Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Gambar penuh Renault Megane Sport Tourer didedahkan sebelum pelancarannya di Geneva

    Renault-Megane-Estate-pre-Geneva-2016-1-e1456132957877_BM

    Berhubung dengan gambar ‘bayangan’ Megane Sport Tourer yang dimuat naik Renault minggu lalu, minggu ini Renault telah mengeluarkan gambar yang lebih jelas sport wagon yang bakal membuat penampilan sulungnya pada Geneva Motor Show bulan hadapan. Dibina berasaskan Megane generasi-keempat, versi wagon ini banyak membawa semula teknologi, ciri-ciri, dan juga rupa paras dari versi hatchback tetapi dengan ruang kargo yang lebih besar.

    Gambar yang didedahkan oleh Renault ini adalah dari versi Sport Tourer GT, yang menawarkan ciri yang paling sporty untuk wagon tersebut. Membawa rekaan dari versi hatchback, wagon ini menampilkan bampar hadapan yang agresif dengan gril radiator bercorak sarang lebah dan lencana GT. Apron hadapan diapit oleh dua liang kemasukan udara yang besar yang terletak dibawah lampu hadapan berbentuk-C.

    Pada bahagian sisi, dapat disaksikan badan kereta ini telah dipanjangkan sesuai dengan status wagonnya. Turut ditampilkan bar bumbung aluminium kemasan matte untuk rupa keseluruhan yang menonjol. Berbeza dengan rekaan hatchback, Sport Tourer tampil dengan cermin dan pintu belakang rekaan baharu. Rekaan pada diffuser belakang dan tip ekzos pula dilihat tidak berapa menonjol jika dibandingkan dengan model hatchback.

    Renault-Megane-Estate-pre-Geneva-2016-2_BM

    Tiada gambar untuk bahagian dalaman wagon terbaharu ini. Tapi kami jangkakan rekaan kabin adalah sama seperti model hatchback yang didatangkan dengan skrin sesentuh opsyenal 8.7-inci untuk sistem infotaimen R-Link. Ia digabungkan dengan rekaan minimalis dan juga material berwarna gelap.

    Spesifikasi mekanikal belum lagi didedahkan tetapi dijangkakan wagon ini bakal dikuasakan dengan enjin turbo petrol dan diesel seperti Megane Hatchback serta digandingkan dengan pilihan kotak gear enam-kelajuan manual atau tujuh-kelajuan klac berkembar EDC automatik. Renault dilaporkan berkata versi GT juga akan menerima sistem steering empat-roda 4Control. Perincian penuh Megane Sport Tourer akan didedahkan Renault selepas kereta ini didedahkan secara rasmi di Geneva Motor Show bulan hadapan.

    GALERI: Renault Megane hatchback

     
     
  • Toyota C-HR versi produksi bakal membuat penampilan sulung di Geneva Motor Show

    Toyota-C-HR-Geneva-teaser-e1456134913706_BM

    Pada Geneva Motor Show bulan hadapan, Toyota akhirnya akan mendedahkan versi produksi Toyota C-HR. Jenama dari jepun tersebut tidak mendedahkan sepenuhnya berkenaan crossover segmen-C ini buat masa sekarang, melainkan fakta yang sudah diketahui SUV ini direka dengan rekaan coupe lima-pintu dan juga menampilkan ‘muka’ signatur terbaru Toyota.

    Didedahkan sebagai konsep tiga-pintu pada September 2014, Toyota C-HR kemudiannya dikemaskini untuk Frankfurt Motor Show 2015 dengan tambahan dua lagi pintu. Jika konsep menampilkan rekaan baharu yang radikal daripada Toyota, versi produksi akhir mungkin tidak sedemikian.

    Merujuk pada imej garisan cahaya pendedahan awalan, boleh dibuat kesimpulan beberapa perbezaan diantara versi konsep dan versi produksi. Ini termasuklah lampu hadapan baharu yang lebih besar dan juga bumbung yang lebih tinggi. Sehingga kereta ini didedahkan sepenuhnya, semua yang kami tafsirkan masih lagi bersifat spekulatif.

    toyota-c-hr-tms2015-0011_BM

    Apa yang pasti crossover ini dibina diatas platform TNGA (Toyota New Generation Architecture), sama seperti Toyota Prius generasi-keempat. Varian hybrid mungkin akan ditawarkan untuk crossover ini.

