Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • SPAD cadang Uber dan Grab dibenarkan beroperasi

    uber-x-car_BM

    Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengemukakan cadangan dalam Program Transformasi Industri Teksi untuk membenarkan dari segi undang-undang perkhidmatan Uber dan Grab bagi meyamaratakan medan persaingan untuk pemandu teksi.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, SPAD berkata, tujuannya adalah untuk membenarkan dari segi undang-undang pola permintaan yang dipacu teknologi bagi mengawal selia perkhidmatan e-hailing (e-panggilan) seperti Uber dan Grab, laporan Utusan Malaysia.

    “Selain itu, ia boleh menyamaratakan medan persaingan untuk pemandu sedia agar mereka mempunyai peluang yang lebih adil untuk berdaya saing,” ujar kenyataan terbabit.

    Menurut kenyataan itu lagi, SPAD turut mengesyorkan agar lesen baharu dikeluarkan kepada pemandu teksi yang mempunyai rekod prestasi bersih bagi memupuk semangat keusahawanan di peringkat individu.

     
     
  • Bekas menteri jadi pemandu Uber?

    Screen Shot 2016-06-18 at 11.55.21 AM

    Pada saat kerajaan masih belum memuktamadkan lagi sebarang keputusan mengenai konflik Uber yang menjadi kemarahan para pamandu dan pengusaha teksi, Tan Sri Abdul Wahid Omar, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini dikatakan telah memilih untuk menjadi pemandu Uber.

    Viral di laman media sosial Facebook, Wahid dikatakan baru saja memulakan ‘kerjaya baharunya’ itu beberapa hari lalu dan berkata sebab beliau mahu menjadi pemandu Uber adalah “untuk merasai denyut nadi rakyat”, laporan News Strait Times.

    Menerusi status yang dimuat naikkan oleh Norizan Bin Sharif di Facebook, yang memaklumkan Wahid baru sahaja menjadi pemandu Uber selama tiga hari sebelum pergi menunaikan Umrah. Malah pada hari tersebut, beliau telah mendapat lapan orang penumpang.

    Salah seorang lagi penumpangnya, Firdaus Fadzil, yang turut memuat naik status di Facebook, lima-bintang telah diberikan kepada Wahid kerana kecemerlangannya sebagai pemandu Uber.

    Malah Wahid yang juga pernah menjawat jawatan sebagai presiden dan CEO Maybank sebelum ini dikatakan telah ‘meminjam’ Proton Perdana 2016 yang baru dilancarkan pada 14 Jun lalu untuk mengambil penumpang di sekitar Putrajaya, selain turut mempromosikan model segmen-D tersebut.

     
     
  • Proton sudah menerima pinjaman mudah pertama bernilai RM300 juta – bakinya secara berperingkat

    2016 Proton Perdana 1

    Proton telah pun menerima fasa pertama pinjaman mudah bernilai RM300 juta daripada nilai keseluruhan RM1.5 bilion dari kerajaan, ujar Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah. Di mana baki pinjaman tersebut akan diberikan secara berperingkat atas permintaan Proton sendiri, laporan Bernama.

    “Pertama, mereka (Proton) perlu melunaskan semua pembayaran kepada pelbagai pihak termasuk vendor. Kita bertindak berdasarkan perkembangan yang berlaku, penilaian dan penyerahan (pinjaman mudah) itu,” ujar Mohd Irwan.

    Pinjaman mudah bernilai RM1.5 bilion yang telah diluluskan pada April lalu dengan matlamat untuk membantu Proton muncul sebagai entiti baharu dengan tenaga yang lebih besar, menurut Mohd Irwan.

    Tegasnya lagi, kerajaan menyokong syarikat kereta nasional berkenaan secara teguh namun pinjaman itu juga didatangkan dengan beberapa syarat tertentu yang harus dipenuhi oleh Proton.

    “Kami telah pun meletakkan garis panduan untuk mereka terlebih dahulu bagi mencari rakan strategik dan mesti membuat pelan perubahan, mesti membayar semua vendor dan banyak lagi,” ujarnya, sambil menambah Proton sedang membuat perbincangan dengan beberapa rakan potensi, tetapi beliau enggan mendedahkan sebarang nama.

    Mohd irwan juga menambah, Proton seharusnya menggunakan 70% penguasaan daripada pasaran kenderaan tempatan, namun ia menurun kepada 18% pada masa kini. “Perkongsian terhadap pasaran tempatan oleh Proton telah menurun secara drastik. Namun dengan strategi baharu ini, kami berharap Proton mampu menguasai semula pasaran,” ujarnya.

     
     
  • PLUS umum penutupan sementara beberapa R&R selama tiga hari mulai 21 Jun ini

    R&R

    Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) mengumumkan beberapa kawasan rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah di bawah kendalian syarikat konsesi terbabit akan ditutup tiga hari kepada pengguna, mulai Selasa depan.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, PLUS memaklumkan penutupan sementara itu bertujuan melancarkan kerja penyelenggaraan di kawasan R&R serta hentian terlibat.

