Bagi sesetengah jenama, banyak yang telah berlaku dalam tempoh 12 bulan sepanjang tahun 2019. Begitu juga ada jenama yang kurang rancak dari segi pengenalan produk untuk tahun ini. Jika sebelum ini kita telah menyorot kembali perkembangan positif melibatkan jenama dan hal-hal tempatan – seperti Proton dan Perodua – kali ini kita akan lihat pula apa yang telah dicapai oleh jenama pengeluar kenderaan dari Jepun di dalam pasaran domestik.

Honda hanya lancarkan satu model dipertingkat, dan tempahan

Honda mungkin menjadi satu jenama yang paling “sunyi” tahun ini jika dilihat daripada jumlah pengenalan model baru. Sepanjang 2019, Honda Malaysia hanya melancarkan HR-V facelift, dengan tambahan varian terbaru RS dan juga Hybrid. Ia mula ditunjukkan pada penghujung 2018, dan hanya dapat dilancarkan pada Januari 2019. Jika anda tahu apa pandangan kami berkenaan model HR-V Hybrid, rujuk laporan pandu uji ini.

Satu lagi model baru yang dijangka akan memasuki pasaran tahun ini ialah Civic facelift. Tetapi, nasib tidak menyebelahi Honda kerana ia tidak dapat diperkenalkan mengikut masa seperti yang dirancngkan. Dan, bukan itu sahaja masalah untuk Honda; pengeluaran Civic juga terpaksa dihentikan seketika, sebelum model berkenaan kembali dijual pada April lalu.

Jika ada yang tertanya-tanya apa sebenarnya masalah yang dihadapi Honda, ia antaranya berkaitan dengan penilaian semula serta audit berkaitan hal-hal penetapan harga semua model yang dijualnya, sebaik sahaja peralihan kerajaan PH pada 2018. Sementara itu, model seperti Jazz Hybrid dan City pula baru-baru ini menerima kenaikan harga sehingga RM8,000.

Semua ini memberi kesan kepada angka jualan Honda, sehingga menyebabkan kedudukan kedua keseluruhan jualan yang dipegang kini telah dipintas oleh Proton sejak Julai lalu. Jadi, apa yang boleh dijangkakan dari Honda tahun depan? Pertama sekali, tentulah Civic facelift yang tertangguh itu. Kemudian, akan ada juga model Accord baru yang menunggu giliran untuk diperkenalkan. Selebihnya kita boleh jangkakan versi terkini bagi BR-V dan CR-V, serta Jazz terkini dan City yang sudahpun dilancarkan di Thailand.

Toyota pertaruh beberapa model baru dan dipertingkat

Tidak seperti Honda, Toyota sebaliknya mempunyai perjalanan yang agak melegakan sepanjang 2019. Semua sekali ada empat buat model baru diperkenalkan dalam pasaran. Ini dimulakan dengan sedan segmen B Vios dan juga hatchback Yaris. Kedua-duanya menerima pertambahan kelengkapan dan ciri keselamatan yang lebih baik, misalnya dengan tujuh beg udara. Lebih menarik, dua model ini masih lagi berada di dalam julat harga yang mampu milik – dari RM70k hingga RM90k.

Selepas itu, hadir pula Avanza yang menerima pembaharuan yang agak ketara, termasuk tambahan ciri seperti peninjau titik buta. Berita yang ditunggu-tunggu ramai tentulah pengenalan model GR Supra pada September, yang menggunakan enjin BMW 3.0 liter enam-silinder sebaris. Ia dijual pada harga RM568,000. Baca laporan pengalaman pandu uji kami di sini.

Kalau Honda tak sempat nak lancarkan Civic, Toyota sebaliknya telah memperkenalkan model Corolla terbaru yang berada dalam segmen yang sama. Walaupun masih kekal dengan enjin 1.8 liter yang sama, ia bagaimanapun dipasang menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) serta lengkap dengan pakej keselamatan Toyota Safety Sense.

