Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda e Limited Edition kini di Eropah – hanya 50 unit, warna merah premium, serlahan hitam; dari RM200k

    Honda e Limited Edition kini di Eropah – hanya 50 unit, warna merah premium, serlahan hitam; dari RM200k

    Honda e telah pun diberikan penampilan yang lebih menarik menerusi pengenalan versi Limited Edition baharu di Eropah. Terhad untuk 50 unit sahaja, setiap satunya diberikan warna Premium Crystal Red buat pertama kalinya bagi model ini.

    Kereta elektrik ini turut ditampilkan dengan serlahan kontras hitam, selain diberikan roda aloi 17-inci, serta beberapa panel badan lain seperti lencana hadapan dan belakang. Versi Limited Edition ini dihasilkan berdasarkan varian Advance, jadi ia masih menerima ciri yang sedia ada.

    Ini termasuklah Honda Parking Pilot (parkir sendiri), punca kuasa 230-voltan, roda stereng dengan fungsi haba panas, cermin pandang belakang dwi-fungsi yang disambung ke kamera belakang dan dwi skrin lebar sepenuhnya. Penjana kuasanya juga masih dikekalkan, dengan motor elektrik yang dipasang di belakang yang mampu memberikan kuasa 154 PS (113 kW0 dan tork 315 Nm. Kuasa ini disalurkan menerusi bateri lithium-ion 35.5-kWh yang boleh memacu kereta ini hingga jarak 220 km bagi pengecasan penuh.

    Walau pun Honda tidak lagi mengambil bahagian dalam Formula 1, namun Max Verstappen dari pasukan Red Bull Racing masih menjadi model untuk Honda e Limited Edition ini. Katanya, “Honda e Limited Edition ini sangat menarik. Mempunyai imej yang funky, rekaan yang kompak dan seronok untuk dipandu. Ia merupakan kenderaan bandar elektrik yang hebat.”

    Di United Kingdom, model keluaran istimewa ini dijual pada harga bermula 38,120 pound British (RM199,950), menjadikan ia lebih mahal berbanding Advance yang bermula dari GBP36,920 (RM193,773).

     
     
  • Honda CR-V 2023 didedahkan – lebih besar dan garang, pilihan 1.5L VTEC Turbo dan e:HEV Hybrid

    Honda CR-V 2023 didedahkan – lebih besar dan garang, pilihan 1.5L VTEC Turbo dan e:HEV Hybrid

    Selepas beberapa imej teaser disiarkan sebelum ini, nah ini dia – Honda CR-V generasi keenam sudahpun didedahkan secara rasmi! Model ini telah menerima rombakan rekaan sepenuhnya, dan bakal dijual di pasaran Amerika Syarikat sebagai model 2023 bermula musim panas tahun ini (antara Jun hingga Ogos).

    Honda CR-V 2023 ini akan ditawarkan dengan enjin turbo terlebih dahulu, kemudian bakal menerima pilihan unit rangkaian kuasa hibrid petrol elektrik lewat tahun ini. Bagi varian EX dan EX-L, Honda mendakwa enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang dipadankan berkenaan kini sudah diperhalusi dengan port ekzos 4-2 pada kepala silinder, bersama respon, kadar efisien dan emisi yang lebih baik.

    Tiada perubahan angka kuasa yang dilihat, tetapi kuasa puncak yang dihasilkan kini dapat dicapai pada takat rpm berbeza – enjin tersebut masih menghasilkan 190 hp (193 PS) pada takat 6,000 rpm (400 rpm lebih lewat) dan tork maksima 243 Nm bermula 1,700 rpm hingga 5,000 rpm (300 rpm lebih awal). Ia masih digandingkan dengan kotak gear CVT automatik, di mana transmisi tersebut kini dipertingkat bagi memberikan bunyi dan getaran lebih rendah.

    Manakala untuk versi hibrid, ia hanya ditawarkan untuk varian Sport dan Sport Touring. Sistem intelligent Multi Mode Drive (i-MMD) yang sama seperti dipadankan pada Civic e:HEV terbaharu digunakan untuk CR-V lebih mesra alam ini. Ia terdiri dari enjin petrol 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson, digandingkn dengan e-CVT dan dua motor elektrik bagi memberikan kuasa keseluruhan 204 hp (207 PS).

    Honda CR-V 2023 didedahkan – lebih besar dan garang, pilihan 1.5L VTEC Turbo dan e:HEV Hybrid

    Jika dirujuk pada spesifikasi Honda CR-V hibrid generasi sebelumnya yang berkuasa 212 hp (215 PS), angka kuasa yang dihasilkan oleh model generasi baharu ini adalah lebih rendah. Namun, salah satu motor elektrik yang dibekalkan (bukan yang bertindak sebagai generator untuk bateri) sebenarnya kini menghasilkan tork yang lebih tinggi iaitu 335 Nm berbanding 315 Nm pada model sebelumnya.

    Dengan unit rangkaian kuasa hibrid baharu ini juga membolehkan CR-V menerima kadar menunda seberat 454 kg (1,000 pound), di mana tiada sebarang angka disebut untuk aspek ini pada CR-V generasi kelima.

    Kesemua varian pasaran Amerika Syarikat ini ditawarkan dengan opsyen sistem pacuan semua roda Honda Real Time AWD dengan Intelligent Control System. Sistem berkenaan mampu untuk menghantar sehingga 50% tork kepada roda belakang bagi memberikan cengkaman lebih baik pada permukaan licin seperti salji dan lumpur – Sport Touring dibekalkan dengan fungsi ini sebagai perincian standard.

    Tiga mod pemanduan dibekalkan pada Honda CR-V 2023 ini iaitu Normal, Econ dan mod baharu iaitu Snow. Bagi varian-varian dengan unit rangkaian kuasa hibrid, ia menerima satu lagi mod pemanduan iaitu Sport.

