Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volkswagen Golf R akan dapat enjin lima silinder 2.5T 400 PS/500 Nm daripada Audi RS3, keluar tahun 2027

    Volkswagen Golf R akan dapat enjin lima silinder 2.5T 400 PS/500 Nm daripada Audi RS3, keluar tahun 2027

    Volkswagen Golf R dijangka menerima peningkatan besar dari segi prestasi apabila versi barunya diperkenalkan pada tahun 2027 nanti – lapor Autocar. Model berprestasi tinggi dalam barisan Golf ini bakal menjadi antara yang terakhir menggunakan enjin pembakaran dalaman sebelum peralihan sepenuhnya ke model elektrik.

    Perubahan paling ketara pada Golf R generasi akan datang ialah penggunaan enjin 5-silinder yang lebih besar dan berkuasa, dikenali dengan kod EA855. Enjin ini sekarang ada digunakan dalam Audi RS3 versi facelift, di mana ia menjana kuasa 400 PS dan 500 Nm tork. Audi RS3 ditawarkan dalam versi sedan dan Sportback, sementara enjin sama turut digunakan pada model crossover Cupra Formentor VZ5 sejak tahun 2021.

    Sebagai perbandingan, Golf R generasi semasa (Mk8.5) masih menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter turbo EA888 yang menghasilkan 333 PS dan 420 Nm. Makanya, penggunaan enjin 5-silinder EA855 untuk versi akan datang pastinya membawa lonjakan prestasi yang ketara.

    Volkswagen Golf R akan dapat enjin lima silinder 2.5T 400 PS/500 Nm daripada Audi RS3, keluar tahun 2027

    Bagi memastikan enjin ini mematuhi piawaian emisi Euro 7 yang akan dikuatkuasakan mulai November 2026, Audi merancang untuk menaik taraf beberapa komponen penting. Ini termasuk penggunaan penapis partikel baru, sensor NOx yang lebih sensitif, penalaan semula sistem suntikan bahan api, ketumpatan sel lebih tinggi dalam catalytic converter. Langkah ini penting bagi memastikan enjin 5-silinder ini terus boleh digunakan dalam pasaran Eropah yang semakin ketat kawalan emisinya.

    Dengan kuasa yang lebih tinggi, platform Golf R juga memerlukan pengubahsuaian bagi menangani tekanan tambahan tersebut. Oleh itu, Golf R versi baru ini dijangka menerima perubahan pada geometri casis, pemegang suspensi atas yang dinaik taraf, sambungan knuckle yang lebih kukuh dan penambahan pendakap casis untuk meningkatkan ketegaran struktur. Malah, gandar hadapan dari Audi RS3 turut berkemungkinan digunakan jika ruang dan konfigurasi bersesuaian.

    Sebenarnya, Volkswagen sudah lama menunjukkan minat untuk menggunakan enjin 5-silinder ini dalam Golf R sejak generasi ketujuh. Ini dibuktikan melalui kemunculan konsep R400 serta kelibat prototaip yang dikenali sebagai R420 yang pernah dikesan sedang menjalani ujian. Namun, selepas itu tiada perkembangan lanjut dan projek tersebut seolah-olah dihentikan.

     
     
  • Carro Malaysia buka Zeekr House di Juru Autocity Pulau Pinang – pusat 3S sebesar 12,000 kaki persegi

    Carro Malaysia buka Zeekr House di Juru Autocity Pulau Pinang – pusat 3S sebesar 12,000 kaki persegi

    Hanya selepas seminggu pembukaan Zeekr Space Bangsar di Kuala Lumpur, Carro Malaysia kini membuka satu lagi bilik pameran jenama EV berkenaan di Juru Autocity, Pulau Pinang.

    Fasiliti dengan keluasan 12,000 kaki persegi ini dikenali sebagai Zeekr House, bukan hanya berfungsi sebagai pusat pameran dan jualan, malah turut merangkumi pusat servis selepas jualan bagi membolehkan ia beroperasi sebagai pusat 3S. Zeekr House ini disasarkan untuk memberikan perkhidmatan bagi pelanggan Zeekr di kawasan utara tanah air.

    Sama seperti Zeekr Space Bangsar, Zeekr House ini turut mempamerkan model-model utama Zeekr termasuk 009, dan juga model terkini yang baru dilancarkan di Malaysia minggu lalu iaitu Zeekr 7X.

    Carro Malaysia dilantik menjadi pengedar terbaharu Zeekr di Malaysia pada Jun lalu, dengan memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani di outlet bertaraf flagship Carro di Puchong.

    Dalam rancangan kerjasama tersebut, Carro Malaysia akan membuka sebanyak empat bilik pameran Zeekr, di mana dua lagi akan terletak di Mutiara Damansara dan Seremban yang bakal di buka lewat tahun ini. Sebagai tambahan, tiga bengkel Carro Care juga akan mengendalikan kerja-kerja penyelenggaraan kenderaan untuk pelanggan Zeekr.

     
     
  • Bufori CS8 dilancar – GT buatan Malaysia dengan enjin V8 6.4L 810 hp, badan karbon-kevlar, RM2.188 juta

    Bufori CS8 dilancar – GT buatan Malaysia dengan enjin V8 6.4L 810 hp, badan karbon-kevlar, RM2.188 juta

    Selepas lebih satu dekad dalam pembangunan, Bufori CS8 akhirnya dilancarkan secara rasmi. Sebelum ini kami telah menyiarkan gambar awal pratonton model produksi ini ketika acara trek anjuran Affin Bank di Litar Antarabangsa Sepang minggu lalu dan sekaran coupe itu ditampilkan sepenuhnya tanpa sebarang penyamaran. Apa pendapat anda?

    Jika dibandingkan dengan CS prototaip yang pernah kami paparkan pada tahun 2019, perbezaan paling ketara ialah saiznya. Model produksi CS8 ini lebih panjang, dan pihak Bufori — yang beroperasi di Kepong dengan tenaga kerja seramai 150 rakyat Malaysia — mengesahkan bahawa jarak antara roda dipanjangkan sebanyak 350 mm. Bahagian belakang juga lebih panjang, menjadikan profil coupe ini lebih seimbang serta memberikan ruang kabin yang lebih luas dan selesa.

    Badan yang lebih besar ini menggunakan bahan komposit khas karbon-kevlar, satu teknologi yang telah digunakan oleh Bufori sejak tahun 1989. Saiz yang diperbesar serta sentuhan mewah merupakan sebahagian daripada hala tuju baru Bufori untuk menjadikan CS8 sebagai kereta ‘grand tourer’ berprestasi tinggi, berbanding pendekatan lebih sporty semasa dalam peringkat prototaip.

    Bufori CS8 dilancar – GT buatan Malaysia dengan enjin V8 6.4L 810 hp, badan karbon-kevlar, RM2.188 juta

    Bufori menyasarkan CS8 sebagai sebuah “GT berprestasi ultra tinggi”, setanding dengan model seperti Aston Martin Vanquish atau Bentley Continental GT Speed. Mengikut konsep coupe mewah dari Britain itu, CS8 juga hadir dengan enjin besar yang ditarik jauh ke belakang di bawah bonetnya.

