Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • 1,236 km jalan raya di Sabah bakal dinaik taraf di bawah projek Lebuhraya Pan Borneo

    SabahRoad_2

    Dengan bermulanya projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah, sepanjang 1,236 km jalan raya di negeri terbabit akan dinaik taraf.

    Menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, projek menaik taraf jalan itu bakal memberi manfaat kepada penduduk di Sindumin, Sipitang, Beaufort, Membakut, Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Kudat, Tamparuli, Ranau, Telupid, Lahad Datu, Tawau, Kalabakan, Serudong, Sapulut,Nabawan, Keningau dan Kimanis, laporan Bernama.

    “Di bawah Program Pan Borneo Fasa 1, sepanjang 706km jalan berkembar dengan dua lorong sehala akan dibina dengan anggaran kos sejumlah RM12.86 bilion,” katanya semasa menjawab soalan Roland Chia Ming Shen (PKR-Inanam) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam.

    Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata antara jalan raya yang akan dibina dalam projek berkenaan ialah Jalan Sindumin-Kota Kinabalu, Jalan Kota Kinabalu-Tuaran, Jalan Tuaran-Kudat, Jalan Ranau-Telupid, Jalan Telupid-Lahad Datu dan Jalan Lahad Datu-Tawau.

     
     
  • Jualan kenderaan di Malaysia bagi Mac 2016 – meningkat 29% dari Feb, tetapi 28% lebih rendah berbanding bulan yang sama tahun 2015

    MAA-March-2016

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mendedahkan data bagi jualan dan produksi kenderaan di negara ini untuk bulan Mac 2016. Di mana Mac menyaksikan peningkatan selepas Februari mencatatkan sedikit kelembapan jualan.

    Sejumlah 48,800 kenderaan telah dijual pada bulan tersebut, menyaksikan peningkatan sebanyak 10,924 unit atau 29% lebih tinggi berbanding Februari 2016. Di mana kenderaan penumpang mencatat jualan sebanyak 43,247 unit (meningkat 9,121 unit), manakala kenderaan komersil pula sebanyak 5,553 unit (meningkat 1,803 unit).

    MAA berkata, ia didorong oleh tempoh waktu bekerja yang panjang dalam bulan tersebut dan syarikat kereta turut bergegas menghantar kenderaan yang ditempah penumpang sebelum tahun kewangan mereka berakhir pada 31 Mac 2016.

    Walau bagaimana pun, jumlah jualan pada Mac 2016 yang tercatat adalah 28% atau 18,587 unit lebih rendah berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. Manakala jualan dari tempoh Januari ke Mac 2016 juga lebih rendah sebanyak 131,267 (22%) atau 37,112 unit berbanding jangka masa yang sama pada tahun 2015.

    Jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi Mac 2015 agak tinggi kerana ia adalah sebelum pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), jadi ia membuatkan para pengguna membeli kenderaan mereka lebih awal.

    Bagi produksi pula, 47,810 unit kenderaan dihasilkan pada Mac 2016 iaitu 45,802 unit kenderaan penumpang dan 2,008 unit kenderaan komersil. Ia meningkat sebanyak 12,680 atau 36% berbanding Februari 2016.

    Berbanding dengan bulan yang sama pada tahun lalu, Mac 2016 menyaksikan pengurangan sebanyak 12,275 unit berbanding Mac 2015 (60,085 unit). Malah dari Januari 2016 hingga Mac 2016 berjumlah 129,591 unit, menurun sebanyak 34,106 unit berbanding jangka masa yang sama pada tahun lalu (163,697 unit).

    Bagi April 2016, MAA meramalkan jualan kenderaan akan lebih baik berbanding Mac 2016.

     
     
  • Honda Civic 2016 – hanya varian 1.6L SOHC i-VTEC untuk pasaran Singapura, harga bermula RM318k

    Civic_18E-2-1_BM

    Sementara kita di Malaysia menanti dengan penuh debaran hari pelancaran Honda Civic generasi ke-10, negara jiran seberang tambak – Singapura juga turut menunggu Civic 2016 untuk mendarat di sana. Kami menerima iklan dari pembaca Calvin Teoh yang memaparkan spesifikasi sedan tersebut untuk pasaran di republik itu, nampaknya mereka hanya menerima varian tunggal 1.6 liter VTEC yang dijual dengan harga SGD$109,999 (RM318k) dan tempahannya sudah mula dibuka.

    Beberapa ciri dipaparkan pada brosur tersebut termasuk lampu nyalaan siang LED dengan lampu hadapan halogen, sistem kunci pintar beserta suis penghidup enjin, brek parkir elektronik dan juga butang mod ECON.

