Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kunjungilah Porsche Centre Johor Bahru pada 17-18 Disember untuk hari terbuka ‘Porsche Pre-Owned Car’

    Kunjungilah Porsche Centre Johor Bahru pada 17-18 Disember untuk hari terbuka ‘Porsche Pre-Owned Car’

    Kenderaan Porsche adalah unik dan tersendiri. Bak kata pepatah,”Tiada Porsche yang lama, hanya pemilik barunya sahaja. Apabila memandu kenderaan ‘Porsche Pre-Owned’, sensasinya sama seperti ketika ia mula-mula keluar dari kilang dahulu. Untuk memiliki kenderaan Porsche seakan-akan menunaikan impian, dengan pertalian emosi terpaut sepanjang zaman.

    Dengan setiap kenderaan ‘Porsche Pre-Owned’, pemeriksaan 110-poin bertauliah, mengikut garis panduan global Porsche akan dijalankan. Nikmati ketenangan pemilikan yang lebih dijamin apabila mengetahui bahawa semua kenderaan Porsche Approved diselenggara menggunakan alat ganti tulen, dan datang dengan jaminan 24-bulan dan ‘Porsche Roadside Assistance’.

    Ingin mencari kenderaan Porsche Approved impian anda? Datanglah mengunjungi Porsche Centre Johor Bahru untuk hari terbuka ‘Porsche Pre-Owned Car’ yang berlangsung dari 17 – 18 Disember 2022 ini.

    Dari kereta sports dua pintu ikonik 718 Cayman hinggalah model empat pintu bergaya Panamera dan disertai juga oleh SUV popular seperti Cayenne dan Macan, terdapat banyak pilihan untuk ditinjau. Anda pastinya akan menemui sesuatu yang menarik perhatian jika meluangkan masa hujung minggu nanti di Porsche Centre Johor Bahru.

    Kunjungilah Porsche Centre Johor Bahru pada 17-18 Disember untuk hari terbuka ‘Porsche Pre-Owned Car’

    Selain itu, program penilaian kenderaan juga turut disediakan melalui temujanji sekiranya anda berminat untuk ‘trade-in’ Porsche semasa anda.

    Sertai dunia Porsche dengan mendaftar minat anda untuk hari terbuka ‘Porsche Pre-Owned Car’ di Porsche Centre Johor Bahru, pada 17 dan 18 Disember ini, dari 10 pagi hingga 5 petang.

     
     
  • Proton hantar kumpulan pertama ke Geely untuk latihan EV; termasuk R&D, jualan dan selepas jualan

    Proton hantar kumpulan pertama ke Geely untuk latihan EV; termasuk R&D, jualan dan selepas jualan

    Proton hari ini mengumumkan bahawa kumpulan pertama kakitangannya telah dihantar ke Hangzhou, China bagi mempelajari berkenaan kenderaan tenaga baharu (NEV) termasuk kenderaan yang menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya (EV).

    Kumpulan pertama yang terdiri dari 16-orang staf Proton yang merupakan pekerja industri berpengalaman serta jurutera muda yang lulus dari Program Bakat Muda Syarikat berkenaan akan ditempatkan di Institut Penyelidikan Geely di Ningbo selama enam-bulan. Mereka bakal dilatih dalam pelbagai bidang yang melibatkan pembangunan, penyepaduan, pembuatan, dan jualan serta perkhidmatan untuk kenderaan generasi baharu yang bakal diperkenalkan secara beransur-ansur oleh Proton selepas ini.

    Menurut Proton, selepas ini lebih ramai kakitangannya akan dihantar ke China memandangkan syarikat tersebut memerlukan pengetahuan teknikal daripada Geely untuk membangunkan rangkaian NEVnya sendiri.

    “Apabila Proton dan Geely mula bekerjasama pada tahun 2017, salah satu matlamat perkongsian itu adalah untuk Proton mempercepatkan jadual pembangunan modelnya dengan menggabungkan teknologi yang sedia ada daripada Geely. Matlamat itu berjaya dicapai dan kini, kami memanfaatkan pengalaman global kumpulan dalam NEV untuk memberi rangsangan kepada jadual masa pembangunan model kami sendiri,” kata CEO Proton, Li Chunrong.

    Proton hantar kumpulan pertama ke Geely untuk latihan EV; termasuk R&D, jualan dan selepas jualan

    “Perancangan awal kami adalah memulakan program ini lebih awal tetapi ia telah ditangguhkan akibat pandemik Covid-19. Walau bagaimanapun, dengan kelonggaran terhadap sekatan perjalanan baru-baru ini, Proton kini boleh meraih manfaat sebagai salah satu jenama automotif kolektif yang paling pelbagai dan berfikiran ke hadapan,” tambahnya lagi.

