Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • CFMoto 700 CL-X ADV mula berada di pasaran Malaysia April ini – enjin 693 cc, harga RM35,888

    CFMoto 700 CL-X ADV mula berada di pasaran Malaysia April ini – enjin 693 cc, harga RM35,888

    Model ketiga dalam barisan siri 700CL-X oleh CFMoto, iaitu 700 CL-X ADV akan mula berada di pasaran pada bulan April ini, dengan harga yang diberitahu bermula dari RM35,888. Hanya satu warna disediakan, iaitu Aurora Blue dan jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    Enjin sama seperti model 700 CL-X yang lain, iaitu unit dua silinder selari 693 cc DOHC digunakan pada 700 CL-X ADV ini, tetapi telah ditala untuk dijadikan bersesuaian dengan karekter scrambler yang dimahukan, dengan kuasa maksimum 69 hp pada 6,500 rpm dan tork 60.9 Nm pada 6,500 rpm.

    CFMoto memanggil 700 CL-X ini sebagai sebuah motosikal neo retro dengan kemampuan offroad ringan, dan kedudukan menunggangnya dijadikan lebih santai dan mudah untuk berhadapan dengan cabaran. Pemegangnya ditinggikan 30 mm ke atas dan 15 mm ke belakang, berbanding 700 CL-X Heritage.

    Bagi mendapatkan serapan yang baik, 700 CL-X ADV dipasang dengan suspensi daripada Kayaba (jarak gerak 150 mm), terdiri daripada unit 41 mm USD dengan pelarasan penuh di hadapan, dan monoshock dengan pelarasan pra beban dan serapan di bahagian belakang. Daripada casis, suspensi ini disambung kepada rim jenis spoked bersaiz 18 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.

    Melengkapkan bahagian roda adalah brek yang terdiri daripada unit cakera tunggal 300 mm bersama angkup Brembo Stylema di hadapan dan cakera 260 mm dengan angkup Brembo di belakang (ABS diberikan secara standard). Berat keseluruhan motosikal ini adalah 203 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 13 liter.

     
     
  • Puspakom tidak lagi monopoli perkhidmatan pemeriksaan kenderaan mulai Sept 2024 – Loke

    Puspakom tidak lagi monopoli perkhidmatan pemeriksaan kenderaan mulai Sept 2024 – Loke

    Menteri Pengangkutam, Anthony Loke, mengesahkan hasil keputusan Jemaah Menteri pada 17 Mac lalu bahawa tiada lagi monopoli Puspakom sebagai penyedia pemeriksaan berkala kenderaan motor berkuat kuasa 1 September 2024.

    Katanya, perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dibuka kepada pihak berkelayakan dan memenuhi syarat ditetapkan selepas konsesi semasa Puspakom tamat pada 31 Ogos 2024, laporan Berita Harian.

    “Konsesi untuk Puspakon akan diperbaharui. Walau bagaimana pun, perkhidmatan pemeriksaan ini tidak lagi eksklusif untuk Puspakom. Proses pelawaan kepada pihak yang berminat dalam menyediakan perkhidmatan tersebut akan dibuka selewat-lewatnya suku pertama 2024,” katanya sambil menambah keputusan ini diambil bagi menggalakkan industri pemeriksaan kenderaan yang kompetitif.

    Puspakom tidak lagi monopoli perkhidmatan pemeriksaan kenderaan mulai Sept 2024 – Loke

    Loke turut menjelaskan, perkara ini juga telah dibincangkan bersama Puspakom dan DRB-Hicom selaku pengendalinya. “DRB dan Puspakom tahu keputusan ini, kita sudah bincang bersama mereka. Perihal perbincangan itu tidak perlu saya dedah, tapi mereka mengambil maklum keputusan ini,” katanya.

    Tambahnya, “Malah pada 2018 ketika kali pertama pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), kita tubuh satu jawatankuasa untuk menilai semula semua monopoli dalam industri, tetapi ketika itu konsesi (Puspakom) masih berjalan dan hanya berakhir pada 2024.

    “Jadi (kini) menghampiri tempoh itu, keputusan perlu dibuat segera sama ada mahu meneruskan konsesi ini atau tidak, saya bawa ke Kabinet dan minta konsesi ini dilanjut (tambahan 15 tahun), tetapi tiada lagi eksklusiviti kepada Puspakom, itu bezanya,” katanya.

    Puspakom merupakan satu-satunya syarikat pemeriksaan kenderaan di Malaysia yang dilantik oleh kerajaan sejak tahun 1994 untuk menjalankan semua pemeriksaan mandatori bagi kenderaan komersil dan persendirian.

