Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • SPYSHOT: MPV segmen-B Proton dilihat semakin giat diuji; turut terlihat dalam video Safety 360 episod ke-2

    Proton-Ertiga-Spyshots-August-04_BM

    Dalam suasana yang semakin hangat sebelum pelancaran Proton Persona 2016 esok, Proton turut sedang giat dalam usaha mereka untuk memastikan MPV segmen-B yang diasaskan dari Suzuki Ertiga dilancarkan mengikut jadual pada bulan Oktober ini.

    Gambar spyshot yang baru kami terima ini dikirimkan oleh pembaca Sherman Yap yang terserempak dengan MPV berkenaan sedang diuji di sekitar Tangkak, di Muar, Johor. Agak bertuah, berbanding imej sebelum ini, gambar intipan kali ini turut memperlihatkan bahagian hadapan MPV berkenaan.

    Walaupun dilekatkan dengan pelekat penyamaran, model yang diuji Proton ini seakan seiras dengan Ertiga versi facelift terutamanya pada bahagian lampu hadapan, gril hadapan dua bar serta perumah lampu kabus hadapan. Adakah rupa sebenarnya seiras dengan imej bayangan yang dirender oleh pakar photoshop Theophilus Chin sebelum ini? Begitu juga pada bahagian belakang, ia masih lagi kelihatan sama seperti imej spyshot sebelum yang menampilkan bampar pre-facelift, menempatkan lampu kabus dibahagian tengah serta bahagian diffuser yang telah direka semula.

    BM-proton-persona-teaser-safety360-ep2-12

    Apa yang lebih menarik, pada video teaser Persona 2016 – Safety 360 episod kedua – yang disiarkan hari ini, Proton secara tidak langsung mendedahkan kewujudan MPV ini di dalam kilang mereka pada minit ke 0.54 video tersebut (perhatikan pada bahagian atas sebelah kiri).

    Suzuki Indomobil Sales (SIS) yang memproduksi Ertiga di Cikarang, Indonesia turut mendedahkan pada Januari lalu Ertiga akan dieksport ke Malaysia dalam bentuk CKD, bermula suku kedua tahun 2016, pada kadar 1,500 unit sebulan. Produksi kit berkenaan pula dijadualkan bermula dari Mei tahun ini. Proton secara rasminya mengumumkan pada Januari lalu model pertama kerjasama Proton-Suzuki akan memasuki produksi sebelum berakhirnya tahun 2016.

    Bulan lalu, SIS memberitahu mereka kini sudahpun bersedia untuk memenuhi permintaan Proton terhadap kit CKD, dan hanya menunggu untuk menerima tempahan dari Proton yang dijangka pada akhir Julai atau awal Ogos.

    Ertiga diperkenalkan buat pertama kali sejak 2012 dan versi faceliftnya muncul pada tahun lalu. Model yang diuji ini menampilkan bampar belakang pre-facelift dan bahagian depan hampir seiras dengan versi facelift tahun lalu.

    Berdasarkan dimensi asal Ertiga, MPV tujuh-tempat duduk ini mempunyai jarak roda berukuran 2,740 mm (Perodua Alza 2,750 mm, Proton Exora 2,730 mm) dan dijana oleh enjin K14B 1.4 liter berkuasa 92 ps dan tork 130 Nm. Ia dipadankan dengan pilihan transmisi empat-kelajuan automatik atau lima kelajuan-manual. Varian Ertiga Dreza yang diberikan muka yang lebih unik dan juga beberapa ciri tambahan telah dipasarkan di Indonesia dan juga Thailand. Mazda juga turut menghasilkan model rebadge Ertiga untuk pasaran Indonesia yang digelar VX-1.

    GALERI: Imej render “Proton Ertiga”


    GALLERY: Suzuki Ertiga facelift di GIIAS 2015

     
     
  • Proton Persona 2016 – Ikuti siaran langsung majlis pelancaran rasminya esok, mula pada jam 11.45 pagi

    Ini bukan lagi rahsia; Proton akan memperkenalkan Persona 2016 secara rasmi esok, dan kami akan bawakan siaran secara langsung pelancaran berkenaan menerusi saluran Youtube kepada anda, pada jam 11.45 pagi.

    Sebelum pelancarannya, sebahagian maklumat berkaitan model baharu bagi segmen B oleh Proton ini sudah kami laporkan. Antaranya, ia akan meninggalkan enjin Campro 1.6 liter dan beralih kepada enjin petrol 1.6 liter dengan teknologi VVT. Selain itu, transmisi CVT yang melengkapinya juga kini bertambah senyap, lancar dan responsif. Laporan tanggapan awal dari sesi pandu uji yang dilakukan di litar ujian Proton boleh dibaca di sini.

