Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Honda BR-V dijual di Thailand – varian lima- dan tujuh-tempat duduk, harga bermula RM86,600

    Honda-BR-V-Thailand-launch-2-_BM

    Selepas muncul di Thailand Motor Expo 2015, Honda BR-V secara rasminya mula dijual di Thailand dengan menawarkan dua varian. Harganya bermula 750,000 baht (RM86,600) untuk varian V, manakala varian SV pula 820,000 baht (RM94,600).

    Di bawah hudnya, kedua-dua varian ini dijanakan oleh enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC empat-silinder (sama seperti Jazz dan City) yang mampu menyalurkan kuasa sehingga 117 hp pada 6,000 rpm dan tork 146 Nm pada 4,700 rpm. Enjin ini dipadankan dengan Earth Dreams CVT, yang menyalurkan pacuannya ke roda hadapan.

    Bagi bahagian luarannya, BR-V ditampilkan dengan lampu utama projektor bersama lampu posisi LED, lampu belakang LED berbentuk-C, di mana semua ini adalah standard bagi kedua-dua varian. Lima warna juga ditawarkan iaitu putih, kelabu, hitam, coklat dan perak.

    Pada bahagian kabinnya, BR-V juga menerima rekaan papan pemuka yang sama seperti Jazz dan City, bersama roda stereng balutan kulit seperti model terdahulu City dan Jazz. Di samping itu, ia juga menampilkan operasi tanpa kunci, penghawa dingin automatik dan unit hiburan dengan skrin sesentuh 6.1-inci bersama sambungan iOS, Android, HDMI, USB dan Bluetooth.

    Bagi pasaran Thailand, BR-V akan ditawarkan dengan konfigurasi lima- dan tujuh-tempat duduk, bergantung pada varian yang dipilih. Varian V didatangkan dengan dua barisan tempat duduk yang mampu memuatkan lima penumpang, dengan barisan kedua boleh dipisahkan dengan nisbah 60:40 bagi memberikan ruangan belakang yang lebih luas.

    Honda-BR-V-Thailand-launch-4-_BM

    Jika inginkan lebih tempat duduk, varian SV menampilkan tujuh-tempat duduk dengan tambahan barisan ketiga. Honda berkata, tempat duduk pada barisan ketiga memang sekadar cukup-cukup. Tetapi barisan ketiga itu boleh dipisahkan secara nisbah 50:50 dan boleh dialihkan bagi memaksimumkan ruang kargo. Bagi keselesaan, corong udara penghawa dingin turut diletakkan di barisan kedua.

    Bagi aspek keselamatan, ia dilengkapi dengan bantuan kestabilan kenderaan (VSA), ABS dengan EBD, dua beg udara di bahagian hadapan sebagai standard. Ia juga menawarkan pilihan tambahan bagi kamera pandang belakang.

    Apabila sudah sampai di pasaran Thailand, rasanya sudah tidak lama lagi ia akan tiba ke Malaysia pula. Jadi apa pilihan anda, adakan lima- atau tujuh-tempat duduk? Kongsikan komen adan bersama kami.

     
     
  • Lotus Evora 400 2016 dilancarkan – dari RM598k

    Lotus-Evora-400-launch-1_BM

    Lotus Cars Malaysia telah melancarkan Lotus Evora 400 baharu di bilik pamerannya di Jalan Damansara. Ia merupakan supercar sejati menggabungkan prestasi yang tinggi dengan pengendalian Lotus. Evora 400 baharu ini telah dipertingkatkan untuk bahagian kabinnya serta enjin V6 yang telah ditala semula, menjadikan jentera ini lebih tinggi dan lebih berdinamik berbanding model Evora yang terdahulu

    Kini dengan kuasa 400 hp, Evora baharu ini dipadankanenjin Toyota 3.5 liter bersama Edelbrock supercharger yang membolehkannya turut memberikan tork setinggi 410 Nm. Ia juga menampilkan driver-activated catalytic convertor lencongan dari ekzos ke sistem aliran bebas. Ia turut membolehkan Evora 400 baharu ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 4.2 saat dan nisbah kuasa menerusi beratnya dicatatkan pada 290 PS/1000 kg. Malah terdapat perubahan pada Evora ini termasuk rekaan semula pada bahagian hadapan dan belakang serta spoiler yang memberikan berat sebanyak 32 kg pada downforce ketika dalam kelajuan 165 km/j.

    Lotus Evora 400 launch-1

    Penambah baikan pada bahagian dalamannya turut memberikan lebih keselesaan dan gaya yang lebih mewah berbanding model sebelumnya. In termasuklah dengan tiga pilihan kekemasan iaitu standard, kulit dan Alcantara, turut ditawarkan. Malah bahagian ambang kokpit juga direka semula memberikan ia lebih sempit dan sama kedudukan dengan tempat duduk. Perubahan ini dilakukan selepas menerima banyak komen tentang model sebelum ini yang ambang kokpit yang lebih tinggi dan tempat duduk pula lebih rendah menyebabkan proses untuk masuk ke dalam perut Evora agak menyulitkan.

    Lotus Cars Malaysia juga akan membawa masuk beberapa pilihan model, kedua-duanya bagi transmisi manual dan automatik. Pilihan Base hadir dengan warna signatur iaitu metalik, kawalan kelajuan serta kaliper brek berwarna kuning atau hitam. Manakala Option One pula didatangkan sama seperti Base tetapi ada pertambahan elemen termasuk pek kekemasan kulit atau alcantara dan pek hitam, dengan bumbung, ambang dan perumah cermin dari warna yang sama. Manakala Option Two pula menerima elemen tambahan seperti rim 10-jejari hitam berkilat bersaiz 19-inci (hadapan) dan 20-inci (belakang).

    Harga bagi Lotus Evora baharu ini seperti berikut :-

    Transmisi manual

    • Base – RM597,999
    • Option One – RM624,999
    • Option Two – RM640,999

    Transmisi automatik

    • Base – RM610,999
    • Option One – RM637,999
    • Option Two – RM653,999
     
     
  • PLUS keluarkan Jadual Cadangan Perjalanan sempena CNY ini – rebat tol 30% turut ditawarkan

    TOL PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan pada Hari-Hari Puncak iaitu di antara 5 Februari hingga 14 Februari ini.

