Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • GALERI: Toyota Sienta 1.5G, pilihan lebih mampu milik

    Toyota_SientaG_Ext-6

    Semasa pelancaran Toyota Sienta bulan lalu dan juga prebiunya di My Auto Fest 2016 serta di Mitsui Outlet Park, Toyota hanya mempamerkan Sienta dari varian 1.5V. Disini, kami berjaya mendapatkan sebuah model dari varian 1.5G untuk tatapan anda.

    Sienta 1.5G merupakan varian lebih rendah berbanding model 1.5V, dijual pada harga atas jalan dengan insuran RM92,900, berbanding varian G yang dijual RM7,000 lebih mahal iaitu RM99,900. Semua varian Sienta diberikan perlindungan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan. Enam warna ditawarkan iaitu Orange Metallic, Quartz Brown Metallic, Silver Metallic, Grey Metallic, Attitude Black dan Super White II.

    Jadi, dengan harga yang RM7,000 lebih murah, apa perbezaan pada varian V dan G ini? Untuk bahagian luaran, varian asas 1.5G hanya dipadankan dengan lampu hadapan projektor halogen dengan fungsi auto on/off, lampu belakang LED biasa, penggilap cermin tanpa fungsi pemasa, pintu gelangsar dengan motor elektrik hanya untuk sebelah kiri dan roda aloi bersaiz 15-inci, berbanding varian V yang dilengkapi lampu hadapan projektor Bi-LED dengan fungsi auto on/off, lampu belakang dengan lampu penunjuk LED, penggilap cermin dengan fungsi pemasa, kedua-dua pintu gelangsar dengan motor elektrik, cermin hadapan akustik dan roda aloi bersaiz 16-inci. Namun, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus belakang adalah standard untuk kedua-dua varian.

    Toyota_SientaG_Ext-25

    Bahagian dalaman varian G ini juga kelihatan agak ‘kosong’. Tiada paparan Optitron pada panel instrumen sebaliknya ia hanya dibekalkan dengan paparan meter kovensional. Unit pemain audio utama juga dibekalkan hanya dengan pemain 2-DIN tanpa skrin sesentuh dan butang kawalan pada roda stereng. Ia juga hanya dibekalkan dengan kunci putaran biasa, tanpa kunci pintar dan butang penghidup enjin serta tanpa kamera perakam video.

    Walau bagaimanapun, Toyota ada menawarkan pilihan opsyen untuk varian G yang terdiri dari skrin sesentuh dengan fungsi pemain DVD-AVX dan kamera undur berharga RM2,109, sistem tanpa kamera undur berharga RM2,014 dan filem penapis haba keselamatan premium berharga RM2,109.40.

    Balutan upholsteri juga menampilkan tema warna berbeza di mana model V diberikan tempat duduk berwarna perang, manakala G dibekalkan dengan fabrik hitam tanpa balutan kulit pada roda stereng. Walau bagaimanapun, liang penghawa dingin belakang, tempat duduk barisan kedua dan ketiga boleh lipat nisbah 50:50 dengan hanya satu sentuhan tuil adalah dan enam pembesar suara adalah ciri standard untuk semua varian.

    Tiada perbezaan dari segi unit janakuasa di mana kedua-dua varian dikuasakan dengan enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i yang sama seperti yang terdapat pada Toyota Avanza facelift, menghasilkan kuasa 107 PS dan tork 143 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear CVT automatik memacu tayar hadapan.

    Begitu juga dengan sistem keselamatan, kedua-dua varian Sienta dibekalkan dengan tiga beg udara (termasuk beg udara bahagian lutut pemandu), brek cakera untuk kesemua roda beserta sistem ABS, EBD dan Bantuan Brek (BA), Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) dan Bantuan Mula Mendaki (VSC) serta dua cagak ISOFIX pada tempat duduk barisan kedua.

    Untuk lebih perincian serta maklumat lain berkaitan pembelian Toyota Sienta, anda boleh kunjungi laman Carbase.my.

     
     
  • KL MRT: Persiaran Dagang di Bandar Sri Damansara ditutup pada waktu malam selama 2 bulan mulai 7 Sept

    MRT_Damansara

    Mulai 7 September ini sehingga 15 November depan, satu lorong sepanjang Persiaran Dagang di Bandar Sri Damansara akan didtutup selama dua bulan.

