Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pemandu Nissan Almera tabur paku atas jalan sudah ditangkap – pengaruh dadah, bukan dari bengkel

    Pemandu Nissan Almera tabur paku atas jalan sudah ditangkap – pengaruh dadah, bukan dari bengkel

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden menabur paku di kawasan lampu isyarat Jalan Ipoh-Lumut, Pusing dekat Batu Gajah di mana videonya telah tular di laman-laman sosial minggu lalu.

    Menurut Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hasan Basri dalam laporan Bernama, perbuatan khianat itu dilakukan lelaki berusia 45 tahun yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah. Hasil siasatan polis juga mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan perkhidmatan menunda atau bengkel kenderaan.

    “Lelaki itu berjaya ditahan polis Sabtu lepas. Hasil siasatan mendapati lelaki itu bukan bekerja sebagai mekanik atau bersekongkol dengan mana-mana bengkel kenderaan dan perkhidmatan penunda kenderaan,“ katanya.

    Sebelum itu Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif sudah memaklumkan bahawa lelaki berkenaan sudah ditahan di sekitar Changkat Larang, Lahat, pada pukul 3 pagi, Sabtu lepas. Beliau menyatakan bahawa lelaki tersebut ditahan susulan satu laporan daripada pengguna jalan raya yang memaklumkan tayar keretanya bocor selepas melalui jalan berkenaan.

    Mohamad Roy turut memberitahu bahawa lelaki itu mempunyai satu rekod jenayah berkaitan dadah serta ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine, dan dia direman selama empat hari bermula Sabtu lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

    Perbuatan menabur paku dipersimpangan jalan raya dilakukan oleh lelaki yang memandu Nissan Almera tersebut sempat dirakam oleh pemandu kenderaan lain dalam satu video berdurasi 24 saat dan telah ditularkan di internet

     
     
  • Sunsuria tandatangani MoU dengan IAT dari China untuk jalankan kajian dan bangunkan EV di Malaysia

    Sunsuria tandatangani MoU dengan IAT dari China untuk jalankan kajian dan bangunkan EV di Malaysia

    Pembangun hartanah Sunsuria telah umumkan syarikat itu telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan IAT Automobile dari China untuk mewujudkan pusat operasi di Malaysia bagi pembangunan kenderaan elektrik (EV).

    Dalam failnya di Bursa, syarikat itu memaklumkan kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menjalankan kajian dan pembangunan (R&D) bagi EV dan produk berkaitannya, serta untuk mewujudkan dan mengeluarkan jenama EV Malaysia sendiri. Ini akan dicapai menerusi sebuah syarikat usaha sama, Sunsuria IAT, yang mana 51% pegangannya dimiliki oleh Sunsuria, dan 49% lagi oleh IAT.

    Usaha sama tersebut turut merancang untuk mewujudkan sebuah eko-sistem automotif dengan kepelbagaian, membina dan membangunkan taman inovasi EV dan menubuhkan Pusat Rekaan dan Inovasi Automotif ASEAN secara bersama. Kerjasama itu akan menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi, dengan lanjutan ke negara lain di rantau ini turut dirancang.

    Sunsuria tandatangani MoU dengan IAT dari China untuk jalankan kajian dan bangunkan EV di Malaysia

    MoU Sunsuria-IAT ini merupakan sebahagian daripada komitmen pelaburan luar secara langsung bernilai RM170 bilion dari China yang telah diraih oleh Malaysia minggu lalu sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke sana.

    Ditubuhkan pada 2007, perniagaan utama IAT yang berpangkalan di Beijing adalah dalam R&D dan pengilangan bahagian utama. Tinjauan ke laman web syarikat itu menunjukkan beberapa portfolio rekaan konsep, termasuk trak pikap elektrik saiz penuh Truck Mad, sebuah EV dalam bandar C-Mute dan sebuah platform dikenali sebagai Rubik.X.

     
     
  • APAD umum had usia teksi dan kenderaan e-hailing di Malaysia kini 15 tahun, perlu lulus Puspakom

    APAD umum had usia teksi dan kenderaan e-hailing di Malaysia kini 15 tahun, perlu lulus Puspakom

    Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengumumkan bahawa had usia bagi teksi dan kenderaan e-hailing di negara ini dinaikkan kepada 15 tahun. Ini merangkumi semua kenderaan bagi tujuan sewa di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

    Dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan semalam, agensi berkenaan memaklumkan lanjutan tempoh itu selari dengan hasrat Kementerian Pengangkutan untuk memperkukuhkan industri teksi dan e-hailing dalam usaha memperbaiki sistem pengangkutan awam negara.

    Bagaimanapun, lanjutan tempoh usia teksi dan kenderaan e-hailing itu datang dengan tiga syarat. Pertama, kenderaan terbabit mencapai had usia maksimumnya dalam tempoh bermula 1 Januari tahun ini. Kedua, semua kenderaan yang akan diberi kelulusan itu perlu lulus pemeriksaan berkala Puspakom untuk memastikan keadaannya cukup baik untuk berada di atas jalan raya.

