Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Bosch buka kemudahan semikonduktor di P. Pinang untuk uji cip automotif — pelaburan RM1.62 bilion

    Bosch buka kemudahan semikonduktor di P. Pinang untuk uji cip automotif — pelaburan RM1.62 bilion

    Bosch telah membuka sebuah kemudahan semikonduktor canggih di Pulau Pinang untuk menjalankan ujian bagi cip dan sensor automotif keluaran jenama itu. Merangkumi keluasan tanah 100,000 meter persegi, tapak kemudahan baru itu meliputi 18,000 meter persegi bilik bersih, ruang pejabat serta makmal R&D untuk menempatkan sehingga 400 pekerja menjelang pertengahan 2030.

    Pengeluaran semikonduktor terbahagi kepada dua seksyen, iaitu pengeluaran baris depan dan pengeluaran baris belakang. Kemudahan di Pulau Pinang ini merupakan yang pertama seumpamanya bagi Bosch di Asia Tenggara dan akan memberi tumpuan utama terhadap pengeluaran baris belakang, iaitu ujian akhir untuk cip yang dikilangkan oleh Bosch di Dresden, Jerman.

    “Semikonduktor adalah asas kepada semua teras perniagaan Bosch. Kemudahan baris belakang di Pulau Pinang ini merupakan komponen utama bagi strategi pertumbuhan kami dalam sektor mobiliti sebagai maklum balas terhadap meningkatnya permintaan terhadap semikonduktor.

    “Kami pilih untuk melabur di Pulau Pinang kerana tahap pengetahuan berkaitan semikonduktornya tinggi, serta adanya tenaga kerja mahir. Kedekatan dengan rakan niaga dan pelanggan juga antara kelebihan lainnya, kerana itu akan menjimatkan masa dan jarak serahan cip,” ujar wakil dari Bosch yang bertanggungjawab untuk bahagian operasi, Klaus Maeder.

    Bosch buka kemudahan semikonduktor di P. Pinang untuk uji cip automotif — pelaburan RM1.62 bilion

    Bosch dengan cara sistematik sedang memperluas aktiviti semikonduktornya di peringkat global untuk menampung permintaan terhadap cip, dengan Malaysia menjadi pemain utama dalam pasaran. “Menurut laporan berita tempatan, Malaysia merupakan satu daripada 10 pengeluar semikonduktor dan produk elektronik utama, terlibat dengan hampir tujuh peratus perdagangan semikonduktor dunia,” jelas Bosch dalam kenyataannya.

    Negara ini juga menjadi hab penting bagi rantaian bekalan semikonduktor global untuk Bosch dan dianggarkan meliputi sekitar 13% pengeluaran baris belakang global. Untuk itu, pembekal teknologi dari Jerman ini berhasrat melabur sekitar 350 juta Euro (RM1.62 bilion) di tapak baru ini sehingga pertengahan 2030 nanti.

    Setakat 31 Disember 2022, Pulau Pinang menjadi pilihan utama bagi kemudahan pengilangan bagi Bisch di Asia Tenggara, dengan keseluruhan 4,200 pekerja dengan nilai pelaburan hampir 86.2 juta Euro (RM400 juta).

     
     
  • DBKL tukar nama laluan bas GOKL mulai Ogos 2023

    DBKL tukar nama laluan bas GOKL mulai Ogos 2023

    Mulai Ogos 2023, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menukar nama laluan bagi perkhidmatan bas GOKL, daripada menggunakan warna kepada model nombor. Di mana pertukaran tersebut melibatkan 14 laluan bagi memudahkan penumpang mengingati nama laluan berbanding penggunaan warna yang dilihat rumit dan mengelirukan.

    “Nama warna akan dikekalkan di hujung nama laluan bagi tempoh masa sementara untuk mengelakkan kekeliruan kepada orang ramai,”kata DBKL dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Pertukaran nama laluan berkenaan adalah seperti berikut:

    • Laluan Hijau (KLCC – Bukit Bintang) ditukar kepada GOKL 01 KLCC – Bukit Bintang (HIJAU)
    • Laluan Ungu (Hab Pasar Seni – Bukit Bintang) ditukar kepada GOKL 02 Hab Pasar Seni – Bukit Bintang (UNGU)
    • Laluan Merah (Hab Titiwangsa – KL Sentral) ditukar kepada GOKL 03 Hab Titiwangsa – KL Sentral (MERAH)
    • Laluan Biru (Hab Titiwangsa – Bukit Bintang) ditukar kepada GOKL 04 Hab Titiwangsa – Bukit Bintang (BIRU)
    • Laluan Jingga (Hab Titiwangsa – MINDEF) ditukar kepada GOKL 05 Hab Titiwangsa – MINDEF (OREN)
    • Laluan Merah Jambu (PPR Pantai Ria – LRT Universiti) ditukar kepada GOKL 06 PPR Pantai Ria – LRT Universiti (MERAH JAMBU)
    • Laluan Biru Firus (LRT Dato’ Keramat – Kelumpuk Bambu (Setiawangsa) ditukar kepada GOKL 07 LRT Dato’ Keramat – Kelumpuk Bambu (Setiawangsa) (BIRU FIRUS)
    • Laluan Merah Manggis (MRT Kampung Batu – Chow Kit) ditukar kepada GOKL 08 KTM / MRT Kampung Batu – Chow Kit (MERAH MANGGIS)
    • Laluan Coklat LRT Sri Rampai – Sek 10 Wangsa Maju) ditukar kepada GOKL 09 LRT Sri Rampai – Sek 10 Wangsa Maju (COKLAT)
    • Laluan Hijau Serindit (Terminal Maluri – Bandar Sri Permaisuri) ditukar kepada GOKL 10 Terminal Maluri – Bandar Sri Permaisuri (HIJAU SERINDIT)
    • Laluan Kelabu (MRT Maluri – Bandar Tun Razak) ditukar kepada GOKL 11 MRT Maluri – Bandar Tun Razak (KELABU)
    • Laluan Krim (Taman Fadason – MRT Sri Delima) ditukar kepada GOKL Taman Fadason – MRT Sri Delima (KRIM)
    • Laluan Merah Lembayung (MRT Jinjang – Matrade) ditukar kepada GOKL 13 MRT Jinjang – Matrade (MERAH LEMBAYUNG)