    Hentian yang akan ditutup di Lebuhraya Utara-Selatan pada 21 Jun ialah kawasan R&R Ayer Keroh (Arah Utara) di KM205 dan kawasan R&R Pagoh (Arah Selatan) di KM135.5 pada pukul 9 pagi hingga 4 petang manakala Hentian Sebelah Taiping (Arah Selatan) di KM212.6 akan ditutup dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

    Bagi Lebuhraya Seremban-Port Dickson, kawasan R&R Mambau (Arah Timur) di KM12.5 turut ditutup sementara dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari manakala kawasan R&R Machap (Arah Selatan) di KM74.7 Lebuhraya Utara-Selatan ditutup dari pukul 9 pagi hingga 4 petang pada 22 Jun.

    Penutupan pada 23 Jun pula melibatkan kawasan R&R Rawang (Arah Utara) di KM440 Lebuhraya Utara-Selatan yang akan ditutup pada pukul 9 pagi hingga 6 petang.

    Walau bagaimana pun, sepanjang kerja penyelenggaraan ini dijalankan, semua gerai, kiosk dan kemudahan awam lain akan ditutup kepada orang ramai manakala stesen minyak masih dibuka seperti biasa.

     
     
  • VIDEO: Temu ramah dengan CEO baharu Proton – Perdana 2016 bukan berkenaan kuantiti, tetapi prestij dan tahap kepuasan perkhidmatan pelanggan

    Semasa pelancaran Proton Perdana 2016 tempoh hari, CEO baharu Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali memperkatakan mengapa Perdana merupakan model yang penting bagi Proton untuk mereka melangkah lebih jauh kehadapan, dan mengapa melancarkan model segmen-D semasa keadaan ekonomi yang lembab.

    Menurut Datuk Ahmad Fuaad, Proton Perdana 2016 merupakan model berprestij yang akan mengembalikan kepercayaan umum terhadap jenama Proton. “Perdana melambangkan Proton yang baharu. Proton yang baharu pada perspektif saya ialah Proton dengan minda yang berubah. Kami mahu fokus dalam memberikan yang terbaik kepada pelanggan untuk kereta yang ‘bernilai untuk wang’, begitu juga servis selepas jualan,” kata beliau.

    Datuk Ahmad Fuaad turut memperkatakan tentang jumlah pendaftaran kereta Proton baharu yang semakin meningkat dan tiga lagi model baharu yang bakal diperkenalkan. Beliau mengaku jumlah jualan kereta Proton yang rendah adalah kerana kekurangan model baharu, dan memetik Persona serta Saga sebagai contoh model lama Proton yang masih lagi duduk di dalam barisan model jualan Proton.

    Proton_Perdana_24_Grey_Ext_03

    Beliau turut menyatakan 2016 merupakan tahun yang sibuk untuk Proton kerana Persona dan Saga baharu serta MPV segmen-B baharu yang diasaskan dari Suzuki Ertiga akan menyertai Perdana dalam pasaran tahun ini, dengan sasaran merebut semula bahagian pasaran Proton yang hilang sejak beberapa tahun sebelum ini.

    Menurut beliau lagi, penambahbaikkan turut dibuat pada pasukan jualan dan servis Proton. Masa yang cukup telah diberikan kepada staf servis untuk latihan, dan beliau mahu staf-staf Proton memberikan khidmat yang lebih baik kepada pelanggan Proton mulai sekarang.

    GALERI: Proton Perdana 2.4L 2016

     
     
  • Kempen ‘Jom Balik Kampung Dengan Selamat’ dan ‘Riang Raya dengan Nissan’ tawar diskaun menarik

    ETCM Raya Promotion

    Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) dan Tan Chong Ekspres Auto Servis Sdn Bhd (TCEAS), pengedar dan wakil servis bertauliah kenderaan Nissan di Malaysia akan memulakan kempen promosi ‘Jom Balik Kampung Dengan Selamat’ dan ‘Riang Raya dengan Nissan’ sempena sambutan Hari Raya tahun ini. Kempen ini bertujuan memastikan pelanggan lebih peka tentang perlunya bersiap-sedia sebelum memulakan perjalanan dan tiba di destinasi masing- masing dengan selamat, selesa dan mudah.

    Kempen perjalanan selamat ini menawarkan pelanggan dengan satu siri pemeriksaan, pembaikan dan servis awal. Pada masa yang sama menyediakan perkhidmatan mengecat badan kenderaan sebelum balik ke kampung. Bagi pelanggan Nissan yang juga ahli NISCARE, mereka layak untuk menerima pemeriksaan sebelum memulakan perjalanan balik kampung secara percuma di semua Tan Chong Ekspres Auto Servis (TCEAS) mulai 20 Jun hingga 5 Julai 2016. Diskaun 10% ke atas pembaikan umum akan diberi mulai 11 hingga 23 Julai 2016 dengan mengemukakan carta pemeriksaan secara visual percuma.

    Diskaun 15% turut akan diberikan untuk kerja-kerja mengecat satu bahagian kenderaan, termasuk kos buruh dan pembaikan mulai sekarang hingga 5 Julai 2016. Diskaun 25% pula akan diberikan untuk kenderaan yang dicat sepenuhnya, termasuk kos buruh dan pembaikan mulai sekarang hingga 5 Julai 2016. Promosi untuk kerja cat dan pembaikan badan kenderaan ini adalah tidak sah untuk tuntutan insurans.

