Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • JPJ KL saman 316 pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Ops Pengarah di Bangsar

    JPJ KL saman 316 pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Ops Pengarah di Bangsar

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur telah mengadakan operasi sekatan jalan raya, Ops Pengarah, di Jalan Bangsar berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar malam tadi mulai jam 8.30 malam.

    Menerusi operasi terbabit, sebanyak 316 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk 36 daripadanya melibatkan penggunaan nombor pendaftaran ekstrem dan tidak mengikut spesifikasi, laporan Bernama.

    Menurut Pengarah JPJ KL, Ismail Mohd Zawawi, kesemua pemilik kenderaan terbabit dikenakan saman serta-merta dan turut diberikan notis mengikut Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu notis arah periksa kenderaan.

    “Antara kesalahan yang direkodkan ialah tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh, penggunaan cermin gelap dan sebagainya, Mereka diberi tempoh masa 10 hari daripada tarikh notis dikeluarkan untuk hadir ke pejabat JPJ, dan tindakan susulan akan diambil termasuk disenarai hitam jika berdegil,” katanya kepada pemberita.

    Secara keseluruhan, sebanyak 1,264 kenderaan diperiksa dalam operasi yang berakhir pada jam 10.30 malam.

     
     
  • JPJ, Polis boleh saman pelaku yang beraksi ‘Keke Challenge’ di jalan raya hingga mengundang bahaya

    Tarian ‘Keke Challenge’ yang menjadi trend sejak kebelakangan ini turut dijangkiti segelintir warga Malaysia termasuklah beberapa golongan selebriti seperti Janna Nick, kumpulan Elite, Fasha Sandha dan ramai lagi.

    Jika di luar negara, sudah beberapa insiden kemalangan dilaporkan berlaku akibat pelaku tarian ini yang beraksi di jalan raya, namun jangan sampai ia terjadi di Malaysia pula. Beringat sebelum kena! Itulah amaran yang dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Menurut JPJ, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelaku yang yang didapati sengaja berhenti untuk melakukan tarian ‘Keke Challenge’ di kawasan jalan raya, laporan Berita Harian

    JPJ, Polis boleh saman pelaku yang beraksi ‘Keke Challenge’ di jalan raya hingga mengundang bahaya

    Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid, pihaknya akan melihat pada kerangka undang-undang yang ada untuk mengambil tindakan terhadap orang ramai, terutama anak muda yang ghairah melakukan tarian berkenaan sehingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

    “Perbuatan demikian sudah tentu tidak dibenarkan dan sekiranya didapati terdapat pelanggaran undang-undang termasuklah membahayakan pengguna jalan raya yang lain kita akan mengambil tindakan. Malah, bukan kita sahaja, pihak polis trafik juga turut akan mengeluarkan saman kepada mereka yang melakukan aksi berkenaan sehingga melanggar undang-undang,” katanya.

    ‘Keke Challenge’ merupakan tarian yang memerlukan si pelaku melompat keluar dari kereta yang sedang bergerak dan menari mengikut alunan lagu nyanyian Drake, ‘In My Feelings’. Tarian ini dicetuskan oleh pelawak Shiggy dan rakaman videonya telah ditontonkan oleh lima juta penonton dalam tempoh waktu singkat.

     
     
  • Proton Saga – imej render generasi baru, asas BMA?

    Proton Saga – imej <em>render</em> generasi baru, asas BMA?

    Dengan model pertama Proton hasil kerjasama Geely akan diperkenalkan tak lama lagi, iaitu sebuah SUV yang diasaskan dari Boyue, menarik juga untuk membayangkan apa gerak langkah seterusnya bagi pengenalan model baru hasil dari usaha sama dua syarikat ini.

    Dilihat dari kemungkinan yang ada, Proton Saga boleh jadi model seterusnya yang dibangunkan oleh syarikat ini. Memanglah versi yang ada ketika ini masih baru, diperkenalkan pada 2016 lalu, tetapi platform yang digunakan sebenarnya sudah lama – sejak 2005 lagi.

    Untuk itu, Theophilus Chin yang sinonim dengan kerja-kerja menghasilkan rekaan digital model-model bayangan yang selalu kami tampilkan kini hadir dengan satu lagi rekaan menarik – visinya terhadap model baru Proton Saga. Ia ditampilkan di sini sebagai sebuah penawaran bagi segmen B, dengan saiz yang lebih besar dan lebih mirip sebagai pesaing Honda City dan Toyota Vios.

    Walaupun asasnya bukanlah dari model semasa sedia ada dari Geely, rekaan ini meminjam beberapa perincian penggayaan dari situ. Misalnya gril besar dari Emgrand GL, rekaan lampu utama, lengkuk pada fender, lampu belakang yang lebih tirus, ekzos berkembar dan lain-lain. Agak jelas bahawa model akan datang Proton nanti akan dipengaruhi oleh rekaan dari model Geely, tetapi dalam masa yang sama sentuhan rekaan khas Proton selama ini seperti “gril sayap” masih dikekalkan dalam rekaan bayangan ini.

    Proton Saga – imej <em>render</em> generasi baru, asas BMA?