    Tambah DBKL lagi, pengguna bas GOKL adalah digalakkan untuk memuat turun dan menggunakan Aplikasi GOKL bagi mengetahui maklumat terkini dan pengumuman dari masa ke semasa berhubung perkhidmatan bas GOKL.

     
     
  • Honda Malaysia tawar rebat hingga RM9,000 untuk promosi Ogos 2023 – Accord, City Hatchback, CR-V

    Honda Malaysia sedang menganjurkan kempen promosi sepanjang Ogos 2023, sempena dengan bulan Kemerdekaan, dengan tagline “Savour the Flavours of Unity” seperti yang dipaparkan dalam posternya.

    Kempen ini adalah untuk kereta yang didaftarkan sepanjang Ogos 2023, dengan jumlah penjimatan mencecah RM9,000, yang melibatkan kereta buatan tahun 2023, bukannya stok lama. Kali ini, model yang tersenarai ialah City Hatchback, Accord dan CR-V.

    Diskaun berskala besar sudah pasti untuk model kereta yang paling besar iaitu sedan segmen-D Accord dengan penjimatan sebanyak RM9,000. Jika anda berminat untuk mendapatkan CR-V pula, Honda Malaysia menawarkan rebat sehingga RM8,000 – jadi anda boleh pilih varian yang ditawarkan sama ada 2.0L 2WD, 1.5L TC-P 2WD, 1.5L TC-P 4WD dan Black Edition.

    Untuk City Hatchback segmen-B pula, kelima-lima varian iaitu S, E, V, V-Sensing dan RS bakal menerima rebat sebanyak RM2,500. Sesuailah untuk dijadikan pilihan bagi golongan muda kerana rekaan City Hatchback ini memang ranggi.

    Inilah masa yang paling sesuai untuk membeli kereta, bukan setakat dapat model buatan tahun terkini, bahkan rebat yang ditawarkan juga memang berbaloi.

     
     
  • Jualan 2023 Proton sehingga Julai sudah melebihi 90,000 unit, X90 kekal paling laris dalam segmennya

    Jualan 2023 Proton sehingga Julai sudah melebihi 90,000 unit, X90 kekal paling laris dalam segmennya

    Proton telah merekodkan jualan sebanyak 13,326 unit (domestik + eksport) untuk bulan Julai 2023, menjadikan jualan kumulatifnya untuk tahun ini kini mencapai 90,647 unit. Menurut syarikat automotif nasional itu, ini kali pertama angka jualan tahunan melebihi 90,000 unit hanya dalam masa tujuh bulan pertama selepas kali terakhir prestasi yang sama dicatatkan pada tahun 2012.

    Jualan pada bulan lalu juga menunjukkan peningkatan sebanyak 16.1% berbanding Julai 2022, dan pegangan pasarannya bagi Julai 2023 pula dianggarkan berada pada 20.5%. Manakala untuk jualan kumulatif tahunan pula mencatatkan peningkat 12.9% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Dengan jumlah volum industri (TIV) dianggarkan sebanyak 64,864 unit untuk bulan Julai, angka jualan Proton pada bulan lalu dilihat telah mengatasi industri sebanyak 14%.

    Bagi pecahan jualan mengikut model, SUV segmen-D Proton iaitu X90 terus mengungguli kelasnya, mencatatkan jualan sebanyak 886 unit bagi bulan Julai. Oleh itu sejak ianya dilancarkan pada 7 Mei lalu, sebanyak 2,225 unit X90 telah terjual dalam masa hanya 86 hari.

    Jualan 2023 Proton sehingga Julai sudah melebihi 90,000 unit, X90 kekal paling laris dalam segmennya

    Untuk Persona pula, ia telah tejual sebanyak 1,953 unit sepanjang Julai, dan jualan tahunannya kini sudahpun mencecah 14,533 unit. Menurut Proton, angka berkenaan telah meletakkan Persona sebagai sedan segmen-B paling laris di Malaysia untuk tujuh bulan pertama tahun ini, dan ia telah menunjukkan peningkatan sebanyak 107.1% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Manakala bagi X50, Proton telah berjaya menjual sebanyak 2,630 unit SUV segmen-B tersebut sepanjang Julai 2023, menjadikan jualan keseluruhannya tahun ini mencapai 20,192 unit. Jualan bulanan yang dicatatkan oleh X50 bukanlah terbaik dalam kelasnya untuk Julai, namun menurut Proton untuk jualan keseluruhan tahunan X50 masih bukan sahaja SUV terlaris dalam kelas segmen-B, malah masih yang paling popular untuk segmen SUV secara keseluruhan setakat ini.

    Terdapat juga peningkatan permintaan untuk MPV segmen-C Proton Exora dimana ia telah terjual 374 unit bulan lalu, menjadikan jumlah jualan tahunannya sehingga Julai sudah mencapai 2,741 unit, atau naik 13.1% berbanding tahun sebelumnya.