    Nombor “8” pada nama CS8 merujuk kepada bilangan silinder pada enjin V8 6.4 liter supercharged yang digunakan. Enjin ini berasaskan blok Hemi, dibina khas dengan komponen dalaman forged dan mampu menjana kuasa 810 hp (750 hp pada roda) serta tork 973 Nm pada 4,800 rpm. Suara enjin V8 itu boleh didengari melalui empat muncung ekzos yang garang.

    Dipadankan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan (torque converter), kuasa disalurkan ke roda belakang melalui sistem limited slip differential (LSD). Pecutan 0-100 km/j dapat dibuat dalam masa tiga saat sahaja dengan bantuan launch control, manakala kelajuan maksimum dihadkan kepada 330 km/j.

    Angka ini mengatasi sasaran awal iaitu 3.5 saat dan 320 km/j, dan dicapai dengan bantuan berat badan anggaran sekitar 1,550 kg — lebih kurang berat sebuah Porsche 911 biasa. CS8 juga hadir dengan sistem data logger binaan dalam untuk merekodkan prestasi pemanduan.

    Untuk kuasa sehebat ini, sistem brek juga perlu sepadan. CS8 menggunakan cakera terapung berliang berukuran 380 mm di depan dan 350 mm di belakang, digandingkan dengan angkup enam piston di depan dan empat piston di belakang — semuanya dari Brembo. Model pelancaran menggunakan tayar Michelin Pilot Sport 4 S yang membaluti rim tempa 19 inci.

    Ciri-ciri standard termasuk lampu utama, DRL dan lampu kabus LED automatik, lampu belakang LED, pengelap cermin automatik, sistem tanpa kunci dan fungsi penghidup enjin kawalan jauh, cermin pandang belakang elektrokromik, larasan stereng berkuasa, sistem kawalan suhu dua zon, brek parkir elektronik, lampu suasana, skrin infotainmen tegak bersaiz 13.6 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem bunyi 6.1 serta pengecas telefon tanpa wayar. Satu ciri istimewa yang pasti menggembirakan rakyat Malaysia, kereta ini datang dengan SmartTAG binaan dalam.

    Bufori CS8 dilancar – GT buatan Malaysia dengan enjin V8 6.4L 810 hp, badan karbon-kevlar, RM2.188 juta

    Tempat duduk Recaro yang digunakan dalam CS8 ini dikatakan antara yang termahal dalam industri, direka khas untuk model ini. Ia dibalut kulit, boleh dilaras lapan hala dengan sokongan lumbar empat hala dan jauh lebih selesa berbanding tempat duduk perlumbaan rangka karbon Sabelt yang digunakan pada prototaip CS dahulu. Ini jelas menunjukkan arah tuju Bufori ke arah kemewahan.

    Selain beg udara dan kawalan cengkaman, ciri keselamatan dan bantuan pemandu lain turut disertakan, termasuk Adaptive Cruise Control, bantuan parkir depan dan belakang, kamera 360 darjah, pemantauan titik buta, amaran serta bantuan keluar lorong serta sistem pemantauan tekanan angin tayar. CS8 juga didatangkan dengan kit pembaikan tayar dan set peralatan Snap-On bernilai RM13,000 yang disimpan dalam ruang but berkapasiti 252 liter.

    Untuk bahagian kemasan dan hiasan dalaman, pilihan yang ditawarkan hampir tiada batasan. Seperti proses menempah Bentley, pelanggan CS8 boleh bekerja rapat dengan pengasas Bufori, Gerry Khouri dan juga boleh melawat kilang untuk melihat sendiri perkembangan kenderaan mereka.

    Bagi mereka yang inginkan sesuatu lebih eksklusif daripada apa yang ditawarkan pengeluar biasa, Bufori sering menjadi pilihan untuk sentuhan khas. Apa sahaja boleh direka dan dihasilkan, dan pendekatan ini dijangka diteruskan pada CS8. Malah, setiap pemilik akan menerima model skala kecil CS8 milik mereka sendiri, satu sentuhan peribadi yang menarik.

    Jika anda merasakan enjin V8 supercharged 6.4L terlalu berlebihan, pilihan lain turut ditawarkan. Enjin sama boleh diperoleh dalam versi NA (475 hp/640 Nm) atau enjin V6 3.6L dalam versi supercharged (455 hp/495 Nm) dan NA (320 hp/352 Nm). Bufori juga terbuka untuk berbincang sekiranya anda mahu enjin twin-turbo 3.0L dengan kuasa lebih “terkawal” iaitu sekitar 550 hp dan 677 Nm.

    Harga Bufori CS8 bermula dari RM2.188 juta atas jalan tanpa insurans, tidak kira pilihan enjin. Memang mahal, tetapi melihat kepada tahap prestasi, keunikan serta kualiti buatan tangan yang ditawarkan, mungkin ada pembeli yang sanggup melabur. “Tiada kereta di dunia yang lebih banyak dibuat secara tangan berbanding Bufori,” kata Khouri, sambil mendedahkan bahawa pembinaan sebuah CS8 memakan masa lebih 9,000 jam kerja, berbanding antara 18 hingga 450 jam untuk kereta biasa.

     
     
  • Nissan ucap selamat tinggal kepada GT-R R35 – unit akhir keluar dari kilang; janji akan ada GT-R baharu

    Nissan ucap selamat tinggal kepada GT-R R35 – unit akhir keluar dari kilang; janji akan ada GT-R baharu

    Mac lalu Nissan telah mengumumkan bahawa ia telah menutup tempahan untuk model GT-R R35 kerana produksinya bakal dihentikan – dan ini dia, unit terakhir GT-R R35 telah disiapkan di kilang Nissan di Tochigi, menandakan berakhirnya produksi kereta sport tersebut selama 18-tahun.

    Unit terakhir berkenaan merupakan dari varian Premium Edition T-Spec, dan ia dilayangkan dengan warna ikonik GT-R sejak generasi R34 iaitu Midnight Purple. Unit terakhir ini bukan untuk disimpan di muzium, sebaliknya akan dihantar kepada pelanggan yang menempahnya di Jepun.

    Sejak mula dihasilkan pada Disember 2007, Nissan menyatakan sekitar 48,000 unit GT-R R35 ini telah disiapkan menerusi kilang Tochigi berkenaan. Kilang yang terletak sekitar 100 km utara Tokyo ini menerima bekalan enjin VR38DETT dari kilang Nissan di Yokohama, di mana sepanjang 18-tahun diproduksi, 48,000 unit enjin tersebut disiapkan oleh hanya sembilan orang pakar pembina enjin yang digelar “Takumi”.

