Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BMW G310RR dilancar untuk pasaran India, RM15k

    BMW G310RR dilancar untuk pasaran India, RM15k

    Selepas pelbagai teaser ditunjukkan sejak beberapa minggu lalu, BMW G310RR kini akhirnya dilancarkan secara rasmi di India, dengan harga 285,000 rupee (RM15,872). Model ini dibangunkan khas oleh TVS Motors India untuk BMW Motorrad, dan menggunakan asas daripada TVS Apache 310RR.

    Penggerak model sports ini adalah sama seperti model naked G310R dan adventure G310GS, iaitu enjin satu silinder DOHC empat injap, berkapasiti 313 cc dengan sistem penyejukan cecair, mampu menghasilkan 34 PS pada 9,700 rpm dalam model Track/Sport dan 25.8 PS pada 7,700 rpm dalam mod Urban/Rain.

    Melihat pula kepada tork, dalam mod Track/Sport ia boleh menghasilkan 27.3 Nm pada 7,700 rpm manakala dalam mod Urban/Rain ia menghasilkan 25 Nm pada 6,700 rpm. Kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi enam kelajuan dan sistem rantai. Menurut BMW, motosikal ini boleh mencatat laju maksimum 160 km/j.

    Selain empat mod tunggangan, G310RR juga datang dengan sistem ABS two-channel yang disambungkan kepada brek cakera dengan angkup Bybre di roda hadapan dan belakangnya. Bahagian hadapan menggunakan padanan cakera 300 mm dengan angkup empat piston, sementara bahagian belakang menggunakan cakera 240 mm dengan angkup satu piston.

    Sistem suspensi menggunakan padanan fork USD 41 mm di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Jarak geraknya masing-masing adalah 140 mm dan 119 mm. Rim bersaiz 17 inci, dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang.

    Perincian lain G310RR adalah tinggi tempat duduk 811 mm, tangki bahan api 12 liter, berat 174 kg dan panel instrumen TFT yang juga boleh memaparkan statistik tunggangan. BMW G310RR ditawarkan dalam dua warna iaitu Motorrad Sport dan Black Storm Metallic.

     
     
  • BMW 320i M Sport Runout Edition – edisi terhad dengan pakej M Sport, suspensi dinaik taraf, RM263k

    BMW 320i M Sport Runout Edition – edisi terhad dengan pakej M Sport, suspensi dinaik taraf, RM263k

    Bagi yang sentiasa mahukan BMW 320i G20 dalam versi M Sport, ini dia BMW Malaysia perkenalkan, 320i M Sport Edition, atau dipanggil sebagai 320i M Sport Runout Edition. Nama Runout itu digunakan kerana ini mungkin adalah edisi penutup sebelum model LCI (facelift) yang sudah diperkenalkan kepada dunia Mei lalu tiba di Malaysia tidak lama lagi.

    Sejak dilancarkan di pasaran kita, model asas G20 ini dijual hanya dalam versi Sport, dan jika ana mahukan pakej M Sport, anda perlu membayar lebih dan mendapatkan model 330i, 330Li atau 330e (PHEV). Sekarang, model G20 permulaan juga boleh didapati dengan pakej sporty tersebut.

    Seperti yang mungkin sudah anda ketahui, pakej M Sport ini memberikan bampar hadapan dan belakang lebih agresif, rim M 790 18 inci, roda stereng M dibalut kulit serta lapik bumbung serba hitam. Bersama dengan pakej M Sport dan M Aerodynamics ini, turut diberi adalah suspensi M Sport serta Variable Sports Steering.

    Pilihan warna yang diberi untuk 320i M Sport adalah Alpine White, Black Sapphire, Mineral Grey dan M Portimao Blue. Ia dijual pada harga RM262,800 tidak termasuk insurans dan diberikan sekali dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan dan program servis berkala percuma, bantuan tepi jalan, BMW Group Loyalty+ Mobile App dengan BMW Privileges Card dan BMW Service Online.

    Untuk harga paling rendah, anda boleh mendapatkan 320i M Sport ini pada harga RM246,680, tetapi jaminan yang diberi hanya selama dua tahun dan tiada servis percuma. Melalui Easy Drive Financing Plan daripada BMW Group Financial Services, ia juga boleh dimiliki dengan bayaran bulanan bermula RM2,663, berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% dan tempoh langganan selama lima tahun.

     
     
  • JPJ eBid: AMP dan PQK bakal dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri plat nombor AMP dan PQK bakal dibuka bidaan menerusi platform JPJ eBid.

    Siri nombor terkini Perak, AMP, akan dibuka bidaan bermula esok, 19 Julai. Tempoh bidaan menerusi JPJ eBid adalah selama lima hari, berakhir jam 10 malam pada 23 Julai. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 24 Julai. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Turut bakal dibuka bidaan menerusi JPJ eBid ialah siri nombor terkini Pulau Pinang, PQK. Tempoh bidaannya bermula 22 Julai ini akan tamat jam 10 malam pada 26 Julai. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 27 Julai 2022.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Mitsubishi Triton AXCR 2022 – spesifikasi jentera rali didedah; guna enjin 2.4L MIVEC Turbodiesel asal

    Mitsubishi Triton AXCR 2022 – spesifikasi jentera rali didedah; guna enjin 2.4L MIVEC Turbodiesel asal

    Mac lalu, sayap perlumbaan Mitsubishi iaitu Mitsubishi Ralliart telah mendedahkan jentera rali Triton yang akan digunakan dalam Asia Cross Country Rally (AXCR) 2022, menandakan bahawa mereka akan berlumba semula secara rasmi selepas jenama Ralliart ‘dihidupkan’ semula tahun lalu.

    Dan sekarang, spesifikasi untuk Triton AXCR tersebut telah pun didedahkan, dan ia dilihat melalui ujian ketahanan di Thailand pada 27 hingga 28 Jun lalu, sebelum perlumbaan sebenar yang bakal berlangsung pada November 2022.

