Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Bajet 2023: Pas perjalanan My50 akan diteruskan

    Bajet 2023: Pas perjalanan My50 akan diteruskan

    Antara perkara yang disentuh dalam pembentangan Bajet 2023 oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi adalah hal berkaitan pengangkutan awam. Yang dimaksudkan adalah pas perjalanan dengan bas di bawah Prasarana.

    Kerajaan meneruskan inisiatif pas perjalanan bulanan My50 untuk manfaat hampir 180 ribu pengguna seperti yang pernah diumumkan sebelum ini. Di Johor pula, Prasarana juga secara rintis akan memperkenalkan Pas Perjalanan Tanpa Had myBAS50 untuk manfaat rakyat Johor Bharu yang menggunakan perkhidmatan bas henti-henti di bawah Program SBST.

    Bagi lokasi lain, Kerajaan juga menyediakan 150 juta ringgit antaranya bagi tujuan untuk memperluas pelaksanaan Program SBST ke bandar-bandar utama seperti Melaka, Kuching dan Kota Kinabalu.

     
     
  • Bajet 2023: RM50 juta untuk pasang lampu jalan, RM5.2 bilion untuk selenggara jalan dengan segera

    Bajet 2023: RM50 juta untuk pasang lampu jalan, RM5.2 bilion untuk selenggara jalan dengan segera

    Dalam bahagian kedua Ikhtiar 5: Pembaharuan Sektor Awam yang bertajuk menyegerakan projek prasarana rakyat, dalam kemas kini Bajet 2023 yang dibentangkan oleh perdana menteri dan menteri kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim terdapat beberapa perkara berkaitan dengan masalah keselamatan jalan raya yang mahu ditangani.

    Lima peruntukan dinyatakan dalam bahagian ini, bermula dengan RM2.7 bilion untuk menyelenggarakan dan menaik taraf jalan persekutuan. Dalam masa sama, bagi melaksanakan penyelenggaran kecil, 300 juta ringgit disediakan khusus untuk kontraktor G1 hingga G4. Kemudiannya, RM1.5 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf dan membina jalan perhubungan desa dan jalan-jalan luar bandar baru.

    Bagi isu jalan-jalan berlubang, kerajaan menyediakan RM100,000 bagi setiap daerah, dan khidmat jurutera daerah akan digunakan untuk menyegerakan penurapan kerosakan jalan persekutuan serta pembaikan segera lain berdasarkan aduan rakyat yang diterima.

    Bajet 2023: RM50 juta untuk pasang lampu jalan, RM5.2 bilion untuk selenggara jalan dengan segera

    Peruntukan kepada Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) juga akan ditingkatkan kepada RM5.2 bilion, dan Kerajaan Persekutuan telah memberi kelonggaran termasuk membenarkan penggunaan MARRIS untuk membaiki dan mengganti jalan, jambatan dan longkang yang rosak akibat bencana.

    Berkenaan dengan keselamatan jalan juga, kerajaan menyediakan RM50 juta untuk pemasangan lampu-lampu jalan khususnya di kawasan berkemalangan tinggi dalam kadar yang segera.

     
     
  • Bajet 2023: Kerajaan serap bayaran ujian lesen B2 motosikal dan PSV teksi, bas dan e-hailing

    Bajet 2023: Kerajaan serap bayaran ujian lesen B2 motosikal dan PSV teksi, bas dan e-hailing

    Sekarang ini perdana menteri, yang juga menteri kewangan sedang membentangkan Bajet 2023 yang dikemaskini di parlimen. Seperti biasa, kami akan memberi perhatian kepada hal-hal berkaitan automotif dan pengangkutan yang terangkum di dalamnya.

    Sama seperti Bajet yang dibentangkan Oktober tahun lalu, Anwar sekali lagi mengumumkan bahawa bayaran ujian lesen untuk B2 motosikal, bas serta e-hailing akan diserap oleh kerajaan. Ini adalah sesuatu yang baik bagi mereka yang baru mahu mendapatkan lesen motosikal (bawah 250 cc) serta PSV.