    Bagi model terlaris Proton iaitu sedan segmen-A Saga, sebanyak 5,926 unit telah terjual pada bulan Julai. Ini menjadikan jualan kumulatif tahunannya sehingga Julai telah mencecah 39,251 unit, naik 40.2% berbanding tempoh sama tahun lalu. Walaubagaimanapun angka tersebut hanya meletakkan Saga di tempat kedua dalam kelasnya bagi bulan kedua berturut-turut.

    Hatchback segmen Proton Iriz juga mencatatkan peningkatan jualan dengan 676 unit telah diserahkan kepada pelanggan bulan lalu. Secara keseluruhan Iriz telah terjual sebanyak 4,708 unit tahun ini, naik 80.7% berbanding tahun lalu, tetapi ia hanya berada di tempat keempat dalam kelasnya.

    Untuk SUV segmen-C Proton X70 pula, sebanyak 881 unit telah dijual bulan lalu, meletakkannya di tempat kedua keseluruhan dalam segmennya dengan 6,997 unit terjual setakat ini bagi tahun 2023.

    “Jualan automotif di Malaysia terus kukuh bagi tahun 2023 tanpa penurunan dalam permintaan dalam empat bulan selepas tamat tempoh penghantaran kereta di bawah skim insentif Penjana. Terdapat banyak pengenalan model baharu pada tahun ini dan ini bersama-sama dengan pengumuman berprofil tinggi yang dibuat di ruang Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) serta sokongan kerajaan untuk menarik OEM baharu ke negara ini telah mengekalkan minat yang tinggi di kalangan pembeli,” kata CEO Proton Edar, Roslan Abdullah.

    “Proton sudah tentu memainkan peranan dalam peningkatan TIV. Dari segi peratusan, pertumbuhan jualan kami adalah lebih daripada dua kali ganda daripada industri setakat ini dan ini boleh dikaitkan dengan pembeli kereta yang tertarik dengan teknologi, kualiti, keselamatan dan nilai yang ditawarkan oleh barisan model kami. Dengan Proton X90 yang sudah pun mendahului kelasnya selepas hanya 3 bulan, model baharu yang akan dilancarkan dan kemasukan syarikat ke pasaran EV pada tahun 2023 melalui smart Malaysia, kami yakin dapat mencapai sasaran akhir tahun kami,”tambahnya lagi.

     
     
  • Ujian teori KPP01 digabungkan untuk lesen memandu kereta/motosikal, mulai 15 Sept – Kem. Pengangkutan

    Ujian teori KPP01 digabungkan untuk lesen memandu kereta/motosikal, mulai 15 Sept – Kem. Pengangkutan

    Kementerian Pengangkutan mengumumkan Ketetapan Dasar Baharu Mengenai Bahagian Pembelajaran/Kursus Teori Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01) bagi calon yang ingin mendapatkan Lesen Memandu Malaysia (LMM).

    “Berkuatkuasa 15 September 2023, mana-mana individu yang pada masa ini telah mempunyai sama ada LMM kelas motosikal atau kereta, dan berhasrat mendapatkan LMM dalam kelas yang berbeza (motosikal atau kereta), adalah dikecualikan daripada menghadiri Kursus KPP01 dan Ujian Teori KPP01,” kata kementerian terbabit menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Sebagai contoh, bagi calon yang lulus ujian teori KPP01 utuk lesen motosikal tidak perlu lagi mengambil ujian yang sama bagi mendapatkan lesen memandu kereta, begitu juga sebaliknya.

    Ujian teori KPP01 digabungkan untuk lesen memandu kereta/motosikal, mulai 15 Sept – Kem. Pengangkutan

    Walau bagaimana pun, calon masih perlu menjalani ujian di bawah KPP02 (praktikal, di litar) dan KPP03 (praktikal, atas jalan raya) di institut pemanduan masing-masing (motosikal dan kereta). Syarat kelayakan umur untuk mengambil lesen juga dikekalkan pada umur 16 tahun untuk lesen motosikal dan 17 tahun untuk lesen memandu kereta.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kurikulum yang akan diajar dalam kelas memandu akan digabungkan dan calon akan mempelajari elemen teori untuk pengendalian motosikal dan kereta secara serentak, seperti yang dilaporkan The Star.

    Beliau berkata inisiatif yang dilaksanakan berdasarkan maklum balas orang ramai itu diharap dapat menjimatkan masa dan kos bagi mereka yang ingin mendapatkan LMM. “Kami percaya ketetapan baharu ini akan memberi manfaat kepada orang ramai kerana mereka tidak lagi perlu mengambil kelas enam jam lagi hanya untuk mendapatkan satu lagi lesen. Kami juga mengharapkan orang ramai menikmati penjimatan RM100 daripada ketetapan baharu ini,” katanya.

     
     
  • MBPJ laksana zon parkir 2 jam di Damansara Uptown

    MBPJ laksana zon parkir 2 jam di Damansara Uptown

    Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kini mula melaksanakan zon parkir dua jam di Damansara Uptown. pusta komersil yang terletak di SS21, Damansara Utama. Kelihatan petak parkir yang dicat dengan garisan jingga dengan tertera ayat ‘2 Jam Sahaja’, sama seperti yang dilaksanakan di PJ State.

    Malahan papan tanda yang tertera kadar caj dan peraturan untuk zon parkir berkenaan turut dipacak di hadapan RHB Bank.