     
     
  • KTMB umum tiket tambahan bagi tren ETS sempena Aidilfitri dan Hari Pekerja mula dijual hari ini

    KTMB umum tiket tambahan bagi tren ETS sempena Aidilfitri dan Hari Pekerja mula dijual hari ini

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan tiket bagi empat Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) tambahan sempena sambutan Aidilfitri dan Hari Pekerja telah mula dijual hari ini. Ia membabitkan perjalanan dari Stesen KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya, serta laluan KL Sentral-Butterworth dan sebaliknya bagi tempoh 19 hingga 25 April.

    Menurut KTMB, menawarkan 1,260 tiket sehari, tren tambahan tersebut memperuntukkan sebanyak 13,860 tiket untuk koc kelas perniagaan dalam tempoh berkenaan. Perkhidmatan tren ETS tambahan bagi kedua-dua laluan itu membabitkan 14 perkhidmatan dengan masing-masing menawarkan 4,410 tiket.

    “Sementara itu, perkhidmatan tren tambahan sempena Hari Pekerja yang membabitkan 16 perkhidmatan akan bermula 28 April hingga 1 Mei dengan jumlah tiket ditawarkan sebanyak 5,040,” kata KTMB.

    Klik untuk besarkan

    Mengikut jadual perjalanan yang dikongsi menerusi laman Facebook rasminya, bagi jadual ETS tambahan pada 19 April, waktu berlepas untuk sektor KL Sentral ke Padang besar adalah 11 pagi (Padang Besar-KL Sentral) dan 5.05 petang (KL Sentral-Padang Besar), manakala sektor KL Sentral ke Butterworth pula pada jam 11.40 pagi (Butterworth-KL Sentral) serta 4.40 petang (KL Sentral-Butterworth).

    “Pengguna dinasihatkan merancang perjalanan dan membuat pembelian tiket awal bagi menikmati tambang fleksi yang lebih menjimatkan dan mengelakkan daripada kehabisan tiket.

    “Malahan pengguna juga digalakkan mendapatkan tiket secara dalam talian dan melihat jadual tren disediakan melalui aplikasi KTM Mobile (KITS) atau di laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my bagi pembelian tanpa tunai yang lebih mudah dan pantas,” katanya.

     
     
  • Pusat 3S Mitsubishi baharu di Alor Star dan Langkawi

    Pusat 3S Mitsubishi baharu di Alor Star dan Langkawi

    Pusat 3S Mitsubishi Alor Star

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah membuka pusat 3S baharu di Alor Star, Kedah dan merupakan bilik pameran terbesar di bahagian utara tanahair. Ia dikendalikan oleh pengedar bertauliah Mitsubishi, JM Auto Gallery.

    Dalam masa yang sama, JM Auto Gallery turut membuka pusat 3S baharu di Langkawi. Kedua-dua pusat 3S berkenaan dilengkapi dengan identiti jenama Mitsubishi terkini, selari dengan mesej jenama globalnya, ‘Drive Your Ambition’.

    Bagi pusat 3S Mitsubishi Alor Star, ia berkeluasan 10,000 kaki persegi, dan 2,300 kaki persegi untuk bilik pameran di Langkawi. Kedua-dua bilik pameran ini turut dilengkapi dengan ruang menunggu untuk pelanggan dengan kemudahan WiFi dan sudut permainan kanak-kanak. Untuk pusat 3S di Alor Star, ia turut dilengkapi dengan pusat servis dengan lapan petak penyelenggaran.

    Pusat 3S Mitsubishi baharu di Alor Star dan Langkawi

    Pusat 3S Mitsubishi Langkawi

    “JM Auto Gallery (Alor Star) bukanlah asing bagi keluarga Mitsubishi Motors dan telah pun menjadi rakan niaga MMM sejak 14 tahun yang lalu. Wakil pengedar tersebut juga menjadi penyumbang utama dalam jualan MMM, dan telah menyaksikan peningkatan jualan sebanyak 37.3% bagi tahun 2022.

    “Kami gembira melihat keyakinan wakil pengedar ini dengan perkembangan bisnes MMM dan komited untuk menaiktaraf fasiliti bilik pameran serta membuka cawangan baharu di Langkawi untuk memberikan perkhidmatan terbaik buat pelanggan,” kata Shinya Ikeda, CEO MMM.

    Bilik pameran di Alor Star terletak di Lot 10201B, Kampung Batin Mergong, Mukim Mergong, 05150 Alor Setar, Kedah, manakala cawangan di Langkawi pula beralamat di No. 68, Pusat Perniagaan Kelana Mas Kuah, 07000 Langkawi, Kedah. Kedua-dua bilik pameran berkenaan dibuka dari hari Isnin hingga Ahad, dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

     
     
  • Sistem bayaran tol guna kad debit dan kredit akan bermula di Jambatan Pulau Pinang & BKE Sept ini

    Sistem bayaran tol guna kad debit dan kredit akan bermula di Jambatan Pulau Pinang & BKE Sept ini

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan bahawa sistem bayaran tol terbuka seperti yang disebut oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi baru-baru akan dilaksanakan bermula September ini di dua lebuhrayanya iaitu Jambatan Pulau Pinang dan juga Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).