    Proton Persona-03 BM

    Selaini tu, Proton Persona 2016 akan ditawarkan di dalam empat varian utama, iaitu Standard, Executive, Premium dan Premium SE. Setiap varian ini melibatkan penawaran yang berbeza-beza. Bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas berkaitan dengan plilihan dan penawaran spesifikasi setiap satu daripadanya, ia boleh di capai di sini.

    Selebihnya, jangan lupa untuk mengikuti siaran secara langsung bersama kami, pada jam 11.45 padi esok untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan Proton Persona 2016.

     
     
  • Massachussetts kenakan cukai terhadap Uber dan aplikasi lain serupa, hasil disalurkan ke industri teksi

    uber-cash-payment

    Masalah antara Uber atau aplikasi perkongsian kenderaan lain dengan pemandu teksi bukan sahaja berlaku di negara kita. Selain dari mogok dan protes yang dilaporkan dibuat oleh pemandu teksi di serata dunia, Uber juga dilihat agak licik dalam hal mengelakkan cukai.

    Di Massachussetts, pihak berkuasa tempatan disana akan mengenakan caj 20 sen (RM0.80) untuk setiap perjalanan menggunakan aplikasi sedemikian dimana lima sen (RM0.20) akan disalurkan terus kepada industri teksi, menurut laporan Reuters.

    Undang-undang berkenaan telah ditandatangani oleh gabenor Republikan Charlie Baker sebagai sebahagian dari siri menetapkan undang-undang dalam industri berkenaan. Juga sebahagian daripada caj berkenaan, 10 sen (RM0.40) akan disalurkan kepada bandar dan pekan, manakala 5 sen selebihnya akan disalurkan kepada dana pengangkutan negeri.

    Wang yang disalurkan ke industri teksi berkenaan adalah untuk menolong perniagaan tersebut mengadaptasi “teknologi baharu dan mempertingkatkan kebolehan servis, keselamatan dan operasi” serta menyokong pembangunan tenaga kerja. Reuters juga melaporkan caj berkenaan berpontensi untuk memberikan dana sebanyak sejuta dolar setahun, kerana Uber dan Lyft sahaja mempunyai jumlah perjalanan terkumpul 2.5 juta di Massachusetts setiap bulan.

    Jurucakap agensi kewangan MassDevelopment, Mark Sternman berkata, undang-undang berkenaan dan bagaimana untuk mengutip serta perancangan untuk menggunakan caj ini masih lagi diperingkat rangkaan, dan agensi ini juga akan dipertanggungjawabkan untuk mengutip caj tersebut.

    Rata-rata pengendali servis perkongsian kenderaan menzahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap langkah ini. “Saya rasa tidak patut kami terlibat dengan perniagaan yang menyalurkan subsidi kepada pesaing kami yang berpotensi,” kata Kirill Evdakov, Ketua Eksekutif Fasten – aplikasi perkongsian yang berpangkalan di Boston. Menurut Evdakov lagi, caj berkenaan tidak akan disedari oleh pemandu atau penumpang tetapi ia akan dibayar terus dari syarikat dimana mereka akan diberikan borang tuntutan atau cara lain kelak.

    uber-paris

    Menurut laporan Reuters lagi sebahagian pemilik teksi mahu undang-undang tersebut diberatkan lagi, seperti mengharamkan terus servis sedemikian kecuali mereka turut perlu menjalani pemeriksaan polis seperti teksi konvensional. “Mereka telah melanggar undang-undang, yang kami kami turuti selama bertahun-tahun,” kata pengurus Persatuan Pengendali Teksi Bebas kawasan Boston, Larry Meister.

    Walau bagaimanapun, bukan semua undang-undang tidak berpihak kepada servis aplikasi perkongsian kenderaan. Contohnya, tiada undang-undang untuk mengharamkan mereka untuk mengambil pelanggan di lapangan terbang Boston dan pusat konvensyen, walaupun tempat-tempat berkenaan mempunyai undang-undang khas mereka. Jurucakap Lyft, Adrian Durbin mengatakan syarikatnya berpuas hati dengan undang-undang berkenaan walaupun ia tidak sempurna.

    Pembayaran cukai tersebut sebenarnya tidak akan dilaksanakan selamanya. Caj lima sen yang disalurkan untuk industri teksi akan dimansuhkan pada penghujung 2021, Selepas itu caj ini akan dibahagikan kepada pihak tempatan dan negeri sehingga semuanya akan dimansuhkan pada 2026.

