Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) hari ini mengumumkan dua model daripada Modenas, iaitu Ninja 250 ABS dan Z250 ABS telah dianugerahkan penarafan lima bintang dalam Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP).
Program ini dijalankan di kompleks Modenas di Gurun, Kedah, dan penilaian dibuat bukan setakat melihat kepada motosikal sahaja, tetapi juga pemasangan serta pengujian lain. Hasilnya, prestasi keselamatan kedua-dua model ini cemerlang berdasarkan semua kriteria program MyMAP.
Antara faktor yang menyumbang kepada markah tinggi Ninja 250 dan Z250 ABS dalam MyMAP antaranya adalah pematuhan kepada peraturan UN, dilengkapi brek ABS dual-channel serta penyediaan program sokongan oleh Modenas kepada pemilik motosikal, seperti latihan tunggangan.
Selain menyatakan tahap keselamatan sesebuah motosikal, MyMAP juga dibuat bagi mempromosi teknologi keselamatan yang lebih baik pada motosikal dan membantu pengguna membuat pilihan dalam pasaran, terutamanya yang berkenaan dengan keselamatan.
Demi merancakkan lagi peralihan daripada jentera enjin pembakaran dalaman kepada elektrik, Indonesia sedia memberi subsidi khas untuk motosikal elektrik pada tahun depan. Perkara ini diberitahu oleh Menteri Koordinator Maritim dan Pelaburan Indonesia, Luhut Pandjaitan kepada Reuters.
“Kalau anda mahu tukar motosikal anda kepada elektrik tahun depan, teruskan. Anda akan dapat subsidi,” kata beliau. Turut diberitahu adalah skim subsidi berjumlah sekitar 6.5 juta Rupiah (RM1,833) bagi setiap pembelian motosikal elektrik sedang dimuktamadkan.
Bagi kenderaan lain pula, pengecualian cukai sememangnya sudah diberi kepada kereta EV dan dan hibrid, sejak tahun 2019, tetapi Luhut turut menambah bahawa skim subsidi sama juga sedang dipertimbangkan untuk kereta, tetapi berapa jumlahnya masih belum diberitahu.
Selain dari hujan lebat yang menyebabkan banjir, musim tengkujuh yang kini melanda negara turut membawa sekali angin kencang yang mungkin boleh menyebabkan pelbagai kerosakan – ini yang berlaku di Johor Bahru di mana bumbung sebuah kedai kereta terpakai di Kampung Pasir, Jalan Skudai Johor Bahru musnah ditiup angin, sekaligus merosakkan 20 buah kenderaan di bawahnya.
Menurut laporan Kosmo, kejadian tersebut berlaku pada pukul 4.30 petang semalam dan ia melibatkan sederet tiga buah kedai sekaligus. Saksi kejadian, Bohari Ahmad yang juga pekerja di salah sebuah kedai berkenaan memberitahu bahawa ini merupakan kejadian pertama berlaku sejak kedai kereta terpakai ini dibuka awal tahun 90-an.
Bohari menjelaskan ketika kejadian tersebut berlaku ,dia bersama lapan pekerja berada di dalam pejabat dan tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang kuat.
“Apabila saya keluar saya lihat bumbung telah runtuh dan saya lihat angin berpusing serta hujan lebat.
“Saya terus azan dan mengarahkan semua pekerja keluar dari pejabat kerana kedudukan pejabat terlalu hampir dengan bumbung yang runtuh,” katanya kepada akhbar berkenaan.
Boharu turut memberitahu bahawa terdapat kira-kira 100 buah kereta berada di dalam kedai tersebut ketika kejadian itu berlaku, dijual pada harga antara RM80,000 hingga RM100,000 termasuk kereta mewah jenis BMW, Audi serta Mazda. Namun hanya 20 kereta yang rosak, dengan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM2 juta termasuk kerosakan pada tiga buah bangunan yang menempatkan simpanan kereta terpakai.
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengumumkan pemberian diskaun saman trafik sehingga 50% untuk kesalahan terpilih bakal ditawarkan menerusi kaunter yang akan dibuka di dua lokasi berbeza di Lembah Klang pada hujung minggu ini.
Sempena dengan acara Festival of Speed yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA bakal membuka kaunter pembayaran saman pada Sabtu, 3 Disember 2022 dari jam 9 pagi hingga 4 petang di Welcome Centre SIC.
Manakala IPD Klang Selatan juga bakal menawarkan diskaun yang sama pada 2 hingga 4 Disember 2022, dari jam 9 pagi hingga 4 petang di Balai Trafik Klang Selatan.
Menurut PDRM, walau bagaimana pun, pengurangan saman tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa
Shell Malaysia telah melancarkan tiga produk minyak enjin neutral karbon pertama di Malaysia, yang terdiri daripada barisan minyak pelincir super premium iaitu Shell Helix Power and Protect, yang dikeluarkan untuk kenderaan penumpang janaan petrol dan diesel.
Barisan Shell Helix Power and Protect kini menampilkan versi Helix Power 5W-40 yang dijual pada harga RM280 untuk pek empat liter di Semenanjung Malaysia dan RM280.80 bagi Malaysia Timur. Minyak enjin terbaharu ini menyertai Helix Power 0W-40 dan Helix Protect 0W-30 yang dilancarkan di pasaran tempatan pada Julai 2022.
Menurut Shell, ia juga adalah minyak pelincir neutral karbon pertama yang dihasilkan daripada gas asli. Biarpun minyak enjin itu adalah bersifat neutral karbon, namun ia dihasilkan tanpa kompromi untuk terus memberikan prestasi tinggi dan perlindungan enjin untuk kereta.
