Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Chery Tiggo 8 Pro 2023 buat kemunculan sulung di Malaysia – 7-kerusi, 2.0T 250 hp/390 Nm, lancar Jun

    Chery Tiggo 8 Pro 2023 buat kemunculan sulung di Malaysia – 7-kerusi, 2.0T 250 hp/390 Nm, lancar Jun

    Seperti yang kami laporkan tempoh hari, hari ini secara rasmi Chery Tiggo 8 Pro dalam versi sebenar spesifikasi tempatan (pemanduan sebelah kanan) membuat kemunculan sulungnya di Malaysia, menandakan kembalinya semula jenama dari China itu ke dalam negara.

    Kemunculan Tiggo 8 Pro di Malaysia Autoshow 2023 di MAEPS Serdang ini diiringi sekali dengan satu lagi SUV iaitu Chery Omoda 5, namun pelancaran rasmi untuk kedua-dua model ini hanya akan dibuat sekitar bulan Jun atau Julai nanti. Jadi apa yang ditawarkan oleh Chery untuk Tiggo 8 Pro bagi model sebenar pasaran Malaysia ini?

    Chery Tiggo 8 Pro ini merupakan SUV segmen-D tujuh tempat duduk yang bakal berhadapan dengan lawan seperti Proton X90. Di China model ini dikenali sebagai Tiggo 8 Pro Max, namun perkataan “Max” berkenaan digugurkan di sini bagi memberikan nama yang lebih ringkas.

    Chery Tiggo 8 Pro 2023 buat kemunculan sulung di Malaysia – 7-kerusi, 2.0T 250 hp/390 Nm, lancar Jun

    Untuk enjin, Tiggo nampaknya bakal menjadi antara model yang paling berkuasa dalam kelasnya – dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api penuh (T-GDI) menghasilkan 250 hp dan tork maksima 390 Nm. Kuasa dari enjin berkenaan hanya disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, serta diberikan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

    Dari segi rupa, model sebenar spesifikasi tempatan ini agak sedikit berbeza dari versi yang dipratonton di Malaysia pada tahun lalu. Tiggo 8 Pro 2023 ini menampilkan gril “galaxy’ baharu pada sebelah muka, manakala di belakang ia hadir dengan lampu bar LED yang merentangi sepenuhnya bersama lampu brek ketiga berbentuk-T. Set roda juga dipertingkat dengan rim 19-inci, berbanding hanya 18-inci yang ditunjuk sebelum ini.

    Bahagian dalam Tiggo 8 ini juga dilihat menerima perincian yang agak mewah. Ia menerima papan pemuka dengan elemen melintang, bersama skrin gergasi berkembar dengan saiz 24.6-inci secara keseluruhan untuk sistem infotainmen dan paparan instrumen digital penuh.

    Chery Tiggo 8 Pro 2023 buat kemunculan sulung di Malaysia – 7-kerusi, 2.0T 250 hp/390 Nm, lancar Jun

    Imej ‘mewah’ pada Tiggo 8 ini juga sebenarnya datang dari rekaan yang nampak dinspirasikan dari model-model dari Mercedes-Benz – cuba lihat pada bahagian-bahagian seperti suis-suis kawalan, kemasan kayu pada papan pemuka dan juga gril pembesar suara dengan gaya Burmester pada pintu serta jalur LED untuk lampu suasana kabin.

    Ia juga menerima roda stereng baharu, menampilkan tulisan ‘Chery’ bagi menggantikan logo rasmi. Kabin Tiggo 8 Pro 2023 pasaran Malaysia ini juga menerima lapan-pembesar suara dari Sony serta sembilan beg-udara.

    Antara perincian lain yang turut dibekalkan untuk Tiggo 8 Pro pasaran Malaysia ini termasuk brek parking elektonik bersama fungsi auto-hold, lampu hadapan LED automatik bersama lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, lampu selamat datang bersama lampu suasana kabin pelbagai warna, tempat duduk hadapan larasan elektrik dengan pemanas/liang udara, fungsi memori pada tempat duduk pemandu, pendingin hawa automatik dua-zon dengan liang kabin belakang, pintu tailgate berkuasa, bumbung suria panaromik elektrik, pengecas tanpa wayar serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Manakala untuk keselamatan, model ini datang dengan sistem bantuan pemanduan termaju penuh yang memberikan fungsi termasuk amaran keluar dan pengekal lorong, pengesan titik buta, amaran buka pintu, amaran lintasan trafik belakang, cruise control adaptif, amaran pelanggaran hadapan dan brek kecemasan automatik.

    Ia juga dilengkapi dengan sistem kamera 540 darjah (ya, bukan 360, tapi 540 darjah) yang bukan sahaja memberikan pantauan sekeliling kereta, malah turut dilengkapi dengan kamera di bawah lantai kenderaan.

    Chery Malaysia masih belum memberikan sebarang bayangan berkenaan harga jualan bagi Tiggo 8 Pro ini. Namun dengan saiz serta kelengkapan yang diberikan, kami angggarkan ia mungkin dijual pada harga sekitar RM160k.

     
     
  • Modenas Dominar D250 dan D400 Adventure tiba di Malaysia – harga jualan RM13,797 dan RM15,797

    Modenas Dominar D250 dan D400 Adventure tiba di Malaysia – harga jualan RM13,797 dan RM15,797

    Bersempena dengan acara Malaysia Autoshow 2023 yang bermula hari ini untuk wakil media, Modenas telah melancarkan dua versi baru bagi motosikal adventure touring Dominar iaitu Dominar D250 dan D400 Adventure (versi dipertingkat), dengan harga masing-masing RM13,797 dan RM15,797.

    Perbezaan utama dua model ini adalah pada bahagian enjin, di mana D250 dipacu oleh unit satu silinder DOHC Twin Spark suntikan bahan api 248.77 cc, yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 27 PS pada 8,500 rpm dan 23.5 Nm tork pada 6,500 rpm.

    D400 pula digerakkan oleh enjin satu silinder DOHC tiga palam pencucuh berkapasiti 373.2 cc bersama transmisi enam kelajuan, dengan model baru ini sudah melepas tahap emisi Euro 4 dan tetapi ia telah ditala semula untuk menghasilkan 40 hp pada 8,650 rpm dan 35 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Modenas Dominar D250 dan D400 Adventure tiba di Malaysia – harga jualan RM13,797 dan RM15,797

    Selain daripada itu, D400 juga kini didatangkan terus dengan aksesori yang termasuk penghadang angin lebih tinggi, pelindung tangan baru, pelindung kaki, pelindung enjin, penyandar belakang serta tempat meletak telefon bersama pengecas USB.

    Suspensi serta brek dua motosikal ini juga mempunyai sedikit perbezaan, di mana D250 didatangkan dengan fork USD 37 mm dan brek cakera 300 mm di hadapan, sementara D400 pula mendapat fork USD 43 mm serta brek cakera 320 mm. Suspensi dan brek belakang pula adalah sama, iaitu unit monoshock dengan pelarasan pra beban dan tabung Nitrox, serta brek cakera 230 mm. ABS two-channel diberikan secara standard.

