Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • JPJ tawar bantuan untuk mengesan kenderaan yang terlibat dengan panggilan semula beg udara Takata

    Honda airbag

    Setelah kes yang membabitkan kehilangan nyawa disebabkan inflator beg udara Takata yang kini dilihat semakin membimbangkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah tampil kehadapan untuk memberi bantuan untuk melancarkan proses panggilan semula berkenaan. Jabatan tersebut berkata mereka akan meneruskan bantuan yang diberikan atas permintaan Honda, kata Pengarah Besar JPJ baharu Datuk Nadzri Siron, menurut laporan The Star.

    “Saya akan membincangkan perkara ini dengan bahagian kejuruteraan jabatan,” kata beliau. JPJ boleh membantu Honda Malaysia untuk mengesan maklumat pemilikan terkini kenderaan-kenderaan berkenaan, terutamanya kenderaan terpakai, agar mereka boleh dihubungi untuk proses panggilan semula berkenaan.

    Pemilik kenderaan yang terlibat dinasihatkan untuk mengambil perhatian terhadap panggilan semula dari Honda ini dan memperbaiki semula unit beg udara mereka. Ini adalah untuk keselamatan mereka dan pengguna jalan raya yang lain,” kata beliau. Setakat ini 10 kematian telah dicatakan diseluruh dunia berhubung masalah inflator beg udara berkenaan, termasuk dua di Malaysia.

    Model-model Honda yang terlibat dalam panggilan semula yang dibuat oleh Honda Malaysia ini termasuk Accord 2003-2007, City 2003-2013, Civic 2011-2011, Civic Hybrid 2003 dan Civic Hybrid 2007-2012, CR-V 2002-2011 dan CR-V 2013, Jazz/Jazz Hybrid 2003-2007 dan 2009-2013, Insight 2011-2013 serta Stream 2003-2005 dan 2007-2013.

    Sebahagian inflator beg udara sebelah penumpang juga terjejas, melibatkan panggilan semula terhadap model Accord 2003-2011, City 2009-2011, Civic 2007-2011, CR-V 2008-2011, Freed 2009-2011, Insight, Jazz 2009-2011 dan Odyssey 2004-2008.

    Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan isu inflator beg udara Takata ini dan pengeluar lain yang terlibat, anda boleh klik pada pautan ini.

     
     
  • Toyota GT86 Initial D Concept – angkat AE86 sebagai watak penting pendekatan moden kereta sport Toyota

    Initial-D-GT86-2016-1-e1467250017484_BM

    Toyota UK telah menghasilkan model konsep istimewa – Toyota GT86 Initial D Concept – khas untuk memperingati watak ikon automotif dalam dunia anime Jepun, Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex milik Kedai Taufu Fujiwara dalam anime popular Inital D.

    Model konsep ini diberikan imej AE86 yang dipandu oleh Fujiwara Takumi dalam ekspidisi pasukan Project D menakluk jalan bukit atau touge ke seluruh Jepun, menampilkan tema warna dua ton hitam-putih (atau lebih dikenali sebagai Panda) dan juga pelbagai peralatan JDM lain, serupa dengan model yang diambil inspirasi berkenaan.

    Antara perlatan tersebut ialah roda aloi binaan khas dari RS Watanabe dan sistem suspensi TRD Sportivo lengkap dengan strut-bar dari Cusco. Bonet hadapan turut menerima bonet baharu dari binaan gentian karbon manakala lampu kabus hadapan turut dilapis dengan filem berwarna kuning, menyerlahkan imej AE86 Fujiwara Takumi. Tidak ketinggalan, penutup enjin GT86 ini turut disembur dengan warna perak, sebagai memperingati enjin 4A-GE ‘Silvertop – TRD Group A’ yang diperolehi oleh Fujiwara Bunta pada AE86 dalam anime berkenaan.

    Perincian lain yang diberikan untuk mereplikakan GT86 kepada AE86 Intial D adalah pemdanan mud-flap pada keempat-empat ruang roda, spoiler belakang dibuka dan lensa lampu belakang dilapis dengan filem penapis berwarna hitam. Pelindung pemegang pintu dan penutup cermin sisi gentian karbon digunakan untuk meniru komponen plastik yang digunakan pada AE86.

    “Sejak mula lagi, Toyota GT86 sememangnya dibina sebagai kereta untuk meraih perhatian peminat, sama ada dalam kemasan standard atau sebagai asas yang berpotensi untuk diubahsuai,” kata Joe Clifford dari pasukan projek istimewa Toyota UK.

    “Dengan konsep Inital D ini kami bukan sahaja menunjukkan betapa pentingnya AE86 dalam mempengaruhi pendekatan moden Toyota terhadap kereta sport tetapi juga turut memperlihatkan bagaimana penampilan dan dinamik GT86 boleh ditingkatkan dengan aksesori selepas jualan yang mudah. Tetapi yang lebih penting dari semua itu, kami hanya merasakan ia adalah idea yang cool,” tambahnya.

    Sememangnya pengenalan model konsep Toyota GT86 Initial D kepada dunia adalah idea yang sangat cool. Toyota juga turut meminta artis manga Sonia Leong untuk mereka latar belakang panorama untuk menjadikan GT86 sebenar ini sebagai watak dalam manga.

