
Anak syarikat Proton, Pro-Net Sdn Bhd selaku pengedar rasmi kenderaan elektrik jenama smart di Malaysia bakal memperkenalkan sebuah lagi model terbaru jenama itu untuk pasaran tempatan dalam tahun ini juga, iaitu model smart #5. Ini merupakan model ketiga smart untuk pasaran Malaysia, sejak pengenalan smart #1 pada November 2023 dan juga smart #3 pada Julai 2024.
Dipertontonkan kepada wakil media awal minggu ini, smart #5 menjadi model jenama itu yang besar di sini, setakat ini — ia sebuah SUV elektrik dalam segmen C yang akan menjadi pesaing kepada beberapa model baru SUV elektrik yang lain dalam kelas yang sama seperti Zeekr 7X yang baru sahaja dilancarkan minggu lalu, Tesla Model Y, Xpeng G6, BYD Sealion 7, BMW iX3 dan Mini Countryman SE.
smart #5 2025 dibangun menggunakan platform SEA3/PMA2+ (antaranya sama dengan Zeekr 7X) dan mempunyai ukuran dimensi seperti berikut: 4,695 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,705 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,900 mm. Sekadar perbandingan dengan model Honda CR-V, model popular segmen C bukan-EV itu mempunyai ukuran 4,691 mm panjang, 1,866 mm lebar, 1,681 mm tinggi dengan jarak roda 2,701 mm — dua model ini mempunyai panjang yang hampir sama, tetapi jarak roda yang sedikit berbeza. Seperti kebiasaan penawaran bagi model elektrik, ukuran dimensinya akan sedikit besar berbanding ukuran bagi segmen yang sama bagi model bukan-EV.
Untuk pasaran Malaysia, bakal ada tiga varian yang akan diperkenalkan nanti: smart #5 Pro, Premium dan juga Brabus. Untuk tujuan preview ini, hanya dua varian yang ditunjuk, iaitu Premium dan Brabus — dengan beberapa perkara yang masih sedang diperhalusi bagi tahap akhir untuk penawaran tempatan.

Spesifikasi utama yang membezakan setiap varian adalah seperti berikut:
smart #5 Pro
- Binaan EV: 400V
- Output motor elektrik: 340 PS (335 hp dan 250 kW) dan 373 Nm; RWD
- 0-100 km/j: 6.9 saat
- Laju maksimum: 200 km/j
- Bateri: 76 kW lithium iron phosphate (LFP)
- Range (WLTP): 465 km
- Pengecasan AC: 11 kW; 10-80% dalam masa 8.5 jam
- Pengecasan DC: 150 kW; 10-80% dalam masa 30 minit
smart #5 Premium
- Binaan EV: 800V
- Output motor elektrik: 363 PS (358 hp atau 267 kW) dan 373 Nm; RWD
- 0-100 km/j: 6.5 saat
- Laju maksimum: 200 km/j
- Bateri: 100 kWj nickel cobalt manganese (NCM)
- Jarak (WLTP): 590 km
- Pengecasan AC: 22 kW; 10-80% dalam masa 4.5 jam
- Pengecasan DC: 400 kW; 10-80% dalam masa 15 minit