    Berdasarkan tinjauan, bayaran ujian lesen B2 sekarang ditetapkan pada RM17 untuk Bahagian 1 dan RM20 untuk Bahagian 2 (termasuk dengan sewa motosikal dan penggunaan litar ujian). Secara keseluruhan, kebanyakan sekolah memandu meletakkan harga antara RM500 antara RM800 untuk mengambil ujian motosikal B2, dengan ia termasuk penggunaan litar, sesi latihan serta sewa motosikal.

     
     
  • Bajet 2023: Hal-hal berkaitan automotif, pengangkutan

    Bajet 2023: Hal-hal berkaitan automotif, pengangkutan

    Bajet 2023 yang dikemaskini dibentangkan petang ini oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di parlimen. Kami akan memberi perhatian kepada hal-hal berkaitan automotif dan pengangkutan yang terangkum di dalamnya.

    Pembentangan Bajet 2023 tahun lalu oleh pentadbiran sebelumnya pada Oktober 2022 turut menyentuh perkara seperti kenderaan elektrik import sepenuhnya (CBU), yang akan dikecualikan daripada duti import dan duti eksais hingga 31 Disember 2024, yang merupakan lanjutan setahun daripada tempoh asal yang diumumkan berakhir 31 Disember 2023.

    Mungkin akan ada insentif EV yang akan diumumkan, susulan beberapa pengumuman yang dilakukan dalam tempoh terdekat sebelum ini. Sebagai contoh, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan berhasrat untuk menawarkan insentif EV tambahan, dan Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga pernah memaklumkan bahawa insentif yang cadangkan itu sudah pun diserahkan kepada Kementerian Kewangan.

    Turut dijangka akan diumumkan ialah bajet berkaitan subsidi bersasar, yang menurut PM10 ingin beliau tangani dalam masa secepat mungkin. Dan, seperti biasa, selain hal automotif, kami juga akan memberi perhatian kepada perkara berkaitan pengangkutan awam dan prasarana. Kemaskini semuanya akan disertakan di sini.

    Senarai perkara terbabit adalah seperti berikut:

    Tanggung kos ujian pengambilan lesen
    Kerajaan akan menanggung kos ujian bagi penunggang motosikal kelas B2 (250 cc ke bawah). Kerajaan juga akan menyerap kos sama bagi teksi, bas dan lesen PSV e-hailing.

    Tarif elektrik
    Tarik elektrik masih dikekalkan bagi semua pengguna domestik dan perniagaan SME. Sebaliknya, bagi syarikat besar (kecuali dalam sektor makanan dan pertanian) telah dinaikkan. Ini bermakna, tiada kenaikan kos sekiranya pengguna mengecas EV di rumah.

    Naik taraf lapangan terbang
    Kerajaan mempunyai perancangan untuk mempertingkat dan menambahbaik kapasiti di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan lapangan terbang Subang.

    Naik taraf jalan

    • Kerajaan menyediakan 2.7 bilion ringgit untuk menyelenggarakan dan menaik taraf jalan persekutuan.
    • Sejumlah 1.5 bilion ringgit juga disediakan bagi menaik taraf dan membina baru jalan perhubungan desa dan jalan-jalan luar bandar.
    • Bagi isu jalan-jalan berlubang, khidmat Jurutera Daerah akan digunakan untuk menyegerakan penurapan kerosakan jalan persekutuan serta pembaikan segera lain berdasarkan aduan rakyat yang diterima. Kerajaan menyediakan 100 ribu ringgit untuk setiap daerah.
    • Sejumlah 50 juta ringgit disediakan untuk segera memasang lampu-lampu jalan khususnya di kawasan berkemalangan tinggi.
    • Kerjaan akan membina jalan baru dari Habu ke Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang dengan kos sebanyak 480 juta ringgit.
    • Menaiktaraf Jalan Tun Hamzah ke persimpangan Semabok Lebuh AMJ Daerah Melaka Tengah dengan kos sebanyak 300 juta ringgit.
    • Membina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang dengan kos projek 160 juta ringgit.
    • Menambah baik kemudahan jaringan lebuhraya ke Pengerang melalui pembinaan lorong memotong di Senai Desaru Expressway. Kerajaan juga bersetuju melaksanakan projek naik taraf Lebuhraya Utara Selatan di dari Yong Peng Utara ke Senai Utara – Fasa 1, Johor daripada empat kepada enam lorong dengan kos 525 juta ringgit secara berfasa.

