Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Menteri perjelas isu plat nombor pendaftaran khas

    KL_Plate

    Berikutan bantahan orang ramai terhadap bidaan sifar bagi beberapa nombor pendaftaran khas kenderaan, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi menjelaskan, selain Yang di-Pertuan Agong dan Sultan, ia hanya diperuntukan untuk Perdana Menteri (PM), Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan para menteri Kabinet sahaja.

    Manakala hanya tujuh nombor pendaftaran khas diperuntukan untuk kerabat diraja, sementara dua untuk PM serta TPM, laporan The Sun.

    “Menteri Kabinet pula hanya sekali sahaja layak menerima faedah untuk memilih mana-mana nombor pendaftaran sepanjang jawatan dipegang. Manakala timbalan menteri tidak menerima faedah ini. Malah saya sendiri tidak layak menerimanya,” ujarnya sambil menambah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa memastikan prosedur dipatuhi apabila menganugerahkan nombor pendaftaran khas kepada individu.

    Beliau turut berkata, nombor pendaftaran khas ini diberikan kepada menteri Kabinet, PM dan TPM kerana mereka ini tergolong sebagai pegawai tertinggi pentadbiran kerajaan persekutuan.

    Kenyataan daripada Aziz ini adalah bagi memperjelaskan persoalan yang ditimbulkan oleh orang awam mengenai “Anggota Pentadbiran Kerajaan” bagi dua nombor pendaftaran “V 38” dan “V 6”, dengan sifar bidaan dalam senarai yang diedarkan oleh JPJ bulan lalu.

    Beliau juga mengulangi bahawa tiada kakitangan awam diberi keistimewaan semasa proses pembidaan baru-baru ini iaitu yang melibatkan “F 1 hingga F 9999” (Putrajaya) dan “V 1 hingga V 9999” (Kuala Lumpur).

    Nombor pendaftaran kenderaan baharu, “V” telah menerima bidaan sejumlah RM22 juta sekaligus mencatatkan rekod baharu bagi JPJ. Di mana nilai itu dianggap luar biasa apabila 15,000 individu dan syarikat membidanya, melebihi jumlah 10,000 nombor pendaftaran ‘V’ yang ditawarkan. Manakala “F” pula mencatat bidaan sebanyak RM17 juta iaitu darupada 2,276 nombor yang berjaya didaftarkan.

     
     
  • Malaysia tempat memandu terbaik di Asean – Waze

    Johor road Bernama

    Mungkin ini suatu yang mengejutkan kerana negara kita, khususnya di sekitar Kuala Lumpur sering berlaku kesesakan trafik tanpa mengira waktu. Bahkan kebanyakan lebuhraya utama juga sering berhadapan dengan masalah kesesakan trafik khususnya ketika cuti panjang di hujung minggu mahu pun musim perayaan.

    Namun percayakah anda bahawa Malaysia telah diiktiraf sebagai tempat memandu terbaik di Asean? Menurut aplikasi pengemudian serta trafik masa sebenar, Waze, di peringkat global, Malaysia menduduki kedudukan ke-23 daripada 38 negara dan 235 bandar raya serta bandar yang dikaji menerusi Indeks Kepuasan Pemandu tahunan kedua yang menilai keseluruhan pengalaman pemandu.

    Malah antara 235 buah bandar raya dan bandar itu, Melaka Tengah menduduki kedudukan ke-94, kedudukan tertinggi bandar dalam negara ini, laporan Utusan Malaysia.

    Selain Melaka Tengah, jalan raya di Kuala Terengganu juga merupakan di antara tempat yang paling digemari pemandu dan menduduki kedudukan ke-97, manakala Kuala Muda, Kedah (105) dan Kota Bharu, Kelantan (124).

    Sementara itu, bandar raya Kuching berada di kedudukan ke-131, Kuantan (134), Kuala Lumpur (137), Kinta (138), Batu Pahat (139), Johor Baru (140), Kota Kinabalu (164) manakala Larut dan Matang (166).

    Bukan itu saja, Malaysia turut diangkat sebagai antara salah sebuah daripada empat negara Asean yang dipaparkan dalam indeks tersebut. Selain itu, Singapura, Indonesia dan Filipina masing-masing menduduki kedudukan ke-32, 34 dan 37.

