Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Yamaha MT-09 Tracer kini di Malaysia – RM59,900

    2017-Yamaha-MT-09-Tracker-32

    Dipertontonkan kepada media tempatan buat pertama kali ketika pelancaran model Yamaha Bolt pada Oktober 2015, Hong Leong Yamaha kini memperkenalkan secara rasmi model Yamaha MT-09 Tracer untuk pasaran Malaysia pada harga RM59,900.

    Jentera sports tourer ini dilengkapi dengan enjin 849 cc empat lejang tiga silinder DOHC 12-injap sejukan cecair ini menjana 113 hp pada 10,000 rpm dan 93 Nm tork pada 8,500 rpm, menjadi pelengkap kepada model Yamaha MT-09 standard yang dipasarkan sebelum ini (dan dijual pada harga RM44,653). Bagi sistem transmisi, ia digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan dan dilengkapi dengan ciri ABS serta kawalan cengkaman sebagai ciri standard.

    Yamaha MT-09 Tracer direka untuk menjadi sebuah jentera jelajah jarak jauh, dengan kedudukan penunggang lebih tegak. Berat keringnya adalah 190 kg, manakala kapasiti tangki petrol adalah 18 liter.

    Ditawarkan dalam warna Race Blu untuk pasaran Malaysia, Yamaha MT-09 Tracer dijangka akan mula berada di bilik pameran pengedar sah Yamaha yang terpilih seluruh negara bermula pertengahan Julai ini. Harga jualannya ialah RM59,900 tidak termasuk GST, cukai jalan, insurans dan nombor pendaftaran.

    Bagi pasaran antarabangsa, barisan lengkap perkakasan tambahan dan aksesori bagi model ini turut ditawarkan sebagai pilihan. Namun, untuk pasaran tempatan masih belum dapat dipastikan.

     
     
  • Mazda dan Isuzu umum kerjasama bagi trak pikap

    Mazda telah mengumumkan secara rasmi keputusan untuk memeterai perjanjian dengan Isuzu dalam kerjasama membangunkan model trak pikap. Sebagai sebahagian daripada perjanjian ini, Isuzu akan memproduksikan trak pikup generasi akan datang bagi Mazda, yang dibangunkan mengikut model trak pikap Isuzu.

    Walau bagaimana pun, kedua-dua syarikat berkenaan masih belum memberikan perincian lanjut mengenai kerjasama ini, kecuali model tersebut akan diproduksikan oleh Isuzu untuk Mazda dan ia adalah untuk pasaran global (kecuali Amerika Utara). Malah model baharu ini juga bagi meningkatkan daya saing produk Isuzu, dan menyesuaikannya dengan barisan produk Mazda.

    “Mazda dan Isuzu telah menjalinkan hubungan kerjasama ini selama lebih 10 tahun, dengan Isuzu memproduksikan trak Mazda bagi pasaran Jepun. Melalui perjanjian ini, ia dapat meneruskan hubungan kerjasama dalam jangkamasa yang panjang antara Mazda dan Isuzu,” ujar wakil kedua-dua syarikat dalam kenyataan media yang dikeluarkan.

    Walau bagaimana pun, masih belum diketahui adakah Mazda BT-50 generasi akan didatang bakal dibangunkan berdasarkan Isuzu D-Max, dan ia akan dimaklumkan pada keputusan akhir kerjasama itu. Senario yang hampir sama dengan Isuzu yang terus membekalkan trak tugas-ringan Isuzu N-Series (atau Elf) kepada Mazda, dengan rebadged sebagai Mazda Titan.

    Sebelum ini, terdapat laporan mengatakan BT-50 generasi akan datang bakal dibangunkan berasaskan model Toyota Hilux, selepas kedua-dua syarikat menandatangani perjanjian jangkamasa panjang pada Mei 2015. Buat masa ini, Mazda BT-50 dibangunkan berdasarkan Ford Ranger T6 dan kedua-duanya dibina di kilang AutoAlliance di Thailand.

    GALERI: Mazda BT-50 2.2AT 2016 di Malaysia

     
     
  • GALERI: Toyota Sienta 2016 di Mitsui Outlet Park

    Toyota_Sienta_Ext-2

    Pada 5 hingga 10 Julai yang lalu, Toyota telah mempamerkan MPV Toyota Sienta 2016 di Mitsui Outlet Park KLIA. Ini merupakan penampilan kedua Sienta di khalayak ramai di Malaysia, selepas pertama kali dipertontonkan di My Auto Fest 2016 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) Mei lalu.

    Untuk mereka yang tidak berkesempatan untuk melihat sendiri MPV baharu Toyota yang bakal dilancarkan tidak lama lagi ini, kami sediakan galeri penuh untuk anda menjamu mata. Dengan pencahayaan yang lebih baik dan suasana yang lebih tenang berbanding di MIECC, galeri kali ini memberikan perincian yang lebih jelas untuk anda.

