Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jalan Sungai Besi, Bulatan Loke Yew dan Bulatan Pudu ditutup setahun mulai 5 Ogos ini – DBKL

    Jalan Sungai Besi, Bulatan Loke Yew dan Bulatan Pudu ditutup setahun mulai 5 Ogos ini – DBKL

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan bahawa Jalan Sungai Besi menghala ke Sungai Besi atau Petaling Jaya berhadapan Fraser Business Park dan Bulatan Loke Yew akan ditutup selama setahun mulai 5 Ogos 2023. Penutupan jalan terbabit dilaksanakan bagi kelancaran kerja-kerja pengubahsuaian dan pembinaan jambatan di Bulatan Loke Yew dijalankan.

    Selain itu, DBKL turut memaklumkan jalan susur dari Jalan Pudu ke Jalan Yew ditutup kepada semua lalu lintas pada tempoh sama. Ia bagi membolehkan kerja merobohkan jambatan susur dan pembinaan semula jambatan di Bulatan Pudu menghala ke Jalan Sungai Besi (bersebelahan Balai Polis Pudu) dijalankan.

    “Pengguna jalan raya yang melalui kawasan terlibat boleh menggunakan beberapa lencongan trafik yang telah ditetapkan. Malahan laluan alternatif disediakan sepanjang penutupan jalan berkenaan dan pengguna dinasihatkan mematuhi isyarat papan tanda.

    “Patuhi isyarat papan tanda dan arahan polis trafik sebagai panduan serta langkah keselamatan bagi mengelakkan kekeliruan dan sebarang kesulitan,” kata DBKL menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Klik untuk besarkan

    Berikut merupakan lencongan trafik yang disediakan oleh pihak DBKL sepanjang penutupan jalan terbabit:

    • Trafik dari Bulatan Kampung Pandan untuk ke Sungai Besi/ Petaling Jaya akan dilencongkan kepada dua bahagian iaitu melalui jalan bersebelahan Federal Bakery dan memasuki laluan kontra di Lorong bersebelahan.
    • Trafik dari Sungai Besi/ Petaling Jaya untuk ke Bulatan Kampung Pandan akan dilencongkan ke susur kiri melalui Bulatan Loke Yew.
    • Bulatan Loke Yew akan ditutup. Trafik Cheras menghala ke Jalan Loke Yew hanya dibenarkan untuk membuat pusingan U sahaja menghala arah Cheras semula.
    • Laluan alternatif trafik dari Cheras menuju ke Jalan Sungai Besi pula dengan melalui Jalan Chan Sow Lin, Jalan Satu, Jalan Dua dan Jalan Tiga.
    • Untuk trafik yang datang dari Cheras dan menghala ke Jalan Yew pula hendaklah melakukan pusingan U di persimpangan ’flyover’ di Jalan Maharajalela.
    • Laluan sama juga sama untuk trafik yang datang dari Cheras dan menuju ke kawasan persekitaran Jalan Yew.
    • Bulatan Loke Yew akan ditutup. Trafik Jalan Kinabalu menghala ke Jalan Loke Yew dan Jalan Sungai Besi akan dilencongkan ke Jalan Yew menghala ke Bulatan Pudu sahaja.
    • Sebagai laluan alternatif pengguna jalan raya hendaklah melalui pusingan U di SMK (P) Pudu.
    • Bulatan Loke Yew akan ditutup. Laluan trafik Jalan Yew dari Bulatan Kampung Pandan untuk ke Jalan Kinabalu dan Jalan Kuching akan ditutup pada tempoh pembinaan. Laluan alternatif adalah melalui Jalan Kampung Pandan, Jalan Imbi dan Jalan Hang Tuah.
     
     
  • JPJ siar siri 2 kempen panggil balik model kenderaan terlibat; Merc, Ford, Kia, motosikal Yamaha, Honda

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyiarkan siri 2/2023 bagi kempen panggil balik beberapa model kenderaan yang terlibat oleh syarikat pengeluar. Menurut JPJ, untuk siri kali ini, pihaknya menyenaraikan model kenderaan yang terlibat berdasarkan kepada rekod yang diterima. Sebelum ini, JPJ pernah membuat hebahan bagi siri 1/2023 pada April lalu.

    “Terdapat maklumbalas daripada pihak pengeluar kenderaan yang melaksanakan aktiviti Pemanggilan Semula Kenderaan ini (Product Recall) menyatakan bahawa terdapat kesukaran untuk menghubungi pemilik- pemilik kenderaan disebabkan oleh maklumat pemilik tidak dikemaskini. Terdapat juga kenderaan yang telah bertukar hak milik tanpa pemilik terkini mengemaskini maklumat peribadi mereka.

    “Justeru, adalah menjadi tanggungjawab pemilik kenderaan untuk mengemaskini maklumat peribadi di pusat servis kenderaan bertauliah (authorized service centre) bagi kenderaan yang dimiliki dan juga di JPJ bagi memudahkan pemilik dihubungi sekiranya kenderaan mereka terlibat dengan aktiviti Pemanggilan Semula (Product Recall),” kata JPJ.

    Untuk kali ini, jenama kereta yang terlibat ialah Mercedes-Benz, Kia, Ford, dan dua jenama motosikal iaitu Yamaha dan Boon Siew Honda.

    Menurut JPJ lagi, pengabaian terhadap aspek dan tanggungjawab pengemaskinian maklumat oleh pemlik kenderaan akan menyebabkan pemilik tidak dapat dihubungi lantas menyebabkan kenderaan tersebut tidak dapat diperbaiki dengan sewajarnya.

    “Keadaan ini akan meningkatkan risiko kepada pemandu dan juga penumpang kenderaan oleh kerana komponen kenderaan yang tidak dapat berfungsi dengan baik dan sempurna lantas mendedahkan pengguna kepada risiko kemalangan yang sepatutnya boleh dielakkan,” sambung JPJ lagi.

    Dalam industri automotif, terma Product Recall merujuk kepada aktiviti ‘Pemanggilan Semula’ yang dilakukan oleh pihak pengeluar kenderaan apabila terdapat penemuan isu keselamatan atau kecacatan membabitkan komponen/sistem kenderaan yang mungkin meningkatkan risiko keselamatan kepada pemandu, penumpang mahupun pengguna jalan raya yang lain.

    Berdasarkan Seksyen 66 (1)(pp) Akta Pengangkutan Jalan 1987, syarikat pengeluar kenderaan terbabit perlu memaklumkan secara bertulis kepada JPJ untuk sebarang panggilan balik. JPJ akan merekodkan dan memantau perkembangan setiap aktiviti tersebut sehingga kesemua unit bagi model kenderaan yang terlibat dalam aktiviti panggil balik ini selesai diatasi.