    Penutupan secara berperingkat ini bermula jam 10 malam hingga 6 pagi melibatkan kenderaan yang menuju ke arah Persiaran Mahogani/LDP (Penutupan A) dan yang menuju Persiaran Jati (Penutupan B).

    Menurut kenyataan MMC-Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd menerusi laman Facebook rasmi mereka, penutupan antara lain ialah bagi memberi laluan kepada kerja membersihkan kawasan, menebang pokok, memasang penghadang bunyi, melebarkan jalan dan menempatkan pelbagai kemudahan.

    Sepanjang penutupan itu, pengguna laluan berkenaan diminta berhati-hati dan sentiasa peka dengan papan isyarat yang diletakkan. Malah terdapat ‘penjaga bendera’ yang akan memberi arahan kepada pengguna yang melalui kawasan itu.

     
     
  • JPJ peroleh kutipan tertinggi bidaan nombor pendaftaran kenderaan – RM22j bagi V, RM17j untuk F

    KL_Plate

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mencipta rekod baharu dengan berjaya memperoleh jumlah tertinggi dalam sejarah bidaan nombor pendaftaran kenderaan baharu menerusi ‘V’ bagi kawasan Kuala Lumpur. Dengan memperoleh sejumlah RM22 juta, JPJ berkata nilai itu dianggap luar biasa apabila 15,000 individu dan syarikat membidanya, melebihi jumlah 10,000 nombor pendaftaran ‘V’ yang ditawarkan.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, ia adalah jumlah pembida tertinggi yang pernah direkodkan bagi mana-mana nombor plat di negara ini, laporan Harian Metro.

    Manakala nombor pendaftaran ‘F’ bagi kawasan Putrajaya yang diperkenal sebulan lebih awal iaitu pada Julai lalu, mencatatkan hasil kutipan berjumlah RM17 juta.

    Ini menjadikan jumlah bidaan ‘V’ dan ‘F’ menjadi hasil pendapatan tertinggi yang pernah direkodkan JPJ.

    “Jumlah bidaan juga meningkat berkali ganda dengan nilai bidaan tertinggi bagi nombor plat V1 bernilai RM989,780. Ia adalah bidaan tertinggi direkodkan dalam sejarah negara. Nombor plat V9 pula dibida pada harga RM899,800, manakala V88 pula adalah RM400,000,” katanya seperti dilaporkan,” ujar Aziz.

    Katanya lagi, berdasarkan sambutan menggalakkan itu, JPJ akan memperkenalkan nombor pendaftaran kenderaan baru yang lebih unik dan menarik pada masa akan datang.

    Bidaan kedua-dua nombor utama iaitu ‘V1’ dan ‘F1’ dimenangi oleh Sultan Johor.

     
     
  • KTM lancar komuter Padang Rengas ke Bukit Mertajam

    ktm-komuter-2

    Perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah melancarkan satu lagi laluan baharu dan ia melibatkan stesen Padang Rengas ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

    Menurut Presiden KTMB Datuk Sarbini Tijan,perkhidmatan telah bermula sejak 2 September lepas dan ia bertujuan memberi kemudahan kepada orang ramai dengan menawarkan 22 perkhidmatan pergi dan balik setiap hari, laporan Bernama.

    Manakala kekerapan perkhidmatan tren adalah setiap 60 minit untuk waktu puncak iaitu di antara 5.30 pagi hingga 9 pagi dan 6 petang hingga 8 malam

    Beliau berkata sebelum ini pihaknya telah menawarkan tambang yang berpatutan dari stesen Taiping-Kamunting dengan RM1 bagi dewasa dan tambang maksimum bagi dewasa bernilai RM17.20 dari stesen Padang Rengas ke Padang Besar.

    “Kita juga telah memulakan perkhidmatan komuter utara pada 11 Sept 2015 dari Butterworth ke Gurun dan Butterworth ke Kamunting dengan 14 perkhidmatan. Atas sambutan yang menggalakkan, kami telah menambah 28 lagi perkhidmatan setiap hari dari Butterworth ke Padang Besar dengan tambang RM11.40 sen,” katanya kepada pihak media.