    Sabah dan Sarawak

    Kerajaan komited meneruskan dan menyegerakan pelaksanaan lebuh raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak-Sabah Link Road yang dianggarkan melibatkan kos keseluruhan 20 bilion ringgit dengan jajaran lebih daripada 1,000 kilometer.

    Pengangkutan

    Di bawah Prasarana, Kerajaan meneruskan inisiatif pas bulanan My50 untuk manfaat hampir 180 ribu pengguna.

    Prasarana juga secara rintis akan memperkenalkan Pas Perjalanan Tanpa Had myBAS50 untuk manfaat rakyat Johor Bharu yang menggunakan perkhidmatan bas henti-henti di bawah Program SBST.

    Kerajaan juga menyediakan 150 juta ringgit antaranya bagi memperluas pelaksanaan Program SBST ke bandar Melaka, Kuching dan Kota Kinabalu.

    MRT3

    Bagi Projek Mass Rapid Transit 3 (MRT3), pada asalnya tahun 2018 projek ini dianggarkan melibatkan kos 68 bilion ringgit. Tahun lalu, proses perolehan projek dimulakan dan kos projek dianggarkan 50 bilion ringgit. Kerajaan kini akan mengkaji semula perincian projek untuk memastikan nilai terbaik dan yakin akan dapat mencapai penjimatan tambahan sekurang-kurangnya di bawah RM45 bilion. Usaha ini selaras dengan pembaharuan tatakelola untuk mengurangkan kos perolehan demi mencapai penjimatan yang dapat diagihkan semula untuk manfaat rakyat.

     
     
  • VIDEO: Honda City culas bayar tol di Lebuhraya NPE, terlanggar sedikit bampar belakang Proton X50

    VIDEO: Honda City culas bayar tol di Lebuhraya NPE, terlanggar sedikit bampar belakang Proton X50

    Satu lagi video paparan dashcam yang merakamkan sebuah Honda City culas membayar kadar tol di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) menghala ke Subang Jaya. Video hasil rakaman yang dikongsikan oleh Joshua Lim menerusi laman Facebook Dashcam Owners Malaysia memaparkan kejadian yang berlaku pada 21 Februari lalu, kira-kira jam 7.51 malam, kelihatan pemandu City berkenaan bergegas memasuki lorong SmartTag dan ‘mencucuk’ rapat Proton X50 yang dipandu oleh Joshua.

    Disebabkan ingin melepasi palang tol dengan kadar pantas, pemandu City berkenaan juga terlanggar (atau mungkin tindakan yang disengajakan) sedikit bahagian bampar belakang X50 Joshua dan kemudian terus memecut laju.

    Menurut Joshua, dia tidak dapat mengejar pemandu City terbabit kerana berlainan arah ditujui. Namun dia berharap pemandu City yang tidak bertanggungjawab itu bakal ditangkap pihak berkuasa.

    Hasil semakan yang dilakukan oleh netizen yang memberi respons terhadap kejadian ini mendakwa Honda City dengan nombor plat pendaftaran WB9453E mempunyai 10 saman trafik tertunggak dan insurans kenderaan juga telah tamat tempoh. Memang pantas ‘tentera netizen’ buat kerja ‘risikan’!

     
     
  • Toyota Vios 2023 dibuka tempahan di M’sia – CarPlay tanpa wayar, corong AC belakang; RM90k-RM96k

    Toyota Vios 2023 dibuka tempahan di M’sia – CarPlay tanpa wayar, corong AC belakang; RM90k-RM96k

    Beberapa hari lalu UMW Toyota telah mendedahkan teaser tanpa sebarang foto bagi Toyota Vios generasi baharu, dan mengesahkan ia akan diperkenalkan pada hari ini. Selebriti tempatan, Sean Lee pula mendedahkan beberapa foto teaser Vios 2023 menerusi laman Instagramnya.

