Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PANDU UJI: Lexus LM350 – MPV mewah RM1.15 juta; benar-benar lebih mewah dari Alphard & Vellfire?

    PANDU UJI: Lexus LM350 – MPV mewah RM1.15 juta; benar-benar lebih mewah dari Alphard & Vellfire?

    Definisi ‘mewah’ mungkin berbeza antara setiap orang. Ada yang bila kita sebut ‘kereta mewah’, dia mungkin akan terbayang model-model supecar pantas seperti Ferrari dan Lamborghini. Ada juga sentiasa terbayang bahawa kereta mewah itu adalah sesuatu yang memberikan layanan di raja seperti apa yang ditawarkan oleh Rolls Royce atau Maybach.

    Namun untuk kita di Asia, ada satu lagi segmen yang boleh dikategorikan sebagai ‘kereta mewah’, iaitu MPV besar dan premium iaitu Toyota Alphard dan Vellfire. MPV ini menawarkan satu jenis ‘kemewahan’ yang tidak dapat ditawarkan oleh kereta mewah tipikal, iaitu ruang.

    Ya, ruang yang ditawarkan pada kabin belakang MPV ini membolehkan anda terasa ia seperti ruang tamu atau bilik tidur bergerak yang boleh membawa anda ke mana sahaja. Walau bagaimanapun, perincian ‘mewah’ pada Alphard dan Vellfire tersebut masih lagi belum mencapai tahap yang benar-benar mewah sekurang-kurangnya pada tingkat yang sama dengan Mercedes-Benz.

    Solusinya? Ini dia Lexus LM350, sebuah MPV dengan kerangka yang sama dengan Alphard dan Vellfire, tetapi diberikan ciri-ciri kemewahan sebuah Lexus. Model ini tiba di Malaysia pada April tahun lalu, dengan harga atas jalan tanpa insuran RM1,148,000 ketika dilancarkan, atau sekitar sekali ganda lebih mahal dari varian tertinggi Alphard yang dijual secara rasmi oleh UMW Toyota!

    Jadi apa yang membuatkan Lexus LM350 ini jauh lebih mahal dari Alphard dan Vellfire? Adakah semata-mata logo Lexus? Kalau nak tahu, ikuti pengalaman penulis ketika memandu uji MPV mewah yang penulis sendiri mati hidup semula pun mungkin tak mampu lagi nak beli ini.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • JPJ eBid: Plat nombor AMM bakal dibuka bidaan

    JPJ eBid: Plat nombor AMM bakal dibuka bidaan

    JPJ telah mengumumkan AMM bakal menjadi siri plat nombor pendaftaran kenderaan yang seterusnya untuk dibida menerusi platform bidaan dalam talian, JPJ eBid.

    Merupakan siri nombor dari Perak, AMM bakal dibuka bidaan mula 19 Jun ini. Tempoh bidaan adalah selama lima hari, dan bakal berakhir pada jam 10 malam, 23 Jun ini. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 24 Jun 2022.

    Keseluruhan proses kini dilakukan secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Kalau anda berminat untuk melakukan bidaan sendiri, anda bolehlah rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini. Dah jimat kos, tak perlu gunakan perkhidmatan pihak ketiga termasuk runner.

     
     
  • Touch ‘n Go eWallet mengalami gangguan termasuk RFID, PayDirect – guna kad TNG buat sementara

    Touch ‘n Go eWallet mengalami gangguan termasuk RFID, PayDirect – guna kad TNG buat sementara

    Sejak jam 2 petang tadi sistem Touch ‘n Go eWallet mengalami gangguan perkhidmatan dan ia turut membabitkan RFID dan PayDirect untuk pembayaran tol. Menerusi pengumuman yang dilakukan di saluran media sosialnya, Touch ‘n Go (TNG) turut memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi oleh para penggunanya.

    Sehingga kini, pihak TNG masih berhempas pulas untuk menyelesaikan isu ini dan berkata akan mengemaskini butiran lanjut mengenai perkhidmatan ini apabila ia dapat diatasi.

    Ini bermakna, anda perlu menggunakan kad fizikal TNG sehingga isu ini dapat diselesaikan. Tapi tolong pastikan nilai baki kad prabayar TNG anda mencukup sebelum memasuki plaza tol. Kami akan mengemaskini artikel ini apabila ada perubahan situasi kelak. Harap teruskan bersabar.

    Kemaskini 11 malam 17 Jun 2022 : Pihak TNG telah memaklumkan perkhidmatan Touch ‘n Go eWallet telah kembali beroperasi seperti sedia kala, termasuk melibatkan perkhidmatan Rfid dan PayDirect di plaza tol. 

    Touch ‘n Go eWallet mengalami gangguan termasuk RFID, PayDirect – guna kad TNG buat sementara

     
     
  • 58% pemandu di Malaysia rasa selamat di jalan raya

    58% pemandu di Malaysia rasa selamat di jalan raya

    Satu kajian menunjukkan kurang daripada 60% pemandu di Malaysia rasa selamat apabila berada di jalan raya. Menurut kajian yang dijalankan oleh Pusat Kajian Universiti UCSI dan melibatkan 937 responden, sebanyak 58% responden berasa selamat di jalan raya dengan 42% lagi berpendapat sebaliknya.