    Ciri-ciri untuk bahagian dalaman pula termasuk upholstery balutan kulit, penghawa dingin automatik dua zon dan juga liang penghawa dingin untuk bahagian belakang. Ia turut dilengkapi sistem infotaimen dengan paparan skrin sesentuh tujuh-inci, sambungan USB dan HDMI, dihubungkan kepada lapan-pembesar suara. Roda stereng tiga-jejari dengan kecondongan dan teleskopik yang boleh dilaras turut dilengkapi dengan butang kawalan sistem audio, kawalan kelajuan, suis telefon hands-free dan juga penukar gear.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan pemegang cawan untuk penumpang bahagian hadapan dan belakang, dan juga dua cermin muka berlampu di bahagian hadapan serta cermin pandang belakang dengan fungsi anti-silau automatik. Sementara itu, hanya tempat duduk pemandu boleh dilaraskan ketinggiannya secara manual, dan kedua-dua belah tingkap kuasa hadapan disertakan sekali dengan fungsi turun/naik automatik.

    Sedan ini turut dilengkapi dengan kamera undur beserta empat penderia. Untuk ciri keselamatan, Civic ini hanya dilengkapi dengan dua beg udara, ABS beserta sistem Bantuan Stabiliti Kenderaan (VSA) dan juga Bantuan Mula Mendaki.

    Seperti yang dinyatakan tadi, ia hanya dikuasakan dengan satu pilihan enjin iaitu enjin 1.6 liter SOHC i-VTEC yang menjana 125 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 152 Nm pada takat 4,300 rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear CVT automatik. Turut dipaparkan dalam brosur tersebut, Civic 2016 pasaran Singapura mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 11.6 saat dan boleh mencapai kelajuan maksima 200 km/h.

     
     
  • Brosur rasmi SUV Ford Everest 2016 dedah dua varian – 2.2L Trend 4×2 dan 3.2L Titanium 4×4

    Klik untuk besarkan

    Ford Everest generasi ketiga dijangka bakal dilancarkan di Malaysia pada tahun ini. Namun sebelum ia dilancarkan, kami telah menerima brosur rasmi SUV tujuh-tempat duduk ini, terima kasih pada pembaca paultan.org Joshua Ling Dee Sing.

    Mengikut brosur ini, ia menawarkan dua varian iaitu 2.2L Trend 4×2 dan 3.2L Titanium 4×4 (spesifikasi tertinggi), yang kedua-duanya dijanakan oleh unit turbodiesel. Model terdahulu menerima enjin 2.2 liter empat-silinder sebaris dengan kuasa 160 PS pada 3,200 rpm dan tork 385 Nm antara 1,600 hingga 2,500 rpm.

    Sementara itu, varian baharu dengan enjin 3.2 liter empat-silinder sebaris mampu menghamburkan kuasa sehingga 200 PS pada 3,000 rpm dan tork 470 Nm antara 1,750 hingga 2,500 rpm. Ia juga dipadankan dengan kotak gear automatik SelectShift enam-kelajuan, bagi kedua-dua varian.

    Bagi varian Trend, ia tidak didatangkan dengan Terrain Management System (TMS) dan locking rear differential. Walau bagaimana pun, kedua-dua elemen tersebut ada pada varian Titanium, sekali gus memberikan kawalan yang lebih padu ketika mengharungi laluan off-road. TMS juga memiliki empat mod berbeza iaitu Road, Sand, Snow dan Rock, yang dikawal dengan butang pilihan kawalan di sebelah tuil gear.

    Klik untuk besarkan

    Bagi imej luaran, Titanium tampil lebih banyak perbezaan berbanding Trend. Di mana model spesifikasi tertinggi Everest ini dipadankan dengan roda bersaiz 20-inci (Trend hanya 18-inci). Manakala mengenai pencahayaan, Titanium tampil dengan lampu utama projektor xenon bersama pelarasan auto dan lampu nyalaan siang LED. Manakala Trend hanya dengan unit projektor halogen. Lain-lain perbezaan termasuklah cermin sisi krom untuk Titanium (Trend dengan sama dengan warna badan) dan bilah pengilap cermin auto.

    Bagi bahagian kabin pula, Titanium menerima lebih banyak elemen menarik termasuk corong penghawa dingin bagi tempat duduk barisan kedua dan soket kuasa tiga-pin 230 V.

    Selain itu, ia turut menampilkan pencahayaan ambien, cermin pandang belakang electrochromic, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, paparan skrin sesentuh 8-inci, sistem hiburan SYNC 2 (dengan 10-pembesar suara), tempat duduk balutan kulit (8-cara larasan berkuasa untuk pemandu, 2-cara larasan berkuasa untuk penumpang hadapan) dan butang berkuasa untuk membaringkan tempat duduk barisan ketiga.

    Ford-Everest-2015-10

    Kesemua elemen tersebut tidak terdapat pada Trend. Ia hanya menampilkan skrin paparan berwarna 4.2-inci dan sistem multimedia standard (dengan lapan-pembesar suara), tempat duduk fabrik (4-cara larasan manual untuk pemandu, 2-cara larasan manual untuk tempat duduk penumpang hadapan) dan tempat duduk barisan ketiga yang boleh dibaringkan secara manual.

