Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jaguar Classics sahkan bakal tawarkan E-Type EV

    Jaguar Classics sahkan bakal tawarkan E-Type EV

    Jaguar Classic telah mengesahkan mereka akan menawarkan versi elektrik sepenuhnya bagi model E-Type untuk jualan selepas mendapat maklum balas yang sangat menggalakkan terhadap model konsep E-Type Zero yang dipertontonkan September tahun lalu.

    Syarikat itu bagaimana pun belum mendedahkan sebarang perincian teknikal mahupun harga bagi E-Type EV, tetapi telah menyatakan bahawa serahan kepada pelanggan akan bermula pada musim panas 2020.

    Jangkaannya, kosnya adalah tinggi memandangkan Jaguar Classic perlu menggunakan badan E-Type lama dan mengubah sistemnya kepada kuasa elektrik. Pemilik sedia ada yang memiliki E-Type juga boleh menghantar kereta mereka untuk mengubah sistem lama kepada EV.

    Kerja-kerja ini akan dilakukan di kemudahan Classic Work di Coventry, UK di mana program restorasi E-Type Reborn sedang dijalankan – yang akan menggunakan sistem janaan kuasa enjin petrol.

    “Kami dihujani dengan reaksi positif terhadap model konsep Jaguar E-Type Zero. Meletakkan teknologi model ke dalam sebuah kereta klasik memberikan pengalaman pemilikan yang berbeza dan satu lonjakan besar buat Jaguar Classic,” ujar Pengarah Jaguar Land Rover Classic, Tim Hanning.

    “E-Type Zero mempamerkan warisan panjang yang ada pada model E-Type, serta ketelitian kerja di Classic Works dan dalam masa yang sama menunjukkan kesungguhan Jaguar Land Rover ke arah mewujudkan kenderaan bersih tanpa pembebasan emisi, termasuk Jaguar Classic,” tambahnya.

    E-Type Zero sebelum ini diasaskan daripada Series 1 E-Type yang menampilkan penggunaan bateri 40 kWh dengan jarak 270 km. Kebanyakan komponen kekal menggunakan yang asal, melainkan sistem janaan yang diwarisi dari model I-Pace.

     
     
  • Lebuhraya MEX beri tol percuma untuk semua kenderaan pada 31 Ogos ini sempena Hari Merdeka

    Lebuhraya MEX beri tol percuma untuk semua kenderaan pada 31 Ogos ini sempena Hari Merdeka

    Pengguna Lebuhraya MEX tidak akan dikenakan bayaran tol (untuk semua kelas) pada 31 Ogos ini sempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-61.

    Dalam kenyataan rasminya, pengendali lebuhraya terbabit, Maju Expressway Sdn Bhd berkata, tempoh bebas-tol ini adalah bermula jam 12.01 pagi hingga 11.59 malam. Langkah itu dikatakan memberi manfaat kepada lebih 110,000 pengguna, terutama mereka yang pergi ke Putrajaya untuk meraikan Hari Kemerdekaan ini.

    Bagi yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai tawaran ini atau pun laporan trafik terkini, bolehlah melayari Twitter MEX (MEXTraffic), laman Facebook (MEX Traffic) atau hubungi talian MEX (03-8315 9111).

     
     
  • Acura NSX 2019 – gaya dan kelengkapan ditambah baik, harga dari RM645,251 di Amerika Syarikat

    Acura NSX 2019 – gaya dan kelengkapan ditambah baik, harga dari RM645,251 di Amerika Syarikat

    Acura NSX 2019 (ataupun lebih dikenali sebagai Honda NSX di luar Amerika) telah membuat penampilan pertama semasa Monterey Car Week, dan ia membawa pembaharuan pada bahagian luar, dalam dan kelengkapan. Model NSX generasi kedua dengan kuasa hibrid ini telah diedarkan sebanyak 1,900 unit di seluruh dunia (model tahun 2017 dan 2018), dengan hampir 1,000 daripadanya diserahkan kepada pelanggan di Amerika Syarikat.

    NSX terbaru ini menggunakan hiasan gril baru yang sama warna dengan keseluruhan badan, manakala keliling gril itu, jeriji salur udara serta hiasan di bampar belakang menggunakan warna hitam berkilat. Spoiler gentian karbon serta pakej luaran gentian karbon kemudiannya didatangkan sekali dengan spoiler di bawah bampar hadapan, hiasan di tepi kereta serta diffuser belakang.

    Masuk ke dalam, pelanggan mempunyai pilihan kombinasi warna Indigo Blue, yang digunakan pada kulit semi-aniline serta Alcantara yang membalut bahagian tertentu. Tempat duduk sport larasan kuasa kini didatangkan secara standard (sebelum ini dijual pada harga US$1,500, atau RM6,145), dan boleh dipilih dalam warna merah ataupun Ebony. Turut disediakan tanpa sebarang kos adalah pilihan tempat duduk sport ringan larasan manual yang dibalut kulit Black Milano atau Alcantara.