    Langkah yang diambil ini merupakan salah satu cara pihak berkuasa untuk mengawal selia dan mengambil cukai keatas operasi perkhidmatan sedemikian. Seattle telah mewujudkan undang-undang yang membolehkan pemandu bergabung, manakala Taiwan pula akan mengenakan cukai sebanyak USD6.4 juta (RM25.8 juta) kerana struktur cukai yang telah berubah untuk perniagaan atas talian antarabangsa.

    Di Malaysia, Kabinet telah pun meluluskan Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang dirangka oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), dibuat untuk membolehkan teksi biasa dan perkhidmatan e-hailing beroperasi dalam masa yang sama serta mewujudkan persaingan sihat. Mulai 1 September para pemandu teksi perlu memegang satu kad pemandu dari SPAD dan kenderaan mereka perlu menjalani peemriksaan keselamatan. Undang-undang turut dikenakan terhadap syarikat pengendali dan pemandu e-hailing untuk memastikan mereka mematuhi peraturan seperti mendapatkan perlindungan insuran wajib serta keperluan keselamatan dipatuhi.

     
     
  • VIDEO: Proton menyiarkan lagi siri teaser Safety 360 untuk Persona 2016 sebelum dilancarkan esok

    Proton telah menyiarkan sebuah lagi video teaser dari siri video Safety 360 untuk Proton Persona 2016 yang akan dilancarkan esok. Sedan segmen-B sudah pun mula boleh ditempah dengan harga jangkaan bermula RM47,000 hingga RM61,000 untuk semenanjung dan RM49,000 hingga RM63,000 untuk Sabah dan Sarawak dengan yuran tempahan RM300.

    Sedan yang diasaskan dari Proton Iriz ini akan dikuasakan dengan enjin 1.6 liter VVT berkuasa 107 hp pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,000 rpm. Hanya varian paling asas Standard ditawarkan dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan atau CVT automatik, manakala varian lain (Executive, Premium dan Premium SE) hanya dipadankan dengan transmisi CVT.

    Pakej keselamatan adalah standard untuk semua varian iaitu brek ABS dengan EBD serta BA, Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki (HHA) dan cagak tempat duduk ISOFIX kanak-kanak.

    Walau bagaimanapun, varian standard hanya dilengkapi dengan dua beg udara. Ciri lain untuk varian ini adalah roda aloi 15-inci berwarna kelabu, cermin sisi larasan berkuasa dan pemain utama audio 1-DIN beserta hubungan Bluetooth. Varian Executive pula menerima cermin sisi dan pemegang pintu dengan warna badan, lampu kabus hadapan, spoiler but belakang, pemain audio 2-DIN, port mengecas USB dan tempat duduk belakang yang boleh dilipat dengan nisbah 60:40.

    Varian tertinggi Premium dilengkapi dengan enam beg udara, rim berwarna perak, kemasan tiang-B bewarna hitam, cermin sisi boleh-lipat bantuan elektrik, sistem kunci pintar dengan butag penghidup enjin, skrin sistem infotainmen dengan skrin sesentuh dan sistem navigasi, kamera undur serta upholsteri balutan kulit. Varian SE istimewa pula dilengkapi dengan kit badan dua ton.

    Enam warna ditawarkan iaitu – Cotton White, Fire Red, Sterling Silver, Graphite Grey, Quartz Black dan warna baharu Carnelian Brown yang dikhaskan untuk Persona 2016 ini. Proton juga menawarkan servis percuma selama tiga tahun (termasuk alat ganti dan upah) untuk pembeli yang menempah Persona sebelum 30 September ini.

    Kami telah pun menguji Persona serba baharu ini. Bagaimana pretasinya? Baca ulasan kami di sini.

     
     
  • Lamborghini Centenario Roadster diperkenal – RM9j

    Lamborghini-Centenario-Roadster-3-e1471831821902

    Lamborghini telah pun memperkenalkan model baharu Centenario Roadster di Monterey Car Week baru-baru ini. Sama seperti coupe, Centenario yang boleh dibuka bumbungnya, diproduksi bagi meraikan 100 tahun kelahiran pengasas Ferruccio Lamborghini (1916) dan hanya 20 unit sahaja yang dikeluarkan.

    Secara visual, kereta ini nampak umpama coupe, menampilkan rekaan yang mengagumkan, dengan sedikit modifikasi bagi mencetuskan imej yang lebih harmoni. Terdapat saluran di antara tempat perehat kepala, cermin hadapan yang lebih luas dan disambungkan pada peresap belakang bagi aliran udara yang lebih optimum. Malah ia juga seberat 1,570 kg, iaitu 50 kg lebih berat berbanding coupe.

