Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda City facelift 2023 dilancar di Thailand 5 Julai — Malaysia dapat Honda Sensing untuk semua varian?

    Honda City <em>facelift</em> 2023 dilancar di Thailand 5 Julai — Malaysia dapat Honda Sensing untuk semua varian?

    Selepas mula ditunjuk di India Mac lalu, Honda City facelift terbaru akan mula dijual di Thailand pula tidak lama lagi, dengan pelancaran rasminya akan dilakukan pada 5 Julai. Sedan segmen B yang kini dalam generasi kelima itu akan diberikan pembaharuan penampilan serta peningkatan kelengkapannya.

    Imej yang dikongsi oleh Honda Thailand ini menunjukkan perubahan gaya yang akan diterima itu, yang hampir semuanya sudah dilihat pada model yang dijual di India itu. Di depan, jalur krom nipis dan honeycomb mesh disertakan untuk bahagian gril. Bampar depannya pula direka semula supaya bahagian lampu kabus kelihatan tersambung ke bukaan udara melalui kemasan hitam.

    Untuk bampar belakang pula, kini hadir unsur seperti bahagian diffuser hitam, pemantul yang diletakkan di tempat baru, dan spoiler kecil di bahagian but. Kedua-dua kereta yang ditunjuk ini adalah dari varian RS, dengan kemasan khusus untuk varian berkenaan termasuk spoiler lip depan, cermin sisi hitam, skiriing sisi dan jalur hitam di gril. Juga boleh dijangkakan perubahan di ruang dalaman selain daripada warna baru dan corak kemasan baru serta material balutannya, dan mungkin juga head unit baru.

    Untuk janaan kuasa, City di Thailand mungkin akan meneruskan penawaran sebelum ini, dengan enjin 1.0 liter turbocas tiga-silinder yang menghasilkan 122 PS (121 hp atau 90 kW) dan 173 Nm tork, dengan gandingan CVT.

    Honda City <em>facelift</em> 2023 dilancar di Thailand 5 Julai — Malaysia dapat Honda Sensing untuk semua varian?

    Pilihan lain pula ialah e:HEV hibrid dengan bantuan motor elektrik 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan 253 Nm tork memacu roda depan. Ini dikuasakan juga oleh bateri lithium-ion yang dicas oleh enjin 1.5 liter kitaran Atkinson DOHC i-VTEC yang menghasilkan 98 PS (97 hp atau 72 kW) dan 127 Nm, dengan motor elektrik bersepadu bertindak sebagai generator dan penghidup. Enjin petrolnya boleh membantu melalui transmisi E-CVT satu kelajuan dalam kelajuan tinggi.

    Mengikut laporan Headlightmag, versi facelift ini juga akan menerima varian Turbo dengan Honda Sensing ditawarkan, yang sebelum ini hanya ada untuk varian e:HEV RS. Kelengkapan bantuan pemandu termasuklah Collision Mitigation Braking System (AEB), Lane Keeping Assist System, Road Departure Mitigation System dengan Lane Departure Warning, Auto High Beam dan Adaptive Cruise Control serta LaneWatch.

    Selepas Thailand, mungkin Malaysia pula akan menerima City facelift ini — unit ujian dengan pelekat samaran sudah pun pernah dilihat di sini. Honda Malaysia belum mengumumkan apa-apa, tetapi senarai spesifikasi sudah pernah muncul di laman perbincangan Facebook kami yang mencadangkan terdapat kemaskini yang penting terlibat.

    Antaranya ialah Honda Sensing yang diberikan sebagai standard untuk semua varian — yang mana sebelum ini ia hanya diberikan untuk varian V Sensing dan e:HEV RS sahaja. Ada juga petunjuk yang mencadangkan bahawa V-Sensing petrol akan dinamakan sebagai RS, dan semua varian bukan-hibrid akan menerima brek cakera belakang yang menggantikan jenis dram.

     
     
  • Kutipan tol di Plaza Tol Alam Damai di Lebuhraya SUKE sudah pun bermula – RM2.30 untuk kereta

    Kutipan tol di Plaza Tol Alam Damai di Lebuhraya SUKE sudah pun bermula – RM2.30 untuk kereta

    Setelah menikmati perjalanan tanpa tol selama dua minggu ketika melalui Plaza Tol Alam Damai, dari 16 ke 29 Jun bersempena dengan pembukaan Fasa 2 Lebuhraya SUKE, mulai 12.01 tengahmalam tadi, pengguna sudah mula dikenakan bayaran di plaza tol berkenaan.

    Kadar tol yang ditetapkan kekal sama seperti yang dikenakan di Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang mengikut kelas kenderaan, iaitu kereta (RM2.30), Lori (RM4.60), treler (RM6.90), teksi (RM1.20) dan bas (RM2.30).

