasaki dari Gurun, Kedah ke luar negara – Malaysia bakal jadi hab

    Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) selaku pengedar rasmi motosikal Kawasaki di Malaysia menyatakan syarikat kini sedang mempunyai perancangan untuk mengeksport motosikal Kawasaki yang dipasang di kilang mereka di Gurun, Kedah ke luar negara.

    Perkara ini dinyatakan oleh CEO Modenas, Roslan Roskan semasa acara Green Mania di Dengkil hujung minggu lalu, dan beliau turut memberitahu bahawa kajian sedang dibuat untuk melihat negara yang berpotensi serta model yang bersesuaian dengannya.

    Roslan turut menambah bahawa kilang di Gurun selain mampu mengeluarkan model pemasangan tempatan (CKD) untuk pasaran dalam negara, juga mampu untuk mengeluarkan unit untuk eksport. Bermula dengan satu baris pemasangan di kilang, kini operasi telah ditingkatkan kepada dua baris dan baris ketiga bakal siap tahun ini.

    Selain daripada itu, beliau juga menyatakan bahawa pihak Kawasaki di Jepun mempunyai keyakinan pada kemampuan Modenas untuk mengeluarkan motosikal mereka. Seperti yang pernah kami laporkan sebelum ini, kilang di Gurun itu bukan setakat mengikut standard operasi Jepun, tetapi juga menjadi yang pertama dalam ASEAN menggunakan mesin ujian khas tersendiri.

    Meskipun pada awalnya perjanjian pemasangan tempatan yang dibuat antara Modenas dan Kawasaki hanya melibatkan model di bawah 650 cc seperti Ninja 250, Z250, Versys dan Vulcan, Modenas bagaimanapun telah berjaya menunjukkan prestasi baik dan Kawasaki bersetuju untuk membenarkan pemasangan model yang lebih tinggi seperti Z900. Jumlah model CKD juga mungkin akan bertambah lagi pada masa hadapan.

     
     
  • Nissan Skyline Nismo 2024 untuk JDM didedahkan – 3.0L Turbo V6, 420PS/550 Nm, hanya 1,000 unit

    Nissan Skyline Nismo 2024 untuk JDM didedahkan – 3.0L Turbo V6, 420PS/550 Nm, hanya 1,000 unit

    Sebelum dilancarkan bulan hadapan dan mula dijual pada musim panas akan datang, Nissan telah mendedahkan varian baharu untuk Nissan Skyline sedan V37 bagi pasaran Jepun – ini dia Nissan Skyline Nismo 2024! Seperti biasa, ini merupakan model khas hanya untuk pasaran domestik Jepun (untuk eksport V37 dikenali sebagai Infiniti Q50), dan ia hanya dihasilkan sebanyak 1,000 unit, termasuk 100 unit daripadanya adalah versi edisi lebih terhad.

    Untuk enjin, Skyline Nismo ini berkongsi unit VR30DDTT 3.0 liter V6 dengan dua pengecas turbo yang sama dengan varian paling berkuasa V37 iaitu 400R. Namun ianya ditala semula bagi menghasilkan kuasa 420 PS (414 hp atau 309 kW) dan tork maksima 550 Nm, berbanding 405 PS/400 Nm untuk 400R standard.

    Menurut Nissan, sama seperti enjin VR38DETT pada GT-R R35, setiap satu enjin VR30DDTT ini juga turut dipasang dengan tangan oleh seorang ‘Takumi’ di kilang pemasangan enjin Takumi di Yokohama. Bagi model edisi terhad, nama Takumi serta nombor siri khas turut ditampal pada enjin berkenaan.

    Nissan Skyline Nismo 2024 untuk JDM didedahkan – 3.0L Turbo V6, 420PS/550 Nm, hanya 1,000 unit

    Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear tujuh kelajuan automatik, yang turut mendapat talaan semula dari Nismo bagi memberikan respon lebih tajam dalam mod Sport dan Sport+.

    Selain itu, Nismo Skyline ini juga diberikan rim aluminium eksklusif 19-inci dari Enkei yang lebih ringan, lebar dan lebih tegar, dibalut dengan tayar Dunlop SP Sport Maxx GT600 bersaiz 245/40R19. Suspensi juga telah ditala semula serta dipadankan dengan bar anti oleng istimewa bagi mengurangkan olengan badan ketika mengambil selekoh dan kekal stabil pada permukaan jalan yang tidak rata.

    Bukan itu sahaja, Nismo turut memberikan bahan pereka yang sama seperti R35 GT-R Nismo pada cermin hadapan dan belakang Skyline V37 Nismo ini yang didakwa memberikan ketegaran badan lebih baik tanpa meningkatkan berat keseluruhan kereta.

    Nissan Skyline Nismo 2024 untuk JDM didedahkan – 3.0L Turbo V6, 420PS/550 Nm, hanya 1,000 unit

    Brek V37 ini turut mendapat perhatian sayap perlumbaan rasmi Nissan ini dengan memberikan set pad baharu yang lebih tahan panas bagi mengelakkan masalah brake fade, dan sistem ABS juga ditala bagi memberikan jarak brek yang lebih dekat.

    Pada bahagian luar, gril V-Motion yang menyerupai gril GT-R R35 serta lampu belakang dengan grafik bulat berkembar seperti model-model Skyline sebelum ini masih dikekalkan. Model Nismo ini diberikan bampar hadapan dengan perumah lampu lampu nyalaan siang dan lampu kabus serta gril bawah yang diinspirasikan dari GT-R R35 Nismo 2024.