    Nissan ucap selamat tinggal kepada GT-R R35 – unit akhir keluar dari kilang; janji akan ada GT-R baharu

    Setiap satu enjin siap dipasang dengan tangan oleh hanya seorang Takumi dalam masa enam jam, dan nama Takumi tersebut dicatatkan pada plak istimewa setiap enjin yang mereka siapkan. Sejak diperkenalkan, enjin VR38DETT ini tampil dalam beberapa versi kuasa, bermula dengan versi paling awal menjana 480 PS, dan versi paling berkuasa disumbat pada GT-R Nismo berkuasa 600 PS dalam keadaan standard.

    Walaupun barisan produksi R35 tidak akan terus menyambung produksi GT-R generasi baharu, Nissan menyatakan GT-R tetap akan kembali dengan model generasi seterusnya bila sampai waktu kelak.

    “Selepas 18 tahun yang luar biasa, R35 GT-R telah meninggalkan tanda yang berkekalan dalam sejarah automotif. Legasinya adalah bukti keghairahan pasukan kami dan kesetiaan pelanggan kami di seluruh dunia. Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan yang luar biasa ini. Kepada ramai peminat GT-R di seluruh dunia, saya ingin memberitahu anda bahawa ini bukanlah ucapan selamat tinggal kepada GT-R selama-lamanya, matlamat kami adalah untuk
    membawa kembali nama GT-R satu hari nanti,” kata Presiden dan CEO Nissan, Ivan Espinosa.

     
     
  • Leapmotor C10 Irmscher dalam teaser – hanya 250 unit

    Leapmotor C10 Irmscher dalam teaser – hanya 250 unit

    Sebuah model menarik daripada Leapmotor bakal membuat penampilan istimewa – dikenali sebagai Leapmotor C10 edisi terhad hasil kerjasama dengan penala Jerman, Irmscher. Model ini hanya akan dikeluarkan sebanyak 250 unit dan ketika ini masih diselubungi kain hitam, memberikan sedikit gambaran luaran seperti rim gaya turbin yang sporty, bibir bampar depan berwarna merah serta logo ‘i’ yang menyala di bahagian belakang. Butiran penuh rekaan masih dirahsiakan dan kita perlu menunggu pelancaran rasmi untuk melihat sepenuhnya rupa model ini.

    CEO Leapmotor Jerman, Martin Resch, berkata kerjasama ini merupakan gabungan kelebihan dua dunia – kepantasan dan teknologi syarikat pemula teknologi tinggi dari China bersama kepakaran rekaan dan pengubahsuaian dari Jerman. Menurut beliau, projek ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran jenama Leapmotor serta menambah daya tarikan emosi terhadap jenama tersebut di pasaran Eropah.

    Menurut laporan CarExpert, model edisi terhad ini dibina berasaskan C10 versi baru yang dilengkapi sistem pacuan semua roda (AWD) dengan dua motor. Versi ini dijangka akan diperkenalkan secara rasmi di Pameran Motor Zurich pada bulan Oktober. Ketika ini, Leapmotor C10 yang dijual di pasaran – termasuk China – hanya hadir dengan pacuan roda belakang (RWD) dan satu motor sahaja.

    Leapmotor C10 Irmscher dalam teaser – hanya 250 unit

    Spesifikasi versi AWD yang bakal tiba ini cukup mengagumkan. Ia dijangka mampu menghasilkan kuasa sehingga 585 PS, menggunakan bateri LFP berkapasiti 81.9 kWh dan menyokong seni bina 800V yang membolehkan pengecasan pantas dari 30% ke 80% hanya dalam masa 22 minit. Pecutan 0-100 km/j pula dikatakan mampu dicapai dalam masa sekitar empat saat.

    Di Malaysia, Leapmotor C10 baru sahaja dikemaskini dengan penambahbaikan seperti pengecasan AC lebih pantas, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) dan penutup ruang kargo (tonneau cover). Walaupun begitu, versi pasaran tempatan masih menggunakan sistem 400V, motor berkuasa 218 PS serta bateri 69.9 kWh yang menawarkan jarak gerak sejauh 424 km mengikut kitaran WLTP. Harga semasa di Malaysia kini bermula sekitar RM125,000, dan versi pemasangan tempatan (CKD) dijangka akan hadir tidak lama lagi.

    Sementara itu, model pasaran China kini telah menerima naik taraf dengan sistem 800V, motor lebih berkuasa iaitu 299 PS serta bateri baharu 74.9 kWh yang mampu mencapai jarak sehingga 495 km mengikut kitaran WLTP

     
     
  • Proton dilihat uji S70 tanpa pelekat penyamaran – ini unit prototaip guna enjin i-GT 1.5L Turbo 4-silinder?

    Proton dilihat uji S70 tanpa pelekat penyamaran – ini unit prototaip guna enjin i-GT 1.5L Turbo 4-silinder?

    Sebuah Proton S70 yang mungkin merupakan prototaip ujian Proton dijumpai di Lebuhraya Klang Banting oleh pengguna Facebook Khairul Adelee Mangadi dan kemudian berkongsi imej berkenaan di paultan.org Automotive/Car Discussion Facebook Group.

    Unit ujian ini tidak diberikan sebarang pelekat penyamaran, namun plat pendaftaran sementara (trade plate) B4155A yang digunakan sememangnya antara plat yang pernah digunakan oleh unit R&D Proton bagi menguji prototaip-prototaip jenama tersebut sebelum ini.

    Jadi ada kemungkinan ini merupakan unit prototaip S70 yang akan menggunakan enjin 1.5 liter empat silinder turbo yang sama seperti X50 facelift bagi menggantikan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo pada model sedia ada? Sehingga kini Proton masih belum mengumumkan secara rasmi bahawa S70 turut akan menerima enjin yang digelar sebagai i-GT berkenaan, namun sudah tentu ia akan menyeragamkan penggunaan enjin untuk semua modelnya pada masa akan datang.

    Ini kerana enjin i-GT tersebut, atau secara spesifiknya merupakan enjin dari keluarga BHE15 merupakan enjin yang fleksibel, dihasilkan dalam pelbagai varian yang boleh dipadankan pada apa jua model tak kira kelas, memudahkan dan mengurangkan kos produksi Proton di fasiliti pemasangan syarikat itu.

    Bagi enjin i-GT pada X50 facelift ia dikenali dengan kod BHE15TD, iaitu varian dengan pengecas turbo dan juga sistem suntikan bahan api terus. Enjin generasi keempat Geely yang dibangunkan dan dibekalkan oleh Aurobay ini turut ada dihasilkan dalam versi tanpa turbo dan hanya diberikan sistem suntikan bahan api port dikenali dengan kod BHE15PFI – ini adalah enjin yang mungkin akan dibekalkan pada Saga MC3 yang akan dilancarkan tak lama lagi.

