Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Puspakom tawar pemeriksaan sukarela secara percuma sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023

    Puspakom tawar pemeriksaan sukarela secara percuma sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023

    Jika kita hantar kenderaan untuk diperiksa keadaannya sama ada selamat atau tidak untuk digunakan sepanjang musim cuti di bengkel-bengkel biasa, kita mungkin akan menjadi mangsa “upselling” yang dibuat oleh bengkel-bengkel yang tiak bertanggungjawab – komponen yang tidak rosak mungkin akan dikatakan rosak bagi membolehkan mereka membuat lebih banyak keuntugan

    Jadi apa kata anda cuba buat pemeriksaan ini di Puspakom. Berapa bayarannya? Sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal berlangsung sekitar dua minggu lagi, Puspakom kini menjalankan inisiaitf kempen Pemeriksaan Kenderaan Sukarela Secara Percuma kepada semua pemandu dan pemilik kenderaan persendirian bermula dari 10 April hingga 20 April 2023.

    Kempen dengan tanda pagar #drivesafenoregrets ini dibuat mengingatkan orang ramai khususnya pemilik dan pemandu kenderaan persendirian yang ingin pulang ke kampung pada musim perayaan ini supaya memastikan kenderaan mereka berada di tahap kondisi yang terbaik sebelum memulakan perjalanan.

    Puspakom tawar pemeriksaan sukarela secara percuma sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023

    Para pemilik kenderaan yang ingin mendapatkan pemeriksaan percuma ini yang juga dikenali sebagai VVI (Voluntary Vehicle Inspection) boleh hadir secara walk-in ke mana-mana cawangan Puspakom seluruh negara (kecuali cawangan Shah Alam, Taman Bukit Maluri dan Pasir Gudang) dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

    Dan tidak cukup dengan itu, Puspakom turut menganjurkan peraduan mudah kepada pelanggan serta Unit Pemeriksaan Bergerak juga dikerah untuk menawarkan servis percuma ini di beberapa lokasi terpilih.

    Antara lokasi-lokasi tersebut adalah di Wisma DRB-HICOM (11 April 2023, 9.00 pagi – 4.00 petang), MMU Cyberjaya (kakitangan sahaja, 11 April 2023, 9.00 pagi – 4.00 petang), Setia Alam Impian (15 April 2023, 9.00 pagi – 4.00 petang) dan Lotus’s Ara Damansara (19 April 2023, 9.00 pagi – 4.00 petang).

    Puspakom tawar pemeriksaan sukarela secara percuma sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023

    Menurut Puspakom, Pemeriksaan Kenderaan secara Sukarela ini tertumpu kepada aspek keselamatan iaitu pemeriksaan brek, gelincir sisi, tayar, suspensi, asap, lampu, bahagian bawah dan atas kenderaan, cermin gelap dan banyak lagi.

    “Kempen pemeriksaan percuma sempena perayaan Aidilfitri ini bertujuan membantu pemilik kenderaan mengetahui kondisi kenderaan mereka melalui pemeriksaan yang menggunakan peralatan berkomputer Puspakom yang seterusnya maklumat ini mereka boleh gunakan sebagai rujukan untuk melakukan penyelenggaraan yang sewajarnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail.

    “Pada kempen kali ini, kami beri layanan VIP kepada pelanggan yang menjalani pemeriksaan sukarela di mana mereka boleh hadir terus ke Puspakom tanpa perlu temujanji dan turut diberi keutamaan.

    Puspakom tawar pemeriksaan sukarela secara percuma sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023

    ”Puspakom menjadikan kempen pemeriksaan kenderaan percuma ini sebagai satu tanggungjawab korporat syarikat dalam meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan keselamatan kenderaan terutamanya ketika musim perayaan,” tambah Shukor lagi.

    Anda boleh layari laman web rasmi Puspakom atau laman Facebook rasmi Puspakom untuk mengetahui maklumat lanjut berkenaan Pemeriksaan Kenderaan Sukarela Secara Percuma ini dan serta memenangi hadiah menerusi pertandingan mudah yang dianjurkan.

     
     
  • JPJ umum sistem mySIKAP alami gangguan capaian perkhidmatan pada 7-19 April 2023, 6 petang-6 pagi

    JPJ telah mengumumkan perkhidmatan mySIKAP bakal mengalami gangguan capaian bermula hari ini hingga Ahad, 7-9 April, dari jam 6 petang hingga 6 pagi. Mungkin juga ia adalah untuk kerja-kerja penyelenggaran atau pun naiktaraf sistem, tidak pula dimaklumkan oleh JPJ.

    Dimaklumkan perkhidmatan yang terlibat termasuklah kaunter JPJ (cawangan dan negeri), portal awam dan portal rakan niaga, integrasi bersama agensi dan rakan niaga, pembayaran e-wallet untuk permit kemasukan kenderaan (VEP), aplikasi MyJPJ, JPJ eBid dan kios JPJ.

    Nasib baik jugalah gangguan capaian perkhidmatan ini berlaku pada hujung minggu, bukan hari bekerja. Jadi, bagi yang ada urusan dengan JPJ, harap bersabar.