     
     
  • Perjalanan terus ke Kuala Lumpur dari Putra Heights dengan LRT dengan pembukaan penuh LEP hari ini

    lrt-depot

    Pengguna LRT hari ini boleh menggunakan perkhidmatan berkenaan untuk bergerak dari Putra Heights menuju ke pusat bandaraya Kuala Lumpur setelah Projek Penyambungan Jajaran (LEP) mula beroperasi sepenuhnya bermula pukul enam pagi tadi. Sebanyak 15 buah stesen baharu dibuka termasuk stesen integrasi Putra Heights, yang menemukan kedua-dua Laluan Kelana Jaya dan Laluan Sri Petaling.

    “Mulai 6 pagi tadi, orang ramai boleh menuju ke KL dari Putra Heights dengan menggunakan LRT. Tiada lagi kesesakan lalu lintas; tiada lagi kerunsingan mencari tempat letak kereta di bandaraya. Dari Putra Heights, anda boleh memilih sama ada hendak menggunakan Laluan Kelana Jaya atau Laluan Sri Petaling/Ampang berdasarkan destinasi anda. Ataupun, anda boleh merancang perjalanan dan menggunakan kedua-dua laluan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Encik Ahmad Nizam Mohamed Amin.

    Di samping menyediakan kemudahan perjalanan terus ke bandaraya dan pertukaran laluan untuk para penumpang, pembukaan penuh LEP hari ini akan turut menyediakan kemudahan silih-sambungan dengan perkhidmatan KTM Komuter dan dengan Bas Rapid Transit – Laluan Sunway.

    Sementara silih-sambungan dengan perkhidmatan bas elektrik BRT-Laluan Sunway disediakan oleh stesen USJ 7, pertukaran dengan KTM Komuter Laluan Pelabuhan Klang – Rawang pula disediakan oleh stesen Subang Jaya, yang merupakan dua stesen baru di bawah penyambungan jajaran LEP Kelana Jaya.

    LRT-Extension-Map

    “Sepuluh lagi stesen baru untuk Laluan Kelana Jaya adalah Lembah Subang, Ara Damansara, Glenmarie, SS15; SS18; Taipan; Wawasan; USJ 21; Awan Megah; dan Subang Alam. Untuk LEP Laluan Ampang/Sri Petaling, lapan daripada stesen-stesen sudahpun memulakan operasi. Sementara stesen-stesen Awan Besar, Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK5 dibuka sejak 31 Oktober tahun lepas, empat lagi stesen – IOI Puchong Jaya, Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong dan Bandar Puteri memulakan operasi sejak 31 Mac lepas.

    “Baki tiga lagi stesen untuk Laluan Ampang dibuka hari ini untuk operasi adalah stesen Puchong Prima, Puchong Perdana dan Putra Heights, yang berintegrasi dengan Laluan Kelana Jaya. Waktu operasi adalah daripada pukul 6 pagi sehingga tengah malam.

    “Serentak dengan pembukaan ini, rakan kami di Rapid Bus akan memulakan perkhidmatan bas pengantara atau ‘feeder bus’ bagi memastikan para penumpang dapat menggunakan perkhidmatan ini dengan tenang dan selesa.

    “Butiran penuh mengenai jadual dan kekerapan bas ini boleh didapati di laman web www.myrapid.com.my. Anda juga boleh mendapat maklumat mengenai kemudahan ‘parkir dan gerak’ atau ‘park ‘n ride’ untuk meletakkan kenderaan anda sekiranya memilih untuk tidak menaiki bas. “Untuk satu bulan pertama, tiada bayaran dikenakan di kawasan ‘parkir dan gerak’ kami. Untuk penjimatan, saya menyarankan para penumpang untuk menggunakan pakej bulanan MyRapid SMART 30 dan pakej mingguan SMART 7,” tambah Ahmad Nizam.

     
     
  • VIDEO: Pendedahan berkenaan bahaya di sepanjang lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan

    Baru-baru ini pihak polis telah mengeluarkan amaran kepada penunggang motosikal, tanpa mengira saiz motosikal, mereka perlu untuk menggunakan lorong motosikal di sepanjang Lebuhraya Persekutuan. Amaran ini telah disuarakan sendiri oleh Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman SAC Mahamad Akhir Darus.

    Mahamad turut menyatakan tiada pengecualian diberikan kepada penunggang motosikal berkapasiti lebih besar, dan menambah “Jurutera telah membuat kajian mereka dan merekabentuk laluan untuk digunakan semua jenis motosikal” dan meniyfatkan alasan penunggang yang tidak mahu menggunakan laluan berkenaan sebagai “alasan yang lemah dan tidak boleh diterima.” Kenyataan berkenaan mengundang provokasi kepada ramai penunggang motosikal, di mana ramai daripada mereka mengatakan lorong berkenaan tidak selamat untuk dilalui, terutamanya di terowong-terowong, lebih-lebih lagi pada waktu malam atau dalam cuaca buruk.

    Oleh itu, kami mengambil keputusan untuk melihat sendiri adakah dakwaan-dakwaan berkenaan benar. Mohan, penunggang uji motosikal residen paultan.org menunggang sendiri motosikal sepanjang lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan untuk kali ini, di mana dia sendiri sebenarnya sudah hampir 10 tahun tidak menggunakan laluan tersebut, sebaliknya lebih suka menggunakan laluan alternatif.

    Kamera dipasangkan pada motosikal Triumph Street Triple R, dan laluan tunggangan dimulakan dari susur masuk Jalan Utara untuk ke lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan, menuju ke Klang dan kemudian pulang semula.

