Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Polis beri 50% diskaun saman trafik pada 6 hingga 9 Februari 2025 di Kompleks Perbadanan Putrajaya

    Polis beri 50% diskaun saman trafik pada 6 hingga 9 Februari 2025 di Kompleks Perbadanan Putrajaya

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengumumkan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 50% bagi kesalahan terpilih yang ditawarkan mulai hari ini (6 Feruarib) sehingga 9 Februari 2025. Ia adalah sempena dengan Hari Terbuka Putrajaya 2025.

    Kaunter pembayaran saman berserta diskaun ini dibuka di Zon 1 Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3 dari jam 9 pagi hingga 4 petang. Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Op Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Putrajaya atau daerah berhampirannya, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • Suzuki e-Address diperkenal – skuter elektrik dengan tork sehingga 15 Nm, bateri LFP, jarak gerak 87 km

    Suzuki e-Address diperkenal – skuter elektrik dengan tork sehingga 15 Nm, bateri LFP, jarak gerak 87 km

    Tidak mahu ketinggalan dalam peralihan ke arah elektrifikasi, Suzuki memperkenalkan sebuah skuter elektrik yang dipanggil sebagai e-Address. Reka bentuknya masih mengikut konsep asal Address yang sudah dikenali ramai, tetapi diterapkan dengan ciri moden seperti lampu LED, termasuk untuk lampu hadapan, belakang dan penunjuk arah.

    Spesifikasi motor elektriknya tidak didedah, tetapi ia diberitahu menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) 51.2 V/60 Ah yang melekat pada badannya (tidak boleh dibawa keluar) dan mampu menghasilkan kuasa 4.1 kW (5.5 hp) dan tork 15 Nm.

    Apabila mempunyai cas penuh (boleh dicapai dalam masa 6.7 jam menggunakan pengecas rumah single-phase AC 200-240 V yang diberi sekali), skuter ini boleh mencatat jarak gerak sehingga 87 km dan ia dibantu dengan sistem penjanaan semula kuasa brek. Turut disediakan adalah mod undur.

    Suzuki e-Address diperkenal – skuter elektrik dengan tork sehingga 15 Nm, bateri LFP, jarak gerak 87 km

    Untuk menyesuaikan karekter skuter dengan penggunaan, penunggang disediakan dengan tiga mod iaitu Eco yang lebih memberi perhatian kepada penjimatan dan jarak gerak, mod A dengan tetapan penjanaan semula kuasa brek yang lebih tinggi tanpa mengabaikan kuasa dan mod B dengan tetapan penjanaan semula kuasa brek yang lebih rendah, menghasilkan rasa seperti skuter enjin pembakaran dalaman biasa.

    Sebagai skuter generasi baru, e-Address ini juga datang dengan kelengkapan berteknologi seperti sistem kunci pintar, soket pengecas USB, amaran halaju serta skrin TFT LCD 4.1 inci yang boleh disambung kepada telefon pintar dan memaparkan navigasi (petunjuk arah).

    Kemudahan lain yang disediakan untuk pengguna adalah seperti ruang simpanan bawah tempat duduk 17 liter, poket barangan di bawah pemegang, cangkuk untuk menggantung barang, brek parkir (melalui tuil di sebelah kiri pemegang) dan Combine Brake System.

    Rim yang digunakan adalah bersaiz 12 inci, dengan tayar 90/90 di hadapan dan 100/80 di belakang, dan ia dipegang masing-masing oleh fork teleskopik dan satu penyerap hentak di belakang. Brek hanya menggunakan unit cakera di hadapan sementara di belakang adalah dram. Berat keseluruhan e-Address adalah 122 kg.

     
     
  • JPJ tahan mekanik tunggang motosikal tanpa cukai jalan sejak 2002 – denda hingga RM2k, penjara 6 bulan

    JPJ tahan mekanik tunggang motosikal tanpa cukai jalan sejak 2002 – denda hingga RM2k, penjara 6 bulan

    Seorang mekanik berusia 61 tahun ditahan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak selepas dia didapati menunggang motosikal yang tidak mempunyai cukai jalan selama 23 tahun iaitu sejak 2002. Lelaki itu ditahan untuk disoal siasat dan motosikalnya disita semasa pemeriksaan rutin sebagai sebahagian daripada operasi penguatkuasaan Tahun Baharu Cina di sepanjang Jalan Silibin-Ipoh, laporan The Star.

    “Tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik motosikal kerana melanggar Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mewajibkan semua kenderaan bermotor di jalan raya wajib mempunyai lesen kenderaan bermotor (LKM) yang sah.

    “Kesalahan ini serius kerana LKM bukan sahaja bukti kenderaan telah didaftarkan tetapi juga memastikan pemilik membayar cukai jalan yang diperuntukan dan memenuhi syarat keselamatan kenderaan, ” kata Ketua JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan.

    Mohammad Yusoff berkata mekanik itu mendakwa dia hanya menunggang motosikalnya di dalam kawasan perumahan dan bukannya di jalan utama. Tambahnya, kenderaan yang tidak mempunyai LKM yang sah berisiko tidak dilindungi insurans sekiranya berlaku kemalangan yang boleh mendatangkan masalah kepada mangsa dan pemilik kenderaan.

    “Kesalahan tidak memperbaharui LKM boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan,” tambahnya lagi.

     
     
  • Lebih 50,000 lubang di jalan persekutuan seluruh negara telah ditampal pada tahun lalu – Nanta

    Lebih 50,000 lubang di jalan persekutuan seluruh negara telah ditampal pada tahun lalu – Nanta

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, lebih 50,000 jalan lubang di sepanjang jalan persekutuan di seluruh negara telah ditampal pada tahun lalu, laporan The Star.

    Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, ia membabitkan sebanyak 3,955 jalan berlubang di sepanjang jalan persekutuan di semenanjung manakala 51,949 di sepanjang jalan di wilayah Sabah, Sarawak dan Labuan.

    “Kami komited untuk memastikan jalan persekutuan sentiasa dalam keadaan selamat menerusi rutin penyelenggaran sepanjang tahun,” katanya dalam jawapan bertulis pada hari ini.

    Tambahnya, jalan berlubang juga dipantau melalui sistem dalam talian bagi memastikan ia ditampal antara tempoh 24 jam dan tiga hari setelah dikenal pasti.

    Lebih 50,000 lubang di jalan persekutuan seluruh negara telah ditampal pada tahun lalu – Nanta

    “Semua pembaikan mesti dilakukan mengikut spesifikasi dan prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya,” katanya lagi.

    Kenyataan ini adalah bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) di Parlimen, yang bertanyakan usaha kementerian membaiki jalan berlubang dan memastikan ia dilakukan dengan sewajarnya.