    Menurut Nissan, rekaan berkenaan bukan hanya bersifat kosmetik, malah ia turut memberikan aliran udara lebih baik kepada radiator dan juga penyejuk minyak enjin. Selain itu ia turut menerima skirt sisi dan bampar belakang baharu rekaan Nismo yang turut diberikan serlahan jalur merah di bahagian bawah sama seperti model-model Nismo yang lain.

    Nissan Skyline Nismo 2024 untuk JDM didedahkan – 3.0L Turbo V6, 420PS/550 Nm, hanya 1,000 unit

    Bagi model edisi terhad yang hanya dihasilkan 100-unit, ia diberikan perincian bagi memperingati kereta lumba pertama Prince Skyline GT S54A-1 sempena ulangtahun ke-60 Skyline. Ia termasuk jalur badan berkembar pada sebelah tengah, lencana GT pada fender hadapan, rim yang dilayangkan dengan warna Gun Metal, serta emblem-emblem GT Limited pada tempat-tempat sepatutnya.

    Pada sebelah dalam pula, kabin Skyline Nismo ini masih sama seperti varian 400R, tetapi diberikan beberapa perincian isitimewa dan unik dari Nismo. Antaranya tanda pukul 12 pada roda stereng berwarna merah, meter rpm Nismo dengan ‘gelang berwarna merah, meter kelajuan yang memberi bacaan sehingga 280 km/j, dan juga opsyen tempat duduk bucket Recaro berwarna hitam dengan kemasan merah di tengah dan juga upholsteri sued.

    Di Jepun Nissan Skyline Nismo V37 2024 ini dijual pada harga bermula 7,880,400 yen (RM251,421), manakala model edisi terhad pula dijual pada harga 9,479,800 yen (RM302,439). Lima warna badan ditawarkan, termasuk warna eksklusif Nismo Stealth Gray yang sama seperti GT-R Nismo.

    Mungkin sampai sekarang ada lagi yang keliru apa beza V37 ini dengan R35 bukan? Untuk yang masih tertanya-tanya, selepas dari model R34, Nissan telah memisahkan Skyline dan GT-R bagi membolehkan R35 GT-R tampil sebagai kereta sport sebenar, manakala Skyline hanya kekal dikenali sebagai model sedan keluarga, crossover dan coupe lebih jinak dikenali dengan kod casis V.

    Bermula dari V35 kemudian ke V36 dan V37, nama Skyline hanya digunakan pada model JDM, manakala di luar Jepun model yang sama dijual menggunakan logo divisi mewahnya iaitu Infiniti. Untuk model generasi selepas ini, ada khabar menyatakan Skyline bukan hanya akan dijana oleh unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya (EV), malah ia mungkin hanya hadir dalam versi crossover/SUV.

    Mungkin Skyline Nismo ini adalah model ‘selamat tinggal’ sebelum Skyline benar-benar berubah menjadi SUV EV sepenuhnya?

     
     
  • Pembaharuan cukai jalan, lesen memandu menerusi aplikasi MyJPJ masih dalam peringkat ujian – Loke

    Pembaharuan cukai jalan, lesen memandu menerusi aplikasi MyJPJ masih dalam peringkat ujian – Loke

    Kementerian Pengangkutan berkata pembayaran secara dalam talian bagi pembaharuan cukai jalan (lesen kenderaan motor, atau LKM) dan lesen memandu menerusi aplikasi MyJPJ akan diperkenalkan pada masa akan datang. “Kita akan melancarkan pembayaran secara dalam talian menerusi aplikasi MyJpJ dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

    Beliau berkata, pengumuman sistem pembayaran dalam talian akan dibuat selepas selesai proof of concept dilakukan. Beliau menambah bahawa ini adalah untuk memastikan sistem tersebut berjalan dengan lancar dan tanpa gangguan akibat trafik yang tinggi, laporan Bernama.

    Pada bulan April lalu, JPJ berkata hampir tiga juga pengguna telah mendaftar dengan aplikasi berkenaan, yang juga membenarkan akses untuk versi digital bagi cukai jalan dan lesen memandu. Ketika itu, Ketua Pengarah JPJ (waktu itu) Datuk Zailani Hashim berkata pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu menerusi aplikasi berkenaan boleh dilakukan bermula pertengahan tahun ini.

    Pembaharuan cukai jalan, lesen memandu menerusi aplikasi MyJPJ masih dalam peringkat ujian – Loke

    Walau bagaimana pun, pertukaran kepada digital tidak bermakna dokumen fizikal cukai jalan atau lesen memandu tidak lagi diperrlukan. Minggu lalu, Loke berkata kementerian masih belum menetapkan tarikh akhir peralihan penuh kepada e-LKM, dan pemilik kenderaan masih mempunyai pilihan untuk terus menggunakan cukai jalan fizikal. Beliau menambah statistik JPJ mendedahkan hanya 30% pemilik kenderaan memilih untuk cukai jalan digital setakat ini.

    Begitu juga dengan cukai jalan digital di mana ia hanya sah diperakui di Malaysia sahaja, dan jika ada yang ingin memandu di luar negara, salinan dokumen fikizal (atau permit lesen memandu antarabangsa) masih diperlukan kerana pihak berkuasa luar negara tidak mengiktiraf lesen memandu digital.

