Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • ASEAN NCAP umum dua kereta yang menerima penarafan ‘0-Bintang’ untuk rantau tersebut di Vietnam

    ASEAN-NCAP-feat-2_BM

    Klik untuk besarkan

    Sempena Forum Keselamatan Automobil ASEAN (AASF) edisi keempat yang diadakan di Ho Chi Minh City, Vietnam, Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) telah mengumumkan hasil ujian yang dilakukan pada tujuh buah model yang diuji pada suku kedua 2016.

    Model-model tersebut adalah Nissan X-Trail, Nissan Navara, Suzuki Ertiga, Suzuki Ciaz, Kia Morning, Hyundai EON dan Isuzu MU-X. Dalam kategori Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), dua model menerima penarafan kosong-bintang, empat model menerima penarafan empat-bintang dan satu model menerima penarafan lima-bintang penuh.

    ASEAN NCAP menguji Kia Morning (atau dikenali sebagai Picanto di Malaysia) pada 14 April 2016 dan Hyundai EON pada 10 Mei 2016. Ujian tersebut menggunakan varian Kia Morning untuk pasaran Indonesia manakala untuk Hyundai EON, model pemanduan sebelah kiri yang diambil dari pasaran Filipina digunakan.

    Kedua-dua model ini merupakan varian tanpa beg udara dan menerima penarafan kosong-bintang untuk kategori AOP di mana Kia Morning menerima 1.48 markah dan Hyundai EON tidak mendapat sebarang markah (0 markah), menjadikan ia kereta yang sememangnya tidak mempunyai apa-apa markah dalam ujian ini. Untuk ujian penilaian Perlindungan Penumpang Kanak-kanak, kedua-dua buah model menerima penarafan satu-Bintang pada kadar patuh 27%


    Klik untuk besarkan

    Hasil ujian dua model dari Nissan iaitu X-Trail dan Navara turut diumumkan dalam acara tersebut. Dengan sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Sistem Peringatan Tali Pinggang Keledar (SBR) yang dilengkapi untuk kedua-dua belah tempat duduk hadapan, Nissan X-Trail berjaya mencatatkan penarafan lima-bintang untuk penilaian AOP, menerima 15.10 markah.

    Nissan Navara yang merupakan trak pikap keenam yang diuji ASEAN NCAP menerima 12.34 markah untuk AOP dan menerima penarafan empat-bintang. Untuk penilaian COP pula, X-Trail berjaya memenuhi 72% dan menerima penarafan empat-bintang. Walau bagaimanapun, Navara hanya memenuhi 37% untuk COP dan hanya menerima penarafan dua-bintang.

    ASEAN NCAP turut menguji dua buah model dari Suzuki untuk suku berkenaan. Kedua-dua model iaitu Suzuki Ertiga dan Suzuki Ciaz menerima penarafan empat-bintang dalam penilaian AOP. MPV-Mini Suzuki Ertiga yang bakal direbadge oleh Proton tahun ini menerima 12.39 markah, manakala sedan segmen-C Suzuki Ciaz menerima 14.56 markah.

    Kedua-dua kenderaan keluaran Suzuki ini yang dilengkapi dengan tali keledar untuk pemasangan alat keselamatan untuk kanak-kanak, menerima penarafan COP dua-bintang di mana Ertiga memenuhi 33% dan Ciaz memenuhi 37%.


    Klik untuk besarkan

    Untuk ujian pada Isuzu MU-X, ASEAN NCAP turut menggunakan hasil ujian dari Isuzu D-MAX yang diuji pada fasa ketiga tahun 2013 setelah bukti teknikal yang dikemukan Isuzu membuktikan binaan MU-X adalah sama seperti D-MAX.

    SUV tersebut menerima hasil ujian yang sedikit berbeza dari D-MAX dengan menerima 11.87 markah untuk AOP membolehkan ia diletakkan dalam kategori empat-Bintang. Manakala untuk penilaian COP, ia juga menerima penarafan empat-bintang dengan memenuhi 73%, sedikit tinggi dari D-MAX yang hanya memenuhi 71%.

    Menurut ASEAN NCAP, Kia Morning dan Hyundai EON merupakan kereta kedua dan ketiga yang menerima penarafan 0-Bintang dalam sejarah ASEAN NCAP, selepas Kia Picanto versi tanpa beg udara untuk pasaran Thailand diuji pada tahun 2014. Hasil ujian untuk Hyundai EON hadir bersama hasil ujian terkini yang diumumkan untuk kereta yang popular di India ini oleh pihak Global NCAP di Delhi 17 Mei 2016 lalu.

    “Hasil penarafan kosong-bintang untuk Morning dan EON menunjukkan adalah penting untuk sesebuah kenderaan itu dilengkapi bukan sahaja hanya beg udara pada bahagian hadapan, malah struktur badan yang kekal stabil ketika berlaku pelanggaran juga adalah sangat penting.

    “Kombinasi tersebut adalah penting untuk memastikan keselamatan penumpang. ASEAN NCAP turut menyokong kempen #NOZEROSTARCARS yang dijalankan oleh pihak Global NCAP, kereta sedemikian sepatutnya tiada tempat dalam pasaran ASEAN,” kata Ketua Setiausaha ASEAN NCAP Khairil Anwar Abu Kassim.

    Pengerusi ASEAN NCAP Dr. Wong Shaw Voon pula berkata “ASEAN NCAP kini bersedia untuk membuka ruang kerjasama dari semua sektor kerajaan, industri automotif, pertubuhan bukan kerajaan, pengguna dan orang awam dalam menilai tahap keselamatan kenderaan dalam rantau ini.

