Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Boon Siew Honda catat peningkatan jumlah jualan 28.7% pada tahun 2018, RS150R model paling laku

    Boon Siew Honda catat peningkatan jumlah jualan 28.7% pada tahun 2018, RS150R model paling laku

    Semasa majlis pelancaran model CBR1000RR SP, CB1100RS dan Super Cub 125 semalam, Boon Siew Honda (BSH) Sdn Bhd turut membentangkan prestasi jualan mereka pada tahun 2018. Secara keseluruhannya pada tahun 2018, syarikat itu telah berjaya menjual sebanyak 156,000 buah motosikal, bersamaan peningkatan 28.7% berbanding tahun 2017.

    Daripada jumlah ini, model yang mencatat jumlah paling tinggi adalah RS150R, iaitu 43,948 buah, diikuti Wave Alpha 36,895 buah. Pencapaian baik ini juga sekaligus membantu BSH untuk meningkatkan perkongsian pasaran mereka menjadi 30%, berbanding 27% pada tahun 2017.

    Memasuki tahun 2019, BSH akan menggunakan momentum ini untuk mencatat jualan yang lebih baik dan beberapa langkah telah disusun untuk mencapainya. Paling utama sudah tentu adalah pengenalan model baru, yang jika gambar pembentangannya boleh dipakai, kami kira semuanya ada 13 buah model.

    Selain daripada itu, BSH juga akan meningkatkan lagi rangkaian pengedar mereka di seluruh negara dengan membuka lebih banyak pusat sehenti Impian X (sekarang ini cuma ada lima), menambah baik khidmat servis selepas jualan, perkembangan program tunggangan selamat serta pembangunan pelumba tempatan dan sukan permotoran.

    Pada tahun 2018, BSH telah melancarkan 12 model baru dan tiga model yang dipertingkat, terletak dalam pelbagai segmen termasuk PCX, PCX Hybrid, CBR1000RR, Africa Twin, Monkey, Vario, Dash 125, CB1000R, CB250R X-ADV.

     
     
  • Toyota, Panasonic setuju kerjasama bangunkan bateri

    Toyota, Panasonic setuju kerjasama bangunkan bateri

    Susulan kepada kajian awal yang dijalankan pada 2017, Toyota dan Panasonic kini sudah bersetuju untuk mengadakan satu usahasama pada tahun 2020 bagi tujuan mengeluarkan bateri untuk kenderaan elektrik.

    Di bawah perjanjian itu, Toyota akan mempunyai 51% kepentingan di dalam syarikat baru yang akan ditubuhkan itu, sementara Panasonic berhak ke atas peratusan selebihnya. Selain itu, Panasonic juga akan memindahkan lima kemudahan pengeluaran bateri automotif syarikat itu yang kini berada di Jepun dan China (kecuali yang di AS) untuk berada di bawah seliaan syarikat usahasama baru itu nanti.

    Kedua-dua syarikat akan membekalkan kelengkapan dan tenaga kerja secara bersama bagi operasi syarikat baru itu nanti. Ia akan meliputi lapangan kajiselidik, pembangunan, kejuruteraan pengeluaran, pengilangan, perolehan, resit pesanan dan hal-hal berkaitan pengurusan lainnya berkaitan bateri lithium-ion, bateri solid state dan bateri generasi akan datang.

    “Bersama dengan Panasonic, kami ingin meningkatkan daya saing di dalam teknologi bateri, yang menjadi satu teras terpenting bagi teknologi kenderaan elektrik,” jelas Naib Presiden Eksekutif Toyota, Shigeki Terashi

    “Menyatukan Toyota dengan teknologi dan kejuruteraan berkaitan pengeluaran bateri memberi peluang terbaik kepada kami untuk meluaskan lagi jangkaian teknologi bateri automatik kami, yang kini sudahpun mempunyai rekod baik dari segi prestasi dan keselamatan, serta kepantasan,” ujar Pengawai Pengurusan Eksekutif Kanan Panasonic, Masahisa Shibata.

     
     
  • HLYM keluarkan teaser model baru – Tracer 900 GT?

    Hujung minggu ini, Hong Leong Yamaha Motor akan melancarkan sebuah model baru untuk pasaran Malaysia. Dalam jemputan acaranya, tidak diberitahu secara terus model apakah yang akan dilancarkan itu, tetapi mereka ada menunjukkan beberapa isyarat melalui laman media sosial.

    Teaser untuk model ini ada disiarkan tetapi ia tidak menampakkan apa-apa bentuk motosikal. Yang lebih menarik, HLYM juga mengadakan pertandingan khas untuk model baru dengan arahan untuk orang ramai meneka apakah model tersebut, berdasarkan video khas yang dikeluarkan. Dalam video itu, ditunjukkan beberapa bahagian motor tersebut.

    Pertamanya, video pertandingan dan teaser ini disiarkan melalui Facebook Yamaha Big Bikes Malaysia. Jadi, sudah tentu ia adalah model berkapasiti tinggi, lebih daripada 250 cc. Kemudiannya, ciri-ciri motosikal itu juga nampak jelas adalah Tracer 900 GT.

    HLYM keluarkan teaser model baru – Tracer 900 GT?