     
     
  • Volvo EV dengan Volvo Car Financial Services — beli sebelum 30 September ini, jimat RM20k dari pinjaman

    Volvo EV dengan Volvo Car Financial Services — beli sebelum 30 September ini, jimat RM20k dari pinjaman

    Dengan komitmen untuk merancakkan elektrifikasi kenderaan, Volvo Car Malaysia sedang membantu pemilik akan datang untuk mengambil jalan pemilikan kenderaan elektrifikasi yang lebih mudah melalui Volvo Car Financial Services, yang menawarkan beberapa pakej untuk menjadikan pemilikan kenderaan Volvo dengan elektrifikasi satu kenyataan.

    Ketika anda membeli model kenderaan elektrik Volvo yang baru, anda akan menikmati kelebihan segera. Beli Volvo XC40 Recharge Pure Electric atau C40 Recharge Pure Electric sebelum 30 September nanti, anda akan menerima pengurangan harga segera dengan potongan RM20,000 daripada jumlah prinsipal pinjaman. Dalam masa yang sama, pembeli juga akan menikmati pengurangan jumlah pembiayaan melalui bayaran ansuran yang lebih.

    Beli Volvo C40 Recharge dengan harga RM290,000, misalnya, dengan bayaran muka RM40,000 dan biaya baiki RM250,000 dengan tempoh lima-tahun dan kadar faedah 1.75% setahun, akan memberikan anda penjimatan sebanyak RM23,099*. Sementara itu, pembiayaan untuk tempoh sembilan tahun dengan kadar faedah 1.75% setahun berpotensi memberikan penjimatan sebanyak RM26,919*.

    Turut ada ialah peluang untuk menikmati kadar istimewa bagi pembiayaan kenderaan elektrik baru Volvo; berhubung dengan peruncing jualan Volvo Car dan anda akan mengetahui lebih lanjut tentang kelayakan untuk kadar istimewa berkenaan serta bagaimana untuk berjimat dengan caj pembiayaan. Ada manfaat penyelesaian awal juga; nikmati tempoh pembiayaan lebih pendek, dan tiada yuran dikenakan untuk tujuan itu.

    Promosi daripada Volvo Car Financial Services ini juga sah ketika anda menempah Volvo XC40 Pure Recharge atau Volvo C40 Pure Recharge secara dalam talian, di sini.

    Manfaat sama turut diberikan ketika anda membeli model baru Volvo plug-in hybrid electric. Beli Volvo XC60 Recharge sebelum 30 September nanti, anda akan menerima pakej promosi bernilai hampir RM20,000.

    Volvo EV dengan Volvo Car Financial Services — beli sebelum 30 September ini, jimat RM20k dari pinjaman

    Pakej promosi ini terdiri daripada Volvo Service Plan (VSP) lima-tahun bernilai RM12,900, yang merupakan sebuah pakej service menyeluruh oleh Volvo Car Malaysia yang meliputi lima servis pertama kendearan anda termasuk aspek kehausan komponen dan kos buruh, kemaskini perisian percuma dan pemeriksaan kesihatan kenderaan. Insuran kenderaan percuma bagi tahun pertama bernilai RM7,000 juga disertakan sekali.

    Antara model elektrik sepenuhnya dan plug-in hybrid yang ditawarkan oleh Volvo Car Malaysia, sentiasa ada sesuatu untuk memenuhi keperluan penggunaan anda. Nikmati tawaran ini daripada Volvo Car Malaysia ketika anda membeli model BEV atau PHEV baru daripada Volvo sebelum 30 September ini.

    Bersedia untuk memiliki kenderaan elektrik atau model elektrifikasi Volvo? Ketahui lebih lanjut di sini.

    *Termasuk RM20,000 pengurangan prinsipal serta-merta dengan yuran dan caj.

     
     
  • UMW Toyota Motor jual 8,349 unit pada Julai 2023 – 57,008 unit terjual pada 7 bulan pertama, naik 8.5%

    UMW Toyota Motor jual 8,349 unit pada Julai 2023 – 57,008 unit terjual pada 7 bulan pertama, naik 8.5%

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah merekodkan jualan sebanyak 8,349 unit untuk jenama Toyota dan Lexus sepanjang bulan Julai 2023, dengan 8,200 unit untuk kenderaan Toyota dan 149 unit bagi Lexus. Menunjukkan kenaikan sekitar 25.8% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

    Malahan setakat tujuh bulan pertama 2023, syarikat ini juga telah menjual sebanyak 57,008 unit kenderaan, mewakili kenaikan 8.5% berbanding 52,548 unit yang direkodkan pada Julai 2022.

    “Pertumbuhan berterusan dalam jumlah jualan kami adalah bukti daya tarikan kereta Toyota kepada pembeli yang menghargai prestasi dan kebolehpercayaan. Untuk mengembangkan lagi pengalaman memandu kenderaan jenama ini kepada lebih ramai pengguna, kami berbesar hati untuk menjadikan pemilikan Toyota lebih mudah diakses berbanding sebelum ini dengan pertumbuhan pusat jualan dan perkhidmatan kami, serta perkhidmatan Extra Mile kami bersama-sama dengan promosi bulanan yang memudahkan untuk membeli dan memiliki Toyota,” kata presiden UMW Toyota Motor Datuk Ravindran Kurusamy.

    Dari segi produk akan datang, Corolla GR Sport telah disenaraikan di laman web UMW Toyota pada bulan lalu sebagai pakej tambahan untuk Corolla yang ditawarkan pada harga RM5,000, yang terdiri daripada bampar rekaan GR Sport, roda aloi GR Sport, kemasan dalaman GR Sport dan talaan suspensi GR Sport, mengikut senarai harga kereta bertarikh 3 Julai 2023.

