Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Audi TT RS Coupe dan Roadster baharu berkuasa 400 hp membuat penampilan sulung di Beijing Motor Show

    A162821_large-e1461557114429_BM

    Setelah beberapa imejnya diintip sedang diuji tersebar, kini Audi secara rasmi mendedahkan varian tertinggi dalam barisan Audi TT iaitu varian RS dalam bentuk Coupe dan Roadster ketika Beijing Motor Show 2016 yang sedang berlangsung.

    TT RS masih lagi menggunakan enjin lima-silinder TFSI 2.5 liter. Tetapi menurut Audi, enjin tersebut telah dibina semula untuk mengekstrak lebih 60 hp kuasa kuda dan 15 Nm tork dari versi sebelum ini. Dengan ini, kuasa keseluruhan TT RS baharu ini dicatatkan pada 400 hp dan letusan tork maksima 480 Nm bermula pada 1,700 rpm hingga 5,850 rpm. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan S-Tronic dan mengalirkan kuasa kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda Audi Quattro.

    Varian Coupe mampu untuk mencatakan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.7 saat, manakala varian roadster yang lebih berat berupaya mencatatkan masa 3.9 saat dalam jarak pecutan yang sama. Kelajuan maksima kedua-dua model ini dihadkan pada 250 km/h, namun menurut Audi, had kelajuan tersebut boleh ‘dibuka’ sehingga 280 km/j jika diminta oleh pelanggan.

    Audi TT RS menampilkan empat pilihan mod pemanduan yang terdiri dari Comfort, Auto, Dynamic dan Individual. Kesemua mod ini mengawal selia talaan pada sistem pacuan empat roda Quattro, sistem stereng, transmisi, enjin dan juga bukaan injap pada sistem ekzos mengikut mod pemanduan yang dipilih.

    Sistem suspensi Audi RS sport dengan penyerap hentak adaptif dan teknologi magnetic ride pula ditawarkan sebagai pilihan opsyenal. Brek dengan cakera berliang pada bahagian hadapan dan cakera ‘cross drilled‘ di bahagian belakang di sebalik roda aloi berdiameter 19-inci didatangkan secara standard, manakala road aloi lebih besar bersaiz 20-inci disediakan sebagai pilihan opsyenal.

    Untuk membezakan varian RS dengan varian lain yang lebih rendah, model ini dilengkapi dengan ciri istimewa RS yang terdiri dari liang kemasukan udara yang lebih besar pada bahagian bampar hadapan, gril hadapan bermotif sarang lebah dilengkapi lencana Quattro, spoiler belakang,dan juga dua unit tip ekzos berbentuk oval. Lampu hadapan LED didatangkan secara standard, tetapi pembeli boleh juga memilih untuk menggunakan lampu hadapan Matrix LED sebagai pilihan opsyenal. Manakala untuk lampu bahagian belakang pula, TT RS dilengkapi dengan lampu Matrix LED yang didatangkan secara standard, menjadikan ia model produksi pertama Audi menampilkan ciri tersebut sebagai standard. Untuk model Roadster pula, bumbungnya boleh dibuka atau diangkat semula ketika kereta tersebut bergerak di bawah kelajuan 50 km/j.

    Selain dari beberapa kemasan dan lencana RS, keseluruhan bahagian dalaman TT RS ini boleh dikatakan seiras dengan varian lain dalam barisan model TT. Ia dilengkapi dengan panel paparan instrumen dan infotainmen 12.3-inci virtual cockpit Audi yang sama seperti TT standard dan TT S, tetapi ditambah dengan skrin RS yang memberikan informasi telemetri tambahan.

    Roda stereng pelbagai fungsi TT RS ini juga dilengkapi dengan butang untuk pemilihan mod pemanduan serta butang penghidup enjin. Sistem navigasi NMI dan ciri sesentuh NMI adalah ditawarkan sebagai pilihan opsyenal bersama modul sambungan atas talian Audi dengan kebolehan WiFi hotspot.

    Audi TT RS Coupe dan Roadster ini hanya akan dilancarkan di Eropah pada Ogos tahun ini. Model Coupe bakal dijual pada harga 66,400 euro (RM293k) manakala model Roadster pula akan dijual pada harga 69,200 euro (RM305k).

    GALERI: Audi TT RS Coupe

    GALERI: Audi TT RS Roadster

     
     
  • Beijing 2016: Lexus IS facelift diperkenalkan – imej luaran hadapan dan bahagian kabin dipertingkatkan

    2016.04.11

    Seperti yang dijanjikan, Lexus telah pun memperkenalkan model IS facelift di Beijing International Automotive Exhibition 2016 yang sedang berlangsung. Model generasi ketiga bagi kereta kompak premium ini telah dipertingkatkan bahagian hadapannya dan juga rekaan dalam kabinnya.