    Menurut PLUS, sistem pembayaran terbuka ini bukan sahaja membolehkan pengguna membayar tol dengan menggunakan kad kredit atau debit, malah ia juga akan menerima bayaran tol menerusi Touch ‘n Go e-Wallet. Pengguna yang mahu menggunakan sistem pembayaran terbuka ini perlu melalui lorong-lorong RFID di plaza tol terlibat.

    “PLUS akan bekerjasama dengan pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam merealisasikan matlamat ini menjelang September yang akan datang. Malah, kami juga sedang giat membuat persiapan untuk mengadakan ujian pembayaran tol secara terbuka menggunakan kad debit dan kad kredit di Lorong RFID selain daripada e-wallet Touch ‘n Go di Jambatan Pulau Pinang.

    “Manakala di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) pula, persediaan sedang dibuat untuk menguji sistem pembayaran terbuka menggunakan kad kredit atau debit di Plaza Tol Kubang Semang,” Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    “Pihak PLUS sentiasa bersedia meneroka dan menguji kaedah-kaedah pembayaran tol yang lebih mudah dan memberi lebih keselesaan kepada pengguna lebuh raya,” tambahnya lagi.

    Selain dari dua lebuhraya seliaan PLUS ini, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi baru-baru ini turut menyebut sistem bayaran yang sama juga akan dilaksanakan di empat lebuhraya lain di Selangor dan Kuala Lumpur September ini iaitu Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Pantai Baharu (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE)

     
     
  • Proton Saga dilancarkan di Afrika Selatan – bermula RM49k-RM59k, no.2 paling murah dalam kelasnya

    Proton Saga dilancarkan di Afrika Selatan – bermula RM49k-RM59k, no.2 paling murah dalam kelasnya

    Selepas melancarkan dua SUV – X70 dan X50 – tahun lalu, Proton kini mula menjual sedan mampu miliknya iaitu Saga ke pasaran Afrika Selatan. Model berkenaan di bawa dalam tiga varian, dan menurut laporan Top Auto, Saga kini merupakan sedan model kedua paling murah dalam segmennya di pasaran berkenaan.

    Model paling asas untuk pasaran Afrika Selatan ini iaitu Standard MT dijual pada harga R199,900 (RM49k), diikuti varian Standard Auto berharga R219,900 (RM54k). Manakala varian tertinggi hanya datang dalam versi transmisi automatik iaitu Premium Auto, dijual pada harga R239,900 (RM59k).

    Bagi model Standard MT dan Standard Auto, ia hadir dengan perincian seperti paparan pelbagai info pada papan instrumen, tempat duduk fabrik, penghawa dingin manual, penderia undur, radio asas dengan hubungan Bluetooth dan juga dua pembesar suara. Dari segi keselamatan pula, kedua-dua varian ini diberikan sistem brek ABS dan juga dua beg udara.

    Manakala pembeli varian Standard dengan kotak gear automatik, ia menerima perincian tambahan seperti rim aloi 14-inci (hanya rim besi dengan penutup plastik pada Standard MT), Bantuan Mula Mendaki, sistem kestabilan elektronik dan juga Traction Control.

    Bagi model tertinggi Premium pula, ia datang dengan kelengkapan termasuk rim aloi 15-inci kemasan dua tona, lampu nyalaan siang LED, butang pelbagai fungsi pada roda stereng, skrin sesentuh 7-inci dengan empat pembesar suara, penderia parkir hadapan dan juga kamera undur.

    Proton Saga dilancarkan di Afrika Selatan – bermula RM49k-RM59k, no.2 paling murah dalam kelasnya

    Sama dengan model pasaran Malaysia, kesemua varian Saga pasaran Afrika Selatan ini dijana oleh enjin VVT 1.3 liter berkuasa 95 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 120 Nm pada takat 4,000 rpm. Model MT diberikan kotak gear manual lima-kelajuan, dan versi Auto pula datang dengan transmisi automatik empat-kelajuan 4AT.

    Lima warna badan ditawarkan pada Saga pasaran Afrika Selatan ini iaitu Snow White, Armoured Silver, Jet Grey, Rosewood Maroon dan Ruby Red. Ia diberikan waranti selama lima tahun atau 150,000 km, dan kini sudah boleh ditempah di kesemua 25 pengedar Proton seluruh Afrika Selatan.

     
     
  • MBPJ perkenal had parkir dua jam di Seksyen 52

    MBPJ perkenal had parkir dua jam di Seksyen 52

    Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah memperkenalkan had parkir di kawasan komersial Section 52 (PJ State atau PJ New Town) untuk memberikan laluan kepada lebih banyak ruang kosong kepada pengunjung di situ. Ini selari dengan apa yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Subang (MBSJ) di enam kawasan bawah seliaannya.