    Syarat ketiga pula adalah ia perlu memenuhi syarat operasi lain yang telah ditetapkan untuk memastikan tahap keselamatan kenderaan, keselesaan pelanggan serta imej industri terjamin dalam keadaan baik. Agensi berkenaan memaklumkan yang dengan pengumuman itu, penggiat industri teksi dan e-hailing boleh menambahbaik kualiti servis yang ditawarkan.

     
     
  • Wuling Bingo masuk pasaran China – EV kompak dengan jarak gerak sehingga 333 km, dari RM38k

    Wuling Bingo masuk pasaran China – EV kompak dengan jarak gerak sehingga 333 km, dari RM38k

    Di China, Wuling telah melancarkan Bingo, yang merupakan pesaing bagi BYD Seagull dalam pasaran negara itu. Dihasilkan melalui kerjasama SAIC-GM-Wuling (SGMW), Bingo merupakan sebuah kereta kompak bandar yang lebih besar dari EV Mini, dengan harga bermula 59,800 yuan (RM38,303).

    Berkenaan dimensi, Bingo mencatat ukuran 3,950 mm panjang, 1,708 mm lebar, 1,580 mm tinggi dan jarak roda 2,560 mm. Sebagai perbandingan, Seagull pula mencatat panjang 3,780 mm, lebar 1,715 mm, tinggi 1,540 mm dan jarak roda 2,500 mm.

    Melalui model asas yang paling murah, pembeli akan mendapat kereta yang datang dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 17.3 kWh, boleh memberi jarak gerak sehingga 203 km mengikut standard CLTC. Kuasa dihantar kepada motor elektrik yang berada di hadapan, berjumlah sehingga 41 PS (40 hp atau 30 kW) dan tork 110 Nm, dengan kelajuan maksimum 100 km/j.

    Wuling Bingo masuk pasaran China – EV kompak dengan jarak gerak sehingga 333 km, dari RM38k

    Varian yang boleh memberi jarak gerak 203 km ini ada dua, tetapi jika mahukan yang boleh bergerak lebih jauh (sehingga 333 km), pelanggan disediakan dengan tiga lagi varian bermula pada harga 73,800 yuan (RM47,265). Varian lebih tinggi ini juga menggunakan bateri LFP, dan motor elektriknya mampu menghasilkan sehingga 68 PS (67 hp atau 50 kW) dan tork 150 Nm, manakala laju maksimum masih lagi sama.

    Untuk pengecasan, kedua-dua versi boleh menerima sumber AC sehingga 3.3 kW, dengan bateri yang lebih kecil memerlukan masa 5.5 jam untuk penuh, manakala bateri yang besar mengambil 9.5 jam. Walaubagaimanapun, bateri yang lebih besar itu boleh dicas dengan sumber DC, dan boleh naik dari kadar 20% ke 80% dalam masa 35 minit sahaja.

    Bingo menggunakan rekaan yang lebih bulat berbanding Seagull dan ditawarkan dalam empat warna. Di bahagian dalamnya pula anda akan menemui panel instrumen digital, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 10.25 inci serta rekaan papan pemuka yang ringkas.

    Ia boleh membawa sehingga empat penumpang, tetapi bagi yang duduk di belakang tidak banyak benda yang disediakan kecuali tempat meletak cawan di konsol tengah. Tempat duduk belakang boleh dilipat untuk memberikan ruang simpanan lebih besar, dari 310 liter menjadi 790 liter.

    Kelengkapan lain yang tersedia adalah termasuk lampu utama LED, rim 15 inci, balutan fabrik atau kulit, cagak ISOFIX, sistem masuk tanpa kunci, kawalan pendingin hawa manual, cruise control, kamera undur, mod pemanduan, amaran pejalan kaki, dua beg udara, ABS, EBD serta pemerhati tekanan angin tayar.

     
     
  • Park & Ride di LRT Ampang dan Gombak kini guna pengimbas plat lesen – bayar parkir dengan Pay & Go

    Park & Ride di LRT Ampang dan Gombak kini guna pengimbas plat lesen – bayar parkir dengan Pay & Go

    Rapid KL telah mengumumkan mulai 1 April 2023, fasiliti Park & Ride di stesen LRT Ampang dan Gombak kini menggunakan sistem pengesan plat nombor automatik (ANPR).

    Kaedah ini sama seperti yang digunakan oleh Sunway Smart Parking dan Kiple Park di mana pengguna tidak lagi perlu mengambil tiket dan hanya membayar kadar parkir menerusi telefon bimbit.

    Bagi Park & Ride di stesen LRT yang disebut ini, pengguna perlu memuat turun aplikasi Pay & Go (boleh didapati menerusi peranti iOS dan Android). Ia menawarkan pembayaran tanpa tunai termasuk penggunaan e-wallet seperti Touch ‘n Go, Grab Pay dan Boost; pembankan FPX; kredit Pay & Go; atau kad kredit/debit.

    Menurut Rapid KL, terdapat 1,200 petak parkir di Park & Ride Stesen LRT Gombak, dan 1,140 petak parkir di Stesen LRT Ampang.

     
     
  • Stesen minyak tanpa subsidi diperluas di sempadan negara ikut fasa – antaranya Tambak Johor, Ba’kelalan

    Stesen minyak tanpa subsidi diperluas di sempadan negara ikut fasa – antaranya Tambak Johor, Ba’kelalan

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kerajaan bersetuju dengan perluasan stesen minyak tanpa subsidi secara berfasa di kawasan sempadan negara bagi menangani ketirisan diesel bersubsidi.