     
     
  • JPJ eBid: KFR dan PQY bakal dibuka bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Kedah, KFR, bakal dibuka bidaan mulai 10 Ogos dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 14 Ogos. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 15 Ogos 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang pula, PQY, bidaannya akan dibuka pada 13 Ogos. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 17 Ogos. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 18 Ogos 2023 ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Feri baharu Penang tawar tambang percuma sebulan hingga 6 Sept, setiap 20 minit pada waktu puncak

    Feri baharu Penang tawar tambang percuma sebulan hingga 6 Sept, setiap 20 minit pada waktu puncak

    Perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang telah pun mula beroperasi hari ini, 7 Ogos 2023. Ia menampilkan empat feri dikenali sebagai Teluk Bahang, Teluk Kampi, Teluk Duyung dan Teluk Kumbar yang berulang-alik dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), Butterworth dan Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU).

    Sempena dengan pembukaan perkhidmatan feri baharu ini, kadar tambang percuma diberikan selama sebulan iaitu sehingga 6 September ini. Feri ini akan beroperasi setiap hari bermula jam 6.30 pagi di PSAH dan berakhir pada jam 9.30 malam manakala di PRTU, feri akan bermula pada jam 7 pagi dan berakhir pada jam 10 malam.

    Di mana sebanyak 68 trip dua hala disediakan setiap hari dengan kekerapan setiap 20 minit pada waktu puncak dan 30 minit bagi waktu bukan puncak termasuk pada hari cuti umum dan hujung minggu.

    Feri baharu Penang tawar tambang percuma sebulan hingga 6 Sept, setiap 20 minit pada waktu puncak

    Klik untuk besarkan

    Feri baharu ini boleh membawa seramai 150 penumpang dan 50 buah basikal bagi setiap perjalanan. Walau bagaimana pun, tidak seperti feri Pulau Pinang yang klasik, feri baharu ini tidak membawa kereta. Bukan itu sahaja, PRTU dan PSAH merupakan feri berhawa dingin dan mempunyai kamera keselamatan dan lif untuk penumpang OKU.

    Ketua Pegawai Eksekutif PPSB, Datuk V Sasedharan berkata, pihaknya sedang mengkaji kadar tambang feri baharu itu dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat, laporan Berita Harian.

    “Dianggarkan 100,000 penumpang menggunakan feri bagi perjalanan sehala dalam tempoh sebulan dan perkhidmatan feri baharu ini menyasar sebanyak 1.2 juta penumpang setahun bagi perjalanan sehala,” katanya.

     
     
  • Kia EV9 2023 dikesan di Malaysia – SUV 7-tempat duduk dengan bateri 99.8 kWh, jarak gerak 541 km

    Kia EV9 2023 dikesan di Malaysia – SUV 7-tempat duduk dengan bateri 99.8 kWh, jarak gerak 541 km

    Kia terus mengembangkan lagi barisan kenderaan elektriknya, dan Kia Malaysia dikatakan bakal melancarkan satu lagi model EV di pasaran tempatan. Baru-baru ini Kia EV9 terlihat berada di Glenmarie, Shah Alam, seperti mana yang dipaparkan menerusi laman Instagram milik Route Hunters.

    Pertama kali didedahkan pada Mac tahun ini, EV9 merupakan SUV janaan bateri elektrik tiga-barisan yang boleh memuatkan sama ada enam atau tujuh tempat duduk, dengan barisan tempat duduk kedua boleh dipusingkan 180 darjah untuk duduk berhadapatn dengan penumpang di barisan ketiga.

    Ini merupakan salah satu daripada empat konfigurasi tempat duduk yang boleh dilaras bagi barisan kedua, dengan pilihan lain adalah bangku tiga-tempat duduk, tempat duduk asas dan jenis-relaxation; cuma untuk pasaran Malaysia, tidak tahu lagi pilihan tempat duduk yang bakal diperkenalkan.

    Dibangunkan mengikut senibina Electric Global Modular Platform (E-GMP) seperti EV6, model EV9 ini berukuran 5,010 mm panjang, 1,980 mm lebar dan jarak roda 3,100 mm. Untuk pengetahuan, jarak rodanya adalah 200 mm lebih panjang berbanding Kia Telluride untuk pasaran USA.

    EV9 ini juga didakwa memiliki pekali seretan mencecah 0.28, menampilkan rekaan berkotak dengan rekaan lampu utama, cermin sisi yang lebih konvensional, sama seperti rekaan pemegang pintu dan lain-lain. Wajah depan “Digital Tiger Face” juga diwarisi dari model konsep.

    Tunggak “Technology for Life” yang menjadi pegangan Kia bagi falsafah rekaan “Opposites United” menampilkan nilai utama yang menjadi teras bahagian dalaman EV9, di mana ruang, teknologi dan keselesaan untuk semua penumpang diberi keutamaan.

    Kia EV9 2023 dikesan di Malaysia – SUV 7-tempat duduk dengan bateri 99.8 kWh, jarak gerak 541 km

    Ketika diperkenalkan pada Mac lalu, EV9 ditawarkan dengan tiga varian iaitu RWD Standard, RWD Long Range dan AWD. Varian asas RWD Standard diberikan bateri 76.1 kWh, sementara dua varian tertinggi menerima bateri yang lebih besar 99.8 kWh.