    Bagi ‘menunaikan janjinya’ petang ini, UMW Toyota mengesahkan Vios yang kini mahu dikenali sebagai model fastback berbanding sedan, sudah bersedia untuk menerima tempahan. Walau pun belum mendedahkan secara rasmi perincian mengenai Vios 2023, menerusi risalah yang sedang bersebaran di laman media sosial oleh wakil penjual Toyota, ia ditawarkan dengan dua varian iaitu Vios 1.5E AT dan Vios 1.5G AT yang kedua-duanya diletakkan dengan harga jangkaan antara RM90,000 hingga RM96,000.

    Seperti yang diketahui sebelum ini, Toyota Vios generasi baharu ini diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) iaitu platform yang berkait rapat dengan Perodua Ativa, Alza 2022 dan Axia 2023, bagi menggantikan platform model generasi ketiga yang telah digunakan sejak 2013.

    Toyota Vios 2023 dibuka tempahan di M’sia – CarPlay tanpa wayar, corong AC belakang; RM90k-RM96k

    Ia menampilkan dimensi panjang keseluruhan 4,410 mm, lebar 1,740 mm, tinggi 1,480 mm dan jarak roda sejauh 2,620 mm. Jadi berbanding model sebelumnya, Vios generasi baharu menampilkan panjang keseluruhan yang hampir sama, tetapi 10 mm lebih lebar dan 5 mm lebih rendah. Manakala jarak rodanya pula adalah 70 mm lebih panjang yang tentunya memberi gambaran bahawa bahagian kabinnya dapat dihasilkan lebih luas.

    Apa yang menarik, Vios generasi baharu ini tidak lagi menggunakan enjin 2NR-FE Dual VVT-i sebaliknya digantikan dengan enjin 2NR-VE, iaitu enjin yang sama boleh ditemui pada Perodua Alza 2022 dan juga Perodua Myvi facelift 2022.

    Enjin 1.5L Dual VVT-i tersebut menghasilkan kuasa 105 hp (106 PS) pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 138 Nm pada takat 4,200 rpm. Angka-angka ini adalah seiras dengan kuasa yang ditala pada Alza, serta 3 hp dan 1 Nm lebih tinggi berbanding Myvi, juga 1 PS/2 Nm kurang berkuasa dari model generasi sebelumnya.

    Bagi ciri baharu kelengkapannya, ia diberikan paparan audio sembilan-inci dengan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar serta corong pendingin hawa untuk tempat duduk penumpang belakang. Selain itu, antara ciri lain yang turut ditampilkan termasuklah rim aloi bersaiz 17-inci, tiga mod pemanduan (Power, Eco, Normal), brek parkir elektronik dengan penahan brek auto, paparan pandangan panoramik 3D (PVM) dan Paparan Titik Buta (BSM) dengan Kepekaan Trafik Lintasan Belakang (RCTA).

    Untuk aspek keselamatan pula, Vios 2023 ini digandingkan dengan Toyota Safety Sense yang merangkumi Lane Departure Prevention, Lane Departure Warning, Front Departure Alert, Pre-Collision System, Lane Keeping Control, Adaptive Cruise Control dan Auto High Beam.

    Untuk pasaran Malaysia, Vios 2023 diberikan lima-tahun waranti tanpa had perbatuan. Ia juga didatangkan dengan lima pilihan warna iaitu Silver Metallic, Nebula Blue Metallic, Spicy Scarlet SE, Attitude Black dan Platinum White Pearl.

    Untuk mengetahui lebih terperinci mengenai Vios 2023 ini, kita nantikan UMW Toyota mendedahkannya secara rasmi.

