Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PACE 2022: Pelbagai model BMW dan MINI dipamer dengan tawaran menarik — dibawa oleh Auto Bavaria

    PACE 2022: Pelbagai model BMW dan MINI dipamer dengan tawaran menarik — dibawa oleh Auto Bavaria

    Di PACE 2022 yang bakal berakhir hari ini, BMW yang di wakili oleh Auto Bavaria turut mempamerkan banyak model terkini, termasuk 218i yang dikemaskini, serta 5 Series facelift yang turut menyertai 3 Series, X3, X5 xDrive45e dengan peralatan M Performance dan juga model elektrik iX3.

    Jika anda memang merancang untuk membeli kenderaan BMW, anda akan menikmati rebat serta hadiah istimewa ketika membuat tempahan serta jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan percuma yang disertakan dengan pakej servis berjadual juga. Pemilik BMW sedia ada juga boleh membawa kenderaan mereka untuk menjalani pemeriksaan 13-poin.

    Selain BMW, Auto Bavarian turut membawakan beberapa model MINI seperti The Coopers Edition, varian istimewa bagi Cooper S 5 Door yang memperingati penglibatan keluarga Cooper dengan jenama berkenaan selama enam dekad lamanya.

    PACE 2022: Pelbagai model BMW dan MINI dipamer dengan tawaran menarik — dibawa oleh Auto Bavaria

    Model MINI juga datang dengan tawaran rebat menarik dan skim pembiayaan mudah dengan kadar faedah rendah. Tidak lupa, pembeli juga akan menikmati nilai trade-in yang tinggi untuk kereta terpakai mereka. Pembeli juga akan menerima jaminan 4+1 tahun dengan servis berjadual untuk kelegaan fikiran.

    Dengan pengecualian cukai SST yang masih berlangsung — 50% untuk CBU dan 100% bagi model CKD — hingga 30 Jun nanti, sekaranglah masa terbaik untuk membeli jika anda memang ada perancangan untuk berbuat demikian. Membeli di PACE pula akan memberikan anda beberapa lagi kelebihan dan penjimatan istimewa untuk dinikmati.

     
     
  • PACE 2022: Ford Ranger XLT Plus SE, Wildtrak dan Everest dipamerkan — tawaran menarik di SCCC

    PACE 2022: Ford Ranger XLT Plus SE, Wildtrak dan Everest dipamerkan — tawaran menarik di SCCC

    Di PACE 2022 yang berlangsung di Pusat Persidangan Setia City dan akan berakhir hari ini, Ford turut mempamerkan beberapa pilihan model 4×4 jenama itu bagi edisi terbaru tahun ini. Trak pikap Ranger menjadi model laris dan penting, dengan antara penawarannya adalah Ranger XLT Plus Special Edition pada harga RM136,888.

    Varian XLT Plus ini menggunakan enjin 2.0 liter EcoBlue empat-silinder turbodiesel yang menghasilkan 180 PS dan 420 Nm tork, dan digandingkan dengan transmisi automatik 10-kelajuan 10R80. Tambahan kepada kit XLT Plus dan unik untuk varian Special Edition adalah gril depan gaya Raptor dengan ejaan Ford besar.

    Versi khas ini juga datang dengan lampu utama LED, pemijak sisi, pintu ruang barangan Easy Lift, sistem tanpa kunci, butang Push Start, kawalan melayar, balutan kulit, kawalan pendingin dua zon, paparan multi-info berkembar empat-inci, sistem infotainmen SYNC 3 dengan skrin sentuh lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem bunyi enam-pembesar suara dan kamera undur.

    PACE 2022: Ford Ranger XLT Plus SE, Wildtrak dan Everest dipamerkan — tawaran menarik di SCCC

    Turut serta adalah model Wildtrak, dengan harga RM152,388. Dengan enjin yang sama, janaannya bagaimanapun lebih tinggi dengan 213 PS dan 500 Nm tork hasil tetap bi-turbo yang digunakannya. Transmisi bagaimanapun sama; automatik 10-kelajuan 10R80, dengan SelectShift.

    Kit keselamatan aktif Wildtrak terdiri daripda amaran perlanggaran depan, AEB dengan pengesan pejalan kaki, amaran penukaran lorong dan kawalan melayar adaptif. Tidak ketinggalan, ada enam beg udara.

    Sebuah lagi model yang dipamerkan oleh Ford adalah Everest yang dijual pada harga RM268,888. Model ini, sama seperti trak pikapnya, menggunakan model 2.0 liter empat-silinder turbodiesel dengan 213 PS dan 500 Nm, digandingkan bersama kotak gear automatik 10-kelajuan. Semua ini dan banyak lagi boleh didedakti di PACE 2022 yang akan berakhir hari ini.

     
     
  • PACE 2022: Volvo XC40 Pure Electric, XC90 B5, V60 Recharge T8 dipamer — dengan tawaran menarik

    PACE 2022: Volvo XC40 Pure Electric, XC90 B5, V60 Recharge T8 dipamer — dengan tawaran menarik

    Kita tiba di hari terakhir berlangsungnya pameran Premium Auto Car Expo (PACE) 2022 anjuran paultan.org, bertempat di Pusat Persidangan Setia City (SCCC) yang menawarkan pelbagai tawaran dan penjimatan yang sukar dilepaskan.

    Volvo antara jenama yang ikut serta, dan antara model terbaru yang turut dipamerkan adalah seperti XC40 Pure Electric, XC90 B5 AWD Inscription Plus dan V60 Recharge T8 Inscription. Paling baru dilancarkan ialah model SUV elektrik berkenaan; dengan jarak418 km dari bateri 78-kWh lithium-ion, ia menampilkan dua motor elektrik yang memberikan output 408 PS (300 kW) dan 660 Nm tork.

    Ini membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dengan laju maksimum 180 km/j. Untuk kelengkapan, ada sistem infotainmen dengan OS Android Automotive yang memberikan pengalaman mudah seperti menggunakan telefon pintar, serta ciri keselamatan dan sistem bantuan pemandu yang lengkap seperti kebiasaannya dijangka untuk kereta Volvo.