    Apa yang lebih menarik ialah platform yang digunakan. Dengan Geely yang telah memberikan pembayang bahawa Proton akan turut memanfaatkan platform baru B-segment Modular Architecture (BMA) yang dihasilkan syarikat itu, maka sangat menarik untuk melihat hal berkenaan menjadi kenyataan kelak.

    Platform berkenaan akan dibina di Asia Tenggara, dengan rekaan yang mengambil kira perkembangan teknologi termaju akan datang seperti memanduan autonomous peringkat 2 dan 3, teknologi-teknologi keselamatan serta enjin petrol baru yang akan dihasilkan oleh Geely.

    Ini termasuk enjin 1.0 dan 1.5 liter turbo tiga-silinder suntikan terus, begitu juga dengan unit 1.4 liter turbo empat-silinder, serta teknologi enjin mild-hybrid, parallel hybrid dan plug-in hybrid. Anda fikir model Proton Saga generasi baru nanti akan jadi lebih menarik?

     
     
  • Dasar Automotif Nasional kini dikaji semula – Tun M

    Dasar Automotif Nasional kini dikaji semula – Tun M

    Pada sidang Parlimen hari ini, Tun Mahathir memaklumkan bahawa Dasar Automotif Nasional ketika ini sedang dikaji semula bagi memastikan industri berkenaan dapat kekal kompetetif dalam keadaan yang semakin mencabar kini.

    Bernama melaporkan, antara perkara yang terangkum di dalam kajian itu adalah seperti faktor pembangunan industri automotif tempatan (termasuk projek kereta nasional baru), pembangunan syarikat tempatan, aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta peningkatan eksport.

    Tun Mahathir menjelaskan, industri automotif negara khususnya Proton mula merosot dalam tempoh 10 tahun terakhir kerana dasar membenarkan kereta dari luar masuk ke pasaran Malaysia. Sebaliknya, kereta keluaran Malaysia dikenakan pelbagai syarat ketat untuk dipasarkan di negara luar.

    “Negara-negara ini mengenakan syarat supaya Proton tidak dapat tembusi pasaran mereka. Negara-negara ini mempunyai kilang yang amat besar dan mengeluarkan berjuta-juta kereta setahun dan mereka juga menyekat kereta masuk ke pasaran mereka,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) di Dewan Rakyat hari ini.

    Dr Mahathir menegaskan Proton tidak gagal dan pada satu ketika menguasai 80 peratus pasaran tempatan, mengumpul rizab berjumlah RM4 bilion di samping membina kilangnya menggunakan duit sendiri bernilai RM1.8 bilion.

    “Dahulu, Proton berjaya menembusi pasaran Malaysia dan juga pasaran luar negara. Kita dapat menjual 25,000 kereta Proton di United Kingdom dan tempat lain tetapi (akibat) pemerintahan (sebelum ini) kurang cekap, yang tidak tahu berkenaan dengan industri menyebabkan prestasi Proton merosot, kerana kerajaan dahulu membenarkan masuk segala kereta ke Malaysia,” katanya.

    Beliau juga menyentuh tentang bantuan kerajaan bagi tujuan R&D untuk Proton sebelum ini. “Janji untuk R&D diberi kepada syarikat-syarikat lain tetapi kepada Proton ia tidak diberi malah Proton terpaksa belanja duit sendiri untuk R&D. Tetapi yang peliknya apabila Proton sudah dijual, wang R&D ini barulah diberi kepada Proton yang dikuasai syarikat asing,” jelas beliau, yang percaya dan yakin bahawa Proton mampu mencapai kejayaan seperti masa dahulu sekiranya dibantu oleh kerajaan.

     
     
  • Microlino EV lulus proses homologasi untuk pasaran Eropah – pengeluaran akan bermula Disember 2018

    Microlino EV lulus proses homologasi untuk pasaran Eropah – pengeluaran akan bermula Disember 2018

    Kereta kecil yang anda lihat namanya adalah Microlino. Ia pertama kali ditunjukkan dua tahun lepas, dan dalam berita terbaru, ia sudah lulus proses homologasi di Eropah dan proses pengeluarannya akan bermula Disember 2018 ini. Pasaran pertama yang akan menerimanya adalah Switzerland, dan ia merupakan hasil kerja sebuah syarikat dari negara itu sendiri iaitu Micro Mobility Systems.

    Microlino boleh dilihat sebagai satu interpretasi moden bagi kereta lama berbentuk bulat pada tahun 1950-an dan 1960-an seperti Isetta, FMR Tg500, Messerschmitt KR175 dan Peel P50. Ia menggunakan motor elektrik 15 kW (20 hp) yang boleh menghasilkan sehingga 110 Nm tork, dengan masa pecutan 0-50 km/j lima saat dan kelajuan maksimum 90 km/j.

    Motor elektrik ini mendapat kuasa daripada bateri lithium-ion yang boleh didapati dalam dua pilihan kapasiti – lapan kWh dan 14.4 kWh. Berdasarkan ujian homologasi yang dilakukan, unit yang lebih kecil tersebut mampu dipakai sehingga jarak 126 km, manakala unit yang lebih besar pula boleh membawa kenderaan bergerak 202 km.