    Sebelum ini, timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, semua agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) membaiki jalan berlubang bagi jalan persekutuan iaitu dalam tempoh 24 jam.

    Ia adalah bagi mengelakkan kemudaratan kepada rakyat seperti mana yang pernah berlaku di Johor pada tahun lalu apabila ada seorang pengguna jalan raya menyaman satu konsesi bandaran kerana kecederaan di beberapa bahagian badan akibat terjatuh selepas motosikalnya terlanggar lubang. Konsesi itu kemudiannya diarah oleh mahkamah untuk membayar pampasan yang dinyatakan.

     
     
  • JPJ eBid: Siri JXT dan QDC bakal dibuka bidaan

    Jika anda sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Johor dan Sarawak yang bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JXT bakal dibuka bidaan mulai 11 Februari 2025. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 15 Februari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 16 Februari 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QDC, pula dibuka bidaan bermula 14 Februari 2025. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 18 Februari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 19 Februari 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • Harga minyak 6-12 Februari – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 6-12 Februari – Semuanya dikekalkan

    Selepas mengalami kenaikan harga untuk tujuh minggu berturut-turut, Kementerian Kewangan memutuskan untuk mengekalkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama di Malaysia iaitu petrol RON97 dan RON95 serta diesel untuk tempoh 6 hingga 12 Februari 2025, iaitu sama seperti minggu sebelum ini.

    Ini bermakna petrol RON 97 kekal berharga RM3.43 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Untuk diesel pula, harga runcit yang dijual di Semenanjung dikekalkan pada RM3.18 seliter. Begitu juga harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Baru-baru ini, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata kriteria kelayakan subsidi RON95 serta kaedah pelaksanaannya akan diumumkan dalam tempoh terdekat. Menurut beliau, kementeriannya akan membentangkan hal-hal berkaitan kepada Kabinet dalam masa terdekat untuk mendapatkan kelulusan sebelum diumumkan kepada umum.

    Pengumuman ini juga akan meliputi peralihan kelayakan dari set sedia ada yang berasaskan pendapatan kasar, yang dikelaskan mengikut segmen B40, M40 dan T20, kepada berdasarkan pendapatan boleh dibelanjakan (disposable income).

     
     
  • Nissan dilapor tolak tawaran jadi anak syarikat Honda, rancangan untuk bergabung mungkin dibatalkan

    Nissan dilapor tolak tawaran jadi anak syarikat Honda, rancangan untuk bergabung mungkin dibatalkan

    Penggabungan antara dua jenama utama automotif Jepun iaitu Honda dan Nissan nampaknya bukanlah sesuatu yang mudah – kedua-dua pihak sebelum ini sepatutnya sudahpun menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka penggabungan berkenaan pada akhir bulan lalu, namun ia kemudiannya ditunda pada pertengahan bulan ini.

    Khabar baharu yang bertiup dari Jepun membayangkan perbincangan ini mungkin akan dihentikan oleh Nissan, menurut Reuters yang memetik laporan dari akhbar Nikkei. Susulan berita tersebut saham Nissan telah jatuh 4% sebelum dagangan dihentikan oleh Bursa Saham Tokyo, manakala saham Honda pula naik lebih 8% menandakan pelabur lega kerana rundingan tersebut tidak diteruskan.

    Walau bagaimanapun jurucakap Nissan menyatakan bahawa laporan Nikkei itu “bukan berdasarkan informasi yang diumumkan oleh Nissan”, dan menambah keputusan muktamad berkenaan halatuju penggabungan tersebut hanya akan diumum pada pertengahan bulan ini.

    Manakala jurucakap Honda pula menyatakan bahawa pihaknya masih belum mendengar apa-apa berkenaan keputusan Nissan untuk membatalkan MoU yang dirancang bagi ditandatangani tersebut.

    Desas-desus berkenaan penggabungan jenama automotif nombor dua (Honda) dan ketiga (Nissan) terbesar di Jepun ini bermula akhir tahun lalu selepas Nissan yang kini dalam krisis kewangan dilaporkan hanya boleh bertahan sekitar 12 hingga 14 bulan sahaja lagi sekiranya tidak mempunyai pelabur yang stabil.

    Nissan dilapor tolak tawaran jadi anak syarikat Honda, rancangan untuk bergabung mungkin dibatalkan

    Bagi Honda pula penggabungan yang bakal mewujudkan kumpulan automotif ketiga terbesar di dunia tersebut dapat memperkukuhkan kedudukannya bagi menghadapi saingan sengit dari pengeluar kenderaan elektrik dari China iaitu BYD.

    Walau bagaimanapun perbincangan berkenaan menjadi sukar kerana perbezaan pandangan dari kedua-dua pihak, menurut dua individu yang berkaitan dengan perkara ini tetapi enggan dikenali kerana tidak mempunyai kuasa untuk bercakap kepada pihak media, lapor Reuters.

    Salah seorang sumber itu menyatakan bahawa Honda telah menawarkan Nissan untuk menjadi anak syarikatnya, dan ini telah mengalihkan halatuju sebenar perbincangan untuk menggabungkan kedua-dua syarikat tersebut secara sama rata.

    “Berita yang mengatakan bahawa Nissan tidak mahu menjadi anak syarikat Honda nampaknya menyerlahkan bahawa kuasa untuk mengawal adalah isu yang dipertikaikan,” kata Christopher Richter, penganalisis kanan automotif Jepun di broker CLSA dalam laporan ini.

    Beliau turut menambah bahawa sekiranya Honda tidak dapat memperolehi kuasa kawalan tersebut ia mungkin tidak akan bersetuju dengan penggabungan berkenaan.

     
     
  • Berapa banyak kereta import terpakai atau recond terjual di Msia? Kami bandingkan data MAA dan JPJ

    Berapa banyak kereta import terpakai atau recond terjual di Msia? Kami bandingkan data MAA dan JPJ

    Mahu atau tidak, kita perlu mengakui bahawa banyak kereta import terpakai atau dibaik pulih (recond) berada di atas jalan raya di Malaysia. Tapi sebenarnya, berapa banyak yang terjual setiap tahun? Adakah ia memberi kesan besar kepada penjual dan pengimport rasmi?

    Untuk mengetahuinya, kami membandingkan data jumlah jualan tahun 2024 yang dihantar oleh syarikat kenderaan kepada Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dengan data pendaftaran daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Jumlah daripada JPJ pastinya adalah lebih tinggi, kerana ia merangkumi semua pendaftaran termasuk kereta recond.

