Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Camry facelift 2022 dilancarkan – RM199,110, enjin 2.5L Dynamic Force 209 PS/250 Nm, TSS 2.5+

    Toyota Camry facelift 2022 dilancarkan – RM199,110, enjin 2.5L Dynamic Force 209 PS/250 Nm, TSS 2.5+

    Selepas berada lebih tiga tahun dalam pasaran, Toyota Camry generasi kelapan kini secara rasmi dilancarkan dalam versi facelift 2022 untuk pasaran Malaysia. Model kemaskini ini menerima sedikit perubahan rupa dan juga perincian, namun ia diberikan tingkat taraf unit rangkaian kuasa yang agak signifikant.

    Sama seperti sebelum ini, sedan segmen-D Toyota ini masih ditawarkan dalam satu varian tunggal ini Camry 2.5 V. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM199,109.50, termasuk pengecualian cukai jualan sehingga hujung Jun 2022. Sama seperti model Toyota baharu lain, ia diberikan perlindungan waranti selama lima tahun, tanpa had perbatuan.

    Pada bahagian luaran, model facelift ini diberikan bampar hadapan dengan rekaan sedikit berbeza yang lebih menyerlahkan liang ambilan udara, rim aloi 18-inci rekaan baharu dengan kemasan dua tona (hitam-aloi digilap) dibalut dengan tayar Bridgestone Turanza T005 A bersaiz 235/45R18, dan juga lampu belakang dengan lensa yang digelapkan sedikit.

    Perincian lain seperti lampu hadapan bi-LED projektor automatik dengan fungsi follow me home, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus dan lampu belakang LED, cermin sisi yang boleh dilipat secara automatik, pengelap cermin automatik dan dua tip ekzos krom adalah sama seperti model sebelum ini.

    Toyota Camry facelift 2022 dilancarkan – RM199,110, enjin 2.5L Dynamic Force 209 PS/250 Nm, TSS 2.5+

    Manakala untuk kabin, perubahan yang diberikan termasuk sistem pendingin hawa tiga zon (hanya dua zon sebelum ini) skrin infotainmen Display Audio lebih besar dengan ukuran 9.0-inci (7.0-inci sebelum ini), yang turut disokong hubungan Android Auto dan Apple Carplay. Camry juga kini diberikan tempat duduk belakang yang boleh dicondongkan sedikit ke belakang bagi memberikan posisi duduk yang lebih relaks.

    Larasan untuk perehat belakang bagi tempat duduk belakang tersebut boleh dibuat menerusi kawalan elektrik. Suis berkenaan diletakkan pada perehat tangan tengah yang boleh disorokkan. Selain untuk kerusi, perehat tangan tersebut turut menampilkan dua pemegang cawan, suis kawalan audio, suis kawalan pelindung cahaya cermin belakang dan juga suis kawalan pendingin hawa khas untuk kabin belakang.

    Perincian standard lain yang turut dibekalkan pada Camry 2022 ini termasuk upholsteri kulit hitam, bentangan meter analog Optitron dengan skrin pelbagai informasi berwarna tujuh-inci di tengah, paparan HUD pada cermin hadapan, sistem audio JBL, tempat duduk penumpang hadapan larasan elektrik lapan hala, tempat duduk pemandu larasan kuasa 10-hala dengan fungsi memori (dua slot) dan upholsteri kulit lembut hitam.

    Ia juga menerima cermin pandang belakang elektrokromik, sistem kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, brek parkir elektronik dengan fungsi brake hold, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi dan juga perakam video digital (dashcam).

    Toyota Camry facelift 2022 dilancarkan – RM199,110, enjin 2.5L Dynamic Force 209 PS/250 Nm, TSS 2.5+

    Toyota Camry 2.5 V facelift ini tidak lagi menggunakan enjin 2AR-FE 2.5 liter yang sudah digunakan sejak Camry generasi keenam, sebaliknya ia digantikan dengan enjin baharu dari siri Dynamic Force iaitu unit A25A-FKS empat-silinder 2.5 liter. Ini bermakna Camry pasaran Malaysia sudahpun diberikan enjin terkini sama seperti model pasaran Thailand. Enjin ini juga telah berada dalam perut Lexus ES pasaran Malaysia.

    Enjin Dynamic Force 2.5 liter NA ini menampilkan sistem injap bervariasi VVT-iE pada injap kemasukan dan juga VVT-i pada injap ekzos, sistem suntikan terus D-4S serta nisbah mampatan 13:1 membolehkan ia mencapai keberkesanan suhu sehingga 40%. Ia mampu menjana 209 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 253 Nm pada takat 5,000 rpm. Jadi berbanding enjin 2.5 liter sebelum ini, enjin baharu tersebut menghasilkan kuasa 25 PS/18 Nm lebih besar.

    Ia dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan Direct Shift 8-AT bagi menggantikan kotak gear auto enam-kelajuan sebelum ini. Menurut Toyota, kotak gear tersebut bukan sahaja menawar nisbah gear lebih luas, malah ia sebenarnya dihasilkan dengan saiz yang lebih kompak. Mod pemanduan Eco, Normal dan Sport juga disertakan pada unit rangkaian kuasa baharu ini.

    Untuk keselamatan, Camry 2022 ini menerima sistem bantuan pemanduan keselamatan Toyota Safety Sense (TSS) yang ditingkat taraf, digelar sebagai TSS 2.5+. Sistem berkenaan menampilkan fungsi tambahan seperti pengesan pejalan kaki sebelah malam, pengesan penunggang basikal sebelah siang, dan juga sistem cruise control adaptif yang dipertingkat.