     
     
  • Polis Perak beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 25-26 Feb 2023 di Silverlake Village Outlet, Batu Gajah

    Polis Perak beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 25-26 Feb 2023 di Silverlake Village Outlet, Batu Gajah

    Sempena dengan Karnival Kerjaya MyFutureJobs & Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, Perak bakal menawarkan pengurangan saman trafik terpilih sebanyak 50% pada 25 hingga 26 Februari 2023. Program berkenaan akan berlangsung di Silverlake Village Outlet, Batu Gajah, dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

    Menurut IPD Batu Gajah, hanya pembayaran secara tunai sahaja yang akan diterima untuk melangsaikan saman trafik terpilih ini.

    Walau bagaimana pun, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

     
     
  • River Indie dilancar di India – skuter elektrik dengan pelbagai kemudahan unik, jarak gerak 120 km, 9 hp

    River Indie dilancar di India – skuter elektrik dengan pelbagai kemudahan unik, jarak gerak 120 km, 9 hp

    Pasaran India kini menerima satu lagi skuter elektrik dalam pasaran, iaitu River Indie, keluaran sebuah syarikat tempatan baru, Indie yang berpusat di Bengaluru. Tempahan awal untuk skuter ini sudah pun dibuka 125,000 rupee (RM6,700), dan penghantaran kepada pelanggan dijangka bermula awal bulan Ogos tahun ini.

    Dipanggil oleh River sebagai sebuah “skuter SUV”, Indie dibangunkan dengan pelbagai kelengkapan yang dapat membantu memudahkan pengguna serta penampilan sedikit pelik dengan dua lampu petak di hadapan seakan Yamaha NEO’S yang mula memasuki pasaran bermula tahun ini. Lampu belakang itu juga seperti sudah pernah dilihat sebelum ini.

    Meskipun baru tiba dalam pasaran, Indie cuba menarik perhatian dengan kelengkapan unik antaranya seperti besi pada panel tepi yang boleh bertindak sebagai pelindung dan juga tapak kepada beg barangan, peletak kaki yang boleh dilipat sekiranya tidak diguna, poket simpanan bawah pemegang 12 liter dengan soket USB, ruang simpanan bawah tempat duduk 43 liter dan ruang letak kaki luas.

    Informasi penting operasi skuter ini dipaparkan pada skrin digital yang terletak di tengah pemegang, dan tempat duduk cukup luas untuk dua orang. Rim menggunakan saiz 14 inci, sementara sistem brek pula kedua-dua bahagian hadapan dan belakang datang dengan unit cakera (CBS).

    Motor elektrik pada skuter ini boleh menghasilkan kuasa sehingga 9 hp dan tork 26 Nm, dan bateri lithium ion 4 kWh padanya boleh memberikan jarak gerak sehingga 120 km dengan sekali cas penuh dan laju maksimum 90 km/j. Untuk dicas semula, ia perlu mengambil masa lima jam (0-80%).

     
     
  • Rapid KL umum tren LRT Laluan Ampang/Sri Petaling antara Stesen Sentul Timur-Bandaraya dikurangkan

    Rapid KL umum tren LRT Laluan Ampang/Sri Petaling antara Stesen Sentul Timur-Bandaraya dikurangkan

    Rapid KL mengumumkan perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling yang melibatkan antara stesen Sentul Timur dan stesen Bandaraya kini beroperasi dengan kekerapan setiap 12 minit ekoran beberapa tren yang terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sejak 27 Januari lalu, hanya lima buah tren digunakan di antara stesen-stesen tersebut. Dan disebabkan kerosakan struktur dan landasan berhampiran stesen Bandaraya, tren-tren tersebut tidak dapat kembali ke depoh LRT di Ampang untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

    “Tiga daripada lima buah tren tersebut terpaksa dikeluarkan kerana tidak lagi memenuhi kriteria operasi. Kini, jumlah tren yang dapat beroperasi adalah sebanyak dua buah tren sahaja.

    “Bagi menampung dan mengendalikan penumpang-penumpang yang terjejas, perkhidmatan bas perantara (LRT11) di antara stesen Sentul Timur dan Bandaraya diaktifkan bermula waktu puncak petang ini. Sebanyak sepuluh buah bas akan digunakan bagi perkhidmatan ini,” kata Rapid KL.