    Mahu tahu tempat paling teruk untuk memandu di dunia? Nah! Jawapannya adalah Cebu yang terletak di Filipina. Walau pun merupakan antara lokasi percutian paling popular di negara itu, rata-rata yang pernah mengunjungi Cebu berpendapat adalah sangat menguji kesabaran untuk memandu di sana. Bukan setakat kota Manila yang sering mengundang kesesakan trafik, malah ia turut dialami di Cebu, bahkan lebih teruk daripada itu kerana lokasinya yang kecil tetapi cukup padat dengan pelbagai kenderaan.

    Negara jiran, Indonesia, turut mencatatkan kedudukan yang rendah dalam indeks ini dengan beberapa bandarnya dicatatkan sebagai tempat paling teruk memandu di dunia, iaitu Bogor (kedudukan ke-185), Denpasar (183), Bandung (182), Surabaya (181) dan Jakarta (178).

    Manakala tempat terbaik untuk memandu di dunia ialah Netherlands yang kekal di kedudukan yang sama sejak tahun lalu, diikuti oleh Perancis dan Amerika Syarikat.

    Menurut Waze, indeks itu fokus terhadap lebih 20,000 pengguna aktif aplikasi tersebut secara bulanan untuk memastikan ketepatan data dan perbandingan pasaran yang adil.

    Enam faktor yang diambil kira untuk indeks tersebut adalah kepadatan trafik, kualiti jalan raya dan infrastruktur, keselamatan jalan raya, ketersediaan perkhidmatan pemandu, sosio ekonomi dan tahap kepuasan hati pengguna Waze.

     
     
  • Lebuhraya LATAR ditutup secara berperingkat pada 25 Sept ini sempena ‘Kayuhan Sihat 99KM LATAR’

    LATAR-02

    KL-Kuala Selangor Expressway Berhad (KLSEB) iaitu syarikat konsesi Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Lebuhraya LATAR) telah mengumumkan penutupan laluan di lebuhraya terbabit pada 25 September ini bagi menjayakan perlumbaan berbasikal ‘Kayuhan Sihat 99KM LATAR’. Penutupan tersebut akan dilaksanakan mulai jam 3 pagi sehingga 1 tengahari pada tarikh berkenaan.

    Ketua Pegawai Operasi LATAR Ahmad Fuad Ahmad Shahimi berkata, penutupan lebuh raya itu bertujuan memastikan acara berbasikal berkenaan berjalan lancar dan selamat, laporan Bernama.

    “Lebuh raya ini akan ditutup mulai pukul 3 pagi secara berperingkat dan pukul 5 pagi secara penuh sehingga 1 tengah hari.

    “Bagaimanapun semua kenderaan kecemasan yang memberi perkhidmatan kepada orang ramai seperti ambulans, bomba dan polis dibenarkan melalui Latar sepanjang waktu penutupan, namun mereka harus berhati-hati dengan kehadiran pelumba di sepanjang laluan lebuh raya,” katanya kepada pihak media.

    Ahmad Fuad berkata, penutupan lebuh raya itu bermula di Kompleks Operasi LATAR sehingga ke tol plaza Taman Rimba Templer dan sebelum peserta perlumbaan membuat pusingan U di garisan penamat di kompleks operasi lebuh raya berkenaan.

    “Sebagai jalan alternatif, pengguna dari Ijok ke Kuala Selangor boleh menggunakan Jalan Bukit Badong menghala ke Jalan Rawang-Bestari Jaya dan terus ke Jalan Klang-Teluk Intan di pekan Kuala Selangor.

    “Pengguna dari Klang dan Kuala Selangor yang mahu menuju ke Ijok boleh melalui Jalan Rawang-Bestari Jaya di pekan Kuala Selangor menuju Jalan Bukit Badong untuk tiba ke pekan Ijok,” katanya.

     
     
  • Proton Saga 2016 dapat 4-bintang dari ASEAN NCAP

    proton-saga-theo-render

    Dijadual bakal dilancarkan hujung bulan ini, Proton Saga 2016 telah pun menerima penarafan empat-bintang bagi perlindungan perlanggaran daripada ASEAN NCAP. Sedan bajet ini menerima 13.33 markah bagi perlindungan penumpang dewasa (AOP) dan 71% pematuhan bagi perlindungan penumpang kanak-kanak (COP), di mana membolehkan ia turut menerima empat-bintang bagi perlindungan kanak-kanak.