    Menurut Proton, kakitangan yang dihantar ke China ini bukan hanya menjalankan latihan, malah mereka akan membantu jenama EV smart di bawah Geely untuk menentukan spesifikasi akhir smart #1 yang akan masuk ke pasaran Malaysia pada suku keempat 2023. Ini kerana corak penggunaan dan tingkah laku pengguna berbeza dari negara ke negara, jadi maklum balas daripada kakitangan Proton adalah penting untuk memastikan ia memenuhi keperluan pembeli Malaysia.

    Seperti yang telah diketahui sebelum ini, smart akan kembali ke pasaran tempatan bukan lagi dengan pengedar-pengedar Mercedes-Benz, tetapi menerusi Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET), iaitu anak syarikat Proton. Proton juga turut akan mengedarkan smart pada pasaran Thailand menerusi kerjasama tersebut.

    Proton turut menyatakan bahawa program latihan ini turut bakal memberikan manfaat untuk masa hadapan kerana pasukan kakitangannya selepas ini boleh terlibat lebih awal dalam pembangunan satu-satu model bagi memperhalusi spesifikasi yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Proton memberitahu bahawa kebanyakkan kakitangan yang dihantar ke China kali ini adalah terdiri dari mereka yang pertama kali terlibat dalam program sedemikian. Setiap dari mereka diberi peluang untuk bercakap dengan pengurusan kanan Proton mengenai jangkaan dan matlamat mereka untuk program latihan tersebut sebelum berlepas pada 10 Disember lalu.

    “Proton melabur dalam pemerolehan pengetahuan untuk kakitangan kami kerana kami percaya ia adalah cara terbaik untuk Syarikat bergerak ke hadapan. Pengalaman dan latihan yang mereka perolehi bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Syarikat tetapi secara tidak langsung, ia juga akan membantu meningkatkan tahap kemahiran industri automotif Malaysia apabila lebih ramai kakitangan dihantar untuk latihan. Ini adalah salah satu sebab Proton ditubuhkan, dan Syarikat berbangga kerana dapat memenuhi matlamat itu,” tambah Dr. Li.

     
     
  • GALERI: BYD Atto 3 Extended Range di M’sia, RM168k

    GALERI: BYD Atto 3 Extended Range di M’sia, RM168k

    BYD Atto 3 dilancarkan untuk pasaran Malaysia minggu lalu, dalam dua varian: Standard Range (SR) dengan bateri 49.92 kWh yang memberikan jarak perjalanan 410 km (NEDC, 345 km WLTP), dan Extended Range (ER) dengan bateri 60.48 kWh, dengan jarak 480 km (NEDC, 420 km WLTP).

    Varian SR dijual pada harga RM149,800 sementara varian ER pula pada harga RM167,800. Harga bagi EV ini dikecualikan daripada duti, dan merupakan harga atas jalan tidak termasuk insuran. Di sini, kami sediakan galeri terperinci bagi varian Extended Range yang lebih tinggi itu.

    Kedua varian berkenaan menggunakan bateri Blade EV oleh BYD sendiri, yang disambung kepada sebuah motor elektrik di depan dengan janaan 204 PS/310 Nm. Atto 3 boleh dicas menggunakan pengecasan AC (Type 2) sehingga 7 kW dan juga pengecasan pantas DC (CCS2), dengan kadar maksimum antara 70 kW atau 80 kW, mengikut kapasiti baterinya. Dengan input lebih tinggi itu, kadar pengecasan 0-80% boleh dicapai dalam masa hanya 45 minit.

    BYD Atto 3 mempunyai ukuran dimensi yang lebih besar berbanding Proton X50. Dengan 4,455 mm panjang dan 1,875 mm lebar, EV BYD ini 125 mm lebih panjang daripada X50, dan 75 mm lebih lebar. Jarak antara rodanya pula ialah 2,720 mm, 120 mm lebih panjang berbanding X50. Ruang butnya pula ialah 440L, 110L lebih besar daripada X50.

    Ia juga hadir dengan tujuh beg udara, brek parkir elektrik, enam sensor parkir, sistem pengesan tekanan tayar, ABS dan kawalan kestabilan, sistem kawalan cengkaman, EBD, kawalan menuruni curam, kawalan melayar adaptif kelajuan penuh dengan Stop & Go, brek kecemasan autonomous (AEB), amaran perlanggaran belakang (RCW), pengesan titik buta (BSD), amaran buka pintu (DOW) dan amaran lintasan trafik di belakang.

