Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda CL300 dan CL500 masuk pasaran Thailand

    Honda CL300 dan CL500 masuk pasaran Thailand

    Nampaknya Honda CL300 yang dilancarkan di China Disember tahun lalu tidak akan menjadi model khusus untuk negara itu apabila ia turut dilancarkan hari ini di Thailand, bersama ‘abangnya’, CL500. Bagi CL500, ia pertama kali ditunjukkan kepada dunia November tahun lalu di pameran EICMA.

    Kedua-dua model ini membawa bentuk ala scrambler dengan ekzos yang terletak tinggi, tangki melengkung, tempat duduk rata serta lampu hadapan bulat. Tayar yang dipasang pada rim 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang bagaimanapun masih adalah tayar kegunaan jalan biasa.

    Bagi CL300, ia digerakkan oleh enjin satu silinder DOHC 286 cc dengan sistem suntikan bahan api PGM-Fi, yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan dan klac jenis slip & assist, menghasilkan kuasa maksimum 25.7 hp. Brek cakera depan dan belakang motosikal ini turut dilengkapi dengan ABS.

    Untuk CL500 pula, ia sebenarnya menggunakan enjin yang sama seperti barisan model CB500, iaitu unit dua silinder DOHC 471 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan bersama klac jenis assist & slipper, mampu menghasilkan 46 hp pada 8,500 rpm dan 43.4 Nm tork pada 6,250 rpm – tiada mod tunggangan yang disediakan. Bagi menyesuaikan enjin ini dengan karekternya, sprocket belakang telah dibesarkan menjadi 41 mata, berbanding 40 pada Rebel CMX500.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada CL500 adalah termasuk brek cakera 310 mm tunggal dengan angkup dua piston di hadapan, dan cakera 240 mm dengan angkup satu piston – lengkap dengan ABS dual-channel, panel meter LCD berbentuk bulat, semua lampu jenis LED serta tangki bahan api 12 liter.

    Untuk harga, CL300 dijual dalam lingkungan yang sama seperti CRF300L, iaitu bermula pada 149,900 baht (RM19,443), sementara CL500 pula bermula 226,800 baht (RM29,418), sedikit tinggi berbanding CB500X (224,900 baht/RM29,171).

    GALERI: Honda CL300 pasaran Thailand

    GALERI: Honda CL500 pasaran Thailand

     
     
  • Volkswagen Golf R-Line tidak lagi dijual di Malaysia

    Volkswagen Golf R-Line tidak lagi dijual di Malaysia

    Kebiasaannya model pemasangan tempatan memiliki kestabilan jualan di pasaran, namun ternyata tidak semua model memiliki nasib yang sama. Adakalanya, ia berakhir agak pantas, walau pun bukan kerana kekurangan komponen untuk pemasangan model terbabit.

    Ini termasuklah dengan model Volkswagen Golf TSI R-Line Mk8. Diumumkan sebagak model CKD pada Oktober 2021 dan dipertontonkan sebulan selepasnya, ia mengambil masa yang agak lama untuk dilancarkan, dijangkakan pada Februari 2022, namun hanya Julai tahun lalu harga rasminya didedahkan.

    Pada tika itu, harganya diumuumkan mencecah RM170,560, lebih tinggi dari yang dijangka iaitu antara RM155k hingga RM165k seperti yang dinyatakan oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) pada Februari tahun lalu.

    Dan setahun selepas harganya diumumkan, kini R-Line tidak lagi ditawarkan di pasaran Malaysia, dan perkhabaran ini disahkan selepas ia tidak lagi tersenarai dalam barisan model semasa menerusi laman web Volkswagen Malaysia.

    Sebab utama ia digugurkan dalam pasaran Malaysia tidak pula diketahui. Tidak mungkin disebabkan kekurangan ciri kelengkapan yang ditawarkan. Untuk R-Line ini, ia dijanakan oleh enjin 1.4 liter TSI dengan hamburan kuasa 150 PS dan 250 Nm dari 1,500 hingga 4,000 rpm. Dilaporkan jualan model ini baik, namun mungkin tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

    Malahan soal harga juga mungkin menjadi asbabnya. Dan mungkin juga peningkatan kos produksi juga antara penyebab ia terpaksa dikeluarkan dari model CKD Volkswagen di sini. Namun jika anda masih memasang impian untuk membeli Golf Mk98 baharu, anda ada pilihan lain yang masih disenaraikan, sama ada versi Golf GTI atau pun Golf R.

     
     
  • Yamaha NMax pasaran Malaysia dapat warna baru

    Yamaha NMax pasaran Malaysia dapat warna baru

    Yamaha NMax V2 yang dilancarkan kali pertama untuk pasaran Malaysia pada Disember 2020 kini diperkenalkan dalam dua warna baru iaitu merah dan biru. Harga yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha Malaysia adalah RM9,798, tidak termasuk insurans dan juga cukai jalan.

    Model ini sudah dua kali diberikan pembaharuan warna, dan kali terakhir adalah pada bulan Julai 2022. Pada waktu itu, selain diperkenalkan dalam warna baru, harganya juga meningkat sedikit menjadi RM9,498. Kini dengan harga baru yang dikeluarkan, ia sekali lagi menunjukkan peningkatan.

    NMax dipacu oleh enjin satu silinder suntikan bahan api, SOHC 155 cc VVA yang mampu menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,000 rpm, dan dipadankan bersama transmisi jenis automatik CVT.