    Katanya lagi, diskaun 50% diberikan kepada kanak-kanak berumur empat hingga 12 tahun, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) manakala tambang untuk kanak-kanak di bawah umur dua tahun adalah percuma.

    Beliau berkata perkhidmatan komuter utara itu akan memudahkan perhubungan dan perjalanan orang ramai ke utara seperti Butterworth, Sungai Petani, Alor Setar, Arau dan Padang Besar.

     
     
  • Mitsubishi Triton VGT dipertingkat dilancarkan- 2.4L MIVEC Turbodiesel, 181 PS/430 Nm, varian X baharu

    Triton_Mivec_Blue_Ext-2

    Setelah diperkenalkan di Thailand pada Mac lalu, kini Mitsubishi Triton versi dipertingkat secara rasminya dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Trak pikap ini yang dibawa secara CBU dari Thailand oleh Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) ini hadir dalam enam varian dan kini dikuasakan dengan enjin baharu 2.4 liter MIVEC Turbodiesel untuk varian-varian VGT.

    Enam varian berkenaan adalah Triton VGT Adventure X 4×4 AT (RM125,005), VGT Adventure 4×4 AT (RM118,198), VGT 4×4 AT (RM109,446), 4×4 VGT MT (RM102,619), 4×4 MT (RM88,997) dan varian paling rendah Quest 4×2 MT (RM73,438). Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk GST. Setiap pembelian trak pikap ini disertakan sekali dengan waranti pengeluar selama tiga-tahun atau 100,000 km (yang mana sampai dahulu) serta servis penyelenggaraan percuma selama dua tahun.

    Seperti yang dinyatakan tadi, perubahan terbesar pada model versi dipertingkat ini adalah enjin 2.4 liter MIVEC Turbodiesel yang dipadankan, menggantikan enjin 2.5 liter Turbodiesel sebelum ini. Walaupun dengan kapasiti kurang 100cc enjin baharu ini menghasilkan kuasa 3 ps dan tork 30 Nm lebih tinggi, dengan jumlah kuasa keseluruhan 181 ps pada takat 3,500 rpm dan tork maksima 430 Nm pada takat 2,500 rpm.

    Seperti yag diuji dan disahkah oleh paultan.org, enjin baharu ini juga 15% lebih cekap berbanding enjin sebelum ini. Walau bagaimanapun, varian bukan VGT iaitu 4×4 MT masih dijana enjin 2.5 liter diesel turbo intercooler (136 PS/323 Nm) dan Quest 4×2 dikuasakan oleh enjin 2.5 liter diesel turbo tanpa intercooler (110 PS/200 Nm).

    Triton_Mivec_Silver-6

    Enjin MIVEC ini sebenarnya telah ditawarkan pada Triton pasaran Thailand sejak tahun lalu, tetapi hanya dilengkapi pada model pasaran Malaysia tahun ini. Menurut Mitsubishi, enjin “Clean Diesel” yang memenuhi spesifikasi Euro-5 ini hanya hadir di Malaysia setelah diesel dengan kandungan sulfur yang rendah bergred Euro-5 mula dipasarkan secara meluas di stesen-stesen minyak tempatan, berbanding sebelum ini hanya ditawarkan dengan diesel bergred Euro 2M.

    Dengan sistem pemasaan injap bervarisi MIVEC yang dipadankan pada enjin Turbodiesel ini, pembakaran pada tekanan lebih rendah dapat dihasilkan pada kebuk pembakaran. Oleh itu, blok enjin diesel MIVEC ini dapat dibina menggunakan bahan aluminium yang 30 kg lebih ringan berbanding blok enjin besi tuang.

    Dengan pembakaran yang berlaku pada tekanan lebih rendah, sistem suntikan diesel common rail juga dipertingkatkan yang bukan sahaja memberikan operasi yang lebih senyap dan kadar emisi lebih rendah, malah membolehkan enjin ini beroperasi pada prestasi yang optimum dan mudah dihidupkan walaupun pada cuaca sejuk. Aci sesondol pada enjin ini juga digerakkan dengan sistem rantai pemasa (timing chain) untuk ketahanan dan memudahkan proses penyelenggaraan.