     
     
  • Teaser Hyundai Creta untuk Malaysia disiar, bakal dilancar – pencabar Perodua Ativa dan Honda WR-V

    <em>Teaser</em> Hyundai Creta untuk Malaysia disiar, bakal dilancar – pencabar Perodua Ativa dan Honda WR-V

    Laman Facebook rasmi Hyundai Malaysia baru sahaja menyiarkan satu teaser untuk sebuah SUV yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Walaupun tidak disebut dengan jelas nama model berkenaan, bayangan badan dan juga jalur LED pada lampu belakang jelas ia adalah Hyundai Creta.

    Ini bukan teaser pertama Creta yang disiarkan oleh Hyundai Malaysia. Hujung tahun lalu jenama Korea berkenaan telah membayangkan bahawa ia akan melancarkan empat model baharu di Malaysia, salah satunya adalah Creta. Walau bagaimanapun, Hyundai masih belum menyatakan dengan jelas bila tarikh pelancaran model ini di Malaysia.

    Hyundai Creta generasi kedua ini telah membuat kemunculan sulungnya di India pada 2020. Dan untuk pasaran Malaysia kelak, kita bakal menerima Creta facelift yang telah pun muncul untuk peringkat global buat pertama kali di Indonesia pada November 2021.

    <em>Teaser</em> Hyundai Creta untuk Malaysia disiar, bakal dilancar – pencabar Perodua Ativa dan Honda WR-V

    Kelibat model ini sudah pun dilihat di Malaysia pada September 2021, lengkap dengan nombor pendaftaran Malaysia dan sudah tentu telah menerima kelulusan VTA dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk dijual di sini.

    Hyundai Creta diasaskan dari platform yang sama dengan SUV segmen-B Kia Seltos, menampilkan dimensi panjang 4,315 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,630 mm dan jarak roda sejauh 2,610 mm. Walaupun ia masih dikelaskan dalam model segmen-B, Creta berada satu anak tangga di bawah Kona kerana dihasilkan untuk pasaran seperti ASEAN dan India berbanding Kona yang disasarkan untuk pasaran Eropah.

    Namun dari segi saiz, Creta masih dilihat sedikit lebih besar kerana Kona hanya menampilkan ukuran 4,215 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,575 mm tinggi dan jarak roda 2,600 mm. Jadi jika masuk ke pasaran Malaysia, Creta perlu berhadapan dengan lawan-lawan Kona seperti Honda HR-V dan Proton X50, sebaliknya menjadi pesaing untuk Perodua Ativa dan satu lagi SUV segmen-B yang bakal di bawa oleh Honda iaitu WR-V.

    <em>Teaser</em> Hyundai Creta untuk Malaysia disiar, bakal dilancar – pencabar Perodua Ativa dan Honda WR-V

    Tetapi Creta jelas lebih besar dari Ativa kerana SUV Perodua itu hanya tampil dengan dimensi 4,065 mm panjang, 1,710 mm lebar, 1,635 mm tinggi dan jarak roda 2,525 mm. Honda WR-V juga dilihat lebih kecil dengan dimensi panjang 4,060 mm, lebar 1,780 mm, tinggi 1,608 mm dan jarak roda sejauh 2,485 mm.

    Bagi pasaran Indonesia dan Thailand, Creta menerima enjin 1.5 liter tanpa bantuan turbo yang menghasilkan 115 PS pada takat 6,300 rpm dan tork maksima 144 Nm pada 4,500 rpm, digandingkan dengan kotak gear Intelligent Variable Transmission (iVT), iaitu transmisi CVT Hyundai yang menggunakan rantai bagi menggantikan tali sawat metalik.

    Model pasaran Thailand menerima kelengkapan seperti skrin infotainmen 8.0-inci, paparan instrumen 10.25-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, pendingin hawa automatik dengan penghembus kabin belakang. Manakala dua varian paling tinggi diberikan lampu dalaman dan lampu suasana LED dan juga bumbung panaromik.

    Ia juga menerima sistem keselamatan yang agak baik termasuk enam-beg udara serta pakej bantuan pemanduan Hyundai SmartSense dengan fungsi termasuk amaran buka pintu.

    Di Thailand, Creta dijual pada harga 949,000 baht (RM116k) sehingga 999,000 baht (RM122k). Manakala di Indonesia Creta ditawarkan dalam empat varian bermula varian Asas Active berharga 279 juta rupiah (RM81k) sehingga 397.5 juta rupiah (RM116k) untuk varian paling tinggi Prime. Agak-agak berapa pula harganya di Malaysia nanti?

    GALERI: Hyundai Creta facelift 2022 pasaran Indonesia

     
     
  • Subaru Forester facelift 2023 kini di M’sia — tempahan dibuka; SUV 2.0L CVT, Eyesight GT Edition, RM196k

    Subaru Forester <em>facelift</em> 2023 kini di M’sia — tempahan dibuka; SUV 2.0L CVT,  Eyesight GT Edition, RM196k

    Dalam diam-diam Subaru Forester facelift telah pun memasuki pasaran Malaysia, dan kini mula dibuka untuk tempahan. Unit yang anda lihat ini dirakam di bilik pameran TC Subaru di PJ.

    Model kitaran-pertengahan yang diberikan suntikan lebih segar untuk Forester generasi kelima ini pertama kali didedahkan pada Jun 2021. Ia diberikan semakan semula untuk bahagian hadapannya, termasuk diberikan lampu utama projektor LED yang kini berbentuk lebih tajam, bersama kluster baharu bersama lampu nyalaan siang LED.

