Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Penampilan sulung Lotus Exige Sport 350 Roadster di Geneva 2016 – lebih ringan 40 kg berbanding Coupe

    Lotus-Exige-350-Sport-Roadster-7-e1456892854773_BM

    Selepas pengenalan Lotus Exige Sport 350 Coupe, Lotus memilih Geneva Motor Show tahun ini untuk membuat penampilan sulung versi tanpa-bumbung 350. Lotus Exige Sport Roadster menggantikan Exige S Roadster, memberikan lencana ‘Sport’ seperti Elise Sport dan Elise Sport 220.

    Menjadi resmi Lotus, ringan merupakan perkara asas yang pertama dalam setiap penghasilan kereta mereka. Exige Sport 350 Roadster dibina lebih ringan dari model Coupe (1,125 kg). Ini dapat dilakukan dengan penggunaan komponen yang lebih ringan yang dipasang pada kereta ini termasuk roda aloi forged serta cakera brek two-piece berliang dan ditebuk.

    Kebanyakkan komponen pada badan seperti tailgate belakang, liang kemasukan udara sisi, tempat duduk diperbuat dari bahan gentian karbon. Carbon Aero Pack turut dilengkapi pada merangkumi spiltter hadapan, sayap belakang dan diffuser belakang yang juga dibuat dari material gentian karbon. Berat keseluruhan kereta ini ditimbang hanya seberat 1,085 kg, 40 kg lebih ringan dari versi Coupe.

    Untuk kelengkapan mekanikal, ia masih lagi sama seperti 350 Coupe. Kereta ini dijana enjin 3.5 liter V6 Supercharged, membekalkan sejumlah 345 hp pada 7,000 rpm dan tork maksima 400 Nm pada takat 4,500 rpm. Kuasa dihantar sepenuhnya ke gandar belakang menerusi dua pilihan kotak gear enam-kelajuan automatik atau enam-kelajuan manual.

    Roadster ini berkemampuan memecut dari sifar km/j ke 60 bs/j (97 km/j) dalam masa 3.7 saat, lebih pantas 0.1 saat berbanding Coupe tetapi kelajuan maksima dihadkan lebih rendah untuk memastikan bumbungnya tidak tercabut jika dipasang.

    Seperti juga Coupe, banyak kelengkapan opsyenal yang boleh dipilih untuk Roadster ini termasuk tema warisan Lotus yang menampilkan tempat duduk sport yang lebih ringan, panel pintu dengan warna kuning Tartan dan kemasan dalaman balutan kulit atau Alcantara.

     
     
  • Audi Q2 baby crossover muncul di Geneva

    Audi_Q2_front

    Selepas beberapa teka-teki yang sengaja diciptakan oleh Audi berkenaan dengan model baharu SUV yang bakal diperkenalkan, akhirnya ia terjawab apabila Q2, baby crossover baharu, telah pun dipertontonkan di Geneva Motor Show 2016. Ia bagai melengkapkan lagi family siri ‘Q’ selepas lahirnya abang-abangnya yang terdahulu iaitu Q7, Q5, dan Q3.

    Adik bongsu keluarga Q ini tampil sedikit berbeza dengan abang-abangnya yang lain, bukan setakat bertubuh kecil tetapi tiang-C juga telah menerima sentuhan istimewa daripada pereka Audi yang mengambil keputusan untuk menampilkan sedikit warna yang kontras bagi menampakkannya lebih sporty.

    Q2 ini juga didatangkan dengan gril hadapan berbingkai tunggal bersama bentangan oktagon, sementara hos bamparnya pula dipadankan dengan corong udara yang sedikit besar. Profil sisinya pula menonjolkan garisan lekuk yang lebih tinggi dengan lapisan plastik pada gerbang roda serta garisan bumbung yang lebih landai turut menciptakan karakter yang lebih sporty berbanding model crossover lain.

    Audi_Q2_rear

    Bahagian belakangnya turut memiliki kesinambungan tema sporty dengan spoiler belakang yang mantap bersama lampu belakang LED dengan rekaan baharu. Sebagai crossover, pelindung bahagian bawah belakang dan hadapan juga penting. Malah Audi menggambarkan model ini sebagai “Kenderaan jenis urban”, dan sekali gus membuatkan ia tidak sesuai dilenjan dengan pemanduan off-road.

    Audi Q2 ini didatangkan dengan konsep lima-pintu, bentangan lima tempat duduk dan berdimensi 4.19 m panjang, 1.79 meter lebar, 1.51 m tinggi dengan jarak roda 2.6 meter. Ruang kargonya pula berkapasiti 405 liter dengan kedudukan tempat duduk belakang normal dan mampu mencecah sehingga 1,050 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan.

    Menjengah bahagian kabinnya, Audi masih menggunakan rekaan yang lebih kurang sama dengan modelnya yang lain termasuk didatangkan dengan skrin MMI yang diletakkan pada panel instrumen, selain menambah baik navigasi MMI dan pad sesentuh MMI.

    Dengan pilihan bersama kos ekstra, Q2 turut ditawarkan dengan paparan head-up dan kluster instrumen Audi Virtual Cockpit digital-sepenuhnya.

    Bagi aspek keselamatan, setakat ini Audi mendedahkan ia menampilkan kawalan kelajuan adaptif, bantuan kesesakan trafik, amaran penukaran lorong, bantuan kekal lorong, pengesan isyarat trafik dan banyak lagi.

    Audi Q2 ini boleh didapati dengan lima pilihan unit termasuk enjin petrol 1.0 TFSI tiga-silinder pengecas turbo, 1.4 TFSI dan 2.0 TFSI. Manakala enjin diesel pula dengan 1.6 TDI dan 2.0 TDI. Kuasa yang dihamburkan bermula 116 hp untuk 1.0 liter hingga 190 hp bagi 2.0 liter TSFI.

    Enjin ini juga bekerjasama dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik tujuh-kelajuan dual-klac. Pacuan roda-hadapan juga ditawarkan sebagai standard bagi semua enjin dengan pelarasan quattro bagi enjin 2.0 TDI dan 2.0 TFSI dengan kos ekstra. Bagi model yang dilengkapi quattro, Q2 akan dipadankan dengan suspensi empat-sambungan, sementara bagi peredam adaptif ditawarkan dengan kos esktra.