    Menurut JPJ, sebarang aktiviti panggil balik di pihak prinsipal pengeluar kenderaan yang berpusat di luar negara yang juga melibatkan model kenderaan yang berada di Malaysia juga perlu dimaklumkan kepada JPJ melalui wakil pengeluar/pengedar kenderaan tersebut yang berpusat di Malaysia. Ini bagi memastikan model kenderaan tersebut melalui aktiviti yang sama (panggil balik) di dalam negara.

     
     
  • Nissan Z Nismo diperkenal – banyak bahagian dipertingkat termasuk enjin, casis, suspensi dan brek

    Nissan Z Nismo diperkenal – banyak bahagian dipertingkat termasuk enjin, casis, suspensi dan brek

    Selepas hampir dua tahun Nissan Z diperkenalkan kepada dunia, kini pengeluar dari Jepun itu mendedahkan pula versi prestasi, Z Nismo yang diberikan lebih kuasa, penggayaan tersendiri serta pelbagai lagi peningkatan lain.

    Walaupun merupakan varian paling tinggi bagi model sports ini, Z Nismo tidak ditawarkan dengan transmisi manual seperti varian Sport dan Performance di bawahnya, dan datang cuma dengan kotak gear automatik sembilan kelajuan, namun klacnya telah dinaik taraf dan boleh memberikan masa tukaran gear lebih laju berbanding varian Performance.

    Nissan juga mendakwa Z Nismo ini mampu menghasilkan pecutan dari henti yang lebih agresif apabila menggunakan Launch Control, dan ia didatangkan dengan mode Sport+ baru sebagai tambahan kepada Normal dan Sport sedia ada. Melalui mod baru ini, program penukaran gear sangat responsif, sehinggakan pemandu tidak perlu menggunakan penukar gear di belakang stereng, meskipun ia sudah tersedia.

    Menjadi penggeraknya adalah enjin V6 3.0 liter twin turbo VR30DDTT yang dapat menghasilkan kuasa sehingga 426 PS (420 hp) pada 6,400 rpm dan tork 521 Nm antara 2,000 hingga 5,200 rpm. Jika dibandingkan dengan varian Sport dan Performance, kuasa Z Nismo ini adalah 20 PS (20 hp) dan 46 Nm lebih tinggi.

    Menurut Nissan, kuasa yang tinggi ini dapat dicapai melalui beberapa peningkatan termasuk pada bahagian penyejukan, kawalan wastegate elektronik untuk memberikan boost lebih tinggi serta pusingan turbin lebih laju, dan juga pemasaan pengapian yang mendapat inspirasi daripada GT-R Nismo.

    Untuk menghentikan kenderaan, brek yang lebih besar digunakan, dengan terdiri daripada cakera 15 inci serta angkup empat piston di hadapan, serta cakera 13.8 inci dengan angkup dua piston di belakang. Selain satu inci lebih besar, cakera brek hadapan Z Nismo juga menggunakan aluminium (varian lain menggunakan cast iron) dan dilengkapi pad yang lebih mencengkam.

    Nissan Z Nismo diperkenal – banyak bahagian dipertingkat termasuk enjin, casis, suspensi dan brek

    Bahagian casis turut dinaik taraf, dengan mendapat pendakap tambahan sebagai penguat, bushing yang lebih keras, stabiliser bar khas, kadar spring yang lebih keras dan besar, penyerap yang ditala semula, serta rim RAYS 19 inci setengah inci lebih besar, dibalut tayar Dunlop SP Sport Maxx GT600 bersaiz 285/35.

    Selain peningkatan prestasi, penampilan Z Nismo turut dijadikan istimewa dengan muncung bampar khas yang 20 mm lebih panjang, gril khas Nismo, lip bawah bampar, spoiler belakang lebih lebar serta rekaan bampar belakang baru.

    Nissan menawarkan Z Nismo dalam lima warna, iaitu Black Diamond Pearl, Brilliant Silver, Passion Red TriCoat, Everest White Pearl TriCoat dan Stealth Grey khas Nismo. Bagi memberikan kontras, bumbung dan rim kereta ini dicat warna hitam.

    Menyambut pemandu di bahagian dalam adalah tempat duduk Recaro khas Z Nismo, yang dibalut gabungan kulit biasa dan Alcantara, stereng balutan Alcantara dengan garis merah di atas, butang pemula enjin dan pemilih mod yang mempunyai kemasan keliling merah serta animasi khas Nismo pada panel instrumen.

    Kelengkapan lain Z Nismo ini sama seperti varian Performance, termasuk sistem infotainmen dengan skrin sesentuh sembilan inci, lapan pembesar suara Bose, pengawal suhu automatik serta sistem bantuan pemandu yang termasuk AEB, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning dan Adaptive Cruise Control.

    Z Nismo datang dengan tempat duduk larasan manual (varian Performance mendapat unit kawalan elektrik), yang mungkin dianggap sebagai usaha meringankan kenderaan. Walaupun begitu, Z Nismo sebenarnya adalah lebih berat berbanding Performance kerana transmisi yang digunakan, dengan mencatat berat keseluruhan 1,680 kg (Performance 1,634 kg). Harga Z Nismo masih belum diumumkan.

     
     
  • Mitsubishi Triton akan terima brek cakera di belakang, kluster digital 12.3-inci pada masa akan datang

    Mitsubishi Triton akan terima brek cakera di belakang, kluster digital 12.3-inci pada masa akan datang

    Mitsubishi Triton generasi baru yang diperkenalkan untuk peringkat global di Thailand minggu lalu menampilkan sebuah model serba baru — casis ladder frame baru, saiz lebih besar, sistem janaan baru dan rekaan segar. Satu perkara yang masih dikekalkan ialah penggunaan brek dram di belakang, tetapi itu juga boleh berubah pada masa hadapan.

    Menurut laman Drive dari Australia, naik taraf kepada brek cakera telah dirancang untuk Triton untuk diserasikan dengan ciri keselamatan maju tambahan yang ada. “Buat masa ini, jenis dram masih digunakan. Tetapi untuk diserasikan dengan lebih banyak ciri ADAS dan parkir automatik, kami akan gunakan brek cakera, serta sebab prestasinya juga,” jelas pakar produk Triton, Yoshiki Masuda.