    Hasil daripada penggunaan asas yang sama, dimensi dua motosikal ini juga adalah sama, dengan ukuran panjang 2,156 mm, lebar 836 mm dan tinggi 1,112 mm. Berat D250 adalah kurang sedikit menjadi 180 kg, sementara D400 mencatat 184 kg. Tangki bahan api adalah 13 liter.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada D250 dan D400 adalah lampu hadapan LED, panel paparan LCD serta rim 17 inci dengan tayar 100/80 di hadapan (tayar belakang menggunakan saiz 130/70 bagi D250 dan 150/60 bagi D400).

    Kedua-dua Dominar D250 dan D400 sudah mula dijual bulan ini, dan disediakan dalam pilihan warna Racing Red,Sparkling Black dan Citrus Rush untuk D250 dan Savanna Green atau Charcoal Black untuk D400. Jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    GALERI: Modenas Dominar D250


    GALERI: Modenas Dominar D400 Adventure


     
     
  • MINI Electric Resolute Edition 2023 di Malaysia — kini dalam tiga warna, 90 unit sahaja, harga dari RM206k

    MINI Electric Resolute Edition 2023 di Malaysia — kini dalam tiga warna, 90 unit sahaja, harga dari RM206k

    90 unit MINI Electric Resolute Edition kembali lagi untuk tahun 2023, dibawakan oleh MINI Malaysia untuk pelanggan tempatan. Model ini dijual pada harga RM205,834 atas jalan tidak termasuk insuran, dengan jaminan standard dua-tahun.

    Dengan pakej lanjutan jaminan empat-tahun dan servis pula, harganya akan menjadi RM211,164. Setiap pembelian turut diberikan jaminan lapan-tahun/100,000 km untuk bateri, serta jaminan lima-tahun untuk bantuan tepi jalan.

    Seperti sebelum ini, Resolute Edition menampilkan beberapa sentuhan estetika untuk membezakannya daripada MINI Electric biasa. Ini termasuklah perincian Resolute Bronze yang menggantikan kemasan krom di beberapa bahagian di luar, termasuk keliling lampu utama, gril depan, lampu belakang serta pemegang pintu yang ada.

    MINI Electric Resolute Edition 2023 di Malaysia — kini dalam tiga warna, 90 unit sahaja, harga dari RM206k

    Ini disertai juga oleh lencana, bingkai gril radiator, logo jenama yang datang dalam warna Piano Black. Selain itu, tulisan Resolute juga ditambah, serta penggunaan rim 17-inci aloi Electric Collection Spoke. Perbezaan utama berbanding edisi Resolute sebelum ini pula ialah pilihan warna yang lebih banyak. Selain kembalinya warna luaran Rebel Green, versi ini juga ditawarkan dalam warna Enigmatic Black dan Nanuq White.

    Di dalam, gabungan material fabrik/kulit yang sama digunakan, dalam warna Black Pearl/Light Chequered, sementara bahagian bawah stereng balutan kulitnya diberikan penjenamaan khusus. Jalur dengan corak garis yang jelas dalam tona emas juga boleh kelihatan di beberapa tempat.

    Tiada perubahan bagi sistem janaan elektriknya, dengan Resolute Edition ini turut menggunakan motor elektrik di depan yang membekalkan 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan 270 Nm tork. Ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat dan laju maksimum mencecah 150 km/j.

    MINI Electric Resolute Edition 2023 di Malaysia — kini dalam tiga warna, 90 unit sahaja, harga dari RM206k

    Motor elektriknya menerima kuasa daripada bateri lithium-ion 32.6-kWh yang memberikan jarak perjalanan 232 km mengikut kitaran WLTP. Untu pengecasan, AC 11 kW dengan sambungan Type 2 memerlukan masa 2.5 jam, sementara DC pantas dengan sambungan CCS2 sehingga 50 kW, hanya 36 minit diperlukan untuk pengecasan dari 10-80%.

    Kelengkapan lain juga sama: lampu utama LED adaptif, sistem tanpa kunci, pendingin dua zon, cermin anti silau, Park Assist, head-up display, kluter instrumen digital lima-inci, skrin sentuh 8.8-ini dengan MINI Navigation System serta Apple CarPlay, sistem bunyi Harman Kardon dengan 12-pembesar suara, pengecas tanpa wayar Qi, kamera undur, enam beg udara dan pakej Driving Assistant (AEB, LDW) kini standard.

     
     
  • Subaru Forester facelift 2023 dilancarkan di Malaysia – 4 varian, 2.0L NA, EyeSight 4.0; RM175,300-RM195,500

    Subaru Forester facelift 2023 dilancarkan di Malaysia – 4 varian, 2.0L NA, EyeSight 4.0; RM175,300-RM195,500

    Pada 7 April lalu, kami melaporkan Subaru Forester facelift telah pun memasuki pasaran Malaysia. Dan hampir sebulan tempahannya dibuka, petang ini pengedarnya di Malaysia, TC Subaru, telah melancarkannya secara rasmi.

    Barisan Forester facelift 2023 yang merupakan unit import sepenuhnya (CBU) ini menawarkan empat varian dengan harga RM173,500 untuk 2.0i-L EyeSight, RM179,500 bagi 2.0i-L GT Lite Edition EyeSight, RM183,500 untuk 2.0i-S EyeSight dan 2.0i-S GT Edition EyeSight berharga RM195,500. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

    Ini merupakan generasi kelima bagi Forester dengan model kitaran-pertengahan yang masih mengekalkan bahagian mekanikalnya, seperti model terdahulu. Iaitu enjin 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder boxer dengan hamburan kuasa 156 PS pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm.

    Unit FB20 ini digandingkan dengan Lineartronic CVT bersama mod manual tujuh-kelajuan (dan pedal penukar gear di belakang stereng) dan sistem Subaru symmetrical AWD, yang membuatkan Forester ini lebih mantap berbanding SUV urban yang lain.

    Dua model tertinggi 2.0i-S EyeSight dan 2.0i-S GT Edition EyeSight menampilkan Dual Function X-Mode, sementara dua varian bawahnya hanya diberikan X-Mode. Selain itu, kesemuanya diberikan kawalan mendaki bukit dan penvektoran tork aktif, serta SI-Drive yang menawarkan mod pemanduaan Intelligent dan Sport. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam 10.3 saat dan kelajuan maksimum mencecah 193 km/j.

    Untuk menampakkan kelainan pada model facelift ini, ia telah diberikan semakan semula yang agak minimal untuk bahagian hadapannya, termasuk menampilkan lampu utama projektor LED dengan auto-leveliser yang kini berbentuk lebih tajam, dengan kluster baharu bersama lampu nyalaan siang LED.

    Subaru Forester facelift 2023 dilancarkan di Malaysia – 4 varian, 2.0L NA, EyeSight 4.0; RM175,300-RM195,500

    Setiap kluster menampilkan elemen menghala ke gril kemasan hitam berkilat yang lebih menonjol, dan mempunyai sisipan baharu di antara bentuk haksagon. Kini ‘wings’ krom untuk logonya lebih minimal, hanya menampilkan dua garisan kecil. Hanya varian 2.0i-S EyeSight dan 2.0i-S GT Edition EyeSight menerima lampu kabus hadapan LED.