    Selain dari Toyota C-HR ini, MPV Toyota Proace (dibina dengan kerjasama PSA Peugeot Citroen) dan Toyota Hilux (yang didedahkan pertama kali di Thailand May 2015)baharu akan turut membuat penampilan sulung Eropah di Geneva.

    GALERI: Konsep Toyota C-HR di Frankfurt Motor Show 2015


    GALLERY: Ujian Prototaip Toyota C-HR

     
     
  • Jualan kenderaan merosot pada Jan 2016 – 44,591

    MAA-Jan-2016-sales

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan kenyataan, jumlah jualan kenderaan pada Januari 2016 merosot kepada 44,591 unit berbanding 50,602 unit yang dicatatkan pada bulan sama tahun lalu.

    Jumlah jualan bagi bulan tersebut turun sebanyak 20.5% atau 11,501 unit berbanding Disember 2015 disebabkan tawaran dan diskaun daripada syarikat kereta, yang membawa kepada jualan lebih tinggi dicatatkan pada bulan itu.

    “Kelulusan pinjaman sewa beli yang lebih ketat turut mempengaruhi prestasi pasaran pada Januari 2016,” kata MAA dalam kenyataan hari ini.

    Pertengahan Januari lalu, MAA telah mengumumkan angka rasmi bagi Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi 2015, yang dianggap sebagai tahun penuh cabaran bagi industri automotif Malaysia. Walau bagaimana pun, angka yang diumumkan ini ternyata sedikit tinggi iaitu 666,674 unit berbanding 666,487 unit pada tahun 2014.

    Menerusi jadual angka jualan terbut, menunjukkan prestasi pada bulan Disember 2015 dengan jualan sebanyak 13,309 unit atau 23.7% iaitu lebih tinggi daripada bulan sebelumnya. Malah setakat ini, ia merupakan jumlah bulanan tertinggi bagi tahun lalu.

     
     
  • Honda MSX125SF diperkenalkan di Thai – RM8,303

    Honda-MSX125SF-Thailand-768x456

    Honda MSX125SF 2016 telah pun dilancarkan di Thailand, dan ia merupakan yang pertama daripada 10 model baharu yang dijangkakan akan dilancarkan dalam tempoh dua tahun ini. Turut dikenali sebagai Grom bagi sesetengah pasaran, model ini menampilkan beberapa perubahan berbanding model MX125 terdahulu.

    Masih menggunakan enjin 124.9 cc penyejuk-udara silinder-tunggal PGM-F1, MXS125SF 2016 ini mampu memberikan kuasa sehingga 9.7 hp dan 10.9 Nm pada 5,500 rpm. Walau pun motorsikal ini hanya seberat 102 kg, ia bukanlah sebuah jentera roda-dua yang berprestasi luar biasa, tetapi lebih bersifat “mencukupi”. MSX125SF ini didatangkan dengan empat pilihan warna iaitu Booster White, Burning Red, Eclipse Black dan Hyper Yellow.

    Model facelift ini turut menampilkan lampu utama LED, kluster instrumen digital, penutup tangki minyak baharu dan ekzos yang diperkemaskinikan. Honda MSX125SF 2016 ini dijual pada harga 70,500 Thai baht (RM8,303). Dalam majlis pelancarannya, A.P. Honda Thailand turut mempertontonkan beberapa model MSX125SF hasil kustom, yang menunjukkan motorsikal ini boleh kelihatan lebih unik.

    Buat setakat ini, pengedar motorsikal Honda di Malaysia, Boon Siew masih belum memberitahu bakal membawa masuk model ini ke pasaran Malaysia mahu pun tidak. Jika ia dipasarkan di sini, ia bakal bersaing dengan Kawasaki KSR yang kini dijual pada harga di bawah RM8,000.

     
     
  • Volvo V40 T4 baharu berkuasa Drive-E 2.0 liter Turbo, lebih bertenaga – harga kekal RM176k, stok terhad

    2016-volvo-v40-t4-drive-e-004_BM

    Volvo V40 T4 dengan enjin Drive-E 2.0 liter turbo empat-silinder baharu sekarang boleh didapati di Malaysia. Kami difahamkan unit-unit terhad ini hanya boleh dibeli di Volvo Clear Marque Jalan Kuching, Kuala Lumpur. Jadi jika anda berminat, jangan berlengah.