    Walaupun belum diumumkan tarikh pelancarannya, harga untuk Sienta telah pun dikeluarkan oleh pihak UMW Toyota bulan lalu iaitu bermula RM92,900 untuk varian asas 1.5G dan RM99,900 untuk varian tertinggi 1.5V. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan dengan insuran, beserta perlindungan waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

    Model yang dipamerkan ini merupakan model varian 1.5V, diimport sepenuhnya (CBU) dari Indonesia. Ia dilengkapi dengan lampu hadapan bi-LED dengan lampu kedudukan LED, roda aloi 16-inci digilap dan lampu penunjuk pada lampu belakang. Model 1.5G hanya dilengkapi dengan lampu hadapan halogen, roda aloi 15-inci dan lampu belakang LED kosong. Kedua-dua model didatangkan dengan lampu nyalaan siang secara standard.

    Toyota_Sienta_Ext-16

    Bahagian dalaman Sienta turut menampilkan rekaan funky seperti bahagian luarannya dengan papan pemuka dua tingkat dan panel instrumen yang diletakkan pada kedudukan yang agak tinggi. Bahagian konsol tengah untuk Sienta pasaran Malaysia juga agak berbeza dari model JDM di mana ia menempatkan suis kawalan penghawa dingin yang unik, tuil penukar gear dan ruang storan tambahan.

    Model pasaran Malaysia juga dilengkapi dengan penghembus hawa dingin tambahan untuk bahagian belakang. Walau bagaimanapun, fungsi tempat duduk barisan ketiga yang boleh dilipat dan disorokkan pada tempat duduk barisan kedua dengan hanya satu tuil masih dikekalkan.

    Model 1.5V juga dilengkapi dengan cermin hadapan acoustic, sistem kunci pintar berserta butang penghidup enjin, meter Optitron, paparan pelbagai informasi seperti Camry, penghawa dingin automatik, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 6.8-inci berserta dengan kawalan suara serta kamera undur.

    Ia juga menerima kemasan upholsteri fabrik berwarna perang, roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit, pintu gelangsar belakang bantuan kuasa untuk kedua-dua belah, filem penapis haba dan keselamatan premium serta kamera rakaman video digital seperti yang terdapat pada Hilux dan Fortuner baharu. Kesemua ciri berkenaan tidak terdapat pada model 1.5G di mana ia hanya menerima unit pemain audio utama 2-DIN dengan hubungan Bluetooth, tempat duduk berwarna hitam dan hanya pintu gelangsar belakang bahagian kiri dilengkapi dengan bantuan kuasa elektrik.

    Toyota_Sienta_Int-17

    Kedua-dua varian menerima sistem keselamatan yang sama secara standard meliputi tiga beg udara (termasuk sebuah untuk bahagian lutut pemandu), ABS berserta EBD dan Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki (HAC) dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX pada tempat duduk baris kedua.

    Pembeli juga ditawarkan pilihan aksesori opsyenal untuk varian 1.5G yang terdiri dari skrin sesentuh dengan fungsi pemain DVD-AVX dan kamera undur berharga RM2,109, sistem tanpa kamera undur berharga RM2,014 dan filem penapis haba keselamatan premium berharga RM2,109.40. Untuk pembeli varian 1.5V pula, mereka ditawarkan dengan pilihan opsyenal sistem navigasi DVD-AVN bernilai 3,169.

    Kedua-dua varian dikuasakan dengan enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i yang sama seperti yang terdapat pada Toyota Avanza facelift, menghasilkan kuasa 107 PS dan tork 143 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear CVT automatik memacu tayar hadapan.

     
     
  • Op Selamat 9/2016: Kes kemalangan jalan raya meningkat 2.5%, kadar kematian menurun 15.8%

    Crash accident collision

    Sejak dilancarkan pada 29 Jun lalu, setakat 11 hari berlangsungnya Op Selamat 9/2016 telah mencatatkan sebanyak 15,524 kes kemalangan jalan raya di seluruh negara. Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 2.5% atau 377 kes berbanding 15,147 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Mahamad Akhir Darus, walau bagaimanapun jumlah kemalangan maut didapati menurun sebanyak 38 kes atau 15.8% apabila mencatatkan 203 kes berbanding 241 kes tahun lepas, laporan Bernama.

    Katanya, Selangor telah mencatatkan negeri yang paling banyak berlakunya kemalangan jalan raya iaitu 4.064 kes, diikuti Johor (2,351), Kuala Lumpur (1,707), Perak (1,298) dan Pulau Pinang (1,146).

    “Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang 11 hari operasi sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini juga menurun kepada 229 kes berbanding 266 kes tahun lepas iaitu penurunan 37 kes atau 13.9%.

    “Walau bagaimana pun, PDRM akan terus melakukan pemantauan dan penguatkuasaan sehingga operasi itu tamat pada 13 Julai ini bagi memastikan kadar kemalangan jalan raya tidak terus mencatatkan peningkatan pada Aidilfitri tahun ini,” ujarnya kepada pihak media.