    Setiap kluster menampilkan elemen menghala ke gril kemasan hitam berkilat yang lebih menonjol, dan mempunyai sisipan baharu di antara bentuk haksagon. Kini ‘wings’ krom untuk logonya lebih minimal, hanya menampilkan dua garisan kecil.

    Subaru Forester <em>facelift</em> 2023 kini di M’sia — tempahan dibuka; SUV 2.0L CVT,  Eyesight GT Edition, RM196k

    Menambahkan lagi gayanya, bahagian bampar juga telah diprofilkan semula. Ia turut menampilkan seksyen ‘timbul’ di bawah lampu utama untuk efek 3D, dan sekeliling lampu kabusnya kini mempunyai serlahan tiga garisan krom. GT Edition ini juga menerima kemasan hitam untuk menimbulkan kesan bampar yang nampak lebih menonjol.

    Bahagian belakang pula tiada perubahan, begitu juga dengan ciri kelengkapan bagi GT Edition, hanya kepingan hitam diletakkan di atas reflektor. Sama seperti hadapan, bahagian bawahnya dibaluti kepingan kemasan perak untuk paip ekzos tunggal. GT Edition juga diberikan roda dua-tona 18-inci dibaluti tayar Bridgestone Dueler 225/55.

    Untuk bahagian dalamnya pula, GT Edition diberikan tempat duduk balutan kulit dengan paten quilted di tengah dan kemasan kelabu di tepi.

    Klik untuk besarkan risalah spesifikasi

    Bagi ciri kelengkapan lain, GT Edition ini menerima skrin sesentuh 8.0-inci dengan Apple CarPlay, Android Auto dan Bluetooth, tempat duduk hadapan lapan-larasan kuasa, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, pendingin hawa auto dwi-zone, paparan pandangan sekeliling 360-darjah, brek parkir elektronik dengan penahan auto dan tailgate kuasa dengan fungsi memori. Pek Subaru Eyesight ADAS juga diberikan termasuk tujuh beg udara.

    Tiada perubahan dilakukan untuk bahagian mekanikalnya, ia masih mengekalkan enjin 2.0 liter naturally-aspirated empat-boxer dengan hamburan kuasa 156 PS pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm. Unit FB20 ini digandingkan dengan Lineartronic CVT bersama mod manual tujuh-kelajuan (dan pedal penukar gear di belakang stereng) dan sistem Subaru symmetrical AWD system, yang membuatkan Forester ini lebih mantap berbanding SUV urban yang lain.

    Ia juga diberikan beberapa mod pemanduan, termasuk X-Mode dengan mod Snow dan Dirt, bersama kawalan mendaki bukit dan penvektoran tork aktif, serta SI-Drive yang menawarkan mod pemanduaan Intelligent dan Sport. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam 10.3 saat dan kelajuan maksimum mencecah 193 km/j.

    Subaru Forester 2.0 i-S Eyesight GT Edition ini ditawarkan pada harga atas jalan RM196, 288 tanpa insuran, dan kini dibuka untuk tempahan.

    GALERI: Subaru Forester facelift 2023, Eyesight GT Edition

     
     
  • Tesla mula buka jawatan kosong di Malaysia

    Tesla mula buka jawatan kosong di Malaysia

    Selepas diumumkan bahawa Tesla bakal masuk ke pasaran Malaysia tidak lama lagi, jenama kenderaan elektrik (EV) dari Amerika Syarikat berkenaan kini sudah dilihat mula mencari pekerja untuk operasinya di sini.

    Bagi mereka yang berminat dengan jawatan-jawatan tetap yang ditawarkan, anda boleh layari bahagian ‘Careers’ pada laman sesawang rasmi Tesla. Antara jawatan yang dibuka adalah termasuk bahagian jualan dan sokongan pelanggan, operasi, rangkaian pengecas, kejuruteraan, teknologi maklumat dan juga sumber manusia.

    Kemasukan Tesla ke Malaysia telah diumumkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 1 Mac lalu. Operasi Tesla di sini bukan sahaja dengan perkhidmatan jualan dan servis selepas jualan, malah turut akan menyediakan rangkaian pengecas pantas Supercharger.

    Tesla mula buka jawatan kosong di Malaysia

    Senarai jawatan yang dibuka oleh Tesla di Malaysia. Klik untuk besarkan

    Menurut Tengku Zafrul, kemasukan Tesla ke Malaysia telah dipermudahkan oleh MITI melalui pengenalan inisiatif ‘BEV Global Leaders’ (Tesla merupakan syarikat pertama yang memohon inisiatif berkenaan) bagi tujuan membantu meningkatkan permintaan BEV dalam pasaran tempatan dan menggalakkan pembangunan keseluruhan ekosistem untuk menyokong penggunaan BEV.

    Tidak seperti pengeluar-pengeluar lain, Tesla hadir ke pasaran Malaysia tanpa kerjasama syarikat-syarikat tempatan, sama seperti operasinya di negara-negara lain. Tesla Sdn Bhd adalah milikan penuh Tesla International BV.

     
     
  • Mercedes-Benz GLC X254 2023 diperkenalkan di Malaysia — GLC300 4Matic AMG Line, harga RM430k

    Mercedes-Benz GLC X254 2023 diperkenalkan di Malaysia — GLC300 4Matic AMG Line, harga RM430k

    Mercedes-Benz GLC generasi kedua dilancarkan untuk pasaran tempatan hari ini, dalam penawaran varian tunggal GLC300 4Matic AMG Line. Dengan kod nama X254, GLC terbaru ini diperkenalkan untuk peringkat global Jun tahun lalu dan akan bersaing dengan model seperti BMW X3, Volvo XC60 dan Audi Q5.