    Menurut Mitsubishi, Triton yang diasaskan dari badan double cab pasaran Thailand ini dibangunkan dengan spesifikasi kereta rali Group T1 FIA (kenderaan prototaip cross-country), dan masih mengekalkan banyak kelengkapan asal model produksi sebenar.

    Mitsubishi Triton AXCR 2022 – spesifikasi jentera rali didedah; guna enjin 2.4L MIVEC Turbodiesel asal

    Ia masih dijana oleh enjin 4N15 2.4 liter empat silinder MIVEC turbodiesel, dan masih menghasilkan kuasa 181 PS dan tork maksima 430 Nm sama seperti Triton di bilik pameran. Walaupun angka kuasa berkenaan dilihat sama, sebenarnya enjin berkenaan telah diolah semula oleh HKS, dengan pemadanan komponen yang lebih ringan serta kurang geseran bagi memberikan respon lebih baik pada takat rpm pertengahan yang selalu digunakan dalam perlumbaan rali.

    Trak pikap ini juga masih dibekalkan dengan kotak gear manual enam kelajuan, bersama sistem pacuan empat roda Super Select 4WD II. Ubahsuai lain yang dibuat pada sistem penghantaran kuasa Triton rali ini termasuk penggunaan unit LSD dari Cusco pada gandar hadapan dan belakang.

    Konfigurasi asal suspensi double wishbone dengan spring gegelung di hadapan dan gandar hidup bersama spring dedaun di belakang masih kekal, tetapi ia kini menerima set penyerap hentak boleh laras dari Cusco bagi disesuaikan dengan laluan off-road sepanjang rali berkenaan.

    Mitsubishi Triton AXCR 2022 – spesifikasi jentera rali didedah; guna enjin 2.4L MIVEC Turbodiesel asal

    Brek trak pikap rali ini juga dipertingkat dengan dilengkapkan cakera berliang di hadapan dan belakang bersama angkup empat omboh, kesemuanya dibekalkan oleh Endless. Manakala untuk roda, ia menerima set rim aluminium aloi dari Work bersaiz 17-inci x 8J bersama tayar Yokohama Geolander M/T G003 bersaiz 265/70R17.

    Badan Triton ini juga diringankan lagi dengan pemadanan hud penutup enjin dan juga kesemua pintu yang diperbuat dari material gentian karbon. Ia juga menerima kelengkapan tipikal sebuah jentera rali cross country termasuk set roll cage lengkap dengan tempat duduk perlumbaan, set snorkel untuk ‘menyelam’ menyeberangi sungai, serta dua set roda gantian yang diletakkan pada bed belakang.

    Pasukan Mitsubishi Ralliart untuk AXCR ini diuruskan oleh pasukan persendirian iaitu Tant Sports dari Thailand, tetapi lagenda Mitsubishi sendiri – juara Rali Dakar dua kali (2002 dan 2003) dengan Pajero – Hiroshi Masuoka telah dilantik sebagai pengarah pasukan.

    Mitsubishi Triton AXCR 2022 – spesifikasi jentera rali didedah; guna enjin 2.4L MIVEC Turbodiesel asal

    AXCR merupakan rali rentas negara ala-Rali Dakar yang dilangsungkan merentas negara-negara Asia Tenggara dan diselia oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), menyajikan aksi off-road dengan cuaca panas dan lembab merentasi hutan dan kawasan pergunungan.

    Ujian kali ini dibuat di litar rali sejauh 10-km di Thailand, yang menggandingkan laluan kelajuan tinggi, permukaan gravel yang lasak serta jalan sempit dan berliku di dalam hutan, menyerupai laluan sebenar AXCR nanti. Sasaran ujian ini adalah untuk menguji tahap ketahanan casis dan juga enjin jentera rali Triton tersebut.

    “Memandangkan Triton mempunyai kerangka casis yang tahan lasak dan pretasi pengendalian yang cemerlang, kami mengambil keputusan untuk mengurangkan berat kenderaan pada kadar minimum untuk modifikasi rali dalam masa yang sama menggunakan kelebihan kekuatan asalnya sebanyak yang boleh,” kata Masuoka.

    “Selepas meredah laluan lebih dari 800 km dalam masa dua hari, kereta rali ini menampilkan prestasi yang hebat sepanjang ujian ketahanan yang sukar ini seperti yang kami jangka, dan sekarang kami yakin bahawa persediaan kami adalah pada laluan yang betul,” tambahnya lagi.

    Rali ini dilangsungkan secara tahunan bermula pada 1996, dan turut pernah menampilkan laluan merentas negara seperti Singapura, Malaysia, Kemboja, Vietnam, Myanmar sehingga ke China. Namun ia dihentikan sementara pada tahun 2020 kerana pandemik Covid-19, dan bakal diadakan semula pada tahun ini.

    Untuk AXCR 2022, ia akan berlangsung bermula 21 hingga 26 November nanti, bermula di Buriram, timur laut Thailand dan kemudian merentas sempadan Kemboja. Perlumbaan sejauh 1,700 km berkenaan akan menyaksikan kesemua peserta perlu berhadapan laluan di kawasan pergunungan, hutan, jalan berlumpur, menyeberang sungai, kawasan berpasir, dan juga litar lumba, berakhir di tapak Warisan Dunia, Angkor Wat yang terletak di Kemboja.

     
     
  • Harga SST Nissan 2022 — Almera naik RM4.6k, X-Trail naik hingga RM10k sementera Leaf EV naik RM7k

    Harga SST Nissan 2022 — Almera naik RM4.6k, X-Trail naik hingga RM10k sementera Leaf EV naik RM7k

    Susulan berakhirnya pengecualian cukai juaral (SST) bagi kenderaan pada 30 Jun 2022, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mengemaskini senarai harga bagi semua model Nissan yang dijual di Malaysia. Seperti dijangka, harga barisan kenderaannya kini lebih tinggi.