    Malah ia turut ada dihasilkan dalam versi tanpa turbo tetapi dengan suntikan bahan api terus serta sesuai dipadankan dengan sistem hibrid plug-in (PHEV). Enjin dengan kod BHE15D ini telahpun dipadankan pada Geely Galaxy Starship 7 EM-i di China, iaitu Proton eMas 7 dalam versi PHEV di mana Proton sebelum ini sudah mengesahkan bahawa ia adalah antara model baharu yang akan diperkenalkan di Malaysia kelak. Lebih perincian berkenaan enjin BHE15 ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Sekiranya enjin BHE15TD tersebut dipadankan pada S70 kelak, ia sudah tentu memberikan pelbagai kelebihan terutamanya dari segi kuasa di mana enjin ini pada X50 facelift menawarkan kuasa 181 PS dan tork maksima 290 Nm, berbanding hanya 150 PS/226 Nm pada enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder sedia ada. Enjin baharu ini juga menggunakan mekansima timing chain untuk menggerakkan aci sesondol yang menampilkan penyelenggaraan lebih mudah berbanding sistem timing belt pada enjin lama.

    Sekiranya tingkat taraf baharu ini hanya melibatkan penukaran enjin dan tidak ada perubahan rupa yang memerlukan proses penyediaan produksi yang lebih rumit, mungkin S70 dengan enjin empat-silinder ini akan dilancarkan pada pasaran tempatan menjelang penghujung tahun ini?

     
     
  • Banjir kilat melanda laluan Seremban ke Bandar Ainsdale di KM263 arah utara di Lebuhraya PLUS

    Banjir kilat melanda laluan Seremban ke Bandar Ainsdale  di KM263 arah utara di Lebuhraya PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melaporkan bahawa insiden banjir kilat sedang berlaku di KM263 (arah utara) di antara laluan Seremban ke Bandar Ainsdale. Ia mendorong pihak PLUS untuk menutup lorong kecemasan, lorong kiri (arah utara) dan lorong kanan (arah selatan) di laluan terbabit, sekaligus menyebabkan kesesakan trafik sejauh 7.2 km.

    Dalam masa yang sama, PLUS turut memaklumkan terdapat kemalangan melibatkan sebuah lori yang terbalik di laluan yag sama.

    Justeru, PLUS menasihati semua pengguna di laluan terbabit agar memandu lebih berhati-hati selain teruskan bersabar sekiranya anda tersekat dalam kesesakan di lokasi terbabit. Sila patuhi arahan petugas dan papan tanda trafik di lokasi kejadian. Anda juga boleh memilih menggunakan laluan alternatif bagi melancarkan perjalanan anda.

     
     
  • JPJ kini sediakan transaksi guna e-dompet di semua kaunter di seluruh negara – TnG, GrabPay, MAE, Boost

    JPJ kini sediakan transaksi guna e-dompet di semua kaunter di seluruh negara – TnG, GrabPay, MAE, Boost

    Sejajar dengan usaha ke arah perkhidmatan pembayaran tanpa tunai dan berasaskan digital, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara rasmi telah melancarkan pilihan pembayaran tanpa tunai bagi perkhidmatannya, dengan menyediakan transaksi menggunakan e-dompet untuk semua urus niaga di kaunter JPJ seluruh negara. Pilihan transaksi menggunakan e-dompet ini adalah melalui aplikasi Touch ‘n Go, GrabPay, MAE atau Boost.

    JPJ memaklumkan bahawa terdapat peningkatan positif dalam penggunaan transaksi tanpa tunai bermula tahun 2024, ketika projek fasa perintis dilaksanakan di JPJ Kuala Lumpur. Sejak itu, pelaksanaan kaedah pembayaran ini diperluas secara berperingkat di seluruh negara, melibatkan pengaktifan 1,183 unit terminal Electronic Data Capture (EDC) serta aplikasi M-Device di semua kaunter JPJ.

    Bagi menjayakan usaha ini, siri latihan intensif turut diadakan untuk pegawai JPJ yang ditugaskan di kaunter dari Februari hingga Mac 2025 bagi memberikan pemahaman menyeluruh berhubung prosedur penerimaan, pelaporan sistem MySikap dan semakan transaksi dalam sistem tersebut.

    JPJ kini sediakan transaksi guna e-dompet di semua kaunter di seluruh negara – TnG, GrabPay, MAE, Boost

    JPJ turut memaklumkan bahawa pada tahun 2024, sebanyak 43.01 juta transaksi tanpa tunai telah direkodkan dengan jumlah kutipan RM4.87 bilion, dan daripada jumlah itu, sebanyak 805 transaksi tanpa tunai berjumlah RM73,109.20 telah dibuat melalui pembayaran e-dompet di kaunter.

    Sementara itu, bagi tahun 2025, jabatan tersebut menyatakan bahawa sehingga 24 Ogos, sebanyak 46.5 juta transaksi tanpa tunai telah direkodkan dengan kutipan sebanyak RM5.6 bilion. Transaksi melalui e-dompet di kaunter dan aplikasi MyJPJ juga telah meningkat kepada 245,626 transaksi, dengan jumlah kutipan sebanyak RM19.6 juta.

    JPJ juga percaya pelaksanaan ini akan terus meningkatkan jumlah transaksi tanpa tunai di semua kaunter. Ia juga menyatakan bahawa inisiatif ini akan mengurangkan kebergantungan kepada wang tunai, meminimumkan risiko keselamatan kewangan dan pada masa yang sama menyokong usaha kerajaan mewujudkan persekitaran kerja tanpa tunai.

     
     
  • Sambungan NPE2 dimuktamad – lebuhraya bertingkat sepanjang 15 km dari Jalan Istana ke Pantai Dalam

    Sambungan NPE2 dimuktamad – lebuhraya bertingkat sepanjang 15 km dari Jalan Istana ke Pantai Dalam

    Satu perjanjian konsesi tambahan (SCA) telah ditandatangani antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan New Pantai Expressway (NPE) bagi memuktamadkan sambungan lebuhraya atau NPE Extension sepanjang 15 km, serta melanjutkan tempoh konsesi sehingga tahun 2057, menurut kenyataan kementerian tersebut. NPE Extension yang digelar NPE2 ini akan dihubungkan dengan NPE, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Laluan Istana-Kiara (LIKE) yang bakal dibangunkan.

    Diumumkan awal tahun ini, NPE2 merupakan laluan bertingkat sepenuhnya dari Plaza Tol Pantai Dalam ke Persimpangan Jalan Istana melalui Jalan Syed Putra. Pembinaan sambungan lebuhraya tersebut dijadualkan bermula pada suku keempat tahun ini, dan dijangka siap dalam tempoh empat tahun, menurut IJM.

    IJM turut menyatakan bahawa projek ini merangkumi pembinaan Plaza Tol Syed Putra baharu, walaupun perkara ini sedikit janggal memandangkan ia hanya dijadualkan siap pada tahun 2029, melepasi rancangan kerajaan untuk melaksanakan kutipan tol tanpa palang (MLFF) menjelang 2027. Menteri Kerja Raya juga menyebut bahawa NPE2 akan menyokong pelaksanaan MLFF.