    Berbanding model lama, GLC terbaru ini mempunyai saiz yang lebih besar, dengan ukuran 4,716 mm panjang (+60 mm), 1,890 mm lebar (kekal sama), 1,640 mm tinggi (-4 mm) serta jarak antara roda 2,888 mm (+14 mm). Berbezaan dimensi ini bagaimanapun tidak memberikan terlalu banyak perubahan kepada saiz ruang dalaman, kecuali ruang but untuk barangan kini ada pertambahan 70 liter, menjadikan kapasitinya 620 liter.

    Untuk rekaan, secara umum bentuknya masih sama, tetapi kini dengan arah tuju perincian penampilan Sensual Purity jenama itu yang lebih ketara. Antaranya bahagian gril lima-sisinya yang bersentuhan dengan lampu utama yang lebih tajam: lampu ini juga dengan DRL yang lebih menonjol. GLC spesifikasi tempatan datang dengan lampu Digital Light yang lebih maju berbanding sistem LED High Performance.

    Mercedes-Benz GLC X254 2023 diperkenalkan di Malaysia — GLC300 4Matic AMG Line, harga RM430k

    Pakej luaran AMG Line untuk pasaran di sini juga menerima kemaskini. Bamper depannya kini datang dengan profil lebih jelas dan ketara, bahagian tirai udara yang diperhalusi di sudutnya dan perincian hitam. Bampar belakang pula hadir dengan perincian krom di sekitar ekzos, sementara rekaan ala diffuser sebelum ini digantikan dengan skid plate hiasan. Lampu belakang juga lebih tipis dengan rekaan grafik baru.

    Di dalam, rekaannya jauh berbeza daripada versi X253 sebelumnya yang ditawarkan sejak 2015. Papan pemukanya kini lebih mirip kepada rekaan yang ada pada C-Class terbaru, dengan corong udara bersegi dan kawalan fizikal yang semakin berkurangan. Ini disebabkan adanya skrin sentuh 11.9-inci di tengah, yang dicondong ke arah pemandu. Ia juga menggunakan Mercedes-Benz User Experience (MBUX) terbaru, dengan sistem infotainmen yang memberi capaian kepada banyak fungsi kenderaan seperti multimedia, tunjuk arah (dengan ciri augmented reality dan maklumat trafik), kawalan pendingin serta Android Auto dan Apple CarPlay.

    Mercedes-Benz GLC X254 2023 diperkenalkan di Malaysia — GLC300 4Matic AMG Line, harga RM430k

    Kesan daripada pemusatan fungsi ini, bahagian konsol tengah menjadi sangat minimal dan hanya memuatkan dua ruang cawan bertutup dan pengecas telefon tanpa wayar, serta perehat tangan dengan ruang simpan luas dibawahnya. Masih ada beberapa butang di bawah skrin sentuh, termasuk pengimbas cap jari untuk memudahkan capaian kepada MBUX.

    Di depan pemandu, tersedia kluster instrumen digital 12.3-inci yang turut dihubungkan kepada sistem MBUX dan datang dengan beberapa gaya paparan. Pakej AMG Line ini turut melibatkan stereng gaya AMG dengan empat jejari dan balutan kulit Nappa. Dari segi kelengkapan lain, turut ada rim aloi AMG 20-inci, landasan bumbung, lampu lantai dengan logo Mercedes-Benz, door sill dengan lampu, pintu ruang barangan berkuasa dan pakej Keyless-Go Comfort.

    Tidak ketinggalan ada juga pelapik kaki AMG, pelapik bumbung fabrik hitam di dalam, kerusi balutan kulit Artico, kemasan pamen binaan logam, kawalan pendingin dua-zon Thermatic, kerusi depan larasan kuasa dengan memori, penghadang matahari cermin belakang dan sistem lampu suasana dalam kabin.

    Ciri keselamatan dan bantuan pemandu pula terdiri daripada kawalan melayar pasif, kamera 360-darjah, Active Parking Assist dengan Parktronic, peninjau titik buta, bantuan aktif mengekalkan lorong, Pre-Safe, peninjau tekanan tayar dan AEB.

    Untuk enjin, model terbaru ini menggunakan unit M254 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol yang menghasilkan sehingga 258 PS (255 hp atau 190 kW) pada 5,800 rpm dan 400 Nm tork dari 2,000 hingga 3,200 rpm. Ia digandingkan pula dengan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan, serta sistem pacuan empat roda 4Matic dan sistem mild-hybrid 48-volt.

    Ciri mild-hybrid berkenaan adalah tambahan terbaru bagi GLC, melibatkan integrated starter-generator (ISG) yang menyediakan lonjakan sebanyak 23 PS (23 hp atau 17 kW) dan 200 Nm. ISG turut membantu fungsi ketika melayar dan Start/Stop enjin yang lebih lancar. 0-100 km/j didakwa dalam masa 6.2 saat dengan enjin mild-hybrid ini. Suspensi pula melibatkan ciri Agility Control dengan penyerap hentakan terpilih dan mod pemanduan Dynamic Select.