    Bagi Almera misalnya, sedan dengan enjin turbcas berkenaan kini naik RM4,578 bagi tiga varian yang ditawarkan (VL, VLP dan VLT). Sementara itu, X-Trail pula kini dijual bermula RM136,888 bagi varian paling asas 2.0 2WD — ini RM8,258 lebih mahal berbanding sebelumnya.

    Varian pertengahan 2.0 Mid 2WD pula naik RM10,245 menjadi RM149,888, sementara varian 2.0 Hybrid 2WD kini dijual pada harga RM159,888 (+RM2,437). Perlu juga dinyatakan yang senarai harga ini juga lebih tinggi daripada sebelum pengecualian SST — melainkan varian hibridnya — dan kelihatan seperti varian 2.5 4WD telah digugurkan.

    Harga SST Nissan 2022 — Almera naik RM4.6k, X-Trail naik hingga RM10k sementera Leaf EV naik RM7k

    Beralih kepada Serena S-Hybrid facelift yang baru saja diperkenalkan, ia memang sudah diberikan harga dengan SST bagi dua varian yang ditawarkan — Highway Star (RM149,888) dan Premium Highway Star (RM162,888). Model kereta penumpang terakhir ialah Nissan Leaf, dengan kenaikan RM7,088 menjadi RM175,888.

    Navara dan NV200 diklasifikasikan sebagai kenderaan komersial, jadi kedua-duanya tidak diberikan pengecualian SST sebelum ini. Trak pikap berkenaan dijual pada harga bermula RM92,050 untuk versi Single Cab, dengan varian tertinggi Double Cab 2.5 Pro-4X dijual pada harga RM148,600. Bagi van NV200, ia dijual antara RM79,888 dan RM85,888.

     
     
  • Bank lebih waspada luluskan pinjaman kenderaan berikutan kadar OPR, Inflasi meningkat – penganalisa

    Bank lebih waspada luluskan pinjaman kenderaan berikutan kadar OPR, Inflasi meningkat – penganalisa

    Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Jim Lim Khai Xhiang menyatakan bahawa pihak bank kini lebih berhati-hati untuk meluluskan pinjaman untuk pembelian kenderaan, memandangkan kadar faedah pinjaman serta situasi inflasi yang kini sedang meningkat, seterusnya ia dijangka akan memberi kesukaran kepada bakal pembeli kenderaan dalam tempoh terdekat.

    Menurut Khai Xhiang, berdasarkan data, apabila Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang menjadi rujukan kadar faedah pinjaman tempatan berada pada dua peratus antara Februari 2009 hingga Februari 2010, purata kadar kelulusan pinjaman untuk pembelian kenderaan berada pada 60 peratus.

    Namun apabila OPR dinaikkan kepada tiga peratus antara Mei 2011 dan Jun 2014, kadar kelulusan purata jatuh kepada 51 peratus dan Khai Xhiang menyatakan bahawa situasi ini akan menjadikannya lebih mahal dan sukar bagi sesetengah pelanggan.

    “Oleh itu, kami percaya bahawa bank akan menjadi lebih berhati-hati dalam kelulusan pinjaman sewa beli. Ini juga berpotensi membawa kepada penurunan kadar kelulusan pinjaman sewa beli,” katanya dalam satu nota penyelidikan yang dipetik oleh laporan Berita Harian.

    Menurutnya lagi, lonjakan inflasi juga boleh melemahkan kuasa beli pengguna, malah inflasi teras Malaysia boleh meningkat lagi apabila kerajaan mengambil langkah menyederhanakan tahap subsidi dalam tempoh terdekat.

    “Pada pandangan kami, kerana pembelian kereta adalah satu keputusan yang dibuat semata-mata mengikut budi bicara, apabila berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup dan harga kereta yang lebih tinggi, pengguna yang lebih sensitif terhadap harga mungkin lebih cenderung untuk menahan pembelian yang tidak penting,” katanya.

     
     
  • Perodua Alza 2022 akan dilancarkan pada 20 Julai ini – anggaran RM62k-RM75k, 1.5L, D-CVT, standard AEB

    Perodua Alza 2022 akan dilancarkan pada 20 Julai ini – anggaran RM62k-RM75k, 1.5L, D-CVT, standard AEB

    Kita dah tahu varian-varian yang akan ditawarkan untuk Perodua Alza 2022, malah harga anggaran untuk kesemua varian tersebut juga telah diumumkan sebelum ini. Namun untuk lebih jelas bagaimana rupa dan perincian kesemua model Alza 2022 ini, serta harga muktamad untuk MPV tujuh-tempat duduk generasi baharu tersebut, jangan lupa untuk menyaksikan pelancaran rasminya yang akan disiarkan secara langsung secara atas talian di laman Facebook Perodua pada pukul 12 tengah hari, Rabu ini iaitu 20 Julai 2022

    Tempahan untuk Alza generasi kedua ini telah pun mula dibuka pada 23 Jun lalu. Ia ditawarkan dalam tiga varian berbeza bermula dengan varian asas X yang diumum dengan harga anggaran RM62,000, diikuti varian pertengahan H dengan harga anggaran RM68,000, dan varian tertinggi AV dengan harga anggaran RM75,000. Harga anggaran ini adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    Seperti yang diketahui, Alza 2022 ini dihasilkan jauh lebih moden berbanding model generasi pertama – sebab itulah harga jualannya juga adalah jauh lebih tinggi. Ia diasaskan dari platform terkini Daihatsu New Global Architecture (DNGA) seperti Perodua Ativa/Daihatsu Rocky/Toyota Raize, dan merupakan kembar kepada Daihatsu Xenia dan Toyota Avanza/Veloz yang telah dilancarkan di Indonesia.

    Klik untuk besarkan

    Ia dijana oleh enjin 2NR-VE 1.5 liter empat silinder NA, digandingkan dengan kotak gear D-CVT untuk memacu roda hadapan. Perodua mengesahkan bahawa padanan unit rangkaian kuasa berkenaan telah pun mendapat pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dengan mencapai penggunaan bahan api serendah 22 km/l dalam ujian Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC).