    Mitsubishi Triton akan terima brek cakera di belakang, kluster digital 12.3-inci pada masa akan datang

    “Mungkin nanti ketika pengenalan naik tarafnya yang akan datang, kami akan mempertimbangkan brek cakera,” tambah beliau. Ini mencadangkan bahawa brek cakera ini akan diperkenalkan untuk versi facelift Triton berkenaan di tahun-tahun akan datang.

    Triton bukanlah satu-satunya trak pikap Jepun yang menggunakan brek dram di belakang, yang lebih mudah dan tetap berkesan. Ini juga boleh dilihat ada untuk trak pikap lain seperti Toyota Hilux, Isuzu D-Max, Nissan Navarra dan Mazda BT-50. Model seperti Ford Ranger sudah menggunakan brek cakera.

    Selain itu, Masuda turut dilaporkan berkata yang model facelift Triton nanti mungkin juga akan menggunakan kluster instrumen digital 12.3-inci untuk menggantikan ciri yang ada sekarang, dengan dail analog di kiri dan kanan paparan multi-info tujuh-incinya.

     
     
  • PJD Link dibatalkan, tetapi boleh dipertimbangkan sekiranya semua syarat dipenuhi pemaju — Amirudin

    PJD Link dibatalkan, tetapi boleh dipertimbangkan sekiranya semua syarat dipenuhi pemaju — Amirudin

    Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) yang diumum dibatalkan semalam mungkin akan dipertimbangkan semula sekiranya ia mampu menepati keperluan dan memuaskan hati penduduk terlibat, jelas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari malam tadi, seperti dilaporkan Malay Mail.

    Semalam, kerajaan negeri Selangor memaklumkan hasrat untuk membatalkan permohonan pembinaan lebuhraya berkenaan. “Setelah meneliti laporan penilaian impak, Kerajaan Negeri tidak berpuas hati dengan Pelan PJD Link yang dikemukakan kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan. Oleh itu Kerajaan Negeri Selangor pada hari ini mengambil keputusan MEMBATALKAN permohonan pembinaan PJD Link,” jelas beliau dalam satu hantaran di Facebook semalam.

    Bagaimanapun, pengumuman pembatalan itu adalah muktamad dan bukan sesuatu yang akan dinilai semula selepas Pilihanraya Negeri pada 12 Ogos nanti.

    PJD Link dibatalkan, tetapi boleh dipertimbangkan sekiranya semua syarat dipenuhi pemaju — Amirudin

    “Namun, dalam masa yang sama, tetap ada keperluan untuk terus membangunkan Petaling Jaya dan untuk memperkenalkan sistem penyuraian trafik yang lebih berkesan. Sekiranya syarikat pemaju boleh menepati syarat yang ditetapkan kerajaan negeri dan memuaskan hati penduduk terlibat, kita boleh teruskannya nanti. Apa pun, ketika ini, ia tidak dapat dilakukan kerana ada syarat yang tidak ditepati,” jelas beliau.

    Keputusan Selangor untuk membatalkan projek berkenaan adalah disebabkan laporan penilaian kesan yang diserahkan oleh pemaju tidak memuaskan dan tidak menepati beberapa syarat yang telah ditetapkan.

    PJD Link ialah lebuhraya berkembar empat lorong sepanjang 25.4 km dengan 11 susur keluar yang menghubungkan bahagian utara dan selatan Petaling Jaya, melalui kawasan seperti Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, pusat bandar Petaling Jaya, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Bukit Jalil Technology Park.

    PJD Link dibatalkan, tetapi boleh dipertimbangkan sekiranya semua syarat dipenuhi pemaju — Amirudin

    Ia juga akan melibatkan 11 persimpangan antaranya di Bandar Utama, SPRINT, Damansara Intan, Jalan Universiti, Lebuhraya Persekutuan, Jalan Barat/Jalan Sultan, NPE, KESAS, Jalan Puchong, Jalan Kinrara 1 dan Lebuhraya Bukit Jalil. Projek ini, yang akan menggunakan dana swasta 100%, awalnya dijangka di mulakan pada pertengahan 2023 dengan jangkaan siap dalam tempoh tiga tahun.

    Permohonan projek ini telah diluluskan secara dasarnya oleh Kabinet pada November 2017 sebelum kerajaan negeri meluluskannya pada 2020, tetapi tertakluk kepada penilaian kesan alam sekitar (EIA), kesan sosial (SIA) dan kesan trafik (TIA).

     
     
  • Tiada kerja baiki jalan di lebuhraya termasuk CSR menjelang PRN di enam negeri pada 12 Ogos ini – KKR

    Tiada kerja baiki jalan di lebuhraya termasuk CSR menjelang PRN di enam negeri pada 12 Ogos ini – KKR

    Menjelang hari pengundian bagi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini, tiada kerja-kerja baiki jalan raya di lebuh raya dilaksanakan, termasuk di Central Spine Road (CSR), kata Kementerian Kerja Raya (KKR).

    Ini kerana jumlah trafik dijangka meningkat bermula 11 Ogos apabila para pengundi pulang ke kampung halaman masing-masing untuk mengundi, kata Timbalan Menteri KKR Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad kepada Bernama.

    Menurut beliau,semua kerja, termasuk kerja pembinaan di CSR akan dihentikan semetara waktu bagi mengelak gangguan lalu lintas sekurang-kurangnya seminggu sebelum hari pengundian.

    Pembinaan Central Spine Road, atau Laluan Persekutuan 43, bermula dari Kuala Krai, Kelantan ke Kuala Pilah di Negeri Sembilan, dan meliputi laluan sepanjang 340 km secara keseluruhannya. CSR sedang dibangunkan dengan kos RM7.3 bilion, dan akan siap pada 2026. Projek untuk CSR itu melibatkan enam pakej, empat daripadanya meliputi lebih 200 km di negeri Pahang.

     
     
  • Stesen Petronas di R&R Gambang arah barat, LPT, ditutup sehingga 9 Okt 2023 untuk dinaiktaraf

    Stesen Petronas di R&R Gambang arah barat, LPT, ditutup sehingga 9 Okt 2023 untuk dinaiktaraf

    Untuk makluman pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT), syarikat konsesinya, ANIH Berhad telah mengumumkan stesen Petronas di R&R Gambang arah barat ke KL ditutup mulai hari ini, 1 Ogos sehingga 9 Oktober 2023. Penutupan ini disebabkan kerja-kerja menaiktaraf stesen minyak berkenaan.