    Federal Highway motorcycle lane - 127

    Perkara pertama yang kami perasan semasa masuk ke lorong motosikal ialah betapa sempitnya lorong tersebut. Hanya muat untuk dua buah kapchai secara bersebelahan. Triumph Street Triple yang ditunggang ini, walaupun bukanlah sebuah motosikal yang benar-benar besar, memerlukan keputusan dibuat dengan cepat ketika memotong.

    Lagi satu perkara yang kami perasan adalah permukaan jalan, yang ditampal di banyak kawasan, dan sangat kasar serta tidak rata. Antara maklum balas yang kami terima ialah permukaan jalan tersebut agak berbahaya kepada roda motosikal, dengan ramai yang mengatakan rim mereka bengkok kerana secara tidak sengaja melanggar lubang pada jalan di lorong berkenaan.

    Maklum balas lain pula mengatakan permukaan lubang yang tidak rata, dengan akar pokok yang menjalar di bawah permukaan tar, memerlukan mereka mengelak, dan kami dapati ia adalah benar. Menukar haluan secara mengejut untuk mengelak halangan-halangan ini bukanlah perkara yang boleh dilakukan pada laluan yang sempit terutamanya pada waktu puncak.

    Federal Highway motorcycle lane - 128

    Kawasan pembinaan sepanjang kedua-dua belah laluan Lebuhraya Persekutan telah menjejaskan beberapa kawasan pada lorong motosikal menyebabkan sebahagian laluan dialihkan ke lorong kecemasan. Walaupun ini merupakan langkah yang perlu dilakukan dalam terma pengurusan trafik, kami dapati penghadang trafik yang diletakkan pada laluan sementara berkenaan terlalu sempit, tiada ruang untuk melakukan kesilapan atau berhenti.

    Halangan yang kami jumpa kebanyakkannya tiada tanda amaran atau lampu amaran yang sepatutnya, manakala serpihan dari kawasan pembinaan ditemui bersepah di kebanyakkan laluan. Jika anda menunggang motocross, pasir mungkin sesuatu yang menyeronokkan, tetapi jika anda menunggang skuter dengan roda yang kecil atau motosikal dengan beban yang berat pada bahagian belakang, perkara ini merupakan risiko yang serius.

    Menunggang melalui terowong mendedahkan lagi halangan lain, terutamanya berkaitan lampu. Pada sebahagian terowong, lampu tidak berfungsi, atau berkelip. Isu lain ialah tahap pencahayaan. Menunggang ketika panas terik, kemudian masuk ke terowong yang gelap menjadikan penunggang akan kehilangan pandangan seketika kerana cahaya yang kurang di dalam terowong.

    Federal Highway motorcycle lane - 106

    Mata mengambil sedikit masa untuk dapat melihat kembali ketika beralih dari kawasan sangat terang ke kawasan gelap gelita. Ini agak bahaya walaupun ketika menunggang pada kelajuan 60-80 km/j. Permukaan jalan di dalam terowong, yang kami agak ia dibina dari konkrit juga tidak rata.

    Motosikal yang kami tunggang menggunakan suspensi boleh laras tiada masalah untuk melalui permukaan sedemikian. Tetapi kami tertanya-tanya bagaimana penunggang dengan motosikal biasa melalui permukaan sebegitu setiap hari.

    Dalam kebanyakkan kes, penunggang perlu mengambil selekoh yang tajam untuk masuk ke terowong, dengan laluan keluar yang tajam menunggu pada penghujung. Dengan pandangan yang boleh hilang sementara semasa masuk ke kawasan yang gelap, ini merupakan pengalaman yang bukanlah menarik semasa menunggang sepanjang lorong ini.

    Federal Highway motorcycle lane - 117

    Isu lain adalah berkenaan halangan air yang kami tempuhi. Kami dapati air bertakung pada sebahagian tempat, dan mengikut maklum balas yang kami terima, banjir pada lorong motosikal semasa hujan lebat merupakan perkara biasa, dengan sebahagian daripada mereka mengatakan mereka hanya menyedari air telahpun naik hingga paras lutut setelah masuk ke dalam terowong.

    Sebahagian laluan pada lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan agak bengkang-bengkok, hampir seperti landasan roller coaster. Mungkin sebahagian daripada anda menganggapnya agak menyeronokkan, tetapi untuk mereka yang terpaksa menggunakannya untuk ke tempat kerja setiap hari, ia bukan perkara yang seronok. Ditambah dengan keadaan lorong yang sempit dan tiada kawasan untuk kecemasan jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, risiko untuk berlakunya kemalangan agak tinggi.

    Selekoh pada lorong motosikal ini merupakan salah satu sebab dari sebahagian kegusaran yang dibangkitkan. Beberapa selekoh direka dengan baik dan padan dengan had laju, tetapi terdapat juga selekoh dengan sudut 90 darjah yang agak mencabar teknik pengendalian kelajuan rendah penunggang. Lorong yang sempit ditambah dengan dinding dan pagar di kedua-dua sisi lorong, menjadikan lorong berkenaan sebagai lorong laluan tunggal.

    Federal Highway motorcycle lane - 110

    Jadi, ketika waktu puncak di mana terdapat banyak motosikal serentak pada satu-satu masa, kesesakkan terjadi secara tidak langsung. Sebahagian penunggang dikatakan tidak mempunyai ruang untuk mengelak sekiranya penunggang dihadapannya membrek secara tiba-tiba untuk mengambil selekoh atau mengelak lubang.