    Rapid KL umum tren LRT Laluan Ampang/Sri Petaling antara Stesen Sentul Timur-Bandaraya dikurangkan

    Rapid KL menambah, perkhidmatan bas perantara LRT11 ini akan berhenti di stesen Sentul Timur, Sentul, Titiwangsa, PWTC, Sultan Ismail dan Bandaraya.

    “Perjalanan sehala menaiki bas perantara dari Sentul Timur ke Bandaraya dijangka mengambil masa selama 30 minit. Bagi mengawal pergerakan penumpang di stesen dan platform, anggota operasi rel, anggota Polis Bantuan dan Troopers akan ditempatkan di stesen-stesen yang terlibat.

    “Kami memahami kesukaran yang dihadapi oleh para penumpang dan memohon maaf di atas segala kesulitan. Kesabaran para penumpang amat kami hargai,” katanya lagi.

     
     
  • Bajet 2023 bakal dibentangkan oleh PM10 Anwar Ibrahim jam 4 petang ini – nantikan bersama kami

    Bajet 2023 bakal dibentangkan oleh PM10 Anwar Ibrahim jam 4 petang ini – nantikan bersama kami

    Seperti yang semua sedia maklum hari ini, Perdana Menteri ke-10 merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan atau Bajet 2023 Malaysia Madani, jam 4 petang.

    Ia merupakan belanjawan sulung Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar yang pastinya memfokuskan pelbagai isu yang mengambil kira kepentingan rakyat khususnya melibatkan kos sara hidup. Malahan sebelum ini beliau memberi jaminan bahawa Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula ini bakal memenuhi keperluan setiap lapisan masyarakat.

    Dan sudah pasti isu mengenai industri automotif, pengangkutan awam dan juga infrastruktur jaringan jalan raya bakal menjadi tumpuan utama kami di paultan.org yang bersedia melaporkan perkembangan mengenainya. Pastinya perkembangan mengenai subsidi bersasar bahan api bakal dinanti-nantikan. Jadi, nantikan perkembangan kesemua isu berkenaan bersama kami.

     
     
  • JPJ eBid: Siri nombor JWC sedia untuk dibida

    JPJ eBid: Siri nombor JWC sedia untuk dibida

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran bagi kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia kini boleh dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Johor, JWC, telah pun dibuka bidaan sejak semalam, 23 Februari 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 27 Februari ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 28 Februari 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Perodua Axia RS – bayangan digital versi lebih sporty dengan kit badan, rim lebih besar dan dua tip ekzos

    Perodua Axia RS – bayangan digital versi lebih sporty dengan kit badan, rim lebih besar dan dua tip ekzos

    Selepas Perodua Axia 2023 didedahkan kepada media pada awal bulan ini, kembarnya di Indonesia iaitu Toyota Agya 2023 kemudiannya turut membuat penampilan pertamanya seminggu selepas itu. Apa yang menarik, Agya turut diperkenalkan sekali dalam varian lebih sporty iaitu Agya GR Sport.

    Agaknya bagaimana rupa jika Perodua turut menghasilkan Axia dalam versi lebih sporty? Ini dia Perodua Axia RS, hasil bayangan digital dari pakar manipulasi automotif tempatan, Theophilus Chin. Theo menghasilkan Axia RS ini dengan mengambil model varian tertinggi Axia RS sebagai asas.

    Asas muka Axia RS ini masih kekal sama dengan model AV, tetapi Theo mengubah elemen gril asal kepada corak sarang lebah bersama jalur krom yang kelihatan seperti bersambung dengan jalur LED di dalam kluster lampu hadapan, serta dilekatkan dengan emblem ‘RS’ berwarna merah.

    Tiada lampu nyalaan siang pada bampar dan bahagian berkenaan digantikan dengan liang udara bersaiz besar juga dengan elemen gril sarang lebah. Juga terdapat spoiler berwarna hitam pada bahagian bawah bampar hadapan.