Minyak pelincir sintetik penuh Helix Power ini diformulasi menggunakan Teknologi Shell PurePlus, yang dihasilkan daripada 99.5% minyak asas tulen daripada gas asli, serta dipercayai dan disyorkan oleh Scuderia Ferrari.
Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Ivan Tan berkata, “Shell Malaysia berbesar hati kerana dapat menyediakan pelbagai penyelesaian tenaga rendah karbon kepada pelanggan kami, daripada pengecasan kenderaan elektrik dan biofuel hingga kini pelincir neutral karbon.
“Kami juga akan mengusahakan penyelesaian berasaskan alam semula jadi untuk memberikan kredit karbon berkualiti tinggi yang boleh digunakan untuk mengimbangi emisi yang dijanakan dengan penggunaan produk Shell ini.”
Sejumlah besar kenderaan dari Putrajaya menghala ke Sungai Ramal Luar yang melalui Lebuhraya Kajang SILK terperangkap dalam kesesakan trafik semalam apabila berlaku banjir kilat di KM25.6 sekitar pukul 5 petang. Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, selain dari hujan lebat, banjir tersebut adalah disebabkan oleh longkang yang tersumbat.
Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis menyatakan bahawa lapan buah jentera dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang telah digerakkan ke lokasi sejurus selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu, lapor Bernama.
“Setibanya di lokasi, hasil pemeriksaan oleh pihak bomba mendapati berlaku limpahan air ke jalan raya dipercayai akibat longkang tersumbat susulan hujan lebat selama lebih sejam.
“Anggaran kedalaman air ialah tiga kaki (0.91m) menyebabkan laluan terlibat tidak dapat dilalui oleh sebarang kenderaan ringan. Bagaimanapun, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Beliau turut menyatakan bahawa tinjaun telah dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan syarikat pengendali lebuh raya berkenaan dan mendapati air surut kira-kira 30 minit kemudian.
“Pegawai Komander Operasi BBP Kajang bersama-sama PDRM telah membantu melancarkan aliran trafik dan tiada kerja-kerja penyelamatan mangsa dibuat,” katanya.
Longkang biasanya tidak akan tersumbat tanpa sampah bukan? Jadi ingatlah, jangan kita amalkan perbuatan membuang sampah merata-rata kerana mungkin akan menyusahkan kita dan orang lain di kemudian hari.
Malah, membuang sampah dari kenderaan juga sebenarnya satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah 52, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/1959) dengan denda maksimum RM300.
1/3 KHIDMAT KHAS BANJIR KILAT
Alamat : KM25.6, Kajang SILK Highway daripada Putrajaya menghala ke Kajang, Sg Ramal Luar.
Tarikh/Masa terima panggilan 30/11/2022 (Rabu) 16:52:00HRS Jentera keluar 16:52:50HRS Jentera pertama tiba di lokasi 17:02:00HRS Operasi Tamat 17:55:00HRS pic.twitter.com/b2e5RtSkDG
5.23pm????SILK@E18 : ?Trafik sesak kesan banjir kilat; ?Laluan susur Sg.Ramal Barat-Sg.Balak. ?Laluan Putrajaya-Sg.Ramal (KM 25.7 arah Barat). ?Semua lorong DITUTUP/tidak boleh dilalui. ?Trafik dari Putrajaya dilencongkan ke Pers. Country Heights/Bandar Baru Bangi. pic.twitter.com/eDyyAmOzEx
Ramai antara kita yang pernah mengalaminya. Masuk kereta, hidupkan enjin dan terhidulah bau tidak menyenangkan dari sistem pendingin. Atau, kalau anda selalu meninggalkan pendingin dalam mod udara segar, anda tentunya terbiasa menghidu bau diesel sekiranya ada sebuah trak sedang berada di depan.
Seperti kebiasaannya, tak ramai yang sedar atau risau bahawa udara dari luar yang masuk ke kabin itu sebenarnya tidak baik. Ini kerana, bagi senario pertama itu, bau tidak menyenangkan berkenaan akan hilang sendiri. Dan senario kedua, kebanyakan orang hanya akan menukar kepada mod kitaran udara dalam kabin, dan selepas bau tersebut hilang, anda akan terus lupa tentangnya.
Kenyataannya, ramai antara kita yang menganggap kabin kenderaan adalah selamat dan bersih daripada daripada pencemaran udara, dengan senario seperti dinyatakan itu hanya berlaku sekali-sekala. Ramai yang beranggapan, ketika berada dalam kabin, kita terlindung daripada semua itu, bukan? Sebenarnya tidak, kerana bahan cemar tetap akan hadir dan merbahaya, walaupun ketika hidung kita tidak dapat mengesannya.
Untuk menentukan kualiti udara dengan hanya menggunakan hidung dan penglihatan pula bukanlah cara yang sebetulnya, kerana semua itu tidak boleh dilihat oleh mata kasar. Tambahan pula, anda dan keluarga mungkin lebih banyak meluangkan masa dalam ruang kabin kereta setiap hari berbanding tempat lain.
Mujur ada perantara yang boleh mengatasi keadaan ini, dan itu dipanggil penapis udara kabin. Semua kenderaan moden dilengkapi ciri ini untuk memastikan udara dalam kabin terhindar daripada pencemaran. Tugasnya adalah untuk mengasingkan zarah, alergen, habuk dan unsur merbahaya yang lain dalam udara ketika ia memasuki saluran pengudaraan kenderaan.
Masalahnya, kita selalu lupa tentangnya. Fungsi penapis kabin sangat penting, tetapi tidak mengejutkan juga untuk mengetahui ia sebenarnya ada jangka hayat. Ia memerangkap bendasing dalam udara, jadi lama kelamaan ia akan tersumbat, yang kemudiannya menyebabkan sistem pendingin kenderaan tidak dapat berfungsi secara optimum. Penapis udara kabin yang tersumbat akan mempengaruhi prestasi penyejukan dan mengurangkan fungsi pendinginannya.