    “Ketika saya melalui kawasan ini, jarang ada ruang parkir yang kosong,” ujar Datuk Bandar PJ, Mohamad Azhan Md Amir dalam sebuah laporan The Star. “Ia penuh hampir sepanjang masa oleh kenderaan mereka yang bekerja di sini. Ini akan menghindar orang lain daripada datang ke restoran di sini. Saya mahukan kawasan ini lebih mudah diakses oleh awam, dan dengan ini perniagaan juga akan menerima manfaat daripada pelaksaan had parkir dua-jam ini,” tambah beliau.

    Bayaran untuk ruang parkir terhad dua jam itu (ditandakan dengan kotak oren) boleh dibuat melalui aplikasi Smart Selangor dan Flexi Parking. Di sepanjang Jalan 52/2 dan 52/4, 50 ruang parkir telah dikhaskan untuk ini, jadi pengguna yang ingin meletakkan kereta mereka dalam tempoh yang lebih lama boleh berbuat demikian di Kompleks A, yang tersedia 422 ruang. Selain itu, Kompleks C dengan 398 ruang juga terletak berdekatan bulatan Sultan.

    MBPJ perkenal had parkir dua jam di Seksyen 52

    Mohamad Azhan turut memaklumkan menjelang penghujung Mei ini, MBPJ akan memperluas ruang khas parkir terhad dua jam ini ke Seksyen 14 dan SS21 Damansara Utama. Beliau juga berkata yang MBPJ telah mengutip sebanyak RM15.4 juta pendapatan daripada parkir tahun lalu, jumlah tertinggi yang pernah dikutip oleh majlis perbandaran di Selangor.

    Sementara itu, wakil rakyat Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran mengalu-alukan tindakan MBPJ itu dan mahukan lebih banyak ruang parkir masa terhad diperkenalkan. “Mungkin perlu dilanjutkan ke kawasan Seksyen 17 juga,” tambah beliau.

     
     
  • Kawasaki Eliminator 400 masuk pasaran Thailand – cruiser enjin sama dengan Ninja 400, harga RM30k

    Kawasaki Eliminator 400 masuk pasaran Thailand – cruiser enjin sama dengan Ninja 400, harga RM30k

    Baru dilancarkan untuk pasaran Jepun, Kawasaki Eliminator 400 membuat kejutan dengan muncul di Bangkok International Motor Show 2023 dan dilancarkan untuk pasaran Thailand pada harga 224,900 baht (RM29,175).

    Eliminator 400 adalah sebuah cruiser baru daripada Kawasaki, dan ia menggunakan enjin yang sama dengan Ninja 400 dan Z400, iaitu unit dua silinder selari DOHC 399 cc, bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa maksimum 47 hp pada 10,000 rpm dan tork 37 Nm pada 8,000 rpm.

    Menggunakan casis trellis besi inspirasi daripada Ninja 400, Eliminator datang dengan bentuk yang panjang dan rendah, tetapi dikatakan masih mengekalkan kemampuan prestasi aktif seperti Ninja. Berat keseluruhannya adalah 176 kg, dengan tangki bahan api berkapasiti 13 liter dan tinggi tempat duduk 735 mm.

    Rim motosikal ini datang dengan saiz berbeza, iaitu 18 inci dibalut tayar 130/70 di hadapan dan 16 inci dengan tayar 150/80 di belakang, dan ia dipegang oleh masing-masing fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang. Brek di kedua-dua bahagian adalah menggunakan tetapan cakera.

    Kelengkapan lain Eliminator 400 adalah ringkas sahaja dan ia turut diberi dengan panel instrumen digital penuh berbentuk bulat yang boleh disambung kepada telefon pintar melalui bluetooth dan aplikasi Kawasaki Rideology.

     
     
  • GALERI: Kawasaki Ninja ZX-4R dipamer di BIMS 2023

    GALERI: Kawasaki Ninja ZX-4R dipamer di BIMS 2023

    Kawasaki Ninja ZX-4R yang baru sahaja dilancarkan untuk pasaran Thailand turut berada di pameran Bangkok International Motor Show 2023 dan rakan sekerja kami yang berada di sana berjaya mendapatkan gambarnya untuk tatapan anda.

    Bagi yang masih belum mengenalinya, ZX-4R adalah sebuah lagi motosikal sports kelas permulaan yang diperkenalkan oleh Kawasaki dengan enjin empat silinder sebaris selepas ZX-25R dalam masa terdekat ini. Mempunyai kapasiti 399 cc, enjin OHC serba baru pada ZX-4R dapat menghasilkan sehingga 80 PS dan boleh dikerah sehingga 15,000 rpm.

