Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • P.Pinang sediakan 9 stesen pengecas percuma bagi e-motosikal – 50% pengurangan karbon menjelang 2030

    P.Pinang sediakan 9 stesen pengecas percuma bagi e-motosikal – 50% pengurangan karbon menjelang 2030

    Kerajaan Pulau Pinang dengan kerjasama Penang Green Council (PGC) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam proses menyediakan sembilan stesen pengecas motosikal elektrik (e-motosikal) percuma di sekitar kawasan pulau dengan tiga daripadanya sudah beroperasi pada bulan ini.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari, langkah itu bertujuan mempromosikan penggunaan motosikal elektrik selaras visi Pulau Pinang yang menyasarkan 50% pengurangan karbon menjelang 2030, laporan Harian Metro.

    “Tiga lokasi yang sudah mempunyai kemudahan ini ialah di Astaka Persiaran Gurney, Medan Renong Padang Kota Lama dan Astaka Batu Lanchang. Antara enam stesen yang bakal beroperasi tidak lama lagi ialah di Kompleks Bukit Gedung, Kompleks MBPP Lebuh Pantai, Kompleks Bukit Jambul dan Kompleks Sri Selera Bayan Baru,” katanya.

    Tambah beliau, kerajaan negeri turut mengalu-alukan pengeluar e-motosikal tempatan dan syarikat penghantaran barangan atau makanan untuk menjalin kerjasama dalam menyediakan lebih banyak stesen pengecasan percuma seumpama itu bagi menggalakkan orang ramai beralih kepada penggunaan kenderaan rendah karbon.

    P.Pinang sediakan 9 stesen pengecas percuma bagi e-motosikal – 50% pengurangan karbon menjelang 2030

    “Langkah ini turut dapat membantu meningkatkan kualiti kehidupan dan kebajikan kumpulan B40 yang bergiat aktif dalam sektor penghantaran di negeri ini,” katanya.

    Dalam masa yang sama, Eclimo Sdn Bhd yang merupakan perintis skuter elektrik pertama negara turut mengambil inisiatif memperkenalkan penggunaan skuter elektrik kepada 50 penghantar makanan di negeri ini sebagai projek perintis, selain mahu membantu golongan sasar menambah pendapatan.

    Menurut pengarahnya, Liew Chun Peng, pihaknya melihat kadar penggunaan motosikal di Pulau Pinang dianggar mencecah satu juta unit namun kurang satu peratus daripadanya merupakan pengguna motosikal elektrik.

    “Kami turut melihat kemudahan stesen pengecasan percuma seperti ini boleh memberi keyakinan kepada mereka untuk menggunakan kenderaan elektrik sekali gus meringankan kos bahan api yang terpaksa ditanggung pekerja perkhidmatan itu sebelum ini,” katanya

     
     
  • VIDEO: Wanita memandu sambil pangku bayi, biarkan seorang lagi anaknya keluarkan badan dari tingkap

    VIDEO: Wanita memandu sambil pangku bayi, biarkan seorang lagi anaknya keluarkan badan dari tingkap

    Beristighfar panjang penulis bila menonton video yang dikongsikan oleh pemilik TikTok milik Mamalinwaklanwood dan juga ehailing.fm di Facebook subuh tadi. Menerusi video yang dirakamkan itu, kelihatan seorang kanak-kanak lelaki selamba mengeluarkan separuh badannya keluar dari tingkap dalam keadaan kereta yang sedang bergerak di Lebuhraya Utara-Selatan.

    Aksi kanak-kanak terbabit yang leka ‘mengambil angin’ telah menarik perhatian si perakam video ini yang turut meluahkan rasa ‘seramnya’ melihat aksi berkenaan. Lebih memeranjatkan, sewaktu kenderaan si perakam berselisih dengan kenderaan berkenaan, kelihatan pemandunya merupakan seorang wanita yang turut memangku seorang lagi anak kecil.

    Mengikut komen yang dipaparkan menerusi TikTok berkenaan, pemiliknya berkata, Perodua Aruz yang dipandu oleh wanita terbabit kelihatan tidak dipandu dengan stabil, malah ada pemandu kenderaan lain telah memberikan isyarat lampu tinggi mungkin selepas menyedari aksi terbabit.

    VIDEO: Wanita memandu sambil pangku bayi, biarkan seorang lagi anaknya keluarkan badan dari tingkap

    Walau pun kelihatan kenderaan yang dipandu tidak bergerak laju, namun ia masih tetap berisiko. Bayangkan sekiranya tiba-tiba ada halangan lain dan kenderaan terpaksa dibrek mengejut, kebarangkalian ia boleh mendatangkan kecederaan fizikal terhadap kedua-dua kanak-kanak terbabit. Memang tiada siapa yang mahukan perkara buruk berlaku, tetapi harus beringat, “malang tidak berbau”.

    Bukan satu atau dua kes ibu bapa yang dipanggil ke balai polis untuk bagi keterangan atau didakwa di mahkamah atas kesalahan mengabaikan keselamatan anak-anak. Baru-baru ini, seorang bapa dihadapkan di mahkamah selepas video tular yang memaparkan tiga orang kanak-kanak yang menaiki Mercedes-Benz E-Class W211 mengeluarkan separuh badan mereka menerusi tingkap kereta yang sedang bergerak.

    Bapa kepada kanak-kanak berkenaan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tiga pertuduhan yang dilakukan dan pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Untuk video terbaharu yang tular ini pula, tindakan wanita terbabit membiarkan anaknya mengeluarkan separuh badan dari tingkap sewaktu kenderaan sedang bergerak dan dalam masa yang sama turut memangku seorang lagi anak kecilnya ketika memandu, adalah tindakan yang menyalahi undang-undang.

    Walau bagaimana pun, terpulang pada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi kes sebegini. Apa pun, kami ingin merayu kepada anda semua, janganlah sesekali melakukan perkara berisiko sebegini, tolong jangan abaikan keselamatan anak-anak anda. Sewajarnya letakkan anak-anak kecil di kerusi keselamatan kanak-kanak. Memang ia masih belum dikuatkuasakan sepenuhnya, namun kita perlu praktikkan perkara ini terlebih dahulu demi keselamatan mereka.

     
     
  • Lambretta G350 Special dan X300 diperkenal – bentuk klasik, enjin 300 dan 275 cc, kelengkapan moden

    Lambretta G350 Special dan X300 diperkenal – bentuk klasik, enjin 300 dan 275 cc, kelengkapan moden

    Bersempena dengan Milan Design Week 2022 yang sedang berlangsung sekarang, Lambretta telah mendedahkan dua model baru untuk pasaran iaitu G350 Special dan X300. Kedua-duanya masih mengekalkan bentuk asas sebuah Lambretta klasik, dengan badan besi yang panjang dan beberapa perincian lain, tetapi anda boleh melihat terdapat perbezaan di mana G350 Special mempunyai garis badan yang lebih licin, sementara X300 lebih tajam dan berpetak.

    Di antara dua model ini, G350 Special mempunyai enjin lebih besar, iaitu unit satu silinder empat strok suntikan bahan api 330 cc yang mampu menghasilkan kuasa 27 hp dan 27 Nm tork, sementara X300 pula dipacu oleh enjin satu silinder empat strok suntikan bahan api 275 cc berkuasa 25 hp dan 27 Nm tork. Kedua-duanya menggunakan transmisi CVT untuk menghantar kuasa ke roda belakang.

    Kedua-dua model ini mendapat kelengkapan moden seperti semua lampu jenis LED, brek cakera depan dan belakang dengan ABS, pengecas USB serta meter digital (TFT untuk G350 Special), tetapi X300 mendapat kelebihan satu lagi kelengkapan iaitu sistem tanpa kunci.

    Menggunakan panel badan besi, G350 Special dan X300 masing-masing mencatat berat 173 kg dan 165 kg, manakala tangki bahan api pula masing-masing 9.5 liter dan 7.0 liter. Jarak roda G350 Special adalah lebih panjang, iaitu 1,400 mm manakala X300 pula 1,370 mm.

    Suspensi hadapan dua skuter ini sedikit istimewa dengan menggunakan tetapan double arm link, sementara di belakang pula mempunyai dua penyerap hentak. Rim bersaiz 12 inci depan dan belakang, dibalut tayar masing-masing 120/70 dan 130/70.

    GALERI: Lambretta G350 Special 2022

    GALERI: Lambretta X300 2022

     
     
  • VIDEO: Kanak-kanak hampir dilanggar ketika main skuter elektrik, lintas jalan tanpa hirau kereta

    VIDEO: Kanak-kanak hampir dilanggar ketika main skuter elektrik, lintas jalan tanpa hirau kereta

    April lalu dengan jelas, Kementerian Pengangkutan (MoT) telah mengumumkan bahawa kenderaan mikrobiliti yang dikelaskan dalam tiga kategori iaitu Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan Personal Mobility Aids (PMA) adalah diharamkan serta merta penggunaannya di atas jalan raya, di mana skuter elektrik adalah sebahagian dari larangan ini.

    Walau bagaimanapun penjualan untuk kenderaan-kenderaan ini masih belum diharamkan kerana ia masih lagi boleh digunakan di rumah dan juga di kawasan-kawasan persendirian – asalkan bukan di atas jalan raya awam. Namun untuk mereka yang membeli kenderaan sebegini untuk kegunaan rekreasi bersama keluarga, anda seharusnya memantau penggunaan kenderaan tersebut terutamanya melibatkan kanak-kanak.

    Semalam seorang pengguna Facebook bernama Ayub Mohd Ali telah memuatnaik video yang dirakam oleh dashcam pada keretanya, memaparkan bagaimana dia hampir-hampir melanggar sebuah skuter elektrik yang ditunggang oleh seorang kanak-kanak perempuan bersama seorang lagi kanak-kanak lelaki yang dibonceng di belakangnya.

    Menurutnya video tersebut dirakam di Kg. Jengka Batu 13, Pahang, di mana kanak-kanak yang menungggang skuter elektrik berkenaan dilihat mahu melintas jalan tanpa berhenti dan melihat dahulu keadaan trafik, menyebabkan dia terpaksa mengelak secara tiba-tiba bagi mengelak berlakunya kemalangan.

    Malah sebenarnya terdapat satu lintasan pejalan kaki berhampiran kawasan tersebut yang tidak langsung digunakan oleh kanak-kanak berkenaan untuk melintas jalan.

    Sebelum ini Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong ada menyatakan bahawa penggunaan kenderaan mikromobiliti yang dilarang di atas jalan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1978 iaitu kompaun sebanyak RM300, dan agensi yang akan menguatkuasakan perintah larangan itu adalah Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis.

    Ini hukuman sekiranya anda ditangkap oleh pihak berkuasa berkaitan kerana menggunakan kenderaan-kenderaan sedemikian di atas jalan raya awam, bukan dalam situasi terjadi apa-apa yang tidak diingini. Bagaimana kalau berlaku kemalangan? Sudah macam-macam tragedi berlaku di atas jalan raya sebelum ini akibat pengabaian terhadap keselamatan kanak-kanak. Jadi kalau sayang anak masing-masing, anda fikir-fikirlah sendiri.

     
     
  • MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua dijangka beroperasi mulai Januari 2023, kini siap 98% – pengarah projek

    MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua dijangka beroperasi mulai Januari 2023, kini siap 98% – pengarah projek

    Pengarah Projek MRT Putrajaya Line, Datuk Amiruddin Ma’aris telah mengesahkan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya Fasa Dua dijangka boleh beroperasi mulai Januari 2023. Katanya, setakat ini, pembinaan Fasa Dua dari Kampung Batu ke Putrajaya Sentral sudah mencapai 98% siap.

    “Operasi Fasa Dua dijangka bermula Januari tahun depan sekali gus akan membolehkan tren melalui keseluruhan laluan dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral. Antara aktiviti sedang dijalankan termasuk kerja seni bina, jalan penghubung, landskap serta pengujian dan pentauliahan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Manakala Fasa Satu dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu yang dijangka dibuka kepada orang ramai bermula 3 petang pada 16 Jun 2022 (Khamis hadapan). Ia melibatkan laluan sepanjang 17.5 kilometer meliputi sembilan stesen baharu dan tiga stesen merupakan sebahagian daripada MRT Laluan Kajang.

    MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua dijangka beroperasi mulai Januari 2023, kini siap 98% – pengarah projek

    Sembilan stesen baharu yang akan dibuka adalah Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima dan Kampung Batu, manakala tiga stesen yang sebelum in merupakan sebahagian daripada MRT Laluan Kajang ialah Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sungai Buloh.

    Penumpang boleh bertukar antara tren MRT Laluan Putrajaya dan MRT Laluan Kajang di Kwasa Damansara dan laluan baharu itu juga dihubungkan dengan perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) Sungai Buloh, Sri Damansara Timur (dengan Stesen KTM Kepong Sentral) dan Kampung Batu.

    Di Stesen Kampung Batu, penumpang boleh meneruskan perjalanan ke pusat bandar Kuala Lumpur dengan pertukaran ke laluan KTM Komuter Batu Caves-Pulau Sebang atau menggunakan Bas Rapid KL No 173 untuk ke Lebuh Ampang atau perkhidmatan bas percuma Go KL Laluan Merah Manggis.

    Operasi tren secara automatik tanpa pemandu itu melibatkan 20 set tren dengan empat gerabak setiap set dan mempunyai kapasiti membawa seramai 1,200 penumpang.

     
     
  • ACO Tech lancar Atlas OS secara rasmi, bekerjasama dengan UOB, Fasspay dan FIVE untuk sistem sepadu

    ACO Tech lancar Atlas OS secara rasmi, bekerjasama dengan UOB, Fasspay dan FIVE untuk sistem sepadu

    Setelah mula diperkenalkan sejak suku keempat 2021, ACO Tech hari ini melancarkan secara rasmi Atlas OS, sebuah operasi sistem infotainmen dalam kenderaan bersepadu oleh syarikat tempatan. Sebelum ini, sistem sama telah pun melengkapi Proton Iriz dan Persona terbaru dalam pasaran ketika ini. 300 kemaskini dikatakan telah diberikan kepada OS ini di dalam versi terbarunya tahun ini — sebuah Proton X50 dengan ciri terbaru ini turut dipertontonkan ketika pelancarannya. Untuk itu, SUV berkenaan juga dijangka akan menerima Atlas OS terbaru berkenaan kelak.

    Sempena dengan pengenalan rasmi ini juga, ACO Tech mengumumkan usahasama strategik terbaru dengan beberapa pihak seperti UOB Malaysia, Fass Payment Solutions Sdn Bhd (Fasspay, penyedia perkhidmatan e-wallet) serta FIVE Petroleum Malaysia (FIVE) untuk memberikan pengalaman penggunaan generasi baru yang dikhususkan untuk keperluan industri automotif.

    ACO Tech lancar Atlas OS secara rasmi, bekerjasama dengan UOB, Fasspay dan FIVE untuk sistem sepadu

    Usahasama ini bertujuan untuk membawakan servis terhubung dalam kenderaan yang menyeluruh, memperluaskan lagi ekosistem sedia ada bagi setiap rakan niaga ke dalam satu platform. Antara perkhidmatan yang dimaksdukan adalah pelaksanaan sistem e-wallet untuk kenderaan serta sistem bayaran bersepadu automotif yang khusus untuk kegunaan dalam-kenderaan. Semua ciri yang melibatkan rakan penyedia perkhidmatan kewangan ini akan tersedia menjelang suku keempat 2022.

    Bersama FIVE, OS ini berhasrat untuk memperkukuhkan lagi pengalaman pengguna dengan menawarkan sokongan berkaitan automotif di seluruh negara menerusi rangkaian menyeluruh penyedia servis serta kemudahan isian minyak di stesen minyak FIVE yang ada.

    ACO Tech lancar Atlas OS secara rasmi, bekerjasama dengan UOB, Fasspay dan FIVE untuk sistem sepadu

    Dalam majlis sama juga ACO Tech turut menandatangi perjanjian persefahaman untuk memperluaskan lagi kerjasama dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd untuk membangunkan penyelesaian automotif berasaskan teknologi cloud untuk pasaran serantau. Lanjutan kerjasama ini bakal menyaksikan kedua-dua syarikat ini memberi perhatian kepada “big data” dan kepintaran buatan untuk merancakkan lagi gaya hidup mobiliti.

    Menurut ACO Tech, ketika ini ada lebih daripada 10,000 di atas jalan yang dilengkapi dengan Atlas dan Atlas Auto App, dan kini boleh dimanfaatkan oleh unit yang menggunakan Android 10.0 dan ke atas. Ia juga dijangka akan menyertakan Spotify dalam aplikasi sedia ada kelak.

     
     
  • OS Atlas Proton bakal terima aplikasi muzik Spotify?

    OS Atlas Proton bakal terima aplikasi muzik Spotify?

    September 2021 lalu, ACO Tech telah melancarkan Atlas (akronim untuk ACO Tech Local Automotive Services), iaitu satu sistem operasi (OS) infotainmen yang disediakan pada Proton Iriz dan Persona sejak Januari lalu, dan juga ditawarkan kepada pengeluar OEM lain yang berminat.

    Di kalangan pengguna sedia adanya sekarang, terutamanya yang gemarkan muzik, ada sesuatu yang boleh mereka raikan kerana tidak lama lagi, OS ini berkemungkinan akan dimasukkan dengan aplikasi muzik Spotify.

    “Tidak lama lagi kami akan menambah aplikasi streaming muzik paling popular di dunia (ke dalam sistem ini),” kata CEO ACO Tech, Li Pu.

    Walaupun tidak menyatakan nama aplikasi tersebut secara terus, kita boleh menjangkakan ia adalah Spotify kerana itulah aplikasi muzik paling popular sekarang. Menurut data yang dikeluarkan oleh Statista, sehingga suku pertama tahun 2022 ini, terdapat 422 juta pengguna aktif Spotify, sementara untuk yang membayar, Spotify mempunyai 182 juta pelanggan sehingga Q1 2022 ini.

    OS Atlas Proton bakal terima aplikasi muzik Spotify?

    ACO Tech turut memberitahu bahawa selain Iriz dan Persona yang sudah menggunakannya, Atlas juga akan ditawarkan pada X50, dan bayangannya sudah ditunjuk dalam satu video perayaan yang dikeluarkan pada bulan April lalu. Untuk versi 2022, syarikat itu juga memberitahu, Atlas menerima lebih daripada 300 peningkatan.

    Semasa dilancarkan tahun lepas, Atlas menggunakan asas Android 9 (Pie), dengan mempunyai widget boleh ubah untuk paparan cuaca, navigasi, pemain media dan pelbagai lagi. Waktu itu juga pengisian hiburan disediakan oleh servis streaming muzik atas talian Joox, serta platform Syok Astro untuk radio digital dan podcast. Aplikasi, isi dan pakej data untuk Atlas diterima melalui A-Store dalam sistemnya.

    Selain itu, Atlas juga akan menerima Atlas Pay, yang dikendalikan oleh Fasspay, dan membenarkan pengguna untuk membuat pembayaran serta transaksi secara selamat tanpa meninggalkan kenderaan mereka. Fungsi ini kemudiannya diperlengkap lagi dengan aplikasi Atlas Auto, yang membolehkan pengguna menggabungkan beberapa platform e-wallet, dan disediakan melalui Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery.

     
     
  • Proton jual 9,792 buah kenderaan pada Mei 2022 – naik 10.8% berbanding April, X50 jadi SUV paling laris

    Proton jual 9,792 buah kenderaan pada Mei 2022 – naik 10.8% berbanding April, X50 jadi SUV paling laris

    Proton telah mengumumkan jumlah jualan bagi bulan Mei 2022 meningkat 10.8% berbanding bulan April sebelumnya, menjadi 9,792 unit, dengan dikira termasuk domestik dan eksport. Jika dibandingkan dengan bulan sama tahun lepas, jumlah ini juga adalah 3.7% lebih tinggi.

    Syarikat itu juga memberitahu bahawa jumlah yang disebutkan cukup untuk ia terus berada di kedudukan kedua dalam jumlah jualan keseluruhan. Tambah Proton lagi, perkongsian pasaran syarikat kini dijangka berada pada 19.6%, sementara pegangan pasaran tahun ini (YTD) dijangka berada pada 17.1%

    Melihat secara lebih spesifik, Saga terus menjadi model paling popular jenama itu, dengan jumlah jualan 3,996 unit pada bulan Mei, meletakkannya di tangga kedua dalam pasaran sedan segmen A. Keadaan ini dijangka dapat diteruskan dengan hadirnya Saga MC2 facelift 2022 yang baru dilancarkan 12 Mei lalu.

    Penyumbang kedua terbesar adalah X50, dengan jumlah jualan bulan Mei sebanyak 2,779 unit, seterusnya meletakkan ia di tempat pertama dalam segmen SUV dan SUV segmen B. Persona menjadi model ketiga Proton yang paling popular, dengan jumlah jualan 1,385 unit. Sementara itu, 692 unit X70 telah berjaya dijual, manakala Iriz dan Exora pula mencatat jualan masing-masing 553 unit dan 387 unit.

    Proton jual 9,792 buah kenderaan pada Mei 2022 – naik 10.8% berbanding April, X50 jadi SUV paling laris

    Jumlah kenderaan yang dieksport juga telah meningkat, dengan sekali lagi Saga mencatat jumlah terbanyak. Bagi tahun ini, 1,482 unit Saga telah dieksport, dan ini bersamaan dengan peningkatan sebanyak 71% berbanding tempoh sama tahun lepas.

    Bagi bulan Mei, jumlah kenderaan yang dieksport adalah 513 unit, iaitu peningkatan 12.5% berbanding bulan sebelumnya, sementara jumlah keseluruhan model yang telah dieksport adalah sebanyak 2,086 unit – peningkatan 47% berbanding tempoh sama tahun lepas. Pasaran eksport paling besar adalah Pakistan, dengan catatan 1,350 unit, kemudiannya diikuti Mesir dan Brunei masing-masing 172 dan 158 unit.

    “Peningkatan jualan Proton pada bulan Mei adalah hasil daripada peningkatan jumlah pengeluaran syarikat untuk mengejar permintaan pasaran. Untuk bahagian lain industri automotif, kami sedang terus mencuba dan mendapatkan bekalan alat ganti yang mencukupi untuk melunaskan tempahan yang tertangguh, jadi sementara semua itu berlaku, kami mahu mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang terus menyokong kami dan bertahan dengan tempoh menunggu yang lama,” kata timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah.

     
     
  • Pegawai penyelidik didakwa di mahkamah sebabkan kematian penunggang basikal di Jalan Temiang-Pantai

    Pegawai penyelidik didakwa di mahkamah sebabkan kematian penunggang basikal di Jalan Temiang-Pantai

    Seorang pegawai penyelidik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian penunggang basikal pada 1 Jun lalu. Munirah Stapah @ Salleh, berusia 26, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Intan Syafinaz Roslin.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu secara melulu dan berbahaya di Jalan Temiang-Pantai, pada 8.25 pagi, 1 Jun 2022 sehingga menyebabkan kematian Khalid Mohd Isa, 72 tahun.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan. Pegawai pendakwa Asisten Superintendan M Shanmugavel memohon mahkamah untuk menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dan lesen tertuduh digantung sementara prosiding berjalan.

    Walau bagaimana pun, mahkamah membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam, diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin selain lesen memandunya digantung. Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Jun ini bagi membolehkan Munirah melantik peguam.

     
     
  • PANDU UJI: Honda Civic RS 2022 di M’sia – RM144k

    PANDU UJI: Honda Civic RS 2022 di M’sia – RM144k

    Apa ada dengan Honda Civic 2022 atau turut dikenali sebagai Civic FE? Sejak generasi ke-11, Civic FE, muncul di pasaran pada Januari lalu, nama pendahulu sedan segmen-C ini kembali panas dan disebut-sebut oleh pemerhati dunia automotif. Ramai yang berpersepsi, sebut saja Civic, pasti ia sinonim dengan kombinasi prestasi yang padu dengan imej yang menggiurkan. Namun, adakah Civic FE ini memang menepati citarasa penggemarnya dan kehadirannya boleh membantu merancakkan lagi jualan Honda Malaysia?

    Seminggu sebelum Aidilfitri lalu, Honda Malaysia memberi peluang pada media permotoran tempatan untuk memandu uji Civic 2022 ini. Biar pun sudah beberapa bulan ia dilancarkan iaitu Januari lalu, ditambah pula sesi pandu ují dilakukan pada bulan puasa, sekaligus mempengaruhi mood untuk mengujinya tidak seghairah mana. Lemau dan lesu melayan ‘penat berpuasa’. Tetapi Civic 2022 ini pantas menyingkirkan rasa lemau itu sebaik sahaja stereng dipegang.

    Perjalanan dari Saujana Subang menuju ke Pulau Pinang, sempat singgah sejenak di Ipoh dan Taiping, melalui jalan luar bandar dan lebuh raya memberikan pengalaman pengendalian yang berbeza-beza.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Proton X70 CBU dipanggil semula kerana masalah kipas radiator – komponen akan ditukar sepenuhnya

    Proton X70 CBU dipanggil semula kerana masalah kipas radiator – komponen akan ditukar sepenuhnya

    Kumpulan produksi awalan Proton X70, iaitu versi yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China kini dipanggil semula kerana masalah berkaitan dengan komponen kipas radiator, menurut buletin servis yang dihantar kepada jaringan pusat servis rasmi Proton yang telah pun dilihat oleh paultan.org.

    Panggilan semula tersebut dikategorikan sebagai “servis pembaikan”, melibatkan kumpulan X70 CBU yang menerima set kipas penyejuk yang dibekalkan oleh Valeo, dipasang pada unit-unit sebelum nombor casis L6T7742Z8KU043589.

    Aktiviti ini akan melibatkan penukaran sepenuhnya komponen pada unit-unit yang terjejas, dan pusat servis akan menerima makluman menerusi sistem “pop-up” yang akan menghantar pemberitahuan mulai 21 Mei untuk Semenanjung Malaysia, dan mulai 1 Jun untuk Sabah dan Sarawak.

    Unit-unit yang diproduksi selepas nombor casis berkenaan sebelum ini sudah pun menerima kipas penyejuk yang telah ditingkat taraf, dibekalkan oleh LangXin, menurut buletin servis tersebut. Ingin diingatkan sekali lagi, panggilan semula ini hanya melibatkan Proton X70 CBU dengan nombor casis sebelum nombor yang ditulis di atas.

    Model CBU X70 ini dilancarkan pada Disember 2018, kemudian digantikan dengan model-model pemasangan tempatan (CKD) yang dihasilkan di Tanjung Malim, diperkenalkan pada Februari 2020 yang menerima peningkatan termasuk kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan.

     
     
  • Honda City Hatchback 2022 Monsil Lubricant – dari bilik pameran terus ke litar lumba; 1.5L i-VTEC, CVT!

    Honda City Hatchback 2022 Monsil Lubricant – dari bilik pameran terus ke litar lumba; 1.5L i-VTEC, CVT!

    “Jika Honda tidak berlumba, maka tiadalah Honda”. Ini bukan kata-kata poyo “idola-idola permotoran”, ini adalah kata-kata dari pengasas Honda sendiri iaitu Soichiro Honda. Mana tidaknya, perlumbaan merupakan antara dorongan utama Soichiro untuk terus berada dalam industri automotif sejak memulakan kariernya sebagai seorang mekanik pada umur 15-tahun.

    Sebab itulah, apa sahaja yang keluar dari kilang Honda, ia seolah-olah dibekalkan sekali dengan “semangat perlumbaan”. Tengok sahajalah, bukan setakat motosikal kecil seperti Honda EX5 yang diubahsuai untuk menjadikan ia lebih laju, malah Honda juga kini memegang rekod dengan menghasilkan mesin rumput paling pantas di dunia menerusi Mean Mower Mk2.

    Nah, seperti yang anda boleh lihat, ini adalah Honda City Hatchback 2022 yang baru sahaja dilancarkan di pasaran tempatan hujung tahun lalu, dan ia kini sudahpun dijelmakan jentera perlumbaan sebenar oleh rakyat Malaysia, dihasilkan oleh pasukan Monsil Lubricant Malaysia Racing Team!

    Honda City Hatchback 2022 Monsil Lubricant – dari bilik pameran terus ke litar lumba; 1.5L i-VTEC, CVT!

    Menurut pasukan tersebut, City Hatchback dalam varian asas 1.5S ini memang dibeli untuk terus dijadikan kereta lumba – sebaik sahaja ia keluar dari bilik pameran, ia terus di bawa ke bengkel untuk diubahsuai. Proses transformasi dari kereta jalan raya kepada kereta lumba ini mengambil masa sekitar tiga bulan untuk disiapkan.

    Jentera ini dibangunkan dengan sasaran untuk menyertai pelbagai perlumbaan tempatan, terutamanya Malaysia Speed Festival untuk kategori Standard Production serta siri Malaysia Championship Series (MCS) dan perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM (S1K) dalam kategori SP2.

    Jadi bagi membolehkan City Hatchback ini bertanding dalam MSF Standard Production dan MCS/S1K SP2, kereta ini masih perlu menggunakan enjin dan kotak gear standard dari kilang Honda – ya, ia masih lagi mengharapkan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC berkuasa 121 PS dan tork maksima 145 Nm bersama kotak gear CVT yang sama dengan kereta jalan raya yang lain tanpa sebarang ubahsuai!

    Honda City Hatchback 2022 Monsil Lubricant – dari bilik pameran terus ke litar lumba; 1.5L i-VTEC, CVT!

    Menurut Monsil Lubricant Malaysia Racing Team, mereka juga tidak melakukan sebarang talaan semula tehadap pemetaan kotak komputer enjin kerana tidak mahu enjin tersebut terlalu stress dan boleh bertahan lama, terutamanya untuk perlumbaan S1K yang memerlukan ia mengelilingi litar Sepang dengan laju dalam jarak lebih 1,000 km. Namun ia masih diberikan set ekzos custom yang dihasilkan sepenuhnya oleh Schnitzer Exhaust, Seri Kembangan.

    Untuk MCS dan S1K juga memerlukan mereka memastikan segala peralatan perlumbaan dalam kereta ini adalah memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh badan permotoran dunia, FIA. Oleh itu, ia mendapat rollcage penuh yang dihasilkan oleh firma kejuruteraan tempatan, T-Craft Fabrication, manakala kelengkapan lain seperti tempat duduk perlumbaan Recaro, tali pinggang keselamatan Beltenick, roda stereng OMP dan sebagainya adalah asli, bukan tiruan dari Thailand.

    Kesemua karpet dan tempat duduk pada kabin City Hatchback ini juga telah dibuka, namun mengikut undang-undang perlumbaan Standard Production/SP2, papan pemuka asal, konsol gear dan juga panel-panel dalaman pintu perlu dikekalkan.

    Honda City Hatchback 2022 Monsil Lubricant – dari bilik pameran terus ke litar lumba; 1.5L i-VTEC, CVT!

    Pemain audio juga telah dicabut keluar dan bahagian yang kosong tersebut dipenuhkan semula dengan panel yang menempat meter-meter seperti suhu dan tekanan pelincir, suhu cecair penyejuk dan sebagainya, serta kill switch untuk memutuskan bekalan kuasa elektrik sekiranya berlaku kecemasan.

    Manakala untuk pengendalian, set penyerap hentak dan spring asal juga telah dicabut, dan ia kini menggunakan set suspensi boleh laras perlumbaan dari Traction Pro. Menurut Monsil Lubricant Malaysia Racing Team, set suspensi untuk City Hatchback ini sebenarnya masih boleh ditukar pakai dengan Honda Jazz GK5.

    Set suspensi tersebut direndahkan dengan jarak sekitar satu jari antara fender dengan tayar perlumbaan Hankook RS4 bersaiz 195/50R15 yang dipadankan bersama dengan set rim Rays Volks Racing CE28 berdiameter 15-inci. Camber hadapan pula dilaras pada sudut sekitar -4.8 hingga -5 darjah bagi mendapatkan cengakaman optimum dari tayar ketika mengambil selekoh.

    Untuk brek, set hadapan masih mengekalkan angkup asal dan menerima set cakera dan pad yang lebih boleh bertahan tanpa fade ketika berlumba dalam tempoh yang lama, manakala set brek dram belakang telah ditukar menggunakan set brek cakera yang diambil sekali lagi dari Jazz GK5.

    Bahagian luaran Honda City Hatchback ini juga masih kelihatan hampir standard, dengan beberapa perubahan kecil. Antaranya gril krom asal telah digantikan dengan gril kemasan hitam berkilat ala-City RS dan pemadanan spoiler bawah bampar hadapan yang juga berwarna hitam berkilat.

    Kemasan liang udara pada bampar hadapan masih kekal menggunakan komponen dari City 1.5S, malah warna badan Platinum White yang disembur oleh kilang Honda Malaysia Pegoh juga masih lagi kekal, cuma diberikan grafik perlumbaan yang disediakan oleh BA Stickers Design Studio Johor Bahru.

    Kereta ini keluar berlumba buat kali pertama menerusi MSF SuperTurismo pusingan kedua untuk musim 2022 yang berlangsung pada hujung minggu lalu. Kerana sedikit kesilapan yang dibuat ketika pit stop, pasukan Monsil Lubricant Malaysia menghabiskan perlumbaan tersebut di kedudukan keenam – keputusan yang agak baik untuk sebuah kereta lumba yang baru sahaja ‘keluar dari kotak’.

    Malah Honda City Hatchback dengan enjin standard dan kotak gear CVT tersebut berjaya mencatatkan masa lap terpantas 2 minit 55.936 saat di litar Sepang ketika perlumbaan itu – pasukan berkenaan turut yakin mampu menghasilkan masa satu saat lebih pantas dalam perlumbaan akan datang.

    Penulis turut sempat bertanya kepada Monsil Lubricant Malaysia Racing Team, kenapa tak guna sahaja jentera-jentera yang telah terbukti tahan dan pantas untuk kategori Super Production dan SP2 ini seperti Suzuki Swift dan Honda Jazz GK5?

    Honda City Hatchback 2022 Monsil Lubricant – dari bilik pameran terus ke litar lumba; 1.5L i-VTEC, CVT!

    Jawapan yang diberi adalah: “Kami tak mahu jadi follower, City Hatchback ini masih baru dalam pasaran, jadi ini peluang kami untuk menjadi yang pertama. Lagi pun kereta ini memang akan menjadi perhatian ketika ia berlumba.”

    Nak tengok macam mana jentera ini beraksi? Pastikan anda hadir ke litar Sepang untuk pusingan ketiga MSF SuperTurismo 2022 kerana Monsil Lubricant Malaysia Racing Team telah mengesahkan bahawa mereka akan berlumba dalam pusingan seterusnya!

    GALERI: Gambar rasmi dari Monsil Lubricant Malaysia Racing Team ketika pembangunan jentera lumba City Hatchback

     
     
  • Honda Hornet serba baru – lukisan konsep didedah

    Honda Hornet serba baru – lukisan konsep didedah

    Honda Hornet, satu model yang sudah dikenali sejak tahun 1998 dan ditawarkan kepada pasaran hingga 2013 nampaknya bakal kembali apabila pengeluar Jepun itu mendedahkan lukisan awal untuk model konsep Hornet generasi baru.

    Lukisan ini dihasilkan dengan kerjasama antara pusat R&D Honda di Itali dan Jepun, sementara perekanya adalah Giovanni Dovis yang berusia 28 tahun. Beliau juga adalah orang yang bertanggungjawab menghasilkan garis-garis badan pada ADV350 baru.

    Banyak garis-garis tajam pada Hornet Concept ini, namun bentuk lampu serta tangkinya seakan mengingatkan kita kepada model Duke daripada KTM. Bahagian belakang juga tajam seperti motosikal sports, manakala pemegang pula berada pada kedudukan sederhana.

    “Lukisan ini menunjukkan bagaimana konsep rekaan Hornet menjanjikan kelincahan, dinamik dan serba ringan melalui bentuk yang kurus, bahagian ekor runcing dan garis-garis yang sangat tajam. Ia menghasilkan satu rupa kompak berkadaran, serta mempunyai tanda ketegangan dan sifat agresif dari depan sampai ke belakang, menggariskan tujuan sport sebenar Hornet,” kata Dovis.

     
     
  • Pemandu Grab tutup aplikasi ketika tempoh trafik tinggi, punca perkhidmatan e-hailing berkurangan

    Pemandu Grab tutup aplikasi ketika tempoh trafik tinggi, punca perkhidmatan e-hailing berkurangan

    Peningkatan trafik di Lembah Klang bukan sahaja memberikan tekanan buat pengguna jalan raya, malah bagi mereka yang menggunakan pengangkutan awam, khususnya perkhidmatan e-hailing. Biar pun kekurangan pemandu dan permintaan yang meningkat dengan ketara telah mendorong kadar tambang naik, tetapi nampaknya sebilangan besar pemandu e-hailing tidak teruja untuk memandu biar pun mampu memperoleh pendapatan yang lebih tinggi.

    Difahamkan ramai pemandu Grab memilih untuk menutup aplikasi e-hailing dalam tempoh trafik yang tinggi, kerana tidak sanggup berhadapan dengan kesesakan lalu lintas, laporan Malay Mail. Ia berdasarkan kenyataan dari presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA), Arif Asyraf Ali berkaitan isu tersebut, yang sebelum ini turut dilaporkan oleh The Malaysian Insight (TMI).

    Bercakap pada TMI, dia berkata, sejumlah 30% hingga 40% pemandu memilih untuk tidak respons terhadap permintaan pelanggan dalam tempoh waktu tertentu, terutamanya pada waktu puncak kerana tidak mahu terkandas dalam kesesakan lalu lintas melebihi sejam. “Kesesakan trafik kini kian memuncak, malah tidak mengira waktu,” jelasnya.

    Sambungnya, disebabkan kekurangan pemandu, maka pemandu yang sedia ada sangat terhad malah ada yang terpaksa berbelanja lebih untuk mengisi minyak disebabkan jarak yang lebih jauh untuk mengambil/menghantar penumpang, selain tersekat dalam kesesakan trafik.

    “Kekurangan pemandu dianggarkan lebih kurang 30%, jadi jumlah pemandu yang aktif menyusut dari 70,000 ke 80,000 orang, kini tinggal 50,000 hingga 60,000 pemandu sahaja,” ujar Arif memberitahu TMI.

     
     
  • WMoto SX2-300 tiba di Malaysia – 300 cc, RM18,888

    WMoto SX2-300 tiba di Malaysia – 300 cc, RM18,888

    MForce bike Holdings melancarkan satu lagi model WMoto baru untuk pasaran Malaysia, iaitu SX2-300. Ia ditawarkan pada harga RM18,888, tidak termasuk insurans dan pendaftaran, dan disediakan dalam tiga pilihan warna iaitu merah, hitam dan putih.

    Dipanggil sebagai sebuah “model scrambler“, SX2-300 membawa bentuk lebih kepada sebuah jentera enduro/dual purpose, dengan masih dilengkapi lampu, cermin sisi dan tempat nombor plet, sekaligus boleh dibawa atas jalan biasa. Model ini juga telah dibekalkan kepada angkatan tentera negara untuk kegunaan di lapangan.

    SX2-300 dipacu oleh enjin satu silinder penyejukan cecair 292.4 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 28 hp pada 9,000 rpm dan 25 Nm tork pada 6,500 rpm. Ia cuma datang dengan pemula enjin elektrik dan radiator terbahagi kepada dua di setiap sisi.

    Brek menggunakan sistem cakera di depan dan belakang, dan ia turut dilengkapi dengan ABS, yang boleh ditutup secara mudah dengan menekan butang khas yang terdapat di bahagian kiri pemegang. Di depan terdapat fork upside down sementara di belakang terdapat monoshock yang disambung kepada linkage di bawah.

    Berkenaan rim, SX2-300 menggunakan saiz 19 inci di hadapan, dan 17 inci di belakang, dibalut tayar 90/90 di hadapan dan 110/90 di belakang. Tinggi temapt duduk adalah 900 mm manakala tangki bahan api berkapasiti 11 liter dan berat keseluruhan adalah 151 kg.

    Di hadapan penunggang terdapat skrin LCD ringkas untuk menunjukkan segala maklumat, dan turut diberikan secara standard adalah penghadang tangan. Setiap pembelian SX2-300 diberikan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025