    Model yang dipasarkan di Malaysia adalah antara yang paling ringkas jika dibandingkan dengan negara lain, dan ia tidak mempunyai Y-Connect, kawalan cengkaman, ABS, suspensi belakang dengan tabung gas serta sistem kunci pintar.

    Walaubagaimanapun, ia masih dilengkapi dengan sistem start/stop, soket pengecas 12V, tangki bahan api 7.1 liter, ruang simpanan bawah tempat duduk 23.3 liter serta brek cakera depan dan belakang. Berat keseluruhan skuter ini adalah 130 kg dan ia menggunakan rim 13 inci di depan dan belakang.

     
     
  • Pertandingan Hot Wheels X Proton untuk kanak-kanak; reka kad blister untuk model edisi khas Saga 1985!

    Pertandingan Hot Wheels X Proton untuk kanak-kanak; reka kad blister untuk model edisi khas Saga 1985!

    Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, syarikat permainan dari Amerika Syarikat, Mattel telah mengumumkan kerjasamanya dengan jenama automotif nasional, Proton bagi menghasilkan model die-cast skala 1/64 Proton Saga generasi pertama 1985 sempena ulangtahun ke-40 Mattel Malaysia.

    Bagi memeriahkan lagi sambutan berkenaan, Mattel dan Proton kini menganjurkan pertandingan rekaan kad blister Hot Wheels untuk pakej Proton Saga tersebut yang akan dihasilkan untuk versi edisi terhad, dan pertandingan ini dibuka hanya untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 12 tahun pada 1 Mac 2023.

    Untuk menyertai pertandingan ini, anda terlebih dahulu perlu memuat turun templat yang disediakan oleh penganjur pada PAUTAN INI. Rekaan berkenaan perlu dihasilkan dengan tema yang menyerlahkan maksud “Kereta Nasional Malaysia”. Peserta boleh menghasilkan rekaan ini dengan pelbagai material seperti pensel warna, krayon, warna air, pen berwarna dan sebagainya, tetapi sebarang perisian aplikasi rekaan digital adalah dilarang.

    Ada dua cara bagi menghantar hasil karya untuk pertandingan ini. Pertama adalah secara atas talian iaitu dengan mendaftar, scan dan muatnaik hasil rekaan berkenaan menerusi PAUTAN INI sebelum 11:59 pm 25 April 2023, serta lengkapkan slogan “I LOVE Hot Wheels because…” tidak melebihi 20 patah perkataan.

    Cara kedua adalah menerusi acara fizikal yang akan diadakah oleh Hot Wheels Malaysia di Sunway Carnival Mall, Pulau Pinang pada 8 hingga 19 Mac dan juga di Sunway Pyramid Mall, Kuala Lumpur pada 18-25 April. Seperti yang disebut tadi, rekaan terbaik yang memenangi hadiah pertama pertandingan ini akan digunakan pada kad blister sebenar Hot Wheels Proton Saga 1985 Edisi Terhad yang akan dipasarkan di seluruh negara bermula awal 2024.

    Para pemenang akan menerima hadiah masing-masing ketika berlangsungnya acara Art of Speed 2023 yang akan diadakan di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS), Selangor pada 29 dan 30 Julai ini, dan senarai pemenang akan diumumkan di laman Facebook Hot Wheels Malaysia sebulan sebelum itu.

    Pertandingan Hot Wheels X Proton untuk kanak-kanak; reka kad blister untuk model edisi khas Saga 1985!

    Tiga pemenang utama akan membawa pulang hadiah lumayan di mana tempat pertama akan menerima wang tunai RM500, produk Hot Wheels bernilai RM800, barangan-barangan edisi terhad Hot Wheels, dan juga mock-up istimewa untuk rekaan kad blister yang dihasilkan untuk Saga edisi terhad berkenaan.

    Tempat kedua akan menerima wang tunai RM350 bersama produk Hot Wheels bernilai RM500 dan barangan-barangan edisi terhad Hot Wheels, manakala tempat ketiga pula akan diberikan wang tunai RM200 bersama produk Hot Wheels bernilai RM300 serta barangan-barangan edisi terhad Hot Wheels.

    Jadi apa lagi? Klik pautan yang telah kami sediakan di atas, muat turun templat dan mulakan rekaan sekarang!

     
     
  • Kia EV9 didedahkan — SUV EV dengan platform E-GMP, 6/7-tempat duduk, barisan kedua 180-darjah

    Kia EV9 didedahkan — SUV EV dengan platform E-GMP, 6/7-tempat duduk, barisan kedua 180-darjah

    Pertama kali ditunjuk sebagai model konsep pada November 2021, Kia EV9 kini didedahkan sepenuhnya, menjadi model SUV tiga baris tempat duduk terbaru dalam barisan kenderaan EV jenama itu. Sama seperti EV9 Concept dan EV6 yang telah dikeluarkan, EV9 menggunakan binaan Electric Global Modular Platform (E-GMP), dan EV9 ditawarkan dengan konfigurasi enam atau tujuh tempat duduk.

    Rekaan dari model konsep dilihat masih dikekalkan pada versi produksi ini, terutama rekaan kotaknya, walaupun perincian lain disesuaikan untuk model sebenar tentunya, seperti rekaan lampu utama, cermin sisi yang lebih konvensional, sama seperti rekaan pemegang pintu dan lain-lain. Wajah depan “Digital Tiger Face”-nya juga diwarisi dari model konsep. Rekaan roda pula diberi rekaan lain.