    Pembayaran kutipan tok dilaksanakan sepenuhnya secara transaksi tanpa tunai iaitu menggunakan kad Touch ‘N Go, SmartTAG dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

    Kutipan tol di Plaza Tol Alam Damai di Lebuhraya SUKE sudah pun bermula – RM2.30 untuk kereta

    Secara keseluruhannya, Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4 km (57.7 km jika dikira sekali dengan laluan susur keluar) mempunyai 14 persimpangan keluar, iaitu Sri Petaling, Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras-Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, Pekan Ampang, Ampang Point, Ulu Kelang, Hillview dan Bukit Antarabangsa.

    Terdahulu, Fasa 1 SUKE dibuka kepada orang awam pada 16 September 2022 lalu dan ia bermula di persimpangan Cheras-Kajang sehingga ke Hulu Klang dengan laluan utama sepanjang 16.6 km, 11 persimpangan dan dua plaza tol iaitu Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang. Sejak ia dibuka, setakat 31 Mei 2023, purata trafik yang menggunakannya mencecah 60,000 buah kenderaan sehari.

    PROLINTAS turut memaklumkan, buat masa ini, Fasa 3 SUKE yang melibatkan Persimpangan Alam Damai masih dalam pembinaan dan dijangka akan mula dibuka pada suku ketiga tahun ini.

     
     
  • Pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan dalam pengangkutan awam mulai 5 Julai 2023 – KKM

    Pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan dalam pengangkutan awam mulai 5 Julai 2023 – KKM

    Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengumumkan Standard Operating Procedure (SOP) terbaharu bagi pemakaian pelitup muka. Mulai 5 Julai 2023 ini, pemakaian pelitup muka (face mask) tidak lagi diwajibkan di hospital dan di dalam pengangkutan awam (termasuk e-hailing).

    Walau bagaimana pun, pemakaian pelitup muka diwajibkan untuk individu yang disahkan positif Covid-19 dan yang berada di fasiliti kesihatan mengikut amalan pencegahan infeksi semasa berhadapan atau mengendalikan pesakit.

    Selain itu, KKM turut berkata pemakaian pelitup muka amat digalakkan untuk pelindungan kendiri termasuk individu berisiko tinggi (warga emas, individu yang berpenyakit kronik, memiliki imuniti rendah atau ibu mengandung) dan individu yang bergejala respiratori (bagi mengelakkan jangkiatn kepada orang lain) terutamanya ketika berada di tempat sesak dan pengudaran kurang baik.

    Sebelum ini, pada September 2022, Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin berkata, pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di tempat tertutup, walau bagaimana pun ia masih diwajibkan ketika menggunakan pengangkutan awam.

    Malahan, tempoh kuarantin bagi individu yang positif Covid-19 juga dipendekkan dari tujuh hari ke lima hari.

     
     
  • Harga minyak 29 Jun-5 Julai – semuanya dikekalkan

    Harga minyak 29 Jun-5 Julai – semuanya dikekalkan

    Untuk minggu bertarikh 29 Jun hingga 5 Julai 2023, Kementerian Kewangan memutuskan bahawa tiada perubahan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Di mana petrol RON 97 kekal pada harga RM3.37 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada akhir Mei lalu, kerajaan telah mengumumkan bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini, dan ia akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan.

     
     
  • Toyota Hilux MHEV prototaip diuji di Safari Rali WRC 2023 — sistem 48V mild-hybrid tiba pada 2024 nanti

    Toyota Hilux MHEV prototaip diuji di Safari Rali WRC 2023 — sistem 48V mild-hybrid tiba pada 2024 nanti

    Toyota baru-baru ini mengesahkan yang Hilux akan dilengkapi dengan sistem 48-volt mild hybrid pada 2024. Lebih menarik, jentera dengan teknologi yang hampir sama ini telah pun dicuba ketika acara Kejuaraan Rali Dunia (WRC) pusingan ketujuh di Kenya tahun ini — model konsep Hilux MHEV (Mild Hybrid Electric Vehicle).

    Menggunakan asas dari Hilux GR-S (GR Sport), jentera prototaip tampil dengan rekaan luaran yang hampir sama selain tulisan “Hybrid” yang dicetak besar. Bahagian dalaman juga tidak banyak berbeza, dengan ada pertambahan butang baru di tempat kawalan mod ECO dan PWR yang kebiasaannya ada untuk Hilux GR-S.

    Hilux MHEV concept dipandu oleh juara dunia WRC empat kali dan bekas penyandang juara dunia Toyota, Juha Kankkunen dari Finland, yang disertai Jimmi Gathu, seorang personaliti media dan pelakon Kenya sebagai pembantu pemandu.

