Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • MRT Fasa 2 kini 95% siap, dijangka beroperasi Julai ini

    MRT Fasa 2 kini 95% siap, dijangka beroperasi Julai ini

    Menerusi catatan terkini dalam laman blog rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak www.najibrazak.com, beliau berkata pembinaan Fasa 2 Transit Aliran Massa (MRT) kini 95% siap dan akan beroperasi mengikut jadual menjelang Julai depan.

    Tambah beliau lagi, ini akan memperluaskan jaringan pengangkutan awam rel dan bas, sebagai tambahan kepada projek Fasa 1 membabitkan laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang dilancarnya pada 15 Disember lalu, laporan Bernama.

    Fasa 2 melalui kawasan berpopulasi tinggi seperti Kajang dan Cheras serta destinasi popular pelancong seperti Muzium Negara dan Pasar Seni yang sebelum ini tidak mendapat liputan meluas pengangkutan awam. Beliau berkata, bagi memastikan kesalinghubungan yang lancar, laluan Sungai Buloh-Kajang Fasa 2 bakal mempunyai enam stesen pertukaran yang menyambungkan rangkaian MRT dengan rangkaian perkhidmatan tren yang lain seperti LRT, KTM, Monorel, KLIA Ekspres dan KLIA Transit.

    “Stesen MRT ini adalah Muzium Negara, Pasar Seni, Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Maluri dan Kajang. Kemudahan Park N’ Ride turut disediakan di stesen MRT terpilih di bawah Fasa 2 Laluan Sungai Buloh-Kajang seperti Maluri, Taman Midah, Taman Suntex, Sri Raya, Bandar Tun Hussein Onn, Bukit Dukong, Sungai Jernih dan Kajang,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menggalakkan pengguna memberi maklum balas mengenai perkhidmatan pengangkutan awam itu.

    Beliau berkata mereka boleh memberi reaksi dari segi perkhidmatan, frekuensi tren, bas pengantara dan sebagainya kepada Rapid KL sebagai pengendali perkhidmatan melalui talian 03-78852585 atau emel [email protected].

    Najib juga berharap perkhidmatan MRT dan bas-bas pengantara di bawah Fasa 1 Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) telah memanfaatkan pengguna dan penduduk di sekitar kawasan bandar raya.

    “Walaupun Fasa 1 Laluan SBK ini telah siap dibina dan beroperasi sepenuhnya, fokus dan kerja MRT Corp sebenarnya masih belum selesai,” katanya

     
     
  • Beberapa jalan di pusat bandar Johor Bahru bakal ditutup sempena perarakan Chingey 15 – 18 Feb ini

    Beberapa jalan di pusat bandar Johor Bahru bakal ditutup sempena perarakan Chingey 15 – 18 Feb ini

    Seperti sudah menjadi tradisi, Bandaraya Johor Bahru masih lagi menjadi tempat untuk penganjuran perarakan Chingey sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Untuk itu, menurut laporan Bernama beberapa jalan utama di bandar raya ini akan ditutup secara berperingkat mulai 15 hingga 18 Februari ini.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Supt M. Kumar berkata penutupan laluan berkenaan bermula dengan tujuh jalan dari pukul 10.30 pagi hingga 1.30 tengah hari pada 15 Februari. Jalan itu meliputi Jalan Gereja, Jalan Tun Razak, Jalan Ulu Air Molek, Jalan Yahya Awal, Jalan Ayer Molek, Jalan Susur Ibrahim dan Jalan Wong Ah Fook.

    Manakala pada 16 Februari, satu lagi jalan iaitu Jalan Ngee Heng akan ditutup bermula pukul 8.30 pagi hingga 2.30 petang. Penutupan ini bagi membolehkan acara ‘membawa tokong keluar’ dari Kuil Kuno di Jalan Trus ke Kuil Xing Gong di Jalan Ulu Air Molek, dilaksanakan.

    “Pada malam kemuncak perarakan iaitu 17 Februari, jalan-jalan utama yang akan ditutup ialah persimpangan Jalan Gertak/ Jalan Dato Menteri, Jalan Ayer Molek, persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Chat/ Jalan Abu Bakar, Jalan Ayer Molek/Gertak Merah dan persimpangan lampu isyarat Jalan Dato Onn/ Jalan Ayer Molek.” katanya.

    “Selain itu, penutupan antara pukul 3 petang hingga 3 pagi pada keesokan harinya itu turut melibatkan Jalan Wong Ah Fook, Jalan Meldrum, Jalan Siu Nam, Jalan Siu Chin, pusingan ‘U’ Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Station, Jalan Abu Bakar dan susur Lingkaran Dalam/Jalan Abu Bakar,” tambah M.Kumar lagi.