    Bagi aspek keselamatan, Titanium menerima tujuh beg udara (pemandu, tempat duduk penumpang hadapan, sisi, tirai, lutut), sementara Trend tidak disertakan beg udara sisi dan tirai. Namun elemen keselamatan standard bagi Everest termasuklah Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS, pengingat tali pinggang kaledar dan cagak Isofix, yang membuatkan ia menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP. Selain itu, bagi Titanium, ia turut menerima pengesan bantuan parkir hadapan dan belakang, kamera undur dan Ford MyKey.

    Walau bagaimana pun, kita tidak boleh mengandaikan apa yang ada dalam brosur ini mungkin semuanya kita akan terima, kena nantikan pengesahannya ketika pelancaran rasminya.

    GALERI: Ford Everest 2015 di Chiang Rai

     
     
  • Triumph Bonneville T120, T120 Black, Thruxton R 2016 dilancar di Malaysia – harga bermula RM79,900

    2016 Triumph T120 and T120 Black - 2

    Fastbikes, pengedar rasmi Triumph di Malaysia telah melancarkan Triumph Bonneville T120, T120 Black – kedua-duanya di jual dengan harga RM79,900 dan Thruxton R yang di jual pada harga RM91,900. Ketiga-tiga buah motosikal dengan gaya retro ini menampilkan enjin penyejukan cecair Triumph baharu, yang direka untuk memberikan lebih tork dan pada masa yang sama memenuhi standard emisi baharu yang lebih ketat.

    Enjin 1,200 cc baharu tersebut dibina dengan konfigurasi blok berkembar sebaris, penyejukkan cecair, aci-sesondol tunggal, lapan injap dengan aci engkol 270-darjah. Ia disuapkan dengan campuran bahan api dan udara menerusi sistem pancitan bahan api pelbagai titik berturutan (multi-point sequential).

    Enjin yang dipasang pada varian T120 menghasilkan 79 hp dan tork 105 Nm pada takat 3,100 rpm – 54% lebih tork daripada generasi T100 sebelum ini. Enjin yang dilengkapi pada Thruxton R pula mampu menjana 98 hp dan tork sejumlah 112 Nm pada takat 4,250 rpm – 62% lebih tork daripada versi Thruxton R tahun lalu.

    Bonneville 2016 menampilkan rekaan yang sangat retro, dengan beberapa bahagian yang boleh mengaitkannya terus dengan Bonneveille 1959 asal. Sistem pancitan bahan api elektronik motosikal ini dilengkapi unit throttle body yang direka menyerupai rekabentuk karburator Amal untuk menaikkan imej old-schoolnya.

    Kesemua varian dilengkapi dengan sistem pendikit tanpa kabel, ABS dan Kawalan Cengkaman. Untuk kedua-dua varian T120, ia dilengkapi dengan dua mod tunggangan iaitu ‘Road’ dan ‘Rain’, manakala untuk model Thruxton R, ia ditambah dengan mod ‘Sport’. Model Bonneville juga dilengkapi dengan sistem brek Nissin pada bahagian hadapan dan belakang, sementara Thruxton R pula dilengkapi dengan brek Brembo Monoblocs pada bahagian hadapan.

    Bonneville T120 menerapkan lebih kemasan saduran krom ala-British,berbeza dengan T120 Black yang menampilkan imej yang lebih garang menampilkan ekzos, enjin dan jejari roda yang diberikan warna hitam. Thruxton R pula direka untuk menyerlahkan rupa berkonsep cafe racer, dengan bar hendal yang lebih rendah serta tangki bahan api dan tali tangki direka dengan gaya Monza. Motosikal ini juga tampil dengan tempat duduk tunggal.

    Thruxton R turut didatangkan standard dengan komponen sistem suspensi 43 mm boleh laras sepenuhnya dari Showa dengan sepit udang ‘big piston’ dihadapan dan unit suspensi penyerap hentak berkembar boleh laras sepenuhnya dari Ohlins di bahaggian belakang. Kombinasi ini membolehkan sistem suspensi Thruxton R boleh bergerak pada jarak 120 mm. Untuk model 120T, kesemua komponen suspensinya adalah dibekalkan oleh pihak Kayaba.

    Seperti yang disebutkan sebelum ini, Triumph Bonneville T120 dan T120 Black dijual pada harga bermula RM79,900, manakala untuk Thruxton R pula dijual pada harga RM91,900. T120 hadir dengan warna Jet Black, Cinder Red, Cranberry Red/Aluminium Silver dan kombinasi Jet Black/Pure White. Thruxton R pula boleh dipilih sama ada dengan warna Merah atau Perak.

    GALERI: 2016 Triumph Bonneville T120 dan T120 Black


    GALERI: 2016 Triumph Thruxton R

     
     
  • Johor giat menaik taraf sepanjang 851 km jalan kampung dan 96 km jalan baharu dibina sejak 2012

    Johor-road-Bernama

    Kerajaan negeri Johor telah melebarkan jalan kampung lebih dari 850 kilometer di negeri terbabit sejak tahun 2012 hingga tahun lalu, menurut laporan Bernama.

    Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Ir Hasni Mohamed dilaporkan berkata, sejumlah RM81.84 juta dibelanjakan untuk melebarkan jalan kampung sepanjang 851.36 kilometer bermula tahun 2012 hingga 2015. Tambah beliau lagi, dalam tempoh tersebut juga kerjaan negeri telah membina jalan kampung baharu sepanjang 96.39 kilometer.

    “Dalam tahun 2015 sahaja sepanjang 319.32 kilometer jalan dilebar kepada 4.5 meter daripada 3.5 meter,” katanya menjawab soalan lisan Ayub Jamil (BN-Rengit) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

    Hasni turut menambah kerajaan negeri melalui Infra Desa juga telah mengemukakan perancangan bagi tahun ini untuk melebarkan jalan sepanjang 268.66 kilometer dan menurap semula jalan sepanjang 89.3 kilometer.

     
     
  • Perodua Kenari generasi baharu – imej imaginasi berdasarkan Daihatsu Move Custom

    perodua-kenari-render-blue

    Awal bulan ini, Daihatsu Move Custom generasi ke-enam dikesan berada di atas jalan raya di Malaysia dengan memakai trade plate milik Perodua. Seakan memberikan bayangan bahawa ia merupakan pengganti untuk Kenari, yang menggunakan generasi pertama Move.

    Lantas, Pow Ying Hern iaitu pemenang Pertandingan reka Bentuk Proton 2014, pantas melakar imej imaginasi atau rendered untuk Kenari baharu, berdasarkan Move.

    Pemegang Ijazah Reka Bentuk Produk dari Universiti Teknologi Nanyang di Singapura dan pemegang Ijazah Sarjana dalam jurusan rekaan kereta dari Akademi Domus di Milan, Itali, telah memberikan kebenaran kepada kami untuk memaparkan hasil rendered ini. Dengan Kenari pelbagai pilihan warna, termasuk brosur rekaannya.

    Bagi pasaran domestik, Move Custom ini dijanakan oleh enjin 658 cc tiga-silinder bagi mengikut peraturan kei car. Ia mampu memberikan kuasa sehingga 52 PS pada 6,800 rpm dan tork 60 Nm pada 5,200 rpm, sementara versi pengecas turbo pada Custom RS boleh menghamburkan kuasa sehingga 64 PS pada 6,400 rpm dan tork 92 Nm pada 5,200 rpm. Semuanya dipadankan dengan transmisi CVT dan boleh didapati sama ada dengan pacuan dua- atau empat-roda.

    Walau bagaimana pun, jika ia Kenari generasi baharu ini bakal diperkenalkan, ia mungkin dilengkapi dengan enjin 1KR-DE2 yang sama seperti Axia iaitu 1.0 liter tiga-silinder dengan kuasa 66 PS pada 6,000 rpm dan tork 90 Nm pada 3,600 rpm. Transmisi juga sama seperti Axia iaitu manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan.

    Jadi apa pendapat anda mengenai Kenari generasi baharu mengikut acuan Daihatsu Move Custom ini? Kongsikan pendapat anda bersama kami.

     
     
  • Geely dilapor akan melancarkan kereta jenama “L” tahun hadapan, hasil usahasama bersama Volvo

    Geely cars-01

    Geely akan melancarkan jenama baharu mereka menjelang 2017, menurut laporan Reuters. Berdasarkan maklumat dalaman, jenama yang diberi kod nama “L” tersebut dikatakan akan dibina bersama pembuat kereta dari Sweden iaitu Volvo, yang juga adalah subsidiari dari pembuat kenderaan dari China terbabit.

    Walaupun jurucakap dari pihak Geely dan Volvo tidak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung pembinaan berkenaan, difahamkan jenama baharu itu akan melancarkan SUV. Ia akan menjadi model pertama dibina berdasarkan platform Compact Modular Architecture (CMA), yang dibina oleh kerjasama antara Zhejiang Geely Holding Group dan Volvo. Sementara itu, sebuah sedan juga dikatakan sedang dalam pembinaan.

    Berdasarkan laporan itu juga, pembinaan tersebut adalah untuk bersaing dengan kerjasama jenama China dan pengeluar luar yang lain. Salah satu contoh adalah seperti kenderaan hasil kerjasama General Motors dan SAIC Motor Corp. Dengan jenama L ini, Volvo boleh menumpukan sepenuhnya pada pasaran kenderaan mewah, sementara Geely akan bersaing dalam pasaran domestik China – berhadapan pengeluar tempatan lain.

    CMA platform side view with text

    Apabila dilancarkan kelak, jenama baharu ini akan bersaing dalam pasaran yang sengit terdiri dari sekurang-kurangnya 12 jenama luar dan lebih dari 20 pengeluar kenderaan dari China dengan pelbagai jenama mereka sendiri. Kereta jenama-L dilaporkan akan dijual menerusi jaringan pengedar Geely sedia ada.