    Dari jumlah responden yang merasa selamat, 61.1% berkata mereka yakin pengguna jalan raya secara umumnya mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas. Laporan ini disiarkan menerusi laman web Malaysia Now, dengan mengatakan 51.7% responden yakin dengan kemahiran dan ilmu pemanduan sementara 47.3% berkata mereka sihat dari segi fizikal untuk memandu.

    Manakala 43.1% lagi yakin pengguna lain “merupakan pemandu yang baik”, dan 42.6% mengatakan secara umumnya pengguna lain “beretika” di jalan raya. Daripada 42% responden yang tidak merasa selamat di jalan raya, 67.4% daripada mereka kurang yakin pengguna lain mematuhi undang-undang trafik, sementara 49.5% berkata mereka kurang yang pengguna lain memandu dengan baik.

    58% pemandu di Malaysia rasa selamat di jalan raya

    Sementara 47.9% responden pula mengatakan terlalu banyak jenis kenderaan di atas jalan raya, manakala 45.4% kurang yakin peraturan dapat mengawal tingkah laku pemandu. Manakala sebanyak 44.9% daripada responden pula berpendapat jalan raya dalam negara tidak berada dalam keadaan yang baik.

    Selain itu, 57% responden pula bersetuju negara memiliki kemajuan dalam mengawal kadar kemalangan, dan 70.9% pula berkata Malaysia memiliki sistem yang berkesan dalam memastikan hanya pemandu yang matang dan memiliki ilmu serta kemahiran dibenarkan memandu di jalan raya.

    57.7% lagi berkata negara mempunyai undang-undang trafik yang kukuh dalam mengawal keselamatan kenderaan sebelum dibenarkan berada di jalan raya, manakala 47.3% lagi berkata penguatkuasa bertindak sewajarnya terhadap pesalah trafik, sementara 46.6% berkata papan tanda mencukupi dan tepat bagi mengelakkan kekeliruan sewaktu pemanduan. Dan 49.4% responden pula berpandangan kebanyakan jalan raya dalam negara berada dalam keadaan yang teruk.

     
     
  • VIDEO: Honda Civic Type R 2023 hampir didedahkan; bakal pecah lagi rekod FWD terpantas di Nürburgring?

    VIDEO: Honda Civic Type R 2023 hampir didedahkan; bakal pecah lagi rekod FWD terpantas di Nürburgring?

    Mei lalu, Honda telah mengesahkan bahawa model generasi baharu Honda Civic Type R bakal didedahkan sepenuhnya pada bulan ini. Dan ini mungkin antara teaser terakhir sebelum ia membuat kemunculan sulung – Honda telah menyiarkan video pendek menunjukkan Civic Type R 2023 tersebut diuji dengan tajuk “penantian hampir tamat,” dan turut diberitahu ia akan “tiba pada musim panas ini”.

    Apa yang menarik, ujian terakhir tersebut dibuat pada bulan lalu di litar “The Green Hell” Nürburgring, Jerman. Adakah ini petanda bahawa Civic Type R bersedia untuk merebut semula takhta gelaran kereta produksi pacuan hadapan paling pantas di litar tersebut yang telah dirampas oleh Renault Megane RS Trophy-R tiga tahun lalu?

    April lalu, Honda mengumumkan bahawa prototaip Civic Type R 2023 ini telah pun memecahkan rekod model paling hardcore untuk Civic Type R generasi FK8 sedia ada iaitu versi Limited Edition di Litar Suzuka, Jepun. Model generasi baharu tersebut mencatatkan masa lap terpantas 2 minit 23.120 saat, atau hampir satu saat lebih pantas berbanding FK8 edisi khas yang lebih ringan dari model standard dan talaan lebih fokus untuk litar tersebut.

    Untuk pengetahuan anda, rekod 2 minit 23.993 saat yang dicatatkan oleh Civic Type R FK8 Limited Edition pada tahun 2020 tersebut sebenarnya telah pun berjaya meleburkan rekod 2 minit 25.454 saat yang dicatatkan oleh Renault Megane RS Trophy-R pada 2019 di Litar Suzuka. Jadi secara teori, Civic Type R 2023 ini adalah lebih dua saat lebih pantas berbanding Renault Megane RS Trophy-R di Suzuka, dan mungkin tidak ada masalah untuk meleburkan rekod Renault berkenaan di Nürburgring.

    Model ini diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam versi hatchback. Honda telah pun mendedahkan versi prototaip Civic Type R 2023 ini tahun lalu serta membuat penampilan di Tokyo Auto Salon awal tahun ini, tetapi dengan keadaan masih dibalut dengan pelekat penyamaran.