    Melengkapkan lagi gayanya, bahagian bampar juga telah diprofilkan semula. Ia turut menampilkan seksyen ‘timbul’ di bawah lampu utama untuk efek 3D, dan sekeliling lampu kabusnya kini mempunyai serlahan tiga garisan krom. Manakala roda aloi metalik gelap bersaiz 17-inci dengan tayar profil 225/60 R17 diberikan untuk 2.0i-L EyeSight dan 2.0i-L GT Lite Edition EyeSight. Untuk varian 2.0i-S EyeSight dan 2.0i-S GT Edition EyeSight diberikan roda aloi metalik gelap yang lebih besar bersaiz 18-inci dibaluti tayar Bridgestone Dueler 225/55 R18.

    Untuk kedua-dua varian GT Edition pula, ia diberikan tambahan ciri yang lebih menyerlahkan lagi imej sporty termasuk lip extension pada bahagian bampar hadapan dan belakang, skirt sisi, dan spoiler bumbung. Dan ciri pilihan roda aloi bespoke diberikan hanya untuk GT Lite.

    Tiada perubahan yang dilakukan pada bahagian belakang SUV ini. Untuk versi GT Edition, ia masih diberikan ciri kelengkapan termasuk kepingan hitam diletakkan di atas reflektor. Sama seperti hadapan, bahagian bawahnya dibaluti kepingan kemasan perak untuk paip ekzos tunggal.

    Untuk bahagian dalamnya pula, Forester versi GT Edition diberikan tempat duduk balutan kulit dengan paten quilted di tengah dan kemasan kelabu di tepi. Manakala varian bukan GT Edition diberikan tempat duduk material kulit. Malahan roda stereng dan tombol gear juga dibaluti balutan kulit.

    Kesemua varian menerima skrin sesentuh HD 8.0-inci dengan Apple CarPlay, Android Auto dan Bluetooth, tempat duduk hadapan lapan-larasan kuasa, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, pendingin hawa auto dwi-zon, paparan pandangan sekeliling 360-darjah, brek parkir elektronik dengan penahan auto dan tailgate kuasa dengan fungsi memori.

    Barisan Forester facelift 2023 ini turut menerima tiga ciri baharu bagi fungsi EyeSight 4.0 yang merangkumi Innovative Stereo Camera, Adaptive Cruise Control dengan Lane Centering Function, dan Lane Departure Warning & Prevention. Manakala em>Pre-Collision Braking sedia ada telah dipertingkatkan dan ciri yang masih dikekalkan termasuk Lane Sway Warning, Lead Vehicle Start Alert dan Pre-Collision Throttle Management.

    Walau bagaimana pun, hanya varian 2.0i-S EyeSight yang dilengkapi ciri tambahan Autonomous Emergency Steering (AES). Manakala ciri keselamatan lain yang masih dikekalkan untuk kesemua varian termasuklah tujuh beg udara, ABS dengan EBD, Penvektoran Tork Aktif, brek parkir elektronik, dan Berhenti Kecemasan.

    SUV ini juga diberikan tiga pilihan warna baharu iaitu Magnetite Grey Metallic, Cascade Green Silica dan Brilliant Bronze Metallic. Dan turut mengekalkan warna sedia ada termasuk Crystal White Pearl, Horizon Blue Pearl, Ice Silver Metallic dan Crystal Black Silica. Setiap pembelian Forester 2023 ini turut didatangkan dengan waranti lima-tahun/100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

    GALERI: Subaru Forester 2.0 i-S Eyesight GT Edition

     
     
  • BMW Malaysia, EV Connection perkenal Pengecas EV Bergerak pertama di Malaysia – 20 kWj, 15 kW DC

    BMW Malaysia, EV Connection perkenal Pengecas EV Bergerak pertama di Malaysia – 20 kWj, 15 kW DC

    BMW Group Malaysia bersama penyedia pengecas kenderaan elektrik tempatan iaitu EV Connection bekerjasama menghasilkan pengecas EV bergerak pertama di Malaysia. Kemudahan yang dibawa oleh sebuah van Nissan Vannete C22 dan dihasilkan menggunakan bateri EV dari model-model elektrik BMW dan MINI itu kini sedang dipamerkan di Malaysia Autoshow 2023 yang berlangsung di MAEPS, Serdang.

    Prototaip pengecas berkenaan menampilkan 16-unit modul bateri BMW yang digunakan semula dengan “tahap kesihatan” bateri kira-kira 70% untuk menyimpan kuasa, memberikan kapasiti mengecas sebanyak 20 kWj dan mampu menghasilkan sehingga 30 kVA dari kuasa AC tiga-fasa.

    Difahamkan fasiliti yang dibawa oleh Nissan Vannette ini merupakan satu-satunya prototaip yang sudah boleh digunakan, manakala unit sebenar nanti akan dihasilkan menggunakan kenderaan dari jenama yang berbeza.

    Untuk mengecas kenderaan, pengecas bergerak ini dilengkapi dengan pengecas DC 30kW tetapi telah dikecilkan kepada 15 kW bagi memanjangkan hayat bateri yang diletakkan pada bahagian belakang van berkenaan. Ini juga membolehkan kuasa yang dibekalkan cukup untuk mengecas dua EV, bagi membolehkan kedua-dua kenderaan yang dibantu berkenaan bergerak ke stesen cas sebenar terdekat.

    Selain dari membantu mengecas EV yang “tersadai”, pengecas bergerak ini juga mampu untuk menjadi “powerbank gergasi” bagi membekalkan kuasa ke kawasan bencana yang tidak ada bekalan elektrik. Ia mampu untuk membekalkan kuasa sehingga lapan rumah pada kapasiti penuh.

    Pengecas bergerak ini terhasil dari program “hayat kedua bateri” yang diinisiatifkan oleh BMW Group Malaysia. Sasaran program berkenaan adalah untuk menggunakan semula bateri EV yang sudah tidak dipakai bagi mengembangkan lagi kegunaan elektrifikasinya.

    Menurut BMW Malaysia, usaha ini akan dikembangkan lagi kepada solusi voltan-tinggi bagi menyediakan kemudahan seperti hab pengecas urban, generator mudah alih untuk zon bencana dan juga elektrifikasi untuk kawasan pedalaman.

    “Penggunaan semula bateri yang sudah tamat hayat dari kenderaan elektrik kami ini pada asasnya meletakkannya kembali ke tempatnya untuk terus berkhidmat kepada ekosistem EV, selepas ia melengkapkan kitaran hayatnya dalam kenderaan kami. Dengan cara ini nilai penting logam berharga yang ada dalam bateri kami dapat diiktiraf sebagai sumber terhad di Bumi, dan memanjangkan penggunaannya sebaik mungkin sebelum ia benar-benar tidak boleh digunakan,” kata ketua komunikasi korporat dan kelestarian BMW Group Malaysia Sashi Ambi .

    “EV Connection berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif inovatif yang tidak pernah ada sebelum ini dengan jenama automotif yang dipercayai seperti BMW dalam pembangunan pengecas mudah alih ini. Adalah menjadi harapan kami bahawa kami akan dapat mengurangkan kebimbangan terhadap jarak pemanduan EV dan menyumbang ke arah memacu revolusi mobiliti elektrik di Malaysia,” kata pengarah teknikal EV Connection Che Hang Seng.

