Walaupun masih belum menjual sebarang model dengan teknologi elektrifikasi, Perodua sudah pun mensasarkan untuk memegang 20% bahagian pasaran kenderaan elektrik (EV) dan hibrid dalam pasaran kereta baharu Malaysia menjelang 2030.
Menurut presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dalam laporan Bernama, sasaran itu mungkin boleh dicapai “jika semua pemain industri boleh bekerjasama.”
“Kami bekerjasama dengan kerajaan dan rakan kongsi yang lain. Kami juga telah dilantik dalam pelan perindustrian baharu untuk menerajui pembangunan EV di Malaysia.
“Kita perlu menghasilkan produk baharu. Kita belum memuktamadkan masa pengeluarannya, tetapi sasaran yang diberikan oleh kerajaan — 20 peratus menjelang 2025 atau 2030 — akan menjadi kenyataan jika semua pihak memberi kerjasama,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum kerjasama (MoC) di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) selasa lalu.
Menurutnya keseluruhan ekosistem EV ini akan melibatkan pelaburan yang besar dan berharap syarikat-syarikat lain akan dapat membantu mencapai sasaran kerajaan, salah satunya ialah untuk membina 10,000 stesen pengecasan di seluruh negara.
Minggu lalu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan sedang berusaha membina infrastruktur yang diperlukan sebagai sebahagian daripada sasarannya untuk menjadikan EV dan hibrid menyumbang 20 peratus daripada jualan kereta baharu menjelang 2030; 50 peratus menjelang 2040 dan 80 peratus menjelang 2050.
Bagi Perodua, model hibrid pertamanya (tidak termasuk Ativa Hybrid yang sebenarnya adalah Rocky Hybrid yang diimport dari Jepun dan ditawarkan hanya dalam program langganan) mungkin bakal dilancarkan tahun hadapan.
Teknologi berkenaan dijangka akan diperkenalkan menerusi SUV segmen-B yang kini hanya dikenali dengan kod projek D66B, dikhabarkan merupakan kembar kepada Toyota Yaris Cross yang kini sudah pun dilancarkan di Indonesia dan Thailand.
Yaris Cross dibina berdasarkan platform Daihatsu New Global Architecure (DNGA) dengan saiz hampir sama seperti Honda HR-V dan Proton X50. Untuk pasaran Thailand ia hanya hadir dalam versi petrol hibrid yang mampu mencapai penggunaan bahan api serendah 26.3 km/l.
Manakala untuk pasaran Indonesia, selain dari versi hibrid ia turut ditawarkan dalam versi petrol penuh dengan enjin 1.5L 2NR-VE DOHC Dual VVT-i 1.5 liter empat-silinder NA yang sama seperti pada Toyota Vios, Perodua Myvi dan Alza.
Selepas Chery Omoda 5 dilancarkan di Malaysia Julai lalu, tak lama lagi versi elektrik penuh (EV) untuk SUV segmen-B ini iaitu Chery Omoda E5 turut akan dilancarkan ke pasaran tempatan. Sebelum ia dijual secara rasmi, Chery Malaysia terlebih dahulu membuat sesi pra-tonton untuk media tempatan hari ini.
Unit yang didedahkan ini sudah lengkap dalam versi pemanduan sebelah kanan, manakala spesifikasinya pula adalah sangat hampir dengan spesifikasi sebenar model pasaran Malaysia kelak. Namun ia masih dalam versi pra-produksi (perhatikan panel-panel plastik yang masih tidak mempunyai tekstur) dihasilkan hanya dua unit, di mana satu lagi telah dipinjamkan kepada Kementeri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI).
Tidak seperti pasaran Indonesia yang menerima Omoda E5 ini dalam versi pemasangan tempatan, kita di Malaysia akan menerima unit yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China. Ia dijangka akan dilancarkan di sini pada suku pertama 2024.
Omoda E5 ini masih menggunakan platform yang sama dengan Omoda 5 petrol. Selain dari unit rangkaian kuasa yang sepenuhnya berbeza, Omoda E5 ini juga diberi beberapa perincian dan rekaan khusus yang lebih sesuai untuk sebuah EV.
Perbezaan paling ketara pada bahagian luaran adalah pada bahagian mukanya. Model ini tidak diberikan gril utama ikonik seperti Omoda 5 kerana ia tidak memerlukan unit radiator, digantikan dengan hanya satu bar hitam berkilat yang bersambung dengan kemasan lampu nyalaan siang.
Bahagian yang kini kelihatan lebih kemas dan ringkas berkenaan menempatkan soket plag untuk mengecas SUV EV ini, disorokkan dengan penutup pada bahagian tengah muka. Namun ia masih diberikan liang udara dengan penutup aktif pada bahagian bampar yang tertutup dalam keadaan biasa bagi meminimakan kesan seretan udara, dan dibuka secara automatik bagi menyejukkan motor elektrik ketika ia dipandu laju.