    Pada bahagian casis, stabiliser baru yang lebih besar di depan dan belakang memberikan lebih ketegaran dengan peningkatan masing-masing sebanyak 26% dan 19%. Getah toe link belakang pula sekarang 20% lebih keras, manakala kekuatan hab belakang ditambah sebanyak 6%.

    Untuk sistem elektrik seperti unit kuasa SH-AWD, penyerap magnetorheologial aktif, stereng kuasa dan sistem bantuan stabiliti, semuanya diberikan kalibrasi perisian yang baru.

    Sementara itu, sistem brek karbon seramik yang disediakan sebagai pilihan sekarang boleh dipilih dengan angkup warna oren, manakala tetapan brek cakera besi boleh dipilih dengan angkup warna merah. NSX 2019 ini juga didatangkan dengan tayar Continental ContiSportContact 6 yang lebih mencengkam berbanding ContiSportContact 5P sebelum ini.

    Acura NSX 2019 – gaya dan kelengkapan ditambah baik, harga dari RM645,251 di Amerika Syarikat

    Dalam ujian di Litar Suzuka, Jepun, NSX baru ini dapat mencatat masa dua saat lebih pantas dan ini didapati tanpa sebarang perubahan pada kuasa enjin petrol V6 3.5 liter twin-turbo yang digunakan, iaitu 573 hp dan 645 Nm tork. Enjin ini juga mempunyai Direct Drive Motor yang terletak di antara transmisi automatik klac berkembar sembilan kelajuannya manakala di hadapan pula terdapat dua lagi motor Twin Motor Unit (TMU).

    Walaupun sekarang dijual pada harga bermula US$157,500 (RM645,041), iaitu US$1,500 (RM6,143) lebih mahal berbanding sebelum ini, NSX 2019 dilengkapi terus dengan pelbagai barangan yang sebelum ini disediakan sebagai pilihan tambahan dengan kos berjumlah US$4,700 (RM19,249). Ini termasuk navigasi stelit, sistem audio premum ELS Studio, pengesan jarak depan dan belakang, serta pedal sport.

     
     
  • Indian Scout dan Scout Bobber 2019 dilancar di AS

    Indian Scout dan Scout Bobber 2019 dilancar di AS

    Model Scout dan Scout Bobber oleh Indian Motorcycle telah diberikan penampilan baru untuk tahun 2019, atau lebih tepat lagi, pilihan warna baru untuk pelanggan. Untuk Indian Scout, pilihannya adalah warna Thunder Black, Deep Water Metallic, Metallic Jade, Indian Motorcycle Red/Thunder Black dan Willow Green/Ivory Cream.

    Sementara itu, bagi Scout Bobber pula, pilihan warnanya adalah Thunder Black, Thunder Black Smoke, White Smoke dan Bronze Smoke untuk model 2019. Selain daripada itu, ia juga ditambah dengan soket pengecas USB yang diberikan sebagai aksesori standard, terletak di sebelah panel meter.

    Model Scout ini dikuasakan oleh enjin V-twin DOHC 1,133 cc penyejukan cecair dan dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan. Kuasa disampaikan ke roda belakang melalui sistem tali sawat, dan secara keseluruhannya ia mampu menghasilkan 94 hp dan 97 Nm tork.

    Walaupun mempunyai asas yang sama, Scout sebenarnya dicipta dengan penampilan yang lebih klasik manakala Scout Bobber pula lebih ganas. Selain daripada itu, Scout Bobber juga mempunyai perumah untuk lampu hadapan, fender hadapan yang lebih pendek, satu tempat duduk, penghadang lumpur belakang lebih pendek serta penampilan serba gelap.

    Antara perincian lain untuk Scout adalah tangki bahan api 12.5 liter, berat 249 kg, brek cakera tunggal 298 mm dan angkup dua piston di hadapan, cakera tunggal 298 mm serta angkup satu piston di belakang, rim saiz 16 inci, fork hadapan 41 mm dan dua penyerap hentak di belakang.

     
     
  • Lamborghini Aventador SVJ didedah – hanya 900 unit

    Lamborghini Aventador SVJ didedah – hanya 900 unit

    Lamborghini telah menunjukkan sebuah model baru, Aventador SVJ (Superveloce Jota) yang hanya akan dikeluarkan sebanyak 900 unit di seluruh dunia. Sebelum muncul secara rasmi kali pertama juga, kereta ini telah menjadi bahan bualan kerana mencatat rekod baru bagi kereta produksi di Litar Nürburgring dengan masa enam minit 44.97 saat.

    Jika dibandingkan dengan Aventador S, SVJ mempunyai banyak pembaharuan pada bahagian luar, dan ia lebih bertumpu kepada prestasi – peningkatan yang jelas pada daya downforce. Ini termasuk bampar baru dengan sirip tepi dan salur udara (mengurangkan rintangan dan memperbaiki sistem penyejuk). Kemudiannya juga, terdapat splitter hadapan dan lubang angin keluar berbentuk tiga dimensi pada hud.