    Sambungan NPE2 dimuktamad – lebuhraya bertingkat sepanjang 15 km dari Jalan Istana ke Pantai Dalam

    NPE Extension akan membantu mengurangkan kesesakan, memendekkan masa perjalanan dan meningkatkan akses ke pusat bandar, di samping menyokong mobiliti harian penduduk serta perniagaan secara bersepadu dengan pengangkutan awam. Dengan pembiayaan yang telah diperoleh dan perancangan yang sedang berjalan, kami akan memulakan pembinaan menjelang suku terakhir 2025,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM, Datuk Lee Chun Fai dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Dengan menyediakan laluan alternatif, NPE2 dijangka melencongkan sehingga 40% aliran trafik yang kini melalui Jalan Bangsar menuju ke pusat bandar, dan alternatif ini berpotensi mengurangkan masa perjalanan sehingga 25 minit dari Pantai Dalam ke pusat Kuala Lumpur, menurut kenyataan IJM.

    Tambahnya, pelarasan jajaran baharu ini juga akan melengkapi fungsi penyuraian trafik pada laluan sedia ada di NPE dengan mengurangkan kesesakan pada waktu puncak di Jalan Pantai Dalam, Jalan Bangsar, Jalan Syed Putra dan Jalan Istana, di samping meningkatkan lagi keberkesanan serta daya tahan keseluruhan rangkaian lebuhraya.

     
     
  • Alfa Romeo dan Jeep bakal kembali ke Malaysia tidak lama lagi – terap jualan gaya butik dengan jumlah kecil

    Alfa Romeo dan Jeep bakal kembali ke Malaysia tidak lama lagi – terap jualan gaya butik dengan jumlah kecil

    Dalam temubual bersama paultan.org baru-baru ini, pengarah urusan Stellantis ASEAN iaitu Isaac Yeo mendedahkan bahawa dua jenama yang sudah tidak beroperasi di Malaysia iaitu Alfa Romeo dan Jeep bakal kembali ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

    Alfa Romeo merupakan jenama automotif dari Itali, manakala Jeep adalah jenama SUV dari Amerika Syarikat di mana kedua-duanya sebelum ini di miliki oleh Fiat Chrysler Automobiles (FCA), dan kini berada di bawah Stellantis iaitu kumpulan automotif yang terbentuk hasil gabungan FCA dan Groupe PSA.

    Menurut Yeo, kedatangan semula dua jenama ikonik ini ke Malaysia kelak bukanlah secara besar-besaran dan bukan diuruskan secara terus oleh Stellantis Malaysia yang kini sedang menumpukan perhatiannya terhadap jenama Leapmotor, serta mengatur semula jenama Peugeot di sini. Sebaliknya Alfa Romeo dan Jeep akan diuruskan oleh entiti berbeza yang disifatkan sebagai ‘sistem model hibrid’ mengoperasikan perniagaan ‘gaya butik’ yang sesuai untuk menjual kenderaan dalam jumlah yang kecil.

    “Kami akan membawa Jeep dan Alfa di bawah sistem model hibrid. Saya percaya kedua-dua jenama ini, dalam masa dua tahun seterusnya, akan mempunyai asas pelanggan, tetapi saya mahu kekalkan dalam masa dua tahun kepada perniagaan gaya butik. Saya tidak akan memasuk ke pasaran besar-besaran,” kata Yeo.

    Alfa Romeo dan Jeep bakal kembali ke Malaysia tidak lama lagi – terap jualan gaya butik dengan jumlah kecil

    Walau bagaimanapun model perniagaan tersebut mungkin hanya untuk jangka masa pendek, dan mungkin Stellantis akan mengambil alih sepenuhnya semula selepas dua tahun.

    “Sebabnya juga adalah kerana produk saya untuk generasi seterusnya akan berevolusi – dalam masa dua tahun saya akan mempunyai barisan model yang banyak. Kedua-duanya adalah jenama-jenama ikonik yang lama, jadi ada minat yang besar tetapi dalam masa yang sama turut ada banyak keraguan, jadi saya mahu kekalkan ia kecil dan mudah diurus berbanding terus kearah mod NSC (syarikat jualan nasional) penuh”, jelas Yeo.

    Sepanjang temubual ini, Yeo kerap menggunakan perkataan ‘relevan’ yang membayangkan sasaran utama Stellantis Malaysia buat masa sekarang adalah untuk kekal bersaing secara kompetitif dengan bergantung kepada jenama EV baharunya dari China, disokong oleh dua jenama dalam pasaran nic.

    “Saya ada banyak jenama untuk dimainkan, tetapi saya perlu bersedia dengan setiap jenama tersebut. Untuk kami sekarang, Leapmotor adalah tumpuan, dan gaya butik untuk Jeep dan Alfa Romeo. Ini akan membolehkan saya kekal relevan. Saya tak perlu untuk berada di atas, hanya perlu relevan, tetapi saya akan membuat penampilan semula,” jelas Yeo.

    Jadi apa model-model yang boleh dijangka akan ditawarkan di Malaysia dari dua jenama ikonik ini? Buat masa sekarang Alfa Romeo mempunyai dua model utama iaitu kembar sedan Giulia dan SUV Stelvio, diikuti model-model lebih kecil iaitu SUV Tonale dengan saiz seperti BMW X1, serta SUV EV kompak digelar sebagai Junior yang tentunya akan bersaing dengan Volvo EX30 sekiranya ia dilancarkan di sini.

    Manakala untuk Jeep, sudah tentu model ikoniknya iaitu Wrangler pasti ditunggu peminatnya di sini. Jenama ini juga mempunyai SUV yang lebih sesuai digunakan setiap hari seperti Compass dan juga Cherokee generasi ke enam yang kini digerakkan oleh unit rangkaian kuasa hibrid elektrik dengan enjin 1.6 liter turbo. Jeep juga sudah ada SUV EV untuk pasaran global iaitu Wagoneer S.

    Dengan strategi yang sudah dinyatakan bahawa dua jenama ini akan menjual kenderaan dalam jumlah yang kecil, sudah tentu ia tidak akan dijual dalam versi pemasangan tempatan (CKD) di sini, dan bakal diimport sepenuhnya (CBU). Jadi sudah tentu harganya juga lebih tinggi dari jenama-jenama Jepun, dan juga jenama dari Jerman yang turut telah mempunyai fasiliti produksi CKD di Malaysia.

    Alfa Romeo dan Jeep bakal kembali ke Malaysia tidak lama lagi – terap jualan gaya butik dengan jumlah kecil

    Namun pasti ada sahaja pengguna yang mahukan sesuatu yang unik dan ditawarkan oleh dua jenama dengan warisan sejarah tersendiri ini, tambahan pula ia datang dengan sokongan khidmat selepas jualan dari pengeluar rasmi, membolehkan kedua-duanya ‘relevan’ dalam pasaran tempatan.