Omoda E5 ini juga diberikan set rim aloi 18-inci dengan rekaan yang lebih tertutup dan aerodinamik, serta rekaan diffuser bawah bampar belakang yang lebih ringkas tanpa perumah untuk tip ekzos.
Pada bahagian kabin pula rekaan yang jelas berbeza adalah pada bahagian konsol terowong, di mana model EV Omoda E5 ini tidak menampilkan tombol gear konvensional, membolehkan bahagian tersebut diberikan ruang storan lebih banyak dan nampak lebih ringkas.
Manakala untuk memilih bergerak ke hadapan, mengundur atau parkir, pemandu disediakan dengan suis tangkai yang diletakkan pada konsol stereng ala-tuil gear Mercedes-Benz. Selain itu ia diberikan upholsteri kulit hitam serta skrin berkembar masing-masing bersaiz 12.3-inci untuk paparan instrumen digital dan skrin infotainmen, dikuasakan dengan Qualcomm 8155 system on chip (SoC).
Dan satu perincian yang agak menarik, Omoda E5 ini tidak diberikan butang pemula seperti butang penghidup enjin pada model Omoda 5 – pemandu hanya perlu meletakkan kunci dalan poket, tekan pedal brek dan SUV ini sudah boleh dipandu. Selesai memandu, pemandu hanya perlu meletakkan gear pada posisi ‘P’ dan terus keluar dari kenderaan.
Enjin dan kotak gear Omoda 5 diganti dengan motor elektrik tunggal berkuasa 201 hp dan tork maksima 340 Nm. Menurut Chery, motor berkenaan direka lebih kompak bagi memberikan ruang frunk yang lebih besar pada but hadapan, dan ia disejukkan oleh minyak.
Motor berkenaan hanya memacu roda hadapan bagi membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat. Manakala untuk menggerakkan motor berkenaan Omoda E5 diberikan bateri lithium logam fosfat berkapasiti 61 kWj. Ini membolehkan SUV ini bergerak sejauh 430 km dalam kitaran ujian WLTP serta menggunakan kuasa 14.5 kWj untuk perjalanan 100 km.
Bateri tersebut boleh dicas dengan sistem AC 9.9 kW atau pengecas pantas DC80 kW yang boleh memenuhkan kuasa dari 0-85% dalam masa 35 minit. Ia juga boleh berfungsi sebagai “powerbank bergerak” untuk membolehkan pelbagai peralatan elektrik beropersi menerusi sistem V2L 3.3 kW.
Omoda E5 ini menampilkan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang sama dengan Omoda 5. Jadi ia dilengkapi dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik dengan amaran pelanggaran hadapan, amaran dan pengelak keluar lorong, cruise control adaptif dan pelbagai lagi. Penambahan pada model EV ini hanyalah sistem pemantau pemandu yang tidak diberikan pada model petrol.
Tiada sebarang petunjuk harga diberikan oleh pihak Chery Malaysia, namun kami menjangkakan ia mungkin diletakkan sebagai pencabar untuk BYD Atto 3 serta mungkin dijual dengan harga sedikit rendah. Untuk konteks, BYD Atto 3 dijual pada harga RM149,800 untuk varian asas Standard Range dengan bateri 49.92 kWj (345 km WLTP) dan RM167,800 untuk varian Extended Range dengan bateri 60.48 kWj (420 km WLTP).
Dari segi saiz Omoda E5 ini adalah sedikit kecil dengan dimensi 4,400 mm panjang, 1,830 mm lebar, 1,590 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,630 mm, berbanding Atto 3 dengan dimensi 4,455 mm panjang, 1,875 mm lebar, 1,615 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,720 mm.
Dari segi unit rangkaian kuasa pula, Omoda E5 ini menampilkan tork lebih besar (340 Nm vs 310 Nm) tetapi dengan kuasa 204 PS (201 hp atau 165 kW). Atto 3 ER mampu memecut dari pegun hingga 100 km dalam masa 0.3 lebih cepat, tetapi Omoda E5 boleh bergerak 10 km lebih jauh dengan kapasiti bateri sedikit lebih besar.
Untuk mengecas pula, input AC untuk Omoda E5 adalah lebih besar pada 9.9 kW berbanding 7 kW pada Atto 3 ER. Manakala untuk DC pula kedua-duanya adalah sama dengan input maksima 80 kW. Jadi apa pendapat anda? Adakah anda rasa Omoda E5 ini boleh “bersepah” di atas jalan raya seperti BYD Atto 3 buat masa sekarang?
Kementerian Kewangan (MoF) memutuskan untuk terus mengekalkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel bagi minggu bertarikh 30 November hingga 6 Disember 2023.
Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter pada 20 September lalu.
Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.
Pada 27 November lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, memaklumkan bahawa kerajaan bersedia untuk memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar bagi petrol RON 95 pada separuh kedua 2024. Rafizi turut berkata, kerajaan mengambil masa untuk melaksanakan program subsidi bersasar bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar. “Adalah dijangkakan akan ada ketidakpuasan dan masalah sebaik ia dilaksanakan, tetapi kerajaan tidak akan membuat pusingan ‘U’ apabila ia dilaksanakan,” katanya.