    Tunggak “Technology for Life” yang menjadi pegangan Kia bagi falsafah rekaan “Opposites United” menampilkan nilai utama yang menjadi teras bahagian dalaman EV9, di mana ruang, teknologi dan keselesaan untuk semua penumpang diberi keutamaan.

    Kia EV9 didedahkan — SUV EV dengan platform E-GMP, 6/7-tempat duduk, barisan kedua 180-darjah

    Di dalam, penumpang barisan depan dan kedua boleh merebahkan kerusi mereka untuk berehat ketika EV9 sedang di cas. Kerusi barisan kedua boleh dipusing 180-darjah untuk berdepan dengan barisan ketiga, dengan barisan akhir itu turut disediakan dengan ruang cawan dan slot pengecas kuasa untuk peranti elektronik.

    Untuk infotainmen, EV9 menggabungkan dua skrin sentuh 12.3-inci dengan paparan lima-inci untuk kawalan fungsi kenderaan, serta untuk memastikan butang fizikal disediakan pada tahap minimum. Sementara di konsol tengah pula, ia menyediakan ruang simpanan luas di bawah.

    Terletak di bawah bahagian audio visual, skrin tunjuk arah dan telematik (AVNT) menampilkan susunan butang sentuh yang tersorok sebagai akses kepada fungsi Start/Stop berserta kawalan untuk pendingin. Perincian teknikal bagi EV9 bagaimanapun belum diumumkan, dijangka akan dilakukan ketika pengenalan globalnya, dalam bulan ini nanti.

    Kia EV9 didedahkan — SUV EV dengan platform E-GMP, 6/7-tempat duduk, barisan kedua 180-darjah

    Dengan platfom E-GMP yang sama seperti digunakan EV6, boleh dijangka SUV ini akan menggunakan binaan elektrikal 800-volt yang menyokong pengecasan kadar tinggi. EV lain yang menggunakan platform yang sama termasuk Hyundai Ioniq 5 dan Genesis GV60.

    Untuk EV6, bateri sehingga 77.4 kWh yang digunakan menyediakan tenaga bagi dua motor janaan yang menghasilkan 577 hp dan 740 Nm tork bagi varian GT; prestasi maksimum 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat dan laju maksimum 260 km/j. Selain itu, gandingan bateri jarak jauh dengan pacuan 2WD memberikan jarak 510 km.

     
     
  • Proton Iriz RX rangkul juara buat kali pertama; dominasi pus. 1 & 2 Kejuaraan Rallycross Ireland 2023!

    Proton Iriz RX rangkul juara buat kali pertama; dominasi pus. 1 & 2 Kejuaraan Rallycross Ireland 2023!

    Selepas didedahkan pada April tahun lalu, kereta rallycross Proton Iriz RX Team RX Racing akhirnya menunjukkan prestasi sebenarnya; jentera yang dipandu oleh Patrick O’Donovan, juara Kejohanan Rallycross British (BRX) dan FIA RX2e tahun lalu berkenaan berjaya merangkul tempat kedua pada pusingan 1 dan 2 Kejohanan Rallycross Ireland (IRX) 2023 di Litar Mondello Park!

    Patrick mendominasi sepenuhnya perlumbaan pada pusingan pertama yang berlangsung 5 Mac lalu, dengan memenangi kesemua perlumbaan bermula pusingan kelayakan, separuh akhir dan juga peringkat akhir. Namun kerana keliru dengan peraturan IRX di mana peringkat terakhir yang tidak memerlukan pemandu mengambil ‘Joker Lap’, kemenangan Patrick di tarik dan jatuh ke tempat kedua, mencatatkan podium pertama buat Iriz RX.

    Apa yang menarik, walaupun Patrick mengambil ‘Joker Lap’ pada lap terakhir perlumbaan peringkat akhir pusingan pertama berkenaan, dia masih di hadapan pelumba di kedudukan kedua, Micheal Leonard Jr yang memandu Ford Fiesta RX!

    Belajar dari kesilapan, Patrick kembali ke pusingan kedua pada keesokan harinya, dan mencapai keputusan yang sama; dia dan Iriz RX sekali lagi mendominasi perlumbaan dengan memenangi perlumbaan peringkat kelayakan dan berjaya menjadi juara di pusingan akhir!

    Proton Iriz RX rangkul juara buat kali pertama; dominasi pus. 1 & 2 Kejuaraan Rallycross Ireland 2023!

    “Kami berhadapan dengan pertarungan yang sengit dalam pusingan akhir pada Ahad, dan sangat hebat selepas mencapai kemenangan untuk seluruh pasukan. Semua orang sudah bekerja keras dalam beberapa minggu kebelakangan ini untuk membawa projek ini kehadapan, dan saya sangat seronok untuk melakukan yang terbaik bagi mempertingkatkan kereta untuk ayah saya berlumba tahun ini,” kata Patrick yang baru berumur 19 tahun.

    “Kami mendominasi pada Sabtu – kami ambil joker lap empat saat yang tidak diambil oleh pelumba lain tetapi masih menang di atas litar – tetapi kami terpaksa menghormati keputusan pegawai perlumbaan, dan ini membuatkan saya lebih ‘lapar’ untuk menang pada Ahad.

    “Kereta ini telah di bawa selangkah kehadapan, tetapi masih ada banyak kerja yang perlu dilakukan, ia pada kedudukan yang lebih baik sekarang. Saya rasa hujung minggu ini turut membantu saya untuk lebih bersedia untuk sepanjang musim, termasuk perlu memandu kereta lain yang berbeza dari apa yang biasa saya pandu. Harapnya kami akan bersedia untuk mengumumkan rancangan 2023 dalam beberapa minggu akan datang,” tambahnya lagi.