    Fungsi TSS lain termasuk Sistem Pra-pelanggaran, Amaran Keluar Lorong dengan Bantuan stereng, serta Lampu Tinggi Automatik masih dikekalkan. Perincian keselamatan lain yang turut dibekalkan pada Camry facelift 2022 ini termasuk tujuh beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix, Pemantau Titik Buta dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang, Bantuan Mula Mendaki, penderia parkir depan dan belakang serta sistem pemantau tekanan angin tayar.

    Camry hadir dengan sistem telematik kenderaan (VTS), iaitu sistem bersepadu yang membolehkan anda memantau serta berkongsi lokasi sebenar kereta anda menerusi aplikasi telefon pintar. Filem penapis haba dan keselamatan Toyota Premium Security juga diberikan standard untuk sedan ini.

    Pembeli Toyota Camry 2022 ini masih ditawarkan dengan lima warna badan iaitu Red Mica, Platinum White Pearl Mica, Silver Metallic, Graphite Metallic dan juga Burning Black CS GF.

     
     
  • Honda Malaysia akan lancarkan dua model baru tahun ini – HR-V dengan VTEC Turbo, BR-V generasi kedua?

    Honda Malaysia akan lancarkan dua model baru tahun ini – HR-V dengan VTEC Turbo, BR-V generasi kedua?

    Dalam satu majlis bersama media hari ini, Honda Malaysia telah mengumumkan rancangan perniagaan mereka untuk tahun ini. Antara yang termasuk dalam perancangan ini adalah pelancaran dua model serba baru bagi tahun 2022 – Civic tidak dikira kerana sudah dilancarkan bulan lalu.

    Sudah tentu, nama sebenar model tersebut tidak didedahkan, tetapi Honda ada memberitahu bahawa mereka mahu mengembangkan lagi versi RS e:HEV pada model masa hadapan mereka, berserta teknologi canggih generasi seterusnya, seperti VTEC Turbo, Honda Sensing dan Honda CONNECT.

    Daripada sini, kami boleh membuat jangkaan. Selain daripada itu, jika melihat kepada barisan model utama Honda di Malaysia juga, kita sudah boleh tahu bahawa HR-V dan BR-V sudah agak lama tidak diperbaharui dan perlu diganti. Di negara jiran sebenarnya model pengganti ini sudah pun ada dan kita boleh menjangka ketibaannya ke dalam negara tidak lama lagi.

    Honda Malaysia akan lancarkan dua model baru tahun ini – HR-V dengan VTEC Turbo, BR-V generasi kedua?

    Honda HR-V generasi baru diperkenalkan kepada dunia pertama kali Februari tahun lalu, dan di Jepun ia didatangkan dengan enjin petrol 1.5 liter DOHC i-VTEC bersama kotak gear CVT yang sama. Walaubagaimanapun di Thailand, waktu pelancarannya November lalu, ia hanya diperkenalkan dalam versi hibrid berserta varian paling tinggi RS e:HEV.

    Nadi utama penggerak hibrid ini adalah enjin 1.5 liter NA kitaran Atkinson dengan 105 hp dan 127 Nm tork dari 4,500 rpm hingga 5,000 rpm. Ia digandingkan bersama transmisi automatik e-CVT, bateri lithium-ion dan dua motor elektrik. Digabungkan semuanya, janaan maksimum adalah 131 hp dan 253 Nm tork dari 0 hingga 3,500 rpm.

    Namun apa yang lebih menarik adalah versi 1.5 VTEC Turbo seperti yang pernah dilihat dalam spyshot di Indonesia. Kita boleh menjangkakan ini adalah enjin yang telah dinaik taraf, sama seperti Civic, dengan kuasa yang boleh mencecah 182 PS dan tork maksimum 240 Nm. Kotak gear mungkin masih adalah unit automatik CVT.

    Honda Malaysia akan lancarkan dua model baru tahun ini – HR-V dengan VTEC Turbo, BR-V generasi kedua?

    Bagi BR-V, model ini telah pun dilancarkan di Indonesia hujung tahun lepas, dengan kesemua varian menggunakan enjin 1.5 liter i-VTEC empat-silinder DOHC yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 121 PS pada 6,000 rpm dan tork 145 Nm pada 4,300 rpm. Bergantung kepada varian, transmisinya boleh jadi antara manual enam kelajuan, atau automatik CVT.

    Varian paling tinggi BR-V di Indonesia, iaitu Prestige CVT turut didatangkan dengan Honda Sensing, yang merangkumi brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, bantuan pemusatan lorong, kepekaan ketibaan hadapan, lampu tinggi automatik dan kamera titik buta LaneWatch.

     
     
  • Honda Malaysia lancar perniagaan pemilikan kereta terpakai bertauliah tahun ini – turut diberikan waranti

    Honda Malaysia lancar perniagaan pemilikan kereta terpakai bertauliah tahun ini – turut diberikan waranti

    Honda Malaysia (HM) telah mengumumkan akan melancarkan perniagaan pemilikan kereta terpakai rasminya pada tahun ini. Dipanggil Honda Certified Used Car, inisiatif untuk mengembangkan perniagaan ini adalah bagi memberikan pilihan kepada pelanggan untuk membeli kereta Honda.