Tesla Malaysia kini mula menyerahkan Tesla Model 3 Highland facelift di ibu pejabatnya di Cyberjaya hari ini. Dalam sesi pagi tadi juga syarikat itu mengumumkan pembukaan pusat servis pertamanya, yang terletak di banguna berasingan di lokasi yang sama, di Persiaran APEC.
Pusat servis dengan keluasan 22,000 kaki persegi itu akan menyediakan pengalaman servis sehenti untuk pemilik Tesla, termasuk dengan sokongan diagnosis jarak jauh over-the-air (OTA) dan talian pelanggan 24/7. Pemilik boleh membuat tempahan temujanji melalui aplikasi Tesla.
Dibuka setiap Isnin hingga Jumaat, dari 9 pagi hingga 6 petang, kemudahan ini mempunyai 10 ruang servis. Menurut syarikat itu lagi, setiap juruteknik boleh melakukan servis ke atas sebuah kereta setiap jam, menjadikan lapan kereta sehari untuk setiap juruteknik, dengan kapasiti servis maksimum sebanyak 80 kereta sehari.
Ketika ini, terdapat enam juruteknik bertugas di sana, dan jumlah itu akan ditambah lagi nanti. Pusat servis ini juga menempatkat empat Supercharger 250 kW V3 dan tiga Wall Connector AC, sebagai tambahan kepada 12 Supercharger dan 12 Wall Connector yang disediakan di bangunan utama, yang hanya untuk tujuan kegunaan dalaman syarikat sahaja.
Untuk kenderaan Tesla yang diimport secara persendirian dan bukan melalui saluran rasmi, Tesla Malaysia memaklumkan unit berkenaan tidak boleh dibawa untuk servis di kemudahan berkenaan, memandangkan jaminan adalah tertakluk kepada di mana lokasi kereta berkenaan didaftarkan.
Syarikat itu juga mengumumkan bahawa pihaknya akan melancarkan bengkel baik pulih badan kenderaan Tesla yang diiktiraf, tidak lama lagi, dan akan membuat pengumuman apabila kemudahan pertama tersebut yang akan terletak di kawasan Sungai Besi, sedia untuk beroperasi.
Anda ada kira perbelanjaan petrol bulanan anda? Menurut timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kumpulan B40 membelanjakan secara puratanya RM243 sebulan untuk RON95 manakala T20 pula RM399 sebulan.
Zahid memetik satu kajian berkenaan impak program subsidi petrol, dan ucapan beliau dibaca oleh pemangku menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali semasa pelancaran acara Symposium on Cost of Living semalam, seperti yang dilaporkan oleh NST.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata, meskipun subsidi bahan api telah membantu menstabilkan harga, memastikan bekalan yang berterusan serta memudahkan perbelanjaan rakyat, sebahagian daripadanya telah dinikmati oleh kumpulan berpendapatan tinggi dan bukan warga negara. Disebabkan itu, kerajaan tidak mempunyai sebab untuk meneruskan cara sekarang ini, iaitu subsidi menyeluruh (atau blanket).
“Hasil kajian ini menunjukkan cara subsidi menyeluruh ini tidak menjangkau kumpulan sasaran yang sepatutnya secara cekap,” kata beliau sambil menambah subsidi diesel turut disalah guna.
“Ia telah disalah guna oleh kumpulan tertentu, yang mengambil kesempatan terhadap subsidi diesel, membawa kepada penyelewengan dan penyeludupan ke pasaran gelap. Disebabkan itu, kerajaan tidak patut meneruskan cara sekarang dan ia tidak adil bagi kumpulan sasaran yang betul-betul memerlukan bantuan,” tambah beliau sambil menambah bahawa tahun lepas subsidi berjumlah RM91.9 bilion.
“Untuk tahun ini, peruntukan untuk subsidi adalah RM64 bilion, tetapi kerajaan menjangkakan jumlah ini akan mencecah RM80.9 bilion mengikut perbelanjaan sekarang. Senario sekarang tidak optimal secara fiskal, oleh sebab itu kerajaan yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan untuk memperbaiki cara penyampaian bantuan bersasar untuk rakyat,” kata beliau.
Hari ini penyerahan Tesla Model 3 Highland facelift di Malaysia telah bermula, dan pelanggan mula menerima kenderaan baru mereka ibu pejabat Tesla Malaysia di Cyberjaya, dengan lebih lagi penyerahan akan dibuat sepanjang hari ini.
Setakat ini 20 pelanggan telah mengambil EV baru mereka pagi tadi, dan penyerahan seterusnya akan dibuat pada waktu petang dengan keseluruhannya 100 pelanggan dijangka menerima kenderaan mereka hari ini.