    Transmisi enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper dipadankan bersama enjin ini, dan menjadikan ia lebih mudah bagi pengguna, versi SE datang terus dengan quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear, soket USB serta fork hadapan dengan pelarasan pra beban spring.

    Suspensi ZX-4R terdiri daripada fork Showa SFF-BP 37 mm di hadapan (tanpa pelarasan pra beban untuk model Standard di Thailand), dan monoshock biasa dengan pelarasan pra beban di belakang (pasaran Amerika Syarikat mendapat monoshock Showa BFRC Lite larasan penuh bagi versi RR).

    Walaupun cuma merupakan motosikal kelas pertengahan, ZX-4R datang dengan spesifikasi tinggi, termasuk bahagian elektronik yang menyediakan empat mod tunggangan (Sport, Road, Rain or Rider), dua mod kuasa, tiga tahap sistem kawalan cengkaman KTRC, serta meter TFT 4.3 inci dengan mod paparan Normal dan Circuit.

    Dengan kuasa yang tinggi pada badan kompak sama seperti ZX-25R, Kawasaki tidak berkompromi dengan ciri keselamatan dengan memberikan tetapan brek cakera 290 mm berkembar bersama angkup empat piston di hadapan, cakera tunggal 220 mm dengan angkup satu piston di belakang, sistem ABS serta rim 17 yang dibalut tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.

    GALERI: Kawasaki Ninja ZX-4R dipamer di BIMS 2023

    Ciri lain pada ZX-4R adalah termasuk semua lampu jenis LED, tangki bahan api 15 liter, berat keseluruhan 188 kg (+1 kg untuk SE), tinggi tempat duduk 800 mm, serta skrin TFT yang boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi Rideology.

    Di Thailand, ZX-4R dijual pada harga 320,000 baht (RM41,500) untuk versi standard berwarna Metallic Spark Black dan 360,000 baht (RM46,700) untuk versi SE berwarna Lime Green/Ebony, dan jika mahu mengambil sebagai perbandingan, ia adalah 61,000 baht (RM7,900) lebih tinggi berbanding ZX-25R.

     
     
  • VIDEO: Honda HR-V 2023 — Turbo atau RS hibrid?

    VIDEO: Honda HR-V 2023 — Turbo atau RS hibrid?

    Siapa yang pernah duduk dalam Honda HR-V paling baru pasti boleh bersetuju yang SUV kompak ini ada banyak untuk ditawarkan, terutama dalam pesaingan segmennya. Dan, berbanding model terdahulu, ia juga tampil dengan lebih bergaya dan moden. Semua sekali ada empat varian ditawarkan, dengan tiga pilihan sistem janaan dengan enjin 1.5L — NA, turbocas dan hibrid. Harga pula dari RM115k hingga RM141k.

    Untuk pasaran tempatan, antar model pesaing yang ada ketika ini ialah Proton X50 dan juga Toyota Corolla Cross. Ia mula diperkenalkan dalam generasi sebelumnya pada 2015, dan pada Julai 2022, versi generasi terbaru ini mengambil alih penawaran tersebut di sini.

    Melalui versi terbaru ini, adakah HR-V mampu memberikan kelebihan yang jauh lebih banyak berbanding pesaingnya, dari segi saiz, penggayaan dan prestasi pemanduan? Untuk tahu secara menyeluruh tentang hal ini, kami sediakan ulasan video ini. Adakah HR-V akan kembali berada di depan dalam pasaran dan mendahului pesaingnya tadi?

    Dan, di antara empat varian yang ditawarkan itu, yang manakah lebih menarik untuk dimiliki? Dalaam video ini kami pertemukan dua daripadanya, varian Turbo dan RS hibrid untuk memudahkan anda menilai dan mendekatinya.

    Mana satu lagi best?

    Honda HR-V Turbo V

    Honda HR-V RS Hybrid

     
     
  • Johor akan wujud mekanisma tingkat penggunaan EV, selari usaha S’pura henti jual kereta petrol pada 2030

    Johor akan wujud mekanisma tingkat penggunaan EV, selari usaha S’pura henti jual kereta petrol pada 2030

    Memandangkan Singapura bakal menghentikan jualan kereta baharu yang menggunakan enjin pembakaran dalaman pada 2030, kerajaan negeri Johor bercadang mewujudkan satu mekanisme teratur melibatkan industri terlibat bagi menyokong penggunaan kenderaan elektrik (EV) pada masa hadapan.

    Menurut Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dalam laporan Bernama, langkah ini juga adalah selaras dengan usaha kerajaan negeri yang mahu mempertingkatkan penggunaan EV di negeri itu pada masa hadapan.

    “Johor tidak boleh elak, bermaksud Johor (perlu) ada perancangan untuk mengadakan usaha sama dengan pihak berkuasa tempatan.”

