Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hyundai Ioniq 5 N – video teaser baharu dedahkan bunyi enjin, rev limiter dan bunyi tukar gear palsu

    Hyundai Ioniq 5 N – video <em>teaser</em> baharu dedahkan bunyi enjin, <em>rev limiter</em> dan bunyi tukar gear palsu

    Model elektrik penuh (EV) pertama yang akan menerima lencana prestasi divisi prestasi tinggi Hyundai N iaitu Ioniq 5 N sebelum ini sudah dilaporkan bakal menerima bunyi enjin palsu dan juga bunyi tukaran gear palsu bagi memberikan sensasi pemanduan yang lebih mengujakan berbanding EV lain. Macam mana bunyi berkenaan? Ianya sudah pun didedahkan dalam video teaser terbaharu hot-hatch N EV ini.

    Seperti yang anda boleh dengar dalam video teaser baharu di bawah, bunyi tersebut terhasil seakan bunyi kapal angkasa – bagi penulis, bunyi ini adalah hampir sama seperti bunyi pada supercar EV Porsche Taycan. Namun apa yang menarik, bunyi palsu Ioniq 5 N ini juga menghasilkan bunyi seakan ‘letupan’ ketika kelajuan enjin dihadkan oleh rev limiter.

    Anda juga dapat lihat pemandu ada menekan pedal penukar gear yang terletak pada bahagian belakang roda stereng. Ini bukanlah bermaksud Ioniq 5 N ini diberikan kotak gear, tetapi ia sebenarnya adalah pedal untuk memberikan kadar pemulihan tenaga yang lebih besar untuk mengecas semula bateri menerusi sistem regenerative braking, yang memberikan rasa seakan engine braking ketika gear diturunkan pada enjin petrol – sistem ini sudahpun diberikan pada Ioniq 5 biasa dan juga Kona EV.

    Sebelum ini Hyundai telah pun menyiarkan satu lagi video teaser menunjukkan Ioniq 5 berkenaan ‘menari’ di atas permukaan salji bersama jentera WRC sebenar Hyundai i20 N Rally1, menunjukkan kebolehan sistem agihan tork pada model prestasi ini memberikan kebolehan yang hampir sama seperti kereta rali sebenar tersebut.

    Sehingga kini Hyundai masih belum mendedahkan angka prestasi sebenar bagi Ioniq 5 ini. Namun ketika sekumpulan media dari Australia dijemput untuk mencuba model berkenaan, ia didakwa lebih berkuasa dari Kia EV6 GT yang dibekalkan dengan kuasa 585 PS/ 740 Nm, diberikan bateri lebih besar sekitar 80 kWj, serta menerima perincian seperti penyerap hentak adaptif, e-LSD, kawalan tork bervariasi dan juga mod Drift.

     
     
  • JPJ eBid: Siri nombor DET dan BRL dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Kelantan dan Selangor bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Kelantan, DET, bakal boleh dibida mulai esok, 6 Mei 2023. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 10 Mei. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 11 Mei 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Selangor, BRL, bakal dibuka bidaan mulai 10 Mei 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 14 Mei, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 15 Mei 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • MyEG diberi lanjutan kontrak tiga tahun untuk urusan berkaitan JPJ, tapi bukan lagi penyedia eksklusif

    MyEG diberi lanjutan kontrak tiga tahun untuk urusan berkaitan JPJ, tapi bukan lagi penyedia eksklusif

    Kerajaan telah mengumumkan bahawa kontrak MyEG Services telah dilanjutkan untuk membolehkannya terus menyediakan perkhidmatan berkaitan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tempoh tiga tahun lagi. Kontrak semasa sepatutnya berakhir pada 22 Mei ini.

    Ini bermaksud, pengguna masih boleh memperbaharui lesen pemandu dan cukai jalan serta pembayaran saman trafik melalui platform berkenaan hingga tahun 2026 nanti. Bagaimanapun, MyEG tidak lagi akan menjadi penyedia perkhidmatan itu secara eksklusif, kerana kerajaan akan membuka peluang itu kepada penyedia perkhidmatan lain juga, lapor The Edge.

    Mengumumkan pelanjutan kontrak itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata walaupun kerajaan melanjutkan khidmat MyEG, ia kini bukan lagi diberikan secara eksklusif kepada hanya mereka.

    MyEG diberi lanjutan kontrak tiga tahun untuk urusan berkaitan JPJ, tapi bukan lagi penyedia eksklusif

    “Mereka hanya satu daripada penyedia perkhidmatan kepada kerajaan. Kami izinkan mereka untuk menjadi laluan kepada kerajaan sebagai pilihan kepada pengguna untuk memperbaharui lesen, cukai jalan dan lain-lain. Jika ada penyedia perkhidmatan e-kerajaan lain yang ingin menyediakan perkhidmatan sama, kami akan pertimbangkan,” jelasnya.

    Ini selari dengan pengumuman yang dibuat pada Mac lalu bahawa Puspakom tidak lagi akan menjadi monopoli dalam menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bermula September tahun lalu. Sama seperti MyEG, kerajaan memaklumkan mereka akan membuka peluang itu kepada penyedia perkhidmatan lain yang layak juga.