    Lihat dengan lebih terperinci varian Extended Range ini melalui galeri di bawah.

     
     
  • Cerun runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highlands: Orang ramai diminta guna laluan alternatif – JKR

    Cerun runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highlands: Orang ramai diminta guna laluan alternatif – JKR

    Awal pagi ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita mengenai tragedi tanah runtuh di tiga tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highlands. Dilaporkan, kejadian tersebut telah berlaku di tepi jalan berhampiran Father Organic Farm dan telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan tersebut. Setakat jam 1.30 tengahari ini, dilaporkan seramai 16 mangsa termasuk seorang kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia selepas tertimbus dalam kejadian berkenaan.

    Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, menerusi perkongsian di Facebook rasminya, sehingga jam 12 tengahari tadi, misi mencari mangsa yang masih hilang diteruskan dan berdasarkan rekod pengusaha tiga tapak kem memaklumkan terdapat 94 individu berdaftar, di mana 61 mangsa berjaya diselamatkan setakat ini.

    Berikutan kejadian ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan laluan yang terlibat iaitu Jalan Batang Kali-Genting Highlands ditutup bagi kelancaran misi menyelamat dan juga atas faktor keselamatan semua pihak.

    Menurut JKR, untuk ke Genting Highlands, pengguna jalan raya yang datang dari arah Batang Kali boleh menggunakan Jalan Ulu Yam menghala ke Batu Caves dan seterusnya Gombak dan memasuki Lebuhraya Karak dan menuju ke pusat peranginan tersebut.

    Dalam masa yang sama, semua pengguna jalan raya diminta lebih berhati-hati dalam pemanduan sekiranya melalui laluan yang berisiko dan sila patuhi isyarat papan tanda yang diletakkan.

     
     
  • Yamaha Augur 155 dilancar di Taiwan – skuter canggih dengan lampu membelok, skrin TFT 4.3 inci, TC, ABS

    Yamaha Augur 155 dilancar di Taiwan – skuter canggih dengan lampu membelok, skrin TFT 4.3 inci, TC, ABS

    Yamaha telah melancarkan sebuah skuter baru di Taiwan, dipanggil sebagai Augur. Ia adalah sebuah skuter saiz sederhana, seperti NMax dan NVX, tetapi dengan rekaan futuristik serta kelengkapan yang canggih.

    Kesemua lampu skuter ini menggunakan unit LED, dengan bahagian hadapannya terdapat pencahayaan DRL unik berbentuk garis cabang tiga dan di tengahnya terdapat lampu utama. Menariknya lampu utama tersebut, ia dilengkapi dengan fungsi Y-LLA, iaitu menyala ke arah tepi apabila membelok.

    Kemudiannya, satu lagi fungsi tambahan lampu tersebut adalah penunggang boleh menukar warnanya, daripada putih kepada kuning menggunakan butang yang terdapat di bahagian pemegang. Fungsi ini berguna apabila jalan berkabus atau hujan.

    Menggerakkan skuter ini adalah enjin satu silinder, suntikan bahan api, 155 cc VVA, tetapi jumlah kuasanya tidak didedahkan. Enjin ini boleh dihidupkan dengan menggunakan kunci pintar dan dilengkapi dengan sistem start/stop dengan Smart Motor Generator.

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang skuter ini menggunakan tetapan cakera, dan datang lengkap bersama ABS. Menambah lagi ciri keselamatannya adalah sistem kawalan cengkaman untuk tayar belakang. Rim adalah bersaiz 13 inci, dengan tayar 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang.

    Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan, dan dua penyerap hentak biasa di belakang, sementara tangki bahan api pula berkapasiti 6.1 liter. Di bahagian kokpit terdapat panel TFT 4.3 inci berwarna penuh, yang boleh disambung kepada telefon pintar melalui bluetooth untuk tambahan informasi.

     
     
  • JPJ kutip hasil sebanyak RM4.6 bilion setakat 11 Dis 2022, RM12 juta sehari di seluruh negara – KP

    JPJ kutip hasil sebanyak RM4.6 bilion setakat 11 Dis 2022, RM12 juta sehari di seluruh negara – KP

    Untuk tempoh Januari sehingga 11 Disember 2022, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengutip hasil mencecah RM4.6 bilion, melebihi sasaran awal berjumlah RM4.12 bilion.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim, kutipan berkenaan direkodkan menerusi pembayaran di 15 kaunter stesen ibu pejabat JPJ, 66 pejabat cawangan selain 22 cawangan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) serta Kaunter Bergerak JPJ dan Kios Layan Diri JPJ, laporan Bernama.