    Katanya, menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) yang dipengerusikannya, lokasi stesen minyak tanpa subsidi itu dicadangkan di Rantau Panjang dan Bukit Bunga (Jeli) di Kelantan serta Tebedu, Ba’kelalan dan Lundu (Sarawak).

    Lokasi lain yang turut dicadangkan termasuklah di Pengkalan Hulu (Perak), Tambak Johor dan Second Link (Johor), Padang Besar dan Wang Kelian (Perlis) dan Bukit Kayu Hitam (Kedah), laporan Bernama.

    Dalam masa yang sama, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menguatkuasakan OPS TIRIS selama enam bulan bermula 1 Mac hingga 31 Ogos tahun ini bagi membanteras penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

    Setakat 31 Mac lepas, sebanyak 3,424 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara yang melibatkan 92 kes dengan jumlah 88 tangkapan dan nilai rampasan RM3.02 juta membabitkan 41 kes serahan menerusi OPS TIRIS itu.

    “Penyelewengan minyak diesel bersubsidi menyebabkan kerugian kepada kerajaan dan mengakibatkan bekalan diesel tidak sampai kepada yang layak,” katanya.

    Mulai 1 Februari 2023, KPDN melarang semua kenderaan dengan nombor pendaftaran asing daripada mengisi diesel bersubsidi di seluruh stesen minyak di Perlis. Sebelum ini, hanya petrol RON 95 bersubsidi yang dilarang penjualannya kepada kenderaan asing manakala penjualan diesel bersubsidi pula hanya dihadkan kepada 20 liter sahaja.

     
     
  • BMW M340i xDrive facelift 2023 di Malaysia – RM392k

    BMW M340i xDrive facelift 2023 di Malaysia – RM392k

    Dilancarkan di Malaysia pada bulan lalu, BMW 340i xDrive facelift ini ditawarkan dengan dua varian iaitu M340i xDrive berharga RM391,800, dan M340i xDrive M Sport Pro yang dijual secara eksklusif secara dalam talian dengan harga RM396,800. Model terakhir yang disebut dipamerkan menerusi galeri imej ini. Harga atas jalan yang ditawarkan itu adalah tanpa insurans dan didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan dengan penyelenggaran berjadual percuma.

    Dengan bayaran premium melebihi 330i M Sport dengan RM319,800 dan 330Li M Sport dengan jarak roda yang lebih panjang berharga RM325,800, M340i xDrive ini menerima enjin yang lebih besar dan padu iaitu 3.0 liter pengecas turbo enam-silinder sebaris petrol dengan kuasa 387 hp dan tork 500 Nm. Kuasa tersebut disalurkan kesemua empat roda menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Perkakasan pacuan untuk M340i dengan ciri standard termasuk M Sport differential, dan casisnya pula dipadankan dengan Adaptive M bersama stereng sport pembolehubah.

    BMW M340i xDrive facelift 2023 di Malaysia – RM392k

    M340i xDrive turut dilengkapi dengan roda aloi M jejari-berkembar 19-inci Style 791 M Bicolour dengan dibaluti tayar 225/40 di hadapan dan 255/35 di belakang. Imej luarannya lebih sporty dengan diserlahkan pakej M high-gloss Shadowline yang menampilkan kemasan hitam berkilat.

    Untuk kabinnya, instrumentasi pemandu diberikan Paparan Informasi 12.3-inci yang menyertai unit infotainmen skrin sesentuh 14.9-inci, dan BMW Live Cockpit Professional yang boleh berfungsi pada BMW Operating System 8 termasuk paparan utama.

    Untuk barisan hadapan, ia diberikan tempat duduk sport dengan bahagian pemandu menerima larasan elektrik dan fungsi memori, dan roda stereng M dibaluti kulit Walknappa jahitan tangan. Pilihan upholstery dalam kulit Vernasca berwarna hitam atau Mocha turut diberikan buat M340i xDrive, sementara versi M Sport Pro pula menerima pilihan Tacora Red dalam rona Mocha (coklat).

    BMW M340i xDrive facelift 2023 di Malaysia – RM392k

    Selain itu, ia juga diberikan pakej ruang penyimpanan, pendingin hawa automatik, pencahayaan ambien, cermin pandang-belajang dalaman anti-dazzle automatik, dan bumbung berkaca dan sistem bunyi sekeliling Harman Kardon.

    Untuk sistem bantuan pemandu bagi M340i xDrive ini, ia diberikan Pembantu Parkir (Bantuan Parkir, Kawalan Jarak Parkir, Bantuan Parkir Sisi, Bantuan Undur (kamera) dan Pembantu Pemanduan (Amaran Ketibaan Lorong, Amaran Pelanggaran Hadapan dengan campurtangan brek, Amaran Lintasan Belakang dengan campurtangan brek, Amaran Trafik Lintasan Belakang, Amaran Pelanggaran Belakang, Info Had Kelajuan, Bantuan Had Kelajuan Manual dan Kawalan Kelajuan dengan Brek.