    IS hadir dengan imej hadapan yang lebih agresif termasuk padanan corong udara pada bahagian bampar hadapan baharu. Malah ia juga setara dengan gril dan lampu utama baharunya. Malah rekaannya juga telah menyerlahkan lagi lampu nyalaan siangnya.

    Gril baharu telah ditempatkan sedikit tinggi membuatkan gayanya lebih agresif. Manakala hud enjinnya juga telah dibentukkan semula bagi padanan yang lebih menyerlah. Gril F Sport juga ditampilkan dengan paten ‘3D’ dengan lapisan hitam metalik. Manakala saluran brek pula memberikan kesinambungan bagi mempertingkatkan lagi ciri aerodinamik model ini.

    2016.04.11

    Pada bahagian belakangnya, lampu belakang LED berbentuk-L kini tampil dengan tiga lapisan (sebelum ini hanya dua) dan juga dipadankan dengan tip ekzos segi empat baharu (dahulu berbentuk bulat). Ia juga ditampilkan dengan rim 10-jejari bersaiz 17-inci dengan rekaan baharu. Malah turut menawarkan dua warna baharu iaitu Deep Blue Mica dan Graphite Black Glass Flake.

    Manakala bahagian kabinnya juga mengalami sikit pembaharuan. Termasuklah skrin paparan multimedia yang dahulu bersaiz tujuh-inci, kini tampil dengan 10.3-inci, butang ‘Enter’ pula terletak di tepi Remote Touch Interface (RTI) pada konsol tengah, memudahkan lagi penggunaan sistem tersebut. Manakala panel audio dan kawalan penghawa dingin juga diposisikan semula bagi memudahkan capaian.

    Selain itu, terdapat perubahan lain termasuk jahitan pada meter pelantar kompas, pemegang cawan baharu, perehat tangan yang lebih besar dengan balutan kulit serta jahitan pada RTI dan juga jam analog pada papan pemuka yang dipertingkatkan. Malah pilihan warna bagi dalaman juga ditambah.

    Lexus_IS_006_4A825B4C90918AE766CCF7C55EBA54F6766EFBDA

    Elemen keselamatan bagi IS baharu ini juga dipertingkatkan dengan Lexus Safety System+, termasuk Sistem Pra-Pelanggaran, Amaran Penukaran Lorong dengan Bantuan Stereng, Kawalan lampu tinggi dan Kawalan kelajuan radar.

    Namun bahagian enjinnya tiada perubahan. Pacuan roda-belakang IS masih ditawarkan pada IS 200t, IS 350 dan IS 300h. Is 200t dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo yang sama dengan model SUV NX. Dengan kuasa 241 hp dan tork 350 Nm, ia dipadankan dengan transmisi automatik torque converter lapan-kelajuan.

    Baca ulasan pandu uji Lexus IS 200t di sini.

    GALERI: Lexus IS 200t F Sport

     
     
  • Skuter Yamaha Cygnus Ray-ZR 2016 dilancarkan di India, harga bermula RM3,053 hingga RM3,200

    yamaha-cygnus-ray-zr-launch_827x510_51461227806_BM

    Yamaha Cygnus Ray-ZR 2016 telah dilancarkan di India dengan dua pilihan varian. Varian asas ZR menggunakan brek dram dijual pada harga 52,000 rupee (RM3,053) manakala varian tertinggi yang dilengkapi dengan brek cakera pada bahagian hadapan pula dijual pada harga 54,500 rupee (RM3,200).

    Menurut laporan, Cygnus Ray sebelum ini direka dengan konsep yang “terlalu feminin” sehinggakan ia tidak mendapat sambutan dari pengguna lelaki di India. Oleh itu untuk model terbaharu Cygnus Ray-ZR ini, ia tampil dengan rekaan yang lebih agresif dan maskulin untuk menawan semula pembeli lelaki dalam pasaran skuter urban di republik tersebut.

    Skuter ini dikuasakan dengan enjin Blue Core Yamaha 113 cc satu silinder dua injap dengan sistem penyejukkan udara, berupaya menjana 7.1 PS pada takat 7,500rpm dan tork maksima 8.1 Nm pada takat 5,500rpm. Enjin tersebut yang juga terdapat pada barisan model underbone Yamaha lain dipadankan dengan transmisi CVT automatik.