    Bonggol pada lorong motosikal ini juga dibina terlampau besar, dan kami nampak kemalangan berlaku apabila seorang penunggang hilang kawalan selepas melanggar bonggol berkenaan.

    Penunggang juga kadang-kala perlu bertaruh nasib semasa mahu memotong. Pada sesetengah bahagian seperti di Shah Alam, memotong adalah mudah kerana jalan yang lurus, jelas serta mempunyai ruang yang secukupnya untuk mengelak jika sesuatu terjadi. Tempat lain contohnya di Angkasapuri atau Sunway, memotong memerlukan anda membuat jangkaan yang yang tepat, dan berharap motosikal dihadapan tidak bertukar arah secara tiba-tiba.

    Federal Highway motorcycle lane - 107

    Penghadang jalan di sepanjang lorong juga dibina hampir dengan bahu jalan, bermaksud penunggang tidak boleh mengelak sekiranya apa-apa terjadi secara tiba-tiba di hadapan mereka. Apa yang boleh dilakukan adalah membrek dengan kuat dan berdoa tidak terjadi sesuatu yang tidak diingini.

    Menunggang dengan laju tidak membawa apa-apa makna kerana ruang untuk melakukan kesalahan adalah sangat kecil, jika anda menunggang dengan perlahan pula, anda akan menyebabkan kesesakan trafik. Kami menunggang dengan kelajuan purata 55 km/j, dan menurut GPS, kelajuan agak bertambah pada bahagian yang tiada halangan.

    Halangan lain yang kami nampak dalam perjalanan termasuk pejalan kaki berjalan dan melintas lorong, serta kereta yang turut melintasi lorong. Tanda arah juga agak kurang, serta susur keluar dari lorong motosikal ini juga tidak ditanda dengan jelas.

    Federal Highway motorcycle lane - 116

    Walaupun boleh untuk menunggang motosikal besar pada laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, tetapi sebenarnya ia agak berisiko. Jika penunggang tidak fokus, atau berlaku sesuatu secara tiba-tiba, kemalangan adalah mudah untuk berlaku. Pada sebahagian kawasan di lorong motosikal ini, satu-satunya perkara yang menyelamatkan penunggang kami adalah pengalaman menunggang selama berdekad-dekad, dan juga motosikal yang bagus.

    Jadi, jika dilihat dari sudut keselamatan, adakah polis mempunyai hak untuk menguatkuasakan penunggang untuk menggunakan lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan? Ya, undang-undang tetap undang-undang, dan tidak patuh kepada undang-undang bakal mewujudkan masalah lain. Sifat sambil lewa sebahagian pengguna jalan raya, tidak kira yang memandu atau menunggang, merupakan bukti yang kukuh.

    Tetapi, adakah adil untuk penunggang motosikal untuk berhadapan dengan bahaya di lorong motosikal, apabila infrastruktur dan penyelenggaraannya yang jelas teruk dalam pelbagai aspek?

    Kami harap video ini, bersama komen dan pendapat dari pembaca kami, akan membuka mata pihak berkuasa untuk membuat perubahan bukan sahaja pada lorong motosikal, tetapi pada keseluruhan jalan raya dan lebuhraya, bagi membolehkan kita mendapat perjalanan yang selamat ketika memandu atau menunggang.

     
     
  • JPJ cadang tindakan mahkamah bagi enam kesalahan utama jalan raya sempena Op Hari Raya Aidilfitri 2016

    Handphone drving

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mungkin bakal mengemukakan cadangan untuk mengenakan tindakan mahkamah terhadap pengguna jalan raya yang didapati melakukan enam kesalahan jalan raya sepanjang pelaksanaan Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2016 bermula hari ini hingga 13 Julai 2016.

    Enam kesalahan tersebut adalah gagal mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan tidak membenarkan kenderaan lain memotong.

    Menurut Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JPJ Datuk V. Valluvan Veloo, langkah itu dicadangkan berikutan tindakan mengenakan kompaun terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan itu sebelum ini didapati tidak lagi efektif, laporan Bernama.

    Beliau berkata cadangan berkenaan akan dibawa kepada pihak pengurusan tertinggi JPJ untuk dibincangkan dan apabila keputusan dibuat, pihaknya akan memaklumkannya dalam masa terdekat.

    “Cadangan ini dibuat kerana JPJ merasakan tindakan mengenakan kompaun sebelum ini tidak lagi efektif kerana pengguna jalan raya masih tidak sedar,” katanya dalam sidang media Op HRA 2016 semalam.

    Dalam pada itu, Valluvan Veloo berkata Op HRA dilaksanakan bagi membudayakan pemanduan berhemah dalam kalangan pengguna jalan raya serta mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya.

    Katanya, terdapat tujuh strategi penguatkuasaan operasi ini antaranya pemeriksaan bas ekspres di depoh dan pemeriksaan pemandu di 25 buah terminal bas utama negeri, penyamaran pegawai JPJ sebagai penumpang bas ekspres, operasi secara rondaan di 106 lokasi lebuh raya dan jalan utama negeri.

    “Selain itu, larangan ke atas kenderaan berat berada di jalan raya akan dikuatkuasakan pada 2 dan 3 Julai ini iaitu dua sebelum Aidilfitri serta pada 9 dan 10 Julai iaitu dua hari selepas Aidilfitri,” katanya.

    Valluvan Veloo berkata larangan ini bertujuan untuk mengelakkan risiko berlakunya kemalangan akibat percampuran trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan selain daripada mengurangkan kesesakan lalu lintas.