smart #5 Brabus
- Binaan EV: 800V
- Output motor elektrik depan: 224 PS (221 hp atau 165 kW) dan 270 Nm
- Output motor elektrik belakang: 421 PS (416 hp atau 310 kW) dan 440 Nm
- Keseluruhan output sistem: 646 PS (637 hp atau 475 kW) dan 710 Nm; AWD
- 0-100 km/j: 3.8 saat
- Laju maksimum: 210 km/j
- Bateri: 100 kWj nickel cobalt manganese (NCM)
- Jarak (WLTP): 540 km
- Pengecasan AC: 22 kW; 10-80% dalam masa 4.5 jam
- Pengecasan DC: 400 kW; 10-80% dalam masa 15 minit
Dari segi rekaan, berbanding dengan dua model smart sebelum ini, smart #5 menampilkan rekabentuk berkotak dan tegap. Model sebelumnya memiliki rekabentuk yang sangat berbeza — begitu juga dengan wajah depan antara mereka yang saling tak sama — dengan membawakan imej lengkung yang sangat sinonim dengan tanggapan meluas terhadap sesebuah kenderaan EV secara umum.
Wajah depan smart #5 juga unik dengan adanya empat lampu kecil di sepanjang garis lebar kereta ini, yang dilengkapi dengan lampu utama matrix LED Cyberlight, dengan DRL dalam bentuk yang bujur sama seperti lampu kecil yang dinyatakan itu.
Imej rekaan yang sama ini turut dihadirkan untuk bahagian belakang; empat lampu kecil berkenaan juga ada di sana. smart #5 dari belakang juga kelihatan tegap dan lebar dengan bahagian cermin dan tiang D yang yang tebal dan tegak.
Yang membezakan penampilan antara varian ialah rekaan bampar. Pro dan Premium menggunakan rekaan yang sama, dengan bahagian apron bawah ada tiga jalur menegak, yang diletak di belakang skid plate warna badan dengan jalur melintang. Turut ada ialah bukaan udara sebenar bersegi di sudutnya.
Bampar untuk varian Brabus pula tampil lebih garang, terutama bahagian bawahnya, lengkap dengan perincian merah bagi menandakan aspirasi sportnya. Perincian merah ini turut menghiasi bahagian lain untuk versi Brabus, misalnya landasan di bumbung dan angkup brek.
Jika anda perhatikan dari dekat, di bahagian cermin depan, belakang dan sisi kereta ini ada didatangkan dengan ikon panda yang comel — antaranya yang sedang minum kopi dan tidur. Mungkin ini melambangkan ikon haiwan yang sangat terkenal di China, atau memberi bayangan bahawa smart #5 ini tetap membawa semangat “comel” yang sama dalam pendekatan rekaannya.
Sentuhan lain yang menunjukkan smart #5 ini adalah sebuah SUV EV premium adalah seperti tingkap pintu tanpa bingkai, bumbung panoramik kaca yang luas (1.7 meter dengan penghadang matahari kuasa elektrik), pintu ruangan barang belakang kuasa elektrik, lambang di rim yang kekal rata (untuk Premium) serta sensor NFC di tiang B untuk digunakan dengan kad kunci atau telefon pintar dengan aplikasi.

Di dalam, elemen rekaan bujur yang nampak diluar diteruskan dengan ketara. Papan pemuka yang rapat ke cermin depan, dalam sekali lihat nampak seperti skateboard deck; saiznya besar terbentang di tengah dengan menempatkan dua skrin sentuh bersaiz 13-inci AMOLED 2.5K. Menurut smart, rekaan papan pemuka ini sebenarnya mengambil ilham daripada tie clip.
Skrin utama di tengah adalah untuk kegunaan fungsi infotainmen, dengan skrin yang kedua di depan penumpang depan menempatkan fungsi yang dikurangkan dan bertujuan untuk kendalian dan penggunaan media. Untuk pemandu, tersedia kluster instrumen digital 10.3-inci dan juga head-up display 25.6-inci dengan augmented reality.
Sistem kereta ini dikuasakan oleh cip AMD V2000, yang turut melibatkan storan sebesar 256 GB dan memori 24 GB — sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto juga disediakan, berserta dengan capaian terhadap ChatGPT, bantuan suara digital dan kemaskini perisian over-the-air (OTA). Seperti juga #1 yang hadir dengan avatar musang dan #3 dengan avatar cheetah, #5 kini menggunakan avatar singa.
Satu lagi penawaran yang memikat bagi Premium dan Brabus adalah sistem bunyi dari Sennheiser, dengan output puncak 2,000 watt, audio AMBEO 3D (tetapan 7.1.4), Dolby Atmos serta dengan 20-pembesar suara dengan satu daripadanya akan turun-naik dari bahagian papan pemuka. Selain itu, ada juga sistem lampu ambient dengan 256-warna yang menawarkan 36 tetapan pencahayaan.