    Konfigurasi enjin dan kotak gear yang sama sebenarnya sudahpun digunakan pada Perodua Myvi facelift 2022, yang menampilkan kuasa 103 PS (102 hp) dan tork maksima 137 Nm. Namun untuk Daihatsu Xenia/Toyota Avanza dan Veloz pasaran Indonesia, enjin 2NR-VE tersebut menerima talaan kuasa 106 PS dan tork maksima 138 Nm – angka sebenar untuk Alza 2022 ini masih perlu ditunggu ketika ia dilancarkan kelak.

    Antara perincian canggih dipadankan pada MPV segmen-B tujuh-tempat duduk ini termasuk kamera pandangan panaromik 360-darjah, dan juga brek parkir elektronik. Malah kesemua varian menerima enam-beg udara, serta sistem bantuan pemanduan keselamatan Advanced Safety Assist (ASA) terkini.

    Sistem tersebut menampilkan perincian standard untuk semua varian termasuk fungsi brek kecemasan automatik (AEB), amaran keluar lorong (LDW), Pengelak Keluar Lorong (LDP) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB). Manakala varian tertinggi AV menerima fungsi tambahan termasuk cruise control adaptif (ACC), Kawalan Kekal Lorong (LKC) dan Pemantau Titik Buta (BSM).

    Untuk mengetahui lebih perincian berkenaan spesifikasi untuk setiap varian Perodua Alza 2022 ini, anda boleh baca laporan yang kami sediakan pada PAUTAN INI.

     
     
  • VIDEO: Proton X70 1.5L TGDI 2022 — dari RM94k

    VIDEO: Proton X70 1.5L TGDI 2022 — dari RM94k

    Untuk model tahun 2022 ini, walaupun dikatakan sebagai model facelift, Proton X70 sebenarnya tampil dengan gaya dan rekaan luaran yang tidak jauh bezanya daripada model sebelum ini. Kiranya, dari segi “perubahan wajah”, tak ada apa sangat pun yang dilakukan.

    Sebaliknya, penawaran tahun ada yang lebih utama dilakukan, dengan memperkenalkan pilihan enjin baru untuk X70 iaitu unit 1.5L TGDI tiga-silinder, dengan enjin 1.8L masih juga ditawarkan untuk model paling tinggi ketika ini. Adakah ini enjin baru? Ya untuk X70, tetapi bukan untuk Proton. Enjin berkenaan telah pun digunakan oleh SUV X50.

    Harganya juga ada perubahan dan naik sedikit. Proton X70 2022 ini datang dalam lima varian, bermula dengan 1.5 Standard 2WD pada RM93,900 hinggalah kepada 1.5 Executive 2WD dengan harga RM105,500. Kembali ke dalam penawaran setlah digugurkan pada 2022 adalah Executive AWD yang dijual pada harga RM111,300 sementara 1.5 Premium pada harga RM117,900. Premium X kekal sebagai varian paling tinggi dan lengkap, dan kini dinamakan sebagai 1.8 Premium, dijual pada harga RM121,800.

    Namun, untuk SUV saiz besar ini, ramai yang tertanya-tanya sama ada enjin dengan kapasiti yang lebih kecil itu mampu menampung beban dan memberikan prestasi yang setara dengan 1.8L atau tidak? Adakan pemanduannya lebih lancar atau sebaliknya? Kami membincangkan tentang semua soalan ini dan banyak lagi dalam ulasan video. Selamat menonton!

    Proton X70 MC 2022 1.5 TGDi Premium 2WD

     
     
  • Toyota Crown 2023 diperkenalkan sebagai model siri baharu – empat pilihan gaya badan, dua enjin hibrid

    Toyota Crown 2023 diperkenalkan sebagai model siri baharu –  empat pilihan gaya badan, dua enjin hibrid

    Dengan 15 generasi dan cecah usia 67 tahun, Toyota Crown kini memasuki era baharu di mana kini ia tidak lagi ‘dilahirkan’ dalam bentuk sedan semata-mata tetapi telah diberikan anjakan paradigma dan beralih ke ‘kehidupan’ siri serba baharu dengan diberikan empat pilihan gaya badan iaitu Crossover, Sport, Sedan dan juga Estate.

    Pasukan pembangunan yang bertanggungjawab memberikan ‘kehidupan’ baharu bagi Crown ini telah melalui proses pemeriksaan semula secara menyeluruh, dan dalam terjemahan Toyota sendiri, Crown ‘keluar dari kepompongnya’ bagi memenuhi trend semasa, sekaligus memburu kembali perhatian kepelbagaian pelanggan.

    Digambarkan oleh Toyota, Crossover menjadi gaya baharu yang dikombinasikan dengan sedan bersama sentuhan SUV, manakala Sport pula menawarkan “pengalaman pemanduan yang sporty“. Untuk Sedan pula, disasarkan menjadi perhatian di bawah segmen yang dipacu pemandu dan Estate digambarkan sebagai kepelbagaian fungsi SUV dengan atmosfera yang matang.

    Toyota Crown 2023 diperkenalkan sebagai model siri baharu –  empat pilihan gaya badan, dua enjin hibridToyota Crown 2023 diperkenalkan sebagai model siri baharu –  empat pilihan gaya badan, dua enjin hibrid

    Barisan Toyota Crown 2023. Kiri-Kanan: Crossover, Sport, Sedan, Estate – Klik untuk besarkan

    Mengikut perancangan pengeluarnya, versi Crossover ini bakal diperkenalkan di pasaran terlebih dahulu, bakal mula dijual di Jepun pada musim luruh ini, dan menyasarkan Crown bakal dijual di 40 buah negara.