    Mercedes-Benz GLC X254 2023 diperkenalkan di Malaysia — GLC300 4Matic AMG Line, harga RM430k

    Untuk harga, GLC300 4Matic AMG Line dijual pada harga RM429,888 atas jalan tidak termasuk insuran, termasuk jaminan empat tahun standard. Unit GLC ketika ini ialah model CBU yang diimport sepenuhnya, berbanding versi lama yang merupakan pemasangan tempatan.

    Ada lapan warna untuk dipilih, termasuk enam pilihan standard — Obsidian Black, Graphite Grey, Mojave Silver, High-Tech Silver, Spectral Blue dan Selenite Grey. Dua lagi warna, Diamond White Bright dan Hyacinth Red, adalah dari katalog Manufaktur jenama ini dengan kos tambahan RM5,000. Untuk kabin, ada pilihan antara warna hitam atau Sienna Brown/hitam dua-tona.

     
     
  • Sejuta kenderaan keluar-masuk KL setiap hari menjelang Aidilfitri; hukuman menanti pesalah trafik

    Sejuta kenderaan keluar-masuk KL setiap hari menjelang Aidilfitri; hukuman menanti pesalah trafik

    Ibu kota Kuala Lumpur terus menjadi tumpuan orang ramai selain warga kota sendiri untuk pelbagai urusan termasuklah membeli-belah sekaligus mengundang kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak. Malah menjelang Aidilfitri ini, ia dijangka makin sesak dengan pertambahan jumlah trafik yang merekodkan satu juta kenderaan yang keluar masuk ke ibu kota saban hari.

    Menurut Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, jumlah kenderaan itu dijangka terus meningkat pada 8 April ini kerana cuti hujung minggu yang mana masyarakat akan membanjiri pusat bandar untuk membeli belah keperluan sempena Aidilfitri yang bakal tiba.

    Walau bagaimana pun, katanya, polis tetap akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kenderaan yang gagal mematuhi peraturan lalu lintas, laporan Harian Metro.

    Sejuta kenderaan keluar-masuk KL setiap hari menjelang Aidilfitri; hukuman menanti pesalah trafik

    “Kesalahan lalu lintas seperti memotong barisan, menyalahgunakan lorong kecemasan atau meletakkan kenderaan sehingga menghalang laluan pengguna jalan raya antara yang dikenal pasti menyebabkan kesesakan.

    “Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap kenderaan yang gagal mematuhi peraturan lalu lintas di mana selain saman, polis juga akan menunda kenderaan yang menghalang lalu lintas bagi mengelak kesesakan. Masyarakat digalakkan menggunakan kemudahan pengangkutan awam yang disediakan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya dalam sidang media semalam.

    Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan merancang perjalanan sebaiknya untuk keluar membeli barangan dan menjadi pengguna jalan raya berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengurangkan kesesakan.

    “Pihak polis akan sentiasa berusaha untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar pusat bandar,” tambahnya lagi.

     
     
  • UMW Toyota catat kenaikan 12% bagi prestasi jualan suku pertama tahun 2023 – termasuk Vios baharu

    UMW Toyota catat kenaikan 12% bagi prestasi jualan suku pertama tahun 2023 – termasuk Vios baharu

    UMW Toyota Motor (UMWT) mengakhiri suku pertama (Q1) bagi tahun 2023 dengan mencatatkan jualan sebanyak 9,136 unit untuk bulan Mac, iaitu 9,026 unit dari Toyota dan 110 unit dari Lexus. Bulan lalu juga dikatakan mencatatkan jualan tertinggi bagi Q1. Dengan angka tersebut, pendaftaran setakat suku pertama adalah 25,219 unit, atau 12% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu yang hanya sekitar 22,447 unit.

    Bulan lalu juga menyaksikan pengenalan Toyota Vios baharu, produk besar dari syarikat ini. “Vios seerba baharu ini mewakili komitmen kami untuk memberikan pelanggan kami dengan kenderaan dan pengalaman pemilikan yang terbaik. Ia merupakan model yang kami banggakan dan kami juga berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan teruja memandu Vios,” ucap presiden UMWT Datuk Ravindran K.

    Tidak lama lagi kita bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri. Jika anda merancang untuk membeli mana-mana model keluaran Toyota, UMWT sedang mengadakan promosi Raya dengan menawarkan sehingga RM8,000 bagi model terpilih dan pembiayaan 100%. Selain itu, ia turut menawarkan promosi pakej penyelenggaraan Toyota Service Savers dengan ansuran bulan bermula serendah RM22.

    Dalam hal lain, UMWT juga menganjurkan acara menanam pokok dengan kerjasama Persatuan Alam Sekitar Malaysia di Tanjung Tuan, Melaka, sempenma dengan penganjuran Raptor Watch 2023. UMW Green Shoots Initiative telah memberikan sokongan terhadap Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dan selari dengan objektif United Nations Sustainable Development Goals (UNSDG). Ia juga seiring dengan komitmen Toyota Motor Corp dalam mencapai neutraliti karbon menjelang tahun 2050.

    Anak pokok bakau ditanam bagi membantu pemulihan ekosistem paya bakau di Tanjung Tuan yang musnah akibat tumpahan minyak pada 2020. Sebanyak 6,100 pokok telah ditanam oleh 250 sukarelawan terdiri daripada kakitangan UMWT, pelajar dan guru Universiti Putra Malaysia, Politeknik Port Dickson dan Universiti Taylor.