    Varian VGT 4×4 dengan transmisi manual juga menerima kotak gear manual enam-kelajuan baharu, menggantikan kotak gear lima kelajuan sebelum ini. Kesemua varian AT masih menggunakan transmisi lima-kelajuan automatik dengan mod sport dan varian 4×4 biasa serta Quest 4×2 masih mengekalkan kotak gear lima-kelajuan manual.

    Triton_Mivec_Blue_Int-1

    Kesemua model Triton VGT 4×4 juga kini dilengkapi dengan sistem pacuan empat-roda Easy Select 4WD yang disadur terus dari sistem Super Select 4WD II Pajero Sport, sama seperti pada model pasaran Thailand. Sistem tersebut memberikan mod 4H pacuan empat roda sepanjang masa, dengan unit karbeda (differential) tengah yang mengagihkan tork antara bahagian hadapan dan belakang.

    Mod 4HLc dan 4LLc akan mengunci unit karbeda, sama seperti mod 4H dan 4L seperti sistem terdahulu, manakala mod 2H pacuan dua roda dikekalkan untuk penggunaan bahan api yang lebih efisien. Untuk varian manual, sistem ini turut hadir dengan suis putar pemilih mod 4WD dan tiada lagi tuil penukar gear kedua seperti sebelum ini. Varian VGT juga dilengkapi dengan LSD hibrid pada bahagian gandar belakang.

    Varian VGT 4×4 Adventure X (hanya hadir ke bilik pameran bermula 23 September) kini merupakan varian tertinggi dalam barisan model Triton, dan dilengkapi dengan aksesori seperti Shield Extender pada bampar hadapan, gril hadapan kemasan hitam matte, bar Sports pada ruang kargo belakang lengkap dengan penutup penuh serta roda aloi dua ton berdiameter 17-inci secara standard. Warna badan istimewa Impulse Blue seperti yang dipamerkan pada Bangkok Motor Show dan imej spyshot sebelum ini juga ditawarkan untuk model ini selain dari warna Titanium Grey.

    Varian pertengahan VGT AT dan MT juga kini menerima ciri-ciri standard yang dipertingkat merangkumi lampu hadapan automatik B-Xenon HID lengkap dengan lampu nyalaan siang LED sama seperti varian Adventure, serta lampu kabus untuk bahagian belakang. Ciri-ciri lain yang kekal pada varian-varian VGT adalah cermin sisi berkuasa kemasan krom dengan lampu isyarat membelok

    Bahagian dalaman, varian VGT Adventure X dan VGT Adventure dilengkapi dengan unit pemain audio dengan skrin sesentuh bersama kawalan suara dan kamera undur, penghawa dingin dua zon, roda stereng tiga jejari balutan kulit dengan pedal penukar gear dan butang kawalan audio bersama Bluetooth serta kawalan audio, Kawalan Kelajuan dan tempat duduk balutan kulit.

    Varian VGT lain pula menerima pemain audio dengan skrin sesentuh, penghawa dingin automatik, roda stereng balutan kulit tiga jejari dengan butang kawalan audio dan tempat duduk balutan fabrik. Kesemua pemain audio varian VGT dihubungkan kepada enam-pembesar suara. Kesemua varian VGT masih lagi dibekalkan dengan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin. Varian 4×4 manual dan Quest 4×2 pula hanya dibekalkan dengan penghawa dingin manual, pemain audio 1-DIN, serta roda stereng biasa. Sistem audio varian 4×4 MT dihubungkan kepada empat-pembesar suara manakala varian Quest hanya menerima dua-pembesar suara.

    Untuk keselamatan, kesemua varian menerima sistem brek ABS lengkap dengan EBD, dua-beg udara pada bahagian hadapan dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX. Walau bagaimanapun hanya varian-varian VGT dilengkapi dengan penderia undur.

    GALERI: Mitsubishi Triton VGT Adventure X 4×4

    GALERI: Mitsubishi Triton VGT Adventure 4×4

    GALERI: Mitsubishi Triton VGT MT 4×4

    GALERI: Keratan rentas enjin MIVEC Turbodiesel 2.4 liter

    GALERI: Gambar rasmi Mitsubishi Triton VGT Adventure X 4×4

     
     
  • JPJ kaji semula kaedah sekatan jalan, elak kesesakan

    JPJ_Roadblock1

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengkaji kaedah yang diambil dalam mengadakan sekatan jalan raya untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di laluan terlibat.