    Pilihan warna badan bagi BMW M340i xDrive facelift untuk Malaysia ialah Alpine White, Black Sapphire, M Portimao Blue, M Brooklyn Grey, Skyscraper Grey dan Melbourne Red.

     
     
  • Chery Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro diperkenalkan di M’sia hujung Julai? Model CKD dipasang oleh Inokom?

    Chery Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro diperkenalkan di M’sia hujung Julai? Model CKD dipasang oleh Inokom?

    Chery, pengeluar kereta China, dilaporkan kini berada dalam fasa terakhir rundingan pemasangan kontrak dengan Inokom bagi memasang modelnya di Malaysia. Ia dilaporkan oleh The Edge pada minggu lalu, dan penerbitan berkenaan turut berkata anak syarikat Sime Darby ini juga menetapkan pemasangan tempatan bagi model terpilih Jaguar Land Rover.

    Disebut juga Chery akan memanfaatkan Inokom sebagai rakan pemasangan tempatan dengan pengenalan model CKD yang bakal dipasang di Kulim. Sebelum ini, pengeluar kereta tersebut juga berkata kilang pemasangan yang dipilih memiliki kapasiti sehingga 30,000 unit setahun untuk pemasangan kenderaan. Kilang pemasangan Inokom pula memiliki kapasiti sehingga 38,000 unit setahun.

    Chery mengambil keputusan untuk kembali ke pasaran Malaysia pada tahun lalu, dan menjadikan SUV Tiggo 8 Pro dan Omoda 5 sebagai model ‘sulungnya’ di sini. Dirancang untuk memperkenalkannya pada suku kedua (Q2) tahun ini, kedua-dua model berkenaan telah pun dipertontonkan di sini pada akhir tahun lalu – disasarkan untuk memulakan produksi di sini pada akhir Jun, dengan pelancaran rasminya dijangka bermula akhir Julai ini.

    Chery Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro diperkenalkan di M’sia hujung Julai? Model CKD dipasang oleh Inokom?

    Tiggo 8 Pro merupakan SUV tujuh-tempat duduk yang diberikan enjin 2.0 liter empat-silinder TGDi pengecas turbo petrol untuk pasaran kita. Ia menawarkan kuasa 254 hp dan tork 390 Nm, dan enjin ini dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan. Chery berkata versi PHEV juga akan diperkenalkan di Malaysia pada tahun hadapan.

    Bagi Omoda 5 pula, Malaysia bakal menjadi pasaran pemanduan sebelah-kanan pertama untuk SUV segmen-B ini. Di China, model tersebut ditawarkan dengan enjin 1.6 liter turbo petrol (194 hp/290 Nm) dengan DCT tujuh-kelajuan serta versi AWD 1.5 liter turbo petrol (154 hp/230 Nm) dengan CVT, sama dengan unit yang dipertontonkan di sini pada tahun lalu.

    GALERI: Pra-tonton Chery Omoda 5 di Malaysia

    GALERI: Pra-tonton Chery Tiggo 8 Pro di Malaysia

     
     
  • JPJ eBid: Siri BRK dan KFP bakal dibuka bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Selangor, BRK, bidaan bakal bermula 5 Mac 2023 2023, dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 9 Mac. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 10 Mac 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Kedah pula, KFP, bidaannya bakal dibuka bermula 12 Mac 2023 dan akan berakhir jam 10 malam pada 16 Mac. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 17 Mac ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Pemandu bas tular memandu sambil asyik guna telefon bimbit sudah dikesan dan disaman – Polis

    Pemandu bas tular memandu sambil asyik guna telefon bimbit sudah dikesan dan disaman – Polis

    Susulan video pemandu bas yang tular memandu sambil menggunakan telefon bimbit minggu lalu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesahkan bahawa pemandu berkenaan telah pun dikesan dan dikenakan saman.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PDRM Pulau Pinang, siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku pada 28 Mac lalu di Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan).

    “Polis berjaya mengesan pemandu bas terbabit dan mengarahkan dia hadir ke Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bagi membantu siasatan,” kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.

    Beliau menyatakan bahawa tindakan diambil ke atas pemandu bas berkenaan mengikut Peraturan 17A LN166/59 kerana memandu menggunakan telefon tanpa alat bebas tangan, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

    Pls viral …. Bus company name KPB Bus number ALM9815 Trip Penang to Ipoh

    Posted by Irene Yeap on Friday, 31 March 2023

    Mohd Shuhaily juga mengesahkan bahawa ujian saringan air kencing turut dilakukan ke atas pemandu bas itu dan didapati ia bebas daripada penyalahgunaan dadah.

    Menerusi video berdurasi 21 saat yang tular pada Jumaat lalu, pemandu bas tersebut dilihat asyik melayan sesuatu di dalam telefon bimbit menggunakan dua tangan dan stereng cuma ‘dipegang’ dengan menggunakan siku. Dengan mata yang tertumpu lebih kepada telefon, boleh dilihat pemandu berkenaan hanya sesekali memandang jalan.