    Varian RWD Long Range menawarkan jarak gerak sehingga 541 km untuk pengecasan tunggal mengikut ujian standard WLTP dan dengan senibina elektrikal 800-voltan, EV9 boleh dicas sekitar 15 minit untuk memberikan jarak 239 km. EV9 juga boleh menyalurkan kuasa elektrik dengan kemudahan vehicle-to-load (V2L) yang menawarkan sehingga 3.68 kW untuk peranti lain termasuk komputer riba, atau kelengkapan berkhemah.

    Untuk spesifikasi global, EV9 didatangkkan dengan dua skrin sentuh 12.3-inci bersama paparan lima-inci untuk kawalan fungsi kenderaan, serta untuk memastikan butang fizikal disediakan pada tahap minimum. Sementara di konsol tengah pula, ia menyediakan ruang simpanan luas di bawah.

    Sistem bantuan pemandu termaju untuk EV9 antaranya sistem Highway Driving Pilot (HDP), yang menawarkan pemanduan autonomous Tahap 3. Ia membawakan 15 penderia termasuk dua unit Lidar, yang membolehkan EV9 mengesan dan bertindak mengikut keadaan jalan dan kehadiran pengguna jalan raya yang lain bagi mengelakkan pelanggaran.

     
     
  • Juruarah rali berpengalaman untuk Karamjit Singh, Jagdev Singh dilaporkan meninggal dunia hari ini

    Juruarah rali berpengalaman untuk Karamjit Singh, Jagdev Singh dilaporkan meninggal dunia hari ini

    Juruarah rali berpengalaman negara, Jagdev Singh dilaporkan sudah menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi selapas jatuh sakit dan dikejarkan ke Subang Jaya Medical Center pada 12 Julai lalu. Berita sedih ini diumumkan dalam satu hantaran akaun facebook miliknya oleh saudara terdekat.

    “Dengan berat hati kami ingin mengatakan bahawa Jagdev telah meninggal dunia petang ini. Dia dikelilingi oleh kasih sayang ketika dia melalui penghujung SS dengan kemenangan,” tulis hantaran tersebut.

    Ahli keluarga Jagdev juga meminta agar gambar-gambar beliau yang terlantar di Hospital tidak lagi disiarkan untuk menghormati pemergiannya.

    Juruarah rali berpengalaman untuk Karamjit Singh, Jagdev Singh dilaporkan meninggal dunia hari ini

    Jagdev merupakan antara juruarah terbaik dalam Malaysia dan mampu menjadi juruarah kepada kereta-kereta dan pemandu-pemandu rali yang pantas diperingkat antarabangsa. Pada era 90’an, Jagdev pernah bergandingan dengan pemandu Australia, Russell Palmer yang memandu Suzuki Swift GTi dan Proton Satria Group A untuk pasukan Silverstone Rally Team Malaysia.

    Gandingan kedua-dua mereka bukan hanya beraksi di Malaysia, malah turut memberikan cabaran di pentas antarabangsa termasuk Hong Kong-Beijing Rally 1995 dan 1996. Jagdev mula menjadi sebahagian dari pasukan Petronas Eon Racing Team (PERT) pada 1997 dengan menjadi juruarah untuk Saladin Mazlan.

    Malah pada tahun yang sama, Jagdev menggantikan Allen Oh sebagai juruarah untuk Karamjit Singh di Rally China, menyaksikan gandingan pertama antara kedua mereka.

    Juruarah rali berpengalaman untuk Karamjit Singh, Jagdev Singh dilaporkan meninggal dunia hari ini

    Antara pemandu yang turut pernah bergandingan dengan Jagdev termasuk Gunaseelan Rajoo, Katsuhiko Taguchi, Cody Crocker, Kenneth Koh dan ramai lagi. Namun gandingan yang paling diingati sudah tentu bersama ‘Flying Sikh Malaysia’, Karamjit Singh.

    Jagdev merupakan juruarah Karamjit ketika Karamjit mendominasi Kejohanan Rali Malaysia dari 2013 hingga 2015 dengan Proton Satria Neo pasukan Proton R3. Kedua-dua mereka juga pernah bergandingan dalam pasukan lain sebelum itu untuk rali tempatan dan juga peringkat antarabangsa.

    Malah apabila Karamjit Singh mula berlumba semula dengan pasukan Cisco Racing pada 2021, Jagdev Singh dipilih sebagai gandingannya juga untuk rali dalam dan luar negara. Tahun lalu pasangan Karamjit dan Jagdev ini telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) 2022, serta merangkul tiga gelaran juara di Suwarnadwipa Nusantara Challenge 2022 yang berlangsung di Sirkuit Suwarnadwipa Nusantara, Muara Bungo, Jambi, Indonesia.

     
     
  • Modenas Ninja 250 ABS ditawarkan dalam warna hijau

    Modenas Ninja 250 ABS ditawarkan dalam warna hijau

    Selepas satu tahun Modenas Ninja 250 dilancarkan semula untuk pasaran Malaysia, kini ia ditawarkan dengan tambahan satu warna baru iaitu hijau dengan grafik hitam dan merah. Ia adalah untuk model versi ABS dan dijual pada harga RM21,800 tidak termasuk insurans. Harga ini adalah sekitar RM1300 lebih tinggi berbanding Ninja 250 ABS warna hitam yang diperkenalkan tahun lepas.