    Untuk mengecilkan skop, anda boleh lihat gambar tersebut menunjukkan sebuah motosikal yang mempunyai penghadang tangan (hand guard), meter digital, mod tunggangan, traction control, pemanas tangan dan cruise control. Bentuk bahagian yang ditunjuk juga jelas milik Tracer 900 GT.

    Ketibaan model ini bukanlah satu kejutan kerana sebelum ini juga kami sudah menyiarkan Tracer 900 GT telah ditemui di Malaysia waktu sedang diuji oleh HLYM Oktober tahun lalu. Walaupun asas masih sama seperti Tracer 900 yang ada sekarang, Tracer 900 GT mempunyai kelebihan lain seperti quickshifter, cruise control, suspensi yang boleh dilaras sepenuhnya, pemanas tangan, beg barangan serta panel instrumen yang dibangunkan daripada sportsbike YZF-R1.

     
     
  • Maserati Ghibli 2019 kini di Malaysia dengan penambahbaikan, kit ekstra – dari RM619k-RM769k

    Maserati Ghibli 2019 kini di Malaysia dengan penambahbaikan, kit ekstra – dari RM619k-RM769k

    Setahun selepas Maserati Ghibli facelift diperkenalkan di Malaysia, Naza Italia baru mengumumkan jentera mewah empat-pintu itu kini menerima satu lagi pusingan peningkatan untuk model tahun 2019.

    Semakan yang dilakukan tanpa caj tambahan, dengan Ghibli standard masih ditawarkan pada harga bermula RM618,800 dan varian GranLusso serta GranSport pula berharga RM668,800. Varian paling berkuasa Ghibli S mula ditawarkan pada harga RM718,800, sementara versi GranLusso atau GranSport ditetapkan pada RM768,800. Semua adalah harga tetap, tidak termasuk insurans atau kos atas-jalan tetapi termasuk cukai tempatan.

    Perbezaan yang paling ketara ialah tuil gear elektronik yang direka semula, kini dengan butang Park di atasnya, lebih kurang sama pula dengan rekaan dari BMW. Ia banyak memberikan ruang untuk kawalan yang telah disusun semula untuk mod pemanduan, di mana Maserati berkata ia lebih bersifat mesra pengguna.

    Maserati Ghibli 2019 kini di Malaysia dengan penambahbaikan, kit ekstra – dari RM619k-RM769k

    Turut dipertingkatkan ialah sistem infotainmen Maserati Touch Control Plus (MTC+), yang menampilkan paparan grafik baharu dan meningkatkan kawalan suhu, membolehkan pengubahsuaian pengedaran aliran udara yang lebih baik – pada Ghibli, ia dipisahkan untuk pemandu dan penumpang. Ciri baharu yang turut ditawarkan termasuklah kulit upholstery Pieno Fiore sebagai pilihan, yang didakwa mampu memberikan rasa yang lebih lembut secara semulajadi dan direka untuk membangunkan karakter yang unik.

    Pilihan baharu lain termasuklan kemasan kayuan Rovere Vener dan tenunan gentian karbon, tiga lapisan cat Blu Nobile dan roda aloi Teseo 20-inci dengan kemasan lembut atau gelap. Lampu utama LED matrix adaptif yang sebelum ini standard untuk GranLusso dan GranSport, kini ditawarkan untuk semua varian.

    Maserati kini turut memperkenalkan Nerissimo Edition, dengan kemasan warna hitam bersama krom gelap dan sentuhan hitam berkilat, lampu utama yang lebih gelap dan pilihan sama ada aloi Urano 20-inci atau Titano 21-inci – berwarna hitam. Pelanggan juga dapat tempat duduk sport hadapan dan belakang secara standard, bersama tingkap lapisan gelap, tirai suria belakang larasan kuasa dan kemasan dalaman Dark Mirror.

    Maserati Ghibli 2019 kini di Malaysia dengan penambahbaikan, kit ekstra – dari RM619k-RM769k

    Tiada perubahan mekanikal, kesemua model masih menggunakan enjin yang sama iaitu 3.0 liter turbo-berkembar V6, dipadankan dengan kotak gear automatik ZF lapan-kelajuan. Untuk Ghibli standard, kuasa yang mamou dihasilkan mencecah 350 PS pada 5,500 rpm dan tork 500 Nm pada 4,500 rpm, boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.5 saat dan kelajuan maksimum 267 km/j.

    Bagi Ghibli S pula, hamburan kuasanya mencecah 430 PS pada 5,750 rpm dan tork 580 Nm dari 2,250 hongga 4,000 rpm, dengan 0-100 km/j capai 4.9 saat dan kelajuan maksimum 286 km/j. Seperti sebelum ini, Ghibli didatangkan dengan waranti lima-tahun dan perbatuan tanpa had, bersama pakej penyelenggaraan lima-tahun/100,000 km dan Maserati Premium Service Plus tiga tahun/60,000 km.