    Percubaan itu disifatkan berjaya, dengan Kankkunen memaklumkan; “Saya 100% pasti kenderaan jenis ini akan sangat sesuai di Afrika kerana banyak pemanduan jarak jauh dan sukar untuk mengecas kenderaan elektrik. Anda boleh jimat minyak, dan kurangkan CO2. Afrika merupakan pasaran yang sangat sesuai untuk kenderaan seperti ini.”

    Toyota Hilux MHEV prototaip diuji di Safari Rali WRC 2023 — sistem 48V mild-hybrid tiba pada 2024 nanti

    Ini juga selari dengan strategi yang Toyota umumkan untuk mencapai neutral karbon, yang mana syarikat itu akan membangunkan jenis sistem janaan yang berbeza (sama ada pembakaran dalaman, hibrid, plug-in hybrid, hidrogen fuell cell atau bateri elektrik) untuk memenuhi situasi pasaran yang pelbagai.

    Menurut Toyota, sistem mild-hybrid untuk Hilux terdiri daripada bateri 48-volt, motor-generator elektrik kecil dan komponen sokongan lain. Ini akan dipasang kepada enjin 2.8 turbodiesel empat-silinder dengan transmisi automatik enam-kelajuan untuk memberikan 10% lebih penjimatan dan masih mengekalkan kemampuan sedia ada. Fortuner juga mungkin akan mengikut jejak yang sama.

    Bagi pasaran Australia, Hilux akan dilengkapi dengan sistem mild hybrid sebagai standard untuk versi 4×4 SR5 dan Rogue Double Cab pada separuh pertama 2024. Ciri ini juga akan ditawarkan sebagai pilihan untuk versi 4×4 SR Double Cab.

    Akan ada juga versi ini untuk Malaysia nanti?

     
     
  • Hyundai Malaysia siar lagi teaser Ioniq 6 – tarikh pelancaran EV baharu ini semakin hampir?

    Hyundai Malaysia siar lagi <em>teaser</em> Ioniq 6 – tarikh pelancaran EV baharu ini  semakin hampir?

    Akhir tahun lalu laman Facebook rasmi Hyundai Malaysia ada memuatnaik teaser beberapa model yang akan dilancarkan ke pasaran tempatan tahun ini, antaranya adalah satu lagi model elektrik penuh (EV) jenama Korea Selatan tersebut iaitu Ioniq 6. Dan hari ini, Hyundai Malaysia sekali lagi memuatnaik teaser untuk model berkenaan, mungkin menandakan ia akan dilancarkan dalam masa terdekat.

    Teaser tersebut memaparkan grafik aliran udara terhadap sebuah kereta dengan profil badan menggelembung seperti Ioniq 6 dengan kapsyen “bayangkan salah satu kereta paling aerodinamik di dunia”. Ia juga menunjukkan angka 0.21Cd, iaitu pekali geseran udara yang dihasilkan dari rekaan aerodinamik Ioniq 6 berkenaan.

    Seperti Ioniq 5, Ioniq 6 ini turut diasaskan dari platform E-GMP. Namun berbanding Ioniq 5 yang hadir dengan rekaan retro berkotak, Ioniq 6 ini tampil lebih ‘bulat’ dengan rekaan seperti kapal angkasa. Ia dihasilkan dengan ukuran panjang 4,855 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,495 mm dan jarak roda sejauh 2,950 mm.

    Dengan platform E-GMP membolehkan Ioniq 6 ini turut menerima asas sistem elektrikal 800-volt yang membolehkan ia menyokong pengecasan 400-volt. Ini membolehkan ia dicas dengan kemampuan 305 kW yang dapat memenuhkan bateri dari 10 hingga 80% dalam masa hanya 18-minit.

    Ioniq 6 ini dibekalkan dengan bateri 77.4 kWj yang menawarkan jarak gerak sejauh 610 km (kitaran WLTP) dengan satu cas penuh. Ia juga dilengkapi fungsi vehicle-to-load (V2L), membolehkan ia bertindak seperti ‘powerbank gergasi’ bagi membekalkan kuasa ke peralatan elektik lain.

    Untuk pasaran global, model ini hadir dengan versi paling berkuasa yang menawarkan dua motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang, memberikan pacuan semua roda dengan kuasa keseluruhan 320 PS dan tork maksima 605 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat.

    Kami berpeluang melihat model ini di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2023 yang berlangsung Mac lalu. Dapat dilihat Ioniq 6 tidak dibekalkan dengan cermin sisi kerana ia digantikan dengan kamera, serta rekaan lampu Parametric Pixel diberikan pada lampu hadapan, belakang dan juga pada lampu brek ketiga.