    Menurut laporan Bernama, Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron menjelaskan cara dan aturan kaedahnya (standard operating procedure, SOP) yang digunakan sekian lama sebelum ini menerima terlalu banyak rungutan daripada pengguna jalan raya.

    “Saya menyedari tentang perkara ini, yang kerap dibangkitkan oleh orang-ramai di media sosial, membandingkan cara sekatan jalan dilakukan di negara-negara membangun yang membuka semua laluan dan bukan hanya satu laluan seperti yang JPJ amalkan sekarang.

    “Saya juga telah mengarahkan agar modul terbaik yang mampu mengelakkan kesesakan sewaktu operasi sekatan lalu lintas dikaji untuk kesenangan semua pihak selepas ini,” jelas beliau.

     
     
  • Honda Gienia diperkenalkan secara rasmi di China

    Honda Gienia 13

    Honda Geinia iaitu versi hatchback Honda City yang imejnya telah bocor sebelum ini, akhirnya membuat kemunculan sulungnya pada Chengdu International Auto Show yang kini sedang berlangsung di China.

    Geinia sebelum ini pernah diprebiu pada Beijing International Auto Show 2014, sebagai model konsep hatchback Concept B yang dibina berasaskan Honda Greiz Sedan (Honda City untuk pasaran China). Rupa luaran Geinia versi produksi yang diperkenalkan ini adalah seiras dengan gambar yang bocor sebelum ini menampilkan muka berkonsep ‘Solid Wing’ Honda dengan elemen krom, gril berwarna hitam serta lampu hadapan projektor.

    Bahagian belakang Geinia ini pula menerima sepasang lampu belakang berbentuk boomerang dihubungkan menerusi jalur yang merentangi penutup but belakang. Setiap sisi bahagian bampar belakang pula menempatkan reflektor dengan kemasan krom disekelilingnya. Ciri lain yang dipadankan adalah rim aloi lima jejari, penderia parkir hadapan dan belakang serta kamera undur.

    Honda Geinia turut dilengkapi dengan sistem pengesan titik buta Honda LaneWatch, bumbung suria elektrik, sistem kunci pintar, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh serta upholsteri balutan kulit.

    Honda Gienia 15

    Walau bagaimanapun, tiada lagi perincian teknikal didedahkan pada prebiu kali ini kerana model ini hanya akan dilancarkan pada 18 Oktober nanti. Tetapi menerusi laporan sebelum ini, Gienia diukur dengan dimensi 4,517 mm panjang, 1,705 mm lebar, 1,477 mm tinggi, dan jarak roda keseluruhan 2,600 mm. Jika dibandingkan dengan Greiz sedan, Geinia hanya 22 mm lebih pendek.

    Geinia berkemungkinan besar dijana oleh enjin petrol 1.5 liter i-VTEC berkuasa 129 hp/155 Nm dan dipadankan dengan pilihan kotak gear sama ada lima kelajuan manual atau CVT automatik.

    Menurut Honda lagi, Geinia disasarkan untuk golongan belia yang lahir pada sekitar 1980’an dan 1990’an dan model ini di bina eksklusif hanya untuk pasaran China sahaja.

     
     
  • GALERI: Honda Jazz Edisi X – terhad hanya 300 unit, DRL, tempat duduk separa kulit, tray but, RM82,500

    Honda Jazz X 05

    Setelah pengumuman Honda Jazz X diperkenalkan semalam, kami bergegas ke bilik pameran Honda yang dikhabarkan sudah pun mempamerkan model edisi khas tersebut untuk mendapatkan gambaran sebenar.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini Honda Jazz X (X bermaksud ‘eXclusivity’) hanya ditawarkan sebanyak 300 unit dalam pasaran, dan diperkenalkan bersama model City X yang juga dibina dalam jumlah terhad kepada 450 unit dalam pasaran.

