Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hyundai Ioniq 6 diiktiraf Kereta Tahunan Dunia 2023 – Lucid Air, Kia EV6, Citroen C3 turut menang anugerah

    Hyundai Ioniq 6 diiktiraf Kereta Tahunan Dunia 2023 – Lucid Air, Kia EV6, Citroen C3 turut menang anugerah

    Ternyata tuah sekali lagi menyebelahi Hyundai. Selepas Ioniq 5 dinobatkan sebagai Kereta Tahunan Dunia, Kenderaan Elektrik Terbaik Dunia dan Rekaan Terbaik Dunia pada 2022, kini Ioniq 6 pula meneruskan legasi sang juara apabila diiktiraf sebagai Kereta Tahunan Dunia 2023. Gelaran dua tahun berturut-turut untuk jenama Korea ini.

    Pertama kali didedahkan pada Jun 2022, Ioniq 6 ditampilkan dengan rekaan bukan ortodoks dan dibangunkan dengan Electric-Global Modular Platform (E-GMP) ciptaan Hyundai sendiri. Ioniq 6 juga pernah muncul dalam iklan teaser di Malaysia walau pun tidak diketahui bilakah ia akan dijual di sini. Konfigurasi penjana kuasanya termasuk dua kapasiti bateri (53 dan 77.4 kWh) serta larasan motor-tunggal (RWD) atau dwi-motor (AWD).

    Kemenangan Ioniq 6 ini sekaligus menewaskan dua pencabar terdekatnya termasuk BMW X1/iX1 dan Kia Niro yang turut menjadi finalis akhir. Sementara itu, ia juga menentang BMW i7 dan Lucid Air dalam kategori Kenderaan Elektrik Tahunan Dunia, sementara Range Rover dan Lucid Air juga menjadi pesaingnya dalam kategori Rekaan Kereta Tahunan Dunia.

    Walau pun Lucid Air tidak berjaya meraih kemenangan dalam kedua-dua kategori berkenaan, ia telah muncul sebagai pemenang bagi Kereta Mewah Tahunan Dunia, menewaskan pesaingnya BMW 7 Series/i7 dan Genesis G90.

    Bukan setakat Ioniq 6 dan Lucid Air dalam segmen kenderaan elektrik yang memenangi anugerah kali ini malah Kia EV6 GT juga membawa pulang gelaran Kereta Prestasi Tahunan Dunia. Di mana EV6 GT menewaskan Nissan Z dan Toyota GR Corolla. Sekali lagi EV memenangi anugerah tersebut, di mana Audi e-tron GT merupakan pemenang kategori itu pada tahun lalu.

    Satu-satunya model bukan EV yang menang ialah Citroen C3 bagi kategori Kereta Urban Tahunan Dunia, di mana pencabarnya ialah Ora Funky Cat/Haomao (lebih dikenali sebagai Ora Good Cat dalam pasaran kita) dan Volkswagen Taigo (turut dikenali sebagai Nivus).

     
     
  • OCH Proton Exora – kenapa perlu pakai komponen asli dari Proton dan jangan guna komponen custom?

    OCH Proton Exora – kenapa perlu pakai komponen asli dari Proton dan jangan guna komponen custom?

    MPV tujuh-tempat duduk Proton Exora memang sudah diketahui mempunyai satu kelemahan pada aspek mekanikal, iaitu hos penyejuk minyak (oil cooler hose atau OCH) yang kerap pecah dan bocor untuk model yang dijana enjin 1.6L Campro Turbo (juga enjin yang sama pada model Preve dan Suprima S).

    OCH merupakan paip penyambung yang mengalirkan minyak pelincir dari enjin kepada unit penyejuk minyak bagi memastikan ia sentiasa berada dalam suhu operasi. Sekiranya hos berkenaan pecah, ia akan menyebabkan masalah enjin menjadi panas melampau dan merosakkan komponen lain kerana kekurangan (atau lebih teruk boleh habis terus) minyak enjin ketika ia beroperasi.

    Ini mendorong beberapa pihak bengkel luar menghasilkan OCH versi custom masing-masing. Berbanding hos getah yang digunakan sebagai komponen asli yang dibekalkan Proton, OCH custom ini rata-ratanya menggunakan hos jenis steel braided.

    OCH Proton Exora – kenapa perlu pakai komponen asli dari Proton dan jangan guna komponen custom?

    Namun dengan kemunculan produk-produk custom ini, Proton sebelum ini telah pun mengeluarkan amaran agar pengguna Exora tidak menggunakan komponen-komponen ubahsuai tersebut. Ini kerana pembekal OCH alternatif ini diragui kepakarannya selain tidak mempunyai makmal untuk tujuan ujikaji komponen buatan mereka, seterusnya akan menyebabkan lebih banyak kerosakan berlaku.

    Walau bagaimanapun, Proton masih belum menyebutkan apa kerosakan yang mungkin berlaku tersebut sekiranya pengguna terus menggunakan OCH custom berkenaan.

    Untuk merungkai perkara ini, G Tuned Racing – rangkaian bengkel yang bukan sahaja pakar dalam ubahsuai prestasi dan penjagaan model-model Proton dan lain-lain jenama – telah melakukan pelbagai ujian untuk menyelidik apa yang akan terjadi sekiranya OCH custom ini terus digunakan pada enjin-enjin S4PH Campro Turbo Proton.

    Proton Preve milik Sirim yang digunakan dalam ujian R&D yang dilakukan oleh pihak G Tuned di fasiliti mereka bagi mengetahui kesan dari penggunaan OCH custom

    Menurut G Tuned, sepanjang ujian yang dilakukan, ada OCH jenis custom ini yang akan menyebabkan tekanan minyak pelincir menjadi lebih rendah dari yang sepatutnya. Dengan tekanan yang rendah, minyak pelincir berkenaan akan lambat untuk naik ke bahagian atas enjin.