    Seperti yang boleh dijangka ramai, Toyota mencatat jualan kenderaan recond paling banyak di Malaysia. Hampir separuh adalah kereta recond, iaitu sebanyak 26,501 unit, dengan terdiri daripada model seperti Alphard, Vellfire, Harrier, Noah, Voxy dan yang berlencana GR. UMW Toyota sebagai pengedar rasmi menjual 100,701 buah kenderaan, bermakna hampir 21% kenderaan Toyota yang terjual adalah datang dari luar rangkaian pengedar rasmi.

    Berapa banyak kereta import terpakai atau recond terjual di Msia? Kami bandingkan data MAA dan JPJ

    Lebih mengejutkan, hampir 75% daripada 6,431 unit kenderaan Lexus yang didaftarkan tahun lepas adalah kereta recond, berkemungkinan daripada model NX atau RX. Bagi memberi gambaran, hanya satu daripada empat Lexus yang diserahkan kepada pelanggan pada tahun 2024 datang daripada pengedar rasmi Lexus Malaysia.

    Seperti yang boleh dilihat pada data ini, Mercedes-Benz juga tidak ketinggalan banyak dengan 4,773 buah kenderaan recond terjual tahun lepas, daripada jumlah pendaftaran keseluruhan 11,887 unit. Boleh dibayangkan juga, lebih 40% pembeli kenderaan mewah ini mendapatkan kenderaan mereka tanpa jaminan rasmi daripada pengeluar.

    Data untuk seteru jenama ini, iaitu BMW bagaimanapun tidak kelihatan. Malah, BMW Group Malaysia menghantar jumlah jualan yang lebih tinggi kepada MAA berbanding pendaftaran yang tertulis dalam data JPJ. Ini tidak mungkin berlaku melainkan syarikat itu berjaya menjual kenderaan mereka tanpa didaftar, sementara pemerhatian kami dalam laman jualan kenderaan masih mendapati ada kereta recond yang termasuk dalam senarai.

    Nissan adalah satu lagi jenama yang mencatat jumlah dalam MAA yang lebih tinggi berbanding pendaftaran JPJ. Melihatkan banyak GT-R atas jalan raya, jumlah ini adalah diragui. Sebelum ini Mercedes-Benz Malaysia (MBM) pernah membuat tuduhan ada jenama yang mengeluarkan jumlah tidak tepat kepada MAA.

    Di bawah Mercedes adalah Honda, dengan 3,574 unit kenderaan recond terjual tahun lepas, bersamaan 4.2% daripada keseluruhan 85,273 buah yang didaftar. Antara penyumbangnya mungkin adalah Civic Type R, dan juga model seperti StepWGN dan N-Box.

    Tidak mengejutkan, Porsche berada di tempat kelima dengan 1,401 buah kenderaan recond terjual tahun lepas, iaitu lebih separuh daripada jumlah kesel 2,704 unit. Model popular antaranya adalah Macan, dan mungkin juga Taycan bagi mengambil manfaat daripada pengecualian cukai yang diberi untuk kenderaan elektrik import penuh (CBU).

    Berapa banyak kereta import terpakai atau recond terjual di Msia? Kami bandingkan data MAA dan JPJ

    Jika datang daripada Jepun, harganya pasti adalah lebih murah, tetapi menggunakan soket pengecas AC Type 1 dan DC CHAdeMO, yang memerlukan adapter untuk dipadankan dengan kebanyakan pengecas AC Type 2 dan DC CCS2 yang berada di Malaysia. Ia juga tidak datang dengan jaminan bateri lapan tahun oleh pengedar rasmi Porsche di Malaysia, Sime Darby Auto Performance (SDAP).

    Peratusan paling tinggi dicatat oleh Land Rover, iaitu sebanyak 93% kenderaan recon terjual daripada jumlah keseluruhan 1,024 unit yang didaftar pada tahun 2024. Ini tidak mengejutkan apabila melihat betapa tingginya harga Range Rover dan Range Rover Sport baru di pasaran sekarang, yang semuanya berada atas RM1.5 juta.

    Satu lagi jenama yang mencatat jualan kenderaan recond lebih banyak berbanding saluran rasmi adalah Suzuki. Daripada 1,504 unit kenderaan jenama itu yang didaftar tahun lepas, 824 daripadanya adalah kenderaan recond, dan ini mungkin datang daripada model seperti Swift Sport dan Jimny. Rasanya kita tidak pelik, kerana lihatlah sendiri berapa harga model ini dalam keadaan baru daripada Naza Eastern Motors (NEM).

     
     
  • Cadangan projek pembinaan LPT3 belum dimuktamad, perlu teliti kemampuan pihak konsesi – KKR

    Cadangan projek pembinaan LPT3 belum dimuktamad, perlu teliti kemampuan pihak konsesi – KKR

    Kerajaan masih belum memuktamadkan cadangan projek pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3), ujar Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Tambah beliau, lebuhraya bertol penuh dengan anggaran kos RM9.8 bilion yang menghubungkan Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu ke Kampung Tunjong, Kota Bharu, Kelantan itu memerlukan penelitian mendalam, termasuk aspek kemampuan pihak konsesi, laporan Bernama.

    “Kita belum memberikan tender kepada mana-mana pihak kerana perlu melalui proses Request for Proposal (RFP) terlebih dahulu. Sama ada syarikat konsesi berminat atau tidak perlu dinilai, memandangkan kadar tol dari hujung ke hujung dianggarkan bernilai RM70.

    Ini menimbulkan persoalan sama ada lebuhraya ini berdaya saing dan mendapat sambutan. Tidak semua 33 konsesi tol ketika ini peroleh keuntungan. Ada juga yang tidak untung. Jadi, LPT 3 ini masih dalam peringkat yang belum ada keputusan muktamad,” katanya pada sesi Soal Jawab Lisan.

    Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai komitmen kerajaan dalam memastikan ketelusan penggunaan dana dan pembiayaan projek LPT3, selain senarai cadangan pembinaan lebuhraya baharu di Pantai Timur.

    KKR telah melaksanakan Kajian Kemungkinan LPT3 pada 2009 yang bertujuan untuk menentukan cadangan jajaran lebuhraya tersebut berdaya maju dari aspek teknikal mahupun ekonomi dengan kos projek pada waktu itu dianggarkan RM2.867 billion.

     
     
  • Stesen minyak dikesan guna pam diubah suai untuk keluarkan kurang minyak berbanding meter – KPDN

    Stesen minyak dikesan guna pam diubah suai untuk keluarkan kurang minyak berbanding meter – KPDN

    Perkara ini mungkin ramai yang terlepas pandang. Biasanya semasa mengisi minyak, kita cuma bayar, isi, letakkan kembali pam dan terus berlalu pergi. Tapi, adakah betul kita dapat berapa banyak minyak seperti yang kita bayar? Video yang dimuat naik oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak ini mungkin boleh dijadikan panduan.