    Honda CR-V 2023 didedahkan – lebih besar dan garang, pilihan 1.5L VTEC Turbo dan e:HEV Hybrid

    Kemaskini mekanikal lain yang dibuat pada model generasi baharu ini termasuk subframe hadapan yang lebih keras bersama kedudukan rak stereng yang diubah bagi memberikan rasa dan ketepatan lebih baik, serta subframe belakang yang juga kini lebih keras bersama suspensi multilink yang ditala semula dengan kadar spring 15% lebih tinggi pada bahagian cagak sebelah atas. Suspensi hadapan CR-V baharu ini masih menggunakan sistem topang McPherson.

    Seperti yang telah tertiris sebelum ini, Honda CR-V generasi keenam ini menampilkan rupa yang lebih tajam, garang dan lasak berbanding rekaan lebih ‘bulat’ dari model generasi sebelumnya. Menurut Honda, rekaan baharu untuk CR-V ini adalah diinspirasikan dari trak pikap Honda Ridgeline dan juga SUV lebih besar Honda Passport TrailSport.

    Oleh itu, ia kini diberikan gril hadapan bersaiz besar dengan kemasan hitam berkilat, diapit dengan dengan lampu hadapan LED yang lebih tirus. Bampar CR-V ini juga direka lebih bersegi dari sebelumnya, dan varian-varian hibrid menerima liang udara bawah yang lebih lebar bersama kemasan krom dan juga elemen berbentuk-L yang sebenarnya turut befungsi sebagai liang udara yang diletak menegak. Manakala model dengan enjin petrol penuh nampak kurang garang seperti yang boleh anda lihat pada unit berwarna merah pada galeri yang kami sediakan di bawah.

    Bonet CR-V 2023 ini juga direka lebih panjang, dan menyebabkan tiang-A SUV ini ditolak 119 mm ke belakang. Titik asas tiang-A berkenaan juga di alihkan 71 mm keluar, membolehkan ia berada pada kedudukan 35.6 mm lebih rendah dari CR-V generasi sebelumnya.

    Honda CR-V 2023 didedahkan – lebih besar dan garang, pilihan 1.5L VTEC Turbo dan e:HEV Hybrid

    Garis bahu SUV generasi baharu ini juga nampak lebih tegap dengan satu garis yang diberikan menyambungkan lampu hadapan dan lampu belakang. Manakala cermin suku belakang menerima garis bawah yang lebih landai memberikan imej yang lebih matang pada model ini.

    Di belakang, CR-V masih menerima lampu utama berbentuk-L, namun ia tidak lagi diberikan kemasan krom yang merentangi pintu tailgate, membuatkan ia nampak lebih ringkas seperti model-model SUV dari Eropah. Panel nombor pendaftaran juga kini diletak lebih tinggi, manakala hanya model Sport dan Sport Touring diberikan perumah corong ekzos pada bampar belakang.

    Panel-panel pelindung plastik badan masih diberikan terdiri skid plate pada bampar hadapan dan belakang serta kemasan plastik pada bahagian bawah setiap pintu. Varian Sport dan Sport Touring masing-masing menerima set rim aloi 18- dan 19-inci berwarna hitam, manakala varian EX dan EX-L hanya diberikan rim 18-inci kemasan perak.

    Honda CR-V 2023 ini bukan hanya nampak besar dari model sebelum ini, ianya memang benar-benar lebih besar. Atas kertas, dimensi model generasi baharu ini adalah 4,694 mm panjang, 1,864 mm lebar, tinggi 1,681 mm dan jarak roda sejauh 2,700 mm. Jadi berbanding model generasi kelima, versi baharu ini adalah 69 mm lebih panjang, 10 mm lebih lebar dan jarak roda 40 mm lebih jauh. Namun dari segi tinggi, ia adalah 8 mm lebih rendah yang memberikan rupa lebih sporty.

    Honda CR-V 2023 didedahkan – lebih besar dan garang, pilihan 1.5L VTEC Turbo dan e:HEV Hybrid

    Dengan jarak roda yang lebih jauh, penumpang pada tempat duduk belakang kini menerima ruang kaki yang 15 mm lebih besar. Malah tempat duduk jenis bench di belakang itu juga kini boleh boleh direbah dengan lapan sudut berbeza bagi memberikan lebih keselesaan. Tidak kira varian turbo mahupun hibrid, kedua-duanya kini menerima ruang kargo lebih besar.

    CR-V ini juga menerima papan pemuka yang seakan diambil terus dari Honda Civic generasi ke-11. Papan pemuka berkenaan lebih ringkas dan minimalis dari model generasi ini, menampilkan liang penghembus dengan gril sarang lebah yang merentangi sepenuhnya. Skrin infotainmen yang “berdiri sendiri” di bahagian tengah juga nampak seiras dengan Civic, di mana model EX dan Sport diberikan paparan bersaiz tujuh-inci, manakala model EX-L dan Sport Touring menerima paparan sembilan-inci.

    Apa yang berbeza, konsol tengah CR-V ini nampaknya lebih besar berbanding Civic, membolehkan tombol gear diletak bersebelahan dengan suis pemilih mod pemanduan, butang kawalan menurun bukit dan suis brek parkir elektronik. Konsol tersebut turut menampilkan ruang storan kecil yang turut menempatkan pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi (hanya untuk EX-L dan Sport Touring), manakala dua pemegang cawan diberikan antara konsol tengah dan juga perehat tangan.

    Kesemua varian CR-V 2023 ini menerima sokongan hubungan Android Auto dan Apple CarPlay, manakala pada varian EX-L dan Sport Touring kedua-dua fungsi tersebut boleh dihubungkan tanpa wayar. Paparan instrumen digital tujuh-inci juga adalah perincian standard untuk setiap varian, bersama perincian lain termasuk 10-beg udara, kawalan menurun bukit, pengingat pemakaian tali pinggang keledar belakang, pengingat tempat duduk belakang dan pemantau tumpuan pemandu.