    PLUS turut menjangkakan sebanyak 1.6 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari pada hari-hari puncak bersempena dengan cuti perayaan Tahun Baru Cina yang akan datang. Jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding 1.3 juta kenderaan pada hari-hari biasa.

    “Kami menasihati agar pengguna untuk mengikuti TTA ini dan merancang perjalanan agar tidka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak,” kata Pengarah Urusan PLUS, Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid.

    Selain daripada strategi penyuraian trafik, PLUS turut menyusun pelbagai pendekatan dalam memantapkan operasi dan tahap perkhidmatan pada musim perayaan yang akan datang. Menurut Noorizah, PLUS juga akan menugaskan lebih ramai kakitangan di lebuh raya dan pusat kawalan trafik (TMC), menambah jumlah pasukan dan rondaan PLUSRonda, menempatkan pasukan-pasukan bantuan kecemasan di lokasi-lokasi strategik, pertambahan kawasan meletak kenderaan dan pembukaan tandas bergerak sementara di kawasan-kawasan rehat utama, menyediakan trak-trak tunda tambahan di lokasi terpilih, pemantauan trafik dari udara dan lain-lain lagi.

    Selain itu, “PLUS akan membuka laluan kontra di beberapa laluan yang kritikal untuk menguruskan trafik di laluan-laluan tersebut. Walau bagaimanapun, pengaktifan laluan kontra tersebut bergantung kepada keadaan trafik semasa dan kebenaran daripada pihak Polis”, jelas Noorizah.

    Di antara strategi lain dalam mengagihkan trafik ialah PLUS menawarkan rebat tol sebanyak 30 peratus pada 4, 11 dan 15 Februari.

    Rebat tol 30% ditawarkan sepanjang hari bagi pengguna kenderaan Kelas 1 yang membayar tol menggunakan sistem elektronik (menerusi kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG) pada 4, 11 dan 15 Februari. Rebat ini diberikan untuk perjalanan jarak jauh (melebihi 100 kilometer) di Lebuhraya Utara-Selatan, lebuh raya ELITE dan lebuh raya NKVE.

    Rebat tol tersebut boleh dituntut di semua Pusat Khidmat Pelanggan di lebuh raya PLUS bermula 15 Mac hingga 14 Jun tahun ini.

     
     
  • BMW 7 Series serba baharu dilancarkan – 2.0 turbo 4-silinder 730Li dan 740Li, dari RM599k

    BMW-740Li-Main_BM

    BMW Group Malaysia hari ini telah melancarkan BMW 7 Series serba baharu yang sudah memasuki generasi keenam, yang menawarkankan pengalaman pemanduan yang mewah dan eksklusif dalam bentuk sebuah sedan kontemporari.

    Didatangkan dalam dua varian iaitu BMW 740Li dan BMW 730Li serba baharu, ia menawarkan kemewahan dan keselesaan yang digabungkan bersama karekteristik pemanduan paling dinamik, ciri-ciri sofistikated, ambien paling menyenangkan, di samping manfaat daripada sistem pemanduan unik dan termaju yang membuatkan memandu bukan sahaja selamat, malah lebih menyeronokkan.

    BMW 7 Series serba baharu lebih panjang iaitu 5,238 mm berbanding generasi sebelum ini 5,219 mm (+ 19mm). Namun begitu, dimensi lain seperti lebar, tinggi dan tapak roda tidak berubah. Ini menjadikan BMW 7 Series serba baharu sebagai model paling besar yang pernah dihasilkan oleh BMW.

    Penampilan dinamik dan berprestijnya turut diserlahkan menerusi perkadaran yang menjadi tanda dagang buat BMW. Misalnya bonet yang panjang, unjuran hadapan pendek, tapak roda panjang, kompartmen penumpang luas dan garis bumbung yang elegan.

    2016-bmw-7-series-official-pictures- 001

    Bahagian hadapan BMW 7 Series serba baharu yang mantap menyerlahkan lagi penampilannya. Ia juga menjadi kereta pertama BMW yang jelas menggunakan teknologi BMW EfficientDynamics. Gril hadapan pada sedan mewah ini dilengkapi sistem Active Air Stream yang hanya dibuka sekiranya penyejukan udara diperlukan.

    Bahagian atas lampu utama baharunya lebih nipis dan bahagian bawahnya diratakan. Lampu tersebut diunjurkan sehingga ke gril. Sementara lampu bulat berkembar LED penuh pada BMW 730Li serba baharu diselarikan dengan bahagian atas dan bawahnya, sekali gus memberikan jentera ini penampilan yang fokus serta lebih garang. Menambah aspek yang pertama dalam segmen mewah ialah lampu utama lazer BMW yang dipasang pada varian BMW 740Li. ia mempunyai mod lampu tinggi sejauh 600 meter iaitu dua kali lebih jauh berbanding lampu LED.

    Penampilan menarik dan eksklusif BMW 740Li ditingkatkan lagi dengan rim aloi ringan jejari berkembar bersaiz 19 inci dan rekaan jejari V untuk BMW 730Li serba baharu.

    BMW 740Li menawarkan kuasa mengujakan, lancar serta bunyi yang menggetarkan melalui enjin petrol enam-silinder sebaris BMW TwinPower Turbo bersesaran 3.0 liter generasi terkini yang diambil daripada rangkaian enjin BMW EfficientDynamics. Dipadankan dengan transmisi lapan kelajuan Setptronic yang telah dioptimumkan, ia mampu menjana kuasa maksimum 326hp, tork setinggi 450Nm dan pecutan dari 0-100km/j dalam masa hanya 5.5 saat. Purata penggunaan bahan api BMW 740Li serba baharu adalah sekitar 6.6 liter untuk setiap 100km dengan emisi C02 154 gram bagi setiap kilometer.