    Walau bagaimana pun, HM belum memaklumkan lebih terperinci mengenainya dan ia akan didedahkan menjelang pelancarannya kelak. Tetapi Honda Certified Used Car ini dijangka lebih kurang sama dengan perniagaan Toyota Topmark oleh UMW Toyota Motor, BMW Premium Selection, Perodua POV dan Hyundai Promise.

    Apa yang pasti kereta terpakai yang bakal dijual ini akan diperakui selepas menjalani pemeriksaan sepenuhnya dan bebas daripada kerosakan besar akibat kemalangan, serta akan diberikan waranti oleh pengedar rasminya. Pihak HM pastinya mahukan ketenangan minda pelanggan sebagai titik utama jualan dalam perniagaan kereta terpakai ini, selain mempunyai kawalan sepenuhnya dalam penilaian sebelum ia dibuka untuk jualan kepada umum.

     
     
  • Honda Malaysia catat jualan 53,031 unit bagi 2021, sasar peningkatan jualan 50% untuk tahun ini

    Honda Malaysia catat jualan 53,031 unit bagi 2021, sasar peningkatan jualan 50% untuk tahun ini

    Dengan situasi pandemik Covid-19 yang masih berlarutan kesannya terhadap ekonomi global dan tempatan sepanjang 2021, serta gangguan bekalan cip kenderaan peringkat global, Honda Malaysia berhasil mengekalkan kedudukan nombor satu untuk pasaran tempatan bagi segmen kenderaan penumpang bukan nasional.

    Ini melibatkan sejumlah 53,031 unit kenderaan berjaya dijual sepanjang tahun lalu, dengan peratusan perkongsian pasaran sebanyak 10.4%. Tahun lalu, bagi model serba baru untuk pasaran tempatan, Honda Malaysia hanya sempat memperkenalkan Honda City Hatchback. Harga bagi varian City Hatchback e:HEV juga baru saja diumumkan, dijual pada harga RM107,783 termasuk pengecualian SST hingga 30 Jun 2022.

    Bagaimanapun, dengan jangkaan TIV tahun ini pada kadar 600,000 unit, Honda Malaysia menetapkan sasaran jualan bagi 2022 sebanyak 80,000 unit. Ini merupakan peningkatan sebanyak 50% berbanding pencapaian jualan tahun lalu.

    Momentum jualan tahun ini juga dijangka akan dipacu oleh model City Hatchback dan Honda Civic 2022 yang diperkenalkan Januari lalu. Selain itu, Honda juga mengumumkan bakal memperkenalkan dua model serba baru untuk tahun ini.

     
     
  • Sime Darby pertimbangkan kemungkinan jadi operator stesen pengecas EV, dengan rangkaian seluruh negara

    Sime Darby pertimbangkan kemungkinan jadi operator stesen pengecas EV, dengan rangkaian seluruh negara

    Dengan permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) dijangka akan bertambah kelak disebabkan langkah kerajaan untuk merancakkan lagi aspek elektrifikasi, Sime Darby menyatakan syarikat itu akan memanfaatkan gelombang berkenaan dengan penglibatan yang lebih menyeluruh, dan bukan hanya sekadar menyediakan produk.

    Dengan semua jenama dan pengedar sayap automotifnya akan berada di garis depan peralihan itu, syarikat tersebut turut melihat untuk terlibat dalam lapangan elektro-mobiliti, lapor The Star. Menurut CEO Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson, kumpulan itu sedang mengambil pendekatan proaktif untuk merancakkan lagi ekosistem EV, dan salah satu daripadanya adalah untuk meneroka kemungkinan menjadi operator tempat pengecasan.

    “Kami sudahpun menjalankan perniagaan untuk menyediakan stesen pengecas melalui anak syarikat kami. Kami berharap akan mendapatkan pembangun hartanah untuk memasang stesen pengecas untuk projek mereka. Sebagai tambahan, kami sedang mempetimbangkan untuk menjadi operator stesen pengecas, seperti stesen petrol, di seluruh negara,” tambahnya.

    Sime Darby pertimbangkan kemungkinan jadi operator stesen pengecas EV, dengan rangkaian seluruh negara

    Ini akan membantu menyelesaikan isu berkaitan prasarana seperti kekurangan stesen pengecas. Bagaimanapun, beliau menambah idea berkenaan masih dalam pertimbangan, dan perniagaan seperti itu masih lagi dalam penerokaan mereka. “Kami masih tidak pasti dengan hal itu. Kami masih ingin melihat sama ada ia wajar diceburi atau sebaliknya,” ujarnya.

    Kumpulan berkenaan aktif merancakkan aktiviti elektrifikasi sejak tahun lalu. Pada November, mereka mengumumkan telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Ecoride, sebuah usaha sama kenderaan kegunaan khas (SPV) antara Perisind Samudra dan GreenTech Malaysia, untuk meneroka peluang perniagaan melibatkan pembelian armada EV dan servis lepas jualan.

    Syarikat itu juga telah melabur besar di dalam syarikat-syarikat mobiliti, menyediakan RM42 juta untuk servis perkongsian kenderaan serta paltform kereta terpakai dalam talian di Singapura, Carro (di Malaysia dikenali sebagai MyTukar). Pada Disember, Sime Darby mengumumkan mereka telah menandatangani MoU dengan Tenaga Nasional (TNB) untuk meneroka beberapa usaha bagi merancakkan lagi penggunan EV di negara ini.