    Audi memberitahu, Q2 ini boleh ditempah mulai pertengahan tahun ini dan akan dilancarkan di pasaran Eropah pada musim luruh ini.

     
     
  • SPYSHOT: Proton Persona 2016 diuji dengan penyamaran yang lebih ringan – serlah rupa sebenar

    Proton Persona 2016 sekali lagi dijumpai sedang diuji diatas jalan raya Malaysia, kali ini oleh pembaca Pdud Kronos dan kemudian menghantar gambar tersebut kepada kami. Sedan segmen-B yang diasaskan dari Proton Iriz tersebut dilihat tampil dengan penyamaran yang lebih ringan. Ini membolehkan rupa paras sebenar kereta ini dilihat dengan lebih jelas.

    Rekaan lampu hadapan jelas kelihatan. Berbanding dengan Iriz, lampu Persona ini direka dengan lebih nipis, diserasikan dengan gril hadapan. Rekaan signatur “Sayap Proton” yang ditampilkan pada gril krom bahagian atas menghubungkan kedua-dua lampu hadapan turut jelas kelihatan dalam gambar ini. Rekaan tersebut seiras dengan lakaran imaginasi pakar perisian Photoshop Theophilus Chin dan pemenang Pertandingan Rekaan Proton 2014 Pow Ying Hern

    Bampar hadapan yang direka dengan gril bahagian bawah menonjolkan rekaan seiras Iriz, tetapi lampu kabus pada Persona ini berbentuk bulat berbanding Iriz yang berbentuk tiga segi. Pada bahagian sisi, kereta ini kelihatan seiras dengan Iriz, cuma dibezakan pada bahagian tiang-C.

    Lakaran Proton Persona 2016, oleh Theophilus Chin (atas) dan Pow Ying Hern (bawah)

    Perbezaan terbesar tentulah pada bahagian belakang kereta ini yang direka sebagai sedan berbanding Iriz sebagai sebuah hatchback. Imej yang dihantar ini menunjukkan dengan jelas lampu belakang yang berbentuk badam. Penutup but belakang menampilkan trim melintang yang menghubungkan kedua belah lampu belakang – seiras dengan lakaran milik Pow.

    Berdasarkan dimensi Iriz yang 75 mm lebih tinggi dari Honda City dan Toyota Vios, Persona kelihatan lebih tinggi dari pesaing terdekatnya. Ini merupakan penyebab mengapa Persona ini nampak sedikit ‘pelik’ berbanding sedan segmen-B yang lain.

    Persona serba baharu ini dikhabarkan akan muncul selepas pelancaran Proton Perdana 2016 tetapi sebelum kemunculan Proton Saga serba baharu. Enjin 1.3 liter VVT dan 1.6 VVT dijangka akan menjana kereta ini sama seperti Iriz semasa pelancarannya nanti. Kereta ini juga mungkin akan dikuasakan dengan enjin baharu 1.3 liter dan 1.6 liter pancitan bahan api terus (GDI/TGDI) Proton apabila program pembinaan enjin tersebut lengkap dan mula memasuki produksi penghujung 2017.

     
     
  • Ford S-Max – generasi kedua di Malaysia, RM235k

    Ford S-Max 2nd gen MY-30

    Ford Malaysia telah pun mengumumkan harga atas jalan bagi S-Max generasi kedua yang telah pun berada di bilik pameran, iaitu RM234,988 tanpa insurans.

    MPV tujuh-tempat duduk baharu ini telah diperkenalkan di Paris pada tahun lalu, boleh didapati dengan penjana kuasa 2.0 liter EcoBoost dengan kuasa 240 PS dan 345 Nm yang pada dasarnya tidak berubah dari CD340. Penjana kuasa ini, yang turut menampilkan butang start/stop secara auto, juga dipadankan dengan transmisi SelectShift automatik enam-kelajuan.

    Bagi pasaran Malaysia adalah model spesifikasi Titanium, dengan kit standard termasuk lampu utama LED adaptif bebas-silau dengan larasan auto, lampu nyalaan siang, lampu selekoh, lampu belakang LED, rim aloi 17-inci yang dibaluti tayar 235/55 dan bilah pengilap cermin auto.

    Bahagian dalamnya termasuk sistem hiburan skrin sesentuh TFT lapan-inci dengan SYNC 2, sistem audio Sony dengan sembilan-speaker bersama sambungan USB, iPod dan Bluetooth, sistem kawalan penghawa dingin elektronik dua-zon dan corong penghawa dingin belakang, pedal penukar gear, brek parkir elektronik serta skrin TFT berwarna 10.1-inci pada kluster instrumen.

    Ia juga ditampilkan dengan kawalan pelarasan automatik tempat duduk hadapan dan tempat duduk balutan kulit pada unit yang dipamerkan pada S-Max di Malaysia yang turut dilengkapi dengan pilihan Titanium X-Pack.

    Klik untuk besarkan imej

    Bagi kit keselamatannya termasuklah tujuh beg udara (hadapan, bahagian lutut pemandu, sisi dan tirai), ESC, kawalan kestabilan olengan, EBD, TCS, bantuan mula mendaki dan amaran penukaran laluan. S-Max juga dilengkapi dengan cagak Isofix dan pengesan parkir hadapan/belakang.

    Terdapat tiga warna pilihan untuk S-Max ini iaitu Frozen White, Moondust Silver dan Magnetic Grey.

     
     
  • Isu membenarkan Mat Moto berlumba di Kuala Lumpur masih dibincang – mungkin melibatkan WP Labuan

    2015-mat-rempit-5-e1444095620332a_BM

    Walaupun mendapat tentangan hebat dari setiap sudut, idea Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menutup sebahagian jalan di Kuala Lumpur untuk diadakan perlumbaan ‘halal’ untuk Mat Moto bagi mengekang kegiatan lumba haram masih lagi dibincangkan. Menurut laporan The Sun , cadangan tersebut bukan sahaja masih dibincang, ia juga mungkin akan dikembangkan meliputi bandar di timur Malaysia.