    “Saya akan bincang dengan Tan Sri Setiausaha Kerajaan Negeri (Tan Sri Dr Azmi Rohani) supaya ada satu mekanisme yang lebih teratur dan juga strategik melibatkan industri yang mempunyai punca kuasa untuk…(menyokong) strategi kita (berhubung EV) untuk tahun-tahun akan datang,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di Iskandar Puteri semalam.

    Beliau turut menyatakan bahawa ketika lawatan kerjanya ke Singapura bulan lalu, pertemuannya dengan Menteri Pengangkutan S Iswaran ada menyentuh mengenai perancangan republik itu berkenaan penggunaan kenderaan EV di negara itu.

    Johor merupakan antara negeri yang kini sedang giat mempromosikan penggunaan EV. Tahun lalu Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) telah menggantikan lima kereta rasminya dengan kereta elektrik – antaranya Tesla Model 3 dan Hyundai Ionoq 5 – sebagai sebahagian dari rancangan jangka masa panjang bagi menjadikan bandaraya di Johor tersebut sebuah tempat yang moden dan mesra alam.

    Kerajaan Johor juga sebelum ini sudah mengumumkan rancangannya untuk membina lebih banyak stesen pengecas EV dalam tempoh beberapa tahun lagi, bukan sahaja di kawasan bandar, malah turut mensasarkan kawasan luar bandar yang menjadi tumpuan pelancong.

     
     
  • JPJ eBid: Siri AMX dan CET dibuka untuk bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Perak, AMX, telah pun dibuka bidaan mulai hari ini, 23 Mac 2023 dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 27 Mac. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 28 Mac 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Pahang pula, CET, bidaannya bakal dibuka bermula 6 April 2023 selama tujuh hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 10 April. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 11 April ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Bangkok 2023: Prodrive P25 – jentera jelmaan semula Subaru 22B/WRCar 97 RM7 juta dijual di Thailand!

    Bangkok 2023: Prodrive P25 – jentera jelmaan semula Subaru 22B/WRCar 97 RM7 juta dijual di Thailand!

    Jun tahun lalu, firma kejuruteraan British, Prodrive (yang bertanggungjawab mengendalikan Subaru World Rally Team) telah mendedahkan Prodrive P25 – model restomod Subaru Impreza WRX GC8 yang kelihatan seperti model edisi terhad 22B/jentera rali Impreza WRCar 1997.

    Ia kemudiannya membuat kemunculan sulung dikhalayak ramai pada Goodwood Festival of Speed 2022, di mana kesemua 25-unit yang dirancang untuk diproduksi habis dijual dalam masa yang singkat. Ketika itu Prodrive mengumumkan bahawa versi asas P25 ini dijual pada harga £460,000 (RM2.48 juta) tidak termasuk cukai.

    Dari 25-unit yang dihasilkan tersebut, sekurang-kurangnya sebuah sudah sampai ke ASEAN dan ia kini dipamerkan di Bangkok International Motorshow 2023! Unit ini dibawa oleh pengedar kereta mewah dan eksotik di Thailand iaitu Target Car Center, dan dijual pada harga 55 juta baht, atau sekitar RM7 juta!

    Prodrive menghasilkan P25 ini berasaskan kerangka Impreza WRX GC8 Coupe (dua-pintu), kemudian diberikan perincian yang hampir kepada jentera WRC sebenar dengan bonet hadapan, bumbung, penutup but belakang, cermin sisi, bampar hadapan dan belakang serta keempat-empat fender yang lebih lebar dari WRX GC8 standard – kesemuanya diperbuat dari material komposit karbon.

    Bangkok 2023: Prodrive P25 – jentera jelmaan semula Subaru 22B/WRCar 97 RM7 juta dijual di Thailand!

    Unit yang dibawa ke Bangkok ini nampaknya hadir dengan perincian opsyen iaitu bampar hadapan dengan liang udara lebih besar (tiada bahagian spotlight pada setiap sisi, liang bonet enjin yang hanya menampilkan gril dan menerima bingkai gentian karbon untuk aliran udara lebih baik, lampu hadapan projektor dengan latar belakang hitam, serta serlahan karbon tanpa cat pada bumbung, cermin sisi dan sayap atas spoiler belakang.

    Walaupun dengan kerangka lama, P25 ini menerima pelbagai teknologi terkini termasuk unit rangkaian kuasa. Ia menerima enjin EJ25 2.5 liter dalam versi paling terkini diproduksi oleh Subaru (dengan sistem injap bervariasi dan sebagainya) kemudian dirombak semula oleh Prodrive bagi mengekstrak lebih kuasa.