    PACE 2022: Volvo XC40 Pure Electric, XC90 B5, V60 Recharge T8 dipamer — dengan tawaran menarik

    XC90 B5 pula hadir dengan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder, dengan janaan 249 PS dan 350 Nm tork. Menyalurkan kuasa berkenaan adalah kotak gear automatik lapan-kelajuan, dan disertai juga oleh sebuah motor elektrik dengan kuasa 14 PS dan 40 Nm. Ini membolehkan operasi Start/Stop enjin lebih lancar, mengurangkan penggunaan minyak dan memberikan kuasa tambahan.

    SUV besar ini boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat, dan dalam masa yang sama memberikan bacaan penggunaan minyak pada kadar 8.2 liter per 100 km. Tidak seperti versi petrolnya, versi B5 ini datang dengan kemasan spesifikasi tinggi termasuk roda 20-inci, lampu utama LED adaptif, suspensi udara aktif, sunroof panoramik, tombol gear Orrefors, kawalan pendingin udara empat zon serta sistem bunyi Bowers & Wilkins dengan 19 pembesar suara 1,400 watt.

    Untuk reka bentuk unik pula, V60 wagon menjadi wakil bagi jenama ini di PACE dalam penawaran Recharge T8 Inscription. Kelebihannya, ruang barangan yang tersedia adalah 529 liter dan boleh ditingkatkan kepada 1,441 liter dengan kerusi belakang direbahkan.

    PACE 2022: Volvo XC40 Pure Electric, XC90 B5, V60 Recharge T8 dipamer — dengan tawaran menarik

    V60 mempunyai sistem plug-in hybrid, menggandingkan enjin 2.0 liter turbocas dan supercas empat-silinder dengan motor elektrik di belakang. Ini membolehkan ia mempunyai pacuan semua roda dan output keseluruhan 407 PS pada 5,700 rpm dan 640 Nm dari 1,200 hingga 5,400 rpm. Kotak gear automatik lapan-kelajuan Aisin adalah standard.

    Semua model Volvo ini merupakan versi pemasangan tempatan (CKD) dan kini sedang menikmati pengecualian SST hingga 30 Jun nanti. Kalau ingin membeli kenderaan baru, jangan tunggu lama-lama dan boleh berkunjung ke PACE 2022.

     
     
  • PACE 2022: Hyundai bawa kereta elektrik Ioniq 5, Kona Electric serta SUV mewah Palisade sebagai pameran

    PACE 2022: Hyundai bawa kereta elektrik Ioniq 5, Kona Electric serta SUV mewah Palisade sebagai pameran

    Kawasan pameran Hyundai di PACE 2022 bukanlah yang paling besar, tetapi ia tetap menarik ramai orang. Ini kerana mereka membawa beberapa model yang susah dilihat atas jalan raya, termasuklah dua kereta elektrik (EV) yang baru dilancarkan untuk pasaran, dan sebuah SUV mewah besar.

    EV kini menjadi satu trend, dan Ioniq 5 tampil sebagai antara yang menonjol. Tidak kisahlah kalau kita bandingkan dengan kereta biasa atau EV, rekaan moden retro Ioniq 5 memang unik. Kemudiannya, ia dipadankan pula dengan spesifikasi serta kelengkapan yang tinggi. Duduk di atas platform khas untuk EV, Ioniq 5 nampak seperti hatchback bersaiz Golf, tetapi sebenarnya ia agak besar, dengan jarak roda sekitar tiga meter – hampir seperti Palisade di sebelahnya.

    Ioniq 5 dijual pada harga bermula RM199,888, untuk varian Lite yang menggunakan bateri lithium-ion polymer 58 kWh serta motor elektrik tunggal dan pacuan roda belakang, menghasilkan kuasa 170 PS dan 350 Nm tork. Varian Plus yang dijual pada harga RM229,888 juga masih menggunakan bateri 58 kWh, tetapi datang dengan spesifikasi lebih tinggi.

    Paling tinggi adalah varian Max, seperti yang dipertontonkan di PACE, dan ia dijual pada harga RM259,888. Varian ini mendapat bateri 72.6 kWh serta satu lagi motor untuk roda hadapan (AWD), menghasilkan kuasa keseluruhan 305 PS, 605 Nm tork dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat. Dengan sekali cas penuh ia boleh memberi jarak gerak 430 km.

    Ioniq 5 sebenarnya adalah EV kedua Hyundai di Malaysia, sementara yang pertama adalah Kona Electric. Dilancarkan hujung tahun lepas, Kona Electric ditawarkan dalam tiga varian iaitu Lite (RM149,888, 39.2 kWh), Plus (RM169,888, 39.2 kWh spesifikasi lebih tinggi) dan Max (RM199,888, 64 kWh).

    Bertentangan dengan EV, iaitu SUV berenjin besar Palisade turut hadir ke PACE 2022. Ia baru sahaja dilancarkan hujung tahun lepas, dan dipacu sama ada oleh enjin diesel turbo 2.2 liter 200 PS/440 Nm, atau petrol V6 NA 3.8 liter 295 PS/355 Nm. Kedua-dua versi ini dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan, tetapi cuma model CRDi sahaja yang datang dengan sistem pacuan AWD.

    Bagi versi diesel tersebut, model lapan tempat duduk dijual pada harga RM328,888, manakala tujuh tempat duduk RM348,888. Bagi versi enjin V6 3.8L pula, tetapan lapan tempat duduk dijual pada harga RM338,888 manakala tujuh tempat duduk RM358,888. Perincian lanjut serta galeri gambar ada di sini.

     
     
  • PACE 2022: Harley-Davidson Sportster S, Pan America 1250 datang dengan rebat dan pelbagai lagi tawaran

    PACE 2022: Harley-Davidson Sportster S, Pan America 1250 datang dengan rebat dan pelbagai lagi tawaran

    Jenama motosikal terkenal dari Amerika Syarikat, iaitu Harley-Davidson (H-D) turut berada di Setia City Convention Centre untuk acara PACE 2022, di mana anda boleh menyaksikan secara dekat dua model terbaru Sportster S dan Pan America 1250.

    Bagi yang berminat untuk mendapatkan model tersebut, ini mungkin adalah masa yang sesuai kerana pengedarnya menawarkan pelbagai rebat serta pakej hadiah bernilai RM5,000 dan baucar RM2,000 bagi setiap pembelian. Bayaran tempahan yang diperlukan pula cuma RM500.