    Malah, katanya lagi, PDRM tidak akan mengurangkan kekuatan anggota seramai 5,800 polis trafik dalam Op Selamat 9 ini sehingga tamat operasi.

    Dalam masa yang sama, Mahamad Akhir turut berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati pematuhan pemandu terhadap larangan menggunakan lorong kecemasan terutamanya di lebuhraya semakin bertambah baik berbanding tahun sebelum ini.

    “Secara umumnya jumlah saman yang dikeluarkan kepada pemandu bagi kesalahan tersebut juga dilihat semakin menurun setakat 11 hari operasi itu jika dibandingkan dengan tahun lepas,” ujarnya tanpa memberitahu secara spesifik jumlah saman yang telah dikeluarkan bagi kesalahan tersebut.

     
     
  • Honda Freed 2016 serba baharu didedahkan – dua penjana kuasa, bakal menyaingi Toyota Sienta

    All-new-2016-Honda-Freed-1

    Honda telah menyebarkan imej pertama Freed generasi akan datang menerusi laman web rasminya, bersama beberapa perincian mengenai penjana kuasanya.

    Seperti mana yang dilihat, Freed serba baharu ini kelihatan menyamai imej paten yang pernah tersebar sebelum ini, namun memiliki sedikit perbezaan yang signifikan dengan model sebelumnya. Pada bahagian hadapannya, imej ‘Solid Wing’ kelihatan pada lampu utama baharu yang disambung pada bar yang lebih besar pada gril, dengan bilah yang lebih nipis di bawahnya.

    Freed baharu ini juga telah dipadankan dengan hud yang direka semula, yang lebih besar berbanding sebelum ini, selari dengan kelebaran lampu utama. Menurut Honda, penjana kuasa pilihan dengan enjin 1.5L i-VTEC DOHC atau Sport Hybrid i-DCD akan ditawarkan bagi Freed ini, bersama sistem Integrated Motor Assist (IMA) untuk mempertingkatkan penjimatan bahan api.

    All-new-2016-Honda-Freed-2

    Pada bahagian sisinya, Freed ditampilkan dengan profil yang lebih familiar, walau pun ada yang mengatakan MPV ini lebih panjang dan tinggi berbanding model sebelum ini. Selain itu, terdapat beberapa lagi perubahan yang dilakukan termasuk pada tingkap sisi, yang berhampiran dengan tiang-A, lebih besar berbanding sebelum ini bagi jarak penglihatan yang lebih baik.

    Bukan itu sahaja, cermin sisi juga telah diposisikan semula, terdapat sambungan kecil dari bumbung ke cermin hadapan, dan roda baharu juga telah ditampilkan. Walau bagaimana pun, Honda tidak mendedahkan bahagian belakang MPV ini, namun berdasarkan lampu belakangnya, ia mungkin lebih kurang sama dengan imej paten.

    Freed model sebelum ini dibina berdasarkan platform Jazz, dan ia pernah dipasarkan ke Malaysia pada tahun 2010. Pada 2013, dua varian facelift turut dilancarkan, dengan harga RM99,800 dan RM113,500. Walau bagaimana pun, permintaan yang agak kurang membuatkan Honda Malaysia menghentikan jualannya di negara ini. Adakah anda rasakan Freed baharu ini patut dijual di Malaysia dan mampu menyaingi Toyota Sienta?

    GALERI: Imej paten Honda Freed 2016

    GALERI: Honda Freed generasi terdahulu

     
     
  • Masalah kegagalan brek punca bas rempuh 10 buah kenderaan lain di Lebuhraya Utara-Selatan

    Sewaktu orang ramai berpusu-pusu pulang ke ibu kota semalam, sebuah bas persiaran dilaporkan telah merempuh 10 buah kenderaan lain dalam satu kemalangan di Kilometer 265.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan.

    Kejadian yang berlaku selepas Terowong Menora pada kira-kira pukul 3 petang itu dipercayai berpunca daripada masalah kegagalan brek bas berkenaan, laporan The Star.

    Walau bagaimana pun, kesemua 28 penumpang dan pemandu bas persiaran itu dilaporkan selamat. Namun salah seorang dari penumpang kenderaan yang dirempuh, dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

    Bas berkenaan datang dari arah Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur, secara tiba-tiba melalui bahagian tengah laluan lebuh raya itu lalu merempuh tiga kereta di hadapannya. Pemandunya yang berusia 51 tahun telah ditahan reman pagi ini di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas tuduhan memandu secara cuai.

     
     
  • China perkukuh usaha rebut projek HSR KL-Singapura

    thai hsr render 1

    China dilihat sedang memperkukuhkan usaha mereka untuk merebut projek rel berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura. Pengendali rel kebangsaan China, China Rail Corporation berkata mereka yakin medahului negara lain yang turut menunjukkan minat keatas projek berkenaan, lapor The Star.