    Pengendali LPT berkata, sebagai alternatif, pam kontena mudah alih akan disediakan. Walau bagaimana pun, seeloknya anda mengisi minyak kenderaan terlebih dahulu sebelum memasuki lebuhraya. Namun, ada juga pilihan stesen minyak yang lain untuk perjalanan menuju ke arah barat iaitu stesen Shell di R&R Temerloh dan juga di Bentong.

    Apa pun, sila rancang perjalanan anda sewajarnya. Bagi yang menggunakan Lebuhraya KL-Karak (KLK), kedua-dua laluan yang ditutup berhampiran Bentong sebelum ini akibat mendapan tanah, telah pun kembali dibuka. Tiada lagi laluan kontra diaktifkan.

     
     
  • JPJ eBid: Siri DEU dan SML bakal dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Kelantan dan Sabah bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah, SML, bakal dibuka bidaan mulai 4 Ogos 2023. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 8 Ogos. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 9 Ogos 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Kelantan, DEU, bakal dibuka bidaan mulai 5 Ogos 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 9 Ogos, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 10 Ogos 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Mitsubishi eK X EV akan diproduksi dan dijual di Indonesia; bakal dipamerkan di GIIAS Ogos ini

    Mitsubishi eK X EV akan diproduksi dan dijual di Indonesia; bakal dipamerkan di GIIAS Ogos ini

    Mitsubishi Motors mengumumkan Kei-Car berkuasa elektrik sepenuhnya iaitu eK X EV yang kini hanya dijual di pasaran Jepun akan dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 pada 10 Ogos nanti. Ini merupakan kali pertama model berkenaan dipamerkan di luar Jepun sebelum ia dijadualkan untuk diproduksi dan dijual di Indonesia!

    Walau bagaimanapun Mitsubishi masih belum memperincikan bila produksi eK X ini akan bermula dan bila ia akan mula dijual dipasaran Indonesia. Namun sebelum ini jenama tiga berlian berkenaan sudahpun mengesahkan kei-Van elektrik untuk kegunaan komersil iaitu Minicab MiEV akan mula diproduksi kilang Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia (MMKI) yang terletak di Jawa Barat bermula tahun hadapan.

    Bagi Mitsubishi eK X EV , ia mula didedahkan di Jepun pada Mei tahun lalu. Model dengan kuasa elektrik ini menampilkan rupa yang sama dengan varian petrol eK X (X disebut sebagai ‘cross’), iaitu versi dengan penggayaan SUV berbanding eK Wagon biasa.

    Mitsubishi eK X EV akan diproduksi dan dijual di Indonesia; bakal dipamerkan di GIIAS Ogos ini

    Model ini digerakkan dengan motor elektrik MM48 yang menghasilkan kuasa 64 PS (63 hp atau 47 kW), iaitu had kuasa maksima yang dibenarkan oleh undang-undang Kei-Car Jepun, sama seperti model-model janaan petrol. Namun motor berkenaan menghasilkan kuasa tork yang agak tinggi iaitu 195 Nm (berbanding hanya 100 Nm pada eK X hybrid dengan enjin 660 cc tiga-silinder turbo dan sistem hibrid) bagi memacu terus roda hadapan.

    Motor tersebut menerima kuasa dari bateri litihium-ion 350-volt, 20 kWj yang diletakkan pada lantai, membolehkan ia bergerak sejauh 180 km dalam standard WLTC dengan satu cas penuh. Bateri ini memerlukan lapan jam untuk dicas penuh 100% menggunakan pengecas AC 2.9-kW (sambungan Type 1).

    Manakala dengan pengecas 30-kW DC (sambungan CHAdeMO), ia boleh dicas sehingga mencapai 80% dalam hanya 40 minit. eK X ini juga menampilkan sokongan sistem caj dua arah kenderaan-ke-rumah (V2H) serta kenderaan-ke-beban bagi membolehkan eK X EV ini bertindak sebagai ‘powerbank gergasi’ untuk pelbagai peralatan elektrik apabila diperlukan.

    Bagi pasaran Jepun, eK X ini menampilkan perincian keselamatan standard seperti tujuh-beg udara, kawalan kestabilan kenderaan, sistem brek ABS bersama EBD, penderia parkir hadapan dan belakang serta bantuan mula mendaki.

    Mitsubishi eK X EV akan diproduksi dan dijual di Indonesia; bakal dipamerkan di GIIAS Ogos ini

    Sistem bantuan pemanduan Mi-Pilot juga dibekalkan secara standard, menampilkan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, bantuan dan amaran kekal lorong, lampu tinggi automatik, kawalan salah tekan pedal dan juga pengecam tanda trafik.

    Di Jepun, Mitsubishi eK X EV ini dijual pada harga bermula 2.398 juta yen (RM76k) untuk model asas G, sehingga 2,932,600 yen (RM93k) untuk model tertinggi P. Ia adalah jauh lebih mahal dari versi petrol dimana Mitsubsishi eK X biasa dijual pada harga antara 1.463 juta dan 1,688,500 yen (RM46k dan RM54k).

    Walau bagaimanapun, dengan subsidi kenderaan tenaga bersih yang diberikan kerajaan Jepun, pelanggan bakal menerima penjimatan bernilai 550,000 yen (RM17k), membolehkan ia dijual pada harga 1.848 juta yen (RM59k). Jika dicampur sekali dengan skim pencukaian untuk kereta-eko dan kenderaan ringan serta subsidi dari majlis perbandaran (450,000 yen (RM14k) di Tokyo, eK X EV ini boleh dibeli dengan harga serendah 1.018 juta yen (RM32k).

    GALERI: Mitsubishi eK X EV pasaran Jepun

     
     
  • Polis Johor sita lima unit Lamborghini yang terlibat dengan kes pandu berbahaya di Kota Tinggi

    Polis Johor sita lima unit Lamborghini yang terlibat dengan kes pandu berbahaya di Kota Tinggi

    Walau pun saman telah dikeluarkan terhadap lima pemandu Lamborghini yang memandu secara bahaya di Lebuhraya Senai-Desaru, Kota Tinggi, pada pagi Sabtu lalu, petang ini Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan kelima-lima jentera mewah berkenaan telah disita untuk siasatan lanjut.

    “Kita telah membuka satu kertas siasatan terhadap kes berkenaan dan ia akan dilengkapkan dalam masa terdekat. Ujian saringan awal air kencing semuanya negatif bahan terlarang,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro. Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

    Pada masa sama, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan atau undang-undang dan sentiasa berhemah ketika di atas jalan raya.