    Dengan berat keseluruhan ditimbang hanya 103 kg dan rekaan luaran menampilkan panel badan yang bersegi, rata, dan lebar, Cygnus Ray-ZR berupaya mencatatkan penggunaan bahan api 1.5 liter untuk setiap 100 km perjalanan. Skuter ini turut dilengkapi dengan ruang storan di bawah tempat duduk berkapasiti 21 liter. Ia dijangka akan menembusi pasaran India pada bulan Mei tahun ini dan dijual bersama model Cygnus Ray sedia ada yang mensasarkan pembeli dari golongan wanita.

     
     
  • Acura CDX – crossover yang diasaskan dari Honda HR-V membuat penampilan sulungnya di Beijing

    Acura-CDX-Beijing-2016-1_BM

    Acura secara rasminya telah mendedahkan SUV kompak premium terbaharu mereka iaitu Acura CDX pada Beijing Motor Show 2016 yang sedang berlangsung. Crossover yang diproduksi oleh kerjasama Guangzhou-Honda berasaskan Honda HR-V ini akan bersaing dengan Mercedes-Benz GLA dan Audi Q3 dalam pasaran. CDX dijadualkan akan menembusi pasaran di China pada suku keempat tahun ini dan dijual pada harga bermula 250,000 yuan (RM150,235) hingga 300,000 yuan (RM180,282).

    Walaupun dibina daripada asas yang sama, CDX diukur 201 mm lebih panjang, 68 mm lebih lebar dan jarak roda 50 mm lebih panjang dari HR-V. Tetapi dari segi ketinggian, CDX adalah 5 mm lebih rendah. Walau bagaimanapun, CDX masih berkongsi banyak komponen dengan HR-V.

    Selain berbeza dari segi dimensi, rekaan keseluruhan CDX juga adalah berlainan. Menerapkan Acura Precision Concept pada bahagian hadapan, CDX diberikan gril hadapan berbentuk berlian menempatkan logo Acura yang besar ditengah-tengah dan diapit dengan lampu hadapan LED penuh berbentuk permata. Ia juga turut dilengkapi dengan lampu kabus LED yang diletakkan pada setiap sisi bampar hadapan.

    Acura-CDX-Beijing-2016-2_BM

    Profil sisi CDX ini menampilkan sedikit perubahan daripada versi konsepnya yang diberi nama Acura Concept SUV-X, ditayangkan tiga tahun lalu. Walaupun begitu, garisan-garisan karekternya masih lagi kekal. Pada model produksi yang ditayangkan ini, ia dilengkapi dengan roda aloi opsyenal bersaiz 18-inci.

    Lampu belakang SUV ini menampilkan rekaan yang menyamai rekaan pada lampu hadapan dan kedua-duanya dihubungkan dengan kemasan hitam yang merentangi pintu tailgate belakang. Logo Acura diletakkan dibawah kemasan tersebut. Unit-unit reflektor ditempatkan di kedua-dua sisi bampar belakang, manakala lampu kabus tunggal diletakkan dibahagian bawah bampar tersebut serta diapit oleh dua tip ekzos berbentuk segi empat.

    Juga berbeza berbanding HR-V, CDX dikuasakan dengan enjin L15B9 VTEC Turbo berkuasa 182 hp dan tork 240 Nm (5 hp dan 14 Nm lebih berkuasa dari enjin L15B8 VTEC Turbo Civic). Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear klac berkembar lapan-kelajuan automatik baharu dari Acura. Tidak seperti kotak gear klac berkembar dari pengeluar lain yang menggunakan klac kering dalam transmisi tersebut, Acura menggantikannya dengan unit torque converter yang memberikan penukaran gear yang lebih lembut pada kelajuan rendah. CDX juga hadir dengan dua pilihan pacuan sama ada pacuan hadapan sepenuhnya atau varian pacuan semua roda (AWD).

     
     
  • Honda Avancier SUV dilancarkan di China – 2.0T, 9AT

    Honda-Avancier-China-24

    Guangqi Honda telah mendedahkan Honda Avancier baharu di China. Model SUV baharu ini merupakan versi produksi bagi Honda Concept D yang diperkenalkan di Auto Shanghai 2015 lalu.

    Walau pun penggayaannya dikurangkan sedikit berbanding Concept D, namun bentuk asas karakternya masih dikekalkan iaitu dari garisan bumbung yang lebih landai serta beberapa elemen lain, tetapi kesan dramatiknya dikurangkan pada versi produksi.