Inilah ketikanya penukaran penapis diperlukan untuk membolehkan anda sentiasa menikmati udara bersih. Ketika tiba masa untuk menggantikan penapis kabin dalam kenderaan, adalah sangat perlu untuk memilih penapis yang berkualiti dan berkesan, dan tidak hanya membiarkan mekanik yang menentukan penapis apa yang akan digunakan, berdasarkan stok apa yang ada di bengkel.
Ini kerana, bukan semua penapis direka dengan setara. Memandangkan kita bernafas dengan purata kira-kira tujuh hingga lapan liter udara seminit, menggunakan penapis kabin yang memberikan perlindungan terbaik adalah sangat penting dan akan membawa perbezaan ketara.
Spesifikasi boleh menjadi petunjuk yang baik tentang bagaimana prestasi sesuatu produk itu. Kebanyakan jenama yang biasanya ada di rak jualan tidak memaklumkan sejauh mana penapis keluaran mereka mampu memerangkap bendasing dalam udara. Tetapi, jenama WIX dari Amerika ada melakukan itu. Syarikat itu, yang merupakan jenama di bawah kumpulan MANN+HUMMEL, telah membekalkan pelbagai jenis penapis untuk kereta penumpang, kenderaan komersil, serta kenderaan berat lebih daripada 80 tahun.
Penapis udara kabin WIX membersihkan udara dan memerangkam unsur cemar sehalus satu mikron yang ada dalam udara sebelum ia masuk ke kabin. Itu bersamaan 70 kali lebih kecil berbanding ketebalan rambut manusia biasanya. Selain memberikan keselesaan kepada penumpang, udara yang lebih bersih juga akan melindungi mereka yang ada alahan atau radang berkaitan pernafasan.
Selain memerangkap partikel nyata, penapis kabin WIX juga menawarkan versi karbon diaktifkan, yang boleh menyerap bau tidak menyenangkan beserta dengan gas merbahaya dan unsur sebatian organik meruap (VOC) seperti sulfur dioksida, nitrogen dioksida, karbon monoksida dan ozon, dan menghalang semua ini daripada masuk ke kabin.
Semua penapis kabin WIX dilengkapi dengan teknologi Microban. Ia merupakan sistem antibakteria yang digunakan sebagai medium penapis tanpa bau dan lapisan bukan toksik, mengelak pertumbuhan bakteria dan kulat di permukaan penapis. Microban tidak hanya berkesan mengentikan alergen, ia bahkan menghapuskannya. Teknologi berkenaan telah menjalani ujian makmal dan mikrobiologi. Ia juga telah diberikan pensijilan oleh Food and Drug Administration (FDA) di AS.
Penapis kabin WIX tidak memerlukan input daripada pengguna selepas ia dipasang, dan apa yang perlu anda lakukan hanyalah menggantikannya setiap tahun atau 15,000 km untuk memastikan anda menikmati kualiti udara bersih dan berkualiti dalam kabin secara berterusan.
WIX mengeluarkan pelbagai jenis penapis udara kabin, dan hampir semuanya boleh digunakan untuk kenderaan popular di Malaysia seperti Toyota Vios dan Perodua Bezza, jadi anda tidak sukar untuk mencarinya untuk kereta yang digunakan. Jenama ini juga mengeluarkan pelbagai penapis lain untuk kenderaan, seperti penapis minyak, udara dan bahan api.
Klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan penapis kabin WIX, dan di sini untuk teknologi Microban.
Anda juga boleh mengetahui lanjut tentang syarikat melalui video ini. Dan untuk berhubung dengan jenama ini di Malaysia, lawati laman Facebook rasmi WIX Malaysia.
Hujan lebat yang berterusan di sekitar Kuala Lumpur telah menyaksikan beberapa kawasan dinaiki air, termasuk Jalan Parlimen, Jalan Maharajalela, Jalan Travers serta juga Taman Connaught di Cheras.
Perkara sama turut berlaku di utara, atau lebih tepat lagi Kampong Sumpitan, Perak, yang kelihatan lebih teruk, seperti yang boleh disaksikan melalui video dari Twitter yang kami letakkan di bawah.
Sekiranya anda mempunyai perancangan bergerak dengan kenderaan pada waktu-waktu hujan ini, pastikan dahulu laluan yang hendak dilalui itu tidak terkesan. Sekiranya ada laluan yang airnya sudah naik, ada eloknya anda menunda dulu perjalanan dan alihkan kenderaan ke kawasan yang lebih selamat, jika boleh. Ingat, jangan cuba meredah kawasan banjir kerana itu boleh mendatangkan kerosakan kepada kereta.
Tidak lupa, dalam keadaan dan musim hujan seperti ini, pastikan kenderaan anda dilindungi oleh insurans untuk bencana alam (special perils). Ia tidak melibatkan perbezaan yang banyak daripada perlindungan yang biasa anda ambil. Ia akan sangat membantu menjimatkan kewangan anda sekiranya kereta anda terkesan akibat banjir.
Dalam keadaan cuaca seperti sekarang, jika anda tidak ada perkara penting untuk dilakukan, adalah lebih elok untuk bekerja dari rumah. Pastikan juga kereta anda diletakkan di tempat yang tinggi dan selamat.
Hujan berterusan sejak tengahari tadi telah menyebabkan beberapa kawasan di Ayer Keroh dinaiki air, termasuk di sekitar Hospital Pantai, menurut beberapa laporan media sosial.