    Spesifikasi motosikal sports permulaan ini masih lagi sama seperti sebelum ini, bermula dengan enjin yang menggunakan unit dua silinder DOHC 249 cc, bersama padanan transmisi enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper, mampu menghasilkan 37 hp pada 12,500 rpm dan 23 Nm tork pada 10,000 rpm.

    Bahagian suspensi motosikal ini menggunakan padanan fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang, sementara rim pula bersaiz 17 inci dan dibalut tayar masing-masing bersaiz 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang.

    Seperti yang boleh dilihat pada namanya, Ninja 250 ABS ini dilengkapi dengan sistem brek anti kunci, yang dilaksanakan oleh unit cakera 286 mm di hadapan dan 193 mm di belakang. Panel meter masih menggunakan gabungan analog dan LCD.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada Ninja 250 ABS ini adalah lampu hadapan dan belakang LED, tangki bahan api 14 liter serta tinggi tempat duduk 795 mm. Beratnya adalah 167 kg. Setiap pembelian datang dengan jaminan dua tahun tanpa had batuan.

     
     
  • Modenas Versys-X 250 akan tiba di Malaysia tahun ini

    Modenas Versys-X 250 akan tiba di Malaysia tahun ini

    Selain ZX-25R yang akan dilancarkan secara rasmi pada bulan September ini, Modenas turut akan memperkenalkan model touring Versys-X 250 ke pasaran Malaysia tahun ini. Menurut CEO Modenas, Roslan Roskan, model ini akan dipasang di dalam negara dan akan dijual pada harga yang berpatutan.

    Membezakan model touring permulaan Versys-X 250 ini dengan Versys biasa adalah ia datang lengkap dengan aksesori seperti beg barangan tepi 17 liter jenis keras, penghadang angin hadapan tinggi, lampu kabus LED, pelindung panel badan besi, serta pelindung tangan.

    Menggerakkannya adalah enjin dua silinder selari 249 cc yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper untuk menghasilkan kuasa 34 PS pada 11,500 rpm dan tork 21.7 Nm pada 10,000 rpm.

    Sebagai sebuah motosikal yang juga boleh dibawa menjelajah ke jalan tidak berturap, Versys-X 250 datang dengan kombinasi rim spoked 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, manakala suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik 41 mm di hadapan dan monoshock di belakang menyediakan jarak gerak masing-masing 130 mm dan 148 mm.

    Melihat kepada pasaran negara jiran Indonesia, Versys-X 250 dijual pada harga 71.2 juta Rupiah (RM21,368) dan datang dengan kelengkapan lain termasuk tangki bahan api 17 liter serta brek cakera hadapan dan belakang dengan ABS dual channel. Berat motosikal ini adalah 181 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 815 mm.

     
     
  • smart #1 — Ruang dalaman didedahkan; Beats dengan 13-pembesar suara, antaramuka sistem lokal

    smart #1 — Ruang dalaman didedahkan; Beats dengan 13-pembesar suara, antaramuka sistem lokal

    Dalam preview smart #1 sebelum ini, kami sudah tunjukkan rekaan luaran EV berkenaan. Dan, bagi mereka yang berkunjung ke acara EVx 2023 tempoh hari juga sempat melihat unit yang dipamerkan — juga hanya menunjukkan perincian luaran sahaja, dengan semua cermin digelapkan.

    Kini, masanya telah tiba untuk meneliti pula rekaan ruang dalamannya. smart #1 diposisikan sebagai sebuah SUV EV untuk bersaing dalam pasaran premium. Melihat daripada rekaan luarannya, banyak elemen dan sentuhan yang mencadangkan bahawa ini sebuah kereta yang ingin menampilkan kecanggihannya.

    smart kini menjadi jenama yang hanya akan mengeluarkan EV semata-mata. Model smart #1 adalah hasil pertama antara usahasama dua syarikat, dengan pemilik Jermannya bertenggungjawab terhadap rekaan, manakala pemilik sebahagian lagi kepentingannya, Geely dari China pula menyediakan aspek binaan dan kejuruteraan untuk produk yang akan mereka keluarkan selepas ini. Maka, tiada lagi model-model ikonik seperti smart ForTwo dan ForFour; yang ada kini ialah era baru smart, dengan arah tuju juga berbeza.

    smart #1 — Ruang dalaman didedahkan; Beats dengan 13-pembesar suara, antaramuka sistem lokal

    Dengan itu, semua hasrat itu dijelmakan ke dalam rekaan smart #1 ini. Untuk ruang kabin, papan pemuka bernuansa moden dengan elemen bujur dan bulat menjadi elemen utama. Dua pilihan warna ditawarkan untuk ruang kabinnya: hitam dan putih. Seperti yang dalam dilihat dalam galeri ini, sentuhan rekaan papan pemukanya lari dari cara konvensional. Ia berbentuk T yang disambung ke bahagian konsol tengah yang berkedudukan agak tinggi. Rekaan corong pendingin juga leper dan memanjang.

    Stereng nampak kemas dengan balutan kulit. Ia ringkas dengan tiga jejari, dengan butang kawalan dalam kemasan krom di kiri dan kanan. jenama smart tertera dengan agak besar di bahagian jejari yang paling bawah. Begitu juga dengan logo — besar terletak di tengah-tengah.