    Mereka yang bukan ahli NISCARE pula akan menerima tawaran diskaun 10% ke atas cat untuk satu bahagian kenderaan, termasuk kos buruh dan pembaikan mulai sekarang hingga 5 Julai 2016. Diskaun 20% turut akan diberikan kepada kenderaan yang dicat sepenuhnya, termasuk kos buruh dan pembaikan mulai sekarang hingga 5 Julai 2016. Promosi ini juga tidak sah untuk tuntutan insurans.

    TCEAS

    Pemilik Nissan yang ingin memeriksa dan servis kenderaan mereka dinasihatkan menghubungi outlet TCEAS yang terdekat untuk temu janji semasa musim perayaan ini. NISCARE merupakan program ganjaran pelanggan yang eksklusif dan dicipta untuk para pelanggan Nissan. Ia menawarkan pelbagai bentuk keistimewaan serta faedah. Pelanggan Nissan yang berminat dialu-alukan untuk mendaftar pada hari ini dan menikmati faedahnya secara serta-merta.

    ETCM turut menawarkan pelanggan lebih penjimatan buat pelanggan yang membeli kenderaan Nissan sepanjang musim perayaan ini. Sepanjang tempoh promosi ini, rebat menarik dan penjimatan sehingga RM10,000 ditawarkan. Tawaran aksesori dengan hanya RM1 juga diteruskan untuk model-model Nissan yang terpilih.

    Bukan itu sahaja, pelanggan yang mendaftar dan membeli sebuah kenderaan Nissan sepanjang tempoh promosi dari 1 Jun hingga 31 Julai 2016 berpeluang untuk memenangi sebahagian daripada 1,600,000 Mata Ganjaran BIG. Pemenang Hadiah Utama pada setiap bulan akan membawa pulang 300,000 BIG Points yang bersamaan lima kali perjalanan pergi balik ke Tokyo, Sydney, Beijing, Seoul atau lokasi tempatan lain. Sepuluh Hadiah Saguhati turut disediakan. Orang ramai dijemput mengunjungi bilik pameran dan siri jelajah Nisaan untuk menikmati tawaran hebat serta pelbagai hadiah menarik

     
     
  • Tiada perkhidmatan tren di Jajaran LRT Ampang pada 7 dan 8 Julai ini bagi menaik taraf sistem operasi

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Sempena dengan cuti Hari Raya yang bakal kunjung tiba tidak lama lagi, Rapid Rail Sdn Bhd telah mengumumkan pada 7 dan 8 Julai ini, tiada perkhidmatan tren bagi Jajaran LRT Ampang. Perkhidmatan ini akan dihentikan buat seketika bagi kerja-kerja meningkatkan dan memindahkan sistem isyarat tren.

    Menurut Pegawai Eksekutif syarikat terbabit, Ahmad Nizam Mohamed Amin, penggantungan sementara perkhidmatan itu adalah diperlukan bagi mengautomatikkan sistem Komunikasi-Kawalan Tren (CBTC) untuk kecekapan yang lebih tinggi selain mempertingkatkan keselamatannya, laporan The News Strait Times.

    “Sepanjang tempoh perkhidmatan ini digantung buat seketika, kami akan menyediakan perkhidmatan bas percuma di antara jam 6 pagi hingga tengah malam bagi mengangkut penumpang dari Jajaran LRT Ampang dan Jajaran LRT Sri Petaling ke hab bas Rapid KL Pasar Seni,” ujar Ahmad Nizam.

    Selain daripada itu, katanya lagi, bagi penumpang yang ingin ke destinasi antara stesen LRT Putra Height dan Sentul Timur, terdapat enam tren baharu akan mula beroperasi pada 17 Julai ini. Tren baharu terbabit akan menggantikan tren lama yang telah ditamatkan perkhidmatannya di Jajaran LRT Ampang yang telah digunakan hampir 20 tahun.

    “Dengan kejayaan meningkatkan dan memindahkan sistem isyarat ini, penumpang yang datang dari Putra Height ke Kuala Lumpur tidak lagi perlu menukar tren di stesen LRT Sri Petaling.

    “Walau bagaimana pun, sementara menantikan ketibaan tren baharu sepenuhnya pada Disember 2016, tren berselang-seli di Bandar Tasik Selatan akan ada perubahan iaitu pada waktu puncak pagi dan petang iaitu antara jam 7 pagi hingga 9 pagi, dan 5 petang hingga 7 malam,” jelas Ahmad Nizam lagi.

    Apabila proses ini siap kelak, Rapid Rail akan memperkenalkan dua mod operasi baharu, iaitu melibatkan Jajaran LRT Sri Petaling antara Putra Heights dan Sentul Timur dan Jajaran LRT Ampang bagi perkhidmatan antara Chan Sow Lin dan Ampang. Dengan mod operasi baharu ini, penumpang yang datang dari Ampang untuk ke Sentul Timur atau Putra Height perlu menukar tren di stesen Chan Sow Lin untuk ke Jajaran Sri Petaling mulai 17 Julai ini.