    “Jika dilihat daripada hasil itu kira-kira RM12 juta dikutip setiap hari di seluruh negara dan bagi hasil tertinggi kutipan menerusi Lesen Kenderaan Motor (LKM) iaitu RM2.63 bilion berdasarkan rekod sehingga Oktober lepas.

    “Ia diikuti kutipan hasil untuk lesen memandu sebanyak RM483 juta, JPJ e-Bid (RM421 juta), bayaran pendaftaran kenderaan (RM134 juta) dan bayaran menyelesaikan tanpa perbicaraan (RM119 juta),” katanya kepada pihak pemberita di Melaka semalam.

     
     
  • Polis sita 15 basikal lajak di Petaling Jaya

    Polis sita 15 basikal lajak di Petaling Jaya

    Setelah menerima aduan dari orang awam berkenaan kumpulan remaja lelaki yang menunggang basikal lajak, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Petaling Jaya telah menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan PJS 1 hingga PJS 5 pada 1 dan 3 Disember lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dalam laporan Harian Metro, sepanjang operasi itu seramai 52 penunggang basikal lajak diperiksa membabitkan individu seawal usia sembilan hingga 14 tahun.

    “Sebanyak 11 keping saman Pol 257 dikeluarkan mengikut kaedah 42(1) ln 165/59 yang menyatakan tiada seorang pun boleh menunggang basikal di atas jalan melainkan dilengkapi dengan brek efektif yang beroperasi secara berasingan pada kedua-dua tayar.

    “Tangkapan dan 15 sitaan basikal dilakukan mengikut Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membolehkan penunggang basikal lajak ditangkap tanpa waran seperti diperuntukkan Seksyen 112(1)(a) akta sama,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

    Beliau turut memberitahu bahawa ibu-bapa dan penjaga kepada setiap penunggang basikal lajak bawah umur ini sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan diberi peringatan mengenai tanggungjawab mengawasi dan memastikan keselamatan anak masing masing.

    “Selain itu, ibu bapa kepada anak yang terbabit dalam kegiatan basikal lajak hingga membahayakan diri dan pengguna jalan raya boleh dikenakan denda tidak lebih RM20,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

     
     
  • Mazda CX-90 2024 ditunjuk sekali lagi sebelum diperkenalkan Jan depan – PHEV untuk pasaran USA

    Mazda CX-90 2024 ditunjuk sekali lagi sebelum diperkenalkan Jan depan – PHEV untuk pasaran USA

    Mazda telah mengeluarkan teaser kedua bagi model CX-90 baharu yang dijangka bakal diperkenalkan di peringkat global pada Januari 2023. CX-90 ini akan menyertai CX-60 dalam kumpulan Large Product keluaran Mazda, yang turut akan menyaksikan pengenalan CX-70 dan CX-80.

    Berdasarkan apa yang diperlihatkan menerusi imej ini, CX-90 2024 bakal memiliki lampu belakang melintang yang mirip dengan rekaan pada CX-60. Ia juga kelihatan agak bulat di bahagian belakang berdasarkan tingkap pintu belakang, tetapi itu mungkin hasil sorotan lensa. Kita akan dapat melihat imej sepenuhnya apabila ia didedahkan secara rasmi kelak.

    Malah kelihatan lencana ‘e-Skyactiv PHEV’, mengesahkan CX-90 ini bakal ditawarkan dengan varian plug-in hybrid apabila dilancarkan. Walau pun tidak memberikan perincian lebih lanjut, namun mungkin SUV ini menerima larasan yang sama dengan CX-60 yang diberikan enjin Skyactiv-G 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder petrol, motor elektrik, bateri lithium-ion 17.8-kWH, transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda i-Activ.

    Mazda CX-90 2024 ditunjuk sekali lagi sebelum diperkenalkan Jan depan – PHEV untuk pasaran USA

    Jumlah keseluruhan kuasa yang terhasil mencecah 327 PS (323 hp atau 241 kW) dan 500 Nm, sementara bateri ini dapat memberikan jarak elektrik sekitar 60 km dalam kelajuan 100 km/j atau kurang. Bagi model sepesifikasi Jepun, CX-60 dengan penjana kuasa PHEV boleh dicas menggunakan pengecas AC (sambungan Type 2) pada 7.2 kW, dengan pengecasan penuh sekitar dua jam 20 minit.