    Konsol di tengah yang berkedudukan tinggi itu juga menempatkan beberapa ruang simpanan kecil yang banyak, termasuk ruang terbuka yang agak besar di bahagian bawahnya. Tidak ketinggalan, sesuai dengan keperluan sebuah kereta EV yang perlu lengkap dengan sistem canggih, sebuah skrin besar 12.8-inci terletak di tengah, untuk mengendalikan semua perihal berkaitan sistem infotainmen. Untuk pemandu, kluster instrumen 9.2-inci juga disediakan, berserta head-up display 10-inci untuk maklumat pemanduan.

    smart #1 — Ruang dalaman didedahkan; Beats dengan 13-pembesar suara, antaramuka sistem lokal

    Ada sentuhan yang biasa dilihat untuk kenderaan Mercedes-Benz, turut ada untuk kereta ini. Misalnya, lampu suasana 64-warna — dengan suasana yang lebih segar untuk muda-mudi. Namun, di dalam kabin ini, banyak juga penggunaan material plastik yang menjadikannya kurang premium jika disentuh.

    Lain-lain kelengkapan adalah kuncinya yang menarik dengan fungsi lock/unlock ketika ia berada dekat/jauh dari kenderaan. Antara muka sistem infotainmennya juga ada seekor “musang” sebagai perantara untuk berkomunikasi.

    Premium yang disasarkan oleh smart mungkin lebih terarah kepada golongan muda, dan bukannya premium yang ramai orang fahami sekiranya berbincang tentang penawaran kenderaan lazimnya. Sistem audio misalnya, ia dilengkapi dengan sistem 13-pembesar suara dan 640W oleh Beats. Ini sahaja pilihan yang jarang-jarang ditemukan untuk kereta, yang biasanya akan menggunakan jenama seperti Harman Kardon atau Bose. Ia juga lengkap dengan Android Auto dan Apple CarPlay dan pengecas tanpa wayar.

    smart #1 — Ruang dalaman didedahkan; Beats dengan 13-pembesar suara, antaramuka sistem lokal

    Tentang praktikaliti, ruang butnya boleh menyediakan antara 323 liter hingga 411 liter ruang dengan nisbah lipatan 60:40 dan larasan gelungsur kerusinya. Jika perlu lebih luas, 986 liter boleh dicapai dengan penyandar kerusi belakang dilipat. Di bawah hud depan, ada lagi 115 liter ruang jika perlu.

    Sebagai makluman, ukuran dimensi smart #1 adalah seperti berikut: 1,822 mm lebar dengan jarak antara roda 2,750 mm. Sebagai latar, jika dibandingkan dengan Honda HR-V, #1 ini lebih lebar 32 mm dan jarak rodanya lebih panjang 140 mm, walaupun ia sebenarnya lebih pendek daripada HR-V. #1 juga lebih tinggi 46 mm dengan ketinggian 1,636 mm. smart #1 juga menggunakan saiz rim yang lebih besar, 19-inci.

    Model dalam gambar ini ialah dari varian #1 Premium, yang dilengkapi dengan motor elektrik di belakang dengan janaan 272 PS (200 kW) dan 343 Nm tork yang memacu roda belakang. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 6.7 saat. Varian paling tinggu pula Brabus, hadir dengan tambahan motor kedua di depan, menjadikannya pacuan AWD dengan kuasa 428 PS (315 kW) dan 543 Nm tork, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat.

    EV ini menggunakan bateri lithium nickel manganese cobalt oxide (NMC) 66-kWh yang menyediakan jarak perjalanan 440 km dalam kitaran WLTP. Kadar pengecasan maksimumnya ialah 150 kW DC: dengan pengecas yang serasi, kadar bateri dari 10-80% boleh dicapai dalam masa 30 minit. Walaupun DC adalah pilihan yang paling ideal untuk mana-mana EV, sumber utama untuk pengecasan sebenarnya adalah melalui AC, dan smart #1 turut ada kelebihan dengan 22 kW AC berbanding kebanyakan model biasa yang hanya menyediakan kemampuan 11 kW.

    Selepas tengok rekaan luaran dan dalaman smart #1 ini, apa pandangan anda? Berapa harga yang sesuai untuk SUV ini?

     
     
  • China kuasai 31% jualan kenderaan global 1H 2023

    China kuasai 31% jualan kenderaan global 1H 2023

    Berdasarkan data daripada China Passenger Car Association (CPCA), jualan kenderaan peringkat global pada Jun 2023 mencecah 7.87 juta unit, yang mewakili kenaikan 11% bagi tempoh sama berbanding tahun lalu (YoY) pada Jun 2022. Daripada jumlah berkenaan, China menyumbang 33% daripada jualan kenderaan global pada Jun 2023, didorong oleh bekalan cip semikonduktor yang semakin pulih.

    Pasaran automotif terbesar dunia itu turut memperkukuhkan kedudukannya bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, dengan syarikat pengeluar kenderaan dari China mencatatkan 31% perkongsian pasaran daripada keseluruhan 42.43 juta unit kenderaan yang terjual di seluruh dunia — ini juga peningkatan 11% YoY bagi tempoh sama tahun lalu.

    Persatuan itu juga mendedahkan, sejak 2016 hingga 2018, jumlah jualan kenderaan di China mencecah 30% daripada keseluruhan jualan global. Ini turun kepada 29% pada 2019, tetapi naik semula kepada 32% pada 2020 dan 2021, dan kemudian menjadi 33% pada 2022.

    Sepuluh pengeluar teratas bagi perkongsian pasaran global dalam tempoh separuh pertama 2023 termasuklah Toyota (12%), Volkswagen (9.6%), Hyundai/Kia (7.9%), Stellantis (7.3%), Renault/Nissan (6.7%), General Motors (6.5%), Ford (4.7%), Honda (4.3%), Suzuki (3.4%) dan Mercedes-Benz (3.1%).