    Jazz X diasaskan dari varian pertengahan Jazz sedia ada iaitu varian gred E dengan tambahan pelbagai aksesori eksklusif X antaranya lampu nyalaan siang (DRL), penggunaan pembalut tempat duduk separa kulit dengan logo X serta dilengkapi tray dengan logo sama pada bahagian but belakangnya.

    Honda Jazz X 02

    Ciri-ciri lain yang dilengkapi pada Jazz E masih ditampilkan pada model istimewa X ini antaranya Ultra Seats yang membolehkan tempat duduknya dilipat dalam empat mod berbeza, roda aloi berdimeter 15-inci dengan tayar 175/65R15, Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA) dan Emergency Stop Signal (ESS).

    Begitu juga dengan unit janakuasa, Jazz X masih bernafas dengan enjin 1.5L SOHC i-VTEC berkuasa 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm yang digandingkan dengan sistem transmisi CVT.

    Dua warna ditawarkan untuk edisi terhad ini iaitu Modern Steel Metallic dan Carnival Red. Honda Jazz X dijual pada harga atas jalan termasuk insurans RM82,500 dan Honda Malaysia menyatakan tempoh menunggu bagi tempahan model edisi terhad ini ialah sebulan. Setiap pembelian model ini juga hadir dengan pakej jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, serta enam servis percuma (kos buruh sahaja) yang diselang-seli bersama servis berbayar sehingga 100,000 km.

     
     
  • GALERI: Honda City Edisi X – terhad 450 unit, DRL, tempat duduk separa kulit, logo X, harga RM86,100

    Honda City X 02

    Semalam Honda Malaysia telah memperkenalkan versi edisi terhad iaitu Honda City X, selain turut dilancarkan bersama Jazz X. Ia hanya ditawarkan dengan jumlah produksi yang terhad sahaja iaitu sebanyak 450 unit.

    ‘X’ yang membawa maksud ‘eXclusivity’ ini, turut menampilkan beberapa ciri yang dipertingkatkan bagi City X. Pada bahagian luarannya, ia kini dipadankan dengan lampu nyalaan siang (DRL) serta logo X di bahagian belakang iaitu bersebelahan dengan perkataan ‘City’.

    Manakala bagi kabinnya pula, kini ia ditampilkan tempat duduk bersama balutan separa kulit dengan logo X serta dilengkapi tray dengan logo sama pada bahagian but belakangnya untuk memudahkan meletak barangan dengan kemas. Malahan ia turut menawarkan ruang but seluas 536 liter.

    Bagi menjadikan ia memang istimewa, ia ditawarkan dengan dua warna sahaja iaitu Modern Steel Metallic dan Dark Ruby Red Pearl.

    Seperti model City yang standard, City X ini turut dilengkapi enjin 1.5L SOHC i-VTEC yang digandingkan dengan sistem transmisi CVT, menggunakan pendekatan dan teknologi Honda Earth Dreams untuk pecutan yang lebih lancar dan cekap penggunaan bahan apinya.

    Selebihnya, edisi terhad ini masih mengekalkan semua elemen yang sama dengan versi biasa, termasuklah bagi aspek keselamatannya, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).

    City X ini dijual pada harga atas jalan RM86,100 (termasuk insurans). Ia turut ditawarkan dengan pakej jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, tempoh servis dilanjutkan kepada 10,000 km serta enam servis buruh percuma yang diselang-seli bersama servis berbayar sehingga 100,000 km.

     
     
  • Liow bimbang kemalangan bas kerap berlaku di Karak

    Bus_accident_Karak

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tion Lai telah menyuarakan rasa kebimbangannya dengan peningkatan kemalangan yang melibatkan bas di sepanjang Lebuhraya Karak.

    Katanya, biar pun pelbagai kaedah telah dilaksanakan namun sehingga kini ia masih belum dapat mengurangkan kadar kemalangan khususnya yang melibatkan bas di lebuhraya terbabit, laporan The Sun.

    “Selepas kejadian kemalangan bas di tempat berkenaan yang terjadi sebelum ini, pihak berkuasa telah menerima lebih 50 kertas kerja bagi mencari kaedah menangani masalah ini. Walau bagaimana pun, telah banyak kaedah yang telah diimplementasikan, namun masih gagal untuk mengurangkan kadar kemalangan berikut,” ujarnya kepada pihak media semalam.