    Mazda sebelum ini turut mendedahkan CX-90 bakal ditawarkan dengan enjin enam-silinder sebaris. Barisan enjin enam silinder sedia ada Mazda sekarang adalah termasuk petrol 3.3 liter turbo, hibrid ringkas 3.0 liter Skyactiv-X dan dua unit 3.3 liter diesel turbo (termasuk satu hibrid ringkas). CX-90 bakal dibina dengan platform Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture bersama bentangan membujur enjin-hadapan dan pacuan roda-belakang.

    Turut disahkan, CX-90 akan dilancarkan di Amerika Syarikat sebagai model PHEV pertama Mazda, menggantikan CX-9. SUV ini juga akan dipasarkan di Australia, dan mungkin akan dibuka di pasaran lain.

     
     
  • Pengecas DC Gentari di X Park Sunway Serene sediakan output penuh 350 kW, RM1.20/kWh

    Pengecas DC Gentari di X Park Sunway Serene sediakan output penuh 350 kW, RM1.20/kWh

    Susulan pembukaan lokasi pengecasan pantas 350 kW DC yang pertama di Asia Tenggara yang terletak di X Park Sunway Serene di Zon Industri Bebas Sungai Way, Selangor, Gentari telah mendedahkan yang pengecas pantas DC output tinggi yang ada di lokasi berkenaan kini telah diberi tetap kadar penuh 350 kW dari pengecas tunggal.

    Pengecas pantas 350 kW DC itu sebelum ini membekalkan output 175 kW bagi setiap dua pengecas CCS2-nya, dan kini ia telah diubah untuk menyediakan kadar output 350 kW untuk dimanfaatkan oleh EV pengguna.

    Bagi kenderaan elektrik yang boleh menampung kadar pengecasan DC itu seperti Ioniq 5, pengecasan dengan kadar 350 kW akan membolehkan anda mencapai tahap 10-80% bateri dalam masa hanya 18 minit, atau tambahan jarak 100 km jika dicas begini untuk tempoh lima minit.

    Pengecas DC Gentari di X Park Sunway Serene sediakan output penuh 350 kW, RM1.20/kWh

    Ini bagaimanapun menghadkan pengecasan DC di stesen berkenaan kepada sebuah kereta sahaja dalam satu masa. Bermakna, kenderaan yang tiba di terminal pengecasan kedua perlu menunggu kenderaan yang menggunakan pengecas 350 kW DC untuk selesai terlebih dahulu sebelum kereta berikutnya boleh di cas di situ.

    Kos pengcasan di stesen berkenaan ialah RM1.20 bagi setiap kWh. Menurut Gentari, output penuh 350 kW DC daripada terminal tunggal itu sedang dicuba untuk mengenalpasti permintaan dan corak penggunaannya, dan percubaan itu akan diteruskan hingga ke satu tempoh yang akan dimaklumkan nanti.

    Perkembangan ini turut disertai dengan pembukaan hab pengcasan EV Gentari di Bangi Golf Resort sebelum itu, yang manan 12 ruang pengecasan disediakan, terbahagi antara AC dan DC. Dua ruang menerima pengecasan AC 7 kW dengan empat lagi unit 22 kW AC. Untuk DC, dua ruang menyediakan pengecas 120 kW DC dan empat lagi memberikan penegcas dinamik 200 kW DC. Harga di lokasi berkenaan ialah 55 sen bagi setiap kWh untuk AC, dan RM1 bagi setiap kWh untuk DC.

     
     
  • Perkhidmatan bas percuma GoKL tambah dua laluan baharu, jumlah keseluruhan 13 laluan – DBKL

    Perkhidmatan bas percuma GoKL tambah dua laluan baharu, jumlah keseluruhan 13 laluan – DBKL

    Bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan warga kota, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menambah dua laluan baharu, dikenali Laluan Krim dan Merah Lembayung. Ia meliputi kawasan luar pusat bandar menjadikan keseluruhan 13 laluan setakat ini.

    Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah, penambahan laluan ini turut bertujuan bagi mengurangkan kesesakan di ibu kota, laporan Harian Metro.

    “Laluan ini menghubungkan kawasan perumahan yang ramai penduduk yang terjangka memerlukan kemudahan pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan penggunaan kenderaan. Laluan tambahan sepanjang 15.7 kilometer bagi Laluan Krim bermula dari Hab Taman Fadason melalui 25 hentian termasuk hentian MRT Sri Delima dan pertukaran laluan bas di PMU Jinjang.