    “Kami telah menumpukan perhatian untuk projek HSR KL-Singapura ini, dan kami tahu negara lain turut berminat. “Keyakinan kami hadir dari kekuatan kami dalam HSR yang tidak dapat ditandingini negara lain,” tambah beliau, merujuk kepada teknologi HSR China yang lebih sesuai digunakan dengan standard rel sedia ada dalam rantau ini,” kata timbalan ketua jurutera Zhao Guotang dalam kenyataannya kepada sekumpulan wartawan-wartawan terpilih.

    Menurut Zhao, laluan HSR di Hainan dan sekitar Guangzhou berkongsi banyak persamaan dengan laluan yang dicadangkan pada Kuala Lumpur-Singapura, termasuk keadaan cuaca dan panjang laluan berkenaan (lebih dari 300 km). Tambahan lagi, kedua-duanya menghubungkan dua bandar besar dan melalui banyak bandar utama.

    Zhao turut menekankan pengalaman China dalam teknologi HSR, di mana jaringannya kini sepanjang 19,000 km – lebih panjang lima kali dari Sepanyol, negara kedua terbesar dalam jumlah jarak keseluruhan rel HSR. Ia juga setakat ini mempunyai 2,300 set tren elektrik pelbagai unit (EMU), lebih dari separuh jumlah keseluruhan dalam dunia.

    HSR-stations-proposed

    China turut bercadang untuk menambah lebih 11,000 km laluan antara sempadan menjelang tahun 2020, dan menghubungkan daerah selatan Kunming berhampiran Myanmar, menerusi Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura menerusi jaringan HSR mereka.

    Negara berkenaan menggunakan “jentera terkini” untuk membina asas tiga hingga lima bangunan dalam hanya satu hari, membolehkan China membina kesemua fasiliti HSR KL-Singapura dalam masa hanya lima tahun, dakwa Zhao. “Kami boleh habiskannya dalam masa tiga hingga lima tahun, tetapi untuk negara lain mungkin mengambil masa tujuh hingga lapan tahun,” kata beliau.

    Zhao berkata semasa China memperbaiki kerosakan kemalangan HSR Wenzhou pada 2011 yang mengorbankan 40 orang, republik berkenaan turut menaiktaraf perkhidmatan mereka, dan kini mampu menampung penumpang seramai 3.5 juta orang setiap hari, dengan ketepatan masa berkadar 99%.

    Hubungan baik China dengan Malaysia dan Singapura turut menjadi kelebihan untuk mendapatkan projek berkenaan. Kedua-dua negara dijangka akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) projek berkenaan tidak lama lagi.

    Hitachi Super Express

    Projek HSR Malaysia yang dikendalikan oleh MyHSR Corp akan memulakan proses tender projek berkenaan lewat tahun ini. Jurucakap syarikat berkenaan turut menyatakan bahawa tender terbuka untuk melantik konsultan penasihat teknikal untuk membantu mereka dalam perincian teknikal projek berkenaan telah ditutup.

    Apabila ditanya adakah China akan menilai semula pelannya dalam rantau ini untuk meneruskan terminal Bandar Malaysia jika tidak dapat memenangi projek laluan HSR berkenaan, Zhao menyatakan tidak ada keperluan untuk menghubungkan kedua-dua projek berkenaan.

    “Selain keuntungan ekonomikal, kami turut menimbangkan pelbagai keuntungan lain yang akan dibawa ke negara lain dalam proses ini, untuk pembinaan dan pengeluaran peralatan, kami sedang mengorganisasikan banyak syarikat berkaitan untuk menaikkan lagi perbadanan kami,” kata beliau.

    Korea Selatan juga sedang melihat untuk memindahkan teknologi HSR mereka ke Malaysia, tetapi perinciannya belum lagi diputuskan. Sementara itu, keretapi Shinkansen Jepun mencatatkan rekod keselamatan yang menakjubkan, kerana tidak pernah mencatatkan sebarang kematian penumpang sejak mula beroperasi pada 1964, yang mungkin menjadi faktor untuk mereka memenangi bidaan pada projek HSR KL-Singapura ini.

     
     
  • Saman guna lorong kecemasan makin kurang

    AppleMark

    AppleMark

    Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman telah mengeluarkan kenyataan mengesahkan saman yang dikeluarkan untuk mereka yang menggunakan lorong kecemasan makin berkurangan.

    Menurut Komander Lebuh Raya Zon Utara, ASP Hazil Reza Mohd Ghazali, setakat 11 hari Op Selamat 9/2016 dijalankan, bagi Zon Utara, sebanyak 1,019 saman dikeluarkan untuk kesalahan menggunakan lorong kecemasan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), laporan Bernama.

    Katanya lagi, jumlah itu berkurang berbanding 6,000 saman pada tahun 2014 dan 4,000 untuk tempoh sama tahun lalu. Penurunan jumlah saman disebabkan penguatkuasaan undang-undang yang tegas selain hebahan di media massa mengenai tindakan mahkamah terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan tersebut.