    Berbanding dengan model semasa Saga FLX+ yang diuji pada tahun 2013, ia menerima 10.23 markah bagi AOP, dengan penarafan tiga-bintang. Manakala bagi pematuhan COP pula, ia memperoleh 48%, iaitu hanya dua-bintang bagi perlindungan kanak-kanak.

    Perincian mengenai Saga baharu ini masih belum diperoleh, tetapi kereta ini sah menerima penjana kuasa yang sama dengan Iriz iaitu 1.3 liter VVT empat-silinder – jika pada Iriz, ia boleh menghasilkan 94 hp pada 5,750 rpm dan torque 120 Nm pada 4,000 rpm. Malah ia juga mungkin akan dipadankan dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan dan CVT.

     
     
  • Honda X-ADV 2017 akan memasuki fasa pengeluaran – akan dipertonton sepenuhnya di EICMA November ini

    77853_17ym_x_adv-e1473926883787-630x435bm

    Selepas mengeluarkan beberapa video teaser bulan lalu, Honda Motor Europe akhirnya mengesahkan skuter kembara X-ADV 2017 akan memasuki pasaran sebagai model baharu dan ia akan dipertonton kepada orang ramai semasa pameran motosikal EICMA di Milan, Itali bulan November nanti.

    Diasaskan daripada skuter konsep City Adventure, X-ADV adalah sebuah jentera jenis baharu kerana ia menggunakan suspensi yang tinggi tetapi dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar (DCT). Walaubagaimanapun, tangki minyak yang terletak di bawah penunggangnya menjadikan X-ADV sebuah skuter.

    Dengan kedudukan yang tinggi dan penunggangnya hanya perlu tegak untuk mengendalikannya, Honda X-ADV pasti akan dihargai ramai.

    X-ADV didatangkan dengan penghadang angin hadapan yang boleh dilaras lima kedudukan untuk melindungi penunggang daripada angin manakala bahagian simpanan pula mampu menyimpan sebuah helmet offroad.

    Desas-desus mengatakan skuter ini akan dikuasakan oleh enjin 749cc tetapi spesifikasi sebenarnya akan diketahui apabila dipertonton kelak.

     
     
  • Suara Tony Fernandes digunakan dalam aplikasi Waze

    Waze, aplikasi navigasi bagi telefon pintar, telah melancarkan ‘arahan bersuara’ baharu dengan mengundang CEO Kumpulan AirAsia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes sebagai penyumbang suara.

    “Ramai yang bertanya kepada saya, bagaimana rasanya menjadi juruterbang AirAsia. Kini, anda boleh merasai pengalaman seperti sedang terbang di awan yang tinggi, dengan saya sebagai pegawai kawalan trafik udara anda.”

    “Seperti kawalan trafik udara yang sebenar, saya tidak boleh berjanji tentang kesesakan, namun saya boleh berjanji, dengan Waze, kita akan sampai ke destinasi dengan pantas,” ujar Fernandes menerusi laporan Bernama.

    Menurut Pengurus Jualan Waze Malaysia, Edward Ling, ia merupakan satu cabaran untuk mengundang Fernandes menjadi penyumbang suara bagi Waze.

    “Arahan bersuara menjadi elemen paling popular Waze dan arahan suara dari Fernandes sebagai ‘pembantu juruterbang’ anda, pastinya akan membuatkan anda terasa seperti sedang ‘terbang’ dalam pemanduan,” ujar Ling.

     
     
  • Mitsubishi GT-PHEV – model SUV konsep mewah ‘plug-in hybrid’; bakal buat penampilan sulung di Paris

    mitsubishi-gt-phev-concept-01-630x393

    Hujung bulan ini, Paris akan menjadi perhatian dunia dengan berlangsungnya Pameran Permotoran Paris 2016 dan dijangkakan banyak model-model menarik peringkat global akan membuat penampilan sulung. Antara yang tidak akan ketinggalan daripada berbuat demikian adalah Mitsubishi melalui model SUV konsep GT-PHEV ini.