    “Sementara, Laluan Merah Lembayung membabitkan jarak 16 kilometer bermula di MRT Jinjang ke Matrade dan melalui 24 hentian termasuk hentian Kereta Api Tanah Melayu (KTM),” katanya.

    Klik untuk besarkan

    Tambah beliau, kekerapan bas adalah setiap 15 minit bagi waktu puncak dan 30 minit bagi waktu bukan puncak.

    “Bagi saya, waktu menunggu itu tidak terlalu lama dan jumlah bas yang diperuntukkan bagi dua laluan adalah sebanyak 10 atau lima bas bagi setiap satu laluan. Saya menjangkakan laluan baharu ini mendapat sambutan penduduk di kawasan ini, malah saya juga berharap mereka menyokong penggunaan pengangkutan awam untuk ke kawasan tumpuan ramai seperti pasar dan sekolah,” katanya.

    Buat masa ini, jelasnya, jumlah penggunaan pengangkutan awam didapati meningkat 24% berbanding 18% sebelum ini. Setakat November, jumlah penumpang mencecah 7.8 juta orang atau atau 23,700 sehari berbanding 6.4 juta atau 18,000 sehari pada tahun sebelum ini .

    “DBKL turut menyediakan aplikasi mudah alih GoKL untuk pengguna mengetahui maklumat perjalanan perkhidmatan dengan lebih terperinci merangkumi laluan dan tempoh masa bas akan tiba di lokasi tertentu,” katanya.

     
     
  • Ubah haluan mengejut tanpa guna signal boleh didenda RM10,000, penjara tidak melebihi 12 bulan

    Ubah haluan mengejut tanpa guna signal boleh didenda RM10,000, penjara tidak melebihi 12 bulan

    Tidak menggunakan lampu isyarat membelok sebelum mengubah haluan merupakan kesalahan lazim yang dilakukan oleh ramai pemandu bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Kesalahan ini juga merupakan punca banyak kemalangan berlaku, dan jika nasib tidak baik ia boleh mendatangkan kecederaan dan juga kehilangan nyawa.

    Namun sekiranya anda dikesan melakukan kesalahan ini dan menyebabkan kecederaan, apa hukuman yang akan diberikan? Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi hantaran yang dibuat di laman Facebook rasminya, apabila kemalangan berlaku sehingga menyebabkan kecederaan parah, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 iaitu memandu dengan tidak cermat dan bertimbang rasa.

    Menurut PDRM lagi, jika anda disabitkan kesalahan, anda boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000 serta boleh juga dipenjara tidak melebihi 12 bulan.

    Jadi beringatlah, ‘signal’ diberikan secara standard untuk semua kereta dan suisnya pula diletakkan sangat hampir dengan tangan anda ketika memegang roda stereng, sangat mudah untuk digunakan. Pengguna jalan raya lain bukan tahu pun niat anda dalam hati ke mana anda nak ubah haluan. Tolonglah amalkan pakai signal ya!

     
     
  • Honda Breeze 2023 diperkenal – kembar CR-V untuk pasaran China, 1.5L VTEC Turbo, pacuan FWD/AWD

    Honda Breeze 2023 diperkenal – kembar CR-V untuk pasaran China, 1.5L VTEC Turbo, pacuan FWD/AWD

    Guangzhou Honda (atau GAC Honda) telah menyiarkan gambar rasmi pertama untuk Honda Breeze, iaitu SUV kembar kepada CR-V (tetapi dengan penggayaan serta perincian berbeza) yang akan mula dijual di China hujung tahun ini pada harga bermula 185,900 yuan (RM117,679).

    Menggunakan asas daripada CR-V generasi keenam, Breeze baru ini mencatat jarak roda, lebar serta tinggi yang sama dengan CR-V, iaitu masing-masing 2,700 mm, 1,866 mm dan 1,691 mm, tetapi ukuran panjang keseluruhannya adalah lebih, iaitu 4,716 mm (CR-V 4,703 mm).

    Ditawarkan dalam tetapan lima atau tujuh tempat duduk, Breeze bagaimanapun mempunyai gaya rekaan unik yang membezakannya dengan CR-V yang dikeluarkan oleh DongFeng Honda. Ini termasuk gril hadapan lebih kecil, lampu LED hadapan lebih unik serta bampar baru dengan bukaan udara lebih besar dan lekuk yang lebih jelas. Anda juga boleh melihat panel keliling lengkuk roda dan bawah pintu dicat dengan warna sama seperti badan sementara lampu LED belakang menggunakan bentuk melintang dan bukannya menegak.