     
     
  • DBKL tawar Kadar Khas Notis Kompaun 2022 sehingga 30 Jun ini – termasuk bagi kesalahan trafik

    DBKL tawar Kadar Khas Notis Kompaun 2022 sehingga 30 Jun ini – termasuk bagi kesalahan trafik

    Sempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Jubli Emas 50 Tahun Bandar Raya Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan Kadar Khas Notis Kompaun 2022 bermula 16 Februari hingga 30 Jun 2022. Menurut DBKL, pemberian kadar khas itu turut membabitkan notis kompaun trafik yang belum dijelaskan dan kadar berjadual mengikut kesalahan bagi notis kompaun kesalahan am.

    Bagaimanapun, inisiatif kadar khas itu tidak terpakai bagi kesalahan yang disenarai hitam dan kesalahan kes am yang tiada dalam kadar berjadual.

    “Untuk kesalahan trafik yang melibatkan motosikal, kadar kompaun yang dikenakan adalah RM10 bagi tempoh saman yang dikenakan antara hari pertama sehingga lebih 30 hari. Manakala untuk kereta, MPV dan lori kecil, kadar kompaunnya pula ialah RM15 untuk tempoh hari pertama sehingga ketujuh, naik ke RM20 untuk hari kelapan dan seterusnya.

    “Bagi kesalahan trafik yang melibatkan bas dan lori pula, kadar kompaun untuk tempoh hari pertama sehingga ketujuh ialah RM15, dan meningkat ke RM50 untuk hari kelapan dan seterusnya,” kata DBKL menerusi kenyetaan yang dikeluarkan.

    Orang ramai boleh menikmati kadar khas ini dengan membuat semakan dan bayaran menerusi semua kaunter bayaran DBKL serta kaunter Pos Malaysia di seluruh negara. Selain itu, semakan dan bayaran juga boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi MOBIS-DBKL atau secara Jompay menerusi aplikasi perbankan.

     
     
  • Stesen Petron terima penarafan 5-bintang dari pihak berkuasa tempatan bagi kempen Tandas Kita Bersih

    Stesen Petron terima penarafan 5-bintang dari pihak berkuasa tempatan bagi kempen Tandas Kita Bersih

    Petron Senawang

    Petron telah menerima penarafan lima-bintang untuk 113 stesen perkhidmatannya di lapan buah negeri iaitu Johor, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu, Perak, Kedah, Selangor dan Wilayah Persekutuan, menerusi kempen “Tandas Kita Bersih” untuk mengekalkan kebersihan dan fungsi tandas di dalam premis.

    “Penilaian ini telah mengiktiraf komitmen kami bagi kecemerlangan perkhidmatan pelanggan. Keperluan dan jangkaan pelanggan adalah penting bagi kami dan kami mahu mereka mempunyai pengalaman positif setiap kali mereka melawat stesen servis Petron, [dan] matlamat kami adalah untuk menjadikan stesen kami sebagai pusat sehenti pilihan untuk semua orang,” kata Ketua Perniagaan Peruncitan dan Komersil Petron, Choong Kum Choy.

    Kempen “Tandas Kita Bersih” ini adalah anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap negeri. Ia diadakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan tandas terutamanya di fasiliti tandas awam bagi mewujudkan tandas awam yang bersih dan selamat untuk keselesaan pengguna dan seterusnya dapat membudayakan amalan penjagaan dan penggunaan tandas yang betul dalam kalangan masyarakat.

    Stesen Petron terima penarafan 5-bintang dari pihak berkuasa tempatan bagi kempen Tandas Kita Bersih

    Petron Rantau Panjang

    “Komitmen, kerja berpasukan dan konsisten adalah faktor utama dalam memastikan tandas kami mencapai standard “tandas model” untuk stesen minyak di negara ini,” kata rakan niaga Petron Senawang 2, Mokhtar Paunari, di mana cawangannya memenangi tempat pertama di peringkat Kebangsaan 2019 bagi kategori stesen servis.

    Sementara itu, Petron Rantau Panjang memenangi tempat ketiga di Kelantan dalam pertandingan yang sama di peringkat negeri.

    Menurut Petron, program “Tandas Kita Bersih” turut menyokong aspirasi syarikat untuk mempromosikan budaya sanitasi yang baik di semua stesen perkhidmatan Petron, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) PBB, iaitu memastikan akses kepada air bersih dan sanitasi yang baik untuk semua.

     
     
  • Toyota Camry facelift 2022 akan dilancarkan 9 malam ini – terima enjin Dynamic Force bersama TSS 2.5+?

    Toyota Camry facelift 2022 akan dilancarkan 9 malam ini – terima enjin Dynamic Force bersama TSS 2.5+?

    Seperti yang diumumkan minggu lalu, malam ini secara rasmi UMW Toyota Motor akan melancarkan model facelift untuk Toyota Camry generasi kelapan bagi pasaran Malaysia. Berbanding imej teaser hanya menampilkan lampu hadapan tempoh hari, pagi ini UMWT memaparkan secara keseluruhan muka hadapan Camry facelift 2022 tersebut bagi menambah debaran pelancarannya.

    Seperti yang anda boleh lihat, Camry facelift ini diberikan bampar hadapan baharu dengan rombakan rekaan dibuat pada gril sebelah bawah, yang lebih menyerlahkan lagi liang pengambilan udara berkenaan. Jika mengambil model facelift pasaran Thailand yang telah pun dilancarkan pada Oktober tahun lalu sebagai rujukan, model pasaran Malaysia ini mungkin diberikan rim rekaan baharu bersama lampu belakang yang digelapkan sedikit.