    Dalam video pertama, pegawai KPDN menjelaskan semua stesen petrol perlu melalui penentusahan alat sukat pam setiap tahun dan sepatutnya memaparkan pelekat yang menunjukkan tarikh luput penentusahan tersebut. Jika terasa seperti anda dapat kurang minyak berbanding sepatutnya, lapor terus ke KPDN, kata pegawai tersebut.

    Dalam video kedua pula, anggota KPDN melakukan pemeriksaan di satu lagi stesen minyak (berkemungkinan di Perak) dan menggunakan alat khas sukat isipadu untuk menyukat jumlah minyak yang dikeluarkan oleh pam. Bagi jumlah yang diisi dalam alat tersebut, had selisih yang dibenarkan adalah antara -25 ml dan +50 ml.

    @kpdn_perak Replying to @kopitarikkaw PART2 KANTOI STATION MINYAK UBAH MEETER PETROL #petrol #diesel #kitagempur #kpdnperak #unitmedia_kpdnperak #fendyscreative ♬ original sound – KPDN PERAK

    Bagaimanapun, semasa ujian itu, didapati had selisih minyak yang dikeluarkan dari pam adalah kurang daripada -25 ml, menandakan pelanggan yang menggunakan pam tersebut akan mendapat jumlah minyak yang sedikit berbanding apa yang dibayar.

    Pemeriksaan lanjut juga mendapati terdapat ubah suai pada bahagian elektronik pam tersebut, yang boleh menyebabkan perkara itu berlaku. Tindakan kemudiannya dibuat mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 dan pam tersebut dikunci bagi mengelakkan pelanggan menggunakannya.

    @kpdn_perak Pemeriksaan Pump Dispenser di Stesen Minyak Manjung. #stesenminyak #shell #mcm #kpdnperak #unitmedia_kpdnperak ♬ original sound – KPDN PERAK

     
     
  • Keuntungan Mitsubishi Motors dijangka turun 76%; jualan di Indonesia dan Thailand merosot teruk

    Keuntungan Mitsubishi Motors dijangka turun 76%; jualan di Indonesia dan Thailand merosot teruk

    Mitsubishi Motors menurunkan jangkaan keuntungan bersih tahunannya untuk tahun kewangan berakhir Mac 2025 dengan hanya mensasarkan nilai 35 bilion yen (RM1.012 bilion), atau 76% lebih rendah berbanding jangkaan 144 bilion yen (RM4.16 bilion) yang dibuat pada Mei tahun lalu, lapor Nikkei Asia.

    Ini adalah berikutan beberapa faktor yang terjadi seperti kos pemasaran yang lebih tinggi daripada jangkaan untuk pasaran kompetitif seperti Amerika Utara, pembekal-pembekal sokongan yang terjejas akibat inflasi, dan yang paling utama jualan lembab untuk pasaran terbesar Mitsubishi dengan iaitu di rantau Asia Tenggara yang lazimnya mewakili 30% dari jumlah jualan global keseluruhan jenama dari Jepun itu.

    Jualan Mitsubishi di Filipina dan Vietnam masih lagi kuat, namun permintaan menjunam untuk dua pasaran utama ASEAN iaitu Thailand dan Indonesia. “Sebelum ini permintaan di Thailand mencecah satu juta unit kenderaan,” kata presiden dan CEO Mitsubishi Motors Takao Kato.

    Beliau menjelaskan permintaan kenderaan dari kedua-dua negara itu mula menurun ketika pandemik Covid-19 dan ia terus menjunam pada 2023 dan 2024 kerana beban hutang isi rumah yang semakin tinggi. “Permintaan kereta baharu mengambil masa untuk kembali normal kerana keadaan teruk dengan hutang isi rumah akan berterusan tahun ini,” katanya.

    Oleh itu Mitsubishi menurunkan sasaran jualan globalnya kepada 848,000 unit daripada unjuran sebelumnya sebanyak 895,000, dengan sasaran untuk Asia Tenggara diturunkan kepada 249,000 unit daripada 277,000 unit. Walau bagaimanapun sasaran berkenaan masih lebih tinggi dari jumlah jualan tahun kewangan sebelumnya iaitu 815,000 unit.

    Manakala keuntungan bersih pula dijangka akan turun sebanyak 77% berbanding tahun sebelumnya, disebabkan pendapatan operasi yang lebih rendah berjumlah 125 bilion yen dan jualan sebanyak 2,76 trilion yen, masing-masing turun 35% dan 1% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

    Selain itu Kato turut menyatakan Thailand adalah negara utama buat Mitsubishi bukan sahaja sebagai pangkalan pasaran, malah merupakan hab eksport, namun negara itu juga menjadi tempat di mana ia menghadapi pengukuhan mata wang tempatan yang “tidak dijangka”.

    “Kenaikan mendadak baht telah memberi kesan negatif yang ketara ke atas keuntungan kami,” kata Kato. Beliau juga berkata bahawa anak syarikat tempatan di Thailand telah memulakan pembaharuan struktur, termasuk memberhentikan 300 orang pekerja.

     
     
  • Yamaha 135LC Fi dapat warna baru – dari RM8,298

    Yamaha 135LC Fi dapat warna baru – dari RM8,298

    Sudah berada dalam pasaran hampir tiga tahun, Yamaha 135LC Fi sekali lagi diberikan pembaharuan warna dengan kali ini melibatkan empat warna iaitu Aqua Blue, Sandstorm dan Moss Green untuk versi Standard, dan Red Titan untuk versi SE.

    Harga yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) untuk kapcai ini adalah RM8,298 tidak termasuk insurans, dan masih sama seperti kali terakhir ia diberikan pembaharuan warna iaitu pada Oktober 2023. Bagi semua warna baru ini, ia menggunakan rim yang berwarna hitam.

    Bahagian lain motosikal ini masih lagi sama seperti waktu ia dilancarkan dahulu, bermula dengan enjin yang menggunakan unit satu silinder 135 cc dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, dipadankan bersama kotak gear empat kelajuan untuk menghasilkan kuasa 12.5 hp pada 8,000 rpm, dan tork maksimum 12.2 Nm.

    Untuk sistem brek, kedua-dua bahagian menggunakan tetapan cakera, dengan angkup satu piston masing-masing di hadapan dan belakang, sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang. Hanya pemula elektrik sahaja yang disediakan pada motosikal ini, dan tiada penendang kaki.

    Pada bahagian meter, ia menggunakan unit digital LCD seperti Y16ZR. Berat keseluruhan 135LC Fi adalah 109 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 4.6 liter serta rim bersaiz 17 inci, dengan tayar saiz 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang.. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Projek pembinaan ECRL telah mencatatkan 78.5% kemajuan setakat Januari 2025 – Menteri Kewangan II

    Projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang membabitkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kelantan dan Selangor kini telah mencapai 78.5% status kemajuan setakat Januari 2025.