    Bukan setakat motosikal, anda juga boleh menikmati diskaun sehingga 50% untuk pembelian barangan rasmi H-D seperti baju, kelengkapan menunggang serta pelbagai lagi. Malah, mereka yang menunggang uji motosikal H-D juga akan diberikan hadiah. Khas untuk Pan America, setiap pembelian akan diberikan dengan kotak barangan belakang (atas) secara percuma.

    PACE 2022: Harley-Davidson Sportster S, Pan America 1250 datang dengan rebat dan pelbagai lagi tawaran

    Tidak cukup dengan itu, setiap kenderaan yang ditempah di PACE akan didatangkan dengan baucar rawak bernilai RM2,500 daripada rakan niaga kami, sama ada baucar RM500 untuk filem pelindung cat kenderaan (Kuziq Glanz), baucar RM500 bagi filem penapis haba (V-Kool), baucar RM500 bagi penapis udara (Blueair), baucar RM500 untuk kerusi kanak-kanak (Recaro Kids) ataupun baucar RM500 untuk produk gaya hidup Ogawa.

    Sportster S dan Pan America dikuasakan oleh enjin v-twin termaju yang pernah dihasilkan oleh Harley-Davidson, dipanggil sebagai Revolution Max 1250, dengan mempunyai kapasiti 1,250 cc dan mampu mengeluarkan kuasa sehingga 121 hp pada 7,500 rpm dan 127 Nm tork pada 9,000 rpm.

     
     
  • PACE 2022: Enam model EV dari lima jenama dipamer — Hyundai, Volvo, BMW, MINI, Mercedes-Benz

    PACE 2022: Enam model EV dari lima jenama dipamer — Hyundai, Volvo, BMW, MINI, Mercedes-Benz

    Antara perkara menarik yang ada di pameran Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org — yang berlangsung hari ini dan esok — adalah hampir semua barisan kenderaan elektrik (EV) terbaru yang ada dalam pasaran Malaysia ketika ini semuanya ditampilkan untuk pengunjung.

    Keseluruhannya ada enam model EV dari lima jenama dipamerkan dalam acara ini. Dua dari Hyundai, apa lagi kalau bukan Kona Electric dan Ioniq 5, masing-masing dalam varian e-Lite dan Plus. e-Lite merupakan varian paling murah bagi crossover segmen B ini yang dijual pada harga bermula RM149,888.

    Kelengkapannya penuh, dengan ciri seperti lampu utama LED, kawalan pendingin automatik, kerusi balutan kulit dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Kuasa datang dari motor elektrik 136 PS/395 Nm, dengan bateri 39.2 kWh menyediakan jarak perjalanan 305 km untuk satu cas penuh.

    PACE 2022: Enam model EV dari lima jenama dipamer — Hyundai, Volvo, BMW, MINI, Mercedes-Benz

    Bagi Ioniq 5 pula, varian tertinggi adalah Max, yang dijual pada harga RM259,888. Ia didatangkan dengan rim 20-inci (pelengkap rekaan futuristik kereta ini), kerusi depan larasan kuasa dengan rebahan kerusi melalui satu sentuhan, konsol tengan bukaan gelungsur, soket tiga-pin di belakang serta bumbung solar.

    Paling menarik tentang kereta ini adalah janaan outputnya, 306 PS dan 605 Nm tork dari dua motor elektrik, memberikan pacuan semua roda serta membolehkan Ioniq 5 memecut 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat. Bateri 72.6 kWh-nya menyediakan 430 km jarak perjalanan.

    Sebuah lagi EV yang baru dilancarkan di sini adalah Mercedes-Benz EQA AMG Line. Ia dikuasakan oleh motor elektrik 190 PS/375 Nm yang terletak di depan dan memberikan jarak perjalanan 429 km dengan bateri 66.5 kWh. Ia sedikit lebih mahal berbanding Ioniq 5, namun dengan tanda harga RM278,201 tetap memberikan nilai yang baik.

    PACE 2022: Enam model EV dari lima jenama dipamer — Hyundai, Volvo, BMW, MINI, Mercedes-Benz

    BMW pula membawakan iX3, dipamer dalam perincian Impressive yang paling tinggi, pada harga RM336,360. Yang ini datang dengan ciri lampu utama Laserlight, rim aloi 20-inci, head-up display, sistem bunyi Harman Kardon 16-pembesar suara, sistem kamera 360-darjah dan IconicSounds Electric yang dibangunkan bersama komposer Hans Zimmer. Model ini menggunakan motor belakang 286 PS/400 Nm dan bateri 73.8 kWh, menyediakan jarak 461 km.

    MINI Cooper SE juga ada dipamerkan dalam facelift terbarunya, dengan harga RM178,241. Ini menjadikannya MINI paling murah di Malaysia, walaupun spesifikasinya hampir sama dengan Cooper S petrol yang lebih mahal. Ia dikuasakan oleh motor elektrik 184 PS/270 Nm, dengan bateri 28.9 kWh, dengan jarak perjalanan 232 km.

    PACE 2022: Enam model EV dari lima jenama dipamer — Hyundai, Volvo, BMW, MINI, Mercedes-Benz

    Yang terakhir ialah Volvo XC40 Recharge P8 AWD — yang akan mula dijual bulan depan — yang juga merupakan kereta elektrik pertama pemasangan tempatan di sini. Untuk ini, boleh dijangkakan ia akan dijual pada harga kompetitif. Dengan janaan 408 PS dan 660 Nm tork, ia juga merupakan kereta paling berkuasa yang dipamerkan, dengan bateri 78 kWh membekalkan jarak perjalanan 418 km.

    Jika berminat untuk mendekati mana-mana model EV yang disebutkan ini, anda boleh berkungjung ke PACE 2022 yang akan berakhir pada Ahad, 20 Mac 2022 di Pusat Persidangan Setia City.