    Avancier merupakan SUV yang agak besar dengan jarak roda berukuran 2,820 mm, dan akan diposisikan di atas CR-V yang dijual di China oleh rakan sekutu Honda iaitu Dongfeng Honda. Pesaing bagi Avancier termasuk Toyota Highlander dan Ford Edge.

    Honda-Avancier-China-02

    Elemen sedikit mewah juga diterapkan pada rekaan imejnya. Ini termasuklah lampu utama LED, skrin sesentuh bersaiz besar di bahagian tengah, zon penghawa dingin tiga-zon, bumbung berkaca panoramik, brek parkir elektronik, butang pemilihan gear, pedal penukar gear, tempat duduk haba panas/aliran udara, tempat duduk pemandu larasan berkuasa dengan memori, panel kawalan pada tempat perehat tangan dan speaker belakang yang dipasang di atas tempat duduk belakang. Malah kabin dihiasi dengan balutan kulit hitam dengan kekemasan kayuan gelap.

    Avancier adalah SUV lima-tempat-duduk, dijanakan oleh enjin 2.0 liter “Sport Turbo” VTEC Earth Dreams Tech, yang dipadankan bersama transmisi automatik sembilan-kelajuan. Kuasanya disalurkan ke semua roda. Ia juga dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing Suite. Ada perkhabaran mengatakan versi hibrid dan enjin 2.4 liter NA akan diperkenalkan tidak lama lagi.

    GALERI: Honda Concept D di Auto Shanghai 2015

     
     
  • Nissan Kicks diperkenalkan menerusi Instagram – bakal bersaing dalam segmen-B termasuk Honda HR-V

    Nissan-Kicks-instagram-reveal-BM_6

    Nissan Kicks versi produksi telah pun diperkenalkan menerusi Instagram selepas beberapa siri pengenalannya disebarkan menerusi laman media sosial. Rekaan fasa akhir ini kelihatan mirip dengan model konsep yang dipertontonkan di Sao Paulo Motor Show 2014 di Brazil.

    Tidak menggunakan platform yang sama dengan Nissan Juke, Kicks memilih platform V, yang sama dengan Nissan March/Micra. Buat masa ini, Nissan belum mendedahkan perincian spesifikasinya, namun difahamkan Kicks mungkin berkongsi dimensi dengan model konsepnya, tetapi lebih panjang, lebar dan tinggi berbanding Juke.

    Berkaitan dengan rekaan, Kicks nampak lebih sporty, apatah lagi dengan padanan bumbung jingga dengan badannya yang berwarna kelabu, sementara tiangnya tampil dengan kekemasan hitam, seperti dalam foto ini.

    Nissan-Kicks-instagram-reveal-12

    Memandangkan ia menggunakan platform yang sama seperti March/Micra, ada kebarangkalian Kicks juga dipadankan dengan enjin 1.6 liter empat-silinder NA yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 110 hp. Bagi transmisi, kemungkinan ia dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau CVT.

    Pada awalnya, Kicks dijadualkan diproduksikan di Aguascalientes, Mexico. Kemudian, ia dikatakan akan diproduksi di Resende, Brazil, di mana Nissan telah melabur sebanyak USD$210 juta (RM822 juta) untuk membangunkan fasiliti di sana. Produksi di Brazil dijangkakan bermula tahun 2017.

    Kicks dijadualkan akan membuat penampilan perdana di peringkat dunia sebagai kereta rasmi untuk Sukan Olimpik 2016. Selepas itu, ia dilaporkan akan berada di negara lain termasuk Mexico dan AMerika Syarikat dengan harga yang lebih rendah berbanding Nissan Juke.

     
     
  • Pemandu Uber dan GrabCar perlu dapatkan lesen PSV

    uber-x-car_BM

    Kementerian Pengangkutan menyatakan sebagai sebahagian langkah untuk mengawal selia servis perkongsian kenderaan atas talian seperti UBer dan GrabCar, pemandu yang terlibat untuk perkhidmatan tersebut akan diwajibkan untuk memiliki Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), lapor Sinar Harian.

    “Kami akan mengkaji semula, dan akan mengenakan syarat hampir serupa kepada Uber dan Grab Car, sebagaimana syarat dikenakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) terhadap teksi. Dalam masa sama ia akan memberikan persaingan sihat kepada teksi sedia ada, di samping Uber atau Grab Car ini akan dapat beroperasi mengikut peraturan ditetapkan SPAD,” ujar Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi.

    Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata kenderaan-kenderaan yang digunakan dalam perkhidmatan perkongsian kenderaan akan diwajibkan untuk membeli insuran komersial seperti teksi biasa, dan kemudian menjelaskan langkah tersebut hanya akan diimplementasikan kemudian setelah SPAD mendapatkan maklum balas dari orang awam.

    Beliau turut mengulang semula kenyataan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai awal bulan ini yang mengatakan kerajaan sedang mengkaji pelbagai isu berkenaan servis perkongsian kenderaan ini, termasuk keperluan untuk mendaftarkan setiap pemandu yang terlibat dalam servis tersebut.

    Beberapa pihak yang mewakili pemandu teksi telah mendakwa SPAD kerana gagal bertindak terhadap Uber dan GrabCar kerana beroperasi secara haram, dan pertikaian ini telah membawa kepada pelbagai langkah yang dilakukan oleh pemandu teksi agar suara mereka kedengaran termasuk membuat protes jalanan sehingga menyebabkan beberapa jalan di Bandaraya Kuala Lumpur ditutup.

     
     
  • Imej render Honda Jazz 2019 – dilapor 30 kg lebih ringan, dijana enjin turbo 1.0L atau 1.5L Hybrid

    2019-Honda-Jazz-facelift-Japan-magazine-render_BM

    Sebuah majalah dari Jepun menyiarkan imej imaginasi digital Honda Jazz (atau dikenali sebagai Fit untuk pasaran domestik Jepun) 2019. Menurut laporan majalah tersebut lagi, Jazz generasi ke-empat ini dijangka akan dilancarkan pada bulan Jun 2019 dan bakal dijana barisan enjin-enjin baharu dari Honda.

    Imej render berkenaan menampilkan muka Jazz tersebut direka menyamai muka Civic terbaharu. Ia diterjemahkan dengan rekaan ‘Solid Wing Face’ pada lampu dan gril hadapan, yang sekarang ini sedang mendominasi setiap model-model terbaharu keluaran Honda. Juga seiring dengan trend terkini, lampu hadapan yang dilengkapi adalah dari jenis LED serta bampar hadapan yang mendapat sentuhan rekaan baharu.

    Majalah ini turut menyebut kereta ini bakal dibina 30 kg lebih ringan daripada Jazz sedia ada tanpa memperincikan bagaimana ia diringankan.

    Satu lagi maklumat menarik dari laporan berkenaan adalah pada sistem janaan Jazz generasi berikutnya ini. Hatchback kompak tersebut dijangka bakal dikuasakan dengan enjin 1.0 liter VTEC Turbo dengan sistem pancitan bahan api terus yang mungkin akan diambil dari Civic pasaran Eropah berkemampuan menjana 127 hp/200 Nm. Ia juga bakal tampil dengan pilihan varian hibrid yang dijana oleh enjin 1.5 liter i-VTEC dipadankan bersama sistem i-MMD Honda.

    GALERI: Honda Jazz (Carnival Red) di Malaysia

     
     
  • Mazda CX-4 muncul di Beijing Motor Show 2016 – hanya untuk pasaran domestik di China sahaja

    Mazda CX-4 China official 7

    Mazda CX-4 yang disahkan hanya untuk pasaran di China sahaja, telah pun melakukan penampilan perdana secara rasmi di Beijing Motor Show 2016. CX-4 ini turut mempertaruhkan konsep Koeru seperti mana yang didedahkan di Frankfurt Motor Show 2015.

    Dengan imej yang dipersembahkan, CX-4 ini tampil dengan gril radiator trapezoidal besar yang disambung pada utama yang melunjur ke belakang dengan teknologi LED. Manakala garisan bumbungnya yang lebih sporty turut disambungkan pada spoiler belakang yang juga tampak bergaya, bersama lampu kabus yang agak besar dan diposisikan di bahagian bawah bampar, dan di atas paip ekzos berkembar. Padanan rim aloi pilihan bersaiz 19-inci turut menyerlahlah lagi penampilannya.

    Pada bahagian kabinnya, atmosferanya kelihatan mirip dengan mana-mana model terbaharu Mazda termasuk CX-3. Ia ditampilkan dengan paparan tujuh-inci gaya-tablet bagi sistem hiburan tetapi masih menerapkan brek parkir konvensional berbanding brek elektrik seperti CX-5. Konsol tengahnya pula diletakkan kawalan suhu automatik dwi-zon dan suis rotari di belakang tuil gear, bagi mengawal sistem hiburan.