    Mengecas bateri kenderaan ini menggunakan Mode 1 dan 2 (soket kuasa biasa) akan mengambil masa selama empat jam melalui sambungan dua kW, tetapi apabila menggunakan sambungan empat kW, ia boleh dilakukan dalam masa dua jam sahaja. Jika pemilik menggunakan soket enam kW pula, bersama sambungan Type 2, ia akan mengambil masa cuma satu jam sahaja untuk memenuhkan kembali bateri tersebut.

    Melihat kepada dimensi, Microlino mempunyai ukuran cuma 2,435 mm panjang, 1,500 mm lebar dan 1,459 mm tinggi. Berat pula adalah 450 kg dicampur dengan bateri dan pemandu. Walaupun mempunyai kabin bersaiz kompak, kenderaan ini menyediakan ruang but 300 liter di belakang tempat duduk depan, dan ini adalah lebih besar daripada but Mazda 2.

    Microlino EV lulus proses homologasi untuk pasaran Eropah – pengeluaran akan bermula Disember 2018

    Untuk masuk ke dalam kenderaan ini, anda boleh menggunakan pintu yang terletak di hadapan kereta, seperti Isetta, dan ini membawa kepada kelebihan tersendiri apabila kenderaan diletakkan di tepi jalan. Microlino akan dijual pada harga sekitar 12,000 euro (RM56,850) dan boleh didapati dalam lapan pilihan warna Zurich Blue, Milano Red, Amsterdam Orange, Paris Mint, Barcelona Brown, London Grey, Gotham Black dan Vienna White.

    Walaupun dipanggil sebagai sebuah ‘kereta’, Microlino sebenarnya diklasifikasikan sebagai quadricycle berat (L7e) dengan empat tayar. Oleh sebab itu, ia tidak perlu melalui ujian keselamatan seperti kenderaan biasa dan mempunyai beberapa peraturan lain yang perlu dipatuhi.

     
     
  • Sistem ujian memandu secara elektronik dilaksanakan pada 2019, percubaan dari Ogos-Nov ini – Anthony

    Sistem ujian memandu secara elektronik dilaksanakan pada 2019, percubaan dari Ogos-Nov ini – Anthony

    Selepas tempoh percubaannya yang bermula penghujung Ogos ini yang berlangsung selama empat bulan dan tamat penghujung ini, sistem ujian pemandu kenderaan atau E-Testing akan mula dilaksanakan tahun hadapan, menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

    Katanya, tempoh percubaan tersebut akan dilaksanakan di tiga institut pemanduan di Johor, laporan Bernama. Di mana pelaksanaan sistem ini juga selari dengan agenda kerajaan dalam memastikan sistem pembelajaran dan pengujian lesen memandu lebih berintegriti terutamanya dalam membanteras unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

    “Inisiatif ini telah mula diperkenalkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kajian pelaksanaan perkara ini, kini berada pada peringkat percubaan yang mana saya sendiri telah mencuba mengambil ujian berkenaan dan amat berpuas hati dengan hasilnya walaupun saya sendiri gagal ujian menaiki bukit tadi.

    Sistem ujian memandu secara elektronik dilaksanakan pada 2019, percubaan dari Ogos-Nov ini – Anthony

    “Jadi, kalau menteri ambil ujian pun boleh gagal, maknanya, sistem itu memang telus kerana pelajar perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh sistem ini untuk lulus setiap ujian di dalam litar,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat sistem tersebut di Johor hari ini.

    Menurut Loke, fasa pertama percubaan akan dilaksanakan di Pusat Latihan Memandu Sri Jaya, Simpang Renggam pada penghujung Ogos sehingga November ini. Manakala fasa kedua di Pusat Latihan Memandu Ulu Tiram pada September hingga November ini manakala fasa ketiga di Pusat Latihan Memandu Berjaya Berhad pada Oktober ini juga sehingga November 2018.

    Beliau berkata setiap institut pemanduan berkenaan mempunyai skala keluasan yang berbeza di mana fasa pertama akan bermula dengan keluasan kecil, fasa kedua keluasan sederhana manakala fasa ketiga pada keluasan yang besar.

    Katanya, E-Testing dilihat lebih telus kepada pelajar kerana mereka akan dinilai tanpa sebarang faktor campur tangan manusia yang berbeza dengan kaedah tradisional di mana seorang anggota JPJ perlu berada di sebelah pelajar.

    Sistem ujian memandu secara elektronik dilaksanakan pada 2019, percubaan dari Ogos-Nov ini – Anthony

    “Semua sistem dipantau menggunakan komputer kerana ada kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kenderaan, pergerakan kenderaan juga akan dipantau melalui satelit dengan maklumat yang dipaparkan secara ‘real time’ di pusat kawalan. Jadi, kita melihat perkara ini sebagai satu perkara yang baik bukan sahaja untuk JPJ malah kepada institut pemanduan dan pelajar kerana pelajar-pelajar akan mendapat maklumat secara atas talian punca kegagalan mereka kerana mereka dinilai menggunakan sistem dan bukan lagi manusia.

    “Ini akan memastikan negara kita dapat melahirkan pemandu-pemandu mahir dan tidak akan ada lagi unsur-unsur ‘lesen terbang’ kerana setiap pelajar perlu mengambil ujian biometrik sebelum memulakan ujian litar, jadi, mereka perlu hadir sendiri untuk mengambil ujian berkenaan,” katanya.