    Sementara bahagian luar ada beza, bahagian dalam pula sama sahaja seperti CR-V. Ini termasuklah roda stereng tiga cabang, corong udara pendingin hawa penuh sepanjang papan pemuka serta skrin infotainmen jenis sesentuh di tengah. Konsol tengah pula menempatkan tombol gear, pad pengecas tanpa wayar, pemegang cawan, peletak tangan serta butang kawalan lain.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk panel instrumen digital, pengawal pendingin hawa dua zon, Honda Connect 3.0 dengan kemas kini OTA, sistem bunyi dengan 12 pembesar suara Bose serta pakej lengkap Honda Sensing yang termasuk Adaptive Cruise Control, Lane Keep Assist, Blind Spot Monitoring, Autonomous Emergency Braking dan pelbagai lagi.

    Satu-satunya enjin yang disediakan pada Breeze adalah unit empat silinder 1.5 liter turbo yang menghasilkan 193 PS (190 hp atau 142 kW) pada 6,000 rpm dan tork 243 Nm dari 1,800 hingga 5,000 rpm. Enjin VTEC Turbo ini dipadankan bersama transmisi CVT dan pelanggan boleh memilih pacuan dua roda atau semua roda. Versi plug-in hybrid dijangka akan ditambah kemudian.

     
     
  • Sudah tiba masanya cukai jalan ditukar kepada sistem digital yang lebih praktikal dan sistematik – PPJK

    Sudah tiba masanya cukai jalan ditukar kepada sistem digital yang lebih praktikal dan sistematik – PPJK

    Isu kualiti pelekat cukai jalan acapkali menerima komen negatif daripada orang ramai. Mudah terkoyak dan gam dari pelekat berkenaan payah untuk ditanggalkan antara komen yang dilemparkan. Namun sehingga kini, isu tersebut masih belum mendapat maklumbalas daripada pihak kerajaan.

    Baru-baru ini, menerusi laporan Harian Metro, Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) memberikan pendapat bahawa cukai jalan patut ditukarkan kepada sistem digital seperti mana yang dilakukan oleh kebanyakan negara jiran seperti Singapura dan Thailand.

    Menurut Presiden PPJK, Datuk Mohammad Hisham Shafie, perkara ini wajar dipertimbangkan untuk diguna pakai di Malaysia kerana ia lebih praktikal dan bersistematik. Beliau turut berpendapat, penambahbaikan cukai jalan yang lebih berkualiti penting bagi mengelakkan pembaziran kos.

    “Kita sokong jika cukai jalan diubah kepada sistem digital dan lebih bagus kerana semuanya dalam satu sistem yang mudah dikawal dan selamat, tetapi jangan sampai kosnya membebankan kerajaan dan pengguna. Tetapi jika kerajaan masih hendak gunakan cara sedia ada, perlu ada penambahbaikan daripada sudut kualiti pelekat dan cetakan pada cukai jalan.

    “Pada masa ini, pelekat sedia ada itu berisiko mudah terkoyak selain cetakan butiran maklumat pada cukai jalan juga mudah pudar tidak sampai setahun penggunaannya,” katanya yang turut memohon Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memberi perhatian dalam menyelesaikan isu terbabit.

    Mohammad Hisham turut berkata, isu berkenaan seharusnya diatasi segera berikutan sudah dibangkitkan sejak lebih 10 tahun lalu hingga menyukarkan dan merugikan pelbagai pihak.

    “Untuk makluman, pengguna akan dikenakan kompaun RM50 jika cukai jalan rosak dan kalau cetakan pudar, boleh tukar baharu di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kos ditanggung kerajaan. Jadi, daripada rugi masa dan wang ringgit adalah lebih bagus jika kerajaan tukar pelekat dan cetakan lebih berkualiti mutunya yang dapat digunakan sehingga setahun.

    “Dalam isu ini, saya rasa ia sudah dibincangkan Kementerian Pengangkutan untuk penambahbaikan, tetapi mungkin atas beberapa faktor termasuk pertukaran kerajaan dan menteri dalam tempoh lima tahun ini menyebabkan rancangan itu tertangguh. Jadi, saya harap tahun depan ada pembaharuan dan menteri dapat membuat keputusan bijak untuk kepentingan pengguna tanpa membebankan semua pihak,” katanya.