    Honda CR-V 2023 didedahkan – lebih besar dan garang, pilihan 1.5L VTEC Turbo dan e:HEV Hybrid

    Sistem bantuan pemanduan Honda Sensing juga adalah standard untuk semua varian, memberikan fungsi termasuk kamera pandangan 90-darjah dan radar gelombang-milimeter pandangan 120-darjah baharu, Traffic Jam Assist (TJA), Low-Speed Braking Control dan Traffic Sign Recognition (TSR).

    Sistem informasi titik buta (BSI) kini merupakan ciri standard. Sementara fungsi Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low-Speed Follow dan Lane Keeping Assist (LKAS) kini telah ditala semula bagi memberikan operasi yang lebih lancar dan respon lebih natural.

    Model EX dan Sport menerima upholsteri fabrik, manakala varian EX-L dan Sport Touring pula diberikan balutan kulit. Semua varian diberikan port USB-A dan USB-C pada kabin hadapan, manakala model-model varian hibrid pula menerima dua port USB-C tambahan untuk kabin belakang. Sistem bunyi Bose 12-pembesar suara pula hanya diberikan pada model tertinggi Sport Touring.

     
     
  • JPJ eBid: AMN dan VJH sudah boleh dibida

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri nombor pendaftaran AMN dan VJH telah pun dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Bagi AMN, siri nombor pendaftaran Perak ini telah pun dibuka bidaanya mulai hari ini, 12 Julai. Tempoh bidaannya selama lima hari, dan akan ditutup pada jam 10 malam, 16 Julai 2022 (Sabtu ini). Keputusannya pula akan diumumkan pada keesokan harinya, 17 Julai. Keseluruhan proses kini menerusi dalam talian, dan pembida akan menerima sama ada berita baik atau sebaliknya menerusi e-mel.

    Turut dibuka bidaan menerusi platform yang sama ialah siri nombor pendaftaran Kuala Lumpur, VJH. Bidaannya telah pun dimulakan sejak 10 Julai lalu dan bakal berakhir jam 10 malam pada 14 Julai ini. Keputusannya juga akan diumumkan sehari selepas bidaannya ditutup iaitu pada 15 Julai 2022.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Mitsubishi Malaysia sumbang sistem solar berkuasa tinggi untuk perkongsian komuniti Orang Asli

    Mitsubishi Malaysia sumbang sistem solar berkuasa tinggi untuk perkongsian komuniti Orang Asli

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah menyumbangkan sistem solar berkuasa tinggi untuk dikongsikan di antara komuniti Orang Asli atau lebih dikenali sebagai Rumah Adat. Sumbangan tersebut disempurnakan menerusi Global Peace Foundation, badan bukan kerajaan (NGO) dengan misi untuk membina masyarakat Orang Asli yang berdaya tahan dan bersatu padu.

    Menurut MMM, disebabkan kekurangan akses untuk mendapatkan kemudahan elektrik di rumah Orang Asli juga telah memberikan kesan terhadap kesihatan, alam sekitar serta membabitkan kos yang mahal untuk mendapatkannya. Tanpa sumber elektrik, pada waktu malam, unggun api digunakan untuk membakar buah sawit kering, sekaligus menghasilkan banyak asap yang boleh menyebabkan masalah kesihatan termasuk batuk dan mata berair di kalangan penduduk kampung terutamanya kanak-kanak.

    Tambahan pula, rumah dan kawasan komuniti dibina dari bahan yang diperoleh dari hutan termasuk kayu, buluh dan bahan tambahan lain termasuk zink dan PVC, di mana sesetengah daripada bahan tersebut mudah terbakar, menjadikan ia lebih berisiko.

    Bukan itu sahaja, ada juga keluarga Orang Asli yang bergantung pada sumber lain termasuk petrol untuk menghidupkan generator dan bateri untuk mendapatkan sumber kuasa bagi menghidupkan peranti lain selain lampu.

    “Sebagai sebahagian daripada masyarakat Malaysia, kami mahu melihat rakyat Malaysia termasuk masyarakat peribumi menjalani kehidupan yang lebih baik. Dengan sistem solar berkuasa tinggi, kami akan menyediakan akses komuniti Orang Asli kepada tenaga mampu milik dan boleh diperbaharui yang meningkatkan produktiviti.

    “Sekaligus membolehkan projek komuniti diteruskan walaupun selepas gelap, meminimumkan kesan kesihatan dan alam sekitar daripada tenaga tidak boleh diperbaharui, pencemaran alam sekitar yang lebih rendah, dan akhir sekali mengurangkan perbelanjaan tenaga daripada membeli sumber tenaga mahal yang tidak mampan,” kata Arba Rahman, Naib Presiden Kanan MMM.

    Beliau menambah, “Usaha ini adalah bersama-sama dengan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) global Mitsubishi Motors Corporation (MMC), ‘Step to the future’ yang memfokuskan pada empat tema utama, mewakili masyarakat, keselamatan lalu lintas, alam sekitar dan juga orang ramai. Di MMM, kami juga fokus untuk memberikan manfaat kepada orang ramai melalui penekanan terhadap alam sekitar bagi mewujudkan masyarakat yang lebih baik yang kita boleh harapkan pada masa hadapan.”

     
     
  • Honda SUV RS Concept — gambar versi produksi mula bocor, bakal pesaing model Ativa, Raize, Rocky

    Honda SUV RS Concept — gambar versi produksi mula bocor, bakal pesaing model Ativa, Raize, Rocky

    Di Indonesia, ada imej model SUV kompak Honda yang baru telah mula muncul, dan dihebahkan oleh Autonetmagz. Kita tahu bahawa Honda memang ada rancangan untuk mengeluarkan SUV kecil untuk bersaing dengan model seperti Perodua Ativa, Daihatsu Rocky dan Toyota Raize. Ia juga akan menjadi SUV pemula dalam barisan penawaran jenama itu, di bawah kedudukan HR-V yang lebih besar dan mahal — HR-V adalah SUV segmen B.