    Ciri aerodinamik pada bahagian bawah kenderaan turut diperelok, dengan penghasil vortex bekerja sekali dengan diffuser hadapan, dan bahagian belakang menggunakan bampar berbentuk Omega dengan diffuser yang ekstrem. Bahagian baru lain yang terdapat di belakang adalah sayap gentian karbon dengan air foil dan winglet tepi, serta bonet enjin belakang baru yang dibuat daripada gentian karbon dan klip supaya mudah dibuka.

    Lamborghini SVJ juga mendapat ekzos baru yang terletak tinggi dan ia telah membantu mengurangkan sedikit berat pada kenderaan ini. Selain itu, terdapat juga sistem Aerodinamica Lamborghini Attiva (ALA) konfigurasi terbaru 2.0 pada kenderaan ini.

    Sistem ALA pertama kali diguna pada Huracán Performante dan ia memberikan beban aerodinamik aktif yang boleh diubah untuk mencapai daya downforce yang tinggi atau rintangan yang kurang, bergantung kepada keadaan. Terdapat bahagian yang boleh dibuka dan ditutup menggunakan motor elektrik sepantas 500 milisaat di bahagian splitter hadapan dan bonet enjin. Untuk SVJ, sistem ini telah dipertingkat dengan salur udara serta laluan aero baru dan dikalibrasi semula.

    Terdapat juga aero vectoring pada bahagian belakang untuk mengambil selekoh pada kelajuan tinggi, hasil daripada laluan udara berbeza untuk bahagian kiri dan kanan sayapnya. Bergantung kepada arah selekoh yang diambil, sistem ALA ini boleh mengawal laluan udara di setiap bahagian ini untuk memberikan daya downforce dan meningkatkan cengkaman pada tayar yang memerlukan serta memperbaiki stabilitinya.

    Lamborghini Aventador SVJ didedah – hanya 900 unit

    Enjin V12 6.5 liter pada kenderaan ini telah diberikan sedikit modifikasi, dan ini termasuk intake valve titanium baru, intake runner dengan panjang dan bentuk baru, serta intake cylinder head duct yang diubah suai untuk memberikan aliran udara lebih cekap. Kotak gear Independent Shifting Road (ISR) tujuh kelakuan padanya juga telah dikalibrasi semula.

    Hasil daripada peningkatan ini, enjin tersebut dapat menghasilkan 30 hp dan 30 Nm lebih banyak berbanding Aventador S, dan kuasa keseluruhannya menjadi 770 hp pada 8,500 rpm dan 720 Nm tork pada 6,750 rpm. Kuasa terus disampaikan kepada semua tayar, dan kenderaan seberat 1,525 kg ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 2.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum lebih 350 km/j.

    Suspensi LMS pada SVJ ini juga telah dikalibrasi semula untuk meningkatkan kawalan roda dan badan, dengan fokus kepada prestasi atas litar dan daya penyerapan 15% lebih tinggi berbanding SV. Ia juga mendapat anti-roll bar yang 50% lebih tegar berbanding Aventador SV.

    Bahagian lain yang telah dirujuk semula pada SVJ ini adalah ESC, ABS, rear-wheel steering (LRS) dan sistem pacuan empat rodanya, yang dilaras supaya menyampaikan 3% lebih kuasa kepada gandar belakang berbanding model SV. Stereng kuasanya juga telah dilaras semula.

    Aventador SVJ didatangkan standard dengan rim ‘Nireo’ serba ringan yang direka khas untuknya, dan dibalut dengan tayar Pirelli P Zero Corsa – juga mempunyai corak bunga dan dibangunkan khas untuknya. Selain lebih mencengkam, tayar ini juga dapat memberikan ketegaran menegak yang lebih baik untuk berhadapan dengan daya downforce yang tinggi.

    Selain daripada itu, pembeli juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan rim dengan rekaan ‘Leirion’ serta tayar Pirelli P Zero Trofeo R serta sistem telemetri untuk merekodkan masa dan prestasi dalam litar. Lamborghini juga ada memperkenalkan SVJ 63, yang merupakan keluaran istimewa yang memberikan penghormatan kepada tahun syarikat ditubuhkan dan dipenuhi dengan pelbagai barang gentian karbon.

     
     
  • Toyota labur US$500 juta dalam Uber untuk bangunkan teknologi kenderaan pemanduan autonomous

    Toyota labur US$500 juta dalam Uber untuk bangunkan teknologi kenderaan pemanduan autonomous

    Toyota telah mengumumkan akan melanjutkan usahasama syarikat itu dengan Uber dalam rangka untuk membangunkan serta memasarkan perkhidmatan perkongsian kenderaan autonomous. Syarikat Jepun itu akan melabur sebanyak US$500 juta di dalam Uber, dan kenderaan Toyota yang dibina khusus untuk tujuan itu akan digunakan dalam rangkaian Uber bersama-sama dengan teknologi yang dibangunkan oleh kedua-dua syarikat.

    Dari kenyataan rasmi, kenderaan yang akan digunakan untuk perkhidmatan ini ialah Toyota Sienna. Ia akan turut menampilkan sistem pemanduan autonomous Uber dan sistem sokongan keselamatan automatik Toyota Guardian.