Selain daripada itu, Tesla Malaysia juga telah melancarkan Premium Connectivity untuk pasaran kita melalui aplikasi mudah alih Tesla, untuk ciri yang menggunakan data termasuk stream muzik dan media, gambaran trafik langsung serta pelbagai lagi, pada harga RM35.99 sebulan. Untuk 30 hari pertama selepas menerima kenderaan, ia ditawarkan secara percuma.
Servis Premium Connectivity dihubungkan kepada aplikasi Tesla, dan bagi model Tesla yang dibeli melalui saluran tidak rasmi sebelum ini, ia akan dijual dengan harga mengikut pasaran di mana kenderaan tersebut pertama kali didaftarkan. Sebagai contoh, jika kereta tersebut datang daripada United Kingdom, ciri itu akan dijual dalam mata wang pound sterling.
Menurut Tesla Malaysia, pelanggan yang membeli kenderaan melalui Tesla Malaysia juga akan dijemput untuk menyertai Tesla Owners Club Malaysia, yang memberikan pelbagai keistimewaan kepada ahli, sebagai tambahan kepada peluang untuk berhubung dengan komuniti pemilik Tesla lain.
Pemilik Model 3 di Malaysia pada masa ini mempunyai akses kepada empat lokasi Supercharger dan enam lokasi pengecas destinasi. Menurut Tesla Malaysia, kumpulan pengecas baru yang seterusnya akan diberitahu atas talian dalam masa beberapa bulan akan datang, meliputi beberapa negeri.
Tesla Model 3 Highland facelift boleh menerima cas sehingga 250 kW DC bagi versi Long Range AWD, dan menyediakan jarak gerak sehingga 513 km mengikut kitaran WLTP, manakala versi asas RWD boleh menerima sehingga 170 kW DC dan memberi jarak gerak sehingga 629 km (WLTP).
Ketika pelancaran sedan segmen-C S70 semalam, Proton mendedahkan ia telah menerima 1,200 tempahan dari pelanggan untuk membeli model berkenaan setakat ini, dan angka tersebut dijangka bakal meningkat selepas harga rasminya diumumkan.
Proton S70 ditawarkan dalam empat varian bermula dengan varian asas 1.5T Executive dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM73,800, diikuti 1.5T Premium berharga RM79,800, Flagship berharga RM89,800, dan varian paling tinggi Flagship X dijual pada harga RM94,800.
Proton mensasarkan tempahan akan meningkat sehingga 5,000 unit menjelang akhir tahun ini dengan jangkaan 40% daripadanya dari varian Premium, 40% varian Flagship dan 40% varian Flagship X. Proton turut menjangkakan ramai pelanggan yang telah menempah varian lebih rendah sebelum ini akan bertukar ke Flagship X kerana harga yang diumum adalah lebih rendah dari jangkaan serta ditawarkan dengan kit badan percuma.
Antaranya enjin 1.5L NA dan kotak gear CVT yang digantikan dengan enjin 1.5L tiga-silinder turbo yang lebih berkuasa dan transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang lebih responsif, ruang kabin yang lebih sesuai untuk pasaran Malaysia, talaan suspensi “Proton Ride Handling”, kelengkapan keselamatan lebih canggih dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dan pelbagai lagi.
Untuk perincian lebih lengkap anda bolah baca laporan pelancaran Proton S70 ini pada PAUTAN INI. Kami turut sudah menguji sedan ini di litar ujian Proton tiga minggu sebelum pelancarannya, di mana ulasannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.
Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri, kedua-duanya dari Sarawak, yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.
Siri plat nombor QD, bakal dibuka bidaan 2 Disember 2023. Diberikan tempoh bidaan selama empat hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 6 Disember ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 7 Disember 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.
Manakala bagi siri nombor pendaftaran QBG, bidaannya pula bakal dibuka mulai 3 Disember ini dan akan berakhir jam 10 malam pada 7 Disember 2023. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 8 Disember 2023.
Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.
Proton menjangkakan sedan S70 yang baru dilancarkan semalam akan terjual melebihi SUV X50. Perkara ini dikongsikan oleh Timbalan Presiden Jualan, Edmund Lim dalam sidang media di selepas pelancarannya semalam. Ini sesuatu yang mencabar, memandangkan SUV lebih popular dalam pasaran tempatan ketika ini.
Beliau menjelaskan yang jualan SUV segmen B itu ketika ini sekitar 2,000 unit sebulan, sementara sasaran untuk S70 — yang berkongsi platform BMA dan enjin 1.5L MPI Turbo dengan X50 — adalah antara 2,000 hingga 3,000 unit sebulan. Jika berhasil, S70 akan mengatasi X50 untuk menjadi model paling laris Proton selepas Saga.
Dengan Honda City yang ketika ini purata jualannya sebulan sekitar 2,400 unit untuk sedan segmen B, agak mencabar untuk S70 mengambil alih tampuk pendahulu tersebut. Namun, dengan penawaran harga antara RM73,800-RM94,800, ia mungkin menjadi faktor pilihan bagi lebih ramai pelanggan, sekaligus melonjakkan lagi angka jualannya untuk mengatasi City dan Vios.