    Perincian lain yang turut diberikan termasuk paparan instrumen digital dengan skrin 12-inci serta sistem infotainmen juag dengan skrin 12-inci menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

     
     
  • MRT Laluan Putrajaya catat kenaikan penumpang harian sejak Fasa 2 dibuka, dari 23k ke 93k – Loke

    MRT Laluan Putrajaya catat kenaikan penumpang harian sejak Fasa 2 dibuka, dari 23k ke 93k – Loke

    Pembukaan Fasa 2 bagi MRT Laluan Putrajaya (MRT2) telah mencatatan lonjakan jumlah penumpang harian sehingga 305%. Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, jumlah bagi penumpang harian meningkat dari 23,000 orang ketika Fasa 1, menjadi 93,000 orang sehari bagi Fasa 2 ini.

    Loke berkata demikian dalam sesi soal jawab di Dewan Negara semalam, laporan Bernama. Beliau memberikan maklumbalas terhadap soalan yang dikemukakan oleh Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, yang bertanya berkenaan rancangan kementerian untuk menggalakkan lebih ramai orang menggunakan MRT2, yang dibangunkan dengan kos bernilai RM30.53 bilion.

    Loke berkata RapidKL akan menyediakan bas perantara di sekitar Putrajaya bagi memprosikan MRT2, yang melibatkan lima laluan iaitu dari stesen MRT Putrajaya Sentral ke Precint 10, Precinct 16, Precinct 4, Precinct 11 dan Ayer 8. Beliau menambah jumlah penumpang dijangka meningkat berdasarkan keadaan semasa.

    Bagi purata bilangan penumpang yang menggunakan perkhidmatan Rapid Rail (MRT Laluan Sg Buloh-Kajang, MRT2, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dan Kelana Jaya, KL Monorel) pada hari biasa, beliau berkata ia juga meningkat sebanyak 21% sejak awal tahun ini, dari 613,000 pada Januari ke 746,000 pada Jun.

    Selain itu, beliau berkata bilangan penumpang perkhidmatan Rapid Rail dijangka meningkat lagi menjelang suku keempat 2023 apabila tren baharu ditempatkan di laluan LRT Kelana Jaya dan apabila kerja pembaikan struktur retak laluan LRT Ampang/Sri Petaling selesai sepenuhnya.

    “Kementerian Pengangkutan, melalui Prasarana, akan terus menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam dan melabur dalam infrastruktur rel dan bas mengikut keperluan untuk menggalakkan peralihan kepada sistem pengangkutan awam yang lebih selesa, selamat dan rendah karbon,” katanya sambil menambah bahawa Pas Perjalanan Tanpa Had MY50 untuk perkhidmatan rel dan bas akan diteruskan sebagai sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk mempromosikan penggunaan pengangkutan awam.

     
     
  • GAC tunjukkan kereta terbang konsep GOVE – gabungan drone penumpang dengan casis empat roda

    GAC tunjukkan kereta terbang konsep GOVE – gabungan drone penumpang dengan casis empat roda

    Guangzhou Automobile Group (GAC Group) telah mendedahkan sebuah kereta terbang konsep yang dipanggil sebagai GOVE. Nama itu datang daripada perkataan ‘GAC, On the Go, Vertical Flight and Electric Vehicle (EV)’.

    GOVE adalah sebuah kenderaan elektrik yang boleh naik dan turun secara menegak (eVTOL) yang menggabungkan drone penumpang dengan enam set bilah pemutar, bersama casis empat roda untuk bergerak atas jalan.

    Apabila bergerak atas jalan biasa, drone dan casis ini akan bersambung sebagai satu unit, dan akan bergerak menggunakan sistem autonomous ADiGO. Apabila mahu terbang, bahagian drone akan dipisahkan daripada casis dan sistem kawalan penerbangan berserta teknologi pengenalan objek akan membolehkan ia terbang secara stabil di altitud tinggi.

    Setelah terpisah, bahagian casis itu pula boleh dikawal dari jauh, untuk di hantar ke tempat mengecas. Ia juga boleh dikongsi dengan pengguna lain.

    Akhir sekali, apabila drone mahu mendarat, kabin boleh terbang itu akan diselarikan dengan casis secara tepat dan digabungkan semula. GOVE juga datang dengan sistem kuasa sokongan supaya penerbangan dapat diteruskan sekiranya salah satu unit kuasa bermasalah.

    GAC memberitahu, mereka menggunakan konsep MBSE (Model-Based Systems Engineering) yang banyak dipakai dalam industri penerbangan untuk menepati keperluan keselamatan, tetapi mengakui ia masih akan mengambil masa lama sebelum boleh dapat dikomersialkan.