    “Antara lokasi yang paling banyak saman dikeluarkan di sepanjang PLUS ialah di susur keluar Slim River, Tanjung Malim dan Juru,” katanya kepada pihak media.

    Baru-baru ini, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk V. Valluvan Veloo berkata jabatannya akan mengambil tindakan segera sejurus menerima bukti bergambar atau video mereka yang menyalahgunakan lorong kecemasan di lebuhraya.

    Menurut beliau lagi, JPJ tidak akan menangguhkan tindakan berkenaan kerana pegawai khas telah ditugaskan untuk menangani aduan sedemikian secara atas talian.

     
     
  • Honda Malaysia kekurangan stok beg udara ganti

    Honda-Airbag-Stock-Announcement

    Honda Malaysia menerusi laman webnya telah pun membuat pengumuman, buat masa ini pihak mereka berhadapan dengan masalah kekurangan stok bagi beg udara ganti. Walau bagaimana pun, syarikat ini sedang berusaha untuk mengatasi sebarang kesulitan dan akan mewar-warkan perkembangan dari semasa ke semasa.

    Buat setakat ini, Honda telah melakukan panggilan balik yang melibatkan jutaan kenderaannya di seluruh dunia berhubung dengan inflator beg udara. Sebanyak lebih 100 insiden yang membabitkan kecederaan dan 13 kes kematian telah dicatatkan berlaku di seluruh dunia ekoran beg udara buatan Takata ini.

    Malah tiga kematian juga dilaporkan berlau di Malaysia, yang membabitkan Honda City dari generasi yang sama. Iaitu yang berlaku di Sabah yang melibatkan City tahun 2006 pada April, insiden kedua pula pada 1 Mei di Kedah (City 2003) dan terbaru di Kota Damansara pada 26 Jun lalu yang membabitkan perlanggaran kecik antara Honda City 2005 dengan sebuah Mercedes-Benz.

    Takata-Honda-NSX

    Kematian terbaru yang dilaporkan itu selepas Honda Malaysia membuat satu lagi panggilan balik yang melibatkan beg udara yang sama. Kali ini melibatkan 147,894 kenderaan dari lapan model, bagi menggantikan inflator beg udara hadapan. Sebelum ini, ia melibatkan beg udara bahagian pemandu.

    Walau bagaimana pun, buat masa ini, kami masih belum mendapat sebarang pengesahan rasmi dari Honda Malaysia. Namun bagi pemilik kenderaan yang terpilih, anda digesa supaya segera menghubungi Honda Malaysia untuk pengesahan dan jangan berlengah sekiranya beg udara kenderaan anda perlu digantikan.

    Kami akan melaporkan perkembangan terkini dari Honda Malaysia dari semasa ke semasa. Setakat ini, panggilan balik yang melibatkan beg udara buatan Takata turut membabitkan jenama lain termasuk Toyota, Nissan, Mitsubishi, Ferrari dan beberapa lagi. Sila baca artikel INI untuk mengetahui langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya kenderaan juga terlibat.

     
     
  • Mazda 3, CX-5 CKD didapati dalam warna Soul Red mulai tahun depan – kos ekstra berbanding warna lain

    mazda3-sedan-australia

    Selain mengesahkan kemasukan model baharu Mazda CX-9 dan MX-5 RF, Mazda Malaysia menerusi Bermas, juga dalma perancangan untuk memperkenalkan warna ikonik Soul Red Metallic pada tahun hadapan bagi pilihan untuk model pemasangan tempatan (CKD), iaitu Mazda 3 dan CX-5 yang sebelum ini tidak menampilkan warna ini. Setakat ini, Mazda 3 yang menampilkan warna ini, adalah model yang diimport sepenuhnya (CBU).

    Sebab utama warna ini bakal diperkenalkan ialah apabila pengedar cat Nippon Paint menerusi Penolong Pengurus Besar untuk pemasaran kegunaan industri, Ong Eng Keong, baru-baru ini mengatakan kekemasan empat-lapisan yang digunakan di kilang Inokom di Kulim adalah kurang produktif.

    “Memandangkan model CKD bagi Mazda dengan pilihan warna Soul Red tidak menjadi pilihan disebabkan sistem empat-lapisan ini, maka ia mendorong kepada kekurangan produktiviti, memandangkan kereta tersebut perlu melalui proses di dalam oven sebanyak tiga kali,” ujarnya.

    2015-cx-5_2014-laas_eu_exterior_2-e1416451498971

    Justeru, usaha Bermaz untuk meneruska warna ini makin menampakkan keberkesanan, dan termasuklah dengan fasiliti mengecat baharu yang dibina di kilang pemasangan di Kulim yang khas untuk kenderaan Mazda. Dengan fasiliti yang dibina, ia akan menguji warna Soul Red ini sebelum ia digunakan sepenuhnya dalam produksi.