    Langkah untuk mengakhiri kontrak eksklusif ini bukan baru. Pada 2019, dilaporkan kerajaan sedang menjadi jalan untuk memecahkan monopoli perniagaan dalam usaha untuk merancakkan persaingan dan mengurangkan kos sara hidup, dan MyEG serta Puspakom memang menjadi syarikat yang dijangkakan untuk itu.

     
     
  • Perodua Axia E akan diproduksi semula, bakal dijual pada harga lebih murah dari RM24k tidak lama lagi?

    Perodua Axia E akan diproduksi semula, bakal dijual pada harga lebih murah dari RM24k tidak lama lagi?

    Ketika merasmikan Malaysia Autoshow 2023 di MAEPS, Serdang tempoh hari, menteri pelaburan, perdangangan dan industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sempat berkongsi bahawa Perodua dijangka bakal memperkenalkan harga baharu yang lebih rendah bagi salah satu model sedia adanya tidak lama lagi.

    “Saya diberitahu bahawa Perodua akan merendahkan harga salah satu modelnya tidak lama lagi, menjadikan kereta yang sudah sedia murah itu lebih murah! Satu lagi pembayang, ia juga merupakan model EEV. Model yang mana? Anda hanya perlu tunggu sehingga ia diumumkan,” kata Zafrul dalam ucapannya.

    Mengambil beberapa petunjuk dalam ucapan Tengku Zafrul berkenaan, ada kemungkinan ia adalah Perodua Axia E generasi terdahulu dengan kotak gear manual, yang diumumkan oleh Perodua sebelum ini bahawa ia bakal diproduksi semula dan dijual sekali bersama model generasi baharu.

    Perodua Axia E akan diproduksi semula, bakal dijual pada harga lebih murah dari RM24k tidak lama lagi?

    Axia ‘spec kosong’ dengan rim besi serta tanpa radio berkenaan merupakan salah satu model Perodua yang menerima pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), serta merupakan model yang paling murah dijual oleh Perodua sebelum ini. Harga terakhir ditawarkan untuk Axia E manual berkenaan adalah RM24,090, mungkin untuk kemaskini harga baharu lebih rendah nanti ia akan dijual pada harga sekitar RM20k?

    Apa pun, seperti yang disebut oleh Tengku Zafrul, kita tunggu dulu pengumuman rasmi yang akan dibuat oleh Perodua tidak lama lagi. Apa pendapat anda? Adakah dengan langkah menjual kembali model lama dengan harga lebih rendah ini akan memberikan kelegaan kepada golongan yang benar-benar memerlukan di saat kos sara hidup yang semakin meningkat selepas musim pandemik ini?

     
     
  • Mercedes-AMG GT63S E Performance kini di Malaysia – PHEV V8 843 hp/1,400 Nm; dari RM2.1 juta

    Mercedes-AMG GT63S E Performance kini di Malaysia – PHEV V8 843 hp/1,400 Nm; dari RM2.1 juta

    Elektrifikasi semakin diterima di kebanyakan pasaran automotif dunia, dan juga semakin banyak model baharu bagi kenderaan elektrik dilancarkan. Mercedes-Benz antara jenama yang giat memperhebatkan barisan kenderaan elektriknya (EV) dan ingin memperkukuhkan lagi pasaran bagi model EV ini di Malaysia.

    Mengambil peluang memperkenalkannya menerusi acaran Malaysia Autoshow 2023 yang telah membuka tirainya mulai semalam hingga 7 Mei in, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan plug-in hybrid pertama dari barisan model prestasi tinggi Mercedes-AMG.

    Termasuk dalam barisan GT 4-Door Coupé, Mercedes-AMG GT 63 S E Performance ini menampilkan enjin 4.0 liter biturbo petrol plug-in hybrid, yang mampu menghamburkan kuasa keseluruhan 843 hp dan tork 1,400 Nm. Untuk pasaran Malaysia, ia ditawarkan pada harga atas jalan dari RM2,088,888 tanpa insurans.

    Enjin pembakaran mampu menghasilkan sebanyak 639 hp dari 5,500 rpm hingga 6,500 rpm dan tork 900 Nm dari 2,500 rpm hingga 4,500 rpm. Ia dipadankan dengan motor elektrik dengan kuasa 204 PS dan tork 320 Nm yang menyalurkan pacuan ke roda belakang menerusi LSD elektronik dan transmisi dua-kelajuan. Pada kelajuan 140 km/j, transmisi itu akan masuk ke gear kedua ke gandar hadapan menyalurkan AWD untuk membolehkan ia terus memberi kuasa pada kelajuan tinggi.

    Mercedes-AMG GT63S E Performance kini di Malaysia – PHEV V8 843 hp/1,400 Nm; dari RM2.1 juta

    Satu lagi propshaft membenarkan sedikit tork dihantar ke roda hadapan, menjadikan ia sebuah kereta pacuan semua roda. Motor elektrik juga ada lagi satu, tetapi adalah unit pacuan starter-generator 10 kW (14 PS), yang diletakkan di antara enjin dan transmisi automatik Speedshift MCT 9G sembilan kelajuannya, dan memberikan kuasa kepada aksesori lain sekiranya bateri utama lemah.