    Menurut Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, isu ini antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat kementeriannya bersama ahli parlimen Wilayah Persekutuan yang lain.

    “Saya sudah berbincang berhubung isu Mat Moto ini, dan saya mahu menyelesaikan sendiri masalah ini,” kata beliau. Beliau juga sedang berusaha untuk menyediakan tempat untuk Mat Moto ini untuk melakukan aktiviti yang mereka suka, dan rancangan sebegini juga akan mengekang sindiket perjudian menggunakan Mat Moto untuk tujuan mengaut keuntungan.

    Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng pula dilaporkan berkata, cadangan tersebut belum lagi dipersetujui. “Walaubagaimana pun, ketika perbincangan kami dijalankan, Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli menawarkan untuk menjalankan aktiviti tersebut di Labuan,” ujar beliau.

    Menurut Tengku Adnan dalam kenyataannya minggu lalu, beliau akan mempertimbangkan untuk menutup beberapa jalan untuk membenarkan Mat Moto berlumba dengan objektif untuk mengelakkan mereka berlumba di kawasan perumahan.

    2015-mat-rempit-3-e1444095369383_BM

    Walaubagaimana pun, beliau menerangkan Putrajaya tidak menggalakkan perlumbaan haram tetapi cuba untuk menghalangnya dengan jalan penyelesaian alternatif. Menurut beliau ini bukan untuk menggalakkan Mat Rempit berlumba, tetapi untuk mengawal keadaan dengan cara memberikan mereka melakukan aktiviti mereka tanpa membahayakan orang awam.

    Berhubung perkara ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abd Aziz berkata, beliau bersifat terbuka dengan idea tersebut dan mahu pihak Mat Moto menghantar cadangan, dan DBKL akan membantu dalam urusan penutupan jalan. Walaubagaimana pun, pihak polis lebih berhati-hati dengan cadangan ini. Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim berkata, perbincangan lanjut dengan Kementerian Wilayah Persekutuan perlu diadakan berhubung isu ini.

    Pihak Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) turut gusar dengan cadangan tersebut, terutama berkenaan masalah kesesakan yang bakal dihadapi dan keselamatan orang ramai yang berkumpul, sama seperti acara KL City Grand Prix yang diadakan tahun lalu. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga dilaporkan berkata beliau sendiri akan berjumpa Menteri Wilayah Persekutuan untuk perbincangan lanjut berkenaan isu ini.

     
     
  • Subaru XV Concept diperkenalkan di Geneva Motor Show – prebiu untuk model generasi akan datang

    Subaru-XV-Concept-1

    Subaru XV Concept telah pun melakukan penampilan perdana di Geneva Motor Show 2016 selepas beberapa imej pengenalannya disebarkan sebelum ini. Model konsep ini dikatakan prebiu bagi generasi akan datang bagi kenderaan Subaru, dan setakat ini ia adalah untuk XV crossover serba baharu.

    Dengan rekaan falsafah baharu iaitu Dynamic X Solid, ia kelihatan menjalari bahagian hadapan dan tengah model ini, malah turut dipengaruhi model konsep Subaru sebelum ini iaitu Impreza Sedan dan Impreza 5-Pintu.

    Pada bahagian luarannya, XV Concept ini didatangkan dengan elemen pencahayaan berbentuk-C bagi bahagian hadapan dan belakang. Malah bahagian hadapannya juga diserlahkan dengan gril haksagon bersama kekemasan perak, hitam pekat dan oren.

    Subaru-XV-Concept-2

    Pada bahagian sisinya, garisan yang penuh karakter cukup menyerlahkan lagi imej tegap crossover ini, ia menjalari dari lampu utama hingga ke gerbang roda dan bahagian belakang termasuk bahagian bawah panel pintu.

    Dapra yang lebih menyerlahkan lagi garisan badannya, berpadanan dengan rim aluminium 19-inci yang dibaluti tayar bersaiz 245/50R19. Untuk menambahkan lagi sifat sporty, rel bumbung turut dipakejkan sekali.

    Bahagian belakang XV Concept ini kelihatan lebih kompak berbanding model sedia ada dan nampak lebih bersudut. Corong hitam pekat yang besar disambungkan pada kepingan kekemasan perak di bahagian tengah dengan pintu kargo yang telah diberi penambahbaikan.

    Subaru XV Concept ini berukuran 4,520 mm panjang, 1,920 mm lebar dan 1,570 mm tinggi dengan jarak roda 2,670 mm. Berbanding model sedia ada, ternyata ia 70 mm lebih panjang, 140 mm lebih lebar tetapi 45 mm lebih pendek. Ini jelas menunjukkan ia nampak lebih rendah jika dilihat dari foto ini.

    Selain ia mempunyai lima-tempat duduk, ruang kargonya pula berkapasiti 310 liter, sama seperti model XV sedia ada.

    Setakat ini, tiada perincian mengenai penjana kuasanya, namun mungkin ia masih mengekalkan enjin petrol boxer empat-silinder bersama sistem Subaru Symmetrical All-Wheel Drive dan Lineartronic CVT.

     
     
  • Harga untuk Honda NSX 2016 didedahkan – lebih mahal dari BMW i8, Mercedes-AMG GT dan Audi R8

    Honda-NSX-TMS-40_BM

    Setelah diuji dan membuat penampilan, Honda akhirnya mengeluarkan harga untuk Honda NSX generasi terbaharunya yang akan dijual di pasaran Eropah. Di UK, supercar hibrid ini akan dijual pada harga 130,000 pound sterling (RM755k), sementara di Jerman, harga kereta ini mencecah 180,000 euro (RM815k).

    Harga yang dinyatakan adalah untuk model asas, varian yang lebih tinggi mungkin akan dijual dengan harga yang lebih mahal. Untuk itu, bagi pasaran Amerika Syarikat, NSX mungkin akan menjadi kereta sport termahal dalam kelasnya.

    Sebagai contoh, untuk pasaran UK di mana NSX dijual dengan harga 130k pound sterling (RM755k), harga bagi pencabarnya yang terdekat adalah jauh lebih murah. Harga Mercedes-AMG GT bermula pada 98k pound sterling (RM568k), BMW i8 pula berharga 105k pound sterling dan Audi R8 berharga 120k pound sterling (RM697k).