     
     
  • #AudiOnTheMove – kempen servis selepas jualan istimewa dari Audi Malaysia untuk model-model lama

    #AudiOnTheMove – kempen servis selepas jualan istimewa dari Audi Malaysia untuk model-model lama

    PHS Automotive Malaysia (PHSAM) iaitu pengedar rasmi terkini untuk jenama Audi di Malaysia kini memperkenalkan kempen #AudiOnTheMove, iaitu kempen servis selepas jualan khas untuk model-model Audi yang lebih berusia. Dua pakej ditawarkan dalam kempen ini iaitu Pakej Pembaikan Audi dan juga Pakej Audi Plus.

    Bagi Pakej Pembaikan Audi, ia adalah khas untuk model-model Audi yang berusia enam tahun dan ke atas. Menerusi pakej ini pelanggan akan ditawarkan diskaun sebanyak 30% ke atas beberapa alat ganti termasuklah set brek, penyerap hentak, galas bebola (bearing) dan tali sawat pemasaan (drive belt).

    Untuk Pakej Audi Plus pula adalah pakej yang disediakan khas untuk model-model Audi yang berusia 5 tahun dan ke atas. Menerusi pakej ini, pelanggan ditawarkan diskaun sebanyak 10% untuk tiga servis pakej penyelenggaraan yang seterusnya.

    Pakej Audi Plus ini sah dalam tempoh 3 tahun selepas pendaftaran, dan ia turut merangkumi perkhidmatan sokongan Bantuan Tepi Jalan Audi di seluruh negara sehingga 12 bulan dari tarikh penebusan baucar.

    #AudiOnTheMove – kempen servis selepas jualan istimewa dari Audi Malaysia untuk model-model lama

    Sebagai tambahan, bermula 1 April hingga 30 Jun, pemilik Audi yang berbelanja RM800 ke atas mana-mana pakej berpeluang untuk memenangi barangan eksklusif Audi. Manakala sempena sambutan Hari Raya, Audi Malaysia kini menawarkan pemeriksaan percuma ke atas kenderaan pemilik. Audi Malaysia turut memberi jaminan bahawa semua kerja-kerja pembaikan hanya akan menggunakan alat ganti tulen Audi.

    Kempen ini bukan hanya dibuka untuk kereta-kereta Audi yang dijual secara rasmi oleh pengedar rasmi, malah PHSAM turut membukanya untuk unit-unit yang dibawa masuk oleh pengimport-pengimport persendirian. Namun ia terlebih dahulu perlu menjalani Pemeriksaan Kondisi Audi (Audi Condition Check, ACC) untuk memastikan ia boleh diservis.

    “Menerusi kempen #AudiOnTheMove, kami harap dapat menggalakkan pemilik kenderaan berusia 5 tahun dan ke atas untuk mengutamakan aspek penyelenggaraan Audi mereka. Kami faham bahawa menyelenggara kereta anda boleh jadi mahal dan memakan masa, jadi kami mahu memudahkannya terutama sewaktu sambutan Hari Raya yang bakal menjelang tiba,” kata Pengarah Urusan PHSAM, Erik Winter.

    Bagi pelanggan yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan kempen #AudiOnTheMove ini, anda boleh layari laman web rasmi Audi Malaysia atau hubungi Audi Centre pilihan anda untuk membuat temu janji.

     
     
  • Pemotong rumput warga Pakistan ‘wheelie’ SYM VF3i dalam video tular di Kluang sudah ditahan polis

    Pemotong rumput warga Pakistan ‘wheelie’ SYM VF3i dalam video tular di Kluang sudah ditahan polis

    Baru-baru ini tular video di laman-laman sosial memaparkan seorang warga asing melakukan aksi ‘wheelie’. Namun tak lama selepas itu, pihak Polis Diraja Malaysia mengesahkan bahawa lelaki warganegara Pakistan berkenaan sudahpun berjaya ditangkap.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd Noh dalam laporan Kosmo, lelaki yang berumur 22 tahun berkenaan melakukan aksi tersebut di Jalan Kota Tinggi- Kluang, Johor. Dia ditangkap sebaik sahaja aksinya menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya itu dikesan polis setelah tular di media sosial.

    Bahrain turut menjelaskan bahawa suspek bekerja sebagai pemotong rumput, dan telah disaman kerana tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran.

    “Satu kiriman video dari Facebook ‘Kluang paranormal research’ dikesan memaparkan seorang lelaki Pakistan menunggang sebuah motorsikal jenis SYM VF3i melakukan aksi ‘wheelie’ dengan mengangkat tayar hadapan motosikal.

    “Anggota Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kluang telah melakukan risikan dan berjaya menahan suspek di hadapan sebuah kedai di Taman Majupadu pada pukul 6.45 petang, semalam,” katanya.

    Menurut Bahrain lagi, motosikal yang digunakan suspek telah dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.

    “Ujian saringan awal air kencing suspek didapati negatif. Suspek kini ditahan reman dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama empat hari bermula hari ini,” katanya.

     
     
  • MRT Laluan Purajaya masih belum dapat kurangkan kesesakan trafik pada waktu puncak – Loke

    MRT Laluan Purajaya masih belum dapat kurangkan kesesakan trafik pada waktu puncak – Loke

    Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya yang mula beroperasi pertengahan Mac lalu masih belum dapat mengurangkan kesesakan waktu puncak, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

    Jelasnya, operasi MRT berkenaan masih pada peringkat awal untuk melihat keberkesanannya dalam mengurangkan kesesakan trafik, laporan Bernama.