    Walaupun rupa sebenarnya diselindung disebalik pelekat tersebut, masih boleh dilihat ia diberikan fender yang lebih gemuk bagi menjadikan ia lebih lebar, serta bampar hadapan yang lebih agresif menampilkan liang pengambilan udara lebih besar dengan gril atas dan bawah diberikan elemen sarang lebah. Juga terdapat liang aliran udara di belakang ruang roda hadapan, manakala bampar belakang pula diberikan diffuser yang agak agresif serta masih menempatkan tiga tip ekzos pada bahagian tengah.

    Spoiler belakang Civic Type R generasi baharu ini masih lagi bersaiz besar, tetapi ia kini direka ala GT-Wing, dengan kakinya dilekat pada kedua-dua tiang sisi cermin belakang. Seperti model FK8, model gantiannya ini turut disertakan dengan rim lebih besar bersama tayar Michelin Pilot Sport, serta set brek Brembo yang jelas kelihatan disebaliknya.

    Honda masih belum memberikan sebarang pembayang berkenaan spesifkasi teknikal Civic Type R 2023 ini. Namun ia berkemungkinan masih menggunakan unit rangkaian kuasa sama seperti Type R FK8 tetapi diberikan beberapa tingkat taraf. Pada model sedia ada, Honda Civic Type R dijana oleh enjin K20C1 2.0L turbo empat silinder berkuasa 320 PS (306 hp) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan bersama unit LSD untuk memacu roda hadapan.

    Boleh diagak model generasi baharu ini masih tetap akan ditawarkan dengan kotak gear manual, malah video catatan rekod tempoh hari turut menunjukkan pemandunya sentiasa sibuk untuk menukar gear sendiri.


    GALERI: Honda Civic Type R 2023 Prototype

     
     
  • myTukar Retail Experience Centre di Plentong, Johor Bahru rasmi dibuka – pesta jualan sehingga Ahad ini

    myTukar Retail Experience Centre di Plentong, Johor Bahru rasmi dibuka – pesta jualan sehingga Ahad ini

    Platform kenderaan terpakai dalam talian, myTukar telah merasmikan pusat khidmat dan pameran (dipanggil sebagai Retail Experience Centre) terbaru mereka di Plentong, Johor Bahru. Ia adalah outlet kedua mereka di negeri itu, selepas di Skudai, dan melibatkan fasiliti berkeluasan 184,618 kaki persegi yang mempunyai pusat pemeriksaan serta servis selepas jualan.

    Bagi menyambut pembukaan fasiliti terbaru ini, myTukar telah mengadakan satu pesta automotif di situ, bermula hari ini, 17 Jun, hingga Ahad, 19 Jun. Lebih 1,000 buah kenderaan terjamin myTukar dibawa ke acara ini, termasuk dari jenama nasional, Jepun, Eropah dan pelbagai jenama mewah lain.

    Pembeli di acara ini akan dapat menikmati pelbagai tawaran eksklusif, termasuk kadar faedah pinjaman serendah 1.88%, baucar bernilai sehingga RM1,000 dan cabutan bertuah bernilai sehingga RM12,000. Sebagai tambahan, anda juga berpeluang untuk menang satu daripada 10 pasang tiket perjalanan yang ditanggung sepenuhnya untuk menonton Liverpool menentang Manchester United di Bangkok.

    “Outlet kami di Plentong dibina untuk menepati permintaan unik warga Johor. Selain daripada itu, bagi sebuah negeri yang mempunyai ramai peminat bola sepak, kami membuka peluang kepada pelanggan untuk memenangi pengalaman eksklusif untuk menonton perlawanan antara Manchester United dan Liverpool di Bangkok,” kata CEO myTukar, Derrick Eng.

    “Meskipun masih fokus kepada pembangunan di dalam talian, kami rasa penting untuk kami menyediakan pelanggan satu ekosistem jual beli kenderaan dengan serba adil. Outlet runcit kami disasarkan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan, di mana pakar produk kami dapat menerangkan kepada mereka secara terperinci laporan pemeriksaan dan membantu mereka memahami kereta yang mahu mereka beli,” tambah beliau.

    Sejak kemunculan pada tahun 2018, myTukar telah berkembang menjadi satu pasaran dalam talian yang menawarkan pelbagai servus untuk semua aspek pemilikan kenderaan. Platform digital jenama itu membenarkan pengguna membeli dan menjual kenderaan dengan mudah, malah juga boleh dilakukan dari rumah. Jenama ini juga menyediakan pelbagai lagi khidmat selepas jualan lain, seperti insurans dan juga servis.

    Pada masa hadapan myTukar bersedia untuk mengembangkan lagi kewujudan fizikal mereka dengan pembukaan lebih banyak pusat pameran di seluruh negara. Enam outlet kini dalam perancangan, termasuk di Pulau Pinang, Melaka dan Seremban.

     
     
  • Modenas akan sertai pasaran elektrik menjelang 2025

    Modenas akan sertai pasaran elektrik menjelang 2025

    Kebanyakan pengeluar motosikal sekarang sudah mula meneroka produk yang dipacu oleh elektrik, dan Modenas juga tidak mahu ketinggalan. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh CEO Modenas, Roslan Roskan dalam satu sesi bersama media di Gurun, Kedah.