    Proton Iriz RX rangkul juara buat kali pertama; dominasi pus. 1 & 2 Kejuaraan Rallycross Ireland 2023!

    Patrick sepatutnya memandu Proton Iriz RX ini pada pusingan terakhir IRX 2022 yang jadualkan berlangsung pada Disember lalu, namun pusingan tersebut terpaksa dibatalkan kerana cuaca teruk di Litar Modello Park ketika itu.

    Ini merupakan penampilan pertama Patrick dengan Iriz RX, yang pada asalnya dibangunkan untuk digunakan oleh ayahnya sendiri iaitu juara British Rallycross Championship 2007, Ollie O’Donovan. Menurut Team RX Racing, langkah ini diambil bagi memberikan peluang kepada Iriz RX untuk berlumba secara kompetitif sebelum memulakan siri-siri perlumbaan lain musim ini.

    Pasukan berkenaan turut menyatakan bahawa Iriz RX telah direhatkan untuk beberapa perlumbaan musim lalu kerana ia mengalami pelbagai isu pembangunan yang perlu dibuat. Kemunculan Patrick di Mondello Park kali ini juga bakal memberikan lebih banyak maklum balas kepada jurutera bagi menyediakan jentera berkenaan untuk berlumba pada musim 2023.

     
     
  • Harga jualan motosikal Triumph di bawah pengedar baru tersebar – bukan semua lebih murah

    Harga jualan motosikal Triumph di bawah pengedar baru tersebar – bukan semua lebih murah

    Sejak segala urusan (pengurusan import, jualan, pengedaran serta pembangunan jenama) berkenaan motosikal jenama Triumph di Malaysia diambil alih oleh Didi Automotive bermula hujung tahun lalu, ramai yang masih tertanya-tanya bagaimana khidmat dan perkhidmatan yang akan diberi kepada pengguna.

    Ini termasuklah timbulnya soalan berapa banyak pusat pameran/servis yang akan dibuka dan berapakah harga model-model terbaru yang akan dijual. Setakat ini masih belum ada kenyataan rasmi untuk perkara ini tetapi nampaknya kita boleh mendapat jangkaan awal melalui satu risalah yang sudah tersebar.

    Di dalamnya, terdapat senarai harga yang dirujuk sebagai “pra jualan 2023”, melibatkan 22 model dari pelbagai kategori termasuk adventure, roadster, 660 Series, klasik moden dan Rocket.

    Harga jualan motosikal Triumph di bawah pengedar baru tersebar – bukan semua lebih murah

    Melihat pertamanya kepada model Triumph paling mampu milik, iaitu Trident 660, ia dijual pada harga RM45,900, sekaligus menunjukkan sedikit peningkatan berbanding harga waktu ia dilancarkan pertama kali untuk pasaran Malaysia di bawah pengedar sebelum ini, Fast Bikes, iaitu RM43,900.

    Bagi model klasik moden, model yang termasuk dalam senarai adalah Speed Twin 900, Speed Twin 1200, Bonneville T100, Bonneville T120, Bonneville T120 Black, Thruxton R/RS, Scrambler 900, Scrambler 1200 XE dan Bonneville Bobber Black, dengan harga bermula RM56,800 (Speed Twin 900) hingga RM92,000 (Scrambler 1200 XE).

    Dalam kategori adventure, hampir semua versi yang ditawarkan sebelum ini juga dibawa masuk oleh Didi Automotive, bermula RM62,300 untuk Tiger 850, RM72,900 untuk Tiger 900 GT, RM82,100 untuk Tiger 900 GT Pro, RM84,600 untuk Tiger 900 Rally Pro, RM113,600 untuk Tiger 1200 GT Pro, RM118,400 untuk Tiger 1200 Rally Pro dan RM129,000 untuk Tiger 1200 Rally Explorer.

    Jika mahu diambil sebagai perbandingan dengan syarikat pengedar sebelum ini, kebanyakan harga baru ini menunjukkan peningkatan, termasuk Scrambler 1200 XE (sebelum ini RM86,900), tetapi ada juga yang menunjukkan penurunan seperti Tiger 1200 Rally Explorer (sebelum ini RM130,900). Turut termasuk dalam senarai adalah Rocket 3 GT (RM145k), Rocket 3 R (RM139,900) dan Street Triple 765 RS (RM73,900).

    Selain daripada harga jualan model motosikal, di bawah risalah ini turut dilihat terdapat tiga cawangan pusat pameran/servis yang akan beroperasi termasuk di Petaling Jaya, Batu Caves dan Pulau Pinang.

     
     
  • Art of Speed 2023 – edisi ke-12 bakal jadi yang terbesar pernah diadakan, berlangsung 29-30 Julai

    Art of Speed 2023 – edisi ke-12 bakal jadi yang terbesar pernah diadakan, berlangsung 29-30 Julai

    Art of Speed Malaysia (AOSM) hari ini secara rasminya telah mengumumkan tarikh untuk acara tahunannya bagi edisi ke-12 – Art of Speed (AOS) 2023 bakal bermula pada 29 hingga 30 Julai ini, dan ia masih akan berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS), Selangor dengan tema “Raikan Beza Mu”.