    Kilang baharu turut akan dibina untuk memproduksi kereta dari jenama baharu tersebut, berdasarkan sumber dari pihak dalaman. Selepas dikenali dengan baik dalam pasaran China, jenama itu kemudiannya akan dieksport ke pasaran luar seluruh dunia, dedah sumber berkenaan.

    Dalam pada itu juga, pembangunan platform CMA yang juga versi lebih kecil dari Scaleable Product Architecture (SPA) tersebut adalah sebahagian persiapan Geely untuk menmbusi pasaran Eropah dan Amerika Syarikat, menurut sumber tersebut lagi. Platform ini dikatakan akan membolehkan Volvo, Geely dan jenama-L membina model baharu masing-masing berdasarkan asas yang sama.

     
     
  • DBKL nekad banteras ulat parkir yang makin bermaharajalela – ugut pecah cermin dan calar kereta

    handicap-oku-abuse-parking-lot

    Menerima pelbagai aduan daripada orang awam mengenai kegiatan ulat parkir yang makin melampau di sekitar ibu kota, termasuk mengugut akan memecahkan cermin kereta sekiranya tidak membayar mereka, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz menasihati orang ramai agar tidak sesekali memperdulikan permintaan ulat parkir ini.

    “Sekiranya ulat parkir ini memaksa anda membayar parkir ini, sila laporkan terus kepada pihak DBKL dan polis secara serta merta. Jangan bayar sesen pun kepada mereka,” ujar Mhd AMin.

    Kegiatan ulat parkir yang makin menjadi-jadi di sekitar ibu kota dengan memeras ugut orang ramai ini dilihat sebagai suatu perkara yang melampau dan harus dibanteras secepat mungkin. Malah ada juga orang ramai yang menjadi mangsa dengan cermin kereta milik mereka dipecah gara-gara enggan membayar wang kepada ulat parkir, laporan Bernama.

    Bukan setakat itu sahaja, ada juga ulat parkir yang bertindak memancitkan tayar dan mencalarkan kereta kerana tidak dibayar, biar pun ia berlaku di tempat parkir milik DBKL sendiri. Malah bayaran yang diminta oleh ulat parkir ini juga begitu melampau iaitu mencecah RM50.

    Menurut Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL Mustafa Mohd Nor pula, sebanyak 74 siri Ops Jaga yang bertujuan menahan ulat parkir telah dilaksanakan sepanjang tahun lepas.

    Sebanyak 136 ulat parkir ditangkap di sekitar ibu kota berbanding 231 pada tahun 2014, katanya.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah jabatan itu Muhamad Irwan Abdullah berkata setiap ulat parkir yang ditangkap didakwa di Mahkamah Majistret DBKL.

    Mereka dituduh mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 DBKL dan sekiranya didapati bersalah akan dikenakan kompaun antara RM200 dan RM2,000, katanya.

     
     
  • Mitsubishi ASX facelift akan diperkenalkan untuk peringkat Asia di Beijing akhir April ini

    mitsubishi-asx-facelift-beijing

    Mitsubishi telah mengumumkan akan memperkenalkan model facelift bagi ASX untuk peringkat Asia dalam penganjuran Auto China 2016 yang bakal berlangsung di Beijing akhir bulan ini.

    Crossover kompak ini menampilkan rekaan hadapan Dynamic Shield baharu dengan menyemak semula kekemasannya, sama seperti yang dilakukan pada model facelift Outlander Sport yang diperkenalkan di Los Angeles pada November lalu.

    Selain dari kekemasan rekaan yang dipertingkatkan, ASX berwajah baharu yang bakal dipertontonkan di Beijing ini juga akan dipadankan dengan roda 17-inci dengan gaya baharu, di mana Mitsubishi berkata imej yang lebih atletik dan bergaya lebih dipertaruhkan.

    Buat setakat ini, perubahan bahagian kabinnya tidak dinyatakan. Namun ASX bagi pasaran China mungkin menerima sedikit pembaharuan seperti model di Amerika Utara. Perubahan ini termasuklah material baharu bagi fabrik yang membaluti tempat duduk, roda stereng yang dibaluti kulit dengan kekemasan hitam pekat dan kawalan bagi hiburan, kawalan kelajuan, sistem audio yang direka semula dengan paparan 6.1-inci.

    Ia dipasang di China oleh GAC Mitsubishi Motors, dengan produksi dan jualan domestik bagi ASX facelift akan bermula akhir bulan ini.

    GALERI: Mitsubishi Outlander Sport (ASX) 2016, pasaran Amerika Utara

     
     
  • Tempahan untuk Honda Civic dibuka, harga bermula RM120k untuk 1.8L dan RM140k untuk 1.5L turbo?