    “Kerajaan Malaysia telah menetapkan sasaran menjelang tahun 2030, sekurang-kurangnya 15% kenderaan di atas jalan adalah yang menggunakan elektrik. Jika kami tidak menyertai pasaran EV ini sebelum itu, sekurang-kurangnya menjelang tahun 2025, kami akan ketinggalan. Walaubagaimanapun, kami akan berhati-berhati dan melihat kepada pelbagai perkara seperti infrastruktur dan pelbagai lagi,” kata Roslan.

    Beliau turut menyatakan bahawa infrastruktur pengecas EV di Malaysia masih lagi lemah dan ketinggalan, selain pengguna Malaysia yang dikatakan masih kurang motivasi untuk beralih kepada kenderaan EV memandangkan kita mempunyai harga bahan api yang paling rendah di ASEAN.

    Modenas akan sertai pasaran elektrik menjelang 2025

    Sebelum ini Modenas mempunyai motosikal berbentuk kapcai, tetapi dipacu oleh elektrik yang dipanggil sebagai CTric. Ia adalah yang pertama diluluskan oleh JPJ untuk kegunaan atas jalan biasa, namun penerimaannya kurang baik akibat daripada masa mengecas yang lama dan jarak gerak pendek.

    Namun sekarang dengan adanya pelbagai teknologi yang telah terbukti, berserta Kawasaki yang juga sudah mula membangunkan jentera elektrik mereka sendiri, Modenas mungkin boleh menghasilkan suatu produk yang berjaya dalam pasaran.

     
     
  • Isuzu D-Max X-Terrain 2022 — varian 3.0L dikemaskini, warna baru, AVM, pengecas tanpa wayar; RM147k

    Isuzu D-Max X-Terrain 2022 — varian 3.0L dikemaskini, warna baru, AVM, pengecas tanpa wayar; RM147k

    Varian flagship Isuzu D-Max 3.0 X-Terrain dari model generasi ketiganya kini diberikan kemaskini untuk tahun 2022 untuk pasaran tempatan. Kemaskini yang diberikan tidak terlalu banyak, tetapi menambahkan lagi senarai kelengkapan yang ada padanya.

    Apa yang baru? Pertama, dua pilihan warna untuk varian ini — Silky Pearl White dan Onyx Black. Dua warna ini menyertai Valencia Orange yang menjadi warna khusus untuk X-Terrain sebelum ini, dan Sapphire Blue telah digugurkan, menjadikan pilihan warna yang ditawarkan ketika ini hanya ada tiga.

    Turut melengkapinya adalah kamera peninjau sekeliling 360-darjah melalui kamera baru yang terletak di cermin sisi dan gril trak. Ciri ini tidak hanya memberikan pandangan dari atas ketika memasuki gear undur, tetapi juga ada paparan panduan 3D pada skrin 9.0-inci di tengah. Ciri ini amat berguna, mengambil kira saiznya.

    Isuzu D-Max X-Terrain 2022 — varian 3.0L dikemaskini, warna baru, AVM, pengecas tanpa wayar; RM147k

    Satu lagi ciri baru ialah pengecas tanpa wayar yang terletak di depan tombol gear. Tidak lupa “welcome light” yang menjadi permintaan ramai pelanggan sebelum ini dan disertakan dalam kemaskini terbaru berkenaan. Lampu ini akan menerangi bahagian kaki di bawah trak ketika kunci pintu dibuka, memudahkan pengguna untuk melihat di sekitarnya. Yang terakhir ialah scuff plate dengan pencahayaan; ada sekali logo X-Terrain dan lampunya dalam warna putih.

    “Populariti D-Max terutamanya X-Terrain kekal menggalakkan, dengan ramai pembeli pertama memilih untuk memilikinya. Aspek keselamatannya, keselesaan, boleh ke mana saja serta kepelbagaian yang diberikan menyebabkan ada yang beralih daripada kereta biasa kepada trak ini. Saya percaya dengan kemaskini yang diberika ini, D-Max X-Terrain akan terus mempunyai daya penarik terhadap ramai orang yang sedang mempertimbang untuk beralih juga,” ujar Ketua Pegawai Operasi, Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.

    Dengan pertambahan kelengkapan ini, harganya juga sedikit naik, kini dijual RM146,938 atas jalan tidak termasuk insuran. Ketika dilancarkan pada April 2021, harga X-Terrain ialah RM141,938 — ini melibatkan kenaikan RM5,000. Jaminan yang diberikan adalah selama tujuh tahun tanpa had perbatuan, dan kini mula dibuka untuk tempahan dengan serahan dijangka bermula pertengahan Julai nanti.

    Isuzu D-Max X-Terrain 2022 — varian 3.0L dikemaskini, warna baru, AVM, pengecas tanpa wayar; RM147k

    X-Terrain menggunakan enjin 3.0 liter VGS turbodiesel dengan 190 PS dan 450 Nm tork dari 1,600 hingga 2,600 rpm. Enjin ini digandingkan bersama kotak gear automatik enam-kelajuan, dan sistem Terrain Command 4WD membolehkan mod pemanduan di pilih (2WD, 4WD-High, 4WD-Low) ketika memandu. Ada juga diff-lock belakang, pelindung bawah badan dan 800 mm kedalaman redahan air.