    “Kita alu-alukan kehadiran sesiapa sahaja yang ingin bercuti dan sebagainya di negeri ini, tetapi perlulah berdisiplin dan ikut peraturan.

    “Setiap jalan dan kenderaan kini ada kamera, jadi hati-hatilah. Pengguna jalan raya yang lakukan perkara tak elok, andai anda dirakam dan ditularkan akan sebabkan anda diambil tindakan, jadi hati-hati,” katanya.

    Sejak kelmarin tular di laman media sosial berkenaan video hasil rakaman dashcam berdurasi 71 saat yang memaparkan beberapa buah kereta Lamborghini yang dipercayai sedang berkonvoi, memotong laluan secara bahaya di lebuhraya berkenaan.

    Susulan aktiviti yang ternyata melanggar undang-undang trafik, polis telah mengesan lima pemandu warga tempatan berusia 44 hingga 64 tahun di sekitar Desaru, Kota Tinggi. Bagaimanapun, mereka dibebaskan dengan jaminan polis, selepas keterangan mereka diambil di IPD Kota Tinggi. Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Malahan kes ini juga menarik perhatian Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyamakan konvoi tersebut sebagai ‘tong kosong’ yang sering membuat bunyi bising. TMJ juga berkata kumpulan konvoi terbabit mungkin perlu diajar bagaimana untuk menghormati orang ramai.

     
     
  • Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya Ahad ini, 6 Ogos

    MBSJ telah mengumumkan Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya bakal diadakan pada Ahad ini, 6 Ogos 2023. Acara akan bermula dari jam 7 pagi hingga 11 pagi.

    Seperti biasa, Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya akan diadakan di hadapan Subang Parade dan Aeon Big di SS15. Kalau mengikut acara yang terdahulu, sebahagian Jalan Kemajuan akan ditutup dari kegunaan trafik, iaitu dari persimpangan Jengka hingga ke persimpangan Persiaran Kewajipan.

    Selain itu, seperti sebelum ini juga ia melibatkan Jalan SS16/1 yang ditutup iaitu laluan sekeliling Subang Parade, Aeon Big dan barisan bangunan Mesianiaga. Walau bagaimana pun ia tidak melibatkan penutupan penuh.

    MBSJ menyarankan tiga lokasi parkir iaitu Subang Parade, Aeon Big dan di sepanjang Jalan SS15/1A. Walau bagaimana pun jika anda memilih untuk parkir di Jalan SS15/1A, tolong jangan halang trafik atau laluan untuk ke kawasan perumahan berhampiran.

    Antara aktiviti yang bakal dianjurkan pada 6 Ogos nanti melibatkan acara Basikal Santai, bola sepak jalanan 3-on-3, rock climbing, abseiling, flying fox dan pemeriksaan mata dan kesihatan secara percuma. Selain itu, ia juga akan menempatkan food truck dan juga cabutan bertuah. Acara ini membuka peluang kepada orang ramai untuk beraktiviti di atas jalan raya terutamanya kanak-kanak yang boleh bebas berlari di sepanjang jalan yang ditutup itu.

     
     
  • Mitsubishi dedahkan rupa SUV kompak baru sebelum pelancaran Ogos 2023 – saiz macam HR-V, 1.5L, CVT

    Mitsubishi dedahkan rupa SUV kompak baru sebelum pelancaran Ogos 2023 – saiz macam HR-V, 1.5L, CVT

    Sebelum kemunculan sulung globalnya yang bakal berlangsung di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 pada 10 Ogos nanti, Mitsubishi hari ini telah pun mendedahkan rupa luaran untuk SUV kompak baharunya yang direka khas untuk pasaran ASEAN.

    Nama sebenar untuk model ini masih lagi belum diumumkan, namun Mitsubishi telah pun memperincikan saiznya – ia dibina dengan dimensi 4,390 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,660 mm tinggi. Mitsubishi turut mengesahkan bahawa ia akan dijana oleh enjin NA 1.5 liter bersama kotak gear CVT dan hanya memacu roda hadapan.

    Oleh itu SUV baharu dari Mitsubishi ini mempunyai saiz dalam kelas segmen-B penuh seperti Honda HR-V dan Proton X50, tetapi ia dijana oleh unit rangkaian kuasa seperti model SUV segmen-B aras mula seperti Perodua Ativa dan Honda WR-V.

    Bagi memudahkan anda membayangkan saiznya, SUV Mitsubishi ini adalah 5 mm lebih panjang dan 70 mm lebih tinggi, tetapi 20 mm kurang lebar berbanding Honda HR-V. Bagi unit rangkaian kuasa pula ia mungkin berkongsi enjin dan kotak gear bersama MPV segmen-B Mitsubishi Xpander. Enjin 1.5 liter MIVEC berkenaan menghasilkan kuasa 105 PS/141 Nm, 7 PS/1 Nm lebih berkuasa dari Ativa dan 17 PS/4 Nm kurang dari WR-V.

    Ia juga mempunyai kelegaan setinggi 222 mm, jauh lebih tinggi dari Ativa, WR-V, HR-V dan juga X50, dan sama sepenuhnya seperti Xpander. Jadi boleh dibayangkan SUV ini mempunyai kebolehan merentasi laluan off-road yang lebih baik, malah Mitsubishi sebelum ini juga telah mendedah bahawa ia akan diberikan mod pemanduan Wet, Mud dan Gravel serta fungsi Active Yaw Controller (AYC).

    Mitsubishi dedahkan rupa SUV kompak baru sebelum pelancaran Ogos 2023 – saiz macam HR-V, 1.5L, CVT

    Untuk rupa luaran, pendedahan kali ini mengesahkan bahawa SUV kompak baharu ini merupakan model produksi bagi Mitsubishi XFC Concept yang didedahkan di Vietnam Motor Show tahun lalu. Pada bahagian muka Dynamic Shield versi produksi XFC ini masih menerima gril hadapan berbentuk trapezoid, serta lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-L.

    Jalur LED sebelah bawah DRL tersebut dijadikan lampu utama yang agak nipis, dan gabungan kedua-dua lampu itu menghasilkan rekaan berbentuk-T. Ia turut datang dengan kemasan berwarna perak yang agak besar pada bahagian berkenaan. Rekaan skid plate pada sebelah bawah bampar XFC juga diberikan pada versi produksi, dan ia lebih menonjol tetapi tiada jalur LED disekeliling liang udara.