    Kami tidak dapat pastikan sama ada Volvo Car Malaysia akan membawa lebih banyak unit lagi atau tidak berbanding apa yang ada sekarang. Untuk sekarang, V40 T4 ini berharga RM175,888 atas jalan tanpa insuran sama seperti varian T4 sebelum ini.

    Enjin E-Drive 2.0 liter empat-silinder baharu ini menggantikan penjana kuasa terdahulu 1.6 liter turbo (180 hp/240 Nm) yang menawarkan kuasa yang lebih untuk varian T4 tersebut. Ia menghasilkan kuasa 190 hp dan tork maksima 300 Nm, 10 hp lebih berkuasa dan 60 Nm lebih tork.

    Model T4 di Malaysia sebelum ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat, dan mencatatkan kelajuan maksima 225 km/j. Merujuk kepada Volvo Car Malaysia, kami diberitahu T4 versi baharu janaan enjin Drive-E ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dengan kelajuan maksima yang dihadkan pada 210 km/j – ini menjadikan T4 ini sepantas varian T5.

    Unit transmisi juga telah diperbaharui dengan kotak gear enam-kelajuan automatik torque converter dari Aisin menggantikan kotak gear enam-kelajuan klac-berkembar Ford Powershift dari Getrag. Pengunaan bahan api kini dicatatkan pada 5.6 liter untuk setiap 100 km, di mana versi lama mencatatkan 6.1 liter untuk setiap 100 km.

    Hanya penukar gear pada stereng dapat dilihat sebagai ciri baru pada versi baru ini. Spesifikasi lain seperti roda aloi 16-inci lima-jejari, tip ekzos berkembar, skrin tengah lima-inci, kemasan dalaman balutan kulit dan lain-lain adalah sama seperti T4 versi terdahulu.

     
     
  • Kerajaan akan mengadakan perlumbaan motorsikal atas jalan raya KL sebagai usaha kekang lumba haram

    2015-mat-rempit-5-e1444095620332a_BM

    Dalam usaha mengekang kegiatan perlumbaan motorsikal haram, kerajaan akan mengadakan perlumbaan di sekitar jalan raya Kuala Lumpur untuk memberi peluang kepada Mat Rempit berlumba secara sah. Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, idea mengadakan perlumbaan ini adalah untuk mengatasi masalah perlumbaan motorsikal haram yang semakin berleluasa sekarang, lapor Malay Mail Online.

    Tengku Adnan berkata kerajaan akan mempertimbangkan menutup jalan di Kuala Lumpur seminggu sekali untuk tujuan perlumbaan motosikal ini. “Kemungkinan dalam satu minggu, satu atau dua hari kita akan memberikan jalan tanpa kereta dan hanya untuk Mat Moto berlumba pada waktu malam,” ujar beliau kepada wartawan, dan menambah beliau lebih suka dengan panggilan Mat Moto berbanding Mat Rempit.

    Menyedari ramai rakyat Malaysia berminat untuk berlumba dan menyertai perlumbaan haram yang lebih ekonomikal, beliau menjelaskan Putrajaya tidak mempromosikan perlumbaan haram tetapi cuba untuk mengekangnya dengan menyediakan kaedah alternatif.

    Beliau berkata kerajaan sebelum ini pernah mengadakan perlumbaan di dalam litar tertutup tetapi respons orang awam terhadap perkara tersebut kurang mendapat sambutan, di mana ia menjadi sebab mengapa mereka kembali berlumba haram di jalan raya.

    “Kami tidak mahu perlumbaan haram, tetapi kami mahu mereka berlumba di tempat yang telah ditentukan. Jika mereka mahu berlumba, tidak mengapa tetapi kami akan memberikan mereka tempat di mana kita boleh mengawal dengan halangan keselamatan dan lain-lain. Kami akan mengawal situasi kerana kami sedar ini merupakan hiburan buat mereka. Mereka tidak ada jalan lain untuk menghiburkan hati kerana faktor kos yang tinggi,” kata beliau.

    Tengku Adnan berkata beliau akan merujuk kepada pihak yang berkaitan di dalam kerajaan dan keluar dengan program mengekang isu lumba haram. “Kami akan menyediakan tempat yang selamat dan mungkin kami akan mengadakan pesta, di mana kami akan menyediakan trak yang menjual makanan serta perkara lain yang akan membantu mereka. Ini tidak menggalakkan, tapi anda akan lihat, kami mahu tengok apa yang orang suka,” jelas beliau.