    Bahagian kerangka model edisi terhad ini diperbuat daripada gentian karbon, dengan cat istimewa berwarna perak yang digelar Argento Centenario. Walau bagaimana pun, pembelinya boleh memilih warna kegemaran menerusi program personalisasi Ad Personam.

    Di bawah hudnya, roadster ini turut berkongsi enjin yang sama iaitu 6.5 liter naturally-aspirated V12, dengan hamburan kuasa 770 hp pada tahap 8,600 rpm (meningkat dari 8,350 rpm). Ia membolehkan jentera ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 2.9 saat, satu per 10 lebih perlahan berbanding coupe, dengan kelajuan maksima yang sama iaitu 350 km/j.

    Selain itu, jentera ini turut menampilkan elemen yang sama seperti coupe termasuklah roda stereng belakang, kotak gear Independent Shifting Rod (ISR), suspensi magneto rheological, dengan sayap belakang yang dilebarkan sebanyak 150 mm, dan boleh dipusingkan maksimum pada sudut 15 darjah bagi prestasi yang lebih aerodinamik dan stabil pada kelajuan maksimum. Ia juga dipadankan dengan roda aloi lima-jejari (20-inci di hadapan, 21-inci di belakang), yang dibaluti tayar Pirelli PZero.

    Untuk harganya, Centenario Roadster ini dijual pada dua juta euro (sekitar RM9 juta), iaitu lebih 250,000 euro (RM1 juta) berbanding coupe. Seperti yang dinyatakan, hanya 20 unit sahaja yang dikeluarkan bagi model edisi terhad ini.

     
     
  • Isuzu Malaysia anugerahkan plak pusat servis trak tugas sederhana kepada sembilan pengedarnya

    MHD Centre 1

    Baru-baru ini Isuzu Malaysia telah menganugerahkan plak Pusat Servis Sah Trak Tugas Sederhana-Berat (MHD) Isuzu kepada sembilan pengedarnya. Ia sekali gus menandakan satu tahap baru dari segi pengalaman pemilikan dalam kalangan pelanggan Isuzu di seluruh negara.

    Dengan persijilan tersebut, outlet ini secara rasmi dikenali sebagai pusat servis trak utama Isuzu. Ia mampu mengendalikan semua kelas trak Isuzu, terutama trak tugas sederhana seperti Forward dan model trak tugas berat, Giga.

    Cawangan-cawangan itu telah berjaya memenuhi standard kelayakan baharu yang ditetapkan oleh pasukan teknikal Isuzu. Kemudahan-kemudahan itu mestilah berupaya memenuhi keperluan trak tugas berat dengan kebolehdapatan alat ganti yang banyak. Di samping memiliki pasukan juruteknik yang bertauliah dan terlatih untuk menyelenggara serta membaik pulih trak tugas berat. Mereka juga perlu menunjukkan keupayaan dari segi teknikal ketika menggunakan peralatan diagnostik yang canggih.

    Para pengendali cawangan tersebut menerima plak masing-masing daripada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia, Kenji Matsuoka. Matsuoka memuji usaha mereka dalam membantu Isuzu meningkatkan lagi aspek kepuasan pelanggan.

    MHD Plaque

    “Sebagai jenama peneraju trak di Malaysia, kami mempunyai tanggungjawab. Bukan sahaja untuk menyediakan sokongan infrastruktur yang sepatutnya kepada para pelanggan, malah terus meningkatkan tahap kualiti servis kami. Sembilan buah cawangan yang menerima plak jelas membuktikan komitmen mereka dalam memastikan tahap kepuasan pelanggan. Ia nyata selari dengan prinsip-prinsip Kaizen kami,” kata Matsuoka.

    Cawangan yang dioperasi oleh Automotive Corporation Malaysia (ACM), Indah Utara Auto, Jumbo Arena dan Ultra Gallant di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang itu menjadi pengedar terawal yang mencapai status dalam program ini. Beberapa buah cawangan di Malaysia Timur dijangka mendapat persijilan masing-masing tidak lama lagi.

    Dengan adanya cawangan-cawangan utama ini, para pelanggan boleh mendapatkan sokongan yang efisien dan profesional di sepanjang laluan pengangkutan penting. Terutama di lebuh raya utara-selatan dan kawasan Pantai Timur. Lokasi cawangan terbabit cukup penting bagi memastikan trak jarak jauh boleh mendapatkan bantuan teknikal atau penyelenggaraan yang pantas dan mudah, memandangkan mereka kerap berada di laluan berkenaan.

    “Demi memenuhi jadual yang ketat, adalah amat penting buat para pelanggan kami untuk terus bergerak secara efektif dan efisien. Dengan menempatkan sokongan di lokasi yang strategik, kami boleh memastikan mereka akan mendapat penjagaan trak yang profesional dan mudah,” tambah Matsuoka.