    Seperti kebiasaannya, Soul Red Metallic akan ditawarkan dengan kos pilihan ekstra, berbanding warna konvensional lain. Memandangkan kosnya masih belum dimuktamadkan, dan mungkin ia lebih kurang sama dengan beberapa model CBU lain termasuk Mazda 2 iaitu sekitar RM500.

     
     
  • Bersabar mampu elakkan nahas di jalan raya

    20160329_0383

    Musim perayaan di Malaysia sering dikaitkan dengan nahas jalan raya. Memang menyayatkan hati apabila kepulangan orang tersayang yang dinanti, sebaliknya yang tiba di halaman rumah ialah van jenazah.
    Saban tahun, untuk tempoh dua minggu musim perayaan Aidilfitri, kematian yang dicatatkan sehingga mencecah 280 nyawa. Ini adalah satu angka yang amat tinggi dan dalam banyak keadaan, kemalangan boleh dielakkan tanpa menyalahkan takdir semata-mata.

    Walaupun faktor persekitaran jalan raya dan kenderaan turut menyumbang kepada kemalangan, faktor utama tetap bergantung kepada individu yang mengendalikan kenderaan. Penyelidik keselamatan jalan raya Sabey dan Taylor merumuskan pada 1980 bahawa 94% daripada punca kemalangan melibatkan faktor manusia.

    Memandangkan jalan raya semasa musim perayaan dipenuhi kenderaan, terutamanya untuk perjalanan jauh, kemungkin untuk terlibat dalam kemalangan adalah lebih tinggi berbanding dengan hari biasa. Oleh itu, setiap pengguna jalan sama ada penunggang motosikal atau kereta, hendaklah beranggapan bahawa risiko menggunakan jalan raya adalah lebih tinggi pada musim perayaan.

    JPJ_EMERGENCY_LANE1

    Secara umumnya, kemalangan boleh dielakkan jika setiap pengguna jalan raya mempertingkatkan tahap kesabaran serta bertolak-ansur, selain daripada bertawakal, sama ada pada masa musim perayaan atau pun pada hari biasa.

    Sikap ini boleh diterjemah dalam berapa sikap terpuji seperti mematuhi hadlaju yang ditetapkan, tidak memandu secara merbahaya seperti mengekori rapat dan menukar lorong sesuka hati, tidak memotong pada garisan berkembar, tidak memotong barisan, tidak menggunakan lorong kecemasan, memakai topi keledar secara betul, memakai tali pinggang keledar, memakaikan alat pengekang untuk kanak-kanak (contohnya, kerusi keselamatan), mengelakkan diri dari menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memandu ketika berada di bawah pengaruh alkohol atau ubat, tidak memandu dalam keadaan mengantuk dan letih, dan lain-lain.

    Selain itu, pengguna jalan yang bijak juga mesti tahu membaca risiko kerana kebolehan untuk membaca risiko akan membantu pemandu atau penunggang untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan kemalangan berlaku. Contohnya, risiko kemalangan adalah lebih tinggi ketika jalan licin atau hujan dan gelap.

    Crash accident collision

    Bagaimana pun, artikel ini menekankan kepada sikap sabar dan beberapa perkara yang boleh dipraktikkan untuk keselamatan yang optima. Bukankah sebulan berpuasa mendidik kita untuk menjadi orang yang sabar. Pengguna jalan yang sabar pastinnya tidak memandu melebihi had laju yang dibenarkan.

    Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa impak kemalangan adalah bergantung kepada kelajuan. Kelajuaan sewaktu pelanggaran akan membezakan sama ada ia membawa kepada kemalangan maut, kecederaan serius atau pun kecederaan ringan. Pada kelajuan tinggi, sekiranya ada objek pada laluan seperti kenderaan rosak, pemandu akan terlewat untuk bertindak, manakala kenderaan pula akan memerlukan jarak yang lebih jauh untuk berhenti. Sekiranya berlaku pelanggaran, sudah tentulah impaknya adalah lebih besar.

    Pemandu yang sabar juga tidak akan mengekori kenderaan hadapan pada jarak dekat dalam kelajuan yang tinggi. Sikap pemandu yang suka ‘mencucuk’ atau ‘tailgate’ ini merupakan satu sikap yang amat kurang bijak kerana ia meletakkan pemandu dan penumpang pada risiko yang amat tinggi semasa melakukannya.

    volvo self-driving cars 01

    Bayangkan anda ‘mencucuk’ kenderaan depan pada kelajuan 110 km/j hanya pada jarak kurang dari satu kenderaan, apakah akan terjadi sekiranya kenderaan di hadapan terpaksa membrek secara mengejut atas sebab-sebab tertentu?