    Antara tingkat taraf perincian dalaman yang boleh dijangka untuk model facelift ini termasuk skrin sesentuh bagi sistem infotainmen yang lebih besar. Ia juga mungkin akan diberikan sistem bantuan pemanduan yang dikemaskini iaitu Toyota Safety Sense 2.5+ yang menampilkan pengesan pejalan kaki waktu malam, pengesan penunggang basikal waktu siang dan juga cruise control adaptif yang dipertingkat, sama seperti versi pasaran Thailand.

    Toyota Camry facelift 2022 pasaran Thailand

    Tiada sebarang perincian teknikal diumumkan oleh UMWT buat masa sekarang, tetapi syarikat tersebut membayangkan bahawa Camry facelift ini akan menerima enjin baharu 2.5 liter Dynamic Force, bagi menggantikan enjin 2AR-FE yang sudah digunakan sejak generasi keenam.

    Enjin A25A-FKS 2.5 liter NA Dynamic Force yang telah pun digunakan pada Camry pasaran lain termasuk Thailand, Australia dan Amerika Syarikat berkenaan menerima sistem suntikan terus D-4S serta nisbah mampatan 13:1 membolehkan ia mencapai keberkesanan suhu sehingga 40%.

    Ia juga menghasilkan kuasa yang lebih besar iaitu 209 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 250 Nm pada takat 5,000 rpm, atau 25 PS/18 Nm lebih berkuasa dari sebelum ini. Enjin tersebut turut dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan Direct Shift 8AT baharu bagi menggantikan kotak gear enam kelajuan automatik sebelum ini.

    Apa pun, kita tunggu sahaja pelancaran rasminya pada pukul 9 malam nanti untuk spesifikasi penuh dan juga harga bagi model kemaskini berkenaan. Anda boleh tonton secara langsung menerusi media sosial rasmi Toyota Malaysia, atau anda boleh sahaja menunggu laporannya dari kami.

     
     
  • Rundingan projek Lebuhraya Trans Borneo antara Malaysia-Brunei diteruskan – Ismail Sabri

    Rundingan projek Lebuhraya Trans Borneo antara Malaysia-Brunei diteruskan – Ismail Sabri

    Nampak gayanya projek pembinaan Lebuhraya Trans Borneo bagi laluan yang menghubungkan Malaysia dan Brunei bakal disempurnakan apabila kedua-dua negara sepakat untuk memuktamadkan rundingan. Perkara ini disahkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang berkata, cadangan projek itu dalam dua fasa iaitu bagi fasa satu pembinaan kini pada tahap 77%, manakala fasa dua akan membabitkan Brunei dalam dua segmen.

    Tambah beliau, segmen satu adalah menaik taraf dan membina semula laluan jajaran dari persimpangan Kuala Baram di Miri ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujoh di Kuala Belit, Brunei sepanjang lima kilometer, dijangka bermula pada 2023. Manakala segmen dua kini dalam proses mereka bentuk dan mengambil balik tanah, yang dijangka siap dalam masa 48 bulan, laporan Bernama.

    “Segmen dua pula adalah pembinaan jalan baharu dan naik taraf jalan sedia ada sepanjang 74 kilometer melalui Limbang dan Lawas.

    “Pelaksanaan kedua-dua projek ini akan memperkemaskan kesalinghubungan antara Malaysia dan Brunei. Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan saya bersetuju kedua-dua negara meneruskan rundingan serta konsultasi untuk meneliti dan memuktamadkan cadangan projek ini,” katanya.

    Rundingan projek Lebuhraya Trans Borneo antara Malaysia-Brunei diteruskan – Ismail Sabri

    Beliau berkata, dalam tempoh 11 tahun, hanya 87.27 kilometer daripada 528.45 kilometer sempadan darat atau 17% yang sudah disusun dan ditanda, daripada jumlah itu hanya 34.15 kilometer yang dimuktamadkan.

    “Kedua-dua negara bersetuju menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi kawasan itu yang sudah dimuktamadkan. Seterusnya, Jawatankuasa Persempadanan Darat akan bermesyuarat untuk memuktamadkan kawasan yang selebihnya dengan segera,” katanya.

    Lebuhraya Trans Borneo adalah sistem rangkaian jalan raya utama menghubungkan Kalimantan (Indonesia), Sarawak dan Sabah (Malaysia) serta Brunei. Untuk laluan Sarawak dan Sabah, jika mengikut perancangan asal, ia akan bermula dari Kalabakan ke Serudong, Sabah kemudian ke Simenggaris Kalimantan melalui Tawau.

    Jajaran itu akan melalui kawasan Melinau untuk ke Daerah Krayan seterusnya ke Long Bawan (di Kalimantan Utara) yang terletak bertentangan dengan Ba’Kelalan sebelum ke Long Medan dan keluar semula dari Buduk Nur Ba’Kelalan. Dari situ, Lebuhraya Trans Borneo akan dihubungkan dengan Sabah-Sarawak Link Road

     
     
  • KTMB tawar diskaun 25% bagi Pakej Keluarga Malaysia untuk tren ETS, KTM Intercity hingga 31 Dis

    KTMB tawar diskaun 25% bagi Pakej Keluarga Malaysia untuk tren ETS, KTM Intercity hingga 31 Dis

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 25% di bawah Pakej Keluarga Malaysia untuk warganegara Malaysia yang menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Intercity. Diskaun ini telah pun dimulakan sejak 14 Februari lalu dan berlangsung sehingga 31 Disember 2022.