    Apa pendapat anda dengan idea mengadakan perlumbaan di dalam bandar ini? adakah ia akan mengekang lumba haram atau sebaliknya? Kongsikan pendapat anda pada ruangan komen dibawah.

     
     
  • Polestar bakal membina enjin empat-silinder, 2.0 liter berkuasa 450 hp lebih efisien pada masa akan datang

    polestar-2_BM

    Divisi perlumbaan dan prestasi tinggi Volvo – Polestar, mempertimbangkan penggunaan enjin empat silinder yang berkapasiti lebih kecil dan lebih efisien. Menurut AutoExpress, walaupun kapasitinya berkurang, Polestar akan memastikan enjin tersebut berkuasa lebih dari 450 hp.

    Model Polestar sebelum ini seperti S60 dan V60 menggunakan enjin petrol T6 3.0 liter enam-silinder. Enjin tersebut menjana kuasa 345 hp dan tork 500 Nm. AutoExpress turut berkata mereka telah menguji prototaip Polestar berkuasa 450 hp pada 2014, dan percaya ia mampu dilakukan oleh jenama Sweden itu pada model berprestasi tingginya yang akan datang.

    Enjin 2.0 liter empat-silinder terbaharu yang akan ditala sehingga 450 hp tersebut mungkin menggunakan enjin Drive-E terkini Volvo. “Ini merupakan salah satu cara untuk Volvo menunjukkan yang barisan enjinnya kini mempunyai potensi untuk berkembang,” kata Olle Fast, pengurus penjana kuasa Volvo.

    polestar-1_BM

    Dalam peringkat talaan tertinggi, enjin T6 E-Drive didalam Volvo XC90, S90, dan V90 menghasilkan kuasa 320 hp dan tork 400 Nm. Dalam varian enjin berkembar Hybrid T8, kuasa ditingkatkan lagi kepada 407 hp dan tork 640 Nm. Berdasarkan maklumat ini, ia merupakan sesuatu yang istimewa dari Polestar untuk mengekstrak kuasa 450 hp hanya dengan janaan petrol.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Polestar mungkin menggunakan kuasa hibrid untuk modelnya yang akan datang. “Volvo merupakan pengeluar besar untuk plug-in hybrid. Kami banyak bekerja untuk teknologi ini supaya kami boleh pergi ke arah yang berlainan dari jenama lain,” kata pengurus produk Volvo Lars Lagstrom apabila beliau menimbulkan persoalan kepada umum berkenaan perkara ini pada Ogos lepas.

    Tiada dakwaan selanjutnya yang dibuat oleh AutoExpress berkenaan model berprestasi tinggi Polestar seterusnya, selain dari ia akan keluar dengan model S60 dan V60 generasi selepas ini. Kami boleh mengatakan ia pasti ada versi Polestar untuk model XC90, S90 dan V90.

     
     
  • Mitsubishi Malaysia naikkan harga hingga RM8.5k

    Mitsubishi-Malaysia-2016-prices

    Pada November 2015 lalu, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah pun mengumumkan kenaikan harga bagi semua modelnya efektif suku pertama 2016.

    Kenaikan harga ini didorong oleh faktor susut nilai mata wang Ringgit yang memberikan kesan terhadap kos keseluruhan pembuatan kenderaan.

    “Disebabkan perkara ini, MMM akan terus menawarkan promosi jualan yang menarik buat para pelanggan kami. Malah kami juga akan kekal komited kepada semua rakyat Malaysia untuk memastikan pengalaman pemilikan yang diingini dan kereta yang memberikan nilai pada wang,” ujar CEO MMM Yang Won-Chul.

    Mitsubishi ASX unit CKD alami sedikit perubahan, lonjakan harga yang lebih tinggi bagi Triton yang diimport dari Thai

    Kadar penstrukturan harga baharu ini telah pun diumumkan. Tiada perubahan buat Mirage, seakan memberikan gambaran model penambahbaikannya seperti yang diwar-warkan sejak kebelakangan ini bakal tiba tidak lama lagi. Pajero lama pula telah digugurkan dari barisan model tempatan, dan Attrage pula kini hanya ditawarkan untuk satu spesifikasi sahaja iaitu GS, tiada lagi SE. Untuk Attrage GS 2016, ia berharga sekitar RM75k, namun difahamkan varian ini mungkin lebih atau lebih kurang sama, tetapi tanpa lampu nyalaan siang LED.