    “Di bawah Pusat Keselamatan Jalan Raya ASEAN dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), bersama dengan semua rakan kerjasama kami mahu mengembangkan platform sedia ada untuk menggunakan hasil ujian ASEAN NCAP dan informasi secara efektif dalam pelbagai peringkat termasuk pada tahap polisi kerajaan dan industri.”

     
     
  • Jaguar XJ 2016 kini di Malaysia – bermula RM645k

    Jaguar_XJ_FL_Ext-2

    Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd (JLRM) hari ini telah merasmikan model facelift bagi Jaguar XJ sedan mewah bagi pasaran Malaysia.

    Model terkini di dalam famili Jaguar di Malaysia ini tampil dengan imej yang menawan, disaratkan dengan pelbagai elemen mewah dan pastinya kuasa prestasi yang menguja. Bagi imej luarannya, ia diserikan dengan penampilan gril depan baharu bersama lampu utama adaptif LED penuh dengan padanan lampu nyalaan siang ‘Double J’ serta lampu belakang yang menarik perhatian.

    Binaan aluminium penuh memastikan XJ lebih kuat, lebih tegar tetapi masih lebih ringan, menampilkan kereta yang lebih responsif, tangkas dan memberikan penjimatan bahan api.

    Memasuki ruang kabinnya, ternyata keselesaan sangat dititikberatkan termasuk keluasan ruang dalaman serta ia turut menampilkan Sistem Bunyi Meridian Digital Surround 825W dengan 20-speaker. Selain itu, ia turut menampilkan ciri InControl Touch Pro membolehkan XJ meletakkan muzik, video, pelayaran dan semua alat kawalan penting di dalam kereta, termasuk sambungan Bluetooth, di hujung jari anda.

    Turut ditampilkan ialah skrin sentuh lapan-inci baru menggunakan pemproses Intel Quad Core untuk memaparkan grafik terkini serta tindak balas pantas kepada leretan dan sentuhan yang mirip telefon pintar. Selain itu, Paparan Panel Instrumen HD TFT 12.3-inci dengan tombol maya dan Pandangan Peta 3D penuh menyeronokkan lagi pengalaman memandu.

    XJ baharu ini turut dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu paling pintar untuk menjadikan setiap perjalanan lebih selamat bagi penumpang kereta dan juga pejalan kaki.

    Antara ciri utama termasuk Kawalan Kemajuan Semua Permukaan (ASPC), pengawal luncur kelajuan rendah yang membantu XJ baru menyesuaikan diri dengan situasi cengkaman rendah, tidak kira apa jua cuaca. Ini membolehkan pemandu memberi tumpuan terhadap pemanduan.

    Ia juga mempunyai fungsi tarikan yang membolehkan XJ bergerak daripada keadaan pegun dalam permukaan licin dan juga fungsi penurunan bukti yang mengawal kelajuan kenderaan pada cerun yang lebih curam.

    Kawalan Jarak Letak Kereta 360° direka secara unik untuk mengelakkan objek yang terletak berhampiran XJ dengan lima kamera diletakkan secara strategik di sekeliling kereta.

    Satu lagi ciri ialah Sistem Pengesanan Sentuhan Pejalan Kaki. Sistem ini menaikkan sedikit bonet XJ secara automatik apabila ia mengesan pertembungan dengan pejalan kaki, untuk mengurangkan kesan hentakan terhadap pejalan kaki dan mencegah sentuhan dengan komponen enjin.

    Bagi pasaran Malaysia, JLRM menawarkan XJ baru dengan jarak roda yang panjang bersama tiga pilihan enjin yang digandingkan dengan Transmisi Automatik Elektronik lapan-Kelajuan yang dilengkapi Jaguar Sequential Shift™.

    Jaguar_XJ_FL_Ext-23

    Pilihan enjin Petrol Pengecas Turbo empat-Silinder 240 PS 2.0 liter dijual pada harga daripada RM645,000. Pelanggan juga boleh memilih enjin Petrol Supercaj V6 340PS 3.0-liter yang dijual pada harga RM830,000 dan ke atas atau Diesel Pengecas Turbo 300PS 3.0 litre V6 yang ditawarkan pada harga RM800,000 dan ke atas. Harga yang dinyatakan adalah termasuk 6% GST tetapi tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans.

    Setiap XJ baru disediakan bersama manfaat Jaguar Care, yang merangkumi waranti lima tahun/150,000km atau servis 80,000km (enjin 2.0 liter) atau 65,000km (enjin 3.0 liter) dan khidmat Bantuan Tepi Jalan Jaguar selama tiga tahun.

    Pengarah Urusan JLRM Datuk Aishah Ahmad berkata dengan pelancaran model terbaharu ini, rangkaian Jaguar di Malaysia kini telah diperbaharui sepenuhnya.

    “Kami gembira untuk menawarkan rangkaian lengkap model Jaguar terbaharu yang bersaing dalam hampir semua kategori segmen sedan mewah premium di Malaysia. Pengguna kenderaan yang arif kini mempunyai pilihan membeli kereta mewah yang bukan sahaja kaya dengan warisan keunggulan, tetapi turut menawarkan pengalaman memandu yang luar biasa,” katanya.