    Dibina dengan kejuruteraan TNGA-K bentangan enjin-melintang, Crown 2023 ini berbeza dari generasi sebelumnya yang menggunakan ‘hip point’ yang lebih tinggi untuk memudahkan penumpang masuk dan keluar, serta pandangan yang lebih baik. Manakala bentuk baharu bagi kerangkanya membolehkan ia menambah ruang kepala untuk bahagian hadapan dan belakang yang lebih luas. Manakala tugas suspensi kini dikendalikan oleh topang MacPherson di hadapan, dan larasan multi-link di belakang.

    Bagi penjana kuasanya pula, Crown 2023 ini akan menampilkan sepasang enjing hibrid AWD, bermula dengan Crossover X yang diberikan enjin hibrid unit A25A-FX5 2.5 liter naturally-aspirated bakal dijual pada harga 4,350,000 yen (RM139,450), meningkat ke 5,700,000 yen (RM182,747) untuk Crossover G dengan pakej Advanced dan Leather package. Penjana kuasa ini juga akan dipadakan dengan continuously variable transmission (CVT).


    Toyota Crown 2023, pasaran Jepun

    Versi yang lebih tinggi ialah Crossover RS dengan enjin hibrid T24A-FTS 2.4 liter empat-silinder sebaris turbo petrol dan E-Four Advanced, yang berharga dari 6,050,000 yen (RM193,943) hingga 6,400,000 yen (RM205,163) untuk pakej kemasan Advanced. Penjana kuasa ini dipadankan dengan kotak gear automatik Direct Shift enam-kelajuan.

    Di Amerika Syarikat (USA), di mana Crown 2023 juga dilancarkan di sana, penjana kuasa 2.4 liter turbo hibrid mengekalkan nama Hybrid Max dengan kombinasi kuasa cecah 340 PS, dan ditala untuk puncak tork antara 2,000 hingga 3,000 rpm.

    Varian yang ditawarkan di pasaran USA ialah XLE, Limited dan Platinum, dan Hybrid Max 2.4 liter turbo hibrid adalah eksklusif untuk varian kemasan Platinum. Bagi pek kemasan XLE, ia diberikan penjana kuasa 2.5 liter hibrid e-Four, tiga mod pemanduan, aloi 19-inci, tempat duduk hadapan dalam fabrik Softex dengan larasan kuasa dan fungsi pemanas dan unit infotainmen skrin sesentuh Toyota Multimedia System dengan enam pembesar suara.

    Seterusnya, varian Limited pula memiliki ciri yang sama dengan XLE, tetapi ada kelengkapan tambahan termasuk lampu utama LED multibeam, bumbung panoramik, tempat duduk kulit (pemanas dan aliran udara untuk hadapan, dan pemanas untuk belakang), audio JBL 11-pembesar suara, penderia parkir dan pengelap cermin dengan penderia hujan, dan brek trafik lintasan belaang. Untuk pek Advanced Technology pula ditambah dengan roda aloi 10-jejari 21-inci, kamera pandangan-mata burung dan kunci digital.

    Toyota Crown 2023, pasaran USA

    Varian tertinggi untuk pasaran USA ialah Platinum dengan penjana kuasa 2.4. liter hibrid turbo petrol dan Hybrid Max, turut dilengkapi dengan ciri yang sama dengan dua varian di bawahnya, tetapi ditambah lagi dengan Adaptive Variable Suspension, enam mod pemanduan, Advanced Park dan roda aloi dua-tona 10-jejari yang unik.

    Selain itu, Platinum turut ditawarkan dengan kemasan warna luaran dua-tona, dengan warna hitam ditampilkan pada bahagian bonet, bumbung dan but, serta dipadankan sama dengan warna Oxygen White, Heavy Metal, Supersonic Red atau kemasan Bronze Age.

    Semua varian bagi Crown 2023 untuk USa turut menerima Toyota Safety Sense 3.0 secara standard, yang merangkumi Sistem Pra-pelanggaran dengan pengesan pejalan kaki, Kawalan Kelajuan Radar Dinamik (DRCC), Kepekaan Ketibaan Lorong dengan Bantuan Stereng, dan Bantuan Mengesan Lorong, Bantuan Isyarat Jalan dan pengingatan tali pinggang keledar untuk tempat duduk belakang. Kit keselamatan lain yang turut diberikan termasuk paparan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang dan kawalan bantuan mula mendaki.

    Dikeluarkan di kilang Motomachi dan Tsutsumi di Jepun, Toyota Crown 2023 akan mula dijual di Negara Matahari Terbit ini pada musim luruh ini, sementara bagi pasaran USA pula, ia juga akan sampai sebelum 2022 berakhir, ujar Toyota.

    GALERI: Toyota Crown 2023, pasaran US

     
     
  • VIDEO: Honda HR-V 2022 di Malaysia — dari RM115k!

    Honda HR-V 2022 sudah pun dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan. Dan, Malaysia juga merupakan satu-satunya pasaran di dunia yang menerima penawaran tiga pilihan bagi sistem janaan kuasa HR-V 2022 ini, dan semua sekali ada empat varian ditawarkan.

    Varian paling asas S menerima enjin 1.5L petrol yang sama digunakan bagi model City. Ia unit NA DOHC i-VTEC empat-silinder yang menghasilkan 121 PS dan 145 Nm tork pada 4,300 rpm. Varian E dan V pula menggunakan enjin 1.5L VTEC Turbo dengan janaan 181 PS dan 240 Nm tork antara 1,700 hingga 4,500 rpm. Ini 1 PS kurang daripada Civic FE, dan kedua-dua model NA dan Turbo ini digandingkan dengan CVT.

    Varian RS pula dikhususkan untuk sistem janaan hibrid e:HEV. Motor elektrik i-MMD yang menjadi nadi utama kini 22 PS lebih berkuasa berbanding pada City, dengan 131 PS. Tork maksimum ialah 253 Nm. Enjin NA dengan kitaran Atkinson ini, yang bertindak selaku generator dan boleh memacu kereta ini dalam kelajuan tinggi, menghasilkan 107 PS dan 131 Nm. Angka ini 9 PS/4 Nm lebih tinggi berbanding City.