    Honda-NSX-TMS-48_BM

    Dalam kenyataan media terkini, Honda juga mengesahkan Eropah adalah rantau utama pasaran eksport untuk NSX. Kereta ini bakal dijual oleh pengedar terpilih dan tempahannya akan dibuka bermula April tahun ini. Pelanggan dijangka bakal menerima NSX mereka seawal bulan September.

    Diproduksi secara eksklusif di Performance Manufacturing Centre Honda di Marysville, Ohio, NSX yang dijenamakan dibawah Acura akan dijual pada harga USD$156,000 (RM650k) untuk model asas di pasaran Amerika Syarikat. Varian yang dilengkapi dengan ciri penuh pula bakal dijual dengan harga mencecah USD$205,700 (RM856k).

    Honda NSX akan dijana oleh gabungan hibrid enjin petrol dan tiga unit motor elektrik. Enjin 3.5 liter V6 DOHC turbo-berkembar yang diletakkan pada bahagian tengah kereta akan menyalurkan kuasa 550 hp/550 Nm bersama sebuah motor elektrik Direct Drive berkuasa 47 hp/148 Nm terus ke gandar belakang. Manakala setiap roda hadapan akan dipacu motor elektrik berkuasa 36 hp/146 Nm pada setiap roda, menjadikan kuasa mutlak kereta ini 573 hp/645 Nm.

     
     
  • GALERI: Lexus GS 200t Luxury facelift

    Lexus GS 200t 1

    Seperti yang diumumkan semalam, Lexus GS facelift kini telah mula berada di bilik pameran. Model GS 200t ini turut menampilkan tiga varian iaitu GS 200t Premium, GS 200t Luxury dan GS 200t F Sport.

    Semalam paultan.org sempat berkunjung ke bilik pameran Lexus dan merakamkan foto varian pertengahan iaitu GS 200t Luxury, yang dijual pada harga atas jalan RM484,100 tanpa insurans. Selain itu, turut ditawarkan ialah model asas GS 200t Premium yang berharga RM439,200, dan GS 200t F Sport pula RM496,100.

    Kesemua varian ini menampilkan enjin 2.0 liter empat-silinder 8AR-FTS yang lebih kecil, tetapi hadir dengan bantuan pengecas turbo yang membolehkan ia menjana kuasa maksima 241 hp pada 5,800 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula pada 1,650 rpm hingga 4,400 rpm. Kuasanya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Mahukan model yang dikuasakan oleh V6? Anda perlu membayar RM543,400 untuk GS 350 Luxury atau RM562,510 bagi GS 350 F Sport. Bagi yang mencari model hibrid pula, ada GS 300h dengan harga RM631,700.

    Peningkatan yang dilakukan termasuklah menampilkan lampu utama baharu, gril yang diprofil, lampu belakang yang direka semula dan peresap baharu valensi belakang, melengkapkan lagi corong dua ekzos. Bagi varian Luxury, ia diserlahkan dengan lampu utama LED berbentuk-Triple-L dan rim aloi pelbagai-jejari 18-inci, berbanding lampu utama LED larasan automatik dan rim aloi 17-inci pada GS 200t Premium.

    Lexus GS 200t 2

    Bahagian dalamnya, terdapat roda stereng tiga-jejari pelbagai-fungsi baharu, dan Remote Touch Interface yang dipertingkatkan untuk menjadi lebih mesra-pengguna dan paparan pemuka yang diperbaharui dan menambah butang kawalan.

    Kit standard termasuklah bilah pengilap cermin automatik, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan kelajuan, pedal penukar gear, roda stereng larasan elektrik dan tempat duduk hadapan larasan elektrik dengan 10-cara bersama sokongan belakang, pemanas dan pengudaraan, termasuk fungsi memori untuk tempat duduk pemandu. Ia juga menampilkan kawalan suhu automatik dua-zone, paparan tengah lapan-inci dan 12-speaker sistem bunyi Lexus Premium.

    Model Luxury juga menggunakan sistem kad kunci pintar untuk kemasukan tanpa kunci, roda stereng dengan kekemasan kayuan, kawalan suhu dengan tiga-zon bersama Nanoe ioniser, paparan 12.3-inci (dengan sistem navigasi dan peta), sistem bunyi Mark Levinson bersama 17-speaker dan tempat duduk hadapan dengan 18-cara larasan, bersama fungsi memori dan empat-cara sokongan belakang.

    Lexus GS 200t 18

    Peliknya, varian Luxury tidak disertakan dengan penghaba pada tempat duduk, tidak seperti model Premium yang ditawarkan secara standard. Selain itu, bootlid berkuasa elektronik juga tidak ditawarkan, walau pun harga varian ini hampir RM500k!

    Bagi aspek keselamatan, ia ditampilkan dengan 10 beg udara, kamera pandang belakang, sistem Pengurusan Dinamik Kenderaan, dengan kawalan kestabilan VSC, ABS, Bantuan Brek dan kawalan cengkaman. Bagi GS 200t Luxury dan F Sport, ditambah dengan elemen Paparan Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA). Tetapi kesemua varian tidak pula dilengkapi dengan sistem brek kecemasan sendiri mahu pun kawalan kelajuan adaptif.

    Dengan apa yang anda lihat pada model Lexus GS 200t Luxury facelift ini, adakah peningkatan dan pembaharuan yang dibawakan oleh jenama ini mampu memberikan persaingan yang kompetitif pada pasaran? Kongsikan pendapat anda bersama kami.

     
     
  • Jalan Tun H.S. Lee dibuka semula 4 Mac ini

    Jalan Maarof MRT

    MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MGKT) telah mengeluarkan kenyataan mulai Jumaat ini (4 Mac), Jalan Tun H.S. Lee, yang menghubungkan Jalan Sultan dengan Balai Polis Jalan Bandar akan dibuka semula kepada lalu lintas. Ia telah ditutup sejak Januari 2014 bagi pembinaan Stesen MRT Pasar Seni.