    GALERI: Jaguar XJ L 2.0 Ti facelift

     
     
  • Honda Supra GTR 150 dilancarkan di Indonesia

    2016-Honda-Supra-GTR-150-1-e1464665050191_BM

    Honda Supra GTR 150 telahpun dilancarkan secara rasmi oleh pengedar rasminya PT Astra Honda. Juga dikenali sebagai Honda Winner untuk pasaran Vietnam, Supra GTR menembusi pasaran Indonesia yang kini telahpun dibanjiri dengan lambakan pelbagai model kapchai khususnya dalam kelas 150 cc underbone.

    Pelancaran tersebut dilakukan serentak dengan penjelajahan antara Kalimantan dan Sulawesi sejauh 3,200 km yang disertai oleh 20 orang penunggang menggunakan Honda Supra GTR 150 tersebut merentas pelbagaikan permukaan jalan yang lasak. Kapchai ini dikuasakan enjin 149.16 cc empat injap DOHC dengan sistem penyejukkan cecair. Ia dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

    Enjin tersebut berupaya menjana 15.9 PS pada takat 9,000 rpm dengan tork maksima dicatatkan pada 13.5 Nm pada takat 6,500 rpm. Ia turut dilengkapi dengan brek cakera pada bahagian hadapan dan belakang. Sementara itu, untuk sistem suspensi pula ia menerima sepit udang teleskopik pada bahagian hadapan dan penyerap hentak tunggal pada bahagian belakang.

    honda-supra-gtr-150-adventure-is-a-real-off-road-scooter_1-e1464665460529_BM

    Sebuah model khas Honda Supra GTR yang diubahsuai dalam bentuk adventure turut dipamerkan ketika sesi pelancaran tersebut. Menurut laporan dari autoevolution, tiada informasi diberikan sama ada ia adalah sebuah prototaip yang bakal dijelmakan sebagai versi produksi, atau hanya sebuah model konsep.

    Honda Supra GTR 150 didatangkan dalam dua varian. Varian Sporty dijual pada harga 21,300,000 rupiah (RM6,435) dan hadir dengan warna Cruiser White dan Spartan Red. Manakala untuk varian Exclusive pula ia dijual pada harga 21,500,000 rupiah (RM6,495) dan hadir dengan warna Gun Black dan Grande Blue.

     
     
  • Honda Civic 2016 bakal tiba ke bilik pameran 11 Jun ini

    Civic-Malaysia-Invite_BM

    Honda Civic generasi ke-10 akan tiba ke bilik-bilik pameran pengedar sah Honda 11 Jun ini, bermula 11 pagi hingga 4 petang, menurut jemputan yang ditunjukkan oleh pembaca kami Muhammad Hamidie dan Calvin Tey, diberikan oleh Penasihat Jualan Honda mereka.

    Jemputan yang dengan tajuk “The dream ride has arrived” tersebut turut menyebut “exciting features you have only dreamed of, brought to life.”

    Civic serba baharu ini mula ditayangkan secara rasmi buat pertama kali untuk khalayak ramai pada acara My Auto Fest 2016 yang diadakan baru-baru ini, dan team paultan.org juga turut terserempak dengan kereta tersebut ketika sesi penggambaran iklannya yang dibuat di Putrajaya.

    Civic-Malaysia-Invite-2_BM

    Kami juga telah berkesempatan menguji model terbaharu ini di Thailand dan kami turut mempunyai galeri khas untuk anda memaparkan generasi terdahulu Civic FB bersama generasi terbaharu Civic FC ini. Beberapa pengedar yang tidak sabar untuk menjual Civic ini juga turut mendedahkan beberapa perincian model pemasangan tempatan (CKD) ini, yang dilihat sedikit berbeza dengan Civic pasaran Thailand.

    Untuk pasaran Malaysia, pelanggan bakal ditawarkan dengan satu varian dengan enjin 1.8 liter NA dan dua varian dengan enjin 1.5L VTEC Turbo. Enam beg udara, kamera undur, brek parkir elektronik dengan fungsi auto brake hold, liang penghawa dingin bahagian belakang (tidak terdapat pada model pasaran Thailand), kerusi pemandu larasan berkuasa lapan-hala, penghidup enjin kawalan jauh, kunci pintu walk away, dan sistem infotaimen dengan skrin sesentuh tujuh-inci adalah standard untuk semua varian.

    Model yang dilengkapi enjin VTEC Turbo pula dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit, cermin pandang belakang anti-silau, roda aloi kemasan dua-ton berdiameter 17-inci, penukar gear, dan kemasan dengan gred yang lebih tinggi. Untuk varian tertinggi Turbo Premium pula, ia akan dilengkapi dengan penghawa dingin automatik dua-zon, lampu hadapan LED penuh dan lampu kabus LED. Model pasaran Malaysia turut dijangka bakal ditawarkan dengan pakej aksesori pilihan Modulo.

     
     
  • Jangan hentam kenderaan yang halang laluan – polis

    nibong-tebal-lorry-2-facebook-e1456119527784

    Seakan sudah menjadi suatu kebiasaan terutamanya yang tinggal dan bekerja di sekitar Lembah Klang, apabila kadang kala kita ‘terpaksa’ meletakkan kenderaan kita secara double-park, dan adakalanya orang lain juga berbuat demikian. Apatah lagi jika melibatkan kawasan yang sesak seperti Telawi Bangsar, Damansara Uptown dan Taipan USJ.