Sekiranya anda merancang untuk susur keluar ke Ayer Keroh, pastikan dahulu laluan yang hendak dilalui itu tidak terkesan. Sekiranya ada laluan yang airnya sudah naik, ada eloknya anda menunda dulu perjalanan dan alihkan kenderaan ke kawasan yang lebih selamat, jika boleh. Ingat, jangan cuba meredah kawasan banjir kerana itu boleh mendatangkan kerosakan kepada kereta.
Tidak lupa, dalam keadaan dan musim hujan seperti ini, pastikan kenderaan anda dilindungi oleh insurans untuk bencana alam (special perils). Ia tidak melibatkan perbezaan yang banyak daripada perlindungan yang biasa anda ambil. Ia akan sangat membantu menjimatkan kewangan anda sekiranya kereta anda terkesan akibat banjir.
Dalam keadaan cuaca seperti sekarang, jika anda tidak ada perkara penting untuk dilakukan, adalah lebih elok untuk bekerja dari rumah. Pastikan juga kereta anda diletakkan di tempat yang tinggi dan selamat.
Dari hospital pantai sampai Ayer Keroh banjir kilat. Hati-Hati semua.
Nampaknya khabar angin yang bertiup bulan lalu adalah benar – Toyota GR Corolla secara rasmi telah masuk pasaran ASEAN, diperkenalkan di Thailand terlebih dahulu! Model tersebut membuat kemunculan rasminya di Thailand International Motor Expo 2022 yang kini sedang berlangsung dan diumumkan dijual pada harga 3.949 juta baht (RM500,352).
Dengan harga yang begitu tinggi, GR Corolla ini dibawa dalam jumlah yang sangat terhad ke Thailand. Menurut laporan portal automotif Headlightmag, hanya sembilan unit GR Corolla akan diimport ke Thai untuk permulaan.
Pengenalan GR Corolla di pasaran tersebut adalah serentak dengan sambutan ulangtahun Toyota Motor Thailand yang ke-60, menyaksikan beberapa model edisi khas turut diperkenalkan sebelum ini. Berbanding GR Yaris yang dijual di Thailand pada harga 2.69 juta baht (RM341,021) ketika diperkenalkan pada Disember 2020, harga GR Corolla ini jelas adalah 46.8% lebih mahal.
Di Malaysia, GR Yaris dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM299,000 (RM286,896 ketika tempoh cuti cukai jualan) ketika dilancarkan juga pada Disember 2020. Jadi berdasarkan harga jualan di Thailand, GR Corolla ini kelak mungkin akan dijual di sini pada harga sekitar RM439k.
Corolla yang jauh lebih liar ini masih berkongsi kerangka yang sama dengan Toyota Corolla Hatchback, namun cara penghasilannya dibuat seperti kereta lumba di fasiliti GR Factory di Jepun bagi menghasilkan kerangka yang lebih tegar. Ia juga menampilkan suspensi dengan jarak trek lebih lebar, secara tidak langsung membuatkan badannya juga lebih berbanding Corolla standard.
GR Corolla ini disumbat dengan enjin yang sama seperti GR Yaris iaitu unit G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter. Namun ia diberikan beberapa komponen dan talaan berlainan bagi menghasilkan kuasa lebih besar pada kadar 304 PS (300 hp) pada takat 6,500 rpm, berbanding 272 PS pada GR Yaris. Walau bagaimanapun, kadar tork yang dihasilkan untuk kedua-dua versi tersebut adalah sama iaitu 370 Nm bermula 3,000 hingga 5,550 rpm.
Juga sama seperti GR Yaris, GR Corolla hanya diberikan pilihan kotak gear enam kelajuan manual pintar (i-MT) dan turut menampilkan tuil penukar jenis short-stroke serta diposisikan dekat dengan roda stereng agar ia dapat dicapai dengan cepat oleh pemandu. Sistem pacuan semua roda GR-Four juga dibekalkan pada GR Corolla ini, menampilkan LSD jenis Torsen yang diberikan secara standard pada gandar hadapan dan belakang, serta plat klac 4WD pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork antara hadapan dan belakang diagihkan menerusi mod yang boleh dipilih.
Tiga mod utama sistem GR-Four ini masih sama seperti GR Yaris; “Normal” dengan agihan tork 60 peratus roda hadapan dan 40 peratus roda belakang; “Sport” 30 peratus hadapan dan 70 peratus belakang; “Track” 50:50 yang bukan sahaja untuk kegunaan litar, malah untuk permukaan gravel dan salji.
Namun apa yang berbeza, GR Corolla turut diberikan mod “4WD” yang mengawal agihan desakan pemanduan, dan mod “Drive” yang mengawal respon pendikit dan stereng serta lain-lain aspek yang telah diasingkan bagi membolehkan talaan dibuat lebih spesifik mengikut kemahuan pemandu dan keadaan pemanduan yang lain.
Bagi model pasaran Thailand ini ia menerima bonet hadapan berliang dan juga bumbung gentian karbon – perincian yang sama diberikan pada GR Corolla Circuit Edition pasaran Amerika Syarikat. Ia hanya ditawarkan dengan dua warna badan iaitu Ice Cap White dan Precious Black. Kabin dengan tema Black Smoke adalah standard, tetapi pembeli boleh memilih tema Ignition Red dengan bayaran tambahan 10,000 baht (RM1,268).
Perincian-perincian standard lain yang turut diberikan termasuk lampu hadapan LED automatik, rim aloi 18-inci, upholsteri kombinasi Brin Naub asli dan kulit sinteik, sistem infotainmen dengan skrin tujuh-inci bersama sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, paparan instrumen digital 12.3-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar, tujuh-beg udara dan sistem keselamatan Toyota Safety Sense 3.0.
Untuk minggu bermula 1 hingga 7 Disember 2022, dan selepas tujuh minggu harga bahan api tidak berubah, harga bagi bahan api RON 97 akan turun 10 sen berbanding minggu lalu, dari pada RM3.95 seliter menjadi RM3.85 seliter.