    Baru-baru ini, seorang aktor popular negara, Azhan Rani, turut meluahkan perkara yang sama menerusi laman Facebook peribadinya. Katanya, kualiti pelekat cukai jalan sangat menyedihkan dan ibarat ketinggalan zaman. Penulis juga pernah mengalami masalah yang sama, apabila pelekat cukai jalan yang ditampal pada cermin hadapan kereta lekang dan terpaksa pula menampalnya dengan pita pelekat lain, mungkin kerana kereta kerap diparkir di kawasan terbuka yang terdedah dengan cuaca panas.

     
     
  • Toyota IMV 0 konsep ditunjuk di Thailand — trak pikap modular dan pelbagai guna, bakal tiba pada 2023?

    Toyota IMV 0 konsep ditunjuk di Thailand — trak pikap modular dan pelbagai guna, bakal tiba pada 2023?

    Toyota Hilux Revo BEV konsep bukan satu-satunya kenderaan yang diperkenalkan oleh Presiden Toyota, Akio Toyoda ketika sambutan ke-60 tahun Toyota Motor Thailand’s (TMT). Satu lagi model yang ditunjukkan adalah ini: IMV 0 konsep, yang ditampilkan sebagai trak pikap modular dengan tumpuan terhadap kepelbagaian penggunaan.

    “Saya sangat percaya yang produk ini mampu memperkayakan lagi kualiti hidup ramai orang dan memberikan peluang ekonomi baru,” jelas Toyoda tentang IMV 0. Menurut beliau, pasukan pembangunannya, yang terdiri juga daripada pereka dari Thai, Jepun dan Australia, telah menghabiskan berbulan-bulan di lapangan untuk memerhati cara hidup dan keperluan pemilik yang berpotensi untuk kenderaan tersebut.

    Di Thailand, pemilik Hilux di sana memang terkenal suka mengubahsuai trak mereka secara drastik, untuk disesuaikan kepada penggunaan harian, dan perkara itulah yang ingin dicapai oleh IMV 0. Melalui model ini, Toyota ingin menawarkan pendekatan ala Ikea dengan menawarkan lebih banyak pilihan yang boleh dipasang dengan mudah dan cepat.

    Di belakang kabin penumpang, pemilik boleh memasang modul yang berbeza bergantung kepada aktiviti mereka, sama ada untuk overlanding, membawa kargo dan banyak lagi. Toyota juga tidak menghadkan IMV 0 hanya untuk penggunaan peribadi sahaja, dengan turut menawarkan modul yang bersesuaian untuk penggunaan perniagaan dan pentadbiran (servis kecemasan). Headlightmag juga melaporkan, apa saja panel badan yang rosak juga boleh digantikan dengan mudah.

    IMV 0 ini tampil lebih kecil berbanding Hilux Revo BEV, dengan rekaan yang sedikit aneh. Bahagian depannya tampil dalam rekaan berkotak, mirip Compact Cruiser EV yang ditunjuk tahun lalu, dengan lampu melintang panjang serta bampar ranggi. Ada juga beberapa cangkuk untuk kegunaan aksesori di bonet dan fender.

    Toyoda, yang mengetuai pembangunan projek IMV (Innovative International Multi-Purpose Vehicle) pada 2002 yang menyaksikan pengenalan Hilux Vigo di Thailand, tidak pula mendedahkan sistem janaan yang akan digunakan oleh IMV 0, walaupun menyebut model itu akan diproduksikan dan dilancarkan pada 2023.

     
     
  • Jangan ekori rapat konvoi diiringi PDRM – JSPT

    Jangan ekori rapat konvoi diiringi PDRM – JSPT

    Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) memberikan amaran kepada semua pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal supaya jangan mengekori rapat konvoi yang diiringi oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

    Peringatan ini dikeluarkan menerusi perkongsian di Facebook rasmi JSPT susulan satu video tular di laman sosial media melibatkan seorang penunggang motosikal terjatuh selepas gagal mencelah di antara kereta Volvo XC90 yang diiringi polis dan sebuah Audi Q5 yang dipandu oleh orang awam.

    “Justeru, JSPT menasihatkan kepada semua pengguna kenderaan terutama penunggang motosikal agar tidak mengekori rapat konvoi kenderaan yang sedang diiring oleh PDRM yang telah diperuntukkan kuasa di bawah Akta Polis 1967 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 bagi mengelakkan risiko bahaya kemalangan selain mendatangkan curiga ancaman keselamatan kepada orang kenamaan dan petugas PDRM,” kata JSPT.

    @gohanekfdv9

    ? Tokyo Drift (Refix) – Rosh Blazze

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025