    Walau pun menyedari tindakan ini adalah menyalahi undang-undang, namun sikap ‘suka parkir terhampir dengan tempat yang ingin dituju’ (biar pun ada kawasan parkir di sekitarnya) atau pun mungkin kelam-kabut, tindakan tersebut dilakukan. Ada sesetengah individu yang berbuat demikian akan meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi sekiranya kereta yang dihalang ingin keluar, atau pun sekurang-kurangnya melepaskan brek tangan.

    Tetapi ada juga yang kurang sivik, tidak berbuat demikian. Parkir dalam keadaan lama dan entah lesap ke mana, hinggakan membuatkan pemilik kenderaan yang dihalang terpaksa membunyikan hon bertalu-talu, menunggu dalam masa yang lama dan mungkin boleh meletupkan amarah. Hingga ada yang mendorong menghentam atau melanggar kenderaan yang menghalang itu.

    Ini ada pengingatan daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berhubung dengan isu ini. Menurut Ketua Polis Trafik Persekutuan, SAC Mahamad Akhir Darus yang memberitahu The Sun, “Saya ingin mengingatkan agar pemilik kenderaan tidak melanggar undang-undang biar pun berhadapan dengan insiden sebegini. Anda boleh menghubungi pegawai trafik atau majlis perbandaran untuk menunda kenderaan yang halang kereta anda.” Tambahnya lagi, tindakan ‘double-parking’ ini boleh dikenakan saman sehingga RM300.

    Beliau turut berkata, gejala ‘double-parking’ sudah menjadi isu yang serius di Lembah Klang. “Dengan menghalang laluan pejalan kaki atau pun kenderaan lain, ia juga boleh menyebabkan risiko kemalangan yang melibatkan pejalan kaki atau merosakkan kenderaan lain. Sepatutnya anda mencari ruang parkir yang bersesuaian dan yang betul, bukan meletakkan kenderaan sesuka hati,” ujarnya lagi.

    Pada Februari lalu, sebuah lori telah merempuh lebih 20 buah kenderaan yang diletakkan di bahu jalan di Nibong Tebal. Dalam kejadian terbabit, kesemua kenderaan mengalami kerosakan teruk dan pemandu lori terbabit mendakwa dirinya berang kerana sukar melepasi jalan tersebut yang dihalang oleh kenderaan-kenderaan yang diparkir di situ.

    “Jangan ambil tindakan melulu kerana kita ada undang-undang,” tegasnya lagi.

     
     
  • GALERI: Art Of Speed 2016 – semakin matang angkat budaya automotif tempatan ke peringkat antarabangsa

    Art-of-Speed-2016-140_BM

    Edisi kelima Art Of Speed (AOS) telah melabuhkan tirainya pada Ahad lalu, 29 Mei 2016. Ini merupakan kali kedua AOS diadakan di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), Serdang setelah lokasinya berpindah dari Publika, Solaris Dutamas (2012) dan Citta Mall (2013, 2014).

    Kira-kira 30,000 pengunjung termasuk pelawat antarabangsa yang hadir dari USA, Jepun, Australia, Taiwan, Thailand, Indonesia, Brunei dan Filipina untuk edisi AOS 2016 ini.

    Antara ‘superstar’ antarabangsa yang diundang termasuk Jason Webber dari ATR Choppers USA, Jeff Leighton dari The Wretched Hive USA, Steve Caballero dari USA, Shige Suganuma & Wildman dari MOONEYES Japan, Dino Dalle Carbonare dari Speedhunters.com Jepun, Hi-Technix Japan Lowrider Hopping Show dari Jepun, Koji Hamada dari Hammer Sycle Jepun, Kaichiroh Kurosu dari Cherry’s Company Jepun, The Nash dari Burnout Magazine Japan, dan kumpulan kolektif artis pinstripe dari Jepun; Makoto, Mr. G, Jetwrench dan Boo.

    Lagenda sukan papan selaju, Steve Caballero juga turut hadir buat pertama kali ke Malaysia. Selain dari bertemu peminat, Caballero turut melakukan beberapa demo dalam acara tersebut.

    Lebih daripada 200 buah kereta & motosikal modifikasi dipamerkan dalam dua dewan berasingan (hanya sebuah dewan digunakan pada tahun lalu). Ia merangkumi kereta klasik seperti American Muscle, Old School JDM dan juga kereta klasik buatan Eropah bernilai jutaan ringgit termasuk dua buah Harley-Davidson yang diubahsuai serta sebuah kereta “Hopping Lowrider” Chevrolet Malibu yang dibawa khas dari Jepun.

    Selain itu, acara tahun ini turut menampilkan kereta-kereta dari lagenda era 90’an dan juga kereta-kereta sport generasi baharu.

    Sesi demonstrasi sukan lasak turut diadakan yang dibintangi oleh Aaron Twite dari USA untuk aksi stunt motosikal berkuasa tinggi serta lagenda sukan drift negara Tengku Djan Ley untuk sesi “Taxi Ride” bersama pengunjung bertuah.

    Cabutan bertuah tahun ini menyediakan hadiah utama berupa sebuah motosikal berkuasa tinggi, Triumph Bonneville Street Twin 2016 tajaan Fast Bikes Sdn Bhd iaitu pengedar tunggal Triumph Motorcycles Malaysia. Ia dimenangi oleh Wan Muhammad Afiq bin Wan Mamat, 20 tahun berasal dari Kelantan.