    Sebagai alternatif, pengguna jalan raya dari Singapura yang hendak masuk ke kawasan bandar dinasihatkan agar menggunakan laluan Jalan Skudai -Jalan Lingkaran Dalam-Jalan Skudai (Pantai Lido). Mereka juga boleh menggunakan laluan Kota Tinggi-Kuala Lumpur-Lebuhraya EDL manakala pengguna yang menghala ke Hospital Sultanah Aminah, mereka disarankan melalui Jalan Skudai-Jalan Pantai Lido.

    “Pengguna dari Jalan Datin Halimah boleh menggunakan Jalan Kolam Air-Jalan Thompson-Jalan Abu Bakar manakala pengguna dari Kota Tinggi melalui Lebuhraya EDL-susur Jalan Abu Bakar-Jalan Lingkaran Dalam,” katanya.

    Polis turut menasihatkan pelancong yang ingin ke Kuil Xing Gong di Jalan Ulu Ayer Molek agar menaiki perkhidmatan teksi yang boleh didapati di Jalan Jim Que dan bukan di Jalan Tun Abdul Razak. Bagi yang ingin berjalan kaki dan menunggu di laluan perarakan iaitu Jalan Wong Ah Fook, mereka boleh melalui Bangunan Sultan Iskandar (CIQ) masuk ke Bangunan City Square dan terus ke Jalan Wong Ah Fook.

     
     
  • Kia Sportage CRDi diesel bakal dilancar di M’sia Q1 ini

    Kia Sportage CRDi diesel bakal dilancar di M’sia Q1 ini

    Pada penghujung bulan lalu, selepas Kia Grand Carnival, pada tahun ini juga, Naza Kia Malaysia Sdn Bhd telah mengesahkan bakal melancarkan model Rio 2017 dan juga Optima generasi ke-empat.

    Hari ini, dalam majlis sambutan Tahun Baharu Cina yang berlangsung di Kia Red Cube, Petaling Jaya, pengedar utama jenama Kia di Malaysia turut mengumumkan akan melancarkan model Sportage CRDi diesel pada suku pertama (Q1) tahun ini. Ini memberikan satu lagi pilihan menarik buat rakyat Malaysia yang gemarkan enjin diesel, selain model Sorento 2.2 LS diesel yang dilancarkan pada tahun lalu (bersama-sama varian petrol 2.4 MS dan 2.4 HS) dan juga Grand Carnival 2.2 CRDi yang telah pun dibuka tempahannya akhir tahun lalu.

    Kia Sportage CRDi diesel bakal dilancar di M’sia Q1 ini

    Sportage CRDi ini dipadankan oleh enjin 2.0 liter turbodiesel dengan hamburan kuasa 184 hp dan tork 400 Nm antara 1,750 hingga 2,750 rpm (juga terdapat versi 134 hp/373 Nm). Penjana kuasa ini turut digandingkan dengan kotak gear konvensional automatik enam-kelajuan. Kia mendakwa penggunaan bahan api kombinasi adalah sekitar 6.5 liter per 100 km (15.4 km/l).

    Naza Kia Malaysia memberitahu paultan.org, Sportage diesel ini telah pun mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa dan akan dilancarkan pada suku pertama tahun ini.

    Akhir tahun lalu, kami juga telah memaklumkan bahawa Hyundai-Sime Darby Motors juga akan meletakkan varian diesel bagi barisan Tucson juga pada Q1 2017, bersama 1.6 T-GDi turbo petrol. Di mana Tucson CRDi akan didatang bakal hadir sama dengan R-series turbodiesel seperti Sportage CRDi, memberikan pilihan yang lebih variasi bagi penggemar SUV. Buat setakat ini, hanya Mazda CX-5 SkyActiv-D sahaja pilihan diesel untuk segmen ini.

    GALERI: Kia Sportage 2.0 GT Line

     
     
  • Honda, Hitachi jalin usaha sama bagi memproduksi EV

    Honda, Hitachi jalin usaha sama bagi memproduksi EV

    Honda Motor Co Ltd dan Hitachi Automotive System telah menandatangani perjanjian sefahaman untuk membangun, memproduksi dan memasarkan kenderaan elektrik (EV). Ia didorong oleh faktor kebimbangan kedua-dua syarikat terbabit terhadap isu pemanasan global dan persekitaran.

    Menurut laporan yang disiarkan oleh Reuters, usaha sama antara Honda dan Hitachi ini akan direalisasikan pada Julai hadapan membabitkan pelaburan sebanyak $5 bilion yen (AS$44.69 juta), di mana Hitachi akan menguasai sebanyak 51% kepentingan dalam projek ini, selebihnya pula akan dipegang oleh Honda.

    Honda yang sebelum ini telah pun memiliki motor elektrik dan kenderaan sel bahan api serta hibrid, merancang untuk memasarkan EV di pasaran global mulai tahun hadapan.