    D-Max varian tertinggi ini datang lengkap dengan ciri ADAS yang terdiri daripada Forward Collision Warning, Autonomous Emergency Braking (AEB), Turn Assist, AT Pedal Misapplication Mitigation, Adaptive Cruise Control dengan fungsi Stop/Go, Lane Departure Warning, Automatic High Beam, Blind Spot Monitor dan Rear Cross Traffic Alert. Selain itu, ada tujuh beg udara.

     
     
  • Tambang percuma sebulan Rapid KL – Pemegang pas perjalanan My50 boleh tebus percuma lepas kad luput

    Tambang percuma sebulan Rapid KL – Pemegang pas perjalanan My50 boleh tebus percuma lepas kad luput

    Untuk pengguna pengangkutan awam di sekitar Lembah Klang, anda kini berpeluang menikmati tambang percuma selama sebulan bermula semalam (16 Jun 2022) bagi semua rangkaian pengangkutan awam kendalian Rapid KL termasuk MRT, LRT, KL Monorel, Sunway BRT dan bas (termasuk bas perantara). Malah KTMB juga memberikan tambang percuma untuk perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang untuk tempoh yang sama.

    Tetapi bagaimana sekiranya anda merupakan pemegang pas perjalanan bulanan My50, mungkin anda baru membelinya kelmarin, tup-tup Perdana Menteri mengumumkan tambang pengangkutan di bawah Rapid KL percuma pula untuk sebulan ini. Terasa rugi?

    Jawapannya, anda tidak akan rugi. Menurut Rapid KL, anda masih boleh menikmati tambang percuma selama 30 hari, tetapi selepas pas My50 yang dibeli tamat tempoh. Jika anda membeli pas terbabit pada 16 Jun, anda boleh menebus tambang percuma selama sebulan selepas pas anda itu tamat tempoh.

    Klik untuk besarkan

    Di mana tambang percuma akan diaktifkan serta-merta bermula dari 23-25 Julai. Untuk mendapatkannya, anda perlu menunjukkan resit pembelian pas terbabit. Tetapi jika tiada resit (hilang atau sebagainya), jangan risau kerana Rapid KL boleh menyemak menerusi rekod pembelian.

    Dan bagi pas My50 yang sudah tamat tempoh antara hari ini hingga 15 Julai, tidak menjadi masalah. Anda boleh menebus tambang percuma selama sebulan selepas pas anda tamat tempoh. Ia akan dikredit ke dalam pas anda dan diaktifkan secara serta-merta.

    Walau bagaimana pun, anda diingatkan untuk sentuh kad masuk dan keluar station seperti biasa. Tiada penolakan kredit atau caj yang dikenakan, tetapi ia sekadar untuk pemantauan dan rekod sahaja.

     
     
  • Kerajaan rugi RM4.8 bilion akibat pengecualian SST, akan hilang lagi RM2.5 bilion jika ia disambung

    Kerajaan rugi RM4.8 bilion akibat pengecualian SST, akan hilang lagi RM2.5 bilion jika ia disambung

    Pengecualian cukai jualan dan servis (SST) untuk pembelian kereta baru diperkenalkan pada tahun 2020 bagi membantu merancakkan kembali ekonomi selepas pandemik. Ia ternyata membantu pembeli, tetapi memberi kesan kepada kerajaan dengan Bernama melaporkan, kerajaan kerugian pendapatan RM4.8 bilion akibat pelaksanaannya selama dua tahun.

    Menteri kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kementerian kini sedang menjalankan kajian berkenaan impak rebat SST ini dan mengambil kira pilihan yang ada. Sebelum ini, tempoh pengecualian SST telah dilanjutkan sebanyak tiga kali dan ia sepatutnya berakhir hujung bulan Jun ini.

    “Jumlah RM4.8 bilion yang dilepaskan ini adalah besar, dan ia boleh disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Kami perlu membuat kajian terperinci berkenaannya. Jika kita ambil keputusan untuk menyambungnya selama tiga bulan lagi, kita akan kerugian sekurang-kurangnya RM1.2 bilion, dan jika ia disambung selama enam bulan, kita akan rugi sekitar RM2.5 bilion,” kata Zafrul kepada media di Labuan semalam.

    Kerajaan rugi RM4.8 bilion akibat pengecualian SST, akan hilang lagi RM2.5 bilion jika ia disambung

    Semasa pelaksanaan pertamanya, pengecualian SST iaitu 100% bagi kenderaan CKD dan 50% untuk kenderaan CBU ini sepatutnya berakhir 31 Disember 2020, tetapi telah disambung ke 30 Jun 2021. Tempoh tamatnya kemudian dipanjangkan lagi enam bulan kepada Mei 2021, dan selepas itu, tarikh baru 30 Jun 2022 ditetapkan sewaktu pembentangan Bajet 2022 Oktober lalu.