    Ini seterusnya akan menyebabkan kerosakan kepada dua komponen iaitu pulley untuk sistem injap bervariasi (VVT pulley) dan juga injap kawalan minyak (Oil Control Valve atau OCV).

    Jadi bagi G Tuned, pihaknya berpendapat adalah lebih baik menggunakan OCH asli dari Proton, tetapi menjadikan komponen berkenaan sebagai komponen lusuh dan haus (wear and tear) yang perlu ditukar dalam jarak perjalanan 20,000 km sekali.

    Apa yang disebut oleh G Tuned ini adalah senada apa yang telah dinyatakan oleh pihak Proton sendiri sebelum ini, cuma berbeza dari segi sela masa penukaran komponen tersebut. Proton sebelum ini telah menyatakan bahawa OCH asli berkenaan akan dipertingkat ketahanannya dari masa ke masa, dan ia dimasukkan dalam senarai barangan servis untuk jarak 40,000 km sekali.

    Namun kami berpendapat, tidak salah untuk mengikut syor dari G Tuned bagi betul-betul memastikan anda tidak ‘tersadai’ di mana-mana kerana masalah OCH bocor ini. G Tuned mengenakan kos penukaran sekitar RM200 hingga RM250 (termasuk upah pasang) untuk OCH ini.

    Dan untuk mereka yang terkesan dengan faktor ekonomi semasa, G Tuned turut menawarkan kaedah pembayaran secara ansuran untuk servis-servis mereka kepada pelanggan. Untuk keterangan lanjut, anda boleh menghubungi mereka di laman Facebook rasminya iaitu G Car Care.

     
     
  • Jualan Q1 2023 Proton naik 50.9% – Persona kekal sedan segmen-B paling laris, Saga lebih 17k unit!

    Jualan Q1 2023 Proton naik 50.9% – Persona kekal sedan segmen-B paling laris, Saga lebih 17k unit!

    Proton telah mengumumkan bahawa ia telah berjaya menjual sebanyak 14,573 unit kenderaan dalam pasaran domestik dan eksport sepanjang bulan Mac 2023. Angka tersebut dilihat meningkat sebanyak 3.8% berbanding jumlah jualan yang dicatatkan pada Februari iaitu 14,033 unit.

    Ini membolehkan Proton mencatatkan peningkatan jualan secara konsisten untuk tiga bulan pertama tahun ini. Dan dengan jumlah jualan kumulatif yang kini sudah mencapai 40,287 unit, angka berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 50.9% berbanding suku pertama tahun lalu.

    Dengan jumlah jualan bulanan yang dicatatkan berkenaan membolehkan Proton kini memegang bahagian pasaran automotif tempatan pada kadar 18.7% pada bulan Mac 2023. Dan sehingga suku pertama tahun ini, Proton kekal sebagai jenama nombor dua paling laris di Malaysia dengan pegangan pasaran dianggarkan pada 21.2%.

    Jualan Q1 2023 Proton naik 50.9% – Persona kekal sedan segmen-B paling laris, Saga lebih 17k unit!

    Menurut Proton, dengan pencapaian ini membolehkan ia menjadi jenama dengan peningkatan angka pegangan pasaran suku pertama yang paling tinggi dengan pertumbuhan 4.5% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Proton turut menyatakan bahawa jumlah jualan kenderaan di Malaysia pada bulan Mac telah mencapai rekod jumlah volum industri (TIV) baru yang dianggarkan sebanyak 78,000 unit, memecahkan rekod lama sebanyak 76,657 unit dicatatkan pada bulan Disember 2022.

    Tiga model Proton telah menjadi peneraju dalam segmen masing bulan lalu. Persona kekal sebagai sedan segmen-B paling laris dengan jualan sebanyak 2,421 unit, mengekalkan rekod nombor satu dalam segmen tersebut untuk tiga bulan pertama tahun ini dengan jumlah jualan kumulatif mencecah 6,773 unit, naik 79.2% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Jualan Q1 2023 Proton naik 50.9% – Persona kekal sedan segmen-B paling laris, Saga lebih 17k unit!

    Proton menjelaskan bahawa peningkatan mendadak ini adalah kerana tahun lalu produksi untuk Persona terjejas akibat masalah kekurangan cip mikro, menyebabkan hanya lima unit yang dihantar kepada pelanggan sehingga Julai 2022. Manakala Exora kekal tiada saingan dalam kelas MPV segmen-C di Malaysia, dengan jualan 426 unit sepanjang Mac 2023.

    X50 merupakan satu lagi model yang mengekalkan kedudukan nombor satu dalam segmennya untuk keseluruhan suku pertama tahun ini. SUV segmen-B tersebut terjual sebanyak 3,414 unit sepanjang Mac, dan jumlah jualan terkumpul untuk tiga bulan pertama tahun ini berjumlah 9,668 unit, naik 34.4% berbanding tempoh sama 2022.

    Bagi Proton Saga, walaupun menduduki tangga kedua dalam jualan sedan segmen-A, ia masih lagi model Proton paling laris dengan jualan sebanyak 6,313 unit sepanjang Mac 2023 – bulan kedua berturut-turut ia mencapai jualan melebihi 6,000 unit.

    Jualan Q1 2023 Proton naik 50.9% – Persona kekal sedan segmen-B paling laris, Saga lebih 17k unit!

    Ini membolehkan jualan kumulatif Saga untuk suku pertama tahun ini mencapai 17,446 unit, naik sebanyak 84.6% berbanding suku pertama 2022.