Namun, jika dilihat dari sudut jualan segmen C, S70 sudah pasti mampu berada teratas. Dengan jualan 2,000 sebulan, S70 bahkan akan mengatasi jualan Civic berkali ganda, kerana harganya yang bersaing sama kelas dengan City. Hal ini sama saja dan pernah kita lihat dilakukan terhadap X70 — saiz bersaing dengan CR-V, tetapi harga sekolompok dengan HR-V.
Proton S70 ditawarkan dalam empat varian — Executive, Premium, Flagship dan Flagship X. Varian paling asasnya tampil cukup meyakinkan, dengan harga yang memberi nilai terbaik kepadanya dengan angka RM73,800. Premium pula dijual pada harga RM79,800, manakala Flagship pada harga RM89,800. Flaghsip X hanya melibatkan pertambahan sedikit dengan RM94,800.
Setiap kali Proton melancarkan model baharu, pasti saja ada soalan sinis bertanyakan bagaimana dengan bekalan alat ganti. Untuk Proton S70 yang baru dilancarkan semalam, Proton menyatakan kali ini mereka lebih bersedia dengan pelbagai langkah bagi memastikan bekalan alat ganti sentiasa tersedia.
Menurut pengarah selepas jualan Proton Wan Hazran Wan Mustafa, bagi memperbaiki bekalan komponen alat ganti dan kapasiti gudang simpanannya, Proton telah membuka satu pusat alat ganti serantau di Kuching, Sarawak serta membesarkan lagi gudang alat ganti bahagian tengah Malaysia.
Malah pihaknya juga kini sudah menyelaraskan proses pesanan untuk penghantaran dari luar negara bagi mengekalkan stok lebih besar bagi komponen-komponen kritikal untuk membolehkan proses baik pulih dibuat dengan lebih cepat.
Selain dari itu, Proton juga kini telah melancarkan program Kecemerlangan Operasi Proton (POE) bagi menambah baik kebolehan pengurusan operasi pengedar-pengedarnya di seluruh negara. Program berkenaan difokuskan kepada enam bahagian iaitu prestasi, kepuasan pelanggan, pengurusan alat ganti, pengurusan pelanggan, pengurusan tenaga kerja dan pematuhan.
“Menerusi platform ini pengedar-pengedar akan dinilai bagi memberikan tahap kepuasan pelanggan terbaik. Jadi ini telah menjadi cabaran buat kami untuk memberikan komitmen terbaik kami menerusi kebolehan kami bagi mengenalpasti setiap halangan secara betul dan profesional.
“Jadi dalam hal ini suka untuk saya katakan servis selepas jualan kami kini lebih baik terutamanya berkenaan persoalan bekalan alat ganti dan setakat ini saya percaya kami tidak mempunyai masalah yang banyak untuk aspek ketersediaan alat ganti. Jadi ini komitmen kami untuk semua pelanggan Proton bahawa kami kini sedang menambah baik servis selepas jualan kami untuk menjadi yang terbaik,” tegas Wan Hazran lagi.
Tambahnya lagi program ini akan memberikan rating seperti yang digunakan seperti pada Google Rating atau sistem rating seperti yang digunakan oleh hotel-hotel, dan pengedarnya akan cuba mendapatkan rating penuh sebanyak lima bintang.
Manakala CEO Proton, Dr Li Chunrong pula menyatakan beliau memberikan KPI setahun lebih awal kepada Wan Hazran bagi membolehkan tahap servis selepas jualan Proton meningkat dengan lebih cepat. Ini kerana beliau percaya untuk menjadi jenama automotif nombor satu di Malaysia, kualiti servis selepas jualan perlu dipertingkat terlebih dahulu.
Chery telah menyuarakan hasrat untuk melabur lebih RM1 bilion di Malaysia, dedah Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menerusi laman Facebook rasminya selepas mengadakan pertemuan dengan pengerusi Chery, Yin Tong Yue di ibu pejabat MITI semalam.
Menteri MITI itu turut berkata sejak Chery Automobile memasuki pasaran negara tahun lalu menerusi anak syarikatnya di Malaysia, Chery Corporate Malaysia Sdn. Bhd. (CCM), lebih 600 pekerjaan diwujudkan untuk rakyat tempatan. Tambahnya, pelaburan Chery ini juga akan menyokong misi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030) dalam mengusahakan EV buatan tempatan (CKD).
Buat masa ini, Chery masih belum menjual EV di Malaysia secara rasmi, tetapi bakal memperkenalkan Omoda E5, yang merupakan model import sepenuhnya (CBU). Jika menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Zafrul, adakah ini bermakna Omoda E5 bakal dikeluarkan secara pemasangan tempatan di sini, seperti mana yang ditawarkan di pasaran Indonesia? Kita perlu tunggu dan lihat.