    Manakala harga ASX pemasangan tempatan pula tidak begitu banyak berbeza, sementara Triton yang diimport dari Thailand pula mengalami lonjakan harga yang lebih besar. Carta di atas ada senarai harga penuh bagi semua barisan model Mitsubishi yang sedia ada ditawarkan di Malaysia.

    Kelemahan nilai ringgit pada tahun lalu mendorong kebanyakan pengeluar kenderaan meningkatkan harga jualan masing-masing. Antara jenama yang menaikkan harga ialah Honda, Toyota, Lexus, Kia, Peugeot, Citroen dan Audi. Malah Proton turut menaikkan kadar harga sehingga 4.6%.

     
     
  • Enjin VTEC Turbo 1.5L Honda lebih berkuasa dari apa yang didakwa Honda, lebih laju dari Civic Si 2015

    Hondata – syarikat pengeluar kotak komputer enjin (ECU) berprestasi tinggi khas untuk kereta jenama Honda mendedahkan, Honda Civic EX Generasi ke-10 menghasilkan kuasa yang lebih tinggi dari yang ditulis dalam brosur tanpa apa-apa pengubahsuaian apabila diuji di atas mesin dynometer.

    Honda mendakwa, enjin 1.5 liter VTEC Turbo itu menghasilkan kuasa maksima 174 hp dan tork maksima 220 Nm, hampir sama dengan spesifikasi Civic 2016 spesifikasi Thailand. Namun agak mengejutkan setelah diuji sendiri oleh pihak Hondata di atas mesin dynometer, menyaksikan enjin tersebut berupaya menjana kuasa 177 hp dan tork 258 Nm – 3 hp lebih dan 38 Nm lebih berkuasa dari jumlah sebenar yang diberitahu Honda.

    Ada beberapa faktor yang mungkin menyebabkan bacaan kuasa ini bercanggah. Pertama, ujian yang dijalankan oleh Honda untuk mengira kuasa enjin tersebut ialah ujian terus pada mesin dyno enjin tanpa unit transmisi. Pada ujian ini, Civic tersebut diuji dengan unit transmisi CVT, membuatkan bacaan yang tepat lebih sukar untuk diperoleh. Torque converter yang terpasang pada unit CVT mungkin boleh memberikan bacaan tork yang lebih tinggi.

    Hondata juga menjalankan ujian prestasi di mana mereka menjalankan perlumbaan drag di antara Civic 2016 varian EX dan Civic 2015 varian Si (Si adalah varian tertinggi Civic spesifikasi US di mana ia dikenali sebagai varian berprestasi tinggi dan digemari sebagai platform ubahsuai menggantikan varian Type-R). Walaupun Civic Si lebih berkuasa dengan enjin 2.4 liter DOHC i-VTEC yang mampu menjana 205 hp, tetapi dengan tork yang kuat dari Civic EX 2016 mampu menewaskan pencabarnya walaupun dalam mod Eco.

    GALERI: Honda Civic 2016 spesifikasi Amerika Syarikat

     
     
  • Kerajaan tidak cadang kaji harga minyak secara mingguan ekoran orang ramai tidak bersetuju

    RON_95_vs_RON_97_Fuel_Test_Malaysia_ 023

    Walau pun sesetengah persatuan dan pengusaha stesen minyak mendesak agar pihak kerajaan mengkaji harga minyak secara mingguan, namun buat masa ini ia tidak akan dilaksanakan.

    Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani, cadangan tersebut dilihat tidak bersesuaian untuk dilaksanakan setakat ini kerana ia tidak dipersetujui oleh orang ramai.

    “Kita tidak boleh melaksanakan perkara yang orang ramai tidak setuju walau pun perkara ini dibangkitkan oleh sesetengah persatuan atau pengusaha stesen minyak. Perkara itu tidak bersesuaian buat masa sekarang,” katanya.

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berkata tidak ada keperluan bagi pengubahsuaian seterusnya Bajet 2016 buat masa ini kerana harga minyak mentah dijangka stabil sekitar US$30-US$40 setong.

    Perdana Menteri berkata, kerajaan mungkin menimbang mengubahsuai bajet sekiranya harga minyak jatuh di bawah US$30 setong.