    Rekod jualan untuk model-model lain Proton untuk Mac 2023 adalah 712 unit bagi Iriz (nombor 4 dalam kelas hatchback segmen-B) dan 1,272 unit untuk Proton X70 (nombor dua paling laris dalam kelas SUV segmen-C).

    “Proton menunjukkan prestasi yang sangat baik pada suku pertama 2023 dan kami bangga dengan pencapaian jualan melebihi 40,000 unit. Walau bagaimanapun, kami sedar kadar jualan pada tiga bulan pertama meningkat kerana semua jenama tergesa-gesa untuk menghantar kereta yang ditempah semasa insentif PENJANA. Tarikh akhir penghantaran adalah 31 Mac 2023 dan ini membantu menerangkan kenapa TIV dianggarkan sebanyak 78,000 unit pada bulan ini,” kata naib CEO Proton, Roslan Abdullah.

    “Gambaran sentimen pasaran yang lebih tepat mungkin akan muncul pada akhir suku kedua, tetapi kami yakin mampu mengekalkan momentum jualan. Proton X90 akan dilancarkan tidak lama lagi dan kami juga akan ada penambahan ke barisan model lewat tahun ini.

    Pada masa yang sama, kami juga telah membuat pengumuman tentang komitmen untuk mengembangkan barisan model Kenderaan Tenaga Baru (NEV) yang mampu membawa jenama Proton ke segmen yang baru untuk pertumbuhan jualan jangka panjang. Ini akan membolehkan kami mencapai matlamat rancangan sepuluh tahun kami dan walaupun ia akan memakan masa yang lama, Proton teruja dengan peluang untuk mendahului industri automotif Malaysia kearah menjadi hab Kenderaan Generasi Baru (NxGV),” tambahnya lagi.

     
     
  • KESAS, SPRINT, LITRAK capai persefahaman dengan ALR berhubung penstrukturan semula lebuhraya

    KESAS, SPRINT, LITRAK capai persefahaman dengan ALR berhubung penstrukturan semula lebuhraya

    Gamuda Bhd memaklumkan syarikat konsesi Kesas Holdings Bhd (KESAS), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn Bhd (SPRINT) dan Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (LITRAK) telah mencapai persefahaman dengan Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) berhubung penstrukturan semula iaitu mengambil alih ketiga-tiga lebuhraya berkenaan.

    Persefahaman berkenaan berkenaan tuntutan waranti daripada ALR, di mana menurut Gamuda, Kesas telah bersetuju untuk menerima tuntutan ALR berkenaan fi tinjauan dan penggantian kenderaan berjumlah RM1.25 juta, laporan Bernama.

    Berhubung tuntutan ALR berkaitan tanah, KESAS juga telah bersetuju untuk bersama-sama dengan Gamuda bagi menyelesaikan perkara itu dengan kerajaan di bawah terma perjanjian konsesi.

    “Sementara menunggu penyelesaian tersebut, ALR akan mengekalkan RM960,000 di samping bersetuju untuk mengetepikan sebarang faedah yang perlu dibayar oleh ALR terhadap jumlah itu,” kata Gamuda.

    Manakala SPRINT pula telah bersetuju untuk menerima semua tuntutan daripada ALR berjumlah RM2.02 juta membabitkan fi tinjauan akhir bagi warta hak lalu-lalang, penggantian kenderaan polis peronda lebuh raya dan menambah baik laluan RFID.

    Bagi LITRAK pula, syarikat tersebut juga telah bersetuju menerima tuntutan daripada ALR berkenaan penggantian kenderaan polis peronda lebuh raya dan penambahbaikan/pemasangan laluan RFID bernilai RM1.65 juta.

    “Berhubung tuntutan ALR terhadap premium tanah di bawah Notis 5A Kanun Tanah Negara, LITRAK dan ALR telah bersetuju untuk bersama-sama Gamuda bagi menyelesaikan perkara itu di bawah terma perjanjian konsesi.

    “Sementara menunggu penyelesaian itu, ALR akan mengekalkan RM8.41 juta. Litrak telah bersetuju untuk mengetepikan sebarang faedah yang perlu dibayar oleh ALR terhadap jumlah terkumpul,” katanya.

     
     
  • JPJ eBid: Siri AMY dan PQU bakal boleh dibida

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Perak dan Pulau Pinang bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Perak, AMY, bakal dibuka bidaan mulai 9 April 2023. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 13 April. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 14 April 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Pulau Pinang, PQU, akan boleh mula dibida pada 13 April 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 17 April, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 18 April 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • JPJ bantu syarikat pengeluar kenderaan hebah aktiviti panggil balik supaya pemilik segera bertindak

    JPJ bantu syarikat pengeluar kenderaan hebah aktiviti panggil balik supaya pemilik segera bertindak

    Setiap kali terdapat isu keselamatan atau pun kecacatan yang membabitkan kenderaan, syarikat pengeluar kenderaan akan melaksanakan kempen panggil balik atau Product Recall. Dalam industri automotif, terma Product Recall merujuk kepada aktiviti ‘Pemanggilan Semula’ yang dilakukan oleh pihak pengeluar kenderaan apabila terdapat penemuan isu keselamatan atau kecacatan membabitkan komponen/sistem kenderaan yang mungkin meningkatkan risiko keselamatan kepada pemandu, penumpang mahupun pengguna jalan raya yang lain.

    Berdasarkan Seksyen 66 (1)(pp) Akta Pengangkutan Jalan 1987, syarikat pengeluar kenderaan terbabit perlu memaklumkan secara bertulis kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk sebarang panggilan balik. JPJ akan merekodkan dan memantau perkembangan setiap aktiviti tersebut sehingga kesemua unit bagi model kenderaan yang terlibat dalam aktiviti panggil balik ini selesai diatasi.