    Syarikat itu turut memberitahu bahawa GOVE sudah melengkapkan penerbangan ujian dengan manusia sebenar di dalamnya, dan ia sekaligus menjadi bukti penggerak elektrik boleh terbang ini boleh menjadi realiti pada masa hadapan.

     
     
  • Mitsubishi Outlander PHEV 2023 dijumpai di Malaysia – SUV 7-tempat duduk ini akan kembali ke sini?

    Mitsubishi Outlander PHEV 2023 dijumpai di Malaysia –  SUV 7-tempat duduk ini akan kembali ke sini?

    Buat masa sekarang, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hanya ada dua model yang dijual di bilik pameran iaitu trak pikap Mitsubishi Triton dan juga MPV tujuh tempat duduk Mitsubishi Xpander. Jadi ini mungkin ada sinar bagi peminat Mitsubishi yang mahukan pilihan lebih banyak kenderaan jenama tiga berlian itu di sini – sebuah SUV tujuh-tempat duduk Mitsubishi Outlander generasi baharu telah dilihat di SS2 Petaling Jaya!

    Imej ini berjaya dirakam oleh individu yang hanya mahu dikenali oleh Jerry Mun. Unit berkenaan dilihat sudah pun menerima plat pendaftaran Malaysia yang sah – jadi sudah tentu Outlander baharu ini sudahpun mendapat kelulusan VTA dari JPJ dan tidak mempunyai masalah untuk dilancarkan di Malaysia bila-bila masa dari sekarang.

    Jika diamati lagi, model yang dilihat ini adalah dari varian plug-in hybrid (PHEV) dan bukan model yang dijana oleh enjin petrol sepenuhnya. Outlander sememangnya pernah dijual di Malaysia oleh MMM, dan ia turut turut dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) bagi model generasi sebelum ini.

    Mitsubishi Outlander generasi keempat ini membuat kemunculan sulung globalnya pada Februari 2021. Ia diasaskan dari platform CMF-C/D Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, iaitu platform yang sama mengasaskan Nissan X-Trail generasi keempat. Manakala untuk rekaan luaran dan dalaman, Outlander serba baharu ini merupakan versi produksi untuk model konsep Mitsubishi Engelberg Tourer yang didedahkan pada 2019.

    Bagi model petrol penuh Outlander turut berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama seperti X-Trail. Namun bagi versi PHEV, ia masih mengekalkan teknologi asli dari Mitsubishi iaitu sistem rangkaian kuasa Mitsubishi yang ditingkat taraf dari Outlander PHEV generasi terdahulu.

    Model PHEV berkenaan menerima enjin 4B12 2.4 liter empat-silinder MIVEC berkuasa 133 PS. Enjin tersebut kebanyakkan masanya hanya bertugas sebagai generator untuk mengecas bateri lithium-ion 20 kWj bagi sistem elektrifikasi hibrid, tetapi masih akan menolong motor elektrik menggerakkan tayar pada kelajuan tinggi menggunakan klac lock-up dengan nisbah gear tunggal.

    Sistem PHEV ini juga masih menampilkan dua motor elektrik bagi masing-masing untuk memacu gandar hadapan dan belakang, yang merupakan sebahagian dari sistem S-AWC (Super-All Wheel Control). Motor yang memacu roda hadapan kini berkuasa 116 PS/255 Nm, dan motor pada gandar belakang pula berkuasa 136 PS/195 Nm.

    Secara keseluruhan, unit rangkaian kuasa PHEV tersebut menghasilkan kuasa gabungan 243 PS dan tork maksima 450 Nm. Bukan sahaja lebih berkuasa, malah sistem ini turut membolehkan Outlander berkenaan bergerak dengan hanya kuasa elektrik dalam jarak 55 km sehingga 87 km dalam kitaran WLTP.

    Dengan dua motor berasingan pada gandar hadapan juga membolehkan tork diagihkan dengan lebih sempurna untuk mendapatkan cengkaman tayar terbaik menerusi sistem A-AWC berkenaan, yang kini turut dibantu oleh Active Yaw Control (AYC).

    Setakat ini masih belum ada sebarang pengumuman atau petunjuk rasmi dari MMM berkenaan Outlander PHEV generasi baharu tersebut. Anda rasa bagaimana? Patutkan MMM menawarkan model yang lebih canggih ini di Malaysia?

     
     
  • Honda Beat ditawarkan dalam warna baru – RM5,990

    Honda Beat ditawarkan dalam warna baru – RM5,990

    Honda Beat yang diperkenalkan pada tahun 2020 sekali lagi diberikan perubahan grafik dengan sekarang ditawarkan dalam empat warna iaitu merah, biru, hitam dan kuning. Harga yang dikeluarkan oleh Boon Siew Honda Sdn Bhd untuk skuter ini adalah RM5,990 tidak termasuk insurans.