Harga runcit bagi dua lagi bahan api pula masih kekal sama, dengan RON 95 pada RM2.05 seliter, manakala diesel Euro 5 B10/B20 kekal pada harga RM2.15 seliter, sementara diesel Euro 5 B7 pula pada harga RM2.35 seliter.
Berbeza dengan pergi melancong, keluar mengembara memang selalu digerakkan oleh hal-hal peribadi yang memberi erti tersendiri dan sederhana yang kadang-kadang tak masuk akal. Ia kerap menjadi satu sisi spiritual dan melibatkan pergelutan keyakinan yang cuba diselami dan difahami.
Dengan kepekaan dan kesedaran seperti itu, kesanggupan jadi luar biasa: dan apa yang dapat dilihat dan diperhatikan di sepanjang perjalanan juga lain — walaupun lokasi dan destinasi geografinya sama sahaja dengan ramai lagi orang lain yang melakukan perkara sama.
Agaknya begitulah yang dialami oleh Nursulhi Rahim (Along), 45 dan anaknya, Muhammad Aidil, 17 yang baru sahaja kembali dari bahagian kedua siri jelajah mereka mengelilingi dunia hanya dengan menggunakan sebuah Perodua Kelisa tahun 2004. Menetap di Pulau Sebang, Melaka, pengembaraan mereka awalnya bermula sejak 4 November 2019, yang menjadi bahagian pertama siri jelajah berkenaan.
Ketika itu, dari Malaysia, mereka berdua merentas jalan darat melalui Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran, Turki, Bulgaria, Romania, Hungary, Slovenia, Austria, Jerman, Belanda, Denmark, Sweden, Norway, Belgium, Perancis, Switzerland, Itali, Greece dan kembali ke Turki.
Kelisa yang diberi nama jolokan “Wheely” itu juga kemudiannya terpaksa ditinggalkan di Turki — dunia ketika itu sedang berdepan wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan mula dikenakan. Mereka sempat pulang ke Malaysia seminggu sebelum PKP dimulakan pada 18 Mac 2020.
Menurut Along, yang terlibat dalam perniagaan ubah suai rumah dan juga pendawaian elektrikal, sebab beliau dan anaknya memulakan perjalanan ini sederhana sahaja. “Pertama, tiba-tiba rasa gila untuk mengembara itu datang, dan menyebabkan saya tak boleh duduk tenang selagi tak melakukannya,” ujar Along. Dan sebab kedua inilah yang menjadi pendorong yang lebih bermakna: dia memang ingin membawa anaknya Aidil sekali untuk melihat dunia.
“Dari aspek pencapaian akademiknya dia sedikit kurang, jadi saya nak bawa dia tengok dunia dan membuka pandangan dan harapan baru dalam dirinya bahawa dunia dan kehidupan kita sebenarnya adalah lebih luas daripada sekadar pencapaian akademik semata,” tambahnya.
Along ingin membuka mata anaknya supaya menyedari hal berkenaan, bahawa ada banyak peluang dan kemahiran lain yang boleh diraih dan memberi makna kepada hidup ini. “Saya nak tunjukkan, tanpa kelebihan akademik, kita jangan menyerah kalah. Kita tak semestinya gagal. Jadi, dengan cara mengembara, saya harap itu dapat membuka mindanya dengan lebih luas lagi,” ujar Along.
Pendorong lain yang menggerakkan pengembaraan ini adalah peluang Along yang sempat menjelajah — dengan Vespa — bersama bapa dan adik-adiknya pada tahun 2013 menuju Mekah, walaupun ketika itu mereka tidak dapat memasuki kota suci berkenaan dan hanya dapat tiba di Dubai sahaja. Mengapa hanya dengan Perodua Kelisa? “Saya nak buktikan, orang biasa yang berasal dari kampung seperti kami juga boleh merentas dan melihat dunia dengan apa yang ada, tanpa perlu kereta besar atau mewah,” tambah Along.
Dengan tempoh perjalanan dan jarak kawasan yang ditempuhi sepanjang perjalanan bahagian pertama itu tentulah ada banyak pengalaman dan masalah yang tidak dapat dielakkan. Tentu sahaja, seperti niat dan hasrat yang memulakan pengembaraan yang bersifat peribadi ini, kebanyakan pengalaman dan kejadian itu lebih enak disimpan sendiri. Tetapi ada juga yang ingin dikongsikan sebagai ilham untuk diceritakan.
Misalnya, ketika berdepan dengan ribut salji di Julier Pass, Switzerland, mereka terkandas selama enam jam menunggu sehingga penyelenggaran laluan berkenaan membuka semula jalan. Pernah juga di Sweden, permukaan jalan yang licin menyebabkan Kelisa mereka tersadai selama 12 jam di dalam hutan — dan terpaksa tidur dalam kereta dengan enjin dihidupkan sepanjang tempoh berkenaan.
Itu belum lagi ketiadaan pemanas dalam kereta mereka untuk jangka masa yang lama, sebelum ada orang membantu dan membuat modifikasi untuk pemanas tersebut. Mereka juga sempat melihat fenomena alam Aurora, dalam keadaan yang begitu dingin, -35 darjah celcius di kawasan yang gelap likat ketika dalam perjalanan.
Kemudian, pada 15 September 2022, Along menyambung semula perjalanannya untuk pergi mengambil semula kereta mereka yang ditinggalkan selama tiga tahun di rumah seorang teman di Bayramic, Canakkale, Turki untuk dibawa pulang. Dan, ini disambut dengan masalah kotak gear yang menyebabkan mereka terkandas di situ. Bagaimana Along menghadapi masalah tersebut?