    Video tersebut mengundang kemarahan warganet kerana perbuatan itu bukan sahaja membahayakan ramai penumpang di dalam bas berkenaan, malah ia turut boleh melibatkan kehilangan nyawa pengguna jalan raya yang lain sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

     
     
  • Proton sah akan bawa Zeekr ke Malaysia – pesaing terus Tesla dari Geely akan dilancar selepas smart

    Proton sah akan bawa Zeekr ke Malaysia – pesaing terus Tesla dari Geely akan dilancar selepas smart

    Anak syarikat Proton yang mengendalikan jualan dan pengedaran kenderaan smart serta kenderaan tenaga baru (NEV) iaitu Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET) mengesahkan bahawa ia turut akan membawa satu lagi jenama EV dari Geely iaitu Zeekr selepas ini.

    Perkara berkenaan diumumkan dalam satu hantaran yang dibuat di laman Facebook smart Malaysia yang dibuat sempena lawatan menteri perdagangan dan industri Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ke kilang pintar Hangzhou Bay yang memproduksi model-model smart dan Zeekr di Ningbo, China.

    “YB Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, menteri perdagangan dan industri bersama deligasi dari MITI, MIDA, MATRADE, DRB-HICOM, dan Proton membuat lawatan ke kilang pintar Hangzhou Bay di Bandar Ningbo, China.

    Proton sah akan bawa Zeekr ke Malaysia – pesaing terus Tesla dari Geely akan dilancar selepas smart

    “Delegasi berkenaan memandu uji pelbagai model EV, termasuk smart #1 dan benar-benar kagum dengan reka bentuk premium serta teknologi canggih kereta EV daripada Geely dan Zeekr, meningkatkan jangkaan ketibaan kedua-dua jenama itu ke Malaysia, dengan smart #1 dijangka menjadi model pertama berada di atas jalan raya,” tulis kapsyen hantaran tersebut.

    PRO-NET dijangka bakal melancarkan smart #1 pada suku keempat tahun ini di Malaysia selepas perjanjian antara Proton dan smart Automobile Company (smart) dibuat pada Januari 2022, menyaksikan Proton Edar akan menjadi pengedar jenama berkenaan bukan hanya di Malaysia, malah pada pasaran Thailand.

    Ia bukan sahaja akan menyaksikan Proton menyediakan rangkaian pusat jualan dan servis untuk jenama smart, malah turut akan membina rangkaian stesen pengecas EV dengan kerjasama anak syarikat Petronas iaitu Gentari.

    Untuk Zeekr, ia adalah jenama EV yang diwujudkan oleh Geely pada 2021 yang fokus untuk segmen lebih premium untuk berhadapan dengan Tesla serta telah diumumkan akan masuk ke pasaran Eropah tahun ini. Walau bagaimanapun masih belum ada petunjuk bila ia akan di bawa ke Malaysia secara rasmi.

    Model pertama yang dilancarkan dengan lencana Zeekr ini adalah “Shooting Brake” EV Zeekr 001. Ia dibina berasaskan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) dan tampil dalam versi satu motor (pacuan belakang) dan versi dua motor elektrik (satu pada setiap gandar) menjadikan ia sebuah model pacuan semua roda.

    Versi paling berkuasa AWD dengan pek bateri paling besar 100 kWj memberikan bekalan kuasa keseluruhan 544 PS dan tork maksima 768 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat, dan mampu bergerak sejauh 606 km dengan satu cas penuh.

    Model kedua yang diperkenalkan oleh Zeekr pula adalah MPV EV mewah Zeekr 009. Ia turut diasaskan dari platform SEA dan hadir dalam konfigurasi dua motor elektrik berkuasa 544 hp dan tork maksima 686 Nm. Ini membolehkan MPV dengan saiz lebih besar dari Toyota Alphard berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.5 saat.

    MPV EV ini ditawarkan dengan dua jenis kapasiti bateri iaitu 116 kWj menawarkan jarak gerak sejauh 702 km (mengikut kitaran CLTC), dan bateri 140 kWj menawarkan jarak gerak sejauh 822 km dengan satu cas penuh.

    Manakala pada Februari lalu Zeekr telah mendedahkan satu lagi model EV yang digelar Zeekr X, iaitu crossover EV kompak dengan saiz sedikit lebih besar dari smart #1 yang dibina berasaskan platform SEA yang sama.

    Spesifikasi lengkap untuk Zeekr X ini masih belum diumum, namun ada laporan menyatakan ia akan menerima unit rangkaian kuasa yang sama seperti smart #1, dengan pilihan motor tunggal pacuan roda belakang, dan motor berkembar pacuan semua roda. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah antara 272 PS (268 hp atau 200 kW) hingga 428 PS (422 hp atau 315 kW), sementara bateri pula berkemungkinan mempunyai kapasiti 66 kWh.

    Antara tiga model Zeekr ini, yang mana satu anda mahu lihat ia dibawa terlebih dahulu ke Malaysia?

    (KEMASKINI: Kami telah menghubungi Proton dan Pro-Net untuk mendapatkan komen rasmi mengenai perkara ini, dan walaupun kedua-dua pihak tidak dapat mengesahkannya secara langsung bahawa Zeekr akan dibawa ke pasaran tempatan, ia telah mengulangi hasrat untuk mempercepatkan rancangan NEV dalam masa terdekat. Ini mungkin termasuk memperkenalkan pelbagai model daripada portfolio EV Geely yang luas – tidak semestinya Zeekr – selepas pelancaran smart #1 di sini.)