    Di India misalnya, ada WR-V, tetapi itu hanyalah Jazz yang diberikan penggayaan SUV, bayangkan Perodua Axia Style. Mungkin, nama WR-V ini akan digunakan kelak untuk model baru tersebut? Ada satu lagi nama yang lebih kurang sama, iaitu “ZR-V”, yang digunakan untuk versi global bagi HR-V.

    Kita juga tahu rancangan Honda dengan menunjukkan SUV RS Concept di Indonesia tahun lalu ada preview kepada model berkenaan. Unit yang dipertontonkan itu kelihatan sangat menarik, tetapi gambar yang bocor ini — seandainya merupakan versi produksi model konsep itu — menunjukkan rekaan yang lebih “selamat”.

    Honda SUV RS Concept — gambar versi produksi mula bocor, bakal pesaing model Ativa, Raize, Rocky

    Bahagian gril SUV RS berkenaan telah digantikan dengan rekaan yang lebih biasa, dengan mirip RS yang dikenakan kepada HR-V RS. Ada palang krom di atas gril, tetapi kereta yang kelihatan ini mempunyai lampu utama yang lebih besar, seperti yang selalu boleh dijangkakan.

    Ada juga lampu kabus pada kereta sebenar itu, membuatkan bahagian bawah wajah depannya itu tidak terlalu minimalis. Juga ada skid plate warna perak juga kelihatan. “Hidung” kereta ini juga nampak lebih tegak. Kesimpulanya, wajahnya nampak biasa-biasa saja, tidak terlalu agresif perubahannya.

    Bahagian belakang pula jauh berbeza daripada rekaan konsep sebelum ini, baik bentuknya mahupun perincian yang ada. Kereta konsep berkenaan menampilkan cermin belakang yang curam dengan lampu LED kelebaran penuh, sama seperti HR-V baru. Namun kereta produksi ini pula menampilkan rekaan belakang dengan sudut yang biasa, begitu juga dengan kluster lampunya.

    Honda SUV RS Concept — gambar versi produksi mula bocor, bakal pesaing model Ativa, Raize, Rocky

    Perincian lain yang dapat dilihat misalnya saiz spoiler yang sepadan, lampu belakang dengan gaya 3D dan kemasan warna perak pada kawasan diffuser untuk menyerupai bahagian depannya. Juga, perincian L terbalik untuk lampu LED, sama seperti Civic FE.

    Jadi, Honda akan ada SUV kompak untuk lawan Rocky dan Raize di Indonesia? Kita tunggu dan perhatikan perkembangannya selepas ini. Adakah model sama akan tiba di Malaysia? Tiada yang mustahil, walaupun itu bukanlah pilihan yang baik untuk Honda di sini, kerana persaingan sedia ada dalam segmen berkenaan sudah terlalu sengit — sukar untuk menawarkan harga dan spesifikasi yang lebih menarik berbanding model dari jenama tempatan di sini.

     
     
  • Perodua ada 200k tempahan tertangguh, sasar penuhi semuanya termasuk pendaftaran sebelum 31.03.2023

    Perodua ada 200k tempahan tertangguh, sasar penuhi semuanya termasuk pendaftaran sebelum 31.03.2023

    Perodua telah mempunyai lebih 200,000 tempahan yang masih tertangguh (yang masih belum dipenuhi) dan menyasarkan untuk memenuhi semuanya menjelang suku pertama 2023. Ia adalah bagi menyelesaikan semua pendaftaran sebelum tarikh akhir yang diberikan oleh kerajaan bagi kereta yang ditempah sebelum berakhirnya tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 30 Jun lalu.

    Tarikh terakhir yang diberikan untuk pendaftaran semua kereta dengan pengecualian SST ialah pada 31 Mac 2023, seperti mana yang diumumkan sebelum ini. Pada hari terakhir pengecualian SST itu, Perodua telah menerima 25,100 tempahan daripada pelanggan yang mengambil peluang pada saat akhir ‘cuti SST’ itu, di mana ia adalah jumlah harian tertinggi yang pernah direkodkan oleh Perodua.

    Presiden dan CEO Datuk Zainal Abidin Ahmad memberitahu pihak media pada minggu lalu, Perodua berkeupayaan mengeluarkan 28,000 unit kereta sebulan dan pada peringkat produksi, ia sepatutnya mampu memenuhi tempahan yang tertangguh yang diterima dalam tempoh pengecualian SST.

    Dengan itu, bos besar Perodua ini juga yakin sasaran jualan 2022 sebanyak 247,800 unit (meningkat 30.2% berbanding 190,291 unit kereta yang dihantar pada 2021) boleh dicapai, tambahan pula syarikat ini telah berjaya menyelesaikan isu kekurangan bekalan semikonduktor, laporan The Edge.

    Perodua ada 200k tempahan tertangguh, sasar penuhi semuanya termasuk pendaftaran sebelum 31.03.2023

    Bagi inflasi, ringgit yang lemah dan kenaikan kos bagi pengeluar, Perodua mengatakan bahawa ia akan mengekalkan harganya.

    “Ada banyak faktor yang perlu dipertimbangkan, dari harga bahan mentah, keadaan ekonomi Malaysua, kuasa pembelian pembeli. Tiada peningkatan harga; kami akan mengekalkan harga kami dan diharap kami mampu mengekalkannya sehingga hujung tahun ini,” kata Zainal.

    Sambungnya lagi, “Setakat ini, peningkatan harga yang kami hadapi, kami cuba untuk menyerapkannya,” sambil mengesahkan pihaknya mempunyai langkah pengurangan kos untuk mengatasi isu kenaikan harga.

    Kenaikan harga yang disebutkan ini bukanlah semakan harga dengan cukai jualan yang ditambah semula iaitu melibatkan cukai yang perlu dibayar kepada kerajaan. Sehingga 1 Julai, harga kereta Perodua meningkat antara RM723 dan RM4,674, atau antara 1.63% dan 6.38%.

     
     
  • Honda Civic Type R 2023 diperkenalkan 21 Julai ini!

    Honda Civic Type R 2023 diperkenalkan 21 Julai ini!