    Hasil daripada semua sumber ini, GT 63 S E Performance dapat menghasilkan 843 PS dan 1,470 Nm tork, menjadikan ia sebagai model AMG produksi bersiri yang paling berkuasa setakat ini. Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 2.9 saat, sebelum mencapai 200 km/j dalam masa 10 saat dan mencecah kelajuan maksimum 316 km/j.

    Untuk pasaran Malaysia, GT 63 S E Performance menerima pakej AMG Aerodynamics , AMG Exterior carbon-fibre Package II, AMG Exterior Night Package, AMG Night Package II, roda tempaan lima-jejari-berkembar AMG 21-inci, paparan pencahayaan AMG, lampu utama Multibeam LED, Adaptive Highbeam Assist Plus, bumbung suria panoramik dan AMG indoor car cover.

    Mercedes-AMG GT63S E Performance kini di Malaysia – PHEV V8 843 hp/1,400 Nm; dari RM2.1 juta

    Untuk memantapkan lagi enjin pembakaran dalamannya, GT 63 S E Performance dilengkapi dengan sistem ekzos AMG Performance, sementara untuk casis pula termasuk sistem brek komposit-seramik prestasi-tinggi AMG, AMG Ride Control+, AMG Dynamic Select dan stereng roda belakang.

    Untuk pengecasan, jentera ini turut didatangkan dengan kabel pengecasan sepanjang lima meter untuk sambungan soket domestik, juga dengan pengecas dengan fungsi trickle charging. Jarak gerak elektrik untuk GT 63 S ini cuma 12 km (pada kelajuan sehingga 130 km/j), dan bateri lithium-ion 6.1 kWh ini cuma mempunyai berat 89 kg. Tempoh masa mengecas masih belum diberitahu, tetapi kereta ini boleh menerima kuasa AC sehingga 3.7 kW melalu pengecas on-board padanya.

    Mercedes-AMG GT63S E Performance kini di Malaysia – PHEV V8 843 hp/1,400 Nm; dari RM2.1 juta

    Di dalamnya, GT 63 S E Performance ini menerima tempat duduk hadapan AMG Performance dengan fungsi suhu, pakej tempat duduk pelbaga-kontur dan pakej memori. Ia juga diberikan pencahayaan ambien serta kemasan gentian-karbon AMG, termasuk roda stereng AMG Performance dalam balutan Nappa dan gentian mikro Microcut, serta pilihan warna dan kemasan material untuk roof liner.

    Selain itu, ia juga diberikan ciri Keyless Go dan Hands-Free Access, pakej Air Balance, MBUX Interior Assistant, kawalan suhu automati Thermotronic, Easy-Pack tailgate dan pad pengecasan tanpa wayar untuk penumpang hadapan dan belakang.

    Untuk infotainmen, ia dinerikan sistem multimedia MBUX dengan kokpit skrin lebar dan paparan utama, pakej ketersambungan navigasi, navigasi berasaskan cekera-keras, intergrasi telefon pintar, pra-pemasangan untuk MBUX Entertainment dan sistem bunyi sekeliling Burmester. Manakala data berpaksikan prestasi boleh dilihat menerusi AMG Track Pace.

    Bagi sistem keselamatan dan bantuan pula, GT 63 S E Performance dilengkapi Driving Assistance Package merangkumi Active Distance Assist, Active Steering Assist, sementara pek Guard 360 Vehicle Protection Plus terdiri daripada bunyi anti-kecurian dan sistem pemantauan dalaman.

    Ia turut diberikan Parking Package yang mengandungi Active Parking Assist dengan Parktronic dan sistem kamera 360-darjah bersama fungsi kelam-sendiri dan cermin sisi boleh-lipat elektrikal. Untuk keselamatan pasif, ia dilengkapi set beg udara termasuk bahagian sisi penumpang belakang serta beg udara bahagian lutut.

    Di Malaysia, Mercedes-AMG GT 63 S E Performance boleh didapati dengan warna Manufaktur Kalahari Gold seperti dalam foto ini, bersama AMG Green Hell Magno. Selain itu, ia juga menawarkan pilihan warna Classic Grey Uni, Olive Metallic dan Copper Orange Magno matte, yang kesemuanya boleh dipadankan dengan pilihan warna dalaman.

     
     
  • Kawasaki Z900 SE dipertonton di Malaysia – CKD, guna monoshock Ohlins S46, brek Brembo M4.32

    Kawasaki Z900 SE dipertonton di Malaysia – CKD, guna monoshock Ohlins S46, brek Brembo M4.32

    Selain melancarkan Z H2 SE dan KX250 di acara Malaysia Autoshow 2023, Kawasaki Malaysia turut melakukan pra tonton sebuah model baru yang akan memasuki pasaran sekitar bulan Jun/Julai tahun ini, iaitu Z900 SE. Model ini pertama kali ditunjuk kepada dunia pada September 2021.