    Kerap kali kemalangan di lebuh raya melibatkan banyak kenderaan sekaligus, dan ini biasanya disebabkan mereka saling mengekori rapat di antara satu sama lain pada kelajuan tinggi. Oleh itu, jarakkan kenderaan anda dengan mempraktikkan apa yang dipanggil jarak ‘two-second rule’ yang dipelajari di sekolah memandu. Ketika jalan basah, tingkatkan daripada 2-saat ini kepada 3 saat atau lebih, selain daripada memperlahankan kenderaan, bagi membolehkan anda berhenti atau mengelak dalam keadaan kecemasan.

    Di negara Jerman, pemandu di lebuhraya digalakkan menggunakan formula ‘kelajuan di bahagi dua’ untuk menentukan jarak selamat mengekori kenderaan hadapan. Katakan anda memandu pada jarak 100 km/j, maka jarak selamat untuk mengekori kenderaan hadapan ialah 50 meter, dan sekiranya ada memandu pada 60 km/j, maka ruang 30 meter mesti dikosongkan antara kenderaan anda dengan kenderaan yang diekori.

    driving

    Pengguna jalan yang bersikap sabar juga tidak akan melakukan perkara yang menyalahi undang-undang seperti menggunakan lorong kecemasan. Mungkin masih jelas dalam ingatkan kita peristiwa bagaimana paramedik gagal untuk menyelamatkan nyawa dua adik beradik yang mengalami kemalangan di lebuh raya kerana ambulan tersekat pada lorong kecemasan.

    ‘Madrasah Ramadan’ bukan sahaja mengajar kita soal agama, tetapi meliputi akhlak kita secara meluas, termasuklah di jalan raya. Oleh itu, adalah sesuatu yang menyedihkan apabila kita tidak mampu memanifestasikan menjaga akhlak yang baik walaupun sudah sebulan berpuasa. Ini bukan sahaja boleh mengancam nyawa kita dan ahli keluarga sendiri, malahan mereka yang tidak berdosa.

    Oleh itu, bersabarlah di jalan raya terutamanya apabila berlaku kesesakan yang teruk. Elakkan nahas hanya kerana kegagalan kita untuk bersabar dan bertolak ansur sehingga membahayakan nyawa sendiri dan orang lain.

    Artikel ini disumbangkan oleh Yusof Ghani dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS)

     
     
  • Elektrik Bas Inovasi Malaysia pertama ciptaan 30 jurutera muda tempatan, beroperasi pertengahan 2017

    unnamed-3

    Jurutera tempatan kian berinovasi dan kreatif dengan menghasilkan pelbagai ciptaan yang mampu membanggakan negara. Terkini, sekumpulan 30 jurutera muda lulusan universiti tempatan berganding tenaga bagi mencipta bas elektrik buatan negara pertama itu.

    Idea menghasilkan teknologi hijau itu berikutan ia kini mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran dan kos penyelenggaraannya adalah minimum berbanding penggunaan bas konvensional, laporan Bernama.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi Sync R&D Sdn Bhd Nurulhanom Laham, kejayaan 30 jurutera muda itu amat membanggakan kerana mereka masih baharu dalam membangunkan teknologi seperti itu selain selain sebelum ini kejuruteraannya hanya dimiliki negara China.

    “Sebenarnya banyak permintaan daripada pengusaha bas namun bekalan agak terhad selain kurang kemudahan penggunaan kenderaan elektrik seperti stesen pengecas,” katanya kepada Bernama.

    Projek ini telah pun dimulakan sejak 2011 dan telah dipatenkan sebagai Elektrik Bas Inovasi Malaysia (EBIM).

    Nurulhanom berkata bas elektrik itu mampu menjimatkan kos operasi pengusaha bas di negara ini antara 60% hingga 70% iaitu penjimatan lebih RM300 juta setahun berbanding penggunaan tenaga diesel.

    Jelasnya, bas elektrik itu dibuat mengikut spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan United Nations Economic Commission for Europe yang membolehkan ia beroperasi dengan selamat di atas jalan raya.

    “Ia kini sudah di peringkat akhir iaitu ujian dan pengsijilan bagi menjamin setiap komponen kenderaan itu berada di tahap terbaik dan selamat serta memenuhi standard sebelum ia boleh dipasarkan,” katanya.

    Teknologi baterinya mampu menggerakkan bas sejauh 200 kilometer selaras dengan purata perjalanan operasi bas di ibu kota untuk sehari, katanya.

    Jelasnya proses reka cipta menelan belanja kira-kira RM30 juta itu bakal siap sepenuhnya Ogos ini dan dijangka dapat digunakan di atas jalan raya pada pertengahan 2017.

     
     
  • Mazda CX-9, MX-5 RF baharu bakal tiba di M’sia hujung 2016 atau awal 2017; MX-5 menerima pilihan manual

    2017-mazda-cx-9-1

    Menurut sumber dari Bermaz iaitu pengedar rasmi Mazda di negara ini yang telah mengesahkan model baharu bagi Mazda CX-9 dan Mazda MX-5 RF bakal tiba di Malaysia, sama ada hujung tahun ini atau pun awal 2017.