    Honda mengesahkan bahawa model Civic Type R 2023 akan diperkenalkan pada 21 Julai nanti; untuk pengenalan sulung globalnya. Pengganti model FK8 ini dijangka akan masuk ke bilik pameran awal 2023 nanti.

    Dengan pengumuman ini, Honda turut mengeluarkan teaser pertama bagi versi produksi model terbabit. Imej yang dilihat ini adalah unit yang terdedah sepenuhnya, tanpa ada lagi pelekat samaran merah-hitam unit pembangunan yang pernah dilihat sebelum ini. Dari sini dapat dilihat lencana merah Honda, dengan logo Type R pada sisi grilnya, yang hadir dengan corak rekaan honeycomb — sama dengan rekaan gril bahagian bawahnya.

    Bahagian bampar dan bukaan sisi pula diberi rekaan yang ringkas berbanding model FK8 sebelum ini. Ini memberi petunjuk kepada rekaan keseluruhan yang semakin matang dan ringkas. “Sayap” belakang yang besar dan ekzos tiga muncung dijangka akan diteruskan lagi. Lampu utama pula hadir dengan jalur “mata” yang lebih menonjol dalam bentuk DRL LED bentuk L.

    Honda Civic Type R 2023 diperkenalkan 21 Julai ini!

    Sama seperti sebelum ini, Civic Type R menggunakan asas daripada versi hatchback lima-pintu, dengan kodnama FL. Maklumat rasmi masih belum didedahkan, tetapi model ini dijangka akan dikuasakan oleh enjin K20C1 2.0 liter turbo empat-silinder dari FK8 yang dipertingkatkan, dengan janaan 320 PS dan 400 Nm tork. Boleh juga jangkakan transmisi manual enam-kelajuan dan limited-slip differential.

    Satu perbezaannya adalah Type R baru ini tidak lagi akan dikeluarkan dari kilang Honda di Swindon, UK — “rumah” yang sinonim dengan Type R — kerana kilang berkenaan tidak lagi beroperasi, dan pengeluarannya akan dipindahkan ke Amerika Syarikat.

    Tahun ini juga sangat bermakna untuk “jenama” Civic. Hari ini merupakan ulangtahun ke-50 siri Honda Civic, sejak ia mula dijual pada 12 Julai 1972. Tahun ini juga menandakan tahun ke-25 Civic menggunakan lencana Type R.

     
     
  • Harga SST Toyota 2022: Vios dan Yaris naik RM3k; Corolla Cross naik RM5.4k; Alphard naik RM17k

    Harga SST Toyota 2022: Vios dan Yaris naik RM3k; Corolla Cross naik RM5.4k; Alphard naik RM17k

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengemaskini harga bagi model Toyota susulan berakhirnya pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 30 Jun 2022. Seperti syarikat kereta yang lain, ia melibatkan peningkatan harga, dan untuk model Toyota, ada harganya yang naik setinggi RM17,391.

    Ia melibatkan model Alphard yang mengalami peningkatan harga tertinggi tanpa pengecualian SST, kini berharga RM464,000. Manakala Vellfire pula naik harga sebanyak RM14,419, kini dijual pada RM382,300. Model lain yang turut naik harga lebih RM10k termasuklah Camry dan Fortuner, dengan varian tertinggi bagi Fortuner naik sebanyak RM13,327.

    Walau bagaimana pun trak pikap tidak menerima sebarang manfaat daripada pengecualian SST kerana ia dikategorikan sebagai kenderaan komersial, ini termasuklah barisan Hilux yang tidak melibatkan perubahan harga. Manakala model SUV yang lain diumumkan mengalami kenaikan harga sekitar RM9,293.50 untuk Harrier, RM5,429 bagi Corolla Cross dan sekitar RM5,155 untuk Rush.

    Harga SST Toyota 2022: Vios dan Yaris naik RM3k; Corolla Cross naik RM5.4k; Alphard naik RM17k

    Untuk Innova pula, kini ia bermula pada RM133,880 untuk varian 2.0G, lebih RM8,648 berbanding sebelum ini, manakala spesifikasi tertinggi 2.0X pula naik sekitar RM8,525. Tetapi model asas 2,0E tidak pula disenaraikan dalam laman web Toyota Malaysia. Manakala model lain termasuk GR Supra dan GR Yaris pula dinyatakan “harganya akan dikemaskinikan”.

    Bagi model popular di bawah segmen-B dan -C seperti Vios, Yaris dan Corolla, harganya sedikit tinggi tanpa pengecualian SST. Vios danYaris kini naik harga sebanyak RM3,007, seperti kemaskini pada 1 April. Manakala Corolla pula dinaikkan harganya sebanyak RM7,383, juga seperti yang dinyatakan bermula pada April lalu.

     
     
  • MIROS jelajah M’sia promosi program subsidi kerusi kanak-kanak MyCRS, permohonan dilulus segera

    MIROS jelajah M’sia promosi program subsidi kerusi kanak-kanak MyCRS, permohonan dilulus segera

    Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) terus mengingatkan penerima program subsidi kerusi kanak-kanak Keluarga Malaysia (MyCRS) yang layak untuk segera membuat pembelian. Kerusi kanak-kanak untuk diletakkan dalam kenderaan adalah penting, dan biarpun telah diberi subsidi namun tidak semua yang layak mengambil langkah yang sepatutnya untuk berbuat demikian.

    Menurut MIROS, program ini adalah untuk membantu golongan B40 bagi mendapatkan kerusi berkenaan, telah menyaksikan sebanyak 256,202 pemohon yang layak daripada jumlah keseluruhan mencecah 473,346. Ini adalah 36% lebih tinggi daripada had 188,000 menerusi program terbabit.

    Bagaimanapun, subsidi diberikan berdasarkan pembelian dan bukannya kelayakan, sebab itu mereka yang layak perlu membuat pembelian kerusi kanak-kanak dengan segera di 259 cawangan sah seluruh negara, atau menerusi dalam talian. Senarai cawangan berkenaan boleh disemak menerusi pautan www.mycrs.gov.my. MIROS berkata tempoh sahnya telah dilanjutkan ke tiga bulan dari tarikh semakan, jadi bertindaklah segera.