Beliau dan anaknya tidak ada banyak pengetahuan tentang bagaimana untuk membaiki kenderaan. Jadi, antara apa yang mereka lakukan adalah membuat panggilan video kepada rakan mekanik dari Malaysia dan mengikut arahan satu persatu untuk mencuba baik pulih sendiri. Orang-orang di sana juga ada yang membantu sama, sehinggalah masalah dapat diatasi.
Dari Turki, mereka bergerak ke Iran: sempat mengalami banyak gangguan talian telefon disebabkan sekatan kerajaan Iran ketika berdepan dengan protes warganya di sana. Dari situ, mereka terus ke sempadan Pakistan — pengalaman unik di sini adalah mereka diiringi oleh polis, tentera selama seminggu sehingga tiba di Islamabad. Dari sana, mereka ingin ke sempadan China dengan melalui Korakam Highway, namun nasib tidak menyebelahi mereka.
50 kilometer sebelum tiba di sempadan Khunjerab Past, kereta mereka diberhentikan oleh polis kerana keadaan cuaca dan jalan merbahaya. Rancangan kemudiannya diubah, dan mereka menghala perjalanan ke Lahore, Pakistan di mana Kelisa mereka terpaksa ditinggalkan sekali lagi. Along dan anaknya kemudian mengambil penerbangan pulang ke Malaysia dan tiba di sini sehari sebelum hari mengundi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) tempoh hari. Along tetap berhasrat untuk membawa pulang Kelisa yang digunakan itu ke sini, kelak.
Siapa sangka hanya dengan Kelisa kecil, mereka berhasil menjelajah keliling dunia. Tanpa penaja, tanpa publisiti dan semuanya dilakukan untuk diri sendiri tanpa ingin membuktikan apa-apa. Semoga lebih ramai warga Malaysia melakukan perjalanan yang mengilhamkan seperti ini nanti.
BMW menyarankan kepada pemilik-pemilik kenderaan jenamanya agar terus menggunakan kereta sedia ada, dan tidak perlu membeli kereta baharu demi kelestarian dan pemeliharaan alam sekitar.
Menurut ketua kelestarian BMW Monika Dernai, pemilik-pemilik kenderaan seharusnya menjaga kenderaan masing-masing bagi memanjangkan jangka hayatnya dan tidak perlu untuk ditukar dengan kereta baharu. Dengan cara ini,ia mampu untuk mengurangkan bahan buangan dan impak automobil terhadap alam sekitar.
“Kita benar-benar perlu memikirkan berkenaan untuk memanjangkan jangka hayat kereta dan berbanding mempunyai pasaran kereta terpakai di mana anda menjualnya antara satu sama lain, mungkin boleh memilih untuk terus menggunakan kereta sedia ada dan panjangkan jangka hayatnya, kata Dernai dalam laporan AutoExpress.
Berbanding menukar kereta lama kepada kereta baharu, Dernai mencadangkan agar pemilik-pemilik kereta untuk merestorasi semula kenderaan lama dan memberikan tingkat taraf moden bagi membolehkan ia kekal segar.
Dernai juga menyatakan bahawa satu kemahiran baharu diperlukan dalam industri selepas jualan automotif di mana kereta direka supaya tempat duduk boleh ditanggalkan dan diganti dengan yang baharu. Dengan cara ini, ia bukan sahaja membantu pemilik agar terus menggunakan kereta sedia ada, malah turut boleh mencipta model perniagaan untuk BMW – semuanya dibuat untuk menggunakan semula dan mengitar semula sebanyak mungkin dengan mengurangkan sisa buangan.
Apa pendapat anda tentang pendekatan ini? Ada pemilik-pemilik BMW lama yang sudi berkongsi kos untuk ‘membela’ model-model sedemikian?
Selepas mengumumkan pelancaran BYD Atto 3 akan dilakukan pada 9-11 Disember, Sime Darby Motors kini membuka tempahan awal untuk crossover elektrik tersebut dengan bayaran cuma RM1,500. Ia bagaimanapun hanya untuk 100 unit pertama sahaja.
Atto 3 merupakan salah satu daripada beberapa model BYD yang sah bakal dijual di Malaysia, dan crossover elektrik penuh ini ditawarkan dengan dua pilihan kapasiti bateri. Pilihan pertama ialah pek 49.92-kWh yang menawarkan jarak hingga 345 km mengikut kitaran WLTP (410 km jika mengikut NEDC), sementara pilihan kedua ialah unit 60.48 kWh yang mampu memberikan jarak hingga 420 km (480 km bagi NEDC).
Kedua-dua pek bateri Blade EV yang dibangunkan sendiri oleh BYD ini menyalurkan kuasa kepada motor elektrik yang terletak di hadapan, mampu menghasilkan sehingga 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 310 Nm. Atto 3 menyokong pengecasan AC (sambungan Type 2) sehingga 7 kW, serta pengecas pantas DC (sambungan CCS2) dengan kadar maksimum antara 70 kW atau 80 kW mengikut kapasiti bateri. Kapasiti paling tinggi boleh mencapai status pengecasan 0-80% dalam 45 minit.
Harga dan spesifikasi rasmi hanya akan didedahkan sewaktu pelancaran, tetapi harganya dijangka berada antara RM150k hingga RM170k. Harga ini meletakkan BYD Atto 3 ini dalam lingkungan hampir sama seperti Hyundai Kona Electric yang berharga dari RM156k hingga RM208k.
Malahan, harga jangkaan Atto 3 ini juga memberikan persaingan buat GWM Ora Good Cat, satu lagi model EV dari China yang baru sahaja dilancar semalam pada harga antara RM140k ke RM170k. Jarak gerak yang mampu ditawarkan oleh hatchback elektrik ini boleh mencecah 500 km.