Untuk 2020, mungkin Toyota akan sedikit lebih perlahan bagi aspek pengenalan model baru. Namun begitu, masih ada beberapa model yang seperti mempunyai potensi untuk dilancarkan, misalnya jika kita mengambil kira perkembangan di Thailand. Model-model terkini bagi Hilux, Fortuner dan Innova. Sienta juga mungkin sudah sesuai untuk menerima versi facelift. Kalau ada rezeki, siapa tahun RAV4 terbaru juga akan muncul? Begitu juga dengan Yaris terkini yang sudah ditunjukkan di Jepun dan Eropah.

Nissan tumpu elektrifikasi

Selepas agak perlahan dan ketandusan pengenalan model baru untuk tempoh dua tahun sebelum ini, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) pertama sekali melancarkan Serena S-Hybrid pada 2018, dan momentum itu diteruskan lagi sepanjang 2019. Terdapat dua pelancaran model baru yang agak penting buat Nissan tahun ini.

Pertama, SUV X-Trail facelift yang diperkenalkan dua bulan selepas pelancaran di Thailand, dengan tambahan varian hibrid. Kelengkapan keselamatan juga dipertingkat; dari dua beg udara dahulu kepada minimum empat beg udara ketika ini, manakala varian tertinggi dilengkapi dengan enam beg udara semuanya. Varian tertinggi juga datang dengan set bantu pemanduan Nissan Intelligent Mobility, termasuk ciri AEB.

Corak tumpuan kepada kenderaan elektrifikasi ini diteruskan dengan pengenalan model Nissan Leaf. Model Leaf terbaru ini lebih berkuasa, dengan jarak perjalanan 270 km serta ciri AEB serta penampilan rekaan yang bertambah menarik. ETCM juga memperkenalkan program langganan untuk beberapa model, termasuk X-Trail Hybrid. Apa ada untuk 2020? Paling dinantikan, Almera terbaru, yang juga akan menjadi model penting buat Nissan untuk bersaing di sini. Kedua, mungkin Kicks, yang akan bersaing dengan HR-V. Model facelift yang boleh dijangka ialah Serena dan Navara.

Mazda terus rancak

Mazda juga agak rancak sepanjang tahun ini. Ada dua pengenalan model penting tahun ini; pertama, Mazda 3 menjengah pasaran Malaysia pada bulan Julai. Bagaimanapun, tanda harga berbanding model lamanya naik agak tinggi – varian 1.5 liter paling asas dengan harga RM140k, manakala varian 2.0 liter pula kini cecah RM160k.

Mujur kereta segmen C berkenaan tampil dengan rekabentuk yang segar dan agresif, terutama bagi model hatchback, sementara model sedan nampak lebih matang dan bersedia untuk berkhidmat sebagai kereta keluarga. Sebulan selepas itu, MX-5 RF yang dikemaskini pula diperkenalkan. Enjin lebih berkuasa dengan 184 hp, harga juga naik sebanyak RM37,000, menjadikan harga semasa model berkenaan RM260,000.

September pula, Mazda 6 diberikan sedikit peningkatan – sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta sistem G-Vectoring Control Plus – juga dengan harga yang meningkat RM20k; kini antara RM174k hingga RM220k. SUV CX-5 pula menerima penawaran enjin 2.5 liter turbo dari CX-9, dan dijual pada harga RM179,000.

Yang terkini, SUV tujuh-tempat duduk CX-8 pula diperkenalkan, dan dijual pada harga dari RM180k hingga RM218k. Ini satu lagi pertambahan atau lanjutan terbaru yang menarik bagi segmen SUV, selain daripada model CX-5. Untuk 2020? Produk baru seperti CX-30 boleh kita jangkakan tiba di Malaysia. Begitu juga dengan Mazda 2 yang dah tiba kepada tempoh facelift, serat Mazda 3 pemasangan tempatan agar harganya turun sedikit.