     
     
  • BMW X7 facelift 2023 di Malaysia — CKD, 6-kerusi, mild-hybrid; xDrive40i Pure Excellence dari RM611k

    BMW X7 <em>facelift</em> 2023 di Malaysia — CKD, 6-kerusi, mild-hybrid; xDrive40i Pure Excellence dari RM611k

    BMW X7 facelift 2023 (atau Life Cycle Impulse) dilancarkan di Malaysia bulan lalu dan ketika ini ditawarkan hanya dalam satu varian, xDrive40i Pure Excellence, yang ditampilkan dalam galeri ini. Merupakan model CKD, model yang dikemaskini tersebut dijual pada harga RM611,460 atas jalan tidak termasuk insuran, sudah termasuk sekali jaminan standard dua-tahun tanpa had jarak.

    Jika memilih lanjutan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan serta pakej servis berjadual percuma, harga model ini naik menjadi RM654,800. Termasuk di dalam pembelian ini ialah bantuan tepi jalan BMW dan talian hangat kemalangan serta BMW Group Loyalty+ Mobile App – BMW Privileges Card.

    Perubahan di bahagian luar antaranya termasuk bahagian gril, lampu utama LED, bampar hadapan serta lampu belakang. Di dalam, versi terbaru ini menerima BMW Curved Display, termasuk skrin instrumen 12.3-inci serta skrin sentuh infotainmen 14.9-inci secara standard. Bentuk corong pendingin hawa juga diubah.

    Kemasan kayu yang digunakan bagi model pasaran Malaysia dipanggil sebagai “Lindenwood Fineline” sementara lapik bumbung pula menggunakan pelapik bumbung M “Alcantara”. Turut disediakan ialah jalur lampu suasana di sekeliling kabin.

    Dengan konfigurasi enam tempat duduk, barisan kedua menggunakan kerusi kapten yang berasingan dan semua tempat duduk dibalut dengan kain Sensafin. Bumbung panoramik besar memberikan suasana lebih cerah dalam kereta, manakala ruang simpanan barang pula boleh mencecah sehingga 750 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat.

    X7 xDrive40i facelift ini terus dipacu oleh enjin enam-silinder 3.0 liter turbo B58, tetapi kuasanya telah ditingkatkan sedikit menjadi 380 PS (375 hp atau 280 kW) dan tork 520 Nm (boleh dinaikkan sekejap sehingga 540 Nm dengan fungsi boost) — naik 47 PS (47 hp atau 35 kW) dan 70 Nm berbanding sebelum ini.

    Model ini juga sekarang dilengkapi sistem hibrid ringkas 48-volt melalui penggunaan motor elektrik 12 PS (12 hp atau 9 kW) dan 200 Nm yang terletak di dalam perumah transmisi automatik lapan-kelajuan Steptronic Sport. Dengan pakej ini, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat dan mencecah kelajuan maksimum 250 km/j.

    Sistem bantuan pemandu yang disediakan pada SAV ini adalah termasuk Parking Assistant Professional and Driving Assistant, yang memberikan Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Front Collision Warning, Rear Crossing Traffic Warning, Rear Collision Prevention serta Reversing Assistant Professional.

    Lima warna badan ditawarkan untuk X7 2023 facelift ini, iaitu Sparkling Copper Grey Metallic, Blue Ridge Mountain Metallic, Skyscraper Grey Metallic, Mineral White Metallic dan Black Sapphire Metallic. Untuk kemasan dalam pula, dua skema warna disediakan — Sensafin Black dan Sensafin Cognac.

     
     
  • VIDEO: Pemandu bas asyik main telefon sambil memandu dicari polis, bahayakan nyawa penumpang

    VIDEO: Pemandu bas asyik main telefon sambil memandu dicari polis, bahayakan nyawa penumpang

    Sekarang ini semakin banyak video atas jalan raya yang tular dan terbaru, menunjukkan seorang pemandu bas, yang yang sedang menjalankan tugas sambil lewa seterusnya meletakkan nyawa penumpang di dalam bahaya.

    Dimuat naik oleh pengguna Facebook dengan nama Irene Yeap, kejadian dikatakan berlaku di dalam sebuah bas syarikat KPB bernombor pendaftaran ALM 9815 yang sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menghala ke Ipoh. Tarikh bagaimanapun tidak dinyatakan.

    Dalam video berdurasi 21 saat tersebut, pemandu bas dilihat asyik melayan sesuatu di dalam telefon bimbit menggunakan dua tangan dan stereng cuma ‘dipegang’ dengan menggunakan siku. Dengan mata yang tertumpu lebih kepada telefon, kita boleh melihat hanya sesekali dia memandang jalan.

    Pls viral …. Bus company name KPB Bus number ALM9815 Trip Penang to Ipoh

    Posted by Irene Yeap on Friday, 31 March 2023

    Perlakuan seperti ini boleh membawa kepada kemalangan dan memburukkan lagi keadaan, apabila sebuah bas, ia boleh melibatkan lebih banyak nyawa. Sebagai pemandu bas, individu di dalam video itu sepatutnya sedar tanggungjawab yang dipikul untuk memastikan keselamatan penumpang.