    Walau bagaimana pun, kerajaan juga akan memastikan pelaksanaan sistem ini tidak akan membebankan institut pemanduan dan pelajar selain menyeru lebih ramai syarikat yang mempunyai sistem yang sama untuk tampil menawarkan diri.

    “Ada institut pemanduan di beberapa negeri yang meluahkan rasa kebimbangan seperti di Sabah dan Sarawak yang risau akan kos pelaburan yang mereka akan tanggung dan nasihat saya adalah jangan risau, kerajaan tidak akan melaksanakan perkara-perkara yang membebankan mana-mana pihak sama ada institut pemandu atau pelajar,” ujar Loke lagi.

    Sistem ujian memandu secara elektronik dilaksanakan pada 2019, percubaan dari Ogos-Nov ini – Anthony

    Menurut Loke, sistem yang digunakan untuk ujian ini dibangunkan oleh Hei Tech Padu Berhad. Walau bagaimana pun, apabila ujian ini dilaksanakan kelak, pihak keranaa akan membuka peluang kepada syarikat-syarikat lain untuk tampil dengan sistem mereka bagi memastikan perkara ini tidak dimonopoli oleh sesebuah syarikat sahaja. Tambahnya lagi, kerajaan memperkenalkan sistem itu selepas meneliti pelaksanaan sistem sama di beberapa negara seperti Korea, China dan Jepun.

    “Sistem ini juga akan menghapuskan pakej-pakej ujian yang diperkenalkan oleh institut pemanduan yang menetapkan pelajar terpaksa membayar lebih daripada harga siling yang ditetapkan iaitu sebanyak RM1,150 untuk kenderaan manual dan RM1,250 untuk kenderaan automatik.

    “Ada pelajar yang terpaksa membayar antara RM1,800 dan RM2,500 menerusi pakej-pakej ujian seperti ‘Gerenti Sampai Lulus’, itu yang kita tidak mahu. Memang akan berlaku pertambahan sedikit harga siling tetapi ia lebih murah jika dibandingkan dengan harga pakej ini. Untuk peringkat ini, kita akan melaksanakan ujian ini pada mereka yang mengambil lesen D (Ujian Litar) sahaja sebelum kita luaskan secara berperingkat kepada kenderaan komersil lain,” katanya.

     
     
  • Honda Monkey, Super Cub 2018 dipertonton di AOS

    Honda Monkey, Super Cub 2018 dipertonton di AOS

    Hujung minggu lalu berlangsung sudah acara Art of Speed 2018 di MAEPS Serdang. Antara model baru dari pengeluar yang turut dipamerkan ialah dua motosikal dari Honda, iaitu C125 Super Cub dan motosikal mini Monkey. Kedua-dua motosikal ini merupakan motosikal dari era 70an dan dibayangkan semula untuk era sekarang.

    Honda Super Cub tidak lagi memerlukan pengenalan panjang. Rekaan yang digunakan juga boleh dilihat diwarisi dari model-model lama keluaran Honda sejak dulu lagi. Dipanggil Super Cub di Jepun, C125 Cub ini menggunakan enjin 125 cc sejukan udara yang menjana 7.89 hp pada 7,500 rpm dan 8.5 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Sistem PGM-Fi digunakan untuk suapan minyaknya, sementara kotak gear menggunakan jenis empat-kelajuan dengan klac centrifugal. Brek menggunakan jenis cakera di depan, manakala di belakang dari jenis dram. Super Cub ini turut dilengkapi dengan lampu LED serta paparan meter gabungan antara digital dan analog.

    Honda Monkey, Super Cub 2018 dipertonton di AOS

    Bagi Honda Monkey pula, ia menggunakan enjin yang sama dari Honda MSX 125 SF, bersesaran 124.9 cc silinder-tunggal, sejukan udara dengan janaan kuasa sebanyak 9.6 hp pada 7,000 rpm dan 11 Nm tork pada 5,250 rpm, juga dengan sistem PGM-Fi. Motosikal ini mempunyai berat 107 kg dan kapasiti tangki minyak 5.6 liter.

    Suspensi terbalik di depan serta menggunakan brek jenis cakera di hadapan dan juga belakang, ia dilengkapi dengan panel instrumen LCD. Monkey moden ini juga menggunakan sistem pencahayaan LED. Boon Siew Honda bagaimanapun enggan mengulas lanjut bila dua model ini akan dilancarkan untuk pasaran tempatan atau sebaliknya.

     
     
  • KTM Duke 200 kembali dalam pasaran M’sia – RM12k

    KTM Duke 200 kembali dalam pasaran M’sia – RM12k

    September tahun lalu KTM Malaysia telah melancarkan dua model Duke permulaan iaitu Duke 250 dan Duke 390. Dua model ini sememangnya dapat dilihat mempunyai pembaharuan yang jelas terutama pada bahagian penampilan dan kelengkapan lain, tapi ini tidak bermakna satu lagi model Duke yang berada di bawahnya iaitu Duke 200 dilupakan terus. Kini, syarikat itu mengeluarkan kenyataan Duke 200 masih lagi dijual – pada harga RM11,888 tidak termasuk insurans.