    Manakala bagi Hitachi pula, telah lama berpengalaman membekalkan motor elektrik kepada pengeluar kenderaan lain termasuk General Motors Co di US dan Nissan Motor Co. yang membangunkan kenderaan elektrik Leaf.

    Usaha sama yang ditandatangani pada minggu lalu, walau bagaimana pun masih belum mendedahkan lagi nama yang bakal digunakan untuk projek khas ini. Namun pusat pembangunan, jualan dan operasi juga akan diwujudkan di Amerika Syarikat dan China, selain berpusat di bandar Hitachinaka, utara Tokyo.

     
     
  • Kia Optima GT akan dilancar di M’sia 2017 ini- lebih berkuasa dengan enjin 2.0L turbo, 242 hp/353 Nm

    Selepas memperkenalkan MPV Grand Carnival, seperti yang dilaporkan beberapa minggu lalu, pada tahun ini, selain Rio 2017 dan Optima generasi ke-empat, Naza Kia Malaysia Sdn Bhd juga telah mengesahkan bakal membawa masuk model premium Optima GT.

    Ia telah didedahkan sebentar tadi dalam majlis sambutan Tahun Baharu Cina yang berlangsung di Kia Red Cube, Petaling Jaya.

    Kia Optima GT dipertontonkan buat pertama kali di Frankfurt International Motor Show (IAA) 2015, dijanakan oleh enjin petrol 2.0 liter empat-silinder pengecas turbo T-GDI dengan hamburan kuasa 242 hp dan tork 353 Nm.

    Jika melihat pada kuasanya, ia hampir menyamai ledakan output BMW 330i M Sport (252 hp/350 Nm). Bagi Optima GT, enjinnya dipadankan oleh transmisi automatik enam-kelajuan yang memacukan roda hadapan.

    Berkenaan dengan prestasi, Optima GT boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.4 saat, dengan kelajuan maksimum sehingga 240 km/j. Malah model ini turut menerima pelarasan suspensi yang unik, dengan padanan cakera brek yang besar serta roda stereng elektronik yang ditala semula (Kia menggelarkannya sebagai R-MPDS).

    Bagi imej yang diperagakan, Optima GT berbeza dengan varian yang kurang prestasi daripadanya. Ia hadir dengan bampar yang lebih sporty bersama corong pengambilan udara sisi berbentuk segitiga serta jalur krom yang lebih rendah. Selain itu, sedan ini turut dipadankan dengan peresap belakang bersama dua corong ekzos bulat serta rim aloi 18-inci.

    Menurut Naza Kia Malaysia, keputusan untuk membawa masuk Optima GT ke pasaran tempatan adalah selaras dengan strategi global Kia yang ingin mengangkat nilai jenama ini. Bukan itu sahaja, syarikat ini juga mahu melangkah ke segmen premium dengan memperkenalkan “produk bernilai tinggi”.

    Malah nilai kenderaan di bawah jenama ini juga telah meningkat dari antara RM80k-RM90k, ke RM130k, seperti yang dimaklumkan. Walau bagaimana pun, Naza Kia Malaysia juga mempertimbangkan untuk memperkenalkan varian Optima yang lebih rendah selain GT.

    Model pesaing (bukan buatan Jepun) bagi Optima GT ini termasuklah Volkswagen Passat 2.0 TSI (217 hp/350 Nm) dan Ford Mondeo 2.0 EcoBoost (237 hp/345 Nm).

     
     
  • DRB-Hicom percaya Proton mampu lebih sukses dengan adanya rakan strategik asing

    DRB-Hicom percaya Proton mampu lebih sukses dengan adanya rakan strategik asing

    DRB-HICOM Berhad (DRB-Hicom), selaku 100% pemilik Proton, percaya pengeluar kenderaan pertama nasional ini mampu melakar kejayaan lebih cemerlang dengan adanya rakan strategik asing (FSP). Di mana, bersama FSP, Proton mampu menerokai lebih banyak platform, penjana kuasa dan teknologi baharu bagi meningkatkan kualiti produk mereka.

    Walau bagaimana pun, DRB-Hicom masih kekal komited untuk memacu Proton ke arah yang lebih gemilang, walau pun akui alami kesukaran untuk mencari FSP yang terbaik demi kepentingan bersama. Sejarah telah menunjukkan bahawa kerjasama antara pengeluar kenderaan kecil dan besar mampu membantu meningkatkan kredibiliti syarikat tersebut.

    Justeru, DRB-Hicom berkeyakinan dengan adanya FSP yang tepat, Proton mampu mempertingkatkan ekuiti jenama dan menjadi pengeluar kenderaan yang berjaya seperti mana yang dicipta pada era 80an dan 90an.