    BMW 730Li serba baharu juga menawarkan kuasa dinamik dan penggunaan bahan api yang rendah. Dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder sebaris BMW TwinPower Turbo bersesaran 2.0 liter, enjin pada BMW 730Li serba baharu ini berupaya menghasilkan kuasa mencecah 258hp dan tork 400Nm. Ia boleh memecut dari 0-100km/j dalam masa 6.3 saat sahaja. Bacaan penggunaan bahan api BMW 730Li serba baharu adalah 5.8 liter bagi setiap 100 kilometer, manakala tahap emisi C02 pula ialah 134 gram untuk setiap kilometer.

    Ia juga dibina dengan struktur badannya yang menggunakan Carbon Core, satu produk hasil peralihan teknologi daripada pembangunan kereta-kereta BMW i. Sebagai sebahagian daripada konsep BMW EfficientLightweight, BMW 7 Series serba baharu merupakan kereta pertama dalam segmennya yang menggunakan Carbon-Fibre-Reinforced Plastic (CFRP). Di samping gabungan pintar komponen-komponen aluminium, magnesium dan besi regangan tinggi.

    Komponen-komponen berteknologi tinggi ini disempurnakan lagi dengan dua gandar suspensi udara yang boleh dilaras sendiri. Ia dipasang bersama Dynamic Damper Control yang didatangkan sebagai satu ciri standard untuk BMW 7 Series serba baharu buat pertama kalinya.

    Suis Driving Experience Control dengan rekaan baharu diletakkan pada konsol tengah. Mod-mod pemanduan seperti COMFORT, SPORT, ECO PRO dan ADAPTIVE (pertama kali) boleh diaktifkan dengan hanya menekan satu butang. Apabila mode ADAPTIVE diaktifkan, talaan kenderaan akan dipadankan dengan gaya pemanduan semasa.

    2016-bmw-7-series-official-pictures- 004

    Tahap keselesaan, dinamik dan prestasi boleh ditingkatkan menerusi satu lagi ciri yang pertama di dunia pada BMW 7 Series serba baharu iaitu Executive Drive Pro. Sistem kawalan casis aktif yang dipasang pada BMW 740Li serba baharu melibatkan gabungan fungsi dua gandar suspensi udara dan Dynamic Damper Control untuk mencapai standard keselesaan suspensi, redaman dan getaran yang terbaik. Buat pertama kali juga, penstabil olengan aktif ditawarkan secara elektromekanikal. Ia membolehkan olengan tubuh kenderaan dikurangkan dengan tepat ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

    Banyak elemen menarik turut ditampilkan menerusi ruang kabin BMW 7 Series ini termasuklah konsep operasi lanjutan iDrive yang baharu. Sebagai tambahan kepada operasi biasa menggunakan iDrive Controller dan sistem kawalan suara yang telah diubah suai, ia turut menawarkan dua pilihan untuk membuatkan operasi kenderaan lebih intuitif, mudah dan selamat.

    Selain itu, paparan sentuh pada monitor bersaiz 10.25 inci beresolusi tinggi dan anti silau turut ditampilkan. Begitu juga dengan kawalan gestur BMW yang membolehkan pemandu mengakses fungsi-fungsi tertentu kenderaan seperti mengawal suara muzik, menjawab atau memutuskan panggilan telefon dengan hanya menggerakkan satu jari atau tangan. Sistem ini berfungsi menggunakan sebuah kamera infra merah 3D yang dipasang pada bahagian lampu kabin hadapan serta berperanan mengimbas tangan dan mengenal pasti pergerakannya.

    Di dalam kabin BMW 7 Series serba baharu turut diserlahkan lagi dengan pilihan Lampu Ambien. Ia mempunyai ciri Welcome Light Carpet pada bahagian pintu kereta. Terdapat enam pilihan warna lampu yang boleh dimalapkan. Lampu ini boleh dioperasi dan dipilih melalui menu iDrive.

    Bukan itu saja, ia juga menampilkan pendingin hawa automatik dengan kawalan empat zon dan tempat duduk yang boleh dilaras secara elektrik bersama fungsi urutan dan Vitality Programme yang membolehkan penumpang menikmati lapan talaan senaman fizikal untuk menyegarkan tubuh badan.

    Satu lagi inovasi kemewahan ialah unit kawalan BMW Touch Command pada konsol tengah bahagian belakang kabin. Sebagai sebuah tablet bersaiz tujuh inci yang boleh dialih dan disambungkan dengan sistem-sistem kenderaan, para penumpang berpeluang mengakses semua fungsi hiburan dan keselesaan.

    Kedua-dua varian juga ditampilkan dengan bumbung kaca panorama, namun hanya 740i yang bumbung kaca panoramik Sky Lounge dengan bilah langsir elektrik, fungsi gelongsor untuk tujuan ventilasi dan satu ciri baharu iaitu lampu LED yang mempunyai 15,000 elemen cahaya di dalam kaca bumbung panoramik tersebut.

    Juga eksklusif untuk 740LI, ia turut didatangkan dengan sistem bunyi Harman Kardon 600w bersama sembilan saluran dan 16 speaker. Manakala 730i pula ditampilkan dengan sistem “HiFi” 205w bersama 12 speaker.

    Varian 730Li menerima BMW Driving Assistant, pek keselamatan yang mengandungi Approach Control dan Person Warning dengan light city braking, rear collision prevention, lane change, lane departure warning dan rear cross traffic warning. BMW Driving Assistant Plus pula ditampilkan pada 740LI dengan kamera stereo dan radar untuk stereng dan lane control assist, lane keeping assistant dengan active side collision protection, traffic jam assistant, rear cross traffic assist, dan Active Cruise Control dengan Stop & Go. Lapan beg udara turut ditampilkan sebagai standard.

    BMW 7 Series serba baharu juga ditampilkan dengan BMW Display Key yang memaparkan pelbagai status data kenderaan dan membolehkan beberapa operasi dipilih menerusi ciri Touch Display yang bersepadu. Begitu juga dengan Driving Assistant Plus, dan Lane Departure Warning Assistant. BMW Head-Up Display kini tampil dengan ruang paparan 70 peratus lebih besar dan mempunyai pelbagai ciri tambahan seperti pandangan 3D di persimpangan jalan.