     
     
  • VIDEO: Temu ramah Timbalan CEO Proton tentang rekaan, ciri-ciri dan masa depan Perdana 2016

    Semasa pelancaran Proton Perdana 2016 selasa lalu, Timbalan CEO Proton Datuk Radzaif Mohamed turut menjelaskan beberapa perkara berkenaan sedan segmen-D tersebut termasuk mengapa ia direka sedemikian, sebab mengapa bahagian dalaman Accord diserap terus dan juga hala tuju Proton dalam membangunkan kesemua model keluaran mereka.

    Menurut Radzaif, garisan bumbung yang melandai, rekaan “dua setengah kotak” yang bertentangan dengan rekaan sedan tiga-kotak tradisional, merupakan ciri-ciri rekaan pada sedan segmen-D terkini. Tambah beliau, ruang dalaman dan ruang kargo juga tidak dikorbankan, walaupun menggunakan rekaan dua setengah kotak ini.

    Proton_Perdana_24_Grey_Ext_22

    Berkenaan kit badan serta diffuser belakang diwarnakan dengan warna badan yang heboh diperkatakan sekarang ini turut dijelaskan. Radzaif menyatakan keputusan berkenaan dibuat adalah untuk memberikan Perdana rupa yang lebih kepada sedan segmen-D, berimej eksekutif, berbanding model lain dalam pasaran yang lebih menonjolkan imej sporty.

    Perdana disasarkan untuk pasaran golongan pertengahan usia, iaitu berumur 35 tahun dan ke atas, jadi imej sporty yang akan terhasil jika diffuser dan kit badan dibezakan tidak selari dengan sasaran Perdana yang lebih kearah sedan eksekutif, kata Radzaif. “Jika ada keperluan untuk kami melakukan sesuatu yang berbeza, ini antara opsyen yang kami boleh teliti semula,” tambah beliau.

    Proton_Perdana_24_Red_Int_40

    Bahagian dalaman sedan ini menyadur terus bahagian dalaman Honda Accord kerana “salah satu keputusan penting yang perlu diambil terhadap Perdana adalah mengambil masa sesingkat yang mungkin untuk memperkenalkannya ke pasaran,” jelas Radzaif. Walau bagaimanapun, bahagian dalaman Honda sudah cukup bagus, apa yang Proton lakukan adalah meningkat taraf sistem infotainmennya dengan penambahan pemain utama skrin sesentuh baharu, dan juga unit navigasi GPS.

    Radzaif berkata, perkara utama bagi membolehkan ia disokong dalam pasaran adalah penambahbaikkan dalam Perdana. Selain rekaan, penambahbaikkan pada bunyi, getaran dan gangguan (NVH) merupakan perkara paling utama, dan ini juga dititik beratkan pada model Proton yang lain juga.

    GALERI: Proton Perdana 2.4L 2016

     
     
  • Porsche Macan GTS dilancarkan di Malaysia – RM710k

    2016-Porsche-Macan-GTS-25-e1466136326737

    Sempena pelancaran model Porsche 911 Carrera baharu pagi tadi, Sime Darby Auto Performance turut memperkenalkan varian terkini bagi model Macan. Porsche Macan GTS kini boleh didapati di Malaysia pada harga RM710,000, tanpa pendaftaran dan insurans.

    Memberikan sedikit penampilan berbeza, Macan GTS menerima roda RS Spyder hitam pekat 20-inci, selain beberapa elemen luaran lain termasuklah standard bagi pakej Sport Design dengan warna spesifik GTS. begitu juga dengan lampu utama LED yang dinamik.

    Bahagian dalamnya, tempat duduk sport GTS balutan Alcantara dan kulit menjadi daya tarikan utama. Selain itu, ia turut menampilkan beberapa kepingan kekemasan gentian karbon bagi melahirkan ciri dalaman lebih sporty. Manakala sistem infotainmen Porsche Communication Management (PCM) adalah standard bagi varian ini, bersama paparan skrin sentuh tujuh-inci, sambungan Apple CarPlay dan fungsi navigasi.

    Berbanding model standard Macan, GTS ini 15 mm lebih rendah, hasil semakan yang lebih sporty bagi casis Porsche Active Suspension Management (PASM).

    5D3_7462

    Di bawah hudnya, Macan GTS dijanakan oleh versi enjin petrol yang dipertingkatkan iaitu 3.0 liter turbo-berkembar V6 yang mampu menghasilkan kuasa hingga 360 hp dan tork 500 Nm (dari 340 hp/460 Nm).

    Kuasa yang disalurkan ke semua roda ini menerusi transmisi PDK klac-berkembar yang membantu Macan GTS ini boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 5.2 saat, dan 5.2 saat dengan Sport Chrono Package. Manakala kelajuan maksimum yang boleh dihamburkan mencecah 256 km/j.

    Dengan harga RM710,000 (tanpa kos harga atas jalan), Macan GTS ini turut ditawarkan dengan waranti empat-tahun termasuk empat-tahun pakej servis, alat ganti dan penyelenggaran percuma.