    Hyundai Kona Electric e-Lite 2022

    Hyundai Ioniq 5 Max 2022

    Mercedes-Benz EQA 250 AMG Line

    BMW iX3 Impressive 2022

    MINI Cooper SE 2022

    Volvo XC40 Recharge P8 AWD 2022

     
     
  • PACE 2022: Land Rover Defender 90 dipamer di SCCC – versi tiga-pintu yang bakal dilancarkan di Malaysia

    PACE 2022: Land Rover Defender 90 dipamer di SCCC – versi tiga-pintu yang bakal dilancarkan di Malaysia

    Land Rover Defender L663 2021 generasi baharu telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia pada hujung Oktober tahun lalu. Ketika itu, ia ditawarkan dengan model Defender 110 iaitu versi lima-pintu dan jarak roda panjang. Dan model yang diperkenalkan ialah dengan konfigurasi lima-tempat duduk dan tujuh-tempat duduk.

    Walau bagaimana pun, mengambil kesempatan sempena acara Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org bagi edisi tahun 2022 yang sedang berlangsung di Setia City Convention Centre (SACC) selama dua hari ini, Land Rover telah menampilkan model Defender 90 yang diletakkan dalam kotak berskala besar dan kalau pengunjung PACE 2022 mahu melihatnya, kenalah intai dari lubang yang disediakan. Ala-ala iklan acah (teaser) gitu. Bagaikan memberi bayangan bahawa Defender 90 tiga-pintu dengan jarak roda pendek ini akan dilancarkan di pasaran kita tidak lama lagi.

    Sebelum ini, Jaguar Land Rover (JLR) Malaysia pernah berkata, spesifikasi mekanikal untuk barisan Defender adalah sama. Defender 90 juga berkongsi enjin yang sama dengan model Defender 110 yang diberikan dua pilihan penjana kuasa – 2.0L Ingenium empat-silinder dan 3.0L MHEV (Mild Hybrid Electric Vehicle) enam-silinder. Untuk enjin 2.0L, ia mampu memberikan kuasa sehingga 300 PS pada 5,500 rpm dan tork 400 Nm pada 1,500 hingga 4,500 rpm. Ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 8.1 saat.

    Manakala enjin 3.0L MHEV pula, ia menampilkan twin-scroll turbocharge dan supercharge 48-volt yang berkemampuan menghamburkan kuasa yang lebih padu sehingga 400 PS dan tork 500 Nm. dari 2,000 hingga 5,000 rpm. Sekali gus membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam 6.1 saat. Kedua-dua varian dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dengan transfer-case dua-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke semua roda. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai oleh kedua-dua model juga sama iaitu 191 km/j.

    PACE 2022: Land Rover Defender 90 dipamer di SCCC – versi tiga-pintu yang bakal dilancarkan di Malaysia

    Bagi dimensi, Defender 90 ini berukuran 1,974 mm tinggi, 4,323 mm panjang, 2,105 mm lebar dan jarak roda 2,587 mm. Kalau ikut pasaran antarabangsa, Defender 90 hadir dalam lima varian iaitu model asas, S, SE, HSE dan juga X. Cuma untuk pasaran Malaysia, belum diketahui varian mana yang bakal dibawa masuk.

    Tetapi kalau ikutkan unit yang dipertontonkan di SACC ini, daripada segi luarannya, ia agak mirip dengan varian X, di mana ia menampilkan roda aloi lima-jejari Style 5098 20-inci dalam kemasan Dark Satin Grey. Selain itu, kelihatan kemasan kontras hitam pada bahagian bumbungnya, serta roda simpanan bersaiz penuh.

    Bagi varian X, ciri yang diberikan termasuklah suspensi udara kawalan elektronik dengan Adaptive Dynamic dan Terrain Response 2.

    Kemasan dalaman untuk Defender X ini pula menampilkan lampu kabin premium bersama palang ‘cross-bar’ kemasan powder coat kelabu gelap, upholsteri kulit Windsor bersama tekstil premium steel-cut, serta tempat duduk hadapan larasan elektrik berkuasa 14-hala bersama fungsi penyejuk, pemanas dan memori serta perehat kepala larasan empat-hala.

    Itu sahaja yang boleh dikongsikan setakat ini. Jadi, jika anda ada masa lapang, jangan lupa kunjungi PACE 2022 yang berlangsung selama dua hari (19-20 Mac) dari jam 9 pagi hingga 7 malam bertempat di SCCC.

     
     
  • PACE 2022: BMW X5 xDrive45e G05 dengan barangan M Performance – terhad 22 unit, harga RM480,800

    PACE 2022: BMW X5 xDrive45e G05 dengan barangan M Performance – terhad 22 unit, harga RM480,800

    Bulan lalu, Auto Bavaria memperkenalkan BMW X5 xDrive45e G05 yang dipasang dengan barangan M Performance kepada pasaran, dan ditawarkan dalam jumlah terhad 22 unit. Salah satu daripadanya kini dipamerkan di acara PACE 2022 di Setia City Convention Centre, dan anda boleh melihatnya gambar sebenarnya di sini.

    X5 keluaran terhad ini mendapat beberapa aksesori yang menjadikan penampilannya lebih garang, termasuk gril hadapan hitam berkilat, pelindung cermin sisi gentian karbon serta rim aloi M Star Spoke Style 748 20-inci warna hitam, menggantikan rim Style 740 M dua-tona yang digunakan pada varian X5 biasa.

    Untuk harga, model ini dijual pada harga RM480,800 tidak termasuk insurans dan pendaftaran, bersama jaminan lima tahun tanpa had batuan dan program servis berkala percuma. Harga ini RM12k lebih tinggi berbanding kumpulan pertama yang dijual pada harga RM468,800 tahun lalu, tetapi sebagai timbal balik, anda akan diberikan hadiah percuma seperti baucar cakera brek/pad brek BMW, kelengkapan penjagaan kulit BMW dan beg bimbit mewah.

    Untuk pengetahuan anda, model yang dipamerkan ini juga menerima kemasan hitam lain yang memerlukan bayaran tambahan RM8,000, iaitu pada tiang tingkap dan rel bumbung, serta muncung ekzos yang lebih gelap.

    Menggunakan xDrive45e sebagai asas, di bawah bonet model ini masih terdapat enjin 3.0 liter enam-silinder B58 bersama gabungan motor elektrik, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 394 PS dan 600 Nm tork. Kuasa pacuannya disalurkan menerusi transmisi automatik ZF lapan-kelajuan serta sistem pacuan semua roda xDrive (dengan differential lock belakang). Ia membolehkan SAV ini dipecut dari 0.100 km/j dalam 5.6 saat dan kelajuan maksimum cecah 235 km/j.