Kemasan ruang kabin smart #5 ini juga sangat menarik, dengan 90% daripadanya terdiri daripada material permukaan lembut, termasuklah kulit Nappa (Premium) dan gentian mikro Dinamica (Brabus). Walaupun untuk varian Premium yang ditunjukkan ini menggunakan balutan kulit warna coklat, versi yang akan dijual di pasaran tempatan nanti adalah dengan warna hitam.
Bagi aspek praktikaliti, smart #5 ini menyediakan ruang but seluas 630 liter (termasuk 110 liter di bawah lantai), dan boleh dilanjutkan menjadi 1,530 liter dengan merebahkan kerusi. “Frunk” juga memberikan ruang tambahan: bagi Pro dan Premium yang dipacu roda belakang, 72 liter tersedia, sementara untuk Brabus dengan pacuan semua roda, 40 liter tersedia di depan. Selain itu, ada 34 ruang storan lain untuk kereta ini.
Kamera yang ada untuk #5 juga lebih baik daripada model #1 dan #3: kini resolusinya lebih tinggi. Unit di depan kini 8-megapiksel (berbanding 1.7 megapiksel), sementara empat lagi kamera yang membolehkan paparan sekeliling kini 3 MP (daripada 1.3 MP). #5 juga datang dengan kamera belakang 3MP yang tiada untuk dua model sebelumnya itu.
Untuk sistem keselamatan, kamera berkenaan berserta lima radar dan 12 penderia ultrasonik akan memberi input kepada cip Nvidia Drive OrinX untuk membolehkan fungsi pencegahan pintar kereta ini, seperti AEB depan dan belakang, bantuan mengekalkan lorong, kawalan melayar adaptif, pengesan titik buta, amaran perlanggaran depan dan banyak lagi.

Kelengkapan standard untuk varian Pro antaranya termasuklah kerusi balutan kulit buatan untuk kerusi dan kemasan pintu, lampu tinggi automatik, pintu ruang kargo kuasa elektrik, tiga mod pemanduan (Eco, Comfort dan Sport), lampu ambient 256-warna, serta tujuh beg udara.
Premium pula menerima tambahan antaranya pintu kargo belakang larasan sensor kaki, pemegang pintu terselindung dan bercahaya, lampu LED di bahagian sill plates, kulit Nappa (stereng, kerusi, kemasan pintu), lampu tinggi adaptif, larasan lampu utama automatik, lampu kedudukan dinamik dan fungsi tambahan untuk lampu ambient.
#5 Brabus pula menerima tambahan mod pemanduan Snow, Sand, Mud, Rock, Adaptive dan Brabus. Ia juga datang dengan suspensi sport (ada suspensi udara untuk pasaran China) dan simulasi bunyi enjin.
Untuk Premium, ada empat pilihan warna di berikan: Meta Black, Cyber Silver, Pulsar Ruby dan Saturn Beige (dalam gambar) — semuanya dengan bumbung warna Eclipse Black dan warna kabin Shadow Black. Brabus juga menerima warna bumbung dan kabin yang sama, tetapi dengan pilihan warna badan luarannya terdiri daripada Atom Grey Matte (gambar), Meta Black dan Digital White.
Untuk harga, belum ada sebarang petunjuk diberikan. Melihat kepada penawar sedia ada smart di Malaysia dengan model #1 (antara RM169,000 hingga RM249,000) dan #3 (RM175,000 hingga RM255,000), sebagai model flagship tentulah #5 ini akan lebih mahal.
Sekadar mencari bayangan harga dengan membandingkan harga model-model pesaingnya seperti dinyatakan pula: Zeekr 7X (RM179,800 hingga RM226,800), Xpeng G6 (RM168,820 hingga RM188,820) dan BYD Sealion 7 (RM184,500 hingga RM200,500) dengan Tesla Model Y pula lebih mahal (RM195,450 hingga RM242,450).
smart #5 Premium 2025
smart #5 Brabus 2025