Jangan tak tahu, lebih 10-tahun lalu Proton pernah menerbitkan rancangan ala-Pimp My Ride dan Overhaulin’, di mana syarikat tersebut memilih beberapa pemilik Proton lama yang bertuah untuk menerima restorasi penuh tanpa sebarang bayaran dalam program “My Proton Makeover” untuk Very Important Proton (VIP).
Kerja-kerja restorasi berkenaan bukan dibuat oleh calang-calang orang; segalanya diuruskan oleh pasukan lumba Proton R3 di fasiliti mereka di Shah Alam, ketika itu ia dipimpin oleh Prince of Drift, Tengku Djan Ley sebagai ketua kejuruteraan. Antara yang bertuah terpilih dalam rancangan ini adalah Fadly Hisham Roplay, seorang pemilik Proton Saga generasi pertama yang telah menambat hati juri dengan cerita yang begitu sentimental antara dirinya dengan Saga tersebut.
Dan hasil restorasi serta ubahsuai yang dibuat oleh pasukan R3 terhadap Saga Fadly berkenaan adalah antara yang paling diingati berbanding peserta-peserta lain yang terpilih dalam program My Proton Makeover itu.
Malangnya pada 2016, Saga R3 VIP tersebut telah dilaporkan dicuri di Taman Tun Teja, Rawang, Selangor. Dan ia terus lenyap sehingga kini tanpa khabar berita. Namun tahun lalu, tular bahawa sebuah Saga Megavalve dengan rupa sama seperti Saga R3 VIP milik Fadly telah muncul di media sosial – adakah kereta tersebut telah dijumpai semula?
Tidak tuan-tuan. Kerana berkenaan sebenarnya milik Devan Gunaseelan dari Ipoh, dan dia telah merestorasi semula Proton Saga miliknya dengan tema replika Saga R3 VIP! Devan memiliki Proton Saga ini sejak tahun 2009, dibeli sebagai kenderaannya hariannya ketika masih menuntut di universiti. Malah kereta ini terus digunakan setelah dia mula bekerja kerana kos penyelengaraannya yang murah.
Namun setelah Devan mula memiliki pelbagai kereta lain, Saga ini kurang digunakan. Kalau anda nak tahu, Devan juga sebenarnya adalah salah seorang pemilik 19-unit Proton Satria Neo R3 Lotus Racing yang dipercayai masih wujud di Malaysia. Dengan memiliki model yang sangat rare tersebut telah mendorong Devan untuk mencari pelbagai komponen asli R3 untuk disimpan sebagai alat ganti, sekaligus memberikannya akses untuk membina jaringan terus dengan pasukan R3 itu sendiri.
Selepas lebih 10-tahun memiliki Saga tersebut, Devan mengambil keputusan untuk membuat restorasi penuh terhadap kereta itu (sebelum itu ia pernah direstorasi tetapi tidak secara menyeluruh). Dan memandangkan dia sudahpun mempunyai beberapa komponen asli R3, termasuk tombol gear R3 yang sama seperti tombol gear pada Saga Fadly, Devan nekad untuk menghasilkan replika Saga R3 VIP berkenaan sebagai tema restomod pada keretanya, mengenepikan tema Saga Cup MSF yang difikirkan sebelum itu.
Seperti biasa, kerja-kerja restorasi dimulakan pada bahagian badan dengan membuang segala simen dan karat. Devan turut berjaya mendapatkan beberapa stok lama panel badan baru (NOS) asli seperti kedua-dua fender hadapan dan juga pintu hadapan sebelah kiri, serta komponen-komponen yang diambil dari Saga LMST yang dihentikan produksi pada 2008.
Badan Saga ini kemudiannya dilayangkan dengan warna kelabu yang sama seperti Saga VIP Fadly selepas Devan berjaya mendapatkan kod warna sebenar dari kru R3 yang terlibat dalam program My Proton Makeover tersebut. Perincian-perincian yang sama turut diberikan termasuk spoiler dagu ‘sodok’ dengan rekaan seperti lips Mitsubishi Lancer Fiore C12/Galant Super Touring, skirt sisi Saga LMST, dan juga spoiler but belakang Saga Iswara.
Menurut Devan, dia memilih spoiler Iswara berkenaan yang diperbuat dari gentian kaca dan dipasang hanya menggunakan pita pelekat, berbanding spoiler asli yang diperbuat dari bahan seperti getah (boleh memerangkap air) dan dipasang dengan menebuk lubang pada penutup but bagi mengelakkan karat di kemudian hari.
Kedua-dua unit lampu hadapan Saga ini juga adalah komponen asli NOS, manakala lampu belakang menggunakan komponen aftermarket untuk Saga Iswara dengan lensa jernih yang seiras dengan Saga VIP R3 Fadly. Untuk pengetahuan anda, sekiranya anda pasang lampu belakang Iswara ke badan Saga, lampu berkenaan sebenarnya akan ‘tersembul’ keluar – sebab itulah kru R3 membuat panel bawah lampu custom bagi disesuaikan dengan lampu tersebut, dan perkara yang sama telah dibuat oleh Devan pada Saganya.
Kemasan plastik melintang pada gril hadapan tidak lagi digunakan, dan digantikan dengan jaring serta diberikan lencana R3 merah. Pelekat ‘VIP’ dilekat pada kedua-dua fender hadapan dan juga pada penutup but belakang. Jalur merah pada bahagian tengah sisi badan Saga VIP Fadly dahulu dibuat menggunakan cat dengan teknik pinstripe, manakala pada Saga Devan ini dibuat dengan pelekat dengan material dari 3M.