    Trend restorasi pada pameran kali ini nampak telah berubah jika dibanding dengan tahun lalu. Jika sebelum ini, ‘restorer‘ lebih kearah pengubahsuaian ala-‘rat-rod‘ iaitu membiarkan sebahagian kereta mereka berkarat, tahun ini trend berubah kepada restorasi sebenar yang menampilkan hasil akhir yang sangat kemas.

    Turut menjadi buah mulut ialah penyertaan sebahagian besar Porsche talaan Nakai-San iaitu Rauh-Welt Bergriff (RWB), Jepun yang mana untuk Malaysia, RWB kini mempunyai pangkalan mereka sendiri yang terletak di Johor Bahru.

    Kesimpulannya, penganjuran AOS dilihat semakin mencapai objektifnya dari tahun ke tahun untuk mengangkat budaya automotif Malaysia setaraf dengan negara-negara lain diperingkat antarabangsa. Semoga kualiti penganjuran AOS untuk edisi akan datang akan terus meningkat bagi memberikan pengiktirafan yang sepatutnya kepada penggiat-penggiat budaya automotif di Malaysia.

     
     
  • Mazzanti Evantra Millecavalli muncul dengan ledakan kuasa 1,000 hp dan 1,200 Nm! – hanya 25 unit sahaja

    Screen Shot 2016-05-31 at 11.50.26 AM

    Mazzanti telah mendedahkan supercar baharu yang diberi nama Evantra Millecavalli menerusi teaser yang disiarkan di Youtube. Mengujakan apabila supercar ini dikatakan mampu meledakkan kuasa sehingga 1,000 hp!

    Biar pun namanya belum segah Ferrari, Lamborghini dan Pagani, namun pastinya ledakan kuasa yang didakwa itu mampu meletakkan nama Mazzanti sebaris dengan jenama supercar yang popular di mata dunia, laporan Motorauthority.

    Sebelum ini Mazzanti banyak mengeluarkan kenderaan grand tourer dengan menampilkan gaya retro, namun model ketiga yang dihasilkan ini terus menjuruskan ke arah supercar, satu prestasi yang cukup membanggakan bagi jenama ini.

    Evantra sebenarnya mula diperkenalkan di seluruh global sejak tahun 2013. Namun langkah drastik Mazzanti dalam menghasilkan versi yang lebih ekstrem ini agak mengejutkan. Dengan nama Millecavalli, iaitu perkataan dipetik dari bahasa Itali bermaksud “ribuan kuda” ini pastinya sungguh signifikan dengan ledakan kuasanya. Menjadikan Evantra Millecavalli sebagai supercar yang boleh dilenjan di jalan raya yang paling berkuasa dari Itali sekali gus mengalahkan LaFerrari dengan kuasa 950 hp.

    Screen Shot 2016-05-31 at 11.50.40 AM

    Kuasa yang dihasilkan adalah dari enjin 7.2 liter pengecas turbo-berkembar V8 yang direka sendiri oleh Mazzanti. Dengan ledakan kuasa 1,000 hp, penjana kuasa ini juga mampu memuncakkan tork sehingga 1,200 Nm dan menurut Mazzanti Evantra Millecavalli ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 2.7 saat dan kelajuan maksimum yang mampu dicatatkan ialah 402 km/j.

    Berbanding dengan Evantra standard yang hanya mampu menghamburkan kuasa sehingga 751 hp dengan enjin 7.0 V8 naturally-aspirated. Malah Evantra Millecavalli ini juga dilengkapi dengan brek seramik-karbon dari Brembo, roda yang lebih ringan dari OZ Racing dan tayar Pirelli Trofeo R.

    Malah ia juga dilengkapi dengan pelbagai teknologi dan inovatif di mana udara yang diekstrakkan dari petak enjin disalurkan ke “wing” belakang untuk meledakkan lagi “downforce”, agak menyamai seretan angin yang dihasilkan oleh peresap bagi jentera Formula One.

    Evantra Millecavalli ini hanya akan diproduksi sebanyak 25 unit sahaja. Ia akan diperkenalkan secara rasmi pada 8 Jun ini di Turin Auto Show 2016.

     
     
  • Mazda3 cecah lima juta unit produksi di seluruh dunia

    mazda3-sedan-australia

    Mazda Motor Corporation telah mengumumkan jumlah keseluruhan produksi bagi Mazda3 (atau turut dikenali sebagai Mazda Axela di Jepun) kini mencecah lima juta unit di seluruh dunia, rekod sehingga hujung April 2016. Ini merupakan kali kedua Mazda berjaya mencecah angka produksi sehingga lima juta unit selepas produksi Mazda Familia.

    Mazda3 mencatatkan rekod baharu jumlah produksi ini dalam tempoh 12 tahun 10 bulan sejak model ini mula diproduksi pada Jun 2003. Merupakan model teras bagi Mazda, Mazda3 sering kali mencatatkan jumlah keseluruhan jualan ketiga bagi jenama ini.

    Ia diproduksi di Kilang Hofu, Jepun, Changan Mazda Automobile Co., Ltd. (China), AutoAlliance (Thailand) dan Mazda de Mexico Vehicle Operation di Mexico. Selain itu, ia turut dipasang di Malaysia dan Vietnam.

    Di Malaysia, Mazda3 versi facelift telah diperkenalkan pada April 2015. Ia ditawarkan dengan tiga varian iaitu Mazda3 sedan High (spesifikasi-tertinggi), sedan Mid (spesifikasi-pertengahan) dan hatchback.