    Disifatkan sebagai memberi gambaran terhadap SUV mewah jenama itu untuk masa hadapan, ia dilengkapi dengan sistem plug-in hybrid EV (PHEV) dengan tiga motor yang dibangunkan oleh Mitsubishi. Dari rekaan bagian depan, jelas ia menerapkan pendekatan Dynamic Shield, dengan rekaan keseluruhan sebuah SUV saiz penuh.

    Sistem PHEV berkenaan adalah dari generasi akan datang dengan bateri berkapasiti tinggi yang digandingkan dengan tiga motor dengan janaan kuasa yang tinggi – satu di depan dan dua di belakang – yang mampu memberikan jarak pergerakan 120 km di dalam mod elektrik sepenuhnya.

    Ia juga dilengkapi dengan sistem 4WD sepenuh masa serta sistem khusus Mitsubishi yang dikenali sebagai Super All Wheel Control (S-AWC). Jarak perjalanan keseluruhan yang mampu dicapai oleh sistem ini ialah 1,200 km. Seperkara yang menarik tentang rekaan baharu ini; Mitsubishi menjelaskan bahawa syarikat itu ingin memberikan tanggapan bawah model konsep ini seperti lahir daripada satu bongkah besi tunggal yang kukuh dan padat.

    Bahagian dalamannya menggunakan penggayaan papan pemuka melintang yang mewujudkan rasa suasana yang lebih luas. Kemasan pula menggunakan material kulit dalam warna Burgundy, sama dengan yang ada pada bahagian panel bumbungnya.

     
     
  • MRT: PM lancar jajaran Sg. Buloh-Serdang-Putrajaya – kos pembinaan melibatkan RM32 bilion

    mrt_pm

    Pagi tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan majlis pecah tanah bagi projek Mass Rapid Transit (MRT) bagi jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (MRT SSP). Projek bernilai RM32 bilion iaitu lebih RM9 bilion daripada fasa pertama, bakal memberi manfaat kepada kira-kira dua juta penduduk apabila laluannya siap sepenuhnya menjelang tahun 2022.

    Turut sama hadir ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar serta Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar.

    Najib berkata, pelancaran projek ini disifatkan sebagai satu sejarah kepada negara dalam usaha melakukan transformasi besar-besaran kepada pengangkutan awam negara terutama di Lembah Klang, laporan Berita Harian.

    “Pelaksanaan projek seumpama itu akan menambahkan lagi kemudahan prasarana baharu kepada rakyat terutama yang tinggal di sekitar ibu negara dan kawasan sekitarnya, di samping memudah dan menambah keselesaan kepada urusan mereka setiap hari.”

    “Di mana selepas projek MRT fasa pertama (jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang) hampir siap setelah lima tahun dalam proses pembinaannya, dan dijangka mula beroperasi pada akhir tahun ini, fasa kedua pula akan memulakan pembinaannya pada pertengahan tahun depan,” ujar beliau kepada pihak media selepas majlis berlangsung.

    Katanya lagi, projek itu akan membolehkan Kuala Lumpur dan Putrajaya dijadikan lonjakan kepada bandar bertaraf dunia dan meningkatkan tahap pasaran hartanah di kawasan ini.

    “Ini semua demi kemajuan Malaysia untuk masa akan datang. Apa yang diharapkan ketika ini supaya projek ini dapat disiapkan mengikut jadual, dengan kos pembinaannya juga dikawal sebaik mungkin,” katanya.

    mrt_2ndline

    Jajaran SSP ini adalah sepanjang 52.2 km dengan mempunyai 37 stesen serta melibatkan 13.5 km trek bawah tanah.

    Menurut Pengarah komunikasi strategik MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah, jajaran akan bermula di Sungai Buloh, akan melalui Kepong dan Batu serta melalui kawasan pusat bandar menghala ke Sungai Besi, Serdang, Seri Kembangan dan Cyberjaya sebelum berakhir di Putrajaya Sentral.

    “Ia dijangkan akan menjadi pengangkutaman utama bagi 529,000 penumpang setiap hari apabila beroperasi kelak,” ujarnya dalam satu taklimat khas kepada pihak media.

    Sambungnya lagi, selain depot Sungai Buloh, ia juga akan mempunyai satu lagi depot mini di Serdang untuk menyokong perkhidmatan tren ini ke setiap laluan.