    Perodua Axia RS – bayangan digital versi lebih sporty dengan kit badan, rim lebih besar dan dua tip ekzos

    Pada profil sisi, Theo memberikan skirt yang lebih labuh yang turut diberikan kemasan hitam bagi diselarikan dengan spoiler dagu hadapan. Rim aloi 14-inci pada Axia AV berkenaan turut diganti dengan rim berdiameter lebih besar berwarna hitam dengan serlahan jalur merah pada dua jejari rim berkenaan.

    Di belakang, Axia RS ini diberikan bampar dengan kemasan diffuser berwarna hitam yang turut menempatkan dua tip ekzos. Theo turut menggantikan spoiler bumbung asal yang kecil kepada yang lebih besar. Bagi memberikan imej lebih garang, bumbung Axia RS ini diberikan warna hitam bermula dari tiang-A hingga spoiler belakang.

    Walaupun Perodua tidak menghasilkan varian sebenar Axia RS, bayangan digital yang dihasilkan oleh Theo ini dapat menyerlahkan sisi sporty Axia generasi baharu berkenaan. Bagi mereka yang sudahpun membeli Axia ini atau sudahpun menempahnya, mungkin ada yang dah ‘teracun’ untuk mengubahsuai Axia masing-masing dengan inspirasi dari Axia RS ini?

    GALERI: Perodua Axia AV 2023

    GALERI: Perodua Axia SE 2023

    GALERI: Perodua Axia X 2023 dengan GearUp

    GALERI: Perodua Axia G 2023

    GALERI: Perodua Axia 2023 D74A vs. Axia lama

     
     
  • Kerajaan tiada rancangan kaji semula struktur cukai dan duti eksais untuk sektor automotif – Menteri

    Kerajaan tiada rancangan kaji semula struktur cukai dan duti eksais untuk sektor automotif – Menteri

    Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menegaskan bahawa buat masa sekarang kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengkaji semula struktur cukai sedia ada bagi sektor automotif, khususnya duti eksais yang penting dalam pembangunan industri berkenaan, lapor Bernama.

    Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, duti eksais misalnya berperanan penting dalam menggalakkan aktiviti nilai tambah, terutama pemasangan tempatan (CKD) serta pembangunan vendor.

    “(Duti eksais) ini adalah untuk menggalakkan vendor mengambil bahagian dalam pembangunan industri automotif di Malaysia,” katanya ketika mengulas lanjut soalan tambahan oleh Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjelaskan bahawa kerajaan bertindak menawarkan insentif cukai dalam bentuk pengecualian atau pengurangan duti eksais dan cukai jualan, serta pengecualian dan pengurangan duti import ke atas komponen-komponen import untuk aktiviti pemasangan tempatan kenderaan.

    Kerajaan tiada rancangan kaji semula struktur cukai dan duti eksais untuk sektor automotif – Menteri

    Manakala kadar atau tahap insentif yang diberikan pula bergantung kepada merit pelan perniagaan seperti jumlah pelaburan, pembangunan vendor terutama vendor tempatan, pemindahan teknologi serta pelan untuk eksport, jelas Zafrul lagi.

    “Selain mekanisme penilaian insentif untuk pengurangan duti dan cukai kenderaan, produk automotif seperti kenderaan yang dipasang sepenuhnya (CBU) dan CKD serta komponen-komponen yang diimport juga berpeluang menikmati duti import pada kadar lebih rendah atau sehingga sifar peratus di bawah Perjanjian Perdagangan Barangan Asean,” katanya.

    Zafrul menyatakan bahawa dengan pendekatan itu membolehkan kerajaan membangunkan industri automotif tempatan yang berdaya saing melalui bahan ekonomi hasil daripada aktiviti nilai tambah selain mengharapkan harga kenderaan berkurangan.

    Kerajaan tiada rancangan kaji semula struktur cukai dan duti eksais untuk sektor automotif – Menteri

    Untuk menjawab soalan tambahan daripada Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) pula Tengku Zafrul menjelaskan bahawa duti eksais bagi kenderaan mampu milik terutamanya harga kereta berkurangan daripada RM50,000 adalah antara dua hingga lima peratus berbanding kadar duti eksais lebih tinggi 60 hingga 110 peratus untuk kereta mewah.