    Kelengkapan standard lain yang ada padanya adalah termasuk lampu jenis LED adaptif, brek M Sport dengan angkup berwarna biru, sistem infotainmen BMW Live Cockpit Professional dengan 14 pembesar suara, sistem bunyi Harman Kardon 464 watt, suspensi udara dan pakej BMW Driving Assistant.

     
     
  • PACE 2022: BMW Motorrad sediakan rebat dan pelbagai hadiah untuk pembelian motosikal dan skuter

    PACE 2022: BMW Motorrad sediakan rebat dan pelbagai hadiah untuk pembelian motosikal dan skuter

    Sekiranya anda peminat motosikal dan berada di acara PACE 2022 hujung minggu ini di Setia City Convention Centre, kunjungi kawasan pameran BMW Motorrad kerana mereka membawa pelbagai model untuk tontonan ramai.

    Antara yang hadir dengan pelbagai tawaran menarik adalah R1250GS 40th Annivesary, di mana setiap pembelian model tersebut akan diberikan sekali secara percuma dengan besi pelindung badan (crash bar) yang berharga RM2,200.

    Model ini digerakkan oleh enjin boxer 1,254 cc yang mampu menghasilkan kuasa 136 hp pada 7,750 rpm dan 143 Nm tork pada 6,250 rpm. Enjin dua silinder ini turut dilengkapi dengan pemasaan cam injap intake boleh ubah.

    Turut dipamerkan semasa acara ini adalah model yang menggunakan enjin boxer paling besar pernah dihasilkan oleh BMW Motorrad, iaitu R18. Model ini dibuat di Berlin, Jerman, dan dijual di dalam negara kita pada harga RM149,500 bagi versi First Edition. Setiap pembelian model ini di PACE juga akan diberikan dengan rebat RM10,000.

    Selain daripada itu, jika anda mahukan sesuatu yang mudah ditunggang, terutamanya di dalam bandar, anda boleh mendekati model skuter C400X yang juga ada PACE 2022. Setiap pembelian model ini di tapak acara akan diberikan dengan pengecas bateri yang berharga RM660.

     
     
  • MINI The Coopers Edition 2022 di M’sia, dari RM274k

    MINI The Coopers Edition 2022 di M’sia, dari RM274k

    Varian Coopers Edition bagi MINI Cooper S 5 Door yang diperkenalkan baru-baru ini turut dipamerkan di PACE 2022 dibawakan oleh Auto Bavaria. Jika ingin mendekati kereta ini, anda boleh berkunjung ke Pusat Persidangan Setia City, berakhir Ahad 20 Mac.

    Ini kami bawakan galeri penuh Coopers Edition, yang dijual pada harga RM274,495.05 atas jalan tidak termasuk insuran. Ini sudah mengambil kira pengecualian cukao SST (50% untuk model CBU ini) dan termasuk jaminan dua-tahun, tanpa had perbatuan. Jika ingin lanjutkan tempoh berkenaan kepada empat tahun, jaminan tanpa had perbatuan dengan servis berjadual percuma, harganya akan menjadi RM283,255.05.

    Sudut mekanikalnnya sama seperti Cooper S 5 Door, dengan enjin B48 2.0 liter turbocas empat-silinder yang menghasilkan 192 PS (189 hp) dan 280 Nm tork. Transmisi pula menggunakan jenis klac berkembar tujuh-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda depan, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat dan laju maksimum 235 km/h.

    MINI The Coopers Edition 2022 di M’sia, dari RM274k

    Yang menjadikan edisi ini berbeza adalah kemasan hitam berkilat pada label sisi, dengan tulisan The Coopers dan tandatangan John Cooper, pereka kereta lumba legenda. Selain itu, jalur putih pada bonet juga berbeza berbanding model biasa Cooper S 5 Door, manakala bumbung pula menerima warn biru. Rim menggunakan saiz 18-inci Pulse Spoke dwi-tona.

    Di dalam, lebih banyak tempat diberikan tulisan “The Coopers” berdekatan kluster instrumen serta pada pelapik pintu. Tulisan klasik “Cooper” juga diletakkan pada roda stereng, serta pada sisi kabin sebelah penumpang.

    MINI The Coopers Edition 2022 di M’sia, dari RM274k

    Selebihnya, versi Coopers Edition ini menggunakan kelangkapan yang sama dengan Cooper S 5 Door. Ciri standard yang ada termasuklah panel instrumen digital lima-inci, sistem infotainmen dengan skrin sentuh 8.8-inci Radio MINI Visual Boost (dengan Apple CarPlay), kawalan pendingin dwi-zon, balutan kulit hitam, permukaan petak Silver Chequered, stereng balutan kulit Nappa, Comfort Access, lampu LED, Light Package dan Ambient Light.

    Sistem bantuan pemandu juga sama, termasuk ciri Driving Assistant dengan amaran penukaran lorong (dalam kelajuan 70 km/j hingga 210 km/j), bantuan kepekaan pemandu, bantuan parkir, bantuan pemanduan dengan amaran mendekat serta AEB, DSC, kawalan cengkaman, enam beg udara dan kamera belakang.

     
     
  • PACE 2022: Tawaran menarik bagi kereta pra-milik di Setia City Convention Centre pada 19-20 Mac

    PACE 2022: Tawaran menarik bagi kereta pra-milik di Setia City Convention Centre pada 19-20 Mac

    Jika anda ada kelapangan masa pada hari ini atau esok, mari kunjungi acara Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org untuk edisi tahun 2022. Berlangsung selama dua hari, 19-20 Mac 2022, di Setia City Convention Centre (SCCC), bukan setakat anda berpeluang dapat menikmati pelbagai tawaran untuk kereta premium baharu sahaja, tetapi juga yang terpakai atau pun pra-milik.

    Jenama yang turut membawakan kereta terpakai dalam acara ini termasuklah Mercedes-Benz (menerusi pengedarnya Hap Seng Star), Jaguar, Land Rover, Volkswagen, MINI dan BMW (kedua-duanya menerusi pengedar Auto Bavaria), Volvo dan Hyundai.