     
     
  • Ducati bakal memperkenalkan dua model baharu di World Ducati Week edisi kesembilan bulan hadapan

    1-World Ducati Week

    Pada edisi kesembilan World Ducati Week (WDW) yang akan diadakan bermula 1 hingga 3 Julai nanti di Riviera Romagnola, Itali, Ducati mengumumkan akan memperkenalkan dua model baharu.

    Semasa perhimpunan yang mengumpulkan pemilik Ducati dari seluruh dunia yang berlangsung di Misano World Circuit Marco Simoncelli ini, Ducati akan memperkenalkan motosikal khas edisi terhad “Ulangtahun ke-90” dan sebuah lagi model untuk tahun 2017.

    Berbagai spekulasi muncul berhubung dua model baharu ini. Antaranya kemungkinan Ducati akan memperkenalkan siri Scrambler baharu dan juga siri Monster yang begitu cemerlang pada generasi sebelum ini.

    Kemungkinan lain yang mungkin ialah, Ducati mungkin akan memperkenalkan semula siri Streetfighter tetapi dalam versi 1299. Sejak diperkenalkan pada tahun 2011, Streetfighter 848 kini masih lagi dijual dan disenaraikan dalam katalog Ducati.

    Di Malaysia, Ducati masih lagi belum melancarkan tiga model Hypermotard serta model 959 Panigale dan Xdiavel, dimana kesemuanya dijadualkan akan berlangsung lewat tahun ini.

    GALERI: 2016 Ducati Hypermotard 939


    GALERI: 2016 Ducati 959 Panigale

     
     
  • Porsche 911 baharu dilancarkan di Malaysia – enjin turbo 3.0L baharu, tiga varian, harga dari RM870,000

    2016 Porsche 911 facelift launch 1

    Sime Darby Auto Performance (SDAP), pengimport rasmi bagi Porsche di Malaysia, telah melancarkan model 911 baharu, sempena dengan perlumbaan mingguan Le Mans. Ia didatangkan dengan tiga varian iaitu 911 Carrera, 911 Carrera S dan 911 Carrera 4S.

    Dijanakan oleh enjin 3.0 liter pengecas turbo generasi baharu yang mampu memberikan hamburan kuasa yang lebih padu iaitu 370 hp bagi 911 Carrera dan 420 hp untuk 911 Carrera S dan 911 Carrera 4S. Ini bermakna, dengan enjin baharu ini, ia meningkatkan lebih 20 hp kuasa bagi ketiga-tiga varian berbanding model sebelum ini. Malah ledakan kuasa bagi 911 Carrera S lebih ketara dengan pemampatnya yang telah dimodifikasi, selain sistem ekzos yang lebih spesifik dan pengurusan enjinnya yang yang ditala semula.

    Dnegan enjin baharu yang lebih berkarakteristik, puncak tork bagi 911 Carrera mampu mencecah 450 Nm dan 500 Nm bagi 911 Carrera S dari takat terendah 1,700 rpm hingga 5,000 rpm bagi memberikan prestasi pemanduan yang terbaik.

    5D3_7627

    Walau pun memiliki ledakan prestasi luar biasa, namun ia masih memberikan penjimatan bahan api. Di mana ia berkurang sebanyak satu liter bagi setiap 100 km iaitu 911 Carrera mampu mencapai sekitar 7.4 liter bagi setiap 100 km (pengurangan 0.8 liter per 100 km) dan 911 Carrera S pula dianggarkan 7.7 liter bagi setiap 100 km (kurang 0.1 liter per 100 km) dan 911 Carrera 4S pula 7.9 liter per 100 km (kurang 1.2 liter per 100 km).

    Prestasi penuh mengagumkan ini turut membenarkan 911 Carrera yang dilengkapi dengan transmisi tujuh-kelajuan Porsche- Doppelkupplung (PDK) dan Sport Chrono Package boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 4.2 saat. Manakala 911 Carrera S dan 911 Carrera 4S yang dilengkapi dengan PDK dan Sport Chrono Package pula boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 3.9 saat dan 3.8 saat.

    Manakala kelajuan maksimum yang boleh dicatatkan ialah 393 km/j (meningkat 6 km/j) bagi 911 Carrera, 306 km/j (meningkat 4 km/j) untuk 911 Carrera S dan 911 Carrera 4S pula 303 km/j (meningkat 6 km/j).

    Dengan pilihan Sport Chrono Package bagi 911 Carrera, kini ia didatangkan dengan butang mod pada roda stereng iaitu menampilkan mod pemanduan “Normal”, “Sport”, “Sport Plus” dan “Individual”. Digabungkan dengan transmisi PDK, butang mod memiliki butang tambahan iaitu “Sport Response Button”. Apabila butang ini ditekan, pendikitan maksimum boleh dicapai dalam 20 saat. Secara tidak langsung, ia dapat memberikan respons yang lebih optimum.

    911 Carrera baharu ini ditampilkan dengan rekaan yang lebih bergaya dan agresif. Malah ia turut mengutamakan ciri-ciri aerodinamik yang lebih padu. Diinspirasikan dari sayap pesawat, bentuk yang lebih berprofil diserlahkan dengan spoiler hadapan yang diperkembangkan ke seluruh badan jentera ini. Bentuk tiga dimensi dari spoiler hadapan juga memberikan ciri aerodinamik yang lebih sporty.