    Menurut JPJ, sebarang aktiviti panggil balik di pihak prinsipal pengeluar kenderaan yang berpusat di luar negara yang juga melibatkan model kenderaan yang berada di Malaysia juga perlu dimaklumkan kepada JPJ melalui wakil pengeluar/pengedar kenderaan tersebut yang berpusat di Malaysia. Ini bagi memastikan model kenderaan tersebut melalui aktiviti yang sama (panggil balik) di dalam negara.

    Pemilik kenderaan terlibat yang telah mendapat notifikasi tersebut pula hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya dengan menghantar kenderaan mereka ke pusat-pusat servis bertauliah yang telah dilantik bagi mendapatkan khidmat dan alat ganti secara percuma.

    Justeru, JPJ mengambil keputusan untuk membantu syarikat pengeluar kenderaan untuk menghebahkan aktiviti panggil balik ini melalui hebahan di laman media sosial dan juga portal rasmi JPJ. Hebahan ini bertujuan bagi menarik perhatian umum terutamanya kepada pemilik-pemilik kenderaan yang terlibat agar segera menghubungi wakil pengedar yang sah. Sebagai permulaan, JPJ telah menyenaraikan model kenderaan keluaran Mercedes-Benz, Audi dan Perodua, serta motosikal keluaran Suzuki dan Honda yang terlibat dengan aktiviti panggil balik terbaharu ini.

    Menurut JPJ, inisiatif ini dilaksanakan selaras dengan hasrat Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Zailani Hj. Hashim melalui ucapan dasarnya dalam Bilateral Meeting di antara JPJ dan juga delegasi Jepun yang terdiri daripada wakil Ministry of Land, Infrastructure, Transport & Tourism (MLIT), National Traffic Safety and Environment Laboratory (NTSEL), dan juga Japan Automobile Standards Internationalization Center (JASIC) menekankan aktiviti benchmarking bagi aktiviti panggil balik seperti yang dilaksanakan di Jepun dengan menghebahkan aktiviti tersebut melalui laman web rasmi dan juga media massa.

     
     
  • Harga minyak 6-12 April – Semuanya masih dikekalkan

    Harga minyak 6-12 April – Semuanya masih dikekalkan

    Bagi tempoh tarikh 6 hingga 12 April 2023, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel masih dikekalkan. Ini merupakan minggu ke-15 tiada perubahan bagi harga runcit petrol dan diesel.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.35 seliter, selepas ia mengalami penurunan harga selama tiga minggu berturut-turut sepanjang Disember 2022. Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 13 Mac lalu, kerajaan berkata rancangan untuk memperkenalkan program subsidi bahan api bersasar masih diteruskan, namun akan dimulakan dengan diesel, manakala bagi petrol RON 95 akan ditangguhkan untuk tempoh lain. Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, subsidi yang disasarkan akan terlebih dahulu melibatkan elektrik dan diesel apabila ia dilaksanakan

     
     
  • Lotus Eletre sudah dilihat di Malaysia – hyper SUV EV 905 hp akan dilancarkan di sini pada 13 April 2023

    Lotus Eletre sudah dilihat di Malaysia – hyper SUV EV 905 hp akan dilancarkan di sini pada 13 April 2023

    Selepas didedahkan tahun lalu, SUV pertama dari Lotus setelah dirancang sekian lama iaitu Lotus Eletre nampaknya telah dilihat di Malaysia dan imejnya berjaya dirakam oleh pembaca paultan.org, Alfred Lim. Apa yang menarik, hari ini juga laman Facebook Lotus Cars Malaysia telah menyiarkan teaser SUV tersebut dan mengumumkan tarikh pelancarannya iaitu pada 13 April nanti.

    Eletre merupakan hyper SUV yang dijana sepenuhnya menggunakan kuasa elektrik dari bateri (BEV). Ia diasaskan dari platform Electric Premium Architecture (EPA) yang hasilkan oleh Lotus berdasarkan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) Geely.

    Ia ditawarkan dalam tiga varian iaitu model Eletra dan Eletre S, di mana kedua-duanya menerima hanya satu motor elektrik untuk memacu gandar belakang berkuasa 603 hp dan tork maksima 710 Nm. Manakala varian paling berkuasa adalah Eletre R dengan dua motor elektrik (satu pada setiap gandar menjadikan ia model pacuan semua roda) berkuasa 905 hp dan tork maksima 985 Nm.

    Varian asas Eletre dan Eletre S menerima bateri berkapasiti 112 kWj yang membolehkan ia bergerak sejauh 600 km (kitaran WLTP). Kofigurasi tersebut turut membolehkan model pacuan belakang ini memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 4.5 saat, 80-120 km/j hanya 2.2 saat serta mencapai kelajuan maksima 258 km/j.

    Model Eletre R juga menerima bateri berkapsiti 112 kWj, dan oleh kerana kuasanya yang lebih besar, jarak gerak untuk satu cas penuh hanyalah sejauh 490 km. Pecutan 0-100 km/j pula hanya 2.95 saat, 80-120 km/j hanya 1.9 saat, dan kelajuan maksima dicatatkan pada 265 km/j.

    Kesemua varian Eletre ini menggunakan asas senibina elektrik 800-volt. Ini membolehkan pengecas pantas DC memenuhkan baterinya dari 10-80% dalam masa hanya 20 minit.

    Lotus Eletre sudah dilihat di Malaysia – hyper SUV EV 905 hp akan dilancarkan di sini pada 13 April 2023

    Menteri perdagangan dan industri Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sempat menguji Lotus Eletre ketika kunjungannya ke kilang pintar Geely Hangzhou Bay di Ningbo, China minggu lalu

    Kami difahamkan bahawa Lotus Eletre akan dijual di Malaysia pada harga di bawah RM1 juta untuk varian tertinggi Eletre R walaupun pembeli memilih semun opsyen yang ditawarkan. Bagi model asas, harga jangkaannya juga agak rendah iaitu bermula dari RM630k. Ini kerana Eletre merupakan model EV dan ia turut menerima insentif pengecualian duti eksais dari kerajaan Malaysia.