    Keistimewaan Z900 SE adalah ia diberikan naik taraf pada bahagian suspensi dan brek, dengan menggunakan monoshock Ohlins S46 (dengan tombol larasan pra beban) di belakang, serta angkup brek Brembo M4.32 bersama hos steel braided dan cakera 300 mm di hadapan.

    Bahagian lain motosikal ini masih sama seperti Z900 yang diberi peningkatan pada tahun 2019, tetapi penampilannya dijadikan lebih istimewa dengan kelongsong fork 41 mm berwarna emas, rim dengan jalur hijau serta warna badan gabungan Metallic Spark Black dan Candy Lime Green.

    Z900 SE dipacu oleh enjin empat silinder 948 cc bersama kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 125 PS pada 9,500 rpm dan 98 Nm tork pada 7,700 rpm. Semua lampu motosikal ini menggunakan LED kecuali lampu penunjuk arah.

    Perincian lain Z900 SE adalah termasuklah skrin TFT 4.3 inci berwarna yang boleh disambung kepada telefon pintar dan aplikasi Rideology, empat mod tunggangan, tiga tahap kawalan cengkaman KTRC, berat 213 kg, tangki bahan api 17 liter dan tinggi tempat duduk 820 mm.

    Walaupun sebelum ini semasa lawatan kami ke kilang Modenas di Gurun EMOS menyatakan bahawa model yang dipasang di dalam negara (CKD) hanyalah model berkapasiti bawah 650 cc, kami mendapat maklumat bahawa Z900 SE ini juga adalah model CKD, berkemungkinan kerana ia adalah sebuah model popular dan disasarkan dengan jumlah jualan yang lebih tinggi. Harapnya harga model ini juga boleh jadi lebih menarik apabila dilancarkan secara rasmi nanti.

     
     
  • Bas percuma untuk Hari Terbuka Parlimen minggu ini

    Untuk yang ingin merasai pengalaman ke Parlimen, anda berpeluang berbuat demikian pada 6-7 Mei ini. Pada tarikh berkenaan, Hari Terbuka Parlimen bakal diadakan, memberi peluang untuk orang ramai berkunjung ke bangunan Parlimen yang penuh bersejarah itu.

    Seperti biasa, Rapid Kl bakal menyediakan perkhidmatan ‘Bas Parlimen’ untuk acara berkenaan. Laluan T851 akan bermula dari balai berlepas ERL di KL Sentral dan menghala ke parkir bertingkat Taman Botani Perdana sebelum menuju ke Parlimen. Kawasan parkir di Lake Garden merupakan fasiliti parkir yang paling terhampir dengan Parlimen. Kekerapan bagi perkhidmatan ini adalah setiap 30 minit, dan beroperasi dari 7 pagi hingga 8 malam. Klik imej di atas untuk makluman lanjut.

    Merupakan inisiatif dari Kementerian Pengangkutan, perkhidmatan Bas Parlimen ini adalah secara percuma. Ia diperkenalkan pada Februari lalu bagi menyelesaikan isu kekurangan masalah parkir di Parlimen, namun ia dihentikan pada April selepas sesi parlimen berakhir.

     
     
  • Chery jadikan Malaysia hab ASEAN dengan kerjasama Inokom; pusat R&D RHD, turut eksport ke Australia

    Chery jadikan Malaysia hab ASEAN dengan kerjasama Inokom; pusat R&D RHD, turut eksport ke Australia

    Chery secara rasminya telah kembali ke pasaran Malaysia minggu ini dengan memperkenalkan dua model baharunya iaitu Tiggo 8 Pro dan Omoda 5 di Malaysia Autoshow 2023 yang sedang berlangsung di MAEPS, Serdang. Bukan itu sahaja, jenama dari China berkenaan turut telah memuktamadkan kerjasamanya dengan syarikat automotif tempatan, Inokom untuk memproduksi model-model Chery secara pemasangan tempatan (CKD) di sini.

    SUV tujuh-tempat duduk Chery Tiggo 8 Pro dan juga SUV segmen-B Chery Omoda 5 yang didedahkan berkenaan menampilkan spesifikasi sebenar untuk pasaran Malaysia dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD), dan kedua-duanya merupakan model pertama Chery yang akan diproduksi oleh Inokom menerusi fasiliti seluas 200-ekar yang terletak di Kulim, Kedah.

    “Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Inokom. Dengan pengalaman hampir tiga dekad dalam memasang kenderaan pelbagai jenama terkenal dunia, Inokom ialah rakan kongsi yang ideal untuk Chery dalam misi kami bagi bertapak di Malaysia dan menawarkan kenderaan berteknologi dan berkualiti tinggi serta rekaan yang mendahului zaman kepada pengguna Malaysia,” kata pengarah Chery Malaysia Leo Chen.

    Selain Malaysia, Chery turut memasang model-modelnya di Indonesia. Namun Chen mengumumkan secara rasmi bahawa Malaysia akan menjadi hab pemasangannya di ASEAN, di mana unit-unit yang dipasang di Kulim akan dieksport ke Thailand, Singapura, Brunei, Vietnam dan juga Australia – kesemua ini merupakan versi RHD kecuali Vietnam.