     
     
  • Rolls-Royce Cullinan tiba di Malaysia – 6.75 liter V12, 563 hp/850 Nm, harga bermula dari RM1.8 juta

    Rolls-Royce Cullinan tiba di Malaysia – 6.75 liter V12, 563 hp/850 Nm, harga bermula dari RM1.8 juta

    SUV sulung dari barisan kenderaan keluaran Rolls Royce, Cullinan kini tiba di Malaysia secara rasmi. Mengambil nama sempena batu permata terbesar yang pernah dijumpai di bumi, Rolls-Royce Cullinan – sebuah SUV mewah bespoke yang pertama seumpamanya – ditawarkan di sini pada harga bermula RM1.8 juta, belum termasuk cukai.

    Dengan saiz fizikal yang jelas kelihatan besar, Cullinan mempunyai dimensi 5,341 mm panjang, 2,164 mm lebar, 1,835 mm tinggi dengan jarak antara roda 3,295 mm. Unit yang anda lihat di dalam galeri ini ialah versi empat-pintu dan empat-tempat duduk. Turut ditawarkan ialah versi lima-tempat duduk.

    Dari segi spesifikasi enjin pula, ia menggunakan unit V12 6.75 liter turbo berkembar Rolls Royce, yang mampu menghasilkan sebanyak 563 hp pada 5,000 rpm dan 850 Nm tork pada 1,600 rpm. Angka-angka prestasi lain adalah seperti berikut; 250 km/j kelajuan maksimum dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat. Kadar penggunaan bahan api gabungan yang mampu dicapai pula ialah 15 liter bagi setiap 100 km.

    Untuk sebuah SUV besar dengan berat 2,660 kg, prestasi berkenaan boleh disifatkan sepadan dengan apa yang mampu diberikan. Bagi ruang barangan pula, tersedia kapasiti 560 liter. Dengan mengalih bahagian parcel shelf, tambahan 40 liter luas akan diperolehi. Dan, sesuai dengan imej SUV yang ditampilkan, untuk membawa barangan panjang, semua tempat duduk boleh direbahkan – muat untuk barangan sepanjang 2,245 mm dan kapasiti pula meningkat kepada 1,930 liter.

    SUV ini dibangun menggunakan kerangka aluminium sepenuhnya, dikenali sebagai “Architecture of Luxury” memberikan ketahanan yang tinggi untuk badan kenderaan. Ia juga boleh meredah takungan air dengan kedalaman 540 mm tanpa sebarang masalah.

    Penggunaan sistem suspensi udara boleh larasnya juga membolehkan SUV ini direndahkan atau dinaikkan sebanyak 40 mm. Ia dilengkapi dengan rim 22-inci dengan tayar senyap – begitu juga dengan ruang kabin yang dipasangkan dengan kira-kira 100 kg barang penebat bunyi untuk memberikan puncak keselesaan kepada penumpang.

    Selain itu, ruang kabinnya juga dilengkapi dengan ciri-ciri seperti bumbung kaca panoramik, sistem audio bespoke dengan 18-saluran dan 18-pembesar suara, sistem hiburan kendalian melalui skrin sentuh serta meja berkelah khusus yang direka untuknya. Unit yang ditunjukkan ini juga mempunyai kemudahan peti sejuk untuk penumpang belakang.

    Bagi ciri keselamatan pula, Cullinan hadir antara lain dengan ciri termaju seperti Night Vision dan Vision Assist yang boleh mengesan manusia dan haiwan liar; bantuan kepekaan; sistem dengan empat kamera dengan pandangan panoramik, Active Cruise Control; amaran perlanggaran; amaran lintasan trafik, amaran pertukaran lorong; HUD dengan saiz 7×3 inci resolusi tinggi, hotspot WiFi, sistem tunjuk arah dan lain-lain ciri keselamatan standard.

    Pada konsol tengah, pemandu boleh mengawal pelbagai fungsi yang tersedia; butang kawalan “Spirit of Ecstacy” yang ikonik, butang Off-Road, kawalan menuruni curam dan larasan ketinggian suspensi udara. Selebihnya, Rolls-Royce Cullinan ini boleh dipadankan dengan perincian dan selera yang berbeza-beza bakal pemiliknya.

     
     
  • Honda CBR1000RR SP, CB1100RS dan SuperCub 125 dilancar di M’sia – harga RM115k, RM76k dan RM14k

    Honda CBR1000RR SP, CB1100RS dan SuperCub 125 dilancar di M’sia – harga RM115k, RM76k dan RM14k

    Boon Siew Honda Sdn Bhd hari ini melancarkan tiga buah motosikal baru untuk pasaran Malaysia iaitu CBR1000RR SP, CB1000RS dan Super Cub 125. Harga cadangan pengeluar yang ditetapkan untuk motosikal ini adalah masing-masing RM114,999, RM75,999 dan RM13,999.

    CBR1000RR SP adalah sebuah superbike yang menggunakan enjin empat silinder 999 cc DOHC, dan ia mampu menghasilkan kuasa sebanyak 189 hp pada 13,000 rpm dan 114 Nm tork pada 11,000 rpm. Transmisi yang digunakan pula adalah unit enam kelajuan.

    Model ini mempunyai lebih banyak kelengkapan berprestasi berbanding CBR1000RR biasa, termasuk fork depan Ohlins NIX30 Smart-EC dan monoshock Ohlins TTX36 Smart-EC boleh laras sepenuhnya secara elektronik, penukar gear quickshifter, panel instrumen TFT LCD warna penuh dan penutup tempat duduk belakang.