    Berkongsi penjana kuasa yang sama iaitu enjin 2.0L SKYACTIV-G empat-silinder DOHC 16V yang mampu memberikan hamburan kuasa 162 hp pada 6,000 rpm dan tork setinggi 210 Nm pada 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan SKYACTIV-DRIVE automatik enam-kelajuan.

     
     
  • VIDEO: Iklan Volvo V90 tampil Zlatan Ibrahimovic

    Seperti yang diumumkan semalam, video penuh kempen Volvo V90 untuk Eropah kini telah pun ditayangkan. Dibintangi oleh pemain bola sepak superstar Sweden Zlatan Ibrahimovic, pengambaran video yang berdurasi 3 minit 20 saat tersebut dibuat di Perancis, menggambarkan suasana sebelum perlawanan Kejuaraan Euro 2016.

    Menerusi Video yang diberi tajuk ‘Prologue’ tersebut, Zlatan menceritakan pahit maung kehidupannya yang dilahirkan oleh ibu bapa berlainan warganegara, dan membesar di kawasan kejiranan paling mencabar di Malmo, Sweden hingga kejayaannya dalam persada sukan antarabangsa.

    “Saya mahu pergi lebih jauh dari orang lain. Jadi saya lakukannya. Dengan cara saya,” kata Zlatan dalam video tersebut. Mentaliti untuk berfikir berbeza dari orang lain dan berkerja keras untuk mencapainya merupakan titik persamaan dalam perjalanan kehidupan Zlatan dan Volvo, jelas Anders Gustafsson, naib presiden senior (Eropah, Timur Tengah dan Afrika) di Volvo Car Group.

    Dalam video tersebut juga, V90 digunakan oleh Zlatan sebagai pengangkutannya ke salah satu perlawanan yang membabitkan pasukan Sweden dalam Euro 2016. Video ini juga menunjukkan beberapa perincian rekaan yang terdapat pada V90 termasuk lampu nyalaan siang “Tukul Thor”, profil sisi dan lampu belakang.

    Video yang agak memberikan inspirasi ini turut menayangkan detik-detik kegemilangan Zlatan termasuk jaringan gol yang dibuatnya semasa menentang England pada 2012 dan disulami dengan muzik latar hebat hasil ciptaan Hans Zimmer.

    GALERI: Volvo V90

     
     
  • BMW i8 Celebration Edition hanya untuk Jepun sahaja

    bmw-i8-celebration-edition-2

    BMW meneruskan sambutan meraikan ulang tahun ke-100 dengan memperkenalkan model i8 Celebration Edition yang hanya akan diproduksi dalam unit terhad.

    Menyertai barisan model kenderaan edisi terhad di Jepun, seperti i3 Carbonight, 7 Series Celebration Edition Individual dan M6 Coupe, i8 Celebration Edition akan ditampilkan dengan skim warna dan beberapa sentuhan rekaan yang unik. Dengan warna badan Protonic Red dan kekemasan Frozen Gray Metallic seperti mana yang pernah dipertontonkan di Geneva pada Mac lalu.

    Selain itu, ia juga ditampilkan dengan rekaan penuh karakteristik termasuk roda aloi jejari-W 20-inci dengan tona warna Aluminum dan Orbit Grey Metallic.

    Bagi rekaan dalamanya, ciri-ciri penuh sporty tetap menjadi pilihan. Jahitan kontras berwarna merah pada tempat duduk, kekemasan gentian karbon, tali pinggang keledar berwarna kelabu, perincian seramik pada pemilih gear dan karpet lantai istimewa dengan alur kulit dan jahitan merah.

    Tiada penambahbaikan mekanikal dilaporkan, jadi hamburan kuasanya dijanakan oleh penjana kuasa plug-in hybrid dengan enjin 1.5 liter TwinPower Turbo tiga-silinder, disokong dengan motor elektrik dan pek bateri lithium-ion. Kombinasi itu mampu menghamburkan kuasa sehingga 357 hp, cukup untuk memacukan jentera ini dari 0-100 km/j dalam hanya 4.2 saat. Manakala kelajuan maksimum yang mampu dicatatkan ialah 250 km/j.

    BMW hanya akan memproduksikan i8 Celebration Edition ini sebanyak 20 unit sahaja, dengan harga ¥22,000,000 (RM813,963).

     
     
  • Polis akan gunakan Facebook untuk menahan pemandu yang menyalahguna lorong kecemasan

    traffic-jam-bernama-2

    Sebelum ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menggunakan video bukti yang disiarkan di Facebook untuk mengeluarkan notis kepada 91 pemilik kenderaan yang dilihat menggunakan laluan kecemasan lebuhraya PLUS di Melaka pada 22 Mei lalu. Kenderaan-kenderaan tersebut menghalang laluan ambulan daripada sampai ke tempat kemalangan pada waktu yang sepatutnya.

    “Semua pemilik kenderaan yang terlibat diberi tempoh 14 hari untuk tampil ke pejabat JPJ dan disiasat mengikut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti pemandunya,” kata Timbalan Ketua Pengarah (Perancang dan Operasi) JPJ Datuk Yusoff Ayob semalam. JPJ juga meminta orang ramai untuk merakam gambar penyalahguna lorong kecemasan dan menghantarnya kepada [email protected]

    Hari ini The Star pula melaporkan polis mungkin akan memanggil pengguna jalan raya yang menyalahgunakan lorong kecemasan untuk membantu siasatan, termasuk pemilik kenderaan yang kenderaan mereka dirakam lengkap dengan nombor pendaftaran dan dimuat naik ke laman Facebook, menurut Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

    Mereka yang didapati bersalah akan berhadapan dengan saman maksima RM300, tiada diskaun akan diberikan, kata Timbalan Ketua Polis berkenaan dalam satu sidang akhbar di Terengganu semalam. Beliau menambah adalah menjadi kesalahan jika kenderaan persendirian menggunakan lorong kecemasan kerana ia akan menghalang pasukan kecemasan untuk tiba ke tempat kejadian secepat mungkin, dan aktiviti tersebut perlu dihentikan segera.