    Chery jadikan Malaysia hab ASEAN dengan kerjasama Inokom; pusat R&D RHD, turut eksport ke Australia

    Bukan itu sahaja, Chen juga mendedahkan bahawa Chery merancang untuk mewujudkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk produk-produk RHD di Malaysia, yang merangkumi perkara seperti ujian serantau, latihan dan juga pengedaran komponen.

    Model-model awalan yang akan dipasang di Malaysia merupakan kenderaan-kenderaan yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman, namun Chery turut merancang untuk memasang model-model dengan teknologi elektrifikasi termasuk plug-in hybrid (PHEV) dan elektrik penuh (EV) di sini selepas ini.

    “Seperti yang telah kami lakukan dengan jayanya di banyak pasaran lain, Chery berazam untuk menempatkan operasinya di Malaysia sejauh mungkin. Kami percaya ini akan membawa kami lebih dekat dengan pengguna Malaysia untuk memahami sepenuhnya keperluan dan kehendak mereka, apatah lagi menyumbang secara ekonomi kepada negara melalui pemindahan teknologi serta penciptaan peluang pekerjaan dan strategik,” kata Chen.

    Chery jadikan Malaysia hab ASEAN dengan kerjasama Inokom; pusat R&D RHD, turut eksport ke Australia

    “Kami juga mempercepatkan semua aspek lain dalam strategi lokalisasi kami, termasuk merekrut bakat terbaik Malaysia dalam bidang seperti produk, jualan, selepas jualan, penjenamaan dan pemasaran, dan sudah tentu melalui rangkaian pengedar kami – kami sasarkan untuk membuka tidak kurang daripada 30 pengedar meliputi semua bandar utama di seluruh negara,” tambahnya lagi.

    Jika anda masih terbayang-bayang akan model-model Chery terdahulu yang dijual di pasaran tempatan, anda mungkin terkejut dengan produk-produk terbaharu jenama berkenaan yang dibawa ke sini. Spesifikasi dan imej berkenaan Chery Tiggo 8 Pro boleh anda baca pada PAUTAN INI, dan Omoda 5 pula pada PAUTAN INI.

    Harga bagi kedua-duanya masih belum diumumkan, dan keduanya-duanya akan dilancarkan secara rasmi menjelang akhir Jun atau awal Julai tahun ini. Model elektrik penuh Omoda 5 pula dijangka akan tiba di sini pada akhir 2023, manakala versi PHEV dirancang untuk diperkenalkan dalam pasaran tempatan pada awal tahun hadapan.

    GALERI: Chery Tiggo 8 Pro di Malaysia

    GALERI: Chery Omoda 5 di Malaysia

     
     
  • Perodua sasar isu penapis minyak enjin bocor selesai pertengahan tahun ini; 40k unit kenderaan terlibat

    Perodua sasar isu penapis minyak enjin bocor selesai pertengahan tahun ini; 40k unit kenderaan terlibat

    Perodua mensasarkan untuk menyelesaikan isu penapis minyak pelincir yang kerap bocor pada model-modelnya menjelang pertengahan tahun ini. Perkara ini dinyatakan oleh CEO dan Presiden Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad ketika ditanya oleh pihak media pada Malaysia Autoshow 2023 yang berlangsung di MAEPS, Serdang hari ini.

    Menurut Zainal lagi, semua kenderaan yang terjejas ini adalah unit-unit yang diservis di pusat servis bertauliah Perodua yang menggunakan alat ganti asli Perodua. Walau bagaimanapun, ia tidak melibatkan kenderaan-kenderaan baharu yang keluar dari kilang kerana ia dibekalkan oleh vendor yang berbeza.

    Buat masa sekarang Perodua mengesahkan bahawa sekitar 40,000 unit kenderaan dari keseluruhan 4.5 juta kenderaan Perodua yang masih berada di atas jalan raya terjejas dengan masalah ini, dan ia terdiri dari model-model termasuk Axia, Myvi, Alza dan Ativa. Perodua Aruz pula disahkan tidak terlibat dengan isu penapis minyak pelincir enjin yang bocor ini.

    Zainal turut menyatakan bahawa mana-mana pelanggan yang terjejas dengan masalah ini perlu membawa kenderaan mereka ke pusat servis Perodua – pihaknya bukan hanya akan menukar penapis minyak berkenaan, malah turut akan menukar sekali minyak enjin secara percuma, tanpa sebarang caj.

    Beliau turut menyatakan tuntutan trend waranti berkenaan dilihat telah menurun bermula pada bulan Februari lalu apabila kebanyakkan kenderaan yang terjejas telah menerima unit penapis minyak yang telah dikemaskini.

     
     
  • Lesen memandu boleh diperbaharui untuk tempoh maksima 10 tahun – bayar 9 tahun, percuma 1 tahun

    Lesen memandu boleh diperbaharui untuk tempoh maksima 10 tahun – bayar 9 tahun, percuma 1 tahun

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan, bermula 8 Mei ini, orang ramai boleh memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk tempoh maksimum 10 tahun, berbanding had lima tahun pada masa ini. Ini merupakan salah satu antara dua inisiatif yang diperkenalkan oleh kementeriannya.