    Civic_15RS-2

    Setelah pelancarannya secara rasmi untuk pasaran Thailand dan Indonesia, Honda Civic generasi ke-10 dijangka bakal membuat kemunculannya di Malaysia pula selepas ini. Tetapi nampaknya belum sempat Honda Malaysia membuat apa-apa pengumuman, pengedar-pengedar di Malaysia sudahpun mengiklankan Civic serba baharu ini di laman jual beli Mudah.my.

    Setelah menghubungi pengedar berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut, kami diberitahu model tersebut dijangka akan dilancarkan pada Jun tahun ini. Dua unit janakuasa ditawarkan sama seperti pasaran Thailand iaitu enjin NA 1.8 liter SOHC i-VTEC berkuasa 141 hp/174 Nm dan enjin 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 173 hp/220 Nm.

    Apabila ditanya berkenaan harga, model 1.8L dijangka dijual pada harga di bawah RM120k manakala untuk varian tertinggi 1.5 liter VTEC Turbo dijangka dijual pada harga di bawah RM140k. Harga ini hanya dijangkakan untuk masa sekarang, jadi untuk lebih kepastian kita perlu juga untuk menunggu informasi rasmi dari pihak Honda Malaysia sendiri.

    2016-honda-civic-on-mudah-1

    Jika Civic pasaran Thai dijadikan indikasi apa yang akan diterima untuk pasaran Malaysia, kami sebelum ini telah melaporkan empat varian telah dilancarkan pada pertengahan Mac lalu – dua varian turbo dan dua varian 1.8L NA. Harga bermula serendah 869,000 baht (RM98k) hingga 1.19 juta baht (RM134k). Varian tertinggi Turbo RS menerima roda aloi bersaiz 17-inci, lampu hadapan, nyalaan siang dan belakang LED, dua unit tip ekzos, dan juga bampar hadapan serta spoiler belakang yang lebih sporty.

    Pada bahagian dalaman, varian tertinggi Civic di Thai dilengkapi dengan penghidup enjin kawalan jauh, roda stereng pelbagai fungsi dengan penukar gear, paparan tengah sistem infotaimen bersaiz 7-inci dengan hubungan Apple Carplay dan Siri Eyes Free, kamera undur, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dan pelbagai lagi. Turbo RS turut dilengkapi dengan enam unit beg udara, ABS, EBD, BA, VSA, Bantuan Mula Mendaki dan juga sistem Honda LaneWatch sebagai ciri standard.

    GALERI: 2016 Honda Civic Turbo RS di Thailand


    GALERI: 2016 Honda Civic 1.8 EL di Thailand

    GALERI: 2016 Honda Civic 1.8 E di Thailand

    GALERI: 2016 Honda Civic dengan aksesori Modulo di Thailand

     
     
  • PBB mahukan sistem ESC, AEB pada kereta dan ABS pada motosikal wajib dibekalkan secara standard

    Semasa Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diadakan pada 15 April lalu, prinsipal organisasi tersebut mengumumkan akan menghantar resolusi untuk menunjukkan komitmen mereka dalam menambahkan baik keselamatan jalan raya di peringkat global oleh negara-negara yang menganggotai PBB.

    Resolusi terbaharu itu adalah selari dengan sasaran yang dibuat oleh Matlamat Global untuk Pembangunan Lestari dan juga Rancangan Global untuk Perlaksanaan Keselamatan Jalan Raya Dekad PBB (2011-2020), dengan menyediakan rangka kerja untuk mengelakkan kecederaan di jalan raya yang bersepadu dan holistik.

    Klausa operatif nombor sembilan (OP 9.) dari resolusi tersebut menyatakan:

    Negara Anggota yang dipelawa yang belum lagi mempertimbangkan untuk menggunakan polisi dan langkah pencegahan untuk mengimplementasikan undang-undang keselamatan kenderaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau standard nasional yang sama untuk memastikan semua kenderaan bermotor, memenuhi undang-undang minimum untuk perlindungan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain, dengan tali keledar, beg udara dan sistem keselamatan aktif dilengkapi secara standard;

    2016 Skoda Superb ANCAP crash test-01

    Dibina berdasarkan ‘Deklarasi Brasillia’ yang diserahkan pada Persidangan Global Peringkat Tinggi untuk Keselamatan Jalan Raya yang diadakan pada November 2015, resolusi tersebut mengesahkan pemasangan secara standard sistem keselamatan aktif di mana ia adalah selari dengan kerjasama Stop The Crash. Sistem ini disasarkan untuk mengelakkan terus dari terjadinya kemalangan, berbanding melindungi orang ketika terjadinya kemalangan.

    Tiga sistem keselamatan aktif yang menjadi fokus utama iaitu Kawalan Stabilti Elektronik (ESC), sistem brek kecemasan automatik (AEB) dan sistem brek anti-kekunci (ABS) untuk motosikal. Kerjasama ‘Stop The Crash‘ diterajui oleh Global NCAP, dan turut terdiri dari ADAC, Autoliv, Bosch, Consumer International, Continental, Denso, Thatcham, ZF-TRW, dan Yayasan Toward Zero.