    Kedua-dua varian ditawarkan dengan pilihan warna seperti Black Sapphire, Cashmere Silver, Mineral White dan Sophisto Grey. Varian 740Li juga didatangkan dengan warna eksklusif Imperial Blue, manakala 730Li pula warna Jatoba. 740Li turut menampilkan pilihan rangkaian warna upholsteri kulit Nappa seperti hitam, Canberra Beige dan Cognac. Bagi 730Li pula dengan pilihan upholsteri kulit Dakota ialah hitam, Canberra Beige dan Cognac.

    Bagi 730i, harganya bermula RM598,800 OTR tanpa insurans dan RM788,800 bagi 740Li. BMW Group Malaysia menyatakan ia adalah “harga eksklusif” sempena dengan ulang tahun ke-100 BMW, selagi stok masih ada atau sampai notis pemberitahuan. Ia didatangkan dengan waranti selama lima tahun tanpa perbatuan terhad, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW.

     
     
  • VIDEO: LaFerrari ungu TMJ mengaum, bersama Mercedes-Benz S65 AMG Coupe milik TPJ

    Jika semalam kita dah jamu mata melihat foto-foto LaFerrari milik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sewaktu berangkat mengunjungi Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos tempoh hari, nah tonton video ini pula. Memberikan gambaran yang lebih jelas dan pastinya memukau pandangan mata hingga ke hati tatkala melihat hypercar baharu milik TMJ ini.

    LaFerrari ini diproduksi hanya ada 499 unit di dunia dan bukan boleh dibeli sewenang-wenangnya, tetapi pembeli yang dianggap benar-benar layak terutamanya bagi penggumpul Ferrari yang akan ditawarkan oleh syarikat pengeluarnya untuk membeli jentera ini. Pastinya TMJ layak memilikinya dan warna ungu serta beberapa elemen khusus yang membaluti LaFerrari ini adalah sentuhan peribadi menerusi program Ferrari Tailor-Made.

    LaFerrari dijanakan oleh enjin 6.3 liter V12 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 789 hp pada 9,000 rpm dan tork 700 Nm pada 6,750 Nm. Enjin berkuasa tinggi ini turut digabungkan dengan Hybrid Kinetic Energy Recovery System (HY-KERS) dengan motor elektrik berkuasa 163 hp, menjadikan hamburan kuasa keseluruhan mencecah 950 hp dan 900 Nm! Ia juga dipadankan dengan transmisi dual-klac tujuh-kelajuan.

    TMJ-LaFerrari-3_BM

    Dengan penjana kuasa yang luar biasa ini, ia membolehkan LaFerrari ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 3.0 saat, 0-200 km/j hanya di bawah 7.0 saat dan 0-300 km/j dalam 15 saat serta mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 350 km/j.

    Dalam video ini, turut kelihatan Mercedes-Benz S 65 AMG Coupé milik adinda kepada TMJ iaitu Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman. Tidak kurang hebat juga, S 65 AMG Coup ini dijanakan oleh enjin 6.0 liter V12 turbo-berkembar dengan kuasa sehingga 630 hp.

     
     
  • Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 beri diskaun tol 10% sempena CNY pada 8 Feb ini – jadual cadangan perjalanan turut dikeluarkan

    LPT1-CNY-TTA

    ANIH Berhad, syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) akan menawarkan diskaun tol 10 peratus sempena perayaan Tahun Baru Cina pada 8 Februari ini kepada pengguna lebuh raya yang membuat bayaran secara elektronik (ETC).

    Pengarah ANIH Berhad, En Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, pemberian diskaun tol itu akan bermula jam 12.00 pagi sehingga 11.59 malam pada 8 Februari. Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menyasarkan 2.18 juta kenderaan yang akan menggunakan KLK dan LPT 1 sepanjang tempoh sambutan itu bakal menerima manfaat diskaun terbabit.

    “Ia bagi menyambut seruan kerajaan supaya syarikat konsesi melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing sebagai tanda penghargaan kepada pengguna lebuh raya. “Pemberian diskaun ini ialah kesinambungan program tanggungjawab sosial syarikat terbabit kepada pengguna jalan raya, seperti yang dilakukan pada musim perayaan lain termasuk Aidilfitri, Deepavali dan Krismas.

    Dalam masa yang sama ANIH turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi melancarkan perjalananpara pengguna kedua-dua lebuhraya terbabit. Ia diharap dapat mengurangkan kesesakan melampau khususnya pada waktu kemuncak selain memastikan perjalanan orang ramai lancar, cekap dan selamat sampai ke destinasi.

     
     
  • SPYSHOT: Proton Perdana 2016 tunjuk LED DRL

    2016-Proton-Perdana-spyshots-11_BM

    Ini mungkin set terbaik bagi spyshot Proton Perdana 2016 setakat ini, ia menunjukkan sudut hadapan dan belakang serta profil sisi bagi sedan bersaiz besar ini. Malah ia juga menunjukkan “mata” Perdana buat pertama kali. Terima kasih buat pembaca Aab Zar MY.

    Lampu nyalaan siang (DRL) antara elemen ‘mesti ada’ sejak kebelakangan ini. Malah Perdana 2016 juga tidak ketinggalan untuk menampilkannya dan kelihatan ia turut menghadirkan LED DRL bagi model ini.

    2016-Proton-Perdana-spyshots-4_BM

    Menerusi foto ini, kelihatan posisi bagi lampu isyarat yang diletakkan pada sudut kluster lampu utama. Cermin sisi juga diletakkan pada perumah indikator. Selain itu, Perdana baharu ini juga kelihatan turut menampilkan lampu belakang LED.

    Berkenaan dengan saiznya, kelihatan Perdana baharu lebih besar berbanding model Honda Accord generasi terdahulu yang sebelum ini merupakan sedan paling besar di bawah segmen-D. Perdana baharu ini juga dikatakan memiliki ukuran 150 mm lebih panjang berbanding Accord.

    2016-Proton-Perdana-spyshots-6_BM

    Bakal diproduksikan di Kilang Pengeluaran Sederhana Proton di Shah Alam, Perdana 2016 ini dijangka bakal dilancarkan pada suku pertama tahun ini, dengan mengekalkan enjin Honda 2.0 liter i-VTEC (154 hp/189 Nm) dan 2.4 liter i-VTEC (177 hp/222 Nm) dengan transmisi automatik lima-kelajuan.