    Polis juga sedang mencari pemandu bas ini, dengan menyeru dia datang sendiri menyerah diri ke mana-mana Balai Trafik IPD berdekatan, sementara bagi orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini, anda boleh menyalurkan informasi FB Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM atau emel kepada [email protected].

     
     
  • Bangkok 2023: Ford Ranger Stormtrak diletakkan antara Wildtrak dan Raptor, rim 20 inci, skrin 12.4 inci

    Bangkok 2023: Ford Ranger Stormtrak diletakkan antara Wildtrak dan Raptor, rim 20 inci, skrin 12.4 inci

    Di Thailand, ada satu varian Ranger baru yang dipanggil sebagai Stormtrak. Ia diletakkan di tengah-tengah antara Wildtrak dan Raptor, tetapi tidak mempunyai sebarang peningkatan prestasi seperti Wildtrak. Cumanya, ia datang dengan pelbagai kelengkapan tambahan, dan kebanyakan daripadanya sangat menarik perhatian.

    Ranger Stormtrak digerakkan oleh enjin diesel turbo 2.0 liter EcoBlue versi bi-turbo, mampu menghasilkan 210 PS pada 3,750 rpm dan tork 500 Nm antara 1,750 hingga 2,000 rpm. Kotak gear adalah unit automatik torque converter 10 kelajuan, yang menghantar kuasa sama ada kepada dua roda belakang sahaja (2WD) atau kesemua tayar melalui sistem 4×4 part-time.

    Dari jauh Stormtrak nampak seperti Wildtrak dan senarai kelengkapannya memang mengikut varian itu, tetapi apabila datang lebih dekat anda akan menyaksikan terdapat tambahan lampu LED tiga bintik (dua unit) pada grilnya. Gril tersebut, bersama kemasan di sekelilingnya yang ditarik sehingga ke bahagian bawah bampar diwarnakan hitam berkilat sementara tulisan Ranger diletakkan di atas bonet.

    Dari bahagian tepi anda akan dapat melihat rim 20 inci warna hitam dengan sedikit penanda merah. Lengkuk roda dan penutup cermin sisi juga diwarnakan hitam berkilat, dan terdapat lencana Stormtrak pada bahagian bawah pintu serta tailgate. Rim itu sendiri adalah lebih besar berbanding unit 18 inci yang digunakan pada Wildtrak, dan ia dibalut tayar 255/55.

    Jika melihat bahagian belakangnya, anda pasti boleh melihat Ranger Stormtrak ini seperti mempunyai ‘spoiler besar’. Ia sebenarnya adalah sports bar jenis fleksibel, yang boleh dilungsurkan ke hadapan dan belakang. Pemilik juga diberikan dengan rak bumbung boleh laras, dan mereka boleh menambah penutup tailgate elektrik. Warna model yang anda lihat dalam gambar ini adalah Sedona Orange dan merupakan warna istimewa yang memerlukan bayaran tambahan 10,000 baht (RM1,284). Warna lain yang disediakan adalah Arctic White, Meteor Grey dan Absolute Black.

    Pada bahagian dalam, Stormtrak mendapat skrin digital 12.4 inci, yang jauh lebih besar berbanding unit 8.0 inci pada Wildtrak. Tombol gear biasa juga diganti dengan e-shifter, dan terdapat sistem park assist automatik penuh. Kemasan berwarna oren menaikkan seri dalam trak ini dan anda boleh melihat logo Stormtrak pada tempat duduk hadapan serta kemasan papan pemuka.

    Ford Ranger Stormtrak dijual di Thailand pada harga bermula 1,264,000 baht (RM162,374) untuk versi 4×2 dan 1,399,000 baht (RM179,736) untuk versi 4×4. Apa pendapat anda dengan trak yang mendapat kelengkapan sebegini? Adakah ia boleh dijual di Malaysia?

     
     
  • Rapid Rail tingkatkan usaha mitigasi atasi gangguan perkhidmatan rel untuk LRT, MRT dan monorel

    Rapid Rail tingkatkan usaha mitigasi atasi gangguan perkhidmatan rel untuk LRT, MRT dan monorel

    Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan LRT, Monorel dan operator kepada perkhidmatan MRT di Lembah Klang mengesahkan pihaknya kini giat menjalankan usaha untuk mengenal pasti serta mengatasi beberapa isu berkaitan operasi rel yang telah mengakibatkan gangguan perkhidmatan sejak kebelakangan ini.

    Ini susulan beberapa insiden gangguan perkhidmatan yang melibatkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya serta MRT Laluan Kajang dan Putrajaya yang telah mengakibatkan kelewatan jadual perjalanan dan kesesakan di platform.

    “Siasatan awal atas semua kejadian gangguan mendapati bahawa ia tidak berpunca daripada kegagalan keseluruhan sistem tetapi hanya melibatkan beberapa sub-komponen tertentu.