    Bahagian lain skuter ini tidak berubah, bermula dengan enjin yang berkapasiti 109.5 cc, dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan menghasilkan kuasa 8.7 hp pada 7,500 rpm dan 9.53 Nm tork pada 5,500 rpm. Enjin ini menepati tahap emisi Euro 4 dan mampu memberikan penggunaan bahan api sehingga 59.1 km/l.

    Di sebalik panel badan skuter ini, terdapat kerangka eSAF yang membantu menjadikan motosikal lebih lincah dan mudah dikawal. Melalui penggunaan kerangka ini, tangki bahan api dapat dijadikan 4.2 liter, ruang barang bawah tempat duduk menyediakan 11.7 liter dan berat keseluruhan adalah 90 kg.

    Kelengkapan lain padanya adalah termasuk sistem brek CBS, rim 14 inci dengan tayar 80/90 di hadapan dan 90/90 di belakang, brek cakera di hadapan dan dram di belakang, fork teleskopik, satu penyerap hentak di belakang, tinggi tempat duduk 740 mm serta penghidup enjin elektrik dan tendang.

     
     
  • Triumph Speed 400, Scrambler 400 diperkenal – binaan serba baru, enjin satu silinder 398 cc, enam kelajuan

    Triumph Speed 400, Scrambler 400 diperkenal – binaan serba baru, enjin satu silinder 398 cc, enam kelajuan

    Barisan model klasik moden Triumph hari ini menerima versi permulaan dengan enjin berkapasiti lebih rendah apabila dua model baru iaitu Speed 400 dan Scrambler 400 X diperkenalkan kepada dunia. Ia akan mula dijual pada bulan hadapan di India, sementara pasaran lain cuma akan mendapatnya bermula awal tahun depan.

    Kedua-dua model baru ini mengikut penggayaan model yang lebih besar, iaitu Speed Twin 900/1200 dan Scrambler 900/1200, dan mendapat kemasan berkualiti tinggi seperti powdercoat pada perumah enjin, fork anodised warna emas serta cat premium.

    Tiga warna ditawarkan untuk Speed 400 iaitu Carnival Red, Caspian Blue dan Phantom Black, sementara Scrambler 400 juga ditawarkan dalam tiga warna iaitu Matt Khaki Green/Fusion White, Carnival Red/Phantom Black dan Phantom Black/Silver Ice.

    Keseluruhan bahagian dua motosikal ini adalah serba baru, termasuk enjin, yang dipanggil sebagai siri TR, dengan kapasiti 398 cc. Enjin satu silinder dengan sistem suntikan bahan api, penyejukan cecair dan DOHC ini dipadankan bersama transmisi enam gear untuk menghasilkan kuasa sehingga 40 PS pada 8,000 rpm dan tork 37.5 Nm pada 6,500 rpm – dikatakan sebagai yang terbaik di dalam kelasnya.

    Barangan untuk suspensi secara asasnya adalah sama, iaitu unit fork USD 43 mm di hadapan dan monoshock gas RSU dengan pelarasan pra beban di belakang, tetapi jarak geraknya adalah berbeza dengan Speed 400 menyediakan 140 mm di hadapan dan 130 mm di belakang, manakala Scrambler 400 pula lebih panjang iaitu 150 mm untuk kedua-dua hadapan dan belakang. Dengan tetapan ini, tinggi tempat duduk juga menjadi masing-masing menjadi 790 mm dan 835 mm.

    Bagi menjadikan motosikal sesuai dengan karekter yang dibawa dan sasaran penggunaannya, bahagian roda juga mendapat tetapan khas dengan Speed 400 menggunakan rim 17×3 inci bersama cakera brek 300 mm di hadapan, sementara Scrambler 400 pula menggunakan rim 19×2.5 inci serta cakera brek 320 mm. Saiz rim serta brek belakang kedua-duanya masih adalah sama, iaitu unit 17 inci (lebar 4 mm untuk Speed 400 dan 3.5 mm untuk Scrambler 400) dan cakera 230 mm.

    Sementara Speed 400 dijadikan lebih untuk kegunaan atas jalan biasa, Scrambler 400 pula dipersiapkan dengan kemampuan untuk meredah jalan lebih mencabar dengan tayar Metzeler Karoo berbunga lebih kasar, serta ergonomik yang lebih sesuai seperti pemegang lebih lebar, kedudukan menunggang lebih tegak, pedal brek lebih besar serta peletak kaki lebih mencengkam.

    Meskipun terletak sebagai model permulaan bagi Triumph, Speed 400 dan Scrambler 400 masih mendapat kelengkapan moden seperti semua lampu jenis LED, pendikit throttle-by-wire (tapi tiada mod tunggangan), immobiliser serta panel paparan gabungan analog (rpm) dan LCD.