    Dengan pembukaan semula jalan tersebut, laluan sementara yang menghubungkan Jalan Panggong ke Jalan Tun H.S. Lee akan ditutup terus kepada lalu lintas.

    Sehubungan itu, pengguna jalan raya diminta mematuhi arahan papan tanda jalan dan Pasukan Respons Darurat Projek MRT yang ditugaskan bagi membantu lalu lintas.

     
     
  • Toyota C-HR versi produksi diperkenalkan secara rasmi – bakal bersaing dengan HR-V

    2016-GMS_Toyota-C-HR_07-e1456830734756

    Setelah ceritanya ‘bocor’ pada hujung minggu lalu, akhirnya Toyota C-HR diperkenalkan secara rasmi di Geneva Motor Show 2016 yang mula berlangsung hari ini. Ini merupakan kemasukan pembuat kereta terbesar di dunia di dalam pasaran crossover segmen-B, sekali gus bakal memberikan persaingan yang sengit buat Honda HR-V, selain Nissan Juke dan Mazda CX-3.

    Tampil dengan imej yang mengagumkan, C-HR atau pun Coupe High Rider ini lebih kurang menyamai model konsepnya yang pernah dipertontonkan di Paris Motor Show 2014 dan Frankfurt Motor Show 2015, tetapi sedikit kurang agresif. Gril yang lebih nipis digabungkan dengan kluster lampu utama yang besar (unit LED sepenuhnya dengan lampu arah dan indikator jujukan), tingkap sisi yang kecil dan lampu belakang berbentuk-C (dengan pilihan penchayaan LED) cukup menyerlahkan gayanya.

    Seperti mana HR-V, SUV crossover lima-pintu ini juga mempunyai pemegang pintu belakang yang terselindung, ditempatkan di bahagian atas sudut hujung pintu. Direka di studio Calty yang terletak di California, C-HR ini turut dibangunkan dengan bermodulkan Toyota New Global Architecture (TNGA), iaitu model kedua Toyota yang menggunakan platform yang sama selepas Prius.

    Berukuran 4,350 mm panjang, 1,795 mm lebar dan 1,550 mm tinggi, dengan jarak roda 2,640 mm, C-HR ini 55 mm lebih panjang, 23 mm lebih lebar dan 55 mm lebih rendah berbanding HR-V, dengan 30 mm jarak roda yang lebih panjang berbanding pesaingnya. Berbanding dengan Mazda CX, C-HR ini lebih panjang sebanyak 75 mm, 30 mm lebih lebar dan 15 mm lebih tinggi, dengan jarak roda 70 mm lebih panjang.

    2016-GMS_Toyota-C-HR_08-e1456830743761

    Pemanduan dinamik bersama kawalan daripada segmen-C turut diadaptasikan hasil penggunaan platform yang baharu dan juga pusat graviti yang lebih rendah, membolehkan C-HR ini “membawa kelajuan melalui sudut tersendiri dengan kawalan badan yang cemerlang dan pengemudian yang lebih mantap.”

    Terdapat tiga penjana kuasa yang ditawarkan bagi C-HR ini, termasuklah versi hibrid dari model Prius baharu, dengan enjin 1.8 liter yang mempu menyalurkan kuasa sehingga 122 PS dengan penjimatan haba lebih dari 40%, sama seperti Prius. Emisi karbon dioksida pula dicatatkan di bawah 90 gram bagi setiap kilometer.

    Turut ditawarkan dengan enjin 8NR-FTS 1.2 liter empat-silinder yang turut diperkenalkan pada model facelift Auris, dengan kuasa 115 PS dari 5,200 hingga 5,600 rpm dan tork 185 Nm antara 1,500 dan 4,000 rpm. Ia dipadankan dnegan transmisi manual enam-kelajuan atau CVT, dengan pacuan dua-atau empat-roda.

    Selain itu, varian 2.0 liter CVT turut ditawarkan, mungkin sama seperti enjin Corolla Altis iaitu 2.0 liter Dual VVT-i empat-silinder dengan kuasa 147 PS/187 Nm. Adakah ini juga akan ditawarkan untuk pasaran kita, bagi menyaingi HR-V 1.8 liter dan CX-3 2.0 liter?

     
     
  • Honda Civic Hatchback membuat penampilan sulung di Geneva Motor Show – bakal dilancar pada 2017

    71492_Civic_Hatchback_Prototype-e1456816419477_BM

    Setelah diintip dan imej awalannya turut bocor, prototaip Honda Civic Hatchback akhirnya membuat penampilan sulung di Geneva Motor Show 2016. Hatchback serba baharu yang dibina dari platform Civic generasi ke-10 ini bakal menggantikan Civic Hatchback terdahulu yang kini masih dijual di pasaran Eropah.

    Menurut Honda, Civic Hatchback serba baharu ini berdimensi 4,600 mm panjang 1,800 mm lebar dan 1,450 mm tinggi. Ini menjadikan Civic Hatchback generasi baharu ini 130 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar, dan 200 mm lebih rendah berbanding model sebelum ini. Tidak dinyatakan dimensi jarak roda kereta ini tetapi ia semestinya sama panjang dengan jarak roda Civic Sedan generasi ke-10 yang dipasarkan di Amerika Syarikat.

    Dimensi baharu ini turut menampilkan rupa yang lebih segar untuk model tersebut. Berkongsi sebahagian rekaan dengan Civic Sedan generasi ke-10, rekaan pada bahagian muka kereta ini menampilkan gaya yang lebih agresif berbanding model sebelumnya. Rekaan yang mewah pada lampu hadapan LED disertakan lampu nyalaan siang seiras rekaan Honda Accord 2016 facelift turut menguatkan lagi imej agresif kereta ini.

    Garisan dua karekter jelas kelihatan pada bahagian sisi badan kereta ini. Garisan pertama bermula dari liang kemasukan yang besar pada sisi bampar hadapan, bersambung ke ruang roda hadapan dan akhirnya bertemu dengan permulaan garisan kedua. Garisan kedua pula mengalir merentasi kedua-dua pembuka pintu dan berakhir pada lampu belakang berbentuk-C. Dengan ketinggian yang lebih rendah, Civic Hatchback ini kelihatan lebih anggun berbanding sebelum ini, digandingkan dengan rekaan belakang yang agak curam.