    Bagi kelengkapan elektronik, motosikal ini didatangkan terus dengan unit pengukur inertia (IMU), Rear Lift Control (RLC), Cornering ABS, empat mod tunggangan, Suspension Control Unit (SCU) dan Traction Control.

    Pergi kepada CB1100RS pula, ini adalah sebuah model naked yang membawa gaya klasik, dengan dikuasakan oleh enjin empat silinder DOHC 1,140 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 88.5 hp pada 7,500 rpm dan 91 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Antara kelengkapan lain yang datang pada motosikal ini adalah fork hadapan dan monoshock Showa belakang dengan pelarasan pra beban, rim 17 inci, brek cakera berkembar dengan angkup Tokico di hadapan, lampu jenis LED serta meter gabungan skrin LCD dan analog.

    Untuk Super Cub, ia sudah pernah ditayangkan sebelum ini di Malaysia iaitu waktu acara Art Of Speed 2018, dan kini sudah dilancarkan secara rasmi dengan harga yang disebutkan awal tadi. Ia adalah sebuah motosikal moden, dengan enjin satu silinder suntikan bahan api 125 cc dan padanan kotak gear empat kelajuan, mampu menghasilkan 7.89 hp pada 7,500 rpm dan 8.5 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Brek Super Cub 125 menggunakan jenis cakera di depan, manakala di belakang dari jenis dram. Ia turut dilengkapi dengan lampu LED serta paparan meter gabungan antara digital dan analog, manakala untuk tempat duduk, dalam keadaan standard ia cuma ada satu tetapi boleh ditambah untuk penumpang dengan mendapatkan aksesori daripada Honda sendiri.

    GALERI: Honda CBR1000RR SP

    GALERI: Honda CB1100RS

    GALERI: Honda Super Cub 125

     
     
  • Volvo panggil semula 219,000 unit keretanya kerana masalah kebocoran bahan api dalam ruang enjin

    Volvo panggil semula 219,000 unit keretanya kerana masalah kebocoran bahan api dalam ruang enjin

    Menurut laporan Reuters, Volvo telahpun membuat panggilan semula terhadap sekitar 219,000 kereta keluarannya kerana dikesan mempunyai masalah yang mungkin akan menyebabkan kebocoran bahan api pada ruang enjin.

    Untuk lebih spesifik, kereta-kereta yang terjejas tersebut berkemungkinan mempunyai masalah keretakkan pada hos bahan api, yang boleh menyebabkan kebocoran sekiranya tekanan diberikan pada salur berkenaan. Model-model berkenaan terdiri dari 11 model berbeza yang diproduksi antara 2015 dan 2016, dengan sebahagian besarnya dipasarkan di Sweden, UK, dan Jerman.

    “Tiada lagi laporan yang mendakwa bahawa terdapat sebarang kecederaan atau kerosakan berkaitan isu ini. Volvo mengambil langkah pencegahan dengan panggilan semula bagi mengelakkan sebarang masalah yang mungkin timbul pada masa akan datang,” kata jenama tersebut dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Volvo telah menjual sebanyak 503,127 kereta pada 2015 dan 534,332 pada 2016. Ini bukanlah panggilan semula terbesar yang dibuat jenama dari Sweden itu kerana pada 2004 mereka telah memanggil semula 460,000 kenderaan bagi memperbaiki pendaiwaian untuk modul kawalan elektronik kipas penyejuk utama.

     
     
  • VIDEO: Bagaimana Alex Zanardi berlumba tanpa sepasang kaki dengan BMW M8 GTE di Daytona

    Anda mungkin kenal Alex Zanardi sebagai salah seorang pemandu Formula 1 di era permusuhan antara Micheal Schumacher dan Mika Hakkinen. Namun tahukah anda? Ketika Zanardi kembali untuk berlumba dalam siri CART pada musim 2001, beliau telah mengalami kemalangan yang sangat dahsyat di litar EuroSpeedway Lausitz, Jerman dan menyebabkan beliau kehilangan kedua-dua kaki.

    Walaupun ini adalah penamat untuknya dalam perlumbaan ‘single seater‘, tetapi ia bukanlah beerti penamat buat segala-galanya untuk Zanardi. Beliau mula berlumba semula secara sepenuh masa dalam Kejuaraan Touring Car FIA Eropah pada 2004 untuk pasukan BMW Italy-Spain, kemudian memenangi perlumbaan pertamanya dalam Kejohanan Touring Car FIA Dunia pada Ogos 2005.

    Tahun ini, Alexander Zanardi akan kembali semula ke litar – beliau akan berlumba di Rolex 24 Hours of Daytona, Amerika Syarikat dengan memandu BMW M8 GTE. Ini adalah perlumbaan ketahanan yang berlangsung selama 24-jam, jadi bagaimana Zanardi akan memandu kereta ini tanpa kedua-dua kaki dalam masa yang sama berkongsi kereta ini dengan rakan sepasukan yang lain?