Dalam pertemuan semalam, Yin turut menyerahkan Omoda E5 kepada Zafrul untuk dipandu uji. “Malaysia merupakan bahagian penting dalam strategi global Chery. Kilang CKD yang bakal dilaburkan di sini bukan sahaja akan meliputi pasaran tempatan Malaysia tetapi juga akan diperluaskan ke seluruh rantau Asia Tenggara, menjadi kubu kuat untuk pasukan baharu memasuki Asia Tenggara pada masa hadapan,” kata Yin.
Puspakom Sdn Bhd mendedahkan sebanyak 20.3% daripada lebih 1.4 juta kenderaan yang diperiksanya pada tahun lalu tidak melepasi pemeriksaan berkala. Antara penyebabnya ialah isu brek, gelincir sisi, pelepasan asap, bahagian atas dan bawah kenderaan serta sistem suspensi kenderaan yang gagal melepasi pemeriksaan berkala tersebut.
“Pada 2022, statistik menunjukkan bahawa sebanyak 20.3% daripada lebih 1.4 juta kenderaan yang diperiksa tidak melepasi pemeriksaan berkala di Puspakom atas pelbagai sebab. Dari jumlah itu, kira-kira 296,000 buah kenderaan dapat dihindarkan dari berada di atas jalan raya untuk memastikan keselamatan awam.
“Ini terbukti dengan kejayaan pemeriksaan serta kepentingan dalam mencegah potensi kemalangan yang mungkin membawa kepada kemalangan jalan raya dan kematian,” kata CEO Puspakom Mahmood Razak Bahman ketika berucap dalam Persidangan Kumpulan Penasihat Serantau CITA di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah beliau, penekanan ini menyerlahkan dedikasi Puspakom terhadap kecemerlangan dalam perkhidmatan. Selain itu, katanya, peningkatan ketara dalam kecekapan dengan purata masa pemeriksaan kenderaan dapat dikurangkan kepada 37 minit, berbanding 60 minit direkodkan beberapa tahun lalu.
“Memandangkan teknologi dan Kecerdasan Buatan semakin digunakan secara meluas, prestasi tersebut boleh dipertingkatkan lagi tanpa menjejaskan kualiti pemeriksaan,”katanya lagi.
Persidangan Kumpulan Penasihat Serantau CITA (RAG) yang diadakan di sini bertujuan untuk menekankan kepentingan usaha kolaboratif dalam menangani cabaran keselamatan jalan raya dan pelepasan asap dalam skala global. Puspakom antara 30 ahli daripada Jawatankuasa Pemeriksaan Kenderaan Bermotor Antarabangsa (CITA) yang mewakili 11 negara yang menyertai persidangan tersebut.
Mahmood turut berkata beliau menekankan komitmen syarikat selama tiga dekad terhadap kesaksamaan tanpa memihak dalam menjalankan pemeriksaan kenderaan secara bebas.
“Pada asasnya, setiap hari apa yang dilakukan oleh Puspakom dan ahli-ahlinya adalah bagi memastikan kenderaan yang selamat dan layak berada di atas jalan raya, yang bermaksud kami sedang melindungi pengguna jalan raya di Malaysia. Selama hampir 30 tahun Puspakom berpegang kepada prinsip ini. Ia adalah selari dengan misi dan tema CITA dalam persidangan ini”, katanya.
Akhirnya selepas pelbagai maklumat berkaitan model sedan terbaru Proton mula keluar dan didedahkan oleh pengeluarnya, model Proton S70 2024 hari ini diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Dan itu bermakna, yang ditunggu-tunggu hanyalah pengesahan bagi harga jualan empat variannya.
Proton S70 ditawarkan dalam empat varian dengan harga seperti berikut — Executive (RM73,800), Premium (RM79,800), Flagship (RM89,800) dan Flagship X (RM94,800) — harga atas jalan tidak termasuk insurans. Beza bagi varian ‘X’ adalah ia melibatkan tambahan ciri sunroof dan juga pilihan warna eksklusif Quartz Black, itu sahaja. Tiada lagi varian Standard seperti model lain Proton ditawarkan.
Telah banyak yang kita tahu tentang Proton S70. Antara yang utama adalah ia menggunakan asas daripada model Geely Emgrand (dengan banyak perubahan dilakukan untuk S70) dan bakal menggantikan model Proton Preve dalam pasaran tempatan. Sama juga seperti Preve sebelum ini, Proton memposisikan S70 sebagai sedan untuk berada dalam segmen C — dan bersaing antaranya dengan Toyota Corolla Altis dan Honda Civic. Tetapi harganya pula berada dalam kategori kenderaan segmen B — seperti Honda City dan Toyota Vios.
Merujuk risalah rasminya, Proton S70 mempunyai ukuran 4,602 mm panjang, 1,809 mm lebar, dengan jarak antara roda 2,627 mm. Ini sebenarnya lebih kecil berbanding ukuran Geely Emgrand, yang kami gunakan untuk perbandingan dalam artikel-artikel sebelum ini. Dengan angka rasmi dari Proton ini, S70 hanya 13 mm lebih panjang dari Honda City RS, dengan 61 mm lebih lebar juga.