    Rekaan pada bahagian belakang kelihatan agak sarat dengan liang udara yang besar, diffuser belakang beserta tip ekzos berkembar pada bahagian tengah. Juga terdapat dua spoiler belakang yang dipasang, pertama di posisi atas hatchback ini dan yang kedua menghubungkan lampu belakang di kiri dan kanan. Tiada gambar bahagian dalaman didedahkan, tetapi boleh dijangka ia bakal direka seiras dengan Civic Sedan pasaran Amerika.

    Ketua Projek Civic generasi ke-10 Daisuke Tsutamori berkata, “Kami tahu kami perlu membuat rekabentuk luaran dengan rekaan yang menarik dan menonjol mengatasi rekaan konvensional kereta kompak Eropah tetapi masih lagi mengekalkan nilai asas sebenar Civic yang menggabungkan rekaan tersendiri dan sporty, yang akan membawa kepada pemanduan dinamik dan praktikaliti versatil.”

    Hatchback lima-pintu ini akan diproduksi oleh Honda of the UK Manufacturing (HUM), dan hanya akan dilancarkan pada awal 2017. Ia akan dipasarkan ke peringkat global termasuk ke pasaran Amerika Syarikat.

    Pilihan enjin turut merangkumi enjin 1.0 liter tiga-silinder VTEC Turbo yang menghasilkan 127 hp dan tork 200 Nm, dan enjin 1.5 liter empat-silinder VTEC Turbo berkuasa 201 hp dan tork 260 Nm. Enjin 1.6 liter diesel i-DTEC yang menjana Civic Hatchback terdahulu turut akan menjana hatchback serba baharu ini. Enjin-enjin ini bakal dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau CVT automatik.


     
     
  • Honda Jazz Keenlight konsep diperkenalkan di Geneva

    71455_Jazz_Keenlight_at_the_Geneva_Motor_Show-e1456821585768

    Menyertai model prototaip Honda Civic Hatchback di pentas Geneva Motor Show, Honda Jazz Keenlight konsep, turut dipamerkan. Ia merupakan kajian reka bentuk yang bertujuan untuk menonjolkan potensi penyesuaian bagi segmen-B.

    Model konsep baharu ini mensasarkan pelanggan yang inginkan kelainan pada gaya. Tidak pasti apakah maknanya dengan Keenlight? Sebenarnya ia merujuk pada warna kustom tembaga yang Honda gunakan pada beberapa bahagian Jazz ini untuk menjadikannya lebih menonjol.

    Bahagian luarannya turut menampilkan kekemasan warna berkenaan termasuk pada bahagian spoiler bumbung, perumah cermin sisi, gril hadapan dan dekorasi belakang. Sebagai tambahan, rim aloi 15-inci dengan kekemasan tembaga juga menjadi daya penarik bagi model konsep ini.

    Untuk bahagian dalamnya pula, tema warna tersebut turut menjadi pilihan dan kekemasan pada roda stereng, papan pemuka, dan pemijak di bahagian pintu. Selain itu, karpet lantai kustom dan kulit upholstery turut ditampilkan. Jadi apa pendapat anda tentang model konsep Honda Jazz Keenlight ini? Kongsikan bersama kami di ruangan pendapat di bawah.

     
     
  • Koenigsegg Regera tampil di Geneva; kuasa 1,500+ hp

    Koenigsegg_Regera_front-e1456815856789

    Koenigsegg pastinya mampu mencuri tumpuan ramai apabila dipamerkan di Geneva Motor Show 2016 mulai hari ini. Apatah lagi hypercar bagi versi produksi Regera ini dikhabarkan memiliki kuasa luar biasa iaitu mencecah 1,500 hp.

    Menurut Koenigsegg, versi spesifikasi untuk produksi ini bakal menyaksikan lebih daripada 3,000 perubahan berbanding model konsep yang pernah dipertontonkan di Geneva Motor Show tahun lalu. Jelas sekali, setiap bahagian diperincikan semula dan sebab itulah ia mengambil sedikit masa yang lama.

    Keutamaan yang ingi ditonjolkan ialah Koenigsegg Direct Drive (KDD) yang akan dipatenkan, iaitu sistem yang dibangunkan untuk mengurangkan berat badan hypercar ini, di samping ketiadaan beberapa bahagian mekanikal yang lebih rumit dengan kotak gear tradisional. Seperti namanya, sistem ini memacu terus ke gandar belakag dari enjin pembakaran.

    Berbanding model konsep tahun lalu, sistem ini telah dipertingkatkan dengan beberapa penambahbaikan baharu. Selain itu, Koenigsegg turut membangunkan mekanisma clutch-slip yang menggunakan gandingan hidraulik (digelar HydraCup) untuk menukar tork pada kelajuan sederhana atau tinggi semasa pecutan pantas.

    Koenigsegg_Regera_rear-e1456815889645

    Ia membolehkan enjin pembakaran 5.0 liter turbo-berkembar V8 ini menghasilkan sehingga 1,100 hp dan 1,250 Nm, sekali gus meledakkan kuasa tanpa batasan.

    Sistem ini juga boleh dikawal menerusi pedal penukar pada sisi roda stereng. Sementara pedal penukar kiri digunakan untuk menambahkan efek membrek regeneratif bagi mengecas pek bateri, manakala pedal kanan pula untuk mengaktifkan gandingan hidraulik semasa penurunan gear beroperasi.

    Untuk impak yang lebih terbaik, tiga motor elektrik aliran paksi turut ditampilkan, di mana satu berada di setiap roda belakang yang memberikan pemanduan elektrik, dan satu lagi terletak pada acu engkol (crankshaft) yang memberikan torque-fill, penjana elektrik dan juga fungsi penghidup motor.

    Di mana motor ini juga bekerjasama dengan turbo-berkembar V8, yang memberikan kuasa tambahan sehingga 700 hp dan tork 900 Nm. Walau bagaimana pun, ia bukanlah dipanggil ‘hibrid’ kerana boss syarikat Christian von Koenigsegg bukanlah ‘seorang peminat hibrid’. Oleh itu beliau membangunkan KDD bagi mengatasi kelemahan kenderaan hibrid tradisional.