    Di bawah jenama Mercedes-Benz, kereta pra-milik yang ditampilkan termasuklah E-Class dan CLS. Manakala untuk Jaguar dan land Rover pula, antara model yang dibawa termasuklah F-Pace dan Discovery. Sementara Volkswagen pula membawakan Tiguan dan Passat di antara barisan kereta pra-milik yang ditampilkan.

    Bagi BMW pula, ia turut membawakan model termasuk 3 Series F30, Hyundai dengan Sonata, Grand Starex dan i30 N, sementara antara model yang ditampilkan oleh Volvo untuk kereta pra-milik termasuklah S60, S90 dan XC90.

    Bagi yang membelinya, anda berpeluang menerima baucar bernilai RM1,000 daripada PACE, mengandungi dua baucar rawak RM500 daripada Kuzig Glanz, V-Kool, Blueair atau Recaro Kids.

    Tawaran menarik ini tidak sekadar berakhir di situ kerana pembeli di PACE 2022 juga layak untuk memenangi 10 unit telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu. Lebih menarik, ada hadiah utama berupa pakej percutian bernilai RM25,000 untuk seorang pelanggan bertuah dan pasangan. Perinciannya ada di sini.

    Jadi, jika anda mencari kereta premium di bawah kategori pra-milik atau terpakai ini, jangan lupa kunjungi PACE 2022 yang berlangsung selama dua hari (19-20 Mac) dari jam 9 pagi hingga 7 malam bertempat di Setia City Convention Centre.

     
     
  • Volkswagen Tiguan Allspace 2022 facelift diperkenal di M’sia — Elegance, R-Line 4Motion, dari RM175k

    Volkswagen Tiguan Allspace 2022 facelift diperkenal di M’sia — Elegance, R-Line 4Motion, dari RM175k

    Kurang dua tahun selepas diperkenalkan di Malaysia, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) kini memperkenalkan pula versi facelift bagi model SUV Tiguan AllSpace dalam dua varian; 1.4 TSI Elegance dan 2.0 TSI R-Line 4MOTION baru yang dipasang di Pekan, Pahang. Dua varian ini masing-masing dijual pada harga RM175,346 dan RM220,527.

    Kedua-dua varian ini menerima gril yang telah direka semula, bampar hadapan baru dan lampu utama lebih kemas. Pembaharuan rekaan lain yang dilakukan termasuklah jalur lampu LED, perkataan “Tiguan” pada bahagian belakang dan logo baru Volkswagen.

    Penambahbaikan juga dilakukan terhadap ruang dalamannya. Ini melibatkan sistem infotainmen Discover Pro bersaiz 9.2” generasi baru yang menyokong ciri Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, arahan suara, sistem navigasi binaan dalam dan banyak lagi.

    Volkswagen Tiguan Allspace 2022 facelift diperkenal di M’sia — Elegance, R-Line 4Motion, dari RM175k

    Stereng sports multi-fungsi kini boleh dioperasi melalui butang kawalan haptik untuk ketersambungan yang lancar. Butang-butang dan tombol panel pendingin hawa juga telah dinaik taraf. Aspek keselesaan untuk pemandu dan penumpang hadapan dipertingkatkan menerusi tempat duduk dengan suhu aktif. Tempat duduk dengan liang pengudaraan ini menawarkan ciri penyejuk dan pemanas untuk disesuaikan dengan cuaca semasa. Ruang yang tersedia juga sangat luas, dengan 1,775 liter, dengan pelbagai konfigurasi tempat duduk.

    Bagi varian R-Line 4MOTION pula, terdapat beberapa sentuhan mewah khas yang diberikan untuknya, termasuk sistem bunyi Harman Kardon 480-watt dengan 10-pembesar suara. Bagi varian Elegance, ia kini juga datang dengan pilihan mod pemanduan — Eco, Normal, Sport dan Individual.

    Aspek keselamatan menjadi keutamaan dengan penambahan sistem Lane Assist untuk kedua-dua varian. Ia akan mengesan sekiranya kenderaan bergerak ke laluan lain tanpa memberi isyarat, sebelum menggerakkan semula kenderaan ke laluan asal. Sistem tersebut juga mengesan bucu jalan, bonggol, rumput tepi jalan dan garis jalan. Amaran dalam bentuk bunyi dan visual akan diaktifkan sekiranya pemandu tidak memberi sebarang maklum balas dalam tempoh tertentu.

    Volkswagen Tiguan Allspace 2022 facelift diperkenal di M’sia — Elegance, R-Line 4Motion, dari RM175k

    Model ini kekal menggunakan enjin yang sama — Elegance dikuasakan oleh unit 1.4 liter turbocas empat-silinder yang menghasilkan 150 PS dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan 250 Nm tork antara 1,500 hingga 3,500 rpm. Ia digandingkan dengan transmisi DSG klac basah berkembar yang menyalurkan kuasa ke roda depan.

    Bagi R-Line, ia menggunakan unit 2.0 liter yang menghasilkan 220 PS dari 4,500 hingga 6,200 rpm dan 350 Nm antara 1,500 dan 4,400 rpm. Ia memanfaatkan transmisi DSG tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Motion. Kadar penggunaan minyak sebanyak 7.3 liter bagi setiap 100 km untuk Elegance, sementara R-Line dengan 8.7 liter bagi setiap 100 km.

    Sokongan lepas jualan merangkumi penyelenggaraan percuma selama tiga-tahun, jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan untuk lima-tahun.

    Volkswagen Tiguan Allspace Elegance 2022

    Volkswagen Tiguan Allspace R-Line 4MOTION 2022

     
     
  • PACE 2022: Ford Ranger XLT Plus Special Edition hadir dengan gaya lebih garang, harga RM136,888

    PACE 2022: Ford Ranger XLT Plus Special Edition hadir dengan gaya lebih garang, harga RM136,888

    Acara PACE 2022 telah pun bermula hari ini di Setia City Convention Centre, dan di bahagian pameran Ford, anda boleh menyaksikan sendiri di depan mata Ranger XLT Plus Special Edition, yang baru sahaja dilancarkan untuk pasaran bulan lalu oleh Sime Darby Auto Connexion.