    Bagi mencari FSP yang paling tepat, DRB-Hicom akan menilai tiga kriteria utama iaitu kesesuaian strategik, operasi dan kebudayaan. Bagi kesesuaian strategik, ia adalah diperlukan bagi memastikan kesemua pihak menerima faedah dari sudut teknologi dan produk, yang diperlukan dalam pasaran masing-masing. Bagi menilai rakan potensi, DRB-Hicom akan memastikan teknologi yang dibawa mampu diperkembangkan di pasaran Asia terlebih dahulu sebelum menerjah arena global.

    DRB-Hicom percaya Proton mampu lebih sukses dengan adanya rakan strategik asing

    Begitu juga dengan kesesuaian operasi di mana Proton dan rakan strategiknya harus saling berkongsi kekuatan dan melengkapi antara satu sama lain. Di mana struktur operasi sedia ada di antara kedua belah pihak harus boleh saling bergandingan dalam kerjasama ini.

    Dan dalam apa jua bentuk kerjasama, kesesuaian kebudayaan juga antara teras kejayaan. “Penyatupaduan” antara kedua-dua pihak dilihat mampu memacu Proton melangkah ke hadapan, malah ia juga mampu mempertingkatkan lagi pelan perancangan jangka pendek dan panjang bagi operasi sedia ada dari pihak FSP.

    Biar pun menerima banyak tawaran untuk menjadi rakan strategik Proton, namun tapisan dan penilaian harus dilakukan secara teliti dan terperinci. Walau bagaimana, FSP juga berkeupayaan menerima banyak faedah menerusi kerjasama ini. Antaranya menggunakan model mampu milik Proton sedia ada termasuk Persona, Saga, Preve dan Iriz untuk mana-mana pasaran spesifik. Di mana kesemua model ini diproduksi mengikut standard yang tinggi dan mencapai piawaian antarabangsa.

    Selain itu, FSP juga boleh meningkatkan kapasiti pengeluaran mereka menerusi kilang Proton di Tanjung Malim. Buat masa ini, kilang terbabit mengalami pertumbuhan kadar yang rendah, justeru dengan mengoptimakan segala fasiliti moden yang ada turut memberikan faedah buat tenaga kerja tempatan. Ini bermakna, rakyat Malaysia juga menerima faedah peningkatan peluang pekerjaan dengan menggunakan kapasiti sepenuhnya dari kilang terbabit.

    DRB-Hicom percaya Proton mampu lebih sukses dengan adanya rakan strategik asing

    Malah Proton mempunyai pasukan pembangunan dan penyelidikan dalaman, juga termasuk dengan teknologi yang digunakan bagi Lotus Cars UK. Gabungan kejuruteraan antara Proton dan Lotus ini juga menawarkan peluang kepada FSP untuk mempertingkatkan keupayaan sedia ada mereka.

    Biarpun bakal mempunyai rakan strategik, Proton masih kekal sebagai pengeluar kenderaan nasoinal pertama di Malaysia dan juga satu-satunya pengeluar kenderaan ASEAN. Malah dengan adanya FSP ini, ia dilihat mampu meletakkan Proton ke tahap lebih tinggi, bukan sahaja di Malaysia, bahkan di peringkat dunia.

    Sebagai pemegang saham utama, DRB-Hicom juga akan menilai rakan kongsi berpotensi dalam penggunaan rangkaian vendor tempatan sedia ada. Ini adalah sangat penting kerana DRB-Hicom juga mahu menjaga kepentingan vendor sedia ada tanpa menjejaskan mana-mana pihak.

    Seperti mana yang pernah dinyatakan sebelum ini, DRB-Hicom sedang menantikan penyerahan bidaan daripada syarikat yang berminat, selepas ia melepasi tahap penilaian. Malah DRB-Hicom mensasarkan pemilihan ini akan selesai menjelang suku pertama tahun ini, dan pengumumannya akan dilakukan apabila ia telah dimuktamadkan.

     
     
  • Polis umum penutupan jalan di KL secara berperingkat pada 8 hingga 11 Februari sempena Thaipusam

    Polis umum penutupan jalan di KL secara berperingkat pada 8 hingga 11 Februari sempena Thaipusam

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain, telah mengumumkan beberapa jalan di sekitar ibu negara akan ditutup secara berperingkat sempena perarakan sambutan Thaipusam pada 8, 10 dan 11 Februari ini. Di mana penutupan pertama bermula dari jam 12.30 tengah malam sehingga jam 2 petang pada 8 Februari.

    “Perarakan kereta berhala Silver Chariot bermula dari kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H S Lee ke kuil Sri Subramaniar Batu Caves. Penutupan berikutnya ialah mulai jam 4 petang 10 Februari (Jumaat) hingga jam 2 pagi 11 Februari (Sabtu), iaitu bagi perjalanan dari kuil Sri Subramaniar ke kuil Sri Maha Mariamman,” ujarnya seperti mana yang dilaporkan menerusi Berita Harian.