    HR-V baru ini nampak lebih besar berbanding yang lama. Dengan 4,385 mm panjang (varian S tanpa bampar sporty ialah 4,330 mm panjang), HR-V baru ini hanya 39 mm lebih panjang daripada RS sebelum ini. Lebar 1,790 mm dan jarak antara roda 2,610 mm pula tidak berubah. Mungkin jarak kelegaan tanahnya — 196 mm, 26 mm lebih tinggi — yang memberikan kesan.

    Dengan ini, pasaran segmen B di sini baru saja menerima pesaing terikini, yang akan memberi cabaran kepada model-model seperti Proton X50 dan Toyota Corolla Cross di Malaysia. HR-V ini cukup “power” nak lawan? Kami tinjau dalam video ini.

    Honda HR-V Turbo E 2022

     
     
  • Hyundai Stargazer — MPV 7-tempat duduk pesaing Mitsubishi Xpander, Honda BR-V; dari RM72k

    Hyundai Stargazer — MPV 7-tempat duduk pesaing Mitsubishi Xpander, Honda BR-V; dari RM72k

    PT Hyundai Motors Indonesia (HMID), anak syarikat milik penuh Hyundai Motor Company telah mendedahkan model Stargazer serba-baru, yang kini telah dibuka untuk tempahan di sana. Stargazer merupakan MPV tujuh tempat duduk yang menjadi pesaing terbaru kepada model seperti Mitsubishi Xpander, Honda BR-V, Toyota Avanza/Veloz dan Daihatsu Xenia.

    Stargazer mempunyai ukuran 4,460 mm panjang, 1,780 mm lebar, 1,695 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,780 mm. Saiznya lebih kurang sama dengan semua pesaing, tetapi apa yang membezakannya adalah rekaan futuristik yang diberikan.

    Mengambil ilham daripada MPV Staria yang lebih besar, Stargazer menampilkan jalur lampu berkelabaran penuh di depan. Di bawahnya, terletak pula lampu utama yang di tengahnya ada gril bersegi yang besar, sebahagian daripada bentuk X bamparnya, dengan bukaan udara trapezoid.

    Hyundai Stargazer — MPV 7-tempat duduk pesaing Mitsubishi Xpander, Honda BR-V; dari RM72k

    Bahagian tepi juga sarat dengan keunikan visualnya, dengan garis badan yang panjang dari depan hingga belakang — dengan kesan seperti bumbung terapung. Di belakang juga sama, Stargazer menggunakan rekaan lampu dengan kelebaran penuh, memberikan grafik bentuk H dengan sambungan lampu tegak di tepinya. Tidak ketinggalan ada logo Hyundai, serta kemasan hitam dengan tulisan Stargazer.

    Di dalam, papan pemuka didominasi dengan paparan luas meliputi sistem infotainmen dengan skrin sentuh lapan-inci, bersama paparan kluster instrumen LCD 4.2-inci (atau 3.5-inci). Sentuhan futuristik juga tetap diteruskan di dalam, misalnya melalui rekaan corong pendingin dengan penyudah warna perak cerah.

    Stargazer ditawarkan dengan tujuh tempat-duduk, tetapi ada juga pilihan untuk enam-tempat duduk dengan dia kerusi kapten di barisan tengah. Bagi enjin, MPV ini dilengkapi dengan unit Smartstream G 1.5 liter NA empat-silinder dari model Creta, yang menghasilkan 115 PS dan 144 Nm tork. Ia digandingkan dengan sama ada transmisi manual enam-kelajuan atau IVT Hyundai, dengan kuasa di hantar ke roda depan.

    Hyundai Stargazer — MPV 7-tempat duduk pesaing Mitsubishi Xpander, Honda BR-V; dari RM72k

    Di Indonesia, Stargazer ditawarkan dalam empat varian, bermula dengan Active yang boleh dipilih dengan kotak gear manual pada harga 243.3 juta rupiah (RM72,203) atau IVT pada harga IDR255.9 juta (RM75,942). Ini diikuti oleh Trend, yang turut ditawarkan dengan kedua-dua transmisi — MT pada harga IDR263.3 juta (RM78,076), IVT pada IDR275.9 juta (RM81,812).

    Kemudian ada varian IVT sahaja, termasuk Style dengan harga IDR296.3 juta (RM87,870) dan Prime untuk 307.1 juta rupiah (RM91,073). Versi dengan kerusi kapten akan dijual IDR1 juta (RM296) lebih mahal, dan ini tidak boleh dipilih untuk model paling asas. Hanya Prime boleh dipilih dengar tema dalaman dua-tona warna dengan kos tambahan IDR1.5 juta (RM445).

    Dari segi kelengkapan, Active datang standard dengan lampu utama reflektor halogen, kluster instrumen 3.5-inci LCD, skrin sentuh lapan-inci untuk infotainmen, empat pembesar suara, kerusi balutan fabrik, dua beg udara dan rim 15-inci. Trend pula menerima pertambahan telematik Bluelink, sensor parkir serta roda 16-inci.

    Hyundai Stargazer — MPV 7-tempat duduk pesaing Mitsubishi Xpander, Honda BR-V; dari RM72k

    Style pula turut menerima kelengkapan seperti Trend, seperti lampu utama reflektor LED, kawalan melayar, kluster instrumen lebih besar, larasan stereng tilt dan teleskopik, dua lagi pembesar suara, ESC, bantuan mula mendaki, sistem peninjau tekanan tayar, kamera undur, sistem tanpa kunci dan beberapa lagi.

    Prime pula menerima kelengkapan paling penuh, sesuai dengan harganya. Sebagai tambahan, ia menerima kerusi balutan kulit, lampu suasana, empat lagi beg udara, dan paling penting sistem keselamatan aktif. Ini termasuklah AEB, amaran perhatian pemandu, bantuan mengekalkan lorong, bantuan mengikuti lorong, bantuan titik buta dan bantuan penghindaran perlanggaran trafik di belakang.