     
     
  • BMW i4 M50 EV 2023 tampil di M’sia — elektrik penuh, 544 PS/795 Nm, jarak 510 km, harga dari RM430k

    BMW i4 M50 EV 2023 tampil di M’sia — elektrik penuh, 544 PS/795 Nm, jarak 510 km, harga dari RM430k

    Sebuah lagi model yang dipertontonkan oleh BMW Malaysia hari ini di Malaysia Autoshow 2023 ialah BMW i4 M50. Ini merupakan varian EV bagi model i4 eDrive40, dan menjadi model EV dengan lencana M yang akan diperkenalkan di sini.

    Selain tampil dengan lencana BMW M 50 sebagai standard, M50 versi Malaysia menggunakan rim 20-inci BMW Individual Style 862 dan lengkap dengan pakej M Sport, spoiler belakang M dalam warna badan dan kemasan diffuser. Ada juga pakej Shadowline yang menambah kemasan hitam berkilat untuk gril, bukaan udara depan serta jalur kelabu gelap untuk gril dan diffuser belakang.

    Di dalam, varian berkenaan menampilkan kemasan gentian karbon, kerusi depan M Sport, tali keledar M tiga warna dan pelapik bumbung gelap serta stereng M Sport. Papan pemukanya dibalut dengan kulit buatan Sensatec, dengan kerusi balutan kulit Vernasca. Ada juga tambahan sunroof kaca yang tiada pada i4 biasa.

    BMW i4 M50 EV 2023 tampil di M’sia — elektrik penuh, 544 PS/795 Nm, jarak 510 km, harga dari RM430k

    Selebihnya, kelengkapan yang ada sama dengan eDrive40. Antaranya termasuk panel kluster instrumen paparan digital lengkung 12.3-inci serta skrin tengah 14.9-inci, kedua-duanya dengan BMW Operating System 8. Begitu juga dengan kawalan pendingin tiga zon, sistem tanpa kunci, butang penghidup dan kerusi depan larasan kuasa dengan fungsi memori.

    Kelengkapan lain yang ada termasuk Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar Qi, pintu ruang belakang bebas kendalian tangan, 17-pembesar suara, sistem bunyi Harman Kardon 525 watt, serta bunyi enjin IconicSounds Electric.

    Model M50 menampilkan pacuan semua roda dengan tambahan sebuah lagi motor elektrik di depan. Ini menghasilkan 258 PS (atau 190 kW) dan 430 Nm of tork. Untuk motor di belakang pula, ia menghasilkan 313 PS (atau 230 kW) dan 365 Nm — 27 PS (20 kW) dan 65 Nm kurang daripada eDrive40 yang memberikan 340 PS dan 430 Nm.

    BMW i4 M50 EV 2023 tampil di M’sia — elektrik penuh, 544 PS/795 Nm, jarak 510 km, harga dari RM430k

    Output keseluruhan sistem bagaimanapun lebih tinggi, dengan 544 PS (atau 400 kW) dan 795 Nm. Angka gabungan ini boleh dicapai oleh pemandu sehingga 10 saat menggunakan fungsi Sport Boost. Ini membolehkan M50 memecut 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat: hampir dua saat lebih pantas berbanding eDrive40. Laju maksimum dihadkan secara elektronik kepada 225 km/j, naik daripada 190 km/j untuk model i4 standard.

    Motor elektrik pula menerima kuasa daripada bateri lithium ion 83.9 kWh (80.7 kWh). Satu cas penuh membolehkan M50 ini bergerak sejauh 510 km. Pengecasan mengambil masa lapan jam 15 minit menggunakan AC 11 kW, sementara dengan DC — sehingga 200 kW — ia hanya memerlukan 31 satu minit untuk tahap bateri 10-80%.

    M50 datang dengan kelengkapan keselamatan seperti pakej Driving Assistant Professional, yang lengkap dengan AEB, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta, peninjau titik buta dan penghidar perlanggaran. Ada juga lampu tinggi adaptif, bantuan parkir, sistem kamera 360-darjah, amaran akustik pejalan kaki dan Active Protection.

    BMW i4 M50 EV 2023 tampil di M’sia — elektrik penuh, 544 PS/795 Nm, jarak 510 km, harga dari RM430k

    BMW i4 M50 ini di datang dengan pilihan warna luaran Mineral White, Black Sapphire, M Brooklyn Grey, M Portimao Blue dan Sanremo Green, digandingkan sama ada dengan balutan kulit hitam atau Cognac Vernasca (dengan jahitan biru).

    Harganya bermula dari RM430,210. Jika lanjutan jaminan lima-tahun dengan pakej servis, ia akan menjadi RM445,800. Untuk bateri, ada jaminan lapan-tahun/160,000 km (yang mana dahulu).

     
     
  • BMW CE-04 dijual di Malaysia pada harga RM59,500

    BMW CE-04 dijual di Malaysia pada harga RM59,500

    Setelah dipertontonkan di Malaysia pada bulan Januari lalu, motosikal elektrik BMW CE-04 kini mula dijual pada harga RM59,500. Harga yang diumumkan semasa hari pertama pameran Malaysia Autoshow 2023 ini adalah tidak termasuk insurans dan hanya 120 unit sahaja yang akan dibawa ke Malaysia.

    Menggunakan motor elektrik yang dipasang pada kerangka tiub keluli, dan sistem tali sawat untuk menghantar pacuan kepada roda belaakng, CE-04 mampu menghasilkan sehingga 31 kW (42 PS) dan 62 Nm tork, membolehkan pecutan 0-50 km/j dalam masa hanya 2.6 saat. Kelajuan maksimumnya pula ditetapkan pada 120 km/j.

    Kapasiti bateri lithium-ion juga besar dengan 8.9 kWh, yang menyediakan jarak perjalanan sehingga 130 km. Pengecasan dilakukan menerusi peranti pengecas bersepadu yang membolehkannya memanfaatkan sama ada soket domestik biasa di rumah, wallbox atau stesen pengecasan umum.

    Dari keadaan kosong, bateri ini memerlukan masa 4 jam 20 minit untuk dicas AC, melalui output standard 2.3 kW. Dengan pengecasan pantas berkapasiti 6.9 kW, masa yang diperlukan hanya satu jam 40 minit. Penunggang juga mempunyai pilihan mod tunggangan — ECO, Rain dan Road, serta Dynamic. Untuk menjamin keselamatan dan kendalian berkesan, ciri BMW Motorrad Integral ABS Pro ditawarkan secara standard.

    Kelengkapan lain pada BMW CE 04 ini antaranya ialah paparan berwarna 10.25-inci TFT dengan Integrated Map Navigation, serta keterhubungan menyeluruh melalui BMW Motorrad Connected App. Melaluinya, penunggang boleh mengakses sistem tunjuk arah, serta status dan statistik kenderaan.

    Skrin tersebut juga boleh memaparkan peta tunjuk arah, tanpa memerlukan paparan tambahan dan boleh dikendali melalui multi-controller. Slot USB, ruang simpanan dengan pengecas USB, soket 12V, ruang simpanan helmet, sistem tanpa kunci dan bantuan mengundur juga termasuk sebagai ciri standard.

     
     
  • Proton X50 R3 Concept didedah di Malaysia Autoshow 2023 – hanya 200 unit, tempahan bermula esok!

    Proton X50 R3 Concept didedah di Malaysia Autoshow 2023 – hanya 200 unit, tempahan bermula esok!