    Model ini ditunjukkan semasa karnival KTM yang berlangsung di Johor Bahru hujung minggu lalu, dan perubahan yang paling jelas yang boleh dilihat cumalah grafik pada motosikal itu. Warna utama pada Duke 200 ini adalah putih dan ia mempunyai grafik campuran hitam dan oren, manakala rim juga berwarna oren.

    Pakej kuasa pada motosikal ini masih lagi sama iaitu unit enjin satu silinder berpenyejukan cecair DOHC 199.5 cc yang mampu menghasilkan kuasa 26 hp pada 10,000 rpm dan 19.5 Nm tork pada 8,000 rpm, dan ia dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

    KTM Duke 200 kembali dalam pasaran M’sia – RM12k

    Suspensi hadapannya pula menggunakan fork USD WP berdiameter 43 mm manakala di belakang terdapat monoshock juga keluaran daripada WP Suspension. Untuk bahagian brek, Duke 200 dilengkapi dengan cakera 300 mm serta angkup empat piston Bybre, manakala di belakang terdapat cakera 230 mm berserta angkup satu piston, juga daripada Bybre.

    Secara keseluruhannya motosikal ini mencatat berat 134 kg, dan kelengkapan lain yang ada padanya adalah termasuk tangki bahan api 11 liter, tinggi tempat duduk 810 mm, tayar 110/70 di hadapan, 150/60 di belakang, kerangka trellis dan panel paparan informasi LCD.

     
     
  • Spyshot kapcai baru Yamaha tersebar – Y15-ZR VVA?

    Spyshot kapcai baru Yamaha tersebar – Y15-ZR VVA?

    Masih panas sekarang ini dengan berita pelancaran model Yamaha terbaru, YZF-R15 yang dilakukan hujung minggu lalu di Pulau Pinang. Kini dalam media sosial, tersebar lagi gambar spyshot satu lagi model yang ramai menjangkakan adalah versi baru Y15-ZR sedang diuji. Gambar yang kami naikkan ini diambil dari akaun Instagram Team_Y15ZR_Malaya.

    Berdasarkan kenderaan yang berada di sekeliling, jelas ia diambil di Malaysia, tapi model sebenarnya masih tidak diketahui kerana kualiti gambar yang rendah. Ada juga yang mendakwa, gambar ini diambil di sekitar Sungai Buloh. Seperti yang diketahui, kilang Hong Leong Yamaha Motor memang berada di Sungai Buloh, dan mereka adalah antara syarikat yang aktif mengadakan ujian atas jalan bagi model baru.

    Dengan meneliti gambar salah satu motosikal tersebut (serba hitam dengan jalur biru), kami dapati banyak bahagian pada motosikal ini, termasuk lampu DRL serta lampu penunjuk arah depannya menyerupai model Y15-ZR yang berada di pasaran sekarang, tetapi lampu utamanya sedikit berlainan. Satu lagi model di sebelahnya pula kelihatan seperti SYM VF3i (warna perak).

    Menyelidik lebih lanjut, kami telah menjumpai bahawa di Vietnam juga sedang kecoh dengan satu model yang akan dilancarkan oleh Yamaha dalam masa beberapa hari lagi. Jemputan yang dihantar juga mempunyai gambar bahagian lampu utama motosikal tersebut yang kelihatan seperti lampu motosikal di dalam gambar spyshot ini. Lampu itu terbahagi kepada tiga bahagian iaitu dua yang di tepi untuk lampu biasa dan tengah mungkin untuk lampu tinggi.

    Media di sana menjangkakan ia adalah Yamaha Exciter 2019 (di negara kita Exciter dipasarkan sebagai Y15-ZR), dan berdasarkan gambar yang mereka perolehi di sana, ia turut mempunyai lencana VVA, 155 dan BlueCore pada motosikal tersebut. Jika benar, ini mungkin adalah unit enjin sama seperti NVX155 atau YZF-R15 yang kuasanya boleh menjadi antara 14.8 hp/13.8 Nm hingga 19.3 hp/15 Nm tork.

    Media di sana juga menjangkakan model baru ini akan tiba dengan pelbagai peningkatan lain seperti panel meter digital serta sistem tanpa kunci. Sama-sama kita nantikan sekiranya ada sebarang berita daripada Hong Leong Yamaha Motor sendiri nanti. Anda rasa menarik tak rekaan serta naik taraf yang dilakukan pada model ni?

     
     
  • Lagi kes libatkan kereta “sambung bayar” – perlukan undang-undang lebih ketat, elak penipuan dan aniaya

    Dari sebuah posting yang dikongsi oleh akaun Badrul Hanafi di Facebook semalam, ada lagi kes berkaitan kereta “sambung bayar”; pemilik baru terpaksa berdepan dengan masalah kereta yang ingin ditarik, kerana pemilik asal mahu mengambilnya kembali. Kereta berkenaan, sebuah Proton Saga, khabarnya dibeli dengan cara “sambung bayar” pada harga murah.

    Daripada perbualan dalam video yang dimuat naik itu, secara ringkasnya, pemilik asal kereta berkenaan datang bersama sekumpulan lelaki mendakwa ingin mengambil semula kereta terbabit. Pemilik semasa kereta itu pula enggan menyerahkan kunci, mendakwa semua bayaran dan bukti persefahaman antara dia dan pemilik asal (melalui broker) itu lengkap.