    Parkir di petak jingga akan dikenakan kadar caj 60 sen untuk setiap 30 minit, dan ia dilaksanakan dari jam 8 pagi hingga 6.30 petang pada setiap Isnin hingga Jumaat. Manakala untuk hujung minggu dan cuti umum, ia adalah percuma. Pembayaran hanya boleg dibuat menerusi aplikasi Smart Selangor Parking dan anda perlu memilih parkir dua jam dan kadarnya adalah berbeza.

    Zon parkir dua jam ini juga telah dilaksanakan di Subang Jaya dan Shah Alam oleh majlis perbandaran masing-masing. Ia dilaksanakan bagi mengelak petak parkir di kawasan komersil yang sibuk ‘dibolot’ oleh sesetengah pemandu dalam tempoh waktu yang lama, selain memberikan peluang kepada pengguna lain yang mempunyai urusan jangka masa singkat (kurang dua jam) parkir kenderaan di situ.

    Jika anda sudah memarkir di situ dalam tempoh dua jam, anda perlu keluar dari petak parkir berkenaan dan hanya boleh kembali parkir di zon yang sama dalam tempoh sejam selepas slot masa asal tamat.

     
     
  • Lebuhraya MEX mulakan ujian pembayaran tol guna kad debit, kredit – pelancaran rasmi September ini

    Lebuhraya MEX mulakan ujian pembayaran tol guna kad debit, kredit – pelancaran rasmi September ini

    Lebuhraya MEX sebagai salah satu daripada 12 syarikat konsesi yang bersetuju untuk pelaksanaan sistem pembayaran tol terbuka menggunakan kad debit dan kredit kini telah mula mengadakan ujian rintis di plaza tol kendaliannya.

    Sistem ini diuji sendiri hari ini oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di plaza tol Putrajaya, sambil menunjukkan operasi lancar menggunakan pelbagai jenis kad debit dan kredit.

    “Pelaksanaan sistem pembayaran tol terbuka ini harus dijalankan secara teliti dan terperinci dengan mengambil kira pelbagai proses libat urus seperti aspek teknikal, keselamatan, perundangan dan pengendalian rekod transaksi tol itu sendiri bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa diutamakan,” kata Alexander.

    Lebuhraya MEX mulakan ujian pembayaran tol guna kad debit, kredit – pelancaran rasmi September ini

    Meskipun alat untuk mengimbas kad tersebut sudah siap dipasang pada plaza tol, ia masih lagi dalam proses ujian dan hanya akan dilancarkan untuk kegunaan awam pada bulan September.

    Bagi plaza tol di bawah kendalian MEX, ia akan disediakan di 25 lorong Touch n Go, tanpa mengganggu lorong RFID dan Smart Tag, di tiga plaza tol iaitu Plaza Tol Salak Selatan, Plaza Tol Putrajaya dan Plaza Tol Seri Kembangan.

     
     
  • Harga petrol RON 97 3-9 Ogos kekal RM3.37 seliter

    Harga petrol RON 97 3-9 Ogos kekal RM3.37 seliter

    Kemaskini harga petrol untuk minggu 3-9 Ogos 2023 menyaksikan tiada perubahan harga bagi petrol RON 97. Harga runcit bagi petrol premium ini kekal pada tahap RM3.37 seliter, sama seperti minggu lalu.

    Begitu juga dengan petrol RON 95, yang kekal pada harga siling RM2.05 seliter seperti yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia sejak Februari 2021. Bagi diesel, Euro 5 B10 dan B20 juga terus dijual pada harga sama iaitu RM2.15 seliter, manakala Euro 5 B7 pada harga RM2.35 seliter.

    Semua harga ini akan berkuatkuasa selepas tengah malam ini hingga Rabu depan, 9 Ogos 2023, sehingga pengumuman untuk minggu baru dikeluarkan kelak.

     
     
  • BAIC X55II, BJ40 Plus akan dipasang di M’sia — EPMB, BAIC jalin MoU untuk teroka pemasangan tampatan

    BAIC X55II, BJ40 Plus akan dipasang di M’sia — EPMB, BAIC jalin MoU untuk teroka pemasangan tampatan

    EP Manufacturing (EPMB) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan BAIC International Development untuk meneroka kemungkinan bekerjasama dalam pengeluaran tempatan bagi model SUV BAIC BJ40 Plus dan X55II.

    Dalam fail dengan Bursa Malaysia, dua syarikat terbabit memaklumkan mereka akan turut meneroka pemasangan tempatan pemanduan sebelah kanan (RHD) bagi kereta enjin biasa dan juga elektrik, dan membangunkan secara bersama EV RHD jenama BAIC untuk memenuhi pasaran di Malaysia dan Asia Tenggara yang lain.

    BAIC mensasarkan untuk menubuhkan rangkaian jualan dan lepas jualan bagi kenderaan RHD-nya di Malaysia, dan membangunkan pusat pemasangan dan pengeluaran tempatan dengan EPMB menjadi teras utama pelan berkenaan.

    Sekiranya kedua-dua syarikat mencapai persetujuan, EPMB akan menjalankan pemasangan tempatan untuk model BJ40 Plus, X55II dan model-model biasa dan EV BAIC yang akan datang. Syarikat itu juga akan bertanggungjawab untuk mengeluarkan komponen bagi semua kenderaan ini di Malaysia, dengan matlamat mendapatkan sokongan polisi daripada kerajaan.