     
     
  • Hanoi larang motosikal masuki bandar mulai 2025

    Motorcycles

    Berhadapan dengan kesesakan trafik dan pencemaran udara yang kian meruncing, Hanoi, ibu negara bagi Vietnam, mengambil keputusan untuk melarang semua jenis kenderaan dua-roda daripada memasuki ibu kota tersebut mulai tahun 2025. Laporan Thanh Mien News menyebut, pengumuman ini dilakukan selepas satu mesyuarat mengenainya berlangsung pada Isnin lalu.

    Malahan, keputusan ini diambil untuk membendung peningkatan kenderaan persendirian yang kian pesat, sekaligus mempromosikan lagi penggunaan pengangkutan awam secara lebih meluas di Hanoi. Difahamkan Hanoi bercadang untuk membangunkan infrastruktur pengangkutan awam termasuk pembinaan sistem kereta api metro sedekad sebelum pengharaman itu dilaksanakan. Walau bagaimana pun, tiada maklumat diberikan mengapa kenderaan lain termasuk kereta tidak termasuk dalam larangan ini.

    “Hanoi perlu menggandakan jumlah bas yang ada, yang buat masa ini hanya mampu menampung antara lapan hingga 10% permintaan bagi pengangkutan,” ujar Nguyen Phi Thuong, Pengerusi Lembaga Perkhidmatan dan Pengangkutan Hanoi, yang mengendalikan perkhidmatan bas awam di bandar berkenaan. Buat masa ini Hanoi memiliki 1,000 bas di jalan, dengan 17 juta penumpang menggunakannya setiap bulan.

    Menurut statistik rasmi yang disebarkan pada tahun 2015, Hanoi memiliki 5.5 juta kenderaan berdaftar, dengan 4.9 juta daripadanya adalah motosikal dan skuter, dengan populasi sebanyak 7.7 juta di bandar berkenaan. Antara 8,000 hingga 20,000 motosikal baharu didaftarkan di Hanoi setiap bulan, manakala antara 6,000 hingga 8,000 unit bagi kereta.

     
     
  • Alpinestars lantik Sinar Puncak jadi pengedar baharu

    2016-Alpinestars-9-BM 850x567

    Alpinestars kini melantik Sinar Puncak Sdn Bhd selaku pengedar rasmi jenama itu di Malaysia. Pengeluar pakaian dan kelengkapan tunggangan motosikal yang berpusat di Itali itu akan memasarkan barisan lengkap produk-produk aksesori pelindungan tunggangan keluaran jenama itu untuk pasaran Malaysia.

    Antara produk utaman jenama berkenaan termasuk kasut, sut perlumbaan, sarung tangan, jaket penunggang dan termasuk pelindung bahagian belakang penunggang. Dengan pendekatan yang dikenali sebagai Alpinestars Protect, jenama itu melalui barisan produknya mensasarkan untuk memperkembang rangkaian pengedarnya di Malaysia dalam usaha untuk mempromosi tunggangan selamat dalam kalangan penunggang motosikal.

    Mula mengeluarkan but motocross pada 1963, kini Alpinestars memiliki lebih daripada 70 rangkaian produk yang direka untuk tunggangan di atas jalan mahupun di litar lumba, termasuk juga peralatan dan kelengkapan tunggangan off-road.

    Jenama ini mensasarkan untuk menawarkan pelbagai jenis produk bagi peringkat keperluan dan bajet yang pelbagai. “Ini selari dengan hasrat Alpinestars untuk berkembang bersama pelanggan-pelanggannya. Pengalaman tunggangan dan faktor mampu milik semakin berubah,” ujar Francesco Venier, individu yang bertanggungjawab di dalam pengembangan pengedaran Alpinestars.

    Alpinestars turut menaja dua pelumba motosikal negara, iaitu Muhammad Zulfahmi Khairuddin dan Azlan Shah Kamaruzaman yang masing-masing berlumba di dalam Supersport World Championship dan Asia Road Race Championship.

     
     
  • Jalan-jalan utama di PJ ditutup sempena PJ Fair 2016

    petaling-jaya-one-way-loop

    Berberapa jalan utama di sekitar Petaling Jaya akan ditutup dari 26 hingga 29 Ogos ini sempena acara PJ Fair 2016, lapor The Sun Daily.

    Jalan yang terlibat adalah Jalan Yong Shook Lin yang akan ditutup dari 7 petang pada 25 Ogos hingga 2 Pagi pada 26 Ogos dan 11 malam pada 26 Ogos hingga 8 malam pada 28 Ogos.