    Bagi penjana kuasanya, CX-4 menawarkan dua pilihan enjin iaitu 2.0 liter empat-silinder SkyActiv-G dengan kuasa 158 hp dan 202 Nm. Ia menyalurkan kuasa pada roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan. Manakala varian pacuan semua-roda dijanakan oleh enjin 2.5 liter empat-silinder SkyActiv-G dengan kuasa 192 hp dan 252 Nm. Ia turut menggunakan kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Penggunaan bahan api bagi CX-4 ini dianggarkan sekitar 6.2 liter bagi setiap 100 km bagi enjin 2.0 liter dan 7.2 liter per 100 km untuk enjin 2.5 liter.

     
     
  • Lencongan trafik di Jalan Kuchai Lama-NPE

    2015-npe-pantai-dalam-toll-plaza- 001

    NPE Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan berhubung dengan lencongan sementara trafik di sepanjang Jalan Kuchai Lama dilaksanakan mulai 23 April 2016 hingga 23 Januari 2017. Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja pembinaan hubungan Lebuhraya Pantai Baru (NPE)-Kuchai Lama.

    Menurut kenyataan tersebut, lokasi yang terjejas ialah susur keluar dari Jalan Kuchai Lama menghala ke NPE dan susur keluar dari NPE ke Jalan Kuchai Lama. Pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi papan tanda jalan dan had laju ditetapkan.

     
     
  • Muzium Automobil Toyota akan mengadakan Festival Kereta Klasik ke-27, imbau revolusi automotif Jepun

    20160422_01_02

    Muzium Automobil Toyota akan mengadakan Festival Kereta Klasik yang ke-27 pada 29 Mei di Aichi Expo Memorial Park di Bandar Nagakute. Acara tahunan yang diadakan untuk mempromosikan budaya berkereta berkenaan juga akan menampilakn upacara perarakan kereta klasik milik individu keluaran Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah yang dibina pada tahun 1986 dan kebawah di atas jalan raya awam.

    Dengan populariti kereta klasik yang semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, festival tahun ini menyaksikan peningkatan penyertaan sekitar 100 ke 150 buah kereta yang dimiliki oleh pihak individu – menjadikan ia yang terbesar pernah diadakan dalam sejarah festival itu sendiri. Green Square di dalam taman tersebut yang telah diperbesarkan tahun lalu turut akan digunakan pada festival kali ini yang turut akan mengadakan pameran Studio Kereta Klasik yang dikhaskan untuk mempamerkan prestasi bunyi enjin.

    20160422_01_06

    Turut diadakan pada festival kali ini adalah pameran istimewa memfokuskan kereta dari tahun 1920’an hingga 1930’an iaitu era yang menyaksikan pembangunan yang pesat dalam industri automotif Amerika Syarikat dan Eropah, dan semasa era industri automotif Jepun yang sebenar dilahirkan. Semasa kereta-kereta mewah buatan Amerika dan Eropah menampilkan teknologi terkini dengan keselesaan dan dan bunyi yang senyap dipandu di atas jalan raya, industri automotif Jepun baharu sahaja bermula. Pameran istimewa ini akan menampilkan lima kereta klasik yang terkenal pada era tersebut dari koleksi muzium sendiri termasuk model Packard Twin Six (1920, Amerika Syarikat), Horch 853 (1937, Jerman) dan replika Toyoda Model AA (1936, Jepun). Kereta-kereta ini akan dipandu pada pameran tersebut serta akan melakukan demonstrasi pemanduan di litar kereta klasik.

    Muzium Automobil Toyota adalah fasiliti kebudayaan yang terletak di Bandar Nagakute dan dimiliki oleh Toyota Motor Corporation. Atas sebab untuk memberikan lebih kefahaman kepada orang awam berkenaan evolusi industri automotif di Jepun, muzium tersebut telah diperbesarkan dengan penambahan satu lagi tingkat untuk dijadikan ruang pameran kekal, yang secara terus dikaitkan dengan pameran istimewa dalam festival tahun ini.

    GALERI: Festival Kereta Klasik Muzium Automobil Toyota 2015

     
     
  • Volkswagen dan firma undang-undang Amerika Syarikat capai kata sepakat resolusi skandal diesel

    2016-volkswagen-passat-us-model

    Berikutan laporan Volkswagen yang akan mengeluarkan sejumlah USD$ 1 billion (RM3.89 billion) untuk membayar ganti rugi kepada pengguna di Amerika Syarikat, syarikat berkenaan kini disahkan telah mencapai “perjanjian dalam prinsipal” dengan pihak berkuasa yang terlibat dalam prosiding skandal dieselgate tersebut.