    Kementerian kewangan juga sekarang mendapat tekanan daripada syarikat kereta yang mahu pengecualian cukai ini disambung sekali lagi memandangkan jumlah tempahan yang tidak dapat dipenuhi semakin meningkat. Industri automotif sekarang sedang berhadapan dengan masalah pengeluaran kereta untuk memenuhi permintaan, akibat daripada kekurangan bekalan semikonduktor dan juga alat ganti.

     
     
  • UMW Toyota dijangka rombak jualan, selepas jualan; produk eksklusif untuk sesi pandu uji 18-19 Jun ini

    UMW Toyota dijangka rombak jualan, selepas jualan; produk eksklusif untuk sesi pandu uji 18-19 Jun ini

    Semalam UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengeluarkan kenyataan media yang ringkas dengan menyatakan cara untuk syarikat ini mahu “menjangkaui jangkaan secara konsisten tentang pemilikan kenderaan dengan mengaturkan tawaran jualan dan selepas jualan yang lebih komprehensif”.

    Walau pun tidak menghuraikan lebih terperinci mengenai kenyataan terbabit, namun kami menjangkakan syarikat ini bakal melakukan rombakan terhadap perkhidmatan jualan dan selepas jualannya. Malahan UMWT turut mengajak para pelanggannya berkunjung mana-mana bilik pameran terdekat pada hujung minggu ini, 18-19 Jun, untuk menyertai sesi pandu uji. Bukan itu sahaja, sesi ini turut membuka peluang kepada pelanggan yang menyertai pandu uji tersebut untuk memenangi barangan eksklusif dari UMWT.

    Sebelum ini, UMWT telah menambah beberapa portfolio perkhidmatan jualan dan selepas jualannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk pembiayaan EZ Beli dan Pelan Flexi, pajakan Toyota Drive Islamic dan langganan kenderaan Kinto One. Untuk bahagian selepas jualan pula, syarikat itu telah memperkenalkan program ganjaran Loyal-T pada September 2021.

     
     
  • Kekerapan tren LRT dipertingkatkan dari 8 minit ke 5 minit mulai Ogos ini, giat baikpulih gerabak yang rosak

    Kekerapan tren LRT dipertingkatkan dari 8 minit ke 5 minit mulai Ogos ini, giat baikpulih gerabak yang rosak

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengesahkan kekerapan tren bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dijangka dapat dipertingkat pada Ogos ini.

    Jelas beliau, kekerapan antara tren akan dikurangkan daripada lapan minit kepada sekurang-kurangnya lima minit selepas lebih banyak gerabak rosak diperbaiki, laporan Bernama

    “Kita dah kenal pasti apa sebabnya, sekarang perlu dibuat pembaikan. Jadi Ogos ini interim progress kita kekerapan pada lima minit dan November barulah kita dapat membaiki sepenuhnya (masalah tren),” katanya.

    Beliau menambah, pihaknya menetapkan sasaran pada Ogos dan November kerana perlu melakukan banyak penyelenggaraan pencegahan atas faktor keselamatan.

    “Kalau kita masih gunakan (tren bermasalah) dan ada risiko, kita tidak mahu sebarang insiden yang tidak diingini (berlaku),” katanya sambil memohon maaf kepada pengguna LRT yang terjejas namun menegaskan bahawa sebarang kelewatan tidak dapat dielakkan demi keselamatan.

    Pada 22 Mei lepas, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengenal pasti punca utama kebocoran bendalir hidraulik dan kerosakan angkup brek LRT laluan Kelana Jaya yang tergendala.

     
     
  • Sony Honda Mobility ditubuhkan – syarikat usahasama baru bakal hasilkan kereta elektrik Sony pada 2025

    Sony Honda Mobility ditubuhkan – syarikat usahasama baru bakal hasilkan kereta elektrik Sony pada 2025

    Selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada Mac lalu, Honda dan Sony kini membawa kerjasama mereka ke tahap lebih tinggi dengan bersetuju untuk menubuhkan syarikat kerjasama yang digelar sebagai Sony Honda Mobility. Syarikat tersebut diwujudkan untuk mula membangunkan kenderaan-kenderaan elektrik (EV) dengan “nilai tambah yang sangat tinggi”, mungkin akan menggunakan jenama Sony, muncul pada 2025.

    Syarikat baharu itu akan diperbadankan secara rasmi tahun ini dan disasarkan untuk menggabungkan kekuatan setiap entiti. Honda akan menawarkan teknologi mesra alam, keselamatan dan pembuatan badan kenderaan, keupayaan pembangunan mobiliti dan pengalaman dalam menguruskan perkhidmatan selepas jualan.

    Manakala Sony pula akan menawarkan kepakarannya dalam pembangunan dan aplikasi pengimejan, penderiaan, telekomunikasi, rangkaian dan teknologi hiburan.