    Toyota juga akan menggunakan kemudahan maklumat bagi kenderaan terhubung, dikenali sebagai Mobility Services Platform (MSPF), dengan pelaksanaan ujiannya bagi perkhidmatan Uber dijangka dilakukan pada 2021 nanti.

    Toyota labur US$500 juta dalam Uber untuk bangunkan teknologi kenderaan pemanduan autonomous

    “Kedua-dua sistem oleh Uber dan Toyota ini akan meninjau secara mandiri perksekitaran kenderaan serta situasi masa nyata, sekaligus mempertingkat keselamatan kenderaan bagi kedua-dua pemanduan automatik dan juga kenderaan. Kami berharap kerjasama ini akan mempercepat pembangunan dan pelaksaaan teknologi pemanduan automatik kedua-dua pihak yang terlibat ini,” jelas CEO Institut Kajian Toyota serta Fellow TMC, Gill Pratt.

    Antara perkara yang ingin dicapai daripada usahasama ini ialah untuk memperkemas perniagaan pemanduan automatik Uber. Kejadian kemalangan melibatkan kenderaan kendalian autonomous Uber sebelum ini sedikit sebanyak memperlahankan usaha syarikat itu, terutamanya kerana melibatkan soal keselamatan.

     
     
  • Petronas dedah siri lukisan dinding kempen “Cerita Kita” sempena Hari Merdeka dan Hari Malaysia

    Petronas dedah siri lukisan dinding kempen “Cerita Kita” sempena Hari Merdeka dan Hari Malaysia

    Petronas telah mendedahkan siri lukisan dinding sempena sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia, masing-masing pada 31 Ogos dan 16 September nanti. Usaha ini merupakan kerjasama antara syarikat itu dengan pelajar-pelajar Fakulti Seni dan Rekaan UiTM.

    Ini juga adalah sebahagian daripada kempen “Cerita Kita” yang dianjurkan Petronas, dengan matlamat untuk mengabadikan keindahan tempat-tempat di Malaysia. Keseluruhannya terdapat tujuh lukisan dinding yang ditampilkan di stesen-stesen Petronas seluruh negara.

    Satu daripadanya terletak di Solaris Serdang, dengan judul “Bound by Traditions”. Ia menampilkan senario pasar malam, yang menjadi antara elemen sosial paling dekat dengan jiwa warga Malaysia, walaupun telah melalui pemodenan.

    Petronas dedah siri lukisan dinding kempen “Cerita Kita” sempena Hari Merdeka dan Hari Malaysia

    “Kami telah melibatkan penyertaan dari pelajar-pelajar tempatan sebagai usaha untuk menggalakkan orang muda menunjukkan rasa bangga terhadap negara melalui hasil seni. Kami berharap agar usaha ini dapat diperluaskan lagi ke stesen-stesen Petronas yang lain dan dalam masa yang sama, mempromosi bakat-bakat seni tempatan,” ujar Pengarah Urusan dan CEO Petronas, Datuk Sri Syed Zainal Abidin.

    Enam lagi lukisan serta lokasi stesennya adalah seperti berikut; “Fun in the Nature” di Tapah, “Pearl of the Orient” di Batu Feringghi; “The City of Life” di Ampang; “Where Multi-cultural Heritage Resides” di MITC Melaka; “Being One with Nature” di Peramu 2, Pahang dan “Of Sun, Sea, Forest and Mountains” di Kota Kinabalu.

     
     
  • Kerajaan bercadang melupuskan kereta terbiar dalam tempoh sebulan selepas tarikh notis dikeluarkan

    Kerajaan bercadang melupuskan kereta terbiar dalam tempoh sebulan selepas tarikh notis dikeluarkan

    Bagi mengatasi masalah lambakan kereta terbiar, kerajaan memaklumkan sedang merancang prosedur operasi baru yang bakal menyaksikan semua kenderaan terbiar akan dilupuskan dalam masa sebulan selepas notis dikeluarkan, lapor The Sun. Ketika ini, kenderaan terbiar hanya akan dihantar ke pusat pelupusan selepas setahun dari tarikh notis.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, langkah itu bertujuan untuk mengosongkan ruang depot kenderaan yang digunkan oleh pihak berkuasa yang kini sudah terlalu sesak dengan lambakan kenderaan terbiar. Ini menyebabkan petugas tidak lagi dapat menunda kenderaan terbiar yang lain disebabkan tiadanya ruang simpanan bagi tujuan itu.

    “Ketika ini, majlis perbandaran tempatan memerlukan antara enam hingga 12 bulan untuk melupuskan kenderaan terbiar. Ini termasuk mengeluarkan notis serta semak-ulang antara agensi terlibat untuk menentukan pemilikan kenderaan yang terlibat. Ini memakan masa terlalu lama dan menyebabkan depot simpanan menjadi sesak,” jelas beliau.

    Anthony juga menambah, antara 2014 hingga 2017, terdapat sebanyak 15,000 aduan telah diterima oleh lapan majlis perbandaran tempatan di bandar-bandar besar seluruh negara berkaitan kenderaan terbiar.