    Beliau turut berkata, laluan terbabit adalah Jalan Sultan, Jalan Pudu, Jalan Tun Perak, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Ampang, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Sogo, Jalan Raja Laut, Jalan Sri Amar, Jalan Tun Razak, Jalan Ipoh, Jalan Perhentian, Jalan Ipoh Batu 5 dan Batu Caves.

    Semua penutupan jalan akan dilakukan secara berperingkat iaitu mengikut pergerakan kumpulan terbabit dan dibuka semula selepas perarakan selesai.

     
     
  • SPYSHOT: Kia misteri – sedan bajet untuk China?

    SPYSHOT: Kia misteri – sedan bajet untuk China?

    Selalunya kerap juga kami dapat mengesan model kereta yang menjadi intipan jurufoto pengintip kami, tetapi adakalanya agak sukar kerana bahagian hadapan atau belakangnya tidak begitu jelas untuk ditafsirkan. Namun bagi foto ini, ia memang jelas sebagai Kia sedan, tetapi kami tidak dapat mengagak model apakah ini.

    Saiz keseluruhan model ini dengan paten rimnya kelihatan ia mungkin di bawah segmen-C, bukannya Rio sedan generasi akan datang. Walau bagaimana pun, bentuknya juga tidak menggambarkannya sebagai ganti kepada Cerato.

    Apa yang kami dapat simpulkan, kemungkinan ia merupakan sedan bajet untuk pasaran China, di mana ia menggantikan model generasi pertama Cerato (dijual di sana sebagai Spectra5). Ia masih lagi diproduksi di sana, bersama Forte dan model semasa Cerato yang dikenali sebagai K3.

    SPYSHOT: Kia misteri – sedan bajet untuk China?

    Kereta ini dikesan pada masa yang sama dengan Hyundai Celesta iaitu model untuk China sahaja, yang pasa dasarnya menggunakan kerangka Elantra/Avante generasi ke-empat. Mungkin ini satu lagi perkongsian platform dan enjin antara Kia dan Hyundai, dan kebarangkalian ia adalah versi Kia bagi Celesta. Jika ya, ia mungkin menggunakan enjin Hyundai 1.6 liter dengan kuasa 122 hp serta kotak gear manual dan automatik enam-kelajuan yang sama.

    Malah, model kereta ini juga boleh dipasarkan di Eropah di bawah sedan bajet segmen-C, diposisikan di bawah Cee’d sebagai sedan entry-level dengan harga yang lebih berpatutan. Iaitu sama pasaran seperti Fiat Tipo dan Renault Fluence.

     
     
  • Suzuki Ertiga Diesel di Indonesia – spesifikasi didedah

    Suzuki Ertiga Diesel di Indonesia – spesifikasi didedah

    Suzuki Ertiga Diesel bakal dipasarkan di Indonesia tidak lama lagi, dan perincian mengenai varian baharu ini, telah pun didedahkan menerusi AutonetMagz, termasuk harga atas jalannya – Rp 220 juta (RM73,000). Buat masa ini, MPV tujuh-tempat duduk ini hanya didapati dengan enjin petrol 1.4 liter, iaitu sama dengan Proton Ertiga yang dijual di Malaysia.

    Ertiga diesel bakal diberikan enjin turbodiesel DDiS empat silinder 1.3 liter D13A dipadankan bersama sistem Smart Hybrid Vehicle by Suzuki (SHVS), serta kotak gear manual lima-kelajuan, memacu roda hadapan. Walau bagaimana pun, sistem ‘hibrid’ pada SHVS ini bukanlah sistem hibrid komprehensif seperti pada Toyota Prius mahupun Honda Insight.

    Komponen SHVS terdiri dari sebuah bateri 12V berkapasiti tinggi (juga bertindak sebagai bateri utama kereta) serta unit alternator lebih besar digelar Intergrated Starter Generator (ISG) yang bukan sahaja boleh mengecas tenaga elektrik semasa enjin berputar, malah turut boleh bertindak sebagai generator untuk sistem regenerative braking.

    Ia turut dipadankan dengan hanya satu pilihan transmisi iaitu manual lima-kelajuan, termasuk dengan bateri yang besar. Dengan gabungan padu kuasa ini, sistem ini mampu menghasilkan output sehingga 90 hp dan tork 200 Nm, iaitu kurang satu kuasa kuda dan lebih 70 Nm berbanding enjin petrol. Di India, Ertiga Disel dianggar menggunakan bahan api sekitar 24.52 km/l mengikut kitaran tempatan.