    Di China sahaja, Volkswagen mendahului dengan perkongsian pasaran 10.2%, diikuti BYD (9.5%), General Motors (7.3%), Changan (7.1%), Geely (6.2%), Toyota (6.1%), Chery (5.4%), SAIC (4.1%), Honda (3.9%) dan Great Wall Motor (3.9%).

     
     
  • Lesen memandu digital hanya sah di M’sia sahaja, perlu lesen fizikal jika memandu di luar negara – Loke

    Lesen memandu digital hanya sah di M’sia sahaja, perlu lesen fizikal jika memandu di luar negara – Loke

    Walau pun Malaysia kini beralih kepada pelaksanaan lesen memandu digital, namun bagi yang berhasrat untuk memandu di luar negara, sila pastikan anda mempunyai salinan dokumen fizikal untuk lesen memandu. Ini kerana lesen memandu digital mungkin tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa asing.

    Peringatan ini dibuat berikutan insiden minggu lepas di mana dua rakyat Malaysia telah menerima saman trafik di Thailand kerana gagal mengemukakan salinan fizikal lesen memandu mereka kepada pihak berkuasa Thailand.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata bahawa urusan lesen memandu adalah tertakluk kepada undang-undang negara lain, laporan Bernama. Beliau yang memberikan maklumbalas mengenai perkara tersebut berkata, lesen memandu digital hanya sah diperakui di Malaysia sahaja, seperti mana yang pernah beliau katakan pada Februari lalu sewaktu mengumumkan pelaksanaan lesen memandu dan cukai jalan digital di negara ini.

    Lesen memandu digital hanya sah di M’sia sahaja, perlu lesen fizikal jika memandu di luar negara – Loke

    Berhubung kes baru-baru ini, beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak berhenti mengeluarkan salinan fizikal lesen memandu, dan ia disediakan untuk mereka yang memerlukannya. “Jika mereka ingin memandu di negara yang memerlukan lesen fizikal, mereka boleh memohon di kaunter JPJ semasa memperbaharui (lesen),” katanya.

    Perlu diingat juga bahawa di Malaysia, pertukaran kepada lesen memandu digital – yang boleh dipaparkan melalui aplikasi MyJPJ – tidak dilaksanakan secara menyeluruh. Seperti yang dinyatakan pada bulan Februari, mereka yang mempunyai lesen memandu pelajar (LDL) dan lesen memandu vokasional (PSV/GDL/KON) masih memerlukan salinan fizikal lesen tersebut.

    Selain itu, warga asing yang memegang lesen memandu Malaysia atau permit memandu antarabangsa (IDP) perlu membawa dokumen fizikal yang berkaitan dengan mereka apabila memandu di jalan raya di Malaysia.

     
     
  • PLUS sudah sediakan 214 tempat teduhan motosikal di lebuhrayanya, bakal tambah 22 buah lagi – CEO

    PLUS sudah sediakan 214 tempat teduhan motosikal di lebuhrayanya, bakal tambah 22 buah lagi – CEO

    Dalam usaha memastikan keselamatan semua pengguna lebuh raya termasuk penunggang motosikal, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sentiasa memandang serius mengenai keperluan bagi golongan ini di lebuh raya terutamanya ketika berhadapan dengan cuaca buruk atau hujan. Oleh itu, sejak awal tahun 2000, PLUS telah mula menyediakan tempat- tempat berteduh khusus untuk penunggang motosikal.

    Buat setakat ini, PLUS telah menyediakan sejumlah 214 kemudahan tempat berteduh untuk penunggang motosikal. Ia terdiri daripada dua jenis iaitu 28 buah teduhan motosikal jenis Stand-alone, manakala 186 buah teduhan motosikal di bawah jambatan.

    “PLUS bersedia untuk menambah 22 buah lagi tempat berteduh motosikal iaitu 6 buah daripada jenis Stand-alone dan 16 buah di Bawah Jambatan yang dijangka akan siap sepenuhnya secara berperingkat pada tahun ini sehingga suku kedua 2024,” kata Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz.

    PLUS sudah sediakan 214 tempat teduhan motosikal di lebuhrayanya, bakal tambah 22 buah lagi – CEO

    Tambah beliau, selain tempat-tempat berteduh khusus ini, PLUS turut menasihatkan penunggang motosikal untuk berhenti berteduh di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah atau stesen minyak yang berdekatan sepanjang lebuh raya sekiranya berhadapan dengan cuaca yang terlalu buruk atau hujan yang terlalu lebat.

    “Dalam masa yang sama, PLUS turut menasihatkan penunggang motosikal supaya sentiasa berada di belakang rel penghadang (guardrail) di kawasan teduhan motosikal semasa berhenti untuk keselamatan mereka.

    “Penunggang motosikal juga dinasihatkan untuk tidak berhenti atau berkumpul di lorong kecemasan kecuali jika berlaku kecemasan. Ini untuk mengelakkan berlakunya kemalangan atau hal-hal yang tidak dijangka,”katanya lagi.

    Jelasnya, bagi lokasi di bawah jambatan yang tidak disediakan kawasan teduhan motosikal, pihak PLUS telah menyediakan papan tanda larangan ‘Dilarang berhenti kecuali kecemasan’ untuk mengelakkan penunggang motosikal berhenti di kawasan tersebut atas faktor keselamatan dan mengelakkan risiko berlakunya insiden kemalangan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025