    Di samping itu, jika anda memperbaharui selama 10 tahun, anda hanya perlu membayar untuk pembaharuan 9 tahun, yang pada dasarnya adalah tawaran beli 9 percuma 1, atau diskaun 10%. Yuran pembaharuan adalah RM30 setahun, jadi pembaharuan selama 10 tahun akan menelan kos RM270, iaitu penjimatan sebanyak RM30.

    “Bagi orang ramai yang berminat, mereka hendaklah memastikan baki tempoh sah laku LMM semasa adalah tidak melebihi satu tahun. Orang ramai juga akan dibenarkan memperbaharui LMM antara 1 sehingga 10 tahun mengikut pilihan masing-masing tertakluk kepada had maksimum 10 tahun,” katanya dalam sidang media hari ini.

    Tambah beliau, inisiatif ini hanyalah untuk warganegara Malaysia sahaja dan tidak terpakai kepada warganegara asing atau mana-mana pemegang pas permit jangka masa panjang atau Kad MyKAS yang mana terikat dengan tempoh sah laku pasport individu terbabit.

    Lesen memandu boleh diperbaharui untuk tempoh maksima 10 tahun – bayar 9 tahun, percuma 1 tahun

    Manakala inisiatif kedua pula adalah kebenaran khas pembaharuan LMM tamat tempoh. Kata Loke, ia mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sepanjang pandemik Covid-19 serta kekangan dihadapi oleh rakyat Malaysia di luar negara yang tidak dapat memperbaharui LMM masing-masing kerana tidak berpeluang untuk pulang ke tanah air.

    “MOT akan memberi kebenaran khas kepada mana-mana pemegang LMM yang telah tamat tempoh sah laku untuk memperbaharui LMM masing-masing tanpa perlu menjalani semula ujian. Namun, kebenaran khas ini hanya terhad kepada LMM yang mana tempoh sah laku telah tamat mulai 1 Januari 2018 dan ke hadapan sahaja.

    “Tempoh kebenaran khas ini hanya berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2023 sahaja. Peraturan sedia ada akan berkuat kuasa semula pada 1 Januari 2024. Untuk makluman, ketika ini dasar sedia, sesiapa yang lesen mereka sudah tamat tempoh melebihi tiga tahun dia tak boleh perbaharui lagi, kena ambil ujian semula,” jelasnya.

    Tambahnya, inisiatif dan kebenaran khas ini hanya boleh dinikmati oleh pemegang LMM yang bebas daripada sebarang sekatan urus niaga JPJ dan tidak disenarai hitam Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta bebas daripada sebarang penggantungan akibat suatu hukuman atau Perintah Mahkamah.

     
     
  • Harga minyak 4-10 Mei 2023 – Masih dikekalkan

    Harga minyak 4-10 Mei 2023 – Masih dikekalkan

    Bagi minggu bertarikh 4 hingga 10 Mei 2023, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel masih dikekalkan. Ini merupakan minggu ke-17 tiada perubahan bagi harga runcit petrol dan diesel.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.35 seliter, selepas ia mengalami penurunan harga selama tiga minggu berturut-turut sepanjang Disember 2022. Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 13 Mac lalu, kerajaan berkata rancangan untuk memperkenalkan program subsidi bahan api bersasar masih diteruskan, namun akan dimulakan dengan diesel, manakala bagi petrol RON 95 akan ditangguhkan untuk tempoh lain. Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, subsidi yang disasarkan akan terlebih dahulu melibatkan elektrik dan diesel apabila ia dilaksanakan

     
     
  • Neta V di Malaysia — EV paling murah bawah RM100k, baucar tunai RM10k, jarak 380 km, 120 km/j maksimum

    Neta V di Malaysia — EV paling murah bawah RM100k, baucar tunai RM10k, jarak 380 km, 120 km/j maksimum

    Intro Synergy Sdn Bhd, anak syarikat GoAuto Group Sdn Bhd buat pertama kalinya mendedahkan model Neta V untuk pasaran Malaysia. Dijangka akan dilancarkan dan mula diserahkan kepada pembeli pada suku ketiga 2023, harga model elektrik ini juga sudah diumumkan: RM99,800 atas jalan, menjadikannya model EV pertama di Malaysia yang dijual di bawah RM100k.

    Hasil kerjasama dengan pengeluar kenderaan China Hozon New Energy Auto, Neta V kini menjadi EV paling murah yang boleh dibeli di sini. Dengan penampilan sulung ini juga, Neta V mula dibuka untuk tempahan, dan untuk tempoh terhad sepanjang Malaysia Autoshow 2023 berlangsung bermula esok hingga Ahad nanti, 100 pelanggan pertama yang membuat tempahan secara dalam talian akan menerima baucar tunai bernilai RM10k — ini menurunkan lagi harganya menjadi RM89,800.

    Neta V di Malaysia — EV paling murah bawah RM100k, baucar tunai RM10k, jarak 380 km, 120 km/j maksimum

    Neta V datang dengan bateri lithium-ion 38.5 kWh yang memberikan jarak bergerak 380 km mengikut kitaran NEDC. Untuk pengecasan, AC dengan Type 2 pada kadar maksimum 6.6 kW akan memerlukan masa lapan jam untuk cas penuh. Pengecasan pantas DC juga ada (dengan CCS2) pada kadar 100 kW dan mampu mengecas dari 30-80% dalam masa 30 minit. Ia juga boleh menjadi sumber tenaga kepada peranti lain melalui sistem vehicle-to-load (V2L) yang mampu menyalurkan sebanyak 3.3 kW.