    Dalam satu sidang media yang dilangsungkan oleh Art of Speed Malaysia pagi ini, AOS 2023 disifatkan sebagai edisi yang paling besar bakal diadakan sejak acara pertama yang dilangsungkan pada 2012. Ini kerana AOS 2023 bakal menggunakan kesemua Dewan A, Dewan B (sebelum ini merupakan bangunan yang digunakan oleh Universiti Perdana), Dewan C dan Dewan D di MAEPS, serta sebahagian kawasan sekitarnya.

    Ini menjadikan AOS 2023 bakal dilangsungkan di dalam ruang tertutup seluas 350,000 kaki persegi dan ruang luar seluas 8.6 ekar! Bukan sahaja semakin besar, malah penganjur turut menjanjikan bahawa AOS 2023 bakal menjadi edisi terbaik yang pernah diadakan.

    Art of Speed 2023 – edisi ke-12 bakal jadi yang terbesar pernah diadakan, berlangsung 29-30 Julai

    Antara pengisian baharu yang bakal ditampilkan pada AOS 2023 ini adalah Outdoor ThunderCircus “Brotherhood Rally”. Acara ini akan diadakan kawasan terbuka yang dikhaskan sepenuhnya untuk penunggang dan peminat motosikal serta bakal menghidangkan pertunjukan aksi motosikal yang dipersembahkan oleh penunggang profesional, serta tunggangan mega dan perhimpunan pelbagai kumpulan motosikal dari seluruh Malaysia dan dari sekitar rantau ini.

    AOS 2023 juga bakal menjadi ‘syurga’ kepada peminat Hot Wheels kerana keseluruhan Dewan B hanya akan dipenuhi ‘kereta kecil’ berkenaan menerusi pelbagai acara yang akan dilangsungkan. Antaranya adalah penganjuran Hot Wheels Collector Convention Rasmi Pertama di rantau Asia Tenggara, pameran-pameran diorama, sesi beramah mesra dengan pereka Hot Wheels dari Amerika Syarikat dan pelbagai lagi.

    Malah untuk model Proton Saga yang bakal dihasilkan oleh Hot Wheels sempena ulang tahun ke-40 Mattel Malaysia, Mattel turut menjemput semua kanak-kanak di Malaysia datang melatih kreativiti mereka untuk menyertai Hot Wheels x Proton Kids Design Competition di AOS 2023. Rekaan yang memenangi pertandingan ini bakal digunakan sebagai kad ‘blister’ Proton Saga ‘edisi khas’ dan akan dijual di seluruh negara di Malaysia pada awal 2024 nanti.

    Pada AOS 2023 ini juga akan menyaksikan pertandingan Hot Wheels Legends Tour 2023 akan diadakan di Malaysia secara realiti buat pertama kali selepas ia dilangsungkan secara maya untuk edisi-edisi sebelum ini akibat kekangan pandemik Covid-19.

    Pusingan kelayakan akan diadakan di AOS 2023 dengan pertandingan yang akan berlangsung pada hari Ahad. Ia akan menampilkan juri-juri tempatan dan antarabangsa untuk memilih johan yang akan mewakili Malaysia di pentas dunia – kereta yang menang di peringkat global kelak bakal dijadikan sebagai kereta Hot Wheels skala 1/64 dan akan dijual ke seluruh dunia.

    Antara acara lain yang akan berlangsung sepanjang AOS 2023 ini termasuk Pesta NEAT oleh No Equal (Dewan C), perkhemahan dan gaya hidup outdoor Off The Grid (Dewan C), Hail Vintage (Dewan D), Kustom & Koffee Talk (Dewan A), Show & Shine (Dewan A) dan pelbagai lagi.

    Bagi pemenang Best of Show untuk Show & Shine tahun ini bakal dibawa ke lawatan The 31st Annual Yokohama Hot Rod Custom Show yang akan diadakan pada Disember 2023 nanti di Jepun. Manakala untuk pengunjung, sesi cabutan bertuah akan menawarkan hadiah utama berupa sebuah Toyota Celica 1979 yang menerima ubahsuai suspensi udara.

    Art of Speed 2023 – edisi ke-12 bakal jadi yang terbesar pernah diadakan, berlangsung 29-30 Julai

    AOSM akan menyediakan Food Park di keseluruhan ruang bawah Dewan D. Untuk anda yang mencari barang-barang restorasi atau ubahsuai motosikal dan kereta lama, AOS 2023 masih akan menampilkan pelbagai vendor yang akan memenuhi Automotive Flea Market.

    Pelbagai jenama motosikal termasuk Ducati, Royal Alloy, Italjet, Royal Enfield, Vespa, Aprilia, Triumph, Harley-Davidson dan lain-lain turut akan ke AOS 2023 di Test Ride Zone bagi membolehkan pengunjung menunggang uji model-model motosikal baharu.

    Seperti biasa, tetamu-tetamu jemputan dari luar turut akan dibawa, antaranya Shige Suganuma, Emi Suganuma, “Sunny” Yano dan Michi “NATQQ” dari Mooneyes, Jepun; Dino Dalle Carbonare dari Speedhunters, Jepun; Vondutch dari Indonesia, Ya Seat dari Thailand dan ramai lagi. Acara persembahan muzik SoundCircus Festival turut akan dilangsungkan pada AOS 2023 ini.