    Perkara ini disahkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang berkata tahap kemajuan yang meyakinkan itu selari dengan jadual penyiapan jajaran ECRL fasa pertama dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor pada Disember 2026, laporan Bernama .

    Amir Hamzah berkata, jajaran fasa kedua antara Gombak ke Pelabuhan Selangor, Selangor akan disiapkan menjelang Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028, berdasarkan perkembangan projek berkenaan.

    “Alhamdulillah, projek ini (ECRL) bukan projek kecil tetapi projek yang besar dengan mengambil kira kerjasama. Oleh itu, saya ucapkan tahniah kepada MRL (Malaysia Rail Link Sdn Bhd) CCC-ECRL (China Communications Construction Sdn Bhd) kerana dapat berganding bahu untuk menjayakan kemajuan projek ini.

    “Insya-Allah projek ECRL ini akan siap pada hujung tahun depan (2026) dan boleh beroperasi pada 2027. Tetapi yang lebih penting ialah projek ini ialah untuk membuka ekonomi di Pantai Timur untuk menarik lebih banyak pelaburan,” katanya selepas melancarkan Laporan Impak Sukuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi projek ECRL di tapak projek ECRL Seksyen 10 semalam.

    Dibina oleh China Communications Construction ECRL (CCCCECRL), projek ECRL yang bernilai RM50.27 bilion dengan jajaran sepanjang 665 km itu akan menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur Kelantan, Terengganu dan Pahang ke Pelabuhan Klang, Selangor di Pantai Barat. Laluan Terminal Kota Bharu-Gombak yang melibatkan perjalanan selama empat jam, dijangka siap pada Disember 2026 dan beroperasi pada Januari 2027.

    CRRC Dalian telah memperuntukkan 11 unit tren berbilang elektrik (IMU) enam gerabak, dengan unit pertama dijangka tiba menjelang akhir 2025. Tren ini boleh membawa 430 penumpang dan mencecah kelajuan hingga 160 km/j. Ia juga akan menyediakan dua lokomotif elektrik yang akan dipasang di depoh Bandar Pelabuhan Kuantan untuk menarik kereta api barangan.

     
     
  • Op Selamat 23 catat 7,882 kes kemalangan, turun 10% – penunggang, pembonceng kekal korban tertinggi

    Op Selamat 23 catat 7,882 kes kemalangan, turun 10% – penunggang, pembonceng kekal korban tertinggi

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengumumkan Op Selamat 23 yang dilaksanakan pada 28 Januari sehingga 2 Februari 2025 sempena perayaan Tahun Baharu Cina telah merekodkan sejumlah 7,882 kes kemalangan. Di mana ia mencatatkan penurunan sebanyak 902 kes atau 10%, berbanding sejumlah 8,784 kes semasa operasi sama pada tahun 2024.

    “Bagi jumlah kematian akibat kes kemalangan jalan raya bagi tempoh yang sama pula, ia turut mencatat penurunan dengan 66 kematian yang melibatkan 64 kes kemalangan. Menyaksikan penurunan sebanyak 45 kes dan 51 kematian berbanding OP Selamat 21 tahun lepas iaitu sebanyak 117 kematian,” katanya dalam Majlis Apresiasi Op Selamat 23 Tahun Baharu Cina 2025 di Persada PLUS semalam.

    Tambah beliau, penunggang dan pembonceng motosikal masih kekal menjadi golongan yang mencatatkan jumlah kemalangan maut tertinggi dalam negara. Walaupun statistik menunjukkan angka tersebut, namun jumlah kemalangan maut melibatkan motosikal menurun dari 82 kes pada tahun sebelumnya kepada 47 kes pada tahun ini.

    Op Selamat 23 catat 7,882 kes kemalangan, turun 10% – penunggang, pembonceng kekal korban tertinggi

    Beliau turut berkata jumlah penurunan trend kes-kes kemalangan jalan raya di seluruh negara, menggambarkan tahap kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap peraturan serta undang-undang lalu lintas.

    “Berdasarkan prestasi keseluruhan Op Selamat 23 terdapat peningkatan ketara aliran trafik di seluruh negara, dipercayai turut dipengaruhi oleh jumlah kenderaan berdaftar iaitu sebanyak 36.6 juta kenderaan sehingga Januari.

    “Sungguh pun begitu, saya berasa lega kerana sepanjang Op Selamat 23 berlangsung, hanya sejumlah 10,715 kenderaan terlibat dalam kemalangan berbanding tempoh sama pada tahun lalu yang merekodkan 12,414 kenderaan terbabit kemalangan,” katanya.

    Dalam majlis yang sama, Polis Kontinjen Perlis dan Ibu Pejabat Polis Daerah Raub dinobatkan sebagai juara dalam Op Selamat 23 sempena Tahun Baharu Cina kali ini. Manakala Polis Kontinjen Selangor dan Johor pula masing-masing mencatat sejarah menjadi terbaik bagi kategori penguatkuasaan trafik saman dan kadar kemalangan terendah di seluruh negara.

     
     
  • Ford Auto Connexion perluas rangkaian di Borneo — bilik pameran dipertingkat, kemudahan servis baru

    Ford Auto Connexion perluas rangkaian di Borneo — bilik pameran dipertingkat, kemudahan servis baru

    Ford kini meluaskan lagi kehadirannya di Borneo dengan penambahan kemudahan servis di Kapit dan Mukah, serta naik taraf bagi bilik pameran Ngu Brothers di Sibu, Sarawak. Ini menjadi pelengkap bagi rangkaian 11 pengedarnya di Sabah dan Sarawak.

    Ketika ini, rangkaian pengedar Ford di Sarawak berada di beberapa lokasi seperti Kuching (SDAC), Sibu (Ngu Brothers), Miri (ALV Brothers), Bintulu (Ngu Brothers), Kota Samarahan (Jimisar Motors) dan disertai oleh dua pusat servis di Kapit dan Mukah tersebut. Di Sabah pula, pengedar Ford berada di Kota Kinabalu (Boston Auto dan Rightpower Corporation), Sandakan (Boston Auto) dan Tawau (TB Automotive).

    Ford menjanjikan stok alat ganti yang sentiasa tersedia yang diberikan jaminan Ford dan menepati piawaian global. Dengan penambahan lokasi servis ini, pelanggan Ford yang tinggal di kawasan bandar atau di luar bandar kini boleh mendapatkan akses lebih mudah terhadap kemudahan servis kenderaan mereka.