    “Keadaan kesesakan trafik khususnya sepanjang bulan Ramadan ini, pada waktu puncak agak kritikal lagi, termasuklah di Lebuh Raya MEX, Lebuh Raya Persekutuan, Lebuh Raya Kuala Lumpur- Sungai Besi. Kawasan yang agak kritikal yang saya tahu setiap hari waktu puncak pagi dan petang masih berlaku kesesakan teruk.

    “Jadi, saya tidak hendak katakan laluan MRT itu sudah berjaya kurangkan kesesakan. Belum lagi kerana masih peringkat awal,” katanya sambil menambah, walau bagaimana pun dapat dilihat trend jumlah penumpang itu akan terus meningkat.

    “Semasa dua minggu pertama kita beri perkhidmatan percuma, jumlah penumpang mencecah 100,000 setiap hari, apabila mula kutip tambang pada 1 April lalu, jumlah penumpang lebih kurang 80,000. Jadi itu perkara biasa. Kalau percuma, memang ramai orang akan guna,” sambungnya lagi.

    Dalam pada itu, pihaknya menyasarkan laluan terbabit bakal digunakan 200,000 penumpang sehari.

    “Jadi, setakat ini 80,0000 penumpang masih hanya 40%. Kita boleh naikkan lebih 200,000 kapasiti untuk jajaran Putrajaya ini. Jadi, kita harapkan ini ambil sedikit masa untuk tingkatkan jumlah penumpang. Memang dalam semua perkhidmatan rel, ini perkara biasa, masa diperlukan,” katanya.

    Dilancarkan pada 16 Mac lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, MRT Laluan Putrajaya mempunyai 36 stesen, merangkumi 27 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah, dengan 10 stesen pertukaran atau sambungan, yang memudahkan penumpang dari Laluan Putrajaya untuk ke laluan rel sedia ada.

     
     
  • Triumph T120 Black edisi Distinguished Gentleman’s Ride diperkenal – hanya 250 unit untuk seluruh dunia

    Triumph T120 Black edisi Distinguished Gentleman’s Ride diperkenal – hanya 250 unit untuk seluruh dunia

    Triumph sudah 10 tahun menjadi penyokong untuk acara kesedaran kesihatan lelaki Distinguished Gentleman’s Ride (DGR). Demi menyambut pencapaian itu, mereka memperkenalkan satu model khas, yang akan dikeluarkan hanya sebanyak 250 unit untuk seluruh dunia.

    Dipanggil sebagai Triumph T120 Black Distinguished Gentleman’s Ride Limited Edition, model ini dicat dengan warna dua tona khas Phantom Black/Crystal White, dan kemudiannya diserikan dengan logo DGR pada tangki serta panel tepi, perincian warna emas serta tempat duduk warna coklat. Menurut Triumph, warna ini adalah inspirasi daripada sut lengkap lelaki.

    Setiap unit T120 Black DGR ini datang dengan sijil keluaran bernombor, yang ditandatangani sendiri oleh pengasas DGR, Mark Hawwa dan ketua pegawai eksekutif Triumph, Nick Bloor. Motosikal yang menggunakan nombor “001” akan diberikan sebagai hadiah kepada penyumbang terbesar DGR 2023.

    Spesifikasi teknikal motosikal ini adalah sama seperti T120 Black biasa, dengan menggunakan enjin dua silinder selari 1,200 cc berkuasa 78.9 hp dan tork 105 Nm, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan.

    Model T120 yang berada dalam pasaran sekarang menerima pembaharuan pada tahun 2021, dengan antara yang utama adalah beratnya menjadi tujuh kilogram lebih ringan, iaitu 236 kg. Crankshaft serta balancer shaft yang lebih ringan juga menjadikan inertia enjin lebih baik dan maklum balas pendikit lebih responsif.

     
     
  • Tesla tunjuk teaser kereta mampu milik dan van penghantar – sasar pengeluaran hingga 700 juta unit

    Tesla tunjuk teaser kereta mampu milik dan van penghantar – sasar pengeluaran hingga 700 juta unit

    Tesla telah mendedahkan pelan perancangan masa hadapan mereka, yang didalamnya turut menunjukkan beberapa model baru yang akan dikeluarkan. Tertutup dengan kain, model pertama yang duduk dalam kategori sama dengan Cybertruck dilihat seperti sebuah MPV.

    Dengan sasaran jumlah pengeluaran sebanyak 300 juta, kenderaan ini mungkin juga adalah sebuah van penghantar elektrik, yang akan dibuat untuk kegunaan komersial, ataupun teksi autonomous tanpa pemandu.

    Model kedua yang berada di sebelahnya adalah lebih kecil tetapi mempunyai sasaran jumlah pengeluaran yang lebih tinggi, iaitu 700 juta. Ini sekaligus memberi petunjuk bahawa ia adalah model yang disasarkan untuk pasaran lebih meluas dan banyak, dan berkemungkinan adalah model yang lebih mampu milik berbanding apa yang ditawarkan oleh Tesla sekarang.

    Tesla tunjuk teaser kereta mampu milik dan van penghantar – sasar pengeluaran hingga 700 juta unit

    Sementara itu dalam berita berasingan, Torque News melaporkan bahawa Tesla kini sedang membangunkan sebuah kenderaan kompak dengan saiz seperti Honda Fit (Jazz) dan akan diletakkan di bawah Model Y. Mereka juga memetik sumber tanpa nama daripada CN Wire.