    Segala perincian sebelah sisi XFC juga dilihat dijelmakan hampir sepenuhnya pada prototaip produksi sebenar ini. Ia termasuk rekaan ruang roda dibentuk seakan flare, garis badan yang direka membentuk seakan ‘otot-otot’ pada bahagian pintu belakang bersama garis cermin tingkap belakang ternaik ke atas, elemen sarang lebah pada panel sebelah bawah pintu, cermin tingkap suku belakang yang direka tajam, dan juga rekaan tiang-D yang memberikan rupa bumbung seakan terapung.

    Di belakang, lampu kombinasi berbentuk-T yang mencerminkan rekaan pada sebelah muka juga dijelmakan pada versi produksi ini. Rekaan pada cermin belakang dan juga spoiler juga nampak sama, namun lampu brek menegak pada versi konsep diubah menjadi mendatar seperti biasa.

    Mitsubishi juga mengesahkan bagi varian tertinggi SUV ini akan menerima set roda yang dilengkapi rim 18-inci bagi memberikan rupa yang benar-benar gagah, serta diberikan tayar yang mampu menangani laluan lebih lasak.

    “Pada model serba baharu ini, kami telah mengembangkan lagi reka bentuk untuk memenuhi keperluan pasaran SUV kompak, yang telah berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Seiji Watanabe, pengurus besar reka bentuk Mitsubishi Motors.

    “Selain ciri keteguhan dan keperkasaan Mitsubishi Motors, kami telah mengejar reka bentuk yang lebih bergaya, bertenaga dan tersendiri berbanding sebelum ini. Pada Gaikindo Indonesia International Auto Show yang akan datang, kami berharap lebih ramai pelanggan akan tahu apa yang Mitsubishi Motors tawarkan dan berempati dengan reka bentuk kami melalui SUV kompak serba baharu ini,” tambahnya lagi.

    Tiada lagi imej bahagian dalaman didedahkan kali ini. Tetapi sebelum ini Mitsubishi telah mengesahkan bahawa ia akan dilengkapi sistem bunyi yang dihasilkan oleh Yamaha. Ini merupakan kerjasama pertama antara Mitsubishi dan juga pengeluar alat muzik serta kelengkapan audio dari Jepun tersebut.

    Model ini disahkan juga akan dipasang di kilang Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia yang terletak di Bekasi, Jawa Barat. Tempahannya di pasaran tersebut telah pun dibuka pada Jun lalu, dan pelanggan bakal menerima kereta mereka bermula November 2023.

     
     
  • Hutang k’jaan RM1.5 trillion, turunkan harga minyak jejaskan inisiatif dan manfaat rakyat yang lain – Rafizi

    Hutang k’jaan RM1.5 trillion, turunkan harga minyak jejaskan inisiatif dan manfaat rakyat yang lain – Rafizi

    Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan bahawa hutang kerajaan buat masa sekarang adalah besar, dan sekiranya Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini menurunkan harga bahan api ia akan menjejaskan pelbagai inisiatif dan program yang memberi manfaat kepada rakyat.

    “Rakyat bertanya kepada kita mengapa tidak turunkan harga petrol. Pertamanya, hutang sekarang RM1.5 trilion. Kita ada hutang besar, jadi kerajaan harus buat pilihan,” kata Rafizi dalam Berita Harian yang memetik laporan dari FMT.

    Rafizi memberikan penjelasan tersebut selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bersetuju menerima cabaran berdebat, dengan syarat Rafizi membuktikan beliau berjaya memulihkan ekonomi Malaysia dan menurunkan harga bahan bakar kenderaan.

    Menurut Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR, bagi satu liter RON95 yang kini berharga RM2.05, kerajaan sudah memberi subsidi RM1 atau dua pertiga daripada kosnya yang dianggarkan jumlah keseluruhannya berjumlah RM25 bilion. Manakala Tahun lalu, subsidi untuk RON951, diesel dan elektrik mencecah RM80 bilion, dengan pendapatan kerajaan dianggarkan sekitar RM300 bilion.

    Hutang k’jaan RM1.5 trillion, turunkan harga minyak jejaskan inisiatif dan manfaat rakyat yang lain – Rafizi

    “Kerajaan kena bayar subsidi sampai RM80 bilion, bayar lagi faedah atas hutang lebih kurang RM30 bilion, tambah pula gaji pekerja, sewa bangunan kerajaan dan perbelanjaan kerajaan beratus-ratus bilion.

    “Akhirnya duit itu habis semua, jadi bagaimana kita hendak bantu rakyat untuk naikkan gaji, bina lebih banyak rumah dan wujudkan program basmi kemiskinan yang mengubah kehidupan rakyat,” katanya.

    Beliau juga menyatakan kerajaan boleh mengumumkan harga minyak turun sebanyak 20 sen untuk memenangi PRN, tetapi ia akan memberi kesan lebih besar. Ia termasuk gaji cikgu dipotong, projek rumah rakyat miskin dihentikan dan bekalan air di Kelantan serta Sabah tidak dapat diselesaikan.

    “Jadi beritahu kami mana satu tindakan bertanggungjawab perlu dilakukan?,” katanya.

    Jumaat lalu, Rafizi berkata, tiada sebarang perbincangan mengenai cadangan untuk menurunkan harga runcit bahan api RON95 dan diesel buat masa ini.

     
     
  • Projek PJD Link dibatalkan oleh Kerajaan Selangor kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan – MB

    Projek PJD Link dibatalkan oleh Kerajaan Selangor kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan – MB

    Sebelum ini pelbagai isu timbul berkenaan dengan cadangan projek Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) termasuklah ia dikatakan akan memberi kesan buruk kepada kesejahteraan dan sosio-ekonomi penduduk.

    Malahan penduduk sekitar Petaling Jaya juga telah bertahun-tahun membuat bantahan cadangan pembinaan projek lebuhraya ini. Malahan ia juga dikatakan jelas bertentangan dengan aspirasi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) ke arah negara neutral karbon menjelang 2030.

    Terkini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari telah mengesahkan pihak kerajaan negeri berhasrat untuk membatalkan permohonan pembinaan PJD Link ini. Menurut beliau, perkara ini diputuskan selepas kerajaan negeri meneliti beberapa aspek cadangan pembinaan lebuhraya tersebut.

    “Pada awalnya, cadangan pembinaan lebuhraya ini mendapat kelulusan prinsip daripada Jemaah Menteri Persekutuan pada 12 November 2017. Cadangan ini kemudiannya dibawa kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) pada 3 September 2020 dan diberi ruang untuk kajian dijalankan dengan melibatkan penduduk di kawasan Petaling Jaya.