    Yang tertunggu-tunggu bila Proton R3 akan kembali – ini dia, Proton X50 R3 sudah pun didedahkan ketika belangsungnya Malaysia Autoshow 2023 minggu ini! Tidak seperti Saga R3 dan Iriz R3 sebelum ini yang hanya menampilkan ‘kejuruteraan sticker‘, X50 R3 ini nampaknya menerima sentuhan yang lebih banyak dari pasukan R3 sebenar sendiri.

    Berdasarkan bumbung berwarna hitam berkilat dan juga bumbung suria pada unit yang dipamerkan ini, X50 R3 ini diasaskan dari versi paling berkuasa X50 Flagship yang dijana enjin 1.5 liter tiga-silinder Turbo GDI menjana 177 PS dan tork maksima 255 Nm.

    Pada bahagian luaran, X50 R3 ini datang dalam warna hitam matte, serta diberikan kit-kit aerodinamik istimewa. Pada bahagian bawah bampar hadapan, spoiler dagu asal X50 menerima satu lapisan sayap khas – ia direka dengan konsep asli R3 seperti pada Satria Neo R3 sebelum ini, bersama tiga bilah ‘taring’ di tengah.

    Proton X50 R3 Concept didedah di Malaysia Autoshow 2023 – hanya 200 unit, tempahan bermula esok!

    Bahagian bawah sisi turut diberikan skirt yang juga direka seakan sayap bagi disesuaikan dengan spoiler hadapan. Bampar belakang masih nampak sama, namun bahagian atas dan juga kemasan diffuser di bawah diasingkan dengan kemasan jalur yang lebih menyerlah.

    Manakala di pintu hatch belakang, spoiler asal X50 yang bersaiz kecil diganti dengan unit sayap berkembar yang lebih besar serta diberikan kemasan gentian karbon – spoiler ini kelihatan seiras dengan spoiler ‘S’ untuk Geely Binyue pasaran China.

    Wajib untuk model-model R3 adalah serlahan-serlahan kuning pada badan, iaitu warna rasmi perlumbaan untuk jentera lumba dari Malaysia. Serlahan kuning berkenaan diberikan pada spoiler depan, skirt sisi, jalur kemasan bampar belakang, kemasan busur panah pada gril (biasanya merah pada X50 standard), jalur pada penutup cermin sisi dan juga jalur pelekat pada bonet hadapan.

    Badan X50 R3 ini juga nampak sudah direndahkan menerusi ubahsuai yang dibuat pada suspensi, dengan rim istimewa di sarung pada hab. Rim aloi ringan yang dihasilkan secara flow formed 18-inci lima jejari berkembar berkenaan datang dalam kemasan hitam berkilat bersama penutup hab tengah R3, disalut dengan tayar 215/55R18. Namun berbanding rim-rim asli R3 sebelum ini yang datang dengan logo yang diukir, tulisan “Race.Rally.Research” pada bibir rim X50 R3 ini hanyalah pelekat.

    Dengan jarak jejari rim yang besar, dapat dilihat angkup brek X50 R3 ini juga sudah diberikan kemasan kuning bagi menggantikan angku berwarna merah pada X50 Flagship biasa.

    Pada bahagian dalaman pula, X50 R3 ini diberikan set pedal aloi dan juga karpet yang nampak sama dengan aksesori-aksesori R3 zaman Satria Neo sebelum ini, bersama perehat kepala yang disulam dengan logo R3. Bahagian lain nampaknya masih lagi sama.

    Walaupun ia masih lagi dalam versi konsep, Proton mengumumkan bahawa X50 R3 ini sudah pun boleh ditempah dan ia hanya akan dihasilkan terhad sebanyak 200-unit sahaja. Ia adalah untuk meraikan ulang tahun ke-20 R3, dan tempahannya tidak akan dibuka di bilik-bilik pameran tetapi hanya boleh dibuat ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow 2023 ini sahaja.

    Namun untuk model produksi sebenar yang akan diserahkan kepada pelanggan nanti, ia tidak sepenuhnya hadir seperti versi konsep yang didedahkan kali ini, dan akan menerima beberapa perincian lain termasuk logo “R3 20th anniversary” pada pintu hatch belakang dan dalam kabin serta karpet kaki R3 3D.

    Kami difahamkan, akan ada aksesori berkenaan akan ditawarkan secara aftermarket atas kekangan kelulusan VTA JPJ yang perlu dibuat semula, dan R3 turut merancang untuk menawarkan tingkat taraf yang merangkumi sistem brek, suspensi serta talaan semula pada enjin bagi memberikan lebih kuasa!

    Dengan spesifikasi yang masih belum dimuktamadkan, sudah tentu harga untuk model ini juga masih belum diumum. Jika anda berminat untuk menempah X50 R3 ini, anda perlu datang sendiri ke reruai Proton di Malaysia Autoshow 2023 yang berlangsung di MAEPS, Serdang bermula esok hingga 7 Mei ini.

     
     
  • BMW iX1 xDrive30 M Sport 2023 dilancarkan di M’sia — varian tunggal, 313 PS/494 Nm dua motor; RM285,800

    BMW iX1 xDrive30 M Sport 2023 dilancarkan di M’sia — varian tunggal, 313 PS/494 Nm dua motor; RM285,800

    Sempena Malaysia Autoshow 2023 yang mula dibuka untuk media hari ini, BMW Malaysia kini merasmikan model iX1, versi elektrik sepenuhnya bagi model generasi ketiga U11 X1 yang diperkenalkan untuk pasaran global Jun lalu. Untuk pasaran Malaysia, hanya satu varian ditawarkan, iaitu xDrive30 M Sport dan dijual pada harga RM285,800 atas jalan, tidak termasuk insuran, dengan pakej servis dan jaminan.

    Menampilkan teknologi eDrive generasi kelima BMW, iX1 dilengkapi dua motor elektrik (satu di setiap gandar) dengan masing-masing menjana 190 PS (188 hp atau 140 kW) dan 247 Nm tork. Tetapan pacuan semua roda pula mempunyai output total 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan 494 Nm, dengan fungsi lonjakan kuasa sehingga 313 PS (308 hp atau 230 kW) ketika pecutan mendesak.

    Dalam keadaan itu, pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 5.7 saat, dan Sports Activity Vehicle (SAV) ini mampu mencecah kelajuan 180 km/j. Motor elektriknya mendapatkan kuasa daripada bateri lithium-ion di bawah lantai dengan kapasiti tenaga 64.7 kWh, dengan jarak perjalanan 440 km mengikut kitaran WLTP.

    BMW iX1 xDrive30 M Sport 2023 dilancarkan di M’sia — varian tunggal, 313 PS/494 Nm dua motor; RM285,800

    Untuk pengecasan, iX1 menampung pengecasan pantas DC (sambungan CCS2) pada kadar maksimum 130 kW, dengan kapasiti 10-80% boleh dicapai dalam masa hanya 29 minit. Pengcasan AC juga tersedia (sambungan Type 2) pada kadar 11 kW yang memerlukan masa 6.5 jam untuk cas penuh.

    Dari segi rekaan, iX1 tidak jauh berbeza daripada versi petrolnya, melainkan penggunaan lencana “i” pada gril dan gelung biru pada logo BMW. Pakej M Sport datang standard dengan imej bampar depan lebih agresif serta bukaan udara hexagonal yang lebih ketara.