    Sebelum keluar dari pasaran Malaysia sebelum ini, kali terakhir Alfa Romeo berada dalam pasaran tempatan diuruskan oleh Sime Darby. Syarikat itu telah mendapat hak pengedaran Alfa Romeo sejak 2005, namun hanya pada 2009 Sime Darby Auto Italia melancarkan model-model seperti 159, GT, Brera dan Spider, tetapi hanya bertahan sehingga 2013.

    Manakala untuk Jeep, ia sebelum ini dijual secara rasmi di Malaysia oleh DRB-Hicom antara 2014 hingga 2017, dan pernah mempunyai ibu pejabat yang besar di Glenmerie dengan menawarkan empat model utama.

     
     
  • JPJ eBid: VPS dan QRW bakal dibuka bidaan

    Bagi yang memerlukannya untuk kenderaan baharu, siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur dan Sarawak bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur, VPS bakal dibuka bidaannya bermula 1 September. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 5 September. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 6 September 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QRW, bakal dibuka bidaan mulai 2 September. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 6 September, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 7 September 2025.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
     
  • smart #5 ditunjuk di Malaysia — hingga 646 PS, 590 km WLTP, 800V, cas 400 kW, 10-80% dalam masa 15 minit

    smart #5 ditunjuk di Malaysia — hingga 646 PS, 590 km WLTP, 800V, cas 400 kW, 10-80% dalam masa 15 minit

    Anak syarikat Proton, Pro-Net Sdn Bhd selaku pengedar rasmi kenderaan elektrik jenama smart di Malaysia bakal memperkenalkan sebuah lagi model terbaru jenama itu untuk pasaran tempatan dalam tahun ini juga, iaitu model smart #5. Ini merupakan model ketiga smart untuk pasaran Malaysia, sejak pengenalan smart #1 pada November 2023 dan juga smart #3 pada Julai 2024.

    Dipertontonkan kepada wakil media awal minggu ini, smart #5 menjadi model jenama itu yang besar di sini, setakat ini — ia sebuah SUV elektrik dalam segmen C yang akan menjadi pesaing kepada beberapa model baru SUV elektrik yang lain dalam kelas yang sama seperti Zeekr 7X yang baru sahaja dilancarkan minggu lalu, Tesla Model Y, Xpeng G6, BYD Sealion 7, BMW iX3 dan Mini Countryman SE.

    smart #5 2025 dibangun menggunakan platform SEA3/PMA2+ (antaranya sama dengan Zeekr 7X) dan mempunyai ukuran dimensi seperti berikut: 4,695 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,705 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,900 mm. Sekadar perbandingan dengan model Honda CR-V, model popular segmen C bukan-EV itu mempunyai ukuran 4,691 mm panjang, 1,866 mm lebar, 1,681 mm tinggi dengan jarak roda 2,701 mm — dua model ini mempunyai panjang yang hampir sama, tetapi jarak roda yang sedikit berbeza. Seperti kebiasaan penawaran bagi model elektrik, ukuran dimensinya akan sedikit besar berbanding ukuran bagi segmen yang sama bagi model bukan-EV.

    Untuk pasaran Malaysia, bakal ada tiga varian yang akan diperkenalkan nanti: smart #5 Pro, Premium dan juga Brabus. Untuk tujuan preview ini, hanya dua varian yang ditunjuk, iaitu Premium dan Brabus — dengan beberapa perkara yang masih sedang diperhalusi bagi tahap akhir untuk penawaran tempatan.

    smart #5 ditunjuk di Malaysia — hingga 646 PS, 590 km WLTP, 800V, cas 400 kW, 10-80% dalam masa 15 minit

    Spesifikasi utama yang membezakan setiap varian adalah seperti berikut:

      smart #5 Pro

    • Binaan EV: 400V
    • Output motor elektrik: 340 PS (335 hp dan 250 kW) dan 373 Nm; RWD
    • 0-100 km/j: 6.9 saat
    • Laju maksimum: 200 km/j
    • Bateri: 76 kW lithium iron phosphate (LFP)
    • Range (WLTP): 465 km
    • Pengecasan AC: 11 kW; 10-80% dalam masa 8.5 jam
    • Pengecasan DC: 150 kW; 10-80% dalam masa 30 minit
    • smart #5 Premium

    • Binaan EV: 800V
    • Output motor elektrik: 363 PS (358 hp atau 267 kW) dan 373 Nm; RWD
    • 0-100 km/j: 6.5 saat
    • Laju maksimum: 200 km/j
    • Bateri: 100 kWj nickel cobalt manganese (NCM)
    • Jarak (WLTP): 590 km
    • Pengecasan AC: 22 kW; 10-80% dalam masa 4.5 jam
    • Pengecasan DC: 400 kW; 10-80% dalam masa 15 minit
    • smart #5 ditunjuk di Malaysia — hingga 646 PS, 590 km WLTP, 800V, cas 400 kW, 10-80% dalam masa 15 minit

      smart #5 Brabus

    • Binaan EV: 800V
    • Output motor elektrik depan: 224 PS (221 hp atau 165 kW) dan 270 Nm
    • Output motor elektrik belakang: 421 PS (416 hp atau 310 kW) dan 440 Nm
    • Keseluruhan output sistem: 646 PS (637 hp atau 475 kW) dan 710 Nm; AWD
    • 0-100 km/j: 3.8 saat
    • Laju maksimum: 210 km/j
    • Bateri: 100 kWj nickel cobalt manganese (NCM)
    • Jarak (WLTP): 540 km
    • Pengecasan AC: 22 kW; 10-80% dalam masa 4.5 jam
    • Pengecasan DC: 400 kW; 10-80% dalam masa 15 minit

    Dari segi rekaan, berbanding dengan dua model smart sebelum ini, smart #5 menampilkan rekabentuk berkotak dan tegap. Model sebelumnya memiliki rekabentuk yang sangat berbeza — begitu juga dengan wajah depan antara mereka yang saling tak sama — dengan membawakan imej lengkung yang sangat sinonim dengan tanggapan meluas terhadap sesebuah kenderaan EV secara umum.

    Wajah depan smart #5 juga unik dengan adanya empat lampu kecil di sepanjang garis lebar kereta ini, yang dilengkapi dengan lampu utama matrix LED Cyberlight, dengan DRL dalam bentuk yang bujur sama seperti lampu kecil yang dinyatakan itu.

    Imej rekaan yang sama ini turut dihadirkan untuk bahagian belakang; empat lampu kecil berkenaan juga ada di sana. smart #5 dari belakang juga kelihatan tegap dan lebar dengan bahagian cermin dan tiang D yang yang tebal dan tegak.

    Yang membezakan penampilan antara varian ialah rekaan bampar. Pro dan Premium menggunakan rekaan yang sama, dengan bahagian apron bawah ada tiga jalur menegak, yang diletak di belakang skid plate warna badan dengan jalur melintang. Turut ada ialah bukaan udara sebenar bersegi di sudutnya.