     
     
  • Volvo sasar penggunaan kunci digital menjelang 2017

    Menjelang 2017, kunci kereta mungkin menjadi alat yang hanya tinggal sejarah jika anda memandu Volvo. Pembuat kereta dari Sweden itu merancang untuk menjadi pengeluar pertama dalam dunia untuk menggantikan kunci fizikal kepada kunci digital, yang berfungsi menerusi aplikasi telefon pintar. Kunci tersebut menggunakan hubungan Bluetooth pada telefon pintar pemilik kereta. Menurut Volvo, fungsi ini turut menampilkan cara baharu untuk menggunakan dan berkongsi kereta.

    Selain daripada boleh mengunci dan membuka kunci kereta, aplikasi tersebut juga membolehkan pengguna membuka but belakang dan menghidupkan enjin tanpa kunci fizikal berdekatan. Volvo juga menambah teknologi tersebut juga membolehkan pengguna mendapatkan lebih daripada satu kunci digital di mana ini membolehkan mereka mengakses kereta Volvo yang lain.

    Dengan aplikasi tersebut, ia membolehkan syarikat kereta sewa menggunakan ciri ini untuk mengelakkan masalah beratur panjang di kaunter. Pengguna di seluruh dunia boleh menempah dan membayar kereta sewa dan kemudian kunci digital tersebut akan dihantar terus ke telefon pintar mereka. Apabila sampai ke destinasi, mereka boleh mengesan kedudukan kereta tersebut dengan sistem GPS dan terus memandunya.

    175627_Volvo_Cars_digital_key-e1455877116605_BM

    Selain itu juga, pemilik Volvo boleh menghantar kunci digital mereka kepada ahli keluarga, kawan atau rakan setugas melalui telefon pintar mereka, membolehkan mereka menggunakan kereta tersebut. Menurut Henrik Green, naib presiden strategi produk dan pengurusan kenderaan Volvo Cars, keperluan mobiliti sedang berolusi dengan jangkaan pelanggan untuk “mengakses kereta dengan cara yang mudah.”

    “Teknologi kunci digital kami yang inovatif berpotensi untuk mengubah keseluruhannya bagaimana kereta Volvo boleh diakses dan dikongsi. Kereta boleh digunakan lebih kerap dan efisien oleh sesiapa yang pemilik mahu daripada dibiarkan tidak berfungsi di tempat letak kereta,” tambah Green.

    Volvo akan memulakan teknologi ini pada musim bunga 2016 melalui Sunfleet – syarikat kereta sewa mereka, berpangkalan di lapangan terbang Gothenberg di Sweden. Selepas itu, beberapa kenderaan komersil akan dikeluarkan dengan teknologi kunci digital menjelang 2017. Sebelum ini jenama dari Sweden tersebut melengkapkan penggunaan kunci digital ini untuk kegunaan penghantaran ‘in-car’ melibatkan Postnord, Lexmer.com dan Mat.se d Sweden.

     
     
  • Polis tetap dengan cadangan kadar saman trafik naik

    PDRM-4

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan cadangan menaikkan kadar kompaun maksimum sebagai satu usaha menurunkan statistik kemalangan jalan raya maut yang meningkat sepanjang tahun.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Muhd Fuad Abu Zarim berkata pihaknya kini sedang meneliti proses bagi tujuan itu termasuk pindaan dari sudut perundangan sebelum ia dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini, memetik laporan The Sun.

    Tanpa menyebut jumlah kenaikan kadar kompaun berkenaan, beliau berkata sudah tentu ia akan melalui proses perundangan kerana sebelum ini kadar bayaran maksimum RM300 yang ditetapkan merupakan sebahagian daripada Seksyen 120 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Jadi kalau kita mahu melakukan pindaan, ia perlu melalui proses di peringkat jemaah menteri, kemudian akan dibentangkan di Parlimen dan setelah diluluskan oleh Parlimen barulah boleh ia dikuatkuasakan.

    “Untuk sementara waktu ini, kita masih mengguna pakai undang-undang sedia ada dan harap pindaan tersebut dapat dilaksanakan selewat-selewatnya hujung tahun ini,” katanya.

    PDRM-9

    Muhd Fuad berkata kadar kompaun berkenaan dilihat wajar dinaikkan memandangkan ia tidak pernah dinaikkan sejak 28 tahun lalu dan mungkin kadar berkenaan terlalu ringan sehingga tidak lagi memberi kesan kepada pengguna jalan raya.