    Selain itu, penampilan lampu utama bi-xenon bersama lampu nyalaan siang LED merupakan signatur tipikal bagi Porsche. Lampu indikator juga didatangkan dengan unit LED. Bagi menampakkan kelainan, pintu jentera ini tidak didatangkan dengan pemegang pintu, sebaliknya ia menampilkan panel pintu luaran dengan sambungan pemegang yang lebih sepadu.

    Lampu belakang baharu juga ditampilkan dengan aura tersendiri. Tiga garisan laser bersama konduktor cahaya dan reflektor menyerlahkan lagi penampilannya. Apron belakang juga tampil dengan gaya sporty bersama reflektor yang memberikan pandangan tiga dimensi. Selain itu, panel peresap juga ditampilkan dengan struktur yang lebih utuh. Manakala corong ekzosnya diposisikan sedikit bawah.

    Tidak banyak perubahan dalaman yang dilakukan bagi 911 Carrera baharu ini. Melainkan memiliki roda stereng baharu dan menampilkan sistem infotaimen Porsche Communication Management (PCM) . Bagi PCM ini, ia disambungkan dengan skrin paparan sentuh tujuh-inci dan menampilkan sambungan Apple CarPlay dan fungsi navigasi.

    911 Carrera baharu ini ditawarkan pada harga dari RM870,000, Carrera S pula RM970,000 dan RM1,040,000 bagi Carrera 4S. Semuanya adalah harga atas jalan (tanpa insurans) dan termasuk waranti empat-tahun termasuk empat-tahun percuma bagi servis, penyelenggaran dan alat ganti.

    Porsche 911 Carrera 4S

    Porsche 911 Carrera S

     
     
  • Kontroversi biodiesel B10 di Malaysia – MAA gusar akan merosakkan enjin, MBA sangkal dakwaan

    biodiesel1

    Penjualan biodiesel B10 (adunan 10% minyak kelapa sawit metil ester dengan 90% diesel petroleum) menggantikan biodiesel B7 bermula awal bulan ini menjadi agak kontroversi kerana kesesuaian penggunaannya pada enjin diesel terkini, terutamanya pada enjin-enjin yang direka untuk beroperasi dengan diesel rendah sulfur seperti Euro 5 dipersoal.

    Penjualan biodiesel B10 ini adalah hasil program biodiesel Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) selari dengan polisi Dasar Bahan Api Bio Negara.

    Sebagai tindak balas implementasi biodiesel B10 ini pada sektor pengangkutan, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah menghantar surat kepada Kementerian Perdangangan Antarabangsa dan Industri (MITI), mendakwa penggunaan biodiesel bergred lebih tinggi dari B7 akan menyebabkan asid tebal metil ester (FAME) bercampur dengan minyak pelincir, seterusnya menyebabkan minyak pelincir tersebut menipis dan berkemungkinan besar menghasilkan enap cemar (sludge) di dalam enjin.

    Surat dari MAA tersebut turut menyatakan majoriti ahlinya telah dinasihatkan oleh prinsipal mereka bahawa waranti enjin tidak akan diberikan kepada kenderaan yang menggunakan adunan biodiesel lebih tinggi dari B7. Pengeluar komponen sistem pancitan bahan api diesel yang terdiri dari Robert Bosch, Denso Corporation, Delphi Diesel System dan Continental Automotive turut menyatakan sistem pancitan bahan api mereka direka untuk beroperasi menggunakan biodiesel B7 menurut standard EN14214:2009.

    Isu lain yang dibangkitkan termasuk pembentukkan deposit pada pemancit, pancitan yang tidak varian dan pengurangan kestabilan kitaran melahu. Kadar air yang lebih tinggi juga bakal terbentuk dalam bahan api dan seterusnya akan menyebabkan pengaratan dalam sistem penghantaran bahan api.

    biodiesel 1

    Satu lagi masalah yang turut merisaukan MAA ialah metil ester minyak sawit (PME), iaitu salah satu komponen binaan dalam minyak sawit yang mempunyai kecenderungan menjadi mendakan pada suhu rendah, bergantung pada jumlah monogliserid di dalam PME.

    Biodiesel B7 telah diperkenalkan di Malaysia pada Disember 2014, dan dipasarkan di seluruh negara sepenuhnya pada Disember 2015. MAA mendakwa masih belum dapat dipastikan kesan sebenar penggunaan dalam jangka masa panjang biodiesel pada kenderaan tempatan. MAA turut memohon untuk menjadikan B7 sebagai alternatif selain B10 di stesen-stesen minyak, dan mengatakan ahlinya mungkin tidak boleh memperkenalkan enjin diesel Euro 4 dan Euro 5 yang lebih bersih.