    Dalam insiden 22 Mei lalu, seorang penunggang motosikal telah melanggar sebuah kereta yang diletakkan di lorong kecemasan KM228 (menghala ke selatan) Lebuhraya Utara-Selatan pada pukul 4.30 petang. Penunggang tersebut tercampak ke bahagian tengah lebuhraya menyebabkan sebuah lori berpusing kerana mengelak dari melanggar penunggang tersebut. Pasukan kecemasan pertama sepatutnya tiba ke tempat kejadian dalam masa 20 minit tetapi hanya tiba sejam selepas itu akibat kesesakan trafik termasuk dilorong kecemasan.

     
     
  • Touchpoint saluran maklumat mengenai MRT

    13319919_1156846861013380_3238510399304156831_n

    Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah melancarkan touchpoint baharunya di Seri Kembangan sebagai hab untuk berkongsi maklumat dengan orang ramai mengenai projek MRT Lembah Klang, laporan Bernama.

    Touchpoint
    merupakan dua Pusat Informasi MRT (MIC), sebuah Kiosk Informasi MRT (MIK) dan Trak Informasi MRT (MIT).

    Menurut Pengarah Projek MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) Datuk Amiruddin Ma’aris, touchpoint itu ditubuhkan untuk membolehkan MRT Corp melibatkan dan memberi maklumat kepada orang ramai mengenai Projek MRT Lembah Klang terutama Laluan SSP.

    “Tiga jenis touchpoint ini ditubuhkan dengan satu tujuan iaitu sebagai saluran untuk orang ramai mendapat maklumat mengenai projek MRT,” katanya kepada pihak media dalam majlis pelancaran Touchpoint MRT di Pusat Informasi MRT: The Atmosphere semalam.

    13321691_1156846867680046_1591603370073489593_n

    Ketiga-tiga touchpoint akan mempunyai papan kenyataan dengan butiran mengenai projek seperti penjajaran, lokasi stesen, faedah MRT dan aplikasi interaktif “Hawkeye” yang memaparkan pandangan udara 360 darjah mengenai keseluruhan jajaran.

    Beliau juga berkata sebelum ini, touchpoint yang berpusat di Damansara Utama turut digunakan sebagai saluran untuk orang ramai mendapat maklumat mengenai laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan justeru, MRT memperkenalkan semula Laluan SSP sebagai fokus utama.

    Fasa pertama SBK dari Sungai Buloh ke Semantan akan beroperasi menjelang Disember tahun ini manakala fasa kedua dari Semantan ke Kajang akan beroperasi menjelang Julai 2017.

    Fasa satu SPP dari stesen Sungai Buloh ke stesen Kampung Batu akan beroperasi menjelang Julai 2021 dan keseluruhan laluan akan beroperasi sepenuhnya menjelang suku kedua 2022.

     
     
  • Beg udara Takata – terkini lapan pengeluar kereta panggil balik lebih 12 juta kenderaan di USA

    airbag

    Menurut laporan Reuters, sebanyak lapan pengeluar kenderaan di Amerika Syarikat (USA) akan memanggil 12 juta lagi kenderaan disebabkan masalah pengepam beg udara buatan Takata. Kempen panggilan balik baharu ini melibatkan pengepam beg udara bahagian sisi penumpang, setelah sebelum ini beberapa siri kempen yang sama bagi pengepam bahagian hadapan.

    Sebelum ini Takata telah mengakui sebanyak 14 juta pengepam beg udara yang terlibat dalam masa pertama bagi panggilan balik yang terkini dan 12 juta kenderaan telah terlibat. Di USA sendiri, Honda telah memanggil balik 4.5 juta unit kenderaannya, Fiat Chrysler dengan 4.3 juta, Toyota dengan 1.65 juta dan Subaru pula dengan 400,000. Malah Saab 9-2X dan Pontiac Vibe bagi buatan Toyota dan Subaru untuk General Motors turut terlibat.

    Pengeluar kenderaan lain yang terlibat termasuklah Mazda dengan 730,000 unit, Nissan dengan 400,000 unit dan Mitsubishi dengan 38,000 unit. Waima pengeluar kenderaan kelas tertinggi termasuk Ferrari juga terlibat dengan 2,800 unit di USA.

    SRS-Airbag

    Setakat ini, Takata dan pengeluar kenderaan lain belum mengemukakan laporan mengenai model yang terlibat dalam panggilan balik yang terkini ini. Di mana pengepam beg udara yang bermasalah ini diketahui boleh meletup dan mengeluarkan besi tajam sekali gus membahayakan pemandu dan penumpang. Sekurang-kurangnya 13 kematian (termasuk di Malaysia) telah dicatatkan dan lebih 100 kecederaan di seluruh dunia dilaporkan terjadi akibat masalah beg udara ini.