     
     
  • KTM tambah perkhidmatan komuter bagi Padang Besar-Butterworth-Padang Besar sempena Aidilfitri

    ktm-komuter-2

    KTM Berhad telah mengeluarkan kenyataan mengenai pertambahan perkhidmatan KTM Komuter pada hujung minggu bagi laluan Padang Besar-Butterworth-Padang Besar. Ia akan ditambah sebanyak 20 perkhidmatan sehari dari 1 Julai hingga 10 Julai ini sempena Hari Raya Aidilfitri. Kini terdapat 14 perkhidmatan KTM Komuter pada hujung minggu.

    Menurut KTM Berhad, enam perkhidmatan tambahan itu melibatkan, masing-masing tiga bagi laluan Padang Besar-Butterworth dan Butterworth-Padang Besar, laporan Bernama.

    Bagi laluan Padang Besar-Butterworth, ia berlepas pada 10 pagi, 3 petang, dan 5.40 petang manakala bagi laluan Butterworth-Padang Besar, ia berlepas pada 6.35 pagi, 12 tengah hari dan 2 petang.

    Dalam masa yang sama, KTM Berhad turut menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan dan membeli tiket dua hala bagi mengelak kesesakan di kaunter tiket.

     
     
  • JPJ terima 11,683 tempahan nombor pendaftaran siri F

    Putrajaya-F-No-Plate

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan kenyataan berhubung dengan nombor pendaftaran siri F iaitu bagi Putrajaya, telah menerima sebanyak 11,683 tempahan. Nombor pendaftaran siri F ini dibuka untuk tempahan pada 1 Jun lepas dan ditutup pada 12.00 tengah hari pada 14 Jun.

    Menurut JPJ lagi, orang ramai yang telah mengemukakan tempahan nombor pendaftaran tersebut boleh mula menyemak keputusan tempahan pada hari ini iaitu 1 Julai 2016, laporan Bernama.

    Di mana notis keputusan akan dipamerkan di Pejabat JPJ Cawangan Putrajaya dan Bahagian Pelesenan Kenderaan, Aras 3, Ibu Pejabat JPJ Malaysia, Putrajaya serta semua Ibu Pejabat JPJ Negeri. Bagi yang memenangi bidaan nombor pendaftaran berkenaan juga boleh membuat baki pembayaran di mana-mana pejabat JPJ Negeri atau cawangan yang melaksanakan urusan pendaftaran kenderaan.

    Menurut JPJ, jumlah tempahan siri F itu merupakan jumlah kedua tertinggi tempahan nombor pendaftaran selepas siri WWW yang dikeluarkan oleh JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 2012.

    JPJ turut berkata orang ramai yang berminat untuk mendapatkan nombor pendaftaran semasa siri F yang tidak ditempah, juga boleh berbuat demikian di mana-mana Pejabat JPJ Negeri mulai 3 Julai bagi negeri-negeri yang bekerja pada hari Ahad dan 4 Julai bagi negeri-negeri lain.

     
     
  • Lebuhraya Senai-Desaru menawarkan 10% diskaun tol pada 6 Julai ini selama 24 jam sempena Aidilfitri

    E22-Senai-Desaru

    Bagi yang ingin ke Johor sama ada untuk pulang ke kampung halaman atau pun sekadar bercuti, Senai-Desaru Expressway Bhd (SDEB) telah mengumumkan tawaran diskaun tol sehingga 10% kepada semua kenderaan yang menggunakan Lebuhraya E22 (Senai-Desaru) pada Hari Raya ini. Ia adalah bagi semua pengguna lebuhraya berkenaan, tanpa mengira sama ada mereka menggunakan bayaran tunai atau sistem elektronik ETC.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, SDEB berkata bagaimanapun pihaknya menggalakkan pemandu menggunakan lorong ETC untuk melancarkan lagi perjalanan mereka.

    Diskaun itu ditawarkan mulai jam 6 pagi pada 6 Julai sehingga 6 pagi 7 Julai 2016. Ia adalah sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat SDEB.

     
     
  • UMW Toyota umum kempen panggil balik melibatkan Toyota Prius dan Lexus CT200h kerana masalah beg udara tirai dan charcoal canister tangki minyak

    prius-fl-malaysia

    Susulan panggilan balik oleh Toyota Motor Corporation (TMC) seluruh dunia bagi beberapa model Toyota dan Lexus akibat masalah beg udara tirai dan charcoal canister tangki minyak, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) turut mengumumkan perkara yang sama melibatkan Toyota Prius dan Lexus CT200h bagi pasaran Malaysia.

    Kempen Servis Istimewa (SSC) atau panggilan pertama melibatkan isu beg udara tirai yang membabitkan lebih dari 3,500 unit Prius buatan antara April 2009 dan April 2012 serta 1,700 unit CT200h buatan antara Disember 2010 dan April 2012.

    Bagi kedua-dua model kenderaan berkenaan, beg udara tirai ini terletak di sisi kiri dan kanan rel bumbung, di mana inflator bagi beg udara tersebut mengandungi gas termampat dalam satu kebuk dan ia dikimpal bersama. Beberapa inflator dikesan mempunyai satu keretakan kecil dalam kawasan yang dipateri. Jika serpihan tersebut bertebaran, beg udara tersebut boleh pecah dan inflator itu boleh terkeluar dari beg udara yang boleh menyebabkan risiko kecederaan kepada pemandu dan penumpang di dalam kenderaan.