    Bilik pameran di Sibu yang diuruskan oleh Ngu Brothers terletak atas kawasan seluas 6,135 kaki persegi dan turut menyediakan ruang menunggu serta kawasan pameran kenderaan, dengan pengalaman dan kemudahan baru menggunakan identiti korporat Ford yang standard.

    “Lokasi pengedar yang strategik serta servis yang ditawarkan ini merupakan cara memperkukuhkan komitmen kami kepada pemilik kenderaan Ford di bahagian terlibat di Sabah dan Sarawak. Ini bagi memastikan mereka menerima layanan mesra dan selesa, berkualiti serta boleh dipercayai yang kami tawarkan. Dan, ini tidak pula hanya terhad kepada kawasan bandar utama sahaja, sebaliknya meluas ke bahagian lain seperti Kapit dan Mukah, untuk memenuhi semua keperluan pelanggan kami,” ujar Pengarah Urusan SDAC, Turse Zuhair.

     
     
  • Kerajaan akan terus tawarkan diskaun tol 50% untuk semua musim perayaan pada tahun ini – Menteri KKR

    Kerajaan akan terus tawarkan diskaun tol 50% untuk semua musim perayaan pada tahun ini – Menteri KKR

    Susulan pemberian diskaun tol sebanyak 50% pada Tahun Baharu Cina (CNY) lalu, kerajaan mengumumkan bahawa diskaun tol 50% akan dilaksanakan pada semua musim perayaan pada tahun 2025 bagi menggantikan inisiatif bebas tol sebelum ini, laporan Bernama.

    Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, diskaun tol 50% telah diluluskan dalam mesyuarat kabinet sebelum ini sempena CNY. “Untuk Tahun Baharu Cina, diskaun 50% diberikan, dengan keputusan dibuat memandangkan rakyat masih memerlukannya. Justeru, kabinet memutuskan untuk meneruskannya sepanjang tahun pada musim perayaan termasuk Aidilfitri dan seterusnya,” katanya.

    Tambahnya, langkah itu akan mengurangkan pampasan yang ditanggung kerajaan kepada syarikat konsesi lebuhraya dari segi perbelanjaan awam, memandangkan kos diskaun tol itu ditanggung oleh kerajaan menggunakan dana awam, bukan syarikat konsesi lebuhraya.

    Kerajaan akan terus tawarkan diskaun tol 50% untuk semua musim perayaan pada tahun ini – Menteri KKR

    “Dalam setahun, lapan hari diperuntukkan untuk perjalanan bebas tol. Kini, bilangan hari yang sama akan mendapat diskaun 50%. Jika ia percuma, kami terpaksa membelanjakan RM160 juta, dan dengan mengurangkan separuh, bayaran kepada syarikat konsesi berjumlah RM80 juta,” katanya.

    Sebelum itu, kerajaan telah mengumumkan pada 21 Januari lalu bahawa pemberian tol percuma untuk musim perayaan akan ditamatkan bermula dengan Tahun Baharu Cina. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa walau pun melaksanakan tol percuma, ia tidak menyelesaikan kesesakan di lebuhraya pada musim perayaan.

    Berikutan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian berkata bahawa rancangan untuk pendekatan yang disasarkan (memastikan hanya mereka yang layak mendapat tol percuma) sedang diusahakan. Walau bagaimana pun, pada 24 Januari, kerajaan mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50% selama dua hari semasa CNY.

     
     
  • Toyota GR Corolla facelift 2025 JDM kini di Jepun; ada anti-lag dalam mod Circuit, pakej Sport untuk kabin

    Toyota GR Corolla facelift 2025 JDM kini di Jepun; ada anti-lag dalam mod Circuit, pakej Sport untuk kabin

    Toyota telahpun mendedahkan versi facelift untuk Toyota GR Corolla tahun lalu, dengan Amerika Syarikat menjadi pasaran pertama menerima model tersebut. Dan untuk pengetahuan anda, model tingkat taraf ini baru sahaja diperkenalkan di Jepun – tempahannya mula dibuka hari ini, manakala pelancaran rasminya akan dibuat di sana pada 3 Mac nanti.

    Ini bermakna bukan hanya AS yang menerima GR Corolla facelift ini lebih cepat dari Jepun, malah Malaysia juga menerimanya lebih awal dengan pelancaran yang dibuat bulan lalu. Namun bagi pasaran Jepun, GR Corolla facelift terus ditawarkan dengan dua pilihan kotak gear iaitu manual dan automatik, sementara untuk Malaysia model dengan transmisi auto akan tiba di sini lebih lewat.

    GR Corolla facelift ini masih lagi menggunakan enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan terus, dengan angka kuasa yang juga tidak berubah iaitu 304 PS pada takat 6,500 rpm. Namun talaan semula yang telah dibuat membolehkan torknya meningkat sebanyak 30 Nm dari 370 Nm kepada 400 Nm, sama seperti jumlah tork yang dihasilkan pada enjin G16E-GTS dalam perut GR Yaris facelift dan Lexus LBX Morizo RR.

    Bagi varian dengan transmisi manual enam-kelajuan, ia kini telah dipertingkat dengan roda tenaga jenis dwi-jisim (dual mass flywheel). Sistem rev-match automatik yang memberikan blip pada pendikit ketika gear diturunkan tanpa teknik heel & toe juga masih disertakan pada kotak gear i-MT tersebut.

    Toyota GR Corolla facelift 2025 JDM kini di Jepun; ada anti-lag dalam mod Circuit, pakej Sport untuk kabin

    Manakala bagi pilihan transmisi automatik yang pertama kali diperkenalkan menerusi versi facelift ini, ia didatangkan dengan kotak Gazoo Racing Direct Automatic Transmission lapan-kelajuan (DAT-8AT) yang juga sama seperti pada GR Yaris facelift dan Lexus LBX Morizo RR.

    Kotak gear automatik ini bukan sahaja dibina untuk ‘dilanyak’ dengan diberikan material klac kalis-haba, sistem kawalan tork baharu dan solenoid linear respon tinggi, malah ia turut diberikan fungsi launch control dan juga perisian yang membolehkan gear diturunkan sepantas mungkin serta dapat memberikan pilihan gear yang tepat menerusi input dari brek dan pedal pendikit, menghasilkan tukaran gear automatik sehebat teknik dari pemandu profesional.

    Sistem pacuan semua roda GR Four yang diinspirasikan dari jentera rali pada GR Corolla ini juga menerima tingkat taraf sama seperti pada GR Yaris. Oleh itu agihan tork antara gandar hadapan dan belakang kini berubah dengan mod Normal adalah 60:40 (60% untuk belakang, 40% untuk hadapan), 50:50 untuk Gravel (sebelum ini 30:70 untuk mod Sport). Manakala untuk mod Track yang sebelum ini ditetapkan pada 50:50 telah diubah dengan memberikan agihan yang sentiasa berubah antara 60:40 hingga 30:70 bergantung pada situasi pemanduan.