    Firma undang-undang Amerika Syarikat yang terlibat dalam tindakan berkenaan adalah terdiri daripada Jabatan Keadilan (Bahagian Alam Sekitar), Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) dan Lembaga Sumber Udara California (CARB), dengan penglibatan sepenuhnya Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC).

    “Perjanjian dalam prisipal ini akan dimasukkan sekali ke dalam dekri persetujuan oleh Jabatan Keadilan dan FTC dalam masa beberapa minggu lagi,” menurut pengumuman yang dibuat tersebut. Syarat-syarat terperinci yang terkandung di dalam perjanjian itu belum lagi dimuktamadkan, dengan kenyataan dari syarikat berkenaan mengatakan hanya “ciri asas” dalam resolusi tersebut telah dipersetujui pada tahap ini.

    VW jetta TDI US-spec

    Syarat-syarat asas ini akan diletakkan di dalam penyelesaian yang lebih komprehensif yang akan didedahkan beberapa minggu lagi. Dalam erti kata yang mudah, Charles Breyer, hakim yang mengetuai kes ini mengalu-alukan perkembangan terbaharu tersebut.

    Walau bagaimanapun, beberapa laporan mendakwa transkrip dari mahkamah mendedahkan beberapa perincian berkenaan ciri asas yang dipersetujui bersama oleh pihak Volkswagen dan pihak berkuasa Amerika Syarikat itu. Dokumen berkenaan menyatakan dianggarkan 480,000 buah kenderaan yang dilengkapi dengan enjin diesel 2.0 liter EA189 terlibat dalam kes ini, lebih rendah daripada anggaran asal sebelum ini yang menjangkakan sejumlah 600,000 unit.

    Pemilik kenderaan-kenderaan ini juga mempunyai peluang sama ada untuk menjual semula kenderaan mereka kepada pengeluar, atau Volkswagen akan memperbaiki semula kenderaan tersebut sehingga ia mematuhi undang-undang emisi setempat. Pelanggan yang telah memajakkan kenderaan Volkswagen mereka dibenarkan untuk membatalkan pajakan tersebut dan memulangkan semula kenderaan itu kepada syarikat terbabit.

     
     
  • Pembelian kenderaan antara punca utama kes bangkrap di Malaysia – satu daripada setiap empat

    Car-loan-purchase-bankrupt

    Seperti mana yang semua tahu, rakyat Malaysia memang suka kereta. Walau pun harga kereta naik, tapi mesti ada juga yang membelinya. Tak kiralah ada yang merungut ekoran kos taraf hidup yang meningkat, nafsu untuk memiliki kenderaan baharu adakalanya sukar untuk ditolak. Tetapi tahukah anda, satu daripada empat kes bangkrap di Malaysia dilaporkan adalah berpunca daripada pembelian kenderaan.

    Laporan The Sun menyebut antara 2011 dan 2015, sebanyak 27.94% atau 28,374 kes bangkrap dicatatkan di negara ini adalah berpunca daripada pembelian kenderaan. Sumber laporan ini adalah daripada Jabatan Insolvensi Malaysia, yang mendedahkan antara punca utama kes bangkrap di negara ini.

    Pinjaman perumahan pula menduduki carta kedua iaitu dengan 21,697 kes iaitu 21.36% daripada keseluruhan kes bangkrap, diikuti dengan pinjaman peribadi (20,727 kes atau 20.41%) dan pinjaman perniagaan (11,899 kes atau 11.71%). Jabatan tersebut memberitahu pihak mereka telah mengendalikan sejumlah 101,537 kes sepanjang 2011 hingga 2015.

    Mengikut statistik, majoriti kes adalah dari Selangor (29,421 kes), diikuti dengan Kuala Lumpur (14,479) dan Johor Baharu (14,064). Manakala Perlis berada di senarai paling bawah kes bangkrap ini dalam tempoh lima tahun iaitu hanya 343 kes direkodkan.

    Dari segi umur pula, individu berusia antara 35 dan 44 tahun menguasai 35.24% daripada keseluruhan kes sepanjang tempoh itu, sementara usia antara 25 dan 34 tahun pula sebanyak 22.52%. Laporan ini turut menyebut peningkatan kes dari tahun 2011 (19,167) hingga 2014 (22,351 kes), dan ia menurun pada tahun 2015 dengan 18,547 kes yang direkodkan.

    Adakah anda merasakan sikap obsesi sesetengah individu untuk memiliki kenderaan baharu biar pun sebenarnya kurang berkemampuan mendorong mereka untuk ‘rela’ diisytihar bangkrap? Kongsikan pendapat anda bersama kami.