    Kempen SSC ini sangat diperlukan bagi memasang bracket pada inflator beg udara tirai ini bagi menghalang kebuk inflator bertebaran keluar ke kabin. Kerja-kerja pemasangan ini hanya mengambil masa kira-kira antara dua hingga ke empat jam, tertakluk pada jadual di pusat servis.

    fuel_suction_plate

    Manakala panggilan kedua pula melibatkan 6,000 unit model Prius (tahun buatan April 2009 dan November 2013) dan 3,000 unit CT200h (Disember 2010 dan Disember 2013). Ia adalah membabitkan charcoal canister pada tangki minyak. Di mana canister atau balang digunakan untuk mencegah emisi dari tangki minyak dilepaskan ke udara. Ada kemungkinan terdapat rekahan pada bahagian tepi saluran balang ini.

    Jika ia benar terjadi, rekahan tersebut boleh menjadi lebih besar dan menyebabkan tangki minyak bocor apabila minyak diisi penuh. Malah minyak atau wap minyak tersebut boleh mencetuskan percikan seterusnya mendatangkan risiko kebakaran pada kereta terbabit.

    SSC ini bertujuan untuk memastikan charcoal canister pada tangki minyak diganti baharu. Proses penggantian ini mungkin mengambil masa antara dua hingga tiga jam, juga bergantung pada jadual di pusat servis.

    Semua pemilik kenderaan terbabit akan menerima notis pemberitahuan oleh UMWT dan segala kos penukaran alat ganti dan kos buruh adalah ditanggung sepenuhnya oleh syarikat ini sendiri.

    Bagi pemilik yang tidak menerima sebarang notis atau ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenainya, sila hubungi talian bebas berikut – 1800-8-TOYOTA (869682) / 1800-8-LEXUS (53987). Atau pun terus berkunjung ke mana-mana pusat servis Toyota atau Lexus untuk bantuan.

     
     
  • Toyota panggil balik lebih 2.98 juta kereta Toyota dan Lexus kerana masalah charcoal canister tangki minyak

    prius-fl-malaysia

    Toyota telah mengumumkan kempen panggil balik di seluruh dunia yang melibatkan lebih 2.98 juta kereta Toyota dan Lexus kerana mengalami masalah tangki minyak. Model yang terlibat ialah Corolla, Auris, Prius, SAI, Rukus, CT200h, HS250h buatan antara tahun 2006 hingga 2015.

    Isu ini adalah disebabkan charcoal canister pada tangki minyak. Di mana canister atau balang digunakan untuk mencegah emisi dari tangki minyak dilepaskan ke udara. Ada kemungkinan terdapat rekahan pada bahagian tepi saluran balang ini.

    Jika ia benar terjadi, rekahan tersebut boleh menjadi lebih besar dan menyebabkan tangki minyak bocor apabila minyak diisi penuh. Malah minyak atau wap minyak tersebut boleh mencetuskan percikan seterusnya mendatangkan risiko kebakaran pada kereta terbabit.

    fuel_suction_plate

    Panggilan balik ini sangat penting bagi memastikan charcoal canister pada tangki minyak diganti baharu.

    Terdapat kemungkinan ia juga melibatkan model Toyota dan Lexus yang dijual di Malaysia dan kami sedang menantikan pihak UMW Toyota Motor mengeluarkan kenyataan khas mengenainya. Walau bagaimana pun, kempen panggil balik ini adalah berbeza dengan kempen panggil balik bagi beg udara tirai yang kami siarkan sebentar tadi.

     
     
  • Shell Malaysia anjur acara amal pada 1 hingga 3 Julai ini bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik

    Shell - Terima Kasih (2)

    Pastinya ramai yang sudah merancang untuk pulang ke kampung bersempena Hari Raya Aidilfitri yang akan berkunjung tiba. Perjalanan kali ini pastinya akan memberi lebih berkat kepada kanak-kanak yang memerlukan, di mana bersempena Aidilfitri tahun ini, Shell akan mendermakan RM0.01 untuk setiap satu liter bahan api yang diisi di mana-mana stesen Shell di seluruh negara pada 1, 2 dan 3 Julai ini. Sumbangan akan disalurkan untuk memperbaiki dan mengubah taraf kehidupan kanak-kanak yang kurang bernasib baik di seluruh negara.

    Ini merupakan tahun kedua Shell menganjurkan kempen amal ini. Pada tahun 2015, Shell telah mengumpulkan dana untuk lima organisasi dalam memberi tumpuan untuk meningkatkan taraf kebajikan kanak-kanak. Di mana pertubuhan-pertubuhan ini dapat menyediakan program pendidikan tambahan, mengubahsuai kemudahan, dan menaik taraf peralatan pejabat.

    “Tahun ini Shell ingin meneruskan perjalanan dalam memperkasakan kanak-kanak untuk membina masa depan yang lebih baik, dengan memberi mereka peluang untuk mencungkil bakat dan merebut peluang untuk mencapai potensi yang tertinggi. Berdasarkan peningkatan taraf kehidupan kesan daripada program ini pada tahun lepas, kami lebih komited untuk meneruskan lagi usaha ini dan menggalakkan rakyat Malaysia untuk mengisi minyak semasa perjalanan pulang ke kampung mereka.