Malah kesemua pelekat pada badan Saga ini termasuk grafik VIP dan juga kemasan gentian karbon palsu pada kerangka tingkat adalah menggunakan material dari 3M. Cermin sisi pada Saga ini diganti dengan cermin sisi Fiore C12 sama seperti Saga VIP asli.
Devan turut menggunakan rim 16-inci R3 yang sama seperti digunakan Saga Fadly (diambil dari Satria Neo R3) yang dibeli baharu, serta dibalut dengan tayar Continental ContiPremium Contact 2 bersaiz 195/50R16, iaitu tayar yang paling hampir dengan tayar Continental SportContact-1 pada Saga VIP R3 asli yang kini tidak lagi dijual.
Saga ini menerima set penyerap hentak boleh laras dari FTuned Suspension yang bukan sahaja merendahkan badannya, malah memberikan pengendalian lebih baik. Devan masih menggunakan sistem brek asal, cuma cakeranya ditukar kepada cakera yang ditebuk tetapi masih mengekalkan diameter asal.
Enjin Saga ini telah dirombak rawat semula, tanpa sebarang ubahsuai yang dibuat. Devan hanya menggantikan pulley aci engkol dan aci sesondol dari Arospeed yang lebih ringan, bersama rocker cover dan lencana ‘Tuned by R3’ yang berjaya dibeli baharu. Seperti yang anda boleh lihat, pelbagai lagi komponen baharu dapat dilihat pada ruang enjin Saga ini termasuk tangki tambahan untuk cecair penyejuk enjin.
Ia juga menerima ‘stokin’ R3 untuk melindungi takung minyak brek dan minyak stereng berkuasa, manakala bahan penebat bunyi yang dilekat pada penutup bonet adalah aksesori asli dari Eon Tech. Sistem ekzos juga masih asli tetapi muffler belakang asal telah digantikan dengan muffler dari Matola.
Berbeza dengan penampilan luaran, kabin Saga replika VIP R3 ini dihasilkan mengikut ‘selera’ Devan sendiri. Pada Saga VIP Fadly, pasukan R3 menggantikan hampir keseluruhan komponen dalaman menggunakan komponen dari Saga LMST, termasuk papan pemuka, panel pintu, tempat duduk, dan lain-lain.
Namun pada Saga Devan, papan pemuka asli Saganya masih dikekalkan kerana dia lebih suka gaya klasik papan pemuka tersebut. Tambahan pula dia risau dengan material papan pemuka LMST yang mungkin akan bermasalah dengan lebih cepat jika dibiarkan berjemur di bawah matahari, berbanding material pada papan pemuka asli Saga yang terbukti lebih tahan lama.
Devan turut memadankan sepasang tempat duduk Recara Njoy pada sebelah hadapan, dan semua tali pinggang keledar asal berwarna hitam digantikan dengan merah yang nampak padan dengan jalur merah pada sebelah luar.
Satu lagi perkara menarik pada Saga Devan ini adalah bumbung suria yang dipadankan, dan ini tidak diberikan pada Saga Fadly. Bumbung suria berkenaan adalah aksesori asli untuk Proton Saga yang dieksport ke UK, dibekalkan oleh pembuat bumbung suria dari Jerman iaitu Webasto.
Untuk pengetahuan anda, bumbung suria yang dipadankan pada Saga eksport pada era 80’an dan 90’an dahulu bukan dipasang di kilang Proton di Shah Alam, sebaliknya hanya dipasang di UK setelah pembeli bersetuju untuk memadankan aksesori yang ditawarkan sebagai ciri opsyen tersebut.
Devan memasang bumbung suria ini hanya selepas kerja-kerja restorasi lain siap, termasuk cat badan – sebagai aksesori asli, ia dapat dipadankan dengan sempurna tanpa merosakkan cat dan lain-lain panel. Bumbung suria tersebut juga diperolehi secara lengkap; ia masih lagi mempunyai pelindung matahari yang boleh dibuka/tutup, dan ia boleh berfungsi dalam tiga langkah berbeza. Malah ia boleh tertutup sendiri sekiranya suis enjin dimatikan sepenuhnya!
Walau bagaimanapun, ada juga komponen dalaman Saga Devan ini yang masih sama dengan Saga Fadly, antaranya panel-panel pintu dari Saga LMST bersama tombol kunci aluminium billet R3, tombol gear R3, karpet kaki R3 dan roda stereng Momo Tuner yang dibeli baharu. Juga Devan memperolehi set pedal aluminium dari R3.
Buat anda yang tertanya-tanya sama ada pelekat ‘Anti-Karat’ Eon Tech pada pintu Saga ini adalah pelekat asli atau tidak, ia sebenarnya adalah pelekat yang dibuat semula. Tetapi pelekat tekanan tayar di atasnya masih lagi pelekat asli. Manakala kesemua cermin tingkap Saga ini telah pun ditukar menggunakan cermin cromax dari Mitsubishi Lancer Fiore.
Tiada sistem hiburan canggih diberi pada Saga ini, di mana Devan masih menggunakan pemain audio utama Sony Xplod yang telah digunakan sejak sekian lama, bersama sepasang tweeter pada sisi papan pemuka dan dua pembesar suara Blaupunkt di belakang. Devan turut memadankan sistem penggera asli Proton pada Saga ini yang datang lengkap dengan kunci kawalan jauh original.
Jadi bagi mereka yang sebelum ini berteka-teki adakah Saga R3 Fadly telah dijumpai semula, inilah dia jawapannya – ia masih hilang dan Saga R3 VIP yang mungkin anda lihat baru-baru ini di atas jalan raya atau di acara seperti Art of Speed adalah replika milik Devan.
GALERI: Replika Proton Saga R3 VIP milik Devan Gunaseelan
GALERI: Proton Saga VIP sebenar milik Fadly Hisham Roplay yang dihasilkan oleh Proton R3