    VIDEO: Bagaimana Alex Zanardi berlumba tanpa sepasang kaki dengan BMW M8 GTE di Daytona

    BMW Motorsport telah menghasilkan roda stereng khas bagi membolehkan Zanardi mengoperasikan pedal pendikit dengan menggunakan tangan kirinya. Manakala untuk menukar gear, satu lagi pedal diletakkan pada sebelah kanan – tarik untuk menaikkan gear, dan tolak untuk menurunkan gear.

    Manakala untuk membrek, satu tuil panjang diletakkan pada sebelah kanan yang memerlukan Zanardi menolak menggunakan tangan bagi memperlahankan atau menghentikan terus M8 GTE tersebut. Tapi macam mana nak menurunkan gear ketika Zanardi menekan brek? Satu lagi rekaan bijak dari jurutera BMW Motorsport adalah menempatkan satu lagi suis pada tuil brek berkenaan untuk menurunkan gear.

    VIDEO: Bagaimana Alex Zanardi berlumba tanpa sepasang kaki dengan BMW M8 GTE di Daytona

    Selain dari sistem-sistem yang direka khas untuk Zanardi ini, pedal-pedal normal sebenarnya masih lagi berfungsi seperti kereta lumba biasa. Jadi apabila pemandu lain mengambil alih kokpit jentera ini, ia masih boleh dipandu secara normal.

    Apa yang dihasilkan oleh pasukan jurutera ini adalah sesuatu yang bijak, tetapi ‘tabik spring’ dan penghormatan tertinggi masih lagi saya berikan untuk Alex Zanardi sendiri; bayangkan, walaupun sudah terlibat dengan kemalangan yang menyebabkannya kehilangan kedua-dua kaki, beliau tidak trauma malah masih bersemangat tinggi untuk berlumba!

     
     
  • Jualan global Ducati tahun 2018 turun 5% – 53,004 unit

    Jualan global Ducati tahun 2018 turun 5% – 53,004 unit

    Walaupun dengan pelancaran pelbagai model baru termasuk superbike V4, Ducati Motor Holding cuma dapat mencatat penjualan sebanyak 53,004 buah motosikal pada tahun 2018 di seluruh dunia dan ini bersamaan dengan penurunan 5% berbanding tahun sebelumnya.

    Walaupun begitu, sebenarnya jualan global motosikal atas 500 cc turut mencatat penurunan sebanyak 3%, dan Ducati masih berjaya menjadi pendahulu dalam segmen superbike, dengan perkongsian pasaran sebanyak 26%. Daripada jumlah jualan keseluruhan yang dicatat, 9,700 adalah model Panigale (peningkatan 70% berbanding tahun 2017), dan ini termasuk 6,100 daripadanya adalah Panigale V4.

    Dalam segmen motosikal jelajah pula, Multistrada turut menunjukkan peningkatan jualan sebanyak 25% berbanding tahun 2017, dengan jumlah keseluruhan 6,569 buah.

    Jualan global Ducati tahun 2018 turun 5% – 53,004 unit

    “Tahun 2018 adalah agak mencabar bagi pasaran motosikal berkuasa tinggi, dengan penurunan jumlah jualan di negara penting seperti Amerika Syarikat,” kata CEO Ducati Motor Holding, Claudio Domenicali. Pengarah jualan global Ducati, Francesco Milicia pula memberitahu barisan Scrambler 800 akan diperbaharui pada tahun 2019 dan beberapa model baru juga akan diperkenalkan seperti Diavel 1260 dan Hypermotard 950.

    Itali terus menjadi pasaran paling besar bagi Ducati dengan jualan 9,200 buah motosikal, diikuti Amerika Syarikat 7,843 buah (turun 9%), Sepanyol 2,444 buah, Jepun 1,941 buah dan Switzerland 1,276 buah. Di China, permintaan pasaran bagi Ducati telah meningkat sebanyak 29% berbanding tahun sebelumnya.

     
     
  • Tata Harrier diperkenal di India – SUV lima tempat duduk, enjin diesel 2.0L turbo, harga bermula RM74k

    Tata Harrier diperkenal di India – SUV lima tempat duduk, enjin diesel 2.0L turbo, harga bermula RM74k

    Tata Motors telah memperkenalkan sebuah model SUV baru di pasaran India, digelar sebagai Harrier dan ia ditawarkan dalam empat varian (XE, XM, XT dan XZ) yang berbeza kelengkapan, dengan harga antara 1,269,000 rupee (RM73,680) hingga 1,625,000 (RM94,350).

    Walaupun datang dalam beberapa varian, asas kenderaan lima tempat duduk ini adalah sama iaitu ia menggunakan enjin Kyrotec empat silinder 2.0L Turbo diesel yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 140 PS pada 3,750 rpm dan 350 Nm tork antara 1,750 hingga 2,500 rpm. Transmisi pula cuma ada satu pilihan iaitu manual enam kelajuan.

    Tata Harrier adalah sebuah model baru dan ia menggunakan pelbagai teknologi terkini termasuk platform yang dipanggil sebagai Optimal Modular Efficient Global Advanced Architecture (ARC). Platform ini dihasilkan daripada platform D8 Architecture yang digunakan oleh Land Rover.