    BAIC X55II, BJ40 Plus akan dipasang di M’sia — EPMB, BAIC jalin MoU untuk teroka pemasangan tampatan

    Walaupun fail berkenaan tidak menyatakan di mana kenderaan itu akan dipasang, ia mungkin akan dilakukan di Melaka. Bulan lalu, EPMB umumkan yang anak syarikat milik penuhnya, Peps-JV (Melaka) (PJVM) telah mendapatkan kelulusan bersyarat untuk lesen pengeluaran daripada MITI untuk mengilang dan memasang kenderaan cekap tenaga (EEV) empat roda dan kereta elektrik (EV) bagi kedua-dua kategori penumpang dan komersil.

    Syarikat itu memaklumkan lesen pengilangan itu akan membolehkan PJVM untuk memulakan kilang pengeluaran untuk memasang EEV, EV dan produk berkaitan lainnya. Menurut CEO Kumpulan EPMB, Ahmad Razlan Mohamed, syarikat itu merancang untuk mewujudkan kemudahannya di Pegoh, Melaka.

    Disember tahun lalu, EPMB juga mengumumkan bahawa syarikat itu telah mendapatkan hak eksklusif untuk memasang dan pengedarkan EV Lingbox dari China melalui perjanjian lima tahun yang memberikan pilihan kepada EPMB untuk menggunakan jenamanya sendiri untuk EV tersebut di pasaran Malaysia dan Indonesia.

    Pada Oktober 2022, syarikat itu juga menandatangani perjanjian dengan Seaen Group dari California untuk usahasama pembangunan dan pengeluaran EV empat-roda. Dalam bulan yang sama, syarikat itu juga — melalui anak syarikatnya EP Blueshark — yang juga telah diberikan lesen pemasangan tempatan oleh MITI untuk pemasangan motosikal elektrik di Malaysia.

     
     
  • Program Insurans Chery untuk Omoda 5, Tiggo 8 Pro

    Program Insurans Chery untuk Omoda 5, Tiggo 8 Pro

    Chery Malaysia melancarkan Program Insurans Chery (CIP), yang dinyatakan sebagai satu tawaran insurans inovatif yang memberikan pelanggan “perlindungan di tahap yang tidak boleh ditanding, dan ketenangan minda” sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.

    CIP ini melibatkan kerjasama Chery dengan penyedia insurans Etiqa, Allianz dan Berjaya Sompo. Ia termasuk dengan nilai yang dipersetujui serta tiada penambahan sehingga 12 tahun, tiada bayaran lebih untuk pemandu tambahan serta kelulusan tuntutan pantas sehingga RM20,000.

    Program insurans untuk Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro juga termasuk dengan bantuan tepi jalan 24/7, khidmat tunda tanpa had, perlindungan bencana sehingga RM20,000, perlindungan rawatan utama sehingga RM2,000, elaun ketidakselesaan RM50 dan perlindungan kemalangan peribadi RM20,000.

    Program Insurans Chery untuk Omoda 5, Tiggo 8 Pro

    Di Malaysia, Chery secara sedia ditawarkan dengan jaminan yang panjang, iaitu sehingga tujuh tahun atau 150,000 km. Terdapat juga pakej penyelenggaraan lima tahun, yang memberikan upah buruh percuma (tidak termasuk alat ganti) untuk setiap servis berselang. Turut disediakan adalah pilihan jaminan enjin 10 tahun atau satu juta kilometer, dengan bayaran tambahan Rm2,000.

    Kami telah membuat liputan secara menyeluruh untuk Chery, sejak ia kembali ke pasaran kita pada Disember 2021. Perincian lanjut untuk Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro juga ada di sini.

     
     
  • Toyota Land Cruiser Prado 250 Series 2024 diperkenal – pilihan enjin NA, turbo dan hibrid, sehingga 326 hp

    Toyota Land Cruiser Prado 250 Series 2024 diperkenal – pilihan enjin NA, turbo dan hibrid, sehingga 326 hp

    Toyota akhirnya memperkenalkan Land Cruiser Prado serba baru, yang dipanggil sebagai 250 Series. Dibina atas platform TNGA versi GA-F, model ini berkongsi asas dengan Land Cruiser 300 Series, Lexus GX serta Lexus LX. Melalui penggunaan platform ini juga, ketegaran rangkanya meningkat 50%, sementara ketegaran keseluruhan meningkat 30%.

    Buat pertama kalinya, Prado kini menggunakan sistem stereng elektrik, dan ia juga kini dipasang dengan Stabiliser Disconnect Mechanism (SDM), yang boleh menukar kedudukan stabiliser hadapan melalui suis dalam kereta, untuk memberikan prestasi lebih bersesuaian mengikut jenis jalan sama ada offroad atau jalan biasa. Turut membantu kawalan di jalan mencabar adalah Multi-Terrain Monitor dan Multi-Terrain Select.

    Prado baru ini adalah lebih besar berbanding model sebelum ini, dengan mencatat ukuran panjang 4,925 mm (+100 mm), lebar 1,980 mm (+95 mm), tinggi 1,870 mm (+20 mm) dan jarak roda 2,850 mm (+60 mm). Jarak roda ini adalah sama dengan Land Cruiser 300 Series, GX dan juga LX.

    Untuk penampilan, Prado baru ini masih membawa rekaan berkotak dengan lengkuk roda yang sangat jelas, sementara muka hadapannya datang dalam dua versi. Satu yang menggunakan lampu bulat inspirasi daripada 70 Series, dan satu lagi lebih moden dengan lampu yang nipis. Rekaan bahagian lain adalah sama antara keduanya.