     
     
  • TSG lancar pengecas pantas DC CCS2 120 kW – percuma bagi pemilik EV sepanjang ujian percubaan

    TSG lancar pengecas pantas DC CCS2 120 kW – percuma bagi pemilik EV sepanjang ujian percubaan

    Tenaga Switchgear (TSG) telah memperkenalkan pengecas pantas DC buatan tempatan secara rasmi, dengan pelancarannya berlangsung di ibu pejabatnya di Kota Damansara pada minggu lalu. Unit tersebut juga telah dipasang di premis terbabit dan kini TSG menawarkan penggunaan secara percuma kepada semua pemilik kenderaan elektrik (EV) untuk pengecas berkadar 120 kW yang turut dilengkapi dengan dua unit CCS2, sepanjang tempoh ujian percubaan sehingga waktu yang dimaklumkan kelak.

    Awal tahun ini, TSG telah mempamerkan unit pengecas contoh dalam acara NEXTGen Malaysia anjuran BMW Malaysia, dan telah mengumumkan perancangan untuk memasuki pasaran berkaitan. Unit pengecas yang ditempatkan di Kota Damansara itu merupakan aplikasi kerja pertama unit DCFC yang tersedia untuk kegunaan awam.

    Pengecas Level 3 asas ini sebenarnya bersumber dari China, tetapi telah diolahkan semula oleh TSG daripada pengecasan standard GB/T kepada antara muka CCS. Spesifikasi asas termasuk kuasa 200-1,000V voltan serta berkadaran IP54.

    Luaran unit yang ditempatkan di Kota Damansara ini juga amat berbeza daripada yang ditawarkan oleh TNB sewaktu acara NEXTGen, dan ia masih dalam peringkat untuk diperhalusi apabila memasuki pasaran kelak. Menurut Pengarah Urusan TSG Ahmad Sazree Abd Aziz, syarikatnya telah pun menerima pertanyaan mengenai pengecas DC ini dari beberapa pihak yang berminat.

    Proses aturkerja turut dijalankan bagi memastikan unit pengecas ini boleh digunakan untuk semua jenis EV yang tersedia di pasaran tempatan sebelum penggunaan secara komersil dimulakan sepenuhnya. Ini termasuk EV keluaran Hyundai, Volvo, Tesla dan Polestar yang turut boleh menggunakan pengecas ini.

    Walau bagaimana pun, pengecas ini seakan ‘kurang bekerjasama’ dengan Mercedes-Benz EQA setelah kami cuba mengujinya, begitu juga dengan EV dari BMW. Namun, syarikat ini telah memaklumkan kini ia sudah boleh digunakan untuk mengecas EV keluaran BMW kerana masalah tersebut telah berjaya diatasi.

    Apabila ia diperkenalkan di pasaran secara komersil kelak, pembayaran tanpa tunai akan diaplikasikan iaitu menggunakan kad debit atau kredit, tidak ada langganan untuk penggunaannya. Walau bagaimana pun, kadar harganya masih belum dimuktamadkan. Buat masa ini, penggunaan unit di Kota Damansara itu adalah percuma dan TSG mengundang semua pemilik EV untuk mencubanya, dalam masa yang sama membolehkan pihaknya mengumpul data dan maklumbalas yang diperlukan.

    Selain pengecas pantas DC 120 kW, TSG juga memiliki pengecas AS Type 2 11 kW yang ditempatkan di lokasi yang sama. Menerusi perspektif perniagaan, ia menawarkan beberapa pengecas, dari kadar 7 kW hingga 22 kW untuk AC dan juga dari 20 kW hingga 400 kW bagi pengecas DC, untuk kegunaan pelanggannya. Selain itu, ia juga menempatkan compact substation unit (CSU), yang boleh dikonfigurasikan semula untuk aplikasi masa hadapan bagi menyokong penjanaan pengecas EV.

    Tenaga Switchgear
    Lot 3, Jalan Teknologi 3/6 Taman Sains Selangor, 1, Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor
    Lokasi mengikut Google Maps
    Waktu operasi 8.30 pagi hingga 5.30 petang (Isnin hingga Jumaat)
    DC CCS2 120 kW
    Percuma untuk semua pemilik EV
    Lokasi mengikut Plugshare

     
     
  • MINI Cooper SE Convertible didedah – unit keluaran khas, kuasa 181 hp, tork 270 Nm, jarak gerak 230 km

    MINI Cooper SE Convertible didedah – unit keluaran khas, kuasa 181 hp, tork 270 Nm, jarak gerak 230 km

    MINI telah mendedahkan Cooper SE (juga dipasarkan sebagai MINI Electric) versi convertible (bumbung boleh buka) kepada dunia. Walaubagaimanapun, ia bukanlah sebuah model produksi, tetapi dibuat khas hanya untuk menunjukkan kemampuan mereka menghasilkan kereta elektrik dengan bumbung boleh buka pada masa hadapan.

    Mengambil badan Cooper S Convertible sebagai asas, jurutera MINI kemudiannya memasukkan penggerak elektrik Cooper SE ke dalamnya tanpa sebarang masalah. Hasilnya, ruang but Cooper SE Convertible masih kekal pada 160 liter, manakala dimensinya pula sama seperti Cooper S Convertible, iaitu 3,863 mm panjang, 1,727 mm lebar, 2,495 mm tinggi dan jarak roda 2,495 mm.

    Motor elektrik yang terletak di hadapan kereta ini mampu menghasilkan 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan 270 Nm tork, sama seperti Cooper SE dengan bumbung biasa. Spesifikasi bateri tidak didedah, tetapi ia sepatutnya sama seperti Cooper SE, iaitu unit lithium ion 32.6 kWh memandangkan jarak gerak 230 km yang diberitahu juga tidak berbeza jauh dengan Cooper SE.