    “Sejak penubuhannya, Art of Speed Malaysia telah berjaya menjadi pelopor perhimpunan besar bukan sahaja untuk peminat motosikal dan kereta, tetapi juga pengamal seni, pemuzik, pengumpul dan seumpamanya, dan terus mendominasi dalam acara tahunan yang berskala besar,” kata Asep Ahmad Iskandar, Pengarah Festival AOSM.

    Art of Speed 2023 – edisi ke-12 bakal jadi yang terbesar pernah diadakan, berlangsung 29-30 Julai

    “Pada tahun ini, AOSM akan meraikan ulang tahun ke-12 pertunjukan tahunannya, bagi menyemarakkan lagi semangat peminat yang bersemangat tinggi, kami persembahkan sebuah acara yang rugi untuk dilepaskan oleh semua,” tambahnya lagi.

    Untuk kedua-dua hari AOS 2023 berlangsung, ia akan mula dibuka bermula 10 pagi dan berakhir pada 7 malam. Pas hujung minggu AOS 2023 boleh diperolehi di pintu hadapan ketika acara ini berlangsung dan juga secara atas talian dengan harga RM35.00. Manakala bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan juga pemegang pas OKU, masuk secara percuma.

    AOSM turut akan menjual pas Speed Lane untuk AOS 2023 yang berharga RM60.00. Bagi pembeli pas Speed Lane ini, anda akan dibenarkan masuk lebih awal iaitu pada pukul 9 pagi, dan ia sah untuk kedua-dua hari. Kombo SoundCircus Festival + Weekend Pass pula akan mula dijual secara atas talian tidak lama lagi.

     
     
  • Proton tunjuk SUV X90 — kilang Tanjung Malim terima tambahan mesin tempa, mula produksi SUV terbaru

    Proton tunjuk SUV X90 — kilang Tanjung Malim terima tambahan mesin tempa, mula produksi SUV terbaru

    Dalam majlis pelancaran stamping line baru Proton di kilangnya di Tanjung Malim hari ini, Proton turut mempertontonkan SUV terbaru keluarannya yang dijangka akan dilancarkan tahun ini. Walaupun namanya belum disahkan — Proton X90 adalah nama jolokan yang selalu disebut — menjadi SUV ketiga keluaran Proton di sini. Ia juga sudah beberapa kali dilihat sedang diuji di jalan raya Malaysia sebelum ini — asalnya dijadualkan pengenalannya tahun lalu.

    Masih belum ada sebarang perincian yang dikongsi, tetapi daripada unit yang dipertontonkan itu dapat dilihat dengan jelas wajah depan Proton X90 ini berbeza daripada versi Geely Haoyue di China, atau Geely Okavango di Filipina. Model keluaran Proton terbabit tampil dengan rekaan gril “diamond” yang lebih ringkas (bayangkan rekaan gril kereta Mercedes-Benz) dengan kehadiran elemen busur panah yang masih lagi dikekalkan. Tiada lagi rekaan gril Infinite Weave seperti pada X70 dan X50.

    Rekaan lampu utamanya juga berbeza: kedudukan bahagian lampu isyarat sequentialnya berada dalam jalur yang paling bawah dalam unit berkenaan, dengan empat petak lampu LED di atasnya. Pada model asalnya di pasaran luar seperti dinyatakan itu, lampu utama matriks digunakan, dengan kedudukan jalur berkenaan di tengah dan diapit oleh masing-masing tiga dan satu unit LED di atas dan bawahnya.

    Proton tunjuk SUV X90 — kilang Tanjung Malim terima tambahan mesin tempa, mula produksi SUV terbaru

    Di cermin utama pula, kelihatan dengan jelas kamera untuk sistem ADAS, termasuk petak seolah kelengkapan sensor seperti biasa dilihat di bawah bahagian grilnya. Varian atau senarai kelengkapan spesifikasi unit yang dipertontonkan ini bagaimanapun masih belum didedahkan.

    Model ini juga disahkan akan menggunakan sistem janaan mild hybrid untuk pasaran tempatan. Jika semuanya sama, ini penawaran yang sama pernah kita lihat diberikan untuk Geely Okavango di Filipina. Di sana, model ini menggunakan enjin petrol tiga-silinder 1.5 liter turbocas serta sistem 48-volt mild hybrid yang menawarkan 190 hp dan 300 Nm tork. Haoyue/Okavango ialah sebuah SUV dengan kapasiti tujuh-tempat duduk dengan kedudukan rendah yang lebih mirip sebagai sebuah MPV.

    Produksi model terbaru ini telahpun dimulakan di Tanjong Malim. Kemudahan di kilang berkenaan juga telah menerima barisan pengeluaran tempa (stamping) baru yang boleh menghasilkan sehingga 50 komponen unik, sekaligus meningkatkan kemampuan Proton untuk meningkatkan kandungan tempatan dalam kenderaan yang dihasilkannya.

    Semua sekali kemudahan baru berkenaan melibatkan lima mesin tempa terbaru, dengan satu daripadanya mampu menggunakan daya 2,500 tan, sementara baki dengan dua mesin lagi setiap satunya masing-masing dengan daya 1,200 tan dan 1,000 tan. Rangkaian tempa baru ini turut memanfaatkan enam robot untuk memindahkan bahagian antara stesen serta teknologi data masa nyata IR 4.0.

    “Selain daripada berpotensi menambah 115,000 unit kepada jumlah pengeluaran syarikat, rangkaian penempa baru ini juga membolehkan lebih fleksibiliti untuk membuat keputusan terhadap jumlah pengeluaran kami setiap bulan dan meningkatkan kelajuan pengeluaran kami untuk menghasilkan model baru untuk pasaran tempatan,” jelas Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar dalam ucapannya.