    Bagi elemen luarannya, Ertig Diesel, yang mungkin diimport sepenuhnya dari India, adalah lebih kurang sama dengan model petrol, kecuali logo Hybrid pada bahagian belakangnya. Di dalamnya, roda stereng dan tuil gear kuning langsat (model petrol Indonesia berwarna coklat, seperti Proton Ertiga), manakala kekemasan fabriknya pula sama seperti pasaran India.

    Kit tambahan lain termasuk cermin pandang belakang anti-silau manual dan nyahkabus belakang, serta fungsi habas panas (mengikut spesifikasi India). Walau bagaimana pun, model diesel Indonesia juga akan menggugurkan beberapa elemen yang terdapat pada model India, termasuk kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, sistem infotainmen skrin sesentuh dengan Bluetooth dan kamera undur.

    GALERI: Suzuki Ertiga facelift di GIIAS 2015

     
     
  • Toyota dan Suzuki sudah siapkan memorandum persefahaman – kerjasama libatkan pelbagai aspek

    Toyota dan Suzuki sudah siapkan memorandum persefahaman – kerjasama libatkan pelbagai aspek

    Toyota dan Suzuki mengumumkan bahawa satu memorandum persefahaman di antara keduanya kini sudah siap dan lengkap. Ia melibatkan sumbangan dua pengeluar kenderaan ini ke arah penyelesaian isu sosial dan pencapaian pembangunan mapan untuk kumpulan berasaskan automotif.

    Sebelum itu, dua syarikat ini telah berkongsi sesama sendiri berkenaan cabaran yang dihadapi dan bidang yang bersesuaian untuk kerjasama ini, supaya adil dan bebas daripada saingan (antara sendiri). Kedua-duanya hari ini setuju untuk memulakan “penilaian konkrit” bagaimana untuk bekerja bersama dalam bidang termasuk teknologi persekitaran, teknologi keselamatan, teknologi informasi, dan pembekalan produk dan komponen secara bersama.

    “Kedua-dua syarikat kami, yang berasal dari Enshu, berhasrat untuk menggunakan sepenuhnya semangat “mari lakukan”, dan kami ingin bekerjasama untuk memastikan semua orang dapat menikmati keseronokan mobiliti dan mencapai satu suasana yang penuh kegembiraan. Saya berterima kasih kerana diberikan peluang untuk bekerjasama dengan syarikat seperti Suzuki, yang mempunyai semangat tinggi,” kata presiden Toyota, Akio Toyoda.

    Pengerusi Suzuki juga menyatakan rasa terima kasihnya dengan menyatakan,”di bawah pimpinan presiden Akio Toyoda, Toyota sangat bersemangat sepanjang perbincangan berkenaan kerjasama ini, meskipun dipelawa asalnya oleh Suzuki, yang khuatir tentang pembangunan teknologi maju.”

     
     
  • Benelli lantik Mforce Bike Holdings jadi pengedar baharu di Malaysia – bakal perkenal moped 150 cc

    Benelli lantik Mforce Bike Holdings jadi pengedar baharu di Malaysia – bakal perkenal moped 150 cc

    Pengeluar jentera dua roda dari Itali, Benelli mengumumkan pelantikan Mforce Bike Holdings Sdn Bhd sebagai pengedar baru jenama itu untuk pasaran Malaysia bermula 1 Februari 2017. Dengan pelantikan berkenaan, Mforce Bike Holdings akan memasang, mengedar, dan membekalkan perkhidmatan lepas jualan, termasuk alat ganti bagi produk Benelli untuk pelanggan di sini.

    Pengurus Jualan Nasional Mforce Bike Holdings, Asri Ahmad menjelaskan, pelanggan dan pemilik Benelli sedia ada tidak perlu gusar kerana mereka tetap akan menerima manfaat serta khidmat yang sama seperti sebelum ini. Semua Pusat Servis Mforce Bike di Malaysia juga akan memberikan sokongan perkhidmatan lepas jualan dan servis lengkap kepada semua motosikal Benelli yang terjual sebelum ini, bermula bulan Mac nanti.

    Lanjutan daripada perkembangan ini, Mforce Bike turut merancang untuk menambah kepelbagaian terhadap penawaran model-model Benelli yang dijual di Malaysia. Antara yang sedang diberi perhatian dan dipertimbangkan ialah model-model seperti Leoncino 500, 302R dan TRK 502.

    Benelli lantik Mforce Bike Holdings jadi pengedar baharu di Malaysia – bakal perkenal moped 150 cc

    Selain motosikal berkuasa tinggi, Mforce Bike juga akan memperkenalkan buat pertama kalinya moped Benelli dalam bulan April 2017 nanti. Dengan kapasiti enjin 150cc yang baru, ia mematuhi tahap piawaian Europah, dilengkapi dengan ciri-ciri utama seperti suntikan bahan api, gear enam-kelajuan dan sistem penyejukan cecair.