    Model penambah baikannya pula dijangka diperkenalkan pada akhir 2016 di mana Perdana bakal menerima enjin baharu iaitu NE01 2.0 liter empat-silinder, berdasarkan model enjin Petronas E01 yang dibeli oleh pengeluar kereta nasional ini pada tahun 2012. Enjin ini dijangka didatangkan dengan pancitan bahan api secara terus (GDi) dan pancitan bahan api secara terus dengan pengecas turbo (TGDI).

    Malah Proton juga sedang mempertimbangkan enjin baharu 1.5 liter pengecas turbo dan suntikan terus bahan api TGDI, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 180 hp dan tork 250 Nm. Mana-mana pun penjana kuasa yang dipilih, ia tetap akan dipadankan dengan transmisi CVT baharu yang bakal diperkenalkan sebelum akhir tahun 2017.

    GALERI: Pra-pengenalan Proton Perdana 2016

    GALERI: Proton Perdana 2016 rendered

     
     
  • SPYSHOT: Proton Persona 2016 tampil lebih jelas

    PROTON-PERSONA-IRIZ-SEDAN-ISAAC-CHAN_BM

    Pagi tadi, kami telah memaparkan lakaran imaginasi digital Proton Persona, kemudian kami menerima foto spyshot baharu yang dirakamkan oleh Isaac Chan.

    Masih disaluti penyamaran, namun ia memberikan visual yang lebih jelas mengenai Persona 2016 ini. Pertama, Persona ini kelihatan lebih tinggi berbanding dengan model pesaingnya, agak sama dengan Iriz yang 75 mm lebih tinggi berbanding Honda City dan Toyota Vios. Ia memberikan sedikit penjelasan tentang perbandingan antara model pesaing.

    Foto ini turut mendedahkan sedikit perincian Persona 2016 ini – garisan hadapan pada lampu utamanya lebih berlekuk bersambungan dengan gril, agak lebih kurang sama dengan hasil render dari pakar Photoshop Theophilus Chin dan pemenang Pertandingan Rekabentuk Proton 2014 Pow Ying Hern.


    Manakala lampu kabusnya lebih bulat, berbanding segitiga pada Iriz, sekali lagi agak menyamai karya Theo. Sementara itu, rodanya pula menerima rekaan baharu yang lebih bergaya, berbanding yang ditampilkan pada Perodua Myvi, Honda Jazz dan Honda City.

    Proton Persona 2016 bakal diperkenalkan selepas pelancaran Perdana iaitu turut mendahului Saga baharu. Enjin Iriz iaitu 1.3 liter dan 1.6 liter VVT dijangka turut akan ditawarkan pada Persona. Namun semua model baharu Proton akan menerima enjin baharu 1.3 liter dan 1.6 liter suntikan terus bahan api (GDI/TGDI) mulai akhir tahun 2017.

     
     
  • Siaran langsung Bajet 2016 (auto/pengangkutan)

    Screen Shot 2016-01-28 at 12.46.11 PM (2) BM

    Pengubahsuaian bagi Bajet 2016 sedang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang berlangsung sekarang. Kami akan melaporkan sebarang perkembangan yang berkaitan dengan automotif menerusi ucapan PM, jika ada.

    Auto:

    – Cukai kenderaan import di pulau-pulau bebas cukai akan diperketatkan.

    Pengangkutan:

    – Projek utama akan diteruskan termasuk MRT, LRT, Lebuhraya Pan-Borneo, dan Kuala Lumpur-Singapore High Speed Rail (HSR).

     
     
  • Jaguar XE sedan sport dilancarkan – bermula RM340k

    2016-jaguar-xe-r-sport-launch-event-malaysia- 007

    Pagi ini, Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd (JLRM) telah melancarkan sedan sport Jaguar XE baharu yang terkemuka di Malaysia. XE kini melengkapi rangkaian kereta sedan Jaguar, yang turut merangkumi barisan model XF dan XJ. Ia tampil dengan tiga varian dan berharga antara RM340k ke RM580k, termasuk GST, tetapi tanpa pendaftaran, cukai jalan dan insurans.

    • Jaguar XE Prestige 2.0 – RM340,000
    • Jaguar XE R-Sport 2.0 – RM365,000
    • Jaguar XE S 3.0 – RM580,000

    Menurut pengarah urusan JLRM Tuan Syed Mudzhar Syed Ali, “Binaan ringan, gaya terselaras, bahagian dalam mewah dan pacuan dan pengendalian luar biasa menjadikannya sebuah kereta pemandu sebenar. Menerusi XE, Jaguar mengetengahkan kereta hebat yang pasti menjadi pesaing utama dalam segmen sedan mewah saiz sederhana.”

    2016-jaguar-xe-launch-event-malaysia- 004

    XE ditawarkan dalam tiga pilihan XE iaitu Prestige, R-Sport dan S. Di mana Prestige dipacu oleh enjin petrol 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 200PS. Manakala R-Sport dilengkapi dengan versi enjin sama dengan kuasa tambahan iaitu 240PS. Model S pula dilengkapi dengan enjin petrol 3.0 liter supercharged V6 dengan kuasa 340PS yang juga digunakan dalam F-TYPE yang terkenal. Ketiga-tiga pilihan dilengkapi dengan sistem transmisi automatik lapan-kelajuan.

    XE pacuan roda belakang ialah satu-satunya kenderaan setarafnya untuk menggunakan aluminium-intensive monocoque. Struktur yang sangat mantap tetapi ringan ini, bersama suspensi depan dwipalang siku dan gandar belakang Pautan Bersepadu, menjadi tunggak penanda aras inovatif dinamik kenderaan bagi XE. Hasilnya ialah pacuan luar biasa dengan penjimatan bahan api lebih hebat.

    XE aluminium-intensive ini merupakan model pertama yang dibangunkan berteraskan seni bina kenderaan modular baharu Jaguar Land Rover. Dasar roda 2,835mm dan kedudukan tempat duduk rendah membolehkan perkadaran sempurna dan profil yang terselaras. Dengan koeifisien seretan hanya 0.26, XE baharu ialah Jaguar paling aerodinamik dan terbaik di kalangan kenderaan setarafnya, mengatasi pelbagai pesaing lain.