    SUV tujuh-tempat duduk CX-9 merupakan model terpenting antara keduanya, mengambil alih model generasi pertama yang telah memasuki usia sembilan tahun. Model baharu ini bakal dipadankan dengan enjin pengecas turbo, 2.5T SkyActiv-G dengan kuasa 250 hp dan tork 420 Nm yang pastinya lebih menawarkan penjimatan bahan api dan cukai jalan berbanding model lama 3.7 liter naturally-aspirated V6.

    Mazda-MX-5-RF-11-e1461817741478

    Bagi MX-5 RF pula, ia adalah varian bagi roadster ND baharu, dengan operasi manual bagi bumbung boleh buka secara elektrik. Dengan butang untuk membukanya, panel bumbung dan tingkap belakang boleh dibuka, biar pun kenderaan dalam kelajuan 10 km/j.

    Paling penting, Bermaz mengesahkan RF juga bakal didatangkan dengan kotak gear pilihan manual enam-kelajuan (selain automatik) dengan padanan enjin 2.0 liter SkyActiv-G naturally-aspirated dengan kuasa maksimum 158 hp dan tork puncak 200 Nm.

    GALERI: Mazda CX-9 baharu

    GALERI: Mazda MX-5 RF

     
     
  • Sultan Johor pilih Proton Perdana baharu untuk ‘F 1’

    Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj yang berjaya mendapatkan ‘F 1’ memilih untuk memadankan nombor pendaftaran tersebut dengan Proton Perdana baharu. Semalam, Sultan Ibrahim berkenan untuk memasang sendiri nombor plat berkenaan pada model terbaharu Proton Perdana bernilai kira-kira RM138,000 itu di Istana Pasir Pelangi.

    Baginda kemudian memandu Proton Perdana varian 2.4L itu bersama Ahli Lembaga Pengarah Proton Holdings Bhd, Datuk Zainuddin Che Din dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Fuaad Kenali. Baginda memandu kenderaan itu dari Istana Pasir Pelangi menuju ke Istana Bukit Serene.

    Pada Khamis lalu, Sultan Johor memenangi bidaan nombor plat kenderaan ‘F’1’ iaitu siri nombor pendaftaran baharu bagi Putrajaya dengan bidaan sebanyak RM836,660. Sebelum ini, baginda juga berjaya memiliki ‘W1N’ dengan harga RM748,000 pada tahun 2014 dan ‘WWW 1’ berharga RM520,000 pada tahun 2012.

    Pada pertengahan Mei lalu, timbalan menteri pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi mengumumkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menerima nombor pendaftaran kenderaan baharu yang bermula dengan abjad ‘F’ dan ‘V’ untuk kenderaan yang didaftarkan pada Jun dan Julai ini.

    Dilancarkan pada pertengahan bulan Jun lalu, Proton Perdana generasi ke-empat ini hadir dengan dua varian iaitu 2.0 dan 2.4. Ia ditawarkan pada harga atas jalan (termasuk GST dan insurans) RM113,888 bagi varian 2.0. Manakala 2.4 pula berharga RM138,888. Kedua-duanya turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu).

    Perdana 2016 ini masih lagi mengekalkan enjin Honda K24Z 2.4 liter i-VTEC DOHC empat-silinder untuk varian 2.4L dengan kuasa sehingga 178 hp pada takat 6,500 rpm dan tork puncak 222 Nm pada takat 4,300 rpm. Begitu juga dengan varian 2.0L dengan enjin Honda R20A 2.0 liter i-VTEC SOHC empat-silider dengan hamburan kuasa 154 hp pada takat 6,300 rpm dan tork sehingga 189 Nm pada takat 4,300 rpm. Kedua-dua varian ini juga menggunakan kotak gear automatik lima-kelajuan, juga dari Honda.

    Baca ulasan ringkas pandu uji Proton Perdana baharu ini di sini.

     
     
  • Puspakom beroperasi separuh hari pada 5 Julai ini

    puspakom-cermin-gelap-850x534

    Puspakom telah mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa semua pusat pemeriksaannya di seluruh negara akan beroperasi separuh hari pada hari Selasa, 5 Julai 2016 bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

    Walau bagaimana pun, Puspakom akan memastikan setiap temujanji pemeriksaan pada hari tersebut mengikut jadual dan berjalan dengan lancar.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, para pelanggan yang mempunyai tarikh pemeriksaan yang luput pada 5 Julai dan ingin menjalankan pemeriksaan pada hari tersebut dinasihatkan membuat perancangan awal dengan mengunjungi pusat pemeriksaan Puspakom sebelum 12 tengah hari.

    Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail berkata, “Kami telah mengambil inisiatif dengan melanjutkan waktu operasi pada hari Sabtu, 25 Jun 2016 dan 2 Julai 2016 sehingga 5.00 petang dan langkah ini telah dapat memenuhi permintaan pemeriksaan yang tinggi menjelang musim perayaan ini.”

    Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, para pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol Puspakom di 1-800-88-6927 atau emel [email protected].

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025