    Dalam laman web 36kr pula, Tesla dikatakan meletakkan sasaran pengeluaran bagi model kompak baru ini sebanyak empat juta unit, dari kilang di Texas, Mexico, Berlin, Jerman dan Shanghai. Walaubagaimanapun, laporan itu tidak menyatakan bahawa gambar di dalam pembentangan di atas adalah gambar model kompak yang disebutkan.

     
     
  • Pak Cik Shell ingatkan agar pemandu nyahcas elektrik statik sebelum pegang pam untuk elak kebakaran

    Pak Cik Shell ingatkan agar pemandu nyahcas elektrik statik sebelum pegang pam untuk elak kebakaran

    Selepas keluar dari kereta, anda pernah terkena renjatan kecil ketika menutup pintu? Itu dikenali sebagai elektrik statik, dan ia boleh menyebabkan bahaya kebakaran ketika anda sedang mengisi minyak seperti yang ditunjuk dan dikongsikan dalam video oleh Pengarah Urusan Shell Malaysia, Shairan Huzani Husain, atau lebih mesra dipanggil Pak Cik Shell.

    Dalam video berkenaan, kita boleh lihat seorang pemandu mengisi minyak keretanya seperti biasa. Tetapi, selepas memasukkan muncung pam, dia kembali dan duduk di dalam kereta dengan pintu terbuka sebelum keluar semula. Ketika ingin mencapai muncung pam sekali lagi, berlaku kebakaran di bahagian hujung pam tersebut.

    Nasihat yang diberikan dalam video berkenaan adalah untuk menyahcas elektrik statik dari badan anda terlebih dahulu dengan cara memegang permukaan logam dengan tangan tanpa pelapik, sebelum beralih untuk memegang muncung pam. Ini juga perlu dilakukan sekiranya anda masuk semula ke dalam kereta dan keluar lagi. Sekiranya berlaku kebakaran, segera tekan butang henti kecemasan yang ada di pam berkenaan.

    Ketika anda masuk ke stesen minyak untuk isian semula, sebahagian daripada elektrik statik yang ada di tubuh anda yang diperoleh dari dalam kereta akan terlerai beberapa kali ketika anda membuka dan menutup pintu, ketika membuka pintu corong minyak serta ketika menyentuh pam minyak dan muncungnya.

    Bagaimanapun, ketika anda kembali ke dalam kereta ketika pengisian minyak, elektrik statik boleh dijana akibat daripada geseran antara material kerusi dalam kereta dan pakaian anda. Jika ini tidak dileraikan dengan cara memegang permukaan logam (selain muncung pengisi pam itu), ia sangat berpotensi untuk menyebabkan berlakuknya kebakaran. Ini satu perkara yang cukup mudah untuk dilakukan yang akan menghindarkan kejadian seperti dalam video ini daripada berlaku.

     
     
  • Kerja baikpulih struktur jejambat Stesen LRT Masjid Jamek-Bandaraya dijangka selesai 1-2 bulan lagi

    Kerja baikpulih struktur jejambat Stesen LRT Masjid Jamek-Bandaraya dijangka selesai 1-2 bulan lagi

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan kerja baikpulih struktur jejambat berhampiran Stesen LRT Masjid Jamek-Bandaraya dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi.

    Menurut beliau, sebaik struktur itu dibaiki, lima set tren yang digunakan bagi operasi di enam stesen LRT terbabit akan digerakkan semula ke depoh LRT di Ampang untuk penyelenggaraan sebelum kebenaran beroperasi semula diberikan, laporan Harian Metro.

    “Kita fokus dahulu untuk pembaikan struktur berhampiran Stesen LRT Bandaraya dalam masa satu hingga dua bulan ini. Selepas struktur dapat dibaiki, tren kosong itu akan digerakkan semula, balik ke depoh untuk diselenggara.

    “Ketika ini enam stesen itu ditutup berikutan masalah struktur di Stesen Bandaraya menyebabkan lima set tren yang beroperasi antara enam stesen terbabit tidak boleh balik ke depoh untuk penyelenggaraan, itu sahaja sebabnya,” katanya.

    Kerja baikpulih struktur jejambat Stesen LRT Masjid Jamek-Bandaraya dijangka selesai 1-2 bulan lagi

    Pada hujung Februari lalu, Loke berkata kerja-kerja baikpulih struktur jejambat LRT Masjid Jamek-Bandaraya yang dijangka mengambil masa selama tujuh bulan untuk disiapkan, iaitu pada September 2023. Perkara ini diputuskan selepas akses laluan antara Stesen LRT Masjid Jamek dan Bandaraya pada LRT Laluan Ampang terpaksa disekat sejak 27 Januari lalu akibat penjajaran landasan yang bengkok (kinked) dan struktur jejambat retak.

    Kerosakan struktur berkenaan turut memaksa pihak Rapid Rail menghentikan operasi enam stesen LRT Laluan Ampang-Sri Petaling mulai 2 April lalu. Ia membabitkan Stesen Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur.

    Rapid Rail berkata pemberhentian operasi itu kerana tren digunakan untuk perkhidmatan antara Stesen Bandaraya ke Stesen Sentul Timur tidak lagi dapat memenuhi kriteria pengoperasian ditetapkan dan terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025