    XE menyediakan antara sistem bantuan pemandu paling canggih di pasaran termasuk sistem Kawalan Perjalanan Semua Permukaan (ASPC). Dibangunkan berasaskan pengalaman berdekad Jaguar Land Rover dalam sistem cengkaman luar jalan, ia memaksimumkan cengkaman kelajuan rendah dalam keadaan jalan raya yang kurang baik.

    Satu lagi ciri baharu ialah Kawalan Pacuan Jaguar yang membolehkan pemandu memilih mod Biasa, Eko, Dinamik atau Musim Sejuk, yang menukar pemetaan stereng dan pendikit secara halus. Mod Eco menggalakkan pemanduan menjimatkan bahan api manakala mod Dinamik mempertajamkan tindak balas pendikit dan meningkatkan wajaran stereng. Dengan memilih Musim Sejuk, sistem secara automatik mengekang pecutan dan mengguna pakai cengkaman yang lebih beransur untuk keadaan licin.

    2016-jaguar-xe-launch-event-malaysia- 019

    Satu lagi fungsi mengagumkan Jaguar XE baru ialah Pemvektoran Tork menerusi brek yang mengurangkan kejadian belokan terkurang dengan membrek setiap roda dalaman secara lembut seperti yang diperlukan untuk memastikan kereta berada pada garis optimum apabila mengambil selekoh. Hasilnya ialah pengendalian lebih neutral, usaha pengawalan stereng lebih rendah dan akhirnya pengalaman memandu yang lebih memuaskan.

    XE baharu juga dilengkapi dengan Stereng Bantuan Kuasa Elektrik (EPAS) generasi terkini untuk menghasilkan tindak balas serta-merta dan jitu serta keterhubungan yang dijanjikan sedan sport Jaguar. EPAS memberikan XE tahap pacuan, daya pergerakan dan kejituan stereng lebih baik yang menjadikannya sebuah kereta pemandu yang sebenar.

    2016-jaguar-xe-launch-event-malaysia- 024

    Kabin mewah XE ini menyediakan tahap keselesaan dan ruang yang luar biasa. Bahan dan kemasan yang rapi digabungkan dengan hasil kerja tangan Jaguar menjadikannya ruang dalam yang mengatasi kenderaan setarafnya dan berbeza dari yang lain dalam segmen ini. Tempat duduk belakang boleh memuatkan tiga dewasa dengan selesa manakala but 455-liter yang luas menyediakan banyak ruang simpanan, lebih-lebih lagi kerusi belakang dilengkapi dengan keupayaan lipatan 40:20:40.

    Sistem info-hiburan InControl Touch baru juga menarik tumpuan termasuk skrin sentuh lapan inci yang inovatif memaparkan antara muka grafik. Sistem Bunyi Jaguar pula menghasilkan julat dan kuasa akustik kepada ruang dalam XE dengan kuasa 80W, empat-saluran dan enam speaker. Sebuah sistem spesifikasi opsyenal yang lebih tinggi, iaitu Sistem Bunyi Meridian 380W menawarkan penghasilan semula audio luar biasa menerusi 12-saluran dan 11 speaker, termasuk sebuah subwoofer.

    Untuk pengalaman pemilikan lebih hebat, setiap XE disediakan bersama waranti lima tahun atau 150,000km dan bantuan tepi jalan tiga tahun. Pemilik model Prestige dan R Sport 2.0 liter juga menikmati penyenggaraan berjadual percuma selama lima tahun atau 80,000km, manakala pilihan S 3.0 liter menawarkan pakej lima tahun atau 65,000km, yang mana lebih awal.

    Untuk meraikan ketibaan rangkaian baru dalam keluarga Jaguar di Malaysia, setiap Jaguar XE baharu akan dilengkapi dengan pakej aksesori bernilai RM10,000. Pakej Aksesori Pelancaran XE termasuk plat jejak ambang bercahaya, pedal penukar gear pada roda stereng berwarna Merah Aluminium, pemilih gear direka khas dengan bahagian atas kulit premium dan bezel getah selain grip sentuhan lembut, dan penutup injap tayar unik dengan pilihan empat reka bentuk ikon. Tawaran ini sah untuk bilangan unit dan tempoh yang terhad iaitu selagi stok masih ada.


    GALERI: Jaguar XE R-Sport


     
     
  • Proton Persona 2016 rendered oleh juara PDC 2014

    Proton-Persona-render_BM

    Semakin hari semakin tak sabar hendak menantikan empat model baharu yang bakal dilancarkan oleh Proton tahun ini. Bagi meredakan seketika detik debaran itu, beberapa pencinta dunia automotif tempatan turut menghasilkan lakaran imaginasi digital (rendered) model-model berkenaan, termasuklah bagi Proton Persona 2016 ini.

    Ini adalah hasil ilham Pow Ying Hern yang merupakan juara bagi Pertandingan Rekabentuk Proton (PDC) 2014. Jika Theophilus Chin mengimaginasikan Persona 2016 ini dengan imej yang agak mirip Iriz, karya Pow ada sedikit kelainannya.

    Proton-Persona-render-2_BM

    Jika bahagian hadapannya ada sedikit persamaan, namun rekaan Pow ‘meletakkan’ bar krom yang lebih lebar di hadapan secara melintang. Namun padanan gril yang lebih nipis serta ditambahkan pila dengan lampu utama projektor berkembar, yang mungkin tidak akan ditampilkan buat model sebenarnya kelak.

    Untuk bahagian bawahnya, Pow turut memilih gril bawah trapezoidal yang sama besar seperti pada Iriz, namun menambahkan sedikit lingkaran pada lampu kabus, lebih kurang sama dengan model Kia Optima generasi sebelumnya.