    MAA turut mengatakan pengeluar kenderaan mengesyorkan penggunaan Minyak Sayuran Rawatan Hidro (HVO) iaitu campuran hidrokarbon berparafin, bebas dari sulfur dan bau, serta nombor setana yang lebih tinggi, untuk adunan biodiesel lebih dari B7. HVO turut menawarkan lebih banyak kelebihan berbanding FAME seperti pengurangan pencemaran NOx, penyimpanan yang lebih stabil serta bentuk yang lebih baik pada suhu sejuk.

    Menyanggah dakwaan-dakwaan tersebut, Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA) berkata, tiada masalah pada enjin untuk kenderaan yang menggunakan biodiesel dengan adunan lebih tinggi dari 7%. Kenyataan tersebut dibuat selepas kebimbangan yang dinyatakan oleh pengeluar-pengeluar kenderaan berhubung implementasi biodiesel B10 untuk sektor pengangkutan di Malaysia.

    2016 Malaysian Bio-diesel Camerons drive - 2

    Antara penjelasan yang dibuat adalah biodiesel boleh digunakan di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands di mana cold filter plugging point (CFPP) biodiesel B10 dicatatkan di bawah 12 darjah selsius iaitu suhu paling rendah dicatatkan di Cameron Highlands, dan mendakan pada PME adalah lebih dibimbangi dalam kawasan beriklim sederhana berbanding negara bercuaca tropika seperti di Malaysia.

    Menurut MBA lagi, penggunaan biodiesel B10 mempunyai kelebihan untuk meningkatkan pelinciran pada diesel Euro 5 yang mempunyai kandungan sulfur lebih rendah. Difahamkan pengecualian akan diberikan pada stesen minyak di kawasan tanah tinggi iaitu di Cameron Highlands, Genting Highlands dan Kundasang di Sabah, untuk penjualan biodiesel B10 ini.

    Kesan jangka masa panjang penggunaan biodiesel B10 ini masih belum jelas, walaupun pihak MBA telah menguji kenderaan yang menggunakannya untuk menyangkal kegusaran yang dibangkitkan. Apa yang pasti, Malaysia sudahpun mengimplementasikan penjualan diesel B10 di stesen minyak seluruh negara.

    Antara negara lain yang telah menggunakan biodiesel dengan gred lebih tinggi dari B10 adalah Indonesia (B20), Colombia dan Argentina (B10), serta Brazil dan Perancis (B8), manakala beberapa negeri di Amerika Syarikat telah menjual biodiesel dengan gred sehingga B10.

     
     
  • Volvo V40 T5 Drive-E diperkenalkan di Malaysia – 2.0 liter turbo, 8-kelajuan auto, 245 hp/350 Nm, RM193k

    V40 Price wide shot_HR

    Setelah melancarkan S60 T6 Drive-E bulan lalu, kini Volvo Cars Malaysia melancarkan sebuah lagi jentera menggunakan janakuasa Drive-E, iaitu V40 T5 Drive-E. Varian baharu ini menggantikan varian V40 T5 dan T4 terdahulu dan merupakan satunya-satunya varian V40 dalam pasaran buat masa sekarang, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM192,888.

    Selain dari varian T4 dan T5 sebelum ini, Volvo Car Malaysia turut menjual V40 T4 Drive-E tetapi dalam jumlah unit yang terhad pada Februari lalu. Berbanding enjin turbo 2.0 liter T4 Drive-E yang hanya berkuasa 190 hp/300 Nm, varian baharu menggunakan enjin turbo 2.0 liter T5 Drive-E ini mampu menghasilkan kuasa 245 hp dan tork maksima 350 Nm bermula 1,500 hingga 4,800 rpm. Kuasa berkenaan dialirkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan torque converter dari Aisin.

    Gabungan tersebut membolehkan V40 T5 Drive-E memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.3 saat dan mencapai kelajuan maksima 240 km/j. Walaupun kuasanya kini 32 hp/50 Nm lebih berkuasa dari varian T5 terdahulu, Volvo mendakwa varian baharu ini hanya menggunakan 6.1 liter petrol untuk 100 km perjalanan atau 16.4 km/l.

    Tiada perubahan dilihat pada rupa keseluruhan varian baharu ini dan ia kekal sama sepenuhnya seperti model V40 pra-facelift. Lima warna badan tawarkan iaitu Ice White, Ember Black, Raw Copper, Bright Silver dan Osmium Grey (warna biru seperti dalam gambar tidak ditawarkan untuk pasaran Malaysia). Begitu juga pada roda aloi, ia masih menggunakan roda aloi yang sama tetapi ia kini berwarna kelabu berbanding perak pada model sebelum ini.

    V40 Panoramic Glass roof wide shot_HR

    V40 kini dibekalkan dengan penukar gear pada roda stereng. Ciri lain seperti tempat duduk larasan berkuasa pada bahagian hadapan (dengan fungsi memori untuk pemandu), sistem penghawa dingin automatik,paparan instrumen Adaptive Digital Display lapan-inci serta sistem audio premium dengan skrin berwarna tujuh-inci masih dibekalkan secara standard.

    Untuk keselamatan, V40 T5 Drive-E masih dilengkapi dengan Sistem Informasi Titik Buta (BLIS), Amaran Trafik Melintas, City Safety (brek automatik yang berfungsi pada kelajuan bawah 50 km/j), Kawalan Dinamik Stabiliti dan Cengkaman, Torque Vectoring, Active Bending Lights, serta tujuh beg udara.