     
     
  • VIDEO: Toyota Hilux TRD Sportivo vs Toyota 86

    Pada Bangkok Motor Show 2016 yang lalu, Toyota Motor Thailand telah melancarkan barisan model Toyota Hilux Revo TRD Sportivo. Model tersebut dilengkapi dengan aksesori-aksesori asli dari TRD merangkumi bahagian luaran dan dalaman. Manakala untuk varian tertinggi dalam barisan model Hilux TRD Sportivo ini, ia turut dilengkapi dengan sistem suspensi yang ditala semula menerusi pemadanan penyerap hentak asli TRD. Untuk membuktikan kebolehan Hilux Revo TRD Sportivo ini, Toyota Thailand membawanya ke litar untuk diuji.

    Trak pikap ini diuji di Litar Antarabangsa Chang yang terletak di daerah Buriram Thailand. Sebagai kayu ukur, Toyota tidak membawa sedan atau hatchback biasa, tetapi mereka membawa sebuah kereta lumba sebenar Toyota 86 yang berlumba dalam kejuaraan Endurance RAAT Thailand untuk diuji bersama Toyota Hilux Revo Prerunner 2X4 2.4 TRD Sportivo ini.

    Video tersebut menunjukkan Hilux diuji dalam beberapa situasi pemanduan termasuk meredah selekoh-S, mengambil selekoh berpasir dengan kelajuan tinggi, dipandu menerusi laluan slalom dengan kelajuan 80 km/j dan juga meredah selekoh yang basah. Bagaimana trak pikap ini beraksi? anda perlu tonton sendiri aksinya menerusi video ini.

    Ketika pengguna di Thailand sedang menikmati trak pikap ini di sana, kita di Malaysia masih lagi ternanti-nanti pelancaran Toyota Hilux serba baharu ini. UMW Toyota sudah pun mengumumkan tempahan untuk Hilux baharu ini telah dibuka, dengan harga permulaan dari RM89,900 hingga RM133,900 (harga atas jalan dengan insuran) untuk varian tertinggi.

    Toyota Hilux genersi kelapan ini dibina diatas kerangka Frame with Integrated Rigidity Mechanism (FIRM) yang lebih kuat dan juga bahagian dalaman yang diberikan sentuhan lebih premium. Ia dikuasakan dengan dua pilihan enjin turbo diesel baharu Toyota iaitu enjin 1GD-FTV 2.8 liter dengan 177 hp dan tork 450 Nm, dan enjin 2GD-FTV 2.4 liter dengan 150 hp dan tork 400 Nm, serta dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan terkini.

    GALERI: Toyota Hilux TRD Sportivo di Thailand

     
     
  • Lakaran Volkswagen Amarok 2016 didedahkan

    2016-Volkswagen-Amarok-sketch-1-e1461288101808

    Baru-baru ini, Volkswagen Commercial Vehicles telah mempertontonkan beberapa lakaran model pikap Amarok versi facelift. Jangka hayat Amarok telah pun berlangsung sekitar enam tahun, dan model penambahbaikan ini pastinya memberikan imej yang lebih premium.

    Ia menampilkan bahagian hadapan yang direka semula termasuklah bampar yang lebih mantap dengan sentuhan perak dan skid plate. Malah lampu kabusnya juga disambungkan ke bampar. Manakala padanan lampu utama yang lebih tebal dengan gril yang lebih berketerampilan. Pada bahagian belakangnya, lampu belakang baharu turut ditampilkan dengan rekaan pencahayaan yang lebih moden.

    Di dalamnya, Amarok menampilkan lebih banyak garisan mendatar dan menegak bagi menyerlahkan lagi rekaan papan pemukanya. Malah corong penghawa dingin dan paparan skrin sesentuh juga diposisi semula dengan lebih dekat antara satu sama lain. Butang kawalan sistem suhu baharu juga kelihatan. Perubahan ini menampilkan Amarok umpama ‘sebuah kereta’ bukan sekadar jentera pikap.

    Buat setakat ini, Volkswagen tidak menyalurkan sebarang informasi, namun difahamkan penjana kuasanya diberi penambah baikan iaitu menampilkan enjin 2.0 liter EA288 TDI, yang dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan atau automatik lapan-kelajuan bersama sistem pacuan semua-roda 4Motion. Model semasa Amarok didatangkan dengan enjin diesel turbo tunggal (140 hp dan 340 Nm) atau biturbo (180 hp dan 400/420 Nm).

    GALERI: Volkswagen Amarok

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025