    “Seterusnya, cadangan ini dibentangkan kepada Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan pada 12 November 2021 melalui Memorandum Jemaah Menteri untuk kelulusan bersyarat supaya cadangan ini memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Negeri Selangor,” kata Amirudin.

    Projek PJD Link dibatalkan oleh Kerajaan Selangor kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan – MB

    Tambahnya lagi, susulan daripada itu, penjanjian konsesi di antara Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional dan pemaju berkenaan telah ditandatangai pada 5 April 2022 dengan syarat syarikat berkenaan melaksanakan secara penuh Kajian Environmental Impact Assessment (EIA), Kajian Sosial Impact Assessment (SIA) dan Kajian Traffic Impact Assessment (TIA) sebelum perjanjian ini diaktifkan.

    “Berkait dengan laporan penilaian impak yang dikemukakan, terutamanya dari segi laporan impak sosial, pentadbiran ini tidak berpuas hati dengan pelan yang dikemukakan kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

    “Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor tidak berhasrat untuk meneruskan dengan cadangan ini dan memutuskan untuk membatalkan permohonan pembinaan Lebuhraya PJD Link,” jelas Amirudin menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.

    PJD Link merupakan lebuhraya berkembar empat lorong sepanjang 25.4 km yang akan bermula selepas Plaza Tol Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Lebuhraya SPRINT, Damansara dan berakhir di Persimpangan Lebuhraya Bukit Jalil. Projek itu bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memenuhi pertumbuhan kenderaan masa hadapan di kawasan Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

    Malahan PJD Link Expressway dijangka berperanan penting dalam menyuraikan kesesakan lalu lintas kerana menyediakan sambungan utama dengan enam lebuh raya utama termasuk NKVE, Lebuhraya SPRINT, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Pantai Baru (NPE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Bukit Jalil.

     
     
  • Art Of Speed 2023 tarik lebih dari 65,000 pengunjung dalam edisi paling besar pernah dianjurkan!

    Art Of Speed 2023 tarik lebih dari 65,000 pengunjung dalam edisi paling besar pernah dianjurkan!

    Acara gaya hidup permotoran tahunan, Art of Speed (AOS) untuk edisi 2023 telah berlangsung dengan jayanya hujung minggu lalu di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS). Menurut penganjurnya iaitu Art of Speed Malaysia (AOSM), acara yang dibuka bermula 29 hingga 30 Julai itu telah merekodkan jumlah pengunjung lebih dari 65,000 orang.

    AOS mempersembahkan tema “Raikan Bezamu” untuk edisi tahun ini, dan ia disifatkan sebagai edisi yang paling besar pernah diadakan sejak acara pertama yang dilangsungkan pada 2012. Ini kerana AOS 2023 telah menggunakan kesemua Dewan A, Dewan B (sebelum ini merupakan bangunan yang digunakan oleh Universiti Perdana), Dewan C dan Dewan D di MAEPS, serta sebahagian kawasan sekitarnya.

    Seperti biasa ia turut membawa kenderaan-kenderaan custom dan juga ramai tetamu undangan khas dari luar negara. Antara kenderaan yang dibawa adalah dua buah Harley-Davidson dari Jepun iaitu Wild Road Choppers (1941) dan Cosmic Chopper City (2020), serta sebuah van Volkswagen Type2 Safari 1959 diberi nama Side Yakotani juga dari Jepun.

    Manakala antara jemputan-jemputan khas dari luar negara pula termasuk “Sunny” Yano dan Hiro “Wildman” Ishii dari Monneys Jepun, Rough Craft dari Taiwan, Ya Seat dari Thailand, Choppajoop dari Singapura, Hisa Artes 66 Paintlab dari Indonesia (kumpulan 15 artis pinstripe) dan ramai lagi.

    Jenama kereta diecast skala 1/64 dari Mattel iaitu Hot Wheels turut diberikan sorotan istimewa pada AOS 2023. Keseluruhan Dewan B di MAEPS adalah khas untuk kereta kecil 3-inci ini dengan diadakan Konvensyen Pengumpul Hot Wheels Rasmi pertama di dunia untuk rantau Asia Tenggara. Sempena acara ini juga Hot Wheels telah melancarkan ‘Hot Wheels Official Convention Car’ edisi terhad yang dihasilkan hanya 500 unit yang diasaskan dari Hot Wheels Toyota Celica 1982.

    Aktiviti lain yang turut diadakan di Dewan B ini termasuk ‘Hot Wheels Rare and Collectibles Exhibition’, ‘Hot Wheels Skate School’, ‘Hot Wheels Swap Buy And Sell’, sesi soaljawab pengumpul Hot Wheels, ‘Hot Wheels Kustom Competition’ dan banyak lagi.

    Manakala di dewan utama iaitu Dewan A, Hot Wheels telah mendedahkan rekaan kad blister untuk Proton Saga Hot Wheels edisi khas yang akan dijual tahun hadapan, yang diambil dari pemenang pertandingan Hot Wheels x Proton Kids Design Competition.

    Bukan itu sahaja, pertandingan Hot Wheels Legends Tour 2023 turut diadakan di Malaysia secara realiti buat pertama kali selepas ia dilangsungkan secara maya untuk edisi-edisi sebelum ini akibat kekangan pandemik Covid-19. Pertandingan untuk memilih johan yang akan mewakili Malaysia di pentas dunia itu diadakan pada hari Ahad di tempat letak kereta bersebelahan Dewan A.

    Kesemua kereta bertanding diadili oleh juri-juri tempatan seperti ‘Prince of Drift’ Tengku Djan Ley dan juga juri-juri antarabangsa termasuk salah seorang pereka Hot Wheels dari Amerika Syarikat iaitu Matt Gabe. Kereta yang menang di peringkat global kelak bakal dijadikan sebagai kereta Hot Wheels skala 1/64 dan akan dijual ke seluruh dunia.

    Bagi Hot Wheels Legends Tour edisi kali ini, kesemua juri telah sepakat untuk memilih Proton Arena yang diubahsuai oleh pemiliknya iaitu Mohd Shahlan Bin Mohd Nasir sebagai pemenang utama, sekaligus akan mewakili Malaysia di peringkat akhir.

    Antara acara lain yang akan berlangsung sepanjang AOS 2023 ini termasuk No Equal Motorsport Showcase (Dewan C) yang akan mempamerkan kereta-kereta lumba sebenar dari pasukan-pasukan lumba tempatan, perkhemahan dan gaya hidup outdoor Off The Grid (Dewan C), Hail Vintage (Dewan D), Kustom & Koffee Talk (Dewan A), Show & Shine (Dewan A) dan pelbagai lagi.