    Selain itu, jajaran SSP juga akan menyediakan 9,200 ruang parkir bagi 15 buah stesennya. Selain itu, jajaran SSP juga akan memiliki 12 pertukaran di antara laluan bagi kemudahan sambungan laluan yang lebih baik.

    Sambungnya lagi, fasa pertama bagi jajaran SSP, iaiatu antara stesen Sungai Buloh dan Kampung Batu, dijangka beroperasi pada Julai 2012, manakala keseluruhan jajaran pula dijadualkan siap sepenuhnya pada Julai 2022.

     
     
  • 2,000 kenderaan disaman kerana langgar peraturan ganjil-gelap yang dikuatkuasakan di Jakarta

    singapore traffic 1-WM

    Kota Jakarta yang tersenarai sebagai antara 10 ibu kota tersibuk di dunia, telah menguatkuasakan sistem ganjil-gelap sejak 30 Ogos lalu. Ia dilaksanakan di semua laluan utama di kota Jakarta bagi mengurangkan kesesakan trafik yang kian meruncing apabila dianggarkan hampir 20 juta kenderaan pelbagai jenis melalui kawasan tersebut.

    Sistem ganjil-genap ialah peraturan membenarkan kenderaan memasuki jalan-jalan utama di kota Jakarta berdasarkan nombor plat terakhir yang dipadankan dengan haribulan sebagai menggantikan sistem minima tiga penumpang (3 dalam 1) di dalam kenderaan yang dilaksanakan sebelum ini, laporan Bernama.

    Walau bagaimana pun, sejak ia diperkenalkan, sebanyak lebih 2,000 kenderaan telah dikenakan saman kerana melanggar peraturan itu. Di mana mereka yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan saman dengan maksima Rp500,000 (kira-kira RM150).

    Memetik kenyataan Ketua Polis Trafik Metro Jaya, Budiyanto yang dilaporkan oleh media tempatan, polis terpaksa mengambil tindakan tegas untuk mengeluarkan saman bagi memastikan sistem ganjil-genap itu dipatuhi.

    Katanya, kebanyakan pemandu yang dikenakan saman itu memberi pelbagai alasan yang subjektif termasuk lupa dan kecemasan.

    Beliau berkata, berdasarkan penelitian, sistem ganjil-genap itu didapati telah mengurangkan kesesakan lalu lintas dan perjalanan kenderaan lebih cepat di kota Jakarta.

    Budiyanto bagaimanapun berkata jumlah mereka yang melanggar peraturan itu semakin berkurangan setelah mendapati ketegasan pihak berkuasa untuk mengawal lalu lintas di semua jalan-jalan utama itu.

     
     
  • Mercedes-AMG GT C Roadster – punya kuasa 557hp, 680Nm tork dan kelengkapan prestasi daripada GT R

    mercedes-amg-gt-c-roadster-23-850x393bm

    Awal minggu ini, Mercedes-Benz ada mengeluarkan video teaser Mercedes-AMG GT Roadster dan kini rupa sebenarnya didedahkan. Seperti yang dijangka, ia adalah GT versi tanpa bumbung tetapi juga mempunyai tambahan varian lain iaitu AMG GT C Roadster yang diperlengkap dengan barangan daripada GT R manakala kuasanya pula berada di antara AMG GT standard dan GT R.

    AMG GT Roadster dikuasakan oleh enjin 4.0 liter V8 Twin Turbo sama seperti AMG GT, dengan kuasa disampaikan oleh transmisi AMG Speedshift DCT klac berkembar tujuh kelajuan ke roda belakang. Secara standard, AMG GT Roadster menghasilkan 476hp dan 630Nm tork tetapi varian lebih berprestasi, AMG GT C Roadster mampu mengeluarkan 557hp dan 680Nm tork pada kadar rpm 1,900 hingga 5,750.

    Ini sekaligus meletakkan AMG GT C Roadster di tempat kedua paling berkuasa, di bawah AMG GT R yang berkuasa 585hp dan 700Nm tork.

    AMG GT Roadster standard boleh melakukan pecutan 0-100km/j dalam masa 4.0 saat, dengan kelajuan maksimum 302km/j manakala AMG GT C Roadster pula mencatat 3.7 saat dengan kelajuan maksimum 316km/j.