    Malah beberapa pengeluar kenderaan di Malaysia turut pernah melakukan kempen panggilan balik ini. Jadi sekiranya ada mana-mana pengeluar kenderaan yang mengumumkan kempen sebegini, jika kenderaan milik anda terlibat, haruslah segera menghantar kenderaan anda ke pusat servis bertauliah untuk digantikan dengan komponen baharu.

     
     
  • Objek jatuh dan bangkai haiwan punca 1,178 kemalangan di lebuhraya PLUS pada tahun lalu

    PLUS_BM3

    PLUS Malaysia Berhad (Plus) berkata sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,1788 kemalangan dilaporkan berlaku di lebuhraya kendaliannya yang disebabkan kenderaan terlanggar objek yang jatuh atau pun bangkai haiwan.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi Plus, Mohammad Fuad Khusairi, sepanjang tempoh berkenaan, kira-kira 2,200 objek seperti serpihan tayar, kayu dan besi dikesan berada di atas lebuh raya, laporan The Malaymail.

    Selain itu, turut dijumpai ialah bangkai haiwan, komponen kenderaan, tilam, perabot dan sebagainya.

    Oleh kerana perkara ini membahayakan pengguna jalan raya, beliau turu berkata kira-kira 150 anggota pasukan PlusRonda ditugaskan untuk memantau dan melakukan rondaan di sepanjang lebuh raya.

    “Malah sekiranya mereka mengesan objek-objek terbabit, mereka akan mengutip dan mengalihkannya agar tidak membahayakan pengguna lebuhraya,” ujarnya.

    Menurutnya lagi, sebahagian besar kemalangan berlaku kerana pengguna melanggar objek sejurus selepas ia terjatuh daripada kenderaan berat atau melanggar serpihan tayar kenderaan berat.

    Oleh itu, beliau turut menasihati operator kenderaan berat supaya sentiasa memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

    “Jika orang ramai menemui sebarang objek atau bangkai haiwan yang boleh mendatangkan masalah kepada pengguna lebuhraya, diminta segera menghubungi PLUS bagi membolehkan ia dialihkan dengan kadar segera,” ujarnya lagi.

     
     
  • Kempen Volvo V90 baharu tampil Zlatan Ibrahimovic

    Volvo-V90-x-Zlatan-Ibrahimovic-4-1-e1464583610836_BM

    Volvo Cars mendedahkan kempen baharu V90 untuk Eropah akan dilancarkan sebelum bermulanya kejohanan Euro 2016, yang dijadualkan akan disiarkan di media-media sosial bermula malam ini. Kempen tersebut menampilkan ikon bola sepak Sweden sendiri iaitu Zlatan Ibrahimovic.

    Bekas penyerang Paris Saint-Germain tersebut akan membintangi klip video yang menyorot kebangkitan beliau bermula dari peringkat bawah di kawasan kejiranan paling mencabar di Malmo, Sweden hingga ke persada sukan antarabangsa. Nama Zlatan juga telah dicatatkan di dalam kamus bahasa Sweden yang bermaksud “untuk mendominasi”, sebagai salah satu langkah untuk menghormati dan memperingati jasa beliau.

    Ini bukanlah kerjasama pertama antara Volvo Cars dan Zlatan. Pada tahun 2014, penjaring gol terbanyak untuk Sweden tersebut turut membintangi video kempen untuk mempromosikan Volvo XC70. Klip video tersebut menyaksikan Zlatan terjun ke tasik ais dan berburu di kawasan pendalaman di Sweden, yang membayangkan Volvo sememangnya dibina untuk mengharungi situasi mencabar sedemikian di tempat asalnya.

    “Saya gembira bekerja dengan Volvo Cars sekali lagi. Saya nampak banyak kereta baharu, saya sudahpun memandu dan menguji kesemuanya. Dan saya rasa semuanya hebat. Sama seperti saya, Volvo telah mengharungi jalan mereka sendiri dan berani untuk berfikir dengan cara yang berlainan. Kempen sebelum ini yang kami lakukan adalah bagus, tetapi kali ini adalah ‘Dibuat oleh Zlatan‘,” kata Ibrahimovic.

    “Kempen ini merupakan sambutan untuk minda yang bebas, dari kuasa yang menghalang kebolehan untuk berfikir dengan cara yang berlainan. Banyak persamaan antara perjalanan Zlatan dan Volvo. Kami tidak akan mencapai apa yang kami ada sekarang jika kami berfikir sama dengan orang lain,” kata Anders Gustafsson, naib presiden senior (Eropah, Timur Tengah dan Afrika) di Volvo Car Group.

    Untuk kempen kali ini Zlatan akan mempromosikan Volvo V90, versi wagon Volvo S90. Model tersebut dibina berasaskan platform Scalable Product Architecture (SPA) Volvo yang turut digunakan untuk membina Volvo XC90. V90 menampilkan unit janakuasa T8 Twin Engine petrol plug-in hybrid dan turut dilengkapi dengan ciri pemanduan semi-automatik.

    Kempen V90 baharu ini akan disiarkan pada 8.15 malam waktu Eropah tengah (CET), bersamaan 3.15 pagi Selasa (31 Mei 2016) di Malaysia. Selain Zlatan, kempen terbaharu tersebut turut akan menampilkan Hans Zimmer, komposer yang dikenali serata dunia kerana menghasilkan runut-runut bunyi yang memenangi Anugerah Academy untuk filem-filem seperti Gladiators, Pirates of Carribean, Inception dan Rush.

    GALERI: Volvo V90

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025