    Sudah bersedia untuk Proton X90 terbaru?

    Geely Haoyue pasaran China

     
     
  • Proton dan Perodua masih diberi layanan sebagai pengeluar kereta nasional, patuhi kriteria NAP 2020

    Proton dan Perodua masih diberi layanan sebagai pengeluar kereta nasional, patuhi kriteria NAP 2020

    Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengesahkan Proton dan Perodua masih diberikan layanan sebagai pengeluar kereta nasional memandangkan kedua-dua syarikat berkenaan terus memberikan sumbangan penting terhadap industri automotif tempatan.

    Menurut Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong, bagaimanapun, kedua-dua syarikat kereta berkenaan harus memenuhi kriteria-kriteria yang digariskan di bawah Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020), laporan Bernama.

    “Dengan adanya kriteria-kriteria yang ditetapkan di bawah NAP 2020, mana-mana syarikat selain Proton dan Perodya yang dapat memenuhi kriteria-kriteria itu juga layak dipertimbangkan untuk diberi layanan sebagai Projek Kereta Nasional,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.

    Beliau menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) yang mahu tahu mengapa Proton masih diberikan pelbagai layanan istimewa memandangkan ia bukan lagi kereta nasional.

    Proton dan Perodua masih diberi layanan sebagai pengeluar kereta nasional, patuhi kriteria NAP 2020

    Tambah beliau, antara kriteria-kriteria yang ditetapkan sebagai ‘Malaysian Vehicle Project’ boleh dijadikan panduan termasuklah majoriti pemilikan tempatan, memberi tumpuan kepada pembangunan rantaian pembekalan tempatan, menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan dan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

    Selain itu, katanya, Proton telah menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, iaitu sekitar 8,500 orang di mana 99% adalah rakyat tempatan.

    “Proton melantik lebih daripada 180 syarikat tempatan Tahap-1 dalam rantaian pembekalan keseluruhannya dan nilai purata perolehan tempatan adalah antara 75% sehingga 80% terutamanya bagi model-model yang dibangunkan secara tempatan sepenuhnya,” katanya.

    Sehubungan itu, MITI akan sentiasa memantau pematuhan Proton dan Perodua ke atas kriteria-kriteria yang telah ditetapkan dan bersedia untuk mengemaskini dasar dari masa ke semasa seiring dengan perkembangan industri automotif global.

     
     
  • Mitsubishi Triton generasi seterusnya muncul dalam teaser – guna casis Nissan Navara, ada versi EV?

    Mitsubishi Triton generasi seterusnya muncul dalam teaser – guna casis Nissan Navara, ada versi EV?

    Semasa pembentangan pelan perniagaan “Challenge 2025” syarikat, Mitsubishi telah menunjukkan Triton generasi baru secara teaser. Bayangan model generasi keenam ini muncul dalam salah satu slaid pembentangan dan dinamakan ringkas sebagai “pikap.”

    Pencahayaan unik Triton boleh dilihat pada model ini, dan berkemungkinan besar, seperti yang dilihat melalui gambar spyshot model prototaip di Thailand, lampunya masih akan menggunakan susunan dua tingkat seperti model generasi kelima.

    Mitsubishi tidak menyatakan secara tepat bila Triton baru ini akan diperkenalkan kepada dunia, tetapi berdasarkan slaid seterusnya, ia mungkin berlaku dalam tahun ini. Laman Headlightmag mendakwa, Triton baru akan dibina atas casis ladder-frame Nissan Navara, seterusnya membawa kepada model yang lebih besar luar dan dalam.

    Mitsubishi Triton generasi seterusnya muncul dalam teaser – guna casis Nissan Navara, ada versi EV?

    Ada bukti yang boleh menyokong dakwaan ini, kerana gambar bahagian tepi Triton baru ini menunjukkan garis tingkap yang sama. Walaubagaimanapun, kita masih perlu tunggu pengesahan daripada Mitsubishi sendiri. Memandangkan Mitsubishi berada dalam pakatan dengan Renault dan Nissan, perkongsian platform adalah satu kemungkinan.

    Enjin untuk Triton baru ini sudah tentu akan menggunakan unit diesel trurbo, tetapi ia juga mungkin akan ditawarkan dengan versi elektrik penuh. Di sebelah Triton baru ini dalam gambar, terdapat satu lagi model yang dinamakan sebagai “BEV Pikap” seterusnya memberi bayangan kepada model yang akan mencabar model konsep Toyota Hilux Rev BEV.

     
     
  • Subsidi bersasar petrol RON95 ditangguhkan, dimulakan dengan diesel – Ahmad Maslan

    Subsidi bersasar petrol RON95 ditangguhkan, dimulakan dengan diesel – Ahmad Maslan

    Kerajaan berkata rancangan untuk memperkenalkan program subsidi bahan api bersasar masih diteruskan, namun akan dimulakan dengan diesel, manakala bagi petrol RON 95 akan ditangguhkan untuk tempoh lain. Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, subsidi yang disasarkan akan terlebih dahulu melibatkan elektrik dan diesel apabila ia dilaksanakan, laporan The Star.

    “Kita sedang meneliti subsidi yang disasarkan untuk elektrik dan diesel. Kita mungkin menangguhkan subsidi yang disasarkan untuk RON 95. Bilakah subsidi yang disasar akan dilaksanakan? Tunggu pengumuman,” katanya dalam penggulungan Bajet 2023 di Parlimen semalam.