    “Hasil pemerhatian PDRM, saban tahun pelbagai usaha dijalankan bagi mengurangkan kemalangan jalan raya termasuk kempen keselamatan dan operasi khas sempena musim perayaan, namun seolah-olah ia tidak memberi kesan kepada pengguna jalan raya.

    “Jadi kita berharap dengan kenaikan kadar kompaun ini sedikit sebanyak dapat memberi peringatan kepada pengguna jalan raya agar lebih mematuhi peraturan jalan raya sekali gus mengurangkan kadar kemalangan maut yang semakin meningkat saban tahun,” katanya.

    Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mencadangkan agar jumlah kompaun maksimum dinaikkan sebagai antara inisiatif mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.

    Menurut Khalid, tindakan itu bagi mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dalam pemanduan kerana mereka masih dilihat penyumbang utama kepada kemalangan.

     
     
  • Ducati Multistrada 2016 kini dipamerkan di Next Bike – RM119,999 untuk 1200 dan RM135,999 untuk 1200 S

    2016-Ducati-Multistrada-18_BM

    Ducati Multistrada 1200 2016 dan 1200 S telah mula dipamerkan di bilik pameran Next Bike Petaling Jaya pada 19 Februari lalu. Berevolusi dari Multistrda 1100, generasi terbaharu Multistrada 1200 ini menampilkan ciri terkini enjin Testastretta DVT (Desmodromic Variable Timing) di mana ia mempunyai kawalan bebas pada aci sesondol kemasukan dan ekzos.

    Tempoh perbatuan untuk talaan pelarasan kelegaan injap telah ditambah untuk Multistrada 2016 dari setiap 24,000 km kepada setiap 30,000km. Begitu juga dengan tempoh perbatuan servis menukar minyak pelincir yang telah ditambah dari setiap 6,000 km sebelum ini kepada setiap 7,500 km. Hal ini telah di sahkan oleh pengurus servis Next Bike, Mathan Kumar. Ducati telah mengesyorkan motorsikal di Malaysia menukar minyak pelincir lebih awal berbanding motosikal di Eropah di mana tempoh had perbatuan mereka di sana ialah setiap 15,000 km.

    Jentera tunggangan pelbagai gaya ini membolehkan ia ditunggang sebagai tunggangan sport, touring, mahupun cruising, tetapi kelebihan utamanya ialah semasa kelajuan tinggi di lebuh raya dan jalan biasa. Sistem DVT direka untuk mengoptimakan kuasa pada setiap peringkat rev enjin – membolehkan kuasa sentiasa ada pada rev tinggi, rendah, serta semasa bukaan injap pendikit yang kecil. Enjin ini berfungsi pada tahap yang paling optima jika menggunakan bahan api bergred Euro Four dengan kuasa maksima 160 hp dan tork maksima 136 Nm.

    Inertial Measurement Unit (IMU) dilengkapkan pada Multistrada 2016 untuk mengukur tahap roll, yaw, dan pitch. Informasi ini dihantar pada unit pengurusan enjin yang membolehkan sistem ABS mengawal brek walaupun ketika motorsikal ini melepasi selekoh tanpa tayar kehilangan traction.

    Ducati Wheelie Control (DWC) memperbetulkan pergerakan ke atas roda hadapan untuk memastikan cengkaman maksimum dan cengkaman memecut. Sistem ini boleh dinyah aktifkan sekiranya penunggang mahu melakukan aksi wheelie secara manual untuk kepuasan maksimum. Model 1200 S juga dilengkapi dengan sistem suspensi aktif “Skyhook” Ducati untuk memastikan kedua-dua roda sentiasa mencengkam permukaan jalan.

    Kedua-dua varian didatangkan sekali dengan kawalan kelajuan dan ABS sebagai ciri standard, dan 1200 S telah ditambah fungsi Bluetooth, yang membolehkan penunggang menghubungkan telefon pintar dengan sistem motorsikal. Data seperti informasi tunggangan dan laluan yang direkod boleh dimuat naik ke internet dan media sosial.

    1200 S turut datang dengan lampu membelok yang akan diaktifkan apabila penunggang melakukan aksi ‘konar baring’ serta paparan LCD pelbagai warna. Ferrari turut membantu dalam pembangangunan sistem elektronik Multistrada ini.