    Pada bahagian sisinya pula, menampilkan tiang-C pada perumah cermin, berbeza dengan Iriz yang menampilkan garisan tingkap lebih landai. JIka rekaan Theo lebih luas dengan dua kepingan lampu belakang yang lebih nipis, Pow pula memilih lampu belakang yang lebih besar dengan garisan luaran krom dan posisi umpama Volkswagen Polo. Manakala bahagian bampar lebih kurang sama bagi kedua-dua rekaan.

    Proton Persona 2016 bakal diperkenalkan selepas pelancaran Perdana iaitu turut mendahului Saga baharu. Enjin Iriz iaitu 1.3 liter dan 1.6 liter VVT dijangka turut akan ditawarkan pada Persona. Namun semua model baharu Proton akan menerima enjin baharu 1.3 liter dan 1.6 liter suntikan terus bahan api (GDI/TGDI) mulai akhir tahun 2017.

     
     
  • Kia Cadenza K7 2017 – foto, video baharu dipaparkan

    2016-kia-cadena-k7-south-korea-001_BM

    Imej model baharu Kia Cadenza (K7) ini telah pun bertebaran, sejak Kia memperkenalkannya di pasaran domestik. Malah menerusi laman web Kia Motors Korea Selatan, semakin banyak fotonya dipaparkan.

    Turut dikenali sebagai K7 bagi sesetengah pasaran, Cadenza merupakan sedan besar iaitu selepas Kia Optima (K5), namun sedikit kecil berbanding dengan Kia K900 (K9).

    Sejak diperkenalkan pada November lalu, generasi terkini bagi Kia Cadenza ini menampilkan gaya keseluruhan serba baharu. Buat pertama kalinya, gril ‘hidung harimau’ yang menjadi signatur Kia dibentuk melengkung ke dalam. Sementara lampu utama LED pula dibalut baharu dengan jaluran krom yang disambungkan dari gril hadapan. Lampu nyalaan siang LED dengan empat-sudut signatur jenama ini turut ditampilkan.

    Manakala profil sisi pula memberikan gambaran K7 memiliki bonet yang lebih panjang dan garisan bumbung lebih landai. Malah menerusi foto itu juga terpapar rim aloi pelbagai-jejari bersaiz 19-inci yang dibaluti tayar 245/40 R19. Malah lampu belakang baharu yang lebih lebar turut ditampilkan dengan paip ekzos berkembar memberikan paras rupa yang lebih segar.

    Menerusi spesifikasinya, Cadenza baharu ini turut dilengkapi beberapa elemen baharu termasuk sistem audio Krell Premium Sound, pengecas tanpa wayar, monitor pandangan-sekeliling, skrin paparan head-up dan tempat duduk balutan kulit Nappa.

    Untuk keselamatan, Cadenza turut dilengkapi dengan sembilan beg udara dan elemen keselamatan aktif termasuk Autonomous Emergency Braking, Advanced Smart Cruise Control, Lane Departure Warning System dan High Beam Assist.

    2016-kia-cadena-k7-south-korea-012-e1453872902987_BM

    Seperti yang dijangka, untuk pasaran Korea, K7 ini akan dijanakan oleh enjin 3.3 liter V6 GDI 290 PS, bukannya 3.3 liter turbo-berkembar V6 seperti mana yang pernah diwar-warkan sebelum ini. Malah enjin 2.4 liter GDI empat-silinder 190 PS dan 2.2 liter e-VGT turbodiesel dengan 202 PS/441 Nm turut ditawarkan.

    Bahkan Korea merupakan pasaran pertama yang bakal menerima model baharu ini, diikuti oleh Eropah dan Amerika Syarikat. Malah spesifikasi dan perinciannya telah pun dipamerkan di laman web Kia, maka ia tidak akan menunggu masa yang lama untuk dilancarkan. Harga K7 di Korea Selatan bermula 30.1 juta won (RM106,363) bagi varian 2.4 GDI.

     
     
  • Toyota Corolla Altis facelift tiba di Thailand, ESport Nurburgring Edition hadir dengan kit badan baharu

    Toyota Corolla Altis updated for the Thai market, ESport Nurburgring Edition gets new bodykit
    Toyota-Corolla-Altis-ESport-Nurburgring-Edition-Thailand-1_BM

    Model penambahbaikan (facelift) Toyota Corolla Altis telah pun tiba di pasaran Thailand, menerima suntikan yang lebih segar pada bahagian dalaman serta penambahan beberapa elemen termasuk enjin. Selain daripada model standard, Corolla Altis ini turut ditawarkan dengan versi ESport dan ESport Nurburgring Edition.

    Tidak seperti di Malaysia, Corolla Altis spesifikasi Thailand ini tidak ditawarkan dengan enjin 3ZR-FE 2.0 liter Dual VVT-i empat-silinder (145 PS, 187 Nm). Sebaliknya pembeli mempunyai pilihan sama ada enjin 1.6 liter atau 1.8 liter empat-silinder Dual VVT-i.

    Untuk model terbaharu ini, enjin sebelumnya iaitu 1ZR-FE 1.6 liter telah diberi penambahbaikan bagi menambahkan lagi kuasanya iaitu 125 hp pada 6,000 rpm (sebelum ini 122 hp) dan 157 Nm pada 5,200 rpm (sebelum ini 154 Nm). Perubahan ini turut melibatkan kod bagi model enjin baharu iaitu enjin 1.6 liter diberi kod 1ZR-FBE. Enjin ini dilancarkan oleh E85 gasohol.

    Sementara itu, enjin yang lebih besar iaitu 2ZR-FBE 1.8 liter masih diteruskan dan ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 141 PS pada 6,000 rpm dan tork 177 Nm pada 4,000 rpm. Seperti mana 1ZR-FBR, enjin ini turut dilancarkan oleh E85 gasohol, dan ia dipadankan bagi kedua-dua varian Corolla Altis.

    Bagi bahagian luarannya, model standard masih dikekalkan imejnya, sama seperti model sebelumnya, selain dari lampu utama projektor LED dengan lampu nyalaan siang LED, dan cermin sisi boleh lipat secara automatik.

    Varian ESport pula menerima sedikit perubahan luaran. Bagi model ESport standard, ia turut dilengkapi dengan kit badan TRD, bersama elemen tambahan lampu kabus hadapan. Bagi ESport Nurburgeing Edition pula, ia menerima kit badan baharu sepenuhnya termasuk rim bersaiz 17-inci yang cukup sporty dan logo Nurburgring Edition.