    AMG juga menggunakan DCT yang dinaik taraf pada bahagian perkakasan dan perisian untuk AMG GT C Roadster, di mana gear pertamanya mempunyai nisbah lebih tinggi manakala gear ketujuh dan pemacu akhir mempunyai nisbah lebih rendah. Selain itu, sistem ekzos dengan dua penutup (flap) boleh laras juga adalah standard bagi AMG GT C Roadster.

    mercedes-amg-gt-c-roadster-17-630x319bm

    Tidak cukup dengan itu, AMG GT C Roadster turut diperlengkap dengan barangan seperti GT R antaranya active rear axle steering dan electronically controlled rear axle locking differential. Kereta ini juga menggunakan suspensi sports AMG Ride Control, dengan penyerap adaptif tidak boleh didapati pada model bukan C.

    Bentuk luar AMG GT C juga mengikuti AMG GT R – dengan penghadang angin 57mm lebar di belakang, jarak roda lebih lebar dan roda bersaiz 265/35 R19 di hadapan dan 305/30 R20 di belakang. Bagi AMG GT Roadster standard, ia menggunakan roda bersaiz 255/35 R19 dan 295/35 R19.

    AMG GT C Roadster juga dilengkapi dengan bateri lithium-ion dan kelengkapan eksklusif lain seperti bahagian dalam dengan kulit Nappa, stereng prestasi AMG dibalut kulit Nappa dan gentian mikro Dinamica, serta tambahan mod Race bagi transmisinya (yang sedia ada adalah C, S, S+ dan I).

    Bumbung fabrik bagi AMG GT Roadster boleh dibuka dan ditutup dalam sekitar 11 saat dan boleh digunakan pada kelajuan sehingga 50km/j. Pemilik diberi pilihan tiga warna kain bumbung iaitu hitam, merah dan beige untuk dipadankan dengan 11 warna luaran dan 10 warna dalaman. Fabrik bumbung tiga lapis ini disokong dengan struktur ringan magnesium/besi/aluminium manakala perlindungan tambahan bahagian atas kepala diberi dengan penggunaan cross-member aluminium bersama rollover bar.

    Beberapa kelengkapan lain turut diguna bagi menyokong struktur tanpa bumbung ini termasuk skirting sisi dengan dinding lebih tebal, penyokong papan pemuka serta strut tower brace di antara bumbung dan tangki.

    Penutup ruang barangan belakang menggunakan bahan komposit baharu yang menjadikannya ringan manakala struktur load-bearing pula daripada Sheet Moulding Compound (SMC). Kombinasi bahan ini pertama kali digunakan pada AMG Roadster.

    AMG GT Roadster menggunakan sistem pengurusan angin aktif daripada GT R di mana laluan angin yang terletak pada bahagian hadapan boleh dibuka menggunakan motor elektrik apabila diperlukan.

    Di dalam, tempat duduk AMG Performance boleh dipilih sebagai aksesori tambahan bersama sistem pemanas leher Airscarf (tiga tahap pemanasan) dan pengawal suhu. Sistem bunyi Burmester (dua gred ditawarkan) pula mendapat manfaat daripada sistem Externed Coupled Subwoofer.

     
     
  • Toyota USA panggil balik Prius 2016 kerana masalah kebocoran gas pada beg udara – 7,600 unit terlibat

    prius_13-e1449647794341

    Toyota Motor Amerika Utara telah mengumumkan panggilan balik yang melibatkan 7,600 unit model Prius 2016 di Amerika Syarikat (USA). Ini merupakan panggilan balik pertama di USA yang melibatkan kereta hibrid generasi ke-empat itu.

    Di mana kereta yang terlibat dilengkapi dengan beg udara bagi penumpang hadapan, yang mengandungi gas termampat di dalam inflator. Komponen di dalam beg udara tersebut berkemungkinan tidak dikimpal dan/atau dipasang dengan betul. Maka, terdapat kemungkinan gas tersebut boleh terkeluar se walau pun tanpa isyarat dan boleh mengakibatkan inflator di dalam beg udara tersebut mengelembung secara sendiri.