    Matlamatnya adalah untuk mewujudkan mobiliti generasi baharu dan perkhidmatan berkaitan yang “diselaraskan untuk hampir dengan pengguna dan persekitaran.” Kedua-dua syarikat juga merancang untuk mengembangkan penawaran berkenaan pada masa hadapan, membayangkan perkongsian dalam jangka masa panjang.

    Sony Honda Mobility ditubuhkan – syarikat usahasama baru bakal hasilkan kereta elektrik Sony pada 2025

    Walaupun masih tertakluk kepada kelulusan kawal selia, Sony Honda Mobility dirancang untuk beribu pejabat di Tokyo dan melibatkan pelaburan awal sebanyak 10 bilion yen (RM329.3 juta). Pegawai urusan senior Honda, Yasuhide Mizuno bakal dilantik menjadi pengerusi dan ketua pegawai eksekutif syarikat itu, manakala naib presiden eksekutif Sony Izumi Kawanishi akan menyandang jawatan sebagai presiden dan ketua pegawai operasi.

    “Berdasarkan visi kami untuk ‘menjadikan ruang mobiliti bremosi,’ inisiatif Sony dalam perniagaan mobiliti tertumpu pada tiga bidang keselamatan, hiburan dan kebolehsuaian,” kata pengerusi, presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sony Kenichiro Yoshida. “Sementara kami meneruskan pembelajaran kami dalam bidang ini, kami teruja untuk bertemu rakan kongsi, Honda, dengan pencapaian dan pengetahuan global yang meluas, dan untuk menandatangani perjanjian usaha sama antara kedua-dua syarikat.”

    “Kami sangat gembira kerana telah menandatangani perjanjian usaha sama dengan Sony, yang mempunyai kekuatan dalam teknologi digital termaju, dan berkongsi keinginan kami untuk menghadapi cabaran baharu. Sejak diumumkan pada bulan Mac, ramai orang telah menyatakan jangkaan mereka untuk usaha sama ini. Di syarikat baharu itu, kami akan berusaha untuk mencipta nilai baharu melalui gabungan yang dihasilkan oleh gabungan industri kami yang berbeza, jadi sila nantikan perkembangan masa hadapan,” kata presiden dan CEO Honda, Toshihiro Mibe.

    Usahasama ini merupakan kemajuan terbaharu dari Sony dengan dorongan yang tinggi untuk mula terlibat dalam industri automotif secara langsung. Sebelum ini, Sony pernah menghasilkan model konsep Vision-S yang disebut untuk menunjukkan kebolehan teknologi pengimejan dan hiburannya.

    Kereta konsep berkenaan penuh dengan teknologi signatur Sony. Ia dilengkapkan dengan kamera untuk mempertingkatkan penglihatan dan fungsi pemanduan autonomi, pelbagai paparan gergasi pada papan pemuka, perkhidmatan penstriman untuk kandungan TV dan filem Sony yang luas, pembesar suara di perehat kepala, audio bunyi sekeliling dan juga keupayaan penyambungan jauh konsol PlayStation untuk bermain permainan video.

    Walaupun Vision-S tersebut hanya untuk menunjukkan teknologi-teknologi yang disebutkan itu, sedan berkenaan dilihat seakan sudah bersedia untuk diproduksi. Malah Sony turut mendedahkan spesifikasinya, termasuk unit rangkaian kuasa yang terdiri dari dua motor elektrik dengan kuasa keseluruahan 536 hp serta pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat.

    Kereta tersebut kemudiannya menjalani ujian jalan raya sebenar, sekaligus mendedahkan tujuan sebenar ia dibangunkan – memperlihatkan betapa seriusnya Sony bagi memproduksi kereta elektrik pada masa hadapan. Sony kemudiannya berterus-terang pada Consumer Electronics Show (CES) tahun ini dengan mendedahkan satu lagi model konsep EV iaitu Vision-S 02 yang merupakan SUV tujuh-tempat duduk.

    Akhirnya, syarikat itu mengumumkan bahawa mereka memang benar-benar sedang mengkaji untuk masuk ke industri automotif dengan bekerjasama dengan Honda, dan kemudiannya mewujudkan syarikat kerjasama Sony Honda Mobility ini.

     
     
  • Kia Carnival CKD 2022 dibuka tempahan – 7- atau 8-tempat duduk, paparan instrumen 12.3″, RM235k-260k

    Kia Carnival CKD 2022 dibuka tempahan – 7- atau 8-tempat duduk, paparan instrumen 12.3″, RM235k-260k

    Perkhabaran yang dibocorkan menerusi Facebook oleh pengedar Kia, AZ Master Motor, yang berlokasi di Seri Kembangan, yang memaklumkan tempahan bagi Carnival pemasangan tempatan (CKD) telah pun mula dibuka tempahan. Nampak gayanya MPV CKD bakal dilancarkan tidak lama lagi, lima bulan selepas ia tiba di Malaysia dalam bentuk import sepenuhnya (CBU).

    Harga jangkaan yang diletakkan pada risalahnya menunjukkan versi CKD lebih mahal berbanding CBU. Ia menawarkan tiga varian, dengan harga jangkaan antara RM235,000 dan RM260,000. Berbanding versi import yang telah pun sedia berada di pasaran, ia berharga di bawah RM200,000 iaitu RM196,341.