Untuk jarak antara roda, model Proton ini 27 mm lebih panjang. S70 juga lebih panjang dan lebih lebar berbanding Preve dan Inspira, dua model segmen C Proton sebelum ini. Proton juga menyatakan, S70 mengikut jejak penawaran Wira, Waja dan Preve. Disebabkan faktor inilah Proton memposisikannya dalam segmen C. Kami membincangkan hal ini secara khusus di sini. Ambil maklum juga tentang perbezaan ukuran dimensi terbaru yang rasmi seperti dikongsi oleh Proton.
Untuk enjin, jika Geely Emgrand menggunakan unit enjin 1.5 liter NA, Proton S70 pula dilengkapi dengan enjin turbo unit 1.5 liter tiga-silinder yang turut digunakan untuk X50 Standard dan Premium, dan bukannya unit 1.5 liter TGDi dengan janaan 177 PS/255 Nm yang digunakan untuk X50 Flagship dan X70 MC.
Sama seperti varian X50 selain Flagship, unit enjin 1.5L PFI tersebut menjana sejumlah 150 PS/226 Nm output untuk Proton S70 juga. Sekadar perbandingan, Civic dengan enjin 1.5 liter empat-silinder VTEC turbo menghasilkan kuasa sebanyak 182 PS dan 240 Nm — 32 PS dan 14 Nm lebih tinggi berbanding Proton S70.
Enjin 1.5 liter turbo PFI tersebut tentunya dipasang di Tanjung Malim, Perak, sejak untuk kegunaan SUV X50 lagi. Kini dilanjutkan penggunaannya bagi sedan Proton S70 ini. Sedangkan, enjin 1.5L NA oleh Geely yang digunakan untuk Emgrand pasaran luar pula belum pernah digunakan oleh mana-mana model Proton.
Disebabkan itu jugalah, pemilihan enjin turbo berkenaan boleh dijangka dan merupakan pilihan paling praktikal dari aspek skala ekonomi dan akan memudahkan Proton untuk merencanakan pengeluarannya di sini. Sistem janaan kuasa bagi S70 ini digandingkan pula dengan transmisi klac basah DCT tujuh-kelajuan (7DCT), yang juga sudah pernah digunakan untuk model Proton sebelum ini.
Ruang dalaman Proton S70 juga kelihatan sedikit lebih premium berbanding dengan model Emgrand yang dijual di pasaran Filipina dan juga bahkan di China. Sebagai contoh, tombol gear S70 lebih pendek dengan permukaan sentuhan yang luas, sama seperti yang digunakan untuk model X90, yang tentunya nampak lebih premium.
Lain-lain bahagian yang dikongsi dengan model Proton yang lain termasuklah roda stering yang sama dengan X50. Banyak bahagian dalaman sedan ini juga diberikan material sentuhan lembut, dengan adanya juga corak permukaan yang diilhamkan dari corak songket — terutamanya di bahagian papan pemuka dan perehat lengan di pintu.
Aspek pemanduan dan kendalian juga menurut Proton telah banyak penambahbaikan dilakukan terhadap Proton S70 berbanding Emgrand: S70 ditala dan disesuaikan untuk penggunaan di jalan raya Malaysia, dengan menjadikannya lebih dinamik untuk kawalan yang lebih baik dari segi pemanduan lebih tangkas, dan bukannya dengan tetapan lembut untuk keselesaan maksimum seperti yang diberikan di pasaran lain.
Selain itu, Proton S70 juga hadir dengan tiga mod pemanduan: Eco, Sport dan Comfort. Skrinnya juga dilengkapi dengan saiz 10.3-inci untuk paparan kombinasi meternya, sementara untuk infotainmen ia menerima skrin sentuh bersaiz 12.3-inci — dengan sistem yang hadir bersama kapasiti storan 64 GB serta 6 GB memori.
Semua varian menggunakakn sistem janaan 1.5T 7DCT yang sama, hadir dengan enam beg udara, bantuan menukar lorong dan brek parkir elektronik. Varian Executive datang dengan kerusi balutan fabrik, lampu halogen, rim 16-inci dan head unit 8.0-inci. Untuk mendapatkan lampu LED (projektor) dan lampu belakang LED, pelanggan perlu memilih varian Premium, yang juga datang dengan kemasan balutan kulit buatan, kawalan pendingin automatik dan kamera undur.
Untuk sistem bantuan pemandu ADAS pula hanya diberikan untuk varian Flagship ke atas. Ciri seperti AEB dengan amaran perlanggaran depan, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, amaran penukaran lorong dengan penghindaran, kawalan ke tengah lorong, maklumat papan tanda trafik, kawalan lampu tinggi pintar, amaran titik buta, amaran membuka pintu, amaran perlanggaran belakang dan amaran lintasan trafik belakang.
Varian Flagship juga datang dengan sistem peninjau tekanan tayar, rim aloi 17-inci, dua skrin kokpit (10.3-inci untuk meter, 12.3-inci untuk infotainmen), pengecas tanpa wayar, kerusi pemandu larasan kuasa dan kamera keliling dengan paparan 3D.