    Bagi mempercepat proses ini, beliau menyatakan bahawa biro aduan awam telah ditugaskan untuk mencadangkan prosedur operasi (SOP) baru dan membentangkannya ketika mesyuarat Majlis Pengangkutan Kebangsaan November nanti. Pelaksanaan pula disasarkan bermula awal tahun hadapan.

    Kerajaan bercadang melupuskan kereta terbiar dalam tempoh sebulan selepas tarikh notis dikeluarkan

    Majlis perbandaran tempatan juga akan diberi kuasa penuh untuk menunda dan melupuskan kenderaan terbiar sebaik sahaja SOP baru itu berkuatkuasa. Berkaitan klasifikasi kenderaan terabai dalam tempoh berapa lama yang boleh dianggap terbiar, Anthony menyatakan perkara itu akan digariskan dalam SOP baru itu.

    “Buat masa ini, tiada garis panduan tentang berapa lama sesebuah kenderaan itu terabai sebelum boleh dikelaskan sebagai kenderaan terbiar. Ia boleh jadi dua minggu, atau boleh juga berbulan-bulan. Ini bergantung kepada keupayaan majlis perbandaran. Selepas ini, kita ingin lihat satu garis panduan yang standard untuk semua,” tambah beliau.

    Tahun lalu, dilaporkan hampir lapan juta kenderaan terbiar diseluruh negara, dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bakal menggubal polisi baru bagi menangani masalah kereta-kereta lama yang ditinggalkan dan terbiar di tepi jalan.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia rasmikan Asbenz Stern Kuantan Autohaus – fasiliti jualan, servis dipertingkat

    Mercedes-Benz Malaysia rasmikan Asbenz Stern Kuantan Autohaus – fasiliti jualan, servis dipertingkat

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini membuka secara rasmi pusat 3S yang dipertingkat di Kuantan, Pahang, dioperasikan oleh Asbenz Stern Sdn Bhd. Pembukaan pusat baharu ini bakal memperkenalkan semula jenama mewah dari Jerman berkenaan untuk pemilik serta peminatnya di Pantai Timur, menurut MBM.

    Asbenz Stern Autohaus ini di bina diatas dua tapak berasingan, di mana bilik pameran berkeluasan 3,860 kaki persegi terletak di A7 & A9, tingkat bawah, Jalan Tun Ismail 1, manakala pusat servis dan alat gantinya pula berada di Lot 16606, Kawasan Perindustrian Batu 3, Jalan Gambang dengan keluasan 13,496 kaki persegi.

    Bagi bilik pameran MBM yang ditingkat taraf tersebut, ia dikendalikan oleh enam orang eksekutif jualan, dan dapat mempamerkan tujuh-buah model Mercedes-Benz baharu serentak pada satu-satu masa. Ia menerapkan Identiti Korporat terbaharu Mercedes-Benz dengan menampilkan konsep Autohaus Mercedes-Benz Presentation System II (MPS II) bagi membolehkan pelanggan menerokai keseluruhan produk dan promosi dengan hanya menggunakan jari.

    Manakala untuk pusat servis pula, ia dioperasikan oleh 12 orang tenaga kerja mahir bersama fasiliti yang dilengkapkan dengan 10 ruang kerja. Ini membolehkan pusat berkenaan mampu menservis sehingga 250 buah kenderaan dalam sebulan.

    “Hari ini, bersama rakan pengedar kami, Asbenz Stern, kami sekali lagi menegaskan komitmen kami untuk kawasan Pantai Timur. Mercedes-Benz Asbenz Stern Kuantan Autohaus mendemonstrasikan komitmen kami untuk menambahbaik hubungan dengan pelanggan di seluruh negara, memberikan pelanggan kami produk terbaik dan pengalaman terbaik, kata presiden MBM dan CEO, Dr Claus Weidner.

     
     
  • Mercedes-Benz Vision EQ Silver Arrow – kereta konsep elektrik 738 hp dengan satu tempat duduk

    Mercedes-Benz Vision EQ Silver Arrow – kereta konsep elektrik 738 hp dengan satu tempat duduk

    Mercedes-Benz telah menunjukkan sebuah kereta konsep baru semasa Monterey Car Week, dinamakan sebagai Vision EQ Silver Arrow. Ia mendapat inspirasi daripada kereta lumba W125 yang pernah memecahkan rekod lapan dekad yang lalu, dan hanya menggunakan tetapan satu tempat duduk, dengan kuasa daripada motor elektrik.

    “Lebih 80 tahun dulu, Silver Arrow telah menunjukkan bahawa Mercedes-Benz adalah peneraju dalam aspek kelajuan, hasil daripada antaranya, bentuk yang langsing. Kereta pameran ini juga membawa bahasa rekaan dan teknologi produk EQ ke tahap lebih tinggi,” kata ketua bahagian rekaan Daimler AG, Gorden Wagener.