    Enjin tersebut menerima komponen dalaman termasuk pelapik silinder (cylinder liners), omboh, rod penyambung (con rod) serta rangkaian injap yang kesemuanya binaan khas dari Prodrive. Ia kemudiannya menerima sistem turbo untuk sukan permotoran dari Garret lengkap dengan sistem anti-lag seperti kereta rali sebenar, bersama intercooler dan kotak kemasukan udara berprestasi tinggi, serta sistem ekzos perlumbaan titanium dan logam tahan karat dari Akrapovic yang turut menampilkan injap by-pass penyenyap.

    Secara keseluruhan, enjin baharu tersebut mampu menghasilkan kuasa 400 hp dan tork maksima 600 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear sequential enam-kelajuan (separa automatik, gear helix) bersama pedal penukar gear, dengan kuasa dipindahkan menerusi set klac lapisan berkembar dari AP Racing.

    Bangkok 2023: Prodrive P25 – jentera jelmaan semula Subaru 22B/WRCar 97 RM7 juta dijual di Thailand!

    Untuk sistem pacuan empat roda, gandar hadapan dan belakang menerima set LSD, bersama LSD tengah aktif dan boleh dilaras bagi memberikan agihan tork tepat antara roda hadapan dan belakang. Selain anti-lag, jentera rali jalan raya ini turut menerima sistem launch control gaya-WRC sebenar, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.5 saat.

    Dengan sistem launch control tersebut, pemandu hanya perlu menekan pedal pendikit ketika kereta berkenaan ‘berlepas’, dengan sistem fly-by-wire pada pedal pendikit dan dan pedal klac pada set pedal box serta kotak gear akan memberikan tukaran gear 1-2-3 secara automatik bagi memberikan pecutan paling optimal.

    Menurut Prodrive, P25 ini juga diberikan pelbagai komponen ringan lain termasuk bateri lithium-ion. Secara keseluruhan, model jelmaan semula 22B ini ditimbang tidak sampai 1,200 kg.

    Konfigurasi suspensi asal topang McPherson pada GC8 masih dikekalkan pada P25, namun Prodrive telah merombak semula rekaannya dengan komponen yang diperbuat dari aluminium membolehkan geometri camber dan toe dilaras dan dioptimakan, bersama dengan trek roda selebar 1,770 mm.

    Prodrive turut memadankan penyerap hentak boleh laras dari Bilstein. Manakala spring dan bar anti-oleng yang dipadankan adalah ditala untuk mendapatkan pengendalian optima di atas permukaan tar – pemilik boleh menukar kedua-dua komponen tersebut mengikut keperluan pemanduan lain.

    P25 ini dilengkapkan dengan set roda yang terdiri dari set rim yang dihasilkan oleh Prodrive sendiri dengan saiz 19-inci dan lebar 8.5 jj, dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza 235/35/R19 yang didakwa menepati talaan pada penyerap hentak.

    Manakala untuk brek, P25 menerima set lengkap dari AP Racing menampilkan cakera berliang 380 mm dan angkup enam-omboh di hadapan serta cakera berliang 350 mm dan angkup empat-omboh di belakang. Pembeli turut ditawarkan dengan pelbagai jenis pad brek untuk sistem ini mengikut kesesuaian masing-masing.

    Untuk kabin, P25 masih mengekalkan papan pemuka asal GC8, tetapi diberikan pelbagai kemasan dan perapi dari material lebih moden serta perincian yang hampir dengan kereta rali sebenar. Ia diberikan upholsteri dengan kombinasi kulit dan alcantara, bersama pelbagai kemasan dari gentian karbon.

    Bangkok 2023: Prodrive P25 – jentera jelmaan semula Subaru 22B/WRCar 97 RM7 juta dijual di Thailand!

    Unit yang dibawa ke Bangkok ini turut menerima opsyen sepasang tempat duduk perlumbaan pada bahagian hadapan, tempat duduk belakang di cabut dan diberikan separa roll cage, serta panel sebelah dalam pintu yang diperbuat dari gentian karbon.

    Panel meter analog Impreza tidak lagi digunakan, sebaliknya digantikan dengan paparan instrumen digital berdefinasi tinggi dari Motec yang turut menampilkan fungsi data-logger seperti kereta lumba sebenar. Jadi untuk pemanduan litar, pemandu boleh membuat tetapan semula untuk respon pendikit, pemetaan prestasi enjin serta larasan untuk sistem anti-lag.

    Malah ia juga dilengkapi dengan brek tangan ‘fly-off’ gaya WRC sebenar, yang bukan sahaja dapat mengunci dengan mudah cakera brek belakang, malah turut akan memutuskan alihan kuasa ke gandar belakang bagi memudahkan aksi ‘handbrake turn’ pada selekoh tajam dan sempit atau memulakan aksi drift. Manakala untuk memastikan kereta ini tidak bergerak ketika diparkir, ia dilengkapi dengan brek parkir elektrik secara standard.