    Daripada harga jualannya, anda boleh lihat Harrier ini bukanlah sebuah model permulaan, dan ia boleh didapati dengan pelbagai kelengkapan (bergantung kepada varian) termasuk lampu depan projector xenon HID, lampu kabus dengan fungsi membelok, pengelap cermin dan lampu automatik, butang pemula enjin, cruise control, kemasan kayu di dalam, tempat duduk dan stereng balutan kulit, pancaran logo bawah pintu, tiga pilihan mod pemanduan, skrin infotainmen 8.8 inci, sembilan pembesar suara JBL dan panel instrumen TFT 7.0 inci.

    Untuk sistem keselamatan pula, varian paling bawah datang dengan dua beg udara, ABS, EBD dan pengesan undur, manakala apabila pergi ke varian paling tinggi, ia akan dilengkapi enam beg udara, Electronic Stability Program, Hill Hold Control, Hill Descent Control, Roll Over Mitigation, Corner Stability Control, Electronic Traction Control dan cagak Isofix di tempat duduk belakang.

     
     
  • Subaru hentikan produksi kilang Gunma – komponen stereng elektrik dari pembekal dikesan bermasalah

    Subaru hentikan produksi kilang Gunma – komponen stereng elektrik dari pembekal dikesan bermasalah

    Kerana menerima bekalan komponen stereng bantuan kuasa elektrik yang bermasalah dari pembekalnya, Hitachi Automotive System, Subaru terpaksa menghentikan operasi produksi kilang utamanya yang terletak di Gunma, Jepun untuk berberapa hari. Kilang berkenaan dijangka akan ditutup sehingga 28 Januari ini.

    Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Subaru, model yang terjejas kerana isu ini termasuk Forester, Impreza dan XV yang dibuat antara lewat Disember 2018 sehingga 16 Januari 2019. Kenderaan yang terlibat dengan masalah ini akan menunjukkan simptom seperti lampu amaran yang menyala pada panel instrumen seterusnya stereng akan menjadi lebih berat kerana sistem stereng berkuasa tidak berfungsi.

    Buat masa sekarang, Subaru masih lagi menyiasat perkara ini namun masih belum mengumumkan sebarang panggilan semula. Pemberhentian operasi kilang buat sementara waktu ini mungkin akan menjejaskan prestasi syarikat, tetapi jenama berkenaan masih belum mendedahkan apa-apa perincian.

    Walau bagaimanapun untuk pemilik Subaru di Malaysia tidak perlu risau kerana pengedar Subaru untuk sembilan negara – Motor Image Group – mengumumkan bahawa ia tidak akan menjejaskan pelanggan tempatan kerana belum ada stok yang diambil dari kilang Gunma tersebut telah dihantar ke pelanggan-pelanggan mereka.

     
     
  • Repsol Honda Team sambut 25 tahun dalam MotoGP

    Repsol Honda Team sambut 25 tahun dalam MotoGP

    Satu demi satu pasukan MotoGP mula memperkenalkan pasukan serta jentera mereka untuk tahun 2019, dan semalam telah berlangsung acara untuk Repsol Honda Team. Istimewanya tahun ini, ia juga menandakan tahun ke-25 Repsol dan Honda Racing Team (HRC) bekerjasama dalam satu pasukan MotoGP.

    Selain Marc Marquez dan Jorge Lorenzo yang dipilih menjadi pelumba tahun ini, acara turut disertai bekas pelumba lagenda yang pernah berlumba dalam pasukan Repsol Honda Team iaitu Mick Doohan dan juga Alex Crivillé, bersama jentera mereka.

    Sejak Repsol dan HRC bekerjasama dalam MotoGP, iaitu dari waktu Doohan menggunakan jentera NSR500 hinggalah sekarang dengan RC213V yang digunakan oleh Marquez dan Lorenzo, pasukan ini telah berjaya mendapatkan 14 kejuaraan dunia, 427 podium, 182 catatan masa terpantas dan 177 kali memulakan perlumbaan di petak paling hadapan. Dengan pencapaian ini, Repsol Honda Team bukan saja cuku ikonik, malah juga adalah padanan yang paling berjaya.

    Repsol Honda Team sambut 25 tahun dalam MotoGP

    Turut menjadi perhatian dalam acara ini sudah tentu adalah penampilan jentera musim 2019, tetapi ia dilihat tidak jauh berbeza daripada aspek penampilan berbanding tahun lalu dan tiada perubahan warna atau grafik yang terlalu ketara.

    Jentera dengan penampilan baru ini akan dibawa ke litar buat pertama kali 6 hingga 8 Februari ini di Litar Antarabangsa Sepang untuk ujian oleh Marquez, manakala Lorenzo pula masih terpaksa menjalani rawatan berikutan kecederaan pada tulang tangan kiri waktu berlatih. Pusingan pertama perlumbaan MotoGP akan berlangsung 10 Mac.

     
     
  • Toyota Vios 2019 kini di Malaysia – dari RM77k-RM87k

    Toyota Vios 2019 kini di Malaysia – dari RM77k-RM87k

    Selepas pertama kali membuat penampilan sulung di KLIMS 2018 pada tanggal 22 November tahun lalu – yang juga merupakan hari pertama tempahannya mula dibuka – Toyota Vios 2019 kini telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia.