    Food Park pula disediakan di keseluruhan ruang bawah Dewan D, manakala barang-barang restorasi atau ubahsuai motosikal dan kereta lama, AOS 2023 masih akan menampilkan pelbagai vendor yang akan memenuhi Automotive Flea Market.

    Pelbagai jenama motosikal termasuk Ducati, Royal Alloy, Italjet, Royal Enfield, Vespa, Aprilia, Triumph, Harley-Davidson dan lain-lain turut akan ke AOS 2023 di Test Ride Zone bagi membolehkan pengunjung menunggang uji model-model motosikal baharu.

    Bagi pemenang utama Best of Show untuk Show & Shine tahun ini bakal dibawa ke lawatan The 31st Annual Yokohama Hot Rod Custom Show yang akan diadakan pada Disember 2023 nanti di Jepun. Berikut adalah senarai nama-nama pemenang AOS2023 Show & Shine mengikut kategori:

    LOWRIDER
    1. BEST OF BMX
    Pemenang : YUSADIANTO MOHD NOR
    2. BEST OF LOWRIDER – 12″, 16″ & 20″
    Pemenang : MOHD HISHAM X ENERGYCAM
    3. BEST OF LOWRIDER – 24″, 26″ & OPEN
    Pemenang : AIZAD ZAKARI

    AUTOMOBIL

    Art Of Speed 2023 tarik lebih dari 65,000 pengunjung dalam edisi paling besar pernah dianjurkan!

    1. BEST OF 4 X 4
    Pemenang : ABDUL TALIB BIN SUDIN
    2. BEST OF CLASSIC JDM PRE 1992
    Pemenang : LIM WAI HONG
    3. BEST OF CLASSIC PICKUP
    Pemenang : IDHINAN JOEY MEPOKEE
    4. BEST OF JAPANESE [CLASSIC]
    Pemenang : AMIN – NISSAN SKYLINE KGC10
    5. BEST OF K CAR
    Pemenang : HAIQAL QUSYAIRI
    6. BEST OF MODERN ABOVE 2004
    Pemenang : MUHAMMAD NOOR HASBULLAH
    7. BEST OF MODERN CLASSIC JDM POST 1992-2004
    Pemenang : MOHD EKZAL – UMD GARAGE
    8. BEST OF MODERN EURO
    Pemenang : NATHANIAL NG ZHI YONG
    9. BEST OF NATIONAL HEROES
    Pemenang : NAROCK
    10. BEST OF RACE CAR
    Pemenang : MUHAMMAD ISYALZUDDIN – SATRIA NEO
    11. BEST OF RADIKAL [CLASSIC & MODERN]
    Pemenang : EIADYWAN B SAKRONI
    12. BEST OF STANCE
    Pemenang : MUHAMMAD FARHAN
    13. BEST OF USA/MUSCLE
    Pemenang : FAROIB ISMAIL
    14. BEST OF VW BUS
    Pemenang : SAF
    15. BEST OF WAGON
    Pemenang : ABIE
    16. BEST OF VW BEETLE
    Pemenang : FADERI
    17. BEST OF VW AIR-COOLED RESTOMOD
    Pemenang : FADERI
    18. BEST OF RESTOMOD (HIGHLIGHT)
    Pemenang : ZAIM B ROSLI
    19. BEST PAINT
    Pemenang : WAN IBRAHIM WAN HASSAN
    20. BEST ENGINE BAY
    Pemenang : MOHD EKZAL – UMD GARAGE
    21. BEST INTERIOR
    Pemenang : MOHD EKZAL – UMD GARAGE
    22. BEST LOWERED
    Pemenang : FONG LIH JIE
    23. BEST RIM SET
    Pemenang : ANDREW POH
    24. BEST LIFTED
    Pemenang : MOHD HIZRI ALIFF
    25. BEST ENGINEERING
    Pemenang : FAROIB
    26. BEST FABRICATION
    Pemenang : ABDUL JALIL B ABDUL
    27. BEST LIVERY DESIGN
    Pemenang : BWB – TOYOTA COROLLA KE25

    MOTOSIKAL

    Art Of Speed 2023 tarik lebih dari 65,000 pengunjung dalam edisi paling besar pernah dianjurkan!

    1. BEST OF CAFE RACER ABOVE 401CC
    Pemenang : YUNG – GIMME SHELTER
    2. BEST OF CAFE RACER BELOW 400CC
    Pemenang : MUHAMMAD FARITADIL BAINOL JAMAL
    3. BEST OF CHOPPER ABOVE 401CC
    Pemenang : ALIEF – GIMME SHELTER
    4. BEST OF CHOPPER BELOW 400CC
    Pemenang : PAAN JEWA LUKHA
    5. BEST OF CLUB STYLE
    Pemenang : JOHAN ARIFF B MOHD YASIN
    6. BEST OF CUSTOM STREET BIKE/MOPED
    Pemenang : PANG CHIN HUI
    7. BEST OF JAP STYLE & TRACKER BELOW 400CC
    Pemenang : JONTOE CYCLES
    8. BEST OF MODERN SCOOTER
    Pemenang : FDS AIRBRUSH
    9. BEST OF MODIFIED HARLEY-DAVIDSON
    Pemenang : NO DIE CYCLES
    10. BEST OF RESTORED CLASSIC CONTINENTAL & AMERICAN
    Pemenang : HUSIN B HJ A. SAMAD
    11. BEST OF LAMBRETTA
    Pemenang : MOHD HANAFI B ISMAIL
    12. BEST OF RESTORED RETRO JAPANESE 2 STROKE
    Pemenang : MUHAMAD HAFIZUDDIN MAZLAN
    13. BEST OF RESTORED RETRO JAPANESE 4 STROKE
    Pemenang : NIK
    14. BEST OF LIFESTYLE CUB (HIGHLIGHT)
    Pemenang : THE RUSTY FACTORY
    15. BEST OF OPEN CLASS
    Pemenang : AZHARUZZAMAN B BAHRUDIN
    16. BEST PAINT
    Pemenang : DEEP
    17. BEST LIVERY DESIGN
    Pemenang : NASIR MORNI
    18. BEST FABRICATION
    Pemenang : THE RUSTY FACTORY
    19. BEST TANK DESIGN
    Pemenang : DEWA – GIMME SHELTER

    GALERI: Motosikal Show & Shine di Art Of Speed 2023

    GALERI: Gambar rasmi Art Of Speed 2023

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025