    Sekiranya terjadi, gas termampat tersebut boleh masuk ke dalam inflator seterusnya menyebabkan pengembungan beg udara yang tidak sekata tanpa arahan (secara sendiri). Ini boleh terjadi apabila kenderaan diletakkan atau tidak digunakan bagi tempoh masa yang lama dalam suhu persekitaran yang tinggi. Sekaligus mengakibatkan risiko kecederaan dan boleh mengakibatkan kemalangan, ujar Toyota. Malah syarikat ini akan menghubungi pemilik Prius 2016 yang terlibat menerusi surat-menyurat mulai November.

    Alasan bagi panggilan balik ini juga adalah sama seperti mana yang dilakukan oleh Lexus Australia bagi model RX, yang diumumkan semalam. Walau bagaimana pun, ia tidak ada kaitan dengan panggilan balik yang melibatkan beg udara Takata.

     
     
  • Jaguar Land Rover tambah barisan enjin – Ingenium petrol dan transmisi automatik Transcend 8-kelajuan

    cenexinfographicsfinal-630x445bm

    Jaguar Land Rover akan menambah barisan enjinnya, yang akan memberi manfaat kepada model semasa serta akan datang kedua-dua jenama. Paling utama adalah enjin empat silinder petrol Ingenium, yang dalam beberapa variasi boleh menawarkan 25 peratus lebih kuasa berbanding enjin yang digantikannya dan penggunaan bahan api lebih menjimatkan sehingga 15 peratus.

    Enjin Ingenium petrol baharu ini (enjin Ingenium diesel sudah dilancarkan tahun lepas) digambarkan sebagai enjin paling maju pernah dihasilkan oleh syarikat ini dan ia menggunakan teknologi seperti electrohydraulic valvetrain, manifold ekzos bersepadu dan pengecas turbo twin-scroll dengan bebola seramik (ceramic ball bearings).

    Untuk lebih fleksibel dan serba boleh, enjin ini menggunakan kapasiti 500cc bagi setiap silinder dan boleh digunakan secara meluas termasuk untuk model sedan sports serta SUV mewah. Pengeluarannya sudah bermula di United Kingdom.

    Sebagai tambahan kepada barisan enjin baharu ini, Jaguar Land Rover juga sedang melakukan projek penyelidikan transmisi yang memakan belanja £30 juta yang dinamakan sebagai Transcend.

    Ia adalah transmisi automatik klac berkembar lapan kelajuan yang menggabungkan nisbah gear kadar rendah serta teknologi penggerak hibrid. Beratnya pula kurang 20kg berbanding transmisi automatik lapan kelajuan dalam kelas sama dan ia akan digunakan untuk kenderaan pacuan roda belakang dan pacuan semua roda (AWD).

    Dengan Transcend juga, kecekapan kenderaan masa hadapan Jaguar Land Rover akan meningkat manakala kemampuan sistem pacuan semua roda (AWD) mereka juga akan lebih berkembang kerana kotak gear tersebut mempunyai nisbah lebih meluas iaitu 20 dan ini adalah lebih dua kali ganda daripada kotak gear automatik lapan kelajuan biasa.

     
     
  • Prasarana perlu tubuhkan badan berkecuali bagi menyiasat gangguan perkhidmatan LRT – 4PAM

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Persatuan Pengguna Kenderaan Awam Malaysia (4PAM) mencadangkan agar Prasarana menubuhkan badan berkecuali yang terdiri daripada pihak-pihak yang berkepentingan untuk menyiasat gangguan perkhidmatan LRT yang berlaku baru-baru ini.

    Memetik laporan Bernama, Presidennya, Ajit Johl berkata hal itu sangat penting dilakukan untuk mendapatkan semula keyakinan orang awam berikutan kejadian yang berulang di laluan LRT Kelaja Jaya pada 7 dan 9 September lalu.

    “Badan berkenaan perlu dikekalkan. Isu-isu lain seperti kenaikan tambang, kemudahan dan tahap perkhidmatan turut boleh dinilai semula untuk memuaskan jangkaan pengguna,” ujar beliau. Ajit juga berharap agar Prasarana dapat memastikan langkah-langkah keselamatan diambil berikutan kejadian pengguna terpaksa berjalan di atas landasan dan itu sangat merbahaya.

    “Mereka perlu mempunyai satu pelan pemindahan penumpang yang lebih teratur jika kejadian ini berulang. Mujur tak ada yang cedera tempoh hari,” tambah beliau.