    Atas faktor ini, Eletra nampaknya mendapat sambutan yang menggalakkan walaupun tiada sebarang aktiviti pemasaran dibuat oleh Lotus Cars Malaysia. Sumber kami mendedahkan bahawa sehingga bulan lalu, tempahan untuk Lotus Eletre ini sudahpun melebihi 100 unit!

    GALERI: Lotus Eletre 2023

     
     
  • Mitsubishi Colt 2024 akan muncul di Eropah 8 Jun ini – model rebadge dari Renault Clio, diproduksi di Turki

    Mitsubishi Colt 2024 akan muncul di Eropah 8 Jun ini – model <em>rebadge</em> dari Renault Clio, diproduksi di Turki

    Selepas imej teaser dan beberapa perincian awal didedahkan pada April tahun lalu, Mitsubishi kini menyiarkan satu lagi imej teaser untuk model hatchback kompak Colt generasi baharu dan mengumumkan bahawa ia bakal membuat kemunculan di Eropah pada 8 Jun ini.

    Seperti yang disebut-sebut sebelum ini, Colt generasi baharu pasaran Eropah berkenaan bukan dibangunkan oleh Mitsubishi, tetapi ia adalah model rebadge dari Renault Clio. Ini adalah antara strategi Mitsubishi untuk bertapak semula dengan lebih baik di Eropah selepas berada dalam Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi sejak 2016.

    Dalam teaser terbaharu yang disiarkan, Mitsubishi mendedahkan sebahagian kecil belakang Colt 2023 berkenaan, menampilkan lampu belakang yang seiras dengan Clio. Apa yang berbeza, tiada lagi logo Renault dan skrip “Clio” di tengah pintu hatch dan digantikan dengan skrip “Mitsubishi” bersama tulisan “Colt” pada bucu bawah pintu berkenaan.

    Menerusi teaser yang disiarkan tahun lalu, bayangan badan Colt ini menampilkan bentuk yang sama dengan Renault Clio termasuk pembuka pintu belakang yang ‘disorokkan’ untuk kelihatan seperti model tiga-pintu. Apa yang berbeza adalah pada bahagian hadapan yang diberikan muka Dynamic Shield Mitsubishi, tampil dengan elemen krom berbentuk-X pada gril hadapan dan bersambung dengan ‘kening’ yang mungkin adalah jalur lampu nyalaan siang di atas lampu hadapan utama.

    Ia turut diberikan emblem ‘Hybrid EV’ pada pintu hadapan, yang menandakan ia mungkin berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama dengan Renault Clio E-Tech.

    Mitsubishi Colt 2024 akan muncul di Eropah 8 Jun ini – model <em>rebadge</em> dari Renault Clio, diproduksi di Turki

    Clio E-Tech menerima enjin 1.6 liter NA yang digandingkan dengan unit starter-generator serta satu lagi motor elektrik lebih besar, bersama kotak gear tanpa klac pelbagai-mod. Sistem elektrikal untuk teknologi hibrid berkenaan beroperasi dengan seni bina elektrikal 230 V, bersama bateri berkapasitu 1.2 kWj, memberikan kuasa keseluruhan 140 hp.

    Menurut Renault, sekiranya Clio E-Tech ini dipandu di kawasan bandar, 80% pemanduan boleh dibuat dengan hanya kuasa elektrik, membolehkan ia mencapai penggunaan bahan api 40% lebih jimat berbanding versi petrol sepenuhnya. Clio E-Tech ini juga boleh bergerak pada kelajuan 75 km/j dalam mod elektrik penuh.

    Mitsubishi Colt ini diasaskan dari platform CMF-B yang bukan sahaja dikongsi oleh Clio, malah merupakan asas yang sama dengan satu lagi ahli pakatan berkenaan iaitu Nissan Micra. Ia juga tidak diproduksi oleh kilang Mitsubishi, sebaliknya akan dipasang di kilang Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi di Bursa, Turki.

    Colt 2024 bukanlah produk rebadge Renault pertama dari Mitsubishi. September tahun lalu jenama tiga berlian berkenaan telahpun melancarkan SUV kompak ASX generasi baharu di Eropah, yang merupakan model rebadge dari Renault Captur.

     
     
  • Chery Omoda 5 2023 di Malaysia — SUV CKD dengan 1.5T, CVT, ADAS; tiba Q2, harga antara X50 dan HR-V

    Chery Omoda 5 2023 di Malaysia — SUV CKD dengan 1.5T, CVT, ADAS; tiba Q2, harga antara X50 dan HR-V

    Chery Omoda 5 merupakan sebuah SUV kompak yang akan dilancarkan di Malaysia untuk menjadi pesaing terbaru bagi Honda HR-V dan Proton X50. Dijangka dilancaarkan pada suku kedua tahun ini, kami tampilkan terlebih dahuly Chery Omoda 5 ini dalam galeri penuh untuk tatapan anda.

    Model ini mempunyai ukuran 4,400 mm panjang dan 1,830 mm lebar, menjadikan Omoda 5 ini lebih panjang 15 mm dan 40 mm lebih lebar berbanding HR-V. Bagaimana pun, Omoda 5 mempunyai ketinggian 1,585 mm, kurang 5 mm berbanding HR-V, tetapi dengan jarak roda yang lebih panjang 20 mm, menjadikannya 2,630 mm.

    Untuk rujukan, HR-V mempunyai ukuran dimensi 4,385 mm panjang, 1,790 mm lebar, 1,590 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,610 mm. Sementara Proton X50 pula dengan ukuran 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,609 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,600 mm.