    Menurut KTMB, pemberian diskaun ini adalah bagi pembelian minimum empat tiket dalam satu transaksi (dewasa dan kanak-kanak), untuk semua perkhidmatan ETS, Ekspres Rakyat Timuran dan Ekspres Selatan menggunakan kod promo KMKTMB2.

    Pakej Keluarga Malaysia ini adalah sebagai menyahut seruan kerajaan bagi membantu memulihkan ekonomi negara dan dalam masa yang sama KTMB mahu terus optimis dalam memastikan perkhidmatan tren kekal menjadi pilihan utama melalui promosi dirangka khas untuk Keluarga Malaysia, ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh KTMB.

    Menerusi pakej ini, KTMB turut menyasarkan peningkatan jualan tiket terutama ketika musim cuti sekolah pada Mac ini dan sambutan Aidilfitri pada Mei. Justeru, pengguna disaran membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau melalui laman sesawang KTMB.

    Dalam masa yang sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut menyambut baik usaha KTMB ini dalam memberikan perkhidmatan terbaik buat Keluarga Malaysia. “Mudah-mudahan Pakej Keluarga Malaysia ini dapat memberi manfaat kepada semua terutamanya ketika musim cuti persekolahan dan perayaan,” kata Dr Wee.

     
     
  • Volkswagen Golf R Mk8 dilancar untuk pasaran Malaysia – 2.0L TSI 320 PS/420 Nm, AWD, RM356k

    Volkswagen Golf R Mk8 dilancar untuk pasaran Malaysia – 2.0L TSI 320 PS/420 Nm, AWD, RM356k

    Para media yang hadir dalam acara pelancaran Golf GTI Mk8 dan pengenalan Golf R-Line Mk8 hari ini turut dikejutkan dengan pelancaran varian prestasi Golf R Mk8. Dengan ketibaannya, kini terdapat tiga varian untuk Golf Mk8 di pasaran Malaysia.

    Berbeza berbanding GTI dan R-Line yang dipasang di Pekan Pahang, Golf R pula diimport sepenuhnya (CBU), dan dijual pada harga RM356,412 tidak termasuk insurans dan cukai jalan, dan dikira bersama pengecualian SST. Harga ini menunjukkan peningkatan yang tinggi berbanding Golf R Mk7.5 yang dijual pada harga RM295,990 sebelum ini.

    Didedahkan kepada dunia November tahun 2020, Golf R Mk8 dipacu oleh enjin 2.0 liter TSI EA888 yang mampu menghasilkan kuasa 320 PS dan 420 Nm tork (sebelum ini 300 PS dan 380 Nm tork). Padanan transmisi yang digunakan adalah DSG klac berkembar tujuh kelajuan, bersama sistem pacuan AWD 4Motion, membantunya untuk melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

    Sistem 4Motion pada differential belakang model ini bukan sahaja boleh mengagihkan kuasa antara gandar hadapan dan belakang, tetapi juga roda kiri dan kanan. Selain daripada itu, sistem baru ini juga boleh memberikan tork sehingga 100% kepada roda luar – Volkswagen memanggilnya sebagai R-Performance Torque Vectoring.

    Menguruskan pengagihan tork ini adalah Vehicle Dynamics Manager, yang juga bekerja dengan pengunci differential elektronik XDS serta sistem serapan adaptif DCC. Sistem ini juga boleh mengawal pengagihan tork dengan membrek dan menyediakan enam mod pemanduan iaitu Comfort, Sport, Race, Individual, Special dan Drift.

     
     
  • Volkswagen Golf R-Line Mk8 2022 kini boleh ditempah – CKD, 1.4L TSI, 8AT, harga antara RM155k-RM165k

    Volkswagen Golf R-Line Mk8 2022 kini boleh ditempah – CKD, 1.4L TSI, 8AT, harga antara RM155k-RM165k

    Selain daripada GTI yang diletakkan sebagai varian lebih tinggi, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) turut memperkenalkan varian R-Line untuk Golf Mk8 pasaran Malaysia. Model ini telah dipertontonkan awal pada November lalu, dan tempahan untuknya kini sudah dibuka, dengan harga anggaran antara RM155k ke RM165k. Sama seperti versi GTI, Golf R-Line ini juga dipasang di Pekan, Pahang (CKD).

    Dengan harga jangkaan yang lebih murah berbanding varian GTI, Golf R-Line Mk8 ini datang dengan enjin yang juga lebih kecil, iaitu unit 1.4 liter TSI, berkuasa 150 PS dan 250 Nm. Dalam pasaran antarabangsa, Golf Mk8 ini juga datang dengan pilihan enjin hibrid ringkas 1.5 eTSI, tetapi ia tidak dibawa ke Malaysia.

    Walaupun enjin ini bukanlah lagi asing, ia kini dipadankan bersama transmisi baru daripada Aisin, iaitu unit automatik torque converter lapan kelajuan yang menggantikan kotak gear klac berkembar DSG pada model R-Line sebelum ini.