    MIROS jelajah M’sia promosi program subsidi kerusi kanak-kanak MyCRS, permohonan dilulus segera

    Untuk mempromosikan lagi program ini, MIROS melakukan siri jelajah seluruh Semenanjung Malaysia. Ia dilihat sebagai langkah proaktif untuk mendidik ibu bapa tentang kepentingan kerusi kanak-kanak, serta mendapatkan lebih banyak lagi pembelian kerusi bersubsidi. Telah pun dimulakan bulan ini, siri jelajah ini akan berkunjung ke klinik kesihatan dan lokasi terpilih yang lain di seluruh Semenanjung Malaysia.

    MIROS akan membantu mereka yang layak untuk memohon subsidi ini dan akan menerima kelulusan segera. Pengedar kerusi kanak-kanak ini juga akan mengambil bahagian dan memberikan baucar diskaun, serta membantu pelanggan memilih jenis yang paling sesuai utuk membeli kerusi keselamatan kanak-kanak ini.

    Diumumkan menerusi Bajet 2022, kerajaan memberi subsidi 50% atau sehingga RM150 untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak bagi golongan B40. Peruntukannya melibatkan kos sebanyak RM30 juta dan ia terhad kepada 188,000 pemohonan ketika diumumkan. Setiap individu yang layak boleh menuntut subsidi untuk satu kerusi kanak-kanak sahaja.

     
     
  • Chery Omoda 5 dengan jarak gerak EV 450 km akan tiba di Malaysia – pesaing Ora Good Cat dan Kona EV?

    Chery Omoda 5 dengan jarak gerak EV 450 km akan tiba di Malaysia – pesaing Ora Good Cat dan Kona EV?

    Tidak lama selepas tempahan untuk SUV elektrik Chery Omoda 5 dibuka di China, laman Facebook Chery Malaysia juga mula menjemput orang ramai untuk memberikan pandangan serta cadangan berkenaan model tersebut.

    Beberapa perincian Omoda 5 ini juga telah didedahkan di dalam borang kaji selidik tersebut, termasuk kuasa puncak 150 kW (204 PS) dan tork 400 Nm, serta bateri 64 kWh yang mampu memberikan jarak gerak 450 km. Bateri ini boleh diisi kembali dari kosong ke 80% melalui pengecasan pantas dalam masa 40 minit, dan apabila menggunakan pengecas berkadar lebih rendah, ia akan mengambil masa lima jam.

    Turut ditunjukkan adalah dimensi Omoda 5, yang mencatat panjang 4,374 mm, lebar 1,824 mm, tinggi 1,585 mm dan jarak roda 2,630 mm. Ini sekaligus menjadikan ia sedikit lebih pendek (-26 mm) dan kurang lebar (-6 mm) berbanding Omoda 5 yang menggunakan enjin pembakaran dalaman biasa.

    Melalui kaji selidik itu juga, Chery Malaysia mahu mendapatkan maklum balas orang ramai, bahagian luaran dan dalaman mana yang mereka paling suka, dan tidak suka berkenaan Omoda 5 elektrik. Turut ditanya adalah berkenaan pesaing terdekat Omoda 5 EV, seperti Hyundai Kona Electric dan GWM Ora Good Cat.

    Omoda 5 versi enjin pembakaran dalaman telah pun disahkan akan dilancarkan di Malaysia, dan negara kita akan menjadi antara pasaran antarabangsa luar China terawal yang menerimanya, dan diikuti pasaran lain seperti Australia dan Eropah.

    SUV segmen B dari pengeluar China ini juga sudah pernah ditemui diuji atas jalan raya di negara kita, namun seluruh badannya masih lagi ditutup dengan pelekat camouflage. Turut dalam perancangan adalah pemasangan dalam negara (CKD) untuk model ini.

     
     
  • GWM Poer P11 – tempahan dibuka di M’sia; dari RM110k, 2.0L turbodiesel berkuasa 163 PS/400 Nm

    GWM Poer P11 – tempahan dibuka di M’sia; dari RM110k, 2.0L turbodiesel berkuasa 163 PS/400 Nm

    Selain dari trak pikap Poer P12, Great Wall Motors (GWM) turut membuka tempahan untuk trak pikap Poer P11 selepas jenama berkenaan secara rasmi dilancarkan semula ke pasaran Malaysia (kini diuruskan sepenuhnya oleh subsidiari Great Wall Motor Sales Malaysia) awal minggu ini.

    Poer P12 dan Poer P11 sebenarnya diasaskan dari model yang sama, namun untuk P11 ia diletakkan lebih rendah dalam hieraki model, kerana di China P12 dijual lebih sebagai model untuk kegunaan persendirian manakala P11 adalah model yang dihasilkan untuk kegunaan komersil.

    Menerusi tangkap layar dari laman web rasmi GWM Malaysia (kini sudah dipadam), kedua-dua model ini menerima unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin turbodiesel 2.0 liter yang menghasilkan kuasa 160 hp dan tork maksima 400 Nm, dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik serta sistem pacuan empat roda. Namun untuk P11 ini, ia tidak diberikan sistem bantuan pemanduan autonomi Tahap 2 seperti yang ditawarkan pada P12.

    P11 juga diberikan muka yang sedikit berbeza dari P12. Model ini menerima lampu hadapan yang kelihatan seperti “mata helang” dan gril “nebula”, berbanding P12 yang menerima lampu yang lebih bersudut bersama gril dengan elemen bar melintang.