    Bumbung fabrik pada model ini boleh dibuka dan ditutup dalam masa 18 saat, pada kelajuan sehingga 30 km/j dan disediakan dengan tiga tetapan iaitu buka, tutup atau seperti bumbung suria. Dengan kelengkapan untuk bumbung ini yang lebih berat, pecutan 0-100 km/j Cooper SE Convertible juga menjadi sedikit perlahan, iaitu 7.7 saat, berbanding 7.3 saat yang dicatat versi biasa.

    MINI juga diketahui sedang mengusahakan MINI Cooper generasi seterusnya, yang akan ditawarkan sebagai sebuah kenderaan elektrik, untuk menyokong visi syarikat ke arah elektrik sepenuhnya menjelang 2030. Dengan pendedahan model ini, kita juga boleh menjangka nanti akan ada MINI elektrik versi bumbung boleh buka.

     
     
  • Hyundai Ioniq 6 – jarak gerak 610 km, kuasa sehingga 320 PS dengan AWD, “bunyi seperti kapal angkasa”

    Hyundai Ioniq 6 – jarak gerak 610 km, kuasa sehingga 320 PS dengan AWD, “bunyi seperti kapal angkasa”

    Semasa didedah buat kali pertama bulan lepas, tidak banyak perincian yang dikeluarkan sekali dengan Ioniq 6. Semasa itu kita cuma membuat jangkaan dengan melihat kepada Ioniq 5, tetapi kini Hyundai telah mendedahkan perincian pentingnya.

    Untuk saiz, ia mencatat panjang panjang 4,855 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,495 mm dan jarak roda 2,950 mm. Ini menunjukkan ia adalah lebih besar berbanding Ioniq 5 dengan lebihan panjang 220 mm dan jarak roda 50 mm, sementara lebar dan tinggi pula berkurangan masing-masing 10 mm dan 110 mm.

    Menggunakan bateri 77.4 kWh, Ioniq 6 disediakan dengan pilihan tetapan satu motor elektrik yang memacu roda belakang, atau dua motor elektrik yang memberikan pacuan semua roda. Kuasa paling tinggi dihasilkan oleh versi AWD, dengan jumlah 239 kW (320 PS) dan 605 Nm tork, membenarkannya untuk memecut 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat. Menurut Hyundai, dalam kitaran WLTP, Ioniq 6 boleh mencatat jarak gerak sehingga 610 km.

    Hyundai Ioniq 6 – jarak gerak 610 km, kuasa sehingga 320 PS dengan AWD, “bunyi seperti kapal angkasa”

    Sama seperti Ioniq 5, Ioniq 6 juga dibina atas platform E-GMP untuk kenderaan elektrik, dan ini membenarkan ia untuk menggunakan kedua-dua pengecas 400 V dan 800 V. Apabila mengecas pada kadar 350 kW, bateri Ioniq 6 boleh naik dari 10% ke 80% dalam masa 18 minit.

    Di bahagian dalam, Ioniq 6 menggunakan papan pemuka mendatar, dengan panel instrumen digital 12 inci dan panel infotainmen sesentuh 12 inci di tengah, bersama sokongan Android Auto, Apple CarPlay serta Bluetooth yang boleh disambung dengan beberapa peranti dalam masa sama. Navigasi menggunakan sistem Bluelink manakala pembesar suara semuanya ada lapan, daripada Bose.

    Sistem infotainmen pada Ioniq 6 dapat menyediakan peta dengan jarak perjalanan waktu sebenar mengikut tahap bateri yang ada, manakala sistem sambungan dalamnya pula akan membantu membuat rancangan perjalanan terbaik dengan mengambil kira kedudukan stesen pengecas di sepanjang jalan.

    Hyundai Ioniq 6 – jarak gerak 610 km, kuasa sehingga 320 PS dengan AWD, “bunyi seperti kapal angkasa”

    Semua tempat duduk dalam Ioniq 6 adalah dibuat khas untuk model EV, dengan bentuk 30% lebih nipis berbanding tempat duduk kereta biasa bagi menjadikan ruang lebih luas, sementara unit Relaxation Comfort pula cuma disediakan sebagai pilihan tambahan. Di dalam kereta terdapat satu soket USB Type-A dan empat USB Type-C.

    Pemandu boleh memilih mod pemanduan dan membuat tetapan sendiri melalui sistem yang dipanggil sebagai EV Performance Tune-up, di mana kuasa stereng, kuasa motor elektrik, tahap sensitif pedal minyak serta mod penggerak boleh diubah. Kereta ini juga disediakan dengan e-ASD, yang boleh mengeluarkan bunyi “seperti kapal angkasa” di dalam kabin.

    Berkenaan sistem bantuan pemandu, Ioniq 6 mendapat SmartSense terkini oleh Hyundai, yang termasuk Highway Driving Assist 2, Smart Cruise Control dan Forward Collision Avoidance Assist. Bagi varian SEL dan Limited yang lebih tinggi, ia akan ditambah dengan Junction Crossing, Lane-Changing Oncoming dan Lane-Changing Side, serta Evasive Steering Assist.

    Hyundai Ioniq 6 – jarak gerak 610 km, kuasa sehingga 320 PS dengan AWD, “bunyi seperti kapal angkasa”

    Ciri semi autonomous lain yang disediakan adalah termasuk Intelligent Speed Limit Assist dan High Beam Assist, manakala ciri lain adalah seperti Blind Spot View Monitor, Blind Spot Collision Assist, Avoidance Assist, Forward/Side/Reverse Parking Collision-Avoidance Assist dan Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist.

    Menurut Hyundai, pengeluaran Ioniq 6 akan bermula pada suku ketiga tahun ini manakala pelancaran untuk pasaran pula akan diumumkan kemudian. Ia akan ditawarkan dalam 12 warna luar dan empat kombinasi warna dalaman.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025