    Tambahnya lagi, pihak kementerian perlu membuat kajian yang lebih khusus bagi mencari kaedah yang lebih baik supaya kemalangan di kawasan berkenaan dapat dibendung.

    Ia adalah bagi mengulas kejadian kemalangan di terowong selepas Genting Sempah pada petang 31 Ogos lalu. Kemalangan yang melibatkan sebuah bas persiaran yang terbabas, lalu merempuh pembahagi jalan dan terbalik di laluan bertentangan itu turut menyebabkan seramai 14 penumpang mengalami kecederaan.

     
     
  • Perodua Bezza turut menyertai perarakan sempena meraikan Hari Kebangsaan ke-59 di Dataran Merdeka

    Perodua turut meraikan Hari Kebangsaan yang ke-59 secara penuh bersemangat termasuk menyertai perarakan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos lalu. Ia melibatkan model terbaharu mereka iaitu Perodua Bezza sebanyak dua unit. Pastinya Bezza menjadi kebanggaan Perodua kerana ia merupakan model ciptaan sepenuhnya pengeluar kenderaan kedua nasional ini.

    Malah sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan tersebut, Perodua terlebih dahulu meraikannya bersama lebih kurang 300 kakitangannya di ibu pejabat Perodua di Sungai Choh, Rawang. Presiden dan CEO Perodua, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh turut melaungkan ucapan keramat Merdeka sebanyak tiga kali yang turut disambut oleh para kakitangannya. Selain itu, perarakan ringkas yang melibatkan sebanyak 22 unit kenderaan yang terdiri daripada 11 model Perodua turut dilangsungkan.

     
     
  • Honda X-ADV “City Adventure” akan diproduksi?

    Honda-City-Adventure-X-ADV-4-e1456712234844_BM

    Skuter konsep “City Adventure” atau Honda X-ADV yang membuat kemunculan sulung di EICMA Milan, Itali tahun lalu berkemugkinan besar akan diproduksi sebagai model keluaran 2017. “Skuter super” X-ADV ini bakal dikuaskan dengan enjin yang diambil dari Honda NC750X.

    Enjin berkenaan, iaitu enjin 745cc bentangan dua silinder selari menghasilkan kuasa 54 hp dan tork maksima 68 Nm akan dipadankan dengan kotak gear klac berkembar DCT Honda.

    Digelar sebagai “CR-V dalam dunia skuter” X-ADV menampilkan tempat duduk yang agak tinggi, memberikan sudut pandangan terbaik untuk penunggang, walaupun pada mulanya idea pembinaan skuter ini kedengaran agak janggal.

    Honda-City-Adventure-X-ADV-5-e1456712199976_BM

    Pembinaan X-ADV bukanlah sekadar meninggikan sebuah skuter Honda Integra. Ia dibina dengan unsur-unsur dari model lagenda Honda Africa Twin, dipadankan dengan sepit udang lebih tinggi serta roda jejari lidi dibaluti tayar untuk kegunaan pelbagai permukaan.

    Selari dengan itu, X-ADV turut dipadanakan dengan cermin pelindung hadapan lebih tinggi, pelindung tangan pada tuil di bahagian hendal dan juga paip ekzos yang mengikut bentuk badan skuter ini. Rekaan pada lengan ayun bahagian belakang juga direka semula agar ketinggiannya setara dengan bahagian hadapan, berbeza dari lengan ayun Integra yang hanya tegak kebelakang.

    Kami menjangkakan X-ADV akan muncul sekali lagi pada acara EICMA tahun ini dalam versi yang lebih hampir kepada model produksi. Apa pendapat anda dengan skuter pelbagai guna ini? Adakah rekaan ‘pelik’ dari Honda ini akan mendapat tempat dalam pasaran?


     
     
  • Honda Grace Style Edition dilancarkan hanya di Jepun

    Honda-Grace-Style-Edition-1-e1472789877762

    Honda City atau pun lebih dikenali sebagai Honda Grace di pasaran domestik Jepun, kini telah diperkenalkan dengan model edisi istimewa, “Style Edition”. Terdapat beberapa ciri yang dipertingkatkan, ia ditawarkan dengan dua trim iaitu Hybrid LX atau Hybrid EX.