    Motor elektrik depan kereta ini membekalkan 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan 150 Nm tork. Pengeluarnya mendakwa pecutan 0-50 km/j boleh dicapai dalam masa 3.9 saat, dan laju maksimum 120 km/j. Neta V mempunyai ukuran 4,070 mm panjang, 1,690 mm lebar, 1,540 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,525 mm.

    Neta V di Malaysia — EV paling murah bawah RM100k, baucar tunai RM10k, jarak 380 km, 120 km/j maksimum

    Ditawarkan hanya dalam satu varian, Neta V dilengkapi rim aloi 16-inci (profil 185/55), lampu projektor halogen automatik, DRL LED, lampu belakang LED, sistem tanpa kunci, panel instrumen digital 12-inci, parkir brek elektronik, skrin intotainmen 14.6-inci dengan kamera undur dan enam pembesar suara, kerusi balutan kulit buatan dan larasan empat-arah.

    Aspek keselamatan pula datang dengan dua beg udara, ABS, EBD, bantuan brek, kawalan cengkaman dan ESC. Tiada sistem keselamatan aktif seperti AEB dan bantuan mengekalkan lorong, tetapi ada ciri lain seperti Auto Brake Hold, bantuan mula mendaki, kawalan menuruni curam, peninjau tekanan tayar dan kawalan melayar pasif.

    Lima pilihan warna tersedia: Sakura Pink, White Storm, Sky Blue, Cyan dan Midnight Gray. Apa pandangan anda tentang Neta V? Cukup yakin untuk dijadikan EV pertama?

     
     
  • Kawasaki Z H2 SE tiba di Malaysia – RM97,800

    Kawasaki Z H2 SE tiba di Malaysia – RM97,800

    Selain model offroad KX250 dan KX250X, Kawasaki hari ini di acara Malaysia Autoshow 2023 turut melancarkan Z H2 SE untuk pasaran Malaysia, dengan harga jualan RM97,800 tidak termasuk insurans. Tempahan sudah boleh dibuat tetapi unit untuk pelanggan dijangka tiba pada penghujung bulan Jun, dengan pilihan warna Metallic Matte Graphene Steel Gray atay Metallic Matte Graphene Steel Ebony.

    Model yang berspesifikasi lebih tinggi daripada Z H2 biasa ini didedahkan pertama kali kepada dunia pada tahun 2020, dan ia menerima beberapa peningkatan termasuk pada bahagian suspensi dan juga brek.

    Untuk suspensi, ia menggunakan unit elektronik semi aktif Showa Skyhook yang terdiri daripada fork 43 mm SFF-CA dan monoshock Uni Trak BFRC di belakang. Selain boleh dilaras mengikut mod tunggangan, suspensi ini juga boleh melaras sendiri sepanjang masa untuk menjadikan tunggangan lebih selesa.

    Selain daripada itu, kelengkapan Z H2 SE adalah sama seperti Z H2 standard dan ini termasuklah skrin TFT yang boleh disambung kepada telefon pintar menggunakan Bluetooth, quickshifter dan semua lampu jenis LED.

    Pada bahagian elektronik, ia datang dengan IMU yang boleh mengawal fungsi Kawasaki Intelligent Brake System (KIBS) dan Kawasaki Traction Control (KTRC), serta cruise control, Kawasaki Launch Control Mode (KLCM), Kawasaki Cornering Management Function (KCMF) dan tiga mod tunggangan.

    Kawasaki Z H2 SE tiba di Malaysia – RM97,800

    Enjin pula masih lagi menggunakan unit empat silinder DOHC 998 cc dengan bantuan supercharger, untuk menghasilkan kuasa sehingga 200 PS pada 11,000 rpm dan 137 Nm tork pada 8,500 rpm. Transmisi adalah unit enam kelajuan sementara berat keseluruhan motosikal adalah 240 kg.

    Pada bahagian brek, motosikal ini dilengkapi dengan angkup Brembo Stylema Monobloc serta master cylinder Brembo untuk dipadankan bersama cakera berkembar 320 mm di hadapan, demi memberikan prestasi brek yang lebih baik. Brek belakang menggunakan cakera 260 mm dan angkup satu piston.


     
     
  • Kawasaki KX250 dan KX250X tiba di Malaysia – RM35k

    Kawasaki KX250 dan KX250X tiba di Malaysia – RM35k

    Menyusuli pengumuman yang dibuat Mac lalu, model offroad pertama Kawasaki di bawah pengurusan Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) kini sudah tiba di Malaysia, iaitu KX250 dan KX250X, dengan harga jualan asas masing-masing RM35,000 dan RM35,500.

    Dua model yang tidak boleh digunakan atas jalan biasa ini (kerana tidak mempunyai lampu dan pelbagai kelengkapan lain) digerakkan oleh enjin satu silinder empat strok DOHC penyejukan cecair 249 cc, bersama padanan transmisi lima kelajuan. Kuasa maksimumnya bagaimanapun tidak didedah.