    Untuk versi facelift ini, Toyota telah menjadikan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang sebagai perincian standard untuk semua varian GR Corolla. Manakala satu perincian unik yang hanya ditawarkan pada model pasaran domestik Jepun (JDM) ini adalah ia dilengkapi dengan satu lagi mod pemanduan tambahan dikenali sebagai Circuit Mode.

    Mod ini akan diaktifkan sekiranya GPS mengesan kereta berkenaan berada di kawasan litar lumba. Selepas diaktifkan, mod ini membolehkan sistem anti-lag bina dalam berfungsi seterusnya memberikan respon enjin lebih baik tanpa terjadinya turbo-lag ketika memecut.

    Selain itu mod ini juga akan memaksimakan putaran kipas sistem penyejukkan enjin dan juga ‘membuka’ speed-cut 180 km/j yang ditetapkan oleh kerajaan Jepun pada kereta-kereta produksi JDM, membolehkan GR Corolla ini mencapai kelajuan maksima sebenarnya iaitu 230 km/j.

    Pemandu juga akan sedar Circuit Mode ini diaktifkan apabila paparan pada skrin instrumen digital 12.3-inci GR Corolla tersebut berubah, memberikan lampu penunjuk tukaran gear serta paparan kedudukan gear yang lebih besar di tengah.

    Toyota turut membuat talaan casis semula pada model facelift ini. Penyerap hentak bagi model kemaskini ini diberikan spring rebound bina-dalam yang dapat memberikan postur badan kereta dan juga sifat beban permukaan pada roda dalam yang lebih baik, bagi memberikan kestabilan yang lebih tinggi ketika mengambil selekoh.

    Manakala kedudukan cagak trailing arm pada suspensi belakang kini sudah ditinggikan bagi mengurangkan mendap pada bahagian belakang kereta ini yang berlaku setiap kali ia memecut, seterusnya memberikan respon pemanduan lebih baik dan lebih kestabilan ketika membelok.

    Karekter spring dan juga bar penstabil untuk suspensi belakang juga telah diubah bagi dioptimakan, seterusnya meningkatkan kekerasan olengan untuk mendapat cengkaman yang lebih baik dari tayar ketika mengambil selekoh.

    Untuk sebelah luar, rombakan yang dibuat bukan hanya untuk perubahan rupa semata-mata kerana ia juga membolehkan sistem-sistem penyejukan berfungsi dengan lebih optimum serta memberikan kesan aerodinamik lebih baik. Perubahan ketara yang boleh dilihat adalah pada rekaan bampar hadapan, di mana tiada lagi lampu kabus diletak pada bampar berkenaan bagi memberikan ruang liang udara yang lebih besar.

    Ini dibuat semata-mata bagi memberikan aliran udara untuk penyejukan yang lebih baik, terutamanya untuk penyejuk minyak transmisi pada model automatik. Bampar ini juga direka dengan liang yang mangalirkan udara terus untuk menyejukkan sistem brek dan juga tirai udara bagi mengurangkan pergolakan udara dalam ruang roda hadapan, seterusnya meningkatkan kestabilan pengendalian.

    Toyota GR Corolla facelift 2025 JDM kini di Jepun; ada anti-lag dalam mod Circuit, pakej Sport untuk kabin

    Bagi model varian tertinggi, GR Corolla kini diberikan sub-radiator tambahan untuk memberikan penyejukan enjin lebih baik. Tiada perincian lain diubah pada sebelah luar, di mana ia masih tampil dengan badan, kit aero, bumbung gentian karbon yang sama seperti sebelum ini.

    Namun ada satu perincian istimewa lagi yang membezakan GR Corolla facelift JDM ini dengan pasaran lain – set rim aloi forged 18-inci BBS yang sebelum ini hanya diberikan pada model edisi terhad hardcore dua tempat duduk ‘Morizo Edition‘ kini dipadankan secara standard untuk semua varian GR Corolla di Jepun.

    GR Corolla facelift ini tidak menerima perubahan besar pada bahagian kabin. Perubahan yang boleh dilihat cuma pada perapi-perapi dan suis-suis kawalan berwarna gelap menggantikan kemasan Perak sebelum ini. Walau bagaimanapun, pelanggan di Jepun kini ditawarkan dengan kelengkapan opsyen menerusi pakej Sport – pakej ini juga tidak ditawarkan untuk pembeli di pasaran lain.

    Pilihan dengan bayaran tambahan 253,000 yen (RM7,300) tersebut akan menampilkan kelengkapan dan perincian lebih baik termasuk tempat duduk separa-bucket, tali pinggang keledar berwarna merah, serta balutan Ultrasuede pada roda stereng, tombol bersama gaiter gear dan tuil brek tangan.

    Toyota GR Corolla facelift ini dijual di Jepun pada harga bermula 5,680,000 yen (RM163,300) untuk model dengan kotak gear manual. Manakala varian dengan kotak gear automatik pula dijual pada harga 300,000 yen (RM8,600) lebih mahal iaitu bermula 5,980,000 yen (RM171,900).

    Toyota turut menawarkan beberapa komponen tingkat taraf yang boleh dibeli dan dipasang pada GR Corolla versi terdahulu, disediakan dalam kit peringkat pertama dan peringkat kedua. Bagi kit peringkat pertama, komponen yang ditawarkan adalah set bolt yang diperkuat untuk kolum stereng bagi memberikan rasa stereng serta kestabilan laluan lurus lebih baik, dan juga set bolt diperkuat untuk penyerap hentak belakang bagi memberikan respon cengkaman yang lebih tinggi.

    Manakala bagi kit peringkat kedua, ia terdiri dari pelbagai komponen suspensi termasuk lengan bawah dan set ball-joint baharu untuk respon stereng lebih baik, serta penyerap hentak, spring rebound, spring belakang dan juga bar anti-oleng baharu.

     
     
  • Lori dilarang berada di lebuhraya dari/ke KL pada waktu puncak – NKVE, Elite dan DUKE mulai 19 Feb

    Lori dilarang berada di lebuhraya dari/ke KL pada waktu puncak – NKVE, Elite dan DUKE mulai 19 Feb

    Mulai 19 Februari ini, peluasan larangan pergerakan kenderaan berat pada waktu puncak akan dilaksanakan di jajaran beberapa lebuhraya untuk ke dan dari bandaraya Kuala Lumpur mulai 19 Februari 2025. Diwartakan oleh kerajaan pada Oktober 2024, peraturan ini adalah untuk melancarkan aliran trafik di Lembah Klang dengan larangan kenderaan berat yang bergerak perlahan semasa waktu puncak.