Pilihan warna untuk Flagship X pula ada juga Snow White, Space Grey, Marine Blue dan Teal Bayou Green. Lain-lain warna yang ada, bergantung kepada varian ialah Quartz Black, Passion Red dan Armour Silver.
Perincian perbezaan spesifikasi bagi setiap varian adalah seperti berikut:
Proton S70 2024 Executive — RM73,800
Kelengkapan standard: Mekanikal
Enjin 1.5 liter DOHC MPI turbocas tiga-silinder
150 PS pada 5,500 rpm, 226 Nm pada 1,750 hingga 4,000 rpm
Transmisi automatik 7-kelajuan klac basah berkembar dengan mod manual
Aplikasi Proton Link dengan status kenderaan, kawalan jauh
Pengecas tanpa wayar
Enam pembesar suara
Keselamatan
AEB
Amaran perlanggaran depan
Kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go
Kawalan melayar pintar
Amaran menukar lorong
Penghindaran menukar lorong
Kawalan ke tengah lorong
Maklmat papan tanda trafik
Lampu tinggi automatik
Sistem peninjau tekanan tayar
Kamera keliling dengan paparan 3D
Proton S70 2024 Flagship X — RM94,800
Tambahan: Luaran
Sunroof
Keselamatan
Dashcam depan
Ketika pelancarannya, Proton S70 didatangkan dengan pakej standard yang terdiri daripada jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, pakej data 1GB sebulan untuk lima-tahun (bagi varian Flagship/Flagship X), enam kali caj buruh percuma untuk servis, kadar faedah pembiayaan dari 2.34% setahun serta program insurans Proton.
Selain itu, ada pakej khusus untuk pembeli terawal Proton S70, terhad untuk 3,000 pembeli pertama sahaja. Ini termasuklah aksesori bodykit percuma bernilai RM3,130 (untuk varian Flagship sahaja), baucar servis bernilai RM500 (untuk Premium dan Flagship sahaja) dan program insurans Proton yang dipertingkat (pelindungan bencana khas percuma untuk tahun pertama).
Satu lagi pengeluar dari China iaitu Keeway nampaknya juga akan menyertai segmen motosikal adventure yang semakin mendapat sambutan ramai apabila menunjukkan model TX450R sewaktu pameran EICMA.
Walaupun lebih dikenali sebagai pengeluar motosikal ‘mampu milik’, Keeway nampaknya telah meletakkan pelbagai kelengkapan berprestasi pada TX450R termasuk suspensi boleh laras, steering damper, lampu LED penuh serta panel meter TFT.
Sebagai sebuah motosikal yang berkonsepkan rally dan serba lasak, motosikal ini dipasang dengan padanan tayar 21 inci di hadapan, dan 18 inci di belakang, dibalut tayar Pireli RallyCross MT21, ekzos yang tinggi serta tiga tangki bahan api yang secara keseluruhannya boleh menampung 28 liter.
Penggerak TX450R adalah enjin satu silinder 449 cc penyejukan cecair yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 44 hp pada 8,000 rpm dan tork 38 Nm untuk dihantar kepada roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan dan sistem rantai.
Ketika majlis pelancaran sedan segmen-C Proton S70 yang belangsung di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini, pengerusi Proton Datuk Seri Syed Faisal Albar mengesahkan bahawa model pertama Proton yang digerakkan oleh unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya (EV) bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Menurutnya dalam ucapan perasmian acara tersebut sebentar tadi, EV dengan logo Proton akan dapat dipandu dalam tempoh masa sekitar dua tahun dari sekarang.
“Pantun YB bertanyakan kami, apakah EV keluar dua tahun lagi? Teknologi EV kami tengah kemaskini, akan dilancar tak berapa lama lagi,” kata Syed Faisal dalam pantun sebagai membalas pantun yang di’jual’ oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika majlis pelancaran EV smart #1 minggu lalu.
Buat masa sekarang Proton menerusi anak syarikatnya Pro-Net kini menguruskan pengedaran, jualan dan servis lepas jualan EV jenama smart di Malaysia dan bakal menyandang tugas yang sama untuk pasaran Thailand tahun hadapan. Menerusi kerjasama dengan smart Automobile tersebut Proton dapat bersedia untuk menyediakan pelbagai infrastruktur dan sistem termasuk jaringan pusat penegcasan bagi menjual EV di Malaysia sebelum ia menghasilkan EV dengan jenamanya sendiri.
Proton sebelum ini sudah mengumumkan bakal muncul dengan model EV pertamanya pada 2027, namun rancangan tersebut dipercepatkan seawal tahun 2025 selaras dengan komitmen kerajaan yang memberi sokongan kukuh kepada perkembangan EV di Malaysia.
Jenama automotif nasional itu juga menegaskan bahawa model EV pertamanya kelak perlulah memenuhi keperluan pelanggan tanpa berkompromi dari aspek harga mampu milik dan praktikal.