    Jalan Tengah, Jalan 52/18 (berhadapan KFC) dan jalan masuk ke Jalan Yoong Shook Lin (berhadapan Affin Bank) akan ditutup bermula 11 malam pada 25 Ogos hingga 11 malam pada 28 Ogos.

    Dewan Sivik MBPJ juga akan ditutup dari 8 pagi hingga 8 malam bermula 25 hingga 28 Ogos.

     
     
  • PANDU UJI: Volkswagen Golf 1.4L TSI – Harga turun, prestasi dan teknologi penjimatan jadi kelebihan

    2016 VW Golf 1.4 TSI BM 08

    Rasanya tiada keperluan untuk memperkenalkan Volkswagen Golf secara panjang lebar lagi. Kini di dalam penampilan generasi ketujuhnya, Golf Mk7 diperingkat global sudah menerima banyak pengiktirafan, termasuk dipilih sebagai World Car Of The Year 2013. Itu sudah cukup untuk memberi gambaran bagaimana sambutan dan imej serta prestasi model ini di mata dunia.

    Model pertamanya, Golf Mk1 mula dikeluarkan pada tahun 1974, dan banyak diperkenalkan dalam bentuk hatchback tiga pintu pada peringkat awal. Ia kemudian turut ditawarkan dalam versi hatchback lima pintu yang diteruskan sehinggalah kepada versi Mk7 yang ada kini, termasuk yang dijual untuk pasaran Malaysia. Selebihnya, versi convertible Golf turut pernah dihasilkan.

    Model paling ikonik bagi Golf ini tentulah dari versi yang memiliki lambang GTi di bahagian belakangnya. Ia serta-merta membayangkan angka-angka prestasi dan pemanduan padu serta kelincahannya. Ia juga menjadi satu lambang yang begitu sinonim dengan Volkswagen, dan untuk itu, berhasil mengumpul peminatnya yang tersendiri.

    Sepanjang berkesempatan untuk mendekati Golf secara peribadi, paling tidak sejak pengenalan generasi kelimanya (Mk5) dahulu, yang paling diingati dan dicari-cari ialah penawaran pengendalian yang dipadankan dengan prestasi pemanduan dari kejuruteraan Jerman yang sudah terbukti ketangkasannya, terutama versi GTi, yang dahulunya menggunakan enjin 2.0 liter.

    Baca laporan selanjutnya di sini

     
     
  • Ford GT – produksi dipanjangkan dua tahun lagi

    GT Configurator: Triple yellow Ford GT front three quarter

    GT Configurator: Triple yellow Ford GT front three quarter

    Ford mengumumkan bahawa produksi supercar mereka iaitu Ford GT akan dilanjutkan selama dua tahun lagi. Ini menjadikan tempoh keseluruhan untuk melengkapkan produksi Ford GT yang diambil ialah empat tahun. Sebelum ini Ford mengumumkan tempoh dua tahun diperlukan untuk menyiapkan sejumlah 500 unit pertama model ikonik tersebut, walau bagaimanapun mereka masih tidak menjelaskan berapa unit yang akan disiapkan dalam tempoh masa baharu yang ditetapkan ini.

    “Sementara kami tidak mampu untuk membina Ford GT dalam jumlah yang cukup untuk semua yang memohon, kami akan memproduksi lebih bilangan kereta ini untuk memuaskan hati lebih ramai duta Ford kami yang setia. Kami mahu Ford GT kekal eksklusif, tetapi pada masa yang sama kami tahu betapa pentingnya pelanggan pada jenama kami,” kata Dave Pericak, pengarah global Ford Performance.

    Untuk memiliki Ford GT bukanlah perkara yang mudah, kerana pembeli prospektif perlu membuat pemohonan dalam talian terlebih dahulu, dan memenuhi syarat yang ditetapkan, iaitu pada asasnya anda perlu menyatakan mengapa anda layak untuk memilikinya. Sejumlah 6,506 permohonan lengkap telah dihantar untuk pembelian Ford GT dari seluruh dunia tetapi hanya 500 daripada mereka akan layak untuk membeli supercar dengan warisan dari lagenda Ford tersebut. Menurut Ford lagi, hampir 200,000 orang telah melawat laman maya berkenaan dan 10,800 orang telah menunjukkan minat untuk membeli Ford GT terbaharu.

    All-New Ford GT bird's eye view, January 2015

    Ford menyatakan tahun ketiga produksi Ford GT akan memenuhi permintaan mereka yang diletakkan dalam senarai menunggu, manakala permintaan untuk pemohonan yang ditunda sebelum ini dan mereka yang terlepas permohonan kali pertama hanya akan dilayan pada tahun keempat produksi. Pemohonan akan dibuka semula untuk orang ramai pada awal tahun 2018, dan mereka yang pernah memohon sebelum ini hanya perlu untuk mengemaskini permohonan mereka.