    Toyota-Corolla-Altis-ESport-Nurburgring-Edition-Thailand-6_BM

    Untuk bahagian kabinnya, Corolla Altis ini menerima kluster instrumen baharu yang menampilkan grafik baharu, lampu indikator yang diposisi semula dan paparan pelbagai-maklumat berwarna (lebih kurang sama dengan model Toyota/Lexus). Selain itu, ia turut ditampilkan dengan roda stereng balutan kulit baharu dan teknologi Nanoe baharu bagi sistem penghawa dingin, yang mampu melembapkan lagi kulit dan rambut penumpang, selain mewangikan kabin.

    Corolla Altis ESport Nurburgring Edition turut menerima sentuhan dalaman yang lebih berbeza berbanding model standard, termasuklah tempat duduk balutan kulit berwarna hitam dengan kekemasan merah dan sulaman “ESport”, roda stereng balutan kulit, tombol gear baharu, karpet lantai merah-hitam dan sistem hiburan yang dipertingkatkan termasuk dengan pemain DVD dan fungsi navigasi.

    Harga bagi Toyota Corolla Altis baharu di Thailand ini bermula 779,000 baht (RM92,290) bagi varian 1.6J, dan 1,079,000 baht (RM127,597) untuk varian 1.8 V Navi. Manakala ESport Nurburgring Edition berharga 942,000 baht (RM111,396) bagi warna Red Mica Metallic dan 952,000 baht (RM112,579) untuk warna White Pearl Metallic.

     
     
  • LaFerrari warna ungu milik TMJ sungguh menawan

    TMJ-LaFerrari-3_BM

    Keluarga kerabat Johor memang terkenal memiliki koleksi kenderaan yang eksotik, hebat dan menawan. Semalam, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berangkat mengunjungi Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos dengan LaFerrari berwarna ungu yang sungguh menawan.

    Menerusi foto yang tersiar di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers, Yang Teramat Mulia Tuanku telah memandu sendiri jentera berkenaan yang hanya ada 499 unit di dunia. LaFerrari ini dijanakan oleh enjin 6.3 liter V12 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 789 hp pada 9,000 rpm dan tork 700 Nm pada 6,750 Nm.

    TMJ-LaFerrari-4_BM

    LaFerrari ini turut dilengkapi dengan cakera karbon seramik Brembo pada bahagian hadapan (398 mm) dan belakang (380 mm). Ia juga dipadankan dengan suspensi double wishbone pada bahagian hadapan dan multi-link di belakang. Memantapkan lagi pengendaliannya, ia turut dipadankan dengan tayar Pirelli P Zero Corsa 265/30 R19 di hadapan dan 345/30R20 di belakang.

    Bagi setiap pembelian LaFerrari, pembeli boleh menyertai Ferrari Personalisation Programme, bagi mendapatkan lebih banyak pilihan pengkhususan (customisation). Seperti LaFerrari milik TMJ ini, ia diwarnakan dengan bayangan ungu gelap, dipadankan bersama warna hitam pada bahagian bumbung dan roda, bukannya warna klasik Rossa Corsa seperti kebiasaannya.

    Amacam? Cukup gempak tak LaFerrari ungu milik TMJ ini? Peh! Sungguh menawan kalbu!

    GALERI: Ferrari LaFerrari

     
     
  • PLUS tawar rebat 30% bagi pembayaran tol secara elektronik di NSE, ELITE, NKVE sempena CNY

    TOL PLUS

    Pastinya ramai di antara kita yang merancang untuk pulang ke kampung mahu pun pergi bercuti ke mana-mana destinasi pilihan sempena cuti panjang Tahun Baru Cina (CNY) ini. Bagi yang memandu dan menggunakan lebuhraya di bawah kelolaan PLUS Malaysia, syarikat konsesi ini telah mengumumkan pemberian rebat sebanyak 30% bagi pengguna yang melakukan pembayaran tol secara elektronik. Lebuhraya terbabit ialah Lebuhraya Utara-Selatan (NSE), Lebuhraya ELITE dan Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) pada 4, 11 dan 15 Februari ini.

    Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Hj Abd Hamid, rebat tol sebanyak 30% ini akan diberikan kepada pengguna Kelas 1 (kecuali teksi) yang memandu melebihi 100 kilometer dan menggunakan pembayaran tol secara elektronik (menerusi kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go or SmartTAG) pada tarikh yang dinyatakan.

    Walau bagaimana pun, rebat tersebut tidak akan diberikan serta merta, sebaliknya pengguna perlu membayar kadar tol seperti yang ditetapkan oleh lebuhraya berkenaan. Rebat tol 30% ini hanya boleh ditebus di mana-mana pusat khidmat pelanggan PLUS antara 15 Mac hingga 14 Jun 2016.

    TnG-SmartTag

    PLUS turut menyediakan beberapa contoh mengenai rebat tol 30% ini, misalnya seorang pengguna lebuhraya yang memandu antara plaza tol Jalan Duta dan plaza tol Ipoh Selatan akan dapat jimat sebanyak RM7.95 dalam bentuk isian semula. Begitu juga jika memandu antara plaza tol Sungai Besi dan Skudai layak menerima rebat sebanyak RM12.39.

    “Rebat tol ini ditawarkan kepada pengguna pada hari-hari yang bukan puncak untuk membantu pihak PLUS melaksanakan agihan trafik. Di samping itu, ia dapat dinikmati sepanjang hari pada tarikh-tarikh berkenaan dan tidak tertakluk pada masa tertentu,” ujar Noorizah.

    PLUS menjangkakan pertambahan trafik di NSE akan meningkat sebanyak 20% iaitu mencecah 1.6 juta kenderaan sehari menjelang hari puncak iaitu pada 5, 6, 7, 9, 13 dan 14 Februari. “Oleh itu, kami akan mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk para pengguna lebuhraya merancang perjalanan mereka dan mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan menjelang hari puncak pada musim percayaan ini,” tambah Noorizah lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024