    Pengedar baru Benelli ini juga berharap agar kelab-kelab motosikal Benelli sedia dapat menghubungi ibu pejabat di talian 04-5541777 untuk sebarang pertanyaan, serta bagi penglibatan bersama di dalam program-program yang akan dirancang bersama-sama pelanggan kelak.

     
     
  • VIDEO: Euro NCAP tunjuk perbezaan peningkatan keselamatan kenderaan sejak 20 tahun penubuhannya

    Program Penilaian Kereta Baharu Eropah (Euro NCAP) telah pun menjangkau usia 20 tahun pada 2017. Untuk itu, mereka telah pun menyiarkan sebuah video ujian perlanggaran yang menunjukkan peningkatan yang agak drastik dari segi keselamatan sejak badan berkenaan ditubuhkan pada tahun 1997.

    Ujian pelanggaran tersebut melibatkan Rover 100 yang berusia 20 tahun dan juga Honda Jazz 2015, yang boleh dikatakan berada pada segmen yang sama serta skala harga yang hampir sama, pada era masing-masing. Kedua-dua kereta ini diuji dengan pelanggaran hadapan secara off-set pada kelajuan 64 km/j (40 bs/j).

    Menerusi video ini, jelas kelihatan bahagian hadapan Rover berkenaan remuk kerana impak yang dikenakan. Walaupun dilengkapi beg udara, struktur asas badan yang lemah telah membuatkan roda stereng turut tercampak dan tidak dapat melindung pemandu pada kadar sepatutnya.

    VIDEO: Euro NCAP tunjuk perbezaan peningkatan keselamatan kenderaan sejak 20 tahun penubuhannya

    Menurut Euro NCAP, perubahan bentuk badan pada Rover berkenaan menyebabkan alat tukang perlu digunakan mengeluarkan penumpang dari kenderaan. Penumpang dan pemandu Rover tersebut juga mungkin akan mati atau mengalami kecederaan serius dalam kemalangan sedemikian.

    Namun, perkara sebaliknya berlaku pada Jazz. Walaupun bahagian hadapannya remuk teruk (bahagian tersebut memang direka untuk remuk dalam kemalangan bagi menyerap impak pelanggaran), kerangka bahagian kabin yang direka lebih kukuh dan juga jumlah beg udara yang lebih banyak, penumpang dan pemandu Jazz berkenaan boleh keluar sendiri dari kenderaan mereka dan hanya mengalami kecederaan ringan.

    “Kami sangat berbangga – kami telah menjadi tunjang keselamatan jalan raya selama 20 tahun – kerana program ujian keselamatan Euro NCAP telah mencapai peningkatan menyelamatkan nyawa yang besar pada kereta dan membantu Eropah untuk mencapai kadar kehilangan nyawa di jalan raya paling rendah berbanding rantau lain di dunia,” kata ketua setiausaha Euro NCAP, Michiel van Ratingen.

    Sejak ditubuhkan, Euro NCAP telah menerbitkan lebih dari 630 penarafan keselamatan, ujian pelanggaran sekitar 1,800 kereta dan juga membelanjakan jumlah keseluruhan berjuta euro bagi membuatkan kereta lebih selamat. Hasil ujian pertama Euro NCAP didedahkan pada 4 Februari 1997, melibatkan tujuh kereta popular era tersebut iaitu Ford Fiesta, Volkswagen Polo, Fiat Punto, Nissan Micra, Vauxhall/Opel Corsa dan Renault Clio. Rover 100 juga terlibat dengan pendedahan hasil ujian pertama tersebut, dan merupakan satu-satunya kereta diberikan penarafan satu-bintang.

    Ujian-ujian ini mendedahkan tahap keselamatan pada pelbagai kereta penumpang keluarga, menyebabkan pengeluar-pengeluar mengubah rekabentuk kereta mereka bagi mempertingkatkan keselamatan ketika berlakunya pelanggaran, dan terkini mengelakkan dari terjadinya kemalangan menjadi fokus yang lebih utama.

    Menerusi usaha-usaha yang dijalankan ini, kini teknologi keselamatan baharu atau yang ditawarkan sebagai opsyen sebelum ini seperti beg udara pemandu dan penumpang, beg udara sisi, amaran pemakaian tali pinggang keledar dan kawalan kestabilan elektronik telah pun dilengkapkan sebagai ciri standard bagi semua kereta baharu yang dijual di Eropah.

    “Impak daripada ujian ini tidak boleh dianggap remeh. Sebelum adanya Euro NCAP, pengguna hanya bergantung kepada dakwaan dari pengeluar. Kini kami mempunyai kereta yang paling selamat pernah dihasilkan dan tahap keselamatan setiap kereta ini didedahkan kepada umum. Kejayaan ini hanya boleh dicapai dengan bekerja sama rapat secara aktif di Eropah di bawah satu payung dan dengan meneruskan pelaburan terhadap keselamatan yang lebih baik,” kata presiden Euro NCAP dan ketua pegawai teknikal Tatcham, Andrew Miller.