    Bampar untuk varian Brabus pula tampil lebih garang, terutama bahagian bawahnya, lengkap dengan perincian merah bagi menandakan aspirasi sportnya. Perincian merah ini turut menghiasi bahagian lain untuk versi Brabus, misalnya landasan di bumbung dan angkup brek.

    Jika anda perhatikan dari dekat, di bahagian cermin depan, belakang dan sisi kereta ini ada didatangkan dengan ikon panda yang comel — antaranya yang sedang minum kopi dan tidur. Mungkin ini melambangkan ikon haiwan yang sangat terkenal di China, atau memberi bayangan bahawa smart #5 ini tetap membawa semangat “comel” yang sama dalam pendekatan rekaannya.

    Sentuhan lain yang menunjukkan smart #5 ini adalah sebuah SUV EV premium adalah seperti tingkap pintu tanpa bingkai, bumbung panoramik kaca yang luas (1.7 meter dengan penghadang matahari kuasa elektrik), pintu ruangan barang belakang kuasa elektrik, lambang di rim yang kekal rata (untuk Premium) serta sensor NFC di tiang B untuk digunakan dengan kad kunci atau telefon pintar dengan aplikasi.

    smart #5 ditunjuk di Malaysia — hingga 646 PS, 590 km WLTP, 800V, cas 400 kW, 10-80% dalam masa 15 minit

    Di dalam, elemen rekaan bujur yang nampak diluar diteruskan dengan ketara. Papan pemuka yang rapat ke cermin depan, dalam sekali lihat nampak seperti skateboard deck; saiznya besar terbentang di tengah dengan menempatkan dua skrin sentuh bersaiz 13-inci AMOLED 2.5K. Menurut smart, rekaan papan pemuka ini sebenarnya mengambil ilham daripada tie clip.

    Skrin utama di tengah adalah untuk kegunaan fungsi infotainmen, dengan skrin yang kedua di depan penumpang depan menempatkan fungsi yang dikurangkan dan bertujuan untuk kendalian dan penggunaan media. Untuk pemandu, tersedia kluster instrumen digital 10.3-inci dan juga head-up display 25.6-inci dengan augmented reality.

    Sistem kereta ini dikuasakan oleh cip AMD V2000, yang turut melibatkan storan sebesar 256 GB dan memori 24 GB — sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto juga disediakan, berserta dengan capaian terhadap ChatGPT, bantuan suara digital dan kemaskini perisian over-the-air (OTA). Seperti juga #1 yang hadir dengan avatar musang dan #3 dengan avatar cheetah, #5 kini menggunakan avatar singa.

    Satu lagi penawaran yang memikat bagi Premium dan Brabus adalah sistem bunyi dari Sennheiser, dengan output puncak 2,000 watt, audio AMBEO 3D (tetapan 7.1.4), Dolby Atmos serta dengan 20-pembesar suara dengan satu daripadanya akan turun-naik dari bahagian papan pemuka. Selain itu, ada juga sistem lampu ambient dengan 256-warna yang menawarkan 36 tetapan pencahayaan.

    smart #5 ditunjuk di Malaysia — hingga 646 PS, 590 km WLTP, 800V, cas 400 kW, 10-80% dalam masa 15 minit

    Kemasan ruang kabin smart #5 ini juga sangat menarik, dengan 90% daripadanya terdiri daripada material permukaan lembut, termasuklah kulit Nappa (Premium) dan gentian mikro Dinamica (Brabus). Walaupun untuk varian Premium yang ditunjukkan ini menggunakan balutan kulit warna coklat, versi yang akan dijual di pasaran tempatan nanti adalah dengan warna hitam.

    Bagi aspek praktikaliti, smart #5 ini menyediakan ruang but seluas 630 liter (termasuk 110 liter di bawah lantai), dan boleh dilanjutkan menjadi 1,530 liter dengan merebahkan kerusi. “Frunk” juga memberikan ruang tambahan: bagi Pro dan Premium yang dipacu roda belakang, 72 liter tersedia, sementara untuk Brabus dengan pacuan semua roda, 40 liter tersedia di depan. Selain itu, ada 34 ruang storan lain untuk kereta ini.

    Kamera yang ada untuk #5 juga lebih baik daripada model #1 dan #3: kini resolusinya lebih tinggi. Unit di depan kini 8-megapiksel (berbanding 1.7 megapiksel), sementara empat lagi kamera yang membolehkan paparan sekeliling kini 3 MP (daripada 1.3 MP). #5 juga datang dengan kamera belakang 3MP yang tiada untuk dua model sebelumnya itu.

    Untuk sistem keselamatan, kamera berkenaan berserta lima radar dan 12 penderia ultrasonik akan memberi input kepada cip Nvidia Drive OrinX untuk membolehkan fungsi pencegahan pintar kereta ini, seperti AEB depan dan belakang, bantuan mengekalkan lorong, kawalan melayar adaptif, pengesan titik buta, amaran perlanggaran depan dan banyak lagi.

    smart #5 ditunjuk di Malaysia — hingga 646 PS, 590 km WLTP, 800V, cas 400 kW, 10-80% dalam masa 15 minit

    Kelengkapan standard untuk varian Pro antaranya termasuklah kerusi balutan kulit buatan untuk kerusi dan kemasan pintu, lampu tinggi automatik, pintu ruang kargo kuasa elektrik, tiga mod pemanduan (Eco, Comfort dan Sport), lampu ambient 256-warna, serta tujuh beg udara.

    Premium pula menerima tambahan antaranya pintu kargo belakang larasan sensor kaki, pemegang pintu terselindung dan bercahaya, lampu LED di bahagian sill plates, kulit Nappa (stereng, kerusi, kemasan pintu), lampu tinggi adaptif, larasan lampu utama automatik, lampu kedudukan dinamik dan fungsi tambahan untuk lampu ambient.

    #5 Brabus pula menerima tambahan mod pemanduan Snow, Sand, Mud, Rock, Adaptive dan Brabus. Ia juga datang dengan suspensi sport (ada suspensi udara untuk pasaran China) dan simulasi bunyi enjin.

    Untuk Premium, ada empat pilihan warna di berikan: Meta Black, Cyber Silver, Pulsar Ruby dan Saturn Beige (dalam gambar) — semuanya dengan bumbung warna Eclipse Black dan warna kabin Shadow Black. Brabus juga menerima warna bumbung dan kabin yang sama, tetapi dengan pilihan warna badan luarannya terdiri daripada Atom Grey Matte (gambar), Meta Black dan Digital White.

    Untuk harga, belum ada sebarang petunjuk diberikan. Melihat kepada penawar sedia ada smart di Malaysia dengan model #1 (antara RM169,000 hingga RM249,000) dan #3 (RM175,000 hingga RM255,000), sebagai model flagship tentulah #5 ini akan lebih mahal.