    GWM Poer P11 pasaran Malaysia ini akan dijual pada harga bermula tidak kurang dari RM110,000, berbanding bermula RM130,000 untuk P12. Pra-tempahan perlu dibuat dengan membayar RM1,000, sama seperti pra-tempahan model EV Ora Good Cat. Pelanggan terawal yang menempah dijangka akan menerimanya pada suku keempat tahun ini, menurut apa yang tertulis dalam tangkap layar berkenaan

    Ini bukan kali pertama GWM menawarkan trak pikap untuk pasaran Malaysia. Trak pikap GWM Wingle 5 pernah dijual pada pasaran tempatan menerusi pengedarnya sebelum ini iaitu Go Auto. Sedikit trivia berkenaan trak pikap generasi baharu GWM ini, Poer pada nama trak pikap ini sebenarnya disebut dengan sebutan “Power”, dan ia adalah nama rasmi untuk trak pikap siri-P mereka bagi pasaran antarabangsa.

    GWM Poer P11 – tempahan dibuka di M’sia; dari RM110k, 2.0L turbodiesel berkuasa 163 PS/400 Nm

    Menurut GWM, nama berkenaan diinspirasikan dari huruf perkataan cina “Pao”, yang juga dipilih berdasarkan akronim “powerful, off-road, enjoyable and reliable.” Trak-trak pikap GWM ini juga dijual dengan nama yang berlainan bergantung pada pasaran.

    Di China, model ini dipanggil Pao, dan P11 dan P12 adalah varian dari Pao. Di Australia pula, hanya model P12 dijual di sana dan ia dikenali sebagai GWM Cannon, ditawarkan dalam empat varian berbeza. Manakala di Brunei, trak pikap ini turut dikenali sebagai Poer, namun bagi varian P11 dikenali sebagai Sucan dan varian P12 pula dikenali sebagai Ruman.

    GWM Poer P11 – tempahan dibuka di M’sia; dari RM110k, 2.0L turbodiesel berkuasa 163 PS/400 Nm

     
     
  • GWM Poer P12 – tempahan di M’sia bakal dibuka; dari RM130k, turbodiesel 163 PS/400 Nm, autonomi Tahap 2

    GWM Poer P12 – tempahan di M’sia bakal dibuka; dari RM130k, turbodiesel 163 PS/400 Nm, autonomi Tahap 2

    Selepas Great Wall Motors (GWM) secara rasmi dilancarkan semula ke pasaran Malaysia (kini diuruskan sepenuhnya oleh subsidiari Great Wall Motor Sales Malaysia) awal minggu ini, syarikat berkenaan dilihat telah mengambil pra-tempahan untuk pelbagai model jenama China tersebut, termasuk trak pikap GWM Poer P12; laman web rasmi GWM Malaysia menyatakan pada bahagian bawah laman berkenaan bahawa tempahan untuk trak pikap tersebut akan dibuka tak lama lagi.

    Berdasarkan tangkap layar yang diambil dari laman berkenaan oleh pengguna Facebook (ia telah dipadamkan dari laman web GMW Malaysia), GWM Poer P12 pasaran Malaysia ini akan hadir dalam badan double-cab serta menerima enjin turbodiesel 2.0 liter yang menghasilkan kuasa 160 hp dan tork maksima 400 Nm, dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik serta sistem pacuan semua roda Smart.

    Spesifikasi tersebut nampaknya agak padan dengan model pasaran Australia yang dikenali dengan nama GWM Cannon yang dilancarkan pada lewat 2020, yang menerima enjin berkuasa 163 PS dengan badan double-cab, ditawarkan dalam tiga varian bersama varian asas 4×2.

    GWM Cannon pasaran Australia

    Poer P12 yang ditunjukkan dalam laman web GWM Malaysia berkenaan turut dilengkapi dengan kelengkapan pemanduan autonomi Tahap 2, namun senarai fungsi untuk sistem berkenaan masih belum dinyatakan. Sebagai panduan, Cannon pasaran Australia menerima sistem fungsi termasuk amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong, bantuan tukar lorong, amaran lintasan trafik belakang, cruise control adaptif serta pengenal tanda trafik dan amaran kelajuan.

    Sistem keselamatan GWM Cannon di Australia itu juga disertakan dengan tujuh beg-udara (bersama beg udara tengah antara kedua-dua tempat duduk hadapan, pemati sistem penghantaran bahan api automatik sekiranya berlaku kemalangan, bantuan mula mendaki dan bantuan turun bukit.

    GWM Poer P12 pasaran Malaysia ini akan dijual pada harga bermula tidak kurang dari RM130,000 dan pra-tempahan perlu dibuat dengan membayar RM1,000, sama seperti pra-tempahan model EV Ora Good Cat. Pelanggan terawal yang menempah dijangka akan menerimanya pada suku keempat tahun ini, menurut apa yang tertulis dalam tangkap layar berkenaan. Enam warna badan ditawarkan untuk trak pikap ini termasuk biru, hitam, putih, perang, perak dan merah.

    Ini bukan kali pertama GWM menawarkan trak pikap untuk pasaran Malaysia. Trak pikap GWM Wingle 5 pernah dijual pada pasaran tempatan menerusi pengedarnya sebelum ini iaitu Go Auto.

    GWM Poer P12 – tempahan di M’sia bakal dibuka; dari RM130k, turbodiesel 163 PS/400 Nm, autonomi Tahap 2

    GALERI: GWM Cannon 2021 pasaran Australia

    GALERI: Great Wall Pao 2021 pasaran China

     
     
  • TVS Ronin diperkenal di India – roadster 225 cc dengan platform dan kerangka baru, kuasa 20.4 PS

    TVS Ronin diperkenal di India – roadster 225 cc dengan platform dan kerangka baru, kuasa 20.4 PS

    TVS memperkenalkan roadster neo retro pertama mereka di pasaran India, dipanggil sebagai Ronin. Ia menggunakan platform serta kerangka serba baru, sekaligus memberi petunjuk akan membawa kepada penghasilan model lain seperti cafe racer atau scrambler.

    Penggerak Ronin adalah enjin satu silinder empat strok SOHC, EFI, 225.9 cc yang dipadankan bersama transmisi lima kelajuan dengan klac jenis slipper, mampu menghasilkan kuasa 20.4 PS pada 7,750 rpm dan 19.93 Nm tork pada 3,750 rpm.