    Sebelum ini, ia hanya diwartakan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan disambungkan ke Lebuhraya NKVE, khususnya di laluan Sungai Buloh-Bukit Lanjan (KM456.0 hingga KM459.3, kedua-dua arah) dan dari Shah Alam ke Jalan Duta (KM9 hingga KM31, kedua-dua arah), pada waktu puncak pagi (6.30 pagi hingga 9.30 pagi).

    Kini, peraturan yang sama diaplikasikan untuk waktu puncak petang, dari 4.30 petang hingga 7.30 malam. Selain itu, Lebuhraya ELITE (Shah Alam ke Bandar Saujana Putra, KM1.03 hingga KM16.2, kedua-dua arah) dan Lebuhraya DUKE juga termasuk dalam larangan pergerakan lori, iaitu pada waktu puncak pagi dan petang (sama seperti NKVE).

    Peraturan ini adalah untuk semua kenderaan berat Kelas 2 dan Kelas 3 tidak termasuk bas. Kelas 2 merujuk kepada lori dengan dua gandar dan enam roda manakala lori Kelas 3 mempunyai tiga gandar atau lebih. Walau bagaimana pun, kenderaan berat yang terlibat dalam pembersihan dan pelupusan sisa domestik, perkhidmatan kecemasan, penguatkuasaan undang-undang dan penyelenggaraan lebuh raya adalah dikecualikan dari larangan pergerakan yang dinyatakan ini.

     
     
  • Aston Martin akan terus buat kereta enjin V12 dan kotak gear manual, EV pertama muncul pada 2030

    Aston Martin akan terus buat kereta enjin V12 dan kotak gear manual, EV pertama muncul pada 2030

    Jika kebanyakkan jenama automotif, termasuk jenama-jenama prestasi yang kini ‘melonggarkan’ peralihan kepada elektrik penuh, perkara ini tidak berlaku kepada Aston Martin – ini kerana jenama kereta sport British itu hanya bercadang untuk memperkenalkan model elektrik penuh (EV) pertamanya menjelang 2030 dan model hibrid pertama menjelang 2035.

    Perkara ini disebut oleh CEO Aston Martin Adrian Hallmark dalam laporan Autocar. Manakala dalam laporan Drive, Hallmark menyatakan bahawa syarikatnya akan terus menawarkan model-model dengan enjin V12 sehingga 2030 nanti.

    “Ia merupakan sasaran bergerak yang kami tidak dapat pastikan. [Enjin V12] akan kekal sehingga 2028 sekiranya tiada [yang berubah],” kata Hallmark dan menjelaskan jumlah penghasilan lebih kecil akan diteruskan sehingga 2030. “Ada dua darjah kebebasan. [Dalam] perundangan, kami sentiasa mendapat pengurangan untuk volum rendah. Jadi sekiranya kami menghasilkan 100,000 12-silinder setahun, ia adalah 2028,” tambahnya.

    Jelas Hallmark lagi, sekiranya Aston Martin mengimport antara 150 hingga 300 unit kereta dengan enjin V12 ke Amerika Syarikat, syarikat itu boleh memohon pengurangan terhadap kenderaan-kenderaan yang dihasilkan dalam jumlah yang sedikit, dan ini turut digunakan di Eropah.

    Buat masa sekarang Hallmark memberitahu bahawa permintaan pelanggan terhadap Aston Martin Vanquish yang dijana oleh enjin V12 5.2 liter dengan turbo berkembar lagi tinggi. Kuasa 835 PS/1,000 Nm masih dari enjin berkenaan dialir ke gandar belakang menerusi kotak gear automatik lapan kelajuan.

    Walau bagaimanapun, dalam laporan Motor1 Aston Martin mensasarkan untuk memperkenalkan semula kotak gear manual enam-kelajuan pada model-model biasanya. Kotak gear manual tersebut kini ditawarkan hanya pada model edisi terhad Aston Martin Valour yang diperkenalkan bermula 2023 dan juga Valiant tahun lalu. Model biasa terakhir Aston Martin yang diberikan transimi manual adalah Vantage AMR pada 2019.

    Manakala untuk EV, Aston Martin hanya mensasarkan untuk menjual 15% dari keseluruhan jualannya, manakala 85% selebihnya adalah model dengan enjin pembakaran dalaman penuh dan juga hibrid. “Kami masih akan mempunyai kenderaan elektrik bateri pertama dalam dekad ini, dalam tempoh lima tahun akan datang, tetapi bukannya cuba mendapatkan seberapa banyak yang kami boleh dalam tempoh lima tahun akan datang, ia hanya satu,” kata Hallmark.

     
     
  • GWM akan perkenal jenama mewah Confidence Auto

    GWM akan perkenal jenama mewah Confidence Auto

    Sekarang nampaknya makin banyak pengeluar yang mahu masuk ke pasaran mewah, mungkin kerana persaingan di kelas bawah semakin mencabar, ditambah pula dengan perang harga. Turut tidak ketinggalan adalah Great Wall Motor (GWM), seperti yang dilaporkan oleh Car News China (CNC).

    Dalam laman itu tertulis bahawa jenama mewah baru GWM ini akan dipanggil sebagai Confidence Auto, dan ia akan diletakkan atas daripada jenama Haval, Wey, Tank dan Ora, untuk bersaing secara terus dengan Yangwang oleh BYD. Jenama baru ini dikatakan sudah didaftar sejak tahun 2022 lagi, dan misi utamanya adalah untuk mengeluarkan “produk siling untuk industri automotif.”

    Dengan produk yang terletak dalam kelas atasan, harganya juga adalah tinggi dengan dilaporkan berada atas daripada RMB1 juta (RM614k), dan terdiri daripada supercar dan sedan yang dikeluarkan dalam jumlah kecil. Model plug-in hybrid (PHEV) dijangka menggunakan enjin V8 4.0 liter turbo GWM, dan produk pertama jenama ini dijangka boleh muncl seawal bulan April atau Mei ini, sebelum dijual pada suku keempat.

    GWM akan perkenal jenama mewah Confidence Auto

    Laporan CNC juga menyatakan ini bukan kali pertama GWM cuba mencipta jenama mewah – pada Disember tahun 2021 mereka pernah mengumumkan Saloon Auto dan memperkenalkan model pertama jenama itu, Mecha Dragon dengan harga RMB488,000 (RM300k).

    Walaubagaimanapun, pengeluaran Mecha Dragon kerap tertangguh dan seterusnya terhenti. Selain itu, pada tahun 2022 GWM juga pernah mengumumkan strategi pemasaran gabungan dua jenama iaitu Ora + Saloon dan Wey + Tank.