    Koenigsegg_Regera_side-e1456815908485

    Secara keseluruhannya, sistem output Regera mampu menghasilkan kuasa melebihi 1,500 hp dan tork 2,000 Nm. Ia sangat mencukupi untuk memacu Regera dari 0-100 km/j dalam hanya 2.8 saat, 0-200 km/j dalam 6.6 saat, 0-300 km/j dalam 10.9 saat dan 0-400 km/j hanya 20 saat! Namun sayangnya, ia mampu dipacu dari 150 hingga 250 km/h dalam 3.9 saat, agak perlahan berbanding model konsepnya.

    Kuasa bagi motor elektrik disalurkan oleh pek bateri 4.5 kWh. Pek bateri ini berkemampuan menyalurkan 525 kW untuk discaj dan sehingga 200 kW untuk caj semula, dengan jumlah kuasa seluruhan 800 volts, menjadikan Regera sebagai kereta produksi 800 V pertama di dunia.

    Malah bateri ini juga dikurangkan beratnya sebanyak 25 kg berbanding bateri pada model konsep terdahulu, dengan berat sedia ada 90 kg. Ia turut menampilkan pengecaj DC luaran baharu, pemampat 800 V AC yang lebih kecil dan penukar 800 V DC/DC kompak baharu.

    Koenigsegg_Regera_09

    Walau bagaimana pun, pek bateri berprestasi tinggi ini juga memerlukan lebih banyak penyejukan. Oleh kerana kaedah penyejukan tradisional (menggunakan paip penyejukan) tidak dapat memenuhi keperluan Koenigsegg, maka syarikat itu telah memilih unit yang tertutup menampilkan unit penyejuk yang lebih optima bagi semua elemen haba yang sensitih dan kritikal.

    Penjana kuasa ini bukan setakat suatu elemen yang paling menarik buat Regera. Terdapat beberapa elemen lain termasuklah hidraulik robotik dalam bentuk ‘Autoskin’ yang boleh membuka pintu bagasi hadapan secara automatik, Dihedral Synchro Helix Doors pada bahagian pemandu dan penumpang hadapan (dengan pengesan jarak) dan penutup enjin belakang yang lebih besar, semuanya dikawal menerusi alat kawalan jauh atau konsol tengah di dalam jentera. Bahagian dalamnya pula, pastinya bentangan penuh kemewahan menjadi pilihan. Ia turut menampilkan Apple CarPlay, pengecas induktif untuk telefon bimbit pintar, pemanas dan tempat duduk berkuasa elektrik.

     
     
  • Lexus GS facelift kini di Malaysia – varian GS 250 digugur, diganti varian GS 200t berkuasa turbo

    SG0005-C-e1456802133134_BM

    Lexus GS facelift kini telah mula dipasarkan dalam pasaran Malaysia. Bermula untuk versi facelift ini, varian GS 250 telah digugurkan dan digantikan dengan varian GS 200t yang dibahagikan kepada tiga versi iaitu GS 200t Premium, GS 200t Luxury dan GS 200t F Sport. Varian Gs 300 Hybrid, GS 350 F Sport dan GS 350 Luxury masih lagi dikekal menjadikan sejumlah enam varian disediakan untuk pilihan pelanggan.

    Pada bahagian luaran model facelift ini masih lagi tampil dengan rekaan gril signatur ‘spindle grille‘ tetapi dengan rekaan baru yang lebih segar. Ia juga dilengkapi dengan lampu hadapan baharu dengan bentuk seiras Lexus IS, dengan lampu nyalaan siang berasingan yang terletak pada bampar hadapan. Lampu belakang juga ditukar dengan lampu rekaan baharu, begitu juga dengan bampar belakang.

    Berbeza dengan varian GS 250 terdahulu, GS 200t menampilkan enjin empat-silinder 8AR-FTS yang lebih kecil, tetapi hadir dengan bantuan pengecas turbo yang membolehkan ia menjana kuasa maksima 241 hp pada takat 5,800 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula pada 1,650 rpm hingga 4,400 rpm. Ini bermakna GS 200t adalah 17% lebih berkuasa dan 38% lebih tork berbanding enjin 2.5 liter tanpa pengecas turbo yang dilengkapi pada GS 250.

    Kuasa dari enjin ini akan dipacu sepenuhnya oleh roda belakang menerusi kotak gear lapan-kelajuan automatik SPDS yang sangat responsif. Kereta ini juga boleh dipandu dengan tiga mod pilihan iaitu ECO, NORMAL dan SPORT.

    Varian GS 200t menerima lampu hadapan bi-LED dengan sistem auto levelling serta sistem pembersih lampu, penggilap cermin dengan penderia hujan, balutan kulit pada bahagian dalaman dan roda stereng, kolum stereng larasan kuasa, penukar gear, sistem kunci pintar, kawalan kelajuan, penghawa dingin dua zon, sistem audio Lexus menghubungkan 12-speaker serta paparan skrin lapan-inci dan tempat duduk hadapan 10-larasan berkuasa dengan lumbar support dilengkapi pemanas serta liang udara. Tempat duduk pemandu juga disertakan dengan fungsi memori larasan. Bahagian roda pula dilengkapkan dengan rim 17-inci dengan tayar 225/50R17.

    Pada varian GS 200t Luxury pula, ia ditambah dengan lampu utama LED berbentuk-L, sistem kunci kad pintar, penghawa dingin tiga zon dengan Nanoe ioniser, sistem audio Mark Levinson dengan 17 unit pembesar suara serta skrin paparan 12.3-inci yang lebih besar. Skrin besar tersebut mampu untuk memberikan paparan peta penuh untuk sistem navigasi, dibantu pengawal Remote Touch Interface untuk kawalan butang yang lebih ringkas dan mesra pengguna.

    gs200t-gallery_sg3102-850x403_BM

    Bahagian dalaman varian ini menampilkan trim eksklusif dengan kemasan kayu yang turut meliputi bahagian roda stereng. Tempat duduk hadapan dilengkapi dengan 18-larasan berkuasa dengan fungsi memori pada kedua-dua belah dan sistem lumbar support dengan empat larasan. Tiada pemanas tempat duduk dipadankan untuk model ini. Varian ini juga menampilkan dua lagi mod pemanduan yang boleh dipilih iaitu SPORT+ dan CUSTOMIZE. Rim 18-inci dibaluti tayar 235/25/R18 dilengkapkan pada setiap sudut GS 200t Luxury.