    Mengapa permintaan terhadap Ford GT ini terlalu tinggi? Model asal Ford GT (dikenali sebagai Ford GT40) ini adalah kereta lumba berenjin tengah yang dibina oleh Ford untuk perlumbaan Le Mans 24 Jam dan memenangi perlumbaan tersebut empat tahun berturut-turut dari tahun 1966 hingga tahun 1969. Generasi terbaharu supercar ikonik ini direka dengan rekaan yang seiras model terdahulu, menampilkan panel badan yang diperbuat dari bahan gentian-karbon, dipadankan pada kerangka aluminium hadapan dan belakang.

    Model terbaharu ini dijana oleh enjin EcoBoost 3.5 liter V6 turbo berkembar yang turut diletakkan pada bahagian tengah, berkuasa lebih 600 hp serta dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan.

    GALERI: Ford GT di Geneva


    GALERI: Ford GT untuk perlumbaan Le Mans

     
     
  • DBKL umum penutupan sebahagian Jln Mohd Yatim Yahya, Jln 34/26 mulai 22 Ogos ini selama 5 bulan

    Road_construction

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan kenyataan berhubung penutupan persimpangan Jalan Mohd Yatim Yahya dan Jalan 34/26 bagi pembinaan jalan sambungan dari Jalan 1/27A ke Setiawangsa. Penutupan jalan ini berlangsung selama lima bulan iaitu mulai 20 Ogos 2016 hingga 20 Jan 2017.

    Menurut DBKL, penutupan itu bagi membolehkan kerja gerudi cerucuk, pembinaan jejambat dan laluan bawah dijalankan dengan lancar, laporan Bernama.

    Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pengguna jalan raya yang datang dari arah Jalan 34/26 (Sri Rampai) menuju ke Jalan Setiawangsa perlu pusingan U di Jalan Mohd Yatim Yahya dan Jalan 34/26 (bangunan Zetro).

    Manakala bagi yang datang dari arah Jalan Mohd Yatim Yahya menuju ke Jalan 34/26 (Sri Rampai) perlu membuat pusingan U di Jalan 34/26 (bangunan Zetro) dan Jalan Setiawangsa.

    Bagi pengguna jalan raya yang datang dari Jalan Setiawangsa menuju ke Jalan 34/26 (bangunan Zetro) perlu membuat pusingan U di Jalan 34/26 (Sri Rampai) dan Jalan Mohd Yatim Yahya.

    DBKL turut menasihatkan para pemandu supaya memandu dengan berhati-hati dan mematuhi semua arahan papan tanda isyarat yang disediakan.

     
     
  • KPDNKK masih kaji pemakaian topi keledar kura-kura

    saigon-motorbike

    Penggunaan topi keledar separuh atau lebih dikenali sebagai topi keledar kura-kura masih lagi dikaji oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sama ada ia selamat dan boleh dijual atau sebaliknya, lapor Bernama.

    Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata kajian itu antara lain akan melihat sejauh mana topi keledar itu memenuhi spesifikasi yang ditetapkan di bawah Akta Standard Malaysia 1996. Pematuhan terhadap standard ditetapkan bagi semua barangan yang ada di pasaran termasuk topi keledar amat penting terutama dalam misi Malaysia mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

    “Kementerian telah mengambil (sampel) topi keledar untuk membuat kajian dengan beberapa kementerian menerusi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi melihat ia boleh digunakan atau tidak.

    “Kita tidak mahu nanti mencapai status negara maju, tapi mempunyai barangan berkualiti rendah. Apa yang penting adalah keselamatan dan keselesaan pengguna,” katanya kepada wartawan.

    Rabu lalu Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin ketika membuat saranan itu berkata pihaknya mendapati ramai penunggang motosikal yang gemar membeli topi keledar tersebut walaupun ia tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan.

     
     
  • MAA umum prestasi jualan, produksi bagi Julai 2016

    Perodua Bezza Launch Stage

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan kenyataan media mengenai prestasi jualan dan produksi bagi Julai 2016.

    Rekod prestasi produksi untuk bulan Julai 2016 bagi kenderaan penumpang, ia mencatatkan sejumlah 34,944 unit, iaitu menurun sebanyak 2,747 unit pada bulan yang sama tahun lalu (dengan sejumlah 37,691 unit). Penurunan ini juga memberikan kesan pada rekod tahunan bagi Januari hingga Julai 2016 iaitu 275,593 unit berbanding 339,793 unit pada tempoh yang sama tahun lalu.