    Varian baru ini menggunakan XLT Plus sebagai asas, tetapi dijadikan lebih gagah dengan tambahan/perubahan pelbagai bahagian. Paling jelas adalah di hadapan, di mana ia menggunakan gril seperti Raptor, dengan tulisan Ford yang besar. Walaupun bukan gril sebenar Raptor, ia masih nampak garang dengan kesemuanya berwarna hitam.

    Gril seperti ini adalah antara modifikasi popular di kalangan pemilik Ranger sebelum ini, dan sekarang anda boleh mendapatkannya terus daripada kilang. Selain daripada, varian SE ini juga datang dengan tambahan lengkuk roda plastik berwarna hitam serta sports bar di bahagian belakang. Di dalam pula terdapat plet tepi pintu berlampu serta kamera hadapan dengan memori 32 GB yang boleh disambungkan kepada telefon pintar.

    Selain daripada itu, kelengkapan lain adalah sama seperti XLT Plus, termasuk lampu utama LED, pemijak tepi, pintu ruang belakang Easy Lift, butang pemula enjin, cruise control, balutan kuit, pengawal pendingin hawa dua zon, dua panel paparan info empat inci, sistem infotainmen SYNC 3 dengan skrin sesentuh lapan inci, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, enam pembesar suara serta kamera undur.

    Ranger XLT Plus SE yang dijual pada harga RM136,888 ini dipacu oleh enjin diesel empat silinder 2.0 liter EcoBlue yang mampu menghasilkan 180 PS dan 420 Nm tork. Kotak gear automatik 10 kelajuan, sistem pacuan empat roda dan limited-slip differential (belakang) datang secara standard. Untuk aspek keselamatan, trak ini datang dengan dua beg udara, Electronic Stability Control, Hill Descent Control, Trailer Sway Control dan cagak ISOFIX di belakang.

    Sebagai tambahan kepada tawaran yang disediakan sendiri oleh Ford, setiap pembelian kenderaan di PACE 2022 juga akan didatangkan dengan baucar bernilai RM2,500 daripada rakan niaga kami. Tawaran menarik ini tidak sekadar berakhir di situ kerana selain itu, pembeli juga layak untuk mendapatkan peluang memenangi 10 unit telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu. Lebih menarik, ada hadiah utama berupa pakej percutian bernilai RM25,000 untuk seorang pelanggan bertuah dan pasangan. Perinciannya ada di sini.

     
     
  • Sime Darby Motors bekerjasama dengan TOC untuk naik taraf kemahiran juruteknik EV tempatan

    Sime Darby Motors bekerjasama dengan TOC untuk naik taraf kemahiran juruteknik EV tempatan

    Sime Darby Motors (SDM) telah berganding bahu dengan TOC Automotive College untuk melancarkan program bagi menaik taraf kemahiran juruteknik Kenderaan Elektrik (EV) yang berkhidmat untuk jenama automotif global yang diwakili SDM. Program ini adalah sebahagian daripada usaha Sime Darby Motors untuk memberi peluang kepada bakat-bakat tempatan dalam sektor automotif untuk meningkatkan kemahiran masing-masing.

    Menerusi kerjasama ini, latihan yang diberikan oleh TOC Automotive College akan melengkapi latihan servis dan penyenggaraan EV yang diterima daripada syarikat-syarikat prinsipal jenama SDM, termasuk BMW, Ford, Hyundai, Jaguar, Land Rover, MINI dan Volvo. Ia akan menjamin pendidikan dan pendedahan kepada teknologi terkini dan amalan bertaraf dunia bagi semua juruteknik EV SDM secara berterusan.

    “Juruteknik kami telah menimba ilmu pengetahuan yang kukuh dan pengalaman praktikal menerusi latihan yang disediakan oleh syarikat-syarikat prinsipal kami yang bertaraf dunia. Kerjasama dengan TOC ini bertujuan menawarkan peluang pembelajaran lebih tinggi untuk melahirkan sekumpulan juruteknik berwibawa yang dilengkapi dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan terkini, memandangkan terdapat permintaan semakin meningkat bagi EV di Malaysia.

    Sime Darby Motors bekerjasama dengan TOC untuk naik taraf kemahiran juruteknik EV tempatan

    “Ini juga akan menyumbang kepada usaha Kerajaan untuk membina bakat yang cekap dan mahir, demi menyokong pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara,” kata Jeffrey Gan, Pengarah Urusan, Peruncitan dan Pengedaran, Sime Darby Motors.

    Kumpulan pertama peserta terdiri daripada 20 orang juruteknik yang telah mendaftarkan diri untuk program yang berjalan selama tiga bulan bermula daripada Mei 2022. Antara modul-modul penting yang akan diajar termasuk prinsip dan konsep elektrifikasi dan penghibridan, keselamatan dan pengendalian sistem serta aktiviti amali seperti diagnostik, pengujian dan kerja pembaikan.

    Program latihan berterusan ini adalah sebahagian penting daripada peta hala tuju SDB dan pelaburannya dalam pembangunan ekosistem EV, demi menyokong rancangannya untuk menjual dan mengedarkan produk berteknologi lebih hijau.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge musim kelima, pusingan pertama bermula hujung minggu ini

    Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge musim kelima, pusingan pertama bermula hujung minggu ini

    Seperti yang diumumkan tempoh hari, hujung minggu ini bermulalah perlumbaan pusingan pertama bagi siri perlumbaan ‘one make’ Vios Challenge dalam Toyota Gazoo Racing Festival Malaysia yang kini sudah pun masuk musim kelima. Perlumbaan minggu ini akan berlangsung bermula 19 hingga 20 Mac 2022 dil Litar Antarabangsa Sepang, dan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih dari RM setengah juta.

    Seperti musim lalu, Vios Challenge akan menampilkan empat kategori berbeza iaitu Promotional (untuk selebriti), Rookie (untuk bakat-bakat muda), Sporting (amatur) dan juga Super Sporting (profesional).

    Bagi kategori Promotional, juara musim lalu, pelakon Shukri Yahaya perlu mempertahankan gelarannya dengan menerima cabaran dari selebriti lain seperti Zizan Razak (naib juara musim keempat), Nabil Ahmad, Janna Nick, Wany Hasrita, Nabila Razali, Khai Bahar dan Ahirine Ahirudin. Ain Endruce turut kembali berlumba pada musim ini selepas berehat kerana melahirkan anak pertamanya.

    Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge musim kelima, pusingan pertama bermula hujung minggu ini

    Bagi kategori Rookie yang baru sahaja masuk edisi kedua untuk pada musim ini, seramai enam muka bakat muda baharu akan membuat penampilan, termasuk pelumba wanita pertama dalam kategori berkenaan iaitu Adele Liew. Pelumba kart, Ashen Shanmuganathan turut menyertai kategori Rookie kali ini, dan apa yang menarik ayah kepada Adele dan ayah kepada Ashen turut berlumba dalam kategori lain Vios Challenge musim ini.

    Pelumba-pelumba lain yang akan memberi cabaran kepada kedua-dua pelumba berkenaan adalah dua orang pelumba simulator iaitu Muhammad Hamdany Abdul Hamid dan Nabil Azlan (adik kepada juara kategori Rookie musim lalu iaitu Naquib Azlan), dan dua lagi pelumba kart iaitu Sharique Zulqarnain dan Muizz Musyaffa.

    Untuk kategori Sporting, seorang lagi pelumba wanita akan membuat penampilan iaitu Shasha Shafie yang memandu untuk pasukan R&R Sport Speed Garage. Muka-muka dari musim lalu terus mewarnai kategori Sporting ini termasuk Bradley Benedict Anthony (Crestmax Motorsports), Kenneth Koh (Panglima City Racing),Mirza Syahmi Mahzan (Carroof Motorsports), Tom Goh (S&D Tama), Dato Dr Ken Foo (Kulim Topwheels) dan Haziq Zairel Oh (20 Racing Team).

    Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge musim kelima, pusingan pertama bermula hujung minggu ini

    Manakala bagi kategori Super Sporting pula, juara musim lalu iaitu Tengku Djan Ley yang memandu untuk pasukan Prima Pearl Auto nampaknya perlu berhadapan dengan satu cabaran baharu – pelumba touring car antarabangsa yang pernah bertanding di BTCC, Super Taikyu Endurance, serta juara S1K dua kali, ‘Wak Tempe’ Farique Hairuman kini berlumba untuk pasukan M7 Japan Project.

    Farique menggantikan naib juara musim lalu iaitu Syafiq Ali, dan dia akan bergandingan dengan seorang lagi pelumba pasukan M7 iaitu Amer Harris, yang sebelum ini berlumba dalam kategori Rookie. Walau bagaimanapun, Tengku Djan bakal dibantu oleh kereta kedua pasukan Prima Pearl Auto, dipandu seorang lagi pelumba touring car antarabangsa yang pernah berlumba dalam WTCR iaitu Mitchell Cheah.

    Selain Amer Harris, kategori Super Sporting kali ini turut akan menampilkan dua lagi pelumba muda iaitu Hayden Haikal (bekas juara kategori Sporting dan baru berumur 17 tahun) dan juga pelumba single seater, Alister Yoong (anak kepada bekas pelumba F1 negara, Alex Yoong) akan berlumba untuk pasukan Axle Motorsport. Pasukan tersebut turut menampilkan seorang lagi pemandu berpengalaman untuk kereta ketiga mereka, iaitu bekas juara kategori Super Sporting Class, Boy Wong.

    Keadaan belum mengizinkan untuk peminat menyaksikan perlumbaan ini terus di Sepang kerana pandemik, namun anda boleh menonton perlumbaan ini secara langsung yang akan disiarkan di semua platform media sosial Toyota Malaysia. Anda juga boleh menyertai permainan Gazoo Racing Dream Team TGR Fantasy yang menawarkan pelbagai hadiah menarik, menerusi platform pada PAUTAN INI.

    Permainan tersebut memerlukan anda memilih tiga pemandu untuk setiap kategori, dan Dream Team anda akan menerima mata atau ditolak mata berdasarkan keputusan sebenar setiap perlumaan Vios Challenge musim kelima ini. Pemain yang mendapat mata tertinggi pada penghujung setiap perlumbaan akan diisytiharkan sebagai pemenang, dan hadiah utama akan diberikan pada penghujung musim.

    “Festival [TGR] dan Vios Challenge terus berkembang selaras dengan aspirasi kami untuk menyumbang kepada pembangunan sukan permotoran Malaysia. Daripada siri yang menarik pemandu profesional, pemandu gentlemen dan selebriti tempatan, hari ini ia telah berkembang menjadi salah satu platform yang paling ideal, mudah diakses dan mampu milik untuk mengasah kemahiran dan pengalaman pemandu muda yang sedang meningkat naik dalam sukan permotoran,” kata Ravindran Kurusamy, presiden UMW Toyota Motor.

    “Dan tahun ini, kami mahu penggila dan peminat menjadi lebih terlibat dalam siri ini dengan memperkenalkan permainan fantasi yang akan membolehkan mereka lebih berhubung dengan pemandu kegemaran mereka di litar,” tambahnya.

    “Vios Challenge, dalam pelbagai cara, berkembang menjadi apa yang kami mahu panggil sebagai ‘perlumbaan rakyat’, dan dalam empat musim, kami telah mengekalkan objektif ini dengan bukan sahaja mempromosikan sukan permotoran kepada orang ramai sama ada di darat dan dalam talian, tetapi turut mengekalkan format perlumbaan ‘one make’ yang menjadikan perlumbaan ini menarik untuk semua peringkat pelumba,” tambah Ravindran.

    Setiap pusingan Vios Challenge musim ini akan menampilkan dua perlumbaan untuk setiap kategori. Sebanyak tiga pusingan akan dilangsungkan untuk musim kelima ini, menjadikan enam perlumbaan secara keseluruhan bagi pelumba mengutip mata tertinggi, untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

    Pusingan kedua akan dilangsungkan pada 24 hingga 26 Jun dan pusingan terakhir pula dijadualkan berlangsung pada 23-25 September. Tidak seperti musim keempat yang menyaksikan kesemua pusingan berlangsung di Sepang kerana kekangan pandemik Covid-19, UMWT merancang untuk kembali mengadakan perlumbaan di atas litar jalan raya untuk musim kelima ini. Dua pusingan disahkan akan berlangsung di Sepang, manakala satu lagi pusingan untuk litar jalan raya akan diumumkan kemudian.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025