     
     
  • MBJB buru semua pemilik kenderaan yang tidak menjelaskan kompaun tertunggak RM11.3j

    MBJB buru semua pemilik kenderaan yang tidak menjelaskan kompaun tertunggak RM11.3j

    Bagi anda yang memiliki saman dan kompaun tertunggak di bawah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), sila segera menyelesaikannya. MBJB akan mempergiatkan proses pendakwaan terhadap pemilik kenderaan dan penerima notis kompaun yang masih berdegil dan belum menjelaskan kompaun yang keseluruhannya bernilai RM11.3 juta.

    Menurut Datuk Bandar Johor Bahru A Rahim Nin, tunggakan itu adalah dari bulan Mei hingga Disember 2016 lalu membabitkan 367,000 notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Perintah Lalu-Lintas Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MBJB, laporan Bernama.

    “Jumlah ini melibatkan kesalahan tidak mempamerkan kupon meletakkan kenderaan dan sehingga kini sebanyak 6,440 surat peringatan telah diedarkan kepada pemilik kenderaan yang belum menjelaskan kompaun mereka. Pemilik kenderaan ini perlu ingat bahawa mereka boleh didakwa dan dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM300 selain membayar kepada Datuk Bandar apa-apa bayaran lain yang perlu dibayar di bawah peruntukan ini,” katanya.

    Tegasnya, MBJB memandang serius perkara itu dan akan mengenakan tindakan yang tegas bagi mana-mana individu yang melanggar peraturan tersebut.

     
     
  • Honda CRF250 Rally dilancar di Indonesia – RM21k

    Honda CRF250 Rally dilancar di Indonesia – RM21k

    Selepas dipamerkan sewaktu pameran EICMA di Milan, Itali, motosikal jelajah CRF250 Rally kini sudah dilancarkan di negara jiran, atau lebih tepat lagi di Indonesia. Majlis pelancarannya dijalankan bersama dengan pengenalan sebuah lagi model jelajah yang lebih besar, CRF1000L Africa Twin.

    Menariknya berkenaan CRF250 Rally, walaupun sekadar menggunakan enjin 250 cc sama seperti pada model CRF250L, ia disiapkan dengan kelengkapan dan gaya seperti sebuah motosikal lumba CRF450 Dakar, sesuai untuk penjelajahan lasak. Ini boleh dilihat dengan adanya penghadang angin yang tinggi, penutup bahagian enjin dan radiator, serta penghadang lumpur. Lampu utama dan penunjuk arah pula menggunakan unit LED.

    Bagi memastikan motosikal ini boleh berhadapan dengan keadaan lebih lasak, ia disertakan dengan suspensi Showa 43mm yang lebih panjang berbanding CRF250L, tangki minyak lebih besar, iaitu 10.1 liter dan mempunyai pilihan mod tunggangan. Rim hadapannya bersaiz 21 inci dan rim belakang 18 inci.

    Bagi pasaran Indonesia, ia akan mula dijual pada bulan Februari 2017, dengan harga atas jalan Rp62,900,00 (RM20,800). Unit yang dijual di Indonesia ini dikilangkan dan diimport dari Thailand.

    Diharapkan nanti, Boon Siew Honda Malaysia dapat merangka satu pakej yang menarik sekiranya ingin membawa motosikal ini ke pasaran Malaysia. Janganlah harganya jadi keterlaluan, nanti tidak banyak pula kuantiti yang dapat dijual.

     
     
  • 27,297 motosikal diperiksa dalam Op Khas Motosikal sempena CNY 2017 – 5,481 kesalahan dicatatkan

    27,297 motosikal diperiksa dalam Op Khas Motosikal sempena CNY 2017 – 5,481 kesalahan dicatatkan

    Sempena dengan Tahun Baharu Vina (CNY) 2017, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengadakan Ops Khas Motosikal di seluruh negara. Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Yusoff Ayob, sebanyak 27,297 motosikal telah diperiksa dan 5,481 pelbagai kesalahan direkodkan sepanjang operasi berkenaan.

    “Sebanyak 3,143 atau 35% daripada kesalahan yang direkodkan ialah tidak memiliki lesen menunggang motosikal. Selain itu, kesalahan lain yang turut dicatatkan termasuklah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada insurans kenderaan, tidak mematuhi lampu isyarat dan tidak memakai topi keledar,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Selain JPJ, operasi tersebut turut disertai oleh penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR). Operasi ini dijalankan menerusi empat siri bermula 25 dan 26 Januari serta 1 Februari dan telah pun berakhir semalam.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025