    Badan kereta konsep sepanjang 5.3 meter ini sebenarnya dibuat daripada gentian karbon, tetapi usaha yang lebih ditunjukkan apabila ia ditutup dengan beberapa lapis cat perak alubeam, yang menghasilkan ilusi “liquid metal.” Walaupun begitu, beberapa bahagian masih tidak dicat seperti splitter, dan serinya ditambah dengan jalur lampu biru.

    Untuk rim, unit aluminium bersaiz 24 inci digunakan pada bahagian hadapan manakala di belakang adalah unit bersaiz 26 inci. Separuh daripada rim berwarna rose gold itu kemudiannya dimuatkan di bawah lengkuk tayar yang yang lebar, dan dibalut dengan tayar Pirelli.

    Bahagian luar lain yang menarik adalah diffuser belakang, serta spoiler yang boleh naik dan bertindak sebagai brek udara apabila perlu. Kemudiannya untuk bahagian kokpit, ia boleh naik ke atas dan hadapan supaya pemandu dapat masuk dan keluar dengan mudah.

    Di sekeliling bahagian kabin, terdapat bahagian berkualiti tinggi seperti aluinium yang dikilatkan serta kemasan kayu walnut dengan corak pinstripe di lantai. Tempat duduk serta roda stereng dibalut dengan kulit asli warna coklat, dan terdapat logo bintang cabang tiga yang diukir dengan lazer.

    Banyak juga kelengkapan berteknologi yang diletakkan pada kereta konsep ini termasuk skrin panoramik bersaiz besar dengan imej 3D sekeliling kenderaan dipaparkan di situ. Selain daripada itu, pemandu juga boleh melihat pelbagai informasi lain seperti pengecasan induktif atas jalan pada skrin tersebut.

    Mercedes-Benz Vision EQ Silver Arrow – kereta konsep elektrik 738 hp dengan satu tempat duduk

    Jika itu tidak cukup menarik, kereta konsep ini juga dilengkapi dengan ‘ghost mode‘ masa sebenar seperti dalam video permainan lumba kereta. Mercedes-Benz memanggil ciri ini sebagai ‘lumba virtual’, dan ia membenarkan anda untuk berlumba dengan kereta Silver Arrow bersejarah ataupun yang sekarang. Kereta ‘ghost‘ tersebut akan dipaparkan pada skrin dan anda akan disediakan dengan petunjuk bagaimana untuk menjadi pemandu yang lebih baik.

    Satu lagi skrin sesentuh disediakan pada roda stereng, dan ia membenarkan pemandu untuk memilih beberapa mod pemanduan. Mereka juga boleh melakukan tetapan bunyi, untuk membuatkan kereta ini berbunyi seperti Silver Arrow Formula 1 ataupun bunyi V8 Mercedes-AMG.

    Ini adalah disebabkan Vision EQ Silver Arrow adalah sebuah kenderaan elektrik berkuasa 738 hp (550 kW) yang boleh dikatakan agak senyap. Baterinya mempunyai kapasiti 80 kWh, dan dikatakan dapat memberi jarak penggunaan 400 km dengan sekali cas penuh.

     
     
  • Mitsubishi Malaysia tayang video Hari Merdeka ke-61

    Sempena sambutan Hari Merdeka ke-61 Jumaat ini, Mitsubishi Malaysia memeriah serta meraikan semangat patriotik melalui sebuah video khusus untuk warga Malaysia tercinta. Berlatarkan lagu nyanyian Faizal Tahir berjudul ‘Malaysia’ turut menampilkan model SUV Mitsubsihi Outlander.

    Ia kisah ringkas tentang seorang kanak-kanak yang memaksa datuknya untuk menemaninya ke Dataran Malaysia – lokasi bersejarah dan sinonim sempena Hari Kemerdekaan Malaysia saban tahun, sejak 1957.

    Video ini adalah tentang saling menghormati, dan mengingatkan kita tentang pentingnya untuk memastikan setiap generasi yang ada hari ini turut sama menghayati perjalanan negara ini melepaskan dirinya daripada penjajahan, menuju kemerdekaan. Semoga kita juga tidak memandang ringan sejarah dan berusaha untuk sama-sama menelurusinya.

    Selamat Hari Merdeka!

     
     
  • Garis panduan bagi aktiviti konvoi berkenderaan bakal diperkenalkan tidak lama lagi – Kem. Pengangkutan

    Garis panduan bagi aktiviti konvoi berkenderaan bakal diperkenalkan tidak lama lagi – Kem. Pengangkutan

    Garis panduan yang lebih jelas berkaitan aktiviti konvoi berkenderaan akan diperkenalkan oleh Kementerian Pengangkutan tidak lama lagi, ujar Timbalan Menterinya, Datuk Kamarudin Jaafar.

    Menurut beliau, dengan semangat menyambut pelbagai perayaan atau program yang diadakan, garis panduan itu dilihat perlu bagi memastikan keselamatan peserta konvoi, laporan Bernama.

    “Sudah tentu kita akan usahakan garis panduan itu dan saya yakin, kementerian telah tentukan garis panduan ini namun kita akan usahakan agar ia lebih baik,” katanya. Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati peserta konvoi agar meningkatkan disiplin ketika berada dalam perjalanan terutama di lebuhraya.