    Sekadar mencari bayangan harga dengan membandingkan harga model-model pesaingnya seperti dinyatakan pula: Zeekr 7X (RM179,800 hingga RM226,800), Xpeng G6 (RM168,820 hingga RM188,820) dan BYD Sealion 7 (RM184,500 hingga RM200,500) dengan Tesla Model Y pula lebih mahal (RM195,450 hingga RM242,450).

    smart #5 Premium 2025

    smart #5 Brabus 2025

     
     
  • Harga minyak 28 Ogos-3 Sept – diesel di semenanjung, RON97 dinaikkan masing-masing tiga sen seliter

    Harga minyak 28 Ogos-3 Sept –  diesel di semenanjung, RON97 dinaikkan masing-masing tiga sen seliter

    Seperti biasa, petang Rabu sebegini mesti ramai yang menantikan pengumuman Kementerian Kewangan (MOF) tentang harga runcit petrol dan diesel untuk minggu seterusnya.

    Untuk minggu bertarikh 28 Ogos hingga 3 September 2025, harga runcit petrol RON97 dinaikkan sebanyak tiga sen seliter, menjadi RM3.16 seliter berbanding RM3.13 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling, masih dikekalkan pada RM2.05 seliter.

    Untuk harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia, ia juga dinaikkan sebanyak tiga sen seliter menjadi RM2.88 seliter. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga runcit bagi petrol RON 95 akan diturunkan ke RM1.99 seliter apabila penyasaran subsidi dilaksanakan kelak. Perincian penuh mengenai penyasaran subsidi bahan api itu bakal diumumkan menjelang akhir September 2025, katanya menerusi ucapan ‘Penghargaan Buat Rakyat Malaysia’.

    Manakala pada 26 Ogos, Menteri MoF II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Pada masa ini, kerajaan berada di fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan bagi subsidi petrol RON95 bersasar, dengan perbincangan bersama semua pihak berkepentingan yang relevan. Ini termasuk meneroka pelbagai mekanisme pelaksanaan, seperti menguji penggunaan MyKad, e-dompet, dan aplikasi syarikat minyak, bagi memastikan inisiatif ini dilaksanakan dengan cekap serta tidak menyulitkan rakyat.”

     
     
  • Proton eMas 7 kini datang dengan penutup ruang kargo, pemilik sedia ada juga akan diberi percuma

    Proton eMas 7 kini datang dengan penutup ruang kargo, pemilik sedia ada juga akan diberi percuma

    Seperti yang diumumkan ketika pelancaran model kemaskini Proton eMas 7 2025 bulan lalu, SUV EV berkenaan kini telahpun menerima penutup ruang kargo belakang (tonneau cover). Aksesori ini bukan hanya diberikan pada eMas 7 yang baru keluar dari bilik pameran sahaja, malah pemilik-pemilik eMas 7 sedia ada turut akan menerima aksesori yang berharga RM300 ini secara percuma.

    Menurut Proton ketika pelancaran eMas 7 2025 tempoh hari, tambahan penutup ruang kargo ini adalah hasil maklum balas yang diberikan oleh pelanggan. Proton memberikan penutup berkenaan dengan kemasan fabrik seakan gentian karbon, dan ia disulam dengan loga ‘Proton eMas’ pada bahagian hujung kanan aksesori tersebut.

    Walaupun kemasannya nampak seperti aksesori aftermarket kerana tidak sepadan dengan kemasan-kemasan dalaman standard eMas 7 ini, ia menampilkan fungsi yang baik untuk ‘menyembunyikan’ barang-barang yang disimpan dalam but belakang dari pandangan luar cermin, untuk privasi lebih baik.

    Tingkat taraf ini mungkin akan diberikan pada model EV kedua Proton dengan saiz lebih kecil iaitu eMas 5. Namun ia mungkin tidak akan ditawarkan terus ketika pelancarannya nanti dan hanya akan diberikan secara percuma selepas beberapa tempoh.

    Antara peningkatan lain yang turut diberikan pada eMas 7 2025 ini termasuk kemaskini OTA yang memberikan fungsi Apple CarPlay yang boleh digunakan sama ada menggunakan wayar atau tidak, dan juga fungsi Amaran Kelajuan Rendah untuk Pejalan Kaki (Low-Speed Pedestrian Warning), di mana bunyi ‘lagu lori aiskrim‘ sedia ada sudah boleh dimatikan, atau diganti dengan dua pilihan bunyi baharu iaitu Space Walk atau Galactic Note.

    Bagi pengguna Android, Proton sebelum ini telah mengumumkan bahawa fungsi Android Auto bakal boleh digunakan pada suku keempat tahun ini, juga akan dibuat menerusi kemaskini secara OTA.

     
     
  • Honda CRF250 Rally 2025 tiba di Malaysia – RM28.6k

    Honda CRF250 Rally 2025 tiba di Malaysia – RM28.6k

    Boon Siew Honda Sdn Bhd mengumumkan, CRF250 Rally 2025 kini sudah tiba di Malaysia dengan dijual pada harga RM28,599 tidak termasuk insurans. Harga ini masih sama seperti CRF250 Rally yang dilancarkan pada tahun lepas.

    Melalui siaran akhbar yang diedarkan kepada media, model ini tidak diberitahu menerima sebarang peningkatan kecuali warna baru yang dipanggil sebagai Extreme Red, bersama tempat duduk yang berwarna biru.

    Tetapi jika anda perhatikan lebih teliti, panel tepi berhampiran ekzos berubah sedikit, sama seperti CRF300 Rally 2025 yang diperkenalkan untuk pasaran luar dan lampu penunjuk arah hadapan dan belakang juga kini menggunakan unit LED yang lebih nipis.

    Honda CRF250 Rally 2025 tiba di Malaysia – RM28.6k

    Kemudiannya, CRF300 Rally 2025 juga menerima penambah baikan sistem penyejukan serta suspensi yang ditala semula. CRF250 Rally pasaran Malaysia bagaimanapun masih belum dapat dipastikan sama ada menerima penambah baikan sama atau tidak.

    Bahagaian lain tidak berubah, dengan CRF250 Rally masih dipacu oleh enjin satu silinder DOHC 249 cc dengan sistem suntikan bahan api, menghasilkan kuasa 25 hp pada 9,000 rpm dan tork 21.9 Nm pada 6,500 rpm. Ia disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan dengan klac assist & slipper serta pacuan rantai.

    Sebagai sebuah motosikal yang dicipta untuk kegunaan lasak, CRF250 Rally datang dengan tetapan rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dipegang oleh masing-masing fork teleskopik Showa 43 mm serta monoshock Showa dengan sambungan Pro-Link.

    Tugas membrek dijalankan oleh unit cakera tunggal 296 mm dengan angkup dua piston di hadapan dan cakera tunggal 220 mm dengan angkup satu piston di belakang. Sistem ABS diberikan secara standard dan ia boleh ditutup dengan butang khas yang disediakan berhampiran panel meter LCD. Secara keseluruhannya CRF250 Rally ini mencatat berat 153 kg dan datang dengan tangki bahan api 12.8 liter.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025