    Tambahan pula, pemilik baru atau semasa mendakwa telah membayar kepada bank (pinjaman di atas nama pemilik asal) mengikut jadual sepatutnya seperti yang dijanjikan. Pemilik asal itu pula datang tanpa sebarang surat sita atau apa-apa dokumen berkaitan, ingin membawa pergi kereta berkenaan.

    Dan, inilah masalahnya jika anda membeli kenderaan secara “sambung bayar”, atau apa saja cara yang ada ditawarkan oleh kelompok-kelompok seperti ini untuk mendapatkan kenderaan cara mudah dan murah. Pasti ada helah, dan anda sebagai pemilik baru atau semasa sentiasa terdedah kepada penipuan. Ini bukanlah kali pertama kejadian seperti ini berlaku, dan mungkin juga bukan yang terakhir jika ramai lagi yang tidak sedar tentangnya.

    Lagi kes libatkan kereta “sambung bayar” – perlukan undang-undang lebih ketat, elak penipuan dan aniaya

    Risikonya adalah, jika anda membeli kenderaan secara “sambung bayar”, di atas kertas, anda tidak mempunyai apa-apa hak ke atas kenderaan terbabit. Ini kerana, pinjaman bank dan nama pada geran kenderaan masih lagi nama pemilik asal.

    Yang biasa terjadi, bila pemilik asal tak mampu lunaskan bayaran bulanan kenderaan, dia akan “memajak” kepada orang lain dengan cara sambung bayar. Setelah tunggakan di bank selesai, mereka akan datang lagi dan mengambil semula kereta. Biasanya, hal ini tidak akan dibincangkan sejak awal. Sudah tentu ramai yang pernah mendengar kes-kes begini.

    Dalam urusan tidak sah seperti ini, keadaan atau kelebihan tidak akan pernah menyebelahi pemilik baru atau semasa. Dari sisi mana pun, mereka tidak akan berhak ke atas kenderaan itu, ia tidak akan menjadi milik mereka kerana dokumen sah dengan pihak bank tidak pernah bertukar tangan. Dalam situasi paling buruk, pemilik asal boleh saja melaporkan kepada pihak polis bahawa keretanya telah hilang atau dicuri, pemilik baru berkenaan boleh terheret dalam masalah yang lebih besar.

    Hujung tahun lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pernah menyatakan dalam Dewan Rakyat bahawa aktiviti pajakan atau “sambung bayar” kenderaan ini secara terang-terangan melanggar Akta Sewa Beli 1967.

    Lagi kes libatkan kereta “sambung bayar” – perlukan undang-undang lebih ketat, elak penipuan dan aniaya

    Di bawah Seksyen 38 Akta Sewa Beli 1967, jika pemilik asal didapati bersalah menjual kenderaan ketika perjanjian sewa beli masih berkuat kuasa, mereka boleh didenda hingga RM30,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya. “Kes-kes ini tidak boleh dikategorikan sebagai kes curi kereta kerana tidak memenuhi elemen kesalahan mencuri seperti terdapat di dalam Seksyen 378 Kanun Keseksaan. Namun, dalam siasatan dijalankan polis, jika terdapat unsur penipuan, ia boleh disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelas kenyataan itu.

    Untuk mengelakkan anda terpalit sekali di dalam situasi seperti ini, pertama sekali sebagai pengguna, tak perlulah “kelabu mata” dengan tawaran-tawaran yang tidak sah seperti sambung bayar kenderaan ini. Kedua, pihak berkuasa perlu meneliti permasalahan ini dengan lebih terperinci dan perkenalkan garis panduan atau undang-undang yang lebih ketat bagi mengelakkan perkara ini daripada berterusan. Ini kerana, ada pihak yang mengambil kesempatan di atas kelompongan ini bagi menjalankan perniagaan yang tidak sah dan menganiaya pengguna.

    Bahkan penyedia-penyedia platform, laman web dan aplikasi jual-beli atas talian lain juga perlu memikul tanggungjawab ini. Iklan berkaitan sambung bayar kenderaan ini jika diperhatikan sangat berleluasa di dalam platform-platform jual-beli popular ketika ini, hingga ada yang bertindak selaku orang tengah atau broker – menggambarkan begitu tersusunnya operasi sindiket atau perniagaan ini. Apa pula pandangan anda tentang perkara ini? Sila kongsikan.

     
     
  • Syarat baharu ke atas kenderaan import mungkin dilaksana, bertujuan membantu jenama tempatan – PM

    Syarat baharu ke atas kenderaan import mungkin dilaksana, bertujuan membantu jenama tempatan – PM

    Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan syarat baharu bagi kenderaan import bagi memberikan keutamaan terhadap jenama tempatan, menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Katanya lagi, pada masa ini, kereta buatan asing yang diimport ke negara ini bebas tanpa sebarang syarat, sekaligus menimbulkan kesukaran bagi pengeluar kereta tempatan untuk bersaing dalam pasaran, memetik laporan The Sun.

    Ini adalah berbeza dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh negara asing lain untuk mengimport kereta, tambahnya lagi. “Kita sekarang ini sangat terbuka menerima jenama asing. Walau pun (kereta tesebut) diperbuat daripada ‘tin Milo’, ia tetap dibenarkan masuk ke Malaysia. Tetapi kereta kita pula sukar untuk menembusi banyak negara lain.