    “Berkonvoi ini satu aktiviti berkumpulan yang baik dan menandakan komitmen masyarakat daripada pelbagai peringkat umur dan saya percaya, menjelang sambutan hari kebangsaan ini, akan lebih ramai masyarakat yang berkonvoi. Sudah tentu kita harap mereka lebih menerapkan ciri-ciri keselamatan dan disiplin dalam berkonvoi itu termasuk menghormati dan bekerjasama dengan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu ditemui dalam Program Pelepasan Konvoi Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2018 Jabatan Penerangan peringkat Wilayah Persekutuan di Terminal Bas Bersepadu (TBS) hari ini.

     
     
  • Bugatti Divo – 1,500 hp, terhad 40 unit, RM23.8 juta

    Bugatti Divo – 1,500 hp, terhad 40 unit, RM23.8 juta

    Bugatti ada sebuah model baru yang telah dipertontonkan kepada umum; dikenali dengan nama yang ringkas sahaja – Divo. Menurut pengeluarnya, ini merupakan kenderaan yang paling berprestasi dan dinamik pernah mereka hasilkan. Ia juga menjadi tanda ingatan untuk ulangtahun ke-110 paling bermakna, yang akan disambut tahun hadapan.

    Tetapi, kereta ini hanya dihasilkan sebanyak 40 buah sahaja, dan dijual pada harga RM23.8 juta. Selain itu, ia meneruskan tradisi Bugatti dengan menamakan model terbabit daripada nama pelumba handalan dunia. Dalam kes ini, Alberto Divo, yang menyertai Bugatti pada tahun 1928 dan terus menempa nama sebagai pemenang bagi perlumbaan Targa Florio di Sicili dengan jentera Bugatti Type 35 ketika itu.

    Bugatti Divo – 1,500 hp, terhad 40 unit, RM23.8 juta

    Sedikit fakta teknikal jentera terbaru ini. Ia dilengkapi enjin 8 liter W16 dengan empat pengecas turbo (dengan dua tahap pengecas turbo Bugatti dan sejukan dalaman) yang menghasilkan sebanyak 1,500 hp pada 6,700 rpm.

    Tork pula ialah 1,600 Nm dari 2,000 hingga 6,000 rpm, dan dipadankan dengan transmisi klac berkembar DSG tujuh kelajuan. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa hanya 2.4 saat. Divo juga 35 kg lebih ringan berbanding Chiron.

    Divo juga menyaksikan Bugatti kembali kepada cara tradisi pembinaan kenderaan yang pernah dipelopori jenama itu sejak dahulu. Selain itu, Divo memiliki 90 kg lebih daya downforce jika dibandingkan dengan model Chiron. Kelajuan maksimum yang mampu dicapai ialah 380 km/j; Divo juga mencatatkan bacaan lapan saat lebih pantas dalam ujian di litar Nardo.

    Walaupun berkongsi bentuk luaran yang mirip dengan Chiron, Divo sebenarnya mempunyai prestasi aerodinamik yang berbeza. Menurut Bugatti, Divo boleh saja diumpamakan seperti Chiron, tetapi akan lebih menyerlah di selekoh.

    Bumbungnya direka untuk menyalurkan udara ke bahagian enjin. Begitu juga dengan lengkung pada bahagian tayar yang akan membantu menyejukkan brek. Tidak lupa juga untuk dinyatakan, spoiler pada kereta ini boleh dilaras.

    Dengan kepanjangan 72-inci (23% lebih panjang berbanding pada Chiron) ia juga boleh dipusing menegak untuk menjadi penampan angin dalam situasi berhenti yang ekstrem. Macam mana, cukup padu hasil terbaru dari Bugatti ini?

     
     
  • Audi PB18 e-tron – beginikah R8 masa hadapan nanti?

    Audi PB18 e-tron – beginikah R8 masa hadapan nanti?

    Audi semasa acara Pebble Beach Concours d’Elegance di California telah menunjukkan kereta konsep PB18 e-tron. Nama ini didapati daripada tempat ia ditunjukkan pertama kali ini, serta DNA teknologi yang dikongsi olehnya dengan kereta lumba Audi R18 e-tron LMP1.

    Walaupun nampak seperti mempunyai persamaan dengan kereta konsep Audi Aicon, Audi menyatakan ia masih berbeza kerana Aicon lebih kepada kereta mewah automatik manakala PB18 direka lebih kepada untuk dipandu sama ada atas jalan biasa ataupun di litar.

    Disebabkan itu, tiada sistem kompleks untuk pemanduan autonomous atau kelengkapan untuk keselesaan pada kereta ini. Apa yang ada di dalamnya cuma satu tempat duduk pemandu yang disepadukan pada kerangka monocoque dalamannya tetapi masih boleh dilungsur untuk pelarasan, ditolak ke tepi untuk dipandu seperti biasa atau memuatkan tempat duduk penumpang. Stereng dan pedal pula menggunakan sistem ride-by-wire.