    “Bersama-sama dengan rakan kongsi dan pelanggan-pelanggan kami, kami berharap untuk menjadikannya lebih besar dan lebih baik pada tahun ini” kata Datuk Azman Ismail Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. dan Shell Timur Sdn. Bhd.

    shell charity drive balk kampung

    Apatah lagi 2016 merupakan tahun yang amat penting bagi Shell kerana syarikat ini akan menyambut ulang tahun yang ke-125 di Malaysia pada tahun ini, dan acara amal ini merupakan titik permulaan bagi sambutan ulang tahun ini.

    Berkongsi inspirasi di sebalik program ini, Datuk Azman turut berkata, “Shell telah berada di Malaysia selama 125 tahun dalam memberi kesan pada kehidupan dan juga perkembangan negara. Kami mengembara bersama Malaysia dan juga rakyatnya. Kami percaya dalam memberi inspirasi kepada kemajuan yang berterusan dan menyediakan peluang untuk hari esok yang lebih baik. Tiada cara yang lebih baik untuk meraikan mercu tanda ini daripada menyumbang semula kepada masyarakat kita!”

    Dengan sokongan dari para pelanggan dan juga rakan kongsi, Shell akan menyalurkan sumbangan kepada enam rumah kebajikan pada tahun ini iaitu Persatuan Dyslexia Malaysia, Pusat Harian Kanak-Kanak Spastik Bandar Ipoh, Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Johor Bahru, Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (Rumah Putera Dan Puteri Harapan), Seri Mengasih Centre Sabah dan Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak.

    Tambahan pula dengan harapan untuk menambah lagi dana kutipan, ahli Bonuslink juga boleh menukar mata ganjaran mereka kepada sumbangan melalui kempen amal pada tahun ini. Pemegang kad BonusLink boleh menyumbang sebanyak RM1.00 untuk setiap 100 mata ganjaran untuk terus membantu dalam kutipan dana kepada organisasi–organisasi ini.

     
     
  • Toyota Prius dan Lexus CT 200h dipanggil semula kerana masalah modul beg udara tirai

    05-Prius-Exteriorb1

    Toyota telah mengumumkan panggilan semula terhadap Toyota Prius, Prius Plug-in Hybrid dan Lexus CT 200h kerana masalah pada modul beg udara tirai.

    Secara spesifik, panggilan semula ini melibatkan Prius yang dibuat pada 2010, 2011 dan 2012, Prius Plug-In Hybrid yang dibuat pada 2011 dan 2012 serta Lexus CT 200h.

    Beg udara bahagian tirai untuk bahagian pemandu dan penumpang pada rel bumbung mempunyai inflator beg udara terdiri dari dua kebuk yang dikimpal bersama. Keretakkan kecil mungkin berlaku dibahagian yang dikimpal pada kebuk berkenaan, dan ia semakin membesar dari masa ke masa, berkemungkinan akhirnya akan memisahkan inflator tersebut. Keadaan ini telah diperhatikan pada kenderaan yang diletakkan dan ditinggalkan untuk tempoh masa yang lama.

    Apabila inflator berkenaan terpisah, beg udara perlindungan tirai akan mengembung pada sebahagian sahaja dan pada keadaan-keadaan tertentu, kedua-dua bahagian pada inflator mungkin boleh masuk kebahagian dalaman kereta, berkemungkinan akan menyebabkan kecederaan kepada penumpang dalam kenderaan jika ia berlaku.

    Panggilan semula ini akan melibatkan pemasangan pendakap pengukukuhan pada inflator beg udara tirai berkenaan. Pendakap pengukuhan ini direka untuk mengelakkan kebuk inflator dari masuk ke bahagian dalaman kenderaan jika ia terpisah.

    UMW Toyota telah mengesahkan ada kereta untuk pasaran Malaysia terlibat dalam panggilan semula ini dan mereka dalam proses mengeluarkan kenyataan, dan dijangka akan dikeluarkan hari ini.

    Kami akan memberikan perkembangan isu ini jika kami menerima sebarang informasi terkini.

     
     
  • Proton tidak merancang untuk membangunkan model wagon buat masa ini, tumpu model sedia ada – sumber

    13517637_10205833386428218_6675654982331502527_o

    Sejak semalam tersebar viral di laman media sosial Facebook mengenai foto model wagon yang dimuat naik oleh Zainul Azraai. Pelbagai respons dari orang ramai berkenaan dengan model wagon yang nampaknya menggunakan Saga sebagai platformnya.

    Kebanyakan di antara mereka memberikan pendapat ia wajar untuk dibangunkan jika berbentuk wagon. Namun jika ia dilahirkan sebagai MPV, ramai yang mengatakan saiznya yang kecil (berbanding Exora) dan ia nampak tidak bersesuaian.

    Kami cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenainya dari Proton sendiri. Menurut sumber dalaman Proton, model prototaip wagon ini adalah sebagai kajian permulaan, namun buat masa ini, ia tidak ada dalam perancangan untuk dibangunkan.

    “Proton sudah memiliki terlampau banyak model, jadi kena merasionalisasikannnya. Lagi pun Proton tidak pernah membuat sebarang pengumuman untuk varian ini (wagon),” ujar sumber terbabit.

    Jadi nampak gayanya, model ‘Saga wagon’ ini sekadar di peringkat kajian permulaan sahaja, dan Proton ternyata tiada perancangan untuk membangunkannya. Lagi pun pastinya Proton sedang sibuk dengan persiapan untuk model baharu bagi Persona, Saga dan MPV-B (Ertiga), yang telah disahkan bakal dilancarkan pada tahun ini.