    Untuk pasaran tempatan, Toyota Vios 2019 ditawarkan dalam tiga varian – Vios 1.5J, Vios 1.5E dan Vios 1.5G. Aspek mekanikalnya masih dikekalkan dengan enjin 1.5L 2NR-FE empat-silinder sebaris, DOHC, 16-injap dengan Dual VVT-i. Ia mampu menghamburkan kuasa sebanyak 107 PS pada 6,000rpm dan tork 140 Nm pada 4,200 rpm. Enjin ini dipadankan bersama transmisi unit CVT dengan mod Sport Sequential Shiftmatic tujuh-kelajuan.

    Bagi dimensinya, Vios 2019 ini 15 mm lebih panjang berbanding model terdahulu, kini dengan 4,425 mm dan lebarnya juga ditambah sebanyak 30 mm menjadi 1,730 mm. Walau bagaimanapun, ketinggian dan jarak rodanya masih kekal sama – masing-masing 1,475 mm dan 2,550 mm. Ruang butnya juga kekal berkapasiti 506 liter.

    Toyota Vios 2019 kini di Malaysia – dari RM77k-RM87k

    Untuk Vios 2019, elemen luaran standard bagi semua varian termasuk lampu utama dengan fungsi Follow Me Home dan lampu nyalaan siang LED. Sementara varian paling asas, 1.5J, menggunakan lampu utama Multi Reflector Halogen, lampu belakang kombinasi jenis mentol, pemegang pintu luar warna badan, gril hadapan berwarna, lampu kabus belakang dan rim aloi bersaiz 15-inci yang dibaluti tayar berprofil 185/60R15. Sama untuk 1.5E tetapi dengan ciri tambahan lampu belakang kombinasi LED.

    Istimewa untuk varian tertinggi 1.5G, ia dilengkapi lampu utama projector halogen, juga lampu kombinasi belakang LED, cermin sisi auto-lipat, gril hadapan berwarna/bersadur, lampu kabus belakang dan rim aloi 16-inci yang dibaluti tayar berprofil 195/50R16.

    Menjengah bahagian kabinnya pula, semua varian dilengkapi dengan elemen standard termasuk sistem masukan pintar dan butang penghidup enjin, roda stereng tiga-jejari balutan kulit, kemasan dalaman berwarna hitam, suis mod pemanduan (Sport Mode & ECO Mode), pendingin hawa auto, kotak konsol tengah, pemain CD, sambungan USB, AUX-Jack dan Blutooth.

    Toyota Vios 2019 kini di Malaysia – dari RM77k-RM87k

    Bagi varian 1.5G, ia ditampilkan lebih eksklusif dengan tempat duduk kombinasi kulit berwarna hitam, perehat tangan hadapan material kulit, meter kombinasi Optitron, suis kawalan audio, MID dan BT pada roda stereng, tombol gear balutan kulit, pedal penukar gear, HDMI, empat tempat letak cawan dan enam pembesar suara.

    Dan varian 1.5E dan 1.5G juga menerima skrin sentuh paparan pelbagai-info (MID) TFT 6.8-inci dengan USB Mirroring, pemain DVD, perakam video digital hadapan (DVR) dengan ciri Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW) dan Amaran Pertukaran Lorong (LDW) serta Panoramic View Monitor.

    Manakala dua lagi varian iaitu 1.5J dan 1.5E, didatangkan dengan tempat duduk fabrik hitam, meter kombinasi analog, empat pembesar suara dan dua tempat letak cawan dan varian paling rendah hanya menerima suis kawalan audio pada stereng dan paparan Optitron MID dengan TFT bersaiz 4.2-inci.

    Untuk aspek keselamatan pula, kesemua varian dilengkapi Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki (HAC), ABS dengan EBD dan Bantuan Brek, pengesan parkir (varian 1.5E dan 1.5J hanya untuk belakang sahaja), tujuh beg udara dan Isofix. Tambahan ciri keselamatan untuk varian 1.5E dan 1.5G ialah Paparan Titik Buta (BSM) dengan Kepekaan Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

    Barisan Toyota Vios 2019 ditawarkan pada harga RM77,200 bagi model asas 1.5J, manakala varian pertengahan 1.5E pula berharga RM81,200. Untuk spesifikasi tertinggi 1.5G pula berharga RM87,300. Semuanya adalah harga atas jalan dan tanpa insurans. Dan semua varian didatangkan dengan waranti selama lima-tahun dengan tanpa had perbatuan.

    Pilihan warna yang disediakan termasuk Dark Blue Metallic, Red Mica Metallic, Attitude Black, Silver Metallic dan Super White II. Turut ditawarkan ialah kelengkapan pilihan termasuk sistem DVD-AVX bernilai RM2,160 bagi varian J, perakam video digital bernilai RM350, filem penapis haba premium berharga RM2,120 bagi varian E dan J serta RM2,800 bagi kit badan sporty.

    Untuk spesifikasi penuh bagi setiap varian Toyota Vios 2019, sila layari Carbase.my.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI TCR – 2.0L TSI, 290 PS/370 Nm!