    Pada 7 September, gangguan pada sistem komunikasi menyebabkan penangguhan tren LRT antara Ampang Park dan Dang Wangi pada waktu puncak di sebelah pagi. Perkhidmatan hanya disambung semula pada pukul 1.15 tengah hari. Pada 9 September pula, tren berhenti tiba-tiba di antara stesen Datuk Keramat dan Damai pada 9.10 pagi, menyebabkan penumpang terperangkan 20 minit sebelum pintu dibuka dari luar dan penumpang diminta untuk turut dan berjalan di atas landasan.

     
     
  • Proton Persona cecah 7,000 unit tempahan setakat ini

    Proton_Persona_Executive_Ext-10

    Proton Persona yang dilancarkan pada Ogos lalu kini mencatatkan jumlah tempahan 7,000 unit setakat ini, memetik laporan Bernama. Mula diperkenalkan pada 2007, Proton Persona terbaharu adalah dari generasi kedua model berkenaan yang dikeluarkan.

    “Kami gembira dengan jumlah berkenaan dan berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran jualan antara 3,000 dan 4,000 unit sebulan. Sasaran itu dinyatakan sebelum ini oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Mohd Kenali,” jelas Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Syed Faisal Albar pada Majlis Penghargaan bagi Pemenang Pingat Olimpik Malaysia semalam.

    Proton tahun ini sudah memperkenalkan dua model baharu, iaitu Perdana dan Persona. Dua lagi model sedang menanti untuk dilancarkan bagi melengkapkan pengenalan empat model baharu keseluruhannya; Proton Saga pada hujung bulan ini manakala Proton Ertiga MPV pada Oktober nanti.

    Proton Persona 2016 1.6 Executive CVT

     
     
  • Mohon bantuan PM haramkan Uber, GrabCar – KPSTM

    Malaysia-Taxi-03

    Ekoran kemelut di antara pemandu teksi dengan Uber dan GrabCar yang masih tiada penyelesaiannya, Kesepakatan Persatuan Teksi Se Malaysia (KPTSM) memohon perhatian dan bantuan Perdana Menteri dengan alasan pendapatan mereka kian terjejas.

    KPSTM memohon Perdana Menteri agar mengharamkan perkhidmatan Uber dan GrabCar serta mendakwa pihak bertanggungjawab iaitu Suruhanjaya Pengangkutan Awam darat (SPAD), tidak tegas menangani isu berkenaan dan segala tuntutan mereka selama ini dipandang sepi, laporan Berita Harian.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Pemandu Teksi Lembah Klang (PTLK), Zailani Isa Usuludin, yang bernaung di bawah KPTSM, lebih 77,000 pemandu teksi dan kereta sewa seluruh negara sepakat untuk merangka memorandum bagi mengenengahkan masalah yang dihadapi kepada Datuk Seri Najib Razak.

    “Kami tidak pernah membantah atau menolak kemajuan teknologi, tetapi dalam perkara ini, ternyata pemilik aplikasi Uber dan GrabCar telah menyalahgunakannya dengan menyediakan kemudahan itu kepada kenderaan persendirian dan pemandu tidak bertauliah,” ujar Zailani.

    Katanya lagi, satu memorandum akan diserahkan kepada Perdana Menteri pada 26 September ini. Antara kandungan memorandum itu termasuk penolakan Program Transformasi Industri Teksi (TITP) kerana program yang diperkenalkan SPAD itu didakwa tidak memberi sebarang manfaat kepada industri teksi negara.

    “Selagi perkhidmatan Uber dan GrabCar terus beroperasi, kami merasakan program TITP yang dicadangkan tidak mampu menaiktaraf perkhidmatan teksi, malah ia akan membebankan kami,” ujar Zailani lagi sambil menegaskan transformasi yang akan dilaksanakan itu dilihat tidak telus dan lebih kepada agenda pihak SPAD untuk menghalalkan operasi Uber dan GrabCar di negara ini.

    Malahan KPTSM turut berpendapat isi kandungan inisiatif transformasi yang dicadangkan turut menjadikan industri teksi bercelaru dan menimbulkan ketidakseimbangan dalam sektor pengangkutan awam.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025