    “Itulah sebabnya kita harus mengkaji semula kemungkinan bahawa syarat-syarat tertentu harus dikenakan supaya kereta jenama asing tidak akan memasuki pasaran kita dengan mudah. Sekaligus memberi peluang kepada kereta tempatan kita diterima pasaran automotif tempatan,” ujarnya dalam Dewan Rakyat hari ini.

     
     
  • Mansuhkan kutipan tol bukan boleh dilaksanakan dalam jangka masa yang pendek – CEO KWSP

    Mansuhkan kutipan tol bukan boleh dilaksanakan dalam jangka masa yang pendek – CEO KWSP

    Memberi maklumbalas berhubung dengan pemansuhan kutipan tol, CEO Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, cadangan tersebut tidak boleh dimuktamadkan dalam masa 100 hari seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

    KWSP memiliki 49% pegangan dalam pengendali lebuh raya bertol PLUS Malaysia Bhd, manakala unit Khazanah Nasional Bhd, UEM Group Bhd memiliki ekuiti selebihnya.

    Menurut Shahril, kerajaan mempunyai keutamaan lain dari segi keperluan monetari yang perlu ditangani buat masa ini. Bukan itu sahaja, penghapusan tol membabitkan proses yang rumit dan pelbagai pihak, laporan Bernama.

    “Kami sudah memberikan beberapa cadangan dan idea (kepada kerajaan), tetapi sebarang penyusunan semula tol adalah satu mainan campur tolak yang mana seseorang perlu membuat pembayaran tidak kira sama ada ia menyediakan atau tidak keseimbangan antara pengguna serta pemegang konsesi,” katanya kepada pemberita semalam.

    Sambungnya lagi, penyusunan semula tol sangat rumit kerana kepentingan semua pihak perlu diambil kira.

    “Saya fikir kerajaan juga mahu berlaku adil kerana penghapusan tol dan pampasan kepada pemegang konsesi akan memindahkan beban kepada pembayar cukai dan saya rasa (berlaku adil) adalah keutamaan kerajaan,” katanya.

     
     
  • Yamaha YZF-R15 dilancarkan di Malaysia – RM11,988

    Yamaha YZF-R15 dilancarkan di Malaysia – RM11,988

    Model yang ditunggu ramai iaitu YZF-R15 kini sudah dilancarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd pada harga RM11,988 (tidak termasuk insurans) untuk pasaran Malaysia. Model yang tiba ini adalah model spesifikasi tinggi, sama seperti Thailand dan Indonesia, iaitu di bahagian hadapannya menggunakan fork USD.

    YZF-R15 dikuasakan oleh enjin satu silinder 155 cc, sejukan cecair, dengan teknologi VVA dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 19.3 hp dan 15 Nm tork. Padanan transmisi pula adalah unit enam kelajuan, bersama klac jenis slipper & assist secara standard.

    Walaupun cuma menggunakan enjin 155 cc, R15 ini datang dengan kelengkapan sporty seperti tayar yang lebar – 100/80-17 di depan, 140/70-17 di belakang, cakera brek depan berdiameter 282 mm, brek cakera 220 mm di belakang, panel instrumen LCD, kerangka Deltabox dan swingarm aluminium. Tangki bahan api yang disediakan berkapasiti 11 liter dan berat keseluruhannya adalah 137 kg.

    Pada bahagian kokpit, terdapat panel paparan digital, dan ia menyediakan pelbagai informasi seperti kadar rpm, kelajuan, odometer, penggunaan bahan api, kedudukan gear, tahap minyak dan lampu amaran. Selain itu, meter ini juga dilengkapi dengan lampu waktu menukar gear (shift light), manakala lampu depan dan belakangnya adalah unit LED.

    Secara keseluruhannya untuk pasaran Malaysia, terdapat tiga warna yang ditawarkan iaitu biru dengan jalur putih, hitam dengan jalur merah dan kuning dengan jalur hitam. Ia akan mula berada di wakil pengedar hujung bulan Ogos ini dan datang dengan jaminan satu tahun atau 10,000 km.

     
     
  • Ducati Scrambler 1100 dilancar di M’sia – dari RM83k

    Ducati Scrambler 1100 dilancar di M’sia – dari RM83k

    Penawaran model Scrambler oleh Ducati di Malaysia menjadi lengkap apabila Next Bikes Sdn Bhd melancarkan Scrambler 1100 di acara Art Of Speed hari ini. Sekarang ini bermakna, model Scrambler ditawarkan dalam versi Icon, Street Classic, Classic, Full Throttle, Cafe Racer, Desert Sled, Sixty2 dan juga 1100 baru ini.

    Scrambler 1100 pertama kali diperkenalkan semasa pameran EICMA tahun lepas, dan ia menggunakan enjin 1,079 cc sama seperti Monster EVO 1100. Ia adalah unit L-twin Desmodromic penyejukan udara, namun kuasanya dilaras menjadi 86 hp pada 7,500 rpm dan 88 Nm tork pada 4,750 rpm. Transmisi pula adalah unit enam kelajuan dengan klac hidraulik basah.