    Chery Omoda 5 2023 di Malaysia — SUV CKD dengan 1.5T, CVT, ADAS; tiba Q2, harga antara X50 dan HR-V

    Untuk unit enjinnya, Omoda 5 dengan spesifikasi pasaran Malaysia akan menggunakan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder petrol yang menjana 147 PS (145 hp) dan 230 Nm tork. Kuasa ini dihantar ke roda depan melalui CVT. Kini juga disahkan bahawa enjin berkenaan akan diberikan jaminan 10-tahun/1,000,000 km daripada Chery, sebuah tawaran yang menunjukkan mereka cukup yakin dengan produk yang dihasilkan.

    Berbanding pesaing, HR-V misalnya menggunakan enjin 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder yang menghasilkan 181 PS (178 hp) dan 240 Nm tork, sementara X50 dengan enjin 1.5 liter turbocas tiga-silinder yang menjana 177 PS (174 hp) dan 255 Nm tork dalam versi TGDi atau 150 PS (148 hp) dan 266 Nm dalam versi PFI.

    Omoda 5 menampilkan pendekatan rekaan Art in Motion oleh Chery, dengan kelainan antaranya di bahagian gril depan yang besar dan tanpa bingkai, yang masuk bersekali dengan DRL LED tirus yang ada. Lampu utama LED pula terletak berdekatan bucu bampar depan di bawah DRL, dan di belakang, rekaan lampu yang diberikan lebih lebar dengan tulisan Chery.

    Chery Omoda 5 2023 di Malaysia — SUV CKD dengan 1.5T, CVT, ADAS; tiba Q2, harga antara X50 dan HR-V

    Di dalam, papan pemukanya yang lebar menempatkan kluster instrumen serta skrin sentuh di tengah, kedua-duanya bersaiz 10.25-inci. Skrin kedua itu adalah untuk kegunaan infotainmen yang lengkap dengan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, dengan sokongan sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara.

    Butang sentuh turut digunakan untuk kawalan sistem pendingin (dengan corong di belakang), dan terletak di bahagian tengah corong udara. Di bawahnya terletak juga pengecas tanpa wayar dan terhubung ke bahagian konsol tengah bertingkat yang menempatkan slot USB, tuil gear, brek parkir elektronik (dengan Auto Hold), dial dan butang untuk peninjau persekitaran, mod pemanduan dan lampu kecemasan.

    Ruang but yang tersedia pula ialah 360 liter, termasuk ruang simpanan di bawah lantainya, dan boleh diluaskan menjadi 1,075 liter dengan kerusi belakang nisbah lipatan 60:40 yang ada itu dilipat. Turut tersedia ialah pelindung mudah alih serta ruang tayar ganti saiz kecil.

    Chery Omoda 5 2023 di Malaysia — SUV CKD dengan 1.5T, CVT, ADAS; tiba Q2, harga antara X50 dan HR-V

    Dari segi kelengkapan, Omoda 5 datang dengan rim aloi 18-inci dengan kemasan merah serta tayar 215/55 GitiComfort F50, sistem penghidup enjin tanpa kunci, sunroof larasa kuasa, pintu belakang larasan kuasa, kerusi balutan kulit, kerusi depan berkuasa serta perehat lengan depan dan belakang. Untuk keselamatan dan bantuan pemandu, ada enam beg udara, sistem pasif biasa, kawalan melayar adaptif, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta dan AEB.

    Kami dimaklumkan bahawa spesifikasi dan kelengkapan yang ada pada unit yang anda lihat ini adalah sama sepenuhnya dengan apa yang bakal dilancarkan nanti. SUV ini akan dipasang di sini (CKD) dari awal, dan harganya pula belum ada sebarang petunjuk lagi.

    Apa yang sudah diketahui adalah varian paling tinggi Omoda 5 nanti akan berada di antara X50 dan HR-V, dengan lebih dekat ke arah model Proton itu dari segi harganya. Sekadar makluman, varian HR-V paling tinggi dengan enjin VTEC Turbo — V — dijual pada harga RM134,800 sementara X50 Flagship yang paling tinggi pula dengan harga RM113,300. Sejauh mana Omoda 5 ini mampu menggugat pesaing sedia ada?

     
     
  • BMW 330Li M Sport facelift 2023 di Malaysia – RM326k

    BMW 330Li M Sport facelift 2023 di Malaysia – RM326k

    Melengkapkan lagi barisan BMW 3 Series facelift di Malaysia dengan pelancaran 330Li M Sport G28 2023. Ia ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM305,800 dengan waranti dua-tahun asas atau RM325,800 dengan waranti lanjutan lima-tahun dan pakej servis.

    Ia menjadikan 330Li M Sport LCI lebih mahal sebanyak RM6,000 berbanding 330i M Sport dengan jarak roda standard. Sememtara itu, M340i xDrive dengan enjin yang lebih padu 3.0 liter pula lebih mahal sebanyak RM66k. Untuk 330Li ini, ia memiliki jarak roda yang lebih panjang sebanyak 110 mm yang memberikan impak terhadap ruang penumpang belakang dan pintu belakang. Walau bagaimana pun, sama seperti model pra-peningkatan, tempat duduk belakang tidak boleh dibaringkan.

    Malahan banyak kelengkapan dari model pra-peningkatan turut diberikan untuk LCI 330Li; dengan beberapa ciri tambahan untuk model facelift termasuk dua corong ekzos yang trapezoid yang berbeza dengan 330i, 330e dan 320i yang menerima corong bulat.