    Apa pendapat anda, adakah model wagon ini patut berada dalam senarai model yang bakal dibangunkan oleh Proton? Kongsikan bersama kami.

     
     
  • Pemandu teksi Pulau Pinang lancar protes terhadap Uber dan GrabCar- pendapatan makin berkurangan

    Taxi Drivers Protest Against GrabCar 1

    Foto : Pemandu teksi KL yang protes pada tahun lalu

    Seramai 200 pemandu teksi di Pulau Pinang telah melancarkan protes menentang perkhidmatan Uber dan GrabCar di negeri berkenaan. Protes tersebut telah berlangsung selama empat jam iaitu bermula 10 pagi tadi.

    Setiausaha Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Pemandu Kereta Sewa Pulau Pinang Mohamad Shahimi Hadzri berkata pihaknya menggesa agar kerajaan Persekutuan dan Kabinet supaya mempertimbangkan agar perkhidmatan Uber dan GrabCar diharamkan, laporan The Star.

    “Pihak Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan keadaan kami apabila pendapatan kami kian berkurangan sejak adanya Uber dan GrabCar. Sebelum ini, kami mampu mendapat lebih RM200 sehari, tapi kini hendak dapat RM50 sehari pun sukar. Teksi harus dibayar sewa. Jadi bagaimana kami hendak bertahan jika terpaksa berhadapan dengan perkara ini?” soalnya kepada pihak media ketika protes yang berlangsung di Esplanade ini.

    Beliau turut menambah, jika Sabah boleh mengharamkan Uber dan GrabCar, Pulau Pinang dan seluruh negeri di Malaysia patut berbuat perkara yang sama.

     
     
  • Proton sediakan pemeriksaan percuma bagi pemilik kenderaannya di 10 stesen Petronas terpilih

    Proton Iriz Petronas Primax Edition 4

    Selari dengan tradisi sambutan perayaan Hari Raya, Proton sekali lagi menyediakan pemeriksaan keselamatan 20 mata percuma kepada pelanggan-pelanggannya di stesen-stesen Petronas yang terpilih. Inisiatif ini merupakan kerjasama dengan PETRONAS bersempena kempen PETRONAS “Coffee Break”.

    Pemeriksaan keselamatan percuma ini sah dari 2 hingga 4 Julai 2016, dari jam 9 pagi hingga 7 malam. Selaras dengan kempen Petronas “Coffee Break” yang telah diperluaskan ke lebih banyak stesen-stesen PETRONAS, wakil-wakil Proton akan ditempatkan di 10 stesen yang berbeza di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Pahang dan Kelantan.

    “Pada 2015, kami hanya berada di lima buah Stesen Petronas untuk inisiatif kesedaran keselamatan oleh PROTON dan disebabkan peningkatan kadar kesedaran di kalangan pemilik Proton, kami berupaya untuk menambahkan perkhidmatan pemeriksaan keselamatan ini ke tujuh buah Stesen Petronas semasa musim perayaan Tahun Baru Cina Februari lalu.

    “Kami bersyukur di atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kerana Petronas kini mengembangkan capaian kami kepada 10 buah Stesen PETRONAS untuk musim perayaan ini, supaya kami dapat menyediakan pemeriksaan keselamatan percuma kepada lebih ramai orang, terutama mereka yang menggunakan lebuh raya utama untuk perjalanan pulang ke kampung,” kata Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

    Pemeriksaan keselamatan 20 mata ini termasuk pemeriksaan ke atas sistem brek, suspensi, tayar, bateri, bilah pengelap cermin, tali sawat, lampu dan paras cecair seperti minyak enjin, bendalir brek, bahan pendingin dan bilah pengilap cermin. Bagi memeriahkan lagi sambutan ini, pemilik Proton juga akan dibekalkan dengan beg cenderahati yang diisi kuih-muih dan air mineral sebagai tanda penghargaan di atas sokongan yang diberikan.

    Proton_Petronas

    Pelanggan boleh singgah di pusat-pusat yang terletak di Stesen Petronas seperti di bawah:

    Kawasan Pusat Bandar
    – Stesen Petronas NKVE Subang, Selangor
    – Stesen Petronas Penchala Link, Selangor (arah Damansara)

    Kawasan Utara
    – Stesen Petronas Taman Nilam Sari, Sungai Petani, Kedah
    – Stesen Petronas Bandar Anak Bukit, Alor Setar, Kedah
    – Stesen Petronas Tok Kangar, Juru, Penang

    Kawasan Selatan
    – Stesen Petronas Air Keroh 3, Peringgit, Melaka
    – Stesen Petronas Bakri 2, Muar, Johor

    Kawasan Pantai Timur
    – Stesen Petronas Bentong R & R, Bentong, Pahang
    – Stesen Petronas Gambang Arah Timur, Kuantan, Pahang
    – Stesen Petronas Taman Guchil Jaya, Kuala Krai, Kelantan

    Kempen ini adalah sebahagian daripada kempen keselamatan berterusan di seluruh negara di mana pemilik Proton boleh membawa kereta mereka ke mana-mana pusat servis Proton untuk pemeriksaan keselamatan percuma Proton percaya kempen keselamatan ini mampu membantu untuk mewujudkan kesedaran kepada pelanggan dan pengguna jalan raya terhadap kepentingan penyelenggaraan kenderaan dan keselamatan, dan menyediakan peluang untuk mendidik dan meningkatkan keselamatan bagi mengurangkan kemalangan jalan raya terutamanya pada musim perayaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jul 04, 2024