    Bampar belakang pula menerapkan elemen diffuser hitam yang besar. Dari segi dimensi, iX1 sama saja seperti X1: 4,500 mm panjang (+53 mm), 1,845 mm lebar (+24 mm) dan jarak antara roda 2,692 mm (+22 mm). Bagaimanapun, tinggi iX1 ialah 1,616 mm, berbanding X1 dengan 1,642 mm.

    BMW iX1 xDrive30 M Sport 2023 dilancarkan di M’sia — varian tunggal, 313 PS/494 Nm dua motor; RM285,800

    iX1 juga menggunakan gril yang lebih besar dan rekaan lampu baru (LED adaptif untuk pasaran sini) dengan DRL bentuk L yang khusus. Bahagian sisi pula lebih bersih, dengan lampu LED dan bentuk L khusus di bahagian belakang.

    Di dalam, papan pemuka menampilkan BMW Curved Display yang jelas kelihatan, dengan kluster instrumen digital 10.25-inci dan skrin sentuh infotainmen 10.7-inci di tengah. Kedua-duanya menjadikan sistem Live Cockpit Professional dengan BMW Operating System 8: termasuk di dalamnya bantuan suara serta Android Auto dan Apple CarPlay. Konsol di tengahnya pula tiada kawalan rotari biasa yang ada untuk sistem iDrive. Ini digantikan dengan suis pemilih gear, kawalan khusus untuk fungsi kenderaan, butang penghidup dan kawalan media.

    Kelengkapan standard untuk iX1 xDrive30 M Sport di Malaysia termasuklah rim aloi 19-inci Style 871M, lampu aluan, stereng balutan kulit, pelaping bumbung gelap M, lampu suasana, kerusi sport depan dengan fungsi memori, kawalan pendingin dua zon, head-up display, sistem bunyi Harman Kardon, Digital Key Plus, suspensi M dan Connected Package Professional.

    BMW iX1 xDrive30 M Sport 2023 dilancarkan di M’sia — varian tunggal, 313 PS/494 Nm dua motor; RM285,800

    Untuk bantuan pemandu, pakej Driving Assistant Plus lengkap dengan ciri seperti Hill Start Assist, Speed Limiter, Attentiveness Assistant, Lane Departure Warning dengan kendalian stereng aktif, Front Collision Warning dan Left Turn Warning — kedua-duanya dengan fungsi brek — serta dengan Speed Limit Info dan Evasion Assistant. Turut ada ialah Parking Assistant Plus dengan kamera 360-darjah.

    BMW iX1 ditawarkan dalam enam pilihan warna luaran: Alpine White, Black Sapphire, Cape York Green, M Portimao Blue, Storm Bay dan Space Silver. Ruang dalaman boleh dipilih dengan kulit Vernasca bersama Alcantara hitam dengan jahitan biru, hitam atau mocha.

     
     
  • Peugeot e-2008 dipamer di Malaysia Autoshow 2023

    Peugeot e-2008 dipamer di Malaysia Autoshow 2023

    Bermaz Auto Berhad selaku pengedar Peugeot di Malaysia mengambil kesempatan untuk mempamerkan model e-2008 dalam acara Malaysia Autoshow 2023 yang bakal membuka tirainya esok hingga 7 Mei ini bertempat di MAEPS Serdang.

    SUV 2008 baharu segmen-B bagi versi elektrik-sepenuhnya ini pertama kali diperkenalkan di peringkat global pada Jun 2019. Ia menggunakan motor elektrik yang dijanakan oleh bateri lithium-ion 50 kW. Menurut Peugeot, masa pengecasannya sekitar 16 jam dengan soket domestik 230-voltan, atau lapan jam menerusi wallbox fasa-tunggal 7.4 kW (lima jam 15 minit dengan versi tiga-fasa 11 kW).

    Bateri ini mampu menyokong sehingga 100 kW dengan pengecas pantas DC (penyambung CCS; Type 2 untuk pengecas AC), dengan mengambil masa sekitar 30 minit untuk mendapatkan 80% SOC. Mengikut kitaran WLTP, ia mampu mencapai jarak sehingga 310 km, dan boleh meningkat sehingga 345 km.

    Peugeot e-2008 dipamer di Malaysia Autoshow 2023

    Selain itu, e-2008 turut menampilkan beberapa ciri termasuklah tambahan bagi nisbah kotak gear, olengan rintangan tayar yang lebih rendah, serta heat pump baharu dengan penderia kelembapan dalaman yang membantu mengawal pengaliran udara untuk bahagian penumpang, mengurangkan turun naik suhu dan meminimumkan penggunaan tenaga.

    Sama seperti varian enjin pembakaran dalaman (ICE), e-2008 turut diberikan gril sama warna dengan badan bersama lencana singa, ditambah dengan lencana “e” dan juga kemasan Greval Grey Alcantara. Selain itu, ia juga ditampilkan dengan penutup gril aktif, roda yang mengoptimakan aerodinamik dan bahagian bawah badan yang diperkemaskan.

    Pada hujung 2021, kami pernah melaporkan bahawa e-2008 ini direncanakan akan dilancarkan di pasaran kita pada suku akhir (Q4) 2022, namun hingga kini, masih tiada perkhabaran mengenainya. Adakah dengan kemunculan sulung SUV elektrik ini di khalayak ramai memberikan petanda ia sudah bersedia untuk dilancarkan di Malaysia? Kita nantikan perkembangan selanjutnya.

     
     
  • Proton X90 2023 dilancarkan secara rasmi 7 Mei ini

    Proton X90 2023 dilancarkan secara rasmi 7 Mei ini

    Proton X90 akan dilancarkan secara rasminya jam 3 petang pada 7 Mei 2023. Pelancaran model perdana Proton ini adalah sempena dengan ulang tahun ke-40 pengeluar kereta berkenaan. Perkhabaran ini diperoleh menerusi entri terkini yang dimuatnaik menerusi laman media sosial Proton sebentar tadi, dengan memaparkan imej lampu utama X90 bersama kenyataan ‘5 hari lagi’.

    Manakala kapsyen yang diberikan, “Rekaan menakjubkan – nikmati perincian yang indah. Pengiraan detik bermula sekarang, untuk kereta baharu yang paling dinanti-nantikan di Malaysia. Nantikan pendedahannya, di halaman rasmi Facebook Proton. Proton X90 – akan datang kepada anda tidak lama lagi pada 7 Mei 2023, jam 4 petang.”

    Tempahan bagi X90 telah pun dibuka pada awal April lalu, dan sebanyak empat varian ditawarkan iaitu Standard, Executive dan Premium – yang didatangkan dengan tujuh-tempat duduk dalam bentangan 2-3-2, sementara varian tertinggi Flagship pula menerima enam-tempat duduk dalam bentangan 2-2-2, dengan kerusi kapten pada barisan kedua menggantikan bangku biasa.

    X90 berukuran panjang 4,835 mm dan lebar 1,900 mm serta jarak roda sejauh 2,815 mm. Jika dibandingkan dengan X70, X90 adalah 316 mm lebih panjang, 69 mm lebih lebar dan jarak roda 145 mm lebih jauh. Dari segi konsep, X90 lebih besar berbanding pesaingnya termasuk Mazda CX-8, Hyundai Santa Fe (versi facelift bakal dilancarkan kelak) dan Kia Sorento.