    330Li M Sport facelift ini diberikan roda aloi Style 848 18-inci yang dibaluti tayar berukuran 225/45 di hadapan dan 255/40 di belakang. Selain itu, kemasan untuk M Sport untuk 3 Series G20 dengan jarak roda lebih panjang ini termasuk menerima kemasan hitam Shadowline yang merangkuli gril double-bar kidney.

    Selain itu, ia juga termasuk dengan ciri berorientasikan keselesaan, suspensi tidak boleh laras, dan larasan stereng standard berbanding streng sport boleh laras yang diberikan untuk varian lain dalam barisan model semasa 3 Series.

    Ciri lain yang diberikan termasuk tempat duduk yang lebih selesa, bumbung suria panoramik, papan pemuka balutan kulit Sensatec, roda stereng M Sport, dan sistem bunyi dengan 10-pembesar suara.

    Kelengkapan lain untuk dalaman termasuk dwi-skrin lebar untuk instrumentasi Curved Display, pemilih transmisi dengan gaya suis, ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar yang diberikan secara standard.

    Bagi penjana kuasanya, ia masih dikekalkan seperti sebelum ini, dengan 330LI M Sport LCI menerima unit 2.0 liter turbo B40 dengan hamburan kuasa 258 PS dan tork 400 Nm, disambungkan kepada transmisi automatik Steptronic Sport lapan-kelajuan untuk menghantar pacuan ke roda belakang.

    Disebabkan badannya lebih berat berbanding 330i, pecutan 330Li menjadi sedikit lambat iaitu 0-100 km/j dalam 6.2 saat, tetapi laju maksimum masih kekal 250 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya didakwa sekitar 6.4 liter bagi setiap 100 km.

    Pada bahagian keselamatan ia mendapat Driving Assistant secara standard, yang termasukAmaran Ketibaan Lorong dengan maklum balas stereng aktif, Amaran Menukar Lorong, Amaran pelanggaran Hadapan dengan maklum balas brek (AEB), Amaran Trafik Lintasan Belakang, Amaran Pelanggaran Belakang, Info Had Kelajuan dan Bantuan Had Kelajuan Manual. Walau bagaimana pun, ia masih tidak diberikan fungsi ACC dan pemanduan autonomous Level 2.

    BMW 330LI M Sport G20 2023 ini ditawarkan dengan pilihan warna Carbon Black, Mineral White, M Portimao Blue dan Skyscraper Grey, yang kesemuanya dipadankan dengan warna kemasan dalaman Mocha (coklat).

     
     
  • Projek RTS Link JB-S’pura kini capai kemajuan 32.42%

    Projek RTS Link JB-S’pura kini capai kemajuan 32.42%

    Buat setakat ini, tahap kemajuan kerja projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura telah mencapai 32.42%. Ini merangkumi pelbagai komponen seperti depoh, stesen, jajaran darat dan jajaran marin.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh, kerajaan Johor komited memastikan projek pengangkutan awam berimpak tinggi itu akan mula beroperasi pada 2026, laporan Bernama.

    “Bagi melancarkan proses kemajuan projek ini, Johor telah menubuhkan satu pasukan pertugas pada 21 Oktober 2020 untuk membantu memudahkan apa sahaja perkara berkaitan kerajaan negeri sebagai contoh, isu tanah dan sebagainya dengan urus setianya adalah PLANMalaysia Johor.

    “Kita menjangkakan infrastruktur projek ini siap pada Disember 2024, dan beroperasi mulai Disember 2026, setakat ini ia mengikut jadual dan segala perkembangan berhubung projek dipantau rapat oleh Kementerian Pengangkutan,” katanya kepada pihak media semalam.

    Tambahnya, dengan adanya perkhidmatan tersebut ia bakal menyelesaikan sebahagian daripada cabaran pergerakan rakyat Malaysia dan Singapura dengan jangkaan kapasiti sehingga 10,000 penumpang sejam setiap hala.

    Projek RTS Link ini terdiri daripada sambungan ulang-alik kereta api sepanjang kira-kira 4 km dengan dua stesen di Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands, Singapura. Untuk bahagian Malaysia, ia meliputi 2.7 km, dan selebihnya 1.3 km di Singapura.

    Laluan untuk Projek RTS Link ini adalah sistem transit aliran ringan moden yang akan menyediakan sistem pengangkutan dengan volum yang tinggi, pantas dan cekap antara kedua-dua stesen, mengadakan pengangkutan alternatif yang akan membantu mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan imigresen bagi kedua-dua negara.

    Projek ini juga bakal melibatkan pembangunan fasiliti kompleks kuarantin, kastam dan imigresen (ICQ) baharu bersebelahan stesen Bukit Chagar, dengan tren sambungan KTM dan juga Iskandar Rapid Transit. Sementara itu, stesen Woodlands pula akan mempunyai fasiliti kuarantin, imigresen dan kastam (CIQ), dan pertukaran dengan MRT Laluan Thomas-East Cost.

    Dijangkakan akan siap sepenuhnya pada hujung 2026, projek itu akan menjadi sistem transit aliran ringan (LRT) moden dengan kapasiti 10,000 penumpang sejam, setiap arah dan jangkaan penumpang kira-kira 40,000 penumpang sehari selepas beroperasi kelak.

    Ini akan dicapai dengan set kereta api empat gerabak yang boleh mencecah kelajuan maksima 80 km/j. Anggaran perjalanan kereta api adalah enam minit antara stesen dengan kekerapan 3.6 minit pada waktu puncak, yang memberikan kemudahan kepada penumpang dengan sistem pengangkutan yang pantas dan cekap yang akan membantu mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan imigresen bagi kedua-dua negara.