    “Kita harapkan dengan kemajuan teknologi, harga kereta akan turun dengan permintaan lebih tinggi di masa akan datang,” katanya.

    Beliau turut menegaskan bahawa harga kenderaan tidak dikawal oleh kerajaan sebaliknya dipengaruhi oleh daya pasaran seperti kos komponen digunakan, kos pengangkutan dan logistik, insurans, kadar pinjaman serta kos teknologi.

     
     
  • Kerajaan ajak rakyat Malaysia sertai kaji selidik nilai prestasi menteri sepanjang tempoh 100 hari bertugas

    Kerajaan ajak rakyat Malaysia sertai kaji selidik nilai prestasi menteri sepanjang tempoh 100 hari bertugas

    Jabatan perdana menteri Malaysia, bersama Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) mengajak rakyat untuk menyertai satu kaji selidik yang dipanggil sebagai MyTinjauan Madani, untuk mengukur pandangan orang awam berkenaan prestasi 28 menteri dalam tempoh 100 hari mereka menggalas jawatan.

    Melihat di dalam laman web MyTinjauan Madani, kaji selidik ini merupakan hasil daripada mesyuarat kabinet yang diadakan pada 18 Januari 2023, di mana prestasi menteri perlu dinilai berdasarkan tiga elemen utama, iaitu prestasi menteri, pandangan orang awam serta penilaian kepimpinan menteri oleh perdana menteri.

    Jadi, jika anda ada sesuatu yang mahu dikatakan berkenaan menteri sekarang, sila masuk ke laman web tersebut dan lengkapkan borang kaji selidik yang disediakan. Di sini, kami senaraikan beberapa menteri yang mempunyai tugas berkenaan dengan industri automotif, mobiliti serta alam sekitar.

    Mereka antaranya adalah Anthony Loke Siew Fook, yang mengetuai kementerian pengangkutan, Nik Nazmi Ahmad sebagai ketua kementerian sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebagai menteri kerja raya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri kewangan.

     
     
  • KKR cadang lebarkan jajaran Lebuhraya PLUS dari Yong Peng Utara ke Senai Utara kepada 6 lorong

    KKR cadang lebarkan jajaran Lebuhraya PLUS dari Yong Peng Utara ke Senai Utara kepada 6 lorong

    Kementerian Kerja Raya (KKR) bercadang untuk melaksanakan projek pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) secara berfasa yang melibatkan laluan dari Yong Peng Utara ke Senai Utara di Johor kepada enam lorong.

    Menurut Menteri KKR, Alexander Nanta Linggi, cadangan projek yang dianggar melibatkan kos RM525 juta itu termasuk dalam Rolling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia ke-12.

    “Cadangan untuk menaik taraf Laluan Lebuhraya Utara–Selatan daripada empat lorong kepada enam lorong ini telah diambil maklum dan telah diteliti oleh Kementerian Kerja Raya memandangkan Level Of Service (LOS) telah mencapai LOS E hingga F (aliran trafik terlalu sesak) pada waktu hujung minggu dan musim perayaan.

    “Walau bagaimanapun, kelulusan bagi peruntukan dana tersebut adalah tertakluk kepada pembentangan bajet baharu daripada Menteri Kewangan pada 24 Februari 2023 berdasarkan kepada keutamaan dan kedudukan kewangan Kerajaan. Sekiranya pelaksanaan pelebaran tersebut dilaksanakan dengan menggunakan dana Kerajaan, maka tiada kos di pihak syarikat konsesi, bermaksud tiada tambahan tol akan dikenakan kepada kepada pengguna lebuh raya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.

    Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang
    telah mengutarakan isu projek pelebaran Lebuh Raya Utara-Selatan dari Yong Peng ke Johor Bahru yang menyentuh aspek kos dan sama ada ia akan membebankan rakyat melalui kutipan tol tambahan.

    Nanta berkata bagi keseluruhan pelebaran jajaran sepanjang 195 kilometer dari Ayer Keroh, Melaka ke Johor Bahru, Johor dianggarkan menelan kos berjumlah RM7.5 bilion.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025