    Boleh didapati dengan warna merah racing Ducati, Multistrada 2016 1200 dijual dengan harga di atas jalan tanpa insuran RM119,999 termasuk GST. Manakala untuk model 1200 S dijual dengan harga di atas jalan tanpa insuran RM135,999 termasuk GST.

    Maklumat dalaman Ducati Malaysia memberitahu pihak paultan.org secara eksklusif, sebanyak enam model baharu dijangka akan memasuki pasaran Malaysia pada suku ketiga tahun ini. Ia adalah Hypermotard 2016 dan Hyperstrada 939, Panigale 959, Multistrada Enduro dan Scrambler 400.

    GALERI: Ducati Multistrada 2016

     
     
  • Tram bakal diperkenalkan di Putrajaya dan Cyberjaya

    Yarra trams in Melbourne-02

    Kementerian Wilayah Persekutuan bercadang untuk membina sistem pengangkutan awam baharu, trem di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya dalam masa tiga tahun akan datang.

    Menurut Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, pembinaan kemudahan itu dilihat sebagai alternatif yang sesuai bagi mengatasi kesesakan di kawasan yang sedang mengalami pertambahan penduduk di wilayah terbabit.

    Beliau berkata jenis pengangkutan itu dipilih kerana ia dilihat lebih berekonomi berbanding pembinaan monorel seperti yang dirancang sebelum ini.

    “Perkara ini telah pun dibincangkan bersama Majlis Ekonomi Negara dan kita melihat pembinaan trem akan menyelesaikan projek monorel yang tertangguh sebelum ini dan ia lebih murah,” katanya.

    Rancangan pembinaan monorel Putrajaya sepanjang 18 kilometer sebelum ini telah ditangguhkan pada pertengahan 2004 kerana ketiadaan peruntukan.

    Tengku Adnan berkata beliau yakin pihak Unit Perancang Ekonomi akan membuka ‘Request for Proposal’ kepada syarikat-syarikat yang berminat untuk pembinaan pengangkutan awam tersebut dalam masa terdekat.

    Beliau berkata melalui pembinaan kemudahan baharu itu, diharapkan warga Putrajaya dan Cyberjaya akan memperoleh keselesaan menggunakan pengangkutan awam terutamanya untuk ke pejabat dan mengurangkan kesesakan ketika waktu puncak.

     
     
  • Op Selamat 8: Kadar kemalangan meningkat, kes kematian menurun – Timbalan KPN

    PDRM_SpeedTrap

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengumumkan statistik bagi Op Selamat yang diadakan sempena Tahun Baru Cina yang berakhir Isnin lepas.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, sebanyak 19,572 kes kemalangan dicatatkan dalam Op Selamat 8 itu. Beliau turut berkata walaupun kes kemalangan meningkat sebanyak 478 kes berbanding tempoh yang sama tahun lepas, namun kadar kematian menurun sebanyak 28 orang iaitu 279 berbanding 307 mangsa tahun lepas, laporan Bernama.

    “Berbanding rekod yang dicatatkan pada tahun lepas, ia mencatatkan sebanyak 19,094 kes dan tahun ini meningkat kepada 19,572 kes. Kesalahan sama masih berlaku termasuk menggunakan lorong kecemasan, memandu laju dan gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas,” katanya.

    Crash-accident-collision

    Dalam masa yang sama, PDRM turut mengumumkan kontinjen Johor sebagai kontinjen/daerah terbaik Op Selamat 8/2016, disusuli oleh Perak dan Kelantan.

    Bagi peringkat daerah pula, Johor Baharu Selatan diumum sebagai daerah terbaik, Kota Setar dan Kuala Selangor masing-masing di kedudukan kedua serta ketiga.

    Noor Rashid turut berkata, penubuhan ‘Strike Force’ dalam Op Selamat 8 di zon selatan iaitu kontinjen Negeri Sembilan, Melaka dan Johor telah menunjukkan kesan positif.

    Sambungnya lagi, “Team-team kecil ini yang berpangkalan di Muar, Johor telah bergerak secara berkala ke lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘kawasan panas’ kemalangan atau lokasi kesesakan trafik yang tinggi.”

    Melihat akan keberkesanannya ini, PDRM tidak menolak akan mengkaji keperluan dan kesesuaian pendekatan ini untuk dilaksanakan di zon-zon lain iaitu zon utara, pantai timur dan zon tengah bagi operasi akan datang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025