    Ducati bukan sekadar menukar enjin Scrambler ini, tetapi hampir keseluruhan bahagiannya adalah baru. Melihat kepada dimensinya, dibandingkan dengan Scrambler 800, Scrambler 1100 ini mempunyai jarak roda 69 mm lebih panjang (1,514 mm), tinggi tempat duduk 20 mm lebih tinggi (810 mm), 50 mm lebih lebar (895 mm) dan 20 kg lebih berat (206 kg). Tangki minyak juga 1.5 liter lebih besar (15 liter).

    Bahagian casis motosikal ini turut diubah, di mana kerangka Trellis padanya kini mempunyai jarak kecondongan fork yang berbeza dan lengan ayun aluminium, manakala untuk ergonomik, jarak antara peletak kaki, pemegang dan tempat duduk lebih lebar.

    Bagi Scrambler 1100 Special, suspensi yang digunakan adalah Marzocchi 45 mm USD boleh laras sepenuhnya di hadapan, dan monoshock Kayaba di belakang, tetapi bagi Scrambler 1100 Sport, ia lebih berprestasi dengan unit Ohlins 48 mm USD di hadapan dan Ohlins boleh laras di belakang. Brek pula adalah sama bagi semua varian iaitu unit berkembar cakera 320 mm dan angkup Brembo Monobloc M4.32 di hadapan, dan cakera 245 mm serta angkup satu piston di belakang.

    Ducati Scrambler 1100 dilancar di M’sia – dari RM83k

    Perkara lain yang membezakan varian Scrambler 1100 ini boleh dilihat pada rim, penghadang lumpur depan dan belakang, ekzos, kemasan tangki, lengan ayun, fabrik yang digunakan untuk membalut tempat duduk serta pemegang yang lebih rendah bagi Scrambler 1100 Sport.

    Ducati Scrambler 1100 ditawarkan di Malaysia dalam dua versi iaitu Special dan Sport, dan harga masing-masing adalah RM83,000 dan RM85,000. Setiap pembelian motosikal ini juga datang dengan jaminan dua tahun tanpa had batuan, dan ditambah dengan servis percuma selama dua tahun atau 30,000 km, bersama servis Desmodromic.

    GALERI: Ducati Scrambler 1100 Special



    GALERI: Ducati Scrambler 1100 Sport

     
     
  • Kawasaki Ninja 250 serba baharu tiba di M’sia – RM23k

    Kawasaki Ninja 250 serba baharu tiba di M’sia – RM23k

    Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd telah melancarkan model serba baharu Ninja 250 yang menggantikan model sebelum ini. Ia dijual pada harga RM23,071 dan melibatkan pembaharuan yang menyeluruh termasuk platform, penggayaan, enjin dan juga kelengkapan.

    Bermula pada bahagian enjin, model baru ini masih lagi menggunakan unit dua silinder selari berpenyejukan cecair 249 cc DOHC, tetapi mempunyai lebih kuasa iaitu 39 hp pada 12,500 rpm dan 23.5 Nm pada 10,000 rpm. Jika dibandingkan dengan model sebelum ini, ia adalah lebih 7 hp dan 2.5 Nm tork. Transmisi pula masih lagi adalah unit enam kelajuan, tetapi dinaik taraf dengan klac jenis assist & slipper.

    Banyak bahagian pada enjin diubah untuk mendapatkan kuasa ini, termasuk throttle valve yang lebih besar (32 mm berbanding 28 mm sebelum ini), kedudukan penyuntik bahan api, kotak udara yang lebih besar, laluan udara yang lebih pendek, nisbah mampatan lebih tinggi (11.6:1) dan pelbagai lagi.

    Dibandingkan lagi dengan model sebelum ini, Ninja 250 baru adalah 5 kg lebih ringan, mencatat berat 167 kg, dan ini adalah hasil daripada casis yang juga baru. Ia kini menggunakan kerangka Trellis dan dikatakan lebih mudah untuk dikawal.

    Suspensi dan brek juga dinaik taraf, di mana pada bahagian hadapan, cakera breknya menggunakan unit 310 mm (+20 mm) bersama padanan fork teleskopik 41 mm (+4 mm), manakala di belakang pula masih lagi menggunakan cakera 290 mm dan suspensi monoshock dengan pelarasan pra beban. Bahagian roda juga masih sama, iaitu rim 17 inci dan tayar 110/70 di depan dan 140/70 di belakang.

    Seperti yang boleh anda lihat, penggayaan motosikal ini juga adalah baru dan ia kini menggunakan lampu depan jenis LED untuk lampu tinggi, lampu biasa dan juga lampu DRL. Pada bahagian kokpit pula, ia menggunakan panel instrumen sama seperti Ninja 650 yang menggabungkan paparan digital dan juga analog. Tinggi tempat duduk motosikal ini adalah 785 mm.

    Setakat ini, semua peningkatan yang diberi adalah memberi manfaat yang lebih baik, tetapi satu kekurangan pada model baru ini adalah kapasiti tangki bahan apinya berkurang tiga liter menjadi cuma 14 liter. Ia akan mula berada di kedai pengedar Kawasaki Malaysia bermula pertengahan Ogos dan boleh didapati dalam pilihan warna Passion Red/Metallic Flat Spark Black dan Pearl Solar Yellow/Pearl Storm Grey/Ebony.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025