    Perlaksanaan Keselamatan Jalan Raya Dekad PBB (2011-2020) disertai oleh lebih dari 100 negara, termasuk Malaysia. Sementara beberapa negara telah melengkapkan rancangan Dekad mereka, Malaysia sekarang ini masih diperingkat pertengahan menyiapkan rancangan Dekad tersebut. Baru-baru ini Pengerusi Persatuan Jurutera Automotif Malaysia (SAE) dan Setiausaha Kanan ASEAN NCAP Khairil Anwar Abu Kassim menyatakan menjelang 2020, pembuat kereta nasional Proton dan Perodua akan dijangka melengkapkan kenderaan keluaran mereka dengan sistem AEB dan sistem amaran keluar laluan sebagai ciri standard.

     
     
  • Kami akan meniru Tesla Model 3 jika ia terbukti menguntungkan – CEO Fiat Chyrsler Automobile

    dev1olnibkvgnioymgi3-e1459485922738_BM

    Walaupun Tesla Model 3 menerima tempahan yang sangat memberangsangkan, CEO Fiat Chrysler Automobile (FCA) Sergio Marchionne bersifat skeptikal terhadap kebolehan model itu membuat keuntungan, lapor Automotive News. Bos FCA tersebut juga dilaporkan berkata, syarikatnya turut akan membina model yang sama dalam masa 12 bulan jika Tesla membuktikan kereta tersebut mampu menghasilkan keuntungan yang besar dan jangkaannya itu salah.

    “Saya tidak terperanjat dengan jumlah tempahan yang tinggi tetapi pembinaan dan penghantarannya juga haruslah menguntungkan,” kata Marchionne. “Jika (Tesla) dapat menunjukkan kepada saya yang kereta tersebut akan memberikan keuntungan pada harga sedemikian, saya akan meniru formula tersebut, kemudian menambah ciri-ciri rekaan Itali padanya dan membawanya ke pasaran dalam masa 12 bulan.”

    Tesla Model 3 merupakan kereta empat-pintu elektrik sepenuhnya yang dilancarkan awal April lalu pada harga USD$35,000 (RM138k). Ia merupakan Tesla yang paling mampu milik pernah dihasilkan dan dibuktikan diterima dengan sangat baik dalam pasaran melalui tempahan yang dilaporkan mencecah 115,000 unit dalam masa 24 jam setelah tempahannya dibuka.

    Ketika ditanya adakah FCA akan lewat menyertai pasaran tersebut, Marchionne berkata, “adalah lebih bagus lambat daripada tiada.” CEO FCA itu dikenali secara peribadi sebagai seorang yang tidak sukakan kenderaan elektrik. Walaupun syarikatnya menghasilkan dan menjual kereta elektrik sepenuhnya Fiat 500e, Marchionne dilaporkan mendedahkan kepada umum supaya tidak membelinya kerana setiap unit kereta tersebut menyebabkan kerugian kasar sekitar USD$14,000 (RM55k) pada syarikatnya.

     
     
  • Skuter Scomadi dari UK buka pusat 3S konsep di KL – tampil dengan Turismo Leggera TL125, dari RM9,069

    2016-Scomadi-Turismo-Leggera-TL125-WM-15_BM

    Skuter rekaan retro yang menampilkan kelahiran semula Lambretta – Scomadi Scooters dari UK membuka pusat 3S konsep mereka di Kuala Lumpur yang terletak di Setapak. Skuter yang dibangunkan Frank Sanderson dan Paul Melici, pakar skuter berprestasi tinggi sejak 30 tahun lalu ini mengembalikan semula era kegemilangan skuter Itali pada era 60’an.

    Dibawah pengurusan V Power Motor, pusat konsep ini menyediakan khidmat jualan, servis dan juga aksesori untuk barisan model Scomadi di Malaysia yang terdiri dari Turismo Leggera TL125 standard (RM9,095) dan SE (RM9,625). Kedua-dua buah model skuter berkenaan dikuasakan dengan enjin penyejukkan udara 125 cc satu-silinder dua injap.

    Scomadi Leggara menampilkan konfigurasi retro lengan-berayun dibawah badan belakang, dengan enjin berkuasa 9.39 hp pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 8.9 Nm pada takat 7,200 rpm, membawa badan dengan berat bersih 100 kg. Dari segi prestasi mungkin kedengaran agak kurang berkuasa, ini kerana Sanderson dan Melici membina Scomadi lebih mensasarkan kepada gaya hidup dan imej berbanding prestasi yang berlebihan.

    2016-Scomadi-Turismo-Leggera-TL125-WM-2_BM

    Walaupun begitu, Melici menyatakan ini bukan bermaksud Scomadi tidak boleh beraksi. Casis Scomadi telah dibina selama 10 hingga 15, sejak jenama tersebut ditubuhkan pada 2006.