    Bahagian dalam semua versi juga adalah sama, dengan Toyota memberitahu model baru ini mempunyai bukaan penglihatan yang lebih baik. Walaupun mempunyai skrin sesentuh di tengah, kawalan untuk pendingin hawa, mod pemanduan, sistem pacuan serta pemain media masih lagi menggunakan butang pada Prado baru ini.

    Di hadapan pemandu juga terdapat satu lagi skrin digital untuk panel instrumen, dan roda sterengnya menggunakan jenis yang tebal. Prado datang dengan sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense, dan menyediakan tiga baris tempat duduk.

    Toyota Land Cruiser Prado 250 Series 2024 diperkenal – pilihan enjin NA, turbo dan hibrid, sehingga 326 hp

    Untuk enjin, lima pilihan disediakan untuk Land Cruiser Prado 250 Series ini, bergantung kepada pasaran. Untuk Amerika Syarikat dan China, SUV ini mendapat enjin petrol hibrid empat silinder 2.4 liter T24A-FTS yang dipadankan dengan transmisi Direct Shift-8AT untuk menghasilkan kuasa 330 PS (326 hp atau 243 kW) dan tork 630 Nm.

    Di Timur Tengah, Eropah dan beberapa pasaran lain, enjin T24A-FTS sama, tanpa sistem hibrid disediakan, dengan kuasa 281 PS (278 hp atau 207 kW) dan tork 430 Nm. Australia dan Eropah Barat pula mendapat unit diesel turbo empat silinder 2.8 liter 1GD-FTV, dengan sistem sistem hibrid ringkas 48 volt, menghasilkan kuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 500 Nm, juga bersama transmisi Direct Shift-8AT.

    Akhir sekali adalah enjin petrol empat silinder 2.7 liter 2TR-FE, bersama transmisi automatik Super-ECT enam kelajuan, yang mampu menghasilkan kuasa 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan 246 Nm, untuk pasaran Eropah Timur, Jepun dan beberapa pasaran lain.

     
     
  • Toyota Land Cruiser 70 Series kembali ke pasaran Jepun – enjin 2.8L turbodiesel, 6AT, ada Safety Sense

    Toyota Land Cruiser 70 Series kembali ke pasaran Jepun – enjin 2.8L turbodiesel, 6AT, ada Safety Sense

    Tahukah anda SUV ladder frame klasik Toyota Land Cruiser 70 Series yang mula dijual dan diproduksi bermula tahun 1984 sebenarnya masih dijual baharu di beberapa pasaran seperti Australia dan Afrika Selatan sehingga kini? Untuk tahun 2023, Land Cruiser 70 Series berkenaan diberikan kemaskini lagi untuk tahun ke-39 ia dijual, dan ia kembali dijual di pasaran Jepun!

    Untuk versi yang menerima penyegaran terbaharu ini, bahagian yang paling ketara berubah adalah pada bahagian mukanya. Bagi model 2024 ini, ia tampil dengan rekaan lampu hadapan dan gril, bampar kedua-dua fender hadapan dan juga penutup bonet baharu diinspirasikan dari Land Cruiser J40 yang ikonik, digandingkan dengan perincian-perincian moden

    Lampu hadapan 70 Series 2024 ini nampaknya telah menggunakan teknologi LED, manakala bampar pula nampak lebih lasak dan seperti dipadankan terus pada casis. Manakala rekaan sisi yang bermula dari pintu sehingga belakang adalah masih sama seperti 70 Series sebelum ini, termasuk kemasan liang udara ikoniknya yang berada di bawah cermin tingkap sisi paling belakang.

    Toyota Land Cruiser 70 Series kembali ke pasaran Jepun – enjin 2.8L turbodiesel, 6AT, ada Safety Sense

    Untuk bahagian belakang pula, lampu utama yang sebelum ini direka menegak telah di alih pada bampar belakang dan diposisikan secara melintang. Manakala pada panel badan yang sebelum ini menempatkan lampu belakang asal telah ditutup dengan panel kemasan.

    Menurut Toyota, model yang dikemaskini ini menampilkan dimensi 4,890 mm panjang, 1,870 mm lebar, 1,920 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,730 mm. Casis ladder frame yang digunakan masih lagi sama seperti sebelum ini tetapi telah dipertingkat bagi memberikan pemanduan atas jalan raya yang lebih selesa dan masih mengekalkan kemampuan meredah laluan off-road.

    Pada sebelah dalam, model yang diperbaharui ini menerima rekaan gandingan klasik dan moden. Rekaan papan pemuka nampaknya masih sama seperti unit yang dipadankan pada model pasaran Australia dan Afrika Selatan sebelum ini, tetapi
    ia menerima sentuhan semula bagi memberikan ergonomik dan praktikaliti lebih baik, dakwa Toyota

    Toyota Land Cruiser 70 Series kembali ke pasaran Jepun – enjin 2.8L turbodiesel, 6AT, ada Safety Sense

    Papan pemuka berkenaan turut didatangkan dengan panel instrumen yang diberikan skrin paparan pelbagai info 4.2-inci, manakala pada konsol tengah pula ia hadir dengan skrin sesentuh 6.7-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

    Pada panel pintu sebelah dalam, bahagian tanpa pelindung dengan warna badan di atas dan juga pelapik pintu masih dikekalkan seperti model klasik, namun bahagian pemegang pintu dengan suis-suis kawalan yang nampak lebih moden.

    Buat pertama kali, Land Cruiser 70 Series ini menerima enjin turbodiesel 1GD-FTV 2.8 liter empat silinder yang sama seperti Toyota Hilux. Enjin berkenaan menghasilkan kuasa 204 PS dan tork maksima 500 Nm, dan digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik.