    Volkswagen Golf R-Line Mk8 2022 kini boleh ditempah – CKD, 1.4L TSI, 8AT, harga antara RM155k-RM165k

    Sudah sedia tampil dengan kemasan serba sporty, Golf R-Line ini sukar dibezakan dengan Golf GTI, dengan bahagian yang berlainan cuma rim, ekzos dan gril sahaja. Golf R-Line mendapat rim Valencia 17 inci, lampu utama LED Plus serta lampu belakang LED. Lencana yang digunakan pula cuma menunjukkan huruf R, dan mungkin boleh menyebabkan orang tersalah sangka dengan model prestasi Golf R.

    Bahagian kabin minimalis pada Golf Mk8 ini dipadankan bersama tempat duduk yang dibalut padanan fabrik dan kain seakan suede, serta sulaman logo R pada penyandar kepala. Bentuk tempat duduk ini malah nampak lebih sporty berbanding tempat duduk GTI sementara di papan pemuka tidak banyak butang fizikal kerana diganti dengan panel sesentuh. Sistem infotainmen MIB3 yang digunakan boleh disambung dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Senarai kelengkapan untuk Golf R-Line ini termasuk butang pemula enjin, pengawal suhu tiga zon (corong belakang dengan kawalan suhu), brek parkir elektronik (tanpa auto hold), lampu suasana, lampu utama automatik serta dua soket pengecas USB-C masing-masing di hadapan dan belakang.

    Untuk sistem keselamatan, ciri yang diberi adalah ringkas sahaja iaitu enam beg udara, ABS, ESP dan cagak Isofix untuk tempat duduk penumpang hadapan dan belakang. Tiada ciri bantuan seperti Autonomous Emergency Braking (AEB) ataupun sistem semi autonomous lain pada model ini.

    Golf R-Line Mk8 ditawarkan dalam lima warna iaitu Moonstone Grey (solid), Kings Red dan Atlantic Blue (metalik) serta Deep Black dan Oryx White (pearl). Seperti biasa, jaminan yang diberikan adalah selama lima tahun tanpa had bantuan, bersama penyelenggaraan percuma tiga tahun dan bantuan tepi jalan lima tahun.

    GALERI: Volkswagen Golf R-Line 2022


     
     
  • Volkswagen Golf GTI Mk8 2022 dilancar untuk Malaysia – CKD, enjin 2.0L TSI, DSG tujuh kelajuan, RM211,698

    Volkswagen Golf GTI Mk8 2022 dilancar untuk Malaysia – CKD, enjin 2.0L TSI, DSG tujuh kelajuan, RM211,698

    Bermula dengan pembukaan tempahan dan diikuti pra tonton awal pada November tahun lalu, Volkswagen Golf GTI Mk8 kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Harga untuk model yang dipasang di Pekan, Pahang ini adalah RM211,698 tidak termasuk insurans, dan dikira sekali dengan pengecualian SST yang masih lagi tertakluk sekarang. Jaminan yang diberi adalah selama lima tahun tanpa had batuan, dan diberikan bersama penyelenggaraan percuma tiga tahun dan bantuan tepi jalan lima tahun.

    Model generasi kelapan ini masih lagi menggunakan enjin 2.0L TSI EA888, tetapi menghasilkan 15 PS dan 20 Nm lebih tinggi berbanding GTI Mk7.5, dengan jumlah keseluruhannya adalah 245 PS dan 370 Nm. Pilihan transmisi yang dibawa ke pasaran Malaysia adalah unit klac berkembar DSG tujuh kelajuan, yang menghantar kuasa ke roda hadapan, dan kita tidak akan menerima unit manual enam kelajuan seperti yang ditawarkan di beberapa negara lain.

    Jika dibandingkan dengan satu lagi model Golf Mk8 yang dilancarkan hari ini, iaitu R-Line (berita tentangnya di sini) yang menggunakan enjin 1.4L TSI 150 PS dan 250 Nm, model GTI ini mencatat lebihan kuasa sebanyak 95 PS dan 120 Nm. Ia juga adalah satu-satunya Golf yang menerima kotak gear DSG yang lebih pantas kerana R-Line sekarang dipasang dengan unit automatik lapan kelajuan torque converter biasa. GTI Mk8 boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.4 saat dan mencecah kelajuan maksimum 250 km/j.

    Volkswagen Golf GTI Mk8 2022 dilancar untuk Malaysia – CKD, enjin 2.0L TSI, DSG tujuh kelajuan, RM211,698

    Tetapan suspensi sport dengan kedudukan 15 mm lebih rendah berbanding Golf biasa digunakan pada GTI ini, dan ia terdiri daripada penyerap MacPherson di hadapan, multilink di belakang, serta differential elektronik XDS. Satu sistem kawalan baru yang terdapat pada Golf Mk8 adalah Vehicle Dynamics Manager, di mana ia boleh mengawal operasi XDS serta penyerap adaptif DCC. Turut diberikan adalah cakera brek lebih besar dengan angkup berwarna merah.

    Melihat kepada kelengkapan, GTI Mk8 mendapat lampu utama LED Plus, jalur lampu yang bersambung hingga ke logo tengah, lampu belakang LED serta rim Richmond 18 inci (tayar Bridgestone Potenza S005). Anda juga boleh melihat kemasan khas untuk model GTI yang termasuk jalur merah pada gril serta corak honeycomb pada bukaan udara bawah (tiada lampu kabus LED).

    Selain daripada itu, anda juga boleh mengenali model GTI ini dengan melihat dua muncung ekzos krom yang berfungsi (bukannya sekadar hiasan seperti model R-Line), sayap belakang yang sedikit lebih tajam serta lencana GTI yang menggantikan tulisan Golf di bawah lencana VW.