    Bagi bahagian luarannya, gril hadapan, pemegang pintu dan bingkai lesen belakang ditampilkan dengan kekemasan krom gelap yang memberikan penampilan lebih bergaya. Sementara, bagi kabinnya pula, ia menampilkan fabrik upholsteri hitam (dengan jahitan kontras biru) dan roda stereng balutan kulit. Senarai elemennya kini termasuk unit electronic toll collection (ETC).

    Penjana kuasa hibrid diteruskan sebagai sumber utama, dengan menampilkan enjin petrol 1.5 liter DOHC i-VTEC Atkinson cycle (110 PS/134 Nm) yang dipadankan bersama transmisi DCT tujuh-kelajuan. Pengelektrikannya didatangkan dari motor enjin (29.5 PS/160 Nm) dan pembeli boleh memilih sama ada konfigurasi pemanduan dua- atau empat-roda.

    Mengenai harganya, Honda Grace Style Edition ditawarkan dari 2,098,400 yen (RM83,004) sehingga 2,424,400 yen (RM95,840), termasuk cukai penggunaan. Pembeli juga boleh memilih dua warna eksklusif sama ada hitam atau biru gelap, dengan tambahan putih mutiara dan merah metalik.

     
     
  • Hot Wheels hasilkan replika Fugu Z – Datsun Fairlady S30 240Z milik bintang Fast & Furious, Sung Kang

    Pengumpul ‘kereta kecil’ Hot Wheels perlu bersedia, laman instagram rasmi Hot Wheels telah mendedahkan siri model die-cast skala 1:64 terbaharu mereka – Fugu Z, iaitu Datsun Fairlady S30 240Z milik bintang Fast and Furious, Sung Kang.

    Model berkenaan diberikan perincian yang agak teliti oleh pihak Hot Wheels dalam mereplikakan Datsun Fairlady 240Z milik Sung Kang tersebut. Ia hadir dengan warna badan putih dan dilengkapi fender flare(kemasan untuk melebarkan ruang roda) Rocket Bunny pada keempat-empat sudut, spoiler but belakang, cermin sisi ‘tanduk’ (fender mirror) asli 240Z JDM, bampar hadapan berwarna hitam serta bampar belakang yang ditanggalkan.

    Fugu Z direstorasi oleh Sung Kang dengan bantuan Greddy USA, OS Giken dan banyak lagi nama besar dalam dunia modifikasi automotif di Amerika Syarikat. Enjin L24 enam silinder 2.4 liter asal Datsun Fairlady 240 Z ini telah digantikan dengan enjin RB26 dari Nissan Skyline R32 GT-R tetapi tanpa bantuan pengecas turbo bagi mengekalkan karekter asal kereta sport klasik tersebut. Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan dari enjin RB25 dan turut dilengkapi dengan pelbagai perlalatan transmisi berprestasi tinggi dari OS Giken seperti sistem klac dan juga unit gandar LSD.

    Pada bahagian luaran, Fugu Z dilengkapi dengan kit badan Rocket Bunny, roda aloi Rays Engineering TE37V (V untuk Vintage) serta perincian JDM lain seperti cermin sisi fender berbentuk bulat.

     
     
  • Jln Sultan Ismail beroperasi sedia kala mulai 4 Sept ini

    mrt-construction-works

    MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MGKT) telah mengeluarkan kenyataan berhubung dengan Jalan Sultan Ismail yang diubah daripada jajaran asalnya akan beroperasi seperti sedia kala mulai 4 September ini.

    Jajaran asalnya diubah bagi memudahkan kerja-kerja pembinaan projek bawah tanah Mass Rapid Transit (MRT) Bukit Bintang.

    Walau bagaimana pun, kerja menaik taraf seperti pembinaan sekatan jalan raya, perparitan, landskap akan dilaksanakan sehingga 31 Disember ini,laporan Bernama.

    Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi papan tanda arahan semasa proses penyusunan semula berkenaan dan Pasukan Tindakan Kecemasan MRT akan dikerahkan untuk melancarkan lalu lintas.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (+1.20)
EURO 5 B7 RM3.55 (+1.20)
Last Updated Jun 06, 2024