    Selain dari kit badan untuk membezakan varian F Sport dan varian Luxury, F sport dilengkapi dengan tempat duduk pemandu 16-larasan berkuasa dan hanya 10-larasan berkuasa untuk tempat duduk penumpang hadapan. Kesemua tempat duduk dibaluti kulit eksklusif F Sport dan diserasikan dengan trim F Sport untuk keseluruhan bahagian dalaman. Panel meter juga direka eksklusif untuk varian F Sport dengan paparan pelbagai info lapan-inci. F Sport dilengkapi dengan rim 18-inci dengan tayar bersaiz 235/45/R18.

    Untuk ciri keselamatan, GS dilengkapi dengan sistem Vehicle Dynamics Integrated Management yang menghubungkan kesemua penderia dan unit kawalan untuk pengaktifan sistem kawalan stabiliti VSC, ABS, Bantuan Brek, Kawalan Cengkaman dan sebagainya. Ia juga dilengkapi dengan 10-beg udara dan kamera undur. Untuk varian GS 200t Luxury dan F Sport, ia turut ditambah dengan ciri paparan titik buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

    SG6061-C-e1456812018643-850x455_BM

    Varian GS 200t Premium dijual pada harga RM439,200. Untuk varian GS 200t Luxury pula dijual pada harga RM484,100 manakala untuk varian GS 200 F Sport dijual pada harga RM496,100.

    Untuk varian GS 350 Luxury dan GS 350 F Sport, ia dikuasakan dengan enjin 2GR-FKS V6 3.5 liter tanpa pendesak turbo berkuasa 311 hp dan 380 Nm. Ia juga dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik SPDS dan membolehkan kereta ini memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 6 saat berbanding GS 200t yang mengambil masa 7.3 saat. GS 350 Luxury dijual pada harga RM543,400 manakala untuk GS 350 F Sport berharga RM562,510 dengan kedua-dua spesikasi menyamai Luxury dan F Sport pada GS 200t.

    Untuk mereka yang berminat dengan kuasa hybrid, varian GS 300h ditawarkan – dijana enjin petrol empat-silinder 2.5 liter digabungkan dengan sistem Lexus Hybrid Drive. Berbeza dengan enjin 2AR-FXE pada Camry Hybrid, enjin 2AR-FSE pada GS 300h ini dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api terus D-4S, dipadankan dengan kotak gear CVT dan memacu kedua-dua belah roda belakang. Kuasa 178 hp dan tork 221Nm yang dijana pada enjin petrol digabungkan dengan kuasa motor elektrik 140 hp dan tork 300 Nm menghasilkan kuasa mutlak sebesar 220 hp. Kereta ini juga dilengkapi dengan bateri NiMH 192 sel (datang dengan lapan tahun waranti).

    Dikecualikan dari insentif cukai Hybrid kerana hadir sebagai unit diimport sepenuhnya (CBU), GS 300h dijual pada harga RM631,700. Kesemua varian Lexus GS datang dengan waranti tiga tahun atau 100,000 KM dan kini dipamerkan di semua bilik pameran Lexus.

     
     
  • Sebahagian Lebuhraya LKSA ditutup dari jam 2 pagi hingga 6 pagi pada 6 Mac ini sempena MWM 2016

    Screen Shot 2016-03-01 at 4.07.50 PM

    Sempena dengan penganjuran Malaysia Women Marathon (MWM) 2016 yang dijadualkan berlangsung pada 6 Mac ini, sebahagian daripada Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) akan ditutup dari jam 2 pagi hingga 6 pagi.

    Bagi yang datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Shah Alam melalui Lebuhraya Persekutuan, sila keluar ke Persiaran Kayangan. Manakala dari Kuala Lumpur ke Kota Kemuning, sila guna Persiaran Tengku Ampuan menuju ke Persiaran Kuala Selangor atau keluar ke HICOM atau Bukit Rimau.

    Manakala yang datang dari arah Klang untuk ke Shah Alam melalui Lebuhraya Persekutuan, sila guna Persiaran Kayangan. Bagi yang datang dari Klang menuju ke Kota Kemuning, sila guna Persiaran Tengku Ampuan menuju ke Persiaran Kuala Selangor atau keluar ke HICOM atau Bukit Rimau.

    Klik untuk besarkan imej

    Dari SS15, 16, 17, 18 dan 24 yang ingin ke Shah Alam, sila guna Persiaran Kemajuan dan keluar ke Padang Jawa. Manakala yang ingin ke Kota Kemuning, sila gunakan Persiaran Budiman menuju Jalan Bukit Kemuning ke Jalan Bukit Meru atau Lebuhraya KESAS sebelum keluar di Bukit Rimau.

    Bagi yang datang dari arah Klang menggunakan Lebuhraya KESAS, sila keluar menerusi susur ke HICOM, terus menuju Persiaran Kuala Selangor, kemudian ke Persiaran Tengku Ampuan dan Persiaran Kayangan.

    Manakala sesiapa yang ingin ke Klang menuju ke Kota Kemuning menggunakan KESAS, sila keluar ke susur Bukit Rimau atau HICOM dan buat pusingan-U sebelum ke susur keluar Bukit Rimau.

    Pengguna Lebuhraya KESAS yang datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Shah Alam pula, sila keluar ke susur HICOM sebelum ke Persiaran Kuala Selangor dan kemudian ke Persiaran Tengku Ampuan dan Persiaran Kayangan.

    Bagi yang dari dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kota Kemuning melalui Lebuhraya KESAS, sila keluar ke susur Bukit Rimau atau HICOM.

    Semua pengguna jalan raya dinasihatkan agar mematuhi papan tanda yang diletakkan bagi kelancaran perjalanan masing-masing.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.40
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 16, 2024