    Alasan di sebalik kenaikan harga ini ialah Kia Malaysia telah menerima maklumbalas pelanggan dan menetapkan Carnival dengan ketetapan tujuh atau lapan tempat duduk, yang sepatutnya menyediakan lebih banyak ruang kaki dalaman dan susun atur tempat duduk yang kurang terjejas (ditambah dengan tali pinggang keledar tiga poin untuk semua penumpang). Pada asalnya MPV ini menawarkan 11-tempat duduk, membolehkan ia diklasifikasikan sebagai kenderaan komersial – memberikannya cukai yang lebih rendah akibatnya.

    Sekurang-kurangnya MPV ini harus dilengkapi dengan tahap kelengkapan yang lebih baik untuk mengimbangi harga yang lebih tinggi. Walaupun spesifikasi dan kelengkapannya masih belum didedahkan, namun pengedar tersebut telah mengesahkan bahawa model CKD akan ditawarkan dengan paparan instrumen digital 12.3-inci, yang tidak disediakan pada versi CBU.

    Malah diharapkan beberapa ciri bantuan pemandu seperti brek kecemasan sendiri juga bakal ditawarkan, kerana ciri tersebut juga tiada pada model CBU.

    Bagi penjana kuasanya, Carnival ini dijangka mengekalkan enjin sedia ada iaitu 2.2 liter R turbodiesel, yang mampu memberikan output 202 PS dan tork 440 Nm dan dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Baca ulasan pandu uji Carnival 2022 versi CBU menerusi Pautan INI.

    GALERI: 2022 Kia Carnival CBU 2022 11-tempat duduk di Malaysia

     
     
  • GALERI: Kilang Modenas ikut SOP Jepun pasang Kawasaki, dapat mesin ujian khas pertama di ASEAN

    GALERI: Kilang Modenas ikut SOP Jepun pasang Kawasaki, dapat mesin ujian khas pertama di ASEAN

    Melalui berita yang kami siarkan sebelum ini, anda sudah tahu Modenas sudah memulakan operasi pemasangan motosikal Kawasaki di kilang mereka di Gurun, Kedah. Ia malah baru sahaja bermula, iaitu pada minggu lepas, dan sekarang mereka sedang melakukan pengeluaran dengan pemerhatian yang ketat untuk memastikan semua perkara berjalan lancar.

    Semasa lawatan ke kilang tersebut, kami tidak dibenarkan mengambil sebarang gambar atau video, dan ia hanya akan diberi oleh Modenas sendiri. Di sini kami letakkan galeri gambar tersebut, supaya anda juga boleh mendapat gambaran bagaimana keadaan di dalam kilang tersebut.

    Setakat ini 20 unit motosikal Kawasaki sudah siap dipasang, dan ia terdiri daripada Ninja 250 ABS dan Z250 ABS, iaitu dua model pertama yang akan dilancarkan oleh Kawasaki untuk pasaran Malaysia di bawah Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS).

    Seperti yang boleh anda lihat di dalam gambar, baris pemasangan (assembly line) untuk motosikal Kawasaki di kilang ini adalah pendek sahaja setakat ini, tetapi ia akan ditambah dengan tiga lagi baris untuk kerja utama dan satu khas untuk pemasangan enjin (pada masa sekarang enjin datang secara lengkap dari Thailand).

    Menurut CEO Modenas, Roslan Roskan, dalam keadaan sekarang, kilang ini boleh mengeluarkan 200 ke 300 buah motosikal Kawasaki dalam masa sebulan, dan untuk tempoh baki enam bulan tahun ini, mereka boleh menghasilkan sekitar 1,000 ke 1,200 buah motosikal.

    Apabila penambahan baris pemasangan lengkap tahun hadapan, jumlah pengeluaran ini boleh meningkat menjadi 3,500 hingga 5,000 unit setahun, dengan hanya satu syif bekerja, dan jika mempunyai permintaan tinggi, ia boleh ditambah lagi kerana masih terdapat banyak ruang kosong di kilang tersebut.

    GALERI: Kilang Modenas ikut SOP Jepun pasang Kawasaki, dapat mesin ujian khas pertama di ASEAN

    Semua prosedur operasi pemasangan motosikal Kawasaki di kilang ini adalah mengikut standard dan spesifikasi sama seperti kilang Kawasaki di Jepun, dan melalui pemerhatian kami, ia nampak tersusun, rapi dan mempunyai aturan yang jelas bagi membantu pekerja.

    Satu lagi yang menarik, Kawasaki juga telah membawa satu kelengkapan menguji motosikal khas ke kilang di Gurun ini, dan ia dikatakan sebagai yang pertama di dalam ASEAN. Di Jepun juga, menurut mereka, hanya Kawasaki sahaja yang mempunyai mesin ini. Ia bukan setakat boleh mengenal pasti prestasi enjin, tetapi juga putaran roda, operasi sistem ABS dan beberapa lagi fungsi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025