    Pakej PB18 mengikut susun letak tradisional kereta sports enjin di tengah, dengan kabin ditolak ke hadapan, manakala titik graviti tengah terletak di belakang tempat duduk dan di hadapan gandar belakang – memberikan kelebihan kepada dinamik pemanduan. Berat kereta ini cuma 1,550 kg hasil penggunaan aluminium, karbon dan pelbagai lagi bahan komposit lain.

    Untuk dimensi, PB18 mempunyai ukuran 4.53 meter panjang, 2.0 meter lebar dan 1.15 meter tinggi, dengan jarak roda 2.7 meter. Ini adalah dimensi sebuah kereta sport, dan apabila dilihat dari tepi, ia mempunyai bumbung yang rendah serta C-pillar yang besar. Ruang kargo pula adalah 470 liter.

    Diffuser belakang kenderaan ini mendapat inspirasi daripada sukan permotoran, dan ia boleh dilaras ke bawah untuk meningkatkan tekanan downforce. Sama juga dengan spoiler belakangnya. Untuk rim, kereta ini menggunakan unit 22 inci bersama salur udara keluar dan masuk pada lengkuk roda dan di sebaliknya terdapat cakera brek karbon 19 inci.

    Kereta konsep ini menggunakan tiga motor elektrik – satu di hadapan dan dua lagi di belakang. Ia boleh menghasilkan kuasa sebanyak 150 kW untuk gandar hadapan, dan 350 kW untuk gandar belakang. Kuasa maksimum yang boleh dihasilkan adalah 500 kW, tetapi dengan tambahan boost, ia boleh pergi sehingga 570 kW. Jumlah tork keseluruhan pula adalah 830 Nm, membuatkan kereta ini boleh memecut 0-100 km/j di bawah dua saat.

    Audi PB18 e-tron – beginikah R8 masa hadapan nanti?

    Bateri padu yang disejukkan dengan cecair pada kenderaan ini mempunyai kapasiti tenaga 95 kWh dan apabila dicas penuh, ia boleh membawa kenderaan sehingga jarak 500 km. Ia sudah direka untuk menerima pengecasan 800 volt dan induksi, dan boleh dicas penuh dalam masa cuma 15 minit.

    Semasa kegunaan harian, pemandu boleh menetapkan kelajuan maksimum untuk menjimatkan bateri dan mendapatkan jarak lebih jauh. Dalam keadaan biasa, semasa bergerak, PB18 akan menjana semula kuasa untuk mengecas bateri terutamanya apabila membrek. Torque Control Manager pula bekerja sama dengan ESC untuk menyampaikan kuasa kepada gandar yang memerlukan.

    Bahagian suspensi kenderaan ini juga menggunakan tetapan yang sudah biasa dilihat pada kereta lumba. Depan dan belakang menggunakan suspensi jenis independent, dan terdapat sistem push-rod pada gandar hadapan dan pull-rod di gandar belakang. Ia bekerja sekali dengan penyerap hentak adaptif magnetic ride.

     
     
  • Infiniti Prototype 10 – tunjuk kemampuan masa depan

    Infiniti Prototype 10 – tunjuk kemampuan masa depan

    Semasa acara Pebble Beach Concours d’Elegance, Infiniti telah mempersembahkan sebuah kenderaan konsep baru yang dinamakan sebagai Infiniti Prototype 10. Walaupun diberitahu mendapat inspirasi daripada kenderaan konsep Prototype 9 dan Q Inspiration sebelum ini, Prototype 10 dikatakan berbeza kerana melihat kepada masa hadapan dan konsep elektrik.

    Kereta konsep ini direka oleh pasukan kreatif global Infiniti, diketuai oleh pengarah eksekutif rekaan baru syarikat itu iaitu Karim Habib – ini juga adalah projek pertama yang dikendalikan oleh beliau. Menurut Habib, kereta ini menggabungkan inspirasi estetik daripada kereta lama dengan teknologi masa hadapan.

    Infiniti Prototype 10 diberitahu akan dikuasakan oleh elektrik, namun perinciannya masih belum disiarkan. Ini mengikuti wawasan Infiniti untuk menjadikan semua kenderaan baru mereka bermula tahun 2021 akan mendapat kuasa elektrik – sama ada PHEV, elektrik penuh atau hibrid.

    Seperti yang boleh dilihat, Prototype 10 ini menggunakan cuma satu tempat duduk, dan ini adalah mengambil inspirasi daripada speedster California zaman dulu, yang merupakan antara kereta paling ikonik di dunia. Selain daripada itu, ia juga memberi bayangan terhadap prestasi tinggi kereta ini serta pendekatan Infiniti yang memberikan lebih fokus kepada pemandu.

    Protoype 10 juga menunjukkan potensi boleh menggunakan platform modular jenama itu, dan menyokong era baru rekaan serta pakej. Melalui platform ini, Infiniti boleh menggunakan teknologi e-POWER serta penjana kereta elektrik dalam cara yang baru dan kreatif untuk casis pelbagai bentuk dan saiz.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025