    Volkswagen Golf GTI TCR – 2.0L TSI, 290 PS/370 Nm!

    Pada perhimpunan Wörtherseetreffen di Austria tahun lalu, Volkswagen telah mendedahkan model konsep Golf GTI TCR iaitu model yang diinspirasikan dari jentera lumba TCR mereka yang beraksi di kejohanan TCR antarabangsa – dan sekarang versi produksinya telah pun mula dijual pada pasaran Eropah.

    Untuk pengetahuan anda, Golf GTI Mk7.5 biasa kini tidak lagi dijual di benua berkenaan kerana tidak lagi memenuhi undang-undang pencemaran baharu yang lebih ketat, dan GTI TCR ini adalah satu-satunya pilihan pelanggan di sana jika mahukan GTI pacuan hadapan, dan ia akan dijual pada harga bermula 38,950 euros (RM182.5k).

    Model ini bukan sekadar gimik semata-mata, kerana ia dilengkapi dengan kelengkapan prestasi yang jauh lebih agresif dari GTI standard. Masih menggunakan enjin petrol turbo 2.0 liter TSI, namun talaan baharu yang diberikan membolehkan ia menjana sejumlah 290 PS dan tork maksima 370 Nm. Ia digabungkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j.

    Volkswagen Golf GTI TCR – 2.0L TSI, 290 PS/370 Nm!

    Kereta ini hadir standard dengan LSD pada kotak gearnya bersama sistem brek dilengkapi cakera yang ditebuk. Dan untuk lebih hardcore, anda boleh memilih untuk didatangkan sekali dengan tayar semi-slick bagi kegunaan litar dan pengehad kelajuannya boleh ‘dibuka’ bagi membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 260 km/j.

    Bagi membezakan versi lebih liar ini dengan GTI asas, ia menerima splitter udara di hadapan, skirt sisi lebih labuh, penutup cermin sisi berwarna hitam, spoiler bumbung istimewa TCR, diffuser belakang dan juga pilihan rim aloi forged 18-inci sama ada Belvedere atau Milton Keynes. Logo TCR juga akan terpancar ke permukaan tanah ketika pintu dibuka.

    Masuk ke kabin, hot-hatch ini diberikan tempat duduk sport premium dengan rekaan gentian mikro/fabrik baharu dan tali pinggang keledar dengan jalur merah. Manakala untuk roda stereng, ia dibalut dengan kulit berliang pada posisi pukul 3 dan sembilan, bersama tanda merah pada titik pukul 12.

    Volkswagen Golf GTI TCR – 2.0L TSI, 290 PS/370 Nm!

    VW turut menawarkan ciri tambahan sekiranya pemilik inginkan sesuatu yang lebih dari biasa. Antara opsyen yang ditawarkan termasuk pelekat sisi badan dengan grafik ‘sarang lebah’ ikonik GTI, kemasan gentian karbon pada cermin sisi, bumbung berwarna hitam, dan juga pelbagai pilihan rim bersaiz 19-inci dengan pakej berbeza.

    Pakej pertama yang bernilai 2,350 euro (RM11k) terdiri dari rim 19-inci Reifnitz dengan tayar bersaiz 235/35R19, pengehad kelajuan yang dibuka, sistem penyerap hentak belakang lebih sporty bersama sistem kawalan casis adaptif Dynamic Chassis Control (DCC). Pakej kedua yang berharga 3,200 euro (RM15k) pula termasuk rim 19-inci Pretoria dengan tayar 235/35R19, tayar semi-slick dan juga penyerap hentak lebih sporty dan DCC. Pakej ini juga datang bersama nat pengunci rim bagi mengelakkan kecurian.

    GALERI Volkswagen GTI TCR Concept di Wörtherseetreffen 2018

     
     
  • Honda bakal tunjuk prototaip EV terbaru di Geneva

    Honda bakal tunjuk prototaip EV terbaru di Geneva

    Untuk Pameran Permotoran Geneva tahun ini, Honda akan memperkenalkan sebuah prototaip kenderaan elektrik terbaru. Sebagai teaser, gambar ini merupakan rekaan awal model terbabit yang mula ditunjuk kepada umum.

    Menurut Honda, prototaip itu nanti menjadi lanjutan kepada “Electric Vision”, yang menjadi hala tuju komitmen untuk menjadikan dua pertiga daripada kenderaannya yang dijual di Eropah adalah dari teknologi elektrik menjelang 2025.

    Rekaan prototaip berkenaan banyak persamaan dengan model Urban EV Concept yang ditunjukkan pada 2017. Paling utama pada rekaan lampu utamanya yang bulat serta elemen pada bonet depan. Bagaimanapun, EV yang belum diberikan nama itu mempunyai rekaan badan yang lebih berlekuk berbanding imej retro model yang disebutkan itu.

    Perincian lain yang boleh dilihat ialah bonjolan kecil pada dasar A-pillar; bertujuan untuk menempatkan kamera, serta penggunaan warna dwi-tona. Bagi sistem janaan yang digunakan, belum ada apa-apa maklumat yang dikongsi setakat ini. Lebih menarik, Honda mengesahkan yang model itu nanti akan dikeluarkan dan dipasarkan pada hujung tahun nanti.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025