    Kesemua varian dibekalkan enjin yang sama iaitu 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus dengan gabungan unit rangkaian kuasa hibrid ringkas 48-volt (MHEV) dan unit stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG) bagi menghasilkan kuasa maksima 190 PS bersama tork maksima 300 Nm.

    Proton berkata, BSG dapat menambah baik penggunaan bahan api sekitar 15% berbanding unit 1.5 TGDi biasa, dalam masa yang sama meningkatkan output. Ia juga diberikan kotak gear dwi-klac basah tujuh-kelajuan yang memacu kuasa ke roda hadapan.

    Proton X90 1.5L Flagship 2023

    Proton X90 1.5L Premium 2023

    Pilihan warna Proton X90 2023

     
     
  • Chery buat kemunculan rasminya di Malaysia Autoshow 2023 – pandu uji Omoda 5, Tiggo 8 Pro

    Chery buat kemunculan rasminya di Malaysia Autoshow 2023 – pandu uji Omoda 5, Tiggo 8 Pro

    Chery sudah mengesahkan bakal membuat kemunculan semulanya secara rasmi untuk pasaran tempatan menerusi acara Malaysia Autoshow 2023 minggu ini. Acara ini bakal berlangsung di MAEPS Serdang mulai 4-7 Mei dan bersedia menerima kunjungan ramai.

    Jenama dari China mendedahkan makluman ini menerusi imej yang dikeluarkan seperti di atas dan berkata, “Temui kami di pameran automotif terbesar di Malaysia dan pandu uji Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro yang bakal dilancarkan tidak lama lagi!”

    Seperti yang dilaporkan, pelancaran model SUV Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro ini akan berlangsung tidak lama lagi iaitu direncanakan pada bulan hadapan. Namun pengunjung Malaysia Autoshow 2023 terlebih dahulu berpeluang melihat dan memandu uji kedua-dua model berkenaan.

    Chery Omoda 5 merupakan sebuah SUV kompak yang akan dilancarkan di Malaysia untuk menjadi pesaing terbaru bagi Honda HR-V, Toyota Corolla Cross dan Proton X50. Untuk model pasaran Malaysia, ia menggunakan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder petrol yang menjana 147 PS (145 hp) dan 230 Nm tork. Kuasa ini dihantar ke roda depan melalui CVT. Kini juga disahkan bahawa enjin berkenaan akan diberikan jaminan 10-tahun/1,000,000 km daripada Chery, sebuah tawaran yang menunjukkan mereka cukup yakin dengan produk yang dihasilkan.

    Manakala bagi Tiggo 8 Pro pula, SUV tujuh-tempat duduk ini hadir dengan versi naiktaraf terkini untuk Malaysia, seperti mana Tiggo 8 Pro Max di China. Ia dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo empat-silinder TGDi dengan janaan 254 hp dan 390 Nm tork, dan dipadankan dengan transmisi 7DCT. Ciri AWD juga khabarnya akan ditawarkan.

    Berkenaan dengan harganya, dijangkakan Omoda 5 dan tiggo 8 Pro akan ditawarkan dengan harga yang lebih kurang sama dengan Honda HR-V dan CR-V. Kedua-dua model Chery ini merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) yang dikeluarkan di kilang Inokom, Kulim, Kedah. Dikhabarkan, versi plug-in hybrid dan elektrik sepenuhnya juga bakal tiba di negara kita tidak lama lagi.

    GALERI: Chery Omoda 5 di Malaysia

    GALERI: Chery Tiggo 8 Pro Max, spesifikasi China

     
     
  • Suzuki Malaysia tunjuk teaser motosikal adventure – V-Strom 800DE dilancar 6 Mei ini? enjin 776 cc, 84.3 PS

    Suzuki Malaysia tunjuk teaser motosikal adventure – V-Strom 800DE dilancar 6 Mei ini? enjin 776 cc, 84.3 PS

    Setelah rancak dengan pengenalan pelbagai model pada tahun sebelum ini, Suzuki Malaysia nampaknya masih belum melancarkan sebarang model baru pada tahun 2023. Keadaan itu mungkin berubah apabila syarikat itu dilihat menyiarkan teaser di laman sosial.

    Teaser kali ini cuma menampakkan bayang bahagian hadapan sebuah motosikal, yang mempunyai bentuk seakan motosikal adventure dengan penghadang angin tinggi, paruh (penghadang lumpur) di bawah lampu, suspensi tinggi serta rim jejari (spoked).

    Ayat “The Master of Adventure” dan “A storm is coming your way” yang terpapar bersama teaser ini juga menguatkan lagi pembayangnya dengan menunjuk ke arah model adventure terbaru Suzuki yang diperkenalkan kepada dunia November tahun lalu, iaitu V-Strom 800DE.

    Fokus utama pada model ini adalah penggerak yang dikatakan serba baru, iaitu enjin dua silinder selari DOHC 776 cc dengan crankshaft 270 darjah serta pengimbang yang dipanggil sebagai Suzuki Cross Balancer. Kuasa enjin ini boleh mencecah sehingga 84.3 PS dan tork 78 Nm, dan ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac Suzuki Clutch Assist System (SCAS).

    Empat mod tunggangan disediakan pada V-Strom 800DE, iaitu Active (A), Basic (B), Comfort (C) dan Gravel. Mod A adalah yang paling agresif dan C paling santai, sementara Gravel pula sesuai untuk tunggangan offroad kerana ia masih membenarkan tayar belakang tergelincir sedikit tanpa mengurangkan kuasa.

    Sistem kawalan cengkaman Suzuki Traction Control System (STCS) pada motosikal ini juga boleh dipilih dalam empat mod, ataupun ditutup terus, sementara ABS disediakan dalam dua mod, bersama tambahan pilihan untuk ditutup terus bagi roda belakang.

    Suspensi Showa dengan jarak gerak 220 mm dipasang pada V-Strom 800DE, dan ia terdiri daripada fork USD boleh laras di hadapan dan monoshock dengan tabung gas serta tombol pelaras pra beban di belakang. Apabila dipadankan dengan rim spoked 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, motosikal ini menyediakan jarak kelegaan dari tanah 220 mm dan tinggi tempat duduk 855 mm.

    Meskipun mempunyai karekter lasak, V-Strom 800DE masih diberikan ciri canggih seperti skrin TFT lima inci serta quickshifter yang diberikan secara standard. Selain daripada itu, ia juga dilengkapi tangki bahan api 20 liter, soket pengecas USB serta penghadang angin hadapan yang boleh dilaras tiga tahap (manual), manakala berat keseluruhannya adalah 230 kg.

    Teaser yang dikeluarkan juga mempunyai tarikh, iaitu 6 Mei 2023, dan kita boleh menjangkakan pengenalan V-Strom 800DE ini bersama sebuah model naked yang juga sudah diberikan petunjuk melalui teaser sebelum ini, iaitu GSX-8S.

    GALERI: Suzuki V-Strom 800DE 2023

     
     
  • Polis berkas pasangan kekasih terbabit aksi wheelie ketika menunggang motosikal di di Kuantan

    Polis berkas pasangan kekasih terbabit aksi wheelie ketika menunggang motosikal di di Kuantan

    Polis Kuantan mengesahkan telah memberkas dua remaja yang menunggang dan membonceng sebuah motosikal sambil melakukan aksi wheelie, seperti mana yang dipaparkan dalam rakaman video berdurasi 54 saat yang tular di laman media sosial baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, remaja yang juga pasangan kekasih itu ditahan di Kampung Balok, di daerah berkenaan. Video berkenaan menunjukkan aksi seorang penunggang lelaki bersama pembonceng wanita menunggang sebuah motosikal berwarna putih.