     
     
  • Persediaan pelaksanaan caj VEP untuk kenderaan persendirian asing masuk ke M’sia sedang dilakukan

    Persediaan pelaksanaan caj VEP untuk kenderaan persendirian asing masuk ke M’sia sedang dilakukan

    Kerajaan sedang membuat persediaan bagi melaksanakan caj permit masuk kenderaan (VEP) bagi kenderaan persendirian asing yang masuk ke negara ini.

    Perkara ini disahkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang berkata VEP sebelum ini dimulakan di sempadan Malaysia-Singapura akan dipanjangkan di sempadan Malaysia-Thailand sebelum dilaksanakan di sempadan Malaysia-Indonesia di Sabah dan Sarawak, laporan Harian Metro.

    “Bagaimanapun perkara ini sudah tentu mengambil masa untuk pelaksanaannya,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 dalam persidangan Dewan Rakyat semalam.

    Beliau berkata ketika ini, Akta 715 iaitu Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 hanya mempunyai kawalan kuasa ke atas kenderaan perdagangan asing. Rang undang-undang berkenaan kemudiannya diluluskan sidang Dewan Rakyat melalui undian suara.

    Persediaan pelaksanaan caj VEP untuk kenderaan persendirian asing masuk ke M’sia sedang dilakukan

    Untuk kenderaan persendirian pula, katanya kemasukan kenderaan berkenaan tertakluk kepada peraturan sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk kewajipan untuk memohon Permit Peredaran Antarabangsa (ICP).

    Pada hujung bulan lalu, Loke turut mengesahkan buat masa ini kerajaan Malaysia tiada rancangan untuk menaikkan kadar bayaran VEP bagi kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki negara ini melalui pintu masuk antarabangsa di Johor.

    Katanya lagi, langkah menaikkan kadar VEP hanya akan menyebabkan tindak balas kerajaan Singapura yang akan turut menaikkan kadar bayaran kepada kenderaan Malaysia yang memasuki republik itu. Di mana kadar VEP akan terus dikekalkan RM20 bagi setiap kenderaan berdaftar di Singapura ketika melalui Tambak Johor serta Lebuhraya Hubungan Kedua (SecondLink), Gelang Patah.

     
     
  • Geely Boyue Cool didedahkan di China – 1.5L Turbo 4-silinder, 181 PS/290 Nm, 7DCT rekaan Starbust Vision

    Geely Boyue Cool didedahkan di China – 1.5L Turbo 4-silinder, 181 PS/290 Nm, 7DCT rekaan Starbust Vision

    Selepas memperkenalkan Boyue L lewat tahun lalu, Geely kini hadir dengan satu lagi versi SUV dari siri Boyue untuk pasaran China iaitu Boyue Cool. Dan sama seperti Boyue L, Boyue Cool ini adalah model yang langsung tidak sama dengan asas Proton X70 iaitu Boyue, walaupun ia menggunakan nama siri yang sama.

    Menurut Geely, ‘Cool’ merupakan akronim kepada ‘Creative, Opening, Outdare and Love’, sesuai dengan sasaran jualannya iaitu golongan lebih muda. Pra-tempahannya di China dijangka akan dibuka bulan ini, dan pelancaran rasminya akan berlangsung pada separa pertama tahun ini.

    Model ini menampilkan dimensi panjang 4,510 mm, lebar 1,865 mm, tinggi 1,650 mm dan jarak roda sejauh 2,701 mm. Jadi ia adalah sedikit lebih besar berbanding Boyue/X70 yang menampilkan dimensi panjang 4,519 mm, lebar 1,831 mm dan tinggi 1,694 mm.

    Geely Boyue Cool didedahkan di China – 1.5L Turbo 4-silinder, 181 PS/290 Nm, 7DCT rekaan Starbust Vision

    Boyue Cool hadir dengan konsep rekaan Starburst Vision, iaitu konsep baharu yang lebih sporty untuk golongan muda menampilkan bentuk-bentuk bersegi dan garis-garis tajam. Pada bahagian muka ia diberikan gril besar dengan elemen berbentuk-Y. Ia disertai dengan jalur-jalur lampu nyalaan siang LED yang seakan sebahagian dari gril berkenaan.

    Jalur-jalur LED tersebut turut akan menyala dalam ‘irama’ tersendiri ketika SUV ini dikunci/buka kunci. Bukan hanya jalur LED hadapan, malah jalur LED berwarna merah di belakang turut menyertai ‘irama’ berkenaan.

    Untuk sistem rangkaian kuasa, Boyue Cool menerima enjin 1.5 liter empat silinder turbo, menghasilkan kuasa 181 PS (178 hp atau 133 kW) dan tork maksima 290 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan bagi memacu roda hadapan, membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat.

    Dalam kabin, Boyue Cool diberikan papan pemuka yang disertakan dengan skrin 10.25-inci untuk paparan instrumen digital, serta skrin sesentuh 13.2-inci diletak menegak pada bahagian tengah yang bukan sahaja untuk sistem infotainmen, malah berfungsi menyediakan butang kawalan maya untuk sistem seperti penghawa dingin dan sebagainya bagi menggantikan butang-butang fizikal.

    Skrin berkenaan beroperasi dengan sistem-pada-cip (SoC) Qualcomm Snapdragon 8155 yang membolehkan fungsi termasuk arahan suara dan pengecaman muka (menerusi kamera yang terletak di atas roda stereng) digunakan.

    Kelengkapan lain turut diberikan termasuk sistem lampu suasana kabin 72-warna, bumbung suria bersaiz besar, upholsteri kulit, liang udara pendingin hawa untuk kabin belakang dan juga ruang but dengan kapasiti 571 liter.

    Boyue Cool turut menerima sistem bantuan pemanduan termaju dengan kebolehan pemanduan separa-autonomi SAE Tahap 2, menampilkan sistem seperti cruise control adaptif, brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorang dan pelbagai lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025