    Sebelum ini subsidi bersasar bahan api dijangka diumumkan dalam Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Februari lalu, namun ia tidak dilaksanakan.

    Subsidi bersasar petrol RON95 ditangguhkan, dimulakan dengan diesel – Ahmad Maslan

    Perkara mengenai subsidi yang disasarkan telah dibangkitkan beberapa kali sejak beberapa tahun lalu, dan Anwar sendiri telah menyatakan bahawa akan melaksanakannya apabila beliau memegang jawatan sebagai PM pada November lalu, malah telah meminta kementerian yang berkaitan untuk mengkaji kesan langkah berkenaan.

    Pada Februari lalu, Ahmad Maslan memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan boleh menjimatkan sehingga RM17 bilion sekiranya ia melaksanakan mekanisme subsidi yang disasarkan dan menghapuskan subsidi yang dinikmati oleh T20. Beliau berkata, kerajaan membelanjakan sebanyak RM50.8 bilion subsidi untuk petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) pada 2022.

     
     
  • Polis Sabah beri 50% diskaun saman pada 27-31 Mac

    Polis Sabah beri 50% diskaun saman pada 27-31 Mac

    Polis Sabah bakal menawarkan diskaun saman trafik sehingga 50% pada 27 hingga 31 Mac 2023. Kempen ini sempena dengan Peringatan Hari Polis Ke-216. Pembayaran boleh dibuat di semua kaunter trafik di negeri berkenaan, dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

    Walau bagaimana pun, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

     
     
  • Acura Integra, Ford F-150 Lightning, Kia EV6 dinobatkan sebagai pemenang NACTOY 2023

    Acura Integra, Ford F-150 Lightning, Kia EV6 dinobatkan sebagai pemenang NACTOY 2023

    Pemenang bagi anugerah North American Car, Truck and Utility Vehicle of the Year (NACTOY) atau Kereta, Trak dan Kenderaan Utiliti Amerika Utara 2023 telah pun diumumkan baru-baru ini, selepas ia bermula dengan penyenaraian 47 kenderaan dan tiga pusingan penjurian untuk menentukan pemenang bertuah.

    Bagi kategori Kereta Tahunan Amerika Utara, Acura Integra telah diumumkan sebagai juara, menewaskan pencabar terdekatnya Genesis G80 serta Nissan Z. Integra kembali dalam dunia automotif global pada tahun lalu dan merupakan ‘kembar’ kepada kepada Honda Civic generasi ke-11, dan versi asasnya berkongsi enjin 1.5 liter VTEC Turbo dengan Honda Civic SI pasaran Amerika Syarikat.

    Untuk kategori Trak Tahunan Amerika Utara pula, menyaksikan persaingan sengit di antara Chevrolet Silverado ZR2 dengan dua trak pikap elektrik Lordstown Endurance dan Ford F-150 Lightning. Dalam kategori terbabit, trak pikap elektrik pertama Ford, F-150 Lightning telah berjaya menambat hati para juri untuk memenangi anugerah yang menjadi rebutan itu.

    Akhir sekali, Kia EV6 juga telah berjaya ‘merembat’ salah satu anugerah utama dalam acara berprestij berkenaan, dengan menewaskan tiga finalis yang lain. EV6 telah mengetepikan pesaingnya yang juga merupakan kenderaan elektrik iaitu Cadillac Lyric dan Genesis GV60. EV6 turut menerima pujian dari segi rekaan dan prestasi.

    Kia EV6 dilancarkan di Malaysia pada Jun lalu, dengan menawarkan varian GT-Line dengan penjana kuasa yang menyaksikan gandingan dua motor elektrik untuk pacuan semua-roda yang mampu menghasilkan keseluruhan output mencecah 325 PS (321 hp atau 239 kW) dan tork 605 Nm. Ia memboleh EV6 dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.2 saat dan kelajuan maksimum mampu dicapai hingga 183 km/j.

     
     
  • Pintu masuk B MRT Pusat Bandar Damansara ditutup sementara – bas perantara disediakan untuk ke PBD

    Pintu masuk B MRT Pusat Bandar Damansara ditutup sementara – bas perantara disediakan untuk ke PBD

    MRT Corporation telah memaklumkan penutupan sementara pintu masuk B di stesen MRT Pusat Bandar Damasara. Ia adalah bagi memberikan laluan untuk kelancaran kerja-kerja pembinaan oleh pihak ketiga berhampiran stesen MRT berkenaan. Mungkin juga melibatkan pembinaan Pavilion Damansara Heights atau pun flyover ‘misteri’ di situ.

    Bagi yang ingin ke Pusat Bandar Damansara (PBD), perlu turun di Stesen MRT Semantan dan menaiki bas perantara MRT bernombor T850. Ia adalah bas perantara khas dari Semantn ke PBD dan juga kawasan parkir Damanlela. Walau bagaimana pun, tidak dimaklumkan sampai bila pintu masuk B di stesen MRT PBD akan ditutup.

    Juga tidak diketahui adakah van perantara DBKL yang baharu saja diperkenalkan minggu lalu akan terlibat dengan penutupan pintu masuk berkenaan. Minggu lalu, DBKL mengumumkan perkhidmatan van perantara disediakan dari DC Mall ke stesen MRT PBD iaitu sehingga laluan pejalan kaki yang disediakan oleh pihak kontraktor boleh digunakan oleh orang ramai pada hujung Mac ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025