    Setiap operasi serta fungsi motosikal dapat dilihat melalui skrin digital berbentuk bulat yang terletak di hadapan penunggang, termasuk kedudukan gear, rpm, kelajuan, tahap minyak, jarak gerak sebelum minyak habis serta jam.

    Panel meter ini juga boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui Bluetooth, dan memberikan fungsi notifikasi panggilan atau mesej, bantuan suara serta arahan navigasi. Di situ juga penunggang boleh memilih antara dua fungsi sistem ABS yang disediakan, iaitu Rain dan Urban.

    Suspensi Ronin menggunakan fork USD 41 mm di hadapan, dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang, sementara brek pula kedua-dua bahagian menggunakan unit cakera dengan masing-masing bersaiz 300 mm di hadapan dan 240 mm di belakang. Rim adalah unit aluminium 17 inci dengan tayar 110/70 dan 130/70.

    Secara keseluruhannya Ronin mencatat berat 160 kg dan datang dengan tangki bahan api berkapasiti 14 liter, sementara kelengkapan lainnya adalah termasuk semua lampu jenis LED, tinggi tempat duduk 795 mm, penghidup enjin elektrik, bahagian rantai yang tertutup sepenuhnya serta tuil brek yang boleh dilaras.

     
     
  • PDRM laksana Op Lancar 8-11 Julai sempena Aidiladha – guna dron kesan kesalahan trafik

    PDRM laksana Op Lancar 8-11 Julai sempena Aidiladha – guna dron kesan kesalahan trafik

    Demi memastikan aliran trafik lancar sepanjang perayaan Aidiladha 2022, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Op Lancar selama empat hari bermula hari ini, 8 Julai, hingga Isnin hadapan (11 Julai).

    Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, Op Lancar ini dilaksanakan ekoran pertambahan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan kembali semula ke ibu kota kerana sambutan Aidiladha.

    “PDRM melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sudah mengenalpasti kawasan-kawasan ‘panas’ yang dijangka sesak. Sasaran polis ialah memastikan aliran trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta bandaran bergerak lancar dan terkawal.

    “Selain itu rondaan cegah kemalangan dan ‘omnipresent’ di lokasi turut dijalankan termasuk pendekatan pemantauan melalui dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) bagi mengesan kesalahan menggunakan lorong kecemasan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    PDRM laksana Op Lancar 8-11 Julai sempena Aidiladha – guna dron kesan kesalahan trafik

    Dalam masa yang sama, beliau turut menyarankan pengguna jalan raya merancang perjalanan dan peka dengan maklumat aliran trafik semasa.

    “Laksanakan peranan sebagai pengguna jalan raya yang berhemah dan patuhi segala peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, menyalahgunakan lorong kecemasan atau meletakkan kenderaan sehingga menghalang jalan,” katanya.

    Tambah beliau, melalui Op Lancar kali ini, PDRM komited untuk memastikan keselamatan dan keselesaan orang ramai sepanjang perjalanan terjamin bagi merayakan Aidiladha dalam suasana kekeluargaan yang sejahtera.

     
     
  • VIDEO: Lori dikesan dipandu dalam keadaan bahaya di Lebuhraya Utara-Selatan, pemandu disyaki mengantuk

    VIDEO: Lori dikesan dipandu dalam keadaan bahaya di Lebuhraya Utara-Selatan, pemandu disyaki mengantuk

    Satu video telah tular di laman media sosial baru-baru ini memperlihatkan sebuah lori muatan barangan dipandu dalam keadaan yang tidak tentu arah. Hasil rakaman dari pemilik akaun TikTok Tobengshah yang dikongsikan tiga hari lalu turut mendapat perhatian netizen.

    Menurut perakam video ini, dia terpaksa ‘mengiringi’ lori terbabit yang kelihatan dipandu tidak tentu arah di Lebuhraya Utara-Selatan dari Bukit Tagar menuju ke Tanjung Malim, kerana risau dengan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Pemandu lori terbabit disyaki memandu dalam keadaan mengantuk hingga menyebabkan kenderaannya sering dibrek dan bertukar-tukar lorong secara mendadak. Ternyata tindakan ini boleh membahayakan keselamatan orang lain, sekiranya lori tersebut mungkin hilang kawalan dan ada kebarangkalian merempuh atau dirempuh kenderaan lain.

    Dalam masa yang sama, kelihatan kenderaan berat lain termasuk bas, lori dan trak tunda turut membunyikan hon dengan harapan pemandu lori tersebut menyedari pemanduannya dalam keadaan yang bahaya. Walau bagaimana pun, pemandu lori tersebut masih meneruskan pemanduan dengan keadaan yang sama hingga memasuki susur Tanjung Malim.

    Perakam video ini turut menyatakan tindakannya memuat naik video terbabit menerusi TikTok sebagai pengajaran untuk pemandu lain supaya berwaspada dan sempat menasihati pemandu yang mengantuk supaya berhenti rehat di susur masuk/keluar (sebenarnya lebih tepat kalau berhenti rehat di kawasan yang lebih selamat termasuk di Hentian R&R). Katanya, “Biar disaman trafik, dari terbabit kemalangan.”

    Bukan setakat masalah brek seperti yang terjadi dalam insiden di Tambak Johor kelmarin, tapi kes lori yang dipandu dalam keadaan bahaya sebegini juga kerap menjadi penyebab kemalangan jalan raya. Bahkan kerap juga menyebabkan banyak nyawa yang melayang gara-gara sikap segelintir pemandu kenderaan berat yang tidak bertanggungjawab ini. Satu demi satu insiden yang berlaku tetapi tidak semua yang mengambilnya sebagai iktibar untuk mengamalkan pemanduan selamat dan berhemah. Sedih tapi itulah hakikatnya!

    @tobengshah mencemaskan..dari bukit tagar hgga ke t.malim..terpksa escort sebab risau mmbahayakan pemandu2 lain#fyp#burungantu ? Tiara – Raffa Affar

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025