    Enjin tersebut didatangkan dengan tetapan khas untuk perlumbaan, dan demi membantu penunggang, ia dilengkapi dengan pemula enjin elektrik, sistem launch control serta pemegang Renthal Fatbar yang boleh dilaras mengikut keselesaan.

    Bahagian rim dua motosikal ini mempunyai sedikit perbezaan, dengan KX250 menggunakan kombinasi unit 21 inci dengan tayar 80/100 di hadapan dan 19 inci dengan tayar 110/90 di belakang, sementara KX250X datang dengan rim 21 inci dengan tayar 80/100 di hadapan dan 18 inci dengan tayar 110/100 di belakang. Brek adalah sama, iaitu unit cakera tunggal 270 mm dengan angkup dua piston di hadapan dan cakera 240 mm dengan angkup satu piston di belakang.

    Suspensi kedua-duanya juga adalah sama, terdiri daripada fork USD 48 mm dengan pelarasan serapan 23 tahap dan lantunan 20 tahap di hadapan serta monoshock larasan mampatan 21 tahap, serapan 38 tahap dan pra beban boleh laras.

    Walaupun kedua-dua model ini kelihatan sama, penggunaan rim belakang yang lebih kecil pada KX250X telah menyebabkan dimensinya berubah menjadi lebih pendek dan rendah, dengan catatan jarak roda 1480 mm (-6 mm), tinggi
    tempat duduk 945 mm (-15 mm) dan jarak dari tanah 330 mm (-15 mm).

    GALERI: Kawasaki KX250X 2023

    GALERI: Kawasaki KX250 2023

     
     
  • Perodua EM-O Concept — rekaan untuk EV pertama, sekaligus jadi gambaran untuk Myvi generasi baru?

    Perodua EM-O Concept — rekaan untuk EV pertama, sekaligus jadi gambaran untuk Myvi generasi baru?

    Sempena Malaysia Autoshow 2023 kali ini, Perodua mempamerkan sebuah rekaan konsep skala kecil bagi model elektrik keluarannya yang akan datang, dikenali dengan nama EM-O (singkatan bagi Electric Motion Online). Secara umumnya, ia menampilkan rekaan futuristik dengan garisan tajam yang mungkin menjadi petunjuk kepada pendekatan rekaan kenderaan syarikat itu ke hadapan.

    Bahagan depannya nampak garang, dengan garisan bonet yang ketara, diikuti dengan rekaan lampu depan yang bersegi dan tajam. Rekaan bamparnya nampak sibuk, dengan bukaan udara untuk rekaan gril yang luas dengan kemasan hitam di bahagian sisinya, serta beberapa jalur neon yang mungkin untuk memberi petunjuk bahawa ini rekaan untuk model elektrik.

    Perodua EM-O Concept — rekaan untuk EV pertama, sekaligus jadi gambaran untuk Myvi generasi baru?

    Bahagian sisinya nampak lebih menarik, dengan penggayaan sangat sporty yang seimbang. Ia rekaan hatchback empat-pintu yang nampak bersih dari bahagian tepi, dengan hanya garis dan lekuk badan yang ketara dan tetap kemas. Pemegang pintunya tersorok, dan kemasan dalam rekaan yang sama seperti bahagian gril di depan menghuni sebahagian besar ruang tingkap penumpang belakang — bukan sesuatu yang praktikal, tetapi kita faham, ini sebuah rekaan konsep.

    Rekaan rim juga tertutup, seperti kebiasaannya yang digunakan oleh kenderaan elektrik. Kesinambungan jalur neon di depan juga boleh dilihat sebahagiannya pada rim, serta bahagian bawah badan kenderaan. Berbanding depan, bahagian belakangnya nampak lebih garang.

    Dimulakan dari atas dengan rekaan spoiler yang besar, EM-O diberikan rekaan lampu belakang LED dengan kelebaran penuh. Selebihnya semua dibiarkan bersih, dengan dihiasi beberapa garis dan lekuk, sebelum bahagian bawahnya hadir dengan kemasan hitam di sisi serta kesinambungan lagi bagi jalur neon untuk dihabiskan di belakang.

    Maklumat lain berkenaan kereta ini ialah ukurannya: 3,895 mm panjang, 1,735 mm lebar dan 1,515 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,500 mm. Ini saiz yang sebenarnya menghampiri saiz Myvi. Dengan kuasa elektrik motor yang didakwa 95 PS dan 121 Nm, pecutan 1-100 km/j dalam masa 10 saat dan laju maksimum 160 km. Bateri 50 kWh pula menawarkan rekaan konsep ini jarak antara 300-350 km, dan dengan pengecas DC — sehingga 300 kW, seperti dinyatakan — ia hanya memerlukan 20 minit untuk menjadikan kapasiti bateri 80%.

    Rekaan ini juga mungkin membawa gambaran dan saiz dan keseimbangan rekaan bagi model Myvi akan datang. Jika ini benar, apa pandangan anda tentang rekaan tersebut?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025