    Fasiliti produksi baharu di Thailand dijangkakan akan beroperasi dalam masa 12 bulan akan datang, dan akan menghasilkan 400 hingga 500 unit skuter seminggu. Scomadi sedang dalam usaha menjadikan skuter mereka memenuhi undang-undang Euro4, dan skuter berprestasi tinggi 250 cc, transmisi enam-kelajuan manual twist-shift 2015 akan dipamerkan sekali lagi di Cologne, Jerman tahun ini.

    “Kami juga sedang membina skuter konsep 400 cc dan berharap ianya akan siap menjelang 2018,” kata Melici lagi. Sanderson menambah, “enjin 200 cc penyejukkan cecair juga sedang dalam pembinaan, dan dijangka akan bersedia untuk diuji sedikit masa lagi.” Sanderson dan Melici mempunyai sejarah yang lama dalam skuter berprestasi dan perlumbaan skuter selama beberapa dekad, dengan Sanderson terlibat secara langsung dalam pembinaan skuter berenjin RD350LC YPVS pada era 80’an.

    2016-Scomadi-Turismo-Leggera-TL125-WM-14_BM

    Direka oleh Sanderson dan Melici dan di buat di China dan Taiwan, Scomadi untuk pasaran Malaysia di pasang di kilang yang terletak di Tampoi, Johor. Jenama tersebut sedang dalam perancangan yang agresif untuk meluaskan pasaran mereka dengan memfokuskan pada pasaran terbesar skuter di dunia iaitu Asia Tenggara. Ini telah dibuktikan pada penerimaan Turismo Leggara TL125 dalam pasaran yang sangat memeranjatkan Sanderson dan Melici.

    Skuter mesra-lesen memandu di UK ini telah meraih popularitinya di sana, dengan lebih 1,000 unit dijual pada operasi enam bulan pertama mereka. Scomadi telah menjual antara 5,000 ke 6,000 unit skuter di seluruh dunia, dan menyaksikan 600 unit Turismo Leggera dijual di Malaysia sejak November 2015.

    Scomadi Turismo Leggera TL125 hadir dengan dua varian iaitu Standard dan SE. Varian Standard dijual pada harga RM9,095 termasuk GST dengan pilihan warna Magma Red, Onyx Black, Ocean Blue dan Ocean Blue/Magma Red. Varian SE pula dijual pada harga RM9,625 termasuk GST dengan pilihan warna Matte Grey dan Chorme edisi terhad.

     
     
  • Volkswagen sebar imej konsep SUV “teknologi tinggi”

    Volkswagen-high-tech-SUV-concept-Bejing-02

    Volkswagen dijadualkan akan mempertontonkan model konsep SUV “berteknologi tinggi” di Beijing Motor Show pada 25 April ini. Malah syarikat ini telah mula menyebarkan imej pengenalan model konsep SUV bersaiz besar ini dan ia digambarkan sebagai “salah satu SUV mewah yang paling berteknologi tinggi dalam dunia”.

    Menerusi imej yang disebarkan, terpapar jaluran LED merintangi bahagian gril. Di bawahnya terdapat satu lagi set LED, seakan sama dengan model konsep Volkswagen T-Cross Breeze, berbentuk-C. Kenderaan ini kelihatan memiliki lekuk garisan di kesemua sudut, dan membayangkan umpama sebuah SUV yang sporty. Pada bahagian belakangnya, lampu belakang terletak dalam bentuk OLED (Organic Light Emitting Diode)

    Tiada foto ruang dalaman yang disebarkan. Namun Volkswagen berkata model konsep SUV ini turut mengetengahkan Paparan Info Aktif yang digabungkan dengan sistem hiburan. Ia agak sama dengan kokpit maya digital 12.3-inci dalam Audi, malah turut dilengkapi dengan kluster instrumen sepenuhnya. Malah paparan ini juga telah disahkan bakal berada di dalam Volkswagen Golf facelift akan datang.

    Malah Volkswagen turut berkata ruangan dalaman konsep SUV ini menggunakan bentangan gaya ala-lounge dengan memfokuskan operasi elektronik. Malah ia turut mengesahkan bahawa SUV ini mungkin akan mengetengahkan teknologi pemanduan sendiri (autonomous).

    Sumber kuasa utama model konsep SUV ini juga membuatkan ia dijangka sebagai kenderaan plug-in hybrid. Walau pun spesifikasinya masih belum didedah sepenuhnya, namun SUV ini turut dikatakan mampu menghamburkan gabungan kuasa 376 hp dan tork 699 Nm. Malah ia juga dikatakan boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya enam saat dan mampu mencapai kuasa maksimum sehingga 223 km/j.

    Selain itu Volkswagen turut mendakwa SUV ini dijangka menggunakan bahan api sekitar 3.6 liter per 100 km dengan gabungan New European Driving Cycle (NEDC). Ia juga boleh dipacu dengan menggunakan kuasa elektrik sahaja. Malah syarikat ini turut mendakwa dengan cas penuh kuasa elektrik mampu memacu SUV ini sehingga 50 km.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025