    Setiap pembelian V40 T5 Drive-E disertakan dengan perlindungan waranti lima tahun tanpa had perbatuan serta bantuan tepi jalan Volvo On Call juga selama lima tahun.

     
     
  • Jerman mahu semua kenderaan pendaftaran baharu bebas emisi menjelang tahun 2030 – laporan

    BMW_i3_service_repair_06

    Industri automotif Jerman pastinya harus melakukan anjakan paradigma selepas kerajaannya mahukan semua kenderaan baharu yang didaftarkan di negara berkenaan harus bebas emisi menjelang tahun 2030.

    Menurut laporan yang disiarkan oleh Bloomberg, Jerman sedang berusaha untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon dioksida di antara 80% hingga 95% menjelang 2050. Timbalan Menteri Ekonomi Rainer Baake berkata, kenderaan biasanya memiliki jangka hayat lebih kurang 20 tahun, justeru, penggunaan bahan api petrol dan diesel patut dikurangkan dalam tempoh 15 tahun akan datang.

    Susulan perkara ini, ada juga yang mencadangkan untuk memperluaskan lagi penggunaan kenderaan elektrik (EV). Namun pihak kerajaan Jerman memiliki perancangan yang tersendiri termasuk mengumumkan pelan pemberian subsidi bagi penjualan kenderaan hibrid dan juga EV bermula akhir tahun ini. Malah dengan adanya insentif tersebut, sebanyak 500,000 unit EV mampu dijual menjelang tahun 2020.

    Jadi, adakah pengeluar kenderaan Jerman mampu memenuhi permintaan kerajaan negara meraka dengan menghentikan pengeluaran kenderaan berenjin petrol dan diesel menjelang 2030? Lebih-lebih lagi apabila Kementerian Persekitaran negara berkenaan berpendapat emisi yang disumbangkan oleh sektor pengangkutan adalah sebanyak satu per lima daripada keseluruhan jumlah pencemaran karbon dioksida di Jerman. Dengan itu, Jerman berazam untuk mengurangkan emisi tersebut sebanyak 40% menjelang tahun 2020 dan seterusnya bebas 100% pada 10 tahun kemudiannya.

     
     
  • Continental Tyre Malaysia umum kempen pemeriksaan keselamatan tayar dari 9 Jun – 4 Julai di Tesco Extra

    Continental-Tyre-Malaysia-1-850x445

    Continental Tyres Malaysia (CTM) telah mengumumkan kempen pemeriksaan keselamatan tayar yang akan diadakan bermula 9 Jun hingga 4 Julai di empat Pasaraya Tesco Extra terpilih sekitar semenanjung Malaysia. Kempen berkenaan adalah bersempena musim perayaan akan datang, yang pastinya menyaksikan orang ramai akan pulang ke kampung halaman.

    Kempen pemeriksaan keselamatan tayar ini bertujuan untuk mendidik orang ramai berkenaan kepentingan penyelenggaraan tayar yang betul untuk memastikan keselamatan di jalan raya ketika dalam perjalanan semasa musim perayaan ini. “Kami percaya dengan mengambil langkah mengadakan kempen pemeriksaan keselamatan tayar ini merupakan peranan kami dalam memberikan kesedaran tentang keselamatan jalan raya dan membuat perubahan,” kata Cameron Wilson, Pengarah Urusan CTM.

    “Adalah penting untuk terus mendidik pengguna jalan raya bahawa tekanan tayar yang betul dan kedalaman bunga tayar yang mencukupi adalah perlu untuk memastikan perjalanan yang selamat. Tanpa perkiraan-perkiraan ini, jarak ketika membrek kecemasan akan menjadi lebih jauh, bermaksud kemalangan dengan impak kelajuan tinggi akan menjadi lebih banyak. Jadi jelas, dengan tekanan angin tayar dan kedalaman bunga tayar yang mencukupi, serta pemilihan tayar yang berkualiti akan memberikan perbezaan antara hidup dan mati,” tambah beliau.

    Kempen ini sudah pun dimulakan, dengan persinggahan pertama di Tesco Extra Alma, Bukit Mertajam beberapa hari lalu. Persinggahan seterusnya akan diadakan di Tesco Extra Mutiara Damansara dari 16 hingga 19 Jun, diikuti Tesco Extra Tebrau (23 hingga 26 Jun) dan lokasi terakhir dijadualkan di Tesco Extra Bukit Puchong (30 Jun hingga 3 Julai).

    Disetiap lokasi, kempen ini akan berjalan bermula 10 pagi hingga 10 malam. Brosur berkenaan tips penyelenggaraan tayar dan barangan Continental akan diedarkan ketika kempen berjalan. Sebagai penaja rasmi kejohanan UEFA Euro 2016, CTM turut mengadakan roadshow UEFA Euro 2016 disetiap lokasi kempen di mana orang ramai turut boleh menyertai aktiviti yang dijalankan dan berpeluang untuk memenangi barangan edisi terhad UEFA Euro 2016.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jun 27, 2024