     
     
  • Kawasaki Ninja ZX-4R tiba di Thailand pada harga RM41k – empat silinder 399 cc, KTRC, quickshifter

    Kawasaki Ninja ZX-4R tiba di Thailand pada harga RM41k – empat silinder 399 cc, KTRC, quickshifter

    Selepas didedahkan kepada dunia buat kali pertama Februari lalu, Kawasaki Ninja ZX-4R kini memasuki pasaran Thailand pada harga 320,000 baht (RM41,500) untuk versi standard berwarna Metallic Spark Black dan 360,000 baht (RM46,700) untuk versi SE berwarna Lime Green/Ebony.

    Melihat kepada harga ini, kita boleh mengetahui ZX-4R ditetapkan 61,000 baht (RM7,900) lebih tinggi berbanding ZX-25R iaitu sebuah lagi model sports dengan enjin empat silinder, tetapi dengan kapasiti enjin 250 cc.

    ZX-4R menjadi perhatian kerana ia datang dengan enjin empat silinder 399 cc OHC serba baru yang mampu menghasilkan sehingga 77 PS dalam keadaan biasa. Enjin ini juga boleh dikerah sehingga 15,000 rpm, dan apabila salur udara Ram-air padanya cukup padat, ia dapat memberikan kuasa maksimum sehingga 80 PS.

    Transmisi enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper dipadankan bersama enjin ini, dan menjadikan ia lebih mudah bagi pengguna, versi SE datang terus dengan quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear, soket USB serta fork hadapan dengan pelarasan pra beban spring.

    Suspensi ZX-4R terdiri daripada fork Showa SFF-BP 37 mm di hadapan (tanpa pelarasan pra beban untuk model Standard di Thailand), dan monoshock biasa dengan pelarasan pra beban di belakang (pasaran Amerika Syarikat mendapat monoshock Showa BFRC Lite larasan penuh bagi versi RR).

    Walaupun cuma merupakan motosikal kelas pertengahan, ZX-4R datang dengan spesifikasi tinggi, termasuk bahagian elektronik yang menyediakan empat mod tunggangan (Sport, Road, Rain or Rider), dua mod kuasa, tiga tahap sistem kawalan cengkaman KTRC, serta meter TFT 4.3 inci dengan mod paparan Normal dan Circuit.

    Kawasaki Ninja ZX-4R tiba di Thailand pada harga RM41k – empat silinder 399 cc, KTRC, quickshifter

    Dengan kuasa yang tinggi pada badan kompak sama seperti ZX-25R, Kawasaki tidak berkompromi dengan ciri keselamatan dengan memberikan tetapan brek cakera 290 mm berkembar bersama angkup empat piston di hadapan, cakera tunggal 220 mm dengan angkup satu piston di belakang, sistem ABS serta rim 17 yang dibalut tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.

    Ciri lain pada ZX-4R adalah termasuk semua lampu jenis LED, tangki bahan api 15 liter, berat keseluruhan 188 kg (+1 kg untuk SE), tinggi tempat duduk 800 mm, serta skrin TFT yang boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi Rideology.


    GALERI: Kawasaki Ninja ZX-4R pasaran antarabangsa

     
     
  • Bangkok 2023: Toyota Vios dengan kit Modellista

    Bangkok 2023: Toyota Vios dengan kit Modellista

    Kita baru sahaja menerima Toyota Vios generasi keempat selepas ia dilancarkan secara rasmi di Malaysia minggu ini. Tetapi di Thailand model berkenaan sudah pun dilancarkan pada Ogos tahun lalu. Di sana, Vios dikenali dengan nama Yaris Ativ, dijana oleh enjin 3NR-VE 1.2L berkuasa 94 PS/110 nm bagi membolehkan ia dijual sebagai kereta Eco Thai.

    Ketika berlangsungnya Bangkok Motor Show 2023, antara model yang diletakkan di reruai Toyota Thailand adalah ini – Yaris Ativ yang lengkap dengan kit badan dan juga rim aloi dari barisan aksesori asli Modellista.

    Bangkok 2023: Toyota Vios dengan kit Modellista

    Kit ini ditawarkan oleh Toyota Thailand dengan harga 48,500 baht (RM6,301) untuk mana-mana varian Yaris Ativ di sana. Ia terdiri dari skirt untuk bampar hadapan dan belakang, skirt sisi, spoiler but, dan juga set rim aloi 17-inci kemasan dua tona bersama tayar Dunlop Enasave 205/50R17.

    Yaris Ativ 2023 ditawarkan dalam empat varian di Thailand, bermula dengan varian asas Sport dijual pada harga 539,000 baht (RM67,700), diikuti varian Smart berharga 584,000 baht (RM73,377), Premium berharga 659,000 baht (RM82,794) dan varian tertinggi Premium Luxury dijual pada harga 689,000 baht (RM86,563).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025