    “Selain menggiatkan usaha penambahbaikan, antara langkah mitigasi yang dilakukan oleh Rapid Rail bagi mengatasi gangguan yang dialami termasuk meningkatkan bilangan kakitangan teknikal di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti serta menyediakan alat ganti kritikal di stesen-stesen agar proses baik pulih dapat dilakukan dengan lebih singkat sekali gus mengurangkan tempoh masa gangguan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Rapid Rail tingkatkan usaha mitigasi atasi gangguan perkhidmatan rel untuk LRT, MRT dan monorel

    Tambahnya, kesemua usaha penambahbaikan yang dilakukan adalah bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan pengangkutan berkualiti untuk para pengguna. Ia juga selari dengan komitmen Rapid Rail untuk memastikan keselamatan dan keselesaan para pengguna perkhidmatan rel sentiasa terpelihara.

    “Rapid Rail memohon maaf kepada semua pengguna atas kesulitan yang dialami ketika menempuh waktu gangguan ini dan amat menghargai sokongan orang ramai terhadap perkhidmatan pengangkutan awam kendalian kami,” katanya.

    Pada 29 Mac lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menggesa supaya Rapid Rail menyelesaikan segera isu teknikal yang kerap kali dihadapi oleh perkhidmatan LRT dan MRT. Menurut Loke, langkah itu bagi membolehkan syarikat terbabit memberikan laporan penuh kepada kementerian berhubung kekerapan perkhidmatan itu berdepan masalah teknikal.

    Berikut merupakan beberapa insiden gangguan terkini yang melibatkan perkhidmatan MRT & LRT:

    22 Mac 2023 – LRT Laluan Kelana Jaya – Gangguan perkhidmatan bermula jam 6.37 petang yang mana sebuah tren tidak dapat dipandu secara automatik dari Stesen Taman Melati menghala ke Stesen Gombak. Siasatan awal mendapati ‘Remote Loop Box’ telah gagal berfungsi akibat kerosakan komponen yang telah disambar petir.

    23 Mac 2023 – MRT Laluan Putrajaya – Mengalami kelewatan pada jadual perjalanan pada jam 5.33 petang akibat suis di landasan yang terletak di antara Stesen Kampung Batu dan Kentonmen tidak berfungsi. Kegagalan tersebut telah menyebabkan waktu menunggu di stesen terbabit bertambah sehingga 7 minit.

    Susulan kejadian tersebut, Rapid Rail telah mengarahkan pihak turnkey contractor untuk menjalankan pemeriksaan pada semua Junction Box bagi menyemak dan mengesahkan pemasangan komponen di dalam Junction Box.

    27 Mac 2023 – MRT Laluan Kajang – Sebuah tren (Nombor 51) di MRT Laluan Kajang telah terhenti secara tiba-tiba akibat kehilangan sumber kuasa. Dalam insiden tersebut berlaku pada jam 8.30 pagi itu, tren tersebut dilaporkan kehilangan sumber kuasa disebabkan kegagalan komponen pada sistem kawalan tren. Rapid Rail kini sedang bekerjasama dengan pihak pengeluar tren untuk menganalisa data terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kegagalan komponen tersebut.

    27 Mac 2023 – LRT Laluan Kelana Jaya – Pada jam 6.31 petang, gangguan perkhidmatan di antara Stesen Taman Bahagia dan Stesen Taman Paramount telah dilaporkan. Gangguan tersebut berpunca daripada salah satu komponen Sistem Keselamatan Hentian Kecemasan Pencerobohan Penumpang atau ‘Passenger Intrusion Emergency Stop’ (PIES) yang telah tersangkut di bawah tren (Nombor 63) sehingga menyebabkan tren tersebut terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan.Siasatan terperinci kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kerosakan pada sistem berkenaan.

    28 Mac 2023 – MRT Laluan Kajang – Sebuah tren (Nombor 30) telah bergerak perlahan dengan kelajuan 5km/j bermula di Stesen Pasar Seni sehingga Stesen Tun Razak Exchange akibat daripada kegagalan sistem brek. Siasatan awal mendapati terdapat kebocoran angin pada salah satu silinder brek yang menyebabkan brek tersebut tidak dapat dilepaskan. Ini adalah kali pertama kejadian sedemikian berlaku bagi MRT Laluan Kajang.

    Tren yang mengalami kerosakan tersebut telah dikeluarkan daripada perkhidmatan dan dibawa pulang ke depoh bagi membolehkan pihak teknikal menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kebocoran tersebut.

    29 Mac 2023 – MRT Laluan Putrajaya – Perkhidmatan mengalami kelewatan disebabkan gangguan suis landasan di antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Damansara Damai. Gangguan tersebut dilaporkan berlaku pada jam 6.57 pagi menyebabkan tren terpaksa bergerak perlahan dan berhenti lebih lama di stesen.

    Perkhidmatan bas perantara percuma juga telah disediakan melibatkan lima buah bas di antara Stesen Kwasa Damansara ke Stesen Metro Prima. Kerja-kerja baik pulih segera dijalankan oleh kakitangan teknikal Rapid Rail di lokasi dan gangguan suis landasan telah berjaya dipulihkan sepenuhnya pada jam 8.35 pagi.

    Rapid Rail sedang bekerjasama dengan pihak turnkey contractor menjalankan pemeriksaan pada semua sistem suis di sepanjang laluan serta menganalisis data bagi mengenal pasti faktor yang menyebabkan isu ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025