    Menurut Toyota, enjin ini menghasilkan tork 70 Nm lebih besar dari enjin diesel V8 pada 70 Series sebelum ini, dan ia juga memberikan pemanduan yang lebih senyal serta penjimatan bahan api lebih baik. Walau bagaimanapun untuk model pasaran Australia pilihan enjin turbodiesel 4.5 liter V8 berkuasa 205 ps/430 Nm bersama kotak gear manual lima kelajuan masih dikekalkan.

    Juga untuk pasaran Australia, Land Cruiser 70 Series 2024 berkenaan masih ditawarkan dalam empat bentuk badan iaitu Single Cab (dalam varian Workmate, GX dan GXL), Double Cab (varian Workmate dan GXL) serta Troop Carrier dan Wagon.

    Sistem keselamatan untuk Land Cruiser 70 Series ini juga dipertingkat bagi kekal relevan untuk dijual. Oleh itu Toyota memberikan sistem bantuan pemanduan termaju Toyota Safety Sense (TSS) pada SUV klasik ini yang memberikan fungsi seperti amaran keluar laluan, bantuan pengenal tanda trafik, lampu tinggi automatik dan lain-lain.

    Toyota Land Cruiser 70 Series 2024 ini dilancarkan bersama model paling moden Land Cruiser Prado 250 Series di Jepun hari ini. Ia juga disahkan akan dibawa ke pasaran Australia pada suku keempat tahun ini.

     
     
  • Kementerian Kerja Raya akan lancar kempen berkaitan kemudahan jalanraya bulan ini — Menteri Kerja Raya

    Kementerian Kerja Raya akan lancar kempen berkaitan kemudahan jalanraya bulan ini — Menteri Kerja Raya

    Kementerian Kerja Raya (KKR) akan melancarkan kempen keselamatan prasarana kebangsaan bulan ini, jelas menterinya, Datuk Seri Alexander Linggi, lapor Bernama.

    Berkaitan dengan kelengkapan prasarana termasuklah lampu jalan dan papan tanda, kempen berkenaan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan akan turut membawakan usaha ke arah mengatasi masalah utama iaitu jalan berlubang dan rosak, serta berkaitan kelengkapan jalan raya.

    “Diharapkan kempen ini mampu meningkatkan kesedaran dan pemahaman umum berkaitan keselamatan penyelenggaraan jalan dan meningkatkan keterlibatan semua pihak, terutama pemain industri, kerajaan dan agensi swasta dan orang ramai dalam usaha untuk menyelenggara jalan serta kemudahan lain yang berkaitan,” jelas beliau.

    Kementerian Kerja Raya akan lancar kempen berkaitan kemudahan jalanraya bulan ini — Menteri Kerja Raya

    “Saya juga mahu kempen ini menjadi lebih kepada tindakan, dan bukan hanya cakap-cakap. Saya ingin mewujudkan kesedaran terhadap kempen seumpama ini. Saya berhasrat untuk meneruskan dasar yang bermanfaat untuk warga Malaysia,” jelasnya seperti dalam hantaran Facebook, dengan perincian lanjut menyusul.

    Masalah jalan berlubang dan masalah kemudahan berkaitan lainnya termasuk lampu jalan dan papan tanda, bukanlah masalah baru di Malaysia. Banyak kes seperti ini berlaku, baik di jalan persekutuan yang berada di bawah tanggungjawab KKR ataupun jalan yang di bawah kuasa pihak berkuasa tempatan.

    “Saya faham masalah ini sering dilaporkan oleh media dan media sosial oleh pengguna. Sejak awal saya bertugas, ini merupakan satu daripada perkara yang saya minta setiap individu dalam kementerian beri tumpuan,” ujarnya.

     
     
  • Polis KL keluarkan 158,283 saman sepanjang Op Hormat Undang-undang Jalan Raya selama sebulan

    Polis KL keluarkan 158,283 saman sepanjang Op Hormat Undang-undang Jalan Raya selama sebulan

    Polis Kuala Lumpur telah mengumumkan sejumlah 158,283 saman telah dikeluarkan dalam tempoh sebulan Operasi Hormat Undang-undang Jalan Raya dilaksanakan bulan lalu. Ini termasuk 902 saman yang dikeluarkan oleh agensi penguatkuasaan yang lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

    Menurut Ketua Polis KL Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, bilangan saman tertinggi yang dikeluarkan adalah untuk kesalahan halangan lalu lintas (128,871 saman), diikuti dengan halangan pejalan kaki (4,979). Selain itu, 1,405 pemandu telah disaman kerana tidak mematuhi lampu isyarat, laporan The Star. Sebelum ini, polis berkata sebanyak 117,745 saman telah dikeluarkan dalam tempoh tiga minggu pertama operasi bersepadu itu.

    “Kita juga mengeluarkan 4,732 saman kepada warga tempatan yang dikesan memandu tanpa lesen, manakala 339 warga asing turut dikenakan saman atas kesalahan sama,” katanya sambil menambah 200 kenderaan turut disita sepanjang tempoh operasi itu.

    Polis KL keluarkan 158,283 saman sepanjang Op Hormat Undang-undang Jalan Raya selama sebulan

    Mohd Shuhaily berkata menerusi operasi berkenaan, ia juga dapat membantu mengurangkan jumlah kemalangan dan kematian sepanjang tempoh operasi dilaksanakan. “Jalan Tengku Abdul Rahman juga mencatatkan sifar kes kemalangan. Menerusi operasi ini, pengguna jalanraya di sekitar ibu kota lebih berhati-hati dan mengelak daripada melanggar undang-undang jalan raya,” katanya.