    Manakala bagi kenderaan komersial pula, ia meningkat dua kali ganda iaitu 4,153 unit untuk Julai 2016 berbanding hanya 2,964 unit pada tempoh yang sama tahun lalu. Walau bagaimana pun, rekodnya tidak setara bagi Januari hingga Julai kedua-dua tahun, dengan 2016 hanya mencatatkan produksi sebanyak 26,107 unit, berbanding 28,526 unit pada tahun 2015.

    MAA_1

    Bagi rekod jualan kenderaan penumpang untuk bulan Julai 2016 pula, ia turut mengalami penurunan yang mendadak dengan hanya 37,647 unit, berbanding 52,636 unit bagi tempoh yang sama tahun lalu. Bahkan rekod jualan tahunan dari Januari hingga Julai 2016 hanya tercatat sebanyak 282,004 unit, berbanding 339,244 unit pada tahun 2015.

    Begitu juga dengan rekod jualan kenderaan komersial, di mana tercatat sejumlah 4,824 unit bagi Julai 2016, berbanding 6,041 unit pada bulan yang sama tahun lalu. Malah perbezaannya juga ketara bagi rekod tahunan antara Januari hingga Julai, di mana tahun 2016 mencatatkan sebanyak 35,926 unit, manakala tahun 2015 pula sejumlah 41,687 unit.

    MAA_2

    Menurut MAA, jumlah jualan bagi Julai 2016 adalah kurang sebanyak26% atau 14,887 unit berbanding tempoh yang sama pada 2015 adalah disebabkan dua faktor utama iaitu tempoh waktu bekerja yang pendek disebabkan cuti Hari Raya Aidilfitri dan juga permintaan yang lebih tinggi pada bulan Jun 2016 disebabkan perayaan yang sama.

    Ini bermakna Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi Jumlah Rekod Terkini (YTD) 2016 menurun sebanyak 16.5% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

    Walau bagaimana pun, jumlah jualan bagi Ogos 2016 dijangka lebih tinggi berbanding Julai tahun ini disebabkan tempoh waktu bekerja yang lebih panjang dan juga beberapa model kenderaan yang dilancarkan sejak akhir Julai 2016. Ini termasuklah Perodua Bezza yang dilancarkan pada 21 Julai lalu.

     
     
  • Kerajaan disaran beri AP untuk pemilik teksi – GPPTM

    Malaysia-Taxi-03

    Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) disarankan untuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi mempertimbangkan pemberian Permit Import (AP) kepada pemilik teksi berpermit.

    Menurut jurucakap Gabungan Pemandu-pemandu Teksi Malaysia (GPPTM), Norfaiza Abdul Ghani, dengan insiatif ini membolehkan pemilik teksi berpermit mendapatkan kenderaan terpakai bagi dijadikan teksi. Malah menurutnya lagi, ia mampu mengurangkan kos operasi sebanyak 40% kerana kenderaan terpakai dengan harga yang murah mampu mengurangkan pinjaman bank, laporan News Strait Times.

    “Harga kenderaan terpakai yang murah, membolehkan kami membeli kenderaan yang lebih baik untuk dijadikan teksi. Contohnya Toyota Vellfire, yang selalunya dijual pada harga lebih RM200,000, boleh dibeli dengan harga antara RM60,000 dan RM70,000 jika diberi AP dan pengecualian cukai eksais,” ujar Norfaiza.

    Beliau turut berkata, kualiti kenderaan mampu menaikkan semula industri teksi, sekaligus memberikan nilai yang lebih kepada para penumpang.

    Sambungnya lagi, “Kebanyakan pemandu teksi dibebani dengan pinjaman bank, ada yang mencapai RM1,500 untuk teksi bajet dan RM2,700 bagi teksi eksekutif. Namun kebanyakan mereka hanya memperoleh pendapatan lebih kurang RM150 setiap hari.”

    Sehubungan itu, GPPTM akan mengusulkan cadangan kepada SPAD, MITI dan Kementerian Kewangan bagi tujuan ini dalam masa terdekat.

    Baru-baru ini, SPAD mendedahkan Pelan Transformasi Industri Teksi (TITP) yang bakal dilaksanakan mulai 1 September ini. Malah kerajaan juga telah meluluskan geran tunai sejumlah RM5,000 untuk membantu pemandu teksi keluar dari model pajak untuk membeli kereta baharu sebagai salah satu daripada 11 program di bawah TITP.

    Selain itu, kerajaan juga bakal menyuntik bantuan kewangan sebanyak RM150 juta untuk industri teksi dalam jangka masa lima tahun akan datang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025