    Pada bahagian keselamatan, sistem ABS dual-channel serta kawalan cengkaman diberikan secara standard. Bagi ABS, hanya pada Scrambler 400 sahaja ia boleh ditutup, manakala untuk kawalan cengkaman, kedua-dua model menyediakan pilihan untuk ditutup secara mudah melalui butang pada pemegang.

    GALERI: Triumph Scrambler 400 2024

    GALERI: Triumph Speed 400 2024

     
     
  • Polis laksana OP Lancar di seluruh negara pada 28 Jun-2 Julai 2023 sempena perayaan Aidiladha

    Polis laksana OP Lancar di seluruh negara pada 28 Jun-2 Julai 2023 sempena perayaan Aidiladha

    Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mula melaksanakan OP Lancar sempena perayaan Hari Raya Aidiladha bagi memastikan aliran trafik bergerak dengan baik di seluruh negara mulai hari ini, 28 Jun hingga 2 Julai 2023.

    JSPT dalam kenyataannya berkata, OP Lancar pada kali ini berperanan memantau dan mengambil tindakan penyuraian lalu lintas di semua lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan lebuh raya yang menghubungkan negeri dan daerah seperti jalan persekutuan, jalan negeri serta jalan bandaran.

    Selain itu, persimpangan lampu isyarat atau persimpangan yang dijangkakan akan berlaku kesesakan yang melampau turut dipantau bagi memberi keselesaan pergerakan lalu lintas.

    Dalam masa yang sama, JSPT turut memberi peringatan kepada pengguna jalan raya supaya sentiasa bekerjasama, berhemah, berhati-hati dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemanduan bagi mengelak kemalangan berlaku. Selain itu, orang ramai dinasihati agar rancang pergerakan dengan kesihatan yang baik dan minda yang cergas.

     
     
  • Kamera pengesan ekzos bising akan dipasang Sydney untuk buru pemilik kenderaan yang diubahsuai

    Kamera pengesan ekzos bising akan dipasang Sydney untuk buru pemilik kenderaan yang diubahsuai

    Kerajaan tempatan di New South Wales, Australia iaitu Bayside Council bakal memasang kamera-kamera dengan teknologi pengaktifan bunyi di sekitar Bandaraya Sydney, bagi memburu pengguna jalan raya menggunakan ekzos bising pada kenderaan mereka.

    Menurut laporan Drive.com.au, kamera-kamera tersebut bakal dipasang di kawasan-kawasan ‘panas’ sekitar Botany Bay, selatan Sydney yang sering dikunjungi mereka yang gemar memandu dan menunggang motosikal dengan tidak bertanggungjawab.

    Kamera-kamera tersebut akan diaktifkan secara automatik sekiranya mengesan bunyi dari kenderaan yang melalui jalan berkenaan. Ia akan menangkap gambar kenderaan dan juga nombor pendaftaran jika tahap desibel bunyi yang dihasilkan tersebut melebihi tahap yang dibenarkan, dan saman akan dikeluarkan selepas itu.

    Buat masa sekarang Bayside Council sedang menunggu kelulusan dari kerajaan New South Wales, Badan Perlindungan Alam Sekitar (EPA) NSW dan polis NSW untuk memulakan ujian penggunaan kamera berkenaan. Ia disasarkan untuk mengurangkan “kelakuan anti-sosial” di kawasan tersebut.

    Di New South Wales, tahap bunyi maksima yang dibenarkan untuk sebuah kereta adalah 90 desibel, sementara motosikal pula tidak boleh melebihi 94 desibel. EPA boleh mengeluarkan saman sekitar AUD150 (RM465) sehingga AUD500 (RM1,550) kepada individu yang menggunakan kenderaan yang menghasilkan bunyi lebih dari yang dibenarkan.

    Laporan itu turut menyebut bahawa kawasan seperti Brighton Le Sands, Dolls Point, Sandringham, dan Rockdale yang terletak di dalam bidang kuasa Bayside Council sememangnya terkenal sebagai kawasan yang popular dengan kenderaan yang diubahsuai.

    Sekiranya kamera berkenaan menangkap gambar kenderaan yang menghasilkan bunyi bising dari tahap yang dibenarkan, polis juga boleh mengambil tindakan terhadap individu tersebut kerana “menggunakan kenderaan yang menghasilkan bunyi yang tidak sepatutnya” (termasuk perbuatan melakukan aksi burnout atau sengaja menekan pedal pendikit dengan kuat), dengan mengeluarkan saman berjumlah AUD206 (RM640).

    Saman berkenaan tidak semestinya disebabkan oleh bunyi ekzos, malah sekiranya sistem ambilan udara turut diubahsuai dan menghasilkan tahap bunyi lebih dari yang dibenarkan, pemandu kenderaan berkenaan boleh dikenakan saman bernilai AUD150 serta dua markah demerit.