    Operasi penguatkuasaan trafik selama sebulan di KL mungkin telah berakhir, tetapi pastinya selepas ini akan ada pelbagai lagi operasi yang akan diadakan. Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM telah mengumumkan bahawa mereka akan membanteras kesalahan trafik melalui kempen penguatkuasaan di seluruh negara yang dipanggil Op Pematuhan Peraturan Lalu Lintas tidak lama lagi.

    Sepanjang operasi tersebut, polis akan menyasarkan beberapa kesalahan tradik termasuk pelbagai kesalahan seperti parkir secara haram, menggunakan nombor plat tidak mengikut spesifikasi, dan halangan lalu lintas.

     
     
  • BMW i4 eDrive35 kini di Malaysia – EV dengan harga bermula RM284k, kuasa 286 PS, jarak gerak 483 km

    BMW i4 eDrive35 kini di Malaysia – EV dengan harga bermula RM284k, kuasa 286 PS, jarak gerak 483 km

    Penawaran model BMW i4 di Malaysia yang terdiri daripada varian eDrive40 dan M50 kini ditambah dengan dua lagi varian iaitu eDrive35 dan eDrive35 M Sport, yang dijual pada harga masing-masing RM258,210 dan RM284,210. Harga ini adalah bagi pakej yang datang dengan jaminan biasa dua tahun dan tidak termasuk insurans.

    Sama seperti eDrive40 M Sport, varian eDrive35 ini juga menggunakan motor elektrik yang terletak di belakang, tetapi kuasanya berkurang menjadi 286 PS (282 hp atau 210 kW) dan tork 400 Nm, berbanding 340 PS (335 hp atau 250 kW) dan 430 Nm yang ditawarkan oleh eDrive40. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan oleh eDrive35 dalam masa enam saat, manakala laju maksimum pula adalah 190 km/j.

    Motor elektrik pada eDrive35 ini juga mendapat kuasa daripada bateri lithium ion, tetapi dengan kapasiti lebih rendah, iaitu 70.3 kWh dan boleh mencapai jarak gerak 483 km. Sebagai perbandingan, bateri eDrive40 pula berkapasiti 83.9 kWh dan boleh mencatat jarak gerak 590 km.

    Pengecas AC 11 kW (Type 2) yang datang dengan kereta ini adalah sama dengan eDrive40, dan membolehkan ia dicas penuh dalam masa 8.25 jam. Apabila menggunakan pengecas pantas DC CCS2 pula, eDrive35 hanya boleh menerima kuasa sehingga 180 kW dan baterinya boleh naik dari 10-80% dalam masa 32 minit.

    Berkenaan kelengkapan, eDrive35 dipasang sekali dengan pakej Sport yang memberikan rim 18 inci Style 853 serta kemasan berwarna Frozen Grey di luar. Anda juga akan mendapat lampu utama LED (eDrive40 mendapat LaserLight), suspensi biasa (eDrive M40 menggunakan unit adaptif M), kemasan kayu di dalam, lapik bumbung M, pengawal suhu tiga zon, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori bagi pemandu, lampu suasana, pengecas tanpa wayar, pintu but bukaan kuasa, IconicSounds Electric dan Comfort Access.

    Pergi pula kepada eDrive35 M Sport, kelengkapan yang sama dengan eDrive35 kemudiannya ditambah dengan bampar yang lebih agresif serta pakej kemasan luar M Shadow Line. Rim masih menggunakan unit 18 inci, tetapi daripada rekaan Aerodynamic 858 M.

    Di dalam, anda akan mendapat roda stereng kulit M, kemasan aluminium Rhombicle serta sistem BMW Live Cockpit Professional yang menampilkan panel instrumen digital 12.3 inci serta panel infotainmen dengan skrin sesentuh 14.9 inci di tengah.

    Servis ConnectedDrive diberikan sekali dengan Connected Package Professional bersama sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Varian eDrive35 biasa juga datang dengan tetapan dua skrin, tetapi dengan sistem BMW Live Cockpit Plus yang tidak mempunyai head-up display.

    Walaupun begitu, kedua-dua varian eDrive35 ini masih datang secara standard dengan pakej Driving Assistant yang termasuk Active Cruise Control dengan fungsi stop & go, Lane Departure Warning dengan Lane Return, Lane Change Warning, Front Collision Warning dengan Brake Intervention (AEB), Rear Crossing Traffic Warning, Rear Collision Prevention dan Speed Limit Info. Turut diberikan adalah pakej Parking Assistant dengan kamera undur, Active Park Distance Control dan Reversing Assistant.

    BMW i4 eDrive35 kini di Malaysia – EV dengan harga bermula RM284k, kuasa 286 PS, jarak gerak 483 km

    Warna yang ditawarkan untuk i4 eDrive35 adalah Black Sapphire, Mineral White, Sanremo Green, Skyscraper Grey dan Aventurine Red, sementara eDrive35 M Sport pula ditawarkan dalam dua pilihan iaitu M Portimao Blue dan M Brooklyn Grey. Balutan kulit sintetik Sensatec di dalam pula datang dalam warna hitam, Cognac atau Tacora Red.

    Setiap pembelian datang dengan jaminan bateri lapan tahun atau 160,000, kabel pengecas awam, pengecas rumah mudah alih, servis bantuan tepi jalan, BMW Service Online dan BMW Group Loyalty+ Mobile App – BMW Privileges Card.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025