    Jelasnya, bertindak atas maklumat daripada video berkenaan, pihak polis berjaya mengesan kedua-dua suspek berusia 17 tahun kira-kira pukul 11.40 pagi semalam.

    “Penunggang terbabit melakukan aksi mengangkat tayar hadapan `wheelie’ di Jalan Chendor, Kuantan menghala ke Kemaman, Terengganu. Aksi itu bukan saja membahayakan diri sendiri, malah pengguna jalan raya lain.

    Polis berkas pasangan kekasih terbabit aksi wheelie ketika menunggang motosikal di di Kuantan

    “Hasil semakan nombor pendaftaran motosikal dan siasatan pihak polis berjaya mengesan pemilik serta alamat lengkap penunggang motosikal dan menahan suspek lelaki dan teman wanitanya di hadapan rumah mereka iaitu di Kampung Balok dan Kampung Selamat di sini. Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan dan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Beliau berkata, dua remaja terbabit dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan dan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Baru-baru ini kes yang sama turut berlaku di Kota Bharu, Kelantan yang melibatkan sepasang suami isteri berusia 17 tahun dan 16 tahun yang diberkas polis gara-gara melakukan aksi wheelie.

    Remaja lelaki berkenaan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan melakukan aksi bahaya ketika menunggang motosikal pada 1 Syawal lalu. Tertuduh berusia 17 tahun membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM900 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Jun depan bagi mendapatkan laporan akhlak, laporan Harian Metro.

     
     
  • Honda akui tertinggal dalam segmen EV berbanding jenama China; ada rancangan untuk melawan semula

    Honda akui tertinggal dalam segmen EV berbanding jenama China; ada rancangan untuk melawan semula

    Dengan kebanjiran pelbagai kenderaan elektrik (EV) jenama tempatan dalam acara Auto Shanghai 2023 yang berlangsung bulan lalu, jenama automotif Jepun, Honda mengakui bahawa ia kini ketinggalan dalam segmen berkenaan berbanding pesaing-pesaingnya dari China.

    CEO Honda Toshihiro Mibe terkejut dengan perkembangan yang dilihat berlaku dalam acara berkenaan, namun syarikatnya mempunyai rancangan bagi mempercepatkan halatuju elektrifikasi Honda bagi bersaing dengan jenama-jenama dari China tersebut.

    “Mereka di hadapan kami, lebih dari apa yang dijangka. Kami sedang mencari jalan untuk melawan semula. Jika tidak, kami akan tewas dalam persaingan ini. Kami menyedari bahawa kami agak ketinggalan di belakang, dan kami bertekad untuk memutar semula keadaan ini,” kata Mibe dalam sesi penerangan perniagaan tahunan Honda bulan lalu, lapor Automotive News.

    Menurutnya lagi, eksekutif-eksekutif Honda tidak menjangka untuk melihat banyak jenama-jenama tempatan China membanjiri dewan-dewan pameran di Auto Shanghai 2023 dengan pelbagai jenis EV menampilkan teknologi termaju. Honda hadir ke acara tersebut dengan mendedahkan tiga SUV EV iaitu prototaip e:NS2 dan e:NP2 yang akan mula dijual di China pada awal 2024, serta model konsep e:N SUV yang dijangka akan diperkenal dalam versi produksi pada akhir 2024.

    Honda akui tertinggal dalam segmen EV berbanding jenama China; ada rancangan untuk melawan semula

    Mibe turut menyatakan bahawa jenama-jenama automotif China ini telah melangkah jauh ketika dunia dikekang oleh pandemik Covid-19, di mana perjalanan untuk masuk ke negara tersebut terhalang serta sukar menerusi pelbagai kaedah kuarantin yang diperlukan.

    COO Honda, Shinji Aoyama turut senada dengan apa yang dikatakan oleh Mibe. “Kami ketinggalan berbanding China,” katanya.

    Sebagai respon kepada situasi ini, Honda akan melancarkan beberapa model EV baharu di pasaran utama seperti Amerika Syarikat, China dan Jepun – kebanyakan pelancaran ini akan belangsung bermula 2025. Honda turut mengulangi sasarannya untuk menghasilkan lebih daripada dua juta EV setiap tahun menjelang 2030.

    Model EV pertama Honda di AS adalah Honda Prologue dan Acura ZDX, di mana kedua-duanya dihasilkan berasaskan platform Ultium dari General Motors, bakal dilancarkan pada tahun 2024. Manakala model-model EV bersaiz sederhana hingga besar yang dihasilkan dari platform EV Honda sendiri akan mula dijual di pasaran tersebut menjelang 2025.

    Honda turut menyatakan bahawa kerjasamanya dengan GM akan terus dikukuhkan bagi membangunkan bersama siri kenderaan elektrik mampu milik yang akan mula dijual pada 2027 dan seterusnya serta terus meneroka pelbagai kerjasama lain.

    Di Jepun, model EV yang berasaskan Honda N-One akan mula dijual bermula 2025, bersama dua lagi model EV bersaiz kecil termasuk sebuah SUV EV yang akan masuk ke pasaran menjelang 2026. Manakala untuk tiga model yang hanya akan dijual di China yang disebut sebelum ini, ia akan menjadi antara 10 model EV baharu yang akan diperkenalkan ke pasaran menjelang 2027.

    Honda turut merancang untuk meningkatkan aktiviti berkaitan bateri EV. Dalam masa terdekat, usaha berkenaan akan turut membabitkan bagi mendapatkan bekalan bateri dari GM untuk model-model pasaran AS, CATL untuk model-model pasaran China dan Envision AESC untuk model-model yang dijual di pasaran domestik Jepun.

    Bukan sekadar mendapatkan bekalan, malah Honda juga kini aktif mengambil bahagian dalam penyelidikan pembangunan bateri. Ini termasuk melabur dan membangunkan bersama bateri semi-solid-state bersama SES AI Corporation dan bekerjasa dengan GS Yuasa untuk pembangunan bateri lithium-ion cecair berkuasa tinggi.

    Honda akui tertinggal dalam segmen EV berbanding jenama China; ada rancangan untuk melawan semula

    Difahamkan rancangan untuk mewujudkan barisan pengeluaran bagi mendemonstarikan produksi bateri solid-state sepenuhnya akan berjalan pada 2024, dan ia akan diperkenalkan dalam pasaran pada separa kedua dekad ini.

    Honda juga kini sedang bekerjasama dengan syarikat perdagangan Hanwa bagi memastikan perolehan stabil unsur-unsur penting seperti nikel dan kobalt dalam jangka sederhana hingga panjang, serta sedang meneroka cara untuk menggunakan sumber bateri kitar semula pada masa hadapan.

    Perisian dan elektronik juga akan menjadi bidang tumpuan Honda dalam usaha di mana ia kini sedang membangunkan sistem pengendalian kenderaannya sendiri yang disasarkan akan diguna bermula dari EV bersaiz sederhana hingga besar untuk pasaran AS pada 2025, serta mengembangkan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pemanduan automatik/sistem bantuan pemanduan dan juga servis-servis terhubung.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025