     
     
  • MoT tubuhkan pasukan petugas khas bagi atasi masalah lambakan calon ujian lesen memandu

    MoT tubuhkan pasukan petugas khas bagi atasi masalah lambakan calon ujian lesen memandu

    Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi mengatasi masalah lambakan calon yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan lesen memandu di institut memandu (IM) di seluruh negara. Di mana pasukan berkenaan akan dianggotai MoT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kata Menteri MoT Anthony Loke.

    Katanya lagi, setiap tahun dianggarkan kira-kira 600,000 pelajar mendaftar ujian memandu bagi mendapatkan lesen lesen motosikal kelas B2 dan D. Namun demikian, lambakan itu terjadi disebabkan penutupan IM susulan pandemik Covid-19, laporan Bernama.

    “Backlog panjang bukan kerana mereka tidak mendapat lesen memandu tetapi masa menunggu itu lama. Ada yang menunggu berbulan-bulan untuk menduduki ujian. Saya sudah arahkan MoT untuk melihat cara yang boleh kita bantu untuk cepatkan proses ujian memandu.

    “Selain itu, kita ambil satu pertimbangan untuk membantu pemain industri IM kerana umum diketahui semasa Covid-19 mereka tidak boleh buat apa-apa. Kebanyakan kenderaan yang masuk ke tahun ketujuh sudah tidak boleh dipakai dan menambahkan beban pengusaha dan tidak adil,” katanya.

    MoT tubuhkan pasukan petugas khas bagi atasi masalah lambakan calon ujian lesen memandu

    Malah bagi menggalakkan IM melabur dalam kenderaan baharu, Loke berkata pemeriksaan kenderaan dikecualikan untuk tahun pertama dan kedua.

    “Untuk tahun-tahun seterusnya hingga tahun ke-10, pemeriksaan berkala yang diwajibkan adalah setahun sekali. Namun pelaksanaannya dijangka akan diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi,” jelasnya.

    Menurutnya, secara dasar selepas lima tahun kenderaan itu tidak boleh digunakan namun kementerian mengambil satu pengimbangan untuk membantu industri kerana semasa dua tahun berdepan pandemik Covid-19, kenderaan itu tidak dapat digunakan. Walau bagaimana pun, katanya, sekiranya undang-undang itu diteruskan, ia akan menambah beban kepada industri untuk membeli kenderaan baharu.

    “Kementerian meletakkan tanggungjawab keselamatan kepada pihak industri dan sekiranya mereka gagal menjaga kenderaan dan berlaku kemalangan, MoT tidak akan teragak-agak mengambil tindakan,” katanya.

     
     
  • PLUS aktifkan laluan Smartlane antara Persimpangan Senai Utara ke Kulai pada 28 Jun hingga 2 Julai

    PLUS aktifkan laluan Smartlane antara Persimpangan Senai Utara ke Kulai pada 28 Jun hingga 2 Julai

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan pengaktifan Smartlane di laluan antara Persimpangan Senai Utara ke Persimpangan Kulai (Arah Utara) KM19.0 hingga KM27.0. Pengaktifan Smartlane ini telah pun bermula hari ini dan berlangsung sehingga 2 Julai 2023, melibatkan jarak sepanjang 8 km dan waktu operasinya adalah dari jam 8 pagi hingga 6 petang.

    Ia adalah sebagai Inisiatif PLUS dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk menambah kapasiti lorong sedia ada, serta membantu melancar dan menyuraikan trafik ketika musim perayaan Aidiladha 2023.

    Mmenurut PLUS, pengaktifan ‘Smartlane’ juga akan dilaksanakan bergantung kepada keadaan trafik semasa dengan kerjasama dan pemantauan oleh Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan serta petugas Lebuhraya PLUS di lokasi.

    PLUS aktifkan laluan Smartlane antara Persimpangan Senai Utara ke Kulai pada 28 Jun hingga 2 Julai

    “Di lokasi SmartLane, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan untuk sementara waktu sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama bagi meneruskan perjalanan mereka. Walau bagaimanapun, pengguna dilarang sama sekali untuk memandu di lorong kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan SmartLane diaktifkan,” kata PLUS.

    Walau bagaimana pun, PLUS berkata, penggunaan lorong kecemasan tidak lagi dibenarkan selepas Persimpangan Bertingkat Kulai bagi trafik menuju ke Kuala Lumpur

    Dalam masa yang sama, PLUS menasihatkan agar pemandu dan penunggang saling menghormati pengguna lebuh raya yang lain, mengamal kelajuan yang sesuai dan sentiasa berhati-hati.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025