    Bahagian kabin Golf Mk8 adalah serba ringkas kerana kebanyakan butang kawalan menggunakan bentuk rata dengan permukaan dan boleh ditekan hanya melalui sentuhan. Malahan untuk pemilih gear juga ia menggunakan tombol yang lebih pendek dan kelihatan seperti butang. Skrin sesentuh yang terletak di tengah papan pemuka untuk infotainmen mempunyai saiz 10.25 inci, menggunakan sistem MIB-3 dan boleh disambungkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Kebanyakan bahagian di dalam model ini menggunakan kemasan berwarna hitam, termasuk lapik bumbung dan tiang tepi, dan ia digabungkan bersama beberapa bahagian berwarna kelabu di tempat duduk. Barangan lain yang diberikan khas untuk model GTI ini adalah seperti tempat duduk sport dengan balutan kulit, panel instrumen digital dengan pencahayaan merah, kemasan merah pada beberapa bahagian termasuk tempat duduk, logo GTI pada stereng serta kemasan honeycomb pada papan pemuka.

    Turut diberi adalah navigasi 3D, kawalan suara, sistem masuk tanpa kunci dengan butang pemula enjin, pengawal pendingin hawa tiga zon, brek parkir elektronik dengan Auto Hold, pemerhati tekanan angin tayar, lampu suasana dan lampu utama automatik.

    Untuk aspek keselamatan, GTI Mk8 mendapat enam beg udara, ABS dan ESP. Walaubagaimanapun, ia tidak mempunyai sebarang teknologi bantuan pemandu seperti Autonomous Emergency Braking (AEB) ataupun Blind Spot Assist. Isofix masih lagi disediakan, termasuk untuk tempat duduk penumpang hadapan. Golf GTI Mk8 ditawarkan dalam warna Kings Red dan Atlantic Blue (metalik), Moonstone Grey (solid), serta Deep Black dan Oryx White (pearl, tiada bayaran tambahan).

    GALERI: Volkswagen Golf GTI Mk8 2022


     
     
  • Harga minyak 17-23 Feb – RON97 naik 6 sen seliter

    Harga minyak 17-23 Feb – RON97 naik 6 sen seliter

    Kementerian Kewangan (MOF) sekali lagi mengumumkan kenaikan harga runcit bahan api petrol RON 97 untuk dua minggu berturut-turut pada bulan ini. Di mana untuk minggu bertarikh 17 hingga 23 Februari 2022, petrol RON 97 dilaporkan mengalami kenaikan sebanyak enam sen seliter, menjadikannya RM3.27 seliter, berbanding RM3.21 seliter pada minggu sebelum ini.

    Manakala harga runcit bagi petrol RON 95 pula masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Ia telah pun mencapai harga siling dan dikekalkan sejak setahun yang lalu.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 yang masih dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Kesemua harga ini dilaksanakan sehingga Rabu hadapan iaitu 23 Februari 2022.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia, Petrosains ganding bahu galak generasi muda supaya peka perancangan tenaga

    Mercedes-Benz Malaysia, Petrosains ganding bahu galak generasi muda supaya peka perancangan tenaga

    Dalam usaha untuk mendidik generasi muda, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) dan Petrosains berganding bahu untuk melancarkan Virtual STEM Series, sebuah program dua bahagian yang mensasarkan untuk menggalakkan pelajar dan siswa untuk memikirkan secara aktif terhadap perancangan tenaga bertanggungjawab ke arah kehidupan mapan dan selamat.

    Siri berkenaan, yang bermula pada 15 Februari, dimulakan dengan program “The Vision of an Electric Future”. Pakar yang terlibat memberikan taklimat berkaitan visi tentang masa depan elektrik, meliputi subjek seperti teknologi masa depan, usaha membendung perubahan iklim dan kemapanan hidup.

    Lebih banyak sesi perkongsian oleh pakar akan disediakan dalam bahagian kedua siri berkenaan — “Sustainable Mobility for Tomorrow”. Program ini diakhiri dengan peraduan. Peserta akan bersaing dalam Petrosains e-Design Thinking Process, yang mana mereka perlu untuk menghasilkan prototaip dan membentangkan konsep mereka dalam Ideas Presentation Challenge.

    Mereka akan dinilai berdasarkan beberapa perkara, antaranya penyelesaian masalah, kejelasan tentang penyelesaian yang dicadangkan, pengesahan cadangan penyelesaian dengan pengguna, pengesahan cadangan penyelesaian dan penceritaan serta prototaip. Hafriz Shah dari paultan.org juga akan menjadi salah seorang juri.

    Terdapat sekitar 100 peserta dari tahap sekunder dan 50 peserta dari tahap tertier. Tiga kumpulan pemenang akan diumumkan bagi kategori sekunder, sementara lima kumpulan pemenang daripada kelompok tertier tersebut. Setiap pemenang akan menerima piala dan sijil digital. Lebih menarik, pemenang tahap tertier juga akan menerima latihan praktikal selama enam-bulan dengan MBM!

    CEO dan Presiden MBM, Sagree Sardien berkata; “Dalam arus dunia yang deras, masa depan yang mapan perlu dibayangkan dan dipastikan melalui perancangan dan pembangunan tenaga yang bertanggungjawab di peringkat global. Keperluan terhadap kemajuan teknologikal mapan kini sangat penting